Search This Blog

Monday, July 26, 2010

28 GRO asing ditahan di Georgetown

GEORGETOWN: Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) menahan 28 pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Lorong Madras di sini awal pagi tadi.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata, serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dibuat hasil intipan beberapa minggu lepas berikutan maklumat orang ramai mengenai pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan GRO rakyat asing.
"Hasil pemeriksaan, polis menahan 22 GRO warga China, empat warga Indonesia dan dua warga Vietnam serta seorang rakyat tempatan dipercayai ibu ayam," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sini di samping turut menawarkan khidmat seks dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak polis juga sedang menjejaki pemilik premis untuk siasatan lanjut, walaupun premis ini mempunyai lesen perniagaan yang sah tetapi beliau melanggar kesalahan dengan melindungi dan menggaji warga asing bekerja tanpa permit," katanya.

Wan Abdullah berkata, kesemua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Juru untuk tindakan selanjutnya.

"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963, kerana kesalahan tidak mempunyai pasport yang sah dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya serta sebatan.-Bernama

Mayat remaja mati lemas ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah parit besar berhampiran Kolam Kumbahan di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini petang semalam ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat Mohamad Amirul Shafie Zulkifli ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat pada jam 12.30 tengah hari.
"Mangsa yang bermain bola bersama tiga lagi rakannya tergelincir apabila cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam parit itu petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal dan hanya mampu melihat mangsa tenggelam sebelum menjerit meminta pertolongan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohd Nasir Abd Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota bomba dari balai bomba dan penyelamat Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya serta dibantu oleh anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata, mayat Mohamad Amirul dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.-Bernama

8 maut pertempuran tentera, kumpulan pemberontak

MOGADISHU 26 Julai - Seorang pegawai kanan Somalia mengesahkan lapan orang terbunuh dalam satu pertempuran di antara kumpulan pemberontak dan tentera kerajaan di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku ketika keselamatan di Somalia menjadi tajuk utama pada perbincangan persidangan kemuncak Kesatuan Afrika (AU) yang sedang berlangsung Uganda.
Beberapa kawasan di negara ini di kuasai oleh kumpulan pemberontak yang mempunyai matlamat untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. - AP

Anggota Paskau terbunuh payung terjun gagal berfungsi

BESUT 26 Julai – Seorang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kem Jugra, Banting, Selangor terbunuh apabila payung terjun yang digunakannya semasa latihan di Pangkalan Udara TUDM, Gong Kedak di sini hari ini gagal berfungsi.
Anggota berkenaan, Laskar Udara Kanan Hasnizam Ab. Wahid, 25, yang berasal dari Batu Pahat, Johor, cedera parah setelah terjatuh ketika menjalani Kursus Terjun Statik Tempur Siri 1/2010 di Pangkalan Udara Gong Kedak.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu, berkata, kejadian berlaku pukul 1.59 tengah hari.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pukul 3.59 petang ketika dirawat di Hospital Daerah Besut.
Jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat CH130 dari Pangkalan Udara Gong Kedak pada pukul 7 petang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan sebelum dibawa ke Simpang Lima, Batu Pahat untuk disemadikan. – Bernama

Tiga sahabat kena jel 42 bulan


DARI kiri, Mohd. Aiman, Mohd. Razman, Mohd. Hamidi dan seorang rakan yang merupakan pesalah juvana dibawa ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Tiga sahabat, seorang berusia 23 dan dua berusia 24 tahun terpaksa meringkuk dalam penjara selama 42 bulan atau tiga tahun setengah dengan empat sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman tersebut atas kesalahan memiliki dadah pada 22 Jun 2008.
Seorang lagi rakan kepada tiga tertuduh itu ditangguh hukuman ke satu tarikh lain disebabkan tertuduh merupakan pesalah juvana semasa kejadian.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Aiman Che Noh, 23, Mohd. Razman Abdul Rahim, 24, dan Mohd. Hamidi Hassan, 24, selepas ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan yang dihadapi.
Ketiga-tiga tertuduh termasuk seorang lagi rakan mereka yang merupakan seorang pesalah juvana sebelum ini dituduh atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
Namun, keempat-empat mereka terlepas dari hukuman tersebut apabila pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tuduhan mengedar dadah dan bersetuju meminda pertuduhan kepada tuduhan memiliki dadah.
Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, keempat-empat tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 8.96 gram ketika ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di tempat letak kereta surau Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, dekat sini pukul 4.45 petang.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun dan dikenakan tidak kurang dari tiga sebatan.

Disko bakal didenda RM30 juta


ABD. HAFIDZ (kiri) memeriksa cakera padat yang telah dicetak rompak ketika membuat serbuan di sebuah disko di Melaka Raya, Melaka kelmarin.

