Search This Blog

Sunday, July 25, 2010

Cut pasrah

JAKARTA: Pengakuan Cut Tari mengenai pembabitannya dalam kes video lucah yang tersebar di Internet akhirnya membawa kepada penangkapan suspek utama yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman video itu.

CUT tidak henti berdoa.
CUT tidak henti berdoa.

Kini, Cut bercadang mengajukan permohonan kepada polis supaya siasatan ke atasnya dihentikan.
“Saya lega RJ sudah ditangkap. Saya tidak kenal siapa RJ dan tidak tahu apa motif dia melakukan demikian,” ujar Cut ketika ditemui di pejabat peguamnya, Hotman Paris Hutapea di Jakarta Selatan, semalam. Cut berkata dia hanya mampu pasrah terhadap apa yang bakal terjadi kelak. Baginya, dia sudah berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan lalu.

“Selain pasrah, saya berterusan berdoa dan tidak akan berhenti berjuang selagi semuanya ini belum selesai. Saya bersyukur kerana suami, keluarga dan juga peguam sentiasa menyokong saya,” kata Cut.

Cut merancang untuk mengemukakan permohonan kepada pihak polis esok supaya siasatan terhadapnya dihentikan. Bagaimanapun, permohonan itu tidak bermakna dia tidak melakukan kesalahan.

“Saya sudah mengaku saya bersalah dan permohonan yang akan dikemukakan itu nanti hanya bagi menghentikan siasatan ,” kata Cut lagi. - Agensi

Ditahan teguk arak

JOHOR BAHRU: Enam pengunjung, termasuk wanita yang leka meneguk arak di sebuah pusat hiburan di Zon Bebas Cukai Stulang Laut, di sini, tergamam tanpa sempat melarikan diri apabila diserbu penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.15 pagi, 20 pengunjung beragama Islam asyik berhibur bersama rakan dan teman.
Tiga lelaki dan seorang wanita pula dicekup mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 kerana mengambil dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja dan ketamin.

Ketua Unit Operasi AADK negeri, Muhamad Zulhilmi Ahmat berkata, serbuan Ops Belantara dijalankan secara bersepadu membabitkan 18 anggota AADK, 11 penguat kuasa JAIJ dan 14 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Polis cedera dirempuh

JITRA: Kegiatan mat rempit atau samseng jalanan semakin menjadi-jadi apabila seorang anggota polis trafik patah kaki kanan dan cedera di kepala selepas dirempuh seorang mat rempit yang cuba lari daripada operasi lumba haram di Taman Nilam, Sungai Petani, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, Lans Koperal Shahril Yusuf, 32, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAB) di Sungai Petani kerana cedera parah akibat rempuhan itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Trafik menerima maklumat awam mengenai kegiatan mat rempit di kawasan itu sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Berdasarkan maklumat itu, lima anggota trafik diketuai seorang pegawai bergegas ke tempat kejadian bagi membanteras kegiatan itu.

“Setibanya di tempat kejadian anggota trafik mendapati sekumpulan mat rempit berlumba haram di taman itu tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa.

“Ketika operasi itu, tiba-tiba seorang mat rempit memecut motosikalnya lalu merempuh seorang anggota polis, menyebabkan mangsa terpelanting di tepi jalan raya,” katanya selepas menyertai Kejohanan Golf Amal Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Pada majlis itu 120 anggota dan pegawai polis Kedah, termasuk ahli akademik UUM dan orang awam, menyertai kejohanan golf amal itu bagi mengutip dana untuk anak anggota polis yang menuntut di universiti berkenaan.

Dua beradik maut, satu koma

KUALA TERENGGANU: Dua terbunuh manakala seorang lagi koma apabila motosikal dinaiki tiga beradik itu dirempuh sebuah kereta yang gagal dikawal selepas mengelak sekumpulan lembu di Kampung Padang Machang, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, motosikal ditunggang Mohd Masri Mat Ludin, 14, bersama dua adiknya, Mohd Arif, 12 dan Mohd Firdaus, 4, selaku pembonceng dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam.
Semua mangsa yang dalam perjalanan menghantar Mohd Arif ke kem kelas malam di sekolah itu dan tidak dapat mengelak selepas kenderaan dari arah bertentangan hilang kawalan sebaik mengelak sekumpulan lembu yang melintas.

Mohd Arif dan Mohd Firdaus yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Masri parah dan masih koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ibu mangsa, Ramlah Ismail, 41, yang tinggal di Padang Tengir ketika ditemui berkata dia tidak sedap hati apabila anaknya tidak pulang selepas hampir satu jam keluar dari rumah.

Menurutnya, perjalanan ke rumah ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer hanya memakan masa setengah jam, namun pada hari kejadian anaknya tidak sampai ke rumah seperti biasanya.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, hatinya hancur apabila jiran rumah memberitahu dua anaknya terbunuh dalam kemalangan dan bergegas ke tempat kejadian untuk memastikan keadaan sebenar.

“Sebelum kejadian, anak saya bertekak kerana mereka berdua enggan mengajak Mohd Firdaus kerana bimbang keselamatan, namun tidak siapa menduga tindakan Mohd Masri yang enggan mengajak adik kecilnya itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Rasa bahang

TUMPAT: “Saya terkejut daripada tidur apabila kaki kanan terasa panas. Kemudian saya melihat api lalu meluru mengejutkan ibu, serta adik beradik lain yang tidur.
“Tiada apa difikirkan selain keselamatan keluarga,” kata Mohd Rizal Ibrahim, 17, selepas rumah dua tingkat keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Cherang Melintang, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam menyebabkan Mohd Rizal cedera di lengan kanan ketika berusaha memadam kebakaran yang bermula di biliknya.

“Selepas berusaha mengejutkan ibu, kakak, abang serta anak saudara di tingkat atas, saya berusaha memadam api di bilik. Namun tidak berjaya kerana api terus marak sebelum menyambar lengan kanan, menyebabkan saya meluru keluar dari rumah,” katanya.

Kejadian sekelip mata itu juga memusnahkan duit kutu yang baru diterima ibunya, Hasanah Mamat, 54, selain duit hasil jualan perniagaan sayur serta kereta.

Hasanah yang juga ibu tunggal berkata, dia bersyukur kerana keempat-empat anaknya serta cucu berusia tiga tahun berjaya diselamatkan walaupun mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya hanya mampu melihat api marak membakar rumah peninggalan arwah suami walaupun saudara mara dan jiran datang membantu sebaik mendengar jeritan kami meminta tolong.

