Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Gempa bumi di Sumatera gegaran dirasai di Pantai Barat Semenanjung


24/07/2010 12:06pm

KUALA LUMPUR 24 Julai - Gempa bumi pada magnitud 6.1 pada skala Richter berlaku di utara Sumatera, Indonesia pagi ini dan gegarannya turut dirasai di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Gempa bumi itu berlaku pukul 10.11 pagi ini, berpusat di 40 kilometer tenggara Padang Sidempuan, Indonesia dan 307 kilometer tenggara Klang, Selangor.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan daripada pengurus bangunan di sekitar ibu negara yang memaklumkan berlakunya gegaran kecil.
Antaranya bangunan yang menempatkan bank, hotel dan beberapa pangsapuri, katanya.
Turut merasai gegaran kecil ialah ibu pejabat bomba Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela, katanya.
Menurut beliau, pihaknya menasihatkan pihak pengurusan bangunan membuat pemeriksaan sendiri.
Beliau dimaklumkan pengurus bangunan juga tidak meminta penghuni untuk mengosongkan bangunan.
Pihak bomba akan memantau perkembangan tersebut melalui maklumat terkini Jabatan Meteorologi, katanya. - Bernama

kemalangan kereta dibukit putus

JELEBU - Seorang pegawai Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Pulau Pinang terbunuh manakala dua lagi parah dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah Perodua Kembara di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, pada pukul 6.30 petang semalam.


Menurut jurucakap polis, mangsa Abd Basir Hasan, 49, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.
Rakannya yang juga pemandu kereta berkenaan serta pemandu Perodua Kembara pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Seremban.
Kemalangan berlaku selepas Perodua Kembara dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang dipandu oleh pelajar sebuah institusi pengajian tinggi itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.
Timbalan Ketua Pengarah Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Dr. Abd. Rahman Abd Rahim yang ketika itu melalui kawasan kemalangan memberitahu, mangsa baru saja selesai menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri yang dipengerusikan oleh beliau di Hutan Lipur Ulu Bendol. - Bernama

Pemandu bakal jadi bapa maut


JELEBU - Seorang pemandu lori yang bakal menimang anak pertama bulan depan maut apabila lori seberat tiga tan bermuatan batu bata yang dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 17, Jalan Bukit Tangga dari Kuala Kelawang menuju ke arah Seremban dekat sini pagi ini.

Anuar Md Noh, 28, terkorban bila lori yang dipandunya "terbang" melintas satu gaung kecil sebelum merempuh lereng bukit itu.

Sepupu kepada Anuar, Samsli Abd Rahman, 45, ketika ditemui Bernama di tempat kejadian berkata, Anuar dari Kampung Petasik baru saja memandu lori itu selama empat hari dan sebelum ini beliau bergerak ke pelusuk tanah air sebagai pemandu lori kontena dan lori tangki.

"Isteri sepupu saya ini sedang sarat mengandung. Sebelum ini selalu gugur dan Anuar memang suka sangat bila dapat tahu bulan depan dia akan jadi bapa," katanya sambil memandang ke arah tompokan darah pada ruang memandu lori itu.

Isteri Anuar berusia 20an adalah kakitangan Hospital Kuala Kelawang.

Sementara itu, seorang pegawai Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Pulau Pinang terbunuh manakala dua lagi parah dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah Perodua Kembara di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, pada pukul 6.30 petang semalam.

Menurut jurucakap polis, mangsa Abd Basir Hasan, 49, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.

Rakannya yang juga pemandu kereta berkenaan serta pemandu Perodua Kembara pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Seremban.

Kemalangan berlaku selepas Perodua Kembara dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang dipandu oleh pelajar sebuah institusi pengajian tinggi itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Dr Abd Rahman Abd Rahim yang ketika itu melalui kawasan kemalangan memberitahu Bernama, mangsa baru saja selesai menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri yang dipengerusikan oleh beliau di Hutan Lipur Ulu Bendol.

Bahana panjat dinding




KULIM - Seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang masih menuntut di sebuah institut pengajian ditangkap ketika cuba menyorok di atas siling rumah sewa teman wanitanya yang bekerja sebagai operator kilang kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Menurut jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), mereka menerima maklumat dari orang ramai dan pergi ke tempat kejadian kira-kira jam 1 pagi untuk membuat pemantauan sebelum serbuan dan tangkapan dibuat.

“PADK menerima laporan dari orang awam kira-kira jam 1 pagi dan sampai di tempat kejadian kira-kira jam 1.30 pagi. Apabila sampai di sana kami membuat pemantauan kira-kira 10 minit dan kemudiannya meminta penghuni rumah itu membuka pintu. Pasangan perempuan yang hanya berbaju tidur mendakwa dia tinggal berseorangan kerana rakan serumah yang lain keluar bekerja.

"Setelah membuat pemeriksaan di dalam rumah, PADK ternampak kesan kotor di dinding. Pegawai penguat kuasa PADK memanjat siling dan membuat pemeriksaan," katanya.

Jurucakap berkata, PADK menjumpai seorang lelaki sedang menyorok di belakang tangki air rumah berkenaan. 

"Kami mengarahkan dia turun sebelum kedua-dua tangannya digari,” katanya.

Menurutnya, dari siasatan awal dijalankan mendapati kedua-dua pasangan itu tidak mempunyai hubungan mahram dan mereka akan di siasat bawah Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 setiap seorang.

Katanya, pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim dengan menaiki van PADK untuk membuat laporan. 

"Mereka dijamin oleh waris pasangan lelaki. Pasangan itu diarahkan untuk hadir ke PADK bagi memberi keterangan sebelum dakwaan dibuat terhadap mereka.

“PADK menasihatkan kepada semua pelajar supaya jangan terlibat dengan mana-mana perbuatan atau kegiatan berunsurkan maksiat," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi walaupun yang ditangkap adalah pelajar.

Setor peralatan sukan di Kepong musnah dalam kebakaran


KUALA LUMPUR - Pelbagai peralatan sukan jenama Gintell musnah apabila sebuah setor yang menyimpan barangan itu di Kepong Industrial Park 9, Taman Desa Jaya Kepong di sini, dijilat api pagi tadi.

Penolong Penguasa Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Wan Zakaria Wan Busu berkata, pihak bomba menerima panggilan dari orang ramai mengenai kebakaran itu pada pukul 8.16 pagi.

"Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan 11 anggota merupakan yang pertama di tempat kejadian," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, mereka kemudian dibantu oleh 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Jinjang, Selayang, Sungai Buloh dan Shah Alam serta lima anggota sukarelawan Bomba Bukit Bintang dengan tujuh jentera, termasuk sebuah skylift.

