Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Lima anggota NATO maut dalam serangan bom di Afghanistan





2010/08/08

KABUL: Lima anggota NATO terbunuh di selatan Afghanistan susulan serangan kumpulan pemberontak, menurut pihak keselamatan bersekutu, hari ini. 

Anggota Bantuan Keselamatan Antarabangsa NATO, berkata seorang anggota tentera terbunuh oleh bom buatan tangan dan dua yang lain susulan serangan pemberontak, Sabtu (waktu tempatan).
Sementara itu, pihak tentera Denmark berkata dua anggota tentera Denmark turut terbunuh apabila kereta kebal yang dipandu terkena bom tepi jalan ketika membuat rondaan di wilayah Helmand. - AFP

Polis tahan empat warga asing disyaki membunuh





2010/08/08

KULIM: Polis menahan empat lelaki warga asing pekerja kilang kejuteraan, kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki Myanmar, di Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Mohd.Salleh, berkata dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mayat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dijumpai tertiarap berlumuran darah di hadapan sebuah rumah sewa pekerja kilang, di taman berkenaan.
"Polis percaya bahawa sekumpulan lelaki berusia 20-an semuanya pekerja Myanmar yang tinggal dalam sebuah rumah di kawasan perumahan itu, mabuk sebelum berlaku pergaduhan hingga menyebabkan kematian.
"Mangsa yang masih belum dikenalpasti identitinya, pada awalnya berjaya melarikan diri dalam keadaan luka parah, namun rebah tidak jauh rumah tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata, mangsa mengalami cedara parah di bahagin kepala dipercayai dipukul dengan senjata tumpul, serta terdapat beberapa kesan tusukan senjata tajam di beberapa bahagian badan. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat. - Bernama

Mesir jadi ‘kilang’ pembangkang




KUALA LUMPUR – UMNO mendakwa pembangkang menjadikan pelajar Malaysia di Mesir sebagai ‘kilang’ untuk melahirkan pemimpin dan penyokong mereka.

Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Pas sanggup membelanjakan puluhan juta ringgit bagi memastikan program kehadiran pemimpin mereka di Mesir.

“Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia dan juga sedikit di England.

“Isu ini perlu dipantau dan dilihat dengan teliti kerana mereka telah dipolitikkan sebegitu rupa.

“Kami membuat strategic paper (pelan strategik), iaitu dalam bulan depan terhadap perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Induksi & Makan Malam Pelajar Baru United Kingdom dan Ireland 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, peranan Kelab UMNO luar negara perlu dikaji semula dari segi modelnya sebagai tempat kehadiran dalam mencungkil bakat pemimpin sebagai saluran parti pada masa depan.

“Kelab UMNO perlu main peranan, berbeza daripada persatuan-persatuan lain di luar negara, khususnya untuk memilih pelapis dalam parti.

“Pelajar ini perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan untuk mengartikulasikannya dan memahami beberapa prinsip kerajaan dengan baik, sekiranya mahu menceburkan diri dalam politik,” katanya.

“Kelab UMNO juga perlu main peranan secara berbeza daripada persatuan lain di luar negara, khususnya dalam soal memilih pelapis.
Menurutnya, jawatan parti dalam Kelab UMNO di luar negara bukan ‘jalan ekspres’ pelajar untuk mendapat jawatan dalam parti.

“Ini kerana kepimpinan perlu diuji dan dibina kebolehannya. “Saya berharap pelajar di luar negara ini dapat membawa aspek positif dalam negara berkenaan yang dapat diterapkan kepada negara kita apabila pulang nanti,” katanya.

Kes serang penjaga kuil selesai



SHAH ALAM – Polis mengenal pasti punca serangan terhadap seorang penjaga kuil yang ditemui mati terbaring di sebuah stesen minyak di Lebuh Puteri 6, Pu- chong, Subang Jaya, pada 3 Ogos lalu adalah bermotifkan rasa tidak puas hati kerana mangsa dikatakan menyalahgunakan wang kutipan kuil.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa, V Rajendran, 52, yang juga adik bongsu kepada peguam, Datuk V K Lingam, bergaduh dengan tiga lelaki sebelum kejadian berlaku.

“Susulan penemuan mayat itu, polis kemudiannya berjaya menahan seorang buruh lelaki berusia 30 tahun yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang terlibat dalam kejadian.

“Dua individu lagi sudah dikenal pasti namun kedua-duanya sempat melarikan diri,” katanya dipetik melalui laman sosial Facebook miliknya semalam.

Khalid berkata, polis juga sudah merakamkan sebanyak 16 percakapan saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis juga menemui bahan bukti yang dipercayai digunakan ketiga-tiga individu terbabit untuk memukul mangsa dalam kejadian terbabit. 

