Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Mayat bayi ditemui dalam lubang kumbahan



12/08/2010 8:21pm

KOTA BHARU 12 Ogos – Mayat seorang bayi yang belum dikenal pasti jantina ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang hostel sebuah kolej di Jeli di sini hari ini, kira-kira pukul 5 petang tadi. – Utusan

Polis tahan remaja bantu siasatan kes bunuh



12/08/2010 6:15pm

GEORGETOWN - Polis menahan seorang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang seorang pelajar tingkatan satu yang ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di rumahnya di Relau di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, remaja yang ditahan itu adalah rakan baik kepada R.Surendren, 13, yang ditemui mati dalam bilik rumahnya pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati remaja itu adalah pelajar sekolah yang sama dengan Surendren dan dia pergi ke rumah Surendren antara pukul 7 dan 10 pagi pada hari kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Hampir 30 rumah rosak dipukul ribut



12/08/2010 6:16pm

TEMERLOH - Hampir tiga puluh buah rumah di sekitar Kerdau, dekat sini dan tanah rancangan Felda Jengka 18, Maran mengalami kerosakan akibat dipukul ribut petang semalam.
Kejadian yang bermula pada pukul 7.15 malam itu turut memusnahkan gerai bazar Ramadan di Felda Jengka 18 namun tidak mengakibatkan kecederaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kamajuan Tanah Rancangan (JKKR), Felda Jengka 18, Samat Samah berkata, kejadian itu menyebabkan banyak pokok tumbang dan menimpa kabel elektrik serta telefon. - Bernama

Pelacur China jual tubuh depan tandas mati dijerut




ANGGOTA polis mengusung mayat seorang wanita China yang ditemui mati dengan kesan jerut di lehernya di Plaza Pudu kelmarin.


KUALA LUMPUR - Malang menimpa seorang pelacur warga China apabila dia ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di tingkat tujuh pangsapuri Plaza Pudu di sini kelmarin.
Mayat separuh bogel berusia 31 tahun itu ditemui pada pukul 10.30 malam dalam keadaan tertiarap di atas tilam oleh sepasukan polis dari Cawangan Anti Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur yang sedang melakukan operasi Ops Noda.
Difahamkan ketika serbuan, terdapat dua lagi pelacur di dalam rumah tersebut yang sedang berbual-bual dengan dua lelaki tempatan di ruang tamu.
Berdasarkan keterangan yang diambil, dua pelacur tersebut merupakan rakan kepada mangsa. Mereka menyangka mangsa hanya tidur di dalam bilik.
Lokasi pelacuran tersebut pernah disiarkan Kosmo! 19 Jun lalu dengan wartawan menyamar sebagai pelanggan bagi mendapatkan khidmat pelacur yang menjual diri mereka depan tandas.
Empat hari kemudian, polis telah melakukan operasi dan dapat menahan seramai lima pelacur warga China.
Salah seorang daripada mereka kemudian bertindak melondehkan seluar hingga menampakkan punggungnya akibat geram dengan tindakan jurugambar yang mengambil gambar mereka ketika dibawa untuk perintah tahanan reman.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya percaya mangsa telah dibunuh pelanggannya dalam tempoh 24 jam berdasarkan penemuan kondom yang telah digunakan berdekatan mayat.

Baby dipercayai jadi keldai dadah Afrika



12/08/2010 8:23pm

KUALA LUMPUR - Seorang ibu hari ini mendakwa anak gadisnya telah dibawa lari ke Afrika Selatan oleh orang yang tidak dikenalinya pada Isnin lepas dan bimbang anaknya itu dijadikan keldai dadah.
Roslah Abdul Jani berkata, anaknya Nur Dhiya Ain Rosman yang dikenali sebagai Baby, 19, telah menghubunginya kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin lepas bagi memaklumkan kepadanya yang dia akan terbang ke Afrika Selatan pada 2.50 pagi.
"Dia telefon saya dalam keadaan tergesa-gesa dan beritahu yang dia sekarang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Afrika (Selatan) dengan kawannya orang Afrika dan akan pulang tiga hari selepas itu (Khamis),” katanya pada sidang berita di Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini hari ini.
Roslah berkata, pada masa itu beliau sedang dalam perjalanan dari Melaka ke rumahnya di Brickfield dan tidak sempat bertanyakan lebih lanjut tujuan anaknya ke sana kerana dia terus mematikan telefon bimbitnya.
Beliau terus menghubungi pihak KLIA bertanyakan penerbangan pagi itu dan dimaklumkan terdapat sebuah pesawat akan ke Cape Town, Afrika Selatan yang transit di Doha, Qatar. - Bernama

Baby dipercayai jadi keldai dadah Afrika



12/08/2010 8:23pm

KUALA LUMPUR - Seorang ibu hari ini mendakwa anak gadisnya telah dibawa lari ke Afrika Selatan oleh orang yang tidak dikenalinya pada Isnin lepas dan bimbang anaknya itu dijadikan keldai dadah.
Roslah Abdul Jani berkata, anaknya Nur Dhiya Ain Rosman yang dikenali sebagai Baby, 19, telah menghubunginya kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin lepas bagi memaklumkan kepadanya yang dia akan terbang ke Afrika Selatan pada 2.50 pagi.
"Dia telefon saya dalam keadaan tergesa-gesa dan beritahu yang dia sekarang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Afrika (Selatan) dengan kawannya orang Afrika dan akan pulang tiga hari selepas itu (Khamis),” katanya pada sidang berita di Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini hari ini.
Roslah berkata, pada masa itu beliau sedang dalam perjalanan dari Melaka ke rumahnya di Brickfield dan tidak sempat bertanyakan lebih lanjut tujuan anaknya ke sana kerana dia terus mematikan telefon bimbitnya.
Beliau terus menghubungi pihak KLIA bertanyakan penerbangan pagi itu dan dimaklumkan terdapat sebuah pesawat akan ke Cape Town, Afrika Selatan yang transit di Doha, Qatar. - Bernama

10 unit pangsapuri musnah dalam kebakaran



KLANG - Sebanyak 10 unit rumah daripada 12 unit di tingkat teratas pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) musnah dalam kebakaran di Pandamaran Jaya, dekat sini, semalam. 

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4.17 petang itu. 

Timbalan Penguasa Bomba Zon Klang, Jamaludin Ismail, berkata sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati api marak di tingkat lima pangsapuri itu dan dapat memadam kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 5.54 petang. 

“Siasatan mendapati kebakaran membabitkan 16 penduduk tempatan manakala jumlah penghuni warga asing masih belum diketahui,” katanya. 

Jamaludin berkata, seramai 170 penduduk di pangsapuri blok A ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya. 

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama   

Polis buru pemandu kereta langgar lari




KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang pemandu kereta jenis Honda bernombor pendaftaran LB 9385 yang terbabit dalam kes langgar lari di Jalan Ipoh, petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Faizul Zakaria adalah seorang anggota tentera dari Kem Batu Kentonmen cedera parah. 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125 dilanggar pemandu kereta terbabit. 

“Ketika kejadian, mangsa dari pusat bandar menuju ke Tesco Selayang dan dilanggar dari belakang pemandu kereta terbabit yang dipercayai memandu laju ketika kejadian. 

