Search This Blog

Monday, August 9, 2010

12 tahanan ISA dipindah ke bangunan baru akhir tahun





2010/08/09

TAIPING: Seramai 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (TTPT) atau lebih dikenali Pusat Tahanan Kamunting akan dipindahkan ke blok bangunan baru yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini. 

Timbalan Pengarah Keselamatan, Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim, berkata dua blok bangunan dua tingkat itu, masing-masing mempunyai 40 sel yang boleh menempatkan 120 tahanan dengan tiga tahanan bagi setiap sel.
“Pada masa ini, kita sedang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan blok baru ini memenuhi spesifikasi keselamatan, selain memasukkan bekalan elektrik.
“Blok bangunan baru ini akan memberikan lebih keselesaan kepada tahanan, berbanding bangunan lama yang berusia 37 tahun yang menempatkan bilik (dorm) dan memuatkan 20 tahanan bagi setiap bilik," katanya pada sesi taklimat kepada media di TTPT, di sini, semalam. 

Kira-kira 30 wakil media dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyertai lawatan sehari ke sini bagi tujuan mengeratkan hubungan media dengan KDN dan Jabatan Penjara. 

Supri berkata, jumlah tahanan di TTPT sehingga semalam adalah seramai 274 orang, termasuk tahanan ISA, masing-masing enam tahanan dipercayai terbabit dalam gerakan Jemaah Islamiah (JI) dan aktiviti penyeludupan manusia, lapan tahanan di bawah Ordinan Darurat dan 254 banduan prabebas. 

"Secara keseluruhannya, seramai 134 tahanan adalah rakyat Malaysia, sementara 120 lagi rakyat asing. Bagi ISA, seramai enam tahanan adalah rakyat Malaysia, sementara enam lagi rakyat asing masing-masing seorang dari Indonesia dan Singapura, serta empat dari Sri Lanka," katanya.

Liana sengsara suami di Lombok gagal beri nafkah





2010/08/09

LIANA hamil tujuh bulan melihat buku kelahiran bersama neneknya, Jinah Raya di rumah sewa di Jalan Tan Sri, Bandar Sibu, Sarawak.
LIANA hamil tujuh bulan melihat buku kelahiran bersama neneknya, Jinah Raya di rumah sewa di Jalan Tan Sri, Bandar Sibu, Sarawak.
SIBU: Liana Abdullah, remaja yang dibawa pulang ke sini tiga bulan lalu selepas bernikah dengan jejaka dari Lombok, Indonesia serta dibawa ke negara itu dan kini mengandung tujuh bulan, hidup sengsara di sebuah bilik kecil yang disewa bersama tiga yang lain selepas suaminya tidak lagi menghantar nafkah. 

Remaja berusia 16 tahun itu, tinggal di bilik yang disewa RM180 sebulan, berbekalkan sebuah televisyen sebagai sumber hiburan hariannya sementara menanti kehadiran anak sulungnya.
Tiga wakil Puteri Umno Malaysia dan media ke kediamannya di Jalan Tan Sri, di sini baru-baru ini bagi meninjau kesusahan hidup remaja itu, tersentuh sebaik melihat keadaan bilik kecil yang didiaminya.
“Inilah bilik yang menjadi tempat saya berteduh siang dan malam bersama nenek, Jinah Raya, 44, bapa saudara berusia 24 tahun dan sepupu berusia tujuh tahun. 

“Saya mula berpindah sebulan lalu kerana kesempitan hidup selain bimbang keadaan diri yang sarat mengandung tujuh bulan,” katanya. 

Kes Liana sebelum ini mendapat liputan meluas media selepas didakwa dilarikan suaminya, Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok, Indonesia sebelum dibawa pulang oleh Biro Aduan Awam Komuniti Pemuda Umno, tiga bulan lalu. 

Beliau turut mendakwa menghadapi masalah kewangan berikutan suami tidak menghantar nafkah bulanan dan kini bergantung sepenuhnya kepada bapa saudara yang bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan RM700 sebulan. 
“Lebih menyedihkan apabila suami yang kini menetap di Lombok tidak lagi menghubungi sejak dua bulan lalu kerana kesempitan wang selepas kehilangan kerja sebaik pulang ke negara itu. Saya akan mencari pekerjaan selepas melahirkan anak bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya. 

Beliau berterima kasih kepada Puteri Umno yang prihatin dan sanggup datang dari jauh untuk memberi sumbangan pelbagai barangan kelengkapan bayi. 

Pengerusi Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial Puteri Umno Malaysia, Zauyah Zainuddin berkata, kesusahan Liana yang dipaparkan di akhbar menyebabkan mereka tampil menyalurkan bantuan. 

Katanya, selain bantuan kelengkapan bayi dan wang tunai, pihaknya membantu berurusan dengan pihak hospital untuk remaja berkenaan melahirkan bayi.

Tiga beranak nyaris maut





2010/08/09

KOTA KINABALU: Tiga beranak nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda di Simpang Tiga Jalan Papar-Lok Kawi di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Dayang Safniah Awang Jafar, 36, parah akibat patah tulang pinggul dan kaki kanan, suaminya, Azreo Azamain, 38, dan anak mereka berusia empat tahun bagaimanapun hanya luka di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Madang Usat, berkata motosikal yang dinaiki keluarga terbabit dipercayai cuba mengelak lori yang keluar secara tiba-tiba dari simpang jalan itu.
“Azreo cuba mengelak daripada dirempuh lori, namun hilang kawalan lalu merempuh kenderaan dari arah bertentangan. 

