Search This Blog

Friday, August 6, 2010

3 maut, 2 cedera




RANTAU PANJANG - Tiga terbunuh manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki masing-masing terbabit dalam kemalangan berasingan sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas, kelmarin. 

Kemalangan pertama melibatkan seorang guru dari Sekolah menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi, Maimunah Daud, 57, dalam perjalanan ke sekolahnya pada jam 7.30 pagi. 

Rakan mangsa, Mohamad Abdullah, berkata, mangsa yang tinggal di Taman Tengku Anis Rantau Panjang dipercayai tidak sihat sejak beberapa hari sebelum kejadian. 

Menurutnya, mangsa yang juga seorang ibu tunggal meninggalkan seorang anak perempuan dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Saga bewarna putih yang dipandu mangsa terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh wakaf menunggu bas oleh kebanyakan pelajar di sini. 

Haliludin berkata, kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan menyebabkannya cedera di dada dan muka dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM). 

“Oleh kerana kecederaannya agak parah, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 1 petang dan jenazahnya sudah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian di Kampung Banggol Ara, Rantau Panjang,” katanya di sini, semalam. 

Menulas kejadian kedua, Haliludin berkata, seorang penunggang motosikal Sakinah Rashid, 44, maut selepas motosikal dinaiki bersama seorang rakannya dirempuh sebuah motosikal lain di Kampung Busu 40, di Pasir Mas, jam 12 tengah hari. 

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa berhenti untuk memasuki simpang dan pada masa sama dirempuh penunggang motosikal, Azawa Mat Rifin, 25, dari arah Tanah Merah ke Lubok Jong, Pasir Mas. 

“Akibatnya, Sakinah yang cedera di kepala dihantar ke HPM, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini. 

Haliludin berkata, rakan mangsa pula hanya cedera, begitu juga penunggang motosikal terbabit, Azawa dan dirawat sebagai pesakit luar di HPM. 

Bagaimanapun, katanya, Sakinah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah malam di hospital berkenaan. 

Sementara itu, Haliludin berkata, dalam kejadian lain, membabitkan seorang penunggang motosikal, Sanusi Mamat, 18, dipercayai sedang menguji kelajuan Honda Wave di atas jambatan di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, jam 5.30 petang. 

“Kejadian berlaku apabila motosikalnya gagal dikawal lalu merempuh penghadang besi jambatan berkenaan sehingga menyebabkannya cedera di kepala, dan mati di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke HPM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya di kampung berkenaan.

Polis rampas 30 ketul ganja bernilai RM80,000

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya merampas 30 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja dianggarkan berjumlah RM80,000 dalam satu serbuan di Damansara Utama, Petaling Jaya, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kotinjen, Selangor, menahan sebuah kereta jenis Ford Telstar dan hasil pemeriksaan berjaya menemui dua beg berisi ketulan mampat ganja seberat 30.9 kilogram.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis turut menahan dua
lelaki warga Indonesia berusia 29 dan 31 tahun, di dalam kereta itu yang
didapati dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut datang dari arah utara
Semenanjung dan pihak kami sudahpun mengenal pasti punca bekalan itu dan sedang
mengambil tindakan susulan.
"Kami percaya suspek aktif sejak sebulan mengedar ganja di sekitar Lembah
Klang. Mengikut rekod pasport, suspek keluar masuk Malaysia sejak dua tahun
lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di
sini.

Pejabat Tamil Nesan Biro Ipoh dipecah masuk

IPOH: Pejabat Tamil Nesan cawangan Ipoh di Jalan Chua Cheng Bok, di sini dimasuki pencuri malam tadi.
Ketua Bironya S P Bala, 49, berkata kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 dan 10 malam.
Bala berkata, beliau menyedari pejabatnya dipecah masuk apabila mendapati pintu belakang pejabat dipecahkan ketika pulang ke pejabat selepas menghadiri satu majlis pada jam 11 malam.

"Saya mendapati sebuah komputer riba dan kamera kesemuanya bernilai lebih RM5,000 hilang, manakala pencuri turut merosakan almari dan meja pejabat," katanya di sini hari ini.

Bala membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru.

Jurucakap polis ketika di hubungi mengesahkan kejadian itu.-Bernama

Peniaga diragut wang tunai RM18,000 di lampu isyarat di Melaka

MELAKA: Seorang peniaga lelaki kehilangan RM18,000 selepas dua penunggang motosikal memecahkan cermin keretanya sewaktu berhenti di sebuah lampu isyarat di Jalan Tun Razak di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 3.20 petang semalam, dua lelaki itu memecahkan cermin sisi kereta menggunakan topi keledar dan mengambil beg sandang di dalamnya.
"Peniaga berusia 30-an dari Batu Berendam, dekat sini baru sahaja mengeluarkan wang tunai RM18,000 dari sebuah bank berdekatan malahan turut kehilangan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan lesen memandu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Peragut dipercayai menunggang motosikal berwarna merah manakala nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dipastikan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengeluarkan wang tunai dengan amaun yang banyak supaya berwaspada daripada menjadi mangsa ragut.

-Bernama

Anggota polis cedera dirempuh treler ketika kejar suspek

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah di bahagian kepala apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah treler ketika beliau sedang mengejar seorang suspek yang bersenjatakan parang berhampiran bulatan di Segambut pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi ketika Lans Koperal Nik Hafizie Nik Din, yang berumur dalam lingkungan 20an, sedang mengadakan sekatan jalanraya di sekitar kawasan itu.
Beliau berkata, apabila Nik Hafizie ternampak seorang lelaki bersenjatakan parang yang menunggang motosikal cuba mengelak sekatan jalan raya, beliau terus mengejar suspek.

"Ketika itu suspek berjaya mengelak sebuah treler namun Nik Hafizie gagal, lalu dirempuh hingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di kepala," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang juga seorang peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM), kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zakaria berkata, dua lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah, dalam dua operasi berasingan dua hari lalu.

Beliau berkata, suspek pertama yang berumur 26 tahun ditahan ketika sedang cuba membawa keluar barang yang dicuri selepas memecah masuk sebuah rumah milik seorang suri rumah di Kepong, tengah hari pada 4 Ogos lepas.

"Suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di bilik utama rumah itu dan polis menemui barang-barang curi yang dipercayai milik tuan rumah berkenaan seperti laptop, sebuah speker dan juga kunci rumah selain 150 biji pil Eramin 5 milik suspek," katanya.

Zakaria berkata, ketika kejadian suspek datang dengan menaiki sebuah kereta dipercayai kereta curi jenis Naza Ria dan siasatan lanjut mendapati suspek baru sahaja dijamin dua minggu atas kes pecah rumah di Cheras.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai seorang lagi rakan yang dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes pecah rumah di Kepong baru-baru ini, dan rakan suspek yang berumur 37 tahun itu kemudiannya ditahan di Sungai Buloh kira-kira jam 9 malam," katanya.

Zakaria berkata, dengan penahanan kedua-dua lelaki itu, polis percaya 20 kes pecah rumah di sekitar Lembag Klang berjaya diselesaikan sehingga kini.

Peniaga ditemui mati dengan kesan t embakan di kepala dan badan

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di badan dan kepalanya di Jalan Kampung Melayu Subang menghala ke Sungai Buloh di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 7.40 pagi dari orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang memakai baju merah dan seluar pendek berwarna cokelat yang terdampar di bahu jalan berdekatan pintu masuk Pusat Penyelidikan Getah (RRI) Sungai Buloh.
Katanya, terdapat beberapa kesan tembakan di bahagian kepala dan badan mangsa yang dikenali sebagai Lim Chee Choye, 41, seorang peniaga dari Kampung Melayu Subang.

"Turut ditemui sebuah kereta jenis Honda yang kemudiannya dikenal pasti milik saudara mangsa terletak 200 meter dari tempat mayat ditemui.

"Terdapat kesan darah dan tembakan di kereta terbabit dan beberapa butir peluru dan kelongsong ditemui dari jarak antara kereta dan mayat terbabit," katanya.

Arjunaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam atau masalah perniagaan kerana polis menemui barang peribadi mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit.

Katanya, polis percaya mangsa ditembak ketika sedang memandu dari Kampung Melayu Subang menghala Sungai Buloh dan sesampainya di RRI, mangsa keluar dari kereta bagi mendapatkan pertolongan berikutan penemuan kesan tembakan di pintu kereta terbabit.

"Kita percaya mangsa keluar dari kereta dan melarikan diri kira-kira 200 meter sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan lagi mengenai mangsa yang kemudiannya mati di tempat kejadian." "Dipercayai waktu kejadian antara 6.30 hingga 7.30 pagi dan berlaku di kawasan yang sunyi. Oleh itu kita minta saksi kejadian segera tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat," katanya.

Beliau berkata, abang mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian terbabit dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

-Bernama

Tertuduh kes dadah meninggal dunia dalam mahkamah

KUANTAN: Mahkamah Majistret Kuantan hari ini kecoh apabila seorang tertuduh yang sedang menunggu kesnya disebut, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.
Kejadian berlaku pada 8.15 pagi apabila Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, rebah di pangkuan abangnya yang bernama Wan Khairul, 35.
Bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Ali, 67, berkata selepas rebah, abang kepada Wan Khairul Azizi memangkunya di atas riba sambil mengurut-urut dadanya itu.