“Polis menganggap kes ini selesai sepenuhnya dan sedang mengemas kini kertas siasatan sebelum dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa telah dituntut oleh seorang lagi abangnya, Datuk V Sivaparangothai pada Rabu lalu.

10 pelacur warga asing ditahan




KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita asing yang menjalankan aktiviti pelacuran ditahan di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat kecantikan di Jalan Kuchai Lama di sini kelmarin.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, ASP Khairi Anuar Rusli berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, yang disertai dua pegawai dan 11 anggota itu, polis turut menahan sembilan pelanggan dan seorang penjaga premis warga China.

“Hasil risikan selama dua hari itu, kita dapati premis berkenaan bukan sahaja menjalankan rawatan kecantikan dan spa tetapi turut menawarkan khidmat seks,” katanya kepada media selepas serbuan itu.

Khairi Anuar berkata, semua wanita yang ditahan itu berumur antara 20 dan 30 tahun, manakala pelanggan premis terdiri daripada lelaki tempatan, berumur antara 20 dan 40 tahun. 

“Wanita asing dari beberapa negara ini menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan dua daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya. 

Menurutnya, premis yang beroperasi selama setahun itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan dan operasinya bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 pagi.

“Caj RM80 dikenakan kepada setiap pelanggan yang menginginkan oral seks dan RM150 untuk khidmat seks. Pelacur-pelacur ini juga perlu berbogel ketika menjalankan rawatan urutan kepada pelanggan premis,” katanya. - Bernama

Bapa dera anak direman


HAH ALAM – Seorang pemandu lori yang ditahan di Hospital Serdang pada Khamis lalu, selepas dipercayai mendera anak lelakinya, Kevin Joe, 11, sehingga mati, direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, bapa kanak-kanak itu berusia 35 tahun direman bermula semalam sehingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek ditahan selepas bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa menunjukkan terdapat kesan kecederaan teruk di bahagian badan terutamanya di kepala, dipercayai akibat didera dengan objek tumpul sejak sebulan lalu.

“Kesan luka itu adalah kesan luka lama dan polis percaya mangsa mungkin didera dengan menggunakan rotan atau kayu.

“Setakat ini, siasatan polis masih belum menemui sebarang peralatan yang mungkin digunakan suspek untuk mendera mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pemeriksaan perubatan turut dijalankan terhadap enam lagi anak suspek berusia antara lima hingga 13 tahun, bagi memastikan sama ada mereka turut menjadi mangsa dera bapa kandung sendiri.

“Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan keenam-enam anak suspek terbabit,” katanya.

Zainal Rashid berkata, polis juga sudah merekodkan percakapan isteri suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan, selain memastikan sama ada dia turut terlibat mendera anaknya sehingga mati.

Menurutnya, setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar suspek mendera anaknya. Namun maklumat awal, menunjukkan suspek tidak mempunyai masalah mental atau panas baran tetapi bertindak demikian kerana marah terhadap anaknya.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa yang didakwa pengsan selepas terjatuh di rumahnya di Taman Puchong Utama, dihantar suspek ke Hospital Serdang kira-kira jam 11.30 malam sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mangsa bagaimanapun disahkan mati tidak lama kemudian. Pihak hospital difahamkan membuat laporan polis selepas bedah siasat mangsa menunjukkan kecederaan teruk pada bahagian dalaman selain beberapa kesan dipukul di kepala dan belakang badan dipercayai didera.

Taliban bunuh mubaligh Kristian

KANDAHAR: Kumpulan Taliban semalam mengaku membunuh sembilan mubaligh Kristian di utara negara itu.
Pengakuan itu dibuat selepas pihak berkuasa Afghanistan di wilayah Badakshan mengesahkan penemuan sembilan mayat.
“Semalam (kelmarin), kumpulan peronda kami menemui sekumpulan warga asing. “Mereka ialah mubaligh Kristian dan kami membunuh mereka,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahed.

Menurutnya, kumpulan itu terdiri daripada lelaki dan empat wanita. Mereka membawa Injil dalam bahasa Parsi serta peta.

“Kami membunuh mereka ketika mereka cuba melarikan diri,” kata Zabihullah. - AFP

Setempat Maut kena renjatan

ALOR SETAR: Seorang buruh binaan maut manakala tiga lagi rakannya cedera parah selepas terkena renjatan elektrik ketika menggunakan alat gerudi untuk memasang bumbung aluminium di tapak projek pembinaan sebuah rumah banglo dua tingkat di Taman Awan Faza 2, Langgar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Amin, 30-an, berasal dari Lombok, Indonesia dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Sementara tiga lagi rakannya yang juga berasal dari Indonesia melecur di tangan dan badan masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Difahamkan, mangsa dipercayai melakukan kerja pemasangan bumbung aluminium dengan menggunakan alat gerudi sebelum terbabit dalam kejadian itu.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati wayar yang digunakan mangsa untuk mendapatkan bekalan elektrik dari pejabat binaan yang terletak kira-kira 50 meter dari banglo berkenaan mempunyai banyak kesan lubang yang mungkin menyebabkan mangsa dan rakannya terkena kejutan elektrik.

