Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Rakyat Iran terbabit lagi, guna pula kargo udara

KUALA LUMPUR: Trend terbaru sindiket pengedaran dadah antarabangsa kali ini menggunakan kargo udara dikesan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas kelmarin dan merampas syabu seberat 113 kilogram bernilai RM24.86 juta.
Dalam serbuan di rumah mewah semi-D itu kira-kira jam 3 petang, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun dan seorang warga Iran berumur 26 tahun yang yang dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah ke dalam negara ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, hasil siasatan di dalam rumah itu, polis menemui lapan silinder yang setiap satu silinder mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu seberat 14 kg setiap satu.
"Silinder yang diisytiharkan sebagai bungkusan ais ketika diperiksa kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Sepang, tiba pada 30 Julai lalu," katanya sambil menambah bahawa operasi itu turut mendapat kerjasama Biro Narkotik Pusat Singapura.

Beliau berkata, wang tunai milik warga Iran berjumlah RM260,000 dan sebuah kereta Mercedez Benz E250 yang dipercayai baru sahaja dibelinya bernilai RM550,000 turut dirampas dalam serbuan rumah mewah yang disewakan sebanyak RM13,000 sebulan itu.

Polis percaya dadah itu untuk pasaran antarabangsa dan tempatan.

"Kita akan menyiasat penglibatan lelaki tempatan itu dengan suspek warga Iran tersebut. Kita juga dalam siasatan bagi mengesahkan kargo itu dari negara mana. Saki baki anggota sindiket terbabit sekirany ada akan ditahan ," katanya.

Othman berkata, pihaknya juga akan menyiasat tempoh penglibatan sindiket terbabit serta kaitannya dengan satu lagi serbuan yang turut melibatkan warga Iran di sebuah rumah di Kepong pada 22 Julai lalu.

Beliau berkata, pembabitan warga Iran yang ditahan dalam serbuan-serbuan sebelum ini menunjukkan mereka bukan sahaja menjadi kurier tetapi turut menjadi anggota sindiket.

"Kita lihat warga Iran bukan sahaja terbabit dalam sindiket, ada yang bertindak sebagai kurier. Kurier ini pun turut terbabit dalam sindiket tetapi tidak secara langsung dan mereka dibayar," katanya.-Bernama

Ambil alih jual air ketum dari suami

KUALA TERENGGANU: Selepas suaminya tidak lagi berupaya bekerja, seorang wanita yang mempunyai lima anak mengambil alih tugas dari suaminya menjual air daun ketum.
Namun dia yang berumur 32 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Simpang Empat di Chendering di sini semalam.
"Ketika ditahan, wanita ini baru saja selesai membungkus 10 liter air ketum ke dalam 117 bungkus kecil, yang keseluruhan bernilai RM350 untuk pembeli di sekitar kampung berkenaan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supt Roslan Abdul Wahid.

Wanita berkenaan dikatakan mengambil alih berniaga air ketum daripada suaminya yang sedang sakit kencing manis dan jantung.

Dia memberitahu polis, dia terpaksa menjual air ketum kerana terpaksa menampung keluarganya.

"Suaminya yang berumur 50-an juga telah beberapa kali ditangkap dan dikenakan denda, tetapi pasangan ini tidak serik kerana sebaik sahaja membayar denda di mahkamah, mereka terus sambung perniagaan air ketum," kata Roslan.

Daun-daun ketum itu diperolehi dari Johor.

Dalam satu kes berasingan, polis menahan seorang buruh dan merampas 46 gram heroin bernilai RM14,000 di rumahnya di Kampung Raja juga di Chendering.

Suspek yang berumur 38 tahun dan merupakan pengedar dan penagih tegar kini direman selama tujuh hari. Kesalahan ini boleh membawa hukuman gantung sampai mati. Roslan berkata, kes narkotik di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sebanyak 5,233 tangkapan membabitkan dadah dibuat sepanjang Januari hingga Jun berbanding 4,083 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Seramai 119 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi ditahan berhubung kes dadah, iaitu peningkatan yang membimbangkan berbanding dengan jumlah 38 pelajar yang ditahan dalam tempoh sama tahun lalu," tambahnya.-Bernama

Suami bungkus dadah ditahan lepas hantar isteri bersalin

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang baru pulang menghantar isterinya bersalin di sebuah hospital di sini, ditahan polis bersama dua rakannya kerana disyaki terbabit pengedaran dadah, Jumaat lalu.
Lelaki berusia 20-an itu pulang ke bilik hotel murah yang disewa mereka di Jalan Pegawai di sini, sejak lima hari lalu untuk membungkus dadah, kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketika diserbu, ketiga-tiga suspek leka membungkus dadah itu menjelang solat Jumaat dan menyangka polis tidak mengesan kegiatan licik mereka.

Ketua Jabatan Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata serbuan diketuai Inspektor Samsualan Samsudin bersama anggotanya membuat pemeriksaan di hotel tiga tingkat berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sebuah bilik menemui tiga lelaki berusia 20 hingga 40-an leka membungkus beberapa peket kecil disyaki dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemui 42 peket dadah disyaki heroin dan syabu yang siap dibungkus dalam plastik kecil lut sinar di dalam bilik berkenaan dengan nilai pasaran kira-kira RM10,000. Bilik itu dipercayai disewa seorang dari suspek sejak lima hari lalu dan menjadikan bilik itu untuk membungkus semula dadah diperoleh.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh dan dipercayai dipasarkan di bandar raya ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, semua suspek rakyat tempatan dan ketiga-tiga mereka pernah ditahan polis kerana memiliki dadah.

Meraung tiga saudara tertimbus

POKOK SENA: Seorang abang hanya mampu melihat adik dan adik iparnya serta seorang saudara mereka tertimbus dketika masing-masing sibuk melakukan tugas memasang saluran paip di loji kumbahan Taman Sena 2 di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, dua daripada mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi patah tangan.
Semua mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 30-an berada di dalam lubang yang dikorek di loji berkenaan, manakala seorang lagi berada di atas tebing untuk memasang paip saluran loji berkenaan sebelum tanah di bahagian tepi tiba-tiba runtuh menyebabkan mereka tertimbus kira-kira tujuh meter.

Berikutan itu, Shamsul, 30-an, iaitu abang dan abang ipar dua mangsa terbabit menjerit meminta tolong penduduk kampung berhampiran bagi menyelamatkan ahli keluarganya itu.

Seorang daripada mangsa yang tertimbus dikeluarkan penduduk dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan akibat patah tangan.

Bagaimanapun, usaha menemubual Shamsul gagal apabila dia meraung kerana tidak menyangka akan kehilangan adik dan adik iparnya sekelip mata sehingga terpaksa ditenteramkan rakan-rakannya.

Difahamkan, keempat-empat pekerja itu mempunyai pertalian adik-beradik dan bekerja di kawasan loji terbabit sejak empat bulan lalu dan menyewa di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata setakat ini pihaknya belum mengenali identiti semua mangsa dan disahkan mereka rakyat asing.

Beliau berkata, dalam kejadian itu empat daripada mangsa melakukan kerja mengepam air di saluran loji itu.

“Ketika kerja mengangkat pam itu selesai, tiba-tiba tanah di sekitar tebing runtuh dan menimbus dua pekerja terbabit.

“Seorang pekerja yang berada di bawah tanah itu selamat dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Kereta mangsa bunuh ditemui

IPOH: Kereta milik Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang mati dibunuh dengan mayatnya dicampakkan ke dalam telaga di ladang ternakan ayam dalam kawasan kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing di Manjung kelmarin, ditemui pagi semalam di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.
Turut ditemui dalam kereta mendiang Lim Teng Peng, 49, ialah sebuah telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada dua pekerja mangsa dari Myanmar yang masih gagal dikesan sejak kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata hasil penemuan itu, usaha mengesan kedua-dua warga Myanmar berkenaan kini diperluaskan bagi membantu siasatan.

Warga emas nyenyak tidur nyaris rentung

MASJID TANAH: “Saya cuma sempat mencapai bantal, kain pelekat dan beg duit saja sebelum bergegas berlari keluar menyelamatkan diri kerana tidak sedar api sedang marak,” kata seorang warga emas yang tertidur ketika rumahnya sedang dijilat api di Kampung Seri Jeram, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Osman, 77, dikatakan terlelap selepas menunaikan solat Zuhur dalam bilik tidurnya, namun terselamat daripada rentung selepas dikejutkan seorang anak lelakinya.
Dalam kejadian itu, Ahmad yang tinggal bersama anak sulungnya, Intan, 54, dan dua cucu serta tiga cicitnya bersendirian di rumah papan setingkat itu manakala yang lain mempunyai urusan di luar.

Intan berkata, bapanya baru saja selesai menunaikan solat Zuhur lalu mengambil keputusan berbaring seketika dalam biliknya, tetapi terlelap tanpa menyedari api mulai marak dari bahagian tengah rumahnya.

