Search This Blog

Wednesday, August 11, 2010

940 cerun berdepan risiko runtuh



Oleh Ramli Ibrahim

2010/08/11

LOJING: Kementerian Kerja Raya mendapati 940 atau 20 peratus daripada 4,700 cerun didaftarkan di semua jalan persekutuan seluruh negara, berdepan petanda kritikal, ter-masuk boleh runtuh dan perlu diselenggara secepat mungkin. 

Serentak itu, kementerian mengarahkan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) mendaftarkan segera baki 11,300 cerun lagi, bagi memudahkan analisis mengenalkan pasti tahap kritikal dialaminya sebelum terdedah kepada risiko kejadian runtuh.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata perkara itu dilihat sebagai keutamaan bagi menyelamatkan jalan terbabit dan mengelak lebih banyak kos ditanggung kerajaan jika lewat diselenggara.
Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku, kos pembaikan cerun yang runtuh akibat pelbagai kelemahan dialaminya termasuk struktur tanah, longkang dan perparitan tidak teratur akan menyebabkan kos meningkat 10 kali ganda. 

Maknanya, kita tidak boleh biarkan mana-mana cerun berkeadaan kritikal dan perlu mengambil langkah segera untuk kerja penyelenggaraan atau pembaikan supaya tidak menimbulkan masalah kepada pengguna. 

Kita akan teliti semua perkara ini untuk menjaga jalan raya negara ini daripada berdepan dengan risiko cerun runtuh katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan Jalan Gua Musang Lojing termasuk beberapa tempat berlaku keruntuhan cerun, di sini, semalam. 

Hadir sama Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim dan Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR, Prof Datuk Dr Ashaari Mohamad. 
Shaziman mengakui kejadian cerun runtuh yang banyak berlaku di Jalan Gua MusangLojing adalah disebabkan takungan air hujan yang banyak pada musim tengkujuh dan terdedah kepada risiko berkenaan. 

Katanya, kementerian juga mengkaji menggunakan pelbagai kaedah baru bagi pembinaan jalan kawasan berbukit tinggi bagi mengelak risiko cerun runtuh seperti yang kebanyakan berlaku sekarang ini. 

Kita mungkin akan cuba elak daripada membina jalan di tepi cerun, sebaliknya lebih baik membina terowong jika bukit itu tinggi atau membina jambatan yang dianggap lebih selamat walaupun peringkat awalnya kos tinggi sedikit.

Hukuman rotan pelajar diharamkan



DHAKA – Hukuman merotan pelajar diharamkan di Bangladesh selepas layanan ‘kejam’ guru terhadap anak muridnya semakin meningkat, semalam. 

Setiausaha Menteri Pelajaran, Syed Ataur Rahman berkata, hukuman dera boleh menjejaskan perkembangan pembelajaran pelajar. 

Menurutnya, guru sepatutnya membantu dalam perkembangan fizikal dan mental pelajar supaya mereka mampu menjana masa depan negara. 

Seramai lapan pelajar Bangladesh menerima rawatan di hospital selepas dirotan oleh pengetua sekolah kerana tidak membawa pensel warna ke sekolah pada Mac lalu.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan, lebih daripada 3,800 pelajar dihukum menggunakan rotan atau kayu pada Oktober lalu.

Suspek kes culik diburu




IPOH – Polis Perak, semalam mengeluarkan lakaran fotofit (gambar) seorang individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari kawasan perumahan Taman Jati 6, Taman Meru 3 C, Jelapang di sini, 4 Ogos lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ciri-ciri individu yang dikehendaki itu dikenal pasti sebagai lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dan berbadan gempal. 

“Lelaki itu juga mempunyai ketinggian lebih kurang 170 sentimeter dan dikatakan menaiki sebuah kereta Perodua MyVi berwarna hijau pada hari kejadian,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Perak, semalam. 

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim. 

Zulkifli berkata, lakaran wajah suspek diperolehi dari hasil siasatan yang dijalankan ke atas mangsa dan rakan-rakannya yang berada di tempat kejadian berkenaan. 

“Justeru, kita meminta kerjasama orang awam untuk membantu menjejak penjenayah terbabit bagi mengelakkan kes yang sama berulang ke atas kanak-kanak lain,” katanya. 

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa bersama adik lelakinya dan beberapa orang rakannya baru pulang mengaji al-Quran di Taman Meru di sini. 

Suspek dikatakan berpura-pura bertanyakan kepada mangsa arah untuk ke kedai yang menjual kad prabayar sebelum dibawa lari sejauh 30 kilometer dan ditemui di Gopeng kira-kira jam 9.45 malam. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki dalam fotofit yang disiarkan itu diminta menghubungi IPK Perak di talian 05-240 1999 dan mana-mana balai polis berhampiran atau menggunakan sistem pesanan khidmat ringkas (sms) Rakan Cop.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zulkifli berkata tiga lelaki berusia antara 22 hingga 26 tahun yang terbabit dalam kes penculikan dua adik beradik di Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, semalam. 

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Siti Haida Dzulkapli, 6, dan kakaknya, Nurul Fatin Farhana, 17 berada dalam kereta Honda Accord manakala bapa mereka, Mejar Dzulkafli Ahmad, 48, yang juga Penolong Pegawai Memerintah 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja di Kem Bukit Higate, Kuala Lumpur serta ibu mereka, Fauziah Saafie, 41, berada dalam kedai gambar di Jalan Datuk Sagor, Kuala Kangsar. 

Tiba-tiba, tiga suspek meluru ke dalam kereta itu dan melarikannya bersama dua beradik berkenaan sebelum meninggalkan mereka di satu kawasan sunyi di Liman Kati, kira-kira 20 kilometer dari tempat mereka dilarikan, satu setengah jam kemudian. 

Manakala bagi kes culik pada Ahad lalu membabitkan mangsa, Yim Mun Chun, berusia tiga tahun di Taman Sepakat Menglembu, Zulkifli berkata, suspek masih diburu dan kes masih dalam siasatan polis. 

“Di samping itu, kita juga masih menjejaki kereta Perodua MyVi berwarna kelabu milik ibu mangsa yang dibawa lari suspek. 

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke hadapan untuk membantu polis menjejaki suspek yang terbabit dalam kes penculikan itu,” katanya.

Kereta 'terbang' ke tebing sungai



JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut dipercayai lemas selepas kenderaan yang dipandunya terjunam kira-kira 15 meter dari jambatan merentasi Sungai Danga dekat sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Nian Chee Sin, 38, dikatakan memandu bersendirian dari pusat membeli-belah ke Nusajaya. 

Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Perodua MyVi yang dipandunya hilang kawalan dan dikatakan ‘terbang’ sejauh 10 meter merentasi sungai sebelum terbalik di di kawasan tebing. 

Mangsa dipercayai tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan miliknya. 

Pegawai Operasi Kanan II Bomba dan Penyelamat Larkin, C Kasevan berkata, mangsa ditemui maut dalam keadaan tersepit di bawah kenderaannya. 

“Kita yang mendapat maklumat terus bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa tersepit di bawah keretanya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah mati dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad, ketika dihubungi mengesah�kan kejadian.

Ramadan tercemar



JEMPOL – Kedatangan Ramadan tahun ini dicemari dengan perbuatan maksiat enam pasangan beragama Islam di enam rumah tumpangan berasingan sekitar Bahau, dekat sini, malam kelmarin. 

Lebih mengejutkan, salah seorang daripada 12 individu dicekup adalah remaja perempuan berumur 15 tahun. 

Semua suspek khalwat berumur 15 hingga 25 tahun itu diberkas dalam serbuan bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Daerah Jempol dan polis. 

Operasi bermula jam 11 malam kelmarin sehingga 4.30 pagi, semalam. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, enam pasangan terbabit ditahan ketika berada di dalam bilik rumah tumpangan. 

“Kami telah mengambil butiran diri semua suspek. Mereka diminta hadir ke Pejabat Agama Islam Jempol pada tarikh ditetapkan untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita.

Duit raya lebur



BANDAR BARU BANGI – Hasrat peniaga kasut tiruan jenama Crocs yang ingin mengaut keuntungan berlipat kali ganda sempena Syawal yang bakal tiba ternyata lebur apabila diserbu oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Kajang di dua lokasi berasingan, semalam.

