Search This Blog

Friday, July 30, 2010

Perompak disangka suami


KUANTAN 29 Julai – Seorang peniaga gerai makan dari Felda Jengka 24, Bandar Pusat Jengka dekat Maran, terkejut besar apabila lelaki disangka suami yang mengejutkannya dari tidur sebenarnya penjenayah yang memecah masuk rumahnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Isnin lalu, wanita berusia lingkungan 40-an itu terjaga dari tidur setelah bahunya ditepuk seseorang sebelum ternampak dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau berdiri berhampiran tempat tidurnya.
Mangsa yang cuba menjerit terpaksa membatalkan hasratnya apabila salah seorang suspek mengacukan sebilah pisau sebelum mengarahkannya tidak melawan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan dan Operasi), Supritendan Nordin Mustapha berkata, mangsa bersama tiga orang anaknya diikat menggunakan wayar telefon.
Menurutnya, pada masa kejadian, suami mangsa yang juga seorang peneroka tanah rancangan itu tiada di rumah kerana menguruskan kedai makan mereka.
“Penjenayah dipercayai warga tempatan menghimpunkan empat beranak itu dalam sebuah bilik sebelum bertindak menyelongkar rumah berkenaan.
“Dalam kejadian itu, perompak berjaya melarikan wang tunai RM4,000, sejumlah barang kemas, tiga buah telefon bimbit dan kad prabayar telefon membabitkan kerugian kira-kira RM12,000,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Nordin berkata, selepas itu, perompak terlibat melarikan diri dan meninggalkan empat beranak itu dalam keadaan terikat.
“Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dari ikatan dan keluar meminta bantuan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memecah masuk rumah terbabit melalui tingkap rumah yang diumpil sebelum masuk ke bilik tidur wanita itu.

Sarang burung walit lubuk baru pencuri


TEMERLOH 29 Julai - Pengusaha burung walit diminta memasang sistem keselamatan seperti alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung kes kecurian sarang burung yang dikatakan semakin berleluasa di Mentakab dan daerah ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, rakaman CCTV boleh membantu polis mengesan dan memberkas pencuri terlibat.
Katanya, pengusaha burung walit perlu mengeluarkan perbelanjaan memasang sistem keselamatan memandangkan ternakan burung itu memperoleh keuntungan yang besar dan kini menjadi sasaran pencuri.
''Polis percaya perbuatan mencuri sarang burung walit didalangi satu sindiket kerana pasarannya yang mahal dan mendapat sambutan daripada orang ramai.
''Setakat ini, pihak polis hanya menerima satu aduan mengenai kes kecurian sarang burung tersebut tetapi kami difahamkan banyak kes kecurian yang berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada polis," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada program Kepolisan Kemasyarakatan dan mengedar risalah pencegahan jenayah kepada para peniaga sekitar bandar Temerloh di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima sejak beberapa hari lalu, polis telah menahan dua lelaki dipercayai terbabit dan bergerak aktif dalam kes kecurian sarang burung di sekitar bandar ini dan Mentakab.
Tambahnya, kedua-dua lelaki itu telah disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan akan didakwa di mahkamah esok.
Ahmad Fadzillah memberitahu, sarang burung mempunyai pasaran yang tinggi iaitu antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap sekilogram yang belum diproses manakala yang sudah diproses mencecah antara RM6,000 hingga RM7,000.
Katanya, pencuri sudah mengetahui dan mahir selok-belok bangunan serta boleh mengagak sarang burung yang sudah matang dan boleh dicuri tanpa pengetahuan pengusahanya.
''Polis akan mengesan dan menjalankan siasatan lanjut bagi menangkap anggota kumpulan tersebut termasuk menahan pihak yang turut membeli sarang burung curi itu," jelasnya.

Tindakan pantas pekerja selamatkan stesen minyak


TINDAKAN pantas Tiratna (gambar kecil) menekan butang kecemasan berjaya mengelakkan kebakaran di stesen minyak di Jalan Pantai, Kota Kinabalu, kelmarin.


KOTA KINABALU 29 Julai - Tindakan pantas seorang pekerja wanita menekan butang kecemasan berjaya menyelamatkan sebuah stesen minyak di Jalan Pantai di sini daripada terbakar semalam.
Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Tiratna berkata, kejadian berlaku pukul 12.30 tengah hari apabila sebuah tong yang sedang diisi minyak petrol oleh seorang pelanggan meletup lalu terbakar.
"Kejadian berlaku terlalu pantas, ketika itu saya sedang berbual dengan pelanggan tersebut yang sedang mengisi minyak. Tiba-tiba tong itu meletup.
"Dalam keadaan panik, saya cuba mencari alat pemadam api tetapi gagal menemuinya dan tanpa berfikir panjang saya terus berlari menekan butang kecemasan di luar kaunter bayaran," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, enam lagi rakannya yang mendengar bunyi siren berkenaan kemudian bergegas mengambil alat memadam api untuk memadamkan kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan, Ibnu Sahad Punggak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.47 tengah hari.
"Sepasukan anggota dengan sebuah jentera tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu. Tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam kebakaran itu dan semua pekerja stesen minyak itu juga selamat," ujarnya.