Menurutnya, dia juga tidak menyedari rumah didiami bersama bapanya itu terbakar dalam sekelip mata dan memusnahkan semua harta benda termasuk perabot jati yang baru dibeli beberapa bulan lalu dan peralatan rumah yang lain.

“Ketika kejadian, saya kebetulan berada di rumah sebelah sedang menyiap dan membuat kek sebelum diberitahu jiran, rumah saya terbakar lalu keluar untuk melihat apa berlaku sebelum berasa terkejut,” katanya ketika ditemui, di sini.

“Saya hanya mampu melihat api marak dengan tiba-tiba sambil menjerit meminta pertolongan jiran lain sambil sempat melihat asap tebal memenuhi ruang sehingga boleh terasa bahang api.

“Pada masa sama, saya terus menghubungi adik lelaki untuk memeriksa dalam rumah, kalau-kalau bapa saya berada di dalam sebelum menemui bapa sedang nyenyak tidur dan bersyukur dia (bapa) selamat walaupun kami kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Kerugian dianggarkan hampir RM200,000 membabitkan kelengkapan rumah enam bilik tidur itu. yang dilengkapi pelbagai perabot jati yang baru dibeli dan juga peralatan lain seperti televisyen, peti sejuk serta barangan elektrik lain.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zainudin Joned berkata, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.38 tengah hari.

Dua beradik maut dirempuh

TEMERLOH: Dua beradik yang dalam perjalanan ke perpustakaan mencari bahan rujukan terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta ketika keluar dari simpang di Kilometer 15, Jalan Jerantut-Temerloh, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, Nurhidayah Rumel, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan adiknya, Siti Zaleha, 11, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Paya Ara, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, dua beradik terbabit tinggal di Kampung Sri Ketumbit dalam perjalanan ke perpustakaan desa dipercayai hendak mencari bahan rujukan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang Nurhidayah dikatakan berada di kiri jalan selepas keluar dari simpang rumahnya sebelum cuba menyeberang ke laluan kanan secara mengejut.

Motor nahas rupa-rupanya dicuri

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki menolak motosikalnya secara tergesa-gesa walaupun mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan bukan saja menimbulkan rasa curiga anggota polis, malah membongkar kegiatannya mencuri motosikal.
Difahamkan dalam keadaan cemas itu, tanpa menghiraukan kecederaan dialami, lelaki berusia 20-an itu terus menolak motosikal yang rosak teruk itu untuk meloloskan diri, namun dia ditahan beberapa meter dari lokasi kemalangan.
Rahsia tergesa-gesa melarikan diri walaupun dalam kesakitan terbongkar apabila pemeriksaan mendapati motosikal Yamaha 125Z ditunggang mangsa rupa-rupanya dicuri.

Malah, dalam keadaan kelam-kabut itu suspek yang cedera pada kedua belah lengan dan beberapa bahagian badan lain cuba menghidupkan motosikalnya bagi mengelak ditahan anggota polis terbabit. Terdahulu sebelum kejadian di Jalan Persisir Perling berhampiran laluan bertingkat di sini, suspek terbabit dengan kemalangan dengan seorang lagi penunggang motosikal menyebabkan motosikalnya rosak teruk jam 11.30 malam kelmarin.

Pemeriksaan mendapati, suspek cedera ringan akibat terseret pada jalan raya manakala seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami luka pada anggota badan.

Sepasukan anggota polis menjalankan rondaan berhenti membantu mangsa kemalangan dan mereka mula hairan dengan gelagat suspek yang enggan menerima bantuan dihulurkan, sebaliknya bertindak cuba melarikan diri.

Suspek mendakwa motosikal terbabit bukan miliknya dan dipinjam daripada rakan dengan alasan mempunyai urusan di pusat bandar. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner, Ruslan Hassan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian serta kejayaan pihaknya menahan lelaki terbabit.

“Hasil semakan rekod pendaftaran kenderaan dilakukan, mendapati motosikal terbabit dilaporkan hilang pada pertengahan bulan lalu di kawasan Ayer Baloi, Pontian,” katanya.

Tiga maut dua ghaib

KUALA LUMPUR: Kemalangan ngeri meragut nyawa tiga pelajar sebuah kolej swasta dipercayai warga Iran di Kilometer 5-3, Jalan Syed Putra, Lebuh Raya Persekutuan, di sini, semalam menimbulkan tanda tanya apabila dua mangsa terselamat dalam kemalangan itu menghilangkan diri.
Malah, tiada dokumen pengenalan diri ditemui daripada mangsa terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi selepas hujan itu, tiga pelajar iaitu dua wanita dan pemandu lelaki, maut sementara dua lagi cedera apabila kereta Chevrolet Aveo biru dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh tiang papan tanda. Dua mangsa terbunuh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah, manakala seorang wanita disahkan meninggal dunia jam 5 pagi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kedua-dua rakan lelaki yang cedera itu bagaimanapun melarikan diri ketika dirawat di PPUM.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika kejadian, lima pelajar sebuah kolej berusia 20-an dalam perjalanan dari dari arah Klang Lama menghala ke Petaling Jaya.

Beliau berkata, sebaik tiba di susur keluar Lebuhraya Persekutuan, kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dari Iran itu terbabas ke laluan kanan dan merempuh tiang papan tanda.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kenderaan dan penumpang di hadapan maut serta-merta, manakala seorang wanita disahkan meninggal sejam kemudian dan dua lagi mangsa lelaki menerima rawatan pesakit luar.

“Polis kini mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka serta di lokasi kejadian, malah akan menghubungi pengurusan Kolej Bandar Utama, Petaling Jaya, tempat mereka belajar bagi mendapatkan identiti mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdullah berkata, siasatan mendapati Chevrolet Aveo dinaiki mereka disewa di Kajang dua hari sebelum itu.

“Apa yang menjadi tanda tanya, dua lagi mangsa yang terselamat mendapatkan rawatan pesakit luar menghilangkan diri sebaik saja keluar hospital dan polis juga mengesan motif tindakan mereka sama ada terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Janda berang bakar motosikal bekas suami

TEMERLOH: Akibat berselisih faham, seorang janda mencurah petrol ke atas motosikal bekas suaminya sebelum membakar kenderaan berkenaan mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000 di Jalan Damai Persiaran Satu, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, wanita berusia 30 tahun itu dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas suaminya melakukan jenayah terbabit ketika mangsa menunaikan solat Jumaat.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 35 tahun yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta, dekat sini, dipelawa bekas isterinya bersarapan bersama di sebuah restoran berhampiran.

Selepas bersarapan, mangsa pulang ke pejabat dan meninggalkan motosikal di parkir berhampiran tempat kerja manakala bekas isterinya pulang ke rumah.

Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga akhir 2008 sebelum berpisah awal 2009 selepas tiada keserasian selain kerap berselisih faham.

Mangsa mengenali wanita terbabit ketika bersama-sama bekerja di sebuah syarikat kereta di Bentong sebelum mangsa berhenti kerja kerana mendapat peluang pengurus di tempatnya bekerja sekarang.

Harian Metro difahamkan, wanita terbabit sering mengunjungi syarikat mangsa bekerja sehingga menimbulkan ketidakselesaan bekas suami serta pekerja.

Akibatnya mangsa menasihatkan wanita itu supaya tidak mengganggunya lagi.

Bagaimanapun, wanita terbabit berang apabila ditegur sebelum pulang ke rumah dan datang semula ke syarikat mangsa beberapa jam kemudian lalu mencurahkan petrol ke atas motosikal Yamaha Nouvomangsa dan membakarnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit, semalam.

Menurutnya, kejadian terbabit disedari mangsa selepas menerima panggilan daripada rakannya yang memberitahu motosikalnya hangus.
Katanya, mangsa yang tidak percaya dengan dakwaan rakannya itu membuat pemeriksaan sebelum melihat motosikalnya hangus.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang Jumaat lalu.

Ahmad Fadzillah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa perbuatan khianat terbabit dilakukan bekas isteri keduanya yang dipercayai tidak berpuas hati selepas berselisih faham.

“Bekas isteri mangsa menyerah diri di IPD Temerloh pada jam 8.30 malam Jumaat lalu selepas dipujuk menyerah diri.

“Polis mengambil keterangan wanita terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.

Rempuh majlis tahlil

KUALA LUMPUR: Tidak sempat untuk menjamah hidangan, kira-kira 300 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, di sini, hanya mampu melihat makanan bertaburan di atas jalan selepas khemah jamuan dirempuh sebuah lori, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu dua khemah yang dipasang di hadapan Blok C pangsapuri bagi majlis tahlil dirempuh lori tiga tan yang dipercayai sengaja melalui jalan itu walaupun sudah ditutup.
Ketua Penduduk Nilam Mutiara Blok C, Salim Shaari, 47, berkata, kejadian berlaku pantas apabila lori terbabit tiba-tiba menghampiri khemah dan merempuhnya sebelum mengheret kedua-dua khemah itu kira-kira 50 meter.

