Search This Blog

Monday, July 19, 2010

11 nelayan Malaysia mungkin akan didakwa di Filipina

KOTA KINABALU: Sebelas nelayan Malaysia yang ditahan di perairan Tambisan, Filipina berhampiran Lahad Datu semalam mungkin akan didakwa di Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini.
“Mereka mungkin akan didakwa di sana kerana melakukan sesuatu kesalahan, mungkin kerana mereka menceroboh masuk perairan Filipina, mungkin kerana mereka memiliki bahan terlarang untuk menangkap ikan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan senarai Orang Kena Pengawasan (OKP) oleh Polis Sabah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah di sini.
Katanya, polis negeri juga sentiasa berhubung dengan polis Filipina mengenai keadaan nelayan Malaysia di sana, termasuk butiran mengenai pertuduhan terhadap mereka, sekiranya ada.

“Buat masa ini, mereka semua ditahan di balai polis Taganak, Selatan Filipina dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, 11 rakyat Malaysia, yang menaiki sebuah bot nelayan untuk menangkap ikan di perairan Tambisan, Filipina berhampiran Lahad Datu, ditahan oleh pihak berkuasa Filipina.

Polis mengesahkan penahanan mereka, termasuk penemuan bom ikan dalam bot itu oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Mengenai majlis itu, Noor Rashid berkata AADK Sabah merupakan agensi yang sesuai untuk mengawasi 638 OKP seluruh Sabah agar program rawatan dan pemulihan penagih dadah dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, OKP cuma perlu melaporkan diri kepada balai polis daerah masing-masing seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, penyerahan senarai nama OKP itu juga akan membolehkan polis memberi tumpuan terhadap penangkapan bekalan dadah berbahaya bagi mengurangkan lebih ramai masyarakat terjerumus ke kancah penagihan dadah.-Bernama

Waspada bedah organ luar negara

BENTONG: Rakyat Malaysia dinasihati supaya tidak melakukan pembedahan organ di luar negara di hospital yang tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembedahan di hospital tidak diiktiraf kerajaan boleh mendatangankan pelbagai risiko termasuk membawa maut.

“Kita tidak menggalakkan orang ramai membuat pembedahan organ tanpa pemeriksaan yang rapi. Kementerian akan memastikan hospital yang mahu dijalankan pembedahan oleh rakyat Malaysia diiktiraf terlebih dahulu,” katanya, semalam mengulas laporan bahawa terdapat ribuan rakyat Malaysia yang membeli dan melakukan pembedahan organ di China dan India yang mana ini boleh mendedahkan mereka kepada risiko sampingan.

Didakwa edar dadah

KOTA BHARU: Seorang penganggur yang sebelum ini mengambil tindakan ‘berani mati’ memasukkan beberapa botol dadah ke dalam duburnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah disyaki heroin.
Bagi pertuduhan pertama, Hilmy Ab Hamid, 33, didakwa mengedar dadah disyaki heroin dengan anggaran berat kasar 18.0 gram di tandas bahagian kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dia yang berasal dari Kampung Kedai Melor, dekat sini, dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 3.30 pagi, pada 6 Julai lalu.

Hilmy berdepan hukuman mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Dia juga berdepan pertuduhan kedua, kerana ada dalam kawalannya dadah berbahaya disyaki heroin dengan anggaran kasar 1.3 gram, di sebuah rumah tanpa nombor, Jalan Pangkal Kalong, Kok Lanas, jam 4 petang, 5 Julai lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, Hilmy berdepan tindakan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Dua maut dalam dua kemalangan di Rompin

KUANTAN: Dua maut dalam dua kemalangan di Rompin semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama, Norsolisatun Asma Ismail, 14, terbunuh apabila kereta yang dipandu ayahnya dilanggar sebuah kereta Kenari di Kilometer 125.5 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin.
"Pemandu kereta Kenari yang datang dari arah bertentangan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan masuk ke laluan kereta Toyota itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan mati di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang peneroka maut apabila van yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Shah Bandar, Bandar Tun Abdul Razak, dekat Rompin.