“Bagaimanapun pemandu kereta itu tidak memberhentikan kenderaan malah terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. 

Menurutnya, mangsa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat agar tampil membuat laporan polis. 

“Kami sedang memburu pemandu kereta berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes ini. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan raya 1987,” katanya. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal yang menentang arus maut apabila bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kepong.: 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa Rahmat Samat, 24, gagal mengawal serta mengelak motosikalnya lalu merempuh kereta terbabit. 

Mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Polis Melaka cari tiga suspek kes seksual



BUKIT BERUANG - Polis Melaka sedang mengesan tiga suspek bagi membantu siasatan berhubung kes seksual dan luar tabie sepanjang 2008 hingga 2009.

Mereka adalah Muhammad Shahrol Azwan Hislam, 20, Tengku Shaiful Nizam Tengku Abdul Jalal, 30, dan Andi Samsor, 23.

Alamat terakhir Muhamad Shahrol Azwan adalah G-G-2 Blok Rumah Pangsa Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka.

Manakala Tengku Shaiful Nizam beralamat di 104 Jalan Melaka Baru 2/3, Taman Merdeka baru Fasa 3, Batu Berendam, Melaka; dan Andi di alamat H-2-04 Jalan Balaut Taman Rindting, Masai, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis mencari ketiga-tiga suspek berdasarkan alamat terakhir, namun tidak ditemui.

“Polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menahan suspek berkenaan yang kini dipercayai tiada di Melaka.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh tampil dan berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Norehan Omar, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) atau mengubungi terus beliau di talian 019-2603159,” katanya pada sidang media di IPK negeri, di sini, semalam.

Tiga lelaki kekal sabitan hukuman mati




PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan. 

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara. 

Panel itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff. 

Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek gagal dalam usaha terakhirnya mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan 4 Jun lalu yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami. 

Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan. 

Abdul Razak, 58, disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya, di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar, 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu. 

Dalam kes kedua, korum sama mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd Anuar Mat Ripin, 26, kerana membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara jam 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002. 

Hakim Alauddin memutuskan rayuan tidak mempunyai merit. 

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lalu.

Penganggur dijel 10 tahun 2 sebatan kerana merompak



KLANG – Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengaku salah merompak harta berjumlah RM14,300, tiga tahun lalu. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Slamat Yahya memerintahkan hukuman itu dijalankan berkuat kuasa pada tarikh Suyentho ditangkap 20 Mac 2008. 

Suyentho, 35, warga Indonesia didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua yang masih bebas 19 Disember 2007, kira-kira jam 2.45 pagi di sebuah rumah No 234, Lot 3301, BT 29 Kampung Jenderam Hulu Dengkil, Selangor. 

Dia melakukan rompakan harta milik seorang pesara Kamar@Kamaruddin Muhammad, 66, dengan mengambil seutas jam tangan, dua komputer riba Acer, empat telefon bimbit Nokia, telefon bimbit Sony Ericsson, barang kemas, wang tunai RM1,000 dan dua pedang hiasan yang berjumlah RM14,300.

Kerajaan arah polis siasat kes buang bayi



KUALA LUMPUR - Kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataannya hari ini berkata, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementerian itu pada mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi masih berleluasa walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes itu sebagai kes percubaan membunuh dan kes bunuh.

"Kerajaan tiada pilihan lain berhubung perkara ini memandangkan kes-kes pembuangan bayi sesungguhnya adalah kes pembunuhan bayi," kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, sebagai tindakan susulan, pihak PDRM telah diminta untuk menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti ibu dan bapa kepada bayi yang tidak berdosa itu.

Katanya, langkah itu wajar bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan kejam bayi ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sehingga hari ini, terdapat 60 kes pembuangan bayi dilaporkan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Khas Perbendaharaan berjumlah RM2,657,010 kepada 59 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini hari ini, berkata, bukan sahaja wanita yang terlibat dengan kes pembuangan bayi akan dikenakan siasatan ini tetapi juga lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung. 

"Kita sekian lama mengambil pedekatan kebajikan, tetapi saya melihat bahawa walaupun kita ada kempen atau macam-macam program tetapi masih ada pasangan yang sanggup bunuh bayi mereka, saya nak kata, kerajaan tidak akan biarkan perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata, tidak ada alasan bagi mereka untuk membuang bayi kerana terdapat pelbagai cara telah diwujudkan untuk membantu dan menangani pasangan yang terdesak yang berada di dalam keadaan yang ingin membuang bayi.

Antaranya mereka boleh pergi ke pejabat-pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, polis dan sebagainya yang terdapat di seluruh negara.

"Sebab itu selepas ini tiada maaf bagimu ada sahaja kes selepas ini akan diklasifikasikan di bawah kes bunuh," katanya.

Tiada pelatih, petugas kem PLKN Junaco Park dijangkiti virus kencing tikus



KUCHING - Tiada pelatih atau pekerja di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Junaco Park di Sibu dijangkiti virus kencing tikus (leptospirosis) setakat ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. 

"JLKN akan sentiasa mengambil langkah pencegahan dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menentukan kualiti air di kolam-kolam PLKN selamat digunakan pada setiap masa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebagai langkah tambahan, Abdul Hadi berkata, atas nasihat Jabatan Kesihatan Sibu, semua aktiviti latihan air di kolam akan dihentikan dan lebih 100,000 anak ikan akan dilepaskan ke kolam tersebut bagi mempercepatkan proses pemulihan kolam.

Beliau berkata, JLKN akan mengenal pasti punca sumber air bagi mengelakkan sebarang pencemaran semula dan memindahkan segala punca yang berkemungkinan menyumbang kepada pembiakan bakteria tersebut, termasuk dua ekor kuda, jauh dari sekitar kolam sebagai langkah berjaga-jaga.

"Memandangkan kem PLKN Junaco Park mempunyai banyak kolam, JLKN telah mengambil langkah alternatif dengan melaksanakan latihan air di kolam lain yang tidak dicemari oleh bakteria tersebut dengan khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Sibu," katanya.

Ajal sebelum Ramadan




BAGAN DATOH - “Adik, mak tak boleh angkat, adik mengucaplah.”Hanya itu kata-kata yang mampu dilafazkan seorang ibu apabila melihat anaknya nazak di hadapan matanya selepas dihempap traktor yang terbalik di Rizab Parit 6, Kampung Sungai Pergam, di sini, kelmarin. 

Tawiyah Zurmuti, 59, yang menceritakan saat-saat terakhir bersama anak bongsunya, Mohd Hafizin Basiran, 20, berkata, kejadian yang berlaku begitu menyayat hati. 

Dia tidak mampu berbuat apa-apa setelah traktor yang dipandu arwah secara tiba-tiba terbalik disebabkan keadaan tebing jalan yang lembut. 

Menurutnya, arwah pada mulanya cuba membawa traktor yang tersangkut dek kerana bebanan kelapa sawit tetapi percubaan yang dilakukan itu menyebabkan kenderaan itu terbalik dan terus menghempapnya. 

“Arwah masa itu cuba keluarkan diri tetapi gagal kerana tersepit di bawah traktor dan saya lihat dia menangis sekuat hati. 

