Search This Blog

Tuesday, July 27, 2010

Katrina Kaif nafi adegan video seks

Laman web lapor rakaman mirip pelakon 

MUMBAI: Aktres terkenal Bollywood, Katrina Kaif, menjadi mangsa gosip menuduhnya terbabit dalam satu video seks yang kini boleh ditonton di internet, selain dihantar kepada pemilik telefon bimbit menyebabkan ramai percaya pelakonnya ialah kekasih Salman Khan itu. 

Sebelum ini, kakak Katrina turut menjadi mangsa tohmahan apabila dituduh beraksi panas menerusi mesej bergambar di telefon bimbit (MMS).Khabar angin dan spekulasi bertiup kencang, walaupun laman web Desihits melaporkan bahawa pelakon yang menanggalkan pakaiannya dalam klip itu hanya mirip Katrina.
Katrina juga menafikan sebarang pembabitan dalam pembikinan video itu. Beliau mengakui sedar dengan khabar angin itu dan sudah melihat MMS berkenaan serta menolak dirinya adalah pelakon dalam klip berkenaan. 

Jika dakwaan berkenaan didapati benar, ia akan menjejaskan kerjaya Katrina di India kerana pengedaran video seumpama itu adalah haram. 

Spekulasi menuduhnya adalah tidak adil, kata seorang rakan rapat Katrina. Ramai orang mengedarkan video dan berita menggunakan namanya untuk menimbulkan minat, debat dan publisiti. 

Setiap gadis berkulit cerah tidak semestinya nampak seperti Katrina. Saya berasa tidak adil beliau menjadi sasaran pihak tertentu untuk mendakwa sesuatu yang pelik seperti ini. 
Katrina kemudian membuat kenyataan: Video itu menjijikkan dan pelakonnya tidak langsung sama seperti saya. Tidak perlu buat spekulasi. Wajahnya berbeza sama sekali. 

Tidak lama dulu, satu video dikatakan membabitkan adik perempuannya, Isabel, menarik perhatian orang ramai. 

Ibu mereka, Suzanne Turquotte menafikan video itu membabitkan Isabel dan mereka bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas siapa saja yang memuat naik atau mengedarkannya menggunakan nama Isabel. 

Pada 2005, tuduhan yang sama dilemparkan terhadap aktres seksi, Mallika Sherawat apabila seorang wanita berusia 19 tahun dikatakan pelakon utama dalam skandal itu. 

Peminat dunia siber dan forum internet dilaporkan sibuk membahaskan klip itu yang bertajuk Katrina Kaif sex scandal. Agensi 

DiCaprio hampir mati



Gara-gara tangki oksigen tidak diikat dengan betul, Leonardo DiCaprio hampir menemui ajalnya apabila mengalami tekanan 20kg dan menyebabkan hero Titanic itu hampir lemas. 

Perkara yang dilalui DiCaprio itu bukan aksi lakonan di dalam filem terbaru namun apa yang terjadi di Pulau Galapagos itu adalah kenyataan. 

Perkara itu berlaku ketika DiCaprio sedang asyik melakukan penggambaran bersama sekumpulan ikan pari. 

"Saya sedang cuba mengambil gambar dengan sebuah kamera. Saya percaya tangki tidak diikat dengan betul dan saya mengalami tekanan sebanyak 20kg,” katanya kepada media. 

DiCaprio mengaku dia terbayangkan hayatnya akan berlalu di depan mata. 

”Apa yang fikir ketika itu adalah membebaskan diri dari situasi tersebut,” katanya.

Beri rasuah kesalahan serius - SPRM




KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan dan persepsi segelintir masyarakat bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap penerima rasuah sahaja. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar berkata, perbuatan memberi suapan rasuah juga adalah kesalahan yang serius dan pihak yang melakukannya akan tetap dikenakan hukuman. 

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa perbuatan memberi rasuah itu adalah kesalahan jenayah kerana kebiasaannya pendakwaan kes rasuah yang dipaparkan media lebih banyak tertumpu kepada individu yang menerima rasuah. 

“Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah adalah suatu kesalahan yang sama berat dengan menerima rasuah dan hukuman yang diberikan juga sama,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Perangi Rasuah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam. 

Upacara perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Fuad Ismail, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusof dan Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Yusoff Akope. 

Menurutnya, kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam menunjukkan penurunan dalam tempoh tiga tahun sebelum ini iaitu daripada 51 peratus pada 2007 kepada 39 peratus pada 2009. 

“Perkara ini memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat dan mereka sudah berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan pemberi rasuah," katanya.

Dua remaja dihantar ke sekolah pemulihan akhlak kerana merompak



KUALA LUMPUR - Dua remaja diperintah menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak oleh Mahkamah Sesyen selepas mereka mengaku bersalah merompak seorang pelancong asing, awal bulan ini.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin memutuskan remaja lelaki berusia 19 tahun itu dihantar ke sekolah Henry Gurney, Melaka, selama dua tahun manakala rakannya berusia 16 tahun ke Sekolah Tunas Bakti, Jerantut, Pahang, selama tiga tahun.

Kedua-dua sahabat itu didakwa meragut dua utas rantai leher emas bernilai RM3,500 milik pelancong New Zealand, Franches Highted, di tingkat sembilan, Hotel Federal, Jalan Bukit Bintang, di sini, pada pukul 8.30 malam, 3 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon agar hukuman ke atas mereka diringankan kerana menyesali perbuatan yang dilakukan.

Teman lelaki dera bayi




BANDARAYA MELAKA - Seorang bayi perempuan berumur lapan bulan dipercayai didera teman lelaki ibunya sehingga menyebabkan kesan lebam di kepala dan kaki mangsa. 