Hasil serbuan, kira-kira 1,298 pasang kasut jenama Crocs tiruan yang bernilai RM40,560 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kajang dan Bangi.

Walaupun mereka pernah dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama namun ia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus beroperasi dan difahamkan sepasang kasut tiruan jenama Crocs pelbagai jenis dijual dengan harga yang lebih rendah sekitar RM20 hingga RM40 berbanding harga asal.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Negeri Selangor, Ahmad Md Isa berkata, serbuan dilakukan di dua lokasi yang berasingan iaitu di Kajang dan Bangi.

Menurutnya, kejayaan berkenaan adalah hasil usaha gigih pegawai penguat kuasa KPDNKK Cawangan Kajang dan hasil maklumat dari orang ramai.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan pemerhatian oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNKK Cawangan Kajang telah dilakukan berhampiran Stadium Kajang. 

Beliau berkata, KPDNKK seterusnya ke lokasi ke dua di sebuah gerai di Bangi yang terletak di hadapan kawasan makanan dan stesen minyak.

“Hasil pemeriksaan ke atas barangan yang dijual di gerai berkenaan, kita mendapati kasut jenama Crocs yang dijual adalah barangan tiruan dan merampas 828 pasang kasut dan beberapa barangan tiruan yang lain.

“Kesalahan ini merupakan kesalahan berulang yang dilakukan oleh kedua-dua pemilik gerai berkenaan,” katanya yang ditemui pada sidang media di lokasi berkenaan. 

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 31B Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika didapati kesalahan bagi individu boleh dikenakan hukuman denda RM100,000.00 atau tiga tahun penjara atau bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda sehingga RM200,000.00 

“Jika syarikat ini adalah milik Sendirian Berhad denda maksimum yang boleh dikenakan ialah RM250,000.00 atau RM50,000.00 bagi kesalahan kedua.

RM165,000 lesap




KUANTAN - Seorang pengusaha sebuah pasar raya besar di sini bersama seorang pekerjanya cedera dipukul empat lelaki sebelum wang tunai hasil kutipan perniagaan kira-kira RM165,000 lesap dilarikan suspek dalam satu kejadian samun di hadapan premis perniagaannya di Kampung Padang 2 dekat sini, tengah hari kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia dalam lingkungan 40an dan pekerjanya turut bergelut dengan penjenayah bagaimanapun usaha mereka menggagalkan cubaan samun itu tidak berhasil. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam pergelutan itu, suspek hanya sempat melarikan sebahagian daripada RM273,000 yang dibawa mangsa. 

Menurutnya, mangsa bersama seorang pekerjanya itu dipercayai membawa wang kutipan perniagaan selama tiga hari itu untuk disimpan dalam sebuah bank di Kuantan. 

“Bagaimanapun ketika berada di hadapan pasar rayanya, mereka didatangi empat lelaki menaiki sebuah kereta sebelum keluar dan meluru ke arah mangsa dan pekerjanya. 

“Suspek bertindak ganas apabila memukul kedua-dua mangsa dengan kayu sebelum merampas wang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam. 

Mohd Jasmani berkata, selepas mendapat habuannya, suspek segera melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Hukuman gantung terhadap 3 lelaki kekal



11/08/2010 5:19pm

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara.
Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff.
Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek gagal dalam usaha terakhirnya bagi mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 4 Jun lepas yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami.
Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan tersebut mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan.
Abdul Razak, 58, telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas.
Dalam kes kedua, korum yang sama turut mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap penganggur Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd. Anuar Mat Ripin, 26, kerana kesalahan membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002.
Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lepas. – Bernama

Objek menyerupai bom jangka ditemui



11/08/2010 5:25pm

KUALA LUMPUR – Satu objek menyerupai bom jangka yang turut disertakan dengan nota amaran berbunyi “you have one hour” ditemui di tempat meletak motosikal sebuah pasar raya di Serdang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supt. Abd. Razak Elias berkata, objek itu yang diletakkan dalam sebuah kotak kasut dan dibalut dengan surat khabar ditemui oleh pihak keselamatan pasar raya itu pada pukul 11 malam.
Beliau berkata, 10 anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor menggunakan robot khas untuk mengangkat kotak yang mengandungi objek itu ke kawasan lapang berhampiran untuk diperiksa.
Objek itu kemudian dimusnahkan, katanya ketika dihubungi.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Bernama

Empat pistol, peluru ditemui



11/08/2010 5:32pm

SHAH ALAM – Seorang pekerja yang sedang melakukan kerja pembersihan tali air menemui sebuah beg berisi tiga pucuk pistol dan 23 butir peluru pelbagai jenis di Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong di sini, Isnin lepas.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah berkata, dua pistol jenis Colt super automatik dan sepucuk pistol jenis Walther itu ditemui pada pukul 2.30 petang.
"Siasatan mendapati dua pistol Colt itu masih boleh berfungsi, manakala Walther tidak boleh digunakan. Ketiga-tiga pistol itu dipercayai diseludup dari negara jiran.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pemilik beg itu dan motif ia disimpan di kawasan tali air itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Omar berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan mengenai penemuan sepucuk pistol jenis Colt bersama empat butir peluru dalam sebuah kotak kayu yang tidak dituntut dalam gudang di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, tengah hari Isnin.
Beliau berkata, pistol dan peluru itu ditemui seorang kakitangan ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
"Siasatan awal mendapati pistol dan peluru itu dihantar dari Amerika Syarikat dan tidak dituntut antara tujuh dan lapan tahun lepas.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui siapa pemilik pistol berkenaan,” katanya. – Bernama

Operasi banteras pati balik raya



11/08/2010 6:47pm

JOHOR BAHRU – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua akan meningkatkan operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan balik ke kampung halaman masing-masing melalui jalan laut pada bulan Ramadan ini.
Komandernya, ACP Mohd. Khamsani Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata, PATI dari negara jiran Indonesia sudah mulai bergerak keluar negara bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.
Dalam ”Ops Octopus” awal hari ini, pihaknya telah menahan lapan warga Indonesia termasuk seorang tekong di perairan Tanjung Piai, dipercayai cuba keluar ke perairan negara tersebut.
"Bot yang mereka naiki dikesan pada lebih kurang 4 pagi dalam keadaan mencurigakan dan apabila dihampiri ia memecut untuk melarikan diri,” katanya.
Selepas dikejar bot peronda PGM selama 10 minit, bot tersebut berjaya dipintas dan didapati lima lelaki dan tiga wanita berada di dalamnya.
Kesemua mereka telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian. – Bernama

Orang Kelantan suka bergaduh?




AMIR HAMZAH (kiri) menyerahkan dokuman serah tugas kepada Mazlan sambil disaksikan oleh Abdul Rahim di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Penduduk Kelantan mungkin boleh dikatakan suka bergaduh sesama jiran dan ahli keluarga jika diukur pada jumlah laporan pergaduhan yang diterima polis sepanjang tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Amir Hamzah Ibrahim, jenayah keganasan melibatkan kes pergaduhan merupakan antara tertinggi dilaporkan di negeri ini.
Beliau berkata, sebanyak 59 kes pergaduhan diterima daripada 535 kes pelbagai jenayah keganasan yang dilaporkan kepada polis sejak Januari lalu hingga semalam.
Katanya, jumlah kes jenayah keganasan itu juga mencatatkan peningkatan berbanding 436 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Kedudukan jenayah keganasan di Kelantan sehingga semalam meningkat yang antara lain disebabkan berlaku pergaduhan gara-gara tidak berpuas hati atas perkara yang kecil dan remeh temeh.
“Antaranya sesama jiran bergaduh cuma disebabkan salah faham membuang sampah atau ranting pokok yang dipotong masuk ke halaman rumah sebelah malah ada juga pertelingkahan antara adik-beradik,” katanya pada majlis persaraannya sebagai Timbalan Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini semalam.