“Saya ajarkan dia mengucap dan saya azan sekuat hati serta bersyahadah selepas melihat mukanya berubah menjadi pucat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 7, Kampung Sungai Pergam, di sini, semalam. 

Kata Tawiyah, selepas melihat arwah semakin pucat, dia terus mendapatkan bantuan daripada jiran yang berhampiran dengan ladang sawitnya. 

Menurutnya, arwah memang seorang yang rajin dan dia bersama suami sering membantunya memungut buah kelapa sawit termasuk pada hari kejadian. 

Menurutnya, pada kebiasaan arwah akan pergi dahulu bersama suaminya dan dia sendiri akan datang lewat sedikit selepas menguruskan kerja-kerja rumah. 

Sebelum kejadian Tawiyah ada terkenangkan arwah tentang puasa dan mahu bersahur bersama-sama tetapi rupanya hajat mereka sekeluarga tidak kesampaian. 

Bapa mangsa, Basiran Mat Tamin, 70, berkata, pemergian arwah begitu dirasai memandangkan mereka tinggal bertiga di rumah dan apabila sakit, arwah akan menghantarnya ke klinik atau hospital. 

Menurutnya, sebelum kejadian itu arwah pernah memberitahu mereka untuk membina rumah kecil dan menyangka ia gurauan atau memang arwah mahu membinanya di dalam ladang tetapi rupanya ia adalah petanda pemergiannya. 

“Arwah anak yang sangat baik dan dia telah curahkan kasih sayangnya kepada kami tetapi Tuhan telah tentukan sampai di sini sahaja kami dapat merasainya. 

“Ramadan kali ini begitu sunyi buat kami yang sudah biasa dengan telatah dan senyum tawanya apabila berada di rumah,” katanya. 

Sementara itu, rakan yang membantu mengeluarkan mangsa, Yusfarizal Mohd Yusof, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel yang tidak jauh daripada tempat kejadian dan terdengar jeritan ibu mangsa meminta tolong. 

Menurutnya, selepas dimaklumkan kejadian berkenaan, dia terus bergegas membawa kayu untuk membantu mangsa yang tersepit. 

Katanya, sampai di tempat kejadian, mangsa sudah tidak bernyawa dengan keadaan muka dan badannya kebiruan serta mulutnya mengeluarkan buih. 

Kata Yusfarizal, dengan bantuan seorang lagi rakan yang juga pakciknya, Samrin Siun, 38, mangsa berjaya dikeluarkan selepas traktor dituil menggunakan kayu yang dibawa tadi. 

“Sebelum meninggal saya nampak arwah menaiki traktor mengelilingi kampung sebanyak dua kali dan hanya tersenyum sahaja,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu. 

Beliau berkata, kejadian berlaku jam 1.35 petang ketika mangsa dari arah Perak River menuju ke Sungai Pergam. 

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terhimpit traktor yang dipandunya dan siasatan polis mendapati tiada kaitan unsur jenayah. 

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian abdomen.

Dikelar dalam rumah



GEORGETOWN- Seorang budak lelaki berusia 13 tahun dijumpai mati berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam bilik utama rumahnya di Relau dekat sini, antara jam 7 hingga 10 pagi, semalam. 

R Surendran, 13, mati dengan kesan kelar pada leher kiri dipercayai diserang menggunakan senjata tajam dan polis mengesahkan ia kes bunuh, bukan bermotifkan rompakan atau samun. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Superintendan Mat Nasir Hussein berkata, polis menolak kes itu sebagai rompakan atau samun kerana tiada kesan umpil atau pecah pada mana-mana pintu atau tingkap rumah mangsa. 

“Siasatan awal mendapati, penyerang mungkin dikenali mangsa kerana tiada kesan umpilan atau pecah masuk ke rumah mangsa,” katanya. 

Menurutnya, seorang jiran datang ke rumah mangsa pada jam 10 pagi dan ketika itu pintu rumah mangsa terbuka. Selepas beberapa kali memanggil mangsa, jirannya menutup semula pintu rumah kerana menyangka mangsa sedang tidur. 

“Selain itu, hanya terdapat sedikit kesan pergelutan di dalam bilik utama di mana mangsa dijumpai dan tiada kesan rompakan kerana tiada barang berharga yang hilang. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya kepada media, semalam. 

Mat Nasir berkata, mangsa dijumpai bapanya, K Ramesh pada jam 1.30 petang ketika beliau pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Ketika ditemui mangsa sudah tidak bernyawa. 

“Senjata yang digunakan masih belum dijumpai, bagaimanapun, motif kejadian masih disiasat,” katanya. 

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh berkata, mangsa sudah meninggal dunia kira-kira lima jam sebelum ia dijumpai. 

“Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat dikelar di leher sebelah kirinya dan tiada kecederaan lain dijumpai pada mayat mangsa. Bagaimanapun ia akan diketahui apabila bedah siasat selesai dijalankan,” katanya. 

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat yang dilakukan pada jam 5 petang, semalam.

Rokok Tanjong Karang dirampas



KUALA SELANGOR - Polis menangkap empat orang warga tempatan ketika membuat serbuan ke atas empat premis menjual barangan runcit di sekitar Tanjong Karang. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintanden Mohd Taib Ahmad berkata, mereka disyaki menjual dan membekalkan rokok keretek seludup serta pelbagai jenis rokok secara haram kepada orang ramai di kawasan tersebut. 

Menurutnya, di atas maklumat orang ramai serta risikan yang dijalankan 10 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor membuat serbuan di empat kedai iaitu kedai runcit sekitar kawasan Tanjong Karang. 

“Ini kerana, mereka disyaki melakukan kesalahan menyimpan serta menjual pelbagai jenama rokok yang tidak membayar cukai import dan cukai jualan. 

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis menangkap tiga lelaki dan seorang perempuan iaitu pemilik kedai tersebut dan juga merampas rokok berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhannya RM42,000 dan sebanyak 142 karton dan 315 bungkus rokok pelbagai jenama dirampas. 

“Antara jenis rokok iaitu Gudang Garam Suriya, Nusantara Merah, Texas 5 Merah, Nusantara Hijau, Luffman 4 karton dan Romantic gold Virgina. 

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan mengedar pelbagai jenis rokok haram di sekitar kawasan Tanjong Karang,” katanya. 

Mohd Taib berkata, ini adalah serbuan dan rampasan kali pertama pada tahun ini ke atas mereka yang menjual rokok tidak sah. 

“Saya tegaskan mereka yang terlibat dalam aktiviti mengedar atau jual rokok yang tidak sah, supaya hentikan perbuatan itu. 

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.

Maut kereta bertembung lori




BENTONG – Seorang maut dan seorang lagi cedera dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 40 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Noor berkata, mangsa, Lee Chong Huan, 22 beralamat di Kampung Tras Raub bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Raub menuju ke Kuala Lumpur. 

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian yang agak berbukit mangsa yang memandu kereta Wira dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga terlanggar sebuah lori tangki membawa muatan asid yang berada di hadapan 

“Mangsa dikatakan tersepit di bahagian pemandu hingga menyebabkan bantuan anggota bomba dan penyelamat diperlukan untuk mengeluarkan mangsa. 

“Manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, mayat mangsa di bawa menaiki kenderaan polis untuk di bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa. 