"Beberapa minit kemudian dia meninggal dunia," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Wan Khairul Azizi direman di Penjara Penor di sini sejak 12 Mei lalu kerana kesalahan memiliki dadah.

Wan Ali berkata, beliau dimaklumkan bahawa pada hari ini keputusan ujian air kencing anaknya sudah siap dan anaknya itu dibawa ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan.

"Saya terkejut apabila melihatnya dalam keadaan lemah sebaik keluar dari lokap mahkamah. Bentuk badan dia berbeza semasa mula-mula ditangkap. Dulu dia berisi sedikit tetapi sekarang terlalu kurus," katanya.

Beliau berkata pihak penjara tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai keadaan kesihatan anaknya itu. Wan Khairul pula berkata, dia nampak adiknya terlalu nazak dan cuba memangkunya sambil mengurut dada.

"Arwah pula sejak dibawa masuk ke dalam mahkamah tidak bercakap sepatah pun," katanya.-Bernama

Dua rakyat Malaysia ditahan ketika membeli-belah di Bangkok

BANGKOK: Dua rakyat Malaysia ditahan ketika membeli-belah barangan mewah bernilai 800,000 Baht (kira-kira RM81,000) menggunakan kad kredit palsu di kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini semalam.
Polis berkata, mereka turut menemui 18 kredit kad palsu dalam pemilikan mereka.
Kedua-dua mereka ditahan di sebuah kedai bebas cukai di terminal berlepas.-Bernama

Polis tumpaskan kumpulan pecah rumah didalangi rakyat asing

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dari Bolivia, Argentina dan Nigeria serta seorang wanita Nicaragua yang disyaki dalam perjalanan untuk memecah masuk rumah di Tropicana Indah, Petaling Jaya dekat sini ditahan polis semalam.
"Keempat-empat mereka yang berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 40-an dan menaiki kereta Naza Citra dilihat berada dalam keadaan mencurigakan oleh pengawal keselamatan di perumahan mewah itu," kata polis.
Apabila seorang pengawal keselamatan yang bertanyakan tujuan mereka berada di situ, seorang daripadanya menjawab bahawa mereka datang untuk mengambil seorang kawan yang tinggal di situ.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan terbabit mensyaki sesuatu dan terus menghubungi polis.

Polis yang tiba kemudian menemui peralatan memecah rumah di dalam bonet kereta terbabit sebelum menahan mereka dan membawa ke balai polis berdekatan.

Siasatan seterusnya mendapati kesemua mereka ini terlibat dalam tiga kes pecah rumah mewah di Kota Damansara sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kesemua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

Beliau berkata, polis percaya dengan penahanan empat rakyat asing itu, mereka dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di Petaling Jaya.-Bernama

Mayat lelaki dibungkus plastik hitam ditemui dalam longkang besar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan kedua-dua belah tangannya terikat dan badannya dibungkus plastik hitam, dalam sebuah longkang besar di Jalan Belmas Johan 5, Rawang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang enggan memperkenalkan diri mengenai penemuan mayat itu pada kira-kira jam 2 petang.
Beliau berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui mayat itu dalam sebuah longkang sedalam dua kaki, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang.

"Mayat itu ditemui dalam plastik hitam dengan kedua-dua belah tangan diikat ke hadapan dengan tali, dan lelaki itu dipercayai mati 24 jam sebelum mayatnya ditemui," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, polis sedang berusaha mengenal pasti identiti lelaki berkulit gelap itu, dan beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dengan menelefon 03-61262222 atau menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Abdul Rahim berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.-Bernama

Dua lelaki bertopi keledar samun kedai emas

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan tukul dan parang menyamun sebuah kedai emas di sebuah pusat membeli belah di Setiawangsa di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dua penjenayah itu bagaimanapun hanya sempat melarikan sejumlah kecil barang kemas kerana panik selepas mendapati dulang berisi barangan kemas yang cuba dilarikan mereka dirantai.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang apabila dua lelaki yang memakai topi keledar penuh tiba-tiba menerpa masuk ke dalam kedai emas itu sebelum memecahkan cermin ruang pameran.

"Mereka pada mulanya cuba untuk melarikan satu dulang barangan kemas, namun usaha mereka tidak berjaya kerana dulang itu dirantai pada satu lagi dulang yang lain," katanya ketika dihubungi di sini. "Sebahagian barangan kemas itu kemudiannya jatuh bertaburan di atas lantai, dan suspek yang panik terus meninggalkan dulang itu dengan membawa lari sebahagian kecil daripada barangan kemas yang jatuh," tambahnya.

Zakaria berkata, polis menemui tukul dan parang yang digunakan suspek sebagai senjata, yang dibuang di kawasan tempat letak kereta pasar raya itu.

Katanya, menurut pekerja kedai emas itu yang bekerja seorang diri ketika kejadian, salah seorang daripada perompak itu bercakap dalam bahasa Indonesia, manakala seorang lagi berbahasa Malaysia.-Bernama

Kemalangan maut rempuh pembahagi jalan berhampiran Tol plaza Seremban




KEADAAN kereta Mohamad Rasheedy Rosli, 23, yang maut selepas terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan di Kilometer 262.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Seremban, Negeri Sembilan. 6 Ogos 2010. - Utusan/ABD. RAZAK AID

Berlian disangka batu

NAOMI memberi keterangan dalam  perbicaraan di Belanda, semalam.

NAOMI memberi keterangan dalam perbicaraan di Belanda, semalam.

Naomi beri keterangan kes pemberian pemimpin pemberontak

LEIDSCHENDAM, (Belanda): Model fesyen British Naomi Campbell memberitahu tribunal jenayah perang di sini semalam beliau menerima 'batu yang kelihatan kotor' selepas menghadiri jamuan malam dengan pemimpin Liberia Charles Taylor pada 1997.
Supermodel itu berkata beliau tidak mengetahui sama ada ‘batu’ itu adalah berlian dan beliau juga tidak tahu sama ada ia adalah hadiah daripada Taylor yang menghadapi tuduhan jenayah perang.
Campbell menjadi saksi dalam Mahkamah Khas untuk Sierra Leone itu disoal berhubung dakwaan pelakon Hollywood Mia Farrow bahawa Taylor menghadiahkan berlian selepas menghadiri jamuan malam di Pretoria itu.

Pihak pendakwa berharap Campbell boleh memberi bukti bahawa Taylor membekalkan senjata kepada pemberontak di negara jiran Sierra Leone dan sebagai balasan diberi berlian ketika perang saudara Sierra Leone di antara 1992 hingga 2002.

Pendakwa berkata Taylor membekalkan senjata, melatih dan mengetuai pemberontak Sierra Leone yang dituduh membunuh beribu orang awam di kawasan sempadan.

Taylor, 62 tidak mengaku bersalah terhadap 11 tuduhan jenayah perang yang dikemukakan terhadapnya termasuk membunuh, merogol, mewujudkan hamba seks dan memaksa kanak-kanak menjadi tentera.
Selepas berbulan-bulan berdolak-dalih mengelak daripada memberi keterangan, Campbell tiba di bangunan mahkamah semalam diiringi polis.

Supermodel itu tenang ketika menjawab soalan dikemukakan pendakwa Brenda Hollis pada sesi yang mengambil masa hampir dua jam.

“Saya tidak mahu berada di sini,” kata Campbell. “Saya hanya mahu perkara ini berakhir dan meneruskan hidup saya. Ini benar-benar menyusahkan saya.” – AP

Israel pulang kapal dirampas kepada Turki






2010/08/06

Tiga bot, termasuk Mavi Marmara diserah kepada Ankara 

BAITULMAQDIS: Israel akan memulangkan semula tiga kapal Turki yang disita tentera lautnya dalam serbuan ke atas misi bantuan ke Gaza, kata kementerian pertahanan.
“Kementerian Pertahanan hari ini (Khamis) akan menyerahkan semula kapal Turki yang cuba melanggar sekatan laut ke atas kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza dan kini berlabuh di Israel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu berkata langkah memulangkan semula kapal itu, termasuk kapal penumpang Mavi Marmara, sasaran utama serangan komando Israel, dibuat selepas persetujuan dicapai dengan pemimpin politik negara Yahudi itu. 

“Tiga kapal tunda Turki akan tiba di Israel hari ini. Anak kapal kapal tunda itu akan menerima tiga kapal yang kini berlabuh di Israel, termasuk peralatan di dalamnya,” kata kementerian itu tanpa menyatakan bila penyerahan akan dibuat. 

Kapal Mavi Marmara kini berlabuh di dermaga pelabuhan Haifa, manakala dua kapal lagi dilapor berada di pelabuhan Ashdod di selatan Israel. 

