Search This Blog

Wednesday, July 28, 2010

Yassin bebas dengan jaminan polis


SUBANG JAYA 27 Julai – Selepas tiga hari meringkuk dalam lokap polis, bekas anggota kumpulan lawak Senario, Yassin Yahya hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.
Pelakon berusia 31 tahun itu dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul 5.50 petang ini. Dia dijemput oleh beberapa individu dipercayai kenalannya.
Yassin dilihat keluar dari bangunan itu dalam keadaan tenang, malah masih mampu tersenyum.
Ketika ditemui pemberita sejurus selepas dibebaskan, pelawak terkenal itu mengaku sudah serik dan hanya mampu menyalahkan dirinya sendiri dengan apa yang berlaku.
“Saya sudah serik, sudah serik...Setiap kali saya nak naik (kembali berlakon), begitulah jadinya.
“Saya berdoa tak akan berlaku apa-apa buruk (tindakan undang-undang) terhadap diri saya. Saya serahkan pada pihak polis untuk menyiasat,” katanya bersahaja.
Yassin ditahan polis awal pagi Ahad lalu kerana disyaki mengambil dadah dalam pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di sini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir ketika dihubungi petang ini mengesahkan pembebasan Yassin.

Timbalan Pendakwaraya dalam kes Anwar digugurkan


PUTRAJAYA 27 Julai - Jabatan Peguam Negara hari ini menggugurkan Timbalan Pendakwaraya, Farah Azlina Latif daripada pasukan pendakwaan bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas didakwa ada 'hubungan' dengan saksi utama pendakwa kes itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tindakan yang berkuat kuasa serta-merta itu perlu bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap pasukan pendakwaan dan juga sebarang gangguan terhadap kelancaran perbicaraan kes yang dikendalikan itu.
"Dalam mesyuarat dengan para pegawai kanan jabatan semalam, sama ada dakwaan itu benar atau tidak dan untuk mengelakkan persepsi negatif dari masyarakat dan kredibiliti pasukan pendakwaan, kita juga buat keputusan untuk mengeluarkan beliau dari Bahagian Pendakwaan dan satu siasatan dalaman akan dilaksanakan.
"Bagaimanapun, beliau belum dimaklumkan tentang keputusan itu tetapi saya memberi jaminan akan memaklumkannya hari ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Pada 22 Julai lalu, sebuah portal berita mendakwa, Farah Azlina mempunyai 'hubungan romantik' dengan Mohd. Saiful Bukhari.
Beliau menganggotai pasukan pendakwaan itu pada 20 Januari lalu menggantikan Timbalan Pendakwaraya, Shamsul Sulaiman yang bersara secara pilihan.
Tugas Farah Azlina dalam pasukan itu adalah mengambil nota keterangan di mahkamah bersama dua lagi Timbalan Pendakwaraya, Mira Mirna Musa dan Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, Gani memberitahu, beliau menegaskan bahawa Farah Azlina bukan hanya tidak pernah terlibat dalam apa jua perbincangan dan persediaan bagi perbicaraan, tetapi tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan.
Malah, beliau menambah, peranan Farah Azlina dalam kes liwat itu adalah sangat minimum kerana hanya sekadar mengambil nota keterangan sahaja.

Janin bayi ditemui bersama sampah di sungai



KUALA LUMPUR 27 Julai - Naluri kemanusiaan pada segelintir masyarakat di negara ini semakin pupus apabila setiap hari masih ada kes pembuangan janin bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan.
Dalam kes terbaru, janin bayi ditemui terapung di sungai bersama sampah sarap di Sungai Batu, Jalan Kolam Air di sini awal pagi ini.
Ia ditemui pukul 1.30 pagi oleh seorang pengutip barangan lusuh yang sedang memeriksa kawasan perangkap sampah di sungai itu.
Lelaki berusia 24 tahun itu tidak menyangka objek dalam plastik ditemuinya bersama sampah sarap itu rupa-rupanya janin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, lelaki tersebut mula mengesyaki sesuatu sebaik sahaja ternampak satu bungkusan plastik berwarna biru yang terapung itu.
"Dia segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut selepas mendapati isi kandungan plastik itu adalah janin bayi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, hasil pemeriksaan lanjut ke atas janin tersebut, pihaknya percaya bayi sebesar tapak tangan itu dilahirkan tidak cukup bulan dibuang ke dalam sungai berkenaan.
Tambahnya, janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis telah mengambil keterangan daripada pekerja am terbabit.
Katanya, polis juga sedang mengesan individu yang bertanggungjawab membuang janin itu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Bekas pensyarah, dua rakanbebas tuduhan edar dadah