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan yang berlaku namun bahagian belakang lori yang dipandunya hanya mengalami kerosakan kecil. 

“Susulan kejadian yang berlaku, pengguna lebuh raya diingatkan supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan terutama ketika hendak mendaki dan menuruni bukit. 

Dalam masa sama pastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Dua lelaki dicari bantu kes curi pasir

BALIK PULAU: Polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mencuri pasir di tapak projek Politeknik Jalan Baru, di sini, pada 15 Julai lalu.
Lelaki terbabit dikenali Zamri Saad, 42, beralamat terakhir, 134-A Mukim Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau dan Goh Leng Choon, 53, beralamat 453, Blok H, Mk 12, Jalan Batu Maung, Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Boby Tamat di talian 04-8662222 atau 013-5551088.

“Lelaki ini dikehendaki bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara,” katanya.

Kes dera, buli di sekolah Filipina meningkat

MANILA: Kegiatan mendera dan gangguan seksual semakin menular di sekolah bantuan kerajaan di Filipina apabila makin ramai pelajar dibuli, lapor satu kaji selidik kerajaan, semalam.
Menurut Majlis Kebajikan Kanak-Kanak, tindakan guru di sekolah yang memukul, menampar, mencubit, mengherdik dan memekik kepada murid bukan saja tidak mendisiplinkan mereka, malah memupuk sikap negatif dalam diri mereka.
“Kanak-kanak dididik dengan sikap ganas daripada rakan dan kakitangan sekolah,” lapor kenyataan majlis itu yang juga agensi kebajikan sosial kementerian. “Apabila usia kanak-kanak semakin meningkat sikap ganas dalam diri semakin meningkat seiring dengan insiden penderaan,” lapor kenyataan itu lagi.

Kaji selidik dilakukan di tiga bandar besar dan enam wilayah luar bandar di Filipina itu mendapati empat daripada 10 kanak-kanak negara itu mengalami pengalaman keganasan dalam tiga tahun pertama di sekolah. - AFP

Ariel Tarawih dengan Bakar

JAKARTA: Disebabkan permohonan supaya penahanannya ditangguhkan, Ariel Peterpan terpaksa menjalani puasa dalam lokap polis.
Apabila mengerjakan solat Tarawih, dia bersama tahanan lain akan menjadi makmum kepada ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir, yang turut ditempatkan di situ.
Kenyataan itu disahkan peguam Abu Bakar, Mahendradatta, kepada laman sesawang berita tempatan, semalam.

Katanya, jika kekasih Luna Maya yang dikaitkan dengan adegan seks luar nikah itu mengerjakan solat, dia pasti berimamkan Abu Bakar.

“Jika solat, pasti Abu Bakar melakukannya secara berjemaah dan pasti juga Ariel menyertainya.

“Sukar diterima jika orang lain mengerjakan solat berjemaah dia memilih untuk tidak menyertai mereka,” katanya.

Masih ditahan dan menunggu masa untuk didakwa di mahkamah mengikut undang-undang antipornografi, Ariel berada dalam lokap polis hampir sebulan.

Sumber berkata, vokalis Peterpan yang popular dengan lagu Ada Apa Denganmu itu mengaku mahu kesnya segera dibicarakan.

Keinginan Ariel itu mungkin akan terkabul tidak lama lagi kerana pasukan penyiasat sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pendakwa 21 Julai lalu. - Agensi

Juara American Idol telan pil tidur berlebihan

LOS ANGELES: Juara American Idol 2004, Fantasia Barrino, menelan pil tidur dan aspirin berlebihan selepas mendapati dia terperangkap dalam cinta tiga segi dengan seorang lelaki beristeri, lapor laman sesawang TMZ, semalam.
Kini berstatus ibu tunggal, Fantasia, 26, kini dirawat di sebuah hospital di North Carolina dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pengurusnya berkata, penyanyi itu dijangka pulang tidak lama lagi.

Awal minggu ini, nama Fantasia dikaitkan dalam kertas perceraian difailkan isteri kekasihnya, Paula Cook.

Dalam dokumen sama, Paula juga percaya suaminya, Antwuan, mengadakan hubungan seks dengan penyanyi R&B itu dan aksi mereka dirakamkan.

“Fantasia amat terkejut dengan permohonan difailkan Paula serta tumpuan diberi media ke atasnya,” kata kenyataan itu. - Reuters

Keputusan hari ini

SHAH ALAM: Nasib pemandu yang dituduh membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari, 4, sama ada dibebaskan daripada pertuduhan atau dipanggil membela diri akan ditentukan Mahkamah Tinggi, hari ini.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan selesai mengemukakan hujah masing-masing, semalam. Mohd Fazli Azri Jamil, 28, dituduh membunuh kanak-kanak itu di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selain Idham, pendakwaan diwakili oleh dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom. Tertuduh pula diwakili oleh peguam bela, Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 7 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi termasuk teman wanita tertuduh yang juga ibu mangsa, Siti Nurhanim Aziz, 25.

Kes itu mendapat liputan meluas apabila kanak-kanak itu meninggal dunia dengan kesan luka dipercayai didera teman lelaki ibunya.

Terdahulu, Idham ketika berhujah berkata, keterangan mengikut keadaan membuktikan bahawa tertuduh menyebabkan kecederaan yang membawa kematian mangsa.

Siswa diperdaya kakak peraga pakaian dalam

KUALA TERENGGANU: Seorang siswi yang termakan pujukan ‘kakaknya’ yang dikenali melalui laman sembang untuk menghadiahkan coli sempena sambutan Lebaran tahun ini, kini dalam kebimbangan selepas gambarnya memperagakan pakaian dalam itu diugut untuk disebarkan.
Mangsa berusia 23 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana tidak menurut kehendak penyamar berkenaan yang turut meminta mangsa berbogel sekiranya gambarnya itu hendak dipadamkan.
Menurut sumber, mangsa diperdaya melalui laman sembang di Internet dengan seorang kenalan pada 8 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi.

“Seorang kenalan di laman sembang itu memperkenalkan mangsa kepada seseorang yang didakwa kakak mangsa.

“Mangsa berjaya diyakinkan kononnya bersembang di laman maya itu dengan kakak kandung sebelum dia menurut arahan penyamar itu agar mengaktifkan kamera webnya,” katanya.

Mangsa kemudian diminta menunjukkan pakaian dalam yang dipakainya kononnya untuk memudahkan tempahan saiz pakaian berkenaan untuk dihadiahkan kepadanya sempena Lebaran nanti.

“Mangsa bersetuju dan menurut kemahuan penyamar terbabit sebelum penyamar berkenaan mendedahkan identiti sebenar sebaik memperoleh gambar seksi mangsa,” katanya. Difahamkan, sebaik mengetahui diperdaya, mangsa meminta gambarnya dipadamkan, namun penyamar terbabit memberi syarat mangsa berbogel.

Aksi perompak kedai 24 jam

“Penjenayah turut meraba seluar pembantu kedai terbabit dan merampas telefon bimbit dan wang RM900 disimpan dalam poket seluar mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menyelongkar pula beg tangan milik pekerja wanita di belakang kaunter jualan sebelum mengambil wang tunai RM1,000 dan rantai tangan emas bernilai RM2,000.

