Search This Blog

Wednesday, July 21, 2010

SPRM tututp tiga kes profil tinggi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menutup fail tiga kes yang membabitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga bekas presiden MCA.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Jalil berkata, panel itu sebulat suara bersetuju dengan cadangan SPRM tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes-kes itu selepas disiasat.
"Dalam mesyuarat hari ini kita menerima laporan daripada SPRM untuk menutup kes berkenaan dan kita bersetuju bahawa ketiga-tiga kes melibatkan mereka tiada lanjutan lagi," katanya selepas mesyuarat panel penilaian bersama SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes Liow di mana sebuah syarikat dikatakan menghadiahkan sebuah kereta Toyota Alphard kepada isterinya, siasatan SPRM mendapati kenderaan itu dibeli sendiri.

Katanya, Abdul Khalid yang sebelum ini disiasat mengenai dakwaan menyalahgunakan duit kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban bagi bahagian Parlimen Bandar Tun Razak pula ditutup kerana 'tujuan rasmi sudah dilaksanakan dan ia dihadiri orang ramai'.

Kes Ong pula yang dikatakan menerima RM10 juta daripada kontraktor projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga ditutup setelah tiada saksi dan penuduh pula tidak dapat tentukan siapa yang ambil wang tersebut," kata Hadenan.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu juga, panel bersetuju untuk menutup 58 kes lain yang bukan berprofil tinggi manakala dua kes yang telah ditutup diarah untuk dibuka semula kertas siasatan.

Katanya, sesetengah kes yang ditutup bukan bermakna kes-kes itu bebas daripada kegiatan rasuah tetapi kerana kekurangan saksi dan bukti menghalang adanya kes yang kukuh.

Menurutnya, SPRM bekerja keras untuk meningkatkan imej suruhanjaya itu.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 6 Jun ini, SPRM membuka sebanyak 673 kertas siasatan berbanding hanya 923 kes bagi sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama tahun ini, seramai 194 individu yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam telah ditahan manakala 140 penjawat awam ditahan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.-Bernama

Pelajar maut, tiga rakan cedera

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Shah Alam maut manakala tiga rakannya parah dalam kemalangan di terowong LebuhRaya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Damansara, dekat sini awal pagi semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norfazwan Mohamad, 19, dari Parit Melintang, Perak manakala tiga rakannya yang parah dikenali sebagai Ameerul Arif Abdul Razak, 19, dari Batu Pahat, Johor, Mohd Khairul Anuar Jalani, 19, dari Hutan Melintang, Perak dan Mohamad Farid Atan, 19, juga dari Hutan Melintang, Perak.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila motosikal ditunggangi Mohd Khairul bersama seorang lagi rakannya tergelincir dan hilang kawalan sebelum terjatuh.

“Ketika itu sebuah lagi motosikal ditunggangi Norfazwan cuba mengelak motosikal mangsa, namun terbabas ke bahu jalan dan merempuh pembahagi jalan.

“Ekoran rempuhan itu, mangsa yang parah di kepala dan badan sehingga mengalami pendarahan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Benda dalam tin biskut adalah uri

MELAKA: Polis mengesahkan benda berbalut yang ditemui dalam tin biskut di kawasan lapang deretan kedai Taman Saujana, Bukit Katil, di sini malam tadi adalah uri bayi yang dilahirkan dua hari lalu di Hospital Besar Melaka.
Ia sekali gus menjawab kegemparan penduduk setempat yang mendakwa dalam tin berkenaan adalah janin atau bayi yang baru dilahirkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat awam kira-kira jam 9 malam tadi dan segera melakukan siasatan. "Polis sudah menemuduga penduduk dan seorang lelaki yang mengaku menolong menguruskan uri itu bagi pihak teman wanitanya. 
Setakat ini polis tidak menemui apa-apa kesalahan, namun masih meneruskan siasatan," katanya.

Polis Tapah tumpas geng pecah rumah dan curi motosikal

IPOH: Polis Tapah berjaya menumpaskan dua kumpulan masing-masing terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal dalam dua tangkapan berasingan pada 15 dan 18 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad, berkata pihaknya berjaya menahan lima pelajar Tingkatan Lima yang terbabit dalam kegiatan curi motosikal dan menahan seorang lelaki berumur 28 tahun atas kesalahan pecah rumah. Beliau berkata, pihaknya sedang memburu dua lagi suspek pecah rumah berusia 30 tahun yang masih bebas.

Polis tahan empat dipercayai pengedar dadah

PETALING JAYA: Polis menahan empat suspek dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kota Damansara dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis merampas tujuh kilogram dadah jenis ganja dan eramin 5 bernilai RM20,000 daripada suspek suspek yang berusia lingkungan 20an.

Pengawal keselamatan ragut pelajar UiTM dihukum penjara lima tahun

SHAH ALAM: Seorang peragut yang berjaya diberkas selepas motosikalnya dirempuh siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baru diragutnya minggu lalu, dihukum penjara lima tahun selepas mengaku salah meragut pelajar berkenaan.
Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu terhadap Hairul Azuan Abdul Rahman, 33, pengawal keselamatan di parkir lori di Seksyen 26, di sini dan memerintahkan hukuman penjara berjalan mulai tarikh tangkapan iaitu 15 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, Hairul Azuan didakwa meragut beg tangan milik Juliza Jamaludin yang berisi dompet, telefon bimbit Sony Ericson, kad pelajar UiTM dan kad ATM Bank Islam, lesen memandu dan kad pengenalan.

Kejadian itu menyebabkan pelajar berkenaan kerugian RM500.

Dia didakwa berbuat demikian Jalan Persiaran Raja Muda Seksyen 3, di sini, kira-kira jam 8.15 pagi, pada 15 Julai lalu.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.-Bernama

Bapa menangis anak terlepas hukuman gantung

KUALA LUMPUR: Seorang bapa menangis teresak-esak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas anaknya dilepaskan dan dibebaskan daripada hukuman gantung kerana dituduh mengedar dan memiliki dadah dua tahun lalu.
Ini berlaku apabila Adam Tong mendengar keputusan Hakim Datuk Ghazali Cha yang melepaskan dan membebaskan Sadiq Saiful, 29, seorang penganggur, daripada tuduhan mengedar heroin seberat 27.6 gram dan memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.96 gram di rumah bernombor 3-14-4, Pantai Hill Park, Jalan Pantai Dalam di sini pada 16 Mei 2008.
Dua lagi anak Tong dilihat mententeramkan beliau.

Hakim Ghazali yang membuat keputusan itu berkata, pihak pembelaan sudah menimbulkan keraguan munasabah dan juga terdapat percanggahan sama ada tertuduh ditahan secara berseorangan atau bersama teman wanitanya pada hari kejadian walaupun wanita itu menafikannya.