“Ini menyebabkan motosikal itu terperosok di depan kenderaan pacuan empat roda terbabit dan diseret beberapa meter menyebabkan isterinya parah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang kebetulan melalui jalan itu bagi menghadiri majlis rasmi di Tenom, turut berhenti membantu mangsa. 

Melihat seorang mangsa berlumuran darah dan hampir tidak sedarkan diri, Pairin segera menghubungi ambulans bagi meminta bantuan, selain menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir John Anthony dan mengarahkan JKR mengambil perhatian terhadap jalan di kawasan itu.

Abang robohkan kediaman adik



Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com
2010/08/09

KEADAAN belakang rumah yang dirobohkan  di Kampung  Selinsing, Pasir Puteh, pagi kelmarin.
KEADAAN belakang rumah yang dirobohkan di Kampung Selinsing, Pasir Puteh, pagi kelmarin.
Perselisihan keluarga punca rumah di kawasan tapak tanah pusaka diruntuh

PASIR PUTEH: Konflik keluarga menyebabkan seorang lelaki mengambil tindakan merobohkan sebahagian rumah adik perempuannya menggunakan jengkaut bagi mengosongkan kawasan terbabit kerana dibina dalam lot tanah miliknya di Kampung Selinsing, dekat sini, pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan suri rumah berusia 40-an bersama lima daripada enam anaknya yang sedang tidur, hanya mampu menangis ketakutan melihat bahagian belakang rumah yang didiami keluarga mereka sejak 20 tahun itu dirobohkan secara tiba-tiba.
Ketika kejadian, suami mangsa yang bertugas di Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mempunyai urusan kerja di Sabah, manakala seorang anak lagi tiada di rumah.

Usaha lelaki terbabit tinggal berjiran dengan adiknya itu, meroboh bahagian rumah berkenaan dibantu kira-kira 20 rakan yang mengawal keadaan, menyebabkan penduduk kampung yang bersimpati dengan keluarga mangsa, hanya mampu memerhati dari jauh.

Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, kejadian berlaku ketika beliau menyediakan sarapan, manakala lima anaknya berusia antara empat hingga 15 tahun sedang tidur.

“Secara tiba-tiba, pemandu jengkaut sambil diawasi beberapa lelaki bertindak merobohkan sebahagian rumah saya yang terletak atas lot milik abang sehingga saya takut keadaan keselamatan diri dan anak. 
“Saya bergegas mengejutkan semua anak keluar menyelamatkan diri kerana bimbang rumah roboh akibat tindakan itu dan kami hanya mampu menangis ketakutan,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan kini terpaksa tinggal menumpang di rumah ibu saudara mereka di kampung terbabit. 

Suri rumah itu berkata, beliau dan suaminya sudah menjangka rumah mereka akan dirobohkan kerana kedudukan sebahagian binaannya terletak atas lot milik abangnya tetapi tidak menyangka tindakan itu dilakukan kelmarin.

“Saya terkejut kerana tindakan abang dilakukan ketika suami tiada di rumah, malah kami sedih dengan dugaan yang terpaksa ditempuh menjelang Ramadan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, walaupun sebahagian rumahnya dibina atas kawasan lot tanah milik abangnya, tetapi perjanjian lisan sebelum ini tidak menimbulkan masalah.

Katanya, kawasan tapak rumah itu asalnya tanah pusaka milik arwah ibu bapa mereka dan rumah didiaminya dibina ketika bapanya masih hidup.

Beliau berkata, disebabkan perselisihan keluarga, abangnya bertindak membawa isu lot tapak rumah itu ke mahkamah dan keputusan berpihak kepada abangnya.

“Kami sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tetapi abang mendakwa mempunyai notis supaya tanah miliknya dikosongkan.

“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh. Sebenarnya, tanah ini terbahagi dua iaitu bahagian depan milik saya dan bahagian dapur pula milik abang seperti diputuskan mahkamah dan saya kini berserah kepada Allah,” katanya.

Rakan lari selepas nahas

KOTA TINGGI: "Sampai hati mereka, bila berlaku kemalangan, kawan-kawan lain terus melarikan diri meninggalkan kami," kata Fairuz Nazry Ashari, 16, yang cedera dan kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi (HKT).

Fairuz tidak dapat meneruskan perbualan kerana sedih mengenang rakan yang diboncengnya, Mohd Noor Falakh Sukimi, 15, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Datuk Onn, Bandar Penawar, Jumaat lalu.
Beliau bersama rakan sebayanya menunggang enam motosikal meninggalkan pantai Tanjung Balau selepas mandi laut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Tunggal
Pada jam 6.30 petang hujan lebat, motosikal yang ditunggang Fairuz terlanggar lopak air dan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di tengah laluan berkembar di Jalan Datuk Onn, Bandar Penawar.

Kemalangan itu menyebabkan Mohd Noor terhentak pada konkrit pembahagi jalan lalu meninggal dunia di tempat kejadian manakala Fairuz yang patah bahu dihantar ke HKT oleh orang awam.

Bagaimanapun, rakan mereka yang lain dikatakan terus meninggalkan tempat kejadian untuk pulang ke rumah masing-masing.

Mekanik didakwa sebabkan kematian anak sendiri

PORT DICKSON: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian anak perempuannya berusia lima tahun, akhir bulan lalu.

Long Chei Min, 33, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Long Sok Xian
iaitu anak ketiganya di rumah mereka di No.232, Jalan 10/2, Bandar Spring Hill,
Batu 9, Lukut, dekat sini, antara pukul 8 malam dan 10.25 malam, 29 Julai lalu.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang pengakuan
direkodkan daripada tertuduh yang belum diwakili oleh peguam.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menetapkan tarikh sebutan semula kes pada
28 September ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat.