“Semua harta benda, termasuk duit kutu RM10,000 musnah. Ini semua ketentuan Ilahi dan saya bersyukur kerana anak dan cucu di tingkat atas selamat,” katanya.

Mayat ditemui dalam kereta

KLANG: Seorang lelaki ditemui mati di dalam keretanya, dipercayai membunuh diri, di tepi Jalan Sukma, Pelabuhan Klang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Chua Soon Tian, 37, ditemui orang ramai yang melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata mangsa dipercayai membunuh diri menggunakan hos getah yang disambung daripada ekzos dan memasukkannya ke dalam kereta.

“Melalui temubual awal bersama anggota keluarganya, mangsa sudah lama mengalami masalah tekanan perasaan dan selalu balik rumah awal pagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa ada unsur jenayah.

Kafe 'jual' amoi

KUALA LUMPUR: Luarannya sama seperti pusat hiburan lain tetapi di dalam, bukan setakat GRO berpeleseran, malah puluhan wanita pemuas nafsu berpakaian seksi turut disediakan.
Siapa sangka, asalkan ada ruang mendapat untung lebih, khidmat wanita pemuas nafsu kini bukan saja ditawarkan di pusat urut, spa dan karaoke eksklusif, malah pusat hiburan berstatus pub menggunakan nama kafe itu turut menyediakan khidmat ekstra.

Mengejutkan apabila khidmat ekstra itu tidak ditawarkan secara sembunyi, sebaliknya terbuka untuk sesiapa saja yang berkunjung ke ‘kafe berahi’ itu.

Rahsia pusat hiburan itu terbongkar selepas wartawan Metro Ahad berkunjung ke situ sebaik mendapat maklumat daripada sumber. Sebaik duduk di kerusi disediakan, dakwaan sumber bahawa pusat itu ‘lain daripada yang lain’ terbukti benar.

Berdasarkan pemantauan, sekurang-kurangnya lima lelaki bertugas umpama bapa ayam atau kapten seperti di spa eksklusif lengkap dengan peralatan waklie-talkie ke hulu hilir mendekati pengunjung.

Tanpa kecurigaan, seorang lelaki terbabit yang mendekati wartawan menawarkan sekurang-kurangnya 30 wanita yang boleh dilanggan dengan harga antara RM360 hingga RM150 bergantung kepada ‘kemahiran’ dimiliki wanita terbabit.
Pada masa sama lelaki itu memberitahu, GRO juga boleh dilanggan untuk ‘geli-geli’ dengan harga RM20 saja. Namun, lelaki terbabit lebih cenderung mempromosi wanita pemuas nafsu.

Bagi meyakinkan pelanggan, berulang kali lelaki itu bercakap besar memberitahu tidak perlu bimbang kerana mendakwa pusat hiburan itu ‘kebal’.
Berikut perbualan wartawan (W) dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Jimi (J) itu.

J: Hello kawan, selamat berkenalan (bersalaman dengan wartawan sambil menghulur kad).

W: Thank you (terima kasih)

J: Apa macam, ada baikkah? You memang untung datang sini.

W: Kenapa?

J: Sini ada amoi.

W: Amoi apa? GRO biasalah, mana-mana pub pun ada.

J: Bukan GRO maaa... Kita ada amoi boleh bagi seks punya.

W: You gila apa, ini macam punya tempat, boleh kasi amoi.

J: Yalah... itu pasal saya kata tadi you untung. Tempat lain mana ada.
W: You kasi amoi, mana mahu projek? Takkan projek di sini.

J: Kita ada tempat maa... bangunan sebelah saja. Ada bilik, bilik air... boleh mandi.

W: Betulkah? Kasi tunjuklah itu amoi.

J: Boleh... boleh, you mahu tengok dulu tak ada hal punya. Boleh fikir mana satu mahu. Kita ada dekat 30 perempuan. China, Vietnam dan Thailand. Saya ada ‘special’ punya untuk you.

W: Apa ‘special’?

J: Kalau mahu special, RM360. Itu amoi boleh buat ‘empat servis’ sekali gus. Apa you mahu buat semua boleh. Kalau you mahu, kita kasi satu jam setengah punya servis.

W: Mahal sangat la. Tak mahulah itu macam. Biasa punyalah.
J: Biasa punya pun ada. RM150, 45 minit.

W: Sini selamat kah?

J: You jangan risau. Sudah ‘settle’ punya.

W: Ok... ok, kasi keluar itu amoi.

Dalam tempoh beberapa minit, muncul sekurang-kurangnya 20 wanita berpakaian seksi berbaris di depan wartawan. Seperti diberitahu, hanya wanita China, Vietnam dan Thailand ditawarkan, tiada wanita tempatan.

J: Ini semua RM150 punya (sambil menyuluh wajah wanita yang berbaris kerana suasana gelap). Pilih mana you suka.

Bagi membuktikan pusat itu benar-benar menyediakan khidmat seks, wartawan terpaksa berlakon dan melanggan seorang daripada wanita terbabit bagi mengetahui lokasi yang dijadikan tempat pemuas nafsu.

W: Oklah, saya ambil itu baju putih PRC (warga China) punya.

J: Kasi wang dulu, nanti itu amoi bawa you pergi bilik.

Selepas membayar, wartawan dibawa keluar melalui pintu belakang yang hanya ditutup menggunakan tirai hitam.

Berdasarkan pemantauan, dua orang berpakaian hitam ala ‘bodyguard’ mengawal lorong belakang bangunan itu. Wanita yang dilanggan membawa wartawan ke bangunan bersebelahan pusat hiburan itu.

Di pintu bangunan itu, seorang lelaki menjaga tempat berkenaan. Dia memandang wartawan sebelum membenarkan masuk.

Di dalam bangunan itu ada sekurang-kurangnya tujuh bilik. Ia dilengkapi pendingin hawa, tilam dan bilik mandi kecil.

Dalam pada itu, lelaki yang ditemui di pintu masuk berjumpa dan menyatakan sesuatu kepada wanita terbabit sebelum menawarkan kondom berharga RM1.

Selepas terbukti wujud aktiviti pelacuran, wartawan membuat helah untuk keluar dari bilik itu. Dengan menggunakan alasan sakit perut dan mahu ke tandas, wartawan segera beredar.

