Search This Blog

Saturday, August 7, 2010

Korban denggi cecah 93 orang, hospital diarah pantau rawatan





2010/08/07

KUALA LUMPUR: Semua hospital dan klinik di negara ini telah diarahkan agar memantau rawatan demam denggi dengan lebih berhati-hati. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ini kerana keadaan jangkitan semakin membimbangkan apabila jumlah kematian terus meningkat kepada 93 kes sehingga semalam berbanding 67 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah kes denggi yang dilaporkan pula ialah sebanyak 29,255 kes setakat ini berbanding 27,989 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Peningkatan bilangan kematian sebanyak 38.8 peratus dan peningkatan kes sebanyak 4.5 peratus adalah amat membimbangkan. Ini juga satu ancaman serius dan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Liow mengulangi nasihatnya kepada orang ramai agar mengambil langkah pencegahan seperti memastikan kebersihan kawasan tempat tinggal mereka bagi mengelak penularan demam denggi. 

"Saya telah mengarahkan pegawai saya supaya mengetatkan penguatkuasaan mereka untuk pastikan tidak ada penularan demam denggi di kawasan tempat tinggal terutamanya," katanya. 

Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Kapitan Yap Ah Loy anjuran Persekutuan Persatuan Nanyang Malaysia yang bertujuan untuk menghayati dan menghargai sumbangan pengasas Kuala Lumpur itu. - BERNAMA

Kanak-kanak mati Khamis lalu dipercayai didera





2010/08/07

KANAK-KANAK LELAKI YANG MENINGGAL PADA KHAMIS DIPERCAYAI DIDERA SEJAK SEBULAN LEPAS 

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Hospital Serdang, Khamis lalu dipercayai menjadi mangsa dera bapanya sejak sebulan yang lalu.
Ketua Polis Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, berkata suspek berumur 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu kini direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
"Berdasarkan kesan luka yang dialami kanak-kanak itu, ia bukan luka baru, sebaliknya laporan bedah siasat mendapati banyak kesan lama pada badan mangsa terutama di bahagian kepala. 

"Namun pemeriksaan ke atas enam lagi anak mangsa yang berumur 5 hingga 13 tahun mendapati tiada kesan menunjukkan mereka didera," katanya. 

Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan daripada isteri suspek yang berusia 30-an bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti sama ada isterinya terbabit dalam kes itu atau tidak. 

Dalam kejadian itu, pelajar darjah lima berkenaan dibawa oleh bapanya ke Hospital Serdang selepas dilaporkan tidak sedarkan diri. 
Bapanya mendakwa mangsa terjatuh di rumah mereka di Taman Puchong Utama petang Khamis lalu, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11.30 malam hari yang sama. 

Bagaimanapun, pemeriksaan hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian dalaman selain beberapa kesan dipukul di kepala, belakang badan dan kaki. 

Zainal Rashid berkata, punca kanak-kanak itu didera masih dalam siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Mayat kanak-kanak mangsa lemas dijumpai



07/08/2010 3:21pm

TUARAN - Mayat seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, yang dihanyutkan air deras ketika mandi bersama seorang rakannya di Sungai Tamparuli Rabu lepas, ditemui awal hari ini.
Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Liza Saidin dikatakan dihanyutkan air deras ketika mandi di sungai berhampiran tapak pasar tamu kira-kira pukul 4.30 petang.
Rakannya, yang berusia 13 tahun, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai.
Mayat Liza dijumpai terapung di sungai berkenaan berdekatan Kampung Labuaya, Tuaran pada pukul 7.20 pagi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Rudy Mekii di sini hari ini.
Rudy berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tuaran untuk dibedah siasat. - Bernama

Dua jurutera ditipu skim cepat kaya



JOHOR BAHRU – Sewa mesin penapis air mineral bernilai RM1,400 sebulan dan dijanjikan keuntungan sehingga RM3,000 setiap bulan.
Demikian janji kosong sebuah syarikat skim cepat kaya yang berselindung di sebalik syarikat penapis air mineral di Taman Molek di sini sehingga menyebabkan dua jurutera berputih mata selepas mendakwa ditipu lebih RM21,000 setiap seorang.
Mangsa, Lee Poh Keong, 39, berkata, pada mulanya dia didatangi seorang ejen syarikat berkenaan yang menawarkannya peluang mendapat keuntungan mudah dengan menyewa mesin penapisan air mineral sekitar September tahun lalu.
Selepas tertarik dengan tawaran tersebut, Poh Keong kemudian mengajak rakan sejawatannya, K. Thorajoo, 32, untuk turut serta.
Walaupun terpaksa menandatangani kontrak yang mahukan mereka berdua menyediakan RM21,000 seorang, kedua-dua mereka yang yakin akan mendapat untung segera bertindak memohon sembilan kad kredit dari bank berlainan bagi menampung kos pelaburan itu.
“Siapa yang tidak mahu RM3,000 sebulan, selain boleh membayar balik ansuran kad kredit, kami juga boleh dapat duit lebih.
“Namun tanpa diduga, saya hanya memperoleh RM200 sahaja sebulan pada tiga bulan pertama sebelum mengambil keputusan untuk berhenti daripada skim tersebut,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini semalam.
Poh Keong berkata, dia kini buntu memikirkan bagaimana untuk membayar balik hutang kad kredit, tambahan pula syarikat tersebut dakwanya kini diambil alih oleh pengurusan baru.
“Lebih teruk saya turut dibebankan dengan hutang pinjaman kereta dan rumah,” ceritanya lagi.
Dalam pada itu, Thorajoo berkata, nasibnya lebih malang apabila syarikat terbabit langsung tidak memberikannya mesin penapisan air mineral tersebut meskipun telah menandatangani perjanjian kontrak yang memaksanya mengeluarkan pelaburan lebih RM21,000.
“Nak cari mereka sudah tidak tahu di mana, kini kami terpaksa menanggung hutang. Saya menyesal tidak sudah dan saya harap pihak bank dapat bertolak ansur berhubung ansuran kad kredit,” katanya yang telah membuat laporan polis.
Sementara itu, Tay berkata, pihaknya akan membantu kedua-dua mangsa mendapatkan peguam bagi membela nasib mereka berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat lanjut.