'Saya tak disihir bapa mentua'

KANGAR: “Saya tidak disihir bapa mentua (Zubir Mat Isa) seperti didakwa dan perkahwinan saya dengan Zuraidah atas dasar kasih sayang kerana kami sering mengenali sejak beberapa tahun lalu,” kata pelajar dari Mesir, Mohd Firdaus Mohd Fuzi, 27, ketika ditemui, malam semalam.
Beliau percaya pernikahannya menjadi kecoh dan mendapat liputan akhbar selepas dimanipulasi pihak ketiga iaitu bapa saudaranya yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan atas sebab tertentu.
Katanya, beliau turut mempertikai tindakan bapanya, Mohd Fuzi Mohd Zain, menghabiskan wang sebanyak RM2,500 untuk mencarinya yang dilaporkan hilang sebelum dikesan bernikah dengan Zuraidah yang dikenali ketika menuntut di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

“Mengapa bapa perlu menghabiskan wang yang banyak dan saya mengesyaki bapa sudah menjadi mangsa manipulasi isu perkahwinan ini.

“Saya tidak pernah meminggirkan bapa dan ada menghubunginya ketika sedang berbulan madu bersama isteri di Thailand sehari selepas berkahwin pada 31 Julai lalu. “Saya mengesyaki keluarga saya dipengaruhi pemikiran kolot dengan mendakwa saya disihir bapa mentua,” katanya pada sidang akhbar bersama Zubir dan seorang menantu Zubir, Bunyamin Abas, 19, di Bangunan Darul Islah, di sini.

Mohd Firdaus dilapor gagal dikesan sejak 15 Julai lalu selepas mengunjungi Pejabat Pertubuhan Darul Islah di Mata Ayer, sebelum ibu bapanya dimaklumkan pelajar jurusan Usulludin itu akan bernikah dengan anak gadis Zubir, seorang guru silat pada 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Firdaus dan Zuraidah, 27, dinikahkan sehari lebih awal bersama satu lagi pasangan iaitu Bunyamin, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), dengan anak keenam guru silat itu, Zakira, yang berusia 17 tahun.

Zubir mengesahkan menikahkan sendiri dua anak gadisnya dengan pasangan masing-masing dengan belanja mas kahwin RM50 di Masjid Ngulang, Mata Ayer, jam 6.30 petang, Sabtu lalu.

Kes bertambah rumit apabila bapa Bunyamin, Abas Mat, 56, dan bapa Mohd Firdaus, Mohd Fuzi membuat laporan polis mendakwa anak lelaki mereka dipaksa berkahwin oleh guru silat terbabit.

Menggulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, beliau tetap akan berjumpa ibu bapa dengan membawa isteri bersama apabila keadaan tenang.

Sementara itu, Zubir berkata, dia akan menanggung semua kos sara hidup semua empat anak menantunya di Mesir.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dan wali ketika mengatur perkahwinan kedua-dua anak gadis saya dan tidak membelakangi adat,” katanya.

Sementara itu, suasana tegang berlaku selepas sesi sidang akhbar terbabit apabila Mohd Fuzi bersama isteri, Jamiah Hamid, 50, dan seorang anak mereka hadir untuk melihat Mohd Firdaus di bangunan terbabit, bagaimanapun dihalang Zubir dan beberapa anggota di situ.

Peserta konvoi maut nahas

KUALA LUMPUR: Seorang peserta konvoi program Jelajah Merdeka Relawan Malaysia maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta di Jalan Ulu Yam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang berusia lewat 20-an itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan berhampiran selepas selesai program.
Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata mangsa yang meman du motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan ketika membuat pusingan sebelum termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta. “Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang namun dia disahkan meninggal dunia sejam kemudian,” katanya.

Kes akan disiasat bawah Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.

Program yang disertai mangsa dijangka disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Pasar Seni jam 9 pagi hari ini.

2 pelajar senasib

BERA: Dua pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Kemayan, di sini, menanggung nasib yang sama apabila menjadi mangsa rogol teman lelaki masing-masing sejak setahun lalu sebelum mereka membuat laporan polis, Jumaat lalu.
Gadis terbabit bersekolah di tingkatan empat di sekolah berkenaan dikatakan berkenalan dengan teman lelaki masing-masing yang tinggal berdekatan rumah mereka di sekitar Kemayan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor, berkata mangsa dipercayai sudah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan teman lelaki masing-masing dalam tempoh setahun sebelum perkara itu diketahui keluarga mereka.

“Berikutan itu, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu dan susulan laporan yang dibuat, dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun dipercayai teman lelaki gadis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami akan menghantar kertas siasatan kepada pihak pendakwaraya pada Selasa ini bagi memohon tempoh tahanan reman terhadap kedua suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, siasatan kes berkenaan masih dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan rogol yang boleh membawa hukuman penjara dan sebat jika sabit kesalahan.

Mohd Zahid turut menasihatkan kepada gadis bawah umur atau yang masih bersekolah supaya berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan janji manis teman lelaki sehingga boleh terjebak dalam masalah seumpama itu.