"Jelas terdapat keraguan mengenai barang kes yang ditemui di dalam bilik (rumah berkenaan)," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng dan dibantu oleh S Selvi dan Mak Kah Keong.-Bernama

Mahkamah lanjut reman lapan suspek kes jual bayi

KUCHING: Mahkamah hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari terhadap lapan individu bagi membantu siasatan kes sindiket penjualan bayi.
Majistret Nelson W Angang membenarkan lanjutan tahanan reman terhadap lapan individu itu termasuk seorang yang bergelar datuk dan datin bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap mereka selepas tempoh tahanan reman selama tujuh hari berakhir hari ini.
Kesemua mereka yang berusia antara 21 dan 65 tahun itu ditahan hasil pembongkaran kegiatan sindiket penjualan bayi oleh polis 12 Julai lalu.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis Sarawak menyelamatkan seorang bayi yang cuba dijual oleh seorang wanita rakyat Indonesia di MJC New township, Batu Kawah di sini dengan harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar sebagai pembeli.

Sehingga kini polis menahan 17 suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Hasil daripada terbongkarnya kes itu, polis menemui tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 12 tahun yang kini berada di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. -Bernama

Singapura diminta ampun pesalah dadah rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Singapura S R Nathan dan kerajaan republik itu diminta memberi pengampunan kepada seorang rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, 22, yang dihukum mati kerana kesalahan mengedar dadah di negara itu tahun lalu.
Ngeow Chow Ying, penyelaras Kempen Selamatkan Vui Kong anjuran bersama Jawatankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), berkata Yong mungkin digantung bila-bila masa selepas 26 Ogos ini jika rayuan pengampunannya ditolak.
Yong dari Sabah didapati bersalah pada 7 Jan tahun lalu kerana mengedar 47gram dadah kawalan jenis diamorphine. Rayuannya yang difail pada 1 Disember tahun lalu ditolak.

Ngeow berkata, semua rakyat Malaysia perlu menyokong rayuan oleh Yong kerana ia bukan satu isu kaum.

Katanya, satu kempen mengumpul tandatangan orang ramai dan wakil rakyat akan dijalankan dan hasilnya diserahkan kepada Presiden Nathan agar beliau mengampunkan Yong.-Bernama

Polis tahan empat remaja samun kedai serbaguna di Bentong

KUANTAN: Polis berjaya menahan empat remaja lelaki lima jam selepas mereka melarikan wang tunai dan beberapa kotak rokok di sebuah kedai serbaguna di Jalan Ah Peng, Bentong, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha berkata, dalam kejadian pada 3 pagi itu, tiga daripada lelaki terbabit yang memakai topi keledar masuk ke dalam kedai berkenaan yang dijaga seorang pembantu jualan wanita berusia 18 tahun.
"Salah seorang daripada lelaki terbabit kemudian mengeluarkan parang dan mengarahkan wanita itu menyerahkan wang tunai dan kotak rokok sebelum melarikan diri dengan dua motosikal bersama seorang lagi lelaki yang menunggu di luar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian menjalankan gerakan mencari dan menemui dua motosikal yang dinaiki keempat-empat remaja berkenaan di sekitar jalan itu kira-kira 40 minit selepas kejadian.

Katanya, sebuah motosikal yang dinaiki dua daripada lelaki terbabit berjaya meloloskan diri namun kedua-dua mereka ditahan pada 8 pagi hari sama ketika sedang merayau-rayau di sekitar bandar Bentong.

"Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 18 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.-Bernama

Barang tiruan dan cetak rompak RM16.5 juta dirampas antara Januari dan Jun

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merampas lebih 900,000 barang tiruan dan cetak rompak bernilai RM16.5 juta menerusi tindakan penguatkuasaan di seluruh negara antara tempoh Januari dan Jun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata, semua rampasan barang menerusi 742 kes itu membabitkan 272 tangkapan.
"Johor, Lembah Klang dan Pulau Pinang dikenal pasti sebagai lubuk atau "hot spot" barangan tiruan dan cetak rompak berdasarkan rampasan yang tinggi di negeri berkenaan berbanding negeri lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen membanteras cetak rompak peringkat Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius lambakan barangan tiruan serta cetak rompak dalam negara yang mengakibatkan kerugian kepada pemilik hak cipta, dan menurutnya orang ramai perlu disedarkan supaya tidak berterusan membeli barang tiruan.

"Kerajaan mahu masyarakat menghormati setiap hak cipta kerana kerajaan tidak mahu daya kreativiti dan inovasi pemilik hak cipta itu terhapus disebabkan lambakan barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran," tambahnya.

Sementara itu Tan berkata, penipuan peraduan gores dan menang kini didapati kembali berleluasa di Johor, dan menurutnya sehingga kini 41 aduan berhubung kegiatan itu diterima oleh pihak penguatkuasa kementerian dalam tempoh antara Januari dan Jun lepas.-Bernama

Wanita maut dirempuh lori semasa menunggang basikal

IPOH: Seorang wanita terbunuh selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Jalan Pasir Putih-Jalan Temenggung di sini hari ini.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika Yew Seng Kiew, 64, yang berasal dari Pasir Pinji, dipercayai sedang melintas jalan apabila dia dirempuh oleh sebuah lori.
Katanya, Yew yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

Bercakap kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini beliau berkata, lori itu tiba dari arah Jalan Temenggung menghala ke Ipoh ketika ia merempuh Yew.

Menurutnya, pemandu lori berumur 33 tahun itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.-Bernama

Tiga lelaki miliki 137 kad kredit diberkas

ALOR STAR: Polis Kedah yakin dapat melumpuhkan satu sindiket pemalsuan kad kredit luar negara hasil penangkapan tiga lelaki bersama 137 keping kad kredit di sini dua hari lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Deputi Superinterndan Idris Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga lelaki berumur 28 tahun yang ditahan itu dipercayai melakukan transaksi pembelian bernilai RM200,000, kesemuanya di Kuala Lumpur, dalam tempoh tiga tahun lalu.
"Mereka biasanya membuat satu atau dua transaksi sahaja bernilai RM1,000 hingga RM6,000 bagi satu kad kredit sebelum pihak bank menyekat penggunaannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Idris berkata, kumpulan ini membeli kad-kad kredit tersebut daripada seorang lelaki dipercayai anggota satu sindiket pemalsuan kad kredit di Kuala Lumpur yang dijual bersama pasport antarabangsa, lesen memandu luar negara dan kad kosong.

Beliau berkata, tangkapan dibuat setelah polis mengintip gerakan lelaki-lelaki itu selama dua minggu.-Bernama

Banglo yang sedang dibina semula runtuh, seorang cedera ringan

KUALA LUMPUR: Sebuah banglo, milik seorang Datin di Bukit Tungku di sini yang sedang dibina semula runtuh dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi.
Ketika kejadian terdapat sembilan buruh binaan sedang bekerja di situ, namun mereka berjaya menyelamatkan diri.
Hanya seorang pekerja warganegara India cedera ringan dalam kejadian itu ketika usahanya menyelamatkan diri.

Lapan lelaki disyaki curi pasir ditahan

KAJANG: Polis dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) menahan lapan lelaki yang dipercayai terbabit menjalankan kegiatan curi pasir di Sungai Lalang, Semenyih, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Polis tahan tujuh lelaki berhubung kes pergaduhan maut di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Kampung Padang Hangus, Tepoh dekat sini yang mengakibatkan seorang lelaki maut akibat dibelasah malam Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan K Manoharan berkata, lima daripada mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Padang Hangus, Isnin lalu.
Katanya, dua orang lagi yang berasal dari Kampung Batu Lapan dan Banggol Tok Jiring ditahan ketika membuat laporan di balai polis daerah Kuala Terengganu, semalam.

