Search This Blog

Tuesday, August 10, 2010

Budak perempuan cuba diculik sempat selamatkan diri

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan yang juga murid tahun lima yang hendak ke sekolah terselamat daripada menjadi mangsa culik empat penjenayah bertopeng di depan rumahnya di Taman Malim Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, penjenayah terbabit yang bersenjata parang bertindak ganas memecahkan cermin bahagian pemandu menyebabkan ibu kanak-kanak itu tergamam dan pada masa sama seorang daripada suspek menarik mangsa yang duduk di sebelah pemandu. Ibu mangsa yang cedera menjerit memita tolong dan membunyikan hon sebelum suami dan dua anak lelakinya membantu. Ketika kejadian kereta pengadu tidak bergerak dan masih dalam kawasan pagar rumah yang terbuka. Berlaku pergelutan antara mereka sebelum mangsa yang diseret ke dalam Toyota Harrier milik suspek di luar pagar rumahnya sempat menyelamatkan diri.

Polis tahan sembilan dipercayai pengedar dadah

JOHOR BAHRU: Polis tahan sembilan individu termasuk tiga wanita berusia 17 hingga 48 tahun di sebuah rumah teres di Taman Pelangi di sini kerana disyaki terbabit dengan pengedaran dadah.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi Khamis lalu, polis turut merampas 1,422.5 gram heroin bernilai kira-kira RM45,000.
Empat suspek yang ditahan didapati positif dadah dan semua mereka ditahan reman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Feri terbalik dipukul ribut: 11 maut, 30 hilang

KUPANG: Sekurang-kurangnya 11 maut dan lebih 30 masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbalik dalam ombak besar, semalam.
Pasukan penyelamat terpaksa mengharung ribut dan ombak besar menaiki kapal nelayan untuk tiba di tempat kejadian berhampiran Pulau Flores itu dan menyelamatkan mangsa Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Gagah Prakoso, berkata mereka masih mengesan 32 yang lain.
Katanya, feri berkenaan membawa kira-kira 60 penumpang ketika berlepas dari jeti pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan) dan karam dua jam kemudian di wilayah Nusa Tenggara.

Ketua polis tempatan, Abdul Rahma Aba, berkata feri antara pulau itu dipukul ombak besar menyebabkan sesetengah penumpang panik.

“Ada 17 penumpang berjaya diselamatkan dan lima bot dari agensi mencari dan menyelamat tempatan dihantar ke lokasi bersama unit polis,” katanya.

Menurut Abdul Rahma, operasi itu akan diteruskan selama seminggu dan pihaknya tidak pasti hasilnya kerana peluang menemui mangsa terselamat tipis.

Polis tahan empat anggota geng samun, selesai 52 kes

JOHOR BAHRU: Polis percaya menyelesaikan 52 kes curi dan samun selepas penahanan empat lelaki di kawasan ladang kelapa sawit Parit Zink, Bukit Gambir, Ledang, Muar.
Hasil serbuan kira-kira jam 11.20 malam pada 31 Julai lalu itu, polis turut menemui semula pelbagai barang yang dilapor hilang seperti tong gas, tiga motosikal curi.
Suspek berusia 21 hingga 29 tahun dan ditahan reman hingga 14 Ogos ini.

Ketua Kampung Kota Hutan Melintang cedera di tembak

TELUK INTAN: Seorang Ketua Kampung cedera ditembak di hadapan rumahnya di Kampung Kota, Hutan Melintang di sini, semalam.
Ketua Kampung Kota Hutan Melintang, Syed Shabahar Syed Mohamad, 45, cedera di kedua-dua kaki dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada jam 10.15 malam ketika Syed Shabahar pulang dari kedai runcit tidak jauh dari rumahnya.

"Mangsa melihat sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya dan seorang lelaki yang tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa yang mengenai kedua-dua kaki menyebabkan mangsa terjatuh.

"Lelaki terbabit bersama seorang rakannya yang memandu kereta itu kemudian melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu disedari isteri mangsa yang ketika itu menonton televisyen di ruang tamu rumah bersama empat anak mereka.

Kok meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di nombor telefon 05-6299222 bagi membantu siasatan. Sementara itu, Syed Shabahar yang juga seorang kontraktor ketika ditemui di hospital mendakwa beliau pernah menerima SMS berbau ugutan bunuh daripada nombor yang tidak dikenali tetapi hanya menganggapnya sebagai gurauan.

"Tidak sangka pula SMS itu menjadi kenyataan apabila seorang lelaki yang menaiki kereta Toyota Camry berhenti di hadapan rumah saya dan melepaskan tembakan," katanya yang juga Setiausaha Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Bagan Datoh.-Bernama

Buruh, remaja didakwa culik dan cabul pelajar tingkatan tiga

SETIU: Seorang buruh dan seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menculik dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, 28 Julai lalu.
Saipullah Che Ismail, 23, dari Kampung Beris Cawat dan rakannya yang berusia 15 tahun dan berasal dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Mereka didakwa melakukan kesalahan pertama, iaitu menculik mangsa, di hadapan Sekolah Kebangsaan Nur Zahirah di Limbungan, Kampung Raja, Besut pada kira-kira jam 4 petang, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa mencabul kehormatan mangsa di dalam sebuah kereta pada hari sama, kira-kira 4.20 petang, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda, atau sebat, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Sept untuk perbicaraan kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.-Bernama

Kail toman dapat buaya

KUCHING: “Saya sangka umpan mata kail disambar toman besar sehingga ia patah dua, tetapi terkejut apabila mendapati ia buaya katak,” kata seorang kaki pancing, Jasnih Bujang, 47.
ANGKAT...anggota JPAM mengangkat buaya katak yang ditangkap, semalam.
ANGKAT...anggota JPAM mengangkat buaya katak yang ditangkap, semalam.
Dalam kejadian petang Sabtu lalu, Jasnih dari Kampung Rampangi tidak menyangka jorannya menaikkan reptilia sepanjang kira-kira dua meter itu ketika memancing di Sungai Semeriang.

Katanya, dia terpaksa bertarung hampir 20 minit untuk menarik tali jorannya sebelum menjerit meminta bantuan penduduk berhampiran untuk mengikat buaya itu dan dibawa pulang ke rumahnya.

