Search This Blog

Wednesday, August 4, 2010

Nyaris jual anak demi sesuap nasi



GEORGETOWN - Seorang ibu tujuh anak pernah terfikir untuk menjual anak bongsu kerana kesempitan hidup, apatah lagi sering mendengar anak-anak menangis kelaparan. 

Namun, apa daya kerana dia tiada berwang untuk membeli makanan jauh sekali memberi keselesaan kepada mereka. 

Tajenisha Bheevi Sirajidin, 35, mempunyai lima anak hasil perkahwinan pertamanya, manakala dengan suaminya sekarang, mereka dikurniakan dua anak. Malangnya, suaminya kini merengkuk dalam penjara menjadikan kehidupan Tajenisha makin melarat. 

Menurutnya, tekanan yang dialaminya bertambah berat apabila tuan rumah memberikan tempoh dua minggu untuk dia menjelaskan tunggakan tiga bulan sewa rumah yang mencecah RM1,200. 

“Saya tak tahu apa akan jadi jika saya tidak dapat membayar jumlah itu dalam tempoh dua minggu ini, mungkin nasib kami lebih buruk dengan merempat di tepi jalan kerana tiada tempat berteduh. Saya buntu sekarang kerana tak tahu kepada siapa saya perlu minta bantuan. 

“Bukan saya tidak mahu bekerja, tapi siapa nak jaga anak saya bila saya ke tempat kerja? Kalau saya nak hantar ke tempat jagaan, saya tidak mampu. Memang saya tersepit sekarang,” katanya kepada media, di rumahnya di Lintang Batu Lanchang, di sini, baru-baru ini. 

Tajenisha berkata, sejak tiga hari lalu, dia hanya memberikan air suam bercampur gula kepada anak bongsunya untuk menggantikan susu, manakala anak-anak lain hanya menjamah bubur. 

“Selama mana saya nak meminta kepada jiran-jiran, mereka juga ada tanggungjawab lain. Pernah saya terfikir untuk menjual anak bongsu yang berusia satu setengah bulan untuk mendapatkan wang dan membeli makanan kepada anak yang lain namun saya batalkan niat itu demi kasih sayang saya kepada anak-anak saya. 

“Anak sulung saya berusia 18 tahun tinggal bersama suami pertama, manakala yang lain tinggal bersama saya, berumur 16 hingga satu bulan setengah. Apa yang saya terkilan, hanya anak ketiga dan keempat sahaja masih melanjutkan pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong selebihnya tidak bersekolah kerana kesempitan wang. Yang bersekolah pun sebab dapat biasiswa, kalau tidak mungkin mereka juga tidak dapat ke sekolah. 

“Anak kedua saya kini terpaksa bekerja di gerai roti canai sebagai pembantu gerai dengan gaji RM9 setiap hari mengikut keadaan kerana anak saya bukan pekerja tetap di situ,” katanya. 

Tajenisha berkata, dia sudah beberapa kali berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban keluarga sejak Januari lalu. 

“Namun, sudah enam bulan, mereka tidak memberi apa-apa maklum balas terhadap nasib keluarga saya, malah mereka hanya memberikan jawapan yang sama iaitu menyuruh saya menunggu. 

"Berapa lama saya nak tunggu, kini tuan rumah telah memberi masa dua minggu bagi mengosongkan rumah jika tidak melangsaikan sewa," katanya. 

Sementara itu, mereka yang berhasrat menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga ini boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994 atau P Murugiah (016-4449246) dari Persatuan Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang ataupun kirim cek atas nama Tajenisha Beevi Sirajidin ke alamat Hon- Secretary Hindu Sangam, Tingkat Satu, 10-A, King Street, 10200 Pulau Pinang.

Elak bencana



KUANTAN – Kerajaan Negeri melepaskan kira-kira 475 juta liter air dari Empangan Chereh dekat sini setiap hari bermula semalam selama satu setengah bulan bagi mengawal banjir di daerah ini yang dijangka berlaku hujung tahun ini. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, ketika ini paras air Empangan Chereh sudah mencecah 74 meter dan akan dikurangkan kepada 70 meter atau 15 peratus dalam tempoh itu. 

Menurutnya, pelepasan air empangan itu yang berkeluasan 16.2 kilometer persegi adalah yang pertama kali dilakukan setelah lebih dua tahun proses penakungan dilaksanakan bermula pada 29 Julai 2008. 

“Kita harap penduduk terutamanya di Sungai Lembing tidak panik dengan perubahan paras air sungai yang akan meningkat kira-kira satu atau dua kaki dalam tempoh satu setengah bulan terutamanya paras air Sungai Kuantan. 

“Bagaimanapun pada November tahun lalu kita pernah melepaskan air dari empangan ini untuk menguji pintu empangan bagi memastikan ia mampu beroperasi dalam keadaan baik,” katanya kepada media selepas melepaskan air Empangan Chereh untuk disalirkan ke Sungai Kuantan di Sungai Lembing, dekat sini semalam. 

Beliau berkata, selain mengawal banjir, fungsi empangan ini juga adalah untuk membantu masyarakat di daerah ini untuk mendapat bekalan air yang mencukupi sekiranya terjadi musim kemarau berpanjangan. 

Menurutnya, pihaknya akan mengawal pengaliran keluar air empangan itu agar ia tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk di daerah ini. 

“Kita akan kawal pengalirannya. Sekiranya dalam tempoh satu setengah bulan ini berlaku hujan lebat secara berterusan di kawasan empangan, pintu empangan akan kita tutup agar kawasan rendah tidak mengalami banjir secara mengejut,” katanya. 

Muhammad Safian juga berkata, pelepasan air itu juga akan mengakibatkan beberapa kesan terutamanya pada bau dan warna air sungai serta pertambahan mangan yang tinggi dalam air selepas pelepasan itu dilaksanakan. 

Menurutnya, sejenis bahan kimia yang tidak berbahaya iaitu PAC jenis 3 digunakan bertujuan mengurangkan bau air empangan itu yang kurang menyenangkan. 

Ditanya mengenai perancangan untuk memajukan Empangan Chereh sebagai kawasan tarikan pelancongan yang baru, Muhammad Safian berkata, Kerajaan Negeri sudah pun merangkan beberapa projek pembangunan untuk menjadikan kawasan empangan itu sebagai satu pusat memancing pada tahun depan. 

“Memandangkan Sungai Lembing kini merupakan kawasan pelancongan, jadi dengan adanya empangan ini ia secara langsung mampu menarik minat kaki-kaki pancing ke kawasan ini dan seterusnya mengembangkan aktiviti pelancongan di daerah ini,” katanya.

Ops Noda tahan 8 GRO



IPOH – Polis menahan lapan wanita China yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) dan seorang rakyat tempatan dalam serbuan Ops Noda di Jalan Pasir Puteh di sini, kelmarin. 

Serbuan malam Ahad lalu itu, diketuai Cif Inspektor Asbudi Tarawe bersama anggota dari cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis kontinjen (IPK) Perak. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan itu hasil maklumat orang ramai setelah mendapati pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen dan menyediakan khidmat GRO warganegara asing untuk menarik pengunjung pelbagai peringkat usia berhibur. 

Menurutnya, ketika serbuan, wanita berusia antara 18 hingga 26 tahun cuba melarikan diri, tetapi polis berjaya memberkas mereka. 