Dalam pada itu, seorang pengunjung yang ditemui memberitahu, pusat itu pernah diserbu pihak berkuasa, namun beroperasi semula.

“Sudah beberapa kali saya ke sini. Tujuannya untuk berhibur sambil memuaskan nafsu. Selepas minum, mabuk boleh ‘order’ perempuan. Pub lain mana ada,” katanya.

Metro Ahad difahamkan, pusat itu dibuka seawal jam 5 petang, namun meriah sekitar jam 10 malam kerana ketika itu GRO mula berpeleseran, termasuk kemunculan wanita pemuas nafsu yang ditawarkan.

Pusat itu hanya ditutup selepas tiada pelanggan dan tidak hairan setakat jam 3 pagi, ia masih meriah.

Kesan tapak kaki

KULIM: Cubaan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk melarikan diri daripada ditangkap penguat kuasa agama gagal apabila kesan tapak kaki di dinding rumah teman wanitanya menjadi petunjuk.

GAGAL... cubaan menyorok di atas siling rumah gagal kerana meninggalkan kesan di dinding.
GAGAL... cubaan menyorok di atas siling rumah gagal kerana meninggalkan kesan di dinding.
TAHAN... penuntut berusia 21 tahun ini ditahan khalwat bersama pasangannya.
TAHAN... penuntut berusia 21 tahun ini ditahan khalwat bersama pasangannya.


Jurucakap PADK berkata, sejurus membuka siling, mereka menemui seorang lelaki lengkap berpakaian menyorok di belakang tangki air di atas siling rumah.

“Pemeriksaan di atas siling dilakukan kerana kami meragui kenyataan teman wanita suspek yang mendakwa kesan tapak kaki itu sudah lama di dinding, sebaliknya itu kesan baru,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan mahram yang sah.

Katanya, penguat kuasa PADK menjalankan operasi hasil maklumat awam.

“Selepas pemantauan, kami membuat pemeriksaan dan mendapati seorang perempuan berusia 20 tahun berpakaian baju tidur membuka pintu dan mendakwa tinggal seorang diri kerana rakan serumah bekerja,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enekman Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 setiap seorang.

Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.

Masih samar

KOTA KINABALU: Nasib 11 rakyat tempatan yang ditahan di perairan Taganak, Filipina berhampiran Lahad Datu, dekat sini masih lagi samar berikutan tiada maklumat diperoleh sama ada akan didakwa atau dibebaskan pihak berkuasa negara berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata polis Taganak mengesahkan penahanan itu.

Menurutnya, polis akan terus berhubung dengan pihak berkuasa keselamatan negara jiran itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pegawai maut

SEREMBAN: Seorang pegawai perhutanan maut selepas Proton Wira dinaiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Bukit Putus, dekat sini, malam kelmarin.
Jurucakap polis berkata, polis bergegas ke lokasi kemalangan bagi melakukan siasatan sebaik menerima panggilan.

“Berdasarkan siasatan awal polis, kereta Perodua Kembara dipandu lelaki menghala ke Kuala Pilah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa,” katanya.

Mayat bayi dalam tong sampah

KUALA LUMPUR: Kejam apabila seorang bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat serta uri ditemui mati dalam tong sampah di Flet Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul, malam kelmarin.
Pengutip terbabit terkejut sebaik membuka bungkusan apabila menemui satu objek menyerupai bayi. Selepas pasti ia adalah bayi, dia kemudian menghubungi polis.

Difahamkan, bayi itu mengalami kecacatan sumbing.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati mayat bayi terbabit cukup sifat dan dipercayai baru dibuang.

“Mayat bayi berkenaan dipercayai dibuang dalam tempoh dua hingga empat jam sebelum ditemui pemungut barang lusuh terbabit. Daripada pengamatan kami, bayi itu berketurunan Melayu.

“Namun kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai kes terbabit,” katanya semalam.

Menurutnya, orang ramai yang ada maklumat kejadian diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan individu tidak berperikemanusiaan yang sanggup membuang bayi tidak berdosa itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

Percutian akhir dua sepupu

TUMPAT: Hasrat dua sepupu mengisi cuti hujung minggu untuk mencari etak bersama rakan mereka bertukar tragedi memilukan apabila kedua-duanya lemas dalam kejadian di Lagun Pantai Sri Tujoh, di sini, semalam.


SEBAK... Che Nah bersama ahli keluarga melihat mayat anaknya sebaik ditemui di Lagun Pantai Seri Tujoh, semalam.
SEBAK... Che Nah bersama ahli keluarga melihat mayat anaknya sebaik ditemui di Lagun Pantai Seri Tujoh, semalam.

Situasi mencemaskan itu memaksa seorang sepupunya, Mohd Azimi Abdullah, 16, membantu namun kedua-duanya tenggelam dalam sekelip mata sebaik berada pada kedudukan kira-kira 10 meter dari kawasan tebing.

Berikutan kejadian terbabit, rakannya segera menghubungi keluarga dan bomba untuk mencari dua sepupu terbabit yang dipercayai lemas ketika berenang di lagun.

Usaha dua anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dan Tumpat mencari mangsa pada kedalaman empat meter akhirnya berhasil menemukan mayat Mohd Azhar dan Mohd Azimi, kira-kira jam 2.46 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, dua sepupu terbabit mengambil peluang cuti sekolah pada hujung minggu untuk berehat berdekatan Lagun Pantai Seri Tujoh bersama tiga rakan lain.

Kesempatan itu kemudian diambil lima sekawan untuk mencari etak di kawasan terbabit dan Mohd Azhar yang juga pelajar tingkatan enam menjadi orang pertama berenang ke tengah lagun.

Menceritakan kejadian menimpa Mohd Azimi, ibunya, Che Nah Che Ahmad, 43, berkata kali terakhir dia melihat anaknya dalam keadaan tergesa-gesa menaiki motosikal tanpa memberitahu tujuannya.

“Pagi-pagi lagi Mohd Azimi menaiki motosikal tanpa memberitahu makcik. Makcik ingatkan dia mahu pergi memancing dengan bapa saudaranya.

“Makcik tidak sempat bertanya kerana dia bergerak pantas dan meninggalkan peralatan memancing di rumah. Tiba-tiba pada jam 1 tengah hari makcik mendapat berita anak lemas,” katanya ketika ditemui di lagun terbabit, semalam.