Kesan lebam pada bayi yang juga anak bongsu wanita berkenaan hanya disedari selepas mengambil kelima-lima anaknya di rumah teman lelakinya itu setelah pulang kerja, jam 1 pagi, semalam. 

Ibu mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, dia meminta teman lelakinya menjaga anaknya berikutan pengasuh bercuti sehari. 

“Saya tumpangkan anak di rumah teman lelaki kerana dia tidak kerja semalam (kelmarin) tetapi saya terperanjat apabila melihat kesan lebam pada beberapa bahagian tubuh bayi saya. 

“Saya tanya kenapa jadi begini tetapi teman lelaki hanya memberi alasan, anak saya degil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka, semalam. 

Penganggur rogol pelancong dijel 16 tahun

MELAKA: Seorang penganggur kejam yang memukul kepala pelancong warga Thailand sebelum mengheretnya ke rumah kosong di Bandar Hilir lalu dirogol dan dirompak pada awal pagi Hari Kemerdekaan dua tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun serta 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, semalam.
Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membuat keputusan itu, selepas mendapati tertuduh, PR Shanmuganathan, 28, bersalah terhadap dua tuduhan dihadapi.
Menurutnya, tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dan mahkamah perlu menilai keseluruhan hujahan sama ada terdapat keraguan munasabah ditimbulkan tertuduh terhadap kes pendakwaan.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan mangsa saksi yang tidak boleh dipercayai, tiada keterangan sokongan dan hubungan seks suka sama suka kerana terdapat temu janji terlebih dulu, namun semua keterangan itu ditolak mahkamah.

“Mahkamah mengambil kira kes ini selepas perbicaraan penuh dan tertuduh disabitkan dengan dua kesalahan itu. “Kecederaan mangsa agak parah kerana pisau dan kayu digunakan dalam kejadian itu boleh mendatangkan kecederaan dan kematian. “Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman berjalan berasingan dari tarikh jatuh hukum hari ini,” katanya. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa berusia 20 tahun ddalam rumah kosong di Bandar Hilir, pada 31 Ogos 2008, kira-kira jam 3.30 pagi yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, merompak telefon bimbit Nokia dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada jam 3.35 pagi di tempat dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail berkata, tertuduh menghadapi dua pertuduhan serius yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sehingga 20 tahun dan mangsa cedera parah akibat dipukul di kepala dengan kayu.

Pintas trak polis

KOTA TINGGI: Seorang tekong darat warga tempatan melakukan aksi ala filem Hollywood dengan memintas trak polis membawa pendatang asing sebelum keluar daripada kereta Volvo 940 dipandunya semata-mata untuk menawarkan wang tunai rupiah selain RM7,000 sebagai tukaran membebaskan Pati terbabit, Jumaat lalu.
Akibatnya, dalam kejadian jam 9 malam di Ladang Blok 10, Felda Kledang di sini, tekong darat terbabit yang juga dikatakan gila seks kerana telefon bimbitnya dipenuhi ratusan video klip lucah ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Berdasarkan kronologi kejadian, polis menerima maklumat berkaitan kehadiran 13 pendatang di lokasi berkenaan sebelum melakukan serbuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, pemeriksaan mendapati pendatang terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah sebelum ditahan untuk membantu siasatan.

“Trak polis dalam perjalanan membawa pendatang terbabit ke Balai Polis Sungai Rengit yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari sana untuk proses dokumentasi sebelum dipintas ‘hero’ terbabit.

“Pemandunya yang juga lelaki tempatan berusia 37 tahun terus keluar dari kereta itu dan mahu berbincang dengan polis untuk membebaskan pendatang terbabit dengan menawarkan wang tunai 4 juta rupiah serta RM7,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi, Asisten Mohd Hamizi Abdullah dan Ketua Balai Polis Sungai Rengit, Cif Inspektor Abdullah Sani.

Menurutnya, polis bagaimanapun memberi amaran kepada lelaki terbabit mengatakan perbuatan itu salah dan dia boleh dikenakan tindakan, tetapi tekong darat berkenaan berdegil.

Polis menahan lelaki terbabit selain tiga lagi lelaki pendatang tanpa izin yang berada di dalam kereta dipandunya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjalankan aktiviti sebagai tekong darat sejak tiga tahun lalu dan kami masih lagi menyiasat jumlah pendatang dibawa masuk melaluinya.

“Keseluruhan tangkapan membabitkan 16 pendatang tanpa izin warga Indonesia berusia antara sembilan bulan hingga 37 tahun manakala kereta, wang tunai serta telefon bimbitnya dirampas,” katanya.
Berdasarkan dua unit telefon bimbit dirampas daripada lelaki terbabit, polis menemui lebih 200 klip video lucah pelbagai tajuk.

Menurut Muhammad, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah.

“Lelaki terbabit pula disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana menjadi pelindung, Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan bahan lucah dan Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba menyogok penjawat awam,” katanya.

Muhammad turut memuji pegawai serta anggota polis yang terbabit dalam operasi berkenaan kerana menolak rasuah ditawarkan.
Menurut beliau, sebagai insentif menolak rasuah, SPRM akan menghadiahkan sejumlah wang sogokan itu kepada pegawai serta anggota berkenaan selepas selesai perbicaraan.

“Pegawai serta anggota polis yang berintegriti dan menolak rasuah juga akan menerima surat kepujian dari Ketua Polis Negara dan kriteria berkenaan membolehkan mereka berpeluang untuk memohon kenaikan pangkat,” katanya.