“Apabila pasukan serbuan memasuki pusat hiburan berkenaan, perempuan GRO yang sedang leka melayan pelanggan terkejut dengan kehadiran polis dan bertindak melarikan diri ke bahagian belakang pusat hiburan serta bersembunyi di bahagian kaunter. 

“Siasatan mendapati seorang daripada lapan GRO terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, manakala tujuh lagi menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai GRO,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam. 

Mohd Dzuraidi berkata, seorang lelaki tempatan iaitu pengurus pusat hiburan berkenaan ditahan kerana kesalahan membenarkan warga asing bekerja tanpa permit kerja yang sah dan menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan. 

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen 1963. 

“Pihak polis akan secara berterusan melakukan serbuan di pusat-pusat hiburan yang menyediakan khidmat GRO warga asing. Pengusaha pusat hiburan juga diingatkan supaya tidak membenarkan GRO warga asing bekerja di premis mereka,” jelasnya.

2 serbuan, 24 Pati ditahan




KOTA BHARU - Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan menahan 24 orang pendatang tanpa izin (Pati) warganegara Bangladesh dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kebakat, Tumpat dan Jalan Batu Dua di sini, kelmarin. 

Kesemua mereka berusia 25 hingga 35 tahun di mana dalam serbuan di Kampung Kebakat, Tumpat, seorang daripada mereka mengalami kecederaan di tangan ketika cuba mengopak zink untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa. 

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Amran Abdul Aziz berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 10.30 pagi, di tapak projek pembinaan rumah teres, Kampung Kebakat, Tumpat, pasukannya menahan 24 orang termasuk warganegara Bangladesh dan Indonesia. ”Melalui serbuan tersebut seramai 15 orang dibebaskan selepas pasukannya mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah,’’ katanya kepada pemberita di sini. 

Beliau berkata, antara yang ditahan di tapak projek pembinaan rumah teres itu adalah mereka yang melanggar syarat pas. 

Menurutnya, kesemua mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963. 

Sementara itu, dalam serbuan di tapak projek sekolah di Jalan Batu Dua, di sini serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.30 petang, seramai 15 warganegara Bangladesh ditahan ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan. “Ketika serbuan dibuat, pekerja berkenaan bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bagaimanapun, tindakan pantas anggotanya berjaya menahan kesemua mereka yang terlibat,’’ katanya. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pasukannya mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. 

Amran berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. 

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen dekat Tanah Merah sebelum diusir keluar.

Padah cuba lerai pergaduhan



PETALING JAYA – Gara-gara ingin meleraikan kekecohan antara beberapa lelaki dengan tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mesyuarat di Bangunan SUK, Shah Alam Sabtu lalu, seorang Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibelasah kira-kira 10 lelaki. 

Difahamkan, kejadian terbabit turut disaksikan dua Exco Kerajaan Negeri dan kira-kira 70 wakil PIBG daripada SJKT seluruh negeri ini. 

Mangsa, S Kumaravel, 47 ketika ditemui Sinar Harian di sebuah hospital swasta dekat sini semalam berkata, segala-galanya tercetus ketika mesyuarat anjuran Kerajaan Negeri yang turut dihadiri beberapa wakil rakyat. 

Kata mangsa, ketika sesi soal jawab bersama Exco dijalankan kira-kira jam 3 petang, salah seorang daripada wakil PIBG tiba-tiba meluru ke arah salah seorang wakil NGO yang hadir kerana tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan. 

“Kejadian tiba-tiba menjadi kecoh dan saya cuba ke depan apabila melihat lelaki itu seolah-olah mahu memukul seorang Exco. 

“Akibatnya saya, ditolak, ditumbuk beberapa kali di muka dan tangan serta turut disepak di kaki oleh kira-kira 10 lelaki,” katanya. 

Katanya, pergaduhan itu disaksikan mereka yang menghadiri mesyuarat itu namun tiada siapa yang membantunya ketika dia bertubi-tubi dipukul. 

“Saya turut dibaling dengan kerusi, ditumbuk di bahagian perut dan dada sehingga menyebabkan saya terpaksa menanggung kesakitan sehingga hari ini. 

“Apa yang dikesalkan adalah saya tidak mendapat bantuan meskipun selepas dipukul,” katanya. 

Kata Kumaravel, lebih dikesalkan selepas dia keluar dari bangunan untuk membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan, mesyuarat berkenaan diteruskan. 

“Ketika kekecohan berlaku, pengerusi memaklumkan mesyuarat petang itu ditangguhkan namun selepas saya keluar mereka menyambungnya semula. 

“Apa motif mereka saya sendiri tidak tahu,” katanya. Beliau mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam. 

Kumaravel bimbang terima panggilan ugutan bunuh malam kelmarin daripada lelaki yang tidak dikenalinya. 

“Dia ancam akan membunuh seluruh keluarga saya,” katanya.

Padah simpan klip video lucah




KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyimpan klip video lucah menerusi telefon bimbit, seorang penganggur ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Terengganu, malam tadi. 

Sepanjang operasi yang diadakan di Jalan Sultan Mahmud, di sini, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 106 saman ke atas pemandu kenderaan melibatkan pelbagai jenis kesalahan. 

Timbalan Ketua Cawangan Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Cawangan Terengganu, Zaki Mohamed berkata, penunggang motosikal berusia awal 20-an dari Kuala Terengganu itu ditahan untuk siasatan lanjut dan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002. 

“Jika sabit kesalahan remaja lelaki ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui pemberita pada operasi berkenaan yang turut membabitkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya memberi tum puan memeriksa telefon bimbit bagi mengesan individu yang menyimpan klip video lucah dan pemeriksaan kenderaan turut dilakukan untuk memastikan pengguna jalan raya tidak memiliki serta menyimpan video cakera padat (VCD) pornografi.

“Tumpuan kita lebih kepada pemeriksaan telefon bimbit dan VCD lucah kerana didapati klip video porno ini menjadi penyumbang utama kepada kes rogol, cabul, seks bebas dan salah laku sosial lain khususnya dalam kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah di negeri ini ketika ini.

“Justeru, dengan operasi ini kita mahu membanteras gejala itu pada peringkat bawah khususnya dalam kalangan pelajar,” katanya.

Zaki berkata, operasi bersepadu itu adalah kerjasama pertama yang dilakukan pihaknya bersama JPJ Terengganu dan merancang untuk meneruskannya pada masa akan datang, selain turut berhasrat mengadakan kerjasama serupa bersama polis trafik pada tahun ini.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk memastikan remaja dan masyarakat di negeri ini bebas daripada memiliki klip video dan filem lucah sehingga berlakunya keruntuhan moral.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan, selain mengeluarkan 106 saman untuk pelbagai jenis kesalahan, JPJ Terengganu turut menyita tiga buah motosikal kerana penunggangnya didapati tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan serta insurans motosikal terbabit telah tamat tempoh.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, fokus mereka pada operasi berkenaan lebih tertumpu kepada kesalahan lalu lintas, selain turut memeriksa pengguna yang melakukan kesalahan mengubahsuai enjin kenderaan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, pada operasi itu, SPRM pula gagal mengesan sebarang kes melibatkan rasuah.

Polis Serdang tahan dua pengedar dan rampas RM60,000 dadah



KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar serta merampas dadah bernilai hampir RM60,000 dalam dua operasi berasingan di Puchong dan Bandar Sunway semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak berkata, dalam operasi pertama, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Kancil di sebuah pangsapuri di Bandar Puchong Jaya.

"Dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu, kami memeriksa sebuah beg yang disembunyikan di dalam kereta milik suspek terbabit dan menemui 19 paket lutsinar berisi dadah jenis heroin dan sebungkus dadah jenis ganja seberat 20 gram."

"Turut ditemui ialah tiga plastik dadah jenis syabu seberat tiga gram dan wang tunai sebanyak RM8,490," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki yang merupakan rakan kepada suspek terbabit di Bandar Sunway. 

Menurutnya, lelaki berumur 33 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan sambil membawa sebuah beg hitam dan hasil pemeriksaan polis menemui satu paket dadah jenis heroin seberat 450 gram.

Abdul Razak berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua dadah yang dirampas daripada kedua-dua lelaki itu bernilai hampir RM60,000 dan kedua-dua suspek dipercayai telah aktif mengedar dan menghisap dadah sejak setahun lepas di mana suspek pertama pernah mempunyai rekod terlibat dalam jenayah dadah sebelum ini.

Kedua-dua suspek yang merupakan pengganggur ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan, katanya.

Beliau berkata, ini merupakan kes pertama melibatkan jenayah dadah berjaya dibanteras sejak penubuhan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang 20 hari lepas

Bapa dua anak dituduh cederakan warga emas



KLANG - Seorang bapa kepada dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang warga emas dengan bersenjatakan sebilah parang dan kayu golf pada November 2008. 

Tertuduh, V Nithearaj, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Slamat Yahya petang semalam. 

Dia yang berasal dari Kampung Jawa, Klang dituduh melakukan kesalahan berkenaan bersama dua rakanya yang masih bebas, pada 11 November 2008, kira-kira jam 8 malam di belakang KFC Taman Sentosa, Klang menyebabkan kecederaan kepada S Karishna Kutti. 

Semasa melakukan perbuatan itu, Nithearaj menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu bersenjatakan sebilah parang dan kayu golf terhadap wanita berkenaan. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau rotan. 

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin memandangkan kes ini amat serius kerana hampir meragut nyawa insan lain. 

Bagaimanapun, tertuduh memohon kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan kesempitan hidup. 

Nithearaj berkata, kehidupan dia sekeluarga hanya bergantung harap kepada ibunya memandangkan ayahnya sakit dan tidak boleh bekerja. 

Mendengar rayuan yang dikemukakan tertuduh, Slamat kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin. 

Kes itu akan disebut pada 2 September ini.

Pemandu teksi didakwa cabul



AYER KEROH - Seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berumur 24 tahun di hadapan Balai Polis Bukit Baru, 30 Julai lalu. 

Tertuduh, M Ayasami, 53, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Muzila Mohd Arsad. 

Mengikut pertuduhan, pada 30 Julai lalu, jam 7.40 pagi, tertuduh dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah meraba seluruh badan mangsa daripada pusat sehingga leher dengan niat mencabul kehormatan. 

Ayasami didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. 

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes menawarkan kepada mahkamah jaminan RM5,000 kepada tertuduh. 

Ayasami dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana dia hanya pemandu teksi dan daripada keluarga miskin. 

Muzila kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam.

Lelaki geng pecah rumah dan curi dalam kenderaan ditahan



BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi dan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah di sini, serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM10,000 semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah suspek di Permatang Pasir dan menahan lelaki yang berusia 20-an pada 7 pagi semalam.

"Antara barangan yang dirampas dalam rumah itu ialah sembilan komputer riba, kamera digital dan pemain cakera padat, siasatan mendapati sebahagian daripada barangan yang kita rampas itu merupakan barang curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan melakukan kegiatan jenayah secara berkumpulan dan polis kini sedang giat mengesan saki baki kumpulan terbabit.

Katanya, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Azman berkata, polis juga menahan empat wanita warga asing dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat seks di Taman Perwira Indah, Bukit Tengah di sini dalam satu serbuan dua hari lepas.

"Susulan serbuan itu polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Minyak dan menahan tiga wanita warga asing kerana menjalankan pelacuran," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 25 tahun itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Dalam dua serbuan itu polis turut menahan dua lelaki tempatan yang menjaga rumah berkenaan, katanya.

"Polis percaya sindiket pelacuran berkenaan menggunakan taktik baru dengan menggunakan kawasan perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Ancaman babi



MUAR – Kira-kira 700 penduduk di Kampung Sungai Ranggam dan Kampung Alai, Panchor, di sini resah dengan kehadiran babi hutan yang semakin bermaharajalela di kampung itu sejak 10 tahun lalu. 

Kemunculan babi hutan itu dipercayai berpunca daripada kewujudan sawah padi terbiar seluas 52.6 hektar kira-kira 15 tahun lalu dan dipercayai menjadi habitat pembiakan haiwan itu. 

Seorang penduduk, Bardan Amat Kastik, 63, berkata, masalah ancaman babi hutan itu dikatakan menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini apabila mula mengancam keselamatan penduduk. 

Menurutnya, penduduk ada yang terjatuh daripada motosikal kerana terlanggar babi hutan yang sering melintas secara terburu-buru terutamanya pada waktu malam. 

Bardan ber kata, suasana kampung yang gelap pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan dan dikelilingi dengan kebun itu benar-benar mem bahayakan keselamatan penduduk.

“Pernah terjadi, salah seorang penduduk dipijak hampir 20 babi hutan kerana terjatuh daripada motosikal selepas terlanggar babi hutan itu.

“Penduduk itu mengalami kecederaan yang serius dan terlantar di hospital selama dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Bardan berkata, haiwan liar itu sangat aktif pada waktu pagi dan petang terutamanya selepas waktu hujan.

“Haiwan ini akan keluar daripada sarang pembiakannya iaitu di sawah terbiar itu dan berkeliaran di sekitar kawasan kampung.

“Bahkan, haiwan ini juga turut memasuki kawasan persekitaran rumah penduduk dan suka menggeledah tempat pembuangan sampah mereka,” katanya.

Katanya, petani di kampung itu juga sering me rungut kerana banyak tanaman mereka yang musnah angkara daripada haiwan itu.

“Mereka juga terpaksa menanggung banyak kerugian kerana tanaman yang masih belum mengeluarkan hasil dimusnahkan dan terpaksa menggantikan dengan tanaman yang baru.

“Walaupun ada pemburu luar yang memburu haiwan ini, namun bilangannya yang terlalu banyak tidak me nunjukkan sedikit pun pengurangannya,” katanya.

Menurutnya, masalah itu mungkin boleh dikurangkan dengan membersihkan kawasan hutan terbiar itu.

“Bagaimanapun, ada masalah lain yang timbul kerana kami perlu mencari dan mengenal pasti waris pemilik tanah terbiar ini supaya kerja pembersihan dapat dilakukan segera.

“Kami meminta kerjasama daripada mana-mana pihak yang mengenali waris pemilik tanah terbiar itu supaya memaklumkan kepada kami agar masalah ini dapat diatasi dengan cepat,” katanya.

Juruterbang berhenti mengejut: PAL batal banyak penerbangan

MANILA: Syarikat Philippine Airlines (PAL) terpaksa membatalkan tiga penerbangannya selepas beberapa juruterbang berhenti tiba-tiba bagi menuntut kenaikan gaji.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, PAL berkata keputusan itu membabitkan laluan domestik dan hanya sebahagian kecil daripada 160 penerbangan harian syarikat berkenaan.
Semua penerbangan antarabangsa tidak terjejas dengan insiden berkenaan.