KUANTAN 27 Julai - Seorang bekas pensyarah dan dua rakannya terlepas hukuman mati di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar ganja seberat 511 gram, hujung tahun lalu.
Wan Isbullah Wan Mohd. Daud, 28; Mohd. Hasrol Hashim, 24; dan Syahrizan Jemaan, 24, dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir selepas beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut di rumah No. 22, Lorong Permatang Badak, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 3 Disember 2009.
Tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam Richard Bong, Harmizi Mat dan Bob Arumugam.
Sementara itu, Wan Isbullah yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia amat bersyukur dengan keputusan pembebasannya.
''Saya rasa seperti mati hidup semula selepas keputusan yang menyatakan saya dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
''Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa kerana tidak jemu-jemu melawat dan memberi sokongan kepada saya ketika ditahan di Penjara Penor selama hampir lapan bulan,'' katanya yang merupakan tenaga pengajar vokasional di sebuah kolej di sini.
Dia yang berasal dari Felda Tekam Utara, Jerantut mengakui kejadian tersebut banyak memberi pengajaran dalam hidupnya.
''Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang, saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih kawan pada masa hadapan.
''Saya amat simpati kepada keluarga kerana sepanjang saya ditahan, mereka menghadapi pelbagai dugaan antaranya dihina dan dipulaukan jiran sekampung,'' katanya.
Sementara itu, ibunya, Zainab Awang Nik, 58, berkata, dia sering berdoa agar anak bongsunya itu bebas daripada tuduhan mengedar dadah yang cukup membuatkan mereka sekeluarga tertekan.
''Sepanjang anak saya ditahan, kami sekeluarga sering ditohmah dan dipulaukan oleh orang kampung.
''Namun Alhamdulillah dengan keputusan ini, ia dapat membersihkan nama anak saya dan keluarga daripada terus dicerca,'' katanya.

Pulang selepas 7 tahun menghilang


Ku Faridah Ku Man (tengah) gembira disamping dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini, Wan Mohd. Haiman Harith Wan Mohd. Hilmi (kanan) dan Wan Mohd. Hazwan di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu, semalam.


HULU TERENGGANU 27 Julai - Episod duka 'cinta Lombok' melibatkan wanita tempatan dengan pemuda Indonesia belum berakhir apabila seorang lagi wanita tempatan berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas campur tangan pihak berkuasa.
Terbaru, seorang wanita dari Kampung Kuala Pueh di sini, Ku Faridah Ku Man, 33, berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarganya setelah lebih tujuh tahun mengikut suaminya ke Mataram, Lombok, Indonesia.
Ku Faridah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira pukul 9 malam tadi sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta, Saima Sipahutar.
Anak kedua daripada lapan beradik itu melarikan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya yang merupakan seorang pemuda Lombok pada 2003 walaupun tidak mendapat kebenaran keluarganya.
Ku Faridah yang kelihatan sebak setiba di halaman rumahnya, tidak dapat menahan air mata apabila berkali-kali mencium pipi ibu dan dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini.
Dia yang telah mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan pemuda Lombok itu berkali-kali menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana membantunya pulang ke tanah air.
"Sebelum ini, ibu pernah mengirimkan wang untuk saya namun ia tidak mencukupi bagi saya pulang ke sini.
"Alhamdulillah dengan bantuan kerajaan negeri, Kedutaan Malaysia (di Jakarta) dan pemerintah Indonesia akhirnya saya kembali ke sini," ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Zainab Deraman, 58, bersyukur apabila anaknya yang pernah dianggap telah hilang itu, akhirnya kembali semula ke pangkuannya.
Menceritakan permulaan usaha membawa pulang Ku Faridah, Zainab memberitahu, sebelum ini dia tiada tempat untuk mengadu sehinggalah menemui sendiri ADUN Telemong, Rozi Mamat tiga bulan lalu.
Menurutnya, dalam pertemuan itu dia meminta bantuan menyelamatkan anaknya yang telah melarikan di Lombok beberapa tahun selepas anaknya itu berkahwin.
"Hanya tiga bulan lalu, dia (Ku Faridah) telefon saya untuk beritahu hendak pulang. Sedangkan sebelum itu dia menghilangkan diri sejak tujuh tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, Rozi memberitahu, pihaknya akan berusaha membantu Ku Faridah bagi membolehkan ketiga-tiga anaknya yang kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta dibawa pulang ke negara ini.
"Kita akan membawa pulang ketiga-tiga anaknya itu melalui permohonan secara sah dan mengikut peraturan negara itu," katanya.
Ujar wanita itu, dia tidak menyangka dapat pulang semula ke kampung halamannya kerana mengakui tidak mampu berbuat demikian jika tidak dibantu oleh pihak yang berkenaan.
Katanya, walaupun tindakan anaknya itu amat menyedihkan, dia telah memaafkan segala perbuatan yang dilakukan Ku Faridah kerana apa yang penting dia sudah insaf dan tidak akan mengulanginya lagi.

59 ditahan, sindiket skim cepat kaya terbongkar


28/07/2010 7:54pm

KUALA LUMPUR 28 Julai - Polis berjaya membongkar kegiatan satu sindiket penipuan skim cepat kaya selepas menahan 59 orang dan merampas 18 kereta mewah dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Petaling Jaya dekat sini malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ACP Rohaimi Md Isa berkata sindiket yang meminta para pelabur membuat pelaburan sehingga RM41,000 tiap seorang itu dipercayai memperdayakan orang ramai dengan menjadikan tawaran kereta mewah sebagai umpan.
Beliau berkata kegiatan itu terbongkar apabila polis melancarkan “Operasi Serama” yang disertai 82 anggota termasuk JSJK Selangor dan juga petugas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
Katanya 50 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 20 dan 30 tahun yang menduduki tahaphigher level atau upline dalam sistem piramid yang dianjurkan itu, ditahan semasa mereka mengadakan perjumpaan di sebuah restoran di apartmen itu.
"Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, polis juga merampas 18 kereta mewah termasuk Mercedez Benz, Fair Lady, BMW dan Mazda yang digunakan untuk ”mengumpan” orang ramai menyertai skim ini,” katanya.
Rohaimi berkata, sindiket yang aktif sejak dua tahun itu mensasarkan orang ramai terutama golongan muda yang baru berkhidmat dalam sektor kerajaan untuk menyertai skim itu.
"Sindiket ini tahu, budak-budak muda ini mempunyai keinginan yang tinggi terhadap kereta-kereta mewah dan senang pula nak buat pinjaman,” katanya.
Menurut beliau modus operandi sindiket ini ialah dengan meminta mereka melabur wang mengikut pelan sehingga maksima RM41,000 dan mencari pelanggan yang dikategorikan sebagai downline bagi mencapai hasrat mereka bergelar jutawan.
Rohaimi berkata bagaimanapun orang ramai menyedari mereka tertipu apabila mereka tidak mendapat jumlah pulangan yang dijanjikan walaupun berjaya mendapatkan jumlah downlineyang disasarkan.
"Sindiket yang mempunyai tiga kumpulan ini bergerak secara bebas dengan menggunakan restoran-restoran sebagai tempat perjumpaan dan bertemu dengan kumpulan upline bagi membincangkan perniagaan mereka.
"Kami terima dua laporan polis berhubung kes ini manakala kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula terima 30 laporan,” katanya sambil menambah risikan ke atas kegiatan sindiket terbabit dilakukan sejak tiga bulan lepas.
Beliau berkata, kesemua 59 anggota sindiket itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Perhilitan nafi ular raksasa dijumpai di Sungai Siput


