Search This Blog

Thursday, August 5, 2010

Minum arak: Lelaki tukar pengakuan tidak bersalah

KUANTAN: Seorang buruh hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas dakwaan meminum minuman keras, 7 Februari lalu.
Pada 1 Julai lalu, Mohd Saifulnizal Zulkifli, 29, mengaku bersalah atas tuduhan meminum arak di kelab malam Horoscope di Sri Dagangan, Jalan Tun Ismail di sini pada 1.05 pagi.
Hakim syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus sebelum ini menetapkan hari ini untuk memberi peluang kepada tertuduh menarik semula pengakuan bersalahnya atas alasan kes itu berat selain melantik peguam dan membuat rayuan.

Mohd Saifulnizal yang diwakili peguam syarie, Mohd Zuki Che Mat Ghani akan dibicarakan pada 22 November depan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalahnya atas dakwaan melakukan kesalahan yang sama di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di sini pada 5.30 petang 13 Februari lalu.

Abdul Rahman kemudian menetapkan 30 September depan untuk keputusan kes itu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun dan sehingga enam kali sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Agama Islam Pahang, Azwa Hanim Kamarulzaman. -Bernama

Ubat kuat lelaki memudaratkan - Liow

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat kuat lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.
Beliau berkata, rata-rata ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang merupakan bahan aktif perangsang seks lelaki.
Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan "erectile dysfunction" yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor. Bercakap kepada pemberita selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di sini, hari ini, beliau berkata kesan sampingan ubat itu adalah sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.

"Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan," katanya.

Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Beliau berkata, produk-produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki itu juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan 'ice lemon tea'.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara mengarut dan penyalahgunaan (ubat) ini di negara ini. Saya memandang serius perkara ini.

Jangan suka membeli produk-produk sedemikian.

"Kementerian Kesihatan akan perangi habis-habisan ubat-ubatan, makanan dan minuman kesihatan dan kosmetik yang tidak berdaftar," katanya.-Bernama

RM34.9 juta harta milik sindiket dadah dirampas antara Januari dan Jun

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merampas dan menyita aset berjumlah kira-kira RM34.9 juta yang dimiliki sindiket mengedar dadah dalam negara sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Antaranya termasuk wang tunai berjumlah RM3.92 juta, wang dalam bank yang keseluruhannya berjumlah RM5.62 juta, dan kenderaan bermotor bernilai RM13.2 juta," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Othman Harun.
Beliau berkata, harta atau aset tidak boleh alih yang disita pula membabitkan rumah dan bangunan yang keseluruhan bernilai RM9.197 juta, serta tanah yang bernilai RM179,200.

"Semua yang disita ini membabitkan harta benda serta aset milik sindiket pengedaran dadah tempatan dan warga asing yang didapati menjalankan aktiviti mereka dalam negara," katanya di sini. Beliau berkata, polis turut merampas dan menyita saham-saham yang dimiliki sindiket-sindiket dadah itu yang keseluruhan bernilai RM1.98 juta, dan menurutnya lain-lain aset yang turut dirampas ialah barang-barang kemas, barang elektrik, telefon bimbit dan kamera.

Othman berkata, angka itu menunjukkan sedikit pengurangan berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang membabitkan rampasan harta benda dan aset RM37.2 juta.

"Tahun lalu banyak kejayaan dicapai oleh polis dalam membongkar makmal-makmal dadah haram. Berikutan itu sindiket kini mula menukar sasaran dengan membina makmal-makmal mereka di negara-negara jiran," katanya.

Beliau berkata, dari tahun 2007 hingga Jun tahun ini pula, RM177.1 juta harta benda dan aset dirampas dan disita yang dipercayai diperolehi hasil aktiviti penjualan dadah yang kemudiannya diserahkan kepada mahkamah bagi tujuan pengesahan hak milik.

"Mahkamah akan tentukan sama ada harta itu diperolehi secara haram ataupun tidak. Sekiranya tidak, harta benda itu boleh dituntut menerusi peguam. Kalau mahkamah sahkan harta benda itu diperoleh secara haram, maka semua harta itu akan menjadi hak kerajaan," katanya.

Katanya, sindiket asing terutama dari negara serantau pernah menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk memproses dadah dalam jumlah yang besar.

Othman berkata, kecekapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada kejayaan membongkar serta melumpuhkan kegiatan makmal-makmal haram yang besar yang mampu mengeluarkan dadah antara 300 hingga 500 kilogram seperti di Johor, Kedah dan Selangor (Semenyih) yang mampu mengeluarkan dadah sintetik dalam jumlah yang besar.

Beliau berkata, permintaan dalam negara yang tinggi terhadap dadah juga menyebabkan ramai warga asing yang mengambil kesempatan cuba membawa masuk dadah secara sendiri untuk pasaran tempatan. Menurutnya, ada di antara sindiket-sindiket warga asing menjadikan Malaysia sebagai laluan perantara untuk masuk ke negara jiran dan memasarkan dadah mereka dalam negara.-Bernama

Polis serbu makmal proses dadah di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis menyerbu sebuah makmal mini memproses dadah di sebuah premis di Taman Sri Tebrau, di sini kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Dalam serbuan itu polis rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM167,950.
Seorang lelaki berusia 30-an ditahan direman tujuh hari bagi bantu siasatan

Lapan pelacur warga Thailand di tahan polis Negeri Sembilan




ANTARA lapan warga Thailand yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran ditahan polis cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Negeri di sebuah rumah di Taman Bukit Kelisa, Seremban. 5 Ogos 2010. - Utusan/ABD. RAZAK AID


SEREMBAN: Lapan wanita warga Thailand ditahan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Kelisa di sini malam tadi, kerana didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk menjadi pelacur.
Ketua Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Inspektor Boo Khooi Fong berkata, kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 38 tahun ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 9.30 malam.
"Serbuan adalah hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan orang ramai. Selain itu kita turut merampas wang tunai RM3,050, dua tiub pelincir dan enam kondom," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat tiga lelaki berusia antara 25 dan 32 tahun di rumah itu dipercayai pelanggan.

Siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral tersebut yang bertujuan mencari duit belanja disebarkan 'dari mulut ke mulut', katanya.-Bernama

Warga emas maut dirempuh motosikal roda tiga

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas maut apabila dirempuh motosikal roda tiga di Jalan Pudu di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Leong Chee Ming, 71, maut di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala akibat terhentak pada pembahagi jalan.

Dua guru maut dalam kemalangan di Batu Anam

SEGAMAT: Dua guru wanita, seorang daripadanya sarat mengandung terbunuh selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta Kia Spectra di KM202.6, Jalan Segamat-Gemas dekat Batu Anam, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata kemalangan pada kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan Cheng Lee Sei, 31, yang sedang mengandung lapan bulan dan rakannya, Lee Pei Ling, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Yang cedera pula ialah seorang lagi guru yang turut menaiki Perodua Viva itu, Sia Yoke Peng, 27, dan pemandu Kia Spectra berkenaan, Em Kai Doon, 25," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika semua guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gemas Baru, Negeri Sembilan itu dalam perjalanan ke sekolah berkenaan, apabila kereta mereka dirempuh sebuah kereta Kia Spectra yang dalam perjalanan dari Gemas ke Batu Anam, dari arah bertentangan.

Katanya, ketiga-tiga guru wanita yang tinggal di sekitar bandar Segamat itu berkongsi kereta untuk ke sekolah dengan Cheng memandu kereta itu, Lee duduk di bahagian belakang manakala Sia duduk di bahagian sebelah pemandu.

Abdul Majid berkata, Sia kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, manakala Em dirawat di Hospital Melaka, dan menurutnya polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.-Bernama

Kanak-kanak perempuan dijumpai selepas dua jam diculik

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilarikan seorang lelaki dengan sebuah kereta di Taman Meru di sini malam tadi, ditemui selepas dua jam diculik.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengaji di rumah jirannya.
"Seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta menghampiri kanak-kanak itu sebelum menarik mangsa masuk ke kereta," katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang jiran berkata, adik lelaki mangsa berusia 9 tahun dan rakannya menyaksikan kejadian itu menjerit dan cuba mengejar kereta itu sebelum berpatah balik memaklumkan kepada guru mengajinya.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, beliau terus membuat laporan polis selain meminta bantuan daripada rakan-rakan supaya menyalurkan maklumat melalui SMS.

Beliau berkata, anaknya itu ditarik oleh lelaki berkenaan ke dalam kereta selepas berpura-pura bertanyakan kedai untuk menambah nilai telefon bimbit.

Beliau bersyukur kerana anaknya terselamat dan berharap lelaki itu dapat diberkas bagi mengelak kejadian sama berulang kepada mangsa lain.

Azisman berkata, mangsa ditemui di Taman Kinta, Gopeng pada jam 10.45 malam tadi oleh seorang lelaki yang menghantarnya ke Balai Polis Gopeng.

Kawasan kanak-kanak itu ditinggalkan terletak kira-kira 45 kilometer dari Taman Meru.

Polis menghantar kanak-kanak itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan.

Azisman berkata, polis masih memburu suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hijau dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Tiga beradik antara empat maut kemalangan di Jengka

KUANTAN: Empat termasuk tiga beradik maut dan dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kereta di KM47.5, Jalan Temerloh-Bandar Jengka, malam tadi.
Pemandu salah sebuah kereta yang turut dinaiki dua adiknya dan dua rakan lelaki hanya seorang gadis berusia 16 tahun, manakala sebuah kereta lagi dipandu seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Johari Shabudin berkata, mereka yang terkorban ialah gadis itu Fatin Atikah Muhamed Faizal, adik perempuannya Fatin Atifah, 15, dan adik lelaki Muhammad Faiz Danial, 6, serta rakan mereka Muhammad Azlan Abdul Talib, 21.

"Mereka yang cedera ialah seorang lagi penumpang kereta yang dipandu Atikah, Shawal Ruddin Hambali, 19 dan pemandu sebuah lagi kereta Nor Fazidah Abd Majid," katanya di sini hari ini.

Johari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam ketika kereta yang dipandu Atikah dari arah Temerloh bertembung dengan kereta Nor Fazidah yang dipercayai memasuki laluan bertentangan. Mengulas lanjut, Johari berkata akibat pertembungan itu Atikah dan Muhammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Atifah dan Muhammad Faiz Danial disahkan meninggal dunia di Hospital Jengka.

"Shawal Ruddin pula patah paha kiri, manakala Nor Fazidah cedera di pinggang, dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Jengka.