Habuan nafsu kekasih, 6 rakan

GERIK: Berang melihat rakaman aksi seksnya tersebar melalui telefon bimbit, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis mengatakan dirinya bukan saja menjadi mangsa rogol teman lelakinya, malah turut dijadikan ‘habuan’ enam lagi rakan suspek.
Dalam laporan dibuat di Balai Polis Lenggong pada 4 Ogos lalu, mangsa berkata kejadian berlaku selepas dia mengikut teman lelakinya keluar bersiar-siar menaiki motosikal pada lewat malam Jun lalu.
Ketua Polis Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Lenggong, mendakwa dia bukan saja ditipu teman lelakinya yang berjanji mahu menjaganya daripada dinodai tapi sebaliknya ‘menghadiahkannya’ kepada enam lagi rakan suspek.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa mengikut teman lelakinya bersiar-siar dengan motosikal dan selepas lewat malam, mangsa tidak dihantar pulang ke rumah seperti dijanjikan sebaliknya dibawa ke sebuah rumah di Kampung Banggol Belimbing di Lenggong.

“Sebaik tiba, mangsa mendapati enam rakan teman lelakinya berusia antara 16 hingga 30 tahun berada di rumah berkenaan. Mangsa mendakwa dia diseret ke dalam bilik sebelum dirogol teman lelakinya diikuti enam lagi rakan suspek dengan seorang daripada mereka merakamkan aksi ranjang itu menggunakan telefon bimbit.

“Mangsa mendakwa cuba melawan dan menendang lelaki yang merakamkan aksi seks mereka tetapi dikasari dan tidak mampu berbuat apa-apa serta hanya merelakan dirinya diperlakukan sedemikian,” katanya.

Rakaman aksi seks selama kira-kira tiga minit itu kini tersebar di kalangan orang ramai di daerah itu dan turut dilihat sendiri mangsa menyebabkan mangsa malu serta berang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Lenggong pada 4 Ogos lalu.

"Mangsa yang sudah tidak bersekolah kini trauma kerana aksi seksnya turut tersebar sehingga kepada rakan-rakan terdekat dan ahli keluarganya.

"Sebaik menerima laporan daripada mangsa, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan lima daripada suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di beberapa lokasi di Lenggong pada 5 Ogos lalu. “Kelima-lima suspek kini direman sehingga 11 Ogos ini dan kami juga berjaya merampas rakaman asal aksi seks terbabit daripada salah seorang suspek untuk dijadikan bahan bukti,” katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek berjaya melarikan diri namun pihaknya yakin dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat ini kerana identiti kedua-duanya sudah dikenalpasti.

Mahad berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan doktor mengesahkan dia dirogol beramai-ramai.

Dibelasah kerana wang

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar sebuah institut kemahiran di Besut dibelasah tujuh remaja selepas enggan menyerahkan wang di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), petang kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 18 tahun berasal dari bandar Marang menunggu bas untuk ke pusat pengajiannya sebelum dihampiri dua remaja lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal.
Suspek menyapa mangsa yang bersendirian menunggu bas pada jam 6.30 petang, sebelum turun dari motosikal dan mendekatinya.

Dua remaja terbabit meminta wang sebelum mangsa tidak melayan permintaan itu.

Selepas beberapa ketika, datang lima lagi remaja dengan menaiki tiga motosikal mendekati pelajar itu.

Mangsa yang berkeras untuk tidak memberi wangnya tiba-tiba diheret sebelum tujuh remaja terbabit memukulnya.

Pada masa sama, seorang daripada suspek merampas wang tunai RM100.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan berkata selepas merampas wang suspek meninggalkan mangsa yang tidak bermaya di tempat kejadian.

Polis tahan rakan si mati

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terbabit dalam kes bunuh Mohd Faizul Amiludin, 34, warga Indonesia dalam pergaduhan di Kampung Sungai Kayu Ara, dekat sini 3 Julai lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira jam 4.30 pagi kelmarin.
“Hasil maklumat, sepasukan anggota polis bertindak menyerbu sebuah rumah kongsi yang menjadi kediaman suspek di Cheras.

“Lelaki berkenaan adalah seorang buruh binaan dan juga dipercayai kenalan mangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program bertemu penduduk di Sekolah Kebangsaan Sea Park di sini, semalam.

Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Lelaki dijumpai mati dibunuh dengan kesan tikaman di dada

MUAR: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang dikatakan mabuk dan terjatuh di tepi sebuah kereta, rupa-rupanya mati dibunuh dengan kesan tikaman di dada, dalam kejadian di parkir sebuah hotel, di sini awal pagi ini.
Mangsa yang berpakaian jaket hitam dan seluar jeans dikenali sebagai Tan Meng Leong, 40-an.

Kanak-kanak tiga tahun dilarikan ditemui di Batu Gajah

IPOH: Seorang kanak-kanak yang dilarikan oleh seorang lelaki bersama dengan kereta, yang ditinggalkan oleh ibunya di kawasan perumahan di Menglembu, berjaya ditemui di Batu Gajah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, kejadian berlaku pada jam 9.45 malam ketika kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu bersama ibunya pulang ke rumah di Taman Sepakat, Menglembu selepas menziarahi saudaranya.
"Ketika wanita itu turun dari kereta untuk membuka pintu pagar, anaknya ditinggalkan di dalam kereta dengan keadaan enjin masih hidup serta pintu sebelah pemandu terbuka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Najib berkata, pada masa sama seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk ke dalam kereta itu dan melarikan anak mangsa ke arah Batu Gajah.

Ibu mangsa, yang terkejut, kemudian bergegas ke Balai Polis Menglembu untuk membuat laporan.

Najib berkata, selepas menerima laporan, polis bertindak memburu suspek dan berjaya mengesannya apabila telefon milik mangsa, yang berada di dalam kereta, dijawab oleh suspek.

Suspek kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Batu Gajah lalu melarikan diri dengan kereta mangsa.

Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah oleh seorang lelaki pada jam 10.30 malam, yang selepas itu diserahkan kepada ibunya pada jam 12 tengah malam tanpa sebarang kecederaan.