28/07/2010 6:25pm

IPOH 28 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini menyangkal laporan penemuan seekor ular raksasa di hutan Sungai Siput dekat sini baru-baru ini seperti yang disiarkan sebuah akhbar hari ini.
Pengarahnya Shabrina Shariff berkata pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati tiada laporan atau kes penemuan ular raksasa di kawasan berkenaan.
"KIta juga mendapati gambar (yang disiarkan akhbar itu) itu dapat dilihat dalam internet melalui pelbagai laman web...gambar yang berasal dari China itu disebarkan sejak tahun 2009,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut laporan akhbar berkenaan, ular raksasa itu dijumpai oleh sekumpulan pekerja balak di hutan Sungai Siput baru-baru ini dan ular berkenaan kemudiannya dibunuh.
Shabrina berkata, Perhilitan juga sebelum ini pernah melihat gambar seperti itu yang disiarkan sebuah akhbar di Sabah selain laporan mengenai dakwaan penduduk di Paloh Inai, Pahang pada Mac lepas mengenai penemuan ular raksasa.
Beliau berkata, memang terdapat ular besar di Malaysia seperti ular sawa tetapi belum pernah dijumpai sebesar itu. - Bernama

Dua bumbung bangunan sekolah musnah diterbangkan ribut


YAN - Dua buah blok bagunan di sebuah sekolah rendah di Kuala Sala dekat sini musnah dilanda ribut lewat petang semalam, menurut Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd Rahman.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 petang semalam, telah memusnahkan bumbung dua blok bangunan Sekolah Kebangsaan Sri Mahawangsa yang mempunyai 291 pelajar.

"Semasa kejadian, tiada pelajar di sekolah kerana waktu persekolahan telah tamat. Angin ribut yang datang tiba-tiba disusuli dengan hujan lebat telah menerbangkan bumbung di kedua-dua blok bangunan sekolah itu," katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua blok yang terlibat dengan bencana itu melibatkan dua bilik guru perempuan dan lima buah kelas.

Bagi murid tahun enam yang sedang menduduki peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), mereka menduduki peperiksaan di dewan manakala pelajar lain yang kelasnya tidak terjejas, ditempatkan di kantin sekolah, katanya.
Shahidan berkata, kerugian yang dialami dianggarkan sebanyak RM200,000 melibatkan bumbung sekolah dan pendawaian elektrik manakala peralatan-peralatan lain hanya basah disebabkan terkena air hujan.

"Kes ini akan dihantar ke Kementerian Pelajaran dan berharap agar pihak kementerian dapat menyalurkan peruntukan secepat mungkin supaya para pelajar dapat belajar dengan selesa," katanya.

Sementara itu, seorang saksi Zabawi Ahmad, 54, berkata, beliau sedang menyapu sampah di tepi rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari sekolah kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

"Tiba-tiba saya ternampak angin kuat seperti puting beliung datang dari arah laut dan menerbangkan bumbung sekolah tersebut disusuli dengan hujan lebat.

"Disebabkan takut angin datang ke arah rumah saya, saya melaungkan takbir dan angin tersebut menuju ke arah padang sekolah," katanya yang turut memberitahu kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit.

Polis berkas dua beradik bantu siasatan kes bunuh suri rumah


TAWAU - Polis di sini berjaya memberkas dua lelaki adik-beradik berusia 16 dan 24 tahun yang juga Pendatang Tanpa Izin (PATI) bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang suri rumah awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Imran Abdul Rahman berkata, kedua-dua lelaki berkenaan diberkas sekitar jam 2 petang semalam di Jeti Felda Umas, ketika cuba melarikan diri, kira-kira lapan kilometer dari tempat mereka disyaki melakukan jenayah.

Katanya, kedua-dua lelaki yang berasal dari Lombok, Indonesia itu baru tiba di Kalabakan tiga atau empat hari lepas dan bekerja di gerai suami mangsa.

Menurut Imran pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek berkenaan membawa kepada penemuan barang kemas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,500.

Polis tidak menolak kemungkinan kematian wanita berkenaan bermotifkan samun dan kedua-dua suspek berjaya ditahan atas bantuan orang ramai.