Menurutnya, dia yang ketika itu menyediakan hidangan tengah hari segera bergegas dari rumahnya di Simpang Tiga Berangan, di sini, sebaik dimaklumkan kejadian menimpa Mohd Azimi daripada rakannya.

“Setahu makcik, arwah tidak tahu berenang dan tidak biasa keadaan persekitaran di lagun ini, tetapi entah macam mana, dia tergerak untuk ke sini bersama rakannya.

“Semalam (kelmarin) makcik nampak dia berperangai pelik kerana tidur selepas selesai menunaikan solat Zuhur, selain dilihat murung berbanding hari-hari sebelumnya,” katanya.

Ibu Mohd Azhar, Fatimah Ismail, 51, berkata dia dimaklumkan berita menyedihkan itu oleh rakan anaknya ketika mahu mandi dan menunaikan solat Zuhur pada petang semalam.

“Ketika kejadian makcik tidak ada di rumah, tetapi arwah Mohd Azhar ada memberitahu seorang kakaknya mengenai hasrat untuk ke Pantai Seri Tujoh bersama rakannya.

“Selalunya saya akan berpesan supaya Mohd Azhar tidak mandi di kawasan paling dalam meskipun mahir berenang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Zulkarnain Said berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat jam 1.50 petang.

Katanya, dua anggota Unit Skuba mencari mangsa pada kedalaman empat meter sebelum menemui mereka berdekata satu sama lain selepas hampir sejam usaha mencari dilakukan.

“Mangsa pertama ditemui jam 2.46 petang dan mangsa kedua jam 2.51 petang,” katanya.

Peguam muflis ditipu penganggur

SUBANG JAYA: “Disebabkan percayakan lelaki itu, hidup saya musnah. Saya diisytiharkan muflis dan kehilangan pekerjaan,” kata bekas peguam yang menjadi mangsa penipuan seorang penganggur yang dipercayai memperdaya lebih 50 syarikat dan individu dalam projek pembinaan.
“Selepas mendapati adiknya bertugas agensi kerajaan selain penampilan lelaki itu yang meyakinkan, saya bersetuju firma guaman saya ketika itu dilantik menguruskan pelantikan kontraktor bagi tiga projek yang kononnya diperuntukkan kepadanya iaitu menaik taraf jalan dari Seremban ke Senawang, menaik taraf jalan Sungai Balang, Batu Pahat Johor dan memperelokkan jalan di Lubok Cina, Melaka.

“Ada tiga syarikat yang berminat terhadap projek itu dan mereka dikehendaki mendeposit sejumlah wang bagi mendapatkannya. Keseluruhan wang didepositkan tiga syarikat itu dianggarkan mencecah RM1.2 juta,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, apabila wang itu didepositkan ke firma guamannya, suspek akan meminta wang dilepaskan kepadanya atas alasan menguruskan surat penganugerahan (letter of award) kepada kontraktor dalam tempoh tiga bulan seperti dijanjikan.

“Saya berasa curiga kerana wang itu sepatutnya hanya boleh dilepaskan apabila surat penganugerahan diperoleh dan apa akan berlaku jika kontraktor berkenaan gagal mendapat projek itu.

“Dia bersungguh-sungguh mengatakan projek itu pasti diperoleh kerana mendapat jaminan selain hubungan rapatnya dengan orang dalam agensi kerajaan.

“Selepas saya melepaskan wang itu kepadanya pada Disember 2004 sehingga kini kontraktor terbabit tidak mendapat projek berkenaan dan kerap meminta wang mereka dikembalikan,” katanya.

Dia berkata, akibat ditipu, dia kehilangan segala-galanya kerana terpaksa meminjam dan menjual harta benda untuk membayar kembali wang kepada tiga kontraktor terbabit, malah satu syarikat itu membuat laporan sehingga menyebabkan lesen guamannya digantung.

“Saya berharap pihak berkuasa, khususnya polis, mengambil tindakan terhadap lelaki itu kerana sehingga kini dia masih menipu menggunakan helah sama kononnya mempunyai pengaruh dalam pelbagai projek kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George berkata, beliau bersama mangsa akan membuat satu lagi laporan polis di Bukit Aman pada minggu depan.

“Di sini, saya ingin mencabar lelaki itu supaya ikut kami sekali kerana dia ada memberi kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil baru-baru ini kononnya saya memfitnah dia. Kalau dia fikir dia betul, kenapa perlu takut.

“Dia sudah lama menipu dan tidak ada sebuah syarikat atau seorang individu yang melabur dalam projek yang diperkenalkannya mendapat kontrak seperti dijanjikan,” katanya.

Sehubungan itu, belia meminta orang ramai yang pernah ditipu lelaki itu menghubungi Cassa di talian 016-3261700 bagi membolehkan pihaknya mengumpul maklumat dan seterusnya membantu pihak berkuasa menahan lelaki itu.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan lelaki itu dikesan menjalankan kegiatannya sejak 2003 dengan menggunakan helah sama kononnya mempunyai pengaruh dalam pelbagai projek kerajaan membabitkan puluhan jutaan ringgit dan berusaha mencari kontraktor yang berminat menjalankan kerja di projek berkenaan.

Pada 2003, lelaki itu dikatakan menjalankan penipuan bersama adiknya yang juga kakitangan awam selain menggunakan pejabat adiknya untuk menandatangani kontrak bagi menunjukkan semua urusan itu sahih serta menjanjikan keuntungan lumayan.

Dua maut, empat parah nahas jalan raya di Telupid


SANDAKAN - Dua maut dan empat lagi mengalami cedera parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori muatan sawit di KM66, Jalan Beluran–Telupid hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pemandu kereta itu Wahid Abdullah, 37, dan penumpang kereta itu yang dikenali sebagai Junjung Mohammad meninggal dunia di tempat kejadian.

Empat lagi yang mengalami cedera parah ialah isteri Wahid, Aibah Mashud, 37, anak lelaki mereka, Adzmir Wahid, 3, manakala dua lagi penumpang lelaki belum dikenal pasti identiti mereka, katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Razali berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil manakala mangsa yang maut juga dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas jalan raya itu pada pukul 8.09 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke tempat kejadian. 

Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut yang remuk di bahagian depan dan kanan pemandu, katanya.

"Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dinaiki mangsa yang menuju ke arah Sandakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori sawit yang berada di depan," katanya.


Dua beradik maut, abang parah dalam kemalangan babitkan motosikal di Manir


KUALA TERENGGANU - Dua beradik maut manakala abang mereka cedera parah dan koma selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Padang Macang, Manir dekat sini, malam tadi.

Kemalangan yang berlaku kira-kira 8 malam itu meragut nyawa Mohd Arif, 9, dan adiknya Mohd Firdaus, 4, manakala abang mereka Mohd Masril Mat Ludin, 14, yang cedera parah dan koma, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Tiga beradik itu dipercayai menaiki sebuah motosikal dari Pekan Manir ke Pulau Bahagia, sebelum dilanggar sebuah kereta yang cuba mengelak seekor lembu dari arah bertentangan.

Ibu tiga beradik itu Ramlah Ismail, 41, yang berasal dari Padang Tengir di sini, berkata, anaknya Mohd Masril sering menghantar adiknya Mohd Arif ke kelas malam di Sekolah Kebangsaan Beladau Kolam setiap kali hujung minggu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada malam semalam, Mohd Firdaus ingin mengikut kedua-dua abangnya.
Ramlah berkata, beliau menyedari kejadian itu kira-kira 9 malam setelah diberitahu rakan Mohd Masril yang melihat motosikal anaknya dilanggar kereta.

"Masa itu saya dah agak mereka terlibat dalam kemalangan, tapi saya sangka mereka hanya cedera ringan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini, hari ini.

Beliau berkata, Mohd Masril biasanya akan menggunakan jalan kampung untuk menghantar adiknya ke sekolah yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya itu.

"Sebaik sahaja saya menerima berita daripada rakan Masril, saya terus ke tempat yang dikatakan itu, tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat dua anak saya telah meninggal (dunia) manakala Masril telah dihantar orang ke hospital," katanya.

Jenazah kedua-dua anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Tengir, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu.

2 pelajar lemas semasa cari siput



IBU Mohd. Azhar, Fatimah Ismail terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga selepas mengetahui kematian anaknya itu di Pantai Sri Tujoh, Tumpat semalam.


TUMPAT - Hasrat lima remaja yang pertama kali keluar mencari siput 'tijah' bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas di Pantai Sri Tujoh, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari selepas lima minit mereka turun ke muara pantai tersebut untuk mencari siput.
Katanya, dua yang mati lemas ialah Mohd. Azimin Abdullah, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Berangan dan sepupunya, Mohd. Azhar Ab. Rahim, 18, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Biji Wangsa, di sini.
"Kedua-dua mangsa dikatakan tidak dapat mengimbangi badan semasa berada di muara lalu terjatuh dan terkapai-kapai di dalam air sebelum tenggelam," katanya ketika ditemui semalam.

Curi pasir: Pegawai kerajaan negeri didakwa bersubahat


PUTRAJAYA 24 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei mendakwa pegawai kerajaan negeri Selangor turut bersubahat dengan pencuri pasir berikutan kegagalan kerajaan pakatan pembangkang menangani masalah kecurian pasir yang berleluasa di negeri itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahagian penguatkuasaan yang berkenaan juga terbabit dan tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka sehingga menyukarkan usaha membanteras kecurian serta perlombongan pasir secara haram di beberapa kawasan di negeri itu.
"Saya tidak mengatakan semua pegawai kerajaan negeri begitu, tetapi ada satu dua tempat kita telah kenal pasti dan tindakan akan diambil dengan mengubah beberapa posisi mereka supaya penguatkuasaan dilakukan lebih lancar.
"Malah dalam sesetengah kes, apabila kita terima laporan kecurian pasir dan pergi ke kawasan berkenaan untuk mengambil tindakan, didapati semua aktiviti perlombongan telah dihentikan. Ini bermakna ada maklumat bocor," katanya.
Shuhaimi yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat media mengenai operasi perlombongan pasir di Selangor yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), Ir. Ramli Abd. Majed dan Pengerusi KSSB, Abdul Shukor Nagor di sini hari ini.
Terdahulu, Shuhaimi bersama-sama Ramli dan Abdul Shukor membawa media meninjau kawasan dan operasi perlombongan pasir di sebuah lombong milik KSSB di kawasan mukim Tanjung 12, Kuala Langat yang didakwa terdapat kegiatan melombong secara tidak terkawal.
Ramli pada taklimat media itu menafikan kedudukan lombong tersebut akan menjejaskan ekosistem atau mencemarkan kawasan air taman berkenaan kerana pihaknya telah menyediakan zon penampan di kawasan lombong itu sejauh 110 meter.

Tipu logo halal: Pengusaha restoran boleh didenda RM100,000


MELAKA 24 Julai - Sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, selain denda maksimum RM100,000, pengusahanya juga boleh dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, kementerian mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan itu jika peniaga didapati melakukan penipuan berkaitan logo halal.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan peniaga menjual makanan tidak halal tetapi menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat swasta.
"Kementerian sedang membuat pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972 khususnya bagi memperkemaskan isu-isu berkaitan logo halal yang sewenang-wenangnya digunakan oleh kedai menjual makanan tidak halal," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 di Dataan Pahlawan, Banda Hilir di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta dua Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim.
Ismail Sabri mengulas mengenai sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang telah diserbu Jakim semalam selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.
Kopitiam tersebut mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat swasta.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, akta tersebut akan dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini.
Jika pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 diluluskan, beliau berkata, hanya satu pihak iaitu Jakim dan jabatan agama Islam di setiap negeri yang dibenarkan mengeluarkan logo halal

100,000 penduduk dipindah


GAMBAR yang dibekalkan agensi berita Xinhua menunjukkan keadaan air banjir yang dilepaskan dari Empangan Three Gorges di Yichang, wilayah Hubei, kelmarin. – AP