Selain AS, PAL turut menawarkan perkhidmatan ke Timur Tengah, Australia dan Asia Timur.

Seramai 25 juruterbang dan kakitangan lain meletak jawatan mengejut minggu lalu, memaksa PAL membatalkan 18 penerbangan pada Sabtu dan Ahad lalu. - AFP

1,000 wanita Filipina mati setiap tahun ketika gugur kandungan secara haram

MANILA: Pengharaman pengguguran oleh gereja Katolik Roman di Filipina mencetuskan krisis hak asasi manusia apabila lebih setengah juta wanita menggadai nyawa untuk membuang kandungan masing-masing setiap tahun, kata pertubuhan Pusat Hak Reproduksi, semalam.
Menurut kumpulan berpangkalan di New York itu, kira-kira 1,000 wanita mati setiap tahun di Filipina selepas menggugurkan kandungan haram.
“Melarang pengguguran di Filipina melanggar hak asasi wanita hamil dengan menafikan mereka kepada prosedur yang selamat,” kata kenyataan dikeluarkan itu.

Di sebalik pengharaman itu, kata pertubuhan berkenaan, lebih 560,000 wanita dilaporkan menggugurkan kandungan setiap tahun.

Filipina adalah satu daripada sejumlah kecil negara di dunia melarang pengguguran kandungan menyeluruh.

Justeru, pertubuhan itu mencadangkan kerajaan memberi pengecualian kepada kes khusus, seperti janin cacat, kehamilan mengancam nyawa ibu atau wanita mangsa rogol. Amalan mencegah kemahilan adalah isu kontroversi di Filipina - negara yang didiami 80 peratus daripada populasinya berfahaman Katolik.

Laporan Pusat Hak Reproduksi turut menyatakan, kesukaran mendapat bahan mencegah kehamilan menjadi satu daripada punca isu ramai wanita hamil tanpa dirancang.

Menurut pertubuhan itu, kira-kira 54 peratus daripada keseluruhan kehamilan di Filipina pada 2008 adalah tidak disengajakan.

Bagaimanapun, penasihat perundangan pertubuhan gereja Katolik Filipina, Josephine Imbong, berkata statistik dikemukakan itu bukan alasan menghalalkan pengguguran. - AFP

Mengaku curi enjin motosikal

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dikenakan hukuman bon berkelakuan baik dua tahun terhadap tuduhan menyimpan sebuah enjin motosikal curi pada Julai lalu.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas Amyrul Hafiz Md Ataras, 18, mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Selain itu, Zaki turut memerintahkan tertuduh dikenakan wang cagaran RM1,800 dengan seorang penjamin. Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berkemeja biru dan jeans bersama seorang lelaki yang dipercayai bapanya hanya menundukkan wajah ketika mendengar keputusan itu. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam bela Nor Azri Mohd Arif.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah enjin motosikal jenis Yamaha Lagenda kepunyaan R Ravindran, 22, di No 7, Jalan 6, Taman Seri Indah, Bestari Jaya, di sini, kira-kira 2 pagi, 15 Julai lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, polis mendapat laporan daripada pengadu, Ravindran yang melaporkan mengenai kehilangan motosikalnya.

Polis kemudian menjalankan pemeriksaan di rumah tertuduh dan menemui sebuah enjin motosikal milik pengadu. Tertuduh kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, peguam bela tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman bon berkelakuan baik terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah kerana ia kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Siti Hajar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh.

Warga emas gagal isytihar harta didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Kedegilan seorang warga emas yang bankrap mengisytiharkan harta kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) cawangan Ipoh mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 atau penjara sebulan.
Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak kelmarin menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 64 tahun itu selepas didapati gagal mengisytiharkan hartanya dalam Pernyataan Hal Ehwal yang difailkan kepada MdI cawangan Ipoh.
Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hayati Mat dalam keputusannya membenarkan permohonan yang dibuat Pendakwa Raya, Lailawati Hussain di bawah Sesyen 109(1)(f) Akta Kebankrapan 1967. Lailawati berkata, lelaki itu perlu mengisytiharkan harta yang dimiliki seperti hartanah, kenderaan, saham dan wang simpanan kepada MdI supaya ia dapat dibahagikan kepada pemiutang bagi menyelesaikan hutangnya.

Peniaga miliki pistol dijel 12 tahun, 10 sebatan

KLANG: Seorang peniaga kedai makan dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan memiliki sepucuk pistol yang mengandungi 12 peluru yang disorokkan dalam penyandar kerusi, dua tahun lalu.
Hakim Yong Zalida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Ali Abdullah, 23, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan. Mahkamah turut mensabitkan tertuduh bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki 10 peluru berukuran 9 milimeter (mm) dengan hukuman penjara enam tahun. Yong Zalida kemudian memerintahkan Mohammad Ali menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Mei 2008. Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Ali didakwa memiliki pistol jenis Glock mengandungi 12 peluru berukuran 9mm. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah No 9, Solok Dendang, Kawasan 16, Taman Bukit Cemerlang, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi, pada 12 Mei 2008. Bagi Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki 10 butir peluru berukuran 9mm di tempat, tarikh dan masa yang sama. Mohammad Ali didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen Senjatapi 1960.

Tak mengaku ragut rantai wanita

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja bar sebuah hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan meragut seutas rantai milik pekerja kilang, minggu lalu.
Bagaimanapun, N K Sivakumar, 39, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Zainal Abidin Kamarudin. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizal Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, K Komathi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamun rantai milik P Satish Kumar, 21, di hadapan kilang Hip Motor (KL) Sdn Bhd, No 18, Jalan Segambut di sini, pada jam 8.30 pagi, 28 Julai lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun penjara serta boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd Faizal menawarkan RM8,000 sebagai wang ikat jamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Komathi memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dengan mengambil kira latar belakang tertuduh.

Peniaga air tebu nafi noda anak

SHAH ALAM: Seorang peniaga air tebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol anak kandungnya di sebuah kebun, tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 55 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar. Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anaknya yang ketika itu berusia 11 tahun di Kebun Bumi Hijau Kundang, Rawang, dekat sini, kira-kira 8 malam pada Jun 2003.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed, manakala tertuduh yang kelihatan tidak terurus tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 September untuk sebutan lantik peguam.

Diperdaya rakan Afrika

KUALA LUMPUR: Hasrat membeli emas bagi simpanan hari tua berkecai apabila empat sahabat karib diperdaya dua warga Afrika yang menawarkan bijih emas tulen dengan harga runtuh iaitu 50 peratus lebih murah daripada nilai pasaran.
Difahamkan, suspek mendakwa bijih emas berasal dari lombong emas di Zimbabwe berharga RM80,000 sekilogram berbanding harga pasaran semasa yang mencecah RM150,000 sekilogram. Bagaimanapun, penipuan licik itu sukar dibongkar pada peringkat awal kerana penjenayah mengumpan mangsa menggunakan serbuk dan biji emas tulen bagi meyakinkan bahawa urus niaga itu sah.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fadhil, 30-an, berkata, dia mengenali suspek melalui Internet sebelum bertemu dengan lelaki berkenaan baru-baru ini untuk berkenalan.