Tiga kapal Turki itu adalah antara beberapa kapal yang pada 31 Mei lalu cuba melanggar sekatan laut dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza. 
Komando tentera laut Israel menyerbu semua enam kapal dalam kumpulan itu yang kemudian bertukar ganas menyebabkan sembilan aktivis Turki terbunuh. Serangan itu mencetuskan krisis diplomatik Ankara, Tel Aviv. 

Komando Israel mendakwa mereka terpaksa menggunakan kekerasan selepas diserang ketika turun dari helikopter di atas dek Mavi Marmara yang membawa lebih 600 penumpang ketika itu. 

Bagaimanapun aktivis di atas kapal itu berkata, komando melepaskan tembakan sebaik saja menaiki kapal itu yang berada di perairan antarabangsa. – AFP

Waris 3 budak dicari

<strong>TIGA bayi ditinggalkan di hospital Seberang Jaya dan sebuah klinik swasta di Juru, Puiau Pinang.</strong>
Bayi lelaki dijumpai dalam kotak dekat bank

SABAK BERNAM: Seorang bayi lelaki berumur tujuh hari yang masih bertali pusat ditemui dalam kotak berhampiran sebuah bank di Sungai Besar, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata bayi lelaki dalam keadaan bogel itu ditemui penuntut Politeknik Sabak Bernam dan rakan wanitanya pada jam 9 malam, sebelum membawa bayi itu ke rumahnya di Bandar Baru Bangi.
Beliau berkata, ibu saudara penuntut itu membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi dan bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi pemeriksaan lanjut pada jam 10 pagi semalam.

“Polis kini mengesan ibu bapa bayi itu. dan akan menemubual pelajar yang menemui bayi itu bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya di sini, semalam.
Noor Mushar berkata,, doktor mengesahkan bayi dipercayai berketurunan Melayu itu sihat tanpa kesan kecederaan.

“Buat masa ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan kita masih cuba mengesan ibu bapanya.
Di BUKIT MERTAJAM: Tiga bayi berusia satu hingga tiga bulan termasuk dua warga asing ditinggalkan ibu bapa mereka selepas dilahirkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan sebuah klinik swasta di Juru antara 14 April hingga 30 Jun lalu.

Ketiga-tiga bayi malang itu masing-masing dua perempuan dan satu lelaki itu ditinggalkan selepas dilahirkan.

Bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Muaz berusia tiga bulan (warga Myanmar) dilahirkan di klinik di Juru, dekat sini, manakala dua lagi hanya identiti ibu mereka diketahui.

Ibu kepada bayi perempuan warga tempatan berusia tiga bulan yang dilahirkan di Hopital Seberang Jaya (HSJ) pada 16 April lalu dikenali Zainab Wa Daud, 26, yang alamat terakhirnya adalah di Nombor 12B, Kampung Ulu Tawar, Baling, Kedah.
Mengikut laporan pihak hospital, keluarga bayi ini enggan menuntutnya selepas dibenarkan keluar.

Sementara itu, ibu kepada seorang lagi bayi perempuan warga Indonesia berusia satu bulan yang dilahirkan di hospital sama dikenali sebagai Retno Asih.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kes ini di minta menghubunginya atau Pegawai JKM SPT, Norlela Saad di talian 04-5382584 atau 04-5385705 atau 04-5385707 atau 04-5385709.

Serah bukti pecah amanah

SHAH ALAM: “Bukti ini saya akan serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) supaya menyiasat penyelewengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu ketika menjawat jawatan pengerusi MIED Capitals Sdn Bhd (MIED Capital),” kata Pengerusi Gerakan Anti Samy (Gas) V Mugilan.
Beliau yang ditemui selepas membuat laporan SPRM di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam mendakwa Datuk Seri Samy Vellu didapati pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengerusi Mied Capital dengan mengeluarkan sejumlah wang bernilai jutaan ringgit daripada akaun syarikat untuk kegunaan peribadi.

Pesanan isteri

SEGAMAT: “Sebelum ini isteri saya selalu berpesan, nasihatkan saya berhati-hati jika memandu di kawasan itu sebab di situ selalu berlaku kemalangan...saya tidak sangka rupa-rupanya dia pula yang maut di kawasan sama,” kata Zeng Ching Wei, 34, yang kehilangan isteri hamil lapan bulan dalam kemalangan maut di Kilometer 202.6, Jalan Segamat-Gemas berhampiran Batu Anam, dekat sini, awal pagi semalam.
Isteri Zeng, Cheng Lee Fei, 31, seorang guru dan rakan setugas, Lee Pei Ling, 34, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan, manakala seorang lagi rakan mereka, Sia Yoke Peng, 27, parah.
Tiga guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gemas Baru itu dalam perjalanan ke tempat kerja apabila sebuah kereta Kia Spektra dari Gemas terbabas ke lorong bertentangan sebelum merempuh Perodua Viva yang dinaiki mangsa, kira-kira jam 7 pagi.

Zeng yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia tidak menyangka isterinya meninggal dunia di lokasi berbahaya itu kerana selama ini Cheng yang sering menasihatkannya supaya berhati-hati setiap kali melalui jalan yang dianggap mengelirukan pengguna itu.

Katanya, sudah menjadi rutin isterinya untuk keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk mengambil rakan sepejabatnya yang menumpang kereta sebelum ke sekolah.

“Isteri saya dijangka melahirkan anak ketiga kami bulan depan. Saya tidak sangka kerana selama ini saya dan dua lagi anak yang berumur empat dan dua tahun memang sudah tidak sabar untuk menunggu kelahiran orang baru dalam keluarga kami, tapi hasrat tidak kesampaian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata Cheng yang tinggal di bandar Segamat dikatakan mengambil Sia di Taman Yayasan dan Lee di Batu Anam sebelum meneruskan perjalanan ke SJKC Gemas Baru.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Kia Spektra dari arah Gemas terbabas ke lorong bertentangan sebelum merempuh Perodua Viva yang dinaiki tiga guru wanita itu.

Katanya, rempuhan itu menyebabkan Perodua Viva itu remuk teruk, manakala Cheng yang memandu kereta itu dan Lee yang duduk di kerusi belakang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Sia yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera parah.

“Kia Spektra itu dipercayai memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki oleh mangsa sehingga menyebabkannya remuk teruk dan dua wanita termasuk pemandu yang mengandung lapan bulan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, Sia dihantar ke Hospital Segamat (HS) sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan keadaannya dilaporkan serius.

Kaki raba

KUALA LUMPUR: Keghairahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia awal 30-an mencabul wanita berjalan berhampiran Stesen LRT Plaza Rakyat, , di sini, membawa padah apabila dia dibelasah suami wanita terbabit, kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, suspek turut dibelasah orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan selepas mangsa meminta bantuan ketika suaminya bergelut dengan lelaki berkenaan.
Difahamkan, suspek mensasarkan wanita berseorangan di kawasan itu sebagai sasaran sejak sebulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 20-an berjalan bersama suami apabila tiba-tiba didatangi suspek dari belakang sebelum meraba punggung dan dada mangsa.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut perbuatan itu segera memarahi suspek, namun tidak diendahkan lelaki terbabit.

“Suspek sebaliknya menjadi lebih berani walaupun mangsa memberitahu lelaki bersamasuaminya,” katanya.

Difahamkan, suami mangsa berusia 33 tahun tergamam seketika dipercayai kerana terkejut selepas melihat perbuatan suspek yang berani melakukan perbuatan itu di khalayak ramai.

Sumber berkata, walaupun berulang kali diberi amaran, suspek tidak mempedulikannya sebaliknya terus mencabul mangsa.

“Jeritan mangsa yang kuat langsung tidak menakutkan suspek sebaliknya dia menjadi lebih rakus dan ganas sebelum memeluk, mencium pipi dan berusaha menanggalkan pakaian wanita berkenaan,” katanya.

Suami mangsa memarahi suspek sebelum mengarahkannya memberhentikan perbuatan itu. “Amaran suami mangsa juga tidak diendahkan sebaliknya suspek mengarahkan tidak campur tangan.

“Suami mangsa yang hilang pertimbangan menyerang suspek menyebabkan berlaku pergelutan hampir 10 minit,” katanya.
Difahamkan, mangsa bimbang suaminya dicederakan menjerit meminta bantuan orang ramai.

Beliau berkata, beberapa orang awam membelasah suspek lebih 20 minit.

Wajah adik pelik, tidak ceria

BANDAR JENGKA: “Saya pelik lihat Mamat (Muhamad Azlan) pakai baju dan peluk bantal hijau ketika ziarah ibu di hospital (Sultan Haji Ahmad (Hoshas), Temerloh).
“Namun, saya tak sangka kelakuan aneh itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” kata Nasarudin Talib, 30, abang kepada Muhamad Azlan, 21, yang terbunuh selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bersama empat rakan bertembung kereta BMW di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, dekat sini, petang kelmarin.
Nasarudin berkata, arwah pergi ke Hoshas ditemani dua rakan serta seorang kanak-kanak untuk menziarahi ibunya, Siti Fatimah Yaakob, 56, yang menghidap penyakit batu karang.

Menurutnya, ketika melihat arwah berjalan bersama rakannya, dia melihat wajah arwah pelik dan tidak ceria seperti biasa selain memakai baju berwarna hijau sedangkan sebelum ini arwah tidak suka pakaian warna berkenaan.