“Saya pernah terdengar orang kampung sini memberitahu ada buaya di sungai ini kerana berdekatan kawasan paya, tetapi saya tidak pernah melihatnya sehingga kejadian itu.

“Peristiwa itu menyebabkan saya meremang bulu roma apatah lagi mengenangkan ada beberapa kanak-kanak mandi di sungai ketika itu,” katanya.

Kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuching pada keesokan hari untuk meminta bantuan memindahkan buaya terbabit.
Sementara itu, Pegawai JPAM Kuching, Mohd Zaidi Jili ketika dihubungi semalam, berkata pihaknya menerima panggilan pemancing terbabit kira- kira jam 8.13 pagi kelmarin.

Bomoh rotan dua beranak

KUALA LUMPUR: Seorang bomoh wanita melakukan rawatan pelik dengan menyebat dua beranak menggunakan rotan kononnya untuk menghalau hantu dan roh jahat ketika kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan bagi menghilangkan penyakit migrain.

Akibatnya, wanita berusia 50-an yang bergelar ‘hajah’ itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis berikutan anaknya cedera dan dia turut dirotan ketika cuba menghalang dukun terbabit merotan anaknya.

Menurut sumber polis, ketika ditahan pengamal perubatan tradisional terbabit terpaksa diasingkan dan dibiarkan berseorangan dalam sebuah lokap kerana dia mengamuk dan meracau sehingga membuatkan beberapa tahanan lain takut.

Selain itu, beberapa anggota polis mengadu tidak tahan dengan ‘gangguan’ selepas wanita terbabit dibawa ke lokap dan mereka mendakwa ternampak bayangan serta lembaga yang berlegar di balai.

Sumber itu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada 2 Ogos lalu ketika ibu mangsa yang juga berusia 50-an membawa anak gadisnya mendapatkan rawatan penyakit migrain.

“Untuk memulakan rawatan hajah meminta gadis berusia 19 tahun itu berbaring dan selepas itu dia memulakan rawatan peliknya iaitu memukul menggunakan rotan di seluruh tubuh mangsa.

“Tidak tahan melihat anaknya menjerit kesakitan, ibu mangsa meminta hajah itu berhenti memukul, namun dia turut dipukul dengan rotan, selain diberi amaran akan dibunuh jika mencampuri atau mengganggu rawatannya,” katanya.

Menurutnya, disebabkan takut dengan ugutan dan curiga dengan kelakuan pelik hajah yang seolah-olah tidak waras itu, ibu mangsa membiarkan wanita terbabit meneruskan rawatannya.
“Selepas urusan rawatan selesai, ibu mangsa membawa anaknya pulang sebelum membawa gadis berkenaan ke hospital untuk rawatan selepas melihat ada kesan cedera pada tubuh anaknya.

“Doktor yang melihat kecederaan mangsa terkejut apabila diberitahu punca kejadian dan menasihatkan ibu mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa lebam di seluruh badan, leher, telinga dan tapak tangan, namun dia stabil manakala ibunya cedera ringan di tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan ibu mangsa.

Menurutnya, susulan itu, seorang wanita ditahan pada hari sama dan polis merampas rotan yang digunakan wanita terbabit ketika merawat mangsa.

“Kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Taliban sebat, tembak janda hamil

HERAT: Anggota Taliban memberkas dan menembak mati seorang wanita hamil di khalayak ramai kerana didakwa berzina, kata pihak berkuasa, semalam.
Menurut polis, Bibi Sanubar, 35, ditahan selama tiga hari sebelum ditembak tiga das di kepalanya oleh anggota Taliban tempatan di daerah Qadis, kelmarin.
Taliban mendakwa janda itu menjalin hubungan sulit sehingga menyebabkan dia hamil.

Sebelum ditembak, Bibi juga disebat 200 kali.

Sementara itu, Taliban menafikan mereka bertanggungjawab. - AFP

Elak pakai seluar ketat hitam untuk cegah serangan aedes

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand menggesa wanita negara itu mengelak daripada memakai seluar ketat hitam sebagai cara tidak menarik perhatian nyamuk aedes.
Timbalan Menteri Kesihatan, Pansiri Kulanartsiri, berkata cita rasa orang ramai, terutama wanita muda terhadap fesyen ketika ini agak membimbangkan.
Katanya, ancaman demam denggi di Thailand boleh menjadi wabak.

“Nyamuk tertarik kepada pakaian gelap.

“Justeru, saya berharap orang ramai jangan memakai pakaian seluar ketat hitam atau warna gelap untuk mengelak gangguan nyamuk aedes,” katanya, semalam.

Sejak Januari hingga Julai lalu, kerajaan mencatatkan 43 kematian akibat demam denggi dan 45,000 kes berkaitannya.

Ia adalah peningkatan sebanyak 40 peratus daripada 31,929 kes dan 30 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada 43 korban tahun ini, 26 berusia di antara 10 dan 24 tahun.

Pansiri berkata, fesyen berseluar ketat hitam adalah pengaruh fesyen dari Korea.

“Pakailah pakaian tebal seperti jeans, terutama ketika banyak kes demam denggi dilaporkan,” katanya. - Agensi

Penggal kepala ibu

HONG KONG: Seorang wanita Hong Kong yang mempunyai sejarah gangguan mental memenggal kepala ibunya sebelum membunuh diri dengan melompat dari tingkat 11 kediaman mereka, lapor media, semalam.
Akhbar The Standard menyatakan, wanita terbabit menikam ibunya yang tua dan uzur itu berkali-kali pada petang kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit memenggal kepala ibunya dengan pisau dapur.

Polis tiba di rumah berkenaan yang terletak di daerah Kowloon selepas dimaklumkan oleh orang ramai ada kebakaran di dalamnya.

Pembunuh itu - dipercayai berusia 40-an - disahkan mati selepas melompat dalam keadaan berbogel dari rumah berkenaan.

Menurut saksi, mereka terdengar anak-beranak itu bertengkar sebelum kejadian.