“Wayar yang digunakan mereka banyak lubang hingga mendedahkan dawai di dalamnya.

“Ia mungkin antara punca mangsa mengalami renjatan elektrik ketika menggunakan alat gerudi untuk memasang bumbung aluminium di rumah berkenaan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dalam perjalanan manakala tiga rakannya yang turut terkena kejutan elektrik hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lelaki menemui sebutir bom tangan di dalam kawasan dusunnya di Kampung Masjid Tanjung Musang, Langgar, di sini kira-kira jam 1.30 petang, semalam.

“Dia dikatakan nyaris membakar bom itu kerana menyangka ia adalah sampah namun ketika mengambilnya untuk diletakkan dalam timbunan sampah dia mendapati ia adalah sejenis bom tinggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua yang dipercayai masih aktif.

“Bom itu, kemudiannya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia di lokasi ia ditemui pada kira-kira jam 4 petang tadi (semalam),” katanya.

Bah tambah buruk

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan semalam berhempas-pulas memindahkan keluarga yang diancam banjir baru apabila hujan lebat terus memburukkan bencana itu yang masuk minggu kedua.
Pegawai menganggarkan lebih 13 juta penduduk di seluruh negara itu terjejas akibat bencana berkenaan sementara jumlah korban hampir mencecah 1,500 orang.
Banjir yang mula melanda kira-kira dua minggu lalu memusnahkan jalan raya, jambatan dan talian komunikasi, menjejaskan usaha menyelamat.

Walaupun paras banjir di beberapa kawasan di barat laut negara itu surut kelmarin, namun hujan lebat semalam menyebabkan paras air di beberapa sungai kembali naik.

Pegawai kaji cuaca, Farooq Dar berkata, hujan lebat di Afghanistan dijangka memburukkan lagi keadaan sepanjang 36 jam akan datang apabila air dari Sungai Kabul mengalir ke barat laut Pakistan. “Ini bermakna banjir akan terus melanda wilayah Punjab dan Sindh,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, bencana itu sama dengan gempa bumi yang melanda Kashmir pada 2005 dari segi jumlah penduduk yang memerlukan bantuan dan kerosakan kemudahan asas.

Lebih 252,000 rumah dan kawasan pertanian seluas 558,000 hektar dipercayai musnah setakat ini.

Seorang penduduk di Sindh memberitahu agensi berita, kira-kira 20 hingga 25 kanak-kanak di kampungnya masih menunggu bantuan untuk diselamatkan.

“Mereka kini terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat pokok,” - katanya. - Agensi

Humban mayat ke laut

PELABUHAN KLANG: Rasa curiga beberapa kaki pancing dengan bunyi bising sebelum melihat seorang lelaki membuang sesuatu ke laut di Jambatan Muhibbah, Pulau Indah, di sini, membawa kepada penemuan mayat dipercayai mangsa pergaduhan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi kelmarin, S Sritharan, 29, dipercayai bergaduh bersama dua lelaki lain sebelum dia ditolak dari atas jambatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sejurus menerima laporan, polis dengan bantuan orang awam cuba mengesan mayat mangsa sebelum menemuinya jam 6.15 petang di Pulau Babi, kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

“Pemeriksaan ke atas mayat tidak menemui sebarang kecederaan. Ketika ditemui, mangsa hanya berseluar jeans,” katanya.

Perbualan terakhir

MASJID TANAH: Impian seorang lelaki yang juga pemastautin tetap (PR) untuk bertemu isteri dan dua anaknya di Sumatera, Indonesia tidak kesampaian apabila dia maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, mangsa dikenali sebagai Sartono Karsoif, 51, mengayuh basikal dari rumah kongsi di Jalan Bertam-Sungai Udang menuju ke Pasaraya Econsave sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Waja dari arah belakang.
Mangsa yang bekerja sebagai tukang besi di Sungai Udang sejak beberapa tahun lalu dikatakan mendaki bukit sebelum dirempuh kereta itu, menyebabkannya tercampak sejauh lima meter lalu terhumban ke dalam longkang.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala dan mati serta-merta di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 30-an itu tidak cedera.

Rakan karib mangsa, Suhibin Mukminin, 34, yang terkejut dengan kejadian itu berkata, dia tidak menyangka perbualannya bersama mangsa sebelum lelaki berkenaan pergi ke kedai adalah kali terakhir.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, arwah sempat berborak dengannya dan tidak sabar-sabar mahu balik ke kampungnya di Sumatera kerana sudah beberapa tahun tidak pulang.