BEIJING 24 Julai – China memindahkan lebih 100,000 penduduk apabila sungai melimpahi tebing dan hujan lebat berterusan di wilayah- wilayah terjejas banjir di sepanjang sungai Yangtze, lapor media tempatan hari ini.
Satu laman web daerah melaporkan, sekurang-kurangnya 100,000 orang dipindahkan dari kediaman mereka di barat daya wilayah Sichuan selepas hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat di Sungai Jialing.
Sungai Jialing merupakan cabang sungai utama Yangtze, sungai terpanjang di China.
Kerajaan melaporkan banjir paling buruk dalam sedekad, mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,100 maut atau hilang, kerugian besar ekonomi besar dan menjejaskan 120 juta penduduk.
Agensi berita Xinhua melaporkan, di Shaanxi, wilayah utara Sichuan, sungai Luofu melimpahi tebing di bandar Huayin, memaksa 6,400 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Perdana Menteri Wen Jiabao mengeluarkan satu amaran rasmi terbaru tentang keadaan banjir yang dijangka semakin buruk semasa membuat satu kunjungan ke wilayah terjejas banjir di Hubei.
Beliau menggesa kerajaan tempatan di seluruh negara supaya bersedia menghadapi bencana banjir lebih buruk, dengan memberi amaran bahawa situasi kini berada pada tahap kritikal.
Xinhua melaporkan, di Hubei, banjir menyebabkan seorang maut sementara lima yang lain masih hilang selain memaksa pemindahan 1,200 penduduk apabila banjir melanda bandar Taipingxi, berhampiran Empangan Three Gorges.
Projek hidroelektrik besar di sungai Yangtze itu perlu diteliti semula ketika pihak berkuasa berusaha menyusutkan paras air di empangan itu yang dipenuhi air berpunca daripada hujan di hulu sungai, di samping memastikan bahagian hilir sungai tidak dibanjiri.
Bagaimanapun pihak berkuasa berkata, jumlah air yang mengalir ke empangan itu dari hulu sungai di Sichuan dan kawasan lain berkurangan kepada 34,000 kubik meter sesaat semalam. – AFP

2 sepupu lemas ketika cari siput


TUMPAT 24 Julai - Hanya selang 24 jam, dua beradik lemas ketika mencari siput di Besut, Terengganu, semalam, dua sepupu di sini pula menerima nasib sama, juga semasa mencari hidupan laut itu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika kedua-dua pelajar terbabit ke muara sungai Pantai Sri Tujuh untuk mencari siput bersama tiga lagi rakan mereka.
Kedua-duanya, Mohd. Azhar Rahim, 18, dan Mohd. Azimin Abdullah, 16, lemas sejurus terjun ke dalam sungai itu tanpa mengetahui airnya dalam.
Rakan mangsa, Mohd. Aiman Hakimi, 16, berkata, Mohd. Azhar terlebih dahulu terjun ke dalam muara sungai itu dengan diikuti Mohd. Azimin.
Katanya, selang beberapa minit kemudian, mereka melihat tangan kedua-duanya terkapai-kapai.
"Kami cuba menolong dan berjaya memegang tangan seorang daripada mereka tetapi sungai itu terlalu dalam menyebabkan tiada tempat untuk berpijak.
"Masa itu kami jadi terlalu takut lalu segera meminta pertolongan daripada penduduk kampung," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Mayat Mohd. Azimin berjaya ditemui pada pukul 2.46 petang oleh pasukan skuba Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor manakala mangsa kedua kira-kira enam minit kemudian.
Ibu Mohd. Azhar, Fatimah Ismail, 50, berkata, anaknya itu sebelum kejadian menyatakan hasrat untuk membantunya menyiang ikan haruan di rumah.
"Tidak sangka pula mangsa keluar mencari siput bersama rakannya. Sebelum keluar berniaga pagi tadi, arwah ada kata ingin menyiang ikan untuk makanan tengah hari.
"Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian. Namun saya tidak terfikir bahawa sesuatu buruk akan berlaku padanya," katanya.

7 pelacur China ditahan


ANGGOTA polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat negeri memeriksa tujuh wanita warga China yang dipercayai pelacur di Flat Taman Bukit Delima, Seremban, semalam.


SEREMBAN 24 Julai – Tembelang pemilik rumah pelacuran yang menjadikan sebuah flat di Taman Bukit Delima di sini untuk menjalankan kegiatan haram itu terbongkar apabila diserbu polis malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, tujuh pelacur warga China berusia antara 21 dan 26 tahun berjaya ditahan di dalam sebuah rumah.
Ketika serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri, semua wanita itu sedang leka melayan enam pelanggan berusia 23 hingga 58 tahun.
Pegawai Turus D7 negeri, Asisten Supritendan Habibi Majinji berkata, pihaknya turut menemui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tingkat tujuh flat itu untuk memantau pergerakan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati warga asing itu menyalahgunakan pas sebagai pelajar untuk melacur. Kita juga merampas beberapa kondom dan pelincir,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk disoal siasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Taman Starlight, Rasah, tujuh lagi wanita warga China dan seorang warga Thailand ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan.

Anggota polis cedera dilanggar mat rempit


JITRA 24 Julai - Seorang anggota polis patah kaki kanan dan cedera di kepala setelah dirempuh mat rempit ketika menyerbu kumpulan itu di Taman Nilam, Sungai Petani di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi, ketika mangsa, Lans Koperal Shahril Yusuf, 32, serta seorang pegawai dan tiga anggota ke lokasi itu setelah menerima maklumat tentang lumba haram.
Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, bagaimanapun sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kesemua mat rempit itu bertindak melarikan diri.
Katanya, salah seorang daripada mereka telah merempuh Shahril dan mengakibatkan mangsa tercampak.
"Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan," katanya di sini hari ini.

Mini kasino dekat ladang babi diserbu


BUKIT MERTAJAM 24 Julai - Kegiatan kaki judi haram kini bukan sahaja memilih lokasi terpencil seperti ladang getah dan kelapa sawit malah ada yang sanggup beroperasi berhampiran kandang babi.
Ia terbukti apabila polis berjaya membongkar sebuah mini kasino di Kampung Sungai Puyu di sini semalam, yang beroperasi berdekatan kandang haiwan itu bagi mengabui pihak berkuasa.
Dalam serbuan di belakang sebuah rumah kira-kira pukul 5 petang itu, 21 kaki judi berusia 27 hingga 62 tahun ditahan ketika sedang leka bermain judi jenis dadu.
Siasatan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri mendapati kegiatan perjudian itu membabitkan nilai pertaruhan yang dianggarkan mencecah sehingga RM100,000 sehari.