Halal dadah lumpuhkan kartel

MEXICO CITY: Bekas Presiden Mexico yang berfahaman konservatif, Vicente Fox, mencadangkan kerajaan menghalalkan aktiviti menghasil, menjual dan mengedar dadah, semalam, ketika negara itu terus dibelenggu masalah berkenaan.
“Apa yang perlu diizinkan adalah penghasilan, penjualan dan pengedaran dadah sebagai strategi melawan dan melumpuhkan struktur ekonomi kartel yang mengaut keuntungan amat lumayan,” katanya dalam blog peribadinya.
Dalam tulisan sama, Fox berkata, cukai tinggi perlu dikenakan bagi membolehkan wang berkenaan disalurkan untuk membantu penagih mendapatkan rawatan pemulihan dadah. - AFP

Pusat nuklear terancam

MOSCOW: Russia semalam bertungkus lumus menghalang kebakaran daripada menghampiri sebuah kawasan nuklear ketika kebimbangan terhadap kesan asap bertoksik di ruang angkasa Moscow semakin meningkat.
Dua anggota tentera terbunuh selepas ditimpa pokok yang terbakar ketika cuba memadamkam api berhampiran sebuah pusat penyelidikan utama nuklear di Sarov, bandar yang ditutup kepada warga asing sejak era Soviet.
Pada masa sama, petugas juga dikerah memadamkan kebakaran berhampiran sebuah loji memproses semula nuklear.

Selepas dua minggu kebakaran yang menyebabkan lebih 50 orang terbunuh dan memusnahkan sebahagian kawasan simpanan tentera, pihak berkuasa berkata, mereka mencapai kemajuan dalam memerangi kebakaran yang membabitkan kawasan seluas 174,035 hektar.

Ketua Unit Krisis Kementerian Darurat, Vladimir Stepanov berkata, jumlah petugas kecemasan ditingkatkan di kawasan itu.

Menurut kementerian berkanaan, sepanjang 24 jam lalu 247 kebakaran baru berlaku, lebih banyak berbanding 239 kebakaran yang berjaya dipadamkan sementara 557 kebakaran masih berlaku di wilayah terbabit.

Agensi berita Interfax melaporkan: “Sebatang pokok yang terbakar tumbang menimpa seorang anggota tentera. Dia mati ketika dibawa ke hospital.” Unit krisis tempatan kemudian mengesahkan, seorang lagi tentera mati, juga dihempap oleh pokok yang terbakar.

Dalam pada itu, asap tebal yang menyelubungi Moscow dari tempat kebakaran yang terletak kira-kira 100 kilometer, semakin berkurangan semalam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa meramalkan, asap tebal akan kembali melitupi ruang angkasa ibu negara Russia itu dan memberi amaran kualiti udara masih buruk.

Menurut laporan televisyen, asap sudah mula tiba di ruang angkasa bandar raya kedua terbesar Russia, Saint Petersburg.

Pegawai kanan Jabatan Kaji Cuaca Russia, Alexander Frolov berkata, cuaca panas luar biasa yang melanda negara itu ketika ini adalah yang paling buruk sejak 1,000 tahun lalu. - AFP

Kadar kematian harian di Moscow meningkat

MOSCOW: Kadar kematian harian di Moscow meningkat dua kali ganda sementara rumah mayat semakin sesak berikutan asap tebal yang menyesakkan pernafasan berikutan cuaca panas luar biasa paling buruk pernah melanda Russia.
Asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di kawasan kira-kira 100 kilometer melitupi ruang angkasa Moscow sejak beberapa hari lalu, menyerap ke dalam apartmen, pejabat dan juga kereta api.
Beribu-ribu penduduk dikatakan meninggalkan bandar berkenaan kerana alasan keselamatan.

“Biasanya, antara 360 hingga 380 orang mati di Moscow setiap hari.

“Tetapi kini, jumlah itu sekitar 700 orang,” kata Ketua Jabatan Kesihatan Moscow, Andrei Seltsovsky.

Dalam kenyataannya menerusi televisyen, beliau mengaku rumah mayat di sekitar bandar raya itu semakin sesak. - AFP

Kos tunai umrah dari Riyadh naik

RIYADH: Syarikat pelancongan tempatan meningkatkan kadar pakej umrah dari bandar raya ini sebanyak 50 peratus.
Harga itu dijangka terus naik sehingga 150 peratus menjelang 10 hari terakhir Ramadan.
Wakil Syarikat Ibn Al-Qayyim berkata, kadar sekarang untuk pakej selama tiga hari lawatan ke Makkah dan Madinah ialah SR150 (RM126) seorang, termasuk pengangkutan dan bilik hotel.

Wakil syarikat Anwar Sharafain bagi Haji dan Umrah, Farooq Ansari pula berkata, jumlah mereka yang ingin melakukan ibadah umrah meningkat sepanjang Ramadan.

Menurutnya, harga pakej umrah untuk lima hari dari Riyadh ke Makkah dan Madinah ialah SR180 (RM151).

Bagaimanapun, harga untuk sekeluarga diberikan diskaun antara 10 hingga 15 peratus.

Menurut Farooq, kenaikan harga pakej umrah bukan baru kerana ia berlaku setiap Ramadan.

Beberapa syarikat mengenakan kadar tambahan bagi penempatan berhampiran dengan Masjidil Haram. Namun, beberapa jemaah yang berpengalaman berkata, itu hanya taktik syarikat berkenaan mengaut keuntungan kerana tidak ada penempatan murah lagi berhampiran masjid itu sejak kerja meluaskan Masjidil Haram siap. - AP

Doktor ambil kesempatan raba pesakit

RIYADH: Seorang wanita berusia 43 tahun semalam mendakwa dicabul oleh doktor ketika dia dimasukkan hospital untuk mendapatkan rawatan sakit belakang.
“Perasaan malu itu menghantui saya walaupun dua bulan selepas kejadian,” kata wanita berkenaan.

Doktor warga Asia itu memeriksanya dan tanpa memberitahunya, menarik abayanya sambil memasukkan tangan ke dalam pakaiannya sebelum menanggalkan coli dan meraba buah dadanya, kata suri rumah itu. - Agensi

Israel sekat jemaah

RAMALLAH: Polis Israel semalam mengumumkan ia akan mengehadkan jemaah solat Jumaat di Masjid Al Aqsa sepanjang bulan puasa yang bermula esok.
Dalam kenyataannya, polis rejim Zionis itu berkata, ia mengambil keputusan untuk membenarkan lelaki berusia 50 tahun ke atas dan wanita berumur lebih 45 tahun untuk memasuki Baitulmaqdis tanpa permit khas.
Lelaki berusia antara 45 hingga 50 tahun pula perlu memiliki pas khas untuk memasuki bandar berkenaan.

Langkah itu bermakna lelaki berusia 45 tahun ke bawah tidak akan dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Penduduk Arab Palestin dalam wilayah Israel dan yang menetap di Baitulmaqdis Timur tidak disekat daripada mengunjungi masjid berkenaan, tempat intifadah rakyat Palestin bermula pada 2000.

Sejak itu, penduduk Palestin di Tebing Barat berdepan dengan masalah untuk memasuki Baitulmaqdis.

Kecuali dalam keadaan tertentu, penduduk Palestin di Semenajung Gaza dilarang sama sekali melawat bandar raya itu.

Tindakan Israel menyekat kemasukan ke Baitulmaqdis sejak beberapa tahun lalu sering menyebabkan pergaduhan meletus antara penduduk Tebing Barat dengan tentera Israel.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur ketika Perang 1967 dan sejak itu membina penempatan untuk lebih 200,000 Yahudi.

Pengarah Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis, Ziad Hammouri berkata, Israel berhasrat mengusir lebih 20,000 penduduk Palestin dari bandar berkenaan. - Agensi

Rianti ganti Luna?

JAKARTA: Syarikat pengeluar sabun Lux dilaporkan memilih heroin filem Ayat-ayat Cinta, Rianti Cartwright, bagi menggantikan Luna Maya sebagai bintang iklan mereka, lapor media semalam.
Walaupun mengaku belum dihubungi syarikat terbabit, Rianti berkata, dia berharap berita itu menjadi kenyataan segera.
Pengurus Rianti, Ade, berkata aktres dan pengacara itu memang berminat menjadi model terbaru sabun Lux selepas Luna Maya dibelenggu skandal seks bersama kekasihnya, Ariel Peterpan.

Tidak lama selepas skandal itu terbongkar, pengeluar sabun Lux menamatkan kontrak Luna Maya.

“Ya, Rianti sangat bersyukur dengan kemungkinan itu, tetapi hingga kini belum ada tawaran rasmi,” katanya.