Katanya, arwah anak kelapan daripada sembilan beradik seorang yang suka berkawan selain baru dua hari bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan di Jengka.

“Sebelum ini arwah pernah beritahu dia tak akan kerja di luar daerah kerana tak sanggup berjauhan dengan ibu serta ayah. “Ketika berada di Hoshas pada jam 4.30 petang, ibu minta dia bawa bantal, tapi saya terkejut melihat warna sarung bantal itu sama warna baju dipakainya,” katanya.

Nasarudin berkata, dia menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9 malam ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Bandar Jengka sebelum berpatah semula ke rumahnya.

“Saya reda dengan kejadian ini kerana ia ujian Allah,” katanya sambil memberitahu jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 14, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Banteras jenayah di stesen minyak

KUALA LUMPUR: Tiga puluh pengusaha stesen Shell berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, untuk menghadiri majlis berdialog bersama polis bagi membincangkan alternatif terbaik membanteras jenayah di kawasan perniagaan mereka, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata inisiatif yang diambil pengusaha terbabit bagus bagi membentuk hubungan dua hala antara polis dan pengusaha stesen minyak. “Saya ambil kesempatan ini untuk menyarankan supaya semua stesen minyak negara ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) berkualiti tinggi di tempat strategik bagi memudahkan polis mengecam penjenayah. “Malah, bagi memudahkan semua pihak, kami mengharapkan tindakan pantas orang awam dalam melaporkan sebarang kejadian jenayah,” katanya.

Abang lemas demi adik

KOTA KINABALU: “Abang sempat hulur pelampung kepada saya sebelum dia lenyap ditelan ombak,” kata Saidi Jamateh, 21, menceritakan pengorbanan abangnya, Jamlan, 27, yang terbunuh demi menyelamatkannya selepas bot yang mereka naiki karam dipukul ombak berhampiran Pantai Kampung Contoh, Putatan di sini, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika dua beradik itu turun ke laut untuk memukat udang walaupun menyedari keadaan bergelora akibat cuaca tidak menentu.
“Kami keluar ke laut kira-kira jam 3 pagi meskipun ombak sangat kuat. Ayah melarang kami ke laut tapi abang tetap berkeras untuk memukat udang,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Saidi, sebaik bot dinaiki mereka dilambung ombak dan terbalik, abangnya sempat mendapatkan pelampung manakala dia berpaut di belakang abangnya.

“Selepas beberapa ketika terkapai-kapai di lambung ombak, saya berasa sangat lemah sebelum abang memberikan pelampung dan menyuruh saya berenang ke pantai.

“Saya mula berenang ke pantai manakala abang mengekori dari belakang. Bagaimanapun, abang memberitahu kakinya kejang, tetapi tetap mengarahkan saya terus berenang ke pantai,” katanya.

Saidi berkata, apabila berjaya menghampiri pantai, dia memanggil nama abangnya, namun tiada jawapan menyebabkan dia mengambil keputusan pulang ke rumah memaklumkan kejadian itu kepada ayahnya.

Sementara itu, ayah mangsa, Jamateh Jamnuh, 60, berkata sejurus dimaklumkan Saidi mengenai kejadian itu, dia bergegas ke pantai untuk mencari Jamlan.

“Namun, nyata saya sudah terlewat. Saya bersama penduduk kampung kemudian beramai-ramai mencari Jamlan sebelum mayatnya ditemui tujuh jam kemudian,” katanya.

Menurutnya, mayat Jamlan ditemui seorang penduduk kampung dalam keadaan terdampar di tebing batu berhampiran landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) oleh penduduk kampung, kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu.

“Sebelum kejadian, saya sudah menasihati mereka jangan ke laut berikutan hujan lebat malam tadi (kelmarin) menyebabkan laut bergelora tapi mereka tetap dengan keputusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Putatan, Sarjan Mejar Mohd Isa Hamsah, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung

Pemilik kilang papan sogok pegawai perhutanan dipenjara

SHAH ALAM: Seorang pemilik kilang papan dijatuhi hukuman penjara 15 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM2,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada November tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan terhadap Tan Boon Hock, 64, dari Kajang, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Hukuman penjara itu berkuatkuasa bermula hari ini.

Tan mengaku bersalah memberi suapan itu kepada Mohd Yussainy Md Yusop, 29, Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kerana melakukan kesalahan mengendalikan satu industri berasas kayu tanpa lesen dan memiliki hasil hutan yang tidak dibayar cukai.

Dia melakukan kesalahan itu di No: 281-A, Jalan Reko, Batu 16 1/4, Kajang, pada 3.45 petang pada 13 November tahun lalu.

Terdahulu, Tan yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman paling ringan terhadapnya dengan alasan dia sudah tua dan menghidap sakit jantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Tan membayar denda itu.-Bernama

Mohon batal tuduhan subahat curi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar permohonan Sarjan Udara N Tharmendran bagi membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu selepas peguam N Surendran yang mewakili Tharmendran memohon diberikan tempoh untuk menjawab afidavit pihak pendakwaan.
Menurutnya, dia perlu berjumpa anak guamnya yang ditahan di penjara Sungai Buloh bagi mendapatkan arahan selanjutnya selepas mendapat afidavit itu kelmarin. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Hamidi Mohd Noh. Pada prosiding semalam, Surendran turut memberitahu mahkamah seorang saksi sudah tampil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan tertuduh diseksa oleh TUDM. Bagaimanapun, Asmabi mengatakan perkara sedemikian perlu dimasukkan dalam afidavit tambahan yang akan difailkan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Surendran memberitahu media bahawa pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap Tharmendran pada 16 Julai lalu.

Mengenai saksi yang didakwa tampil memberi keterangan pula, Surendran memilih untuk merahsiakannya terlebih dulu. Tharmendran dituduh melakukan kesalahan itu di Air Movement Section, Pangkalan TUDM Subang di sini, sekitar Disember 2007.

Van kena batu

KUALA LUMPUR: Seorang penjual permaidani terkejut apabila van dipandunya tiba-tiba dihempap seketul batu yang ‘jatuh dari langit’ di laluan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, 27 Julai lalu, mangsa, Chandrakant Gokalbhai, 47, bernasib baik sempat mengawal vannya daripada hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain sebaik dihempap batu itu.
“Mujur saya sempat membrek. Saya hairan dari mana batu itu datang kerana di hadapan van saya tidak terdapat sebarang lori atau kenderaan berat, malah tidak ada sebarang aktiviti pemecahan tanah berlaku di sekeliling ketika itu,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Beliau berkata, mungkin ada orang berniat jahat membaling batu itu di tengah lebuh raya untuk membahayakan pengguna yang lain. “Saya sudah membuat aduan kepada Plus berhubung kejadian itu kerana bimbang mungkin terjadi kepada pengguna kenderaan lain, tetapi jawapan diterima sangat mengecewakan kerana mereka menafikan perkara itu malah meminta bukti.

Wanita telan 3 tiub heroin

JOHOR BAHRU: Ketika dicekup tangannya menggeletar dan hampir pengsan, tetapi demi melepaskan diri seorang wanita disyaki pengedar dadah, hilang pertimbangan hingga sanggup menelan tiga tiub dadah dipercayai heroin dengan harapan untuk menghapuskan bukti.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian wanita terbabit dikatakan mula ‘lalok’ dan berkelakuan pelik dipercayai akibat tindak balas dadah berikutan tiub yang dikunyah sudah pecah mengakibatkan bahan berbahaya itu meresap di dalam tubuhnya.
Sebelum kejadian, wanita itu dilihat sedang merayau mencari pelanggan dan dipercayai menyembunyikan tiub dadah terbabit dalam gumpalan wang kertas RM1 dan enggan bekerjasama apabila diminta menyerahkan dadah itu.

Malah, wanita terbabit menggenggam erat bahan terlarang dalam tangannya ketika diarahkan untuk menyerahkan pada anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Bagaimanapun, ketika dibawa menjalani pemeriksaan air kencing, tiba-tiba dia mengunyah dan menelan tiub penyedut minuman mengandungi dadah itu walaupun cuba dihalang anggota AADK yang mengiringinya berikutan perbuatan itu dikhuatiri bakal memudaratkannya.

Ujian saringan air kencing dilakukan kemudian mendapati dia sebenarnya positif dadah dan terpaksa ditahan bagi tindakan lanjut.

Dalam operasi dikenali ‘Ops Belantara’ di sekitar Jalan Wong Ah Fook dan pusat bandar malam Selasa lalu itu, seramai 12 daripada 24 individu yang ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing, disahkan positif dadah.

Ketua operasi, Muhammad Zulhilmi Ahmat berkata, ada antara penagih yang ditahan pernah dicekup dalam operasi dijalankan pihaknya sebelum ini, bagaimanapun kembali aktif dengan aktiviti tidak sihat itu.

“Bukan saja berusaha mengurangkan penagih, operasi juga bertujuan untuk membasmi kegiatan jenayah jalanan seperti ragut, samun serta gangguan terhadap orang awam di sekitar pusat bandar,” katanya.