Pecah kereta ustaz

KUALA LUMPUR: Seorang pengacara rancangan bual bicara agama TV9, Halaqah kerugian RM5,000 apabila wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun rumah anak yatim lesap selepas keretanya dipecah, tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pengacara berkenaan, Mohd Fauzi Mustaffa, 40, berada di Rumah Anak Yatim Darul Taqwa (Asdad), Sungai Besi, di sini, manakala keretanya diletakkan di tempat letak kereta berhampiran.
Beliau berkata, dia singgah di rumah anak yatim berkenaan selepas dijemput menjadi tetamu kehormat pada majlis penyerahan bas kepada rumah anak yatim berkenaan sebelum ke Bangi bagi memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun.

“Saya tiba di rumah anak yatim berkenaan kira-kira jam 11 pagi dan hanya menyedari kereta saya dipecah kira-kira jam 2 petang selepas mendapati banyak kaca bertaburan,” katanya ketika di temui di sini, kelmarin.

Katanya, sejurus kemudian, dia mencari sampul duit yang diletakkan di dalam beg bimbit yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang kereta Perodua Myvi miliknya.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati beg berkenaan sudah hilang termasuk duit anak yatim.

Mohd Fauzi berkata, wang RM5,000 berkenaan adalah hasil derma jemaah masjid di sekitar Damansara yang akan diserahkan kepada masyarakat Kemboja termasuk anak-anak yatim di Bangi bagi menghadapi Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, mungkin ini adalah ujian kepadanya apabila turut kehilangan pasport pada saat dia perlu menghadiri seminar yang akan berlangsung di Singapura, Sabtu ini.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi berhubung kejadian itu.

Lelaki menyamar wanita gagal rompak bank

SWISSVALE (Pennsylvania): Pihak berkuasa semalam berkata, seorang lelaki merompak sebuah bank dengan memakai rambut palsu wanita, payu dara palsu dan seluar badut.
Polis Swissvale berkata, Dennis Hawkins, 48, ditangkap dalam sebuah kereta dengan mukanya berlumuran pencelup merah akibat letupan bungkusan dalam karung wang ketika dia ditangkap.
Ketua Polis, Greg Geppert berkata, Hawkins merompak bank itu menggunakan pistol mainan yang dicurinya dari sebuah kedai. - Agensi

Bunuh, makan mayat mangsa

MOSCOW: Enam pemuda yang mengisytiharkan diri mereka pengikut Syaitan semalam dipenjara sehingga 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh empat remaja belasan tahun dan mengerat mayat mereka di sebuah hutan.
Keenam-enam mereka, empat daripadaya berusia bawah umur ketika kejadian, didakwa turut memakan sebahagian anggota tubuh mangsa di kawasan hutan berhampiran bandar Yaroslavi, timur laut Moscow.
Mereka didapati bersalah membunuh empat orang dengan tujuan memulakan upacara keagamaan dan ‘merosakkan’ mayat mangsa,” menurut kenyataan mahkamah di Yaroslavi.

Kumpulan berkenaan membunuh keempat-empat remaja itu pada Jun 2008. Mereka kemudian mengerat mayat dan mencuri barangan milik mangsa.

Saki baki mayat berkenaan ditemui tertanam di hutan itu Ogos tahun lalu.

Tertuduh didapati bersalah atas tuduhan membunuh sementara empat daripada mereka turut didapati bersalah atas tuduhan merosakkan mayat.

Hukuman penjara 20 tahun, yang paling lama, dikenakan terhadap ketua kumpulan itu, Nikolai Ogolobnyak.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, anggota kumpulan itu menikam mangsa dan kemudian mengerat mayat mereka, memasak dan memakan sebahagian anggota tubuh mangsa.

Empat anggota bawah umur kumpulan itu dipenjara 10 tahun, hukuman maksimum untuk tuduhan membunuh, kata pendakwa raya, Tatyana Rachinskaya selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan. - AP

Dua didakwa

AMPANG: Seorang penghantar surat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol tiga remaja berusia 12 tahun hingga 14 tahun sejak April lalu sehingga dia ditangkap pertengahan Julai lalu.

TERTUDUH...Lee (kanan) bersama Aidil dibawa ke mahkamah, semalam.
TERTUDUH...Lee (kanan) bersama Aidil dibawa ke mahkamah, semalam.

Aidil Rashid, 34, yang diwakili peguam Dr Mohd Radzuan Ibrahim, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, Aidil didakwa merogol remaja berusia 14 tahun sembilan bulan antara Mei hingga Jun lalu pada jam 3 petang di Taman Industri, Lembah Jaya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Aidil didakwa merogol remaja berusia 13 tahun lapan bulan antara April hingga Jun pada jam 3 petang di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan antara Mei hingga Julai pada jam 6.30 petang, juga di tempat sama.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Lee Kwong Mun, 36, yang bekerja sebagai penarik kereta dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan merogol serta tidak mengaku bersalah.

Dia didakwa merogol remaja berusia 14 tahun sembilan bulan pada Mei lalu antara jam 9 malam hingga 9.30 malam di kawasan sama.

Selain itu, Lee juga didakwa merogol remaja berusia 13 tahun lapan bulan antara Ogos tahun lalu hingga Jun lalu pada jam 8 malam di kawasan sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan rotan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan bimbang kedua-dua tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi memandangkan mereka berada di kawasan sama.

Bagaimanapun, Dr Mohd Radzuan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, mahkamah mempunyai budi bicara dalam memberi jaminan dan boleh memberi syarat tambahan kepada anak guamnya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Nordalina untuk dua kes dibicarakan bersama memandangkan ia membabitkan mangsa dan saksi sama.