“Dalam perbualan itu dia menyatakan hasrat membeli keperluan untuk anak dan isterinya yang sangat dirindui selepas sekian lama tidak bertemu bagi meraikan Ramadan ini dan berharap dapat menyambut hari raya bersama anak isteri di sana (Indonesia).

“Sebelum pergi ke pasar raya itu, dia beritahu hendak membeli beberapa pasang pakaian dan kasut untuk dua anaknya, malah sudah membeli tiket penerbangan ke Jakarta kira-kira jam 4 petang, Isnin ini (esok), namun niatnya tidak tercapai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Kling berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan datang dari arah Bertam Hulu menghala ke Sungai Udang, manakala mangsa menunggang basikal di bahu jalan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, basikal ditunggang mangsa tiba-tiba masuk ke tengah jalan, menyebabkan pemandu kereta tidak sempat membrek untuk mengelak lalu melanggar belakang basikal.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik IPD Melaka Tengah di talian 06-2834139 untuk membantu siasatan.

Hajat 2 sahabat tidak sampai

PEKAN: Kegembiraan dua sahabat karib yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut hari pertama Ramadan bersama keluarga berakhir tragedi ngeri selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa alat ganti motosikal.
Kejadian berlaku di Kilometer 54, Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Halif Hamzah, 25, dari Kampung Rhu Batik, Dungun, Terengganu dan Ahmad Fuad Mohamad, 26, dari Kampung Gelugor, Kerteh, Terengganu. Kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Ketua polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati dua sahabat terbabit yang bekerja di Singapura dan tinggal di Gelang Patah, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Dungun, Terengganu.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Muhamad Halif dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori membawa muatan alat ganti motosikal.

Katanya, akibat pertembungan itu dua mangsa terbabit yang tersepit dan cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat mereka dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.

Yahaya berkata, pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 40-an cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan turut mendapati, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Johor Bahru untuk menghantar barang alat ganti motosikal dilaporkan masih tidak sedarkan diri akibat cedera di kepala.

“Mayat dua sahabat itu kemudian dihantar ke HP untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca baik serta permukaan jalan lurus.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota TLDM hilang ditemui

IPOH: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu ketika mendaki Gunung Brinchang di Cameron Highlands pada 2 Ogos lalu ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan secara bersendirian di Masjid Kampung Terah, Gua Musang, Kelantan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata Leftenan TLDM Mohd Al-Amin Rohizat, 27, dijumpai penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi semalam dalam keadaan keletihan selepas hilang selama lima hari.
“Mohd Al-Amin dijumpai kira-kira 120 kilometer dari lokasi sebenar iaitu di Gunung Brinchang dalam keadaan keletihan dan dibawa balik ke Hospital Cameron Highlands untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sebaik saja mangsa ditemui pagi semalam.

Sebelum ini, anggota penyelamat dan mencari yang dikerah mengesan mangsa gagal menemui petunjuk, terutama di sekitar lokasi tempat pendakian.

Malah, operasi mencari yang dimulakan pada jam 2.30 petang Selasa lalu membabitkan 20 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, 50 anggota Tentera Darat, Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Tapah dengan dibantu orang awam itu turut buntu.

Penunggang maut

SEREMBAN: “Sebelum memasuki simpang berkenaan, saya tidak perasan ada sebuah lori berhenti tetapi bernasib baik kerana sempat mengelak daripada melanggarnya.

TRAUMA...Jafni (duduk) sugul selepas abangnya maut akibat merempuh lori kargo.
TRAUMA...Jafni (duduk) sugul selepas abangnya maut akibat merempuh lori kargo.


Difahamkan, Muhammad Jafni dan abangnya yang juga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) masing-masing menunggang motosikal Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari universiti itu di Batu Pahat, Johor, menuju ke rumah bapa saudara mereka di Seremban Jaya, di sini.

Mereka yang menuntut di universiti sama dikatakan menunggang motosikal secara berasingan berikutan mangsa tinggal di asrama manakala adiknya menetap di rumah sewa berdekatan di Johor.

Muhammad Jafni berkata, dia tidak berupaya berbuat apa-apa apabila melihat keadaan abangnya kerana terlalu terkejut.

“Ketika itu saya terpaksa meminta bantuan orang awam yang prihatin untuk memaklumkan kejadian itu kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

“Saya sedih kerana dia (abang) bukan saja tidak dapat melawat bapa saudara, malah turut tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-24 hari ini (semalam),” katanya.

Muhammad Jafni berkata, jenazah abangnya yang selesai dibedah siasat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dituntut tengah hari semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata adik mangsa yang menunggang motosikal di depan sempat mengelak lori terbabit hanya kira-kira 50 meter sebelum itu, namun abangnya gagal berbuat demikian kerana kawasan berkenaan gelap dan tiada lampu jalan.