'Kakak ditarik masuk kereta'

IPOH: “Sebuah kereta Perodua MyVi hijau menghampiri kami sebelum seorang lelaki keluar dan meminta kami menunjuk arah kedai terdekat yang menjual kad tambah nilai prabayar.
“Dia tawarkan RM1 kepada sesiapa yang menunjukkan arah kepadanya. Tiba-tiba, dia menarik kakak yang berdiri berhampiran kereta dan menolaknya ke kerusi penumpang hadapan sebelum memecut kenderaannya,” kata adik kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang menjadi mangsa culik, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Taman Meru, mangsa bermain dengan adik lelakinya berusia sembilan tahun apabila tiba-tiba diculik sebelum ditemui semula oleh orang awam di taman permainan kawasan perumahan di Gopeng, kira-kira 45 kilometer dari sini, hampir tiga jam kemudian.

Sebelum kejadian, mangsa dan adiknya bermain berhampiran rumah guru al-Quran yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka. “Selepas selesai mengaji, saya dan kakak serta beberapa rakan bermain di tepi jalan bertentangan rumah guru.

“Saya pelik lihat lelaki itu menarik kakak masuk ke keretanya. Saya rasa lelaki itu orang jahat dan beritahu ustazah (guru mengaji) sebelum berlari pulang ke rumah beritahu keluarga bahawa kakak hilang,” katanya.

Keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa menghubungi ibunya kira-kira jam 11 malam mengatakan dia berada di Gopeng.

“Mangsa dibawa ke Balai Polis Gopeng oleh seorang lelaki yang menemuinya berseorangan di taman permainan di Taman Kinta di Gopeng kira-kira jam 10.45 malam,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa berkata, dia terus ke Balai Polis Gopeng untuk mengambil anaknya sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

“Saya membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pemeriksaan dan dia dilaporkan stabil dan tiada kecederaan serius.

“Namun dia masih trauma dengan kejadian itu. Saya berharap polis menangkap segera penculik anak saya bagi mengelak kejadian sama berulang kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Sementara itu, guru al-Quran mangsa, Rapinah Yusoff, 59, berkata, dia menyedari kehilangan anak muridnya selepas diberitahu adik mangsa.

“Dia tidak pernah bersendirian dan sering dihantar keluarganya jika mahu ke mana-mana termasuk ke sekolah walaupun jarak dekat dengan rumah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu. “Kami sudah mengenal pasti suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500,” katanya.

Penganggur dihukum gantung kerana edar dadah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penganggur selepas didapati bersalah mengedar dadah tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Azman berkata hanya tertuduh R Satiamoorty, 26, sahaja yang memandu kereta yang dijumpai dadah seberat 29,298 gram kanabis selepas diekori polis bermula dari R&R Hulu Bernam hingga ke tempat kejadian.

Satiamoorty didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan stesen minyak Mobil Sri Rampai, Taman Sri Rampai di sini pada jam 5.40 petang, 13 Mei 2009.

Pendakwaan diwakili peguam Ahmad Akram Gharib manakala Satiamoorty diwakili Gooi Soon Seng.-Bernama

Penantian malang

KUALA TERENGGANU: Penantian penuh debaran empat bulan seorang budak perempuan untuk bertemu dengan kekasih yang hanya dikenali menerusi telefon sebelum ini membawa padah apabila dia menjadi mangsa rogol tiga lelaki durjana.
Mangsa berusia 12 tahun yang masih menuntut di sebuah sekolah rendah di sini, dikatakan berkenalan dengan teman lelakinya yang berusia 22 tahun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan telefon.
Selepas sekian lama memendam rindu dan termakan pujukan lelaki itu, gadis yang berasal dari Kampung Teluk Menara, Manir, dekat sini, itu akhirnya menerima pelawaan kekasihnya untuk bertemu tanpa rasa sangsi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata mangsa kemudiannya keluar menunggu kekasihnya berdekatan Klinik Kesihatan Kubang Jela, tetapi teman lelakinya tidak muncul sebaliknya mewakilkan kepada rakannya pergi mengambil mangsa kira-kira jam 4 petang Isnin lalu.

Katanya, suspek memberitahu kepada mangsa mengatakan teman lelakinya tidak dapat datang dan meminta mengambil gadis berkenaan kerana perlu menyelesaikan satu kerja lain dan mangsa tidak berfikir panjang mengikut suspek.

“Suspek membawa mangsa balik ke rumah sewa di Jalan Sultan Mahmud, dekat sini dan mendapati teman lelakinya sedang menunggu bersama seorang lagi rakan.

“Suspek yang memang mempunyai niat buruk terhadap mangsa akhirnya merogol mangsa dan tidak cukup dengan itu, gadis berkenaan dirogol pula oleh rakan suspek,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kira-kira jam 9.30 malam Selasa lalu dan selepas mendapat keterangan daripada mangsa polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek dan kini direman selama seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan pembantu farmasi berasal dari Kelantan dan bandar raya ini kini direman selama seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dilarikan teman lelaki

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, di sini hilang selepas keluar membeli gam di sebuah kedai berdekatan rumahnya di Rumah Kakitangan Kerajaan Negeri Seksyen 16, Ahad lalu.
Robeaton Thaqifah Sahar yang membawa wang RM1 keluar dari rumah kira-kira jam 9.15 malam hanya memakai baju tidur dan bertudung hitam, tetapi tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam sebelum ibu bapanya membuat laporan polis.
Anak kedua daripada empat beradik itu disyaki dilarikan seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun yang tinggal di Padang Jawa, bersebelahan Seksyen 16.

Remaja itu yang baru tamat belajar dan bersekolah di sekolah sama dengan mangsa apabila dihubungi memberi pelbagai alasan ketika ditanya mengenai mangsa termasuk sedang bekerja di sebuah rancangan Felda di Pahang, tetapi tidak tahu alamat tempatnya bekerja.

Ibu mangsa, Rozi Ashikin Omar, 43, yang juga kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, anaknya seorang yang lincah dan aktif tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.

Katanya, dia dan suaminya, Sahar Mohd Wali, 52, membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 pada jam 12.42 tengah malam hari sama.

“Kami sudah puas mencarinya di sekitar Seksyen 16 termasuk ke sekolahnya Isnin lalu, namun tidak membuahkan hasil.

“Melalui perbualan dengan guru, kami difahamkan Robeaton mempunyai teman lelaki dikenali setahun lalu dan sumber polis memberitahu sehingga kini remaja itu tidak lagi menetap di Padang Jawa,” katanya.

Menurutnya, pada siang hari sebelum kehilangan Robeaton, mereka sekeluarga keluar membeli-belah termasuk pakaian baru untuk persediaan hari raya.

Sesiapa mempunyai maklumat mengenai Robeaton diminta menghubungi talian 013-2732702 atau terus ke Balai Polis Seksyen 15.

Dua peniaga ke tali gantung kerana dadah

SHAH ALAM: Seorang penjual sayur dan seorang penjual ikan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3,000 biji pil khayal Ecstasy seberat 248.4 gram dan 88.6 gram ketamin tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa Tong Chong Men, 48, dan Cheah Choon Heng, 39, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tong dan Cheah didakwa bersama-sama melakukan kedua-dua kesalahan itu di hadapan kedai perabot di Jalan SJ/7A, Taman Selayang Jaya, Batu Caves, Gombak, pada 9.30 malam 24 September 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Afifuddin Hafifi dan Dzaki Ezhar Bahar.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 930 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan Jasmani Othman, 40, dan Abdul Hamid Ali Sadari, 29, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada hari kejadian iaitu 18 Disember 2007.

Jasmani, seorang tukang paip, dan Abdul Hamid, juruteknik, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan lapang di Batu 1, Jalan Paip, Meru, Klang dekat sini pada 10.15 malam 18 Disember 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Rosal Azimin Ahmad.-Bernama

Penganggur dipenjara 15 tahun, 5 sebat rogol gadis bisu

KUALA LUMPUR: Seorang penggangur dikenakan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis bisu, empat tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Nizam
Mohd Shafiai, 24, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan
munasabah terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun Fathiyah membenarkan permohonan peguam Mohd Razlan Jalaluddin
yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman sebatan bagi menfailkan rayuan
ke Mahkamah Tinggi.

"Dalam kes ini pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dan
mahkamah mendapati keterangan daripada saksi pembelaan adalah satu penafian
semata-mata di mana keterangan daripada tertuduh tidak konsisten," katanya.

Fathiyah berkata, Mohd Khairul Nizam berjaya memperdayakan mangsa, seorang
wanita golongan istimewa yang bisu ketika melakukan hubungan itu.

"Dalam hal ini, jelas menunjukkan tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang bisu dan bukan berniat untuk membantu mangsa yang ketika itu memohon
bantuan daripada tertuduh," katanya.

Fathiyah berkata, bahawa hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Khairul Nizam
adalah wajar memandangkan tertuduh masih muda dan kesalahan yang dilakukannya
amat serius.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menjalani program pemulihan yang dikendalikan Jabatan Penjara sepanjang tempoh pemenjaraannya dan selepas
tamat hukuman penjara, tertuduh perlu berada dalam pengawasan polis selama dua
tahun.