Polis masih memburu suspek yang melarikan kereta Perodua Myvi berwarna hijau dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di nombor telefon 05-3662222 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat sebagai kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kata Najib.

Sebelum ini, dua kes berlaku iaitu masing-masing satu di Kuala Kangsar dan satu di sini.
Dalam kejadian di Kuala Kangsar pada 26 Julai, dua beradik berusia 16 dan enam tahun yang berada dalam kereta bapanya, dilarikan tiga lelaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan kira kira 25 kilometer dari Kuala Kangsar.

Kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat manakala kereta bapanya dijumpai di Kelantan.

Kes kedua berlaku di sini pada 4 Ogos, apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, yang sedang dalam perjalan pulang selepas selesai mangaji di rumah jirannya, dilarikan seorang lelaki dengan sebuah kereta di Taman Meru selepas dua jam diculik.

Mangsa ditemui di Taman Kinta, Gopeng oleh seorang lelaki yang menghantarnya ke Balai Polis Gopeng.-Bernama

Dua pelajar maut dalam kemalangan berasingan di Pahang

KUANTAN: Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Temerloh semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mahasiswa Mohamad Assuandie Mohamad Aspar, 22, maut apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di KM 11 Jalan Kuantan-Gambang berhampiran lampu isyarat Taman Tas dekat sini pada jam 7.30 malam tadi.
"Mangsa, yang berasal dari Kampung Kurnia Bukit Pekan, Kampar, Perak, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat kecederaan parah di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian di Temerloh, katanya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang, Zazleen Zulkasawari Zulkefely, 15, meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganinya bersama rakan sekolah berusia 16 tahun melanggar sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux di KM 122, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur.

"Pada kejadian jam 3.30 petang, mangsa dan rakannya yang tidak memakai topi keledar merempuh bahagian depan kenderaan itu yang membelok ke kanan jalan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan rakannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk mendapat rawatan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia dua jam selepas menerima rawatan di hospital itu manakala pemandu kereta pikap itu tidak mengalami kecederaan.-Bernama

Mayat bayi ditemui di kawasan perlupusan sampah di Tanjung Rambutan

IPOH: Seorang lelaki yang sedang mencari barang barang lusuh terperanjat besar apabila menemui mayat seorang bayi hampir busuk di kawasan pelupusan sampah di Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat bayi lelaki yang berbungkus dengan kain batik dan lengkap berpakaian serta hidung disumbat dengan kapas itu ditemui lelaki berkenaan pada jam 1.50 petang, yang kemudian terus membuat laporan di balai polis berhampiran.
Beliau berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui bayi yang dipercayai berusia lebih sebulan itu berhampiran dengan timbunan sampah, dan bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Katanya, polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian bayi itu.

"Bayi itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan kesan lebam ditemui di seluruh badannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dengan menelefon 05-2451222 bagi membantu siasatan.-Bernama

Dua warga India ditahan, polis rampas 9.4 kg ketamin bernilai RM282,000

SHAH ALAM: Dua lelaki warga India ditangkap selepas didapati cuba menyeludup masuk 9.4 kilogram dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM282,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 40 tahun itu ditahan polis sebaik saja tiba di KLIA dari Chennai, India pada jam 7.30 pagi.
"Pemeriksaan ke atas mereka menemukan tiga bungkusan plastik lut sinar dipercayai mengandungi ketamin diselit pada bahagian depan perut, serta empat bungkusan lagi diikat pada kaki mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Nordin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang bekerja di warung makan dan kedai barangan elektrik di India pernah masuk ke negara ini secara bersama sebanyak tiga kali.

"Siasatan dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek dijadikan kurier untuk mengedar ketamin ke Malaysia," katanya.

Nordin berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan tangkapan terbaru itu, sejumlah 28.2kg ketamin bernilai hampir RM845,000 berjaya dirampas serta enam orang ditahan sejak Januari lepas dalam empat operasi di KLIA," katanya.-Bernama

Tak sempat laung azan

MELAKA: Seorang bilal di Masjid Bakar Batu, Bachang, dekat sini, tidak sempat melaungkan azan solat subuh apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke masjid berkenaan kira-kira jam 5.55 pagi.

ANGKAT...anggota polis dan orang ramai mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
ANGKAT...anggota polis dan orang ramai mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan, TERBALIK...kereta yang dipercayai melanggar mangsa dalam kemalangan.
TERBALIK...kereta yang dipercayai melanggar mangsa dalam kemalangan..


Difahamkan ketika kejadian, mangsa Abas Ab Rahman, 58, menunggang motosikal sendirian di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ)/ Bachang menuju ke masjid itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Batu 2 1/4, Jalan Tun Perak, Bakar Batu, Bachang.
Difahamkan juga akibat dilanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun itu mangsa tercampak beberapa meter sebelum menghembuskan nafas akibat cedera parah.

Menurut menantu, arwah, Md Noh Abu, 30, yang juga saksi kejadian, beliau langsung tidak menyangkakan kemalangan berlaku di hadapan matanya membabitkan ahli keluarganya.

Katanya, ketika itu beliau berada di sebuah gerai makan di hadapan Lebuh AMJ di tempat kejadian kerana menunggu untuk mengambil isterinya yang tidur di rumah mentuanya.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat diikuti bunyi deruman enjin yang kuat selepas beberapa ketika. Saya berkejar untuk melihat apa berlaku.

“Saya terperanjat apabila melihat bapa mentua saya jadi mangsa kemalangan itu dan ketika itu ada seseorang memberitahu saya sebuah kereta berada di persimpangan lampu isyarat berdekatan,” katanya.