Syabu dalam tapak kasut

SEREMBAN: Langkah longlai seorang lelaki warga Iran ketika baru tiba dari penerbangan luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, membongkar perbuatannya menyembunyikan syabu dalam kasut dipakainya.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu, lelaki berusia 20-an itu mendapat perhatian pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang melakukan pemeriksaan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Timbalan Pengarah KDRM Cawangan Narkotik, Mohd Subri Awang, berkata pemeriksaan terhadap bagasi dibawa lelaki warga asing yang baru tiba dari Doha itu pada mulanya tidak menemui bahan mencurigakan.

“Kami menjalankan pemeriksaan lanjut pada kasut dipakainya sebelum menemui kira-kira 418.35 gram disyaki syabu dianggarkan bernilai RM104,587 yang disembunyikan dalam tapak kasutnya.

“Siasatan mendapati lelaki itu baru pertama kali datang ke negara ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat KDRM di Kampung Jijan di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam tangkapan kira-kira 12 jam sebelum itu, pihaknya mematahkan cubaan seorang lelaki warga Iran untuk menyeludup syabu.

Menurutnya, lelaki berusia 20-an itu dilihat mencurigakan sebelum anggota KDRM mengarahkannya menjalani pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dalam seluar dalam dipakai lelaki itu, kami menemui enam bungkusan kecil seberat 1,250 gram syabu.

“Dadah dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM312,500 mengikut harga pasaran,” katanya.

Katanya, lelaki ditahan itu juga didapati kali pertama datang ke negara ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki warga Iran ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Maut ketika latihan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kem Jugra, Banting, Selangor terbunuh ketika menjalani latihan terjun payung di Pangkalan Udara TUDM, Gong Kedak, Besut, Terengganu petang semalam.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu, berkata dalam kejadian jam 1.59 tengah hari Allahyarham Laskar Udara Kanan Hasnizam Ab Wahid, 25, disahkan meninggal dunia jam 3.59 petang ketika dirawat di Hospital Besut.
Hasnizam yang berasal dari Batu Pahat, Johor, sudah berkahwin Oktober tahun lalu, tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Allahyarham menjalani Kursus Terjun Statik Tempur Siri 1/2010 di pangkalan udara berkenaan parah selepas payung terjun yang digunakan untuk latihan gagal berfungsi sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Dua dibiar mati atas jalan

PEKAN: Seorang pemandu layak digelar ‘pemandu dajal’ apabila bukan saja melanggar, malah meninggalkan mangsanya yang meninggal dunia di tempat kejadian di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Chini, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Mohd Khairulnizam Yahaya, 28, dari Felda Chini Timur Satu dan Mohd Tarmimi Wahab, 23, dari Felda Chini Timur Tiga, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata dua sahabat terbabit yang bekerja sendiri cedera di kepala sebelum mayat mereka ditemui seorang pemandu.

Menurutnya, siasatan mendapati, dua sahabat terbabit dalam perjalanan menghala ke Felda Chini dari Kuantan sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti identiti pemandunya.

Katanya, selepas dirempuh, mangsa ditinggalkan dalam keadaan berlumuran darah di kepala serta luka di tubuh dengan pemandu kenderaan terbabit memecut kenderaannya meninggalkan tempat kejadian.

Mati terhumban dari laluan bertingkat 10m

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan sebuah bank maut selepas tercampak dari ketinggian 10 meter sebaik motosikal ditungganginya gagal dikawal di Kilometer 7.1, Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (Akleh) berhampiran Kampung Baru, di sini, semalam.

TRAGEDI...gambar kanan menunjukkan laluan mangsa tercampak. Gambar kiri, mayat mangsa terbujur dilaluan bawah. Gambar kecil, Muhammad Fuad.
TRAGEDI...gambar kanan menunjukkan laluan mangsa tercampak. Gambar kiri, mayat mangsa terbujur dilaluan bawah. Gambar kecil, Muhammad Fuad.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Fuad Ahmad, 28, dipercayai menunggang secara berseorangan di laluan bertingkat berkenaan sebelum secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh penghadang jalan.
Jurucakap polis berkata, berikutan rempuhan itu, mangsa melambung lalu terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter ke laluan bawah lebuh raya bertingkat itu.

“Berdasarkan dokumen yang ditemui padanya, mangsa didapati berasal dari Kampung Datuk Ahmad Said, Ipoh, Perak,” katanya.

Mangsa mati serta-merta di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Dihempap tilam buruk ‘terbang’

GOMBAK: Seorang remaja perempuan tiba-tiba tergolek di atas jalan raya selepas dia yang menunggang motosikal dihempap sebuah tilam buruk yang ‘terbang’ dari sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Dua, MRR2 di sini, kelmarin.


CEDERA...Lili Norhayati yang cedera diberi rawatan oleh anggota JPAM sebelum dihantar ke hospital.
CEDERA...Lili Norhayati yang cedera diberi rawatan oleh anggota JPAM sebelum dihantar ke hospital.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, penunggang malang itu, Lili Norhayati Buchari, 19, yang kebetulan mengekori lori itu terkejut apabila sebuah tilam dan sebatang kayu sepanjang satu meter jatuh dari atas lori berkenaan sebelum menimpanya.

Difahamkan, semuanya bermula apabila sebuah lori membawa muatan pelbagai sampah seperti kayu dan tilam dalam perjalanan dari Selayang ke pusat pelupusan sampah di Kepong.

“Tiba-tiba sebuah tilam terjatuh dan menimpa saya yang kebetulan berada di lorong kiri jalan menyebabkan saya gagal mengawal motosikal lalu terjatuh di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, beberapa kereta yang mengekori motosikalnya sempat membrek sebaik menyedari dia terjatuh di atas jalan raya.