Mohd Khairul Nizam didakwa merogol mangsa, seorang pekerja hotel, berumur 29
tahun, di Bilik 206, Hotel Metro, Jalan Changkat Thamby Dollah Off Jalan Pudu,
di sini antara pukul 12 malam dan 1 pagi, 10 Dis 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit
kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping.

Pornografi kanak-kanak di Jepun meningkat

TOKYO: Polis Jepun melaporkan sebanyak 600 kes kegiatan pornografi kanak-kanak disiasat dalam enam bulan pertama tahun ini, lapor satu kaji selidik kerajaan, semalam.
Kes itu menunjukkan peningkatan 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Agensi Polis Kebangsaan, kes itu membabitkan 295 mangsa kanak-kanak hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu dan yang tertinggi dicatat sejak agensi memulakan catatan data satu dekad yang lalu. Jepun dianggap menjadi sumber kegiatan pornografi kanak-kanak di dunia kerana undang-undang Jepun hanya melarang pengeluaran dan pengedaran bahan berkenaan tetapi tidak hak milikan. Kumpulan hak asasi manusia di Jepun membantah keras kegiatan pornografi kanak-kanak kerana mangsa yang terbabit terpaksa melalui kehidupan penuh trauma dan memalukan sepanjang hidup mereka. Kaji selidik juga menunjukkan Internet menjadi medium utama dalam kegiatan pornografi kanak-kanak. - AFP

Terangsang kanak-kanak

BETONG: Lelaki yang didakwa merogol cucu tirinya mengakui nafsunya lebih terangsang apabila melakukan hubungan dengan kanak-kanak dan makin ghairah apabila mendengar mangsanya merintih.
Pengakuan lelaki itu dibuat kepada polis ketika dia bersama isterinya disoal siasat sejurus ditahan dalam tempoh tidak sampai 36 jam selepas laporan dibuat ibu mangsa.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek dan isterinya masing-masing berusia 40-an ditahan ketika menikmati makanan di sebuah kedai di bandar ini, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Menurutnya, ketika ditahan suspek bersama isterinya yang juga nenek mangsa ‘selamba’ seolah-olah tidak melakukan kesalahan.

“Selepas ditahan, anggota kami menyoal siasat mereka dan suspek lelaki tanpa berselindung mengaku merogol mangsa. Malah, tanpa segan silu, dia memberitahu nafsunya lebih terangsang jika melakukan seks dengan kanak-kanak dan suka mendengar rintihan mereka.

“Susulan pengakuan itu, polis menahan reman pasangan terbabit bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan perlakuan keji seorang datuk yang tergamak ‘meratah’ cucu perempuannya yang berusia 13 tahun berulang kali sejak lima tahun lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang belajar dalam tingkatan satu di sebuah sekolah di sini enggan pulang dari asrama sekolah ke rumah nenek yang menjaganya seperti kebiasaan pada hujung minggu lalu.

Selepas didesak ibunya, mangsa mendedahkan pengalaman pahitnya dirogol datuk tirinya setiap kali pulang ke rumah lelaki itu pada hujung minggu dan lebih memilukan neneknya didakwa turut bersekongkol dengan merahsiakan perbuatan suaminya.

Terkejut dengan pendedahan anaknya, wanita berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong di sini, jam 12.45 tengah hari kelmarin dan suspek bersama isterinya menghilangkan diri selepas mengetahui hal itu.

Mohd Bukhori berkata, pelajar berkenaan kini masih ditempatkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan pemeriksaan doktor ke atasnya mengesahkan ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Nafi perkosa anak saudara

PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan merogol anak saudaranya yang berusia 9 tahun di rumahnya pada tahun lalu.
V Tiagarajah, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Balqis Aini Arshad.
Mengikut pertuduhan dia didakwa merogol anak saudaranya itu di rumahnya di Taman Medan pada tahun 2009.

Terdahulu pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan membantah ikat jamin terhadap tertuduh kerana tertuduh tinggal bersama satu rumah dengan mangsa.

Peguam bela Lim Sha Lee memaklumkan anak guamnya akan berpindah keluar dari rumah itu ke sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong dan mangsa akan dijaga oleh isteri tertuduh di rumah asal mereka.

Hakim Balqis Aini kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga penjamin mempunyai bukti kukuh bahawa alamat yang akan diduduki tertuduh benar dengan mengemukakan bukti bil air, bil elektrik dan perjanjian sewa beli rumah pada tarikh sebutan akan datang.

Sementara itu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, dia turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan merangsang dengan niat melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap anak saudaranya itu di rumahnya pada tahun yang sama di hadapan Majistret Aishah Hijriah Arshad.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan turut memohon tertuduh tidak diikat jamin dengan alasan yang sama.

Majistret Aishah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh diperintah melapor diri di balai polis pada setiap bulan.

Dalam pada itu, dia yang dibawa ke mahkamah dengan berkemeja turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan terhadap satu lagi pertuduhan rogol membabitkan seorang murid berumur 9 tahun di dalam vannya pada Julai lalu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin berserta dengan beberapa syarat tambahan yang mana tertuduh dihalang menghampiri mangsa, keluarga mangsa dan saksi pendakwaan walaupun melalui ejen.

Selain itu tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Balai Polis berdekatan pada setiap awal bulan.

Maut tak guna jejantas

KUALA LUMPUR: Keengganan menggunakan jejantas mengundang padah buat seorang warga emas apabila maut dirempuh sebuah motosikal roda tiga di Jalan Pudu, semalam.


TUTUP...mayat Leong di tempat kejadian, semalam.
TUTUP...mayat Leong di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Leong Chee Ming, 71, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala penunggang motosikal roda tiga itu yang berusia 27 tahun cedera akibat tercampak daripada motosikalnya.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata mangsa dipercayai cuba melintas jalan dengan tidak menggunakan jejantas hanya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dipercayai terkena hentakan kuat selepas terjatuh di atas pembahagi jalan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Kami masih mengesan waris mangsa dan meminta orang ramai atau saksi kejadian menghubungi polis di talian Rakan Cop 03- 21159999,” katanya. Justeru itu, Rusli menasihatkan orang ramai supaya menggunakan jejantas ketika menyeberang jalan.

Wartawan Mexico disaran pakai perisai badan, topi keledar

CIUDAD JUAREZ (Mexico): Persatuan wartawan Mexico melancarkan panduan protokol keselamatan baru, termasuk perisai badan dan topi keledar di wilayah Chihuahua berikutan petugas media sering menjadi mangsa serangan sindiket dadah.
Langkah itu disaran suruhanjaya hak kemanusiaan di Chihuahua dalam buku panduan baru yang menggariskan keselamatan wartawan.
Sekurang-kurangnya sembilan wartawan dibunuh atau dilaporkan hilang tahun ini dan lebih 30 terbunuh sejak Presiden Felipe Calderon melancarkan serangan tentera terhadap kegiatan jenayah terancang tiga setengah tahun lalu. Baru-baru ini, seorang jurukamera tercedera pada 15 Julai lalu akibat serangan letupan bom kereta yang menyebabkan empat orang terbunuh di Ciudad Juarez yang didominasi kegiatan sindiket dadah.

Sementara itu, empat wartawan diculik dan dibebaskan seminggu kemudian oleh kumpulan sindiket dadah selepas mereka membuat liputan berita mengenai bantahan di sebuah penjara di utara Mexico. Ada juga petugas media yang meletakkan jawatan selepas sering menerima ugutan atau menjadi mangsa serangan bom ekoran keganasan kegiatan sindiket dadah di negara itu yang turut mengakibatkan 25,000 orang terkorban sejak akhir 2006. - AFP

Seorang wanita dipercayai menikam mati tiga anaknya

LONDON: Seorang wanita dipercayai menikam mati tiga anaknya sebelum terjun dari beranda sebuah rumah, semalam.

KORBAN...(dari kiri) Gianluca, Augustino dan Cecilia.
KORBAN...(dari kiri) Gianluca, Augustino dan Cecilia.

Theresa Riggi yang berebut hak penjagaan tiga anak dengan bekas suaminya, Pasquale, terjun setinggi 40 kaki dari kediaman teres dua tingkat di Edinburgh. Sebelum ini, pihak polis mencari wanita itu yang dikatakan melarikan tiga anaknya, pasangan kembar lelaki, Gianluca dan Augustino, 8, serta Cecilia, 5, dari kediamannya di Skene, Aberdeenshire.
Sumber polis berkata: “Empat beranak itu dilaporkan hilang dari kediaman mereka di timur laut Aberdeen. “Tiga kanak-kanak terbabit menjadi mangsa perebutan hak penjagaan ibu bapa mereka.” Theresa yang cedera parah akan ditahan untuk siasatan apabila pulih kelak.

Pada mulanya, Theresa bertindak membuka paip gas di kediaman itu tetapi tetangga di kawasan kejiranan berkenaan menyedari bau gas yang tersebar lalu membuat panggilan kecemasan. Apabila pasukan bomba tiba di situ mereka mendapati ibu berusia 46 tahun itu terbaring tanpa sedarkan diri di luar rumah teres dua tingkat berkenaan.