Wan Zakaria berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit. Tiada kamalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Gantung diri akibat kecewa




PASIR GUDANG - Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung di sebatang pokok di padang sebuah sekolah, berhampiran flet Megah Ria di sini, awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi orang awam yang ternampak seseorang tergantung di sebatang pokok kira-kira jam 7.50 pagi. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa, Rupendra Khadayat merupakan warga Nepal berumur 20 tahun bekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Putri. 

“Hasil soal siasat dengan majikan dan rakan sekerja, dipercayai ada kaitan dengan masalah perempuan sehingga mangsa nekad menggantung diri sendiri dengan menggunakan tali pinggang dan tali rafia. 

“Bagaimanapun kita masih lagi meneruskan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Roslan berkata, pihak polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang kecederaan ditemui pada bahagian badan mangsa. 

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Maut terperosok bawah kereta




KLANG - Hasrat seorang kelindan lori yang dalam perjalanan menemui abangnya di Setia Alam tidak kesampaian apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Jalan Haji Sirat, di sini malam semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, Clement Chellan, 18, dari Batu 1/2 Jalan Bukit Kapar parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, mangsa menunggang motosikal berseorangan dari arah Jalan Kapar menuju Jalan Meru. 

“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat, mangsa dipercayai tidak perasan sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah kanan (Jalan Bahagia) secara tiba-tiba cuba membelok ke arah kiri lorong untuk memasuki kawasan perumahan. 

“Mangsa yang tidak sempat mengelak kemudian bertembung dengan kereta terbabit sebelum mangsa diseret kira-kira 5 meter hingga menaiki tebing menyebabkannya terperosok di bawah kereta itu,” katanya. 

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu kereta wanita berusia lingkungan 30-an itu yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. 

Sementara itu, di tempat sama berlaku kekecohan apabila salah seorang rakan mangsa tidak berpuas hati setelah mendapati rakannya meninggal dunia lalu memecahkan cermin belakang kereta Proton Wira itu dengan menggunakan helmet. 

Kejadian berlaku dengan pantas ketika polis sedang sibuk menjalankan siasatan.

Dua suspek baki ‘Geng Mamak’ diburu


SHAH ALAM – Polis memburu dua suspek dipercayai rakan dua penjenayah yang mati ditembak dipercayai serpihan ‘Geng Mamak’ selepas menyerang polis menggunakan parang dan pistol ketika cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Orked, dekat Kampung Melayu Subang di sini, malam kelmarin. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang mengenal pasti identiti dua lelaki yang melarikan diri itu. 

Dalam pada itu, Khalid berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 16 kes samun diselesaikan membabitkan nilai lebih RM400,000. 

“Antara kejayaan polis menumpaskan penyamun di Restoran Makanan Jepun serta syarikat barang lusuh di Shah Alam,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam. 

Menurutnya, ada antara penjenayah bertindak ganas, bagaimanapun tiada kes membabitkan rogol dilaporkan. 

Sementara itu, dalam kes itu, empat lelaki cuba menyamun sebuah banglo milik seorang pesara kira-kira jam 9 malam kelmarin. 

Bagaimanapun, hasil maklumat awam diterima, dua kereta peronda polis bersama lapan anggota yang sedang membuat rondaan bertindak pantas ke lokasi kejadian. 

Polis bertembung dengan kereta suspek yang dipandu laju menuruni bukit serta hampir melanggar sebuah lagi kereta polis. 

Suspek yang memandu kereta itu bertindak keluar melepaskan satu das tembakan ke arah polis menggunakan pistol semi auto 0.9mm sebelum seorang lagi turut mengacukan parang. 

Polis kemudian melepaskan tembakan mengenai kedua-dua lelaki itu sementera dua lagi rakan mereka melarikan diri. 

Kereta yang digunakan mereka dilaporkan dicuri di Sungai Jarum pada 16 Julai lalu.

Kakak rayu Jowie hubungi keluarga

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dikenali Dolius Modusin, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Jowie dirayu menghubungi ahli keluarganya yang ditinggalkan sejak dia keluar dari rumah dan memulakan hidup baru di Pulau Pinang lapan tahun lalu.
Jowie yang berasal dari Keningau, Sabah merantau ke Semenanjung kerana ingin hidup berdikari.
Menurut kakaknya yang mahu dikenali sebagai Ain, pada dua tahun pertama sejak Jowie bekerja di sebuah kilang di sana, adiknya masih boleh dihubungi namun selepas itu gagal dikesan dipercayai sudah bertukar nombor telefon.

“Sudah lama ahli keluarga mencari kerana kami mula terputus hubungan dengannya selepas dua tahun Jowie merantau ke Pulau Pinang dan bekerja sebagai operator pengeluaran.

“Walaupun ibu dan ayah serta adik beradik melarang dia merantau, Jowie tetap berkeras kerana mahu berdikari bersama enam rakannya yang berpakat meninggalkan kampung halaman di Keningau,” katanya, semalam.

Katanya, sejak itu dia dan ahli keluarganya sering bersedih kerana Jowie menyepikan diri tanpa khabar berita.

“Ibu sering bertanyakan Jowie kerana sejak enam tahun lalu tidak ada langsung khabar berita daripadanya dan enam rakannya yang bersama merantau sudah pulang ke kampung tetapi Jowie bersendirian di sana.

“Kami sekeluarga sedih dan berharap Jowie dapat pulang ke Keningau bagi menjenguk kami sekeluarga terutamanya ibu bapa kami yang sering bertanyakan dirinya,” katanya.

“Alamat terakhir Jowie dikesan di nombor 43, Lorong Gelugor, Pulau Pinang tetapi usaha menjejakinya gagal kerana alamat terbabit tidak tepat.

“Sekiranya ada pihak yang dapat memberikan maklumat diharapkan dapat hubungi suami saya, Mohd Suhaimi Ibor di talian 013-7705281 ataupun 019-8023974,” katanya.

Tukang kayu didakwa, dua lagi rakan bebas

GEORGETOWN: Tiga sahabat yang sebelum ini menghadapi pertuduhan bersama mengedar dan memiliki dadah tidak menyangka keputusan Mahkamah Tinggi di sini, semalam memisahkan mereka.
Beh Yaw Lim, 24, mekanik; tukang emas, Peh Eng Poh, 26 dan tukang kayu, Chew Sam Poh, 48, pada mulanya didakwa secara bersama mengedar 59.39 gram dadah morfin dan memiliki 43.23 gram methamphetamine, 48.57 gram ketamin, 7.42 gram heroin dan 53.17 gram kanabis pada jam 10.30 malam di No 260D, Lebuh Carnavon, pada 18 Jun 2008.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman, Yaacob Md Sam, semalam membebaskan Beh dan Peh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh itu.