Menurut jurucakap itu, pihaknya kini mengesan pemandu berkenaan yang melarikan diri dan orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Hafizal Zainal Abidin di talian 06-6033394 atau balai polis berdekatan.

Pengantin lelaki ditampar ibu depan tetamu

JEDDAH: Seorang pengantin lelaki ditampar ibunya di depan tetamu gara-gara melakonkan babak cerita Cinderella pada majlis perkahwinannya di Tabuk.
“Pasangan pengantin itu sebelumnya bersetuju dengan rancangan pengantin perempuan berjalan ke dewan majlis dengan sebelah kasut dan sebelah lagi dibawa adiknya.

“Menurut rancangan, pengantin lelaki kemudian akan mengambil sebelah kasut itu dan menyarungkannya pada kaki pengantin perempuan di depan tetamu.

“Si ibu begitu kecewa melihat adegan itu kerana menganggap ia memalukan, menampar muka anaknya. “Si anak akhirnya meninggalkan dewan, berlepas ke lapangan terbang untuk ke Malaysia bagi berbulan madu. - Agensi

Pengacara TV kesal gambar bogelnya dijual



Tasmin Khan


LONDON - Pembaca berita stesen televisyen Britain, ITV, Tasmin Khan mendakwa bekas kekasihnya sengaja menghantar foto-foto bogel dirinya kepada akhbar The Sun sebelum meninggalkannya, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lulusan dari Universiti Oxford berusia 30 tahun itu menyifatkan tindakan bekas teman lelakinya menjual gambar-gambar yang dirakamkan antara 2003 dan 2006 itu menyebabkan dia cuba diaibkan dengan skandal tersebut.
"Saya berasa kesunyian selepas dikecewakan dan dimalukan oleh seorang lelaki yang suatu ketika dulu amat saya percaya. Semua itu gambar peribadi lama dan dia memang mahu menjejaskan kerjaya saya," kata Tasmin.
Akhbar The Sun kelmarin menyiarkan beberapa gambar yang menunjukkan Tasmin atau nama sebenarnya Farhana memakai seutas kalung tanpa pakaian, berbaring sambil berbogel dan aksi dengan hanya memakai seluar dalam.
Stesen ITV tidak memberikan sebarang ulasan dan seorang jurucakapnya berkata, isu itu bersifat peribadi manakala Tasmin ialah seorang wartawan penyiaran berpengalaman. -Agensi

13 juta mangsa banjir terburuk Pakistan



BEBERAPA askar Pakistan memindahkan sekumpulan pekerja stesen tenaga di Lal Pir yang terkandas di loji mereka dengan menggunakan sebuah jentolak.


ISLAMABAD - Pihak berkuasa Pakistan menganggarkan 13 juta penduduk negara itu terpaksa dipindahkan setelah rumah mereka musnah berikutan banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun di seluruh negara tersebut lebih seminggu lalu.
Angka itu lebih tinggi berbanding unjuran awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjangka hanya empat juta terlibat, namun kesan bencana itu menyamai gempa bumi Kashmir pada 2005 yang mengorbankan 73,000 penduduk.
Seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Amal Masud berkata, 12 juta orang di wilayah barat laut dan Punjab diarah untuk berpindah manakala di wilayah Sindh, sejuta penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.
Banjir terbesar dalam sejarah itu turut menyaksikan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan menunda operasi menentang militan Taliban bagi membantu memindahkan jutaan penduduk Pakistan dengan menggunakan 10 buah helikopter pengangkut.
Malangnya, ketika lebih 1,500 rakyat Pakistan maut akibat banjir itu, Presiden Asif Ali Zardari pula mencetuskan kritikan ramai apabila masih membuat lawatan rasmi ke Perancis dan Britain daripada memberi tumpuan kepada masalah negara sendiri. - Agensi

Pelajar wanita maut jatuh dari tingkat 12


08/08/2010 11:01am

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu kes kematian seorang pelajar wanita yang dipercayai terjatuh dari Tingkat 12 sebuah kondominium di Pantai Hill Park dekat sini petang semalam.
Sebelum itu, polis menerima panggilan kira-kira pukul 5 petang berhubung penemuan mayat wanita tersebut yang berumur 31 tahun yang juga seorang pelajar yang baru balik dari luar negara oleh penghuni di laluan kawasan letak kereta kondominium terbabit.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata mayat ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan parah di kepala yang kemudiannya mayat itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Katanya polis kemudiannya menahan suspek, seorang jurufoto yang berkeliaran di kawasan sekitar kondominium terbabit sejurus selepas penemuan mayat wanita itu.
Menurutnya, kedua-duanya dipercayai tinggal bersama di kondominium itu.
"Kami menahan lelaki terbabit dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan. Setakat ini kita akan siasat sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya. - Bernama