PGM Tawau rampas pelbagai barangan seludup bernilai RM64,000



07/08/2010 5:09pm

TAWAU - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan kawalan bernilai RM64,996.25 dalam tiga kes berasingan semalam.
Pegawai Markas Operasi PGM Tawau ASP Mohammad Ismail berkata, barangan kawalan yang dirampas ialah gula (1,705kg), minyak masak (633kg), tepung gandum (60kg), gas memasak (37 tong), minuman keras (60 botol) dan daging ayam (610kg).
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohamad berkata, dalam kes pertama, pihaknya merampas gula seberat 624kg, minyak masak (565kg) dan tepung gandum (60kg) selepas memeriksa sebuah bot penumpang Tawau-Nunukan pada pukul 3.30 pagi.
Pemeriksaan ke atas bot penumpang Tawau-Nunukan kedua pula membawa kepada rampasan 610kg daging ayam dan 60 botol minuman keras, katanya.
Dalam kes ketiga, bot PGM yang meronda di perairan Batu 4 berjaya memintas sebuah bot yang mencurigakan dan ketika pemeriksaan menemui 1,080kg gula dan 68kg minyak masak yang disorok di dalam tong ikan, serta 37 tong gas memasak.
PGM juga menahan tiga lelaki rakyat Indonesia yang berada di atas bot berkenaan dan kes disiasat mengikut Sekseyn 135 (1) (E) Akta Kastam, katanya. - Bernama

Anggota polis parah dirempuh treler meninggal dunia



07/08/2010 5:18pm

KUALA LUMPUR - Anggota polis yang cedera parah di kepala akibat dirempuh sebuah treler ketika sedang mengejar seorang suspek yang melarikan diri dari sekatan polis di Sentul semalam, meninggal dunia hari ini.
L/Kpl Nik Hafizie Nik Din, 25, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk di kepala akibat kemalangan itu.
Dalam insiden semalam, Nik Hafizie mengalami kecederaan parah di bahagian kepala apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah treler ketika beliau sedang mengejar seorang suspek bersenjatakan parang berhampiran bulatan di Segambut.
Zakaria yang ditemui pemberita di surau kuarters HKL di sini hari ini berkata, suspek dalam kes itu masih bebas.
"Suspek berjaya melarikan diri, setakat ini tiada tangkapan dibuat terhadap suspek dan polis masih meneruskan siasatan,” katanya.
Zakaria berkata, ketika hayatnya, Allahyarham seorang yang berdisiplin dan berperibadi baik serta disenangi oleh kesemua anggota pasukan.
"Dia juga seorang yang berani dan rajin. Allahyarham menemui ajal sebagai seorang pahlawan dan saya bangga dengan keberaniannya ketika menjalankan tugas,” katanya. - Bernama

2 rakan maut selepas kereta bertembung lori



07/08/2010 5:51pm

PEKAN - Dua rakan maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa alat ganti motosikal di Kilometer 54, Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara Pekan awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 2.15 pagi tadi itu meragut nyawa Muhamad Halif Hamzah, 25, dari Kampung Rhu Batik, Dungun, Terengganu dan Ahmad Fuad Mohamad, 26, dari Kampung Gelugor, Kerteh, Terengganu yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa yang bekerja di Singapura dan tinggal di Gelang Patah, Johor Bharu dalam perjalanan pulang ke Dungun, Terengganu untuk menyambut awal Ramadan bersama keluarga.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Muhamad Halif dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan alat ganti motosikal.
Yahaya berkata, pertembungan itu menyebabakan dua rakan itu tersepit dan mendapat kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori yang berusia 40-an itu turut mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk rawatan lanjut. - Bernama