PGA rampas mercun, beras


Anggota PGA menunjukkan pelbagai mercun dan bunga api yang dirampas di Markas PGA Kuala Jambu, Tumpat, semalam.


TUMPAT 29 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM31,600 selepas menyerbu sebuah pengkalan haram Pak Teh, Kubang Pak Itam dekat sini tengah malam tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Supritenden Mohamad Khalid Wahab berkata, serbuan itu dibuat oleh sepasukan anggota PGA selepas mendapat maklumat orang ramai kira-kira pukul 12 tengah malam.
Katanya, ketika intipan dilakukan, anggotanya mendapati tujuh lelaki sedang memunggah beberapa guni dari tebing sungai untuk diletakkan di kawasan semak berhampiran.
"Selepas itu anggota kita terus membuat serbuan dan kesemua lelaki itu melarikan diri dengan terjun ke sungai dan berenang ke negara jiran.
"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 10 guni diletakkan di kawasan semak berhampiran dan pemeriksaan lanjut mendapati guni tersebut berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk dari negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Khalid berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya kawasan tersebut dijadikan transit sebelum menghantar barangan tersebut ke lokasi lain.
Sementara itu, dalam satu kejadian bersaingan di Kampung Kolam, Pasir Mas, sepasukan PGA merampas 60 kampit beras bernilai RM2,400 yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Katanya, serbuan tersebut dilakukan keatas sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam yang disyaki digunakan untuk menyeludup beras dari negara jiran kira-kira pukul 8 pagi ini.
"Ketika serbuan dilakukan, anggota kita menemui kira-kira 40 kampit beras dengan setiap satunya seberat 10 kilogram manakala 20 kampit lagi setiap satunya seberat 20 kilogram.
"Selepas serbuan dilakukan, seorang wanita tempatan tampil mengaku bahawa kesemua beras tersebut adalah kepunyaannya dan kita serahkan semua beras, kenderaaan dan wanita terbabit kepada pihak Kawal Selia Beras untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Sindiket curi kereta tumpas


KUALA LUMPUR 29 Julai - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket curi kereta yang bergiat aktif di ibu negara setelah menahan lima lelaki dipercayai ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan semalam dan awal pagi ini.
Berikutan penangkapan kelima-lima suspek, polis menemui 14 kereta pelbagai jenis yang bernilai RM500,000 dipercayai dicuri kumpulan tersebut.
Polis juga percaya, penangkapan suspek terlibat dapat menyelesaikan lebih 10 kes samun dan curi kereta di sekitar daerah Brickfields sejak kebelakangan ini.
Antara kereta yang dirampas termasuk sebuah teksi, Toyota Camry, Nissan Sunny dan Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, turut dirampas beberapa telefon bimbit, peralatan menyamun kereta, kunci kereta dan kad bank.
"Polis berjaya menjejaki kumpulan itu selepas kita menahan dua suspek berusia 20-an di sebuah bengkel kereta di Brickfields semalam.
"Ketika ditahan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun akhirnya berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Abdul Bari, salah seorang daripada suspek memiliki dua rekod kesalahan lampau iaitu kes curi di Pantai Dalam dan Salak Selatan.
Susulan penangkapan mereka, katanya, polis menahan tiga lagi suspek berusia antara 25 dan 45 tahun dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara awal pagi ini.
"Dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah iaitu curi, rogol dan memiliki barangan curi," jelasnya.
Katanya, kelima-lima suspek kini direman selama seminggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang anggota polis cedera di pergelangan tangan selepas bergelut dengan seorang lelaki dalam kejadian cubaan samun di sebuah kafe siber di Jalan Petaling.
"Hasil laporan, sepasukan anggota polis pergi ke kafe siber itu kira-kira pukul 3.30 pagi hari ini dan mendapati, cubaan menyamun kafe siber itu dilakukan oleh lebih 10 lelaki.
"Mereka yang menyedari kehadiran polis berjaya melarikan diri namun polis berjaya menahan seorang daripadanya berusia 26 tahun dan merampas sebilah pisau sepanjang 45 sentimeter," katanya.

Isteri militan dipenjara tiga tahun


JAKARTA 29 Julai - Seorang wanita Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun hari ini kerana melindungi dan membantu pengganas yang terlibat dalam serangan pengebom berani mati di dua buah hotel mewah di sini tahun lepas.
Putri Munawaroh, 21, ialah satu-satunya suspek yang terselamat dengan mengalami kecederaan dalam pertempuran selama sembilan jam dengan polis di rumahnya di Jawa Tengah pada September lalu.
Ketua rangkaian militan, Noordin Mat Top dan tiga rakannya termasuk suami Munawaroh terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Dia yang hamil ketika itu kemudian melahirkan seorang anak lelaki yang tinggal bersama-samanya di dalam penjara.
"Defendan didapati bersalah melindungi dan membantu pengganas dan dengan ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun," kata Hakim Ida Bagus Dwiyantara di mahkamah daerah Jakarta Selatan.
Dua letupan bom hampir serentak di Hotel-Hotel Ritz-Carlton and J.W. Marriott di Jakarta pada 17 Julai tahun lepas membunuh tujuh mangsa serta dua pengebom berani mati.
Hukuman yang dijatuhkan hari ini lebih ringan daripada hukuman penjara lapan tahun yang dipohon oleh pendakwa raya.
"Dia menerima hukuman lebih ringan kerana kami mengambil kira umurnya yang masih muda dan kerana dia mempunyai anak kecil.
"Dia tidak memberikan bantuan dengan rela," kata Ida Bagus.
Kira-kira 30 wanita melaungkan takbir dan mengecap hakim sebagai kafir selepas keputusan dibacakan. - AFP