“Mujurlah pemandu kereta terbabit sempat mengelak dan memberhentikan kenderaan, jika tidak sudah pasti saya maut digilis,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Lili Norhayati yang cedera di lengan, bahu, betis dan kaki dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak di Ampang, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Buloh, turut mengalami kerugian berikutan motosikalnya rosak teruk selain telefon bimbitnya pecah.
Pemandu lori sampah terbabit turut memberhentikan kenderaan sebaik diberitahu orang ramai tilam dibawanya terjatuh hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal tercedera.

Naluri ibu benar belaka

BATU PAHAT: “Naluri keibuan saya pernah terlintas mengatakan anak saya mungkin akan ditimpa kemalangan, tetapi tidak sekali-kali menjangka ia menjadi kenyataan.


PILU...Nik Hasnah mencium kain pemberian arwah anaknya, Hasnizan (gambar kecil).
PILU...Nik Hasnah mencium kain pemberian arwah anaknya, Hasnizan (gambar kecil).

“Kini yang tinggal hanya kenangan dan hadiah terakhirnya berbentuk baju kurung serta wang RM100 untuk sambutan Aidilfitri yang diberikannya ketika menyambut hari lahir saya ke-47, 3 Mac lalu,” kata ibu pelatih Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Nik Hasnah Nik Yeh, 47.

Dia pitam seketika selepas diberitahu anak keduanya, Hasnizan Abdul Wahid, 27, meninggal dunia akibat parah selepas payung terjun digunakan tidak berfungsi dalam latihan terjunan di Terengganu, semalam.

Ibu enam anak itu, baru pulang daripada kelas mengaji al-Quran sebelum diberitahu berita berkenaan oleh anak bongsunya seolah-olah mengiakan segala kebimbangannya selama ini.

Nik Hasnah ketika ditemui berkata, sejak Allahyarham memberitahu dia ingin menyertai pasukan payung terjun tahun lalu, hatinya sentiasa berdebar-debar dan tidak tenteram.

Menurutnya, itu kali terakhir dia bertemu sebelum Hasnizan meneruskan latihan, namun anaknya yang melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober tahun lalu tidak pernah lupa menelefonnya setiap kali sebelum memulakan latihan.
Katanya, kali terakhir Hasnizan menghubunginya pada jam 9 malam kelmarin, apabila arwah memberitahu akan menjalani latihan dan meminta dia mendoakan keselamatannya ketika melakukan terjunan semalam.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdul Wahid Saim, 52, berkata dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 3.30 petang semalam, ketika membaiki atap zink di rumah jirannya.
Katanya, seorang pegawai TUDM menghubungi telefon bimbitnya dan memberitahu supaya bersabar dan tidak terkejut dengan berita yang bakal disampaikan.

“Pegawai itu memberitahu ada kejadian tidak diingini berlaku di mana payung terjun arwah tidak terbuka dan terjatuh dari ketinggian 5,000 kaki.

“Pegawai berkenaan berkata, ketika kejadian Hasnizan dalam keadaan stabil, tetapi kritikal sebelum menerima panggilan kali kedua beberapa minit kemudian mengatakan dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.

Abang sulung mangsa, Indra Amirul Nizam, 27, berkata adiknya itu pernah mengajaknya ke Kuala Lumpur untuk melihat keadaannya di sana, tetapi tidak sempat berbuat demikian.

“Mak ada cakap arwah seorang pendiam dan suka menyendiri di rumah, tetapi dia suka melayan adik-beradik.

“Keluarga kami memilih kerjaya tentera kerana mengikut jejak datuk dan bapa sebelum diikuti Allahyarham,” katanya.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mampan, Simpang Lima di sini.

Difahamkan, Allahyarham Hasnizan menyertai Paskau sejak Julai tahun lalu selepas menyertai TUDM pada 2002.

Allahyarham melangsungkan perkahwinan dengan seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, namun belum dikurniakan zuriat.

Diselamat JKM

MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dipercayai didera berikutan mengalami kesan lebam dan kecederaan pada beberapa bahagian badan, diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sebuah rumah di Batu Berendam, semalam.

DUKUNG...bayi  dipercayai didera berikutan ada kesan lebam.
DUKUNG...bayi dipercayai didera berikutan ada kesan lebam.

Difahamkan, bayi malang itu diselamatkan selepas seorang penduduk menghubungi JKM selepas mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa mangsa.

Pegawai JKM Melaka Tengah, Saidatul Aini Jafri berkata, sebaik menerima maklumat pengadu kira-kira jam 11 pagi, sepasukan pegawainya bergegas ke rumah dipercayai milik pengasuh kanak-kanak itu untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, pengadu memaklumkan bayi itu dalam keadaan lemah, selain mempunyai beberapa kesan kecederaan.

“Sejurus tiba, pegawai kami melakukan pemeriksaan dan mendapati aduan itu berasas apabila bayi berkenaan mengalami banyak kesan lebam pada beberapa bahagian badan termasuk di muka, kaki dan tangan. Dia dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini, bayi berkenaan masih dirawat dan diletakkan di bawah pemerhatian doktor sebelum tindakan susulan diambil,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Kecemasan HM, di sini, semalam. Saidatul Aini berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat menentukan individu terbabit menyebabkan bayi itu mengalami kecederaan.

“Kami masih menunggu laporan penuh doktor yang merawat bayi itu sama ada terdapat unsur penderaan atau sebaliknya. Apabila mendapat pengesahan perubatan sama ada bayi berkenaan didera atau sebaliknya baru kita membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Ketika dibawa pemeriksaan, doktor mengarahkan bayi berkenaan ditahan di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, daripada maklumat awal diperoleh, tiga wanita termasuk seorang pengasuh berada di rumah itu bagi menjaga lima anak kepada seorang wanita berusia 28 tahun termasuk bayi malang berkenaan.