Menurutnya, barangan milik dua tertuduh tidak ditemui dalam rumah ketika diperiksa polis dan menyangkal mereka tinggal dengan Chew ketika serbuan.

“Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa Chew menetap di rumah berkenaan dan mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap dadah dijumpai di rumah terbabit,” katanya.

Terhentak tiang besi

KUALA LUMPUR: Menyayat hati apabila seorang anggota tentera yang baru sebulan menimang cahaya mata tidak sempat melihat zuriatnya itu membesar apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Jalan Duta arah bulatan Segambut menghala Jalan Parlimen, kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang bertugas di Kor Polis Tentera Diraja, Cawangan Siasatan Jenayah, Kem Sungai Buloh, baru saja mendapat anak sulung hasil perkahwinan dengan seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kota Damansara.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kemalangan kira-kira jam 2.45 petang kelmarin berlaku selepas motosikal dinaiki Mohd Nazari Abu, 33, bergesel dengan sebuah kereta.

Menurutnya, mangsa terjatuh dan diseret beberapa meter sebelum tercampak mengenai tiang lampu di tengah jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala akibat hentakan kuat pada tiang lampu.

“Pemandu kenderaan yang melanggar motosikal mangsa pula gagal dikesan kerana melarikan diri selepas kejadian,” katanya, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, pada petang sama berlaku satu lagi kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan tiga kereta di hadapan restoran jejantas Sungai Buloh, di Kilometer 458, Lebuhraya Utara-Selatan.

Kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu mengorbankan seorang lelaki warga emas, Saad Jaafar, 58, berasal dari Kampung Rimba Melati, Tiang Bertarah, Sungkai, Perak.

Mangsa yang menunggang Modenas Kriss bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang seorang lelaki dan menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan.

Pada masa sama, tiga buah kereta iaitu Perodua MyVi, Toyota Camry dan Honda City yang kebetulan melalui lebuh raya berkenaan gagal mengelak dan melanggar mangsa.

Saji ayam ‘bangkai’

KUALA LUMPUR: Bimbang rahsia terbongkar, sebuah restoran makanan Barat yang dikesan menyajikan ayam ‘bangkai’ kepada pelanggan sempat menghilangkan semua bukti invois pembelian bagi mengelak diambil tindakan oleh pegawai jabatan agama.
Difahamkan, restoran terbabit sebelum ini menimbulkan keraguan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas didapati mendapatkan bekalan daging ayam dari sebuah pusat pemprosesan yang tidak diberi pengesahan halal pihak berkuasa itu.
Lebih mengejutkan apabila restoran itu dikesan menggunakan sijil halal tidak diiktiraf Jakim untuk meyakinkan pelanggan Islam menjamu selera di premis berkenaan.

Dalam serbuan jam 10 pagi semalam, sepasukan pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah bersama pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan (Jawi) dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan pemeriksaan di premis itu.

Difahamkan, serbuan dilakukan selepas Jakim, Rabu lalu mengesan sebuah pusat penyembelihan milik individu bukan Islam membekalkan ayam kepada peniaga Melayu dan pemilik restoran halal.

Amri berkata, ketika serbuan dilakukan di kilang penyembelihan itu, pihaknya menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli membabitkan restoran makanan Barat itu.

“Susulan bukti itu, kami menjalankan pemeriksaan mengejut, semalam. Malangnya, invois pembelian ayam yang sepatutnya disimpan tiada di premis itu, sebaliknya hanya catatan pembelian di dalam sebuah buku log.

“Pihak kami gagal menemui bukti untuk mengaitkan mereka mendapatkan bekalan ayam dari pusat penyembelihan tidak halal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, logo halal yang tertera di hadapan premis itu juga didapati bukan dimohon daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri, sebaliknya daripada sebuah syarikat swasta tidak diiktiraf.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjamu selera di mana-mana restoran supaya tidak terpedaya dengan logo halal yang tidak diiktiraf.

Polis buru 5 ahli sindiket pengedaran dadah

SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor meminta kerjasama orang ramai bagi membantu polis mengesan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di daerah Kajang, Selangor.
Waran tangkap ke atas kesemua suspek terbabit sudah dikeluarkan untuk ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek terbabit adalah, Yeap Shuen Pheow, nombor kad pengenalan, 701001-07-5605 alamat terakhir, No 6, Jalan BM 5/11, Sek 5 Bandar Bukit Mahkota, Kajang; Tan Lian Hong, kad pengenalan 730301-02-5485, alamat terakhir No 44, Lorong Bandar 2, Batu 2 1/2, Jalan Kuchai Lama, Selangor.

Soh Shyn Giin, kad pengenalan 730301-02-5485, alamat terakhir No 9510, Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur dan No 59, Jalan Seri Tanjung, Bukit Muar, Johor.

Wong Kam Seng, pemegang kad pengenalan, 810625-06-5491 dan alamat terakhir, No NB-02-11, Kenangan View Apartment, Jalan Bukit Kenangan, Kajang dan No 25, Blok 6, Tingkat 7, Taman Loke Yeu, Miharja, Cheras.

Tan Keat Leong, pemegang kad pengenalan 870530-02-5734, alamat, No 8 Tingkat 5, Kondominium Taman Midah, Cheras dan No 204, Jalan Kangkung, Taman Orkid, Alor Setar, Kedah.

Polis meminta orang ramai atau mereka yang mengenali lelaki ini supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Chia Chee Sheng 019-3306497 atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di 03-87362222 sambungan 276 atau hotline IPK Selangor 03-20529999.

Rumah mewah makmal dadah

KUALA LUMPUR: Licik bukan kepalang apabila sindiket pengedaran dadah syabu didalangi warga Iran dikesan menjadikan sebuah rumah mewah di kawasan kediaman elit sebagai makmal pemprosesan dadah dengan memasak cecair hitam yang kemudian dijadikan dadah syabu bernilai lebih RM1 juta.
Lebih mengejutkan apabila kegiatan jenayah suspek yang memproses dadah di dalam bilik tidur utama langsung tidak disedari jiran tetangga walaupun kegiatan itu sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu. Penemuan makmal dadah terbabit dianggap kejayaan terbesar tahun ini selepas polis Kuala Lumpur sebelum ini merampas pelbagai peralatan memproses dadah syabu disyaki milik pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, atau Benjy di sebuah kondominium 31 Mac lalu.
Sumber polis berkata, kejayaan membongkar makmal dadah syabu terbaru itu adalah hasil penahanan seorang lelaki warga Iran berusia 30-an di kawasan Kepong, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas lelaki yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu, dia kemudian mendedahkan lokasi kegiatannya di sebuah rumah di Sri Hartamas, Mont Kiara, di sini.