MELAKA - Denda maksimum sebanyak RM30 juta bakal dikenakan ke atas sebuah disko di Melaka Raya di sini yang beroperasi selama dua tahun ini dengan menggunakan lagu-lagu yang disalin secara cetak rompak.
Selain melanggar hak cipta salinan lagu secara cetak rompak, disko tersebut didapati beroperasi lebih masa dan tiada lesen dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pukul 8.30 malam kelmarin.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Abd. Hafidz A. Rahim, berkata, serbuan yang dilakukan berikutan aduan pemilik salinan langganan, Recording Industry Malaysia (RIM).
''Hasil siasatan yang dilakukan ke atas premis tersebut, kami dapati disko itu memiliki sebanyak 150 cakera padat (CD) pelbagai lagu yang telah diciplak untuk menghiburkan pengunjung,'' katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Abd. Hafiz, setiap kepingan CD mengandungi lapan hingga 10 buah lagu yang disalin tanpa izin RIM dan setiap salinan lagu boleh dikenakan denda minimum RM2,000.
Ujar beliau, pemilik premis tersebut bakal dikenakan denda minimum sebanyak RM3 juta dan maksimum sebanyak RM30 juta kerana telah menyalin hampir 1,500 salinan langganan lagu dengan tujuan perniagaan.
''Pemilik premis itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minimum RM2,000 atau maksimum RM20,00 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,'' katanya lagi.-KOSMO

Tuntutan lafaz cerai ditolak



NIK RORHANA


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menolak permohonan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, meminda tuntutan lafaz cerai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31.
Hakim Syarie, Abdullah Man ketika membaca keputusan tersebut memberi alasan tuntutan berkenaan ditolak kerana prosiding pengesahan lafaz cerai pasangan itu telah berjalan.
Pada prosiding tertutup itu, Abdullah pada masa yang sama mengarahkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Tuanku Ismail terhadap Elia Suhana disambung semula.
Peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hasan ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihak plaintif ingin menambah beberapa fakta mengenai lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Kelantan pada 12 Februari lalu.
Bagaimanapun, menurut beliau, Abdullah menolak permohonan tersebut sebaliknya meneruskan perbicaraan lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Ismail yang didakwa berlaku di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.
"Hakim menolaknya (meminda tuntutan lafaz cerai Tuanku Ismail) dan hanya ingin membicarakan lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan pada 12 Februari lalu dan lafaz pada tarikh tersebut telah difailkan oleh plaintif," kata beliau ketika ditemui di luar mahkamah di sini semalam.
Elia Suhana hadir pada prosiding tersebut manakala Nik Rorhana juga hadir ke mahkamah yang diiringi peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar.
Fakhrul Azman memberitahu, Abdullah menetapkan pada 8 Ogos ini untuk meneruskan perbicaraan tersebut.
Tambahnya, perbicaraan itu juga akan dijalankan secara tertutup seperti yang diarahkan oleh mahkamah itu sebelum ini.

Yassin disyaki ambil dadah lagi


Sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di Subang Jaya dipercayai tempat Yassin ditahan semalam.

KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya mengulangi sejarah hitamnya apabila dia ditahan kali keempat kerana disyaki mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 1 pagi, seramai 30 pengunjung pusat hiburan tersebut telah diperiksa dan menjalani ujian air kencing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hasil ujian saringan awal, tiga daripada mereka ditahan termasuk Yassin kerana disyaki positif mengambil dadah.
"Pemeriksaan awal mendapati Yassin yang merupakan bekas kumpulan Senario positif ganja.
"Dua lagi lelaki yang ditahan ialah seorang pengurus artis dan seorang peniaga yang disyaki positif ketamin," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Khalid, pihaknya akan memohon reman terhadap ketiga-tiga individu tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Yassin



Yassin, 31, sebelum ini pernah ditahan pada tahun 2001 atas dakwaan memiliki 0.05 gram syabu di sebuah kondominium dekat Jalan Damansara Indah.
Dia yang dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada tahun 2005.
Pada Jun 2002, Yassin sekali lagi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada dua tuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Dadah Racun 1952.-KOSMO

Pesakit mental bebas tuduhan bunuh ibu kandung

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang lelaki daripada tuduhan membunuh ibu kandungnya dua tahun lalu selepas didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad sebaliknya memerintahkan tertuduh, Ashraf Hamdan, 35, dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, sehingga tempoh yang diperkenan oleh Sultan Selangor.
Mahkamah juga membebaskan tertuduh daripada satu lagi tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas bapanya Hamdan Nordin, 67.
Tertuduh didakwa membunuh ibunya, Aishah Jakin, 67, menggunakan sebilah kapak dan menyebabkan kecederaan parah ke atas Hamdan dengan sebilah pisau di belakang rumah Lot 9147, Jalan Harmonis 2, Taman Harmonis, Gombak, kira-kira pukul 11 malam, 5 Februari 2008.
Punca kematian mangsa adalah akibat 24 kesan tetakan dan tikaman.
Kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori manakala kesalahan menyebabkan kecederaan parah di bawah Seksyen 326 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Asmabi dalam penghakimannya berkata, selain keterangan doktor, mahkamah turut menilai keterangan bapa, kakak dan abang tertuduh yang membuktikan tertuduh berperangai pelik dan dia ada mengambil ubat anti kemurungan.
"Saya juga telah lihat keseluruhan keterangan semua saksi termasuk saksi pembelaan mengenai kewarasan tertuduh selain laporan doktor yang menunjukkan bahawa tertuduh tidak faham apa-apa kesalahan yang dilakukan. Saya dapati tertuduh tidak ada mens rea (niat salah) untuk lakukan kesalahan tersebut.
"Justeru saya dapati tertuduh tidak bersalah di bawah tuduhan membunuh serta menyebabkan kecederaan parah dan saya bebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria memanggil seramai 17 saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam James George mengemukakan dua orang saksi. - Bernama