“Saya difahamkan, pengasuh terbabit juga terkejut melihat kecederaan dialami bayi berkenaan sebelum kami menerima aduan kejadian itu,” katanya yang turut menjelaskan hasil semakan sijil kelahiran mendapati bayi itu disyaki anak tidak sah taraf kerana nama bapanya tidak dinyatakan.

Difahamkan, ibu bayi malang itu mendakwa ditinggalkan suaminya sejak setahun lalu, namun masih belum diceraikan dan menetap serumah bersama teman lelakinya yang juga rakan sekerjanya di sebuah pasar raya berusia 20-an.

Menurut wanita berkenaan, dia terkejut apabila mendapati anak bongsu daripada lima beradik itu mengalami kesan lebam.

Patah kaki suami balik kerusi

AMPANG: Hanya kerana enggan membuka pintu rumah, seorang wanita menerima padah apabila dia dibaling kerusi oleh suaminya yang ketika itu pulang dalam keadaan mabuk dalam satu kejadian di Taman Nirwana, di sini Rabu lalu.
Akibatnya, isteri malang berusia 32 tahun itu terpaksa menanggung azab apabila tangannya patah selain mengalami beberapa kecederaan di muka, kepala dan juga badan.
Mangsa yang ketakutan dan dalam keadaan menahan kesakitan sempat berlari keluar sebelum dia meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke balai polis.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi dan ketika itu suaminya yang pulang dalam keadaan mabuk berada di luar rumah dan menekan loceng beberapa kali.

“Bagaimanapun, wanita terbabit yang ketakutan enggan melayan kerenah suaminya yang pulang dalam keadaan mabuk dan dia langsung tidak membuka pintu.

“Tindakannya itu mengundang marah kepada lelaki berkenaan sebelum dia akhirnya berjaya masuk ke dalam rumah sebelum mencari mangsa,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan marah yang tidak dapat dibendung itu, lelaki terbabit mengejar mangsa yang kemudian melarikan diri ke tingkat atas rumah mereka.

“Lelaki berkenaan cuba menangkap mangsa untuk melepaskan kemarahan, namun gagal sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

“Bagaimanapun, ketika sedang menuruni tangga, suaminya sempat menghayun kerusi kayu yang kemudian melayang dan terkena mangsa hingga membuatkan tangannya patah,” katanya.

Sumber terbabit berkata, takut melihat tindakan suaminya yang seolah-olah hilang akal itu, mangsa akhirnya berlari keluar dan meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke balai polis.

“Susulan laporan itu, polis kemudian bergegas ke rumah mangsa dan menahan suaminya,” katanya.

Tunggu penjelasan: Datin nafi dalang jual bayi

KUCHING: “Kami bukan penjual bayi,” itulah perkataan diucapkan seorang wanita bergelar Datin kepada kumpulan wartawan sebaik membuat laporan di Balai Polis Padungan, petang semalam.
Kata-kata itu dilemparkan dipercayai berikutan perasaan tidak puas hati isteri kepada seorang ahli perniagaan terbabit dengan laporan dibuat media selain memberi amaran akan menyaman mana-mana akhbar sekiranya menyiarkan laporan mengenai mereka.
“You (wartawan)...tunggulah. Saya akan menceritakan segala-galanya...dari A sampai Z...saya akan panggil awak bila tiba masanya,” katanya sebelum meninggalkan balai polis berkenaan.

Malah, ketika proses reman dijalankan terhadap mereka, beberapa ahli keluarga pasangan berkenaan turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap media jika terus menyiarkan gambar bayi dan kanak-kanak serta pasangan berkenaan.

Terdahulu, Datin berusia 43 tahun itu tiba di balai polis terbabit sambil ditemani suaminya sebelum membuat dua laporan iaitu membabitkan penyiaran gambar bayi dan kanak-kanak oleh sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd).

Satu lagi laporan dibuat berhubung tindakan mereka dan ahli keluarganya dihalang daripada menemui bayi dan kanak-kanak terbabit.

Pasangan berkenaan dibebaskan Jumaat lalu selepas hampir dua minggu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seludup dan menjual bayi.

Peguamnya, Francis Wee, berkata dua laporan berasingan dibuat di Balai Polis Padungan berikutan penyiaran gambar bayi dan kanak-kanak oleh akhbar terbabit bertarikh 16 Julai lalu yang melanggar Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak.

“Kami mempertikai bagaimana akhbar ini memperoleh gambar bayi dan kanak-kanak yang ketika itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedangkan kami tidak dibenarkan menemui mereka,” katanya.

Tindakan tatatertib ke atas anggota polis di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seorang Inspektor dan 23 konstabel di Negeri Sembilan telah dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan disiplin dan salah laku dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam tempoh yang sama tahun lalu, seramai tiga pegawai dan 13 anggota dikenakan tindakan tatatertib.
"Mereka ini terbabit dalam pelbagai kesalahan seperti tidak hadir bertugas, mengambil dadah dan mengunjungi pusat hiburan," katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan Kontingen Polis Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mengenai jenayah, Osman berkata, jenayah indeks di negeri itu menurun sebanyak 19.21 peratus atau sebanyak 786 kes dalam tempoh enam bulan pertama itu.

"Sebanyak 3,305 kes dilaporkan berbanding 4,091 kes tahun lalu." katanya.