"Kita masih menyiasat punca kemalangan kerana jalan itu lurus, serta keadaan cuaca juga baik ketika kejadian berlaku," katanya.-Bernama

Gempa bumi kuat 7 skala ritcher di Papua New Guinea

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 7 pada skala Richter berlaku di New Britain Region, Papua New Guinea pada jam 6.02 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, pusat gempa itu terletak 556 kilometer dari timur laut Port Moresby di Papua New Guinea dan 3,804 kilometer dari tenggara Kunak, Sabah.
Gempa itu tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan itu.-Bernama

tentera sesat ketika mendaki Gunung Brinchang belum ditemui




2010/08/05
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Seorang anggota tentera yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Brinchang di Cameron Highlands pada Ahad lalu belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Lt Mohd Al-Amin Rohizat, 27, tiba di Cameron Highlands 31 Julai lalu dan bermalam selama sehari sebelum mendaki gunung pada keesokan harinya.
"Dia sepatutnya keluar dari Gunung Brinchang itu pada Isnin dan pulang ke Lumut untuk kembali bertugas semula di pangkalan TLDM tetapi gagal berbuat demikian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibunya membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada petang Selesa selepas anaknya tidak pulang ke rumah seperti yang dijadualkan.

Pangkalan TLDM membuat laporan berhubung kehilangannya itu semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, bahawa selepss mendapat laporan daripada ibu Mohd Al-Amin, polis bersama tentera dan unit anjing pengesan telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat bermula pada 2.30 petang semalam.-Bernama

Belum ada kepastian bangkai pesawat dari Malaysia

JAKARTA: Bangkai pesawat yang dilapor di temui di pergunungan Aceh Besar Selasa lalu belum disahkan sebagai pesawat dari Malaysia yang dilaporkan hilang di kawasan itu lebih 20 tahun lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata, setakat ini Polis Aceh hanya mengesan dari udara terdapat bangkai pesawat di kawasan pergunungan itu dan mereka belum memastikan jenis pesawat atau dari negara mana pesawat berkenaan.
"Kepastian hanya akan diketahui selepas pasukan polis Aceh dapat mengesannya di darat. Perjalanan ke lokasi itu dikatakan akan mengambil masa dua hari dua malam dengan berjalan kaki.

"Bila operasi itu akan dijalankan, kita belum tahu kerana pada masa ini kawasan Aceh sedang mengalami keadaan angin kencang," katanya ketika dihubungi hari ini Norlin berkata, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Polis Aceh bagi mendapatkan pengesahan sebelum mengambil langkah seterusnya.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan Aceh yang menyebut mengenai penemuan bangkai pesawat itu, yang dikatakan turut mengandungi rangka manusia di dalamnya.

Norlin berkata, setakat ini Polis Acheh belum dapat mengesahkan sama ada terdapat rangka manusia dalam bangkai pesawat itu selagi mereka belum menemuinya.

Berdasarkan rekod, dua pesawat dari Malaysia dilaporkan terhempas di Aceh iaitu sebuah pesawat kecil Twin Otter pada tahun 1989 dan sebuah pesawat Skyvan pada tahun 1993, yang dikatakan belum ditemui kerana pesawat berkenaan dipercayai terhempas dalam hutan tebal.-Bernama

Pemandu van sekolah didakwa rogol murid, anak saudara



05/08/2010 8:37pm

PETALING JAYA - Seorang pemandu van sekolah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol seorang murid perempuan berusia sembilan tahun dan anak saudaranya sendiri.
Selain rogol, V. Tiagarajan, 51, turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret iaitu merangsang anak saudaranya melakukan perbuatan lucah melampau.
Bagaimanapun, Tiagarajan yang diwakili peguam Lim Sha Lee, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 7 Sept depan untuk menyebut sebutan semula semua kes terhadapnya.
Bagi kes merogol, Tiagarajan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan.
Dalam kes pertama, dia didakwa merogol seorang pelajar Tahun Tiga dalam van sekolah yang dipandunya di Jalan Othman di sini pada 26 Julai lepas.
Hakim Rozina Ayob membenarkan Tiagarajan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.
Bagaimanapun, beliau turut mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap Tiagarajan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta dilarang mendekati atau mengganggu mangsa sehingga perbicaraan kes itu selesai.
Bagi kesalahan kedua, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya yang berusia sembilan tahun ketika kejadian, di rumahnya di Taman Medan di sini pada 2009.
Bagaimanapun, dalam kes ini, Hakim Balqis Aini Mohd. Ali tidak membenarkan Tiagarajan diikat jamin memandangkan mangsa tinggal serumah dengannya.
Beliau berkata, tertuduh hanya boleh diikat jamin selepas membuktikan dia telah berpindah ke rumah lain dengan mengemukakan alamat rumah baru melalui bil air dan elektrik kepada mahkamah, apabila kes itu disebut semula. - Bernama

Kumpulan militan dakwa bom kapal





GAMBAR fail menunjukkan kapal tangki M. Star.