Lelaki maut ketika memburu bersama rakan

LUBUK ANTU - Seorang lelaki maut apabila terkena tembakan ketika memburu bersama tiga rakannya di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini semalam.
Keneddy Banyan Labang, 23, dari Rumah Endawi Janting di Nanga Jela, Penempatan Semula Fasa II mati di tempat kejadian apabila tembakan itu mengenai dadanya.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Supritendan George Merejok berkata, kejadian dilapor berlaku pada pukul 7 malam ketika mangsa memburu bersama tiga rakannya yang berusia antara 30 dan 50 tahun di sebuah ladang kelapa sawit.
"Mereka dipercayai berpecah kepada dua kumpulan. Rakan-rakannya terdengar satu das tembakan dan mendapati mangsa rebah. Rakannya yang membuat pemeriksaan mendapati mangsa terkena tembakan di dada,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bapa lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Lubok Antu malam tadi.
Mayat Keneddy dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat.
George berkata, sehubungan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan. - Bernama

Minyak syabu: Suami isteri rakyat Iran ditahan

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya sepasang suami isteri rakyat Iran dan merampas minyak syabu bernilai RM40 juta dalam serbuan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, dalam serbuan pada 22 dan 23 Julai itu, polis turut merampas bahan membuat syabu termasuk minyak syabu selain peralatan lain memproses dadah.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong, polis menahan seorang lelaki Iran berusia 39 tahun pada pukul 8.50 malam.
"Polis menerima satu laporan daripada seorang ejen hartanah yang curiga dengan bau dari dalam sebuah rumah sewa yang diuruskannya dan mengesyaki rumah townhouse itu dijadikan makmal bagi menyimpan bahan dan memproses dadah.
"Polis kemudiannya bekerjasama dengan ejen itu bagi mengatur pertemuan ejen itu dengan suspek sebelum menahan suspek berdekatan restoran berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Sabtu berkata, pada pukul 2.50 petang keesokan harinya, polis menahan isteri suspek itu, yang juga rakyat Iran berusia 34 tahun di rumah mewah milik mereka di Sunway SPK Damansara.
Beliau berkata berdasarkan rekod dalam pasport pasangan itu, kedua-dua mereka adalah peniaga dan telah menetap di negara ini selama empat tahun, tetapi hasil siasatan terhadap mereka, mendapati kedua-duanya berada di negara ini selama sepuluh tahun.
Pasangan Iran itu kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 23 Julai bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. – Bernama

Tragedi Festival Muzik Jerman

DUISBURG (Jerman): Angka kematian dalam tragedi berdarah di festival muzik Jerman meningkat kepada 19 orang. Pihak polis melaporkan 342 lagi mangsa cedera selepas pengunjung berasak-asak hingga ada yang terjatuh lalu dipijak ketika memasuki terowong untuk ke parti muzik techno yang terbesar di dunia itu.

PETUGAS paramedik merawat mangsa yang cedera.
PETUGAS paramedik merawat mangsa yang cedera.

PENGUNJUNG bersesak-sesak memasuki terowong untuk ke parti muzik di Jerman.
PENGUNJUNG bersesak-sesak memasuki terowong untuk ke parti muzik di Jerman.
Penganjur parti muzik itu tidak akan menganjurkannya lagi pada masa depan.
“Parti ini adalah untuk peminat muzik dan muda-mudi bersukaria tetapi tragedi yang berlaku ini sudah mencemari acara parti ini. Ia sudah berakhir,” kata Rainer Schaller.

Schaller berkata demikian ketika sidang media yang dihujani pelbagai soalan mengapa ratusan pengunjung perlu berasak-asak melalui terowong sempit laluan bawah lebuh raya untuk memasuki kawasan parti.

Media Jerman menganggarkan sekurang-kurangnya 1.4 juta pengunjung dilaporkan pergi ke parti itu.

Seorang saksi berkata, pihak polis menutup jalan di hujung terowong selepas pengunjung mula bersesak-sesak di situ kira-kira jam 5 petang. Mereka memberi arahan melalui pembesar suara supaya pengunjung berpatah balik dan mengikut arah bertentangan untuk memasuki kawasan parti yang diadakan di bekas landasan kereta api itu.

Bagaimanapun, jalan masuk ke terowong tidak ditutup menyebabkan orang ramai terus berasak-asak memasuki terowong hingga ada yang terjatuh dan dipijak selain jatuh bertindihan antara satu sama lain.

Seorang saksi, Udo Sandhoefer berkata, walaupun tiada lagi pengunjung dapat masuk ke kawasan parti selepas jalan di hujung terowong ditutup, masih ramai yang berasak-asak memasuki terowong menyebabkan keadaan bertukar panik.

“Saya nampak orang paling hadapan di jalan hujung terowong terjatuh dan dia ditimpa orang di belakangnya. Keadaan itu menyebabkan ramai yang saling bertindihan,” kata Sandhoefer.

Pihak berkuasa yang bimbang keadaan menjadi lebih buruk tidak mengerahkan pengunjung pulang kerana tidak mahu mereka lebih panik. Sebaliknya parti diteruskan ketika pasukan penyelamat tiba untuk menyelamatkan mangsa yang cedera. - AP


Waspada jenama kopi pelik

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan berwaspada jenama ‘pelik’ kopi tambah tenaga dikesan mengundang maut di kalangan penggemarnya kerana mempunyai campuran bahan beracun.
Ketua Penolong Pengarah Unit Perlindungan Pengguna Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (KKM), Mazlan Ismail berkata, kopi berkenaan mempunyai racun sildenafil dikatakan menjadi ramuan melariskan jualan walaupun ia mendatangkan kemudaratan kepada mereka yang meminum kopi itu.
Katanya, bahan kimia terlarang itu boleh menyebabkan kematian mengejut dan sering dicampur pembekal haram dalam serbuk kopi selepas didapati berupaya meningkatkan keinginan seksual lelaki walaupun pada masa sama mengundang 1,001 kesan sampingan berbahaya.