Manoharan berkata, kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 48 tahun ditahan reman sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh dan juga Seksyen 302 kerana membunuh.

"Kita yakin dengan tertangkapnya tujuh mereka yang disyaki terlibat itu, kes ini dianggap sudah selesai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pergaduhan pada kira-kira 10.30 malam Jumaat lalu, seorang buruh Wan Sukri Wan Temirang, 34, mengalami cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapat rawatan.

Bagaimanapun, mangsa yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu, meninggal dunia pada kira-kira 2.30 petang Isnin lalu. -Bernama

Murid darjah satu dakwa dicabul guru

KANGAR: Seorang murid perempuan mendakwa dicabul gurunya dalam sebuah bilik di sebuah sekolah rendah di Guar Sanji semalam menyebabkan beliau kini trauma untuk ke sekolah.
Murid darjah satu itu mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam apabila guru lelaki berusia lebih 50 tahun itu memanggilnya memasuki bengkel kemahiran hidup sekolah itu dan mencium pipi kirinya.
Murid berusia tujuh tahun itu yang ditemui di rumahnya berkata, guru itu melakukan perbuatan itu di sebalik pintu bengkel berkenaan dan mengarahkannya supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain.

Bagaimanapun pelajar itu yang takut dengan kejadian itu memaklumkan kepada bapanya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Arau malam tadi sebelum pelajar itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk pemeriksaan.

Katanya, sebelum kejadian itu, guru berkenaan mengarahkan seorang murid lelaki memanggilnya untuk bertemu guru itu dan ketika di bilik berkenaan, hanya guru itu berada di dalamnya.

Murid itu kini trauma untuk ke sekolah dan mahu bapanya menukarkannya ke sekolah yang lain.

Bapa pelajar itu berkata, dia terpaksa berfikir panjang sebelum membuat laporan polis.

"Ini kerana guru itu amat dikenalinya malah pernah menjadi gurunya ketika menuntut di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Tambun Tulang kira-kira 25 tahun lalu," katanya.

Bapa murid itu yang berusia 41 tahun, berkata laporan itu dibuat kerana bimbang kejadian lebih buruk menimpa anaknya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

-Bernama

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh pengurus

PETALING JAYA: Dua lelaki rakyat asing dan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam seorang pengurus Kafe Dome Subang Jaya, yang mayatnya ditemui di Sungai Klang berhampiran Taman Datuk Harun Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mereka yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu, ditahan selepas dua hari penemuan mayat lelaki bujang berusia 39 tahun itu.
"Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis mengenal pasti motif pembunuhan itu berpunca daripada masalah kewangan.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh sehari sebelum mayatnya ditemui dengan tangan dirantai dan lehernya dibelit pita pelekat di rumahnya di Petaling Jaya. "Suspek kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam keretanya sebelum dibuang ke dalam Sungai Klang," katanya.-Bernama

Penganggur dipenjara lima tahun dan tiga sebatan kerana merompak

KUALA LUMPUR: Seorang penggangur hari ini dikenakan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merompak dua wanita menggunakan alat renjatan elektrik pada bulan lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Razamei Mad Noor, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu. Bagi pertuduhan pertama Razamei didakwa melarikan beg tangan, kad pengenalan, lesen memandu, dua telefon bimbit, kad kredit, komputer riba jenama Dell dan wang tunai RM2,321 yang kesemuanya bernilai RM6,000 milik peniaga Shah Rul Aniah Mohamed, 36, dengan menggunakan parang dan alat renjatan eletrik yang boleh menyebabkan kecederaan. Razamei didakwa melakukan kesalahan itu di Galeri Tudung Hands, Wangsa Delima 6, Seksyen 5, Wangsa Maju pada pukul 3.30 petang, 28 Jun lalu. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melarikan sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM28 milik juru kecantikan Anizan A. Razak, 42, dengan menggunakan alat renjatan elektrik di Salon Fiq Beauty Centre, Jalan Rampai Niaga 2, Wangsa Maju pada 5.15 petang, 27 Jun lalu. Untuk kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan. Terdahulu, peguam Shahrul Nizam Azmir yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman ke atas anak guamnya dikurangkan memandangkan tertuduh kini tidak bekerja dan menyesal dengan perbuatannya dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau. Pada Jumaat lalu, Razamei dihadapkan kali pertama ke mahkamah dan dia mengaku bersalah melakukan rompakan terhadap dua wanita itu. Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff pula memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan Razamei begitu berat dimana tertuduh menggunakan senjata iaitu parang dan alat renjatan eletrik, dan telah mendatangkan trauma kepada kedua-dua mangsa. -Bernama

Empat lelaki ditahan miliki ganja

PETALING JAYA: Seorang jurulatih renang antara empat lelaki yang ditahan bersama sejumlah 6.074 kilogram ganja dianggar bernilai RM20,000 dalam empat serbuan di sekitar Kota Damansara pada 18 dan 19 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan pertama pada kira-kira jam 6.30 petang Ahad lalu di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, polis merampas 1,500 gram ganja bernilai RM 4,200 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.
"Pada kira-kira jam 10.30 malam pula, kami menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah pangsapuri lain dan merampas 1,800 gram ganja bernilai RM5,040," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. Arjunaidi berkata, 15 minit kemudian, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun bersama 100 biji pil Eramin 5 dan 30 gram syabu di dalam sebuah rumah di kawasan yang sama.

Tangkapan terakhir membabitkan seorang jurulatih renang berusia 43 tahun yang ditahan bersama enam ketul ganja seberat 2.774 kilogram di sebuah rumah di kawasan itu pada kira-kira 1.30 pagi Isnin.

"Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kita percaya mereka (suspek) bukan sindiket pengedar dadah di sekitar Damansara dan kawasan sekitar. Mereka juga tidak ada kaitan antara satu sama lain," katanya.

Semua lelaki itu ditahan reman mulai hari tangkapan masing-masing sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Bas ekspres dua tingkat terbakar, 26 terselamat


21/07/2010 1:38pm

IPOH 21 Julai - Seramai 24 penumpang termasuk dua pemandu bas terselamat apabila bas ekspress dua tingkat yang mereka naiki terbakar di Kilometer 257.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar awal pagi ini.
Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Roslan Abdul Razak berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.25 pagi ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar.
Kesemua mangsa terselamat apabila pemandu bas tersebut mengarahkan semua penumpang keluar selepas menyedari asap tebal dikesan melalui injin hadapan.
Bas itu diberhentikan di tepi lebuh raya kira-kira 500 meter daripada Terowong Menora, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Roslan berkata, kerugian dianggarkan lebih RM500,000 manakala punca kejadian masih belum diketahui. - Bernama