Dua rakyat Myanmar maut ditetak rakan



07/08/2010 6:31pm

IPOH - Dua lelaki warga Myammar maut selepas ditetak rakan mereka dengan sebilah kapak di sebuah rumah di Menglembu di sini awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada selisih faham mengenai wang.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam kejadian pada pukul 2.15 pagi itu kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di perut dan kepala dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
"Polis masih gagal mengesan identiti kedua-dua mangsa berikutan tiada penemuan sebarang pengenalan diri dan pasport di kediaman mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau, berkata suspek yang menetak mangsa ditahan dua jam selepas kejadian di sebuah kawasan di Lahat di sini selepas usaha menjejakinya dilakukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Menglembu.
Katanya polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Mohd. Dzuraidi berkata, sebaik pihaknya tiba, kedua-dua mangsa yang ditemui di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia dengan kesan tikaman dan tetakan kapak di bahagian kepada serta perut. - Bernama

Pembunuh Lennon tetap ancaman: Ono





2010/08/07

BEVERLY HILLS: Tiga dekad selepas kematian John Lennon, Yoko Ono membantah parol diberi kepada pembunuh suaminya kerana percaya tertuduh masih menjadi potensi ancaman. 

Balu Lennon itu berkata, beliau cuba menjadi seorang yang ‘praktikal’ dalam meminta Mark David Chapman berada di balik tirai besi kerana menembak mati legenda pop itu pada 8 Disember 1980 di luar bangunan pangsapuri Manhattan milik Lennon.
Chapman berulang kali dinafikan hak mendapat parol tetapi permintaannya akan dipertimbangkan semula bulan ini di New York.
Ono percaya, Chapman mungkin satu ancaman kepadanya dan anggota keluarga lain. Beliau enggan mengulas lebih lanjut. 

Dalam perbicaraan parol terakhirnya, Chapman berkata, dia amat malu dan kesal kerana menembak bekas anggota Beatles itu. Dia memberitahu lembaga parol, dia menyesal atas perbuatannya dan memahami kesan tindakannya. 

Ono, 77, membuat kenyataan terbabit dalam satu mesyuarat kelmarin dengan Persatuan Pengkritik Televisyen. Beliau membincangkan satu program dokumentari baru PBS mengenai keluarga Lennon dan kehidupan mendiang di New York pada 1970-an. 

LennonNYC, yang akan disiarkan pada 22 November depan, adalah sebahagian daripada siri televisyen umum American Masters. Rancangan berkenaan dijangka disiarkan menerusi rakaman studio, konsert dan filem, kata produser Susan Lacy. – AP.

'Mereka mahu bunuh bayi ini'

AMPANG: “Saya yakin mereka yang membuang bayi ini berniat membunuhnya,” kata Jamaludin Mawardi, 17, yang menjumpai seorang bayi perempuan dalam pembetung longkang berair berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate di sini, petang semalam.

DI SINI..Jamaludin menunjukkan tempat bayi terbabit (gambar kecil) ditemui.
DI SINI..Jamaludin menunjukkan tempat bayi terbabit (gambar kecil) ditemui.

Ketika diselamatkan kira-kira jam 3.20 petang, bayi yang masih bertali pusat dan bogel serta terendam dalam air itu diselaputi lumpur dan kotoran serta menangis sekuat hati.

Jamaludin berkata, ketika kejadian dia bermain bersama rakan di kawasan itu sebelum terdengar tangisan bayi, namun hairan kerana ia datang dari arah longkang besar tidak jauh dari MRR2.

“Saya memberanikan diri meninjau ke dalam pembetung itu sebelum terkejut melihat kaki bayi terjuntai keluar dari longkang berkenaan dan bergerak-gerak.
“Sebaik menyedari bayi itu masih hidup, saya memanggil penduduk dan pekerja stesen minyak berhampiran untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurutnya, orang ramai berusaha mengeluarkan bayi perempuan itu dari dalam pembetung berkenaan dengan berhati-hati.

“Ketika itu saya lihat seluruh tubuh bayi terbabit diselaputi lumpur dan kotoran longkang. Keadaannya teruk dan mungkin akan mati jika tidak diselamatkan segera kerana pembetung itu berair.

“Orang yang membuang bayi terbabit binatang berwajah manusia yang tidak ada akal. Saya yakin ibu bayi itu berniat membunuhnya,” katanya.

Sejurus dibawa keluar dari pembetung berkenaan, bayi terbabit dibawa seorang wanita yang juga isteri pemilik stesen minyak Petronas berhampiran ke premisnya untuk dibersihkan.
Bayi terbabit dimandikan sebelum dibalut dengan kain bersih dan diberikan susu berikutan kelaparan.

Isteri pemilik stesen minyak berkenaan, Fadzilah Abdul Majid, 50, berkata keadaan bayi itu kebiru-biruan akibat dibiarkan terendam kesejukan terlalu lama di dalam air.

“Keadaan bayi terbabit amat menyedihkan kerana dia baru dilahirkan. Saya tak pasti siapa yang tergamak mahu membunuh bayi yang baru lahir itu,” katanya.
Menurutnya, dia menghubungi ambulans untuk membawa bayi berkenaan ke hospital.

“Tidak lama kemudian, beberapa petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bersama ambulans tiba dan membawa bayi itu ke Hospital Ampang untuk rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Menurutnya, dia benar-benar sedih dengan apa yang berlaku dan percaya hanya manusia tidak berhati perut sanggup membiarkan bayi itu mati lemas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan pihak bertanggungjawab yang membuang bayi terbabit di kawasan itu.