“Penjenayah turut melibas pisau Rambo ke kepala pekerja lelaki berkenaan. Namun, mangsa sempat mengelak dan tetakan itu singgah di bahunya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah kemudian mengurung mangsa di bilik sebelum melarikan diri dari kedai berkenaan. Katanya, mangsa dapat membebaskan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Besi penutup longkang hilang

PETALING JAYA: Bahaya dan boleh mengancam keselamatan. Itulah reaksi yang diberikan ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, dekat sini, mengenai kehilangan besi penghadang yang menutup longkang di depan pintu pagar sekolah itu.
Tinjauan Harian Metro mendapati besi penghadang yang menutup longkang di tengah hilang dipercayai akibat dicuri mereka tidak bertanggungjawab dengan beberapa kayu dan bangku diletakkan di dalam longkang itu sebagai penanda kepada pengguna lain. Difahamkan, terdapat kira-kira 1,000 murid menuntut di sekolah berkenaan selain 60 murid istimewa seperti sindrom down dan hyper aktif berumur antara tujuh hingga 14 tahun yang ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah sama. Pengerusi Kelab Ibu Bapa Anak-anak Istimewa SK Taman Medan, Rozita Sayuti, berkata kehilangan besi penghadang itu mula berlaku sejak tiga bulan lalu dengan kerosakannya semakin serius setiap hari. Menurutnya, pada peringkat awal, hanya beberapa saja besi penghadang yang hilang, tetapi kerosakannya semakin serius bermula minggu ini. “Bayangkan daripada tiga besi penghadang yang ada, satu daripadanya dicuri sedikit demi sedikit menyebabkan saya bimbang kerosakan ini akan bertambah serius sekiranya tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata MBPJ akan menjalankan siasatan mengenai kehilangan besi penghadang yang menutup longkang itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah berkenaan.

Polis minta kerjasama orang ramai kesan ibu bayi

TAMPIN: Bayi malang ditemui di depan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, dekat sini, kelmarin masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana mempunyai masalah kesihatan.
Ketua Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, polis masih mengesan ibu bayi berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Buat masa ini, polis belum melakukan sebarang tangkapan berhubung penemuan bayi yang baru dilahirkan ini.

“Pada masa sama saya meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil,” katanya, semalam.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata pihaknya akan mendapatkan perintah daripada mahkamah bagi menempatkan bayi berkenaan di rumah perlindungan sebaik dibenarkan keluar daripada hospital. Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin, bayi dibungkus dengan kain batik itu ditemui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Dua, Mahmod L Udor.

Ketika ditemui, bayi itu masih bertali pusat dan dipercayai baru dilahirkan sebelum diletakkan di situ.

Mereka mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222.

Buang ikut tingkap tandas

MELAKA: “Saya ingatkan bunyi nada dering telefon bimbit kerana hanya dengar sekali saja bunyi tangisan bayi itu,” kata pengawal keselamatan kilang, Mohd Asri Shaari, 43, dari Cheng, dekat sini, yang menemui seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di Ayer Keroh, awal pagi semalam.
Menurutnya, seorang rakan sekerjanya mengesyaki sesuatu yang buruk mengenai tangisan bayi itu selepas dia melihat tangan orang menghulurkan sesuatu dari tingkap tandas di belakang pos pengawal dan menyuruhnya melakukan pemeriksaan.
Mohd Asri berkata, pada mulanya dia bersama dua rakannya yang hanya dikenali sebagai Nurismawati dan Faris berehat di luar pos kawalan di hadapan kilang dia bekerja.

Katanya, ketika itu mereka baru selesai bersahur sebelum terdengar tangisan bayi dari arah tandas berkenaan dan keadaan ketika itu agak sunyi kira-kira jam 5.15 pagi.

“Saya tidak syak apa-apa, tetapi Nurismawati berasa pelik dan menyuruh saya memeriksa perkara itu. Saya kemudian hendak masuk ke tandas tetapi mereka beritahu ada orang, lalu saya terus masuk semula ke pos pengawal.

“Ketika itu juga seorang pekerja lelaki meminta kebenaran keluar sekejap mengambil bekalan makanan di dalam raga motosikal di luar dan saya benarkan.

“Pada masa sama, Nurismawati nampak ada orang hulur barang dari tingkap tandas kepada seorang lelaki yang memasukkannya ke dalam tong sampah. Kemudian seorang perempuan keluar dari tandas dan terus masuk ke dalam kilang begitu juga pekerja lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia terus membuka tong sampah itu dan melihat ada beg kain warna hitam di dalamnya.

“Saya angkat beg itu yang berat dan bergerak-gerak menyebabkan hati cemas. Apabila beg dibuka saya lihat ada bayi di dalamnya yang masih bertali pusat serta kesejukan selain terdapat tuala kecil di lehernya. Saya segera mengangkat bayi itu sebelum Wati membalutnya dengan baju dan saya terus menghubungi polis,” katanya.

Katanya, sebelum polis tiba, muncul seorang wanita bersama teman lelakinya yang meminta kebenaran untuk balik, namun saya menghalangnya kerana mengesyaki bayi itu anaknya.

“Wanita itu beri alasan bapanya kemalangan dan hendak balik segera, namun saya halang. Saya tanya mengenai bayi itu, namun mereka menafikannya berkali-kali sebelum perempuan itu mengaku bayi itu anaknya. Mereka ditahan anggota polis yang tiba selepas itu,” katanya.

Peniaga hantar durian maut nahas

BENTONG: Seorang peniaga dalam perjalanan menghantar bekalan durian ke Kuala Lumpur, terbunuh selepas kereta Proton Wira dipandunya merempuh belakang lori tangki membawa muatan asid di Kilometer 40 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Lee Chong Huan, 22, dari Kampung Tras, dekat Raub mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta tubuh.
Sementara itu, rakan mangsa, Wong Mun Wing, 29, dari kampung sama, cedera ringan dan masih menerima rawatan di Hospital Bentong (HB).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Raub untuk menghantar dua bakul durian kepada peniaga.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, setiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta dipandunya lalu merempuh belakang lori tangki itu mengakibatkan dia bersama rakan tersepit.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong yang bergegas ke tempat kejadian mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa dan rakannya.

Direman 4 hari

MELAKA: Bayi perempuan yang ditemui seorang pengawal keselamatan dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi semalam, disahkan sihat serta ditempatkan di wad penjagaan rapi kanak-kanak di Hospital Melaka (HM).
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bayi malang masih bertali pusat yang dibungkus dengan kain itu ditemui dalam beg.
Mohd Adnan berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya berjaya menahan satu pasangan dipercayai mempunyai kaitan pembuangan bayi itu.

“Pasangan lelaki dan perempuan berusia 18 tahun itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang bayi. Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Pasangan terbabit rakyat tempatan bekerja di kilang terbabit, namun bukan berasal dari negeri ini,” katanya.