“Pihak polis kemudian segera pergi ke rumah teres tiga tingkat terbabit sebelum melakukan pemeriksaan rapi. Hasil siasatan mendapati rumah terbabit yang dalam keadaan kotor dan tidak terurus dijadikan stor selain makmal memasak dadah.

“Pemeriksaan mendapati hanya bilik di tingkat tiga kediaman itu dijadikan lokasi untuk memproses dadah dipercayai jenis syabu. Bilik utama yang menghadap jalan raya itu didapati menyimpan kira-kira enam tong kecil berisi cecair likat berwarna hitam,” katanya.

Menurutnya, cecair hitam terbabit yang mempunyai bau tengik dipercayai adalah bahan utama untuk menghasilkan dadah jenis syabu atau nama saintifiknya Methamphetamine.

“Turut ditemui termasuk berpuluh balang kaca dan dapur untuk memasak dadah syabu berkenaan di tingkat atas rumah tiga tingkat terbabit. Selain itu, polis turut menemui pelbagai botol bahan kimia yang turut digunakan suspek untuk memproses dadah syabu terbabit.

“Polis percaya, cecair hitam berkenaan boleh menghasilkan sehingga berpuluh kilogram syabu yang mencecah harga jutaan ringgit selepas ia siap diproses menjadi kristal cerah,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai turut tinggal di rumah berkenaan.

“Susulan serbuan itu, anggota polis forensik dipanggil ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terhadap makmal dadah berkenaan. Polis percaya rumah itu sudah dijadikan lokasi untuk memproses dadah sejak beberapa bulan lalu.
“Agak aneh apabila jiran berhampiran kawasan perumahan mewah terbabit langsung tidak menyedari berhubung aktiviti memproses dadah di kawasan terbabit. Kebiasaannya, makmal atau dapur memproses dadah syabu akan mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan,” katanya.

Menurutnya, anggota polis forensik mengambil masa lebih lima jam untuk melakukan pemeriksaan rapi di rumah terbabit bagi mengenal pasti modus operandi suspek.

“Selain itu pihak polis turut cuba mendapatkan bukti cap jari suspek di lokasi kejadian bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap suspek,” katanya.

Difahamkan, pemilik rumah berkenaan sebelum ini menyewakan rumah terbabit kepada warga tempatan namun penyewa terbabit dikatakan tidak membayar sewa selama beberapa bulan.

Perbuatan menyimpang daripada ajaran Islam

KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang ustaz membogelkan anak murid kerana gagal menghafaz surah al-Quran cukup memalukan, malah tindakan itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan saja menjatuhkan imej agama malah seorang guru tidak boleh memaksa murid membuka aurat.
“Tidak ada justifikasi dalam Islam, seorang guru memaksa murid membuka aurat apatah lagi menyentuh. Ini bukan ajaran Islam malah satu perbuatan amat memalukan agama,” katanya yang dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai tindakan seorang ustaz di sebuah sekolah di Simunjan, Sarawak yang memaksa lima murid lelaki tahun tiga bogel dan dubur masing-masing didakwa dicucuk kayu penyapu disebabkan gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan.

Sehubungan itu, Mohamad Raimi meminta siasatan terperinci dilakukan pihak berkuasa dan jika ustaz terbabit memang bersalah mengambil kesempatan terhadap muridnya.

“Tidak ada dalam Islam hukuman keterlaluan seperti itu, jadi saya berharap tindakan tegas perlu dikenakan jika dakwaan itu terbukti benar bagi memastikan ia tidak berulang.

“Pihak sekolah dan pentadbiran juga perlu memantau kaedah pengajaran bagi memastikan ia selari dengan ajaran Islam,” katanya.

Temui ajal dalam tali air

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 55 tahun menemui ajal selepas terjatuh dalam tali air dan lemas dipercayai mengalami kekejangan akibat penyakit sawan dalam kejadian di Kampung Bechah Mulong, semalam.
Kejadian disedari penduduk kampung kira-kira jam 10 pagi, selepas melihat Salleh Ismail terjatuh ketika berada di tepi tali air dan terus tenggelam.
Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Balai Bomba Ketereh menjalankan gerakan mencari dan menemui mangsa terdampar di dasar tali air jam 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sebaik menerima panggilan telefon daripada orang ramai.

Beliau berkata, kejadian disedari penduduk kampung selepas melihat mangsa di tepi tali air terjatuh dan tenggelam.

Katanya, penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bergegas memberitahu adik perempuan mangsa Zaiton Ismail, 51, yang ketika itu berada di rumah.

“Selepas hampir 15 minit gerakan mencari mangsa dilakukan, mangsa ditemui di dasar tali air. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa yang berbaju dan berkain pelikat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat,” katanya.

Bapa mangsa yang dikenali Ismail, 70, ketika ditemui di HRPZ II, enggan mengulas mengenai kejadian itu kerana mendakwa ketika itu, dia berada di Kampung Jedok, Tanah Merah.

Menurut penduduk, mangsa sering berkeliaran di kawasan berkenaan dan kejadian itu berlaku dipercayai mengalami kekejangan sawan sebelum terjatuh ke dalam tali air.

Difahamkan, mangsa menghidap sakit mental dan sawan serta tinggal bersendirian di rumah berkenaan yang tidak jauh dari tempat kejadian.
Mangsa dikatakan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya bagi perbelanjaan makan dan minumnya.

Bahana marah kelas bising

KUALA LUMPUR: Seorang guru agama didakwa bertindak keterlaluan apabila menendang berkali-kali seorang muridnya yang baru berusia tujuh tahun selain mencubit anggota badan mangsa dalam kejadian di sebuah sekolah di Sungai Penchala, dekat sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika ustaz berusia lewat 20-an itu sedang mengajar di sebuah kelas.
Difahamkan, lelaki itu tiba-tiba naik angin selepas beberapa murid dikatakan membuat bising lalu bertindak mencubit beberapa murid tahun satu berkenaan.

Ketika kejadian, empat guru wanita turut berada di lokasi sama dan pada awalnya hanya memerhatikan kelakuan buas ustaz berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik menyedari tindakannya bertambah ganas dan bimbang perkara buruk berlaku, seorang daripada mereka meleraikan insiden berkenaan.