Pada majlis itu, seramai 51 orang pegawai, anggota dan kakitangan awam menerima surat penghargaan.-Bernama

Dadah: Tiga lelaki terlepas hukuman mati

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengajar vokasional di sebuah kolej Islam daripada pertuduhan mengedar 511 gram dadah jenis kanabis, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Wan Isbullah Wan Mohd, 28, serta Mohd Hasrol Hashim, 24, seorang penyelia dan Syahrizan Jemaan, 24, seorang kontraktor.
Dalam penghakimannya, Akhtar berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah itu selain pegawai penyiasat juga tidak memanggil unit forensik untuk pengesahan cap jari. Ketiga-tiga mereka didakwa menjalankan niat umum bersama mengedar dadah itu di No 22, lorong Permatang Badak Perdana, Batu 5, Jalan Gambang di sini, kira-kira pukul 2 pagi pada 3 Disember 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori. Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memanggil seramai lapan saksi memberi keterangan.

Wan Isbullah, Mohd Hasrol dan Syahrizan masing-masing diwakili peguam Richard Bong, Harmizi Mat dan Bob Arumugam.

Sementara itu, bekas pengajar vokasional terbabit, Wan Isbullah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia seolah-olah mati hidup semula selepas mendengar keputusan itu.

Katanya, dia bersyukur dapat membersihkan namanya dan keluarga serta menikmati semula kehidupan selepas meringkuk di penjara selama tujuh bulan.

-Bernama

Mayat pekerja perindustrian dijumpai berhampiran Jeti Prai

GEORGE TOWN: Mayat seorang pekerja perindustrian dijumpai tersangkut pada jeti di Prai Depot, Seberang Prai Tengah semalam.
Mangsa dikenali sebagai M Ganesh, 39, yang dipercayai lemas.
"Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira jam 4 petang dengan berpakaian lengkap berbaju kemeja kuning dan berseluar pendek coklat," kata sumber polis.

Polis sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa.-Bernama

Lelaki Bangladesh ditemui mati di kilang kapur Batu gajah

BATU GAJAH: Seorang pekerja Bangladesh ditemui mati di atas mesin di kilang memproses kapur di Jalan Changkat Larang di sini hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Ibrahim, 30, ditemui oleh seorang pekerja kilang yang masuk berkerja kira-kira 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, tiada sebarang kecederaan didapati pada mayat mangsa dan setakat ini kes itu dianggap sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, mangsa bekerja pada syif malam tadi dan dipercayai meninggal dunia awal pagi ini.

Dalam satu kes berasingan, seorang lelaki terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Pusing di sini petang semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Norazlan Abdul Hasan, 21, dari Taman Mewah Baru di sini cedera parah di kepala dan meninggal setelah dimasukkan ke Hospital Batu Gajah.-Bernama

Pakistan dituduh belot AS, secara rahsia sokong Taliban



2010/07/27

WASHINGTON: Pakistan dituduh membelot Amerika Syarikat (AS) dengan secara rahsia menyokong Taliban dan pada masa sama menerima bantuan dari Washington, menurut dokumen sulit dibocorkan laman web WikiLeaks. 

Rumah Putih semalam mengecam tindakan WikiLeaks mendedahkan dokumen berkenaan dan berkata tindakan itu boleh mengancam keselamatan negara dan nyawa rakyat dan sekutu Amerika Syarikat.Pendedahan yang tidak bertanggung jawab ini tidak akan memberi kesan kepada komitmen kami terhadap Afghanistan dan Pakistan, kata penasihat keselamatan negara AS, Jim Jones dalam satu kenyataan.
Akhbar New York Times melaporkan 91,000 dokumen yang dihimpun daripada tentera AS di Afghanistan menunjukkan Pakistan secara aktif bekerjasama dengan pemberontak di Afghanistan. 

Dokumen itu menunjukkan Pakistan membenarkan anggota perkhidmatan risikannya untuk menemui anggota Taliban secara rahsia bagi tujuan menyusun rapi rangkaian kumpulan itu dalam memerangi tentera AS di Afghanistan, di samping merancang pembunuhan pemimpin Afghanistan, lapor Times. 

Dokumen itu juga disediakan kepada akhbar Britain, The Guardian dan akhbar mingguan Jerman, Der Spiegel. 

WikiLeaks adalah laman web yang menggalakkan pendedahan dokumen rahsia kerajaan dan korporat dalam usaha memerangi rasuah. Awal tahun ini ia membocorkan video diklasifikasi sulit menunjukkan insiden 2007 membabitkan sebuah helikopter menyerang dan membunuh sedozen penduduk di Iraq, termasuk dua wartawan Reuters. 
Jones berkata dokumen itu meliputi tempoh daripada Januari 2004 hingga Disember 2009, ketika Presiden Barack Obama melancarkan strategi baru perang di Afghanistan. 

Presiden Obama mengumumkan strategi baru dengan peningkatan mendadak sumber untuk perang di Afghanistan, peningkatan tumpuan kepada pemusnahan lubuk Al-Qaeda dan Taliban di Pakistan, berikutan keadaan yang bertambah buruk sejak beberapa tahun sebelum itu, kata Jones. Reuters 

Kami tahu cabarannya agak serius pada masa depan tetapi kami tidak boleh membiarkan Afghanistan kembali ke tangan pemberontak di mana kumpulan seperti Al- Qaeda mempunyai ruang untuk berlatih, katanya. 

Duta Pakistan ke AS, Husain Haqqani berkata pembocoran laporan dari medan perang yang belum diproses itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggung jawab. 

Laporan itu adalah komen atau khabar angin dari satu sumber yang banyak diperoleh di kedua-dua belah sempadan Pakistan-Afghanistan yang kemudian apabila disiasat banyak terbukti tidak benar, beliau berkata dalam satu kenyataan.- Reuters 

Penjenayah perang kena 35 tahun

2010/07/27

 AHLI keluarga penjara S-21 menangis di luar bangunan tribunal di Phnom Penh semalam kerana marah berikutan hukuman ringan yang dikenakan ke atas Duch (gambar kecil).
AHLI keluarga penjara S-21 menangis di luar bangunan tribunal di Phnom Penh semalam kerana marah berikutan hukuman ringan yang dikenakan ke atas Duch (gambar kecil).
Tribunal PBB dapati ketua penjara Kemboja bersalah jenayah kemanusiaan

PHNOM PENH: Tribunal jenayah perang Kemboja tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas ketua penjara Khmer Rouge, Kaing Guek Eav, selepas didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan, hukuman pertama terhadap anggota rejim yang memusnahkan satu generasi rakyat negara itu. 

Kaing, 67, yang turut dikenali sebagai Duch, mendengar tanpa sebarang reaksi ketika ketua hakim membacakan keputusan mendapati beliau bersalah melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.Duch bagaimanapun akan menjalani hanya 19 tahun hukuman selepas Hakim Nil Nonn berkata jumlah 35 tahun yang dikenakan mengambil kira tempoh 11 tahun yang dihabiskannya di dalam tahanan dan lima tahun lagi ketika ditahan secara tidak sah di mahkamah tentera.

Beliau sebelum ini dilapor berdepan hukuman mati dan hukuman penjara yang dikenakan menimbulkan kemarahan ramai mangsa serta anggota keluarga mereka yang mendengar keputusan itu. 

Ketika perbicaraan yang dijalankan selama 77 hari, Duch mengaku mengetuai penjara Toul Sleng, sebuah pusat tahanan rahsia untuk musuh ketat negara. 

Lebih 16,000 orang dibunuh di penjara itu, manakala penyiksaan digunakan untuk mendapatkan pengakuan termasuk mencabut kuku, menggunakan kejutan elektrik dan melemaskan tahanan. 
Saya tidak dapat menerimanya. Semua anggota keluarga saya, abang dan kakak terkorban. Saya kini hidup sebatang kara, kata Saodi Ouch, 46, selepas mendengar hukuman ke atas Duch yang disifatkannya sangat ringan. 

Kira-kira 1.7 juta rakyat Kemboja mati akibat kebuluran, tiada bantuan perubatan, kerja keras dan pembunuhan di bawah rejim Khmer Rouge yang mahu menukarkan negara itu kepada sebuah negara pertanian daripada 1975 hingga 1979. 
Mayat mereka dicampakkan ke dalam kubur besar di merata tempat di negara itu. 
Pemimpin rejim itu, Pol Pot, meninggal dunia pada 1998 dan empat lagi anggota kanan Khmer Rouge masih menunggu perbicaraan. 

Tidak seperti tertuduh lain, Duch tidak termasuk antara kroni pemimpin kanan Khmer Rouge dan setakat ini beliau adalah satu-satunya tahanan yang menyatakan penyesalan di atas tindakannya malah pada suatu ketika menawarkan agar beliau direjam dengan batu di khalayak. 

Bagaimanapun permintaannya agar diampun dan dibebaskan pada hari terakhir perbicaraan mengejutkan banyak pihak dan ramai sangsi sama ada beliau benar-benar jujur ketika menyatakan penyesalannya. 

Ibu pitam telahan jadi kenyataan


Oleh Mohamed Farid Noh

2010/07/27

BATU PAHAT: Kali terakhir makcik bercakap dengan arwah (Laskar Udara Kanan Hasnizam Abdul Wahid) pada malam kelmarin jam 9 malam dan beliau kata supaya doakan beliau selamat untuk buat terjunan hari ini (semalam), kata ibu mangsa Nik Hasnah Nik Yeh, 47. 

Katanya, sebelum kejadian Hasnizam sering menelefon beliau untuk memberitahu rutin hariannya dan panggilan kelmarin terakhir sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.Nik Hasnah berkata, beliau mendapat berita itu selepas balik dari belajar mengaji berdekatan kawasan rumah mereka.
Makcik terperanjat dan pitam selepas diberitahu oleh anak bongsu anak kedua saya sudah meninggal. Apa yang ditakutkan selama ini menjadi kenyataan. 

Saya bimbang apabila anak beritahu beliau ingin menyertai skuad terjun ini, hati berdebar-debar dan tidak tenteram. Pernah terlintas satu hari anak saya mungkin ditimpa kemalangan tapi tak sangka ia betul terjadi, katanya yang kali terakhir bertemu arwah pada hari lahirnya yang ke-47 pada 3 Mac lalu. 

Katanya, arwah sempat menghadiahkan sepasang kain baju kurung untuk hari raya dan wang sebanyak RM100 serta meraikan beliau (Nik Hasnah) pada satu jamuan makan. 

Bapa mangsa, Abdul Wahid Senin, 52, mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada kira-kira jam 3.30 petang ketika sedang membantu jirannya membaiki atap zink. 
Katanya, seorang pegawai TUDM menghubunginya menerusi telefon bimbit dan memberitahu supaya tidak terkejut dengan berita yang akan disampaikan. 

Pegawai itu berkata payung terjun anak saya tidak terbuka dan terjatuh dari ketinggian 5,000 kaki (1,524 meter). Ketika itu saya diberitahu anak saya dikatakan stabil tapi kritikal. 

Tak lama selepas saya dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia. Saya reda ini takdir, katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima di sini. 

Abang sulung mangsa, Indra Amirul Nizam, 27, berkata adiknya sudah berumah tangga dengan Noraniza Zakaria, 22, seorang jururawat sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada tahun lalu. 

Katanya, pasangan itu belum lagi mempunyai anak dan mereka menetap di kuarters tentera di Jugra Banting Selangor. 

Adik ipar saya ada menghubungi emak tadi untuk menceritakan kejadian itu dan emak menasihatkan beliau semua bersabar menghadapi dugaan itu, katanya. 

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, malam tadi.