Katanya, lelaki itu yang memberitahu namanya Idris, 34, mendakwa datang ke negara ini untuk melancong selain mempunyai urusan perniagaan melalui ejen dikenali sebagai Suraya. “Selepas beberapa pertemuan, Idris menawarkan saya bijih emas pada hanya RM80,000 sekilogram. Dia mendakwa emas tulen 976 itu hanya dijual kepada orang tertentu yang berminat.

“Bagi membuktikan ia tulen, saya diberikan serbuk emas dan contoh bijih emas untuk diuji bagi memastikan keasliannya,” kata mangsa ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Katanya, dia menghubungi rakannya Baharudin dan beberapa kenalan lain untuk menyampaikan berita baik berhubung tawaran istimewa jualan emas tulen itu.

“Semua yang melihat contoh emas itu bersetuju membuat pembelian pertama dengan membayar RM80,000. Semua rakan saya yang membawa wang tunai kemudian bersetuju menemui suspek di Ampang, Khamis lalu bagi membeli emas berkenaan.

“Namun, hanya saya dibenarkan berjumpa dengan suspek di dalam kereta dinaikinya, manakala rakan lain menunggu di luar kenderaan. Ketika itulah suspek memperdayakan saya supaya segera menyerahkan wang,” katanya.

Katanya lelaki Afrika itu bercakap pantas menyebabkan dia tidak dapat menangkap apa diucapkan.

“Saya seolah-olah dipukau sebaik bahu saya ditepuk sebelum wang yang diselitkan di paha diambil suspek. Dia menyerahkan bungkusan plastik berisi bijih emas kepada saya sebelum berlalu.

“Namun selepas ‘emas’ itu periksa, kami menyedari ia bukan emas tulen, sebaliknya hanya butiran tembaga berwarna hampir sama dengan contoh emas diberikan sebelum ini,” katanya.

Warga emas khalwat lelaki muda

GUA MUSANG: “Kamu tidak sepatutnya melakukan perkara berkenaan (berkhalwat) kerana masih mempunyai dua anak perempuan dan sepatutnya malu kepadanya.
Lagipun kamu sebelum ini sudah berkahwin dengan empat lelaki walaupun sudah bercerai,” kata Hakim Syarie Norazizi Abdul Rahman di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Norazizi berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara terhadap seorang ibu tunggal yang ‘berselera muda’ kerana berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 35 tahun pada Jun lalu.

Hukuman terbabit dijatuhkan Norazizi apabila tertuduh, Mek Som Kasim, 54, mengaku salah berkhalwat dengan Ibrahim Yusooff selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Dia bagaimanapun menundukkan kepala kerana terkejut dengan hukuman tinggi dikenakan terhadapnya.

Selain Mek Som, pasangannya yang masih bujang turut dijatuhkan hukuman denda RM1,600 atau enam bulan penjara selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Kanan Syarie Kelantan, Masnira Kadir, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal dengan perbuatan yang dilakukan sebagai pengajaran.

Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam serbuan di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 1 pagi pada 22 Jun lalu di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, Gua Musang, Mek Som yang berkemban ditahan bersama lelaki terbabit dalam bilik tidurnya.

Bagaimanapun, ketika Skuad Amru bersama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir, memasuki rumah itu, Ibrahim yang memakai kain pelikat melarikan diri.

Ibrahim yang menunggang motosikal kemudian menyerah diri sebaik terserempak dengan Skuad Amru di Bandar Lama Gua Musang setengah jam selepas serbuan dilakukan.

Sakit mental

KUALA LUMPUR: Lelaki Afrika yang menimbulkan gempar kepada pengguna Lebuhraya Hubungan Timur-Barat berhampiran Taman Connaught menuju Petaling Jaya di sini, kerana berjalan bogel kelmarin disahkan menghidap penyakit mental dan dua kali dimasukkan ke wad pesakit mental.
Lelaki berusia 21 tahun warga Nigeria dikenal pasti nama menerusi pasportnya Igilar Uchechuku Sreberick itu kini dirawat di Wad Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menurut Pegawai Perhubungan Awam PPUKM, Harun Bintang, lelaki terbabit yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Cheras di sini, sudah dimasukkan wad pesakit mental untuk kali kedua kerana berbogel.

“Kami menerima kes terbaru mengenainya petang semalam (kelmarin). Awal tahun ini dia dimasukkan wad sakit mental juga kerana bogel di khalayak umum. Rakannya dikenali Gad C Isoma sudah datang melawatnya.

“Mereka tinggal di Angkasa Kondominium, dekat Cheras. Rakannya itu memaklumkan dia tidak mengetahui mengapa lelaki terbabit sanggup berjalan bertelanjang,” katanya.

Pelajar tahan lelaki skodeng

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun bergelut dengan seorang lelaki yang mengintainya ketika berada dalam tandas di Bandar Tun Razak di sini, membuahkan hasil apabila dia menahan pemuda terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu itu, mangsa yang berseorangan di dalam tandas tiba-tiba melihat kelibat seorang lelaki berusia lewat 20-an asyik mengintainya dari luar menerusi dinding tandas berkenaan.
Menurut sumber, mangsa menghubungi rakannya yang berada berhampiran kawasan berkenaan untuk meminta bantuan.

“Mangsa bergegas keluar sebelum pergi ke kawasan belakang tandas untuk menahan suspek.

“Suspek terkejut sebaik melihat kehadiran remaja berkenaan sebelum cuba melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun pelajar perempuan itu menghalang suspek menyebabkan berlaku pergelutan.

“Suspek ditahan dengan bantuan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Polis tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian sebelum membawa suspek ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tampil ke Balai Polis Sungai Besi di sini, sebelum membuat laporan kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Ratu MLM direman 4 hari

KUALA LUMPUR: Ratu MLM yang didakwa memiliki aset berjumlah RM10 juta, Nur Amalina Mat Rashid, 23, yang menyerah diri kelmarin direman empat hari bermula semalam.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata kes Amalina disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. “Kami meminta sesiapa yang ditipu wanita ini tampil membuat laporan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengusaha kedai makan edar Eramin 5 ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha kedai makan berusia 37 tahun tidak mampu berbuat apa-apa apabila menyedari dirinya dikepung sekumpulan anggota polis berpakaian preman ketika cuba mengedarkan Eramin 5 di kawasan letak kereta sebuah pusat membeli-belah di Taman Shamelin Perkasa di sini, Khamis lalu.

BUKTI...Abdul Rahim (tengah)menunjukkan pil Eramin 5 yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...Abdul Rahim (tengah)menunjukkan pil Eramin 5 yang dirampas daripada suspek.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek menunggu pelanggan di kawasan berkenaan sebelum ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

“Kami (polis) yakin pil terbabit hanya diedarkan di Lembah Klang. Malah, polis percaya lelaki terbabit tidak bergerak bersendirian, namun semuanya masih dalam siasatan. “Malah, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati positif dadah,” katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.

'Kami bukan mahu publisiti'

KUALA LUMPUR: “Kami bukan mahu publisiti, tapi kami mahu masalah ini diselesaikan segera,” kata Suraya Abdullah, 33, ibu Nurul Atikah Abdullah, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Petaling yang diserang histeria tiba-tiba ketika perhimpunan di sekolahnya yang mengakibatkan sembilan pelajar lain dan seorang guru wanita turut terkena penyakit misteri itu, kelmarin.
Beliau tertekan apabila ada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling di sini, mendakwa dia sekeluarga sengaja mencari publisiti apabila laporan mengenai kejadian histeria menimpa anaknya dilaporkan akhbar ini semalam.
Menurutnya, penduduk di flat itu seakan-akan marah dengannya apabila cerita mengenai anaknya tersebar dan berharap semua penduduk faham mengenai masalah yang berlaku.