Bapa seorang murid, Mohd Azri Ramsi, 31, berkata dia menyedari perkara itu selepas mendapati anaknya hanya mendiamkan diri ketika pulang ke rumah pada sebelah malam hari kejadian serta melihat ada kesan lebam di bahagian dada anaknya.

“Pada mulanya dia (mangsa) hanya berdiam diri dan enggan menjelaskan apa yang berlaku, namun segala-galanya terbongkar selepas rakan sekelasnya memaklumkan kejadian itu kepada saya,” katanya.

Kesal tindakan ustaz terbabit, satu perjumpaan diatur bapa mangsa bersama pihak pengurusan sekolah itu.

Bagaimanapun, Mohd Azri tidak berpuas hati dengan jawapan diberi pihak sekolah malah ustaz didakwa mengasari kanak-kanak itu juga berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku.

“Dia (ustaz) sebaliknya menafikan tindakannya menendang dan mencubit anak saya selain menjelaskan hanya menguis kaki mangsa,” katanya.

Beliau membuat laporan polis insiden itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini selepas melakukan pemeriksaan kesihatan mangsa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

20 tahun tidak pulang

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mencari saudaranya yang hilang sejak 20 tahun lalu bagi menunaikan hajat kedua ibu bapa yang sudah uzur akibat terlalu merindui anaknya itu.
Rusie Motinggi, 31, mencari sepupunya, Gasri Tonono, 38, yang hilang selepas keluar dari rumah untuk ke Semenanjung bagi mencari kerja. Rusie berkata, sepupunya keluar dari rumah di Kampung Gunsali, Pitas, Sabah dipercayai merajuk dengan ibu bapanya yang tidak memenuhi permintaannya membeli sebuah motosikal. “Gasri sempat meninggalkan sekeping nota kepada ibu bapanya yang dia tidak mahu pulang ke rumah selagi mereka tidak meninggal dunia membuatkan mereka risau dengan keadaan itu. “Kini, bapanya (Tonono Oluw, 60) sudah uzur dan memohon supaya Gasri dapat pulang ke rumah bagi menyambung kembali hubungan kekeluargaan yang terputus,” katanya.
Rusie berkata, dia dan keluarganya sudah beberapa kali cuba mencari Gasri tetapi hingga kini masih hampa.

Orang ramai yang mengenali Gasri boleh menghubungi Rusie di 013-2440674,” katanya

Jolok guna batang penyapu

KUCHING: Seorang ustaz yang didakwa menjalankan hukuman ‘pelik’ ke atas tujuh muridnya dipercayai menggunakan batang penyapu sebelum memasukkan alat itu ke dalam dubur salah seorang daripada tujuh muridnya.
Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Choo Yin Kok berkata, laporan diterima daripada salah seorang mangsa memaklumkan, ustaz berkenaan memasukkan batang penyapu ke dalam duburnya tapi kejadian itu berlaku sekali saja.
Beliau berkata, setakat ini, hanya dua laporan diterima manakala ustaz terbabit berusia 27 tahun kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Dua kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan membabitkan kes cabul dan hubungan seks dengan menggunakan objek.

“Laporan pertama diterima ibu bapa kepada murid perempuan manakala satu lagi dibuat ibu bapa murid lelaki. Bagaimanapun, polis masih belum menerima laporan daripada lima lagi murid lelaki yang didakwa menerima hukuman sama,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan lima daripada enam murid lelaki mendakwa dubur mereka dicucuk dengan lidi penyapu sebagai hukuman akibat gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan. Manakala seorang lagi murid lelaki dikasari apabila lehernya dijerut dengan wayar kerana melakukan kesalahan sama.

Mereka didakwa dibogelkan dalam kelas sebelum dimasukkan objek berkenaan malah kejadian itu turut disaksikan rakan lain.

Seorang lagi mangsa adalah murid perempuan tapi dia mendakwa menerima hukuman di bilik berasingan apabila dibogelkan sebelum kemaluannya diraba ustaz terbabit.

Choo berkata, ustaz itu sudah berkahwin mempunyai dua anak direman tujuh hari bermula semalam.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul manakala satu lagi siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377 (C) (A), mengadakan hubungan seks dengan objek,” katanya.

'Tak percaya cucu hanyut'

KUALA KETIL: “Saya terkedu apabila diberitahu cucu kesayangan hanyut ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Muda.
“Seperti tidak percaya kerana dia beritahu mahu ke perpustakaan awam di Kampung Paya Menora mengulang kaji pelajaran,” kata Mariam Hussin, 64, nenek kepada Nurshafikah Ismail, 12, yang lemas ketika mandi di Sungai Muda di Kampung Belida di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama memberitahu Mariam untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan sekelas di perpustakaan itu.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Mohd Ariff Abdullah (SKMAA) di Kampung Guar Chempedak itu sebelum ini tidak pernah ke Kampung Belida untuk mandi sungai kerana sering menasihatkan neneknya mengenai bahaya mandi di sungai.

Mariam berkata, sejak tiga hari lalu, mangsa yang juga anak yatim piatu sering ke kampung berkenaan untuk bertemu rakan sekelas dan tidak menyangka kehadirannya di kampung terbabit semalam untuk kali terakhir.

“Saya tak sedap hati apabila mendapat tahu Nurshafikah dihanyutkan arus sungai yang pernah menjadi tempat projek mengorek pasir serta mempunyai banyak lubuk dan dasar yang dalam.

“Saya begitu menyayanginya kerana memeliharanya sejak berusia enam tahun selepas kematian kedu ibu bapanya. Selama ini, dia menjadi penyeri rumah kerana saya pun ibu tunggal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakan lain dikatakan pergi ke satu kawasan tebing berbatu untuk mandi. Bagaimanapun, ketika berjalan di atas batu yang licin, mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras. Menyedari keadaan itu, empat rakan lain segera mendapatkan pertolongan penduduk kampung untuk menyelamatkan mangsa tetapi terlambat kerana murid berperwatakan pendiam itu tenggelam dibawa arus. Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi semalam di kawasan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian oleh penduduk dibantu lima anggota unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sungai Petani dalam operasi bermula jam 5.30 petang kelmarin hingga 2 pagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abd Kudus Abd Malik berkata, arus air sungai deras, cuaca gelap selain keadaan air keruh menyukarkan operasi mencari.

“Bagaimanapun, kita bersyukur berikutan penemuan mayat mangsa pagi ini dalam keadaan baik dan berterima kasih atas kerjasama penduduk kampung, polis dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Chempedak selepas solat Jumaat, semalam.