Menurut Imran kira-kira jam 7.30 pagi semalam, suri rumah yang dikenali sebagai Mak Cik Yu, 54, ditemui mati oleh ahli keluarga di dalam rumahnya dalam keadaan tertiarap dengan tangan dan kaki terikat kebelakang serta mulut dan hidung disumbat dengan kain.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana anak dan suaminya keluar bekerja dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Juruteknik baru sebulan bekerja maut dalam kemalangan


SEREMBAN - Seorang juruteknik yang baru sebulan bekerja di Telekom Malaysia cawangan Seremban, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah van di Batu 5, Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin, pagi ini.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi semasa Mohd Norfaizal Ramli, 22, sedang menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Mantin menuju ke pejabatnya di Seremban.

"Beliau dikatakan memasuki lorong bertentangan semasa cuba memotong sebuah kereta dan bertembung dengan van yang membawa empat pekerja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, Norfaizal yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk di bedah siasat, manakala pemandu dan penumpang van yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Abd Halil Abd Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

Pesawat Pakistan bawa 152 penumpang terhempas


28/07/2010 2:10pm

ISLAMABAD 28 Julai – Sebuah pesawat milik syarikat persendirian Airblue terhempas di kawasan bukit di Islamabad hari ini ketika bersedia untuk mendarat selepas terbang dari Karachi dengan membawa 152 penumpang.
Jurucakap penerbangan awam, Pervez George menyatakan masih belum ada sebarang laporan kematian dalam nahas penerbangan 202 yang berlepas dari Karachi pada 7.45 pagi (pukul 10.45 pagi waktu Malaysia) itu.
“Terdapat 146 penumpang dan enam krew berada dalam pesawat. Apabila ia bersedia untuk mendarat, ia terhempas di Bukit Margalla,” katanya lagi.
Asap tebal dilihat berkepul naik dari kawasan hutan tebal bukit yang sukar diakses itu, dengan helikopter berterbangan ketika pasukan perkhidmatan cemas dan ambulans terpaksa berhenti di jalan raya terdekat sebelum bergegas ke lokasi nahas. – AFP

Pesawat Pakistan terhempas: Lima mayat ditemui setakat ini


28/07/2010 2:37pm

ISLAMABAD 28 Julai – Sebanyak lima mayat ditemui setakat ini dari lokasi nahas sebuah pesawat Pakistan membawa 152 penumpang yang terhempas di kawasan berbukit di pinggir Islamabad.
Seorang pegawai kanan perbandaran, Imtiaz Inayat berkata, beberapa mayat telah dijumpai di kawasan tersebut. Lima mayat telah dibawa keluar.
“Berlaku kebakaran di kawasan berkenaan. Pasukan penyelamat dan helikopter telah dihantar ke sana,” katanya lagi. – AFP

Ariel dilarang nikah dalam tahanan

JAKARTA: Kisah Ariel dan Luna Maya menikah di pusat tahanan Ibu Pejabat Polis di sini tersebar luas.
Namun, sama ada benar atau tidak khabar angin itu, polis berkata, mereka tidak membenarkan pasangan itu melangsungkan pernikanan dalam lokap.
“Laporan itu tidak benar. Jika mereka mahu menikah, di sini bukan tempatnya. “Mereka boleh melakukannya di luar saja,” kata Ketua Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis, Marwoto Soeto ketika dihubungi menerusi telefon bimbitnya semalam.

Menurutnya, tumpuan terhadap bekas penyanyi utama kumpulan Peterpan itu ketika ini ialah kes video lucahnya.

“Fokus Ariel ialah menunggu perbicaraan berhubung video seksnya dengan Luna dan Cut Tari.

“Kami berharap tidak ada khabar angin mengenai pernikahannya dengan Luna,” kata Marwoto.

Mengenai Reza Rizaldi atau RJ yang dituduh menjadi orang bertanggungjawab memuat naikkan video itu dan menyebarkannya di Internet, beliau berkata, dia akan mula disoal siasat.

Menurutnya, RJ sudah dibawa ke ibu pejabat polis setelah ditahan beberapa hari di balai polis Jakarta Selatan. - Agensi

Dibicara pertengahan puasa

JAKARTA: Jika proses perundangan berjalan lancar, perbicaraan kes video lucah Ariel mungkin bermula pertengahan bulan puasa ini.
Ketua Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis di sini, Marwoto Soeto mengesahkan kemungkinan itu semalam.
Menurutnya, ketika ini, masih ada beberapa tahap perundangan yang perlu diselesaikan sebelum kes itu boleh dibicarakan.

“Ya. Mungkin dalam bulan puasa, sekiranya pihak pendakwa raya sudah bersedia,” kata Marwoto.

Ariel yang sudah ditetapkan sebagai suspek dalam kes berkenaan ditahan sejak 22 Jun lalu dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 12 tahun jika sabit kesalahan. - Agensi

Hukuman terhadap RJ lebih berat

JAKARTA: Meskipun Ariel menjadi pelaku seks dalam video lucahnya, namun peranan Reza Rizaldy atau RJ sebagai penyebar menyebabkan dia akan dikenakan hukuman lebih berat.
Ketua Perhubungan Awam Ibu Pejkabat Polis, Marwoto Soeto berkata, Ariel dan RJ akan didakwa dengan tuduhan berbeza, mengikut peranan masing-masing dalam kes itu.
“Tuduhan terhadap RJ akan berbeza dengan Ariel. “RJ akan menghadapi tuduhan menyebarkan bahan lucah mengikut Undang-Undang Transaksi Elektronik dan hukuman terhadap kesalahan itu adalah lebih berat,” kata Marwoto ketika dihubungi wartawan KapanLagi.com semalam Beliau mengesahkan polis sudah mengenalpasti RJ sebagai penyebar video berkenaan selepas memperoleh bahan itu daripada Ariel.