Dua beradik maut, abang parah


KUALA TERENGGANU 24 Julai - Demi ikatan kasih dan sayangnya, Mohd. Masril Mat Ludin, 14, akan menghantar adiknya mengikuti kelas malam dengan motosikal pada setiap Jumaat.
Namun takdir menentukan semalam merupakan detik-detik terakhir dia menghantar Mohd. Arif, 9, apabila adiknya itu terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta.
Lebih menyedihkan, seorang lagi adiknya, Mohd. Firdaus, 4, turut terbunuh ketika mereka menaiki motosikal bersama-sama dalam kejadian pada pukul 8 malam itu.
Mohd. Masril yang menunggang motosikal itu pula koma akibat cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Kejadian berlaku di Kampung Padang Machang, Manir dekat sini, semasa Mohd. Masril dalam perjalanan dari Padang Tengir untuk menghantar Mohd. Arif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam bagi mengikuti kelas malam di sekolah itu.
Ibu mangsa, Ramlah Ismail, 41, yang ditemui di HSNZ hari ini memberitahu, Mohd. Masril sering menghantar adiknya ke kelas malam setiap hujung minggu.
"Kebiasaannya Mohd. Masril enggan membawa Mohd. Firdaus tetapi disebabkan adiknya menangis, dia menukar fikiran dan membawa juga.
"Kira-kira pukul 9 malam, seorang rakan Mohd. Masril memaklumkan melihat motosikal anak saya dilanggar di sebuah jambatan," katanya sebak.
Seorang saksi memberitahu, dia melihat sebuah kereta dari arah Pekan Manir merempuh mangsa dari arah bertentangan semasa cuba mengelak seekor lembu melintas.
Katanya, akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak di tepi sebuah longkang besar.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zambri Shamsuddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian berkenaan.

Hasrat bapa timang anak tidak sampai


Anggota polis dan bomba mengangkat mayat Abd. Basir Hasan yang maut akibat kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Baru Bukit Putus, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 24 Julai - Seorang pemandu lori yang bakal menimang cahaya mata pertama bulan depan terbunuh selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 17 Jalan Kuala Klawang-Seremban menuju bandar ini di Jalan Bukit Tangga dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Anuar Md. Noh, 28, yang berasal dari Kampung Petaseh, Jelebu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah, bomba terpaksa dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa di dalam kenderaannya yang remuk.
"Semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Klawang, Jelebu ke bandar Seremban.
"Bagaimanapun ketika menuruni bukit, lori itu terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaa'far (HTJ) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
Difahamkan mangsa telah tujuh tahun berkahwin dengan Kartini Kamarudin, 29, dan bakal menimang cahaya mata pertamanya bulan depan.
Seorang sepupu mangsa, Samsli Abd Rahman, 45, berkata, Anuar yang baru empat hari memandu lori itu sebelum ini membawa lori tangki dan kontena.
"Sebelum ini, isteri Anuar pernah keguguran dan arwah sangat gembira kerana bulan depan dia bakal bergelar bapa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai Jabatan Perhutanan Pulau Pinang maut selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 12 Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Abd Basir Hasan, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Rakannya yang juga pemandu kereta Proton Wira itu serta pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) Perodua Kembara pula cedera parah dan dihantar ke HTJ di sini.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila Perodua Kembara itu tiba-tiba terbabas ketika melalui jalan tersebut sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Kenderaan itu kemudian merempuh kereta Proton Wira mengakibatkan mangsa terbunuh," katanya.
Difahamkan mangsa baru selesai menghadiri satu mesyuarat di Hulu Bendul, Kuala Pilah dekat sini.

Kopitiam seluruh negara diragui


KUALA LUMPUR 24 Julai – Penyediaan makanan berasaskan daging di hampir semua kopitiam di negara ini diragui status halal setelah pengusahanya didapati mendapatkan sijil halal hanya dengan menelefon syarikat yang mengeluarkannya.
Perkara itu didedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil serbuan dan siasatan berikutan aduan orang ramai.
Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, siasatan pihaknya mendapati syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal itu tidak melakukan pemeriksaan di premis kopitiam terbabit apatah lagi di pusat penyembelihan dan status bekalan daging.
Jelas beliau, sebaliknya syarikat terbabit mengeluarkan sijil halal itu dengan hanya menemu bual pengusaha tersebut melalui telefon sahaja.
Menurutnya, justeru, semua makanan berasaskan daging yang disediakan oleh kopitiam di negara ini diragui status halal.
“Permohonan dibuat melalui telefon... pihak syarikat (halal) itu akan menyoal sama ada mereka menyediakan alkohol atau menyediakan daging babi dan beberapa soalan lain.
“Jika tiada, ia bermakna premis itu layak menerima sijil halal,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini mendedahkan sebuah kopitiam di Kepong yang diserbu penguat kuasa Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf.
Saimah berkata, hampir keseluruhan kopitiam di negara ini menggunakan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta kerana lebih mudah dan cepat diperolehi.
Beliau memberitahu, sebaliknya jika dipohon daripada Jakim, ia memerlukan pemeriksaan yang menyeluruh daripada restoran sehingga ke pusat penyembelihan.

Bayi perempuan sumbing dibuang


KUALA LUMPUR 24 Julai - Apakah dosa bayi perempuan ini sehingga tidak diterima oleh ibu bapanya hanya kerana mulutnya sumbing.
Kecacatan itu mengakibatkan si kecil yang tidak berdosa ini dibuang dan mayatnya ditemui di dalam tong sampah.
Bayi yang cukup sifatnya itu ditemui oleh seorang pengutip barangan lusuh di dalam sebuah beg plastik di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika ditemui, bayi itu yang dipercayai dilahirkan semalam masih bertali pusat.
"Semasa menggeledah tong sampah dia menemui satu bungkusan plastik mencurigakan dan selepas dibuka dia terkejut melihat mayat bayi bersama urinya.
"Hasil siasatan kita dapati bayi berkenaan dilahirkan kurang dari empat jam sebelum dibuang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khamis lalu, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Namun bayi yang ditemui pada pukul 6.40 pagi itu lebih bernasib baik kerana masih bernyawa ketika ditemui sebelum dibawa ke hospital tersebut.
Zakaria menambah, mayat bayi yang mirip kaum Melayu itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tembakan di luar mahkamah


AKSI Siaumau berjaya dirakamkan jurugambar yang duduk berhampiran ketika dia melepaskan tembakan ke arah Brown pada Khamis lalu.- AP