Bulan lalu, polis menahan seorang budak lelaki berusia 15 tahun kerana dipercayai membunuh ibu dan adik perempuannya dengan pisau pemotong daging.

Alat itu memang sering dijadikan senjata dalam kejadian keganasan domestik.

Mei lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun - juga pernah mengalami gangguan mental - menyerang jirannya di tempat awam, menyebabkan dua daripada mereka terbunuh dan tiga cedera. - AFP

Positif dadah

BICARA...Ameng  ditemani isteri dan anak tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
BICARA...Ameng ditemani isteri dan anak tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi iaitu anggota polis berpangkat sarjan memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, semalam, ujian saringan air kencing penyanyi kumpulan Spring yang terkenal sekitar tahun 90-an, Ameng disahkan positif dadah oleh Makmal Dadah dan Penyelidikan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Saksi pertama pendakwaan, Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Sarjan Halimi Jarkazi, 47, berkata botol yang mengandungi air kencing Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail adalah milik tertuduh berikutan tertuduh sendiri menandatangani label dilekatkan di atas botol yang tertera nama dan nombor kad pengenalan miliknya.
“Polis menggunakan botol plastik untuk mengambil air kencing tertuduh yang mana ketika diserahkan kepada saya ia sudah dilabelkan dengan nama dan nombor kad pengenalan tertuduh. Botol itu juga sudah dicop dengan cop rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya. Halimi berkata, ketika dia menyimpan botol itu dalam almari besi, tiada orang lain dapat mengakses almari berkenaan kecuali dirinya. “Tiada sesiapa boleh buka peti itu kecuali saya seorang,” katanya ketika soalan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias. Sebelum ini Ameng yang hadir ke mahkamah ditemani isteri dan anak lelakinya, didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 3.45 petang, 2 April lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zaki ASyraf Zubir bersambung hari ini.

Dibelasah mentua, adik ipar

AMPANG: Akibat terlalu rapat dengan rakan wanita, seorang lelaki menerima padah apabila dibelasah bapa mentua dan adik iparnya dengan kayu dalam kejadian di sebuah rumah Taman Seraya di sini.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila isterinya yang turut sama menyerang tidak sempat menghayunkan kayu kerana dikatakan tidak tergamak berbuat demikian biarpun perasaan cemburu dan marah membuak-buak terhadap suaminya.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi pada 5 Ogos lalu ketika mangsa berdua-duaan bersama rakan wanitanya itu dan keintiman mereka memang sudah lama dihidu isterinya yang menceritakan kepada bapanya.

Difahamkan, pada hari kejadian, mereka yang mengetahui mangsa berada bersama wanita itu berpakat untuk menyerang lelaki berkenaan bagi memberi pengajaran kepadanya.

“Sejurus mengetahui lokasi, tiga beranak berkenaan meluru dan menghampiri mangsa sebelum bapa mentua dan adik iparnya menghayunkan kayu yang mengenai badan dan tangannya.

“Isterinya juga tidak dapat mengawal kemarahan, namun dia hanya melepaskan geram apabila menghayunkan kayu ke motosikal suaminya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera di tangan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan susulan itu, polis menahan isterinya yang berusia 38 tahun serta bapa mentua lelaki terbabit yang berusia lingkungan 60-an.

“Dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kanun Keseksaan. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada perasaan cemburu isterinya yang menyangkakan mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai wanita simpanan.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita terbabit, sebaliknya hanya berkawan biasa dan ketika kejadian, mangsa berniat menolong kerana rakannya dikatakan mempunyai beberapa masalah.

Pasangan terbabit sudah berkahwin hampir 15 tahun lalu dan mereka mempunyai tiga anak. Suaminya bekerja di jabatan kerajaan manakala isterinya pula seorang suri rumah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Bukan mati ditolak

KUALA LUMPUR: “Kemungkinan tiada unsur jenayah dalam kes kematian model, Julia Chuah Sheau Yen,” kata Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika mengulas mengenai kematian bekas model dan pelakon itu.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu, katanya.
“Biarkan kami (polis) menyiasat kes ini secara terperinci terlebih dahulu. Saya juga menolak desas-desus mengatakan wanita berusia 31 tahun itu ditolak dari unit kondominiumnya di tingkat 12,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga teman serumah mangsa ditahan selepas dilihat mundar-mandir di persekitaran kondominium berkenaan sejurus penemuan mayat mangsa.

Dia kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Walaupun kemungkinan tiada unsur jenayah, namun kami masih menahan teman serumah mangsa bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, polis akan memanggil individu atau saksi lain yang mungkin dapat membantu menyelesaikan kes itu. “Pelbagai versi diperoleh mengatakan berlaku pertengkaran di antara mangsa dan lelaki itu sebelum kejadian, kita (polis) dalam proses untuk mendapatkan pengesahan,” katanya. Wan Abdul Bari berkata, orang ramai yang juga saksi kejadian diminta mengunjungi balai polis berdekatan. Harian Metro cuba menghubungi keluarga mangsa, tetapi mereka enggan mengulas ekoran masih bersedih dengan kehilangan itu. Semalam, akhbar ini melaporkan mengenai seorang bekas model dan pelakon yang maut selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 12 Kondominium Pantai Hill Park di sini, dikatakan sempat bergayut pada alat penerima pemancar Astro di tingkat 10 selama beberapa saat sebelum terjatuh di tingkat dua. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang kini bekerja sebagai pensyarah undang-undang sempat diarah seorang penghuni kondominium berkenaan supaya bertahan ketika dia berpaut pada alat pemancar itu. Bagaimanapun, mangsa yang mungkin tiada kekuatan untuk terus berpaut melepaskan genggaman menyebabkan dia jatuh dan terbunuh.

145 korban banjir kilat






NEW DELHI - Pasukan penyelamat di India meneruskan gerakan mencari 500 mangsa yang dipercayai terperangkap dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda di bahagian utara bandar negara itu. 

Agensi berita tempatan mengeluarkan kenyataan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 145 orang. 

Hujan lebat disusuli banjir kilat, menyebabkan kejadian tanah runtuh dan bekalan elektrik terputus di kawasan itu, pada akhir minggu lalu. 