DUBAI – Satu kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan pengganas Al-Qaeda semalam mengakui seorang pengebom berani mati melakukan serangan misteri ke atas kapal tangki milik Jepun, M.Star yang berlaku di Selat Hormuz tetapi para penganalisis meragui dakwaan tersebut.
Krew kapal M.Star melaporkan satu letupan berlaku selepas tengah malam pada Rabu minggu lalu.
Letupan itu mencederakan seorang mangsa namun tidak mengakibatkan kebocoran minyak atau gangguan pelayaran.
Insiden itu menimbulkan pelbagai spekulasi seperti kewujudan ombak aneh dan pelanggaran dengan kapal selam nuklear milik Amerika Syarikat (AS).
Dakwaan serangan itu dibuat oleh kumpulan Briged Abdullah Azzam.
Dakwaan itu turut dibuktikan di sebuah laman web yang menunjukkan sekeping gambar yang dikatakan seorang pengebom berani mati.
“Ayyub al-Taishan yang mahu mati syahid meletupkan dirinya di atas kapal tangki Jepun, M.Star,” kata kenyataan itu di laman tersebut.
Perkembangan itu seperti membuktikan kebenaran dakwaan pemilik M.Star yang menyatakan kapal tangki tersebut diserang oleh pengganas. – Reuters

Polis NS tahan lapan pelacur warga Thailand



05/08/2010 5:23pm

SEREMBAN - Lapan wanita warga Thailand ditahan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Kelisa di sini malam tadi, kerana didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk menjadi pelacur.
Ketua Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Insp. Boo Khooi Fong berkata, kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 38 tahun ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 9.30 malam.
"Serbuan adalah hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan orang ramai. Selain itu kita turut merampas wang tunai RM3,050, dua tiub pelincir dan enam kondom,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika serbuan terdapat tiga lelaki berusia antara 25 dan 32 tahun di rumah itu dipercayai pelanggan.
Siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral tersebut yang bertujuan mencari duit belanja disebarkan ’dari mulut ke mulut’, katanya. - Bernama

Wanita Thai guna pil tidur samun lelaki




GAMBAR menunjukkan warga Denmark yang diperdayakan oleh seorang pekerja seks di sebuah bar di Pattaya semalam.


PATTAYA - Polis Thailand menahan seorang pekerja seks tempatan, Parichat Thaisamak, 39, yang disyaki membubuh pil tidur untuk menyamun seorang lelaki rakyat Denmark, lapor akhbar Pattaya Daily News semalam.
Seorang pegawai penyiasat polis Pattaya, Leftenan Kolonel Poomipat Nampootta berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan semalam ketika suspek bersama mangsa datang ke sebuah bar di sini untuk minum dua botol minuman keras.
Beberapa pekerja premis itu dan pengunjung bar tersebut kemudian bertindak pantas menangkap Parichat apabila mereka melihat warga Denmark tersebut tiba-tiba pengsan di meja manakala wanita berkenaan dilihat seperti cuba melarikan diri.
Ketika sepasukan anggota polis tiba, mereka menemui dua paket kecil pil tidur dengan salah satu bungkusan daripadanya yang mengandungi enam biji ubat dipercayai sudah dibubuh ke dalam air minuman.
Parichat semasa disoal siasat mengaku telah memasukkan pil itu untuk menyamun warga Denmarik tersebut apabila mereka balik ke tempat penginapan namun dia menukarkan rancangan sebaik melihat lelaki berkenaan jatuh tidak sedarkan diri.
Suspek masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut manakala pihak polis merampas dua biji gelas dan botol minuman itu sebagai bahan bukti. - Agensi

Pembalakan di Tg. Nering rosakkan jalan kampung



05/08/2010 3:16pm

BALING - Kegiatan pembalakan di hutan Tanjung Nering, Kupang sejak sebulan lepas menimbulkan kemarahan penduduk di beberapa kampung sekitar kerana menyebabkan jalan utama ke kampung mereka rosak teruk.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, keadaan itu berlaku kerana jalan tersebut kini digunakan lori balak yang membawa muatan berlebihan.
Salah seorang penduduk, Abd Rashid Hashim, 50, berkata selain membawa muatan balak sendiri, sesetengah lori juga menunda treler lain yang sarat dengan hasil hutan itu.
"Kami berharap pihak berkuasa dapat menahan lori kayu balak dari melalui jalan ini kerana bimbang setelah kerja membawa keluar kayu selesai kontraktor akan meninggalkan kerosakan yang berlaku kepada penduduk di sini,” katanya.
Katanya kerosakan yang dialami jalan terbabit terlalu teruk sehingga ada kawasan yang sukar dilalui kenderaan ringan. - Bernama

Trauma dengan pencuri bogel



KUALA TERENGGANU – Pelajar yang dikejutkan pencuri bogel dalam satu kejadian pecah rumah Isnin lalu terpaksa tidur bertemankan sebatang kayu kerana masih takut dengan pengalaman yang dilaluinya.
Ibu mangsa, Cik Akmaliza Mohd. Rozali, 32, berkata, mangsa, Nurul Ain Amirah Mohd. Yusoff, 13, juga didakwa mudah terkejut kerana terasa seolah-olah pencuri berkenaan ada di rumah.
“Nurul Ain terpaksa tidur dengan sebatang kayu sebab dia terlalu takut pencuri itu datang lagi dan kayu itu boleh digunakan sebagai senjata sekiranya ada kejadian tidak diingini berlaku,” kata wanita itu ketika dihubungi semalam.

Lelaki dihukum mati edar syabu



AFANDI dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar syabu.


KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 41.43 gram di sebuah restoran nasi ulam di sini empat tahun lalu.
Hakim, Mohd. Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan keraguan yang melampaui munasabah terhadap tertuduh, Mohd. Afandi Abu Bakar, 41.
Tertuduh yang masih bujang dan berasal dari Kampung Batu 10, Rantau Panjang dalam keterangan pembelaannya gagal membuktikan dirinya mengalami penyakit mental atau dikenali skizofrenia semasa dia melakukan kesalahan itu.

Kerjaya Luna Maya punah gara-gara video lucahnya



Kes video lucah yang melibatkan Luna Maya memberi impak yang sangat besar terhadap kerjaya artis cantik ini. 

Sejak video tersebut tersebar ia memberi kesan yang sangat negatif kepada kontrak-kontrak yang melibatkan pekerjaan kekasih Ariel ini. Malah beberapa kontrak iklan Luna Maya dibatalkan tanpa sebarang budi bicara. 

Sebelum kes video lucah tersebar, Luna Maya merupakan antara artis yang paling laris sebagai model iklan, pengacara TV dan juga bintang filem. Beberapa produk ternama pernah menjadikan wajah cantiknya sebagai jurucakap kepada produk mereka seperti XL, Lux dan juga Toshiba. 

Selain menjadi bintang iklan, Luna juga dikenali dengan program televisyen popular Indonesia berjudul Dahsyat dengan bayaran yang agak lumayan. 

Bukan itu sahaja, Luna juga sibuk menjadi sibuk mendapat tawaran di program-program televisyen lain seperti The Promotor dan sebagainya. Manakala dia juga terpilih menerajui beberapa buah filem sepanjang tahun lalu. 

Namun begitu, apabila video lucahnya dan Ariel mula tersebar dan sampai ke pihak berkuasa, kerjaya jelitawan ini mulai merudum. 

Beberapa produk iklan yang menggunakan wajahnya telah menamatkan kontrak serta merta. Manakala program Dahsyat turut menyingkirkan Luna dan menggantikannya dengan Astrid Tiar. Pihak produksi program itu mengambil keputusan selepas Luna menjadi disahkan menjadi tertuduh dalam kes tersebut. 

Kini, wajah Luna sudah jarang dilihat di kaca TV melainkan berita tentang perkembangan kes tersebut yang juga melibatkan pengacara TV, Cut Tari. 

Sebelum ini, ada khabar menyatakan Luna Maya bakal keluar dengan single terbarunya yang berjudul Tak Bisa Bersamamu ciptaan Pasha Ungu. Video klip lagu ini sudah dibuat dan diarahkan oleh penyanyi Tompi. Tetapi malangnya ia tidak diterima oleh mana-mana stesen televisyen Indonesia. 

Banyak perubahan yang terjadi pada Luna Maya sejak kes video itu terjadi bukan sahaja menjadi bahan utama media Indonesia malah media dari luar negara. 

Melalui rakaman terbaru Luna ketika ketika hadir untuk penyiasatan oleh pihak berkuasa, dia kelihatan lebih kurus dan tidak bermaya seperti selalu. Wajahnya juga kelihatan pucat tanpa sebarang solekan.

Imigresen Kedah tahan 13 pendatang asing tanpa izin



ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 13 pendatang asing tanpa izin dan dua majikan warga Malaysia dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di sekitar Kulim dan Lunas, dekat sini sejak petang semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah, Hasreena Hashim berkata, tiga lelaki warga Bangladesh dan 10 wanita Thailand itu ditahan dalam serbuan di tiga premis di sekitar Kulim dan Lunas.

Beliau berkata, operasi membabitkan 14 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa Imigresen negeri, Saiful Rizam Hamzah itu bermula sejak pukul 4 petang semalam.

Katanya, dalam tiga lelaki Bangladesh itu ditahan dalam serbuan pertama di bawah Ops Mahir yang dijalankan di tempat mencuci kereta di Kulim, dan ketiga-tiga mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

"Melalui Ops Sayang pula kami menahan 10 wanita Thailand di dua lokasi berbeza," katanya pada satu persidangan media hari ini.

Hasreena berkata, semua pendatang asing itu ditahan di depoh Tahanan Belantik sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing manakala dua majikan yang dipercayai melindungi semua pendatang itu akan didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d)Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Datuk gadai nyawa sendiri




BUKIT RAMBAI - Tindakan pantas seorang datuk berjaya menyelamatkan dua cucunya daripada menjadi mangsa korban kebakaran dalam kejadian di Taman Tun Fatimah, di sini, petang kelmarin. 

Kejadian dipercayai berlaku jam 6.45 petang ketika Teng Teck Sing, 68, dan isteri, Eng Sai Ling, 65, bermain bersama tiga cucu lain berumur dua bulan setengah, 10 serta 11 tahun. 

Teck Seng berkata, dua lagi cucunya, Joy Ment Tng, 6, dan adiknya Tresa Teng, 8, berada di atas loteng yang terletak dalam sebuah bilik di rumah berkenaan. 

“Tiba-tiba saya dengar cucu saya berteriak ada api dan saya terus naik ke atas tetapi melihat api sudah marak pada bahagian loteng. 

“Saya cuba memadamkan kebakaran dengan menekap menggunakan kain yang ada berhampiran tetapi tidak berjaya, malah api semakin merebak,” katanya.