Hujan jejas usaha cari mayat




ISLAMABAD 29 Julai – Pasukan kecemasan terpaksa mengharungi hujan lebat dan lumpur hari ini dalam operasi untuk mencari berpuluh-puluh mayat yang masih bertaburan di kawasan bukit-bukau dekat Islamabad berikutan nahas udara terburuk di Pakistan yang berlaku semalam.
Pihak berkuasa percaya cuaca musim monsun turut menjadi punca nahas pesawat Airbus milik syarikat penerbangan Airblue ketika hendak mendarat di sini dalam penerbangan dari Karachi semalam.
Pesawat itu dipercayai menyimpang dari laluan asal apabila ia merempuh lereng Gunung Margalla, menyebabkan kesemua 152 orang di dalamnya terkorban.
Sehingga malam tadi, sejumlah 115 mayat sudah dikeluarkan dari tempat kejadian sebelum operasi ditangguhkan ke pagi ini.
Askar dan pekerja penyelamat awam menjalankan gerakan mencari di kawasan bukit yang menunjukkan kesan kebakaran daripada pesawat itu, tetapi cuaca buruk melambatkan operasi dan helikopter tidak boleh terbang dalam hujan lebat, kata Ramzan Khalid, jurucakap bagi Lembaga Pembangunan Modal yang membantu menangani keadaan kecemasan.
Berpuluh-puluh penduduk bermalam di luar hospital terbesar di sini malam tadi dengan harapan untuk menuntut mayat ahli keluarga dan rakan mereka.
Mereka masih berada di situ pagi ini, tetapi hanya segelintir yang dapat membawa balik mayat ahli keluarga masing-masing.
Maklumat daripada perakam data penerbangan atau ‘kotak hitam’ pesawat sangat penting dalam menentukan punca nahas tetapi sehingga kini kotak itu belum ditemui.
Menteri Pertahanan, Chaudhry Ahmed Mukhtar dan pegawai lain berkata, kerajaan tidak mengesyaki nahas itu angkara pengganas.
Sekalipun operasi mencari selesai nanti, tempoh berhari-hari mungkin diperlukan bagi mengenal pasti identiti semua mangsa menerusi ujian DNA kerana kebanyakan mayat berkecai dan terbakar dalam nahas itu.
“Tidak ada apa yang tinggal, hanya timbunan dan bungkusan cebisan mayat. Ada sedikit barang peribadi, seperti dua atau tiga beg, beberapa buku cek dan sekeping gambar kanak-kanak lelaki.
“Selain itu semuanya rentung,” kata pekerja penyelamat, Murtaza Khan. – AP

Bekas juruwang hadapi 29 tuduhan tipu tandatangan


BUTTERWORTH 29 Julai - Seorang bekas juruwang sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 29 tuduhan melakukan penipuan dengan meniru tandatangan pelanggan untuk mengeluarkan wang sebanyak RM148,500 tiga tahun lalu.
Sharon Suganthi Thabaraj, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Zairan Aman.
Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa meniru tandatangan R. Karmegam, 70, dan A. N. Savariammal, 77, untuk mengeluarkan wang berjumlah RM148,500 daripada akaun kedua-dua mereka di Maybank Cawangan Bukit Mertajam, Jalan Danby dekat sini antara 16 Mei 2007 dan 9 Oktober 2008.
Mohd. Zairan membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Polis ambil alih laman web skim cepat kaya


KUALA LUMPUR 29 Julai – Laman web sebuah skim cepat kaya yang ditumpaskan di Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini kelmarin diambil alih oleh polis bagi mengesan mereka yang teraniaya dalam skim berkenaan.
Pegawai Jabatan Siasatan Komersial Ibu Pejabat Bukit Aman, Supritendan Ahmad Noordin Ismail berkata, polis terpaksa mengambil alih laman web berkenaan selain meminta pelanggan yang terlibat dalam pelaburan itu tampil memberi kerjasama.
“Setakat ini, kita telah dapat berhubung dengan beberapa pelanggan yang terlibat dan mereka telah bersetuju untuk memberi keterangan.
“Berdasarkan keterangan daripada semua mangsa yang terlibat, kita akan dapat mengetahui jumlah pelaburan yang dikumpul oleh sindiket itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan polis berjaya menyelamatkan seramai 80 orang daripada turut terlibat melaburkan wang terhadap sebuah skim cepat kaya yang aktif di Lembah Klang ketika ini.
Seramai 59 agen skim tersebut ditahan ketika sedang memberi taklimat di Mentari Court, Bandar Sunway.
Turut dirampas, 18 buah kereta mewah seperti BMW, Nissan Fairlady, Toyota Alphard dan Mercedes-Benz yang dijadikan modal untuk meyakinkan pelabur baru.
Ahmad Noordin memberitahu, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berhubung individu lain yang terlibat dalam skim berkenaan.
Jelas beliau, tempoh reman selama tiga hari yang akan tamat esok terhadap 59 agen itu mungkin akan dilanjutkan sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan secepat mungkin.