Pasukan penyelamat terpaksa meredah lumpur separas lutut untuk mencari mangsa yang hilang di bandar Leh yang terletak 500km dari Srinagar. 

Seramai 6,000 askar ditugaskan untuk membantu menyelamatkan mangsa dan helikopter turut digunakan dalam operasi tersebut.

Bayi berkafan di tapak pelupusan



BERCHAM – Seorang mayat bayi lelaki cukup sifat ditemui dalam keadaan mayatnya ‘dikafankan’ dalam longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Bercham–Tanjung Rambutan di sini, semalam. 

Mayat bayi lelaki malang itu ditemui berbalut dengan kain lampin putih, kemudian dibalut pula dengan tudung dan kain batik, dibungkus dengan plastik serta dibuang ke dalam tong sampah sebelum dibawa ke tapak berkenaan. 

Mayat bayi itu ditemui oleh pemungut barangan lusuh di sini kira-kira pada jam 1.50 petang. 

Ahmad Sufian Zulkifli, 30, berkata, dia terkejut dengan penemuan itu dan berasa sedih kerana ada manusia sanggup buang bayi berkenaan dalam keadaan demikian. 

“Apabila lori sampah tiba, biasanya kami akan memunggah sampah untuk mencari barang terpakai dan ketika pegang beg plastik berkenaan ia berasa lembik. 

"Saya tergerak untuk memeriksa kerana berasa curiga dengan isi kandungannya. Saya melihat ada kain batik berwarna merah. 

"Saya panggil rakan-rakan untuk membukanya kerana saya tidak sanggup melihat rupa bayi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, Rohimah Asidah Bani Amin, 25, berkata, ini merupakan kejadian kedua berlaku di kawasan itu. 

“Saya nekad buka ikatan balutan dan melihat wajah bayi yang kebiruan, mata tersembul dan hidungnya disumbat dengan kapas. 

"Mayat bayi itu tidak busuk sebaliknya berbau seperti kapur barus. Kemudian, saya segera menghubungi polis,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengesahkan penemuan mayat bayi yang dipercayai berjantina lelaki itu. 

“Mayat bayi yang hampir busuk itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mengenal pasti punca kematian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kematian. 

“Polis sedang berusaha mengesan ibu bayi berkenaan dan mengharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat di talian 05-2451222 bagi membantu siasatan,” kata Zakaria.

Anak dalam kereta dilarikan perompak



BATU GAJAH – Tindakan seorang ibu meninggalkan anak berusia tiga tahun dalam kereta tanpa mematikan enjin mengundang padah apabila kenderaannya itu dilarikan seorang lelaki. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin itu, mangsa tidak menyedari tindakan dan gerak-gerinya diperhatikan lelaki terbabit. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, mangsa memberhentikan kereta di hadapan rumahnya dan keluar untuk membuka pagar di Taman Sepakat, Menglembu. 

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa keluar dari kereta dengan meninggalkan anaknya dalam kenderaan itu sebelum dia tergamam apabila kereta itu dilarikan seorang lelaki. 

“Mangsa menjerit meminta tolong dan dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Menglembu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi. 

Najib berkata, pegawai penyiasat telah meminta mangsa menelefon telefon bimbitnya yang turut ditinggal dalam kereta dan panggilan berkenaan dijawab oleh perompak berkenaan. 

“Mangsa bercakap dengan perompak dan dia meminta agar anaknya dikembalikan ataupun diletakkan di mana-mana tempat yang selamat. 

“Perompak itu memaklumkan dia tidak mahu anak saya, sebaliknya hendakkan kereta,” katanya. 

Beliau berkata, perompak kemudiannya memandu kenderaan curi itu ke Kampung Muhibah, Ara Payung dan berhenti di sebuah rumah seorang warga emas lalu diserahkan kanak-kanak itu. 

“Warga emas berumur 54 tahun itu dikejutkan dengan bunyi salakan anjing lalu melihat seorang lelaki India keluar dari kereta membawa seorang kanak-kanak. 

“Warga emas berkenaan terpinga-pinga apabila perompak itu menyatakan dia perlu menjaga kanak-kanak itu dan apabila ditanya perompak berkenaan menyatakan dia menjumpai kanak-kanak itu berdekatan lintasan kereta api di kampung berkenaan,” katanya. 

Menurut Najib, sejurus perompak berkenaan meninggalkan kanak-kanak itu, warga emas itu terus menghubungi balai polis Batu Gajah untuk membuat laporan. 

“Kita bawa kanak-kanak itu dan telah menyerahkan kembali kepada keluarganya pada jam 12.30 malam semalam,” katanya.

Maksiat celah batu



CHENDERING - Lokasi celah-celah batu yang ada di sepanjang Pantai Pandak, Chendering dipercayai menjadi sarang maksiat oleh segelintir pasangan kekasih yang ingin melampiaskan nafsu. 

Penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, majoriti pasangan kekasih yang datang ke sini sering menggunakan taktik kononnya untuk berjoging bagi mengaburi mata masyarakat. 

“Mereka memilih waktu awal pagi, sekitar jam 7 pagi untuk ‘berdating’ di sini. Majoriti mereka pada awalnya kelihatan seperti hendak berjoging melihat kepada pakaian yang digayakan, tetapi tidak lama kemudian, pasangan ini hilang apabila melewati kawasan celah-celah batu di sini. 

“Mereka dilihat begitu berani mungkin kerana pada waktu sebegini, jarang ada pengunjung berbanding pada waktu petang dan jika ada sekalipun, pengunjung tidak akan datang ke kawasan berbatu ini kerana kebanyakan mereka mahu berjoging, bukan untuk berkelah atau bermandi-manda,” katanya. 

Menurutnya, pasangan kekasih ini yang majoritinya remaja memilih celah-celah batu terutama berhampiran kawasan bukit sebagai ‘port’ selamat untuk bermadu asmara kerana terlindung daripada penglihatan orang ramai. 

“Saya sering terserempak dengan pasangan kekasih yang asyik bermadu asmara. Mereka tanpa segan silu berpeluk-pelukan dan ada sesetengah daripadanya terlalu berani melakukan adegan 'panas' mungkin kerana yakin tidak ada orang memerhati. 