PAGO PAGO, American Samoa 24 Julai - Seorang lelaki yang baru saja menghadiri perbicaraan saudaranya menembak seorang polis veteran di luar mahkamah, sebelum melepaskan dua lagi tembakan ketika beberapa pegawai beruniform lain dan wartawan berada berdekatan.
Mangsa, Leftenan Lusila Brown, sedang bertugas menjaga keselamatan dalam perbicaraan pada petang Khamis lalu. Suspek penembak, Siaumau Siaumau Jr. dilihat mengenal Brown dan memintanya peluang untuk berbicara ketika meninggalkan bangunan Mahkamah Tinggi di wilayah Amerika Syarikat itu.
Siaumau kemudian mengeluarkan pistol dari sebuah beg kecil di bawah ketiaknya dan melepaskan tembakan ke arah Brown, 44, dari jarak beberapa kaki, kata polis.
Dia kemudiannya dijatuhkan marsyal mahkamah dan pegawai polis lain. Seorang lagi polis cedera namun tidak berada dalam keadaan serius, demikian menurut pihak berkuasa. - AP

Pemandu van bawa wang tunai RM17 juta lesap



JEDDAH – Polis Arab Saudi melancarkan gerakan memburu seorang pemandu van keselamatan yang melarikan wang tunai 20 juta riyal (RM17.2 juta) untuk dimasukkan ke mesin teler automatik beberapa buah bank di wilayah Asir semalam.
Pengarah polis wilayah itu, Mejar Jeneral Obaid Al-Khamash berkata, tiga suspek yang merupakan rakan sekerja pemandu itu berjaya ditahan ketika mereka cuba membeli sebuah kereta Lexus baru berharga 325,000 riyal (RM279,000) secara tunai.
Pihak keselamatan kemudian mengesan van dibawa pemandu itu yang baru bekerja sebulan lalu, ditinggalkan di kawasan lapang kira-kira empat kilometer dari Uhd Rafeeda namun suspek dan wang di dalam kenderaan itu sudah lesap. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Bali sebulan terputus bekalan gula



DENPASAR – Penduduk pulau peranginan terkenal Bali resah selepas sebulan mereka langsung tidak dapat membeli gula ekoran tiada kapal yang membawa bekalan itu dari Makassar tiba di sini kerana cuaca buruk di perairan Sulawesi.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, bekalan baru sepatutnya tiba bulan lalu namun sumber tunggal stok gula itu sudah lewat sebulan dan menyebabkan Bali yang kini mempunyai 10,000 tan simpanan kecemasan gula kini diancam terputus bekalan.
“Masyarakat tempatan memerlukan 5,000 tan sebulan dan 1,500 tan lagi khusus untuk pelancong asing tetapi dengan keadaan sekarang, penduduk digesa tidak membazir gula dan berjimat menjelang bulan Ramadan,” katanya. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Tertelan nyamuk masa baca berita




RAKAMAN menunjukkan detik ketika seekor nyamuk (dalam bulatan)
terbang memasuki mulut Ching.
TAIPEI – Seorang penyampai berita televisyen Taiwan, Huang Ching dikejarkan ke sebuah hospital selepas tertelan seekor nyamuk yang muncul ketika dia sedang membaca berita secara langsung di udara, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut tercekik diserang asma apabila serangga itu tersangkut di kerongkong dan menyebabkan pengurusan stesen China Television Co. memutuskan siaran berita dengan iklan selama empat minit.
Dia masih meneruskan tugas walaupun kelihatan nafasnya tercungap sebelum siaran diputuskan seketika dan seorang lagi rakan penyampai berita segera mengambil alih tempat Huang Ching yang sedang menerima rawatan kecemasan.
“Saya tidak pernah menjangka penangan seekor nyamuk boleh memberi kesan amat besar dan menjadikan hari itu bertukar sebagai begitu teruk,” kata Huang Ching yang menghabiskan masa beberapa hari di sebuah hospital tempatan. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Majikan China awasi sijil akademik palsu





SHANGHAI – Pihak berkuasa China meminta semua majikan firma besar melakukan semakan teliti latar belakang akademik bakal pekerja mereka selepas negara itu gempar dengan skandal ijazah palsu bekas Presiden Microsoft China, Tang Jun (gambar).
Ia terbongkar selepas pakar pengesan plagiarisme dan pemalsuan sijil akademik terkenal, Fang Zhouzi mendedahkan, Tang Jun yang mengetuai Microsoft negara itu dari 2002 dan 2004 membeli ijazah doktor falsafah dari Amerika Syarikat.
Akhbar-akhbar China melaporkan skandal penipuan itu secara besar-besaran yang menyebabkan Kementerian Pelajaran mengumumkan senarai lebih 10,000 institusi pengajian tinggi di 33 buah negara yang diiktiraf sah oleh pihak kerajaan.
Daripada senarai itu, tiada langsung nama Universiti Pacific Western dan Universiti California Miramar yang digunakan Tang Jun menerusi buku autobiografi dirinya malah siasatan mendapati, ramai pelajar asing membeli ijazah di universiti itu. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

2 nahas jet tentera Kanada, India



GAMBAR menunjukkan saat-saat akhir jet Hornet F-18 yang dipandu Bews terjunam ketika latihan di Lethbridge, kelmarin,

CALGARY – Seorang juruterbang tentera udara Kanada, Kapten Brian Bews nyaris maut apabila sempat melonjak keluar sebelum jet Hornet F-18 dipandunya terhempas pada sesi latihan sempena pesta udara di Lethbridge, Alberta, dekat sini kelmarin.
Saksi-saksi berkata, ketika demonstrasi itu, mereka melihat pesawat tersebut hilang kawalan dan menjunam laju ketika cuba terbang rendah namun, mujur juruterbang berjaya keluar dengan kerusi anjal hanya kira-kira 30 meter dari tanah.
Dalam pada itu, dua juruterbang tentera udara India maut setelah sebuah jet MIG-27 yang dipandu mereka terhempas di perkampungan Moinaguri, daerah Jalpaiguri, di negeri Bengal Barat semalam, kata jurucakap markas tentera di Kolkata.
Punca sebenar nahas itu masih lagi disiasat dan kemalangan tersebut turut menyebabkan 12 penduduk awam di kampung berkenaan termasuk empat kanak-kanak cedera. – Agensi
kredit : kosmo.com.my