Serbu remaja teguk arak

KUALA LUMPUR: Bagai tidak percaya menyaksikan ratusan remaja bawah umur leka berpesta ‘ladies night’ sambil meneguk arak di sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan Yap Ah Sak, Bukit Bintang di sini, awal pagi semalam.
Namun, kegembiraan remaja terbabit tidak bertahan lama apabila pusat hiburan itu dikepung sebelum diserbu polis dan menahan 111 pengunjung.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi oleh sepasukan tiga pegawai dan 15 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral itu.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya percaya pusat hiburan itu menjadi tumpuan remaja kerana tiada sekatan dilakukan pusat itu terhadap remaja bawah umur.

“Seramai 67 remaja perempuan dan 44 lelaki bawah umur ditahan untuk diambil keterangan dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada ibu bapa mereka.

“Hasil soal siasat, majoriti remaja terbabit ditahan untuk kali pertama bagi kesalahan berkenaan. Mereka dibebaskan atas jaminan ibu bapa selepas diberi kaunseling,” katanya ketika dihubungi. Razali berkata, hasil risikan pihaknya, setiap minggu terutama malam Khamis pusat hiburan terbabit meriah kerana selalu menganjurkan parti ‘ladies night’.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pengurus pusat hiburan terbabit.

“Polis akan mendakwa pengurus itu di mahkamah kerana membenarkan remaja bawah umur memasuki pusat hiburan itu tanpa sekatan had umur dan majoritinya pelajar sekolah.

“Kami akan usulkan perkara ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyekat sebarang pembaharuan lesen pusat hiburan itu,” katanya.

Menurutnya, pusat hiburan itu beroperasi sejak setahun lalu dan keuntungan motif utama pusat hiburan terbabit membenarkan remaja bawah umur memasuki tanpa sekatan.

“Pusat hiburan terbabit pernah diserbu dua kali masing-masing oleh IPK Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Polis akan menyiasat kes ini mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 yang boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan remaja bawah 21 tahun tidak dibenarkan memasuki premis hiburan di ibu kota apabila Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dipinda pada 2003.

KD sedia tinggalkan karier, tumpu bisnes

JAKARTA: Bintang pop Indonesia, Krisdayanti (KD), berkata dia bersedia meninggalkan dunia glamor yang melonjakkan namanya sebelum ini, sejurus selepas berkahwin dengan kekasihnya, Raul Lemos.
Menurut KD, dia mempunyai rancangan besar apabila bergelar isteri nanti.
Selepas berpisah seketika dengan Raul pada April lalu, KD berkata, dia mahu membina empayar bisnes baru bersama ahli perniagaan dari Timor Leste itu.

“Saya sedar kini usia saya tidak lagi muda.

“Sebagai artis, dalam keadaan begini bayaran yang akan diterima bukan lagi seperti saya masih muda.

“Raul selalu bersimpati melihat saya terpaksa sering bangun awal pagi semata-mata untuk memenuhi jadual persembahan dari satu lokasi ke lokasi lain,” katanya.

Walaupun berdekad menjadi artis, KD berkata, dia yakin tiada masalah besar baginya meninggalkan dunia itu.

“Asalkan saya mampu menghabiskan masa bersama orang yang tersayang, ia tiada masalah langsung,” katanya. - Agensi

Aksi cium KD, Ariel setaraf

JAKARTA: Selepas bergolak dengan klip video seks Ariel Peterpan, kini giliran Krisdayanti dan Raul Lemos menjadi perhatian masyarakat.
Gara-gara berkucup dengan kekasihnya di tempat terbuka, peminat dunia hiburan menganggap aksi itu tiada bezanya dengan video lucah Ariel.
Pakar psikologi, Rose Mini A Priantom, berkata keterlanjuran KD dan Raul boleh memberi persepsi negatif kepada seluruh selebriti di negara itu.

“Walaupun mereka mendakwa tidak merakam aksi seks, saya menganggap tindakan mereka sama rendahnya dengan Ariel,” katanya. - Agensi

Suami Cut harap simpati polis

JAKARTA: Pasangan suami isteri, Cut Tari dan Johannes Yusuf Subrata, amat berharap pihak berkuasa tidak mengheret personaliti televisyen popular itu ke mahkamah kerana terbabit dalam hubungan zina dengan Ariel Peterpan.
Menurut Johannes, ketika ini pun Cut Tari amat terseksa kerana terpaksa berdepan dengan ‘pengadilan masyarakat yang membuat kesimpulan sendiri.
“Cut Tari kini menghadapi hukuman orang ramai dan ia cukup berat untuk isteri saya serta keluarga.

“Keadaan menjadi lebih sukar kerana kami mempunyai anak,” katanya di pejabat peguam, Hotman Paris Hutapea, semalam.

Cut Tari mengaku menjadi pasangan seks Ariel dalam klip video yang tersebar di Internet baru-baru ini dan sehingga kini nasibnya belum pasti sama ada akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

Bekas juara tilawah al-Quran ketika sekolah rendah itu mungkin terlepas daripada pendakwaan kerana dianggap menjadi mangsa apabila tidak pernah memberi kebenaran kepada Ariel merakam aksi mereka di ranjang.

Cut Tari bernikah pada 9 Januari 2004 dan dikurniakan anak perempuan, Sydney, pada Februari 2008.

Kata Johannes, dalam keadaan genting ini dia tidak banyak menaruh harapan.

“Kami hanya mohon keadilan,” katanya.

Sementara itu, Hotman berkata, pihaknya masih berharap pihak berkuasa mengecualikan anak guamnya daripada terus disiasat dan dikenakan tindakan.

“Kami berharap Cut Tari dilepaskan daripada sebarang tuduhan di mahkamah,” katanya. - Agensi

Peragawati menangis dijel tujuh tahun

KUALA LUMPUR: Seorang peragawati menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen di sini semalam ketika dikenakan hukuman tujuh tahun penjara selepas didapati bersalah terhadap tuduhan memiliki 10 ketulan mampat bahan tumbuhan jenis kanabis pada tahun lalu.
Hakim Muhammad Sekeri Mamat menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee membuktikan keraguan munasabah terhadap Nor Azlina Noor Akhmad, 28.
Muhammad Sekeri memerintahkan Nor Azlina menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu 20 Januari 2009.

Beliau bagaimanapun mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan dengan alasan statusnya wanita.

Turut berada di mahkamah semalam seorang wanita dipercayai ibu tertuduh turut teresak-esak menangis ketika hukuman terhadap anaknya dijatuhkan.

Terdahulu, peguam bela M K Thas merayu kepada mahkamah agar anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh penanggung tunggal keluarga terutama ibunya yang memerlukan perhatian kerana sudah tua.