“Selain itu, ada juga antara mereka bermandi manda berdua-duaan dengan berpakaian lengkap tetapi dalam masa sama, mereka tanpa rasa bersalah berpeluk-pelukan dalam air, termasuk melakukan adegan panas keterlaluan,” katanya.

Selit dadah di perut, kaki




SHAH ALAM – Helah dua lelaki warga India menyembunyikan dadah bernilai RM282,000 dengan menyelitkan di bahagian perut dan kedua-dua kaki menggunakan ‘guard’ gagal, apabila taktik itu berjaya dihidu polis. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, 6 Ogos lalu, kedua-dua suspek yang tiba dari Chennai, India itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di tempat tuntutan bagasi lapangan terbang berkenaan. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dua lelaki yang membawa bagasi itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum polis membuat pemeriksaan ke atas badan mereka. 

“Hasil pemeriksaan mendapati bagasi itu dipenuhi kacang dal dan beberapa helai pakaian turut dijumpai dalam bagasi seorang lagi suspek. 

“Polis kemudiannya memeriksa badan dua lelaki berkenaan sebelum menjumpai 14 bungkus ketamin seberat 4.65 kilogram dan 4.77 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. 

Beliau berkata, jumlah rampasan dadah berkenaan sebanyak 9.40 kilogram. 

“Kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 40 tahun itu didapati telah tiga kali memasuki negara ini bagi tujuan yang sama. 

"Mereka direman tujuh hari dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

Sementara itu, Nordin berkata, pihaknya sudah menyelesaikan enam kes rampasan dadah jenis ketamin, termasuk dua individu tersebut sejak Januari lalu. 

“Kesemua jumlah rampasan bernilai RM844,500 yang membabitkan 28.2 kilogram,” katanya.

3 serbuan, nilai rampasan RM64,000




RANTAU PANJANG - Pasukan Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA 8), merampas seluar berjenama tiruan dan kain putih yang dianggarkan bernilai RM64,000 dalam tiga serbuan di beberapa pangkalan haram, semalam. 

Pegawai pemerintah Batalion PGA 8, Suprintendan Rooslan Radzi berkata, serbuan pertama melibatkan rampasan kain putih di Pengkalan Haram Jitong, dekat Jeram Perdah pada jam 8 malam kelmarin. 

“Semasa menjalankan tugas pemerhatian, kami terserempak beberapa lelaki sedang memunggah turun 47 gulung kain putih yang mana setiap satunya berjumlah 60 meter, dipercayai cuba diseludup ke sempadan Thailand. 

“Hasil pemeriksaan, kain terbabit dijual dengan harga RM10 semeter dan nilai rampasan adalah berjumlah RM28,200,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Rooslan berkata, kes kedua melibatkan rampasan seluar jeans berjenama tiruan yang dipercayai tiruan dirampas di Pengkalan Haram Tok Awang Tinggi. 

“Kejadian pada jam 7.30 pagi itu melibatkan 2,000 helai seluar tiruan yang diseludup dari Thailand,” katanya. 

Beliau berkata, rampasan berjaya dibuat ketika sepasukan PGA8 membuat rondaan ketika bertembung dengan sekumpulan lelaki leka memunggah lima bungkusan pakaian dari tepi Sungai Golok. 

Menurutnya, setiap bungkusan menyimpan sebanyak 200 helai jeans yang bernilai RM100 setiap satu dan hasil rampasan jeans tersebut adalah bernilai RM20,000. 

Manakala katanya, rampasan lain turut melibatkan jeans tiruan berjenama sama di Pengkalan Haram Ghani pada jam 9 pagi semalam. 

“Semasa menjalankan tugas rondaan bermotosikal, beberapa lelaki yang mencurigakan berada di pengkalan haram tersebut sedang memunggah tiga bungkusan dari Thailand ke pasaran tempatan,” katanya. 

Menurutnya, hasil rampasan itu bernilai RM16,000 dan ini menunjukkan bahawa PGA 8 berjaya merampas nilai barangan melebihi RM1 juta dari 1 Ogos sehingga 9 Ogos. 

Roolan berkata, semua hasil rampasan dihantar kepada pihak Kastam, memandangkan penyeludup membawa masuk barangan melalui pangkalan haram bagi mengelakkan cukai.

Maut ditikam tiga kali



MUAR – Tindakan seorang lelaki yang membakar mercun di hadapan pintu utama pusat hiburan di bandar ini mengundang padah apabila ditikam dalam satu pergaduhan di sini, awal pagi semalam. 

Mangsa, Tan Meng Liong, 43, ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan terbaring di pekarangan kawasan tempat letak ke�reta hadapan Hotel Pelangi, di sini. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa dua mercun, yang mana salah satu daripada mercun itu berjaya diletupkan di hadapan pusat hiburan tersebut. 

Menurutnya, pada masa sama, mangsa turut membawa parang dikatakan cuba hendak memasuki pusat hiburan berkenaan. 

Namun disebabkan keadaan mangsa yang mencurigakan dan bersenjata mendorong pekerja di situ menghalang mangsa daripada memasuki pusat hiburan tersebut. 

“Tindakan itu menyebabkan mangsa naik berang sehingga tercetusnya pergaduhan dengan beberapa pekerja juga pengunjung di pusat hiburan di situ. 

“Mangsa bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan di antara mereka dan gagal menyelamatkan diri. Dia ditikam dengan pisau tiga kali di belakang badannya,” katanya. 

Mangsa yang berlumuran darah kemudian dicampakkan ke pekarangan kawasan tempat letak kereta. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bersenjatakan parang itu mempunyai masalah mental menyebabkan dia dihalang memasuki pusat hiburan tersebut. 

“Mangsa juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dadah dan pernah ditangkap. 

“Parang yang dibawa mangsa dijumpai disembunyikan suspek di dalam longkang berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam. 

Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan, polis berjaya menahan enam suspek. 

“Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 24 tahun hingga 55 tahun disyaki terlibat dalam pembunuhan ini. 

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari hari tangkapan hingga 16 Ogos depan untuk membantu siasatan,” katanya. 