Media Indonesia melaporkan, Rianti menganggap terpilih menjadi bintang iklan membawa makna besar dan membanggakan kepada dirinya.

Menurut aktres kelahiran Bandung berusia 27 tahun itu, bukan sembarangan selebriti berjaya menjadi pilihan syarikat besar untuk menjadi model mereka mempromosi produk masing-masing.

“Hanya bintang terpilih mampu menjadi bintang iklan.

“Justeru, selepas media bertanya kepada saya mengenainya, mudah-mudahan ia menjadi kenyataan segera,” katanya.

Sehingga kini, Luna Maya dan Ariel menunggu masa untuk didakwa di mahkamah kerana rakaman aksi seks mereka tersebar kepada umum.

Turut terbabit dalam skandal itu adalah seorang lagi selebriti, Cut Tari. - Agensi

Angin kencang di utara dijangka berterusan sehingga esok

KUALA LUMPUR: Angin kencang barat/barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Perlis, Langkawi, Kedah Utara dan Phuket (Thailand) dijangka berterusan sehingga esok.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
Aktiviti ribut petir di perairan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat; dan daerah Mukah, Bintulu dan Miri di Sarawak pula dijangka berterusan sehingga petang ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 meter, dan ia berbahaya kepada bot-bot kecil.-Bernama

Dakwa dinodai 40 lelaki

AMPANG: Kejam apabila seorang remaja berusia 19 tahun mendakwa diperlakukan seperti hamba seks selepas dirogol lebih 40 lelaki secara berasingan sejak Februari lalu di sebuah rumah setiap kali suaminya keluar bekerja.
Kejadian terakhir berlaku Rabu lalu membuatkan mangsa akhirnya menceritakan segala rahsia itu kepada suami sebelum dia dinasihatkan membuat laporan polis.
Menurut sumber polis, dalam kejadian terbaru itu mangsa diambil rakan suaminya yang datang ke rumah kira-kira jam 1 pagi dan mengugut supaya mengikutnya jika tidak mahu dicederakan.

Peguam didakwa tiga kes pecah amanah

KLANG: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah di ibu kota milik seorang wanita, akhir tahun lalu.
Tertuduh, N Surendren, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Yong Zarida Sazali.
Mengikut pertuduhan, Surendren dilantik ejen iaitu peguam kepada syarikat Decorsuria Holding Sdn Bhd berhubung penguasaan ke atas sebidang tanah beralamat GM1720, Lot 2364 Mukim Batu, Kuala Lumpur. Dia didakwa melakukan pecah dengan tidak melakukan urusan memasukkan kaveat dan pertukaran hak milik tanah itu daripada penama Lee Hing Wan kepada syarikat berkenaan. Bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan itu, 3 Disember 2002, 4 April 2003 dan 18 Mei 2004 di Tetuan Pathma Nalli & Partners, No 198 Jalan Sultan Abdul Sanad, Banting, dekat sini. Setiap pertuduhan, Surendren didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan alasan nilai harta terbabit lebih RM200,000.

Yong Zalida membenarkan ikat jamin RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 20 September tarikh sebutan semula kes.

Bung Mokhtar terlepas hukuman penjara kerana poligami

SHAH ALAM: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini berjaya mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada Mei lepas bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerima rayuannya.
Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhuddin Ibrahim bagaimanapun memerintahkan ahli politik dari Sabah itu membayar denda RM1,000, dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan penjara enam bulan.
Pada 19 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhi hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Izette A. Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pengawal keselamatan jumpa bayi dalam tong sampah

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Ayer Keroh di sini terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat yang diletakkan di dalam sebuah beg hitam di dalam tong sampah di hadapan kilang tempat dia bekerja awal pagi ini.
Bayi itu dikatakan dilahirkan seorang pekerja perempuan di dalam tandas sebelum dibuang ke dalam tong sampah itu dan dijumpai oleh pengawal terbabit kira-kira jam 5.15 pagi sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan

Pemandu traktor kelapa sawit maut dalam kemalangan

IPOH: Seorang pemandu traktor maut apabila kenderaan itu menghempapnya setelah terbabas ke dalam parit di kebun kelapa sawit Sungai Pergam, Bagan Datoh, 130 km dari sini semalam.
Mohamad Khafizin Basiran, 20, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata kejadian pada pukul 1.35 petang itu berlaku ketika Mohamad Khafizin dalam perjalanan menghantar kelapa sawit ke sebuah kilang berhampiran.

"Ketika tiba di satu kawasan menurun, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam parit berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat Mohamad Khafizin dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.-Bernama

Mayat wanita warga asing ditemui dengan kesan jerutan dil leher

KUALA LUMPUR: Polis menemui mayat seorang wanita warga asing dengan kesan jerutan di lehernya, di dalam bilik sebuah pangsapuri di tingkat tujuh Plaza Pudu di sini, ketika melancarkan Ops Dadu di plaza berkenaan tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mayat itu ditemui oleh anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, semasa pasukan itu membuat serbuan di beberapa unit pangsapuri di plaza berkenaan pada kira-kira jam 10.30 malam.
Katanya, ketika memeriksa sebuah pangsapuri di tingkat tujuh plaza itu, polis menemui dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pelacur di dalam salah sebuah bilik.

"Ada satu lagi bilik berkunci, dan selepas dibuka tuan rumah, polis menemui mayat seorang wanita berumur 31 tahun tertiarap di atas katil dalam keadaan separuh bogel, dengan kesan jerutan di lehernya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Menurutnya siasatan awal mendapati wanita yang masih belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Khairi berkata, polis kemudian menahan pemilik pangsapuri itu yang berusia 67 tahun, lelaki kedua yang dipercayai pelanggan yang berumur sekitar 40-an, dan dua wanita dipercayai pelacur dalam lingkungan umur sekitar 30-an, bagi membantu siasatan. Katanya, polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ops Dadu itu Khairi berkata polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai pelanggan dan tujuh orang wanita dipercayai pelacur dalam serbuan ke atas beberapa pangsapuri di tingkat lima, tujuh dan 10, di plaza berkenaan, dan operasi berakhir kira-kira jam 3 pagi. -Bernama

Remaja ditemui mati dipercayai dikelar

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui mati berlumuran darah dipercayai dikelar senjata tajam di rumahnya di Blok 88C, Relau, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Bekas petugas urusetia persatuan bekas polis didakwa terima suapan RM10,000

SHAH ALAM: Seorang bekas petugas urusetia Persatuan Bekas Polis Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat, dua tahun lalu.
S Tilagavathy, 41, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.
Beliau didakwa menerima suapan itu daripada M Tangaraja, pemilik syarikat JEI Enterprise Sdn Bhd sebagai dorongan untuk menguruskan pembaharuan lesen barang lusuh syarikat itu.

Tilagavathy didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran KFC Kajang, Jalan Semenyih, Hulu Langat dekat sini pada jam 5.10 petang, 12 Disember 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mat Ghani membenarkan Tilagavathy dibebaskan dengan jaminan RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 September ini untuk sebutan dan melantik peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ng Siew Wee. -Bernama

Penghubung bekalan ketamin Mumbai-Chennai-Malaysia tumpas

CHENNAI: Dalam operasi mencegah penyeludupan dadah merentas sempadan yang terancang, pihak berkuasa India menumpaskan kartel bekalan utama ketamin dari Mumbai ke Chennai, yang mempunyai hubungan penyeludupan yang biasa ke Malaysia.
Direktorat Risikan Hasil (DRI), sebuah agensi penyiasatan elit, merampas 1,100 kilogram ketamin -- bernilai jutaan ringgit di pasaran antarabangsa - dari beberapa gudang pengangkutan di dua bandar raya utama -- Mumbai dan Chennai, minggu lalu.
Pengarah DRI di Chennai, C Rajan, memberitahu Bernama bahawa para penyiasat jabatannya merampas 500 kg ketamin di bandar raya selatan, manakala rakan sejawatannya di Mumbai menahan 600 kg lagi.

Menurut laporan perisikan, sindiket India Selatan itu menggunakan "keldai dadah" yang terdiri daripada orang tempatan dan asing bagi menyeludup dadah itu dalam kuantiti kecil, kebanyakannya ke Malaysia dan Indonesia, di mana terdapat permintaan yang tinggi bagi "parti dadah".