Anggota bomba yang bergegas masuk ke dalam kediaman terkejut apabila menemui tiga kanak-kanak terbaring berlumuran darah di ruang tamu.

”Kejadian ini sungguh tragis. Tiga kanak-kanak ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tikaman di atas lantai. “Wanita itu pula cedera parah ketika ditemui di luar rumah,” kata seorang saksi kejadian. Theresa dirawat di Hospital Diraja Edinburgh dan keadaanya dilaporkan stabil. - Agensi

Pelajar panik

SABAK BERNAM: “Saya panik tak tahu nak buat apa-apa. Selepas lihat bayi itu menangis sekuat hati, saya telefon mak cik yang tinggal di Bandar Baru Bangi memaklumkan kejadian dan dia minta saya beli tuala dan susu,” kata seorang remaja hanya mahu dikenali sebagai Iz, 20-an yang menemui seorang bayi lelaki di Jalan Menteri, berhampiran sebuah bank, Sungai Besar, di sini, kelmarin.

SIASAT...anggota forensik menjalankan siasatan di tempat bayi lelaki ditemui.
SIASAT...anggota forensik menjalankan siasatan di tempat bayi lelaki ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan bogel beralaskan kotak.

Tubuh bayi itu ditutup dengan kotak dan hanya menampakkan kepala dipercayai berusia antara sehari sehingga seminggu manakala tali pusatnya masih merah.

Iz mendakwa, dia serba salah dan tidak mampu berbuat apa-apa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada mak ciknya dan membawa pulang bayi berkenaan ke Bandar Baru Bangi.

Menceritakan lebih lanjut kejadian, Iz mendakwa, ketika kejadian dia bersama rakan wanita baru selesai mengunjungi kedai telefon bimbit sebelum melihat bayi terbabit menangis bersebelahan pintu kiri penumpang Perodua Kancil.

“Kira-kira jam 8.30 malam, saya tiba di sini dan meletakkan kenderaan sebelum kembali semula kira-kira sejam kemudian.

“Bagaimanapun saya tergamam dan tak tahu nak buat apa-apa selepas lihat bayi ini menangis. Malah ketika kejadian kawasan ini sunyi, agak gelap dan tiada orang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam, Selangor itu berkata, selepas memberi susu dan membalut bayi terbabit dia bersama rakannya membawa pulang ke Bandar Baru Bangi sebelum mak ciknya membuat satu laporan di balai polis kira-kira jam 2 pagi semalam.
Bayi itu dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi pemeriksaan lanjut.

'Mereka lambai serentak'

MARAN: “Saya sudah janji nak bawa mereka beli baju raya Jumaat ini (hari ini) di Kuantan, namun hajat itu tidak kesampaian,” kata Muhamed Falzal Yusuf, 37, yang semua tiga anaknya terbunuh dalam kemalangan selepas Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung sebuah BMW di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, malam kelmarin.


REMUK...keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa.
REMUK...keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa

Muhamed Falzal berkata, ketika bertemu ketiga-tiga anaknya, Isnin lalu, dia berasa sedikit aneh apabila mereka secara serentak melambai tangan kepadanya sebelum dia pulang ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

“Pada hari itu saya sudah rasa macam ada yang tak kena apabila mereka melambai saya serentak kerana sebelum ini mereka tidak pernah buat begitu,” katanya yang berasal dari Felda Jengka 8, di sini.

Tiga anak Muhamed Falzal yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu ialah Fatin Atikah, 16, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, 6. Turut maut rakan mereka, Muhammad Azlan Abdul Talib, 21, dari Felda Jengka 14, di sini.

Seorang lagi rakan mereka, Shawal Ruddin Hambali, 19, dari Felda Jengka 14 patah paha kiri, manakala pemandu BMW berkenaan, Nor Fazidah Abd Majid, 45, dari Felda Sungai Tekam, Jerantut, cedera di pinggang dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Menurut Muhamed Falzal, hubungan mereka anak-beranak memang rapat dan setiap kali pulang ke rumah pada hujung minggu dia pasti meluangkan masa bersama tiga beradik itu.
“Ketika dalam kereta, saya lihat wajah mereka begitu sayu seolah-olah bersedih apabila saya hendak berangkat meninggalkan mereka.

“Saya tak sangka itu rupa-rupanya lambaian terakhir mereka kepada saya sebagai tanda perpisahan kami anak-beranak,” katanya.
Fatin Atikah yang memandu Perodua Kancil milik ibu saudaranya itu maut di tempat kejadian bersama Muhammad Azlan manakala Fatin Atifah dan Muhammad Faiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jengka (HJ).

Ketika kejadian, lima sahabat itu dalam perjalanan pulang dari Hoshas selepas menziarah ibu Muhammad Azlan yang menghidap penyakit batu karang.

Muhamed Falzal berkata, dia yang ketika itu berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumahnya di Jengka 8 selepas isterinya, Rosiah Muhamad Ismail, 35, memaklumkan berita sedih itu kira-kira jam 9 malam.

Katanya, dia pada mulanya tidak percaya tiga anaknya maut serentak dalam tragedi itu dan menguatkan hati menghadapi saat paling sedih dengan memandu pulang ke rumahnya.

“Pilu hati saya mengenangkan tragedi sedih ini, apatah lagi saya sudah berjanji membawa mereka beli baju raya di Kuantan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila saya pulang dari Kuala Lumpur,” katanya yang sepatutnya pulang ke rumahnya, semalam.

Pekerja sebuah syarikat kontraktor elektrik di ibu negara itu berkata, setiap tahun dia membuat persiapan awal membeli baju raya untuk anaknya, namun kali ini rutin itu sudah berakhir dengan tragedi menyayat hati.

“Saya dan isteri menganggap kejadian ini sebagai ketentuan Allah yang mesti saya tempuhi walau segetir mana pun,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 8 selepas Zuhur, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata siasatan mendapati BMW dipandu Nor Fazidah dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Kancil dinaiki anak Muhamed Falzal dan rakan mereka.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, semua mangsa dalam Perodua Kancil tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai.

Katanya, Fatin Atikah pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Jengka 16 maut di tempat kejadian bersama Muhammad Azlan manakala Fatin Atifah dari sekolah sama dan Muhammad Faiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HJ.

Ahmad Johari berkata, jenazah semua mangsa dituntut keluarga masing-masing selepas bedah siasat di HJ, malam kelmarin.

Seorang wanita maut manakala tiga rakannya cedera

SHAH ALAM: Seorang wanita maut manakala tiga rakannya cedera selepas tercampak keluar dari kenderaan dinaikinya yang terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 8.7 Lebuh Raya Persekutuan di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi, mangsa, Siti Zaitun Zulkifli, 20, yang berasal dari Kampung Jawa di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.
Difahamkan kemalangan itu berpunca kecuaian pemandu yang memecut sebelum gagal mengawal kenderaan dan terbabas.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata tiga lagi mangsa yang cedera ialah seorang wanita dan dua lelaki, bagaimanapun identiti mereka belum dikenal pasti. Menurutnya, seorang mangsa lelaki masih koma manakala dua lagi cedera ringan dan sudah dibenarkan pulang.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian ada empat penumpang di dalam kenderaan itu dan pemandu lelaki bersama seorang penumpang wanita yang duduk di kerusi hadapan cedera ringan.

“Manakala dua mangsa yang duduk di belakang tercampak keluar mengakibatkan seorang daripadanya maut,” katanya di sini, semalam.

Che Hussin berkata, semua mangsa terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kampung Jawa, Klang dari Uptown Damansara.

“Dua wanita itu dipercayai bekerja sebagai pembanci manakala dua lagi lelaki belum diketahui pekerjaannya,” katanya.

3 maut, 2 cedera




RANTAU PANJANG - Tiga terbunuh manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki masing-masing terbabit dalam kemalangan berasingan sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas, kelmarin. 

Kemalangan pertama melibatkan seorang guru dari Sekolah menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi, Maimunah Daud, 57, dalam perjalanan ke sekolahnya pada jam 7.30 pagi. 

Rakan mangsa, Mohamad Abdullah, berkata, mangsa yang tinggal di Taman Tengku Anis Rantau Panjang dipercayai tidak sihat sejak beberapa hari sebelum kejadian. 

Menurutnya, mangsa yang juga seorang ibu tunggal meninggalkan seorang anak perempuan dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Saga bewarna putih yang dipandu mangsa terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh wakaf menunggu bas oleh kebanyakan pelajar di sini. 

Haliludin berkata, kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan menyebabkannya cedera di dada dan muka dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM). 

“Oleh kerana kecederaannya agak parah, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 1 petang dan jenazahnya sudah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian di Kampung Banggol Ara, Rantau Panjang,” katanya di sini, semalam. 

Menulas kejadian kedua, Haliludin berkata, seorang penunggang motosikal Sakinah Rashid, 44, maut selepas motosikal dinaiki bersama seorang rakannya dirempuh sebuah motosikal lain di Kampung Busu 40, di Pasir Mas, jam 12 tengah hari. 