Kereta terbakar dua beranak selamat



KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tindakan pantas seorang ibu menarik keluar anaknya berusia empat tahun dari dalam keretanya yang tiba-tiba terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian di Jalan Raja Musa, Kampung Baru di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 7.45 pagi semasa mangsa, Mazuin Maliki, 29, dan anak lelakinya, Mohd. Azip Hafi dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Baru selepas menghantar seorang anaknya di Sekolah Rendah Convent Bukit Nenas.
Menurut Mazuin, ketika hampir sampai ke rumah, kereta jenis Honda CRV yang dipandunya tiba-tiba hilang kuasa.
"Pada masa sama, semua sistem dalam kenderaan itu tidak berfungsi dan lampu terpadam. Saya tambah terkejut apabila melihat asap tiba-tiba keluar dari bahagian enjin.
"Saya segera memberhentikan kenderaan itu dan bergegas membawa anak saya keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Mazuin bernasib baik kerana kenderaannya terbakar berhampiran deretan kedai makan yang disaksikan oleh banyak pekerja di situ.
Mereka yang menyedari kejadian itu kemudian membawa besen berisi air basuhan pinggan dari kedai masing-masing untuk dijiruskan pada kenderaan tersebut.
Semasa anggota Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit tiba di tempat kejadian, kebakaran kenderaan berkenaan sudahpun berjaya dipadamkan oleh pekerja terbabit.
Difahamkan, kebakaran berpunca akibat masalah pendawaian pada bahagian bateri kenderaan tersebut.

Pegawai TLDM sesat di Cameron



IPOH 7 Ogos - Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sesat ketika mendaki Gunung Brinchang di Cameron Highlands, Ahad lalu, ditemui selamat di Kampung Terah, Gua Musang, Kelantan, pagi ini.
Kampung tersebut terletak kira-kira 120 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang sejak enam hari lalu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Leftenan Mohd. Al-Amin Rohizat, 27, ditemui oleh penduduk kampung di Masjid Kampung Terah pada pukul 8.30 pagi.
"Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lesu dan tidak bermaya. Mangsa telah dihantar ke Hospital Cameron Highlands untuk dirawat.
"Operasi mencari dan menyelamat yang bermula Selasa lalu dihentikan serta merta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sabtu lalu, Mohd. Al-Amin yang berasal dari Kampung Rapat di sini, tiba dan bermalam di Cameron Highlands.
Keesokannya, mangsa yang gemar dengan aktiviti lasak dikatakan keluar mendaki di kawasan itu secara bersendirian tanpa dibantu pemandu arah.
Namun, mangsa yang sepatutnya keluar pada keesokannya disedari hilang selepas tidak melaporkan diri di Pangkalan TLDM Lumut pada 2 Ogos lalu.
Mangsa juga tidak pulang ke rumah keluarganya di Kampung Rapat di sini.

Warga emas mati kereta terbakar



IPOH 7 Ogos - Seorang lelaki warga emas ditemui mati terbakar dalam kereta miliknya di Kampung Baru Bukit Merah dekat Menglembu di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai mati akibat terperangkap dalam keretanya.
Sebelum itu, mangsa dikatakan ke sebuah rumah untuk bertemu seorang kenalannya sebelum memasuki semula ke dalam keretanya, Honda Civic yang diletakkan di hadapan kediaman tersebut.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, kereta itu kemudian tiba-tiba dilihat terbakar.
Beliau berkata, beberapa penduduk yang menyedari kebakaran itu cuba mengeluarkan mangsa dan memadamkan kebakaran tetapi api marak terlalu pantas.
"Lelaki tersebut sudah mati apabila api berjaya dipadamkan oleh penduduk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan berkata, sepasukan enam anggota bomba dengan sebuah jentera tiba di tempat kejadian dalam masa 20 minit selepas menerima aduan pada pukul 12.34 tengahari ini.
"Semasa sampai, kebakaran tersebut sudah dipadamkan orang awam. Kami tidak menolak kebakaran itu disebabkan oleh perbuatan sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.