Mengikut pertuduhan dia, didakwa memiliki 10 ketulan mampat bahan tumbuhan dadah kanabis di No 12-11-12, Hartamas Regency Condo 1, Persiaran Dutamas, Off Jalan Duta, Sri Hartamas, di sini pada jam 11.30 malam, 20 Januari 2009.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 Januari tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya boleh dihukum mengikut seksyen sama memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Adik goda, kakak ugut

JOHOR BAHRU: Adik goda, dua kakak peras ugut. Itulah taktik digunakan tiga beradik perempuan mendapatkan wang secara mudah daripada lelaki sasaran mereka.
Si adik bekerja pelayan pelanggan (GRO), manakala dua kakaknya berperwatakan tomboi saling bekerjasama melakukan pelbagai perbuatan keji mendapatkan wang cara mudah mengikis dan mengugut lelaki menjadi mangsa mereka.
Difahamkan, sehingga kini sekurang-kurangnya lima lelaki menjadi ‘hamba’ tiga beradik itu selepas hanyut dalam godaan si GRO dan sanggup mengeluarkan wang demi memastikan rahsia mereka menjalin hubungan sulit tidak dibongkar si tomboi kepada keluarga masing-masing.

Taktik adik-beradik itu si GRO menggoda dan memerangkap mangsa, manakala si tomboi mengugut ahli keluarga mangsa tidak masuk campur atau berdepan tindakan ‘ganas’ mereka.

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Effa, 46, anak sulungnya, Iwan, 24, menjadi mangsa tiga beradik itu selepas berkenalan dengan GRO terbabit menerusi rakan sekerja dan sejak itu sikapnya jauh berubah.

“Iwan bertugas sebagai jurutera d syarikat perkapalan dan dalam tiga minggu selepas berkenalan dengan GRO itu, perangainya berubah daripada anak yang baik kepada lupa segala-galanya.

“Dalam tempoh berkenaan, Iwan sanggup menghabiskan wang simpanan ribuan ringgit, selain berhutang kad kredit bagi memastikan kebahagiaan GRO terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Effa berkata, akibat mabuk cinta dengan GRO terbabit, Iwan dibuang kerja Mei lalu berikutan kerap ponteng semata-mata mahu menghabiskan masa dengan perempuan murahan terbabit.

Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah menikmati hasil titik peluh daripada pekerjaan pertama Iwan dan beranggapan ijazah diperoleh anaknya hasil pengajian selama lima tahun tidak bermakna kerana dia melupakan segala tanggungjawab.

“Namun, demi masa depan Iwan, saya dan suami sanggup bersemuka dan menghubungi GRO itu untuk menasihatinya supaya menamatkan hubungan, selain mengelak anak kami terjebak dalam kancah maksiat.

“Kami tidak menyangka GRO itu dinaungi dua kakaknya berperwatakan seperti lelaki yang turut bersubahat. Tiga beradik terbabit tiba-tiba muncul di depan rumah kami dan berlagak samseng termasuk meludah serta memarahi saya dengan katakesat,” katanya.
Menurut Effa, tiga beradik terbabit turut memaki-hamunnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar hingga ia menimbulkan tekanan.

Mereka mencabar Iwan meninggalkan keluarga, selain memberi peringatan kepada Effa sekeluarga supaya tidak masuk campur urusan mereka.

“Selepas mengetahui helah ketiga-tiga beradik itu, saya membuat laporan di Balai Polis Tampoi awal bulan lalu kerana bimbang keselamatan Iwan yang kini menjadikan kediaman kami seperti rumah tumpangan,” katanya.

Effa turut terkejut apabila mendapat tahu untuk membiayai kehidupan, tiga beradik terbabit mempunyai hubungan dengan sekurang-kurangnya lima lelaki, ada yang bujang dan ada juga berkahwin.
Katanya, lelaki yang terjerat dengan perangkap tiga beradik itu membiayai rumah, kereta, bil elektrik dan air hinggalah perbelanjaan bulanan mereka dan sejak Iwan kehilangan kerja, dia dilayan seperti pemandu kepada tiga beradik terbabit.

“Iwan seolah-olah berada di bawah pengaruh syaitan apabila sanggup melanggar saya menggunakan kereta GRO terbabit hingga cedera ringan, pada 25 Jun lalu.

“Bagaimanapun, Tuhan seperti mahu membalas kejahatan tiga beradik itu apabila GRO terbabit ditahan dalam operasi Jabatan Agama Johor (JAJ) di sebuah kelab malam, sehari selepas kejadian,” katanya.

Syabu seluar dalam

Syabu seluar dalam
SHAH ALAM: Sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini terkejut apabila mendapati seorang daripada tiga lelaki warga Iran yang ditahan sejurus tiba ke negara ini memakai tiga seluar dalam berisi enam peaket dadah jenis Syabu.


RAMPAS...Nordin (dua kiri) menunjukkan dadah dan kasut yang digunakan untuk menyembunyikan Syabu.
RAMPAS...Nordin (dua kiri) menunjukkan dadah dan kasut yang digunakan untuk menyembunyikan Syabu.


TAKTIK BARU...seluar dalam digunakan suspek bagi menyembunyikan dadah seberat 1.13kg.
TAKTIK BARU...seluar dalam digunakan suspek bagi menyembunyikan dadah seberat 1.13kg.

Ketiga-tiga suspek yang baru tiba melalui penerbangan dari Doha, Qatar kira-kira jam 11 malam kelmarin itu dipercayai ‘keldai dadah’ kepada sindiket pengedaran dadah antarabangsa dicekup pihak berkuasa negara ini.

Pemeriksaan polis ke atas dua lelaki yang membawa dua beg pakaian yang ditarik suspek turut menemui sejumlah dadah jenis syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, siasatan awal mendapati dadah jenis syabu itu dibungkus enam bungkusan kecil disorok dalam seluar dalam dianggarkan seberat 1.13 kilogram (kg) manakala syabu yang ditemui dalam beg pakaian dianggarkan seberat 3.7kg.

Menurutnya, kesemua dadah seberat 4.83kg yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1.21 juta.

“Taktik menyorok dadah dalam seluar dalam adalah cara baru digunakan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran.
“Pemeriksaan dokumen perjalanan ke atas suspek berusia 19, 22 dan 26 tahun mendapati seorang daripada mereka sudah tiga kali memasuki negara ini. Dijangka pulang ke negara asal pada 27 Julai ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Ketiga-tiga suspek itu direman sehingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah itu.
Sementara itu dalam satu lagi kes membabitkan rampasan dadah di KLIA membabitkan warga Iran dilakukan pada 21 Julai lalu, dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun ditahan sejurus tiba.