Menurutnya, bayi berkenaan kini stabil dan dirawat di Hospital Ampang.

Pihaknya akan mengambil keterangan beberapa saksi bagi membolehkan siasatan dilakukan secepat mungkin.

Kejadian terbaru itu mengulangi insiden sama apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir ditemui dibuang di dalam kotak di Jalan Menteri, berhampiran sebuah bank di Sungai Besar, Selangor, jam 9.30 pagi kelmarin.

Ketika ditemui bayi terbabit yang berada dalam keadaan bogel hanya ditutupi dengan kotak dengan menampakkan kepalanya sahaja.

Bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi pemeriksaan lanjut.

Bayi perempuan ditemui tepi longkang dekat stesen minyak





2010/08/06

HULU KLANG: Seorang bayi perempuan dibungkus kain putih ditemui ditinggalkan di tepi longkang berhampiran Stesen Petronas Klang Gate di sini jam 3.20 petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika mengesahkan perkara itu, berkata bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat.
"Bayi itu dalam keadaan sihat dan cukup sifat. Berdasarkan keadaannya, kita percaya bayi itu dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.
"Kejadian ini cukup menyedihkan kerana ia kes pembuangan bayi kedua dalam tempoh tidak sampai 24 jam di Selangor selepas kes pertama di Sabak Bernam semalam," katanya.

Tiga ke tali gantung kes edar dadah





2010/08/07

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini dan Shah Alam, Selangor, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah dan pil ecstasy pada 2009 dan 2007. 

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seorang penganggur, R Satiamoorty, 26, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 29,298 gram, tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Satiamoorty didakwa mengedar dadah berkenaan di kawasan stesen minyak Mobil Sri Rampai, Taman Sri Rampai di sini, pada jam 5.40 petang, pada 13 Mei 2009. 

Azman dalam penghakimannya berkata, hanya Satiamoorty saja yang memandu kereta yang mana dadah seberat 29,298 gram kanabis dijumpai selepas ditahan polis yang mengekorinya dari kawasan rehat dan rawat (R&R) Hulu Bernam sehingga stesen minyak di Sri Rampai. 

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Satiamoorty diwakili peguam bela Gooi Soon Seng. 

Di SHAH ALAM, seorang penjual ikan dan seorang penjual sayur dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 3,000 pil ecstasy seberat lebih 300 gram, tiga tahun lalu. 
Penjual sayur, Tong Chong Men, 48, dan penjual ikan, Cheah Choon Heng, 39, dikenakan hukuman berkenaan kerana mengedar lebih 300 gram dadah jenis 'Methylenedioxymethamphetamine' (MDMA) dan ketamin di hadapan sebuah kedai perabot di Jalan SJ17/A, Taman Selayang Jaya, Batu Caves, Gombak, jam 9.30 malam 24 September 2007. 

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, ketika membacakan penghakimannya, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yong Leou Shin, manakala Tong dan Cheah masing-masing diwakili peguam Zaki Ezhar Bahar dan Afifuddin Hafifi.

500,000 mangsa banjir hilang tempat tinggal





2010/08/07




Pakistan risau hujan berterusan burukkan lagi masalah
 
SEBUAH keluarga menunggu di bumbung masjid untuk diselamatkan daripada banjir di bandar Sanawa, daerah Punjab, kelmarin.
SEBUAH keluarga menunggu di bumbung masjid untuk diselamatkan daripada banjir di bandar Sanawa, daerah Punjab, kelmarin.
SUKKUR: Pihak berkuasa Pakistan memindahkan lebih setengah juta penduduk hingga semalam di wilayah Sindh, yang diancam banjir paling teruk dalam 80 tahun yang mengorbankan lebih 1,600 orang dan menjejaskan berjuta-juta lagi.
Banjir yang melarat ke Sindh itu dijangka menjadi bertambah teruk apabila air semakin naik.
“Hujan berterusan dan sekurang-kurangnya 11 daerah berada pada paras risiko di Sindh, dengan lebih 500,000 orang dipindahkan ke kawasan selamat dan pemindahan diteruskan berdasarkan amaran Jabatan Kaji Cuaca,” kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Kakitangan Jabatan Kaji Cuaca, Hazrat Mir, berkata air terus naik di utara wilayah Sindh dan akan melanda pekan Sukkur hari ini, kawasan rendah di sekitar Sungai Indus adalah kawasan berisiko tinggi. 

“Hujan lebat tanpa henti memburukkan lagi keadaan,” kata Saleh Farooqui, Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah. 

“Orang ramai meninggalkan rumah kerana banjir dan sedar hujan punca masalah berterusan.” 
Tentera Pakistan terpaksa mengetuai usaha bantuan banjir kerana agensi bantuan kerajaan tidak berupaya melaksanakan tugas itu. 

Dalam keadaan tertentu, helikopter tentera terbang rendah di atas bumbung rumah bagi mengangkut mangsa banjir yang terperangkap dalam banjir yang menenggelamkan kediaman mereka. 