Militan Sikh: Bukit Aman hubungi polis India


IPOH 29 Julai - Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang memantau dakwaan Polis Punjab bahawa empat anggota kumpulan puak pemisah Sikh Khalistan Liberation Force (KLF) yang didakwa bersembunyi di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya telahpun menghubungi pihak berkuasa India mengenai perkara tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan itu.
"Tindakan akan diambil sebaik sahaja kedua-dua pihak memperolehi maklumat terkini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah seluruh Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Polis Punjab semalam yang mendakwa KLF, sebuah kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya empat daripada anggotanya masih bersembunyi di Malaysia.
Bukti penting itu muncul selepas polis di daerah Patiala di Punjab menangkap seorang yang disyaki militan, Pargat Singh, 22, pada Isnin lalu.
Dia disyaki meletakkan bom di luar sebuah loji pembotolan LPG di Nabha dan pangkalan tentera udara Halwara di Punjab.
Laporan perisikan mendedahkan dia lari ke Malaysia dan mendapatkan perlindungan daripada seorang lagi anggota militan KLF yang sudah lama menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Remaja perempuan ditahan kelar jiran


SANDAKAN 29 Julai - Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun kerana mengelar jirannya beberapa kali dalam satu pergaduhan di Batu 2 Jalan Utara, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, mangsa, Radin Loren, 16, dikelar di tangan dan badannya oleh suspek dengan menggunakan pisau lipat.
"Ibu mangsa membuat laporan di balai polis kira-kira pukul 10 malam tadi selepas membawa anaknya ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk menerima rawatan.
"Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan manakala suspek kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Menurut Fadzil, pergaduhan kedua-dua remaja perempuan itu berlaku di luar kawasan rumah mereka pada pukul 9 malam.
Beliau memberitahu mereka dipercayai bergaduh selepas berlaku salah faham.
"Berikutan itu suspek dikatakan tidak berpuas hati dan mengambil pisau lipat lalu mengelar mangsa," katanya.

Pasir: Penduduk kampung buat tujuh laporan polis keselamatan terancam


KUALA SELANGOR 29 Julai - Penduduk Kampung Bestari Jaya di sini hari ini membuat laporan polis terhadap Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) kerana didakwa menjalankan aktiviti melombong pasir terlalu hampir dengan kawasan perumahan mereka yang dikhuatiri mengancam keselamatan lebih 7,000 penghuni di situ.
Laporan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Penduduk Kampung Bestari Jaya, Yeop Mat Sanip dan lima lagi penduduk itu turut mendesak kerajaan negeri agar menghentikan segera operasi perlombongan yang dijalankan di Bestari Jaya.
Turut membuat laporan berhubung perkara yang sama ialah Ahli Jawatankuasa Kampung Kambing Susu, Hulu Selangor dekat sini, Mohd. Nazeri Noor Mohamad.
Kesemua tujuh laporan itu dibuat serentak di Balai Polis Bestari Jaya di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Yeop mendakwa kegiatan melombong dilakukan terlalu hampir dengan perumahan dan boleh mengancam keselamatan penduduk kampung dan pelajar Universiti Industri Selangor kerana asrama mereka juga terletak berdekatan kawasan itu.
Selain itu dakwanya, aktiviti lombong pasir tersebut juga didakwa menggunakan pam menyedut pasir dengan tidak terkawal yang dikhuatiri mengundang bencana alam.
''Aktiviti melombong pasir oleh KSSB itu juga mendatangkan kesan buruk terhadap sumber air dan hidupannya serta telah menyebabkan sebahagian penduduk yang menyara hidup dengan menangkap ikan serta menanam sayur-sayuran hilang mata pencarian," kata beliau ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Nazeri yang mewakili Kampung Kambing Susu pula mendakwa, masalah yang dihadapi di Bestari Jaya turut dialami penduduk kampungnya.
''Cuma di kampung kami, aktiviti perlombongan telah menunjukkan kesannya yang menyebabkan ban Sungai Selangor pecah sehingga merosakkan kebun-kebun berhampiran," dakwa Mohd. Nazeri.
Dia juga mendakwa KSSB telah menyalahguna permit melombong dengan menyedut pasir sungai yang dialirkan Sungai Selangor yang masuk ke dalam lombong melalu ban pecah.
Penduduk di kedua-dua kampung berkenaan juga telah melantik peguam Tetuan Boestamam & Co untuk mewakili mereka untuk khidmat nasihat guaman.