"Ini adalah tindakan besar-besaran. Kesemua dadah ini milik kumpulan yang sama sudah pasti sampai ke Malaysia dalam kuantiti yang lebih kecil, katakana lima ke 10 kg. "Kami sudah lama menjejaki sindiket ini dan kesemua dadah itu ditemui dalam gudang. Suspek itu kini ditahan reman di Chennai tapi beliau tidak menunjukkan mana-mana orang hubungan di Malaysia," kata Rajan. Berdasarkan hasil maklumat risikan, mata-mata gelap DRI menangkap ketua kartel itu, SP Rajapandian di terminal domestik Chennai sebaik sahaja dia tiba dari Mumbai. Suspek berumur 33 tahun itu, seorang penduduk MR Nagar di Chennai, dipercayai aktif terbabit dalam penyeludupan dadah.

"Dalam kenyataannya dia mengaku atas kesalahan itu dengan menyatakan bahawa dia dan rakan kongsinya terbabit dalam penyeludupan ketamin menerusi beberapa lapangan terbang dalam negara dan tidak memiliki sebarang lesen sama ada bagi pemerolehan atau pengangkutan ketamin," kata Rajan. Ketamin mudah diperolehi di India tetapi sebarang tujuan eksport memerlukan kebenaran kerajaan.-Bernama

Mayat wanita separuh bogel ditemui di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemui di sebuah ladang getah berhampiran Taman Kelisa Ria di sini pagi tadi.
Mayat yang tidak dikenali itu hanya berbaju T, manakala seluar dalamnya terlondeh sehingga paras lutut dengan muka tersembam ke tanah dan tangan kirinya diikat dengan dawai, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali.
Mayat itu yang dipercayai berketurunan Melayu atau Siam berumur awal 20-an dijumpai oleh seorang penoreh getah kira-kira 10 pagi.

"Polis masih menyiasat punca kematian mangsa dan belum boleh memastikan sama ada mangsa dirogol, dibunuh di tempat lain atau di tempat mayatnya ditemui," kata Hashim.

S Shanmugam, 50, yang menemui mayat itu berkata badan mayat ditutup dengan daun semasa ditemui.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mengetahui tentang kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Teh Boon Keong di talian 012-3284837.-Bernama

Sultan murka

JOHOR BAHRU: Perasaan teruja untuk mendapat penghargaan daripada Sultan menyebabkan seorang lelaki mudah terpengaruh dengan cerita dongeng dua individu yang mendakwa boleh membantunya mencapai impian itu dengan membuat bayaran serendah RM5,000.
Tanpa teragak-agak untuk memenuhi impiannya itu, mangsa berusia 37 tahun membuat bayaran pendahuluan RM3,000 dan dijanjikan anugerah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II).
Perasaan gembira selepas menerima sijil diserahkan dua lelaki terbabit bagaimanapun tidak kekal lama apabila dia mendapati perakuan diterima sebenarnya palsu dan tidak sah untuk digunakan.

Akibat kesal dengan perkara itu, mangsa membuat satu laporan polis berikutan rasa tertipu dengan tindakan dua lelaki terbabit pada 5 Ogos lalu. Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, susulan laporan diterima daripada mangsa, polis menahan dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun di Seri Alam di sini, bagi membantu siasatan.

“Perkara ini juga sudah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim dan baginda amat murka dengan apa yang berlaku berikutan boleh menjejaskan nama baik institusi beraja dan pihak istana sendiri.

“Baginda bertitah, orang ramai diminta tidak terpedaya dengan individu tertentu mendakwa boleh membantu mendapatkan anugerah dengan bayaran tertentu kerana ia tidak benar,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Menurut Mohd Mokhtar, mengikut Perlembagaan Negeri, setiap pengurniaan bakal diberi kepada individu berkaitan adalah hak mutlak Sultan Ibrahim. dan pihak istana tidak pernah melantik mana-mana pihak atau orang tengah melakukannya.

Beliau turut memaklumkan polis sudah menyegerakan siasatan kes itu dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk tindakan lanjut. “Sebelum ini, polis pernah menerima dua laporan berhubung kes sama dan saya beri amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak terbabit dengan kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik Sultan.

“Jika ada melakukannya, polis tidak akan berkompromi dengan mereka,” katanya.

Berikutan itu, orang ramai yang ditawarkan dengan PIS II atau sebarang pingat yang meragukan dengan menjual nama Sultan diminta menghubungi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351 atau 07-2221415 dan talian hotline polis 07-2221999.

Pelabur skim 'kutu' bakal hilang RM72j

KUALA LUMPUR: Pelabur skim ‘kutu’ membabitkan pelaburan bernilai RM72 juta berkemungkinan berputih mata apabila tiga syarikat yang menawarkan skim itu kini disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana dipercayai melanggar Akta Larangan Wang Kutu 1971.
Ketiga-tiga syarikat berkenaan menawarkan skim itu kononnya bagi membantu orang ramai menjadi kaya, dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini SSM dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum mendakwa tiga syarikat itu.
“Sebelum ini, sebuah syarikat membabitkan tiga pengarah sudah diambil tindakan mahkamah apabila didapati menipu menggunakan modus operandi sama.

“Tiga pesalah yang bersekongkol itu menggunakan nama syarikat Grand Merger Network Resources And Services dengan mengenakan bayaran RM120 setiap pelabur sebelum mengutip RM22.4 juta,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat SSM di sini, semalam.

Penyebab tak siuman, diserang semput kronik

PETALING JAYA: Bahaya apabila produk pil kurus tubuh jenama Lami disahkan Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menyebabkan individu yang memakannya tidak siuman dan diserang penyakit semput kronik.
Jurucakap penguat kuasa farmasi yang ditemui berkata, produk jenama Lami yang diseludup masuk dari negara jiran pernah dirampas pihaknya sebelum ini berikutan dijual berleluasa tanpa kelulusan KKM.
Menurutnya, tindakan merampas produk terbabit dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan dan pemantauan terhadap penjualan produk dan ubat-ubatan tidak berdaftar di pasaran.

“Susulan rampasan dilakukan itu, pihak farmasi menjalankan ujian makmal sebelum pil kurus Lami itu disahkan dicampur dengan racun terkawal sibutramine. Berikutan itu penjualan pil kapsul itu diharamkan dan tindakan merampasnya dilakukan.

“Walaupun rampasan demi rampasan dilakukan namun kapsul Lami terbabit masih berlegar di pasaran dipercayai angkara pihak tertentu yang masih terus menyeludupnya ke dalam negara,” katanya.

Menurutnya, kimia beracun sibutramine yang menjadi ‘resipi sulit’ dalam kebanyakan ubat menguruskan badan didakwa tidak sekadar memberi kesan buruk pada kesihatan, malah lebih teruk turut menyebabkan mangsa gagal mengawal emosi dan tidak siuman.

Impi bersekolah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapanya ketika masih berusia tiga tahun mengimpikan untuk bersekolah seperti murid lain dan kini berada di bawah jagaan neneknya yang uzur.
Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Danial Zainal, 8, ditinggalkan ibu bapanya warga Indonesia yang datang ke negara ini pada tahun 90-an bekerja sebagai pelayan sebuah kedai makan di ibu kota pada 2005 sebelum mereka pulang ke Minangkabau, Indonesia dan gagal dikesan sehingga kini.
Nenek kanak-kanak berkenaan, Hulizar Bahman, 56, yang juga warga Indonesia berkata anak kandungnya, Erlinda dan menantunya meninggalkan Malaysia pada 2005 selepas permit mereka tidak disambung.

Beliau yang berketurunan Minangkabau berkata, sehingga kini pelbagai usaha sudah dibuat untuk mencari anak dan menantunya termasuk bertanyakan kepada orang kampungnya di Minangkabau, Indonesia, tetapi mereka memberitahu anaknya itu tidak pernah pulang ke kampung halaman sejak datang ke Malaysia.

Hulizar membuat laporan di Balai Polis Brickfields Isnin lalu, berharap cucunya dapat bersekolah kerana Danial lahir di Malaysia dan mempunyai surat beranak.