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh

11 sekeluarga hilang tempat berteduh




SEREMBAN – Satu keluarga di Taman Happy Garden Rasah, di sini, kehilangan tempat berteduh berikutan rumah yang didiaminya selama ini musnah dalam kebakaran. 

Rumah yang dihuni 11 ahli keluarga itu, termasuk sebuah rumah tidak berpenghuni terbabit dalam kebakaran jam 5.50 petang, kelmarin. 

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Johar Abdul Majid ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggi�lan kecemasan jam 6 petang dan kurang daripada 10 minit, pihaknya telah berada di tempat kejadian. 

Menurutnya, sebaik sahaja pasukannya tiba, api marak dan hampir keseluruhan rumah kosong terbabit terbakar. 

“Namun kami berjaya mengawal kebakaran dan menyelamatkan sebuah lagi rumah berhampiran lokasi kebakaran. 

“Melalui pemerhatian awal, hanya bahagian dapur rumah itu sahaja terbakar tetapi bahagian depan dapat diselamatkan," katanya. 

Johar berkata, sebanyak dua jentera dan 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Seremban 2 menyertai operasi menyelamat dan memadam kebakaran itu. 

"Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan keru�gian masih dalam siasatan," katanya. 

Sementara itu, pemilik rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Harul berkata, sebelum kejadian dia ada terdengar bunyi letupan kecil daripada kabel elektrik di dalam rumah kosong di sebelah rumahnya. 

Menurutnya, dia hanya menganggap bunyi itu biasa dan tidak menghiraukannya. 

"Tetapi selepas setengah jam, saya terbau sesuatu dan melihat api telah menyambar sebahagian rumah papan terbabit. 

“Keadaan berlaku amat pantas dan dalam sekelip mata sahaja api marak ke seluruh bahagian rumah, sebelum menyambar dapur rumah saya," katanya. 

Harul berkata, dalam keadaan kelam kabut, dia hanya sempat menyelamatkan barangan seperti pakaian, perkakas elektrik dan dokumen penting. 

"Barangan di dapur tidak sempat dibawa keluar kerana api merebak dengan begitu pantas,” katanya.

Nahas: Juruteknik TNB maut, dua cedera




09/08/2010 8:42pm

GUA MUSANG – Seorang maut, manakala dua cedera apabila kenderaan pikap jenis Toyota Hilux milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) berlanggar dengan lori di Kilometer 31.5 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat Simpang Tiga Rancangan Tanah Felda Chiku Satu, di sini, pukul 1 petang ini.
Mangsa yang maut dikenali, Ahmad Nor Sham Muhammad, 50, bekerja sebagai Juruteknik Kanan, TNB Cawangan Gua Musang dan yang cedera, pemandu kenderaan di naiki mangsa, Abdul Aziz Hassan, 40, serta pemandu lori berusia lingkungan 40-an yang belum diperolehi namanya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Chiku ke Gua Musang, manakala lori itu pula dari Gua Musang ke Chiku.
Katanya, pemandu lori itu dipercayai membuat pusingan-U sebaik sampai di simpang tiga Rancangan Tanah Chiku Satu menyebabkan ia hilang kawalan lalu merempuh bahagian kiri kenderaan dinaiki mangsa.
"Kejadian itu dipercayai berlaku dengan kuat menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa remuk teruk dan mangsa yang duduk di bahagian depan sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan bahu kiri sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Saiful Bahri berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku untuk menerima rawatan kecemasan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya lewat petang ini. – Bernama

Kapal kargo, 17 krew hilang






2010/08/09

MANILA: Pengawal pantai Filipina semalam mencari sebuah kapal kargo domestik bersama 17 anak kapalnya yang hilang selepas berhadapan dengan ombak besar dan masalah enjin. 

Anggota krew yang menaiki SF Freighter dilaporkan menghubungi pemilik kapal, Seaford Shipping melalui radio kelmarin untuk melaporkan masalah yang dihadapi tetapi tidak lama selepas itu terputus hubungan, kata ketua pengawal pantai, Laksamana Wilfredo Tamayo.
Pemilik kapal melancarkan satu misi mencari awal berhampiran kawasan kali terakhir kapal itu dilaporkan di pantai wilayah Marinduque dan menghubungi pengawal pantai, kata Tamayo.
Sebuah pesawat pengawal pantai melihat sebuah kapal di perairan Marinduque kira-kira 160 kilometer ke tenggara Manila semalam tetapi cuaca buruk memaksa kapal terbang itu berpatah balik sebelum buat pengecaman. Usaha akan diteruskan apabila keadaan cuaca kembali cerah. 

Kapal yang melalui kawasan itu dan penduduk di kawasan pantai diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kapal terbabit. – AP

Pakistan bah paling teruk





2010/08/10

ANGGOTA penyelamat melontar botol air kepada mangsa banjir di luar daerah Sukkur, Pakistan.
ANGGOTA penyelamat melontar botol air kepada mangsa banjir di luar daerah Sukkur, Pakistan.
8 negara Asia, Eropah tangani banjir terburuk kesan tsunami 

BERLIN: Empat negara Eropah Tengah dan empat lagi di Asia bertungkus lumus menggerakkan operasi membantu dan menyelamat ketika krisis kemanusiaan disebabkan banjir bertambah buruk dan disifatkan paling teruk di Pakistan, semalam.
Banjir kilat berikutan hujan lebat termasuk di rantau Baltik membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk. Air sungai yang melimpah menyebabkan banjir di Bogatynia, barat laut Poland dan Goerlitz di timur Jerman.
Sungai Neisse di sempadan Poland mencecah rekod tertinggi di Goerlitz. Tiga penduduk di Poland dan Jerman serta lima penduduk Republik Czech dilaporkan terbunuh manakala di Lithuania, empat penduduk maut. 

Di Pakistan, lebih 1,500 penduduk maut dan berjuta-juta lagi merayu bantuan akibat banjir terburuk dalam sejarah negara itu. 