Katanya, jenazah mentuanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari, Bachang, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Turus Trafik Daerah Melaka Tengah Asisten Superintendan Poon Nam E Kling berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal dipercayai mengubah haluan menyebabkan dilanggar dari belakang.

Bergayut sebelum jatuh

KUALA LUMPUR: Seorang bekas model dan pelakon yang maut selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 12 Kondominium Pantai Hill Park, di sini, dikatakan sempat bergayut pada alat penerima pemancar Astro di tingkat 10 selama beberapa saat sebelum terjatuh di tingkat dua, petang kelmarin.

LOKASI KEJADIAN...kondominium tempat kejadian. Gambar kecil, Julia.
LOKASI KEJADIAN...kondominium tempat kejadian. Gambar kecil, Julia.
USUNG...anggota polis mengusung mayat mangsa di tempat kejadian.
USUNG...anggota polis mengusung mayat mangsa di tempat kejadian.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Julia Chuah Sheau Yen, 31, yang kini bekerja sebagai pensyarah undang-undang sempat diarah seorang penduduk yang memintanya bertahan ketika dia berpaut pada alat pemancar berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang mungkin tiada kekuatan untuk terus berpaut akhirnya melepaskan genggaman menyebabkan dia jatuh dan terbunuh.

Sebelum kejadian, jirannya mendakwa mendengar bunyi orang bertengkar yang disusuli dentuman ‘benda’ terhempas dan jiran terbabit hanya mengetahui benda itu rupa-rupanya tubuh mangsa yang jatuh dari tingkat 12 selepas diberitahu anggota polis yang tiba di tempat kejadian.

Difahamkan, jiran terbabit kurang mengenali mangsa kerana mereka kurang bergaul biarpun mangsa bersama pasangannya menetap di kondominium berkenaan sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang wanita di kawasan tempat letak kereta kondominium itu.
“Mayat mangsa segera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan laporan bedah siasat mendapati tiada kesan dipukul atau kesan pertengkaran pada mangsa. Mayat mangsa diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurufoto sambilan berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.“Lelaki terbabit ditahan pada hari sama ketika mundar-mandir di pesekitaran kondominium itu. Dia kini direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa pernah membintangi beberapa sitkom, antara yang popular sitkom berbahasa Inggeris, Getting Together pada 2001 bersama pelakon Elaine Daily, Ako Mustapha dan Douglas Lim.

Mangsa juga dikatakan baru pulang dari England sejak sebulan lalu dan kini bertugas sebagai pensyarah undang-undang di sebuah kolej di ibu kota.

Hutang Sarah cecah RM25j

LONDON: Hutang Duchess of York atau Sarah Ferguson meningkat kepada hampir £5 million (RM25 juta) hingga mencetuskan rasa cemas di kalangan kerabat diraja Britain.
Akhbar Sunday Telegraph mendedahkan, sekurang-kurangnya seorang penasihat kewangan Istana Buckingham mencadangkan kemuflisan sukarela walaupun ia akan memalukan Ratu Elizabeth, Duke of York dan anggota kerabat yang lain. Ratu Elizabeth dikatakan begitu bimbang terhadap hutang berkenaan yang dua kali lebih banyak daripada yang disangka.
Perdana Menteri, David Cameron sudah dimaklumkan mengenai isu itu dan masalah berkenaan dipercayai sudah dibincangkan dalam pertemuan peribadi mingguannya dengan ratu itu.

Sehingga ini, belum ada anggota kanan kerabat diraja Britain diisytihar muflis. Tetapi kemungkinan langkah ke arah itu kini hampir pasti dilakukan.

“Seorang penasihat kanan percaya tindakan paling baik ialah Sarah diisyitihar muflis.
“Katanya, langkah itu sudah pasti menyebabkan semua orang berkata: ‘Ia tidak mengejutkan.’ Tetapi mereka akan terlupa mengenainya tidak lama kemudian,” kata satu sumber kanan istana.

Bagaimanapun, bekas suami Sarah, Duke of York, Putera Andrew dan pejabatnya yang merancang satu pelan menyelamat tahu Sarah begitu terdesak untuk mengelak daripada diisytihar muflis.

Tindakan seperti itu juga akan memalukan Andrew kerana beliau ialah Wakil Khas Perdagangan dan Pembangunan Antarabangsa Britain.

Jumlah hampir RM25 juta itu berkait dengan hutang peribadi dan perniagaan Sarah di Eropah dan Amerika Syarikat.

Ia dipercayai lebih separuh daripadanya ialah hutangnya di Amerika Syarikat kerana bayaran guamannya yang semakin tidak terkawal di negara itu.

Bunganya saja berjumlah puluhan ribu ringgit seminggu.

Lebih buruk lagi, Sarah tidak mempunyai pendapatan sebenar untuk membayar balik hutang itu.

Askar maut motosikal terbabas

ALOR GAJAH Seorang anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 199.2 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 petang kelmarin, Kheirul Noor Md Desa, 21, yang bertugas di Kem Majidee, Johor Bahru, Johor dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan.

“Mangsa tercampak ke kanan sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah sama.

“Mangsa mati di tempat kejadian kerana parah di badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dilakukan dan pihaknya meminta saksi kejadian untuk menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Alor Gajah di talian 06-5563222.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terperangkap di rumah urut

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang paling dikehendaki polis kerana terbabit kes samun di Kuala Pilah, Negeri Sembilan terkedu apabila ditahan ketika berurut di sebuah pusat refleksologi di Seri Kembangan di sini, malam kelmarin.