RJ, juruteknik muzik yang ditangkap oleh polis 23 Julai lalu berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun jika sabit kesalahan. - Agensi

Buaya darat Zimbabwe didakwa menipu lagi

TAIPEI: Seorang warga Zimbabwe semalam didakwa atas tuduhan menipu dan memeras ugut membabitkan wang berjumlah AS$62,000 (RM198,000) milik lapan wanita yang dijanji akan dikahwininya.
Pendakwa raya memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Litlbla Seth, yang dituduh menipu lapan wanita pada 2008 hingga 2009.
Dia sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama.

Warga Zimbabwe itu juga didakwa mengancam membunuh beberapa wanita bagi menamatkan hubungan mereka dengannya, kata jurucakap pendakwa raya.

“Seth berjanji berkahwin dengan wanita berkenaan untuk mendapatkan kepercayaan mereka dengan alasaan dia perlu membeli rumah, kereta atau mengatur majlis perkahwinan itu,” kata jurucakap berkenaan.

Lelaki berusia 47 tahun itu diusir oleh pihak berkuasa Taiwan pada awal 2008 selepas menjalani hukuman penjara lima tahun kerana jenayah sama. Bagaimanapun, dia berjaya memasuki semula negara itu dengan menggunakan pasport Britain. - AFP

China hentikan amalan arak suspek jenayah

BEIJING: China akan menamatkan amalan memalukan suspek penjenayah dengan memaksa mereka berarak di jalan raya.
Jurucakap Biro Keselamatan Awam di wilayah Henan mengesahkan pengharaman amalan yang sudah sekian lama digunakan oleh pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan.
Pengharaman itu dikuatkuasakan selepas ia diselar oleh aktivis online berhubung kes membabitkan seorang pelacur.

Amalan memalukan suspek di khalayak ramai biasanya dilakukan oleh pihak berkuasa di China dalam operasi membanteras pelacuran.

Aktivis online melancarkan kempen mendesak menghentikan amalan itu bulan lalu selepas gambar seorang pelacur berkaki ayam, digari dan diikat dengan tali diarak di Dongguan di wilayah Guangdong, selatan China tersebar.

Mereka menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan memalukan itu dan mendesak supaya perasaan simpati diberikan kepada pekerjka seks, menurut Mop.com, laman forum popular di Internet. - AP

Datuk jual tanah tak wujud

KUALA LUMPUR: Bermodalkan janji manis, seorang penjenayah yang menyamar kononnya VIP bergelar Datuk berjaya menipu beberapa mangsa dengan menawarkan tanah kosong untuk dijual dengan harga tidak munasabah berbanding harga pasaran semasa.
Difahamkan, penjenayah licik terbabit berupaya memperdaya mangsa dengan dakwaan kononnya tanah kosong terbabit milik Umno Perak dan sengaja mahu diagih dan dijual pada harga murah kepada orang ramai.
Taktik suspek ternyata meyakinkan mangsa supaya mengeluarkan wang simpanan hingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memilik beberapa lot tanah yang hakikatnya tidak pernah wujud.

Penipuan terbabit didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani selepas seorang mangsa juga pegawai Plus Expressways Berhad (Plus) kerugian RM9,600 apabila diperdaya membeli dua lot tanah kosong tidak wujud di Kamunting, Perak.

Menurutnya, mangsa berusia 46 tahun dan berasal dari Taman Batu Permai, di sini, mula diperkenalkan kepada Datuk terbabit oleh seorang rakan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, pada Mac 2008.

“Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa beberapa lot tanah kosong kepunyaan Umno Perak di daerah Kamunting mahu dibahagikan dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM4,800 bagi setiap lot. “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu menyerahkan wang tunai RM9,600 kepada Datuk berusia 52 tahun itu sebagai bayaran membeli dua lot tanah kosong berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selain mangsa, beberapa lagi rakan mangsa turut diperdaya Datuk palsu terbabit selepas turut membuat pembayaran wang puluhan ribu ringgit kepada suspek.

“Suspek berjanji akan menguruskan dokumen pemilikan semua tanah terbabit secepat mungkin. Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila tanah dijanjikan itu gagal diperoleh walaupun hampir tiga tahun pembayaran dibuat.

“Seorang rakan mangsa membuat semakan mengenai status tanah terbabit di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, mangsa terkejut dimaklumkan lot tanah berkenaan tidak wujud seperti didakwa suspek sebelum ini. Beliau berkata, menyedari mereka ditipu, pegawai Plus terbabit segera membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, beberapa hari lalu.

“Semua mangsa diperdaya kira-kira RM86,400 turut membuat laporan polis berhubung penipuan terancang terbabit sebelum polis membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas jenayah penipuan.
“Suspek kini diburu polis dan orang ramai yang pernah ditipu atau dijanjikan tanah harga murah diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek berusia 50-an menyamar sebagai Datuk dan ahli politik masih aktif memperdayakan orang ramai menggunakan modus operandi sama.

21 kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar yang mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang dikesan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, 12 daripadanya berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar.
"Siasatan yang dilakukan kementerian menunjukkan bahawa 20 kes adalah berdasarkan suka sama suka antara pasangan, manakala satu kes membabitkan kes rogol," katanya.

Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman di persidangan Dewan Negara di sini hari ini, beliau berkata kesemua kes berkenaan berlaku di dalam kawasan perumahan masing-masing.