Di tempat lain, mangsa banjir terbabit terpaksa mencari perlindungan sendiri. 
“Kami tidak ada apa-apa, tiada siapa memberi kami satu sen pun,” kata pengembala lembu, Khair Mohammad, selepas hujan dua jam tanpa henti. 

Sementara itu, seorang wanita tua, yang patah kakinya ketika melarikan diri selepas rumahnya ditenggelami air, duduk termenung di atas katil kayu, sambil mengharapkan bantuan yang tidak kunjung tiba. 

Cuaca buruk menjejaskan usaha anggota penyelamat menggunakan helikopter membawa bekalan kecemasan ke kawasan teruk di timur laut Pakistan. – AP/ Reuters

16 maut, 7 terperangkap dalam kebakaran lombong China





2010/08/07

BEIJING: Anggota penyelamat bertungkus lumus untuk menyelamatkan tujuh pekerja yang terperangkap dalam lombong emas di timur China selepas kebakaran bawah tanah membunuh sekurang-kurangnya 16 pekerja. 

Kebakaran bermula petang semalam di Lombong Emas Lingnan di bandaraya Shandong tetapi sudah dipadam dan tumpuan sekarang ialah untuk menyelamatkan pekerja yang terperangkap.
Kebakaran itu pada mulanya memerangkap 50 pekerja tetapi semua kecuali tujuh pekerja berjaya diselamatkan sehingga 11 pagi ini. - AP

Pekerja hotel mangsa kelapan maut jangkitan kencing tikus





2010/08/07

KUANTAN: Seorang pekerja hotel menjadi mangsa kelapan meninggal dunia akibat wabak Melioidosis dan Leptospirosis yang berlaku di pusat rekreasi Lubuk Yu, Maran. 

Mohd Fazli Hassan, berusia 40 tahun, dari Bentong disahkan meninggal dunia kira-kira pada jam 4.35 petang kelmarin di Hospital Selayang, Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun, berkata mangsa adalah sepupu kepada mangsa lemas di pusat rekreasi terbabit dalam kejadian pada 26 Jun lalu, Mohd Azhar Azizam, 28.
“Mangsa yang bekerja di sebuah hotel di Brickfield, Kuala Lumpur mula dimasukkan ke hospital terbabit pada 4 Julai lalu dan sering dipindahkan antara wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad biasa beberapa kali. 

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia petang kelmarin akibat jangkitan Melioidosis. Mangsa juga mempunyai penyakit kencing manis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Dengan kematian terbaru itu, kes kematian berkaitan wabak jangkitan Melioidosis dan Leptospirosis di pusat rekreasi Lubuk Yu, Maran, sudah meningkat kepada lapan orang setakat ini. 

Sementara itu, di ALOR SETAR, Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 11 kes membabitkan jangkitan virus Leptospirosis atau kencing tikus dikesan di Kedah, sejak sebulan lalu. 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata daripada 11 kes berkenaan, enam daripadanya dikesan berpunca dari Hutan Lipur Lata Bayu, Baling, manakala lima kes lagi masih belum dapat diketahui punca jangkitan. 

“Kita mengesan lima kes baru membabitkan jangkitan virus sama di Hospital Yan, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah dan daripada lima kes berkenaan, tiga daripadanya positif. 

“Bagaimanapun, lokasi sebenar penularan virus berkenaan masih belum dapat dikesan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dua anggota 10 Briged PARA lemas ketika latihan





2010/08/07

MELAKA: Dua anggota 10 Briged PARA, lemas ketika menjalani latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Sungai Udang, dekat sini, jam 11 pagi semalam. 

Mohd Hafizullah Sohok, 19, dari Pasir Puteh, Kelantan dan Shahrul Nizam Salim, 24, dari Felda Palong 7, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Dibelasah junior

KEPALA BATAS: Hanya kerana salah faham, seorang pelajar senior sebuah sekolah di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, cedera dibelasah seorang pelajar tingkatan tiga sekolah sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin di luar sekolah berkenaan, mangsa, Mohamad Farid Sohaimi, 17, yang juga pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan lebam mata, belakang leher, badan dan tangan.

Mangsa mendakwa dibelasah pelajar tingkatan tiga sekolah sama bersama tujuh rakan lain menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal.

Katanya, ketika kejadian dia hanya berseorangan dan tidak mampu menyelamatkan diri berikutan jumlah penyerang ramai selain diserang bertubi-tubi.

“Ketika tiba di kawasan hutan berhampiran sekolah, saya dikepung lapan lelaki dan saya cuba melarikan diri dengan motosikal, namun mereka mengejar dan menghalang saya.

“Kumpulan itu memukul saya menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kepala Batas, semalam, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohamad Farid berkata, dia diserang hampir lima minit sebelum ditinggalkan di kawasan itu dalam keadaan cedera dan tidak bermaya.

Dakwanya, dia dan pelajar tingkatan tiga itu berselisih faham di sekolah, tetapi tidak menyangka ia berlarutan sehingga di luar sekolah.

