SHAH ALAM 28 Julai - Seorang pekerja kilang warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki Indonesia dalam satu rompakan dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad memerintahkan hukuman terhadap Tran Van Sy, 27, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 Mac 2008 iaitu pada hari kejadian.
Tiga rakan senegaranya, Vu Nham Manh, 23; Nguyen Dinh Hop, 23; dan Ngodinh Phu Ong, 25, masing-masing dihukum penjara 10 tahun bagi kesalahan merompak empat lelaki termasuk mangsa yang terbunuh, Sukandie Dije.
Semasa membacakan penghakimannya, beliau berkata, hukuman itu diputuskan selepas mengambil kira 16 kesan luka dan kecederaan yang dialami mangsa.
Katanya, kesemua tertuduh juga merancang untuk melakukan rompakan itu serta menggunakan kekerasan terhadap mangsa-mangsa yang diikat dan diletakkan pisau di leher dalam kejadian tersebut.
"Mahkamah perlu menghantar mesej kepada yang lain termasuk warga asing agar tidak mencari jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan.
"Mahkamah faham tertuduh-tertuduh masih muda dan ada keluarga, tetapi sepatutnya mereka berfikir sebelum melakukan kesalahan, bukan selepasnya," katanya.
Van Sy yang bekerja di sebuah kilang mengaku menyebabkan kematian Sukandie di rumah No. 22A-3, Jalan PJU 5/11, Dataran Sunway, Kota Damansara dekat sini pada pukul 2.30 pagi, 5 Mac 2008.
Bagi pertuduhan pindaan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Tiga lagi tertuduh didakwa merompak secara berkumpulan terhadap Sukandie, Thrink Thi Thay, Lai Kim Ah dan Kwong Van Bau pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mereka yang juga pekerja kilang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sebelum ini, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sukandie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mengikut fakta kes, tertuduh-tertuduh dilihat memecah masuk ke dalam bangunan tempat tinggal mangsa pada awal pagi hari kejadian untuk merompak.
Apabila polis tiba, mereka cuba melarikan diri melalui tingkap sebelum dikepung dan ditangkap.
Seorang saksi melihat Van Sy memegang pisau yang berlumuran darah dan ia kemudiannya dijumpai di dalam tangki tandas.
Sukandie ditemui terbaring di bilik tidur dengan kesan tikaman pada dada dan belakang badan manakala tiga lagi dijumpai dalam keadaan kaki dan tangan masing-masing terikat .
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhairy Zakaria.
Tertuduh diwakili peguam-peguam K. A. Ramu, Muhammad Rafique Rashid Ali, Sreekant Pillay dan N. Ratnavathy.
Habis