Lubang ancam nyawa



TEMERLOH – Kegagalan Jabatan Bekalan Air (JBA) menutup semula lubang saluran paip besar milik mereka di tepi jalan Temerloh Maran berhampiran simpang masuk ke Kampung Charuk Puting dekat Batu 5 di sini, mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. 

Lubang sedalam 1.2 meter itu sehingga kini telah menyebabkan lima kereta terperosok ke dalamnya dan mengakibatkan kerugian kepada pemilik kenderaan. 

Seorang peniaga kedai runcit berhampiran, Abdul Karim Laji, 51, berkata, lubang berkenaan hanya ditutup dengan papan nipis dan beberapa bongkah simen. 

Menurutnya, keadaan itu ternyata mengundang bahaya kepada pengguna jalan terutama yang berhenti di hadapan kedai perabot Keledang Jaya pada waktu malam. 

“Masalah ini sudah berlanjutan sejak lebih setahun lalu dan lubang ini berpunca daripada kerja baik pulih paip di sini. Setelah kerja selesai, ia tidak ditutup semula. 

“Kami harap JBA segera baiki kerana sejak lebih setahun lalu, sudah lima kereta jatuh ke dalamnya. Malah ada sebuah kereta yang jatuh terpaksa ditarik dengan kren kerana terperosok dan melekat dalam lubang ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abdul Karim berkata, lubang itu sangat dalam dan jika penunggang motosikal yang jatuh, pasti membawa maut. 

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lalang, Abdul Wahab Kassim berkata, masalah itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat JKKK untuk tindakan lanjut JBA. 

Menurutnya, hingga kini pihaknya masih menunggu respons daripada JBA untuk menutup semula lubang besar berkenaan.

Penduduk guna air dari Lata Bayu dalam keadaan bimbang




BALING - Penutupan sementara kawasan perkelahan Lata Bayu di sini, bagi mengelak penularan wabak Phatogenik Leptopspira atau virus air kencing tikus kini membimbangkan penduduk sekitar yang bergantung kepada punca air dari kawasan itu.

Penduduk dari lima kampung berhampiran yang menggunakan sumber air dari kawasan taman rekreasi itu berada dalam keadaan bimbang kerana mereka telah lama menggunakan bekalan air daripada kawasan itu.

Mohd Zaki Said, 29, seorang peniaga gerai dalam kawasan perkelahan itu berkata setiap hari mereka mandi dan minum air dari kawasan itu yang dibekalkan ke gerai mereka.

"Saya bimbang dan meminta pihak kesihatan memaklumkan simptom seseorang itu dijangkiti virus itu untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di kawasan itu.

Beliau mendakwa sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa kesihatan daerah terhadap peniaga dan penduduk kawasan itu yang menggunakan air dari kawasan itu.

Zainul Dahli, 59, berkata keluarganya selama ini menggunakan air dari kawasan itu untuk semua kegunaan harian serta bimbang kerana sehingga kini tidak ada sebarang tindakan bagi memantau kesihatan mereka di kawasan itu.

Sementara itu, Maznah Ibrahim, 30, mengakui menggunakan air dari kawasan itu untuk mandi dan memasak dan berharap pihak berkaitan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk berhampiran kawasan itu.

"Kami bimbang kerana kami di sini paling banyak menggunakan air dari kawasan itu," katanya.

Lata Bayu merupakan antara tiga kawasan perkelahan utama di Kedah yang ditutup sementara bagi mengelakkan penularan kencing tikus. Dua lagi kawasan adalah Taman Rekreasi Puncak Janing di Kuala Nerang dan Taman Rekreasi Bukit Wang di Kubang Pasu.

Semalam, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa berkata, setakat ini, seorang telah disahkan meninggal dunia akibat wabak itu, manakala empat yang lain disahkan positif kuman penyakit itu.

"Mangsa yang meninggal dunia berusia lingkungan 30-an dan merupakan kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang yang datang bersama dua rakan untuk berkelah di Lata Bayu.

Dua rakannya yang positif kuman terbabit, kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.

Tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati pusat perkelahan itu kini lengang dan dipercayai telah ditutup sejak dua hari lepas. 

Pihak taman rekreasi itu telah mengunci pintu pagar masuk ke kawasan berkenaan serta meletakkan tanda amaran serta amaran melarang memasuki kawasan itu.

Menurut beberapa peniaga gerai di kawasan itu sehari sebelum kawasan itu diisytihar tercemar dan ditutup ramai pengunjung luar daerah Baling berkelah serta mandi di kolam berkenaan.


Bayi lelaki ditemui dalam kotak di Sungai Besar



SABAK BERNAM - Seorang bayi lelaki yang masih mempunyai tali pusat ditemui dalam sebuah kotak di Sungai Besar, di sini malam tadi.

Beliau berkata, bayi lelaki berusia tujuh hari itu ditemui dalam keadaan bogel oleh penuntut Politeknik Sabak Bernam dan rakan wanitanya pada kira-kira pukul 9 malam.

Bayi itu diletakkan dalam kotak yang ditinggalkan di sebelah kereta penuntut lelaki itu, kata Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad.

Beliau berkata, penuntut berkenaan membawa bayi itu ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, sebelum ibu saudaranya membuat laporan polis.