Ragut: Pengawal keselamatan di penjara lima tahun


21/07/2010 2:28pm

SHAH ALAM 21 Julai - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima
tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah
meragut seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada minggu
lalu.
Hakim Latifah Mohd. Tahar memerintahkan hukuman terhadap Hairul Azuan
Abdul Rahman, 27, berkuatkuasa dari tangkap pada 15 Julai lalu iaitu
hari kejadian.
Tertuduh mengaku merompak Juliza Jamaludin, 23, dengan meragut beg
galas mangsa yang mengandungi telefon bimbit, dompet berisi kad ATM
Bank Islam, lesen memandu dan kad pelajar di Persiaran Raja Muda,
Seksyen 3 di sini pada pukul 8.15 pagi. - Utusan

Jurulatih hoki India disiasat berhubung gangguan seksual


21/07/2010 4:48pm

NEW DELHI 21 Julai - Pasukan hoki India kini disiasat berhubung dakwaan berlaku gangguan seksual ke atas para pemain hoki wanita remaja kebangsaan negara itu.
Presiden Hoki India, Vidya Stokes berkata, jurulatih Maharaj Kishan Kaushik telah meletakkan jawatannya menjelang kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan pertubuhan itu telah membentuk satu jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.
The Times India hari ini melaporkan, satu surat layang telah dihantar kepada Menteri Sukan India yang mahu siasatan dilakukan berhubung salah laku Kaushik melibatkan pemain remaja dalam satu kejohanan.
“Jawatankuasa ini akan bermesyuarat esok dan kami yakin siasatan ini akan selesai dalam masa empat atau lima hari,” kata Setiausaha Agung Hoki India, Narendra Batra yang dipetik oleh Press Trust of India.
“Siapa sahaja yang didapati bersalah, Hoki India akan menggantung mereka seumur hidup,“
Kaushik memberitahu The Times India bahawa segala tuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
“Saya tidak tahu siapa yang menulis surat tersebut. Saya mahu menteri mencari jawapannya dan menghukum mereka yang bertanggungjawab memburukkan nama saya,” kata media itu yang memetik kenyataan Kaushik. - AP

19 cedera akibat gempa bumi di utara Iran


21/07/2010 3:00pm

TEHRAN 21 Julai - Satu gempa bumi berkekuatan 5.8 magnitud telah menggoncang utara Iran awal hari ini, mencederakan 19 orang dan merosakkan kediaman di empat kampung dekat bandar Lamerd.
Laman web stesen TV tempatan melaporkan, kejadian itu berlaku selepas tengah malam dan diikuti oleh 11 gegaran.
Stesen itu berkata, 30 peratus bangunan di empat kampung di sempadan wilayah Fars dan Hormuzdan mengalami kerosakan manakala pasukan Palang Merah melaporkan 19 orang mengalami kecederaan. - AFP

Identiti mangsa bunuh di Machang dikenal pasti


21/07/2010 6:39pm

MACHANG 21 Julai - Polis mengenal pasti identiti mayat seorang gadis, yang dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan di Pulai Chondong di sini semalam, sebagai Ilya Nabilah Rosnata, 19, yang berasal dari Kampung Pendek, Kota Baharu.
Ketua Polis Daerah Machang, DSP Che Malek Bedot berkata, identiti mayat itu dikenal pasti apabila keluarga mangsa membuat pengecaman di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu, hari ini.
"Sebelum kejadian, Ilya Nabilah telah hilang dari rumah keluarganya di kampung tersebut sejak Jumaat lepas dan satu laporan polis telah dibuat oleh keluarganya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh dijumpai diikat pada sebatang pokok di tebing sungai itu oleh penduduk kampung dalam keadaan bogel selain terdapat kesan tikaman di dada, tengah hari semalam.
Che Malek berkata ibu mangsa mengesahkan ia sebagai Ilya (anaknya) dan telah diserahkan kepada keluarga terbabit untuk dikebumikan selepas bedah siasat selesai dijalankan petang ini. - Bernama

Lelaki seludup 18 monyet dalam baju




MEXICO CITY - Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City sewaktu cuba menyeludup 18 monyet daripada spesies yang dilindungi. 

Roberto Cabrera, 38, ditahan pegawai Jabatan Keselamatan Awam yang mengesyaki sesuatu tidak kena pada penampilan lelaki itu kerana dia memakai kemeja-T besar dan perutnya terlalu buncit. 

"Cabrera baru sahaja tiba dari Lima, Peru pada Jumaat lalu apabila ditahan untuk pemeriksaan," kata pegawai Jabatan Keselamatan Awam Mexico dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin. 

Lelaki warga Peru itu didapati memakai bengkung khas yang mempunyai ruang untuk menyembunyikan 18 monyet daripada spesies titi bersaiz 15 sentimeter. 

Dua daripada monyet itu sudah mati dan Cabrera ditahan atas kesalahan menyeludup spesies terancam dan dilindungi.

Warga emas kena sebat



AYER KEROH - Akibat nafsu menggila, seorang peneroka yang juga warga emas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol remaja bawah umur, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Md Shah Bentong, 54, yang berasal dari Felda Palong 2, Gemas, Negeri Sembilan dijatuhi hukuman oleh Hakim Elisabet Paya Wan selepas mendengar hujah dan meneliti fakta kes. 

Mengikut pertuduhan. Md Shah merogol seorang remaja berumur 14 tahun pada 5 Mac 2007, kira-kira jam 3 pagi di sebuah rumah beralamat TB 354-A, Batu 24 1/2 Kampung Kuala Sunga, Tebong, Alor Gajah, dekat sini. 

Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar dalam pendakwaannya memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan tertuduh adalah warga emas yang sepatutnya melindungi mangsa tetapi melakukan perkara sebaliknya. 

Elesabet menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. 

Md Shah melalui peguam belanya, Nor Hisham Nor Hashim memohon penangguhan hukuman sementara rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi. 

Elesabet yang membenarkan penangguhan itu kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000. 

Terdahulu, seramai lapan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil dalam perbicaraan yang bermula sejak 5 Ogos 2008.

Mimpi ngeri pengantin baru




SUNGAI PANJANG – Malang tidak berbau. Kegembiraan sebuah keluarga menyambut menantu berakhir, apabila mereka disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau dan parang di kediaman mereka di Jalan Blok 7, Belia 2 di sini, 3.30 pagi semalam. 

Lebih malang apabila wang simpanan dan sumbangan sempena kenduri perkahwinan anak ketiga keluarga berkenaan Ahad lalu sebanyak RM10,000 turut dilarikan suspek. 

Ketika kejadian, lima ahli keluarga termasuk pasangan pengantin baru berada di rumah apabila penyamun memecah masuk melalui tingkap dapur. 

Mangsa, Ahmad Asror Mariman, 60, isteri, Asmah Kurmin, 51, serta anak bongsu, Badrulamin, 12, ketika itu sedang nyenyak tidur di bilik atas, sementara anak lelakinya, Fahrurrazi, 27, dan menantu, Normahanum Subali, 26, di bawah. 

Ahmad Asror berkata, dia hanya menyedari kejadian apabila anak bongsu diacukan parang di leher di hadapan biliknya. 

Dia yang panik mulanya cuba untuk melawan, tetapi dipukul dan dihentak beberapa kali di muka dengan tangan dan senjata. 

“Saya terpaksa pura-pura pengsan untuk mengelak terus dipukul, dia (suspek) meminta saya menyerahkan wang dan barang kemas tetapi saya lebih memilih untuk diam,” katanya. 