Tidak serik walaupun telah 10 kali diserbu


Sebahagian daripada 25 wanita warga China dipercayai GRO diberkas oleh pihak polis di sebuah kafe di Lorong Madras, Jalan Macalister dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 29 Julai - Walaupun telah diserbu sebanyak 10 kali dan kali terakhir pada Isnin lalu, sebuah pusat hiburan di Lorong Madras berhampiran Jalan Macalister di sini tidak pernah serik menjalankan kegiatannya.
Buktinya, apabila diserbu kali ke-11 kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, polis menahan 25 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Indonesia sedang berpelukan dengan pelanggan masing-masing.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kesemua wanita terbabit berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan dalam 'Ops Noda' yang dijalankan oleh anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Menurutnya, selain menahan kesemua GRO itu, pihaknya turut menahan pekerja premis berkenaan.
"Serbuan dilakukan selepas polis membuat risikan selama tiga hari selain menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti yang dijalankan di premis ini melibatkan pekerja warga asing.
"Hasil pemeriksaan, kesemua mereka tidak mempunyai permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjalankan kegiatan tidak bermoral," katanya di sini hari ini.
Menurut Kong Meng, kesemua GRO yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk tindakan selanjutnya mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahguna visa pelancong.
Katanya, pemilik premis yang mengendalikan pusat hiburan itu pula disiasat mengikut Seksyen 55b (1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit.
Isnin lalu, polis menahan seramai 28 GRO dan seorang pekerja yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 30 tahun di pusat hiburan tersebut.

Stor ala 'James Bond' antara yang ditemui KDN


KUALA LUMPUR 29 Julai - Sebuah stor ala filem James Bond!
Itulah pengalaman yang ditempuh Bahagian Kawalan Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika melakukan 167 operasi sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Dalam kejayaan itu, pengusaha sanggup menjadikan patung Buddha sebagai alat untuk menutup tempat menyimpan cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak.
Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem KDN Cawangan Kuala Lumpur, Noor Aziah Abdullah berkata, stor tersebut adalah yang tercanggih pernah mereka temui sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, berhala dan beberapa colok yang pada mulanya dianggap sebagai tempat ibadat pengusaha itu, sebenarnya merupakan laluan ke sebuah stor selepas salah satu colok tersebut ditarik.
"Bagaimanapun helah secanggih itu berjaya ditembusi anggota kita hasil perancangan rapi pegawai yang terlibat dalam setiap serbuan.
"Sepanjang tempoh itu, kita merampas 355,196 keping DVD dan VCD yang bernilai hampir RM4 juta," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wangsa Maju di sini hari ini.
Noor Aziah menambah, kesemua cakera itu dirampas kerana tidak memiliki sijil A dan B, selain filem lucah dan cakera cetak rompak.
Katanya, kesemua rampasan berkenaan dibuat di empat daerah iaitu Brickfields, Sentul, Cheras dan Dang Wangi.
"Jumlah itu diperoleh setelah kita melakukan 108 tangkapan daripada 167 serbuan sepanjang setengah tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata, cakera-cakera yang dirampas itu akan dihantar ke ibu pejabat kementerian tersebut di Putrajaya dalam tempoh terdekat untuk dilupuskan.
Noor Aziah memberitahu, di sebalik kejayaan yang diperolehi, beliau dan pegawai terlibat turut menerima pelbagai ugutan dan ancaman daripada tonto dan pengusaha yang tidak berpuas hati.
"Malah saya pernah menerima ugutan bunuh, namun perkara itu tidak menghalang kita untuk meneruskan tanggungjawab," katanya.

Maut selepas kereta terbakar dirempuh lori


SEPANG 29 Julai - Seorang lelaki maut setelah melecur teruk manakala dua lagi terselamat selepas kereta yang mereka naiki terbakar akibat dirempuh sebuah lori di Kilometer 31.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) malam tadi.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta tersebut, Raja Mohamad Raja Ismail, 60, selepas dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang terbakar di persimpangan masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan dari arah Shah Alam menuju ke KLIA.
Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian pada pukul 8.55 malam berjaya mengawal api tetapi gagal menyelamatkan mangsa.
Ketua Polis daerah, Supritendan Zahedi Ayob ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Volvo itu tiba-tiba dirempuh sebuah lori.
"Mangsa yang cedera teruk meninggal dunia ketika dalam perjalanan dibawa ke Hospital Putrajaya.
"Pemandu lori itu pula ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysiadi sini hari ini.
Difahamkan, jenazah mangsa telah dibawa pulang oleh keluarga mangsa untuk dikebumikan di Gombak.
Dua rakan mangsa yang berjaya menyelamatkan diri cedera ringan dengan hanya seorang masih menerima rawatan di hospital.

Liong Sik didakwa tipu kerajaan


Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya, semalam bagi menghadapi tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu. – utusan / hanafi khamis


PUTRAJAYA 29 Julai – Dalam apa yang dianggap mengejutkan, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.
Bekas Presiden MCA itu mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub) di Pelabuhan Klang.
Sambil mengangguk kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya setelah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, beliau dengan nada suara perlahan berkata: ‘‘Plead not guilty (mengaku tidak bersalah)’’.
Beliau yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun juga kelihatan tenang semasa berada di kandang tertuduh sepanjang prosiding.
Bagi kedua-dua tuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Hakim Suzana Hussin membenarkan bekas pemimpin politik itu diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan kesnya disebut pada 3 September ini.
Liong Sik, 66, yang tidak digari hadir ke mahkamah pukul 4 petang ditemani isteri, Toh Puan Ena Ling dan keluarga terdekat sambil diiringi beberapa pegawai polis.
Bagi tuduhan utama, Liong Sik didakwa menipu berhubung pembelian tanah berdasarkan terma-terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang antara lainnya adalah:
l Luas tanah adalah 999.5 ekar (43,538,200 kaki persegi)
l Kadar pembelian tanah sebanyak RM25 satu kaki persegi (skp) menjadikan jumlah pembelian bernilai RM1,088,456,000
l Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah deferred payment (bayaran tertangguh) selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600).
Bekas menteri Kabinet itu didakwa secara curang menyembunyikan fakta ke atas tanah tersebut iaitu kadar RM25 skp bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 skp bagi tempoh bayaran balik 15 tahun adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh itu.
Fakta berkenaan merupakan penilaian dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.
ABDUL Gani Patail (kanan) yang mengetuai barisan pendakwa bersama Tun Abdul Majid Tun Hamzah (kiri) meninggalkan Mahkamah Sesyen, Putrajaya, semalam selepas sebutan kes ke atas Ling Liong Sik.