“Perselisihan faham kami kecil dan ia boleh diselesaikan dengan cara baik, namun tidak sangka ia berlarutan sehingga di luar sekolah,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Tikam Batu petang kelmarin sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

Katanya, selain cedera pada muka, badan, tangan dan belakang leher, dia juga perlu menemui pakar mata bagi membuat pemeriksaan bengkak di bahagian itu.

Sementara itu, bapa Mohamad Farid, Sohaimi Fuid, 45, meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyerang anaknya kerana bimbang pelajar atau individu lain menjadi mangsa mereka.

“Saya berharap pihak berkuasa menyelesaikan masalah ini segera supaya tiada lagi orang lain menjadi mangsa buli,” katanya.

Romeo ‘warak’

KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang dilamar untuk berkahwin akhirnya menjadi mangsa tipu seorang lelaki ‘warak’ yang menggunakan himpunan kata pedoman serta doa ayat suci di Internet untuk memikat mangsa supaya menyerahkan wang.
Lelaki itu yang kerap tampil berserban selain tidak lekang bibirnya mengungkap himpunan hadis menyebabkan ramai gadis mudah jatuh cinta kerana menyangka dia benar-benar alim dan boleh dipercayai. Namun, mangsa yang dijerat melalui laman sosial Facebook atau Tagged hanya menyedari niat sebenar suspek ‘romeo Internet’ itu selepas wang dalam akaun mereka ‘disedut’ sedikit demi sedikit.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Lin, 30-an, berkata, taktik itu menyebabkan dia rugi hampir RM20,000 tunai selepas diperdaya menyerahkan nombor akaun bank kepada lelaki berkenaan. Katanya, dia mengenali lelaki itu melalui laman sembang Internet dan tertarik dengan personalitinya yang kerap melontarkan nasihat berbentuk keagamaan selain bijak memberikan tazkirah berhubung masalah hidup. “Buah fikiran bernas diselangi doa menyebabkan saya tertarik dengan tanggapan dia lelaki matang dan benar-benar mahu membantu wanita bermasalah,” katanya.

Katanya, lelaki itu dikenali sebagai Abdullah, 30-an, menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah dihadapinya terutama membabitkan ansuran tertunggak rumah dan kereta. “Saya bersetuju menemuinya di kawasan rawat dan rehat Sungai Buloh buat kali pertama selepas saling berbalas e-mel dan SMS sejak beberapa bulan lalu. “Pertemuan kali pertama itu menyebabkan hati saya berdegup kencang apatah lagi dengan penampilannya berjubah selain wajahnya yang agak kacak.

Lebih memeranjatkan apabila dia tanpa segan silu meluahkan perasaan kononnya jatuh cinta terhadap saya pada pandang pertama. “Dia kemudian merayu dan meminta saya menerima cintanya sambil menyatakan hasrat mengahwini saya dalam tempoh terdekat,” kata mangsa ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam. Katanya, dia benar-benar terkejut dengan lamaran mendadak itu apatah lagi menyedari mereka masih di peringkat awal perkenalan dan baru bersua muka.

“Ini menyebabkan saya dibuai perasaan, ditambah dengan kesungguhannya mahu melangsaikan semua hutang rumah saya di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, yang mencecah RM50,000. “Kebaikan ditunjukkannya menyebabkan saya tambah jatuh hati apatah lagi selepas kerap diberi tazkirah agama berikutan dia mengaku pernah menjadi guru agama. “Malah, dia kerap bertanya saya sama ada solat lima waktu saya cukup atau sebaliknya,” katanya. Menurutnya, pada masa sama ‘teman lelakinya’ itu memintanya menyerahkan nombor akaun bank dan angka laluan rahsia sistem perbankan dalam talian miliknya.
“Dia memberi alasan bahawa itu untuk bagi memastikan perbelanjaan kewangan saya dapat diselaraskan selain dipantau bagi mengelak pembaziran. “Namun, dakwaan asalnya untuk menguruskan kewangan saya menjadi sebaliknya apabila wang dalam akaun bank saya ‘disedut’ sedikit demi sedikit. Malah, surat gadaian barang kemas saya turut diambil dan ditebus tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, dia turut rugi apabila RM3,000 tunai yang diberikan untuk upah haji turut dikebas lelaki berkenaan selain wang simpanannya mencecah RM20,000. “Saya pernah bertanya berhubung kehilangan wang itu namun dia memberi pelbagai alasan tidak munasabah. Malah, janjinya untuk berkahwin dalam tempoh terdekat hanya omong kosong,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi, di sini.

10 Pelacur warga asing ditahan dalam serbuan di pusat kecantikan




KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita asing yang menjalankan aktiviti pelacuran ditahan di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat kecantikan di Jalan Kuchai Lama, awal pagi ini.

Ketua Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusli berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu ia disertai dua pegawai dan 11 anggota  polis turut menahan sembilan pelanggan dan seorang penjaga premis warga China.

"Hasil risikan selama dua hari itu, kita dapati premis tersebut bukan sahaja menjalankan rawatan kecantikan dan spa tetapi turut menawarkan khidmat seks," katanya.