Mohamed Fauzi berkata Mohd Zain Jusoh, 61, dari Rompin mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta Wira hanya cedera ringan.

"Dalam kejadian pada pukul 3.05 petang itu, kereta Proton Wira yang dalam perjalanan dari Bandar Tun Abdul Razak menuju ke Muadzam Shah hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung dengan van yang datang dari arah bertentangan," katanya.-Bernama

Penuntut Argentina didakwa tawar rasuah RM200,000 kepada anggota polis

SHAH ALAM: Seorang penuntut kolej swasta rakyat Argentina dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dua tuduhan iaitu menawarkan RM20,000 kepada dua anggota polis dan bersubahat memberi sogokan RM17,500 kepada seorang pegawai polis.
Nelson Davio Hurtado, 24, yang berasal dari Buenos Aires, Argentina, didakwa menawarkan wang tunai RM20,000 kepada Konstabel tambahan Mohd Najib Razak dan Konstabel Mohd Ridzuan Zulkafly sebagai dorongan untuk melepaskannya yang disyaki melakukan kesalahan pecah rumah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik soal siasat Balai Polis Hulu Klang, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 27 Jun lalu.

Hurtado juga didakwa bersubahat dengan rakannya, Anne Charmaine Skelchy dengan memberikan RM17,500 kepada Cif Inspektor Zahirudin Baharum sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Pejabat Ketua Balai Polis Hulu Klang, kira-kira 5.50 petang pada hari yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Hurtado kerana dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula terhadap tertuduh dengan kehadiran jurubahasa Sepanyol.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari SPRM Azuan Adzhar sementara Hurtado tidak diwakili peguam.

Pada 1 Julai lalu, Skelchy, 41, seorang eksekutif pentadbiran sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan RM17,500 kepada Zahirudin sebagai dorongan untuk melepaskan Hurtado yang ditahan atas kesalahan pecah rumah.

Wanita itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dan Mat Ghani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta menetapkan lima hari bermula 8 November ini untuk perbicaraan.

Mahkamah turut menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan bagi Skelchy menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. -Bernama

94 kes pelaburan wang haram dalam pelbagai peringkat pendakwaan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 94 kes peleburan wang haram kini dalam pelbagai peringkat pendakwaan, dengan lebih 3,000 dakwaan membabitkan keuntungan berjumlah RM1.2 bilion, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia
Datuk Zamani Abdul Ghani.
Zamani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Menangani Peleburan Wang Haram (NCC), berkata agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang juga meningkatkan kapasiti dan usaha dalam menangani peleburan keuntungan wang haram itu.
Beliau berkata, tiga agensi penguatkuasaan undang-undang utama melaksanakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) iaitu Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia - mewujudkan unit khusus pencegahan pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan (CFT) untuk memberi tumpuan dalam siasatan dan menyegerakan penguatkuasaan.

"Agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan turut meningkatkan usaha dan memperoleh kemajuan yang sama," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Keganasan Antarabangsa 2010, di sini hari ini.

Zamani juga berkata, usaha bersepadu oleh agensi penguatkuasaan undang-undang berjaya meningkatkan pendakwaan dan rampasan tanpa pendakwaan kes-kes peleburan wang haram/pembiayaan keganasan (AML/CFT) pada purata tahunan 86 peratus.

Zamani berkata, bagi Malaysia, selari trend global, sistem kewangan terus menjadi antara kaedah pilihan dalam menyalurkan keuntungan hasil aktiviti jenayah.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan, aktiviti itu dilakukan menggunakan gabungan tiga kaedah seragam.

Pertama, penjenayah semakin kerap menggunakan akaun repositori iaitu melakukan pengeluaran serta-merta sebaik deposit diterima.