Harga buah-buahan melambung tinggi sejak kelmarin berikutan lebih satu juta ekar kawasan tanaman musnah dan sekurang-kurangnya empat juta penduduk memerlukan bantuan makanan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Kematian terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 53 penduduk akibat tanah runtuh yang menimbuskan dua perkampungan di Gilgit-Baltistan, kata pegawai kanan kerajaan, Ali Mohamad Sikandar. 
Bilangan mangsa bamjir di Pakistan mungkin melebihi korban tiga bencana besar lalu termasuk tsunami pada 2004, gempa bumi Kashmir pada 2005 dan gempa bumi Haiti pada tahun ini. 

Setiap bencana itu mengorbankan lebih ramai mangsa tetapi kerajaan Pakistan menganggarkan lebih 13 juta orang terjejas, dua juta lebih tinggi daripada tiga bencana itu. 

Di China, pasukan penyelamat mencari sekurang-kurangnya 1,300 penduduk yang dikhuatiri hilang selepas banjir melanda kawasan pedalaman di barat laut China manakala di negara berjiran Pakistan, dianggarkan empat juta penduduk berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dalam banjir paling buruk di negara itu. 

Selain itu, banjir di wilayah Kashmir di bawah pentadbiran India pula dilaporkan menyebabkan 500 penduduk hilang dan 132 terbunuh. Media Korea Utara pula melaporkan, banjir di negara itu memusnahkan beribu-ribu rumah dan merosakkan tanaman. 

Bencana alam di wilayah Gansu, China kelmarin dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya 127 orang terbunuh manakala seluruh kampung diliputi dengan air, lumpur dan batu. 

Pihak berkuasa berusaha memulihkan semula bekalan kuasa, air dan komunikasi di kawasan terjejas di bahagian selatan dan jumlah sebenar mereka yang hilang atau terputus hubungan tidak dapat diketahui. 

Pakar cuba membersihkan kotoran yang menghalang aliran Sungai Bailong untuk mengelak banjir lebih buruk di bandar Zhouqu yang masih tenggelam berikutan bencana alam sejak semalam. 

Halangan itu membentuk satu tasik buatan sepanjang 3 kilometer yang melimpahi sungai sejak awal pagi. 

Pihak berkuasa turut menghantar bekalan air, khemah dan selimut serta bekalan kecemasan lain sementara Perdana Menteri Wen Jiabao turut melawat usaha menyelamat di kawasan terjejas. 

Beliau turut melawat Lembah Sanyan, tempat 300 penghuni rumah kampung itu tertimbus akibat tanah runtuh, lapor agensi berita Xinhua.. – AP/Agensi

Nyamuk minat stokin gelap





2010/08/10

BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand menggesa wanita dan gadis di negara itu tidak memakai stokin hitam bagi mengelak 'menarik perhatian' nyamuk pembawa penyakit demam denggi. 

“Cara wanita berpakaian masa kini amat membimbangkan terutama golongan muda,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Pansiri Kulanartsiri dalam kenyataan amaran penyebaran wabak denggi sambil mengingatkan nyamuk mudah tertarik pakaian berwarna gelap.

Sabit mata tiga



Oleh Suzaini Sulaiman
bhnews@bharian.com.my
2010/08/10

10 perangkap ditemui di dasar perairan Assam Jawa 

KUALA SELANGOR: Sekumpulan nelayan dan kakitangan agensi serta jabatan kerajaan yang menyertai 'Ops Sabit’ menemui lebih 10 perangkap yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab di dasar perairan Assam Jawa dekat sini.
Bagaimanapun, mereka hanya dapat menaikkan tiga perangkap berupa sabit bermata tiga itu berikutan kesukaran dihadapi untuk berbuat demikian ketika arus air yang kuat, selain sabitnya yang tajam.
Operasi besar-besaran itu baru-baru ini membabitkan lebih 40 bot dan disertai 140 anggota bertujuan membersihkan perairan Assam Jawa daripada perangkap berbentuk sabit yang merosakkan banyak jaring nelayan sebelum ini. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan, Datuk Ahmad Sabki Mahmood, berharap operasi itu dapat mengatasi masalah nelayan yang mengalami kerugian besar selepas jaring mereka rosak akibat terkena sabit bermata tiga itu. 

Katanya, perangkap itu dipasang pihak tertentu yang berniat jahat terhadap nelayan terbabit. 

"Kami amat kesal dengan perbuatan khianat ini kerana apabila jaring rosak, pendapatan nelayan pasti terjejas dan pekerjaan mereka terancam kerana inilah saja sumber rezeki mereka. 
“Mereka juga ketakutan untuk turun ke laut kerana risau jaring akan rosak terkena perangkap sabit yang tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir, kelmarin. 

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu disertai kakitangan Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Selangor, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan polis.

Operasi itu adalah susulan perbincangan antara nelayan dan wakil jabatan berkaitan pada 29 Julai lalu dalam mencari jalan penyelesaian segera berhubung kemelut itu. 

Sentral pada 23 Julai lalu melaporkan kekecewaan lebih 20 nelayan di Pasir Penambang selepas jaring memukat ikan mereka rosak teruk akibat terkena ‘sabit bermata tiga' yang sengaja dipasang di dasar laut di perairan Assam Jawa. 

Sebanyak 64 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi membolehkan siasatan segera dilakukan. 

Ahmad Sabki berkata, berdasarkan bentuk perangkap itu, ia didapati dihasilkan dengan begitu teliti bagi memastikan jaring yang terkenanya rosak teruk.

Pantau pengemis



Oleh Nor Hartati Azhari
bhnews@bharian.com.my
2010/08/10

Penduduk khuatir ada sindiket perguna OKU, kanak-kanak 

SENAWANG: Kegiatan meminta derma dengan menggunakan sehelai kertas sebagai bukti mereka mewakili pertubuhan tertentu dilihat semakin berleluasa di daerah ini hingga menimbulkan rasa tidak selesa masyarakat.
Bagi menjadikan aktiviti seperti itu lebih berkesan, golongan kanak-kanak, remaja dari luar negara seperti Thailand dan Filipina dan orang kurang upaya (OKU) seperti cacat penglihatan, sering dipergunakan supaya orang ramai simpati dan tanpa ragu-ragu menghulurkan wang yang tidak pasti disalurkan ke mana selepas itu.
Tinjauan Berita Harian sekitar restoran di bandar ini mendapati golongan berkenaan akan datang dengan sehelai kertas dan gambar persatuan yang didakwa memerlukan bantuan kewangan. 