“Biasanya pengeluar kopi terbabit membuat penipuan dengan menyatakan kopi keluarannya mengandungi herba, ekstrak Tongkat Ali dan madu sedangkan mereka mencampurkan bahan beracun yang tidak disahkan KKM,” katanya yang mengulas aduan seorang pembaca Harian Metro.

Pengadu yang enggan dikenali mendakwa pernah membaca kenyataan sebuah akhbar luar negara yang mendakwa kopi tambah tenaga menjadi punca pelbagai penyakit berbahaya.

Lima perompak pucat

KUALA PILAH: Cubaan sekumpulan lelaki warga asing memecah masuk sebuah kedai emas gagal apabila mereka diberkas sepasukan polis peronda di pekan ini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, kumpulan lima lelaki terbabit dikatakan cuba melarikan diri selepas kegiatan mereka dihidu polis yang kebetulan melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba, berkata sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat perbuatan mencurigakan sekumpulan lelaki lalu menghampiri mereka.

“Selepas menyedari perbuatan diperhatikan polis, suspek cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an manakala empat lagi rakannya meloloskan diri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek pergi ke kedai emas itu menggunakan dua kenderaan dan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui beberapa peralatan pecah rumah seperti tabung gas, pemotong besi dan kuku kambing.

“Polis turut merampas tangga yang digunakan untuk mematikan sistem penggera dalam kedai emas itu.

“Siasatan lanjut terhadap suspek yang ditahan itu sedang giat dilakukan dan polis masih berusaha mengesan empat lelaki yang memboloskan diri itu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya, tiada sebarang kerugian dalam kejadian ini kerana kumpulan lelaki terbabit tidak sempat memecah masuk ke dalam kedai emas berkenaan selepas perbuatan mereka dikesan polis peronda.
Menurutnya, polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kes jenayah supaya terus menghubungi polis bagi membolehkan tindakan segera dilakukan.

Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau balai polis berhampiran.

Pelajar khalwat positif dadah

ALOR SETAR: Dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dicekup berkhalwat di sebuah rumah tumpangan di Taman Bee Bee Park, Simpang Kuala di sini, dalam operasi bersepadu, awal pagi kelmarin.
Rumah tumpangan itu menjadi tempat persinggahan remaja untuk menyewa berikutan di dalamnya terdapat pintu besi seperti penjara dan sukar untuk penguat kuasa membukanya jika melakukan serbuan.
Pasangan berusia awal 20-an itu dicekup kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah.

Lebih mengejutkan, pasangan itu didapati positif dadah ketika menjalani ujian saringan air kencing dan kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan.

Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali, berkata pihaknya yang membuat operasi di rumah tumpangan itu mengetuk pintu sebuah bilik berkali-kali sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui seorang wanita dalam bilik itu dan soal siasat mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti yang mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

UPP rampas 550 pil methaphetamine bernilai RM13,750 di Tumpat

TUMPAT: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan menahan seorang lelaki dan merampas 550 biji pil dipercayai Methaphetamine bernilai RM13,750 di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu di sini semalam.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, lelaki berusia 27 tahun dan penduduk tempatan itu ditahan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan anggota diketuai Sarjan Wan Yahya Wan Mahmud yang menerima maklumat orang ramai berhubung kegiatan pengedaran pil berkenaan kepada golongan belia tempatan.
"Ketika pemeriksaan dibuat ke atas lelaki itu, anggota pasukan menemui satu bungkusan dalam poket seluar yang dipakainya dan pemeriksaan lanjut menemui sebungkus lagi pada motosikal yang ditungganginya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu bersama motosikal jenis Honda EX-5 dan pil rampasan dibawa ke pejabat UPP Kawasan Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat untuk tindakan lanjut.

-Bernama

Tujuh lagi kematian akibat denggi dalam tempoh seminggu lalu -Menteri Kesihatan

SUNGAI PETANI: Tujuh lagi kematian akibat denggi dilaporkan dalam tempoh seminggu sehingga Sabtu lepas menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 91 orang sejak Januari tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah itu adalah kes kematian tertinggi dilaporkan berlaku dalam tempoh seminggu sepanjang tahun ini.
"Bagi tempoh 18 Julai hingga 24 Julai itu juga sebanyak 1,071 kes denggi dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 27,400 kes setakat semalam," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

"Jumlah kematian ini majoritinya orang dewasa," kata Liow yang mengulangi kebimbangannya mengenai peningkatan kes kematian tahun ini berbanding hanya 88 kes sepanjang tahun lalu," kayanya.

Peningkatan kes itu menunjukkan orang ramai masih tidak mengambil berat akan penularan demam denggi serta mengabaikan aspek kebersihan, katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke rumah penghidap demam denggi juga mendapati hampir 80 peratus mempunyai jentik-jentik dan tempat pembiakan nyamuk.

Mengulas lanjut, Liow berkata sebanyak 34 kawasan panas dikenal pasti iaitu 17 di Selangor, enam masing-masing di Johor dan Kuala Lumpur, serta lima di Sarawak.