Nordin berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan kira-kira jam 11 malam dan pemeriksaan di dalam kasut yang dipakai kedua-dua suspek terbabit membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.3 kilogram dan dianggarkan bernilai RM330,000.

“Kedua-dua suspek ini ditahan reman sehingga 28 Julai ini dan kesemua kes itu ditahan mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan,” katanya menambah kesemua suspek yang ditahan itu sukar untuk memberikan kerjasama sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes terbabit.

Turut dirampas daripada kesemua suspek iaitu wang tunai dalam pelbagai matawang, telefon bimbit dan pasport

Sorok dalam periuk nasi

Sorok dalam periuk nasi
KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki warga negara India menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM1.25 juta yang disembunyikan dalam dua periuk tidak berhasil selepas ditahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, kelmarin.

RAMPAS...Salleh (kanan) menunjukkan dadah yang  disembunyikan dalam beg dan bekas periuk masak.
RAMPAS...Salleh (kanan) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam beg dan bekas periuk masak.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Kelantan kira-kira jam 11.20 pagi, selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika membawa sebuah beg transit perjalanan bersamanya.

Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua periuk terbabit berisi penuh dengan sejenis makanan India manakala beg transit berkenaan pula mengandungi pelbagai makanan ringan.

Keadaan periuk masak yang mencurigakan memaksa pegawai KDRM menebuk di bahagian tepi dan bawahnya sebelum menemui bungkusan plastik mengandungi bahan kristal jernih di sekeliling bekas terbabit.

Difahamkan, suspek yang juga seorang jurutera perisian bertolak dari Banggalore, India, untuk transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke Kota Bharu.

Bagaimanapun, beg perjalanannya saja yang ditrasitkan terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, menyebabkan tiada prosedur pemeriksaan dilakukan ketika dia berada di KLIA.
Pengarah Kastam Negeri, Salleh Mohamed, berkata ia rampasan terbesar di negeri ini, hasil penelitian anggotanya ketika melakukan pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

“Setibanya di lapangan terbang, lelaki terbabit disapa seorang pegawai kastam sebelum memberitahu hasratnya untuk ke ibu kota, namun ketika dihampiri dia enggan membenarkan begnya diperiksa.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat dua periuk masak berisi penuh dengan sejenis makanan India hingga menimbulkan syak sebelum bahagian bawah dan tepi periuk ditebuk,” katanya di Wisma KDRM di Padang Bongor di sini, semalam.

Rakam noda anak

Rakam noda anak
KUALA LIPIS: Dia sudah ada empat isteri, namun seorang kontraktor layak digelar ‘bapa setan’ apabila tergamak menjadikan anak kandung hasil perkahwinan dengan isteri keduanya sebagai tempat memuaskan nafsu apabila memperkosa mangsa sejak berusia sembilan tahun di Kerambit, dekat sini.
Lebih keji, lelaki berusia 49 tahun itu turut merakamkan perbuatan terkutuknya merogol anak yang kini berusia 14 tahun di dalam bilik dengan telefon bimbitnya sebelum menyimpan rakaman berkenaan.

Difahamkan, setiap kali melakukan perbuatan kejinya, lelaki terbabit mengugut akan memukul atau mencederakan mangsa jika membongkarkan rahsia selama enam tahun itu kepada ibunya atau sesiapa saja.

Bagaimanapun, episod duka mangsa berakhir selepas remaja terbabit yang bersekolah di sebuah sekolah menengah, dekat sini, menceritakan kejadian itu kepada seorang guru wanita di sekolahnya.

Terkejut dengan pendedahan itu, guru wanita berkenaan menghantar mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Lipis untuk membuat laporan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, ketika dihubungi semalam, mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.


Menurutnya, hasil pemeriksaan di HKL mengesahkan mangsa dirogol dan sepasukan anggota polis menyerbu rumah suspek sebelum menahan lelaki itu ketika dia berehat di rumahnya, kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit lelaki terbabit yang digunakannya ketika merakamkan perbuatan terkutuk itu sebelum dibawa ke IPD Lipis untuk siasatan lanjut.

Abdul Razak berkata, pelajar itu mendakwa kejadian terbaru dia dirogol bapanya berlaku Rabu lalu ketika ibu mangsa tiada di rumah dan perlakuan jijik itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit.

“Siasatan turut mendapati ibu mangsa mengesyaki sesuatu dan perubahan pada diri anaknya sebelum meminta mangsa menceritakan kejadian sebenar, tetapi dia enggan membongkar kejadian itu kerana bimbang dipukul atau dicederakan ayahnya.

“Mangsa anak tunggal isteri kedua lelaki terbabit kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dekat sini, untuk mendapatkan hak penjagaan sehingga selesai menjalani pemeriksaan di HKL,” katanya semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal polis terhadap telefon bimbit suspek mendapati rakaman beberapa minit itu sama dengan suasana dalam sebuah bilik tidur di rumah lelaki terbabit, namun wajahnya tidak dapat dilihat jelas.

Katanya, lelaki terbabit kini direman seminggu di IPD Lipis untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

10 sampel darah dijangkiti bakteria


Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani 
bhnews@bharian.com.my
2010/07/24

9 lagi bebas wabak Melioidosis, Leptospirosis 

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan 10 sampel darah daripada 19 mangsa yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran akhir bulan lalu, dijangkiti bakteria Melioidosis dan Leptospirosis.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun, berkata pihaknya menerima keputusan ujian darah mangsa yang dijangkiti bakteria di kawasan perkelahan berkenaan, semalam.
Beliau berkata, enam mangsa disahkan dijangkiti bakteria Melioidosis, manakala empat lagi pula terkena jangkitan kedua-dua bakteria itu , manakala sembilan bebas daripada jangkitan itu. 

"Sampel darah itu diambil daripada mangsa yang dirawat di hospital dan mereka yang meninggal dunia. 

"Setakat ini, jumlah mangsa yang masih menerima rawatan adalah enam orang, masing-masing tiga di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh, dua mangsa di Hospital Jengka dan seorang lagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur," katanya selepas melancarkan Kempen Tanpa Beg Plastik Peringkat Pahang di pasar raya Tunas Manja Transit Point di sini, semalam. 

Pada 10 Julai lalu, Pusat Rekreasi Lubuk Yu diarahkan ditutup serta-merta selepas enam maut, manakala 83 lagi disyaki dijangkiti bakteria Leptospirosis. 
Semua mangsa dijangkiti bakteria Melioidosis dan Leptospirosis itu dipercayai terbabit dalam usaha menyelamat seorang pemuda yang lemas di lubuk berkenaan pada 26 hingga 30 Jun lalu.