Beliau berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berumur antara 20 dan  30 tahun, manakala pelanggan premis terdiri daripada lelaki tempatan yang berumur antara 20 dan 40 tahun.

"Wanita asing dari beberapa negara ini telah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan dua daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, premis yang telah beroperasi selama setahun itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan dan operasinya bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga pukul 1 pagi.

"Caj RM80 dikenakan kepada setiap pelanggan yang menginginkan oral seks dan RM150 untuk khidmat seks. Pelacur-pelacur ini juga perlu berbogel ketika menjalankan rawatan urutan kepada pelanggan premis," katanya.

Mereka lambai serentak'

'Mereka lambai serentak'
MARAN: “Saya sudah janji nak bawa mereka beli baju raya Jumaat ini (hari ini) di Kuantan, namun hajat itu tidak kesampaian,” kata Muhamed Falzal Yusuf, 37, yang semua tiga anaknya terbunuh dalam kemalangan selepas Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung sebuah BMW di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, malam kelmarin.
REMUK...keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa.
REMUK...keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa
Muhamed Falzal berkata, ketika bertemu ketiga-tiga anaknya, Isnin lalu, dia berasa sedikit aneh apabila mereka secara serentak melambai tangan kepadanya sebelum dia pulang ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

“Pada hari itu saya sudah rasa macam ada yang tak kena apabila mereka melambai saya serentak kerana sebelum ini mereka tidak pernah buat begitu,” katanya yang berasal dari Felda Jengka 8, di sini.

Tiga anak Muhamed Falzal yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu ialah Fatin Atikah, 16, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, 6. Turut maut rakan mereka, Muhammad Azlan Abdul Talib, 21, dari Felda Jengka 14, di sini.

Seorang lagi rakan mereka, Shawal Ruddin Hambali, 19, dari Felda Jengka 14 patah paha kiri, manakala pemandu BMW berkenaan, Nor Fazidah Abd Majid, 45, dari Felda Sungai Tekam, Jerantut, cedera di pinggang dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Menurut Muhamed Falzal, hubungan mereka anak-beranak memang rapat dan setiap kali pulang ke rumah pada hujung minggu dia pasti meluangkan masa bersama tiga beradik itu.“Ketika dalam kereta, saya lihat wajah mereka begitu sayu seolah-olah bersedih apabila saya hendak berangkat meninggalkan mereka.

“Saya tak sangka itu rupa-rupanya lambaian terakhir mereka kepada saya sebagai tanda perpisahan kami anak-beranak,” katanya.
Fatin Atikah yang memandu Perodua Kancil milik ibu saudaranya itu maut di tempat kejadian bersama Muhammad Azlan manakala Fatin Atifah dan Muhammad Faiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jengka (HJ).

Ketika kejadian, lima sahabat itu dalam perjalanan pulang dari Hoshas selepas menziarah ibu Muhammad Azlan yang menghidap penyakit batu karang.

Muhamed Falzal berkata, dia yang ketika itu berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumahnya di Jengka 8 selepas isterinya, Rosiah Muhamad Ismail, 35, memaklumkan berita sedih itu kira-kira jam 9 malam.

Katanya, dia pada mulanya tidak percaya tiga anaknya maut serentak dalam tragedi itu dan menguatkan hati menghadapi saat paling sedih dengan memandu pulang ke rumahnya.

“Pilu hati saya mengenangkan tragedi sedih ini, apatah lagi saya sudah berjanji membawa mereka beli baju raya di Kuantan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila saya pulang dari Kuala Lumpur,” katanya yang sepatutnya pulang ke rumahnya, semalam.

Pekerja sebuah syarikat kontraktor elektrik di ibu negara itu berkata, setiap tahun dia membuat persiapan awal membeli baju raya untuk anaknya, namun kali ini rutin itu sudah berakhir dengan tragedi menyayat hati.

“Saya dan isteri menganggap kejadian ini sebagai ketentuan Allah yang mesti saya tempuhi walau segetir mana pun,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 8 selepas Zuhur, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata siasatan mendapati BMW dipandu Nor Fazidah dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Kancil dinaiki anak Muhamed Falzal dan rakan mereka.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, semua mangsa dalam Perodua Kancil tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai.

Katanya, Fatin Atikah pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Jengka 16 maut di tempat kejadian bersama Muhammad Azlan manakala Fatin Atifah dari sekolah sama dan Muhammad Faiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HJ.

Ahmad Johari berkata, jenazah semua mangsa dituntut keluarga masing-masing selepas bedah siasat di HJ, malam kelmarin.

Mayat dilipat dua sebelum dimasukkan dalam plastik



RAWANG – Seorang lelaki menjumpai mayat dalam longkang di Jalan Belmas Johan 5, Rawang semalam. 

Lelaki yang tidak mahu dikenali itu menghubungi polis memberitahu penemuan mayat dalam plastik itu jam 1.57 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat yang tidak dapat dikenal pasti identitinya. 

“Mayat itu berada dalam longkang besar dan dibungkus dengan plastik sampah. 