Kebanyakannya di kawasan bandar terutama kawasan perumahan dan kementerian akan mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk memperbanyakkan gotong-royong di kawasan panas.

Sementara itu, mengulas isu berlainan, Liow berkata jumlah penderma organ di negara ini masih rendah menyebabkan ramai pesakit melakukan pemindahan organ di luar negara. "Pada tahun lalu cuma 39 orang mendaftar sebagai penderma jantung, manakala buah pinggang 18 orang. Kerajaan berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil menjadi perderma," katanya.

Katanya, penghidap penyakit buah pinggang adalah pesakit organ teramai di negara ini iaitu 20,000 orang dan separuh daripada mereka memerlukan buah pinggang baru.-Bernama

Air kencing ada ganja

Air kencing ada ganja

SUBANG JAYA: Seorang pelakon komedi yang juga bekas anggota kumpulan lawak terkenal nyata tidak serik apabila dia sekali lagi diberkas selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid, Subang Jaya di sini, awal pagi semalam.
Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu pusat hiburan terbabit kira-kira jam 1 pagi, sebelum mengarahkan semua pengunjung menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi berkata, air kencing milik pelawak berusia 32 tahun itu disahkan positif ganja.

Menurutnya, selain daripada pelakon terbabit, ada 30 pengunjung lain sedang berhibur dalam premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Beliau berkata, semua pengunjung dalam pusat hiburan itu dibebaskan sejurus ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Namun, tiga daripada mereka didapati positif dadah. Hasil ujian mendapati pelakon komedi itu positif ganja manakala dua lagi termasuk pengurusnya dan seorang ahli perniagaan didapati positif ketamin.
“Serbuan itu rutin hari minggu polis dengan mengadakan operasi di beberapa tempat di sekitar Subang Jaya. Ketika menyerbu pusat hiburan berkenaan, kita mendapati dia ada bersama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula semalam sehingga 27 Julai mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pelawak terbabit pernah dibebaskan daripada beberapa tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah oleh Mahkamah Majistret, sebelum ini.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memasukkan syabu ke dalam badan, tetapi mengaku tidak bersalah dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan itu.

Pelakon komedi itu juga pernah dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis serta kodein beberapa tahun lalu.

Pelawak terbabit dikatakan pernah ditahan memiliki dua tiub straw mengandungi syabu di Brickfields, tetapi dia tidak mengaku bersalah.

Ketika dicekup dalam serbuan sebelum ini, pelawak terbabit dikatakan merayu agar dibebaskan, namun dia seolah-olah tidak serik apabila ditangkap sekali lagi semalam, walaupun sudah beberapa kali ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas kesalahan sama sebelum ini.

Bahana 6 ubat nyamuk

KAJANG: “Saya mendengar dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api makin marak,” kata kawan karib kepada mangsa rentung, Syed Omar Ali Syed Zakir, 11.


RENTUNG...asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom yang hangus terbakar.
RENTUNG...asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom yang hangus terbakar.


Mangsa, Abdul Rahman Rosmali, 9, ditemui rentung dalam bilik asrama Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Hayatul Uloom akibat tidak sempat melarikan diri bersama tujuh lagi rakannya.

“Saya sudah menasihati rakan untuk membakar satu saja ubat nyamuk itu, tetapi mereka berdegil mahu memasang enam dengan alasan malam itu terlalu banyak nyamuk.

“Masih terngiang-ngiang lagi suara Abdul Rahman meminta tolong, tetapi api makin marak menyebabkan dia dihempap kayu, saya dan enam lagi rakan juga dipaksa keluar dari bilik itu bagi menyelamatkan nyawa kami.

Dalam kejadian 2 pagi itu, lot banglo dua tingkat itu yang menempatkan 20 pelajar, hangus menyebabkan Abdul Rahman yang terperangkap dalam bilik itu rentung.

Bapanya, Rosmali Saad, 37, berkata, dia reda dengan ketentuan itu dan menerima berita sedih berkenaan dengan tenang.
“Saya menerima panggilan jam 2 pagi mengatakan pusat pengajian tahfiz itu terbakar, saya bergegas ke tempat kejadian dan pada mulanya saya tidak menyangka budak rentung itu anak saya.

“Arwah seorang yang pendiam, dia budak yang baik dan rajin, apa pun saya reda dengan pemergiannya, mungkin ini ujian Tuhan untuk kami sekeluarga.
Rosmali berkata, kali terakhir dia menemui anaknya itu pada Jumaat lalu di masjid berdekatan ketika mahu solat Jumaat.

“Seperti biasa dia hanya tersenyum pada saya dan tidak menunjukkan apa-apa petanda dia mahu pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Palir, Batu 15 1/2, Hulu Langat di sini, semalam.

Abang mangsa, Abdul Malik, 14, berkata, dia percaya, punca kejadian akibat ubat nyamuk yang dipasang dalam bilik itu.

“Saya ada bertanya kepada rakan adik mengenai punca kejadian dan mereka mengatakan ubat nyamuk yang dipasang menyambar pakaian yang ada di bilik itu, malah turut menyambar kaki seorang rakan yang lain, tapi berjaya dipadamkan,” katanya yang juga penuntut di pusat pengajian sama.

Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Dusun Tua jam 2 petang, semalam.

Ketua Balai Bomba Kajang, Shauki Abdullah, berkata 14 anggota dan dua jentera dikejar ke sana bagi memadamkan api dan ketika tiba di tempat kejadian, hampir 80 peratus asrama tahfiz itu sudah terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya.