Bekas pengurus hadapi tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Bekas pengurus projek Hicom Engineering Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah hampir RM70,000 berhubung cadangan pembinaan bangunan baru untuk kegunaan syarikat itu, dua tahun lalu.
Tertuduh, Jafri Azizi Abdullah, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mat Ghani Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM25,000 daripada Pengurus Projek Syarikat Seribong Engeneering Sdn Bhd, Joehari Hashim menerusi akaun milik Muhammad Sidek Muhammad Yunus.

Dia didakwa menerima sogokan itu sebagai upah mencadang Syarikat Seribong berhubung cadangan reka bentuk dan bina bangunan baru untuk mesin, gudang dan pejabat Hicom Engineering Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa menerima rasuah masing-masing RM8,000, RM15,000 dan RM20,000, di tempat sama, masing-masing pada 1 April, 29 April dan 4 Ogos 2008.

Mahkamah menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Kena penjara tujuh tahun

SHAH ALAM: Seorang lelaki terpaksa meringkuk tujuh tahun dalam penjara serta menerima satu sebatan selepas mengaku bersalah terbabit dalam rompakan berkumpulan dekat pasaraya Mydin, di Batu Caves, Gombak, dekat sini, awal tahun lalu.
Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu terhadap Norshahrin Khalil, 26, dan memerintahkan hukuman itu berjalan dari tarikh tangkapan iaitu pada 29 Januari 2009.

Mengikut pertuduhan, Norshahrin didakwa terbabit dalam rompakan berkumpulan terhadap seorang kerani, Aslina Nordin.

Pusat urut kaki maksiat diserbu

KUALA LUMPUR: Dengan harga serendah RM39, pelanggan sebuah pusat spa dan urutan refleksologi di Jalan Kuchai Lama di sini, menawarkan dua khidmat iaitu urut badan dan seks.
Berikuta harga rendah, pusat itu menjadi tumpuan. Bagaimanapun, kegiatan di pusat itu lumpuh selepas diserbu kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Ketua Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata berdasarkan maklumat, untuk urutan kaki dan badan selama satu jam pada waktu siang pusat itu mengenakan bayaran RM39 manakala RM90 sejam untuk urutan sama pada waktu malam. “Bagi memastikan kesahihan, dua anggota polis menyamar sebagai ahli perniagaan dengan memakai baju kemeja dan kot sebagai pelanggan bagi mendapat khidmat urut kaki,” katanya. Hasil siasatan mendapati, terdapat beberapa pekerja wanita warga asing melakukan urutan kaki yang turut menawarkan khidmat seks di premis berkenaan.

Razali berkata, penyamaran itu dilakukan bagi meyakinkan pekerja pusat berkenaan bahawa mereka bukan pengintip polis sebaliknya memang pelanggan yang ingin melakukan urutan kaki. “Kami turut mengesan mereka menggaji sembilan pekerja wanita warga Thailand yang tidak memiliki permit kerja yang sah, malah hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada wanita terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya. Katanya, turut ditahan seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai penjaga pusat itu.

“Premis itu mempunyai lesen urut kaki, tetapi menjalankan aktiviti pelacuran sebagai khidmat tambahan,” katanya.

Rindu 20 tahun

JOHOR BAHRU: Kerana terlalu rindukan anak perempuannya yang sudah 20 tahun menghilangkan diri, seorang warga emas tetap setia menanti kepulangannya termasuk menunggu di pusat mengundi setiap kali pilihan raya umum diadakan.
Malangnya, impian Aneran Yusah, 76, tidak kesampaian kerana sehingga kini tidak menerima sebarang berita berkaitan Roszaimah Laham yang menghilangkan diri ketika berusia 18 tahun.
“Selepas pelbagai usaha mengesan Roszaimah gagal, saya tidak punya pilihan, selain berikhtiar mencarinya di pusat pembuangan undi dengan harapan dia antara pengundi yang hadir.

“Saya mula terfikir mencari Roszaimah di pusat mengundi selepas menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) bahawa namanya tersenarai sebagai pengundi di sini,” katanya.

Roszaimah anak bongsu daripada empat beradik keluar dari kediaman keluarga di Batu 41, Kampung Bukit Kenangan, Simpang Renggam dengan alasan mencari kerja di Kluang.

Menurut Aneran, apabila mengetahui nama Roszaimah tersenarai sebagai pengundi di situ, dia cukup gembira dan sanggup menunggu seawal pagi hingga tamat waktu mengundi.

“Mungkin ramai yang pelik melihat saya menunggu di pusat pembuangan undi, namun hanya ibu yang pernah mengalami nasib sama seperti saya mampu mengerti penantian ini demi menatap semula wajah anak sebelum ajal memanggil.

“Jika dia terbaca keluhan hati saya ini, saya harap dia kembali kerana kami semua sayangkannya. Bagaimanapun, saya mungkin ke pusat pembuangan undi semula pada pilihan raya akan datang jika dia tetap tidak muncul kerana saya cukup merinduinya,” katanya sebak.

Menurut Aneran, semuanya bermula apabila Roszaimah merajuk selepas percintaannya bersama pekerja bapanya, seorang warga Indonesia, ditegur keluarga berikutan bimbang masa depan gadis berkenaan.

Bagaimanapun, Aneran serta keluarga tidak menyangka perkara berkenaan menyebabkan Roszaimah menghilangkan diri.

“Saya sentiasa mendoakan keselamatan Roszaimah dan meminta Allah melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini.
“Hasrat saya melihat Roszaimah bahagia bersama pasangannya dan pulang ke pangkuan keluarga. Kami tidak marah atau berdendam sebaliknya sentiasa berharap dia kembali,” katanya.

Wanita itu berkata, keluarganya gagal memaklumkan berita kematian arwah suaminya kepada Roszaimah 15 tahun lalu berikutan gagal mengesannya.

“Kami sekeluarga sudah melupakan peristiwa lalu dan berharap bertemu kembali dengan Roszaimah.

“Jika dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak, saya tidak sabar untuk melihat cucu,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan Roszaimah diminta menghubungi talian 019-7354130 atau 019-7664632

Nelayan temui mayat tertangkup

BAYAN LEPAS: Penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertangkup menimbulkan tanda tanya sama ada mangsa mati akibat lemas atau membunuh diri ketika ditemui sekumpulan nelayan, kira-kira satu batu nautika dari Pulau Rimau di perairan negeri ini, semalam.
Mangsa, Lee Kee Seng, 31, beralamat 39-09-15, Pangsapuri Kristal, Lintang Delima 4, Gelugor, ditemui kira-kira jam 9 pagi oleh nelayan yang kemudian memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.
Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, sepasukan enam anggotanya diketuai Bintara Muda Maritim, Rohaizal Abd Rahim kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertangkup sebelum dibawa ke Jeti APMM Batu Maung kira-kira jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, pihaknya menemui dokumen pengenalan diri mangsa termasuk kad pengenalan dan kad kredit serta dokumen lain dalam poket seluar mangsa.

“Kita tidak dapat memastikan sama ada mangsa mati lemas atau berlaku kejadian jenayah berikutan tiada kesan kecederaan, cuma keadaan kulit badan mulai menggelupas dan berbau busuk.

“Ada kesan luka kecil, namun mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara tiga hingga lima hari dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil memberikan maklumat di Balai Polis Batu Maung.

3 lawan penculik

MELAKA: Seorang pengurus syarikat swasta bersama dua anak lelakinya melawan empat penjenayah bertopeng yang menculik seorang ahli keluarga di depan rumah mereka di Taman Malim Jaya, Batu Berendam, dekat sini kelmarin.
Difahamkan babak cemas itu bermula ketika isteri pengurus itu bersama seorang anak perempuannya yang juga anak bongsu berusia 11 tahun, baru masuk ke kereta Toyota Vios.
Ketika itu, pintu pagar rumah mereka sudah dibuka dan isterinya, kakitangan awam berusia 40-an, mahu menghantar anak perempuannya ke sekolah kira-kira jam 6.50 pagi sebelum ke tempat kerja apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Harrier tiba.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, belum pun sempat wanita itu menghidupkan enjin keretanya, sekumpulan penjenayah bertopeng dan bersarung tangan serta bersenjata parang keluar dari MPV dan menyerbu ke keretanya lalu memecahkan tingkap sebelah pemandu.

“Polis percaya suspek memecahkan cermin kereta itu bagi mengejutkan serta mengalih tumpuan ibu mangsa.