Seorang lelaki warga emas terpaksa menerima empat jahitan di kepala, seorang lelaki berusia 28 tahun menerima jahitan di kaki manakala beberapa penghuni lain cedera ringan.

Beliau yang juga jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berkata, ketika kejadian penghuni sedang beratur untuk mengambil makanan yang dihidangkan selepas selesai majlis tahlil.

“Majls bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan bacaan Yasin oleh penghuni wanita sebelum disambung pula majlis tahlil oleh penghuni lelaki. Selepas majlis tamat, kami beramai-ramai mahu menikmati hidangan yang disediakan di khemah.

“Ketika mereka semua sedang beratur untuk mengambil makanan itu, tiba-tiba datang sebuah lori yang pada mulanya merempuh satu tiang khemah menyebabkan kami menjerit dan menyuruhnya berhenti,” katanya.

Difahamkan, pemandu dan kelindan lori itu menyedari kejadian itu kerana pemandunya memberhentikan lori beberapa saat sebelum memecut laju sambil mengheret khemah terbabit.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat, khemah kedua turut diheret bersama menyebabkan beberapa penghuni yang berada di dalam khemah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Kebanyakan mangsa adalah di kalangan warga emas, orang miskin dan kurang upaya kerana beberapa minit sebelum jamuan itu mereka menerima sumbangan.

“Walaupun keadaan ketika itu agak kecoh, saya sempat mencatatkan nombor pendaftaran lori berkenaan sebelum membawa beberapa mangsa rempuhan ke sebuah klinik swasta,” katanya.

Rakam aksi lucah

SUNGAI PETANI: Belumpun reda rakaman aksi panas penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel bersama pasangannya, kini digemparkan pula dengan rakaman klip video sepasang ‘kekasih’ dipercayai warga Indonesia yang bekerja di negara ini sedang melakukan hubungan seks dikesan tersebar luas di daerah ini, dengan menjadikan sebuah rumah sewa di Taman Ria Jaya, di sini, sebagai markas pelacuran.
Difahamkan, wanita berusia 20-an itu berasal dari Medan, manakala pasangannya berusia 30-an dari Lombok tanpa rasa malu merakam perbuatan mereka menggunakan kamera telefon bimbit.
Klip video yang memaparkan pelbagai aksi selama lapan minit 45 saat itu menunjukkan pasangan itu melakukan hubungan di atas lantai sebuah bilik dengan wanita itu seolah-olah dalam keadaan rela aksi lucahnya dirakam.

Wanita itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di kawasan berhampiran manakala teman lelakinya bekerja sebagai buruh binaan sudah menjalinkan hubungan sejak beberapa tahun lalu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Bakar, 45, berkata dia menerima rakaman klip video itu dua minggu lalu daripada seorang lelaki yang juga berasal dari Lombok.

“Saya memang kenal dengannya kerana kebetulan rumah saya dengan rumah lelaki itu tidak berapa jauh.

“Apabila melihat rakaman itu, saya terkejut kerana mengenali wanita itu kerana dia menyewa berhampiran dengan rumah saya. Kawan-kawan wanita itu memanggilnya dengan panggilan Wendy atau Shely manakala lelaki itu dikenali sebagai Kawok,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Bakar yang juga pesara kerajaan berkata, beliau tidak tahu tujuan sebenar rakaman aksi lucah itu sama ada untuk koleksi peribadi sebelum disebarkan pihak tertentu atau sebagai ‘promosi diri’ masing-masing.

“Berdasarkan rakaman menunjukkan wanita itu seolah-olah dalam keadaan rela aksi lucahnya dirakam dan seperti sengaja berlakon di depan kamera.

“Lebih terkejut apabila saya diberitahu ada warga emas tempatan yang ingin mengambil wanita ini sebagai isteri keduanya.

“Setakat ini, belum ada pihak membuat laporan polis berhubung penyebaran aksi lucah itu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ketika dihubungi mengesahkan hingga kini belum ada laporan dibuat berhubung penyebaran klip video lucah berkenaan.

Ajal OKU

MELAKA: Seorang penganggur orang kurang upaya (OKU) maut apabila motosikal ditunggangi bergesel sebuah kereta yang gagal memotong sebuah lori di hadapannya dalam kemalangan berdepan simpang masuk ke Kampung Tanah Merah, Krubong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Khairul Anuar Tumpang, 38, dari Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah yang menunggang motosikal jenis Suzuki Best mati serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Sumber berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa seorang diri dalam perjalanan menghala ke Durian Tunggal, manakala kereta dipandu seorang lelaki berusia 83 tahun dari arah bertentangan.

Menurutnya, kereta terbabit cuba memotong sebuah lori di hadapan, tetapi tidak sempat menyebabkannya bergesel motosikal mangsa.

“Akibat itu, motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang di bahu kiri jalan menyebabkannya mati serta-merta akibat parah,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Kling mengesahkan menerima laporan kemalangan, berkata siasatan mendapati motosikal mangsa bergesel sebuah kereta menyebabkannya terbabas.

Menurutnya, pihaknya mengambil keterangan pemandu kereta berkenaan, dan siasatan kes akan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu hingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik IPD Melaka Tengah di talian 06-2834139 untuk membantu siasatan.

Anak muram rupanya dicabul

AMPANG: Hairan melihat anaknya sentiasa muram dan enggan ke sekolah membuatkan hati seorang ibu tertanya-tanya sebelum dia terkejut apabila mengetahui kanak-kanak perempuan itu menjadi mangsa cabul pemandu van sekolah.
‘Rahsia’ terbabit terbongkar kelmarin apabila ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu bertanyakan anaknya mengapa dia sering muram dan berat hati setiap kali hari persekolahan tiba.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, kanak-kanak terbabit yang bersekolah di sebuah tabika di Ampang menjadi mangsa cabul apabila kemaluannya diraba pemandu van hujung Jun lalu.

“Bagaimanapun, mangsa takut menceritakan kejadian berkenaan dan memendam rasa sebelum ibunya bertanyakan kepadanya.

“Selepas hampir sebulan, kanak-kanak berkenaan menceritakan dia takut ke sekolah kerana pemandu van meraba kemaluannya,” katanya.

Menurut Abd Jalil, ibu kanak-kanak berkenaan terkejut apabila mendengar cerita itu sebelum dia membuat laporan polis, Sabtu lalu.

“Kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan ibu mangsa, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu van sekolah terbabit bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu yang berusia 20-an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di rumahnya di kawasan Ampang dan kami akan mendapatkan perintah untuk menahan reman.

“Ketika ditahan lelaki terbabit tidak melawan dan memberikan kerjasama dan polis turut merampas van yang digunakannya,” katanya.

Wang tunai RM22.4j ditemui di kediaman raja dadah

MEXICO CITY: Pihak polis dan tentera Mexico yang menyerbu kediaman raja dadah yang mati dalam insiden berbalas tembakan menemui wang tunai AS$7 juta (RM22.4 juta) lapor pihak pendakwa raya persekutuan, semalam.
Menurut kenyataan pejabat peguam negara, tentera turut menemui barang kemas, jam tangan mahal, pistol, dua bom tangan dan tiga kereta mewah di kediaman Ignacio “Nacho” Coronel yang terbunuh, kelmarin. Coronel yang menembak mati seorang tentera dan mencederakan yang lain terbunuh di kediamannya di pinggir bandar Guadalajara itu. Pembantu kanannya, Francisco Quinones turut ditahan.
Coronel adalah orang ketiga terpenting dalam sindiket dadah Sinaloa yang dipimpin Joaquin “El Chapo” Guzman. - AP

Setahun didera isteri

ARROU (Perancis): Seorang lelaki masih menjalani proses pemulihan di hospital, semalam, selepas dikurung isterinya dalam bilik membasuh pakaian setahun lalu.
Polis separa tentera Perancis membebaskan lelaki terbabit dari sebuah rumah di Arrou, tenggara Paris, pada Khamis.
Ketika ditemui, lelaki tidak didedahkan identitinya itu ditutup matanya, tidak cukup makanan dan didera secara fizikal.

Sumber berkata, lelaki itu kini sedar dan waras tetapi masih enggan bercakap kepada sesiapa.

Selain isterinya sendiri, lelaki terbabit juga menjadi mangsa penderaan kekasih wanita itu dan anak lelakinya.

Menurut sumber, mangsa hanya diberi makan - biasanya cuma roti yang tamat tempoh guna - dua kali sehari.

Isteri mangsa berusia 45 tahun kini dipenjara sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan mendera, mengurung dan mengambil kesempatan atas lelaki uzur.

Kekasih wanita itu serta anaknya pula dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa menculik dan gagal melaporkan penderaan kepada pihak berkuasa.

Penyiasat mengesyaki wang adalah motif utama keluarga lelaki terbabit mengurungnya.

Siasatan awal menunjukkan, kira-kira RM2 juta wang simpanannya di bank dikeluarkan sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan pendakwa, Fanny Floquet, berkata ketika polis tiba di rumah mangsa, wanita terbabit mendakwa lelaki itu berada di luar negara.
“Akhirnya polis dibawa ke sebuah bilik terpencil dan membuka kuncinya untuk membolehkan mangsa dibawa keluar,” katanya.

Penderaan itu didedahkan seorang daripada anak wanita terbabit secara tidak sengaja.

Budak itu mendakwa, ada ‘seorang lelaki tua pengotor’ di rumahnya yang sering mencuri makanan’ dan dibenci ibunya. - AFP

2 wartawan maut sebelum sempat buat tugasan

TOKYO: Dua wartawan Jepun yang dilaporkan hilang ditemui mati berhampiran tempat kemalangan helikopter yang sepatutnya menjadi bahan laporan mereka, semalam.
Wartawan Nippon Television, Yuji Kita dan jurukamera Jun Kawakami dalam perjalanan membuat liputan kemalangan helikopter di kawasan pergunungan Chichibu.
Kemalangan itu menyebabkan lima orang maut.

Wartawan lelaki terbabit ditemui terapung dalam tasik di kawasan lembah, kira-kira 300 meter di bawah laluan lereng gurung.

Mereka memulakan perjalanan ke lokasi kemalangan pagi kelmarin tetapi tidak pulang semula seperti sepatutnya pada petang hari itu. - AP

Pakistan banjir: 1,100 maut

PESHAWAR: Penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan lebih 27,000 orang yang masih terperangkap akibat banjir besar di wilayah Khyber-Pakhtoonkhwa yang setakat ini mengorbankan lebih 1,100 orang serta memusnahkan ribuan rumah.
Operasi itu menjadi sedikit mudah apabila hujan monsun yang menyebabkan banjir terburuk dalam tempoh berdekad-dekad di situ berkurangan.
Bagaimanapun, ketika air semakin surut, barulah pasukan penyelamat menyedari betapa dahsyatnya bencana itu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah, Latifur Rehman, berkata pemantauan dari udara sedang dilakukan dan banyak perkampungan lenyap dibawa arus.

“Haiwan ternakan pula lemas, manakala stor makanan dihanyutkan air,” katanya.

Ketua Unit Penyelamat Yayasan Edhi, Mujahid Khan, berkata jumlah korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,100 orang.

Katanya, kawasan paling teruk dilanda banjir adalah daerah Swat dan Shangla apabila lebih 400 orang terkorban.

Bencana itu berlaku ketika penduduk Swat masih cuba memulihkan kehidupan seharian selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera kerajaan dan pejuang Taliban, baru-baru ini.

Konflik itu menyebabkan kira-kira dua juta orang menjadi pelarian dan kini ada sejuta lagi masih tiada tempat tinggal.

Latifur Rehman berkata, kerajaan menghantar 43 helikopter tentera dan lebih 100 bot untuk menyelamatkan kira-kira 27,300 orang yang masih terperangkap.

“Sekurang-kurangnya 115 orang masih hilang di Swat dan Shangla,” katanya.
Latifur Rehman berkata, semua usaha dilakukan untuk menyelamatkan mangsa yang terputus hubungan di sesetengah kawasan.

Jurucakap tentera pula berkata, kira-kira 30,000 tentera dikerah ke kawasan bencana dan berjaya memindahkan 19,000 mangsa menjelang malam kelmarin. Walaupun begitu, sesetengah penduduk mengecam langkah kerajaan menyelamat mangsa bencana itu, semalam.

Penduduk Charsadda, Hakimullah Khan, berkata dia kehilangan anggota keluarganya.

“Hingga kini saya tak tahu di mana mereka dan penyelamat tidak membantu saya mencari,” katanya. Sehar Ali Shah pula berkata, walaupun bersyukur diselamatkan, dia kecewa kerana tidak disediakan tempat berlindung sementara menunggu air surut.

24 terperangkap dalam lombong arang batu

BEIJING: Anggota penyelamat terpaksa mengerah tenaga bagi segera menyelamatkan 24 mangsa yang terperangkap dalam terowong lombong arang batu di Jixi, Heilongjiang, lapor media semalam.
Gabenor wilayah itu, Li Zhanshu, bertemu dengan pekerja industri dan penyelamat untuk mengarahkan operasi dipercepatkan.
Antara langkah utama dibuat adalah mengepam keluar air yang memenuhi terowong berkenaan.

Lombong Hengxinyuan itu dijadual ditutup akhir tahun ini dan tidak dapat dipastikan sama ada mangsa terbabit adalah pelombong atau pekerja yang menguruskan penutupan berkenaan.

Kejadian itu adalah kemalangan besar kedua membabitkan lombong arang batu di China selepas 17 orang maut dan 68 cedera dalam letupan di Linfen, utara Shanxi, baru-baru ini.

Letupan awal pagi kelmarin itu memusnahkan lebih 10 asrama pekerja Lombong Arang Batu Liugou berhampiran Linfen.

Angka rasmi menunjukkan, tahun lalu saja seramai 2,631 pelombong terbunuh di China. - AFP

Polis bebaskan 2 wartawan diculik kartel dadah

MEXICO CITY: Polis semalam menyelamatkan dua wartawan diculik kartel dadah Pacifico beberapa hari lalu dalam usaha penjenayah terbabit memaksa stesen televisyen menayangkan rakaman video mengaitkan kerajaan negeri Durango dengan kumpulan pesaing mereka.
Setiausaha Keselamatan Awam, Garcia Luna, berkata wartawan terbabit diselamatkan polis dari sebuah rumah.
“Polis tidak melepaskan sebarang tembakan ketika operasi itu tetapi semua penculik sempat melarikan diri,” katanya.

Kumpulan penjenayah itu menuntut stesen televisyen menyiarkan satu rakaman video yang didakwa boleh membuktikan pembabitan kerajaan Durango dengan pesaing Pacifico, Zetas, yang ditubuhkan bekas orang kanan ketua Pacifico. - AFP

Iran ikrar hapus Israel

TEHERAN: Ahli Parlimen Iran berkata sekiranya Israel mencari masalah dengan Iran, mereka tidak akan teragak-agak untuk melenyapkan Israel dari dunia ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Polisi Luar, Ismail Kosari membuat keyataan itu semalam, lapor agensi berita Irna.
Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) adalah penyokong kuat regim Zionis dan Tel Aviv tidak akan mampu bertindak tanpa sokongan AS. Beliau juga menekankan Israel hanya berani membuat ancaman terhadap Iran dengan sokongan AS. Menurutnya, regim Zionis sedia maklum jika mereka bertindak sendirian menentang Iran mereka akan menyesali tindakan itu.

Ismail berkata, Iran tidak akan berdiam diri dengan perang psikologi Israel dan akan bertindak lebih kasar sekiranya Tel Aviv berani merealisasikan ancamannya. Beliau turut mempertikaikan agenda AS-Israel yang cuba campur tangan dalam isu perairan antarabangsa Iran. Kenyataan Ismail dibuat ekoran sokongan ahli Kongres AS terhadap Israel untuk menyerang Iran. Kedua-dua negara itu berterusan menyelar Iran sebagai cubaan mengalihkan perhatian dunia yang mahu Israel mengesahkan isu berhubung penghasilan 200 peluru berpandu nuklear. Beberapa ahli Parlimen lain turut menyokong kenyataan Ismail mengenai ancaman Israel terhadap Iran. - Agensi

Kakakku penyelamat


SEDIH...Nurdhaniyah menangis di samping dua adiknya akibat rumahnya  di tingkat 4 , Pangsapuri Taman Melati terbakar, semalam.
SEDIH...Nurdhaniyah menangis di samping dua adiknya akibat rumahnya di tingkat 4 , Pangsapuri Taman Melati terbakar, semalam.

KUALA LUMPUR: Bau asap kuat menyedarkan seorang pelajar yang ketika itu sedang mengulangkaji pelajaran sebelum dia dengan pantas menarik dua adiknya keluar selepas rumah mereka di tingkat 4, Blok B, Pangsapuri Taman Melati, Jalan Melati, di sini, terbakar, semalam.
RENTUNG...keadaan rumah mangsa selepas kebakaran.
RENTUNG...keadaan rumah mangsa selepas kebakaran.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pelajar terbabit, Nurdhaniyah Shamsu Shuhaimi, 17, bertindak pantas membawa dua adiknya Mohd Fikri, 12, dan Mohd Farid, 5, yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu rumah mereka.

Tindakan pantas remaja terbabit yang tidak panik menyelamatkan nyawa mereka ketika api marak dipercayai bermula dari sebuah bilik.

Ketika kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus kediaman itu, bapa mereka tiada di rumah kerana mempunyai urusan kerja di Rembau, Negeri Sembilan manakala ibu mereka, Amirah Saadullah, 43, yang bekerja sebagai pemandu teksi juga tidak berada di rumah ketika itu.