Shauki berkata proses memadamkan kebakaran itu turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada lingkaran ubat nyamuk yang dipasang.

Pengasas rumah tahfiz terbabit, Dr Shahrir Hussin berkata dia menyerahkan kepada polis dan bomba untuk mentafsir kerugian serta punca kejadian.

“Bagaimanapun saya reda dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kehilangan seorang pelajar yang amat baik dan tidak banyak kerenah seperti Abdul Rahman,” katanya.

'Kita mati sama-sama'

'Kita mati sama-sama'
KUALA LUMPUR: “Mama ikut Nasywa ya, kita mati sama-sama...” itu ayat yang tertera pada sekeping nota dipercayai ditulis seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum cuba terjun bersama bayi majikannya berusia lima bulan dari tingkat enam sebuah kondominium di Segambut di sini.
Cubaan itu, bagaimanapun gagal apabila ibu bayi berkenaan, Azlinda Ibrahim, 37, berjaya memujuk wanita dipercayai menghadapi masalah mental itu dan menyelamatkan bayinya selepas bergelut hampir setengah jam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari beberapa hari lalu, selepas Azlinda, seorang suri rumah, terdengar pembantu rumahnya, Siti Pajar, 21, yang baru tiga bulan diambil bekerja bercakap seorang diri dan menangis di dalam biliknya.

Dia segera menghubungi suaminya di pejabat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini selepas mengesyaki pembantu rumah yang kematian anak sebelum datang bekerja di negara ini, mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar kawalan.

“Sebaik membuka pintu biliknya, saya lihat Siti berdiri di atas tangga dan bersedia untuk melompat keluar dari tingkap. Tanpa berlengah saya menariknya dan kami terjatuh di atas lantai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pembantu rumah itu seolah-olah ‘hilang akal’ apabila berlari ke bilik tidur utama dan mengambil bayinya, Mia Adreeyan yang tidur sambil berulang kali menyatakan mereka akan mati bersama.
“Dalam keadaan panik saya menerkam ke arah Siti sambil menjerit meminta tolong dan merampas Mia daripada dakapannya” katanya.

Ketika pergelutan itu, Azlinda sempat menekan butang interkom untuk menghubungi pengawal keselamatan memaklumkan cubaan Siti terjun melalui tingkap bersama bayinya.
“Selepas lebih kurang 15 minit, pengawal keselamatan tiba dan saya terpaksa mencampakkan kunci rumah ke arah pintu kerana masih memegang Siti yang masih meronta-ronta untuk melompat keluar dari tingkap,” katanya.

Suaminya, Mohd Aleemin Othman, 58, yang tiba di rumah sejurus kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar Siti ke hospital kerana mengesyaki wanita itu menelan beberapa pil yang tidak diketahui jenis sebelum cuba membunuh diri.

Difahamkan, pembantu rumah yang sudah berkhidmat bersama keluarga mangsa selama tiga bulan itu menghadapi tekanan perasaan selepas kematian bayi perempuannya, dikenali sebagai Nasywa kira-kira dua tahun lalu dan sering tersasul memanggil Mia Adreeyan dengan nama arwah bayinya itu.

“Kejadian itu membuatkan saya trauma dan hidup ketakutan sehinggakan saya tidak berani keluar rumah kerana khuatir sesuatu terjadi kepada bayi saya” kata Azlinda.

Dia berharap kejadian menimpa dirinya dijadikan teladan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengambil pembantu rumah warga asing dan seboleh-bolehnya mereka menyiasat latar belakang amah itu terlebih dulu sebelum mengambil mereka bekerja.

Susulan itu, Azlinda dan suaminya membuat laporan di Balai Polis Kepong dan menghubungi pihak agensi untuk membuat aduan dan menyelesaikan masalah pembantu rumah terbabit.

Bagaimanapun, suri rumah itu kesal kerana mendakwa agensi terbabit mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan sehingga kini belum memberi maklum balas kepada keluarganya.

Pembantu rumah terbabit dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada dalam jagaan agensinya.

Bermukah hingga anak dua

KULIM: Sepasang kekasih bukan saja hidup bersama seperti suami isteri, malah turut mempunyai dua cahaya mata hasil bersekedudukan lebih tiga tahun.
Pasangan bersekedudukan bukan kerana ketagih seks, tetapi hubungan cinta dihalang keluarga wanita.

Pasangan lelaki berusia 29 tahun tidak mahu dikenali berkata, mereka mahu berkahwin apabila teman wanitanya hamil, tetapi ditolak keluarga.

“Peminangan saya ditolak keluarga teman wanita walaupun ketika itu kami sudah terlanjur dan dia hamil,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mendapat restu keluarga teman wanita, dia tetap mengambil keputusan untuk bersama kekasihnya itu kerana sayangkannya serta berasa bertanggungjawab.

“Saya sayangkan teman wanita dan anggap dia sebagai isteri. “Saya mempunyai dua anak bersama teman wanita iaitu berusia 20 bulan dan 30 hari, namun keluarga teman wanita saya masih berkeras tidak menerima saya,” katanya.
Pasangan itu pernah mohon bantuan Mahkamah Rendah Syariah di Perak untuk mendapatkan wali hakim bagi tujuan mengesahkan nikah.

“Ketika proses mendapatkan wali hakim bagi tujuan pernikahan, teman wanita melahirkan anak pertama menyebabkan proses ditunda dan mahkamah turut memanggil keluarga teman wanita untuk hadir ke mahkamah,” katanya.
Menurutnya, meskipun dipanggil mahkamah, keluarga teman wanitanya tetap berkeras serta tidak mahu bekerjasama.

Mahkamah terpaksa menunda tarikh sekali lagi pada Jun lalu namun ketika tarikh perbicaraan, teman wanitanya melahirkan seorang lagi anak menyebabkan perbicaraan ditunda sekali lagi.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kedah (PADK) cawangan Kulim, Azmi Rejab berkata, mereka melakukan siasatan terhadap pasangan itu selepas mendapat aduan orang ramai.

Katanya, siasatan mendapati mereka bersekedudukan sehingga melahirkan dua anak selain mengesahkan pasangan itu mempunyai dokumen permohonan untuk bernikah dan mendapatkan wali hakim.

“Bagaimanapun kes ini tetap disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000,” katanya.

Menurutnya, PADK menasihatkan pasangan untuk tidak tinggal bersama sementara menunggu keputusan.

Pusat hiburan diserbu




MELAKA RAYA - Sebuah pusat hiburan terkenal di negeri ini berdepan denda maksimum RM30 juta kerana melanggar hak cipta salinan langganan selepas premis berkenaan diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), malam kelmarin. 

Serbuan yang dibuat atas aduan pemilik salinan langganan, Recording Industry Malaysia (RIM) mendapati, premis dua tingkat itu menghiburkan pelanggan menggunakan lagu yang disalin semula sejak lebih dua tahun beroperasi. 

Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri, Abd Hafidz A Rahim berkata, premis berkenaan memiliki 150 cakera padat (CD) yang diciplak untuk menghiburkan pelanggan. 

“Setiap 1 CD mengandungi lapan hingga 10 lagu yang disalin tanpa izin RIM dan setiap satu salinan lagu boleh dikenakan denda minimum RM2,000. 

“Justeru, pemilik premis terbabit akan dikenakan denda minimum RM3 juta dan maksimum RM30 juta kerana telah menyalin hampir 1,500 salinan langganan lagu bagi tujuan perniagaan,” katanya selepas serbuan, semalam.

Suri rumah disimbah asid




PENDANG – Seorang lelaki disyaki menyimbah asid ke badan seorang suri rumah kerana cemburu dengan tindakan wanita itu pulang ke rumahnya di Kampung Paya Mak Inson di sini bersama seorang lelaki lain semalam. 

Ee Re Wan Abau, 42, cedera terkena simbahan asid ketika sedang berbual dengan anak perempuannya. Anak bongsunya, seorang lelaki, juga cedera di kaki, pergelangan tangan dan kening, akibat percikan asid itu. Toi Lee Ah Kai, 29, saudara mereka yang tinggal kira-kira 50 meter daripada rumah mangsa, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. 

Katanya, dia terkejut melihat anak bongsu Re Wan meluru masuk rumahnya, sambil menjerit dan menangis. 

“Lelaki yang pulang bersama ibunya itu berada dalam kereta ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ah Kai berkata, dia cuba merawat remaja yang cedera itu dengan melumurkan lumpur dan pisang ke tempat yang terkena asid.

Menurutnya, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit selepas dia melihat wanita berkenaan bersama seorang lelaki menaiki kereta Kancil dekat rumahnya.

“Wanita itu tutup muka. Saya sangka dia malu kepada saya kerana pulang bersama lelaki itu. Kira-kira lima minit kemudian anaknya pula berlari sambil menjerit dan menangis menuju ke rumah saya,” katanya. 

Katanya, dia difahamkan lelaki itu membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kubang Lembu, namun memandangkan keadaan mangsa teruk, pihak klinik menghubungi ambulans daripada Klinik Kesihatan Pendang dan membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Ah Kai berkata, suami wanita itu mengalami lumpuh sebelah badan sejak hampir lima tahun lalu. Dia boleh berjalan perlahan-lahan dan keperluan keluarga ditanggung wanita itu.

“Mangsa sudah hampir tiga tahun tidak tinggal bersama suami. Dia pulang dua kali setiap bulan untuk menjenguk anak-anak dan memberi wang belanja,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah mangsa mendapati rumah itu kosong dan suami mangsa, difahamkan telah dibawa abangnya ke tempat yang tidak diketahui. Pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis daerah Pendang sehingga kini belum menerima laporan mengenai perkara ini.

Blog aibkan mufti bukan kendalian Pas: Idris




SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad meno:lak kemungkinan kewujudan blog yang menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan gelaran mengaibkan seperti ‘haramsani’ dan ‘haram jadah’ ditulis dan dimiliki ahli parti itu. 

Menurutnya, setakat ini hanya laman web Harakah Daily yang secara rasminya diiktiraf sebagai laman web Pas walaupun wujud laman blog lain yang menggambarkan pandangan parti tersebut. 

“Kita tidak boleh nak kawal pemilikan blog dan tiada sebarang pantauan dilakukan terhadap ahli Pas yang memiliki blog sendiri kerana jumlah blog terlalu banyak di Internet dan kebanyakan identiti pemiliknya sukar dikenal pasti. 

“Maka, saya bimbang sekiranya ada musuh Pas yang menggunakan taktik menyamar sebagai ahli parti dan kemudiannya menulis pelbagai cacian di dalam blog untuk mengundang kebencian orang ramai yang membacanya terhadap Pas,” katanya. 

Beliau berkata, menghina orang lain dalam blog sepatutnya tidak berlaku dan Pas tidak pernah menggalakkannya kerana parti tersebut adalah parti yang berakhlak. 

Terdahulu, Harussani mengatakan beliau tidak kisah apabila ada beberapa penulis laman blog yang menghinanya menggunakan gelaran mengaibkan seperti ‘haramsani’ dan ‘haram jadah’, sebaliknya beliau menasihatkan agar mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pengantin baru dicekup bersama 110 pil kuda


SETIU - Seorang pengedar dadah berasal dari Jerteh, Besut yang baru sahaja mendirikan rumah tangga lima bulan lalu dicekup bersama 110 biji pil kuda (WY) selepas cuba meloloskan diri sewaktu ditahan polis di jalan kampung dekat Sungai Tong di sini, petang kelmarin. 

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Setiu, diketuai Cif Inspektor Mohd Fahmiy Mohd Zain. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Shaik Othman Abdul Hamid berkata, pengedar dadah terbabit berjaya ditahan selepas gagal mengawal motosikal yang dinaiki sebelum hilang kawalan lalu terjatuh selepas cuba melarikan diri daripada sekatan polis. 

Shaik Othman berkata, polis berjaya menahan suspek sebelum kesemua pil dipercayai pil kuda termasuk tunai sebanyak RM450 dipercayai hasil penjualan dadah itu ditemui disimpan dalam beg pinggangnya selepas polis melakukan pemeriksaan tubuh. 

“Hasil siasatan selepas itu juga mendapati, suspek negatif dadah dan disyaki baru menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan dan dipercayai menjalankan aktiviti itu dengan menggunakan motosikal itu. 

“Suspek yang tiada pekerjaan tetap dan bekerja sebagai buruh itu kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, semalam. 

Shaik Othman berkata, siasatan polis juga mendapati isteri suspek yang tinggal di sebuah kampung di Jertih, Besut berusia 20-an tidak mengetahui kegiatan suaminya itu sejak berkahwin lima bulan lalu. 

“Kita juga mendapati suspek tidak pernah ditahan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun polis sedang menyiasat dari mana dia (suspek) mendapat bekalan dadah, sebelum diedarkan kepada penagih di kawasan itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Shaik Othman berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini akan dijalankan secara terus menerus dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu di kawasan mereka perlu segera menghubungi polis.

Padah ceroboh hutan




MUAR - Hasil maklumat awam, Penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Johor Utara berjaya mematahkan kegiatan curi balak dalam satu serbuan kawasan hutan di pinggir Sungai Muar berhampiran Kampung Semasih, Panchor di sini, pada 22 Julai lalu. 

Operasi bermula jam 5 petang yang diketuai Renjer Hutan Kanan, Yaakob Salleh dengan kerjasama Pegawai Renjer Hutan Muar/Lenga itu telah berjaya menahan lima suspek dikenal pasti warga Indonesia. 

Difahamkan, ketika serbuan, kesemua suspek kelihatan sedang sibuk mengumpul kayu balak pendek dan kayu jaras yang dicuri dan sudah siap dipotong sebelum dijual. 

Sebanyak 18 kayu balak pendek berukuran 4.83 meter padu dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM121.89 serta 27 kayu jaras dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM10.73 telah disita dan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM1,000. 

Pegawai Hutan Daerah Johor Utara (Muar, Ledang, Segamat), Khairuddin Perdan berkata, kegiatan menceroboh kawasan hutan tersebut merupakan kali yang ketiga yang mana sebelum ini beberapa kali usaha penangkapan suspek gagal. 

“Ketika tangkapan, kesemua suspek juga gagal mengemukakan dokumen yang membenarkan kegiatan untuk memindahkan hasil hutan ini. 

“Mereka ditahan sebagaimana yang di peruntukkan dalam Seksyen 88(1) Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 (Pindaan) 1993 (APN 1984),” katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Khairuddin berkata, suspek juga ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengambil apa-apa hasil hutan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 15, APN 1984. 

“Suspek menjalankan kegiatan menebang dan membawa keluar kayu balak dipercayai secara tradisional dengan menggunakan kuda-kuda bertujuan untuk mengelakkan bunyi jentera berat didengar dan diketahui masyarakat setempat. 

“Bagaimanapun, kesemua suspek telah dijamin oleh majikannya yang merupakan rakyat tempatan dan diarahkan menghadirkan diri ke Pejabat Hutan Daerah Johor Utara, Jalan Awang, Segamat pada 23 Julai lalu untuk keterangan lanjut,” katanya. 

Katanya, kelima-lima suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 84 APN 1984. 

“Kes ini akan dirujuk ke Pengarah Perhutanan Negeri Johor untuk siasatan bagi memutuskan hukuman yang bakal dijatuhkan sama ada dikenakan kompaun dan ganti rugi ataupun didakwa di mahkamah. 

“Melihat senario ini, suka saya menasihatkan kepada orang awam supaya segera memberi maklumat jika mengetahui berlaku kegiatan pencerobohan hutan di kawasan masing-masing,” katanya. 

Beliau berkata, ini sebagai mekanisme terbaik bagi membolehkan pihaknya membanteras kegiatan tersebut dengan lebih awal bagi mengelakkan daripada lebih banyak kayu balak ditebang sesuka hati.