Penyembunyian fakta itu mendorong Jemaah Menteri bersetuju terhadap pembelian tanah tersebut sedangkan beliau mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian.
Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Liong Sik turut didakwa atas tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta serupa pada waktu dan di tempat yang sama.
Bagi tuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 417 kanun serupa yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada prosiding pendakwaan yang dimulakan hampir sejam kemudian, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menawarkan jaminan RM1 juta.
Beliau menyatakan, oleh kerana kesalahan itu boleh dijamin, pihak pendakwaan tidak memohon agar dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Abdul Gani dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Dzulkifli Ahmad; dan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup.
Sementara itu, peguam Datuk R. R. Sethu yang mewakili tertuduh tidak membantah terhadap jaminan RM1 juta.
Liong Sik meninggalkan pekarangan mahkamah pukul 5.30 petang dan hanya menggeleng-gelengkan kepala ketika diminta oleh pemberita mengulas pendakwaan terhadapnya.
Bekas pemimpin itu merupakan individu kelima didakwa setelah projek PKFZ yang dibina di kawasan seluas 400 hektar sebagai hab penghantaran kargo bersepadu itu menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.
Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang mengadakan satu siasatan telah memperakukan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat beberapa individu termasuk seorang lagi bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy.

Protes pembinaan jalan merentasi hutan di Rusia


30/07/2010 3:06am

MOSCOW 29 Julai – Penunjuk perasaan di Rusia melontar bom asap dan memecahkan tingkap dalam satu protes ganas berhubung pembinaan jalan raya di satu kawasan hutan di luar Moscow, insiden yang jarang berlaku di negara ini.
Gambar yang disiarkan di televisyen Rusia dan Internet menunjukkan bangunan pentadbiran di bandar Khimki diselubungi asap dan dipenuhi serpihan kaca selepas tunjuk perasaan yang dilakukan beratus-ratus penduduk lewat semalam.
Pihak polis berkata, seramai 90 orang tiba-tiba muncul di luar bangunan pentadbiran awal malam semalam sebelum bertambah menjadi 500 orang.
"Mereka melaungkan slogan untuk mempertahankan hutan Khimki daripada diceroboh," kata jurucakap polis Moscow, Yevgeny Gildeyev Echo.
Katanya, penunjuk perasaan bersurai sebaik polis tiba namun kini siasatan giat dijalankan bagi mengenalpasti dalang di sebalik demonstrasi tersebut. – AFP

2 lagi pernah jadi mangsa


KUALA LUMPUR 29 Julai – Pemandu van yang ditahan kerana merogol seorang murid berusia 10 tahun di Petaling Jaya dekat sini Isnin lalu, disyaki pernah melakukan jenayah sama terhadap dua mangsa lain.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terbongkar hasil soal siasat terhadap suspek yang berusia 51 tahun.
“Dia mengaku pernah merogol dua mangsa lain sebelum ditahan selepas merogol mangsa terakhir yang menaiki vannya di Jalan Othman, Petaling Jaya.
“Perbuatan terakhir suspek pada pukul 1.40 petang itu terbongkar apabila dilihat oleh seorang guru tadika yang melalui tempat kejadian.
“Guru itu cuba menyelamatkan mangsa sehingga berlaku pergelutan. Kejadian itu disedari oleh dua anggota polis yang meronda lalu menahan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Arjunaidi, suspek kemudian berjaya ditahan ketika masih berada di dalam van tersebut, hasil maklumat orang ramai.
Beliau berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan pada hari sama di Kelana Jaya, seorang lagi murid perempuan tahun enam turut menjadi mangsa nafsu buas pemandu van sekolah apabila dicabul lelaki itu.
Arjunaidi berkata, suspek berusia 37 tahun itu dilaporkan memegang kemaluan mangsa ketika murid itu berseorangan dalam kenderaan untuk dihantar ke sekolah pada pukul 6.40 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu, menjerit meminta tolong sebelum keluar dari kenderaan tersebut dan melarikan diri.
“Setakat ini, kita masih mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Ah long diculik, dibelasah peminjam