Asmah terpaksa mengalah sebelum suspek menemui RM10,000 yang disimpan dan melarikan barang kemas. 

Mereka kemudiannya dikumpul dalam satu bilik yang menempatkan pasangan pengantin sebelum tangan masing-masing diikat dengan kain. 

Fahrurrazi yang menyedari kesemua suspek meninggalkan rumah berkenaan berusaha menanggalkan ikatan sebelum mendapatkan bantuan jiran yang terletak kira-kira 50 meter dari kediamannya untuk menghubungi polis. 

Akibat kejadian itu, Ahmad Asror cedera dan bengkak di muka. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, suspek turut melarikan telefon bimbit, sebuah komputer riba dan dua motosikal jenis Yamaha milik mangsa. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek yang menggunakan baju sebagai topeng muka dikesan masuk ke rumah itu dengan menanggalkan dua cermin tingkap dapur sebelum membengkokkan besinya. 

“Setelah berjaya masuk, dua daripada suspek menuju ke tingkat atas rumah sementara seorang lagi menunggu di bahagian bilik bawah. 

“Kesemua mangsa diugut menggunakan sebilah parang dan dua pisau pemotong sayur untuk menyerahkan barang berharga. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan berlaku,” katanya. 

Noor Mushar berkata, gerakan memburu suspek dilancarkan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas mangsa. 

Katanya, polis percaya ia didalangi penduduk tempatan.

“Kerana wanita aku menagih”:




KUALA TERENGGANU - “Kerana insan bergelar wanita, saya sanggup berhenti menagih dadah, tetapi kerana wanita juga saya kembali menjadi penagih dadah”, demikian pengakuan ikhlas seorang bekas seorang penagih dadah yang hanya dikenali sebagai Zali, 41. 

Zali yang kini sedang menerima rawatan methadone daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Terengganu berkata, sejak mengenali seorang wanita yang pernah menjadi isterinya sebelum ini, dia tekad melupakan najis dadah yang diambil sejak berumur 15 tahun lagi. 

“Ketika itu saya berumur 30 tahun dan wanita itu yang kini bekas isteri saya banyak mengubah kehidupan saya sebelum ini. Setelah sah menjadi suaminya, saya nekad melupakan najis dadah sepenuhnya dan pelbagai usaha dilakukan untuk menghilangkan ketagihan. 

“Namun, apabila rumah tangga yang dibina hampir dua tahun bergoncang dan akhirnya kami bercerai, saya mula kembali menagih akibat terlalu tertekan dengan keadaan. Tujuan saya mengambil dadah semula semata-mata untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi akibat kegagalan rumah tangga,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menceritakan bagaimana dia mula terjebak dengan dadah, Zali berkata, pengaruh rakan sebaya yang begitu kuat ketika remaja dan keinginan untuk mencuba, menariknya terjerumus dengan dunia hitam yang secara langsung menggelapkan masa depannya. 

“Pada awalnya, saya sekadar suka-suka untuk mencuba, tetapi lama-kelamaan, ia menjadi ketagihan yang teramat sehingga menyebabkan badan saya sakit jika tidak mendapat dadah. 

“Bayangkan, setiap hari saya akan pastikan badan menerima suntikan empat kali dan wang yang diperuntukkan membeli dadah untuk satu suntikan sebanyak RM20,” katanya. 

Menurutnya, sebelum ini, niat dan tekad untuk berhenti menagih dadah memang sentiasa ada namun pengaruh rakan lebih kuat tarikannya, sebelum dia diperkenalkan dengan rawatan methadone ketika berada di pusat serenti pada 2001. 

“Saya yakin rawatan methadone adalah cara terbaik untuk menghilangkan ketagihan kerana selepas mendapatkan rawatan ini, ketagihan saya hilang dan boleh bertahan selama 24 jam. 

“Sehingga kini, saya berulang alik ke AADK untuk mendapatkan rawatan dan kini kehidupan banyak berubah. Selain merasakan tubuh badan semakin sihat, pada masa sama, saya dapat menambah kenalan yang senasib dan boleh berkongsi pengalaman hidup,” katanya.

Kejutan ketika memancing



KOTA BHARU - Dua budak lelaki yang asyik memancing terkejut selepas menyedari mayat seorang lelaki hanyut dan terapung di pinggir sungai Kelantan, dekat Kampung Pulau Pisang, di sini, pagi semalam. 

Mayat lelaki terbabit yang berusia lingkungan 50-an, tanpa sebarang identiti ditemui dengan kesan bengkak di muka, dipercayai terhentak pada batu sebelum terjatuh ke dalam sungai. 

Lelaki terbabit yang berbaju kemeja T dan berkain pelikat ditemui dua kanak-kanak lelaki, Mohd Aiman Zanafi dan Wan Mohd Azhar Hafiz Wan Ali, kedua-dua berusia 14 tahun, ketika mereka memancing udang di tebing sungai. 

Mohd Aiman berkata, kira-kira jam 9 pagi, ketika dia dan rakannya memancing tiba-tiba ternampak objek hanyut menghampirinya dan tidak menyangka ia adalah mayat. 

”Pada mulanya saya menyangka ia adalah patung dan apabila objek itu menghampiri kawasan memancing, saya terkejut apabila melihat objek itu bukan patung tetapi mayat manusia. 

”Saya kemudian berlari memberitahu seorang lagi rakannya, Nazmi Arafi, 10, yang kebetulan berada tidak jauh dari situ sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jeti Pok Teh Hassan, Kampung Pisang, semalam. 

Katanya, disebabkan terlalu takut, dia dan rakannya terus berlari pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari situ dan memaklumkan kepada ibu bapa serta penduduk kampung. 

Katanya, penduduk kampung turut bergegas ke tempat kejadian mengesahkan mayat manusia lalu menghubungi pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, mayat berkenaan adalah lelaki Melayu. Bagaimanapun, tiada sebarang identiti pada badan mangsa. 

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat. 

”Kita kini mengesan waris kepada lelaki terbabit dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil atau menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7752200,” katanya. 

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini hasil pemeriksaan tiada sebarang unsur jenayah dan mengklafikasikan mangsa mati mengejut.

Sujud lepas tali gantung

KUANTAN: Seorang pegawai imigresen menitiskan air mata sambil bersujud dalam kandang tertuduh selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar 879.23 gram ganja di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Tertuduh, Nurasal Muhammad Sidek, 25, dari Kampung Chendering Baru, Permatang Badak, di sini, bertindak demikian sejurus Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mengambil kira semua faktor dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Ahli keluarga tertuduh di mahkamah yang menunggu dengan penuh debaran keputusan berkenaan turut menitiskan air mata serta berpelukan sesama sendiri.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurasal yang diwakili peguam Bob Arumugam didapati melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.05 pagi pada 24 November 2009 di sebuah rumah di Lot 13, Kampung Chendering Baru, Permatang Badak, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, dalam keputusan di akhir kes pendakwaan itu, Akhtar berkata, beliau membuat keputusan melepas dan membebaskan Nurasal selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan dadah ditemui dalam bilik tidur di rumah berkenaan adalah milik tertuduh.

“Siasatan polis juga gagal mengemukakan bukti saintifik seperti cap jari tertuduh pada dadah ditemui yang perlu ada bagi membuktikan dadah berkenaan adalah miliknya.

“Memandangkan ini adalah kes berat yang membawa hukuman gantung sampai mati, adalah penting bagi pihak yang melakukan siasatan menyokong keterangan pendakwaan berhubung kes ini,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kalmizah Salleh.

Kekal keputusan bebas rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang melepas dan membebaskan Pegawai Pertanian Daerah Selangor, Mohd Zahir Dahalan berhubung dua tuduhan menerima rasuah membabitkan nilai hampir RM20,000, Oktober tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Klang tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika memerintahkan tertuduh tidak dipanggil membela diri pada peringkat akhir kes pendakwaan. Pada 19 Oktober 2009, Mahkamah Sesyen Klang membebaskan dan melepaskan Mohd Zahir, 43, daripada dua tuduhan menerima rasuah iaitu cek Bank Islam dengan masing-masing berjumlah RM280 dan RM18,705.15 daripada Rosnani Amat berhubung dengan kerja pertanian, landskap dan sewa traktor. Dia yang ketika itu bertugas di Pejabat Pertanian Kuala Selangor didakwa menerima sogokan itu dalam dua kejadian berasingan pada 9 dan 10 Ogos 2004, di depan Bank Islam, Cawangan Tanjung Karang, Kuala Selangor. Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Sitin, ketika ditemui di luar mahkamah akan memfailkan rayuan ke Mahkamah rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Thailand tarik balik darurat di tiga wilayah

BANGKOK: Kerajaan Thailand semalam mengumumkan membatalkan perintah darurat di tiga wilayah utara negara itu tetapi tidak di Bangkok.
Undang-undang yang melarang perjumpaan umum dan membenarkan pihak berkuasa menahan mana-mana suspek selama sebulan tanpa sebarang alasan itu akan dikekalkan di 16 wilayah lain di Thailand. Awal bulan ini, Thailand melanjutkan tempoh undang-undang darurat di wilayah tertentu selama tiga bulan menimbulkan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia dan negara sekutunya, Amerika Syarikat. Jurucakap kerajaan, Supachai Jaismut berkata, Kabinet memutuskan untuk membatalkan perintah darurat di wilayah Lampang, Roi Et dan Sakon Nakhon.
“Tiada gerakan politik di tiga wilayah terbabit dan kerajaan yakin pihak berkuasa di wilayah berkenaan dapat mengendalikan keamanan jika tercetus kejadian tidak diingini,” katanya.

Kerajaan melaporkan keadaan di 16 lagi wilayah masih membimbangkan. - AFP

600 keluarga Saudi terbiar

RIYADH: Persatuan Kebajikan Keluarga Saudi di luar negara (Awasir) melaporkan 598 keluarga Saudi ditinggalkan tanpa perlindungan di negara asing oleh ketua keluarga mereka.
Dalam kenyataan kepada media, Kaunselor Awasir, Ali Al-Hinaki berkata keadaan itu berlaku disebabkan ketua keluarga berkenaan sakit, meninggal dunia, dipenjarakan atau gagal menunaikan tanggungjawab menjaga keluarga mereka.
“Terdapat pasangan yang berkahwin di luar negara menghidap penyakit bahaya seperti Aids, hepatitis dan siflis,” kata Ali. Ali berkata terdapat juga kes membabitkan wanita asing yang berkahwin dengan warga Saudi bagi memperoleh kerakyatan Saudi tetapi tidak berhasrat mengekalkan perkahwinan mereka. “Apabila mereka mendapat kerakyatan Saudi, mereka bercerai dan kemudian mengahwini lelaki dari negara asal mereka.

Kebanyakan lelaki tua warga Saudi yang berkahwin di luar negara pula ditipu bakal isteri atau ejen mencari jodoh semata-mata kerana harta dimiliki mereka.

Menurut Ali, kajian menunjukkan lelaki Saudi sering terpedaya dengan mengahwini wanita yang sudah bersuami atau pelacur. “Lelaki Saudi perlu mengahwini perempuan dari negara mereka sendiri bagi menyelesaikan masalah wanita Saudi yang tidak berkahwin,” ujar Ali lagi. Bulan lalu Awasir mengumumkan cadangan bagi meningkatkan kesedaran lelaki Saudi mengenai kesan negatif jika mereka mengahwini wanita asing. - Agensi

Ditinggal isteri angkara SMS

HAIL (Arab Saudi): Seorang lelaki Saudi, Fadae Attiq Al-Shamari ditinggalkan isteri gara-gara menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbentuk amaran kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Kejadian berlaku apabila Fadae menerima SMS daripada syarikat telekomunikasi yang berbunyi: “Pelanggan dihormati, antara prinsip utama dalam Islam ialah menjaga maruah. Kami ingin memaklumkan bersembang dengan wanita bukan mahram dilarang dalam Islam. Kami memberi amaran sekiranya anda melakukan larangan ini kami akan menamatkan perkhidmatan telefon anda. Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anda.
Fadae yang menyangka SMS itu satu gurauan tertawa lalu menunjukkan kepada isterinya. Dia tidak menyangka tindakannya itu menyebabkan isterinya mengemas semua pakaian dan meminta dihantar pulang ke rumah ibu bapanya. - Agensi

Lelaki curi wang Masjid Nabawi ditahan

MADINAH: Seorang pekerja yang mencuri wang tunai SR90,000 (RM77,089) dari Masjid Nabawi minggu lalu berhasrat memulangkan wang berkenaan, semalam selepas didorong rasa bersalah.
Akhbar berbahasa Arab Al-Watan melaporkan, lelaki yang mencuri wang daripada peti simpanan di pejabat ketua unit pendidikan di masjid berkenaan muncul bagi memulangkan wang itu. Lelaki terbabit memberitahu dia memulangkan semula wang itu bagi pihak pencuri yang mengambilnya dan meminta pihak masjid tidak melaporkannya kepada polis. Bagaimanapun, ketua unit pendidikan masjid melaporkan kepada pihak berkuasa dan lelaki itu kemudiannya ditahan. Selepas sesi soal siasat, lelaki itu mengaku dia yang mencuri wang berkenaan. - Agensi

Penebar roti canai ditahan lepas serah diri

JOHOR BAHRU: Seorang penebar roti canai berusia 34 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penderaan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan di Taman Permas Jaya, petang kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berkenaan yang dipercayai bapa saudara kanak-kanak berusia 10 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Permas Jaya di sini, selepas polis berjaya menyelamatkan mangsa di kediaman suspek.
Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari dan ketua polis daerah juga dinasihatkan supaya menyegerakan siasatan terhadap kes itu.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis belum menerima laporan perubatan dan mangsa masih menerima rawatan di wad kanak-kanak di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Kejadian sungguh menyayatkan hati dan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penjaga yang melakukan keganasan sedangkan mereka sepatutnya mencurahkan kasih sayang terhadap kanak-kanak.

“Perbuatan mencederakan dan kanak-kanak itu dirantai bukan saja melanggar undang-undang malah salah dari segi agama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Shariff berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes penderaan diminta menghubungi polis dengan segera.

Penculik bebas anak pesuruhjaya pilihan raya

MANILA: Kumpulan penculik bersenjata menuntut pilihan raya baru diadakan di lima bandar di selatan Filipina selepas membebaskan anak lelaki Pesuruhjaya Pilihan Raya yang diculik sebulan lalu.
Pasukan tentera yang menjejaki kumpulan penculik turut menumpaskan ketua kumpulan penculik. Sebelum itu, Elias Yusoph, seorang daripada enam Pesuruhjaya Pilihan Raya di Filipina mendakwa pasukan tentera tidak berusaha keras untuk menyelamatkan anak lelakinya yang diculik.
Nuraldin Yusoph bagaimanapun, dibebaskan semalam di tepi jalan terpencil di luar kota Cagayan de Oro tanpa bayaran tebusan, lapor Jesus Dureza, Pengerusi Pembangunan Kerajaan Mindanao. - AP

Perompak stesen minyak dipenjara 7 tahun, sebat

SHAH ALAM: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah merompak stesen minyak dekat Gombak dengan bersenjatakan pisau, dua tahun lalu.
Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian terhadap Mohd Firdaus Iskandar, 25, dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu 11 Mei, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Firdaus bersama-sama Mohd Azam Zun didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan dua bilah pisau terhadap Abdul Quayyum Zainal dan mengambil wang RM1,501 milik stesen minyak berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 6 petang, 29 September 2008.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh sebelum ini tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan, tetapi menukar pengakuannya kepada bersalah selepas saksi pertama pendakwaan memberikan keterangan ketika perbicaraan.

Difahamkan, mahkamah juga melanjutkan tempoh waran tangkap terhadap rakannya, Mohd Azam yang dipercayai terbabit dalam rompakan itu selepas gagal hadir ke mahkamah.

Angkara adik

KUALA LUMPUR: Sikap mahu cepat kaya dan tamak adiknya yang gemar berjudi dan meminjam daripada along menyebabkan seluruh ahli keluarganya menjadi mangsa ugutan dan ancaman kumpulan along.
Cheong Teck Paw, 39, yang juga anak bongsu daripada empat beradik sering menipu untuk mendapatkan wang bagi tujuan berjudi.
Tidak sanggup lagi menanggung bebanan hutang dan ugutan daripada along, abang sulungnya, Cheong Teck Loong, 45, membuat laporan polis selepas rumah, kereta dan kedainya disimbah cat, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, mangsa mendakwa rumahnya di Taman Midah, Cheras, di sini, disimbah cat merah dipercayai perbuatan along yang mendesak mereka melangsaikan hutang adiknya itu.

“Ketika itu kami sedang tidur dan terhidu bau cat di luar rumah. Saya bangun dan meninjau ke luar rumah. Saya terkejut melihat dinding rumah, pintu jeriji, dan kereta Proton Wira disimbah cat merah. “Saya ke pondok pengawal dan dimemaklumkan sebuah kereta BMW memasuki kawasan perumahan dan mendakwa mahu ke rumah kami,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Nafi rompak bapa

SHAH ALAM: Seorang penternak ayam laga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian bapanya yang berusia 68 tahun, dalam satu kejadian rompakan di rumah keluarga mereka, Ogos tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Lim Kim Huat, 45, bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Lim Giek Poh, 68, di No 12 Jalan Anggerik Oncidium 31/ 78 A, Kota Kemuning, Seksyen 31. Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 10 malam, 20 Ogos 2009 dan jam 3.30 pagi, keesokan harinya. Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun. Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan RM30,000 sebagai nilai ikat jamin dan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sementara menantikan perbicaraan kes itu selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu. Pada prosiding semalam, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed, manakala tertuduh diwakili peguam bela Gerard Lazarus.

Kes itu didengar semula semalam, selepas peguam bela tertuduh tidak dapat hadir di mahkamah, kelmarin.

'Rumah itu bak neraka'

JOHOR BAHRU: “Saya lebih sanggup dihantar ke rumah kebajikan daripada tinggal di rumah itu kerana masih terkenang kesakitan hingga ke tulang apabila pak cik mencucuh tangan dengan besi panas hanya kerana makan sekeping biskut tanpa kebenarannya,” kata mangsa dera, S Thilagawati, 10, yang masih trauma dengan perbuatan kejam bapa saudaranya itu.
Menceritakan pengalaman pahitnya tinggal bersama keluarga bapa saudara iaitu adik kepada ibunya, Thilagawati berkata, dia menjadi tempat bapa saudaranya melepaskan geram sejak lebih sebulan lalu dengan alasan mahu mendidiknya lebih berdisiplin.
Menurutnya, perbuatan bapa saudaranya tidak menerima teguran daripada ibu saudara sebaliknya pasangan suami isteri itu bersubahat mengenakan pelbagai hukuman terhadapnya setiap hari.

“Tidak tahu apa salah saya hingga mereka menghukum setiap perbuatan saya termasuk dipukul dengan menggunakan getah paip plastik di beberapa anggota badan.

“Jeritan saya bagaikan menjadi perkara biasa bagi kedua-dua mereka yang kerap menyatakan saya menjadi beban pada keluarga itu,” katanya yang menambah terpaksa mendapatkan perlindungan di beberapa rumah saudara-mara sejak menjadi mangsa pengabaian ibu kandung.

Thilagawati berkata, biarpun dia pernah menyuarakan hasrat kembali bersekolah, pasangan suami isteri berkenaan bagaimanapun menolak kehendaknya itu dengan alasan khuatir dia akan melarikan diri jika dibenarkan keluar rumah.

Menurutnya, lebih sebulan tinggal di kediaman pasangan berkenaan, dia hanya dikurung dalam rumah selain dirantai di bahagian kaki bagi mengelakkannya melarikan diri.

“Saya tidak mahu pulang ke rumah itu, saya takut dipukul lagi oleh bapa saudara dan ibu saudara,” katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, MM Samy di Wad Kanak-kanak di Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

Sementara itu, MM Samy berkata, buat masa ini, kanak-kanak itu akan menerima rawatan sehingga keadaannya pulih.

Beliau berkata, mangsa berkenaan akan diberi perlindungan mengikut arahan mahkamah kanak-kanak.

“Saya mengucapkan terima kasih pada orang awam yang menyalurkan maklumat pada pihak berkuasa bagi membolehkan usaha menyelamatkan kanak-kanak itu dilakukan dengan segera,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan penderitaan seorang anak kecil dianggap sebagai ‘pembawa sial’ hingga dilayan seperti hamba oleh bapa saudara sendiri.

Gagal ambil balik bayi

KUCHING: Suasana di Mahkamah Tinggi Kuching di sini, semalam, yang mulanya tenang bertukar hiba seketika apabila tuntutan keluarga angkat terhadap lima daripada lapan bayi dan kanak-kanak yang disyaki diseludup dari Indonesia, ditolak.
Bayi dan kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun itu dituntut ahli keluarga kepada pasangan ahli perniagaan bergelar Datuk yang kini ditahan untuk siasatan polis.
Mereka diwakili tiga peguam iaitu Fracis Wee, Lim Heng Choo serta Anthony Tai dan membuat tuntutan berkenaan kira-kira jam 9 pagi. Sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga termasuk seorang anak perempuan pasangan kenamaan terbabit hadir di mahkamah bagi mendengar prosiding berkenaan. Semua bayi dan kanak-kanak terbabit diarah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak, Jalan Kuching-Serian, di sini. Petang kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuching mengeluarkan perintah agar JKM mengembalikan lima bayi dan kanak-kanak itu kepada keluarga angkat mereka, namun arahan berkenaan terbatal secara teknikal. Hakim Mahkamah Kanak-Kanak, Nelson W Angang memutuskan JKM diberi hak penjagaan sementara selama 19 hari ke atas semua lapan bayi dan kanak-kanak yang diserahkan polis mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Antara sebab utama ialah bagi membolehkan proses siasatan dilengkapkan, termasuk menyiapkan laporan terhadap semua mangsa termasuk lima bayi sebelum kes itu dibentangkan di mahkamah pada 6 Ogos depan.

Mahkamah turut memutuskan perintah penjagaan yang dikeluarkan kelmarin kepada ahli keluarga angkat terbatal manakala penjagaan kanak-kanak itu diletakkan di bawah kuasa Mahkamah Kanak-Kanak. Peguam kepada ahli keluarga terbabit cuba membantah keputusan berkenaan sambil mendakwa berlaku kesilapan berikutan seorang kanak-kanak yang diambil polis adalah cucu kepada pasangan Datuk berkenaan. Peguam keluarga berkenaan bagaimanapun berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang media daripada memaparkan gambar bayi dan kanak-kanak berkenaan serta tidak mendedahkan identiti mereka dilindungi.

5 kedai sederet hangus

KUALA LUMPUR: Lima kedai sederet hangus dalam kebakaran di Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, pagi semalam.
Seorang mangsa yang juga pemilik sebuah restoran, T Manimegalai, 40, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan pekerjanya mengenai kebakaran itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba api marak dan gagal menyelamatkan peralatan dalam restorannya.

“Saya menerima panggilan daripada pekerja mengenai kebakaran itu kira-kira jam 3.30 pagi dan sebaik tiba api membakar peralatan dalam restoran termasuk dua peti ais, televisyen dan barangan lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Damansara Shamshul Anuar Antang, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.21 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

“Tiga jentera bomba dari Damansara Utama, Petaling Jaya dan Taman Tun Dr Ismail dikejarkan dengan 21 anggota memadamkan kebakaran itu kira-kira jam 5.25 pagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dua beranak tauke dadah

SERDANG: Pendapatan kecil sebagai tukang kayu menyebabkan seorang lelaki mewariskan kemahiran baru sebagai pengedar dadah kepada anak lelakinya bagi memastikan keluarga terbabit hidup mewah.
Lelaki berusia 50-an terbabit didakwa mengajar anak lelakinya kaedah ‘pemasaran’ berkesan selain strategi untuk mendapatkan pembeli tetap bagi memastikan aktiviti penjualan dadah dari rumah itu mendapat sambutan berterusan. Difahamkan, hasil kegiatan haram itu, keluarga terbabit hidup senang lenang, memiliki beberapa kereta selain memperoleh pendapatan sehingga lima angka dalam beberapa minggu.
Kesenangan hidup yang dikecapi hasil pekerjaan menjual dadah, bagaimanapun hanya sempat dinikmati selama sebulan apabila kedua-dua mereka dicekup polis dalam serbuan di rumah mereka di Taman Kantan, Batu 8 1/2, Kinrara, Puchong di sini, kelmarin. Ketua Polis Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata serbuan kira-kira jam 7.15 malam itu dilakukan di rumah suspek selepas polis menerima maklumat suspek terbabit pengedaran dadah.

Beliau berkata, ketika serbuan, polis mendapati sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka berada di dalam rumah.

Bagaimanapun menurutnya, anak pasangan terbabit berusia 25 tahun melarikan diri ke bilik bapanya untuk bersembunyi sebaik menyedari kehadiran polis.

“Polis menahan anak pasangan terbabit sebelum melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan. Polis yang memeriksa bilik utama menemui 210 gram dadah jenis ketamin dan 60 pil Eramin 5.

“Polis menahan tiga beranak terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, semalam.

Hasil siasatan, katanya, polis mendapat tahu lelaki berusia 57 tahun yang ditahan itu seorang tukang kayu yang sudah bersara dan kini mewariskan pekerjaan itu kepada anaknya.

Beliau berkata, dua beranak terbabit baru sahaja berjinak-jinak mengedar dadah sebagai pendapatan tambahan sejak sebulan lalu.

“Modus operandi dua beranak ini ialah mengambil tempahan melalui telefon dan menghantar dadah terbabit kepada penagih secara terus atau meminta mereka datang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, tukang kayu bersama anaknya kini direman empat hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala ibunya dibebaskan kerana didapati tidak terbabit kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

Nyawa 50 penduduk terancam

BERLUBANG...keadaan belakang rumah yang semakin mendap dan berlubang.
BERLUBANG...keadaan belakang rumah yang semakin mendap dan berlubang.

KUALA LUMPUR: Bahaya dan menunggu masa untuk roboh apabila 12 rumah teres yang didiami hampir 20 tahun lalu diancam tanah runtuh serta banjir selepas projek perumahan baru didirikan berdekatan rumah penduduk di Taman Sri Sinar, Segambut, dekat sini.

Projek perumahan baru yang bermula empat bulan lalu terletak tiga meter dari rumah mereka menyebabkan nyawa kira-kira 50 penduduk terancam apabila struktur tanah kini merekah.
Penduduk, Gam Siew Hong, 48, berkata sejak projek perumahan itu bermula rumahnya diancam bahaya apabila tanah bahagian dapur semakin mendap dan berlubang.

Katanya, lubang satu meter itu menyebabkan rumahnya tidak stabil dan takut sekiranya mendapan itu merebak ke bahagian lain.

“Keluarga saya kini diancam bahaya membuatkan kami bimbang selain tidak boleh tidur lena kerana dari hari ke sehari mendapan tanah itu semakin luas.

“Keadaan kini tidak selamat dan berasakan rumah kami akan menyembah bumi sekiranya pihak berkenaan meneruskan projek perumahan itu tanpa mengambil kira keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui pada sidang media Parti Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Kesihatan Awam dan Biro Sosialnya, Dr Wong Ruen Yuan bersama 20 wakil penduduk Taman Sri Sinar.

Pesara tentera, Nazri Mohd Shaari, 58, berkata kedudukan perumahan baru yang lebih tinggi dari rumah asal menyebabkan kediaman mereka cepat dinaiki air walaupun hujan seketika.

Katanya, kawasan rumah penduduk asal sentiasa digenangi air kerana tiada sistem longkang yang baik menyebabkan tempat berkenaan menjadi kawasan pembiakan aedes.

“Akibat keadaan itu, kami sentiasa tidak sihat ekoran aedes yang semakin membiak di sekitar rumah.

“Kami risau sekiranya masalah ini berterusan kerana ia akan mengancam nyawa penduduk,” katanya.