Akibatnya, mereka tinggal sehelai sepinggang termasuk semua buku digunakan untuk persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang hangus sama sekali dalam kebakaran itu.

Difahamkan, ketika itu Nurdhaniyah sempat membuka pintu hadapan sebelum api marak dan dia dengan pantas menarik keluar dua adiknya dan mujur pintu jeriji tidak dikunci membuatkan dia sempat bertindak.
Nurdhaniyah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Maju Seksyen 2 akan menduduki peperiksaan SPM beberapa bulan lagi dan dia yang trauma dan terlalu sedih dengan kejadian itu terpaksa ditenangkan beberapa penduduk selepas dilihat menangis teresak-esak.

Namun, tindakan pantas dan beraninya itu mendapat pujian penduduk berikutan dia berjaya menyelamatkan dua adiknya walaupun api marak ketika itu.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail, berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Menurutnya, bomba menerima panggilan jam 3.14 petang dan tiga jentera dari Wangsa Maju, Setapak dan Gombak Selatan bergegas ke lokasi kebakaran.

“Ketika sampai, api sedang marak di tingkat empat dan beberapa penghuni yang berada di tingkat lima pangsapuri itu terperangkap kerana asap tebal.

“Bagaimanapun, kami berjaya menyelamatkan mereka dan membawa turun mangsa yang terperangkap itu tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Nyaris buta dek hutang RM25

GUA MUSANG: Gara-gara menuntut hutang berjumlah RM25, seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, nyaris buta mata kanan akibat dihentak dengan kaki meja oleh rakannya dalam kejadian tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam, Mohd Afiq Yahya, 16, lebam dan cedera pada mata menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa tidur di asrama sebelum didatangi pelajar terbabit yang dikatakan tidak puas hati kerana diminta membayar hutang pada petang sebelum kejadian.

Menurut Mohd Afiq, rakannya itu datang seorang diri dengan menutup kepala menggunakan kain putih sebelum menghentak kepalanya menggunakan kayu kaki meja.

Katanya, ketika kejadian dia baru melelapkan mata dan langsung tidak mengesyaki pelajar terbabit akan menyerangnya.

“Saya bangun untuk melawan, tetapi tidak terdaya apabila beberapa kali muka saya dihentak dengan kayu berkenaan.
“Kejadian itu juga berlaku dalam gelap kerana lampu asrama dipadamkan pada jam 11 malam. Dia yang tinggal dalam bilik asrama berasingan mengambil kesempatan membalas dendam apabila saya memintanya membayar hutang RM25,” katanya ketika ditemui di HGM, semalam.

Selain itu, Mohd Afiq berkata, dalam keadaan kelam-kabut dia sempat mengejar penyerangnya hingga ke tangga bawah bangunan, namun terpaksa berhenti di situ apabila mula terasa sakit dan pening akibat hentakan itu.
Katanya, hentakan itu amat kuat sehingga menyebabkan kayu kaki meja itu terpatah dua.

“Memang kuat hentakan kayu itu kerana ia patah dua, selain lengan dan jari saya luka kecil terkena besi katil ketika cuba menahan daripada terus dipukulnya.

“Berikutan itu, saya melaporkan kepada warden sebelum dibawa ke HGM untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohd Afiq berkata, pada petang sebelum kejadian, dia meminta pelajar terbabit membayar kembali wang yang dipinjamkan sejak beberapa bulan lalu kerana dia sendiri sedang kesempitan bagi menampung perbelanjaan harian.

Katanya, dia meminjamkan wang itu memandangkan rakannya memerlukan duit selepas menjadi mangsa curi.

“Saya ingin membantunya, tetapi apabila minta dibayar semula, dia memberi balasan begini pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian itu dan seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan untuk disoal siasat.

Kotor, menjijikkan




KUALA TERENGGANU – Kotor dan menjijikkan. Itulah gambaran mengenai tahap kebersihan di kawasan Flat Batas Baru, di sini, apabila pekarangannya dipenuhi sampah-sarap merata tempat selain sistem saluran air yang rosak dibiarkan tanpa sebarang tindakan. 

Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu mendapati, suasana itu bukan sahaja menimbulkan keadaan tidak selesa kepada penghuni flat, sebaliknya ia turut mengeluarkan bau busuk, selain boleh menyebabkan tercetusnya pelbagai wabak penyakit. 

Menurut seorang penghuni flat yang hanya mahu dikenal Che Man, 40, masalah kebocoran saluran air bukan perkara baru yang membelenggu penghuni di situ, sebaliknya ia sudah lama berlaku sehingga menimbulkan suasana tidak selesa. 

“Kebocoran saluran air itu menyebabkan permukaan lantai yang sepatutnya boleh dijadikan tempat kanak-kanak bermain berlumut apabila air dari rumah penghuni flat membasahi permukaan tersebut.

Rumah urut diserbu




SEREMBAN – Seramai sembilan tukang urut wanita warga asing ditahan polis selepas didapati bersalah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di sebuah pusat urutan tradisional di Taman Dato’ Raja Hanifah, Jalan Rasah, dekat sini, petang kelmarin. 

Semua wanita berumur lingkungan 29 hingga 42 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri, jam 3.10 petang. 

Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 25 tahun yang dipercayai menguruskan pusat berkenaan turut ditahan. 

Ketua operasi, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, serbuan ke atas premis itu dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai dan risikan polis.

Denda RM500,000 jika tipu sijil dan logo halal



KUALA LUMPUR - Pengusaha restoran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati melakukan penipuan dalam sijil dan logo halal.

Syarikat pula berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM1juta, atau kedua-duanya sekali, jika melakukan perbuatan yang sama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Parlimen meluluskan pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972.

"Kementerian sedang dalam proses membuat pindaan ke atas Akta Perihal Dagangan 1972, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi selepas kementerian membentangkan akta ini, yang kita jangka akan dibuat pada sesi Oktober yang akan datang ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 di Dewan Negara hari ini.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi pesalah individu, manakala syarikat pula berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Buru dua warga Myanmar




SERI MANJUNG – Polis Daerah Manjung meneruskan usaha mengesan dua pekerja asing yang dipercayai mempunyai kaitan pembunuhan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Lim Ting Peng, 49, awal pagi kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, ini berikutan polis menemui telefon bimbit dipercayai milik seorang pekerja warganegara Myanmar itu di ladang ayam milik mangsa. 

Katanya, hasil daripada pemeriksaan pada telefon bimbit itu, polis mengesan beberapa panggilan dibuat daripada Pantai Remis pada malam kejadian. 

Menurut beliau, polis turut menjumpai sebatang kayu penukul mempunyai kesan darah yang dipercayai dijadikan senjata untuk memukul mangsa. 

“Ini adalah berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh terhadap mayat mangsa, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian belakang kepala mangsa dipercayai dipukul menggunakan benda tumpul. 

“Pihak kami juga masih menjalankan siasatan berkenaan motif pembunuhan Ahli Majlis MPM kerana hasil siasatan pihak kami mendapati mangsa tidak mempunyai hutang dan masalah terhadap sesiapa pun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam. 

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah perigi tidak jauh dari ladang ternakan ayamnya di Changkat Keruing, Ayer Tawar dekat sini, oleh ahli keluarganya yang turut mencari selepas mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan. 

Dalam perkembangan sama, kata Mohd Jamil, pihaknya telah menjumpai kereta milik mangsa di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 9 pagi semalam. 

Kata beliau, anggotanya yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu menjumpai kereta mangsa dalam semak dekat Sungai Batu, di sini.

Nilai rampasan RM1.6j sebulan



RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am Batalion 7 (PGA7), mencapai matlamat, dengan mencatatkan hasil rampasan sebanyak RM1,572,245.50 bermula 1 Julai sehingga 31 Julai tahun ini. 

Komander Bridge Tenggara, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, ia melibatkan rampasan seperti kes veterinar, kes kawalan padi dan beras, kes rampasan kastam, dan kes polis. 

“Terbaru, rampasan pil kuda, mercun dan bunga api adalah rampasan yang cukup banyak, mencecah sehingga RM95,790. 

“Kes veterinar masih lagi mencatatkan rampasan terbesar dengan nilai sebanyak RM789,000 berupa binatang ternakan seperti lembu, kambing dan anjing peliharaan,” katanya kepada Sinar Harian, selepas menyaksikan serah tugas oleh PGA7 kepada PGA8, di Markas Taktikal Lubok Setol, semalam. 

Beliau berkata, seorang lelaki dari negara jiran turut ditangkap kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM24,000 tanpa mengisytiharkannya terlebih dahulu. 

Ini berkemungkinan katanya, suspek tidak mahu mengisytiharkan wangnya bagi mengelakkan cukai, dan itu merupakan tangkapan kedua pihak PGA7 dalam tahun ini. 