JOHOR BAHRU 29 Julai - Kisah ceti haram atau ah long memukul dan bertindak ganas terhadap peminjam sering dilaporkan di akhbar-akhbar sebelum ini.
Bagaimanapun lain pula berlaku di sini, apabila si peminjam pula menculik dan menuntut wang tebusan RM30,000 daripada keluarga dua ah long.
Dalam kejadian pukul 11.15 malam, 5 Julai lalu, kedua-duanya diculik di kawasan Danga Bay di sini, sebelum menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut tebusan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, bimbang dengan keselamatan mangsa, keluarga mereka membayar RM5,000 melalui akaun bank manakala baki RM25,000 secara tunai.
"Kedua-dua mangsa kemudian dibebaskan. Ketika ditemui mereka mengalami kecederaan hampir di seluruh bahagian badan dipercayai akibat dipukul.
"Kenderaan kepunyaan mangsa juga turut dilarikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tujuh warga tempatan termasuk dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun di Kota Tinggi, pada 15 hingga 17 Julai lalu.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM6,500 dan sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa yang dilarikan.
Sehubungan itu, pihaknya juga kini sedang memburu dua lagi individu iaitu Al Annaz Wahid, 18, yang beralamat di 32, Felda Tenggaroh 2, Jemaluang, Mersing.
Katanya, seorang lagi ialah Mohd. Hadi Hamdan, 29, yang beralamat di 199F, Felda Tenggaroh 3, Jemaluang, Mersing, bagi membantu siasatan kes itu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kulaijaya di sini, hari ini, lima individu daripada tujuh yang ditahan dituduh menculik Lew Wei Your, 19, dan Leow Own Keong, 30, untuk mendapatkan wang tebusan RM30,000 setiap mangsa.
Tertuduh ialah Mohamad Awan A. Bakar, 23; Wan Karmizi Muhamad, 28; Ismail Jaafar, 39; Rasman Ahmad, 42, dan Aida Jamhalie Samson.
Aida Jamhalie merupakan warga Filipina.
Kesemua tertuduh lelaki bekerja sebagai penarik kereta serta wanita itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya A. Karthiyayini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Siti Aishah Ab. Rashid kemudian memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tanpa menetapkan sebarang tarikh.

Wanita Indonesia buang bayi dipenjara 2 tahun


JOHOR BAHRU 29 Julai - Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuang bayi lelaki yang dilahirkannya pada awal bulan ini.
Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Juliati, 27, turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah.
Majistret Mazana Sinin memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak bekerja didakwa secara rahsia telah membungkus lalu membuang mayat bayi lelaki yang dilahirkannya ke dalam semak.
Juliati didakwa melakukan perbuatan tersebut di nombor 585, Kampung Teluk Serdang, pinggir Jalan Camar 15, Taman Perling di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 10 Julai lalu.
Tertuduh yang memakai baju T berjalur warna coklat didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam kejadian tersebut, mayat bayi lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg plastik di kawasan semak berkenaan ditemui oleh orang awam pada pukul 3.15 petang, 12 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Juliati didakwa memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah pada pukul 4.30 petang, 12 Julai lalu di tempat yang sama.
Pendakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Rakan serumah tertuduh, Yanti Yulianti, 27, yang bekerja di kedai makan turut dihukum penjara empat bulan setelah mengaku memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.
Kedua-dua wanita itu ditahan oleh pihak polis sejurus selepas penemuan mayat bayi lelaki tersebut.

Bunuh suami isteri, pemuda ke tali gantung


Mohamad Azli Azhari dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh pasangan suami isteri di Taman Desa Anggerik tiga tahun lalu selepas dihadapkan di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.


RASAH 29 Julai- Seorang pemuda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh pasangan suami isteri di Taman Desa Anggerik Senawang, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman tersebut selepas pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohamad Azli Azhari, 23.
Pemuda itu yang berbaju hitam dan berseluar jeans biru dilihat tenang ketika keputusan dibacakan oleh Ahmad Nasfy.
Mohamad Azli disabitkan kesalahan membunuh Syed Herie Azmi Syed Kassim, 25, dan isteri, Aniza Ayob, 24, di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Senawang di sini antara pukul 8 dan 10 pagi, 16 Jun 2007.
Ketika kejadian, pasangan tersebut baru lapan bulan bergelar suami isteri dan Aniza juga sedang sarat mengandung lapan bulan ketika dibunuh dengan kejam.
Mereka ditemui mati di ruang tamu rumah berkenaan oleh dua rakan mereka dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan mangsa.
Mengikut keterangan kes, Syed Herie ditemui mati dengan 11 kesan tikaman di leher manakala mayat isterinya pula mempunyai lapan kesan tikaman di bahagian sama.
Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, beberapa jam selepas kejadian itu tertuduh telah mengaku kepada rakan-rakannya bahawa dia telah membunuh Syed Herie yang juga dikenali sebagai Along Santan.
''Malah ketika ditahan, polis juga menjumpai senjata pembunuhan yang masih mempunyai darah di dalam simpanan tertuduh,'' katanya.
Ujarnya lagi, selepas membunuh pasangan berkenaan Mohamad Azli memandu kereta mangsa untuk berjumpa seorang rakannya di Taman Pinggiran Golf di sini untuk meminjam wang RM10.
''Apabila rakan tertuduh bertanya mengapa terdapat kesan darah pada tangannya, tertuduh memberitahu yang dia baru membunuh Syed Herie dan Aniza.
''Tertuduh juga ada memberitahu rakannya bahawa dia melakukan pembunuhan itu dengan terlebih dahulu menikam leher mangsa,'' ujarnya.
Katanya lagi, fakta bahawa tertuduh menggunakan sebilah pisau untuk menikam sehingga menyebabkan kecederaan pada organ mangsa membuktikan bahawa dia berniat untuk membunuh mangsa.
''Malah hujahan pihak pembelaan bahawa ketika kejadian pasangan berkenaan bertengkar sebelum menetak sesama sendiri tidak boleh diterima,'' jelasnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Hanif Hassan mewakili Mohamad Azli.
Sementara itu, ibu Syed Herie berusia lewat 40-an yang enggan dikenali berkata, walaupun keadilan sudah ditegakkan namun dia tidak menyangka perkara berkenaan akan berakhir seperti itu.
''Saya berasa sedih apabila mendengar keputusan mahkamah tadi kerana saya sangat mengenali Mohamad Azli dan saya sudah anggap dia seperti anak saya sendiri.
''Mohamad Azli juga memanggil saya dengan gelaran 'mami' dan pernah memohon maaf dengan apa yang berlaku,'' katanya ketika di temui di luar mahkamah