"Sebaik dimaklumkan oleh Balai Polis Bandar Baru Bangi, kami membawa bayi lelaki terbabit ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menjalankan pemeriksaan lanjut pada pukul 10 pagi ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

"Kami juga akan menemubual pelajar yang menemui bayi itu bagi mendapatkan maklumat lanjut selain untuk mengetahui mengapa dia tidak terus membuat laporan di Sabak Bernam," katanya.


Pakistan rayu warga di Malaysia hulur bantuan





2010/08/05

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini merayu rakyat negara ini dan warga Pakistan yang bekerja di Malaysia menyumbang bantuan bagi meringankan penderitaan ditanggung kira-kira 3.2 juta mangsa banjir di negara berkenaan. 

Sehingga kini banjir yang melanda negara itu baru-baru ini menyebabkan lebih 1,500 penduduk mati, 30,000 rumah musnah dan kemudahan infrastruktur rosak teruk.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Dr Imtiaz A Kazi, berkata walaupun kerajaan Pakistan sudah melancarkan operasi membantu dan menyelamat di kawasan terjejas, tetapi kawasan bencana terlalu besar dan memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa.
“Sebaiknya derma disampaikan dalam bentuk wang tunai Rupee Pakistan menerusi akaun 000294-2, kod cawangan 0341, cawangan Sekretariat National Bank of Pakistan di Islamabad, Pakistan. 

“Sumbangan juga boleh dihantar menggunakan Dolar Amerika Syarikat melalui akaun 9901526, kod cawangan 0341 (atau NBPAKKA021) cawangan utama National Bank of Pakistan di Islamabad, Pakistan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Orang ramai boleh melayari laman web suruhanjaya tinggi itu di www.pahickl.com atau laman web bagi mengetahui berita terkini berhubung bencana bencana berkenaan. Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut juga boleh menghubungi talian 03-21614985. 

Sementara, Mercy Malaysia dalam kenyataannya berkata tiga kumpulan pemantau awal di hantar ke Peshawar, semalam bagi menilai keperluan membantu mangsa banjir itu. 
Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, berkata penghantaran kumpulan itu adalah sebagai maklum balas daripada kerajaan Pakistan yang meminta bantuan Malaysia membantu mereka. 

“Kumpulan yang dihantar akan memastikan keperluan makanan dan perubatan yang diperlukan dan kita juga bekerjasama dengan NGO di sana,” katanya.

Tiga budak, guru maut tadika diserang





2010/08/05

BEIJING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau bertindak ganas di sebuah tadika di timur China menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak dan seorang guru maut dalam kejadian di kawasan perumahan. 

Penyerang tidak dikenali itu memasuki kawasan sekolah di Zibo, wilayah Shandong kira-kira jam 4 petang kelmarin ketika ibu bapa mengambil anak mereka, kata penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.
Kira-kira 20 kanak-kanak dan kakitangan cedera dalam kejadian itu di mana dua kanak-kanak dilaporkan parah.
China tahun ini mengalami siri serangan di sekolah dan kawasan awam menyebabkan berpuluh orang maut dan berpuluh yang lain cedera. 

Seorang wanita yang bekerja di sebuah restoran bertentangan Tadika Boshan itu berkata penyerang adalah seorang lelaki berusia di antara 27 dan 28 tahun yang memasuki sekolah itu selepas menyamar sebagai ibu bapa pelajar. 

Polis berkejar ke tadika itu selepas menerima laporan dan membawa kanak-kanak yang cedera ke hospital, kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zhang. 

“Tadika itu masih lagi ditutup hingga sekarang. Polis masih lagi berada di sana,” kata Zhang. 
Zhang dan penduduk lain di kawasan itu berkata guru terbabit dilaporkan meninggal dunia pagi tadi akibat kecederaan yang dialaminya. 

Kejadian itu berlaku dua hari selepas seorang lelaki di Hebei mengamuk dengan sebuah jentolak, memecahkan kenderaan dan bangunan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam kejadian itu. 

Pembunuhan lain adalah termasuk serangan di sebuah tadika pada 12 Mei lalu di wilayah Shaanxi yang menyebabkan tujuh kanak-kanak dan dua dewasa maut manakala 29 kanak-kanak lain cedera dalam kejadian di sebuah tadika Jiangsu pada April. – AP

Suram, seram



Oleh Suriana Halim Tan 
bhkt@bharian.com.my
2010/08/05

Pengguna Stesen Bas Kuala Dungun diganggu orang kurang siuman, peragut 

DUNGUN: Suram, menakutkan dan membahayakan. Itulah yang dialami segelintir peniaga dan pengguna bas ekspres di Stesen Bas Kuala Dungun, di sini, terutama pada waktu malam, apabila kebanyakan mereka sering diganggu orang kurang siuman, selain berdepan ancaman peragut yang sentiasa memerhatikan mangsanya.
Stesen bas yang baru beroperasi sejak lima bulan lalu di Kuala Dungun diakui sudah dilengkapi kemudahan mencukupi dan selesa untuk orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam, namun ketiadaan pondok polis di situ membimbangkan mereka berikutan stesen itu kadangkala sunyi.
Tinjauan Edisi Timur di stesen bas berkenaan mendapati, kawasan itu agak sunyi pada waktu senja hingga malam, sebelum ia rancak apabila banyak bas tiba dalam waktu hampir sama untuk mengambil penumpang. 

Keadaan itu membimbangkan pengguna yang menunggu ketibaan bas, terutama apabila jumlah penumpang agak sedikit pada hari biasa, berbanding hari minggu yang dipenuhi penumpang, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi berhampiran. 