Dua kaedah lain ialah pergerakan pantas wang merentas sempadan dan membabitkan pihak ketiga dalam aktiviti peleburan wang.

"Walaupun ia bukan khusus kepada Malaysia, institusi kewangan dinasihatkan supaya memastikan kawalan kukuh dilakukan bagi mengesan dan mencegah aktiviti ini," katanya.

Zamani berkata, sebagai contoh, modus operandi kes penyeludupan wang haram ke Malaysia oleh ejen kumpulan penjenayah ialah dengan ejen terbabit mendepositkan wang tunai dalam pelbagai akaun entiti dan individu di beberapa cawangan bank yang beroperasi di bandar-bandar di sempadan Deposit itu hanya kekal dalam akaun untuk tempoh yang terhad sahaja dan akan dikeluarkan oleh ejen untuk dipindahkan pula atau diseludup ke negara jiran yang lain, seperti yang diarahkan oleh sindiket.
Persidangan dua hari bertema "Memperkukuh Tadbir Urus untuk Memacu Nilai dianjurkan bersama oleh Institut Bank-Bank Malaysia dan Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan Malaysia.

Seramai 550 peserta dari 14 negara hadir pada persidangan itu.-Bernama

Penganggur dipenjara dua tahun, denda RM2,000 kerana mencuri

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,000, dan sekiranya gagal membayar denda dipenjara empat bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri, April lalu.
Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R Ratnakumar, 37, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tertuduh juga gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah rumah dan mencuri seutas rantai emas bersama loket, sebuah telefon bimbit jenama Nokia, sebiji subang emas, wang tunai RM150 dan wang tunai dolar Singapura $254 (RM1=$2.33), yang keseluruhannya bernilai RM3,000 milik Lim Yew Keong, 54. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 56-04-01, Flet Seri Sabah, Cheras antara 12.30 tengah hari hingga 3.20 petang, pada 3 April 2010.

Ratnakumar didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 11 tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki rumah mangsa dengan memotong kunci jeriji besi dan mengumpil pintu ketika mangsa tiada di rumah dan apabila mangsa pulang, dia mendapati pintu rumahnya terbuka dan melihat tertuduh berada dalam biliknya.

Mangsa menjerit dan tertuduh cuba melarikan diri. Tertuduh akhirnya ditangkap oleh orang awam dan setelah diperiksa menjumpai barangan dan wang tunai yang dicuri dalam poketnya.

Terdahulu, Ratnakumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan ke atasnya berikutan dia mempunyai tanggungan keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri memohon supaya hukuman yang berat dikenakan dengan alasan tertuduh mempunyai kesalahan lampau iaitu samun bersenjata dan rompak pada 2003 dan 2004.-Bernama

Tiga penjenayah kes samun di Pendang ditahan

ALOR STAR: Tiga penjenayah yang terbabit dengan kes samun di sebuah kedai emas di Pekan Tanah Merah, Pendang pada 4 Julai lalu ditahan polis dalam beberapa siri tangkapan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Seremban baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam tangkapan itu, dua orang wanita turut ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kumpulan itu yang turut menyamun di Gemas, Negeri Sembilan, Batu Kurau dan Sitiawan di Perak serta di Pendang, Kedah.
"Susulan daripada tangkapan kelima-lima mereka yang berumur antara 28 dan 37 tahun, polis juga berjaya menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta Gardone VT buatan Itali, satu kelopak peluru, empat butir peluru hidup, satu kelongsong peluru dan satu sarung muka serta beberapa unit telefon bimbit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian samun pada jam 12.30 tengah hari itu, seorang penjenayah berusia 28 tahun telah ditembak mati oleh pengawal keselamatan manakala seorang lagi dipercayai cedera akibat tembakan kedua pengawal keselamatan itu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana kesalahan melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang berjadual dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati," katanya.