Leher hampir putus

GEORGETOWN: Hasrat seorang bapa yang pulang ke rumah untuk membawa anaknya ke sekolah tidak kesampaian apabila melihat tubuh anaknya berlumuran darah dalam biliknya di Blok 88C, Relau, di sini, semalam.
Dalam kejadian antara jam 7 hingga 10 pagi itu, mangsa, R Surendran, 13, ditemui mati dengan kesan kelar di leher sehingga hampir putus sebelum dibalut dengan kain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Pulau Pinang, Superintendan Mat Nasir Hussein berkata, ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah berikutan ibu, Dhanaketchumi, 30-an dan bapa, K Ramesh, 40-an keluar bekerja manakala kakak sulung mangsa ke sekolah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati jiran mangsa melihat pintu depan rumah mangsa terbuka sedikit sebelum bertindak memanggil mangsa, namun tidak dijawab menyebabkan jiran terbabit menutup pintu rumah semula kerana menyangkakan mangsa tidur.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, bapa mangsa pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari untuk membawa mangsa ke sekolah, namun terkejut melihat tubuh anaknya terbaring kaku dengan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, terkejut melihat keadaan anaknya, bapa mangsa terus menghubungi polis dan polis mengesyaki mangsa mati dibunuh.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada kesan rompakan di rumah mangsa dan percaya mangsa mengenali suspek berikutan pintu rumah dibuka sendiri, malah tiada kesan pecah masuk ditemui.

Katanya, polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek berikutan keadaan bilik berselerak sebelum mangsa dibunuh dengan senjata, namun polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan motif sebenar kejadian juga belum diketahui.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh berkata, terdapat satu kesan kelar di leher mangsa dan kejadian dipercayai berlaku antara lima hingga enam jam lalu.

Nama diperalat beli kenderaan

PUCHONG: Seorang wanita terkejut apabila namanya digunakan sebagai penjamin oleh sepasang suami isteri untuk membeli kereta tanpa kebenarannya dan pinjaman berkenaan pula diluluskan pihak bank.
Mangsa, Siti Darwisa Azis, 26, berkata, dia merasa ditipu apabila pihak bank baru-baru ini memaklumkan dirinya menjadi penjamin sedangkan tidak pernah bersetuju berbuat demikian. “Pada Rabu lalu, saya menerima surat dari bank mengatakan saya penjamin kepada kereta berkenaan. Saya hairan bagaimana pihak bank meluluskan pinjaman kereta berkenaan sedangkan saya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian sebagai penjamin,” katanya.
Difahamkan, dia yang ke pejabat bank berkenaan di Ampang untuk mendapatkan penjelasan terkejut dengan maklum balas diberikan.

“Pihak bank berkenaan seperti tidak mahu bertanggungjawab dalam soal ini, malah menyuruh saya membuat surat tunjuk sebab, mereka sepatutnya selidik terlebih dulu latar belakang peminjam, bukan terus luluskan saja. “Saya takut disenaraihitamkan pihak bank jika mereka (pemilik kenderaan) tidak mampu membayarnya. “Ramai rakan saya mengalami situasi begini, terpaksa menanggung beban hutang gara-gara pemilik kenderaan tidak mampu membayar duit bulanan,” katanya.

Siti Darwisa turut membuat laporan polis kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena antara pemilik kenderaan, jurujual kereta dan pihak bank berkenaan. “Saya percaya ketiga-tiga pihak terbabit bersubahat dan harap sangat pihak bank dapat buat sesuatu terhadap kes ini,” katanya ketika ditemui. Dia mendakwa dirinya turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan lucah daripada pemilik kenderaan berkenaan. “Saya mengenali pasangan suami isteri ini (pemilik kenderaan), mereka dahulunya rakan sekerja saya, tetapi selepas menceburi diri dalam bidang perniagaan, saya berhenti kerja. Saya terima SMS daripada mereka meminta menarik semula laporan polis yang dibuat,” katanya. Siti Darwisa berkata dia enggan berbuat demikian kerana merasakan haknya sudah dicabuli pihak berkenaan yang tidak bertanggungjawab.

Baju Apai terbakar'

KUALA LUMPUR: Seorang guru memberitahu Mahkamah Sesyen semalam, dia ada melihat baju Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim (Apai), 25, terbakar ketika membakar kayu untuk barbeku (BBQ) di rumahnya.
Mohd Hamzan Zainal Abidin, 24, berkata kejadian itu berlaku selepas dia memarahi Apai, adiknya, Raja Mohd Idzham, 23, (Dek Am), kerana lewat dua jam untuk mengadakan jamuan BBQ itu yang sepatutnya diadakan jam 10 malam. Menurutnya, dia masuk ke dalam rumah untuk mengambil satu bekas ayam dan sotong untuk dibakar.

“Bagaimanapun ketika keluar rumah, saya terdengar pekikan meminta tolong dari luar rumah menyebabkan bekas ayam serta sotong dibawa itu terjatuh kerana saya terkejut.

“Saya melihat keadaan di luar menjadi kelam-kabut dan ketika itu saya nampak baju Apai terbakar manakala tangan Dek Am pula cedera kerana cuba membantu abangnya.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat api yang menyambar Apai kerana berada di dalam rumah,” katanya ketika menjawab pemeriksaan balas daripada Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi.

Dia kemudian meminta Apai ke Klinik Izham bersama seorang rakan yang dikenali dengan nama Joe bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Hamzan berkata demikian ketika menjadi saksi pembelaan ketiga bagi kes membabitkan dua beradik itu serta beberapa orang lain yang masih bebas atas tuduhan melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle Church AG di No28, Jalan 4/4C. Desa Melawati, pada jam 11.50 malam, 7 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Hamzan turut mengaku di mahkamah dia tidak memberitahu polis ketika memberi keterangan berkaitan jamuan BBQ diadakan sempena bertukar ke sekolah baru.

Apabila ditanya peguam bela Nurul Aimi Aziz alasan berbuat demikian, dia berkata Inspektor Mohd Hanis Abdul Wahab tidak bertanyakan hal itu.

“Dalam masa sama, saya lihat dia hanya bertanyakan soalan berpandukan nota padanya,” katanya.

Hamzan turut tidak bersetuju dengan cadangan Azlina bahawa dia hanya mereka cerita jamuan BBQ untuk membantu kedua-dua tertuduh.

Hakim S M Komathy Suppiah menetapkan hujahan diadakan esok.

'Saya hanya pencuri biasa-biasa saja'

KUALA LUMPUR: Terlalu ‘cerdik’ hingga memakan diri. Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki warga Pakistan yang dipenjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Bashir Ahmad, 23, selepas mengaku salah mencuri kereta Nul Linda Tan Kim Siew, 49, bernilai RM40,000 di tempat letak kereta masjid Abdul Rahman Bin Auf, Batu 6 1/2, Jalan Puchong, Brickfields dekat sini, antara jam 5.45 hingga 6.45 pagi, pada 28 Julai lalu. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan kedua iaitu menetap di negara ini melebihi tempoh dan dihukum penjara empat bulan. Bagaimanapun, hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Bashir mencuri kereta itu ketika suami pemilik kereta, Muhamad Faizal Lee sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid. Tertuduh memberi nota mengandungi nombor telefon kepada pemilik kereta itu di masjid yang sama sehari selepas mencuri kereta berkenaan semata-mata untuk meminta wang daripada mangsa sekiranya mahukan keretanya semula.
Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertuduh dan tertuduh sempat menghantar pesanan khidmat multimedia (MMS) bagi membuktikan memang dia yang mencuri kereta berkenaan. Tertuduh kemudian meminta RM500 daripada mangsa. Terdahulu dalam rayuannya tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepadanya.