Menurut beliau, maklumat tersebut diperolehi dari Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah-sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyrakat.

Sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.

"Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka," katanya.

Katanya, kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) merancang dan melaksanakan beberapa program untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan mengenai seks dan seterusnya mereka diminta berikrar secara bertulis agar mereka menjaga kehormatan diri sehingga ke malam pengantin (alam perkahwinan) setelah tamat program itu.

Mohd Puad berkata, program itu akan dianjurkan ke sekolah-sekolah lain termasuk latihan khas untuk Guru Bimbingan dan Kauseling yang akan terbabit dalam program tersbut.-Bernama

28 penagih dadah ditahan di Jeti Stulang Laut

JOHOR BAHRU: Jabatan Narkotik Johor menahan 28 penagih dadah termasuk tiga warga asing dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar Jeti Stulang Laut di sini hari ini.
Pegawai Turus Operasi Risikan dan Tahanan Jabatan Narkotik Johor, Deputi Superintendan Hamazah Abd Razak berkata, penagih yang kesemuanya lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan hasil operasi selama tiga jam mulai jam 8 pagi.
"Didapati ada antara mereka adalah penagih tegar yang pernah ditahan pihak berkuasa sebelum ini," katanya.

Operasi dilakukan di kawasan pintu keluar-masuk ke negeri ini, bersama Unit Anjing Pengesan, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia.

Hamazah berkata, polis turut menemui sejumlah dadah dari beberapa penagih.-Bernama

Lelaki tidak mengaku salah cederakan isteri

AMPANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya dengan membaling kerusi.
Sheikh Mohd Zaid Sheikh Said, 39, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azaraorni Abdul Rahman. Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam, Asisten Superintendan Saheela Abu Bakar dengan menendang menggunakan kaki di paha dan kaki sebelah kanan mangsa. Tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Samun: Peniaga kad prabayar di Felda Jengka 24, Maran rugi RM16,000

KUANTAN: Seorang peniaga kad prabayar kerugian kira-kira RM16,000 selepas rumahnya di Felda Jengka 24, Maran dimasuki dua lelaki bersenjatakan pisau, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian pada 3 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 40-an sedang nyenyak tidur bersama tiga anak perempuannya sebelum dikejutkan oleh lelaki terbabit yang dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap di bahagian dapur.
Katanya, kesemua mangsa kemudian diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit sebelum kedua-dua lelaki terbabit menggeledah rumah itu.

"Suspek kemudian melarikan diri bersama kad prabayar bernilai RM4,000, wang tunai berjumlah RM4,000, telefon bimbit dan barang kemas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana berada di kedai mereka.-Bernama

Chin Peng gagal hidupkan semula saman



PUTRAJAYA - Bekas Parti Komunis Malaya (PKM) dan anggotanya gagal dalam permohonan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan di sini untuk menghidupakan semula saman sivil terhadap Kerajaan Malaysia. 

Panel tiga hakim, diketuai Datuk Sulong Matjeraie memutuskan kerajaan Malaysia tidak melanggar perjanjian yang dimeterai dengan setiausaha agung PKM, Chin Peng, pada 1989. 

Katanya, aduan mengenai kenyataan dipersoalkan PKM adalah jelas di luar terma yang tercatat dalam aturan pentadbiran yang ditandatangani Kerajaan Malaysia dan PKM dalam usaha mencari objektif bersama untuk mencapai keamanan dan menamatkan segala aktiviti persenjataan dengan serta merta. 

Dua hakim lain ialah Datuk Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Mohamed Apandi Ali. 

Klausa 1.2 dalam perjanjian pentadbiran juga menyediakan supaya kedua-dua pihak tidak mengeluarkan kenyataan memburukkan atau berbaur fitnah antara satu sama lain. 

Ia menyebut bahawa semua kenyataan akhbar oleh mana-mana pihak perlu dibuat atas semangat perjanjian dan tidak mengandungi sebarang terma mencemarkan atau fitnah seperti ‘serah diri beramai-ramai’ dan ‘penyerahan’. 

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, dan anggota PKM mendakwa Kerajaan Malaysia menerusi Timbalan Menteri Penerangan ketika itu melanggar klausa 1.2 kerana membuat kenyataan memfitnahkan. 

Dalam keputusannya, Sulong, berkata, mahkamah tidak boleh menerima klausa 1.2 yang memperuntukkan tiada penerbitan semua bentuk fitnah. 

Katanya, dengan meneliti klausa itu, mahkamah mendapati ayat ‘terma fitnah’ dalam klausa 1.2 hanya terbatas kepada perkataan yang tidak boleh diterbitkan berhubung ‘serah diri beramai-ramai’ dan ‘penyerahan’. 

Dalam penyataan pembelaan, Kerajaan Malaysia berkata, mengikut sejarah dan pengetahuan awam, reputasi Chin Peng dan anggota lain parti itu sudah terjejas selama ini. 

Bagaimanapun, beliau gagal mendapatkan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan terhadap dua keputusan mahkamah yang meminta dia menunjukkan dokumen pengenalan diri bagi membuktikan dia adalah seorang warga Malaysia sebelum memulakan tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Malaysia. - Bernama 

12 didenda RM1,000



SHAH ALAM - Dua belas individu terbabit dalam perhimpunan haram membabitkan insiden kepala lembu pada Ogos tahun lalu didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pilihan. 

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42, Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 37, Ahmad Suhairy Zakaria, 31, Mohd Hilmi Ni, 40, Mohd Azmir Mohd Zin, 36, Eyzva Ezhar Ramly, 32, Jainuddin @ Zainuddin Md Yusuff, 68, Mohd Jurit Ramli, 40, Mohamad Nordin Zakaria, 47, Jamil Mohamad Isa, 41, Rahimuddin Md Harun, 41, dan Azhari Shaari, 40. 

Mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Semua mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan. 

Hakim Hasbi Hasan memutuskan dua daripada mereka, Mohd Azmir dan Eyzva, masing-masing didenda RM3,000 serta penjara seminggu selepas menukar pengakuan bersalah membawa dan memijak kepala lembu. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas Eyzva berkuat kuasa pada 4 Ogos ini selepas dia selesai menjalani penjara 10 bulan bagi satu kesalahan dadah.

Keputusan 46 pengikut Ayah Pin 19 September



KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam menetapkan 19 September ini sebagai tarikh bagi mendengar keputusan sama ada wujud atau tidak kes prima facie terhadap 46 pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin. 

Sehingga menunggu tarikh itu, semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (EKJST) dibebaskan sementara dan mahkamah mengekalkan ikat jamin sedia ada. 

Hakim syarie, Rosdi Harun turut membenarkan peguam yang mewakili tertuduh, Saadiah Din mengemukakan jawapan balas bertulis terhadap hujah pihak pendakwa raya selewat-lewatnya 4 Ogos ini dan dibalas pendakwa raya pada 18 Ogos. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Esah Mohamad bersama 45 tertuduh yang lain didapati berada dalam kawasan kediaman Ayah Pin di Kampung Batu 13 Mukim Tenang Hulu Besut, Besut pada 20 Julai 2005 kira-kira jam 10.30 pagi. 

Dengan itu, mereka menghina pihak berkuasa agama kerana mengingkari fatwa iaitu ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah. 

Dalam prosiding semalam, pendakwa raya dalam hujahnya menegaskan bahawa melalui 25 saksi yang dipanggil memberi keterangan sebelum ini, semua tertuduh dibuktikan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 EKJST. 

Dengan mengemukakan empat fakta utama, Mustafar Hamzah selaku Ketua Pendakwa Syarie menyatakan semua tertuduh ditangkap ketika berada dalam kawasan kediaman di mana Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad tinggal. 

Katanya, kawasan kediaman berpagar itu adalah tempat Ayah Pin menjalankan aktiviti ajarannya dan terdapat perintah daripada pihak berkuasa agama melalui fatwa yang mengehendaki orang ramai menghindari daripada terbabit dengan ajaran Ayah Pin.

Mayat janin dijumpai dalam plastik dekat sampah



SHAH ALAM – Kes buang bayi berulang kembali dalam tempoh tidak sampai seminggu apabila mayat satu janin dianggarkan berusia lima bulan dijumpai di dalam plastik bersama longgokan sampah di dalam sungai di Sungai Batu, Jalan Kolam Air. 

Jumaat lalu, mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, janin itu ditemui oleh seorang lelaki lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pemungut sampah kira-kira jam 12.30 pagi. 

“Polis sedang menyiasat berapa lama janin itu dibuang di situ malah jantina serta bangsa janin masih tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Zakaria berkata, janin itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan. 

Katanya, usaha giat dijalankan mengesan pihak bertanggung jawab bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Kerajaan tunggu hasil audit terhadap Sime Darby



KUALA LUMPUR - Kerajaan belum mengambil sebarang tindakan terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby kerana masih menunggu keputusan kajian daripada firma perunding (KPGM dan Deloitte) serta sebuah firma guaman bebas. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapan bertulis berkata, firma perunding dan firma guaman bebas berkenaan kini sedang menjalankan audit forensik bebas yang dijangka selesai pada akhir Ogos ini. 

“Sebarang keputusan atas dasar akauntabiliti dan kebertanggungjawaban akan hanya diambil setelah segala usaha audit dan siasatan ini selesai sepenuhnya,” katanya menjawab soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai tindakan terhadap Lembaga Pengarah Sime Darby secara ‘en bloc’ atas kegagalan mereka menyelamatkan Sime Darby daripada kerugian hampir RM2 bilion. - Bernama

Larangan kenderaan berat elak kemalangan, kesesakan



KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja Pengangkutan Malaysia menyokong larangan kenderaan berat menggunakan tiga laluan lebuh raya sekitar Lembah Klang kerana ia mampu mengurangkan kemalangan dan kesesakan. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Zainal Rampak berkata, larangan itu tidak akan memberi kesan buruk terhadap perniagaan sesebuah syarikat sekiranya penghantaran muatan berat dibuat pada waktu sesuai. 

“Kalau mereka hantar barang selepas waktu puncak, lebih baik. Mereka dapat sampai awal daripada tersepit dengan kesesakan,” katanya. - Bernama

Virus Lubuk Yu ragut satu lagi nyawa



MARAN - Wabak maut Lubuk Yu yang berpunca daripada bakteria meloidoisis atau leptospirosis meragut nyawa seorang lagi mangsa, apabila seorang anggota bomba yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di kawasan rekreasi itu bulan lalu menjadi korban ketujuh, semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, mangsa terbaru, Mohd Nor Abidin Ismail, 50, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka, disahkan dijangkiti kedua-dua bakteria itu. 

Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan kritikal sejak tiga minggu lalu meninggal dunia jam 3.11 pagi semalam di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh. 

"Manakala, seorang mangsa lain sedang dirawat di Hospital Selayang dilaporkan stabil dan semakin menunjukkan perubahan positif," katanya.

Lebih 8,000 pendatang ditangkap sejak Jan-Mac



KUALA LUMPUR - Seramai 8,604 pendatang asing tanpa izin ditangkap dan 7,418 dihantar pulang ke negara masing-masing. Bagi tempoh antara Januari dan Mac lalu 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, bagi tempoh antara 2001 hingga tahun lalu, kerajaan menghantar pulang 555,862 pendatang tanpa izin sementara jumlah yang ditangkap ialah 391,785 orang. 

"Tangkapan itu dibuat Jabatan Imigresen serta pihak penguatkuasa lain seperti polis," katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin di persidangan Dewan Negara, di sini, semalam. 

Chee Leong berkata, kerajaan mewujudkan dua peringkat pengawalan iaitu sebelum memasuki negara dan setelah berada di negara ini. 

"Bagi kategori pertama, kerajaan mengawal ketat pintu masuk negara dan memastikan pelancong asing mempunyai tiket pulang ke negara mereka, selain mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai perbelanjaan mereka sepanjang berada di sini. 

"Selain itu, pihak berkuasa juga mempertingkatkan pengawasan perairan negara terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan bot haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin," katanya. 

Bagi kategori kedua, Chee Leong berkata, kerajaan menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan seperti polis, Rela dan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan warga asing yang melanggar peraturan negara. 

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, anggaran 1.9 juta pendatang tanpa izin dibuat berasaskan pengiraan bagi seorang pendatang tanpa izin bagi setiap pendatang yang masuk secara sah. 

“Kita tidak boleh tahu dengan tepat kerajaan tidak ada mekanisme untuk mengesan mereka memandangkan kemasukan mereka adalah secara tidak sah,” katanya. - Bernama

Bicara penuh bagi semakan kehakiman tukar agama anak guru tadika


IPOH - Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan perbicaraan secara penuh bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh guru tadika M.Indira Gandhi untuk membatalkan keputusan penukaran agama bagi ketiga-tiga anaknya.

Indira Gandhi yang turut hadir ke mahkamah hari ini, memperoleh hak penjagaan bagi ketiga-tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny (Ummu Salamah), 13, Karan Dinish (Abu Bakar), 12, dan Prasana Diksa, 2, pada Mac lepas telah memohon untuk mengenepikan penukaran agama Islam daripada agama Hindu terhadap kesemua anaknya yang dilakukan oleh bekas suaminya Mohd Ridzuan Abdullah.

Hakim, Zainal Adzam Abdul Ghani membuat keputusan dalam kamarnya di hadapan peguam M.Kulasegaran, N. Selvam dan Chong Xian Ci yang mewakili Indira Gandhi tanpa kehadiran peguam mewakili Mohd Ridzuan. 

Kulasegaran berkata, hakim tidak memberi sebarang alasan ketika menetapkan keputusan itu namun berpendapat kes itu melibatkan kepentingan awam dan ia perlu diselesaikan segera.

"Hakim ada bertanya kepada kami sama ada mahu menunggu kes S.Shamala yang lebih kurang sama (dengan kes Indira Gandhi) yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun kami memohon supaya kes Indira Gandhi ini diteruskan kerana ia telah berlanjutan," katanya.
Selain itu, pihaknya juga telah menyediakan hujah bertulis untuk kes berkenaan didengar, katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menfailkan semakan kehakiman itu dalam masa 14 hari dan mahkamah akan menetapkan tarikh kes itu didengar.

Dalam permohonan mendapatkan kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman itu, Indira Gandhi menamakan Pendaftar Mualaf Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), kerajaan negeri Perak, Kementerian Pelajaran, kerajaan Malaysia, dan bekas suaminya K. Pathmanathan (Mohd Ridzuan) sebagai responden.

Pada 24 April 2009, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte oleh Indira Gandhi, untuk mendapatkan hak penjagaan sementara tiga anaknya dan injunksi menghalang bekas suaminya itu daripada memasuki rumah mereka.

Bagaimanapun, pada 5 Mei 2009, mahkamah membenarkan permohonan Mohd Ridzuan untuk menangguhkan perintah hak penjagaan sementara ketiga-tiga anak yang diperoleh Indira Gandi.

Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Mohd Ridzuan.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan hak penjagaan anak bongsunya Prasana Diksa yang berusia 22 bulan (kini dua tahun) diserahkan kepada Indira Gandhi selepas kes perebutan hak penjagaan itu berlarutan sejak tahun lepas.

Pada 1 April, Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan Mohd Ridzuan supaya mahkamah menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang diperoleh oleh Indira Gandhi itu.

Kes ini mendapat perhatian ramai kerana wujud konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam menentukan hak penjagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk Islam.-Bernama

Mati akibat panas melampau




TOKYO - Sekurang-kurangnya 66 penduduk meninggal dunia dan 15,000 lagi dihantar ke hospital akibat cuaca panas melampau di Jepun sejak dua bulan lalu. 

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan, sejak musim hujan berakhir awal Julai, tahap kepanasan di Jepun mencecah 35 darjah Celsius. 

Catatan itu diperoleh di lebih 90 pusat kaji cuaca seluruh negara pada Ahad lalu. 

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana mengesahkan, 9,436 orang dihantar ke hospital dan 57 lagi disahkan mati akibat cuaca panas melampau sepanjang minggu lalu. 

Data cuaca panas melampau mula dikumpulkan sejak 2008 dan pada bulan Julai serta Ogos tahun itu, 47 penduduk terkorban; manakala 16 terbunuh dalam tempoh sama tahun lalu.