Suraya yang juga ibu tunggal kepada tiga orang anaknya termasuk Atikah keletihan kerana kekurangan tidur kerana menjaga anaknya yang sering diserang histeria sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia terpaksa berjaga sehingga jam 4 pagi kerana risau keadaan anaknya.

Dia yang juga seorang pekerja kaji selidik di sebuah syarikat swasta mendakwa sudah banyak hari tidak ke tempat kerja kerana terpaksa berjaga malam bagi memastikan anaknya itu dalam keadaan baik.

“Semua ini ada kaitan dengan sebatang pokok besar yang menjadi tempat makhluk tinggal ditebang sebulan lalu menyebabkan makhluk terbabit merayau dan mengganggu anaknya.

“Untuk waktu terdekat ini saya mohon pihak yang mempunyai kepakaran menghalau makhluk halus datang membantu kami.

“Saya perlu ke tempat kerja bagi mencari rezeki menanggung anak-anak, kalau saya tidak bekerja bagaimana keadaan mereka, “katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Shakina, 14, yang cuba membantu menenangkan Atikah, 15, kelmarin turut diganggu makhluk halus itu

Mati dalam pesawat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Australia ditemui mati dalam tandas sebuah pesawat Boeing 737 yang baru tiba dari Ho Chin Minh, Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Mayat berkenaan hanya ditemui seorang pekerja yang ingin membersihkan pesawat berkenaan kira-kira jam 1 pagi iaitu dua jam selepas pesawat itu mendarat.
Lelaki berusia 38 tahun itu sepatutnya keluar dari pesawat dan mengambil bagasi sebelum meneruskan penerbangan ke Australia, namun dia dipercayai mati akibat mengambil ubat secara berlebihan ketika berada dalam tandas pesawat berkenaan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Mustapa berkata, mayat lelaki terbabit ditemui seorang pekerja yang ingin membersihkan tandas pesawat berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak pengurusan.

Menurutnya, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 1 pagi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan identiti mangsa sudah dikenal pasti berdasarkan pasport yang ada padanya. “Kami sudah menerima laporan bedah siasat itu semalam (Isnin) dan ia tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tentera kerugian RM15,000, rumah disamun tiga lelaki

KUANTAN: Seorang anggota tentera kerugian wang tunai dan barangan berharga bernilai RM15,000 selepas rumahnya di Taman Cendor Utama dekat sini dimasuki tiga lelaki, awal pagi semalam.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika lelaki berusia 31 tahun itu sedang tidur di ruang tamu rumahnya, manakala isteri dan anak lelaki yang berusia dua tahun tidur di dalam sebuah bilik.
"Mangsa dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki di dalam rumahnya, seorang daripada lelaki itu kemudian mengacu pisau ke arahnya sebelum kumpulan suspek mengikat mangsa dengan dawai," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan suspek juga bertindak mengikat isteri mangsa sebelum dua daripada mereka menggeledah rumah itu dan melarikan wang tunai berjumlah RM480, barangan kemas, telefon bimbit dan komputer riba.

"Kesemua mangsa tidak dicederakan," katanya.-Bernama

Keputusan rayuan Bung Mokhtar 11 Ogos ini

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 11 Ogos ini untuk keputusan rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.
Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Jurujual mengaku tidak bersalah miliki 141 keping wang palsu

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual barangan sukan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki 141 keping wang kertas palsu bernilai RM7,050, empat tahun lalu.
Balwinderjit Singh, 30, dari Petaling Jaya didakwa memliki 141 keping wang kertas RM50 yang dia ketahui adalah palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Plaza Prima Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama di sini pada jam 6.30 pagi, 22 Januari 2006.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Terdahulu, ibu tertuduh memberitahu mahkamah beliau tidak mampu untuk membayar wang jaminan itu dan ingin menggunakan wang yang ada untuk melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin.-Bernama

APMM rampas 400 karton rokok seludup di Langkawi

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas 400 karton rokok dengan nilai cukai kira-kira RM37,472 dalam satu cubaan menyeludup berhampiran Pulau Chorong di sini semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya turut menangkap seorang lelaki rakyat tempatan berusia 45 tahun.
"Rampasan itu dibuat apabila bot kilat 6 APMM yang sedang menjalankan rondaan di perairan Langkawi berjaya mengesan dan mengarah berhenti sebuah bot gentian yang dalam keadaan mencurigakan menuju ke Kuala Perlis kira-kira jam 10.10 pagi semalam," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot yang dikendalikan lelaki itu, APMM menemui 400 karton rokok berjenama John yang diisi dalam 16 kotak. Beliau berkata, bot dan lelaki itu dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kastam iaitu cubaan menyeludup rokok. -Bernama

Pemuda dikhuatiri lemas terjun sungai lari dari serbuan polis

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda Mohamad Ismail, 23, dikhuatiri mati lemas apabila terjun ke dalam sungai Nerus, di Kampung Jeram dekat sini ketika polis membuat serbuan di kawasan itu petang semalam.
Penguasa Bomba Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Nor Yazid berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 5.20 petang dan bergegas memulakan operasi mencari dan menyelamat.
"Operasi mencari dan menyelamat semalam terpaksa dihentikan pada kira-kira 7.30 petang apabila hari sudah gelap, manakala air di sungai berkenaan begitu keruh akibat hujan dengan paras air setinggi empat dan lima meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari di kawasan sekitar sungai berkenaan diteruskan bermula 8 pagi ini.

Katanya, kejadian berlaku pada kira-kira 5 petang ketika mangsa yang berasal dari Kampung Merchang bersama tiga lagi rakannya berada di kawasan rekreasi terbiar di tepi sungai kampung berkenaan, dipercayai sedang menagih dadah.

Katanya, seorang daripada rakannya berjaya diberkas manakala dua lagi melarikan diri.

Sementara itu, ayah mangsa Ismail Jusoh, 55, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pagi semalam dan terus tidak pulang sehinggalah dimaklumkan oleh polis mengenai kejadian yang berlaku.

"Anak saya yang keempat daripada tujuh beradik itu, baru keluar dari penjara Bentong kira-kira sebulan lalu kerana terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang. Saya terima kejadian ini sebagai takdir," katanya yang juga seorang penternak ikan dalam sangkar.-Bernama

Polis tahan enam lelaki dipercayai serang remaja di Georgetown

GEORGETOWN: Polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dalam serangan bersenjatakan parang yang mengakibatkan seorang remaja berusia 19 tahun menerima 50 jahitan di badannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kesemua suspek ditahan di Taman Lip Sin dan Jalan Datuk Keramat selepas kejadian itu pada Isnin.
Gan berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an, salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah kerana kesalahan mencuri, manakala seorang lagi merupakan penagih dadah.

"Kami percaya serangan itu yang berlaku di Kafe Internet dua hari lalu berikutan salah faham mengenai seorang gadis," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka akan direman selama empat hari bermula hari ini.

Dalam kejadian pada 1 pagi Isnin lalu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Cheng, adalah penjaga Kafe Internet itu, ditetak di bahagian tangan kiri, kedua-dua lengan, kaki kiri dan belakang badan oleh dua lelaki yang bersenjatakan parang.-Bernama

Polis Serdang tahan dua pengedar dan rampas RM60,000 dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar serta merampas dadah bernilai hampir RM60,000 dalam dua operasi berasingan di Puchong dan Bandar Sunway semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak berkata, dalam operasi pertama, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Kancil di sebuah pangsapuri di Bandar Puchong Jaya.
"Dalam operasi kira-kira jam 6 petang itu, kami memeriksa sebuah beg yang disembunyikan di dalam kereta milik suspek terbabit dan menemui 19 paket lutsinar berisi dadah jenis heroin dan sebungkus dadah jenis ganja seberat 20 gram." "Turut ditemui ialah tiga plastik dadah jenis syabu seberat tiga gram dan wang tunai sebanyak RM8,490," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga rakan kepada suspek terbabit di Bandar Sunway.

Menurutnya, lelaki berumur 33 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan sambil membawa sebuah beg hitam dan hasil pemeriksaan polis menemui satu paket dadah jenis heroin seberat 450 gram.

Abdul Razak berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua dadah yang dirampas daripada kedua-dua lelaki itu bernilai hampir RM60,000 dan kedua-dua suspek dipercayai telah aktif mengedar dan menghisap dadah sejak setahun lepas di mana suspek pertama pernah mempunyai rekod terlibat dalam jenayah dadah sebelum ini.

"Kedua-dua suspek yang juga pengganggur ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, ini adalah kes pertama membabitkan jenayah dadah berjaya dibanteras sejak penubuhan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang 20 hari lalu.

-Bernama

Lelaki geng pecah rumah dan curi dalam kenderaan ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi dan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah di sini serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM10,000 semalam.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Superintendan Azman Abd Lah berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah suspek di Permatang Pasir dan menahan lelaki yang berusia 20-an pada 7 pagi semalam.
"Antara barangan yang dirampas dalam rumah itu ialah sembilan komputer riba, kamera digital dan pemain cakera padat, siasatan mendapati sebahagian daripada barangan yang kita rampas itu adalah barang curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan melakukan kegiatan jenayah secara berkumpulan dan polis kini sedang giat mengesan saki baki kumpulan terbabit.

Katanya, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Azman berkata polis juga menahan empat wanita warga asing dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat seks di Taman Perwira Indah, Bukit Tengah di sini dalam satu serbuan dua hari lalu.

"Susulan serbuan itu polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Minyak dan menahan tiga wanita warga asing kerana menjalankan pelacuran," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 25 tahun itu menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Dalam dua serbuan itu polis turut menahan dua lelaki tempatan yang menjaga rumah berkenaan.

"Polis percaya sindiket pelacuran berkenaan menggunakan taktik baru dengan menggunakan kawasan perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

-Bernama

Mayat lelaki separuh rentung ditemui di kawasan buang sampah terbiar

MELAKA: Mayat seorang lelaki separuh rentung dipercayai mangsa pembunuhan ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala di satu kawasan buangan sampah terbiar di belakang Taman Bukit Katil Damai dekat sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata mayat berusia 20-an, ditemui seorang mandur, Ho Chin Chong, 42, yang melalui kawasan itu pada kira-kira jam 10.30 pagi ketika bermotosikal ke kebun. Salehhudin berkata, motif pembunuhan masih disiasat dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, beliau berkata lelaki itu dipercayai bangsa India dan identiti belum dikenal pasti. Salehhudin berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Bernama

Lori rempuh sekolah

BAHAU: Seramai 36 murid tahun lima sebuah sekolah rendah, dekat sini, yang sedang mengikuti kelas agama Kafa, lari lintang-pukang selepas sebuah lori terbabas lalu memasuki kawasan sekolah sebelum merempuh bilik darjah mereka, semalam.


NAHAS...orang ramai mengeluarkan pemandu lori yang merempuh sekolah, semalam.
NAHAS...orang ramai mengeluarkan pemandu lori yang merempuh sekolah, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, semua murid bersama seorang guru agama terpaksa menyelamatkan diri selepas bilik darjah mereka bergegar.

Guru agama yang hanya dikenali sebagai Rosiah, 30-an, berkata ketika sedang mengajar, dia dikejutkan dengan satu bunyi amat kuat dan menakutkan.

“Sejurus kemudian kelas bergoyang dan cermin kaca nako pecah menyebabkan semua pelajar lari untuk menyelamatkan diri.

“Pada mulanya saya tidak mengetahui apa yang berlaku sebelum melihat sebuah lori merempuh tiang bucu kelas tempat saya mengajar,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, semua pelajar sempat melarikan diri dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian yang menakutkan itu.
“Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana kami tidak cedera dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian terbabit.
Menurutnya, berdasarkan kepada siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke Air Hitam itu cuba mengelak sebuah kereta di depannya yang didakwa membrek secara mengejut.

“Pemandu berusia lingkungan 30-an itu kemudian mengelak ke kanan jalan sebelum kenderaan berat terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke dalam kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka.

“Lori itu merempuh bucu tepi bilik darjah menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk lorinya yang remuk teruk,” katanya.

Katanya, semua pelajar dan guru agama yang berada di dalam kelas bagaimanapun tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, S Jaganathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.15 petang.

“Sebaik tiba kami mendapati pemandu lori tersepit di dalam kenderaannya yang remuk teruk dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya.

Tembakan dari dalam

SUNGAI BULOH: Siapa tembak siapa? Itulah persoalan yang cuba dirungkai polis berhubung kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, dalam kenderaan dipandu mantan Yang Berhormat (YB) itu di Kilometer 455.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

MAUT...anggota polis memindahkan mayat Abdul Aziz ditemui mati ditembak dalam kenderaannya, pagi semalam.
MAUT...anggota polis memindahkan mayat Abdul Aziz ditemui mati ditembak dalam kenderaannya, pagi semalam.


Kedua-dua mereka dipercayai ditembak dari jarak dekat berdasarkan tiada bukti tembakan dilepaskan dari luar kenderaan. Siasatan awal polis mendapati terdapat satu kesan tembakan pada kepala Abdul Aziz manakala kepala Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan. Polis turut menemui sepucuk revolver .38 milik Abdul Aziz dalam Toyota Caldina dinaiki mereka.

Difahamkan, kereta berkenaan yang dipandu Abdul Aziz adalah milik Siti Rohana. Ibu tunggal beranak empat itu aktif dalam politik dan pernah menjadi pembantu peribadi kepada Abdul Aziz dan kini Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi semalam, petugas lebuh raya mulanya menyangka mangsa terbabit dengan kemalangan biasa, namun terpaksa memanggil polis sejurus mendapati punca kematian kedua-dua penumpang kereta berkenaan akibat kesan tembakan.

Susulan itu, sepasukan anggota polis unit Forensik Selangor bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis turut menemui sepucuk pistol dalam kereta berkenaan dan senjata itu kini dihantar ke makmal forensik untuk siasatan lanjut.
“Terdapat dua peluru yang masih berada dalam chamber pistol (revolver) manakala tiga bekas peluru yang sudah digunakan di dalam chamber. Saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Mungkin ia kes pembunuhan atau sebaliknya. Adalah baik sekiranya polis melakukan siasatan lebih rapi terlebih dulu,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Anak bongsu Abdul Aziz, Mohd Anis Hisham, 33, berkata dia mengetahui kemalangan menimpa bapanya sekitar jam 12 tengah hari, selepas mendapat panggilan telefon daripada rakannya lalu bergegas ke lokasi kejadian sebelum ke Bilik Mayat Hospital Sungai Buloh.

“Saya masih tidak dapat memastikan sama ada bapa saya mati ditembak atau sebaliknya. Apa yang saya tahu, dia sememangnya memiliki lesen senjata api selain menyimpan sepucuk pistol model revolver .38.

“Senjata api terbabit yang digunakan untuk tujuan keselamatan kerap dibawa bapa sejak dia menjadi Adun antara 2004 hingga 2008,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati sanak-saudara mangsa serta beberapa ahli politik termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Azeez Abdul Rahim, berada di pekarangan bilik mayat HSB bagi menziarahi mangsa dan mengetahui punca sebenar kejadian.

Menurut Mohd Anis, dia hanya mengetahui bapanya ditemani Siti Rohana dalam perjalanan ke Tanjung Karang dari Petaling Jaya bagi menghadiri aktiviti yang dijalankan Umno bahagian berkenaan.

Anggota Exco Pemuda Umno Malaysia itu berkata, kali terakhir dia berjumpa ayahnya awal pagi semalam sebelum keluar meninggalkan rumah yang didiami bersama keluarga di Shah Alam.

“Kami bersarapan bersama sebelum membaca akhbar di ruang tamu sebelum keluar untuk urusan masing-masing. Ayah saya adalah mentor saya dan dalam karier politiknya dia disegani semua lapisan masyarakat di kawasannya,” katanya.

Menurutnya, Abdul Aziz kini memegang jawatan sebagai Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dan banyak menghabiskan masa dengan kerja kebajikan.

Difahamkan, selain Mohd Anis, mangsa meninggalkan dua lagi anak iaitu Nor Azila, 40, dan Nor Azian, 37, serta empat cucu.

Kikis duit gaji isteri koma

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang isteri yang terlantar sakit sejak lebih setahun lalu apabila dia diabaikan suami yang bukan saja langsung tidak pernah datang menjenguk, malah turut mengikis gajinya yang amat diperlukan untuk menampung kos perubatan menjangkau ribuan ringgit setiap bulan.

KASIH IBU...Robaeyah menjaga anaknya, Zalina yang terlantar.
KASIH IBU...Robaeyah menjaga anaknya, Zalina yang terlantar.


Zalina Elias, 30, yang juga kakitangan Pejabat Pos Padang Temu, Melaka, kini bergantung hidup kepada ibu kandungnya yang uzur sambil mengharapkan ihsan sanak-saudara.

Ibunya, Robaeyah Mansor, 54, berkata penderitaan Zalina bermula kira-kira setahun lalu apabila dia mengalami batuk berdarah sebelum jatuh pengsan dan dimasukkan ke Hospital Melaka hampir dua bulan.

Doktor yang merawatnya memberitahu Zalina diserang penyakit tibi, namun agak menghairankan kerana dia selalu tidak sedarkan diri dan koma.

“Malah, dia pernah putus nafas hampir 20 minit sebelum doktor memulihkannya. Namun, keadaannya tidak ubah seperti mayat hidup apabila hanya bernafas dengan keadaan mata terbuka tanpa memberi reaksi.

“Lebih menyedihkan, sepanjang dia terlantar sakit dua bulan di hospital, mak cik terpaksa menjaganya bersendirian kerana suaminya bersikap acuh tak acuh dan enggan ambil tahu keadaan isterinya.
“Hati saya terguris apabila mengenangkan anak perempuan saya yang terlantar tanpa perhatian suami. Saya yang menjaganya sepanjang masa terpaksa membawanya pulang ke kampung di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor,” katanya.

Robaeyah yang kini menjaga Zalina di rumah adiknya di Sijangkang, Banting, Selangor berkata, dia sering menitiskan air mata apabila mengenangkan kelakuan menantu yang langsung tidak mengendahkan keadaan isterinya itu, jauh sekali membantu mengangkat Zalina untuk dimasukkan ke dalam kenderaan bagi menjalani rawatan.

Askar Israel-Lebanon bertempur




SEORANG askar Israel yang cedera diusung di bandar Kiryat Shimona untuk dihantar ke sebuah hospital semalam.


BAITULMUQADDIS - Beberapa pertempuran singkat tercetus di sepanjang sempadan utara Israel dengan Lebanon semalam, kata sumber tentera Israel selepas polis Yahudi menafikan laporan bahawa peluru-peluru roket mengenai utara negara berkenaan.
Pihak tentera menyatakan, askar-askar Israel ditembak di sempadan utara negara itu dengan Lebanon tetapi enggan mengesahkan laporan mengenai siri pertempuran itu atau mengulas lanjut mengenainya.
Sumber tentera Yahudi itu memberitahu, insiden berbalas-balas tembakan antara tentera Israel dengan pasukan keselamatan Lebanon berlaku berhampiran penempatan Misgav Am yang terletak di kawasan paling utara sempadan Israel-Lebanon.
Radio awam Israel melaporkan, dua peluru roket telah ditembak dari seberang sempadan tetapi polis Israel menafikan terdapat sebarang peluru yang mengenai bahagian utara negara itu.
"Tiada sebarang senjata yang ditembak ke utara Israel," kata jurucakap polis rejim Zionis, Mickey Rosenfeld.
Tentera Lebanon bagaimanapun mengesahkan berlakunya beberapa pertempuran kecil.
Menurut tentera Lebanon, dua askar negara itu cedera dekat perkampungan Adaysseh yang terletak berhampiran penempatan Misgav Am di Israel. - AFP

12 maut pesawat terbakar





BEBERAPA penyiasat semalam memeriksa bangkai pesawat penumpang yang terbakar dekat bandar Igarka, Rusia.



MOSCOW – Jumlah kematian selepas sebuah pesawat Rusia terhempas dan terbakar semasa mendarat di timur Siberia meningkat kepada 12 orang setelah seorang penumpang mati di hospital, kata pihak berkuasa semalam.
Pesawat An-24 yang berlepas dari Krasnoyarsk terhempas kelmarin di luar landasan terbang semasa cuba mendarat di Lapangan Terbang Igarka.
Menurut Kementerian Kecemasan Rusia, selepas terhempas, pesawat itu meletup menyebabkan 11 daripada 15 orang yang menaikinya mati di tempat kejadian.
Agensi berita Interfax kemudian melaporkan, seorang jurucakap pihak berkuasa tempatan menyatakan seorang lagi penumpang meninggal dunia di sebuah hospital setelah mengalami kecederaan serius.
Sebanyak tiga orang ditarik keluar hidup-hidup dari bangkai pesawat.
Menurut jurucakap itu, ketiga-tiga orang itu masih dirawat di hospital. Sebuah agensi pengangkutan udara persekutuan menyatakan, ketiga-tiga mereka itu mengalami luka dan melecur. Pihak pejabat pendakwa raya tempatan menyatakan satu siasatan telah dibuka bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran keselamatan ekoran kematian tersebut.
Menurut beberapa penyiasat, kabus tebal mungkin menjadi punca nahas itu. – AFP