TAHAN...wanita warga Thailand yang ditahan dalam operasi, kelmarin.
TAHAN...wanita warga Thailand yang ditahan dalam operasi, kelmarin.

Serbuan kali kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam menyaksikan polis menahan tujuh wanita warga Thailand dan seorang pondan.
Lelaki berusia 30-an itu gagal meloloskan diri kerana pusat terbabit dikepung sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Jurucakap polis berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam selain risikan pihaknya.

Katanya, hasil pemeriksaan, tujuh wanita warga Thailand dipercayai tukang urut di pusat terbabit ditahan bersama seorang pondan.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai terbabit jenayah.

“Hasil pemeriksaan identiti terhadap lelaki itu, suspek didapati antara penjenayah yang paling dikehendaki polis Negeri Sembilan bagi samun berkumpulan bersenjata,” katanya.

Beliau berkata, kondom terpakai yang ditemui dalam bilik mengurut membuktikan berlaku kegiatan tidak bermoral.

“Siasatan lanjut ke atas semua wanita asing terbabit mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Pemilik pusat refleksologi terbabit turut ditahan. Semua mereka dibawa ke balai polis berhampiran bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Filem lucah 3-D pertama di dunia



HONG KONG – Satu kumpulan pembikin filem Hong Kong mula melakukan penggambaran apa yang didakwa mereka sebagai filem lucah tiga dimensi (3-D) pertama di dunia, lapor akhbar Sunday Morning semalam.
Filem itu yang berjudul 3-D Sex and Zen: Extreme Ecstasy melibatkan kos sebanyak AS$3.2 juta (RM10 juta) dan dijangka ditayangkan pada Mei depan.
Menurut akhbar itu, filem itu akan dibintangi pelakon wanita filem lucah, Yukiko Suo dan Saori Hara.
Penerbit filam itu, Stephen Shiu mengakui bahawa tapisan akan menghalang tayangan filem tersebut di tanah besar China.
“Namun, kami kini semakin berurusan dengan beberapa pasaran termasuk Jepun, Korea Selatan, negara-negara di Asia Tenggara dan beberapa rangkaian televisyen berbayar di Hong Kong,” katanya. – AFP

Bekas pemandu bas dipenjara 30 bulan



09/08/2010 8:29pm

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemandu bas sekolah hari ini dipenjara 30 bulan dan didenda RM5,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Trafik kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal pada 2003.
Majistret Nik Haslinie Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas peguam bela, Brian Fong yang mewakili M. Periyasamy, 59, gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.
Nik Haslinie juga mengarahkan tertuduh dipenjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda itu, selain lesen memandunya digantung selama tiga tahun dan kesalahan itu direkodkan dalam lesen memandunya.
Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan hukuman penjara itu yang berkuat kuasa hari ini dan mengarahkan tertuduh menambah wang jaminan sebelum ini daripada RM5,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa memandu bas sekolah terbabit dalam keadaan berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian Masnizan Mansor, 26, di persimpangan lampu isyarat, Jalan Angkasa Pantai Dalam menghala ke Pantai Hill Park pada 29 April 2003. – Bernama

Polis tolak unsur jenayah kematian model



09/08/2010 6:47pm

KUALA LUMPUR - Polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes kematian seorang model dan pelakon tempatan Julia Chuah yang terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Pantai Hill Park di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis juga menolak kemungkinan wanita berusia 31 tahun itu ditolak dari kondominium itu.
Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita itu, katanya ketika dihubungi hari ini.
Ekoran kejadian itu, seorang lelaki berumur 36 tahun itu yang merupakan teman serumah mangsa ditahan selepas dilihat mundar-mandir di persekitaran kondominium terbabit sejurus penemuan mayat model itu. - Bernama

Kereta jurugambar Kosmo! dipercayai dicuri



09/08/2010 8:40pm

IPOH – Seorang jurugambar akhbar Kosmo! cawangan Ipoh kerugian RM85,000 apabila keretanya yang diletakkan di hadapan rumahnya di Silibin di sini hilang dipercayai dicuri pagi ini.
Mangsa, Najib Mohd. Nor, 30, yang berasal dari Teluk Intan mendapati keretanya jenis Toyota Vios berwarna hitam didapati hilang pada 7.30 pagi ini ketika beliau hendak keluar bertugas.
Selain kereta, turut dilarikan pencuri termasuk kamera, komputer riba, gitar elektrik dan beberapa dokumen lain yang kesemuanya bernilai RM85,000, katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Najib berkata, kereta tersebut yang dibeli dua tahun lalu dipercayai dicuri antara 3 hingga 5 pagi tadi dan kejadian itu telah dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa dan kes itu sedang disiasat. – Bernama

Mayat warga emas ditemui dalam but kereta



09/08/2010 8:46pm

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dalam sebuah karung ditemui dalam but sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran Jalan Gagak, Taman Million, Batu 3, Off Jalan Ipoh dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, mayat lelaki warga emas itu dijumpai oleh orang awam dalam sebuah kereta jenis Ford Laser dengan nombor pendaftaran JBY9209 setelah mendapati kereta itu berbau busuk.
Polis menerima maklumat dari orang awam pada 3 petang mengenai penemuan mayat lelaki berumur dalam lingkungan 60-an dan kemungkinan telah ditinggalkan di situ sejak tiga hari lalu, katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum diletakkan di situ.
Identiti mayat terbabit sedang dikenal pasti, manakala semakan ke atas kereta yang ditemui itu mendapati ia didaftarkan atas nama Chew Er Hong, 30-an, dari Sungai Buloh, katanya.
Zakaria berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada mangsa adalah orang yang sama dengan pemilik kereta itu.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama

Ribuan hilang banjir lumpur




SERPIHAN batu dan lumpur memenuhi kawasan di mukim Zhouqu selepas banjir lumpur surut.