Usul haram purdah Bosnia dibatal


SARAJEVO 29 Julai - Parlimen Bosnia semalam membatalkan perbahasan mengenai satu rang undang-undang untuk mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam selepas seorang wanita berpurdah menghadiri sidang dewan sebagai pelawat.
Ahli parlimen Islam dan Croat dijangka menolak rang undang-undang yang dibentangkan parti terbesar Serb Bosnia itu selepas wakil mereka dalam suruhanjaya Parlimen memutuskan ia akan melanggar hak asasi manusia dan kebebasan beragama.
Parlimen sepatutnya membahaskan laporan suruhanjaya itu tetapi membatalkannya kerana ahli dewan Serb Bosnia berkata, mereka berasa terancam kerana kehadiran wanita berpurdah yang dianggap menyembunyikan identiti.
Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Nadja Dzidarevic, seorang aktivis hak asasi manusia yang menganjurkan protes sekumpulan wanita berpurdah bagi membantah rang undang-undang itu minggu ini.
Dzidarevic berkahwin dengan seorang rakyat Bosnia kelahiran Algeria yang pernah ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba tetapi dibebaskan pada akhir 2008.
"Saya terkejut, kesal dan tersinggung kerana kehadiran saya pada sidang dewan menimbulkan masalah," kata Dzidarevic yang diarah meninggalkan bangunan Parlimen selepas ahli dewan memutuskan untuk menggugurkan rang undang-undang itu daripada perbahasan.
Parlimen kebangsaan Bosnia terdiri daripada ahli dewan dari dua wilayah autonomi yang bermusuhi, iaitu persekutuan Islam-Croat dan Republik Serb.
Usul yang dikemukakan parti terbesar Republik Serb, Perikatan Demokrat Sosial Bebas untuk mengharamkan burqa dan purdah di tempat awam dilihat mahu meningkatkan ketegangan agama menjelang pilihan raya kebangsaan 3 Oktober ini.
Hanya sebilangan kecil wanita memakai purdah dan burqa di Bosnia, yang mana golongan berfahaman sederhana merupakan kumpulan etnik terbesar.
Belgium dan Perancis meluluskan rang undang-undang mendenda wanita yang memakai burqa atau purdah di khalayak ramai, dengan alasan pakaian itu menimbulkan ancaman keselamatan kerana identiti pemakainya tidak dapat dipastikan. - Reuters

Cubaan merogol, culik gagal


NOOR Zainy Md. Noor (dua kiri) bersama pegawainya memeriksa kereta Perodua Kenari yang digunakan dua lelaki berumur 15 dan 23 tahun untuk melarikan seorang pelajar perempuan di Kampung Limbongan, Besut, semalam.


BESUT 29 Julai – Seorang pemuda dan remaja berusia 15 tahun terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka menculik dan merogol seorang pelajar perempuan gagal setelah kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam sebuah parit.
Bukan sahaja gagal, malah kedua-duanya turut ditangkap kira-kira sejam setengah selepas itu oleh penduduk kampung dan polis yang melancarkan gerakan memburu mereka.
Kejadian bermula apabila kedua-dua suspek menculik mangsa, Nur Muni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, yang ketika itu baru keluar dari pintu pagar sekolahnya pada pukul 4.30 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, pelajar itu dipaksa menaiki kereta jenis Perodua Kenari namun berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal.
Katanya, kereta itu kemudian terbabas di sebuah parit di Kampung Limbongan dekat sini, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa diculik.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
“Kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan pelajar itu di dalam kereta. Suspek yang berusia 23 tahun cedera di kepala manakala rakannya tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang cedera kemudian membuang bajunya sebelum mencuri baju lain di ampaian sebuah rumah bagi mengelakkan dirinya dikesan.
Menurut Noor Zainy, kejadian culik itu bagaimanapun disedari beberapa pelajar lain yang melihat mangsa bergelut sebelum dibawa masuk ke dalam kereta itu.
Katanya, pelajar-pelajar itu juga melihat beg mangsa terputus dan tertinggal di tempat kejadian.
“Mereka kemudian memaklumkan kepada guru dan penduduk kampung sebelum melaporkannya kepada polis.
“Hasil operasi yang dijalankan, kedua-dua suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.