Abdul Rahman berkata, rampasan seperti kain tudung dan kain ela dari sempadan turut dibawa masuk menjelang musim perayaan dan mencecah sehingga RM420,202. 

“Dalam operasi bersepadu bersama pasukan Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK), kami berjaya merampas barangan kawalan bernilai hampir RM6,000,” katanya. 

Menurutnya, operasi secara berterusan dijalankan bagi membanteras penyeludupan lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan kelak.

Anggota polis bermasalah dikesan antara empat suspek samun: Khalid




PETALING JAYA – Empat lelaki ditahan termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel, selepas dikesan terlibat dalam beberapa kes samun berkumpulan di sekitar Lembah Klang dipercayai sejak tiga tahun lalu. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek ditahan Khamis lalu, selepas polis menyerbu rumah sewa mereka di kawasan Gombak. 

Beliau berkata, susulan penahanan itu, pihaknya bertindak menggantung kerja anggota berumur 27 tahun itu, sehingga proses siasatan selesai. 

“Anggota itu dan tiga lagi rakannya berusia lingkungan 20-an sedang menjalani proses reman di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata. 

“Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang peralatan atau hasil kegiatan samun yang dilakukan suspek dalam serbuan di premis terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bandar Utama di sini, kelmarin. 

Menurutnya, siasatan menjurus pelbagai aspek bagi mengumpul maklumat terperinci berhubung kes. 

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, anggota itu juga mempunyai masalah disiplin dan gagal menjalankan tugas sejak menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira tiga tahun lalu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid memberitahu bahawa kewujudan balai polis serta pondok polis di tujuh daerah hotspot di Selangor bagi tempoh tahun ini, menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 12 peratus kadar indeks jenayah di seluruh negeri ini dapat diturunkan.

Dua lelaki menyamar wartawan Sinar Harian



JENGKA - Sinar Harian Edisi Pahang semalam membuat laporan polis ke atas dua individu yang disyaki menyamar sebagai wartawan akhbar ini pada satu majlis di Jengka 7, di sini. 

Taktik penyamaran itu terbongkar apabila Skuad Sinar Harian Jengka, Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad yang dijemput ke majlis itu terkejut setelah mendapati terdapat dua nama yang tertulis 'wakil :Sinar Harian: Bera' dalam buku pendaftaran media. 

Ragu dengan dua nama tersebut, skuad itu terus bertanya kepada urus setia untuk mendapatkan kepastian. 

Pihak penganjur kemudian memaklumkan dua lelaki telah mendaftarkan diri serta mengaku sebagai wartawan :Sinar Harian:. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, Tuan Suhaila bertindak menyiasat dengan mencari dua lelaki itu di majlis tersebut dan berjaya menemui mereka dengan 'membuat liputan' dengan topi serta menggunakan buku :Sinar Harian:. 

"Saya terus menghampiri lelaki berusia lingkungan 50-an itu dan bertanyakan sama ada betul dia wartawan: Sinar Harian: Bera. Lelaki berkenaan mengaku wartawan Skuad Bera sedangkan syarikat tidak meletakkan staf baru di kawasan itu. 

"Saya cuba menasihatkan supaya tidak membuat penyamaran seperti itu kerana hanya ada seorang skuad sahaja di setiap daerah kerana Skuad Bera ketika ini ialah Azizah Shafie," katanya. 

Tuan Suhaila berkata, setakat ini :Sinar Harian: tidak pernah melantik mana-mana wakil selain daripada kakitangan yang sah untuk berkhidmat di satu-satu daerah. 

Tuan Nur Suhaila berkata, bimbang reputasi dan nama :Sinar Harian: tercemar, beliau mendapatkan nasihat daripada pengurusan tertinggi dan diminta membuat laporan polis. 

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran petang semalam bertujuan untuk mengelakkan mana-mana individu terus menyamar dan mengeksploitasi Sinar Harian.

Gereja rancang 'Hari Bakar al-Quran'



NEW YORK - Sebuah gereja di Gainsville, Florida merancang untuk menganjurkan upacara ’Hari Membakar al-Quran’ sempena ulang tahun ke-9 serangan 11 September 2001. 

Promosi upacara itu turut dimuat turun ke dalam laman sosial Facebook dan menjemput penganut Kristian untuk bersama-sama memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian 11 September lalu. 

Paderi Terry Jones menulis sebuah buku bertajuk :Islam is of the Devil: yang memburuk-burukkan agama Islam dan turut disiarkan di dalam laman sosial Youtube. 

Konsul Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengumumkan, kempen itu akan memberikan 100,000 salinan al-Quran kepada seluruh penduduk dan pemimpin kebangsaan negara itu. 

CAIR juga meminta penganut agama Islam untuk mengadakan majlis makan malam "berkongsi al-Quran" sepanjang Ramadhan bermula pada bulan ini. 

Persatuan Kebangsaan Agama Kristian (NAE) mendesak gereja itu untuk membatalkan upacara tersebut kerana ia boleh menimbulkan ketegangan di antara kedua-dua agama tersebut. 

NAE turut meminta penganutnya untuk mempercayai dan menghormati serta tidak merendahkan martabat penganut agama lain.

Mayat kerani sekolah ditemui terikat di rumahnya



KUALA PILAH  - Seorang Pembantu Am Rendah ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangannya terikat sementara mulutnya ditutup dengan kain di rumahnya di Jalan Sungai Dua, di sini, pagi ini.

Mangsa yang dikenali Nooriza Baharin, 48, ditemui oleh rakan setugasnya kira-kira jam 10 45 pagi dan ketika ditemui mayatnya telah berbau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh berkata, rakannya mangsa bertindak ke rumah berikutan mangsa tidak datang berkerja di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua hari ini.

Menurutnya, sebaik mendapat maklumat dari rakan mangsa, sepasukan anggota polis telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mayat mangsa ditemui dengan kaki dan tangannya terikat, manakala mulutnya ditutup dengan kain.

"Siasatan awal juga mendapat terdapat kecederaan di kening dan belakang kepala mangsa dipercayai dipukul dengan benda keras,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zaki berkata, setakat ini polis percaya motif kes adalah samun kerana pagar di belakang rumah mangsa juga terdapat kesan dipotong.

"Kita dapati telefon bimbit mangsa hilang. Rumah mangsa didapati diselongkar dan saya percaya ada barang yang hilang.

“Mangsa masih bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut, dan kali  terakhir mangsa datang bertugas ialah Jumaat lalu,” katanya.

Zaki berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Gempar mayat dalam kereta




SUBANG JAYA – Pekerja kilang di Taman Perindustrian Subang UEP di sini semalam gempar apabila menjumpai mayat lelaki dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan TP 7 dekat sini . 

Difahamkan, mangsa seorang penyelia sebuah syarikat pengangkutan dipercayai mati akibat serangan jantung dan dijumpai rakan sekerjanya yang kebetulan curiga melihat mangsa yang tidak keluar dari kereta sejak pagi semalam. 

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Imran berkata, mangsa Abdul Sani Abdul Rahman, 45, bekerja syif petang sebelum menghabiskan kerja dan pulang ke rumah kira-kira jam 8.45 malam, kelmarin. 

“Pagi tadi (semalam) kira-kira jam 8.30 pagi, ketika melalui jalan ini, saya ternampak dia di dalam kereta sedang tidur namun mengambil keputusan tidak mahu mengganggunya kerana dia juga bercuti dan tidak bekerja hari ini. 

“Namun sehingga jam 2 petang, saya dapati dia masih dalam keadaan tidur sebelum cuba mengetuk cermin kereta dan menghubungi telefon bimbitnya sebanyak beberapa kali namun dia tidak bangun dan menjawabnya,”katanya. 

Imran berkata, bimbang sesuatu yang buruk, dia kemudian memanggil rakan-rakan di tempatnya bekerja yang terletak kurang 50 meter dari tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku. 

“Kami cuba memanggilnya dari luar kereta namun dia tidak bangun atau memberi sebarang reaksi. 

“Merasakan sesuatu yang tidak kena, saya kemudian menghubungi polis yang kemudian tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas itu,”katanya.

Ariel perlu kahwini Luna Maya, Cut Tari


JAKARTA - Seorang peguam terkenal di Indonesia, Farhat Abbas menganggap penyanyi Peterpan, Ariel perlu berkahwin dengan pengacara Luna Maya dan Cut Tari selepas skandal klip video seks mereka terbongkar, lapor sebuah akhbar semalam.
"Menurut pendapat saya, jika Ariel, Luna Maya dan Cut Tari mahu meringankan hukuman, Ariel harus menikahi Luna Maya.
"Cut Tari harus bercerai dengan suaminya, kemudian mengikut langkah Luna Maya untuk menikah dengan Ariel," kata Farhat semasa dihubungi pemberita akhbar Detikhot.
Menurutnya, tindakan menikah dengan kedua-dua pengacara terkenal itu merupakan satu-satunya jalan yang terbaik untuk Ariel mendapat hukuman ringan selepas dia disyaki terlibat dalam kes penyebaran video seks melibatkan dua selebriti tersebut.
Setakat ini, Luna Maya, Cut Tari dan Ariel sudah disyaki sebagai suspek dalam klip video lucah.
Ariel kini ditahan di sebuah ibu pejabat polis di sini.
Sebelum ini Indonesia heboh dengan klip video melibatkan pelakon lelaki mirip Ariel yang melakukan hubungan seks dengan kekasihnya, Luna Maya dan Cut Tari iaitu bekas kekasihnya. - Agensi

Budak terperangkap lebih 10 jam dalam runtuhan kian pulih



WAJAH Imma Mauriello semasa diselamatkan.