“Saya bukan profesional. Saya hanya pencuri biasa-biasa saja,” katanya dalam bahasa Melayu yang kurang fasih. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Dr Ghanti Nathan.

Murid tabika mati digilis

IPOH: Seorang budak perempuan berusia enam tahun yang dalam perjalanan ke taman tabika terbunuh apabila digilis sebuah kereta sebaik tercampak atas jalan selepas basikal dinaiki bersama ibunya dirempuh, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Perpaduan Selatan, Bercham, mangsa yang belum dikenali identitinya maut akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan kecemasan di sebuah klinik di Tanjung Rambutan di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila basikal ditunggang ibu mangsa bergesel dengan kereta jenis Proton Wira dari arah Taman Malar menuju ke Jalan Perpaduan Selatan.

“Akibat geselan itu, mangsa bersama ibunya terjatuh di atas jalan sebelum kereta berkenaan merempuh dan menggilis mangsa menyebabkannya mengalami kecederaan serius di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Ibu mangsa, Khoo Lee Chwan, 33, dari Kampung Bercham dikatakan dalam perjalanan menghantar mangsa ke sebuah tabika berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai digilis tayar kereta terbabit dan cedera di beberapa bahagian badan akibat tercampak.

“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan di klinik berdekatan manakala ibunya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Dicabul buang santau

KUANTAN: Hasrat seorang tukang masak wanita mahu membuang santau melalui kaedah rawatan perubatan tradisional dengan seorang bomoh lelaki bertukar sejarah hitam apabila dicabul lelaki terbabit dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Inderapura di sini, pertengahan Julai lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun datang ke rumah bomoh lelaki terbabit selepas diperkenal rakan sekerja untuk mengadu mengalami sakit seluruh tubuh akibat disantau.
Difahamkan, ketika berada di rumah bomoh terbabit yang berusia 40-an itu, mangsa diarah masuk ke bilik untuk sesi rawatan dan diarah berbaring atas tilam.

Ketika rawatan, bomoh terbabit mencabul mangsa dengan mengusap tubuh sebelum meramas payu daranya selepas mengarahkan mangsa mendiamkan diri.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas menceritakan kejadian itu kepada rakannya.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Suspek kini direman di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 10 tahun penjara atau denda, atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Serbu pelacur jumpa mayat

KUALA LUMPUR: Operasi membanteras maksiat dan pelacuran dilancarkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur malam kelmarin dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita.
Mayat dipercayai warga asing dengan kesan jerutan pada lehernya itu ditemui ketika pemeriksaan ke atas sebuah pangsapuri di tingkat tujuh Plaza Pudu di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata mayat itu ditemui ketika serbuan di beberapa unit pangsapuri di plaza berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, ketika memeriksa pangsapuri di tingkat tujuh itu polis menemui dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pelacur di dalam sebuah bilik.

“Pemeriksaan lanjut mengesan satu bilik dalam keadaan terkunci dan selepas pemilik premis membuka bilik berkenaan, polis menemui mangsa tertiarap dalam keadaan separuh bogel.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mayat wanita berkenaan berusia 31 tahun, malah turut menemui kesan kecederaan pada lehernya dipercayai akibat dijerut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita yang belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia dalam 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Khairi berkata, polis menahan pemilik pangsapuri itu yang berusia 67 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, polis mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Khairi berkata dalam operasi itu polis menahan tiga lelaki dan tujuh wanita dipercayai pelacur.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tujuh wanita warga China yang ditahan itu dipercayai terbabit kegiatan tidak bermoral dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

'Ghaib' lepas beli kad prabayar

KUALA LUMPUR: Seorang bapa runsing apabila anak perempuannya yang hilang sejak dua bulan lalu masih gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukannya termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional.

RISAU...Abd Malek menunjukkan gambar anaknya, Nurul dan laporan polis yang dibuatnya.
RISAU...Abd Malek menunjukkan gambar anaknya, Nurul dan laporan polis yang dibuatnya.

Abd Malek Abd Aziz, 47, berkata anak kedua daripada tiga beradik itu gagal dikesan selepas keluar dari rumahnya pada jam 8.30 malam untuk membeli kad tambah nilai di kedai berdekatan rumahnya di Taman Medan di sini.

“Sebelum keluar, dia (Nurul) meminta RM6 daripada ibunya, Rokiah Arshad, 53, untuk membeli kad tambah nilai prabayar RM5, manakala baki digunakan bagi membeli air. Bagaimanapun, sehingga lewat malam kelibatnya masih tidak kelihatan.

“Saya dan isteri cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali, tetapi tidak dijawab. Kami cuba mencari di rumah sanak-saudara serta kawannya, namun hampa,” katanya.

Selepas pelbagai usaha mengesan mangsa gagal, dia membuat laporan polis.
Malah, selepas beberapa kali menghubungi telefon anaknya, panggilan itu dijawab seorang wanita tidak dikenali dengan loghat Indonesia serta mendakwa berada di Tawau, Sabah.

“Saya berjumpa beberapa pengamal perubatan tradisional dalam usaha mengesannya dan dimaklumkan Nurul masih berada di Lembah Klang, namun dalam keadaan kebingungan.

Wanita dinodai sebelum dibunuh

SUNGAI PETANI: “Saya sangkakan bangkai babi hutan, tetapi rupa-rupanya mayat,” begitu kata seorang penoreh dikenali sebagai Shamugam, 50, yang menemui mayat wanita dalam keadaan separuh bogel di ladang getah di Kampung Rusa, Amanjaya, di sini, semalam.
Mayat wanita berusia 20-an dipercayai mangsa rogol dan bunuh itu ditemui kira-kira jam 10 pagi ketika Shamugam sedang menoreh di kawasan itu.
Difahamkan, mangsa dipercayai berketurunan Siam dan ditemui dalam keadaan tertiarap dengan terdapat kesan darah di bahagian muka dan kepalanya dipercayai dipukul.

Shamugam ketika ditemui berkata, sebelum penemuan mayat itu, dia sedang menoreh berhampiran kawasan semak di tempat kejadian sebelum ternampak satu objek mencurigakan yang pada mulanya disangkakan bangkai babi hutan berikutan haiwan itu sering berkeliaran di ladang getah berkenaan.

“Saya kemudian menghampiri objek itu sebelum terkejut apabila mendapati ia bukan bangkai babi, sebaliknya mayat manusia dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel,” katanya yang kemudian memanggil beberapa rakan sekerja sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan parah di muka dan kepala manakala baju dipakai hampir tertanggal dan seluar dalam pula terlurut hingga paras lutut. Bagaimanapun, seluar mangsa tidak ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa barang milik mangsa yang bertaburan di kawasan ladang tidak jauh dari tempat mayat ditemui, namun tidak menemui sebarang objek atau senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Pemandu teksi dituduh bunuh anak teman wanita diarah bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil membela diri berhubung pertuduhan membunuh Syafiah Humaira Sahari, tiga tahun, anak teman wanitanya, di sebuah padang bola sepak di Batang Kali pada Februari lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas mendapati pihak
pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Fazli, 28, yang
memilih untuk membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dari
kandang saksi mulai 16 Ogos ini.