“Setelah dibuka, polis mendapati mayat itu sudah dilipat dua bagi memudahkan ia dibungkus dan matanya turut dililit plastik hitam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, mayat itu dipercayai sudah dua hari dibuang dalam longkang tersebut berdasarkan keadaannya yang kembung sedikit. 

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian serta identiti mangsa. 

Mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Presiden Pakistan diselar



SUKKUR - Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dibidas kerana meneruskan lawatan rasmi ke negara-negara Eropah semasa negaranya dilanda banjir paling buruk dalam tempoh 80 tahun. 

Penduduk dan pemimpin tempatan melahirkan rasa kecewa atas sikap tidak prihatin yang ditunjukkan Zardari semasa negara itu sedang bergelut dengan bencana alam yang mengorbankan lebih 1,600 nyawa dan menyebabkan lebih empat juta penduduk hilang tempat tinggal. 

Di wilayah Sindh yang paling terus dilanda banjir, pihak berkuasa sudah memindahkan lebih 500,000 penduduk. 

"Banjir semakin buruk di bahagian utara Pakistan dan sebelas lagi daerah di Sindh mungkin akan banjir jika hujan monsun berterusan. 

"Bandar Sukkur dijangka akan banjir pada Sabtu (hari ini) manakala kawasan penduduk sepanjang Sungai Indus juga berisiko tinggi," kata Hazrat Mir dari Jabatan Meteorologi. 

Ketua pembangkang, Nawaz Sharif berpendapat, wang yang digunakan untuk menguruskan lawatan Zardari ke Eropoh sepatutnya disalurkan kepada mangsa banjir yang menderita.

Kumpulan curi Too Pei Loo lumpuh



SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri kereta yang aktif sekitar Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor dengan tertangkapnya dua penjenayah, pertengahan bulan lalu. 

Dua penjenayah itu adalah anggota kumpulan Too Pei Loo yang sangat dikehendaki polis. 

Dalam operasi sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), kira-kira tiga minggu lalu, polis turut merampas 10 kenderaan curi dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM500,000. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh berkata, 10 kenderaan itu dikesan curi daripada 19 kenderaan yang diperiksa. 

Beliau berkata, daripada 10 kenderaan itu, lima membabitkan kes curi kereta di Selangor, selain Kuala Lumpur (empat) dan Seremban (satu). 

“Antara kenderaan mewah yang dirampas polis adalah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, Toyota Vios, Toyota Camry dan Toyota Altis,” katanya. 

Menurutnya, kumpulan itu aktif sejak 2007 dan dipercayai menjalankan kegiatan mencuri kereta bagi tujuan menjual kepada pembeli tempatan dengan harga lebih rendah. 

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, nombor casis dan enjin pada kenderaan turut diubah suai sebelum dijual,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan, di sini, semalam. 

Mohd Zaki berkata, kedua-dua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu dipercayai bergerak sebagai orang tengah dalam kumpulan sindiket itu. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kegiatan itu turut membabitkan negeri lain. 

“Seorang suspek ditahan bersama dengan kenderaan curi semasa serbuan dilakukan dan kedua-dua suspek berkenaan sudah dihantar ke IPK Selangor untuk penahanan bagi siasatan susulan di sana," katanya. 

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian komponen dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali. 

Sementara itu, merujuk kepada kes membabitkan kumpulan itu di Seremban, Mohd Zaki berkata, polis berjaya menemui kenderaan curi terbabit bersama pembelinya. 

"Polis juga percaya pembeli berkenaan ditipu daripada sindiket kumpulan itu," katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, polis Negeri Sembilan akan memperluaskan siasatan berhubung modus operandi kegiatan kumpulan itu, selain bekerjasama dengan polis Selangor dan Kuala Lumpur bagi melumpuhkan saki-baki anggota kumpulan sindiket berkenaan.

Mati kerana dendam



SUNGAI BULOH - Seorang ahli perniagaan ditemui mati dengan kesan tembakan berhampiran Jalan Sungai Buloh–Shah Alam berhampiran Pusat Penyelidikan Getah (RRI) pagi semalam. 

Mangsa dikenali sebagai Lim Che Choie, 41, mati setelah cedera parah terkena beberapa das tembakan tepat pada bahagian kepala dan juga dada. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa sempat melarikan diri sejauh 200 meter dari keretanya sebelum rebah. 

Siasatan awal mendapati mangsa ditembak ketika masih di dalam kenderaan berdasarkan penemuan tompokan darah di dalam kereta jenis Honda Accord yang dinaikinya. 

“Kita percaya suspek yang memandu bersendirian cuba melarikan diri dari penyerang namun suspek terus mengejar dan melepaskan beberapa lagi das tembakan ke arah mangsa,” katanya. 

Turut ditemui di tempat kejadian beberapa kelongsong peluru jenis 9mm. 

“Barang berharga mangsa seperti dompet dan telefon bimbit tidak dilarikan dan kita percayai ia bermotifkan dendam perniagaan,” katanya. 

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi ketika orang ramai keluar bekerja. 

“Kita minta pengguna jalan raya yang melalui jalan ini dalam tempoh waktu tersebut yang melihat kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya. 

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Balai Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.