BEIJING - Banjir lumpur yang melanda sebuah kawasan terpencil di barat laut China semalam menyebabkan separuh dari bandar di daerah Zhouqu di Wilayah Autonomi Gannan Tibet di Gansu tenggelam manakala 2,000 orang dilaporkan hilang.
Banjir itu yang berlaku akibat hujan lebat kelmarin turut menyebabkan 127 orang disahkan telah meninggal dunia.
Sejumlah penduduk berlari menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi dan di tingkat atas beberapa apartmen selepas air Sungai Bailong melimpah disebabkan sekatan pelbagai benda.
Banyak rumah musnah manakala jalan-jalan diliputi dengan lumpur dan air pada waktu pagi.
"Lumpur tebal kini menjadi halangan terbesar untuk kerja-kerja menyelamat. Ia (lumpur) terlalu tebal untuk berjalan atau melaluinya," kata ketua mukim tersebut, Diemujiangteng.

IMEJ stesen televisyen CCTV menunjukkan kawasan yang dilanda banjir lumpur.


Stesen televisyen CCTV melaporkan Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah berlepas dengan menaiki pesawat ke wilayah berjiran dengan Sichuan, Jiuzhaigou dan sedang menuju ke kawasan bencana.
Menurut laporan stesen tersebut, seramai 45,000 orang telah dipindahkan dari kawasan bandar yang terletak di kaki bukit itu. - Agensi

Padah langgar lampu isyarat




ORANG ramai mengerumuni kawasan kemalangan sebaik kereta yang dipandu Mei Siang merempuh belakang sebuah MPV di Melaka semalam.


MELAKA - Tindakan seorang lelaki melanggar lampu isyarat mengundang padah apabila dia mati selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam satu kemalangan di persimpangan Jalan Tamby Abdullah dan Jalan Laksamana Cheng Ho di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11 malam itu berlaku ketika Wing Mei Siang, 32, dari Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini dalam perjalanan dari Jalan Parameswara menuju ke persimpangan berkenaan menaiki kereta Perodua Viva.
Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poonam E. Kling berkata, mangsa telah melanggar belakang MPV jenis Toyota Estima yang ketika itu berhenti di lampu isyarat tersebut.

Surat cerai Sultan Kelantan




ELIA SUHANA berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam dikejutkan dengan tindakan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, mengemukakan dua pucuk surat yang didakwa daripada Sultan Kelantan pada perbicaraan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Tuanku Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31.
Dua pucuk surat tersebut didakwa mengandungi titah baginda yang melafazkan talak terhadap Elia Suhana dan surat mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Azamli Jamaluddin mendaftarkan perceraian baginda.
Bagaimanapun, pada prosiding tertutup itu Hakim Syarie Abdullah Man memutuskan akan pergi menghadap Tuanku Sultan di Istana Mahkota pada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas mendapat kelulusan daripada istana.
TUANKU ISMAIL PETRA


Peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hasan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Abdullah membuat keputusan tersebut selepas beliau membuat bantahan terhadap surat yang dikemukakan oleh plaintif itu.


Penduduk, penoreh bimbang ancaman harimau



BALING - Penduduk di Kampung Telok Teduri dan Kampung Tengah di sini, kini hidup dalam kebimbangan dan tidak berani untuk menoreh getah apabila ada penduduk di kawasan itu terserempak dengan harimau sejak beberapa minggu lalu. 

Penduduk beberapa kali pernah terdengar ngauman harimau dari kebun getah di kawasan Bukit Tok Lipan menyebabkan mereka juga bimbang untuk keluar di waktu malam.

Kemunculan harimau yang didakwa penduduk kampung baru beranak itu turut disahkan dengan penemuan tapak kaki harimau itu di sekitar kebun getah dan sepanjang denai menuju ke kebun getah di kawasan itu.

Selain itu, penduduk mendakwa mereka terhidu bau bangkai dipercayai bangkai lembu yang dibaham harimau itu baru-baru ini.

Penoreh getah, Halim Khamis, 53, berkata, beberapa orang penoreh getah mendakwa pernah terserempak dengan haiwan itu di kawasan kebun getah di situ sejak beberapa minggu lalu.
Beliau mahu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan sesuatu bagi menghalau harimau itu dari kawasan terbabit.

Halim berkata, beliau melaporkan tentang kewujudan harimau itu kepada Perhilitan dua minggu lepas.

"Jika tiada usaha diambil, kami bimbang ada penduduk di sini akan menjadi mangsa harimau itu, terutama kami yang sering ke kawasan kebun getah di situ untuk menoreh getah," katanya, dan menambah kata bahawa ada penoreh getah yang sudah beberapa minggu tidak menoreh kerana bimbang terserempak dengan harimau itu.

Seorang warga emas di kampung itu, Lateh Salleh, 72, mengakui pernah baberapa kali terdengar ngauman harimau dari arah belukar Bukit Tok Lipan, baru baru ini.

"Suara ngauman itu dapat didengar jelas pada waktu pagi dan petang " katanya kepada Bernama.

Penduduk Kampung Tengah, Ramli Ahmad, 60, berkata, sejak akhir-akhir ini lembu yang berkeliaran di kawasan kampung itu tidak berani menghampiri belukar, terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya yang dipercayai menjadi tempat persembunyian harimau itu.

"Setiap malam sejak beberapa minggu ini kami bimbang untuk berada di luar rumah bimbang terserempak dengan harimau itu," katanya.