“Pada masa sama, seorang suspek membuka pintu kereta menarik keluar kanak-kanak itu masuk ke Toyota Harrier. Ibu mangsa menjerit dan membunyikan hon hingga didengari suami dan dua anak lelakinya di dalam rumah.

“Mereka keluar menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu hingga berlaku pergelutan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Mohd Adnan berkata, ketika pergelutan itu kanak-kanak perempuan berkenaan melarikan diri dan bersembunyi. “Kemunculan suami dan dua anak lelakinya membantu melawan suspek menyebabkan kumpulan penjenayah panik membolehkan kanak-kanak perempuan itu melepaskan diri. Selepas penjenayah terbabit melarikan diri, keluarga mangsa menghubungi polis,” katanya.

Dalam pergelutan itu, wanita terbabit jatuh ditolak hingga cedera siku kanan dan kiri manakala suaminya bengkak kaki kanan dipercayai terkena tayar kereta suspek cuba melarikan diri manakala kanak-kanak perempuan berkenaan lebam di kaki. Dua anak lelaki berusia belasan tahun tidak cedera.

Mohd Adnan berkata, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan motif kejadian, sama ada mempunyai kaitan dengan perniagaan atau balas dendam.

“Kami masih menyiasat latar belakang pengadu, kemungkinan dia ada permusuhan dengan sesiapa dari segi perniagaan atau sebagainya. Semua mangsa bernasib baik kerana penjenayah tidak menggunakan parang ketika pergelutan.
“Kita juga mengenal pasti identiti semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dari jagaan sah. Jika disabitkan boleh dihukum penjara tujuh tahun penjara dan denda,” katanya.

Mohd Adnan berkata, polis juga meminta jiran yang melihat kejadian itu dan mengecam suspek tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) di talian 06-2842222 atau balai polis berhampiran.

“Kereta digunakan suspek menggunakan nombor plat palsu.” katanya.

Ketika ditemui, bapa mangsa yang enggan dikenali bersyukur keluarganya tidak cedera serius memandangkan semua suspek bersenjatakan parang.
Menurutnya, seorang anak lelakinya menarik adiknya dari dalam kereta ketika dia dan seorang lagi anaknya bergelut dengan penjenayah.

Artis kemaruk pil maut

KUALA LUMPUR: Pendedahan mengejutkan apabila ramai artis wanita dan isteri kepada penyanyi terkenal tanah air mengaku kemaruk mengambil sejenis pil kurus maut yang didakwa mujarab untuk melangsingkan tubuh dalam tempoh hanya beberapa hari.
Pil kapsul berwarna kuning dan merah terbabit didakwa turut menyebabkan segelintir individu yang memakannya menjadi ketagih tidak ubah seperti mengambil pil khayal berikutan ia dipercayai mengandungi sejenis racun kimia berbahaya yang sengaja dimasukkan ke dalamnya.
Difahamkan, pil dengan jenama Lami yang mengandungi 30 kapsul itu dijual secara terbuka persis ubatan tradisional pada harga sekitar RM20 sekotak terutama di pusat beli belah dan kedai ubat-ubatan tradisional.

Jenama berkenaan sudah diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana didapati mengandungi bahan kimia sibutramine yang boleh menyebabkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Ada di kalangan mangsa mengaku mereka turut mendapat kesan sampingan seperti berhalusinasi, tangan menggigil, muntah dan degupan jantung bertambah laju selepas dua atau tiga jam memakannya.

Isteri kepada seorang penyanyi terkenal yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 20-an, berkata, dia diperkenalkan dengan ubat diet itu daripada seorang rakan artis yang mendakwa mampu menguruskan badan jika diambil secara berterusan tanpa perlu bersenam.

“Sebagai wanita apabila diperkenalkan ubat untuk menguruskan badan, sudah tentu kita berminat untuk mengetahui kesannya dan saya segera mencuba berikutan menghadapi masalah berat badan sejak beberapa bulan lalu,.

“Berdasarkan maklumat diberikan, rakan saya itu memberitahu pil berkenaan akan memecahkan lemak selain menghilangkan selera makan selain mengurangkan rasa lapar kepada individu yang mengambilnya secara kerap,” katanya.

Menurutnya, pil terbabit yang diimport dari negara jiran perlu dimakan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu sebelum mengambil makanan berat.

“Bagaimanapun selepas mengambil beberapa kapsul pelangsing itu, saya mula mengalami kesan pelik kira-kira dua jam kemudian. Agak mengejutkan apabila pil terbabit menyebabkan tubuh saya menggeletar dan tidak boleh tidur.

“Kesan pil berkenaan berterusan untuk beberapa hari menyebabkan saya berhenti mengambilnya berikutan bimbang ia boleh mendatangkan kesan lebih memudaratkan,” katanya.
Menurutnya, disebabkan curiga, dia mencari pil pelangsing itu di pasaran dan mendapati ia jual secara terbuka kepada orang ramai, “Malah peniaga ubat-ubatan tradisional yang ditemui memaklumkan pil langsing jenama Lami itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna.

“Selain harga yang murah, saya percaya kesan khayal itu turut menyebabkan ia laris di pasaran walaupun pengguna tidak tahu kandungan sebenar ubat yang dikatakan dihasilkan daripada tumbuhan itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di sebuah pasar raya di Damansara, di sini, mendapati pil pelangsing itu dijual di kiosk ubat tradisional pada harga RM25 sekotak.

Penelitian pada pembungkusan ubat berkenaan mendapati ia tidak mempunyai pelekat hologram KKM.
Seorang wanita yang menjual produk itu mengakui ubat itu memang laris kerana pengguna boleh melihat kesan menguruskan badan dalam tempoh singkat.

Ditanya sama ada ubat terbabit boleh memberi kesan sampingan, wanita itu hanya berkata, pengguna perlu mematuhi meminta pengguna minum air dengan banyak bagi mengelak sakit tekak.

“Makan ubat ini tidak ada kesan sampingan tapi pengguna perlu minum air dengan banyak, bukan ubat ini saja tetapi semua ubat diet perlukan pengguna minum banyak bagi mengelak sakit tekak,” katanya.

Suami diracun isteri

KUALA LUMPUR: Seorang wanita sanggup meracuni suaminya dengan memasukkan peluntur pakaian ke dalam semua air minuman di rumahnya hanya kerana menyangka suaminya curang, kelmarin.
Difahamkan, wanita terbabit berusia lewat 30-an cuba membunuh suaminya kerana terlalu cemburu namun hasratnya tidak kesampaian apabila lelaki terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta walaupun mangsa minum minuman bercampur peluntur. Semuanya bermula kira-kira jam 11 malam, apabila lelaki berusia 42 tahun itu keluar dari rumahnya di Salak Selatan, di sini, untuk urusan perniagaan di Johor dengan menggunakan kereta rakannya dengan keretanya diparkir di tempat letak kenderaan kawasan rumahnya.
Menurut sumber, sebaik mangsa pulang ke rumahnya keesokan harinya, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua tayar belakang kenderaannya pancit.

“Pada mulanya, mangsa menyangka ia perbuatan budak nakal sebelum masuk ke rumah. “Sebaik memasuki rumah, mangsa mendapati isterinya tiada dan menyangka wanita berkenaan pulang ke rumah keluarganya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kehausan kemudian membuka peti sejuk sebelum meneguk minuman berkarbonat yang ada.

“Mangsa terkejut kerana merasa minuman itu berbeza sebelum melakukan pemeriksaan. Dia kemudian hairan kerana mendapati minuman berkenaan berbau seperti peluntur pakaian,” katanya.

Tersentak dengan itu, mangsa memeriksa semua minuman dalam peti sejuk itu dan air di rumahnya sebelum mendapati semuanya berbau peluntur.

Beliau berkata, mangsa kemudian ke sebuah hospital swasta yang terletak berhampiran rumahnya bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa percaya individu yang cuba meracun dirinya adalah isterinya kerana mereka pernah bertengkar sebelum kejadian.

“Malah, mangsa yang dalam proses perceraian juga yakin tayar keretanya pancit kerana perbuatan isterinya itu,” katanya.

Sumber berkata, wanita terbabit dipercayai cuba membunuh suaminya itu kerana menyangkakan lelaki terbabit curang terhadapnya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Siang diugut, malam ditembak

TELUK INTAN: “Pada pagi sebelum kejadian, saya menerima SMS mengandungi ugutan bunuh dari nombor tidak dikenali, namun tidak mengendahkannya kerana beranggapan ia hanya gurauan rakan.
“Pada malam pula, sebaik pulang dari kedai runcit tidak jauh dari rumah, saya lihat sebuah kereta Toyota Camry berwarna gelap berhenti di depan rumah sebelum seorang lelaki turun sambil memegang sesuatu di tangan sebelum menembak saya tiga kali,” kata Ketua Kampung Kota, Hutan Melintang, Syed Shabahar Syed Mohamad, 45.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam kelmarin, mangsa ditembak satu das di paha kiri dan dua das lagi di betis kanan oleh lelaki tidak dikenali di depan rumahnya.

Syed Shabahar berkata, sebaik melepaskan tembakan, penyerang bersama seorang lagi suspek yang berada di tempat duduk pemandu terus beredar dari tempat kejadian.

Menurutnya, dia yang panik dengan kejadian itu bergegas ke Hospital Sabak Bernam (HSB) dengan memandu sendirian walaupun terpaksa menanggung kesakitan sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI).

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dan keluarga juga terselamat. Kejadian ini tidak sekali-kali mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di HTI, semalam.

Dalam pada itu, Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika melawat mangsa di HTI, semalam menasihatkan ketua-ketua kampung dan tok sidang supaya tidak panik, sebaliknya terus menjalankan tugas diamanahkan seperti biasa.

Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan insiden menimpa Syed Shabahar dan menasihatkan mangsa menyerahkan kes itu kepada polis.

“Saya memandang serius kejadian ini dan berharap polis dapat menjalankan siasatan segera supaya suspek yang mendalangi kejadian itu diberkas dan didakwa secepat mungkin,” katanya. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Polis menemui tiga kelongsong peluru jenis 0.32 automatik di tempat kejadian. Kami masih menyiasat motif kejadian itu manakala mangsa kini dilaporkan stabil di HTI. “Kes ini masih dalam siasatan dan suspek sedang diburu,” katanya.

Polis buru 3 lelaki

SHAH ALAM: Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan tiga lelaki dipercayai boleh membantu siasatan tiga kes sedang disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Suspek pertama dicari ialah Muhammad Firdaus Mohd Noor, nombor kad pengenalan, 900824-10-5133, alamat terakhir di No 26, Jalan 17/6, Seksyen 17, di sini.
Dia dicari bagi membantu siasatan kes rogol pelajar tingkatan empat. sebuah sekolah di sini, susulan aduan dibuat bapa mangsa pada 8 Julai lalu.

Suspek kedua dikenali sebagai G Daneshkumar atau Boy, nombor kad pengenalan 920320-10-5699, alamat No 34 Lorong 5, Taman Julaiha, Hutan Melintang, Perak. Daneshkumar dicari membantu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan hingga menyebabkan kematian. di Blok D, Pangsapuri Valencia, Jalan Tokoh 25/28, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, pada 24 Julai lalu.sehingga membawa kematian Palsibal Jailani, 26, manakala rakannya, Rudy Amin, 23, parah.

Susulan kejadian itu polis sudah menahan tujuh lelaki dan mengesan sekurang-kurangnya lima lagi suspek berusia awal 20-an yang masih bebas.

Manakala pengawal keselamatan, Mohd Rizal Husnan, nombor kad pengenalan 760829-10-6701 beralamat No 35, Taman Sri Haniko 3/10, Semenyih, dekat sini, dicari berhubung kehilangan wang RM332,618.02 daripada van milik syarikat keselamatan pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, pelbagai usaha dibuat termasuk mengesan suspek di alamat terakhir gagal.

“Kami syak semua suspek ini sedang bersembunyi di sekitar daerah ini, bagaimanapun usaha mengesan ketiga-tiga mereka giat dilakukan.

“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat atau mengenali ketiga-tiga suspek diminta menghubungi IPD Shah Alam di talian 03-55102222.

Khalwat hingga hamil

ALOR SETAR: Helah seorang lelaki untuk menipu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dengan mendakwa seorang wanita hamil yang berada dalam bilik di rumahnya di Simpang Empat Kangkung di sini, sebagai isterinya tidak menjadi apabila wanita itu menafikannya ketika disiasat, Jumaat lalu.
Berikutan itu, wanita berusia 23 tahun itu ditahan kerana disyaki berkhalwat hingga hamil tujuh bulan dipercayai anak teman lelakinya yang bukan Islam berusia 41 tahun.
Wanita itu dikatakan sudah lama menetap di rumah berkenaan bersama keluarga teman lelakinya selepas melarikan diri dari rumah keluarganya di bandar raya ini. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata berdasarkan maklumat awam, sepasukan 10 anggotanya membuat pemeriksaan di rumah berkenaan, kira-kira jam 11 malam.

“Hasil pemeriksaan menemui seorang wanita hamil dalam sebuah bilik di rumah itu. Apabila disiasat, lelaki terbabit mendakwa wanita itu isterinya, tetapi wanita itu menafikannya dan mengaku pasangannya itu hanya teman lelaki,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ajal gadis tulang reput

PASIR MAS: Seorang gadis yang menghidap penyakit tulang reput terbunuh selepas dihempap kereta dinaikinya bertembung dua kenderaan lain dalam kemalangan di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang, petang kelmarin.
REMUK...anggota polis memeriksa kereta dinaiki Siti Nor Izzah.
REMUK...anggota polis memeriksa kereta dinaiki Siti Nor Izzah.
Kejadian jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Siti Nor Izzah Shahdan, 21, bersama adiknya, Amar Zahid, 18, dalam perjalanan membeli-belah di pekan Rantau Panjang selepas menziarahi datuk mereka yang menghidap barah tulang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di Kota Bharu.

Ketika dalam perjalanan ke pekan terbabit, Perodua Kelisa dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan terbabas sebelum bertembung dengan dua kenderaan masing-masing Proton Saga dan Hyundai Atoz, menyebabkan mangsa tercampak keluar menerusi tingkap kenderaannya.

Kemalangan itu mengakibatkan Siti Nor Izzah cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap kereta dipandu adiknya yang juga penuntut Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa.

Ibu mangsa, Asmah Omar, 47, yang juga seorang guru di Perlis berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi guru lain yang kebetulan berada di tempat kejadian kira-kira jam 4 petang.

Katanya, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan ke Rantau Panjang membeli barang selepas beberapa hari berada di Kota Bharu kerana membawa datuknya menjalani pembedahan di HRPZ II.
“Sebelum keluar ke pekan Rantau Panjang, arwah meminta wang daripada saya membeli barang, tapi saya tidak memberikannya kerana bimbang mereka berbelanja lebih.

“Saya tak bimbang kerana sebelum ini adiknya biasa memandu kereta dan saya difahamkan suami, dia sentiasa memandu secara berhemah,” katanya yang bercuti beberapa hari di negeri ini bagi menemani ayahnya yang sakit di Kota Bharu.
Katanya, meskipun sukar menerima Siti Nor Izzah maut dalam kemalangan itu, mereka sekeluarga reda pemergiannya.

Asmah berkata, dia bersama ahli keluarga ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum membawa pulang jenazah ke kampungnya di Perlis untuk urusan pengebumian.

Katanya, sebelum ini dia sentiasa ke Kota Bharu kerana membawa Allahyarham menerima rawatan susulan daripada doktor pakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, turut berada dalam kenderaan dinaiki mangsa ialah dua rakan adiknya, Abd Rahman Mohd Nor, 21, dan Mohd Taufik Montasir, 18.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian kereta dipandu adik mangsa dipercayai cuba memotong kereta lain sebelum terbabas merempuh Proton Saga yang datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan Hyundai Atoz dipandu seorang wanita.

“Akibat pertembungan itu, mangsa dipercayai tercampak keluar sebelum dihempap keretanya sendiri yang dikatakan terbalik.

“Mangsa yang menghidap tulang reput sejak kecil dan berjalan menggunakan tongkat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Haliludin berkata, adik mangsa dan dua rakannya yang cedera ringan dikejarkan ke HPM untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke HPM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Perlis untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis juga mengambil keterangan daripada dua lagi pemandu kenderaan terbabit.