KOTA KINABALU: Warganegara Malaysia yang mempunyai kereta bernombor pendaftaran negara asing perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membeli petrol RON95 di stesen minyak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kelonggaran ini dibuat kerana terdapat ramai rakyat Malaysia terutama di Johor yang bekerja di Singapura memiliki kereta bernombor pendaftaran republik itu.
"Kita tahu ada yang ramai (rakyat) mendaftar kereta mereka di Singapura, dan berulang-alik di antara Johor Bahru dan Singapura. Jadi mereka hanya perlu tunjukkan kad pengenalan di stesen minyak, kerana tujuannya adalah untuk menjual minyak RON95 hanya kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Coop Fest Zon Sabah 2010 di sini, hari ini.
Bermula hari ini, penjualan minyak petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara hanya dibenarkan dijual kepada rakyat tempatan bagi memastikan subsidi minyak hanya untuk rakyat Malaysia sahaja, sementara bagi kenderaan asing, mereka hanya dibenarkan membeli minyak petrol RON97.
Ismail berkata, tidak menafikan adanya warga asing yang menggunakan kenderaan yang didaftarkan di negara ini.
Katanya, beliau akan juga menempatkan pegawai penguatkuasa di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan untuk memastikan pematuhan larangan ini dikuat kuasakan mulai hari ini.
Di JOHOR BAHARU, tinjauan di beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan rakyat Singapura tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak petrol, memandangkan kebanyakannya menggunakan petrol RON97 berbanding RON95.
Bagi suri rumah Noorini Adam, 35, dari Chua Chu Kang, Singapura yang dalam perjalanan ke Desaru, Kota Tinggi, berpendapat harga petrol yang dijual di negara ini masih murah berbanding di republik itu.
"Setakat ini saya tidak mempunyai masalah dengan larangan ini kerana minyak yang dijual masih murah berbanding Singapura. Kita sambut baik langkah ini asalkan masih boleh beli minyak di sini," katanya yang memasuki Malaysia dua minggu sekali.
Bagi pekerja swasta, Kelvin Goh, 32, dari Ang Mo Kio yang sering turun ke Johor Bahru untuk membeli belah turut bersetuju harga petrol RON97 di negara ini masih murah berbanding di Singapura.
Bagi pesara polis yang tinggal di Chua Chu Kang Singapura, Sharif Osman 63, yang sebelum ini mencampurkan minyak keretanya antara RON95 dan RON 97, tidak mempunyai masalah dengan larangan uknya membeli RON95.
"Kita ikut undang-undang di mana negara yang kita pergi. Mana yang saya patut beli, saya belilah. Dulu memang saya campur-campur. Saya pakai RON95 dan RON97. Tetapi sekarang, saya tidak kisah kalau guna RON97 sahaja," jelasnya. Sementara itu, penyelia sebuah stesen minyak berdekatan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Mahrop Md Salleh, 21, berkata pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah melaksanakan peraturan baru itu walaupun jumlah kenderaan asing yang mengisi petrol di stesen itu mencapai ratusan setiap hari.
"Kita akan bagi penerangan mengenai larangan ini kepada mereka dan usaha juga akan dibuat untuk menambah sekurang-kurangnya dua lagi pam petrol RON97 bagi memudahkan pelanggan mengisi petrol," katanya.
Di KUANTAN, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang hari ini mula menjalankan pemeriksaan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Pengarah pejabat itu, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, pemeriksaan pematuhan itu yang berkuatkuasa hari ini, dijalankan di sekitar bandar Kuantan selain meletakkan notis pemberitahuan mengenai larangan itu.
Jumlah stesen minyak berjenama di Pahang kini sebanyak 188 buah dengan 103 daripada stesen berkenaan mempunyai penjualan minyak RON 97 manakala selebihnya tidak menjual minyak jenis itu, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu stesen-stesen minyak turut dilihat meletakkan notis "Amaran Kerajaan Malaysia : Mulai 1 Ogos 2010, semua kenderaan pendaftaran asing adalah dilarang membeli minyak petrol RON95 manakala pembelian minyak petrol RON 97 dibenarkan tanpa had".- Bernama