Mohtarudin berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan empat saksi berumur antara 15 dan 19 tahun yang melihat kejadian itu dan mereka menunjukkan kefahaman dan kecerdikan semasa memberi keterangan dan semasa disoal balas oleh
peguambela tertuduh.

"Mahkamah tidak ada sebab untuk menolak keterangan mereka," katanya.

Kamera intip pejabat MB

SHAH ALAM: Sukar dipercayai apabila Pejabat Rasmi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terletak di tingkat 21 Bangunan SUK, di sini, dipercayai diceroboh masuk individu tidak bertanggungjawab sebelum memasang alat perakam video.
Abdul Khalid ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini semalam, berkata beliau menyedari perkara itu kira-kira jam 6 petang kelmarin selepas terdengar bunyi bateri lemah sebelum menemui alat terbabit.
“Saya syak alat ini digunakan untuk mengintip apa yang saya buat. Alat ini disorok belakang tabir. Bagaimanapun saya tak menyedarinya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas alat itu diteliti, semua yang berlaku dalam bilik termasuk ketika saya menemui tetamu, dirakam. “Sejurus menemui alat ini, saya menghubungi pengawal keselamatan bertanya sama ada mereka memasang alat itu atau sebaliknya.

“Namun, mereka tidak tahu perkara itu,” katanya yang belum membuat laporan polis.

Polis tahan 21 wanita warga asing disyaki pelacur

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima wanita Thailand dan 16 wanita China berumur antara 25 dan 30 tahun yang disyaki pelacur dalam serbuan berasingan "Ops Noda" di Bandar Puteri 5 dan Seri Kembangan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Abd Razak Elias berkata, dalam serbuan pertama pada kira-kira jam 5.30 petang ke atas sebuah premis makanan di Bandar Puteri 5, polis memberkas lima wanita Thailand dan enam wanita China.
"Kami percaya premis itu juga menawarkan khidmat seks, dan pemilik premis itu seorang lelaki Cina berumur 25 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah restoran di Seri Kembangan pada kira-kira 2 pagi ini pula selain 10 wanita China, 10 lelaki tempatan berumur sekitar 40-an yang disyaki pelanggan turut ditahan.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman seminggu bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959 kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit.-Bernama

Hanya pemandu bas dan van haram terbabit dengan kes rogol

PUTRAJAYA: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Semenanjung Malaysia menjelaskan setakat ini tiada pemegang lesen untuk perkhidmatan bas serta van sekolah, yang dikeluarkan agensi itu, terbabit dalam jenayah rogol.
Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia berdasarkan statistik LPKP dan yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya banyak kes dilaporkan adalah melibatkan pemandu-pemandu haram yang beroperasi tanpa sebarang lesen.
"Jadi pihak LPKP menasihatkan ibu bapa untuk memastikan perkhidmatan bas serta van sekolah yang digunakan bagi menghantar anak masing-masing adalah perkhidmatan yang diberikan lesen sah oleh LPKP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian pada Julai lalu apabila seorang murid perempuan berusia 10 tahun dirogol oleh pemandu van sekolah berdekatan sebuah tadika di Jalan Othman, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan pemandu berkenaan juga dipercayai terbabit dengan dua lagi kes rogol di daerah itu.

Halimah berkata, ekoran itu satu perbincangan akan diadakan antara LPKP dengan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan, wakil Kementerian Pelajaran, Persatuan Bas Sekolah dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Rabu depan untuk membincangkan isu perkhidmatan bas sekolah.

Beliau berkata, turut akan dibincangkan ialah saranan Kementerian Pelajaran dan KPWKM bagi mewujudkan pemandu bas kedua atau konduktor bas yang terdiri dari wanita.

"Perbincangan akan menjurus kepada faktor kewajaran mewujudkan konduktor bas sekolah kerana ia bakal membabitkan soal kos, yuran bulanan pertambahan kakitangan dan lain-lain," katanya.

Sehingga kini, sejumlah 14,757 permit untuk perkhidmatan bas sekolah telah dikeluarkan LPKP.

Mesyuarat juga, katanya, akan membincangkan soal pemandu teksi dan bas warga asing terutama terutmanya sekitar Lembah Klang termasuk masalah pemegang lesen yang menggaji warga asing tidak mempunyai taraf penduduk tetap dan tidak mempunyai kad Kenderaan Khidmat Awam (PSV) dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata setakat ini 16 permohonan sudah diterima LPKP bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas ekspres memohon perkhidmatan tambahan menjelang Aidilfitri.

"Permohonan dibuka mulai 9 hingga 27 Ogos dan perkhidmatan bas tambahan akan bermula pada 3 Ogos hingga sehingga 19 September," katanya.

Tonik petaka

KUCHING: Pengguna terutama umat Islam yang kini menjalani ibadat puasa Ramadan dinasihat tidak terpengaruh dan mengundang petaka dengan meneguk ‘tonik puasa’ yang didakwa mampu membuatkan seseorang tahan lapar dan kekal bertenaga sepanjang hari.


BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya.
BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya

Tonik didakwa dihasilkan menggunakan bahan campuran pati air ikan haruan dan ginseng serta madu lebah itu kini dijual secara berleluasa oleh beberapa peniaga di lokasi di sekitar bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.

Didatangkan dalam botol 100 mililiter, tonik berkenaan dipercayai dihasilkan di negara jiran dan diseludup masuk untuk dijual di Sarawak pada harga RM10 sebotol.

Namun, timbul keraguan berhubung tahap keselamatan bahan berkenaan kerana tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan sama ada dari negara jiran atau Malaysia tertera pada label pembungkusan produk berkenaan.

Jurujual yang juga dipercayai warga negara jiran mendakwa tonik berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di tempat asalnya kerana berkesan menjadikan seseorang itu tahan lapar dan mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Tonik berkenaan dikatakan mampu memberi kesan sempurna hanya dengan minum dua cawan kecil sebelum berpuasa dan tidak perlu bimbang letih kerana ramuan pati ikan haruan boleh mengekalkan tenaga badan dengan tempoh daya tahan sehari tanpa perlu makan atau minum.
Bagaimanapun, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, tonik air ikan haruan terbabit antara ubat diharamkan jualannya sejak tahun lalu kerana didapati mengandungi bahan larangan.

Menurutnya, produk yang sering dijual penjual ubatan tradisional di kaki lima sekitar bandar raya ini mengandungi steroid berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang mengambilnya.
“Tonik ini tidak mendapat kelulusan Jabatan Kesihatan kerana mengandungi bahan tidak dibenarkan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Pengguna mengambil ubat berkenaan cenderung menghadapi pelbagai masalah kesihatan serta boleh membawa maut jika tidak dihentikan dengan segera,” katanya.

Menurutnya, penggunaan steroid dalam tonik berkenaan boleh menyebabkan seseorang pengguna itu menghadapi sembab, lemah otot, kegagalan fungsi buah pinggang, darah tinggi, gangguan haid, jerawat dan paling teruk boleh membawa maut.

“Orang ramai dinasihati jangan membeli tonik berkenaan kerana ia tidak dijamin keselamatan penggunaannya oleh pihak berkuasa negara ini serta boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.