Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Dikikis rakan siber


15/7
LAMAN web KDRM memaparkan amaran khas  mengenai kegiatan sindiket penipuan  memburukkan imej kastam KLIA.
LAMAN web KDRM memaparkan amaran khas mengenai kegiatan sindiket penipuan memburukkan imej kastam KLIA.
Kastam dedah 25 mangsa rugi beratus ribu diperdaya sindiket
SEPANG: Berhati-hati apabila membuat kenalan menerusi internet kerana satu sindiket antarabangsa dikesan menggunakan taktik itu untuk menipu mangsanya supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank kononnya sebagai bayaran cukai atau denda ke atas bungkusan yang dihantar menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Sejak Jun lalu, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) KLIA merekodkan lebih 25 kes penipuan membabitkan kenalan internet sindiket itu, sebahagian besarnya wanita Melayu dan Cina.
Pengarah KDRM KLIA, Datuk Azizah Idris, berkata kes itu termasuk membabitkan seorang wanita tempatan yang ditipu sindiket itu sejumlah RM300,000, bulan lalu.
Beliau berkata, wanita itu dihubungi seorang lelaki mendakwa kenalan internetnya dari United Kingdom yang meminta mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun sebuah bank tempatan untuk membolehkannya mengambil bungkusan yang dikatakan mengandungi wang tunai RM2.5 juta dan komputer riba yang ditahan KDRM KLIA.
“Wanita terbabit hanya mengetahui ditipu selepas menghubungi KDRM KLIA apabila diminta sindiket berkenaan memasukkan RM15,000 lagi ke dalam akaun itu,” katanya kepada Berita Harian.
Azizah berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan jaringan internet, seperti Facebook untuk berkenalan sebelum memperdayakan mangsa selepas beberapa bulan berkomunikasi.
Beliau berkata, sindiket terbabit yang dipercayai turut dianggotai rakyat Malaysia, dikatakan mencari mangsa sehingga ke Thailand, Singapura dan Australia berdasarkan aduan yang diterima KDRM KLIA.
Katanya, semua kes itu diserahkan kepada polis kerana KDRM tidak mempunyai kuasa untuk menyiasatnya.
Beliau berkata, ada juga mangsa ditipu kononnya kenalan internet mereka ditahan pegawai KDRM kerana gagal menjelaskan cukai barang atau membawa masuk wang tunai melebihi had dan tidak mengisytiharkannya dalam Borang Kastam 22 (pengisytiharan wang tunai).
Azizah berkata, KDRM tidak pernah meminta wang apabila menahan sesiapa atau merampas barang, sebaliknya kes itu diselesaikan mengikut undang-undang.
“Kebanyakan kes penahanan membabitkan individu oleh KDRM KLIA adalah mereka yang didapati cuba menyeludup dadah dan ia dijalankan dengan kerjasama polis.
“Jika kes itu membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, individu itu akan ditahan di lokap KLIA atau Sepang sebelum didakwa di mahkamah dalam tempoh 24 jam dan wang tunai itu akan dirampas dan diserahkan kepada Bank Negara,” katanya.
Beliau menasihatkan wanita yang menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai kastam supaya mendapatkan pengesahan untuk mengelakkan diperdaya anggota sindiket itu.
Sumber : Bharian.com.my

Dadah RM112,000 dirampas


15/7
JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis ganja dan heroin seberat 25 kilogram bernilai RM112,000 untuk jualan runcit, selain menyita harta rampasan bernilai RM92,000 dalam dua serbuan berasingan di sini, minggu lalu.
Dalam kejadian pertama pada jam kira-kira jam 1.20 pagi Rabu lalu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik cawangan Seri Alam, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 24.46 kilogram bernilai RM75,000 dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha TZM 150 dengan nilai anggaran RM7,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini.
Ekoran kejadian berkenaan, polis menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sendiri dan ujian air kencingnya disahkan positif dadah jenis methamphetamine (syabu), heroin serta ganja, selain suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata suspek dipercayai terbabit penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu dengan bekalan dadah disyaki ganja diperoleh dari Selatan Thailand dan kini ditahan reman selama seminggu bermula daripada tarikh ditangkap.
Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam, Jabatan Siasatan Jenayah negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 555 gram bernilai RM37,000 serta menyita harta yang dirampas bernilai anggaran RM85,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Larkin Perdana di sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan terbabit, antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Naza Citra bernilai RM50,000 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM30,000 selain sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM5,000.
Sehubungan itu, dua lelaki berusia 28 dan 36 tahun yang bekerja sendiri ditahan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Sumber : Bharian.com.my

Bunuh isteri akibat tidak tahan kena leter





15/7




JAKARTA: Seorang lelaki didakwa mencekik isterinya sehingga mati dan kemudian menghabiskan tempoh sembilan jam mengerat mayatnya dengan pisau dapur kerana mangsa membebel tanpa henti, kata polis di Jawa Barat semalam.
Agung Masloman, ketua detektif Polis Bandung, mengesahkan pihaknya sudah menahan Yaya Sujana, 45, seorang tukang kayu kerana pembunuhan itu dan memotong anggota badan isterinya, Liliana, 40, di rumah mereka di kompleks perumahan Soreang Indah, malam Rabu lalu.
Kami menahan penjenayah kelmarin jam 5 petang, kata Agung.
Dia mengaku membunuh mangsa dan memotong anggota tubuhnya kerana sering memakinya.
Yaya mencekik Liliana dalam bilik air, beliau mendakwa.
Yaya menghabiskan masa sembilan jam mengerat mangsa. Ia dilakukan dengan sebilah pisau dapur dari jam 7 pagi hingga 4.30 petang, kata Agung.
Selepas mengerat mayat mangsa, dia meletakkan bahagian mayat mangsa dalam dua kotak kadbod dan tiga baldi sebelum membuangnya di dua tempat di Bandung serta daerah Garut.
Polis Bandung turut menahan seorang lelaki dikenali sebagai DD yang didakwa membantu Yaya mem-buang bahagian mayat terbabit. Agensi
Sumber : Bharian.com.my

17 dilapor hilang di Vietnam


15/7
Ribut tropika Conson tinggalkan sisa kemusnahan
HANOI: Jumlah rakyat Vietnam dilaporkan hilang akibat ribut tropika Conson bertambah kepada 17 orang semalam selepas berpuluh kematian dilaporkan di Filipina dan China.
Sebelas nelayan dari dua bot pukat tunda dilaporkan hilang, kata pegawai bencana Do Son di wilayah tengah Quang Ngai. Enam nelayan dari bot lain pada mulanya dilaporkan hilang selepas kapal mereka karam Jumaat lalu ketika mencari tempat perlindungan di pulau Paracel di luar pantai Vietnam.
Pasukan pencari dan penyelamat terus meneliti kawasan itu di mana bot terbabit kali terakhir dilihat, namun tiada mayat ditemui, katanya.
Di wilayah utara Quang Ninh, pihak berkuasa menemui seorang lelaki yang pada mulanya dilaporkan hilang selepas bot kecilnya karam di kawasan tarikan pelancong di Ha Long Bay, kata pegawai bencana Pham Dinh Hoa.
Pihak berkuasa juga menemui mayat kanak-kanak setahun yang maut akibat penyakit sejurus sebelum ribut melanda. Mayat itu dihanyutkan dari ibunya apabila bot kecil yang digunakan membawa mayat untuk dikebumikan tenggelam.
Pihak berkuasa juga menemui mayat pelancong wanita tempatan yang hanyut akibat gelombang besar ketika berenang, kata pegawai bencana Nguyen Thi Bich Lien, di wilayah utara Thanh Hoa. Wanita terbabit tidak dikira sebagai mangsa kerana lemas sebelum ribut datang.
Sebelum mendarat di Vietnam hujung minggu lalu, Taufan Conson meninggalkan jejak pemusnah di Filipina apabila 68 maut dan 84 lagi hilang. Dua maut di China.
Di negara ini, lebih 600 rumah rosak dan 43 bot musnah sebelum ribut beredar, kata jabatan kawalan banjir dan ribut nasional semalam.
Hujan diramalkan di beberapa wilayah barat laut Vietnam semalam, walaupun agak mustahil menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh. AP
Sumber : Bharian.com.my

3 lagi maut di selatan Thailand


15/7
YALA: Suspek pemisah menembak mati tiga orang, termasuk seorang warga Malaysia, dalam keganasan terbaru di selatan Thailand, kata polis semalam.
Rakyat Malaysia berusia 57 tahun ditembak mati awal pagi semalam dalam premis karaoke miliknya di bandar sempadan Sungai Kolok di wilayah Narathiwat.
Pada hari sama di wilayah berjiran Pattani, seorang guru Buddha berusia 50 tahun ditembak mati di rumahnya oleh suspek militan, sementara lelaki Islam berusia 54 tahun dibunuh dalam serangan bermotosikal di hadapan sebuah masjid, kata polis.
Thailand minggu lalu melanjutkan pemerintahan tentera di tiga wilayah selatan bergolak sehingga Oktober ini ketika ia bertungkus-lumus menghalang kekacauan yang menyebabkan lebih 4,100 maut dalam tempoh enam tahun lalu.
Serangan oleh militan pemisah dan pelampau menyasarkan kedua-dua penduduk Buddha dan Islam, termasuk orang awam.
Gabenor wilayah ini, Krisada Boonrach berazam mengenakan tindakan keras ke atas militan selepas dua terbunuh akibat periuk api dalam satu taktik baru oleh suspek militan, yang sering menggunakan senapang atau bom tepi jalan. AFP
Sumber : Bharian.com.my

Enam ditahan proses air ketum di Jerlun

JERLUN: Enam lelaki berumur antara 20 dan 65 tahun ditahan ketika sedang memproses, menjual dan membeli air ketum dalam serbuan di dua rumah di Kampung Tanduk Kedabu di sini hari ini.
Serbuan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu adalah kali keempat dilakukan di kedua-dua rumah yang berhampiran itu tahun ini.
Pegawai Operasi Bahagian Narkotik IPK Kedah Cif Inspektor Mohd Shaharan Tarmizi berkata, operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Pihak polis sudah membuat empat kali serbuan di kedua-dua rumah itu sepanjang tahun ini dan kali terakhir serbuan dibuat pada bulan Mei lalu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada enam yang ditahan itu adalah anak-beranak dan saudara dengan seorang daripada mereka pernah ditahan dalam tiga serbuan sebelum ini manakala tiga lagi adalah pelanggan.

"Dalam operasi itu, polis merampas 350 bungkus air ketum yang diproses, lima kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000," katanya.

Mohd Shaharan berkata, kegiatan mereka itu aktif sejak dua tahun lepas dan pokok ketum juga ditanam di belakang sebuah daripada rumah yang diserbu itu.

"Kesemua mereka dibawa ke IPK dan akan menjalani ujian air kencing. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000," katanya.-Bernama

Hukuman mati terhadap pemubunuh pelakon Kipas Anggun dikekalkan

PUTRAJAYAL: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman mati terhadap dua lelaki kerana membunuh pelakon Singapura Una Angelia Oliveiro pada 2001.
Hakim-hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud membuat keputusan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai alasan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana hakim perbicaran telah menimbang dengan teliti bukti yang dikemukakan saksi pendakwa dalam kes itu.
Panel tiga orang hakim itu menolak rayuan penganggur Mohd Fazli Ismail, 28, dan jurusolek Esma Faizul Zainul Nor, 39, untuk mengetepikan sabit kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Oktober tahun lalu.

Dua lelaki berkenaan didapati bersalah membunuh wanita tiga anak berusia 44 tahun itu di banglonya di Jalan Bukit Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada jam 11.15 pagi 14 November 2001.

Oliveiro, wanita kacukan Cina dan Inggeris, yang memegang peranan 'Opah' dalam drama sitcom tempatan ''Kipas Anggun'', ditemui mati di ruang makan rumahnya dengan enam kesan tikaman pada dadanya.-Bernama

Pelajar maut kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Shah Alam maut manakala tiga rakannya cedera parah dalam satu kemalangan di terowong Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Damansara, dekat sini awal hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norfazwan Mohamad, 19, dari Parit Melintang, Perak.
Tiga rakannya yang cedera ialah Ameerul Arif Abdul Razak, 19, dari Batu Pahat, Johor; Mohd Khairul Anuar Jalani, 19, dari Hutan Melintang, Perak dan Mohamad Farid Atan, 19, juga dari Hutan Melintang, Perak.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata mayat mangsa dan kesemua yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi, motosikal yang ditunggang Mohd Khairul bersama seorang lagi lelaki tergelincir dan hilang kawalan sebelum terjatuh.

"Ketika itu sebuah lagi motosikal yang dipandu mangsa (Norfazwan Mohamad) cuba mengelak motosikal di hadapannya namun terbabas ke bahu jalan dan merempuh pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Hussin berkata, ekoran rempuhan itu, mangsa cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga rakannya cedera parah.-Bernama

Dua lelaki ditahan berhubung kes penemuan mayat wanita warga Myanmar

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan berhubung kes penemuan mayat wanita warga Myanmar yang dipercayai dibunuh awal bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kedua-dua suspek, berumur 23 dan 26 tahun ditahan di sebuah kawasan perniagaan di Damansara dengan suspek pertama ditahan pada jam 11.50 malam semalam. Suspek kedua pula ditahan tiga jam kemudian.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ini turut terbabit dalam lebih 10 kes samun di Selayang, Petaling Jaya dan Damansara berdasarkan beberapa laporan polis yang diterima.

"Kami percaya mereka juga terlibat dalam satu kes penemuan mayat wanita Myanmar yang dipercayai dibunuh, di Ulu Yam," katanya di sini, hari ini. Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan. "Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan bogel terapung di Sungai Tembalik berhampiran kawasan tangki air, Jalan Sungai Tua, Ulu Yam Baru pada kira-kira jam 4 petang, 6 Jun lalu.

Mayat wanita itu, seorang warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 20-an, dijumpai dengan tiada kesan kecederaan pada badan dan kepalanya, tetapi darah dan air keluar melalui hidung. -Bernama

Polis jumpa mayat perempuan bogel dipercayai dibunuh

MACHANG: Penduduk kampung di Pulai Chondong di sini, gempar apabila menemui mayat seorang perempuan bogel dalam keadaan terapung dengan kaki kanannya diikat pada anak pokok di Sungai Bagan di kampung itu, petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, mayat perempuan itu ditemui pada jam 1.15 petang oleh beberapa penduduk kampung dan pihaknya mempercayai mangsa dibunuh berdasarkan beberapa kesan tikaman.
"Mayat perempuan itu dipercayai berumur 20-an dan ketika ditemui di bahagian dadanya terdapat kesan tikaman manakala kaki kanannya diikat pada anak pokok di sungai itu.

"Kita percaya kejadian itu berlaku dalam tempoh seminggu yang lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mazlan berkata, pihaknya juga menjumpai seluar jeans yang dipercayai milik mangsa kira-kira 250 meter dari tempat kejadian dan tidak terdapat sebarang dokumen pengenalan mangsa ditemui.

Beliau berkata, berikutan itu polis mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Mazlan meminta ibu bapa yang kehilangan anak perempuan supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.-Bernama

Bayi lelaki ditinggalkan hampir digigit beberapa anjing liar


20/07/2010 7:41pm

KUCHING 20 Julai – Bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah kedai di Taman Beverly, Batu 13, Jalan Kuching-Serian dekat sini ditemui hampir digigit oleh anjing liar hari ini.
Bayi yang dipercayai baru dua hari dilahirkan itu telah diselamatkan oleh seorang suri rumah.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi ini, wanita yang berusia 60-an itu ternampak seorang bayi lelaki yang berbalut dengan sehelai kain ditinggalkan di atas lantai di belakang sebuah kedai dan sedang dikelilingi beberapa ekor anjing liar.
Wanita tersebut terus menghalau anjing yang cuba menghampiri bayi tersebut sebelum menyelamatkan bayi itu dan menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, bayi tersebut telah menjalani pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – Bernama

Pelajar maut kemalangan dua motosikal


20/07/2010 7:44pm

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Shah Alam maut, manakala tiga rakannya cedera parah dalam satu kemalangan di terowong Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Damansara, dekat sini awal hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norfazwan Mohamad, 19, dari Parit Melintang, Perak.
Tiga rakannya yang cedera ialah Ameerul Arif Abdul Razak, 19, dari Batu Pahat, Johor; Mohd. Khairul Anuar Jalani, 19, dari Hutan Melintang, Perak; dan Mohamad Farid Atan, 19, juga dari Hutan Melintang, Perak.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supt. Che Husin Omar berkata, mayat mangsa dan kesemua yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan menerima rawatan lanjut.
Beliau berkata, dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, motosikal yang ditunggang Mohd. Khairul bersama seorang lagi lelaki tergelincir dan hilang kawalan sebelum terjatuh.
"Ketika itu sebuah lagi motosikal yang dipandu mangsa (Norfazwan Mohamad) cuba mengelak motosikal di hadapannya namun terbabas ke bahu jalan dan merempuh pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Hussin berkata, ekoran rempuhan itu, mangsa cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga rakannya cedera parah. – Bernama

Lima kedai sederet terbakar di Kampung Sungai Ara pagi tadi

KUALA LUMPUR: Lima kedai sederet hangus dalam satu kebakaran di Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Damansara Shamshul Anuar Antang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.21 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.
"Tiga jentera bomba dari Damansara Utama, Petaling Jaya dan Taman Tun Dr Ismail dengan 21 anggota berjaya memadamkan kebakaran itu kira-kira jam 5.25 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Shamshul Anuar berkata, kebakaran itu melibatkan antaranya kedai motosikal, kedai runcit dan kedai minuman, manakala jumlah kerugian dianggar RM100,000.

"Tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kebakaran masih disiasat," katanya.-Bernama

Hukuman pegawai polis rasuah dikekalkan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini mengekalkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 terhadap pegawai polis berpangkat Cif Inspektor berhubung kesalahan meminta dan memperoleh rasuah daripada peniaga goreng pisang, awal tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu terhadap Lupiamir Rustam, 45, selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Kajang tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika menjatuhkan keputusan itu, sebelum ini.

400 usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan

PULAU PINANG: Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
"Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

"Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.-Bernama

Penghantar surat mengaku tidak bersalah rompak pekerja pusat urut

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan merompak empat pekerja wanita sebuah pusat urut di sini bulan lalu.
Mohd Shahril Anuar Ismail, 26, didakwa bersama-sama lima rakannya yang masih bebas, merompak wang tunai, telefon bimbit serta barangan kemas bernilai RM8,000 daripada kesemua mangsa di 289A-291A, Jalan Mahkota, Taman Maluri, Cheras, pada jam 10 malam, 11 Jun lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 7 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Abangnya membayar wang jaminan itu.--Bernama

Enam ditahan proses air ketum di Jerlun



JERLUN - Enam lelaki berumur antara 20 dan 65 tahun ditahan ketika sedang memproses, menjual dan membeli air ketum dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di di dua buah rumah Kampung Tanduk Kedabu di sini hari ini.

Serbuan hari ini merupakan kali keempat di kedua-dua buah rumah yang berhampiran itu pada tahun ini.

Pegawai Operasi Bahagian Narkotik IPK Kedah, Cif Inspektor Mohd Shaharan Tarmizi berkata, operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Pihak polis telah membuat empat kali serbuan di kedua-dua rumah itu sepanjang tahun ini dan kali terakhir serbuan dibuat pada bulan Mei lepas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada enam yang ditahan itu merupakan anak-beranak dan saudara dengan seorang daripada mereka pernah ditahan dalam tiga serbuan sebelum ini manakala tiga lagi adalah pelanggan.

"Dalam operasi itu, polis merampas 140 bungkus air ketum yang telah diproses, 11 kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar," katanya.

Mohd Shaharan berkata, kegiatan mereka itu aktif sejak dua tahun lepas dan pokok ketum juga ditanam di belakang salah sebuah rumah yang diserbu.

"Kesemua mereka dibawa ke IPK dan akan menjalani ujian air kencing. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000," katanya.

Polis bongkar aktiviti jual dadah di sebalik perniagaan keranda


KLANG - Taktik seorang lelaki yang menggunakan perniagaan keranda bagi melindungi aktiviti menjual dadah terbongkar apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menyerbu premis itu di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 6.39 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM21,000 yang disembunyikan di dalam kotak colok dan satu uncang kain di sebuah bilik premis berkenaan.

"Polis turut menahan pemilik kedai itu yang berusia 38 tahun dan pekerjanya yang berusia 44 tahun dipercayai suspek kes berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pemilik kedai terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kegiatan menjual ganja di kedai itu dipercayai mula aktif sejak tiga minggu lepas dan dijual dalam paket sekilogram, 41 gram dan 5 gram masing-masing dengan harga RM2,800, RM300 dan RM50.

Mohamad berkata, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah itu dari negara jiran untuk dijual di pasaran sekitar Klang.

Susilo malu video seks selebriti Indonesia



GAMBAR fail menunjukkan protes skandal video seks selebriti Indonesia di sebatang jalan raya di Jakarta pada 19 Jun lalu.


JAKARTA – Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berasa malu dan sedih ekoran skandal video seks melibatkan artis popular Indonesia yang tersebar luas di Internet baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
“Saya ingin tegaskan bahawa ini kali pertama perkara yang membabitkan masalah moral dengan munculnya rakaman video lucah dan keadaan itu membuatkan saya berasa sedih dan malu,” katanya.
Seorang pegawai Majlis Ulama Indonesia (MUI), KH M Ichwan Sam mendedahkan perasaan Susilo itu kepada wartawan selepas MUI mengadakan pertemuan dengan Presiden tersebut semalam.
Menurut Ichwan, Susilo berharap pihak berkuasa undang-undang seperti hakim, peguam dan polis bertindak tegas ke atas individu-individu yang terlibat melakukan rakaman video lucah dan mengedarkannya.
“Presiden meminta agar semua ketua keluarga, orang tua, para pendidik dan ulama mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi menangani masalah moral yang berlaku kini.
“Susilo turut meminta masalah-masalah tersebut dibahas secara telus pada persidangan MUI,” kata Ichwan.
Indonesia kini gempar dengan skandal video seks melibatkan pengacara televisyen terkenal, Cut Tari dan Luna Maya bersama penyanyi terkenal, Ariel Peterpan.
Setakat ini Ariel ditahan oleh polis dan disyaki sebagai pengedar video seks itu.
– Agensi

Mengaku tidak bersalah rompak pekerja pusat urut


20/07/2010 2:43pm

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar surat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan merompak empat pekerja wanita sebuah pusat urut di sini bulan lepas.
Mohd. Shahril Anuar Ismail, 26, didakwa bersama-sama lima rakannya yang masih bebas merompak wang tunai, telefon bimbit serta barangan kemas bernilai RM8,000 daripada kesemua mangsa di 289A-291A, Jalan Mahkota, Taman Maluri, Cheras pukul 10 malam pada 11 Jun lepas.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes.
Abang tertuduh membayar wang jaminan itu. - Bernama

Mayat lelaki ditemui terapung di sungai


20/07/2010 2:56pm

KOTA BHARU - Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Kedai Buloh, dekat Kampung Pulau Pisang, di sini, hari ini.
Mayat lelaki itu ditemui pada kira-kira pukul 8 pagi oleh seorang penduduk kampung yang sedang memancing di sungai itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi berkata, tiada pengenalan diri ditemui pada lelaki itu yang dipercayai penduduk setempat.
Katanya, lelaki itu yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai mati dua hari lalu dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
Zahruddin meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga datang ke hospital itu untuk mengenal pasti dan menuntut mayat lelaki itu.
Beliau berkata, polis tidak mengesyaki perbuatan jenayah dalam penemuan mayat lelaki itu yang dipercayai mati lemas. - Bernama

Jenayah penggubahan wang di Malaysia terkawal


20/07/2010 4:11pm

KUALA LUMPUR - Jenayah penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan berupaya dikekang oleh pihak berkuasa menerusi tindakan bersepadu agensi terlibat.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali berkata, bagaimanapun usaha mengekang jenayah itu terus diperhebatkan memandangkan transaksi perniagaan di negara ini semakin meningkat.
"Kalau nak katakan jenayah ini serius di Malaysia ia sebenarnya tidak serius, malah ia dalam keadaan terkawal. Malaysia dapat mengekangnya sebaik
mungkin dengan menggunakan tindakan yang cukup berkesan," katanya di sini, hari ini.
Usaha itu katanya, dipermudahkan lagi dengan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap jenayah tersebut selepas kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Dalam pada itu, Mustafar yang ditemui di luar Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiyaan Keganasan Antarabangsa 2010 mengakui masih terdapat ruang untuk penjenayah melakukan kegiatan berkenaan. - Bernama

Cuba rasuah RM1,000 bebas wanita warga asing


20/07/2010 4:49pm


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai 'orang tengah' kepada pemilik sebuah restoran di Bukit Tengah di sini ditahan selepas cuba merasuah anggota polis yang membuat serbuan di situ, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd. Lah berkata, lelaki warga tempatan itu ditahan selepas memberi RM1,000 kepada polis dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 malam.
"Kita mendapat maklumat bahawa premis berkenaan menjalankan kegiatan tidak bermoral dan dalam serbuan itu, polis menahan tiga wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di situ.
"Kesemua mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun serta tiada permit dan telah menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya.
Beliau berkata, sebaik tiga wanita itu ditahan, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai orang tengah kepada pemilik restoran terbabit menghampiri anggota polis dan menawarkan wang.
Turut ditahan, seorang lelaki warga asing berusia 40-an yang tiada pengenalan diri dan bekerja sebagai penjaga di situ. - Bernama

16 termasuk pelajar terlibat dalam pergaduhan bersenjata ditahan


20/07/2010 4:57pm

GEORGETOWN - Polis menahan 16 orang, termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin di Sungai Dua di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam tadi, sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang dikatakan bertindak ganas menyerang dua lelaki yang sedang menjaja di kawasan awam di taman berkenaan.
Katanya, kedua-dua peniaga itu sempat melarikan diri dan diselamatkan polis yang bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima aduan orang ramai.
Kedua-dua penjaja itu dipercayai berselisih faham dengan salah seorang anggota kumpulan yang menyerang mereka.
"Sebaik ternampak polis, kumpulan penyerang terbabit melarikan diri dengan menaiki dua motosikal dan dua kereta," katanya.
Bagaimanapun, katanya, empat jam selepas insiden itu berlaku, polis mengesan kenderaan mereka di kawasan Queens Bay dan berjaya menahan suspek-suspek terbabit.
Beliau berkata, setelah memeriksa kenderaan berkenaan, polis menemui senjata tajam seperi parang dan pisau yang dipercayai digunakan untuk pergaduhan. - Bernama

Penyamun gatal dicekup



JOHOR BAHRU – Tidak cukup menyamun, seorang penjenayah yang disyaki terlibat dengan 23 kes samun, melepaskan nafsu serakahnya dengan mencium dan meraba buah dada mangsanya sebagai ‘kenang-kenangan’ sebelum melarikan diri.

Suspek berusia 29 tahun itu, dipercayai aktif melakukan jenayah jalanan sejak lima bulan lalu, diberkas selepas polis menerima laporan seorang wanita disamun dan dicabul di rumahnya di Kluang, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek itu ditangkap dalam serbuan di sebuah kilang membuat batu bata, kira-kira jam 6.30 petang hari Isnin lalu.

Suspek yang dipercayai kemaruk seks itu bekerja sebagai buruh di kilang itu dan sudah berumah tangga.

“Siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatannya secara bersendirian dan kita percaya suspek terlibat dengan 23 kes samun di sekitar Kluang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barang disyaki curi, termasuk komponen motosikal, komputer bimbit, empat keping kad pengenalan orang lain, empat beg hitam dan telefon bimbit.

“Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kita tahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Kereta putus dua




SERI MANJUNG – Niat baik dua lelaki tempatan menumpangkan tiga lelaki warganegara Myanmar ke Kampung Koh, Sitiawan, tidak kesampaian apabila seorang daripada penumpang itu maut dalam satu kemalangan, di Batu 8 Segari, petang kelmarin. Lebih malang lagi apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu Koh Lim Hing, 20, terputus dua akibat kemalangan yang berlaku di hadapan Balai Polis Segari. 

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang, kelmarin. 

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Aung Gyi, 49, maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala. 

“Dua rakan mangsa yang dikenali sebagai Naung Naung Lwin, 28, dan Aung Ho, 33, mengalami cedera parah di bahagian muka dan kaki dan masih menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM). 

“Sementara itu, rakan Lim Hing, Su Ting Wei, 22, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam. 

Mohd Jamil berkata, siasatan awal polis mendapati kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pantai Remis ke Kampung Koh, Sitiawan dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang menyeberang jalan dan masuk ke dalam laluan bertentangan. 

“Dalam masa yang sama, sebuah kereta jenis Toyota dari arah Seri Manjung ke Pantai Remis bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa terbakar dan sepasukan bomba dari Pantai Remis dikejarkan di tempat kejadian untuk memadamkan api,” katanya. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HSM untuk bedah siasat dan difahamkan mayat mangsa dituntut rakannya kira-kira jam 12 tengah hari semalam. 

“Kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pasar borong kartun



BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Kecewa, hanya itu dapat digambarkan lebih 30 peniaga di Pasar Borong Tun Abdul Razak Jengka yang baru tiga hari berpindah ke tapak pasar baru yang sempit, tidak selesa dan ibarat menutup periuk nasi mereka. 

Para peniaga menyuarakan kekecewaan apabila pendapatan diperoleh semakin berkurangan malah peraih dan pelanggan turut merungut tidak selesa menjalankan urusan perniagaan di kawasan tapak baru itu. 

Wakil peniaga ikan, Zakaria Yahya, 53, berkata, pelanggan merungut keadaan ruang sempit membuatkan mereka sukar untuk bergerak dan membuat pilihan ketika urusan jual-beli. 

“Mereka datang sekitar jam 4 pagi dan ketika itu, para pekerja menurunkan ikan dari lori. Keadaan sempit menyebabkan tidak semua barang boleh diangkat, hanya tiga ke empat tong ikan sahaja boleh dimuatkan dalam lot itu. 

“Selebihnya, kita terpaksa letakkan di dalam lori. Perkara ini menjadi masalah apabila pembeli ramai selain melambatkan urusan jual-beli. Ada pembeli lari kerana tidak mahu menunggu lama,” katanya. 

“Beban kerja juga semakin bertambah apabila setiap masa perlu mengangkut barang dari atas lori untuk memenuhkan lot perniagaan. Ruang sempit menyukarkan pekerja dan pembeli untuk bergerak serta melakukan urusan jual beli. 

“Laluan muat untuk jalan satu hala sahaja dan ia menimbulkan masalah apabila masing-masing ingin mengangkut barangan dari atas lori ke lot perniagaan,” katanya. 

Zakaria berkata, pekerja terpaksa menanggung beban kerja lebih kerana perlu mengangkut tong ikan dua hingga tiga kali yang jaraknya beberapa meter dari lot perniagaan dengan beban sehingga 120 kilogram untuk setiap tong.