NAPLES - Seorang budak perempuan berumur 10 tahun, Imma Mauriello yang diselamatkan dari runtuhan bangunan di selatan Itali kini semakin sembuh, kata beberapa doktor semalam.
Menurut Timbalan Pengarah Hospital Santobuono di sini, Eduardo Ruotolo, budak itu terperangkap selama lebih 10 jam sebelum diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat kelmarin.
Dalam runtuhan apartmen itu, neneknya dan dua orang lagi terbunuh.
Beberapa pemeriksaan perubatan menunjukkan gadis itu berada dalam keadaan baik dan kini dirawat kerana kecederaan di kaki.
Menurut beberapa doktor, dia akan dibenarkan keluar dalam tempoh 30 hari.
Gadis itu dikeluarkan dari runtuhan bangunan setinggi dua tingkat di bandar Afragola dekat sini.
Datuk Bandar Afragola, Vincenzo Nespoli berkata, struktur bangunan yang dibina pada 1940-an itu rosak sekali gus menyebabkan ia runtuh. - dpa

Pantai Batu Feringghi diserbu



SEBUAH pondok urut dan rawatan refleksologi ditutup selepas pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu membanteras aktiviti pantai tanpa lesen di sepanjang pantai Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam.


PULAU PINANG - Tidak seperti hari minggu sebelumnya, Pantai Batu Feringghi di sini yang biasanya sibuk dengan aktiviti air serta khidmat urut refleksologi kini tinggal sepi.
Deretan khemah-khemah kayu yang menawarkan khidmat menyewa skuter air, banana boat, luncur kanopi dan pusat menunggang kuda seolah-olah sudah tidak bertuan kerana bertutup serta berkunci.
Semuanya berikutan tindakan bersepadu pihak berkuasa seperti polis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam yang melancarkan operasi bersepadu mengekang kegiatan haram itu sejak Jumaat lalu.
Turut serta dalam operasi tersebut ialah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.
Operasi selama 24 jam itu bagaimanapun lebih menyasarkan untuk memastikan kelancaran lalu lintas yang kerap menimbulkan masalah kepada orang ramai dengan kewujudan gerai-gerai tanpa lesen termasuk kegiatan operator pantai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika ditemui berkata, operasi seperti itu akan terus dijalankan dan diperhebatkan dari semasa ke semasa.
"Ia bukan untuk menghukum atau menahan peniaga, tetapi satu cara memastikan aktiviti pantai tanpa lesen ini dikawal, begitu juga dengan kegiatan haram seperti penjualan cakera video digital (DVD) dan barang-barang tiruan.
"Agensi-agensi yang terbabit pula akan memainkan peranan bagi menjaga imej kawasan ini sebagai kawasan tumpuan pelancong," ujarnya.

Rumah terbakar kerana sabun




NORAINI (kanan) bersama Mariam melihat rumahnya yang hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Pauh, Padang Tengah, Pasir Mas semalam.



PASIR MAS – Seorang suri rumah menyesal tak sudah apabila tindakannya pergi semula ke kedai untuk mengambil sabun yang tertinggal menyebabkan rumah pusaka yang telah didiami lebih 13 tahun hangus dalam kebakaran semalam.
Kejadian pukul 1.35 petang di Kampung Pauh, Padang Tengah di sini itu berlaku apabila Noraini Ibrahim, 39, meninggalkan rumahnya seketika untuk pergi ke sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.
Menurut Noraini, sebelum itu, dia telah pergi ke kedai berkenaan untuk membeli barangan dapur tetapi apabila sampai di rumah dia mendapati sabun yang dibeli telah tertinggal lalu mengambil keputusan untuk mengambilnya semula.
“Selepas mengambil sabun itu, saya segera pulang ke rumah tetapi apabila hendak sampai, saya terkejut dan hampir pengsan mendapati rumah saya telah terbakar.
“Saya begitu menyesal keluar ketika itu walaupun saya hanya meninggalkan rumah kira-kira 10 minit sahaja,” ceritanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, ibu Noraini, Mariam Deraman, 64, berkata, semasa kejadian itu dia berada di rumah seorang lagi anaknya yang terletak bersebelahan rumah Noraini.
Katanya, ketika kejadian, dia terdengar bunyi letupan kecil.
“Bila saya keluar, api begitu marak dan saya hanya teringatkan dua cucu saya masing-masing berusia enam tahun yang berada di dalam rumah itu.
"Saya kemudian terus bergegas ke rumah itu dan terus menyelamatkan mereka ketika sedang bermain di hadapan rumah," ujarnya.

Ahli majlis mati dihentak benda keras





Ling Mooi Kooi (kiri) hadir bersama anaknya, Toomy Lim di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menuntut mayat Lim Ting Peng di Ipoh, semalam.


IPOH 1 Ogos - Hasil bedah siasat terhadap mayat Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Lim Ting Peng yang dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam perigi semalam mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras di belakang kepalanya.
Malah, pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan kejam ke atas Ketua MCA cawangan Changkat Keruing itu turut menemui batang tukul besi di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa itu.
"Polis juga tidak menolak kemungkinan batang tukul besi yang ditemui itu digunakan dalam pembunuhan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Ting Peng, 49, ditemui mati dibunuh di dalam perigi di ladang ternakan ayam miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing, Manjung.
Mayat mangsa ditemui anak lelakinya, Tommy Lim, 18, yang turut serta dalam operasi mencari bapanya yang hilang.
Sebelum itu, mangsa yang memandu sendirian keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang kelmarin untuk bertemu dengan dua pekerja warga Myanmar di ladang ternakan ayam tersebut.
Sementara itu, Mohd. Jamil berkata, kenderaan mangsa iaitu Nissan Frontier telah ditemui kira-kira pukul 9 pagi ini di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan polis, kita menemui sebuah telefon bimbit, dipercayai milik salah seorang pekerja mangsa yang sehingga kini menghilangkan diri.
"Kita dapati beberapa panggilan telah dibuat oleh pemilik telefon itu di sekitar kawasan Pantai Remis," ujar beliau.
Pihak polis juga, katanya, menemui beberapa kesan cap jari tetapi belum dapat disahkan pemiliknya di dalam kenderaan mangsa.
Sehingga kini, Mohd. Jamil berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan tersebut dan usaha untuk menjejaki kedua-dua pekerja mangsa bagi membantu siasatan giat dijalankan.

1,490 dipenjara di luar negara





KUALA LUMPUR 1 Ogos - Seramai 1,490 rakyat negara ini sedang menjalani hukuman penjara di pelbagai negara dengan hampir separuh daripadanya kerana kesalahan mengedar dadah.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, ia diikuti dua kesalahan lain iaitu pemalsuan kad kredit dan pemerdagangan manusia.
"Rakyat kita yang ditahan di luar negara kebanyakannya golongan belia antara usia 20 tahun dan 40 tahun.
"Kes-kes jenayah ini pula meningkat dari hari ke hari dan beberapa dalang utama dalam sindiket jenayah itu sanggup lakukan pelbagai taktik termasuk memperalatkan orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Khidmat Mesra Rakyat Malaysia anjuran Kelab Golongan OKU di sini hari ini.
Kohilan Pillay berkata, di Thailand sahaja terdapat 80 rakyat Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan dadah.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah.
"Ada remaja yang memilih jalan salah dalam meneruskan kehidupan masing-masing selepas tamat persekolahan.
"Ini yang mengakibatkan mereka menjalankan kegiatan jenayah 'bertaraf antarabangsa' dan mencemarkan nama baik negara," katanya.

Dua pekerja Bangladesh mati tertimbus



Inilah lubang di mana dua warga Bangladesh mati tertimbus ketika kerja menggali di tapak loji kumbahan di Taman Sena Fasa 2, Poko Sena, semalam.


POKOK SENA 1 Ogos - Dua pekerja warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan, maut selepas tertimbus di tapak pembinaan loji kumbahan di kawasan pembinaan Taman Bandar Baru Fasa 2 di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya tertimbus apabila tebing sedalam kira-kira tujuh meter runtuh ketika mereka sedang berkerja di tapak tersebut pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berusia 30-an sedang memasang saluran paip sambil dibantu dua lagi rakan mereka.
Katanya, tiga orang termasuk dua mangsa yang maut itu berada di bawah tapak pembinaan loji berkenaan manakala seorang lagi berada di bahagian atas apabila secara tiba-tiba, tebing tanah yang sedang dikorek runtuh.
"Seorang daripada pekerja yang berada dalam lubang itu sempat menyelamatkan diri dengan bantuan rakan mereka yang berada di atas. Dia mengalami kecederaan di tangan kanan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
"Namun, dua lagi pekerja tertimbus di bawah timbunan tanah. Mayat mereka juga dihantar ke HSB untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, polis bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
Beliau memberitahu, mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 5.15 petang manakala mayat mangsa kedua kira-kira 15 minit selepas itu.
"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut. Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung identiti mangsa dan punca kejadian termasuk aspek keselamatan di tapak pembinaan loji kumbahan ini," katanya.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan keempat- empat warga Bangladesh itu mula bekerja di kawasan pembinaan itu sejak empat bulan lalu dengan menyewa sebuah rumah bersama beberapa lagi rakan mereka di Kampung Kiew di sini.
Tinjauan di rumah sewa itu mendapati, seorang pekerja yang terselamat dikenali sebagai Shamsul kelihatan meraung-raung kesedihan meratapi tragedi yang meragut dua nyawa ahli keluarganya itu.
Kedua-dua mangsa yang maut dikatakan adik dan abang ipar kepada Shamsul manakala mangsa yang tercedera pula dipercayai mempunyai pertalian kekeluargaan dengannya.
Bulan lalu, kira-kira beberapa meter dari lokasi kejadian itu, Utusan Malaysia difahamkan, seorang kanak-kanak maut apabila terjatuh ke parit yang dikorek untuk memasang saluran paip ke tapak loji kumbahan itu.

Polis India tembak penunjuk perasaan di Kashmir



Seorang pemuda Kashmir dihantar ke hospital di Srinagar oleh sukarelawan dan kakitangan perubatan selepas dia cedera parah ditembak pasukan keselamatan India di Srinagar, semalam. - AFP


SRINAGAR 1 Ogos -Tiga lagi penunjuk perasaan maut hari ini setelah ditembak pasukan keselamatan, menjadikan angka korban dalam keganasan di wilayah Kashmir, India meningkat kepada lapan orang sejak tiga hari lalu.
Insiden di kota Pampore, kira-kira 13 kilometer di selatan Srinagar, berlaku selepas seorang mahasiswa berusia 17 tahun dibunuh oleh polis di sebuah stesen minyak pada 11 Jun lalu.
"Empat yang lain cedera ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah beri-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan di Pampore," kata seorang pegawai polis yang enggan dikenali.
Katanya, seorang daripada penunjuk perasaan yang cedera itu berada dalam keadaan serius.
Polis melepaskan tembakan setelah beribu-ribu penduduk Pampore menghalang jalan utama dan menyerang pihak keselamatan, katanya.
Menurut saksi, tembakan yang dilepaskan oleh polis itu menyebabkan lebih ramai lagi penunjuk perasan memenuhi jalan-jalan raya dan membaling batu ke arah anggota polis yang berkawal. - AFP

Warga Arab maut kereta rempuh papan tanda





KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tiga warga Asia Barat termasuk dua wanita maut manakala dua rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas lalu merempuh tiang papan tanda di Kilometer 5.3, Jalan Syed Putra di Lebuh Raya Persekutuan di sini, awal pagi ini.
Kemalangan dipercayai berlaku pukul 3.15 pagi, ketika kereta jenis Chevrolet Aveo dinaiki tiga lelaki dan dua wanita dari arah Jalan Klang Lama menghala ke Petaling Jaya.
Kenderaan bernombor pendaftaran WPN 3049 itu dipercayai hilang kawalan sebaik sahaja melalui selekoh persimpangan itu menyebabkan ia terbabas dan merempuh tiang papan tanda.
Difahamkan, kesemua mereka yang berusia awal 20-an itu merupakan pelajar di sebuah kolej di Damansara dan berasal dari negara Asia Barat.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, identiti sebenar kesemua mangsa masih belum dikenal pasti kerana pihaknya tidak menemui dokumen pengenalan diri di tempat kejadian.
"Dua mangsa yang maut di tempat kejadian adalah masing-masing seorang lelaki iaitu pemandu kereta itu dan wanita yang berada di tempat duduk belakang. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
"Seorang lagi mangsa wanita meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira sejam selepas tiba untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Abdullah, dua mangsa lelaki yang cedera dan dirawat di PPUM dikatakan menghilangkan diri sejurus selepas menerima rawatan.
"Kita sedang mengesan kedua-dua lelaki tersebut dan akan mendapatkan keterangan pemilik kenderaan itu yang dipercayai disewa oleh mereka bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Buang bayi: Polis awasi hospital, klinik



NIBONG TEBAL 1 Ogos - Polis kini meningkatkan pengawasan di semua klinik dan hospital sekitar Seberang Perai dalam usaha memburu individu yang meninggalkan seorang bayi perempuan di kaki lima sebuah bangunan rumah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, beberapa anggota polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan selain mendapat kerjasama daripada pihak hospital dan klinik di sekitar daerah ini.
"Kita juga akan membuat pemerhatian sekiranya ada individu yang melawat bayi berkenaan atau pihak yang mungkin boleh menyalurkan maklumat berhubung kes tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Kesedaran Jenayah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 pagi semalam, seorang peniaga menemui bayi perempuan yang baru lahir dalam keadaan berbalut plastik dan surat khabar ditinggalkan di hadapan rumah kedai itu.
Peniaga tersebut sebelum itu terdengar tangisan bayi berkenaan yang masih bertali pusat dan mukanya kebiruan akibat kesejukan. Tiada objek atau sebarang nota ditinggalkan bersama-sama bayi itu.
Shafien berkata, bayi seberat 2.58 kilogram itu masih ditempatkan di Hospital Sungai Bakap untuk pemerhatian dan dilaporkan sihat walaupun mengalami kesejukan ketika ditemui pagi semalam.
Menurut beliau, bayi itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh terdekat sebaik sahaja siasatan mengenainya selesai dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 04-5754444 atau balai-balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Rusia terus operasi padam kebakaran



Seorang anggota bomba dibantu sukarelawan menggunakan hos pili bertungkus lumus memadamkan kebakaran di kampung Lesnoye, kira-kira 130 kilometer dari Moscow, kelmarin. Seramai 238,000 anggota bomba dikerah memadamkan kebakaran hutan di 14 wilayah di Rusia dibantu oleh 226 pesawat udara . - AFP


MOSCOW 1 Ogos - Rusia meneruskan operasi besar-besaran di wilayah Timur Jauh negara ini hari ini untuk memadamkan kebakaran hutan yang sudah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa, memusnahkan beribu-ribu rumah dan melibatkan beribu-ribu pekerja kecemasan dikerahkan.
Kebakaran di wilayah yang kurang berpenduduk itu marak tiga kali lebih besar dalam tempoh 24 jam lalu, sehingga meliputi kawasan seluas 114,000 hektar, dengan semenanjung terpencil Kamchatka yang paling teruk terjejas, lapor agensi berita ITAR-TASS hari ini dengan memetik kenyataan jabatan perhutanan wilayah.
Kementerian Situasi Kecemasan semalam melaporkan, kebakaran hutan telah merebak sehingga meliputi lebih 120,000 hektar hutan di seluruh Rusia.
Ia mengerahkan hampir 240,000 pekerja kecemasan di 14 wilayah untuk menyertai operasi memadamkan kebakaran, bersama-sama 2,000 anggota pasukan bersenjata, melibatkan 25,000 kenderaan dan 226 pesawat udara.
Kementerian tersebut semalam melaporkan angka kematian berjumlah 28 orang termasuk tujuh di kawasan Moscow.
Dua lagi mayat ditemui hari ini di sebuah kampung yang musnah di wilayah Nizhny Novgorod, menjadikan angka korban yang dilaporkan meningkat kepada 33 orang termasuk tiga anggota bomba.
Presiden Rusia, Dmitry Medvedev semalam menyifatkan situasi itu sebagai 'bencana alam yang barangkali berlaku hanya sekali dalam tempoh antara 30 hingga 40 tahun'.
Perdana Menteri, Vladimir Putin pula berkata, 1,257 rumah musnah dalam kebakaran itu dan beliau berjanji semuanya akan dibina semula menjelang Oktober ini.
Kebakaran yang berpunca daripada gelombang cuaca panas terburuk di Rusia itu telah memusnahkan kawasan di tengah negara ini dan di lembangan sungai Volga, serta kawasan ke timur dan tenggara Moscow.
Suhu diramalkan mencecah 40 darjah Celsius di kawasan terlibat bagi tempoh beberapa hari akan datang, dan Kementerian Situasi Darurat memberi amaran mengenai 'risiko amat tinggi' lebih banyak kebakaran hutan akan berlaku. - AFP