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa berhenti untuk memasuki simpang dan pada masa sama dirempuh penunggang motosikal, Azawa Mat Rifin, 25, dari arah Tanah Merah ke Lubok Jong, Pasir Mas. 

“Akibatnya, Sakinah yang cedera di kepala dihantar ke HPM, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini. 

Haliludin berkata, rakan mangsa pula hanya cedera, begitu juga penunggang motosikal terbabit, Azawa dan dirawat sebagai pesakit luar di HPM. 

Bagaimanapun, katanya, Sakinah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah malam di hospital berkenaan. 

Sementara itu, Haliludin berkata, dalam kejadian lain, membabitkan seorang penunggang motosikal, Sanusi Mamat, 18, dipercayai sedang menguji kelajuan Honda Wave di atas jambatan di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, jam 5.30 petang. 

“Kejadian berlaku apabila motosikalnya gagal dikawal lalu merempuh penghadang besi jambatan berkenaan sehingga menyebabkannya cedera di kepala, dan mati di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke HPM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya di kampung berkenaan.

Dugaan hebat menjelang Ramadan




JENGKA 8 – Peristiwa tiga permata hati diragut pergi menjadi dugaan terbesar Muhamed Falzal Yusuf, 37, menjelang Ramadan dan Syawal ini setelah dirinya berpisah dengan isteri, Rosiah Mohamad Ismail, 35, sejak tiga bulan lalu.

Muhamed Falzal yang bekerja sebagai kontraktor bahagian elektrik di Rawang, sering berulang-alik setiap minggu untuk menemui ketiga-tiga anaknya yang kini tinggal bersama bekas isteri di Bandar Jengka.

Menurutnya, Isnin lalu adalah detik terakhir dia bertemu ketiga-tiga anaknya malah dia sempat membawa mereka bersiar-siar ke Kuantan sebelum berjanji dengan mereka akan pulang Jumaat (hari ini) untuk membawa mereka membeli-belah persiapan raya.

“Malah mereka sempat menghantar dan melambai kepada saya dari luar pintu kedai salun kecantikan ibunya Isnin lalu selepas saya menghantar mereka dan pulang ke Rawang untuk bertugas semula.

“Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah berbuat demikian malah sayup-sayup saya lihat lambaian tiga beradik ini di luar pintu kedai tersebut,” katanya.

Muhamed Falzal berkata, anak bongsunya, Mohd Faiz Daniel Muhamad Falzal, 6, paling rapat dengannya malah Selasa lalu dia sempat berbual melalui telefon dan itu m kali terakhir dia mendengar suara manja anak bongsunya.

“Ketika mula menerima panggilan kira-kira jam 8 malam, rasa tidak percaya apabila dimaklumkan oleh abang ipar bahawa ketiga-tiga anak saya maut terlibat dalam kemalangan namun saya sedapkan hati untuk memandu pulang.

“Ketika sampai di Hospital Bandar Jengka saya masih terkejut namun saya reda ketentuan Ilahi dan menerima takdir tuhan walaupun tidak sempat membelikan baju raya untuk mereka serta menyambut Aidilfitri tahun ini bersama,” katanya.



Anak bongsu mahu ikut kakak



Seperti hilang arah, namun Rosiah Mohamad Ismail, 35, juga reda dengan ketentuan Ilahi apabila tiga permata hatinya maut dalam sebuah kemalangan ketika pulang dari kedai makannya di simpang Felda Jengka 14 menuju ke kediaman mereka di Bandar Jengka.

Menurutnya, selalunya anak bongsunya akan pulang bersamanya dan tidak mahu mengikut kakaknya namun kelmarin dia mahu mengikut kakaknya pulang ke rumah di Bandar Jengka.



Sempat jenguk emak



Menurut ayah kepada Muhamad Azlan (mangsa yang turut maut), Abdul Talib Mat Piah, 59, berkata, anaknya seorang yang mesra dengan keluarga dan mudah disuruh serta tidak banyak karenah.

“Ibunya dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dua hari lalu untuk menjalani pembedahan penyakit batu karang. Sebelum dirujuk ke HoSHAS, ibunya menerima rawatan di Hospital Jengka.

“Arwah yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sebelum ini tidak bekerja dan dia baru tiga hari memulakan kerja sebagai tukang cuci kereta di sebuah pusat cucian di Jengka 14,” katanya.

Abdul Talib berkata, arwah ada memaklumkan kepadanya untuk pergi melawat emak di hospital bersama rakan petang kelmarin dan tidak merasakan sesuatu yang ganjil pada diri arwah.

“Malah arwah turut bekerja separuh hari hanya untuk melawat ibunya walaupun baru tiga hari memulakan kerja. Sedangkan sebelum ini ibunya menerima rawatan di Hospital Jengka dia tidak sempat melawat namun sebelum kejadian ini, dia sempat melawat ibunya di hospital,” katanya.

Turut hadir melawat jenazah di rumah mayat Hospital Jengka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua keluarga mangsa yang terlibat kemalangan.

Jenazah Muhamad Azlan dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam di tanah perkuburan Felda Jengka 14.

Penyamun kempunan



KUALA PILAH - Sekumpulan penjenayah amatur kempunan mahu menikmati hasil samun berjumlah RM700 selepas mereka diberkas polis di Senawang, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, tiga penjenayah yang melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara diberkas polis kurang satu jam selepas menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Simpang Pelangai, dekat sini. 

Penjenayah berumur antara 20 hingga 33 tahun itu diberkas pasukan polis peronda yang menerima maklumat selepas pasangan warga emas yang menjadi mangsa terbabit menghubungi polis. 

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Suprintendan Jaafar Baba berkata, ketika kejadian pasangan warga emas berumur lingkungan 60-an berada di kedai runcit milik mereka. 

“Tiba-tiba datang sebuah kereta dinaiki sekumpulan lelaki berhenti berhampiran kedai. Seorang lelaki turun seolah-olah berlakon untuk membeli sesuatu. 

“Pada masa sama, seorang lagi lelaki bersenjatakan parang turun lalu meluru ke arah pasangan warga emas terbabit dan dengan pantas mengacukan :parang ke arah mereka,” katanya, di sini, semalam.

Ranap dalam masa 10 minit



KUALA KANGSAR – Hanya dalam masa 10 minit, dua gerai buah-buahan runtuh, sementara dua kedai makan dan tiga stor yang digunakan untuk menyimpan barang perniagaan, di Jalan Idris, di sini rosak akibat ribut, kelmarin. 

Ribut berkenaan dikatakan paling teruk pernah berlaku, namun peniaga bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun masih berada di lokasi kejadian. 

Seorang peniaga, Rohani Saari berkata, ketika kejadian dia menyaksikan sendiri ribut tersebut 

meranapkan segala peralatan dan hasil jualan malah sebahagian bumbung gerainya turut diterbangkan angin. 

Menurutnya, kejadian ribut dan angin kencang sering berlaku di kawasan itu tetapi tidak pernah menyebabkan sebarang kerosakan. 

“Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang dan pada waktu itu saya seorang sahaja berada di gerai kerana suami ada urusan lain di luar daerah, perasaan takut memang tak dapat dinafikan. 

“Saya sudah berniaga selama empat tahun di sini tetapi tidak pernah berlaku rebut seteruk ini dan waktu gerai saya diruntuhkan angin kencang, saya tidak keluar daripada gerai kerana takut dan menunggu sehingga angin serta hujan berhenti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin. 

Katanya, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung adalah sebanyak RM60,000 kerana dua gerai buah-buahannya ranap manakala sebuah stor dan kedai makan turut rosak. 

“Semua buah-buahan rosak dan tidak boleh dijual semula dan turut rosak bekalan buah-buahan yang disimpan di dalam stor,” katanya 



Gerai rosak dalam sekelip mata 

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Razali Mohd Nordin berkata, gerai minumannya yang terletak di tepi jalan ranap dalam sekelip mata. 

Katanya, dua stor yang digunakan untuk menyimpan barang niaga turut mengalami kerosakan. 

“Waktu kejadian saya sedang berniaga dan angin menyerang secara tiba-tiba sahaja menyebabkan barang niaga terpelanting diterbangkan angin. 

“Saya mengalami kerugian kira-kira RM2,000 berikutan kejadian itu dan tidak menyangka mengalami kejadian ini setelah tujuh tahun berniaga di sini," katanya. 

Sementara itu, peniaga kedai makan, Aisyah Dalah berkata, dia bersama dua rakan sedang bersiap-sedia untuk membuka kedai dan angin kencang seperti puting beliung menyerang secara tiba-tiba menerbangkan kerusi, meja dan bumbung. 

“Kami baru sahaja membuka kedai pada ketika itu dan apabila sudah jadi seperti ini kami tiak dapat meneruskan perniagaan. 

"Kami memang berasa takut pada ketika itu tetapi bersyukur kerana masih selamat," katanya. 

Selain kerosakan yang berlaku di kawasan gerai jualan berkenaan, beberapa lokasi di sekitar Pekan Kuala Kangsar turut dilanda ribut.