Susilo terselamat plot pengganas



JAKARTA 7 Ogos - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, pihak polis berjaya menggagalkan rancangan pengganas yang mahu menyerang dirinya ketika melawat wilayah Jawa Barat, lapor media rasmi kerajaan hari ini.
"Saya menerima laporan daripada pihak berkuasa malam semalam bahawa terdapat beberapa elemen yang berniat jahat berkeliaran di kawasan Ciwidey untuk melakukan sesuatu terhadap saya," kata Yudhoyono yang dipetik daripada agensi berita Antara.
Menurut Antara, Susilo berkata pengganas tidak akan menang di Indonesia dan mereka hanya "mengorbankan mangsa yang tidak berdosa".
Namun laporan Antara itu tidak memberikan maklumat lengkap mengenai konspirasi yang didakwa semasa lawatan presiden itu semalam.
Dua suspek pengganas ditahan dalam serbuan polis di Jawa Barat hari ini, menurut media tempatan.
Polis mahu menahan tiga suspek, namun seorang berjaya meloloskan diri ketika serbuan di sebuah rumah di daerah kecil Cibiru yang terletak di pinggir Bandung, lapor laman web beritaTempo Interaktif yang memetik Ketua Polis Jawa Barat, Sutarman.
Dua serangan pengganas di hotel mewah di Jakarta oleh perancang yang telah dibunuh, Noordin Mat Top telah mengorbankan sembilan nyawa pada Julai tahun lalu.
Noordin yang ditumpaskan dalam serbuan polis di Jawa Tengah pada 2009, mengetuai sayap pengganas dalam rangkaian Jemaah Islamiah yang dipersalahkan atas beberapa siri serangan di Indonesia. - AFP

Banjir di Pakistan, Kashmir memburuk



AIR banjir menderu deras dari kawasan tinggi seperti jeram sungai di wilayah Sind di Pakistan dalam gambar yang dirakam oleh pertubuhan bukan kerajaan Merlin pada Jumaat lalu. - REUTERS


DURRANI MEHAR 7 Ogos - Pakistan hari ini berada pada tahap merah selepas banjir baru mengancam beratus-ratus penduduk di kawasan pertanian di tengah negara ini dengan 12 juta orang telah pun terjejas dengan bencana ini.
Pihak berkuasa giat memindahkan penduduk di kawasan padat di selatan wilayah Sindh dan memberi amaran banjir besar di sepanjang sungai Indus dijangka memburukkan lagi keadaan.
Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani merayau bantuan antarabangsa disegerakan untuk membantu mangsa yang terjejas ketika pihak berkuasa memindahkan setengah juta penduduk dari kawasan berisiko di selatan negara.
"Saya meminta masyarakat antarabangsa membantu Pakistan mengurangkan penderitaan mangsa banjir.
"Pakistan telah dilanda banjir terburuk dalam sejarah negara ini," kata Gilani dalam siaran televisyen.
Banjir yang berlanjutan selama hampir seminggu di seluruh negara ini mengorbankan sekurang-kurangnya 1,600 orang, mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat meteorologi Pakistan mengeluarkan amaran tahap merah sepanjang malam tadi dan memberi amaran banjir besar akan melanda Sindh, terutamanya sepanjang sungai Indus.
Sementara itu, di Kashmir India, pihak berkuasa meningkatkan usaha menyelamat ketika keadaan cuaca semakin pulih selepas banjir kilat dan tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya 130 orang dan 400 lagi cedera, semalam.
Menurut ketua polis negeri, Kuldeep Khoda, sebanyak 27 mayat ditemui dari kediaman yang runtuh di kawasan pedalaman Ladakh, rantau Himalaya.
Pasukan penyelamat telah menemui 103 mayat semalam.
Beribu-ribu orang di kawasan rendah di Leh, perkampungan utama di Ladakh, berpindah ke kawasan tinggi dan bermalam di kawasan lapang, semalam, menurut seorang ahli perniagaan, Kausar Makhdoomi.
Banjir itu turut merosakkan hospital utama di perkampungan itu memaksa pihak berkuasa memindahkan pesakit ke ke hospital tentera berhampiran.
Dilaporkan hampir 2,000 pelancong asing berada di Ladakh, destinasi popular di kalangan penggemar sukan lasak, ketika hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh dan menenggelamkan kediaman serta memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi semalam. - AFP/AP

11 mati bas jatuh gaung



08/08/2010 2:41am

BEIJING 8 Ogos - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh apabila sebuah bas pelancong terhumban ke dalam gaung di barat daya China, lapor media negeri semalam.Agensi berita rasmi Xinhua berkata, kemalangan itu berlaku di wilayah Sichuan tetapi tiada maklumat lanjut mengenainya.
Kebanyakan jalan raya di China antara yang paling berbahaya di dunia dengan peraturan lalu lintas yang lemah.

Mengikut statistik polis, sepanjang tahun lalu tidak kurang 70,000 orang mati dalam kemalangan jalan raya atau purata kira-kira 190 kematian setiap hari. - AFP

Anggota polis kejar penjenayah meninggal



KUALA LUMPUR 7 Ogos - Seorang anggota polis, Lans Koperal Nik Faizi Nik Din yang koma sejak tiga hari lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sentul, Rabu lalu meninggal dunia hari ini.
Anggota polis berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut ketika cuba mengejar penjenayah di Jalan Segambut.
Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemergian Allahyarham yang juga peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja ditangisi oleh ahli keluarganya malah turut dirasai oleh rakan-rakan termasuk Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.
Zakaria ketika ditemui di surau kuarters HKL hari ini memberitahu, beliau mengenali Allahyarham sejak April lalu, sebagai seorang yang pendiam, berbudi bahasa tinggi dan terkenal dengan sifat berani.
"Saya bangga dengan Nik Hafizi yang sanggup bergadai nyawa demi menjalankan tugas dan tanggungjawab membanteras jenayah.
"Insiden menimpa Nik Hafizi merupakan contoh risiko yang perlu diambil dan dihadapi oleh anggota polis untuk menjaga keselamatan orang awam," katanya.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang ditugaskan untuk menjaga kawasan belakang sekatan jalan raya di situ ternampak seorang lelaki membawa parang dan cuba berpatah balik dengan melawan arus.
Mangsa mengejar suspek menggunakan motosikal tetapi sebaik sahaja tiba di bulatan Kepong, motosikal mangsa hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah treler.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan surau kuarters HKL apabila lebih 50 kenalan dan keluarga Nik Hafizi hadir memberi penghormatan terakhir.
Bapa Nik Hafizi, Nik Din Wan Muda, 49, berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada enam beradik itu.
Jenazah Nik Hafizi dibawa pulang ke Felda Ciku 3, Gua Musang untuk dikebumikan.
Menurut ibunya, Nik Zaharah Nik Awang, 48, semua ahli keluarga berada di sisi sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Mangsa bunuh ialah adik V.K. Lingam



KUALA LUMPUR 7 Ogos – Polis mengesahkan identiti seorang lelaki yang dibunuh di sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Puteri di Serdang adalah adik bongsu Datuk V. K. Lingam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, perkara itu disahkan oleh abang mangsa, Datuk V. Sivaparangothai yang telah menuntut mayat V. Rajendran di Hospital Serdang pada Rabu lalu.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-kira pukul 11 malam pada 3 Ogos lalu.
Katanya, suspek ditahan semasa membuat laporan polis berhubung kematian mangsa.
“Kenyataan yang dibuat suspek bagaimanapun dilihat bercanggah dengan kejadian sebenar dan pihak polis terpaksa menahannya.
“Bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa telah ditemui dan 16 saksi telah memberi keterangan.
“Kita sedang memburu dua lagi rakan suspek berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu,” katanya dalam laman sosial Facebook di sini hari ini.
Lingam sebelum ini dikaitkan sebagai individu yang dirakam dalam klip video berhubung perbualan seorang lelaki mengaturkan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.
Klip video itu yang didedahkan pada 2007 mencetuskan kontroversi kerana menjejaskan integriti badan kehakiman hingga menyebabkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat klip video tersebut.
Peguam itu bagaimanapun menafikan segala tuduhan tersebut.
Pada 3 Ogos lalu, Rajendran dipukul sehingga mati oleh tiga lelaki yang dikenali di Bandar Tasik Puteri, Serdang, akibat disyaki menyeleweng duit kutipan sebuah kuil.

Banjir di Eropah ragut 7 nyawa



08/08/2010 2:41am

WARSAW, Poland 8 Ogos - Bencana banjir dan hujan lebat yang melanda Poland, Jerman dan Republik Czech telah meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa.
Lenka Moravconva, jurucakap perkhidmatan penyelamat di selatan Republik Czech berkata, tiga orang mati daerah persempadanan antara Poland dan Jerman semalam.
Lebih 1,000 orang penduduk, sebahagiannya melibatkan mereka yang berada di kawasan bawah dua empangan telah dipindahkan berikutan kenaikan paras air yang mendadak.
Penduduk di bandar Chrastava dan Frydlant yang telah ditengelami air telah diselamatkan oleh helikopter polis dan tentera dari bumbung rumah mereka.
Tiga kem musim panas untuk kanak-kanak juga telah dipindahkan.
Pusat kajicuaca memberi amaran hujan lebat dijangka akan berterusan sehingga esok dan polis pula berkata, banjir yang melanda timur Jerman telah meragut tiga nyawa di negeri Saxony.
Kira-kira 2,000 orang penduduk telah pindah meninggalkan rumah kediaman mereka berikutan tanah runtuh dan banjir besar yang melanda barat Kanada.
kejadian tanah runtuh itu telah mewujudkan empangan seluas 300 meter sepanjang dua kilometer di Maeger Creek dekat Pemberton kira-kira 250 kilometer ke utara Vancouver, British Colombia.
Arahan berpindah telah dikeluarkan selepas beberapa jam berlaku tanah runtuh awal kelmarin kerana tasik yang ada di situ akan bocor dan melepaskan bendungannya dengan lebih laju.

Pegawai operasi kecemasan daerah, Ryan Wainwringht semalam berkata, masih terlalu
awal untuk mengatakan bila arahan perpindahan akan ditarik balik.
Punca kejadian tanah runtuh itu bagaimanapun belum diketahui.