Seorang peniaga runcit, Mohd Fauzi Mamat, 48, berkata, masalah orang kurang siuman yang sering berlegar di kawasan itu menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta pengguna pengangkutan awam. 

Malah, katanya orang kurang siuman pernah beberapa kali masuk ke kedainya dan mengganggu serta mengugut anak gadisnya ketika menjaga kedai di siang hari, bagaimanapun mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku setakat ini. 
“Orang kurang siuman yang berkeliaran menakutkan wanita dan anak gadis di sini. Selain itu, keadaan stesen yang agak sunyi pada waktu tertentu juga mendorong penjenayah seperti meragut untuk melakukan kegiatan jenayah di sini. 

“Oleh itu, rasanya tidak salah ditempatkan sebuah pondok polis yang memantau serta mengawal keselamatan kawasan ini,” katanya yang mengakui pernah membuat laporan polis mengenai ancaman orang kurang siuman. 

Pekerja Am yang mahu dikenali sebagai Pak Ali, 63, berkata, walaupun tidak pernah berlaku sebarang kes jenayah, namun, langkah berjaga-jaga harus diutamakan. 

“Dengan adanya pondok polis di sini, ia dapat mengelak berlakunya kes jenayah seperti mencuri serta dalam masa sama menjaga keselamatan pekerja dan pengguna bas ekspres”, katanya stesen bas itu hanya sesak ketika tiba musim cuti penggal institusi pengajian tinggi di kawasan itu. 

Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara Dungun, Nurazwani Ridhuan, 21, berkata, suasana sunyi itu menimbulkan rasa takut terutama apabila bas ekspres lewat daripada masa yang ditetapkan. 

“Saya pernah diganggu sekumpulan mat rempit dan diganggu orang kurang siuman yang meminta wang serta memaki hamun dengan perkataan kesat”, katanya.

Laut tercemar



Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my
2010/08/05

Nelayan dakwa pendapatan terjejas sejak pontun tenggelam di Pantai Klebang 

MELAKA: Pendapatan kira-kira 40 nelayan tradisional di Pantai Klebang di sini, didakwa kini terjejas akibat masalah pencemaran tumpahan minyak susulan sebuah pontun yang membawa bahan berkenaan untuk projek tambak laut di situ, tenggelam dipercayai dipukul ombak kuat, Sabtu lalu.
Tumpahan itu dikesan mencemari kawasan seluas tiga kilometer persegi sekali gus menyebabkan golongan terbabit tidak dapat menjalankan aktiviti seperti biasa sejak kejadian berkenaan.
Seorang nelayan, Hamzah Hazilah, 50, ketika ditemui berkata, tumpahan minyak daripada pontun diesel itu dikesan sehingga ke Pulau Upeh, dekat sini, hingga menyebabkan mereka tidak dapat memasuki persekitaran berkenaan. 

Beliau mendakwa, kejadian berkenaan menyebabkannya kerugian antara RM100 dan RM200 sehari apabila semua jenis tangkapan seperti bawal, pari, malong dan siakap tidak lagi ditemui di sini sejak Sabtu lalu. 

"Kami berharap benar pihak berkuasa terbabit segera mengawal sisa tumpahan minyak dari pontun berkenaan kerana tinjauan kami mendapati pontun itu masih tenggelam dan mengeluarkan minyak,” katanya. 

Seorang lagi nelayan, Fazri Abas, 30, mendakwa, sejak kejadian itu, banyak perkakas menangkap ikan seperti jaring, pukat dan rawai kepunyaan nelayan di situ rosak akibat diselaputi sisa minyak yang hanyut hingga ke Pulau Upeh, kira-kira lima kilometer dari pantai berkenaan. 
"Jaring kami semuanya rosak diselaputi sisa minyak manakala hidupan laut langsung tidak kelihatan sejak tumpahan berkenaan,“ katanya. 

Katanya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Laut Wilayah Selatan dan Polis Marin Melaka untuk tindakan susulan. 

Seorang pengusaha bot memancing, Abd Rahim Othman, 59, berkata, beliau mengesan tumpahan itu selepas terserempak dengan pontun berkenaan kira-kira jam 8.00 pagi Sabtu lalu ketika membawa pekerja menuju ke Pulau Upeh dan terus menghubungi Jabatan Laut. 

"Saya hanya berharap tumpahan itu segera dibersihkan kerana bimbang mata pencarian nelayan di kampung ini terjejas lebih-lebih lagi ketika kedatangan bulan puasa ini,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, berkata siasatan Jabatan Perikanan negeri mengesahkan terdapat kesan tumpahan minyak di sekitar pantai berkenaan. 

"Saya sudah dimaklumkan mengenai kejadian tumpahan itu dan mereka memaklumkan ia boleh dikawal kerana membabitkan jumlah yang kecil. 

"Pemilik pontun itu juga sedang berusaha mengepam keluar minyak dan mengapungkan semula jentera berkenaan dengan mengalihkannya ke kawasan teluk bagi mengawal sisa tumpahan,” katanya kepada Berita Harian. 

Mohamad Hidhir berkata, 40 nelayan tradisional di Klebang yang terjejas dengan kejadian itu diminta memaklumkan masalah berkenaan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan bagi memudahkan penilaian dilakukan agensi berkenaan.