Namun, perbuatan itu menimbulkan persoalan adakah mereka tidak memperoleh dana daripada kerajaan untuk menyokong persatuan mereka atau ia mungkin helah sindiket yang bersembunyi di sebalik kesusahan golongan tidak bernasib baik. 

Selain itu, faktor masyarakat Malaysia yang bermurah hati dan sanggup memberi sumbangan membuka ruang kepada individu atau kumpulan tertentu mengambil kesempatan meraih pendapatan mudah. 

Pembantu restoran, Rozana Ahmad, 38, berkata setiap hari pasti ada orang yang datang ke premisnya bekerja sama ada untuk mengemis, meminta derma sambil memberikan kupon persatuan atau menjual barangan seperti buku agama dan kaligrafi. 
“Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan orang tua yang mengganggu keselesaan pelanggan di sini tetapi saya tidak sampai hati mengusir kerana simpati melihatkan keadaan mereka. 

“Saya percaya setiap pergerakan mereka pasti diawasi dari jarak jauh oleh seseorang yang mungkin menjadi dalang kegiatan tidak bermoral ini. Ada pihak mengatakan pendapatan mereka boleh mencecah hingga RM100 sehari,” katanya ketika ditemui di sini. 

Pekerja swasta, Siti Fatimah Saliman, 25, menyifatkan tindakan pihak yang mempergunakan kanak-kanak dan golongan OKU sebagai alat untuk mendapatkan wang dengan mudah, tidak wajar kerana mereka sepatutnya berada di sekolah, bukan berkeliaran ke sana sini meminta derma. 

“Saya sudah naik bosan dengan kehadiran golongan seperti ini. Sudah berkali-kali diberi duit, mereka tetap datang bagi meraih simpati orang walaupun tahu dipergunakan pihak tertentu,” katanya. 

Pemilik restoran, Abdul Hadi Ibrahim, 35, berkata perkara itu bukan isu baru dan walaupun sudah banyak kali pihak berkuasa melakukan operasi membanteras kegiatan berkenaan, ia tetap wujud dan semakin menjadi-jadi. 

“Baru-baru ini, saya didatangi oleh sekumpulan peminta derma yang mendakwa mereka datang dari Filipina untuk mengutip dana bagi sebuah persatuan orang kurang upaya di negara itu. Saya pelik mengapa mereka sanggup datang hingga ke sini dan patutkah mereka dibantu kerana ramai lagi orang susah di negara ini yang perlu diberi perhatian. 

“Sehubungan itu, pihak berkuasa harus sentiasa memantau kegiatan ini dengan lebih ketat dari semasa ke semasa bagi menghalang sindiket yang mempergunakan golongan OKU dan kanak-kanak bagi mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.

Ancaman babi hutan



Oleh Sabaruddin Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2010/08/10

Haiwan liar boleh bertindak agresif serang orang ramai

KUALA KETIL: Kehadiran sekumpulan babi hutan yang membuat sarang di kawasan belukar berhampiran stesen bas di sini, sejak kira-kira dua tahun lalu menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia boleh mengancam keselamatan.
Ini kerana kedudukan ‘sarang’ babi hutan itu terlalu hampir dengan pusat tumpuan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di situ, selain lokasi berkenaan turut menempatkan pelbagai premis perniagaan.
Seorang peniaga di stesen bas itu, Azlan Muhamad, 40, berkata haiwan itu mungkin bertindak agresif termasuk menyerang orang ramai yang berurusan di situ, selain penduduk dan peniaga di kawasan sekitarnya jika habitatnya diancam.

Beliau berkata, kewujudan semak samun berhampiran stesen bas itu menyebabkan haiwan berkenaan menjadikan ia sebagai habitatnya walaupun lokasinya berhampiran dengan kawasan pekan dan tempat yang sibuk dengan orang ramai kerana selain stesen bas, terdapat taman perumahan, kompleks niaga, pasar basah dan kilang, di situ.

"Haiwan itu kerap dilihat keluar mencari makan pada waktu malam, terutama apabila hujan dan kami sering melihat ia berkeliaran sehingga menghampiri premis niaga di kawasan perhentian bas.

"Kami bimbang ia mungkin boleh membahayakan nyawa jika haiwan itu berasa terancam dengan kehadiran orang ramai," katanya ketika ditemui di sini.
Tinjauan Berita Harian mendapati dua kawasan belukar dan paya berhampiran stesen bas dan berdekatan bekas tapak hospital lama Kuala Ketil menjadi lokasi haiwan berkenaan bersembunyi.

Berikutan kehadiran haiwan liar itu, peniaga dan penduduk di situ tidak lagi mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di belakang premis mereka kerana ia menjadi sasaran kumpulan babi hutan itu yang keluar mencari makan.

Pengguna bas, Zaharah Sulaiman, 53, berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan kumpulan babi hutan itu yang keluar mencari makan pada lewat petang di kawasan semak berhampiran stesen bas itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan orang ramai di situ ketakutan bimbang haiwan terbabit menyerang mereka yang boleh menye-babkan kejadian tidak diingini.

“Jika haiwan itu mengamuk, mungkin ramai mangsa akan cedera kerana kawasan stesen bas di sini sentiasa sesak terutama ketika penduduk keluar ke pekan atau ketika pelajar pulang sekolah.

“Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan, termasuk menembak haiwan itu dan membersihkan semak di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian buruk menimpa orang ramai," katanya.

Penduduk Taman Desa Bidara, Rosli Yahya, 35, berkata, kira-kira dua bulan lalu ketika memandu dari stesen bas ke Merbau Pulas, dia terserempak dan nyaris terlanggar seekor babi hutan di jalan raya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah berkata, pihaknya akan mengadukan masalah itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Majlis Daerah Baling (MDB) supaya haiwan itu dan tempat persembunyiannya dihapuskan.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan memburu haiwan itu sebelum sebarang kejadian buruk menimpa penduduk berlaku," katanya.