Sementara itu, Syed Ismail berkata polis berjaya menahan lima lelaki berumur antara 21 dan 36 tahun yang melakukan kes samun ke atas sebuah van rokok di Tanah Merah, Jitra pada pukul 1.55 tengah hari 12 Julai lalu.

"Ekoran maklumat yang diterima, polis melancarkan operasi pengesanan dan berjaya menahan kelima-lima suspek di sebuah chalet di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan mereka dipercayai berasal daripada Pantai Timur," katanya.

Katanya, hasil daripada tangkapan itu polis turut merampas sebuah mesin resit jualan rokok, tujuh keping cukai jalan, empat keping nombor pendaftaran kereta, serangkai anak kunci serta beberapa buah telefon bimbit.

"Polis turut merampas dua kereta jenis Proton Perdana dan hasil semakan mendapati kedua-dua kereta itu adalah kereta yang dilaporkan dicuri di Seksyen 6 Shah Alam dan Damansara," katanya.

Beliau berkata, polis masih lagi memburu beberapa suspek yang masih bebas bagi melumpuhkan kegiatan kumpulan itu dan semua suspek sudah dikenal pasti.

"Semua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," katanya.
Syed Ismail berkata, polis turut menahan lima orang penjenayah yang berumur antara 15 dan 17 tahun dengan tiga daripadanya masih lagi bersekolah kerana terlibat dalam kejadian samun ke atas pekerja warga asing di Jitra pada 6.30 pagi 11 Julai lalu.

"Pihak polis masih mengesan beberapa suspek yang masih bebas dan mereka telah dikenal pasti," katanya.

Syed Ismail berkata, siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dalam 33 kes samun tanpa senjata di sekitar Alor Setar, Jitra serta Yan, dan sasaran mereka ialah pekerja asing yang bekerja di kawasan pembinaan yang sunyi.

"Berdasarkan modus operandi ketika melakukan samun, semua suspek adalah dalam kumpulan dua hingga lapan orang dan barang-barang yang disamun adalah telefon bimbit dan juga wang tunai," katanya.

Seorang lagi ditahan berhubung sindiket jual bayi

KUCHING: Polis menahan seorang lagi suspek berhubung sindiket menjual bayi dan kanak-kanak, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan reman setakat ini ialah 17 orang.
Polis menahan lelaki berusia 46 tahun itu di rumah seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun bergelar Datuk, yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket menjual bayi dan kanak-kanak di Richmond Hill, Stampin di sini, pada 6 petang semalam.
Lelaki itu dipercayai sepupu Datin yang membantu menjaga kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Batu Kawa di sini. Bagaimanapun, ketika tangkapan dibuat, tiada seorangpun kanak-kanak ditemui.

Majistret Nelson W Angang membenarkan dia ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Setakat ini, polis menemui tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 12 tahun dalam tempoh seminggu, dan kesemua mereka kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan.-Bernama

Peniaga pasar malam dihukum mati kerana bunuh pembantu rumah


SHAH ALAM - Seorang peniaga pasar malam, A.Murugan, 36, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, Oktober lepas. 

Hakim, Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu hari ini selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, pembelaan diri Murugan adalah penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai.

Seramai 50 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Murugan didakwa membunuh Muntik, 36, di rumah No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 Okt dan 20 Okt tahun lepas.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.-Bernama


Kena serbu



SEREMBAN – Tujuh pelanggan yang sedang menerima khidmat urut batin di sebuah pusat urut di Jalan Tun Dr Ismail, dekat sini tergamam apabila premis tersebut diserbu, petang semalam. 

Serbuan dilakukan Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan kira-kira 4.30 petang, semalam. 

Kebanyakan pelanggan terkejut ketika pusat urut tersebut diserbu dan sebahagian besar daripadanya dipercayai sedang menerima urutan batin. 

Pegawai Penyiasat D7, Inspektor Boo Khooi Fong berkata, seramai lima anggota dan lima pegawai D7 terbabit dalam operasi bagi membendung perkhidmatan tidak bermoral itu. 

Menurutnya, selain menyediakan urutan badan, premis terbabit dikesan menyediakan khidmat urut batin dengan bayaran RM50.
Bagaimanapun, katanya, polis hanya mengambil keterangan daripada pelanggan terbabit sebagai siasatan lanjut.

"Selain tujuh lelaki terbabit, polis turut menahan 12 tukang urut warga Thailand berusia lingkungan 25 tahun hingga 47 tahun dan seorang penjaga premis terbabit.

"Kesemua warga asing itu ditahan kerana menyalah guna pas lawatan sosial," katanya kepada media selepas operasi itu, semalam.
Beliau berkata, penjaga premis lingkungan 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada warga asing.

"Selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM855 daripada penguasaha pusat urut terbabit dipercayai hasil perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Khooi Fong berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan siasatan ke atas premis tersebut sejak dua minggu lalu.

Alasan beli durian terbongkar



MUAR - Alasan hendak beli durian oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berlegar-legar di sebuah rumah berjaya membongkar kejadian pecah rumah sepasang warga emas di pekan Panchor di sini, semalam. 

Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai memecah masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu belakang. 

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi apabila mangsa, Kow Kim Cheng, 73, dan isterinya Tey Siew Luan, 70, tiada di rumah. 

Mangsa mula menyedari kejadian apabila diberitahu jirannya yang ternampak suspek keluar melalui pintu hadapan rumah. 

Sejurus pulang ke rumah, mangsa terkejut melihat keadaan bilik utama rumah mereka bersepah dan terus memeriksa almari pakaian yang menyimpan barang berharga. 

Suspek berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM4,000 termasuk mata wang asing. 

Mangsa yang masih trauma dengan kejadian tersebut kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya akan membuat siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. 

Menurutnya, gerakan memburu suspek akan dilakukan serta-merta sehingga suspek berjaya ditangkap. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Mercun dalam semak




RANTAU PANJANG - Pasukan Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, merampas 468 kotak mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM15,400 dalam serbuan di Pengkalan Haram Ayam Terusan, di sini, kelmarin. 

Hasil pemeriksaan pada jam 4 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota PGA7 yang menjalankan tugas rondaan menerima maklumat daripada orang ramai mengenai aktiviti penyeludupan mercun dari negara jiran yang disorok di dalam semak dekat sini. 

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Mohamad Khalid Wahab berkata, sebaik menerima maklumat, pasukannya kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui beberapa bungkusan yang mengandungi 468 kotak mercun. 

“Tiada sebarang tangkapan dibuat kerana ketika tinjauan, hanya terdapat kotak mercun yang disorok di dalam semak,” katanya. 

Mohamad Khalid berkata, tujuh jenis mercun yang mendapat permintaan yang tinggi sempena perayaan akan datang adalah jenis Butterfly, City Light, Exotic, Cactus Merdeka dan sebagainya. 

Menurutnya, jika dihitung harga pasaran di sempadan, ia jauh lebih murah berbanding di negara ini, maka ramai individu rela menggadaikan nyawa bagi membawa masuk bekalan mercun ke sini. 

Beliau berkata, mercun jenis ‘ala merdeka’ yang mahal harganya turut menjadi bahan utama penyeludupan memandangkan permintaan yang tinggi di seluruh Negara. 

“Semakin jauh perjalanan penyeludup menghantar mercun, semakin tinggi harganya di pasaran tempatan,” katanya. 

Justeru itu, pihaknya sentiasa mengawasi, memantau serta menyelidiki gerak geri penyeludup sebelum, semasa dan sesudah perayaan Aidilfitri akan datang

Pengawal tembak mangsa ragut

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mangsa ragut cedera ditembak oleh seorang pengawal keselamatan sebuah premis penggurup wang di Jalan Harimau Tarum di sini, ekoran perselisihan faham ketika mangsa mahu menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin itu, mangsa berusia 29 tahun itu baru diragut selepas menukar wang di premis berkenaan dan kembali semula ke premis itu untuk memastikan sama ada CCTV di situ merakamkan individu yang mengekori dan meragutnya.
Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Labis itu dikatakan berselisih faham dengan pengawal keselamatan berkenaan sebelum suspek melepaskan dua das tembakan dengan pistol yang mengenai bahagian kiri pinggang mangsa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata mangsa bersama adiknya sebelum itu menukar wang di premis terbabit tetapi ketika dalam perjalanan pulang ke Taman Johor Jaya di sini, mereka diragut berdekatan Taman Majidee.
Dalam kejadian itu, mangsa kerugian lebih RM3,000 apabila diragut ketika menunggang motosikal bersama adiknya, katanya.
Selepas membuat laporan polis di Majidee, Zainuddin berkata, dua beradik itu kembali ke premis berkenaan dipercayai untuk melihat rakaman CCTV tetapi berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan pengawal keselamatan itu sehinggakan pengawal keselamatan terbabit melepaskan dua das tembakan.
Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan serius tetapi dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.
Sumber : Bharian.com.my

Pengguna menempah maut




PEMILIK kenderaan terdedah kepada kemalangan jalan raya berikutan penggunaan alat ganti tiruan pada kenderaan mereka. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa hampir sembilan juta kenderaan di negara ini terdedah kepada kemalangan jalan raya berikutan penggunaan alat ganti tiruan yang berleluasa.
Jumlah tersebut yang meliputi 80 peratus daripada kira-kira 11 juta kenderaan di negara ini mungkin kelihatan melampau dan seolah-olah sengaja mahu menakut-nakutkan pengguna tetapi itulah hakikatnya.
Apa yang lebih menyedihkan ialah tauke-tauke kedai alat ganti tidak bertanggungjawab itu menipu pengguna supaya membeli alat ganti tiruan yang bisnesnya dianggarkan bernilai RM1 bilion setahun.
Presiden Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA), Ahmad Zaki Ariffin berkata, lebih separuh daripada pemandu kenderaan di negara ini berhadapan dengan risiko kemalangan dan kematian akibat gejala tersebut.
Berdasarkan kajian, sebanyak 40 peratus kemalangan jalan raya yang berlaku adalah disebabkan alat ganti yang tidak sempurna termasuk penggunaan alat ganti tiruan.
"Dalam kemalangan, terdapat dua faktor iaitu disebabkan kenderaan yang tidak sempurna dan faktor kecuaian.
"Keadaan kenderaan yang tidak sempurna ini termasuk penggunaan alat ganti tidak tulen seperti brek, tayar, tali sawat, dan komponen-komponen enjin lain," ujarnya kepada Kosmo!.

191 pelajar di Terengganu terlibat jenayah narkotik


19/07/2010 3:31pm

KUALA TERENGGANU 19 Julai - Seramai 191 pelajar di Terengganu telah ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana terlibat dalam pelbagai kes jenayah narkotik.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata selain narkotik atau dadah, seramai 71 pelajar ditangkap kerana terlibat dalam jenayah lain seperti mencuri motosikal dan harta benda.
"Statistik yang dipaparkan ini agak membimbangkan kerana ia melibatkan pelajar sekolah dan IPT (institusi pengajian tinggi),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh yang sama, indeks jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 25 peratus dengan merekodkan sejumlah 2,066 kes berbanding 2,755 pada tahun lepas.
Katanya, penurunan paling ketara melibatkan kes jenayah kecurian harta benda manakala jenayah kekerasan pula meningkat sebanyak 22.7 peratus dengan merekodkan sebanyak 249 kes berbanding 203 kes pada tahun lepas. - Bernama

Tiga pengedar dadah ditahan


19/07/2010 4:26pm

JOHOR BAHRU 19 Julai – Polis Johor menahan tiga lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah jenis ganja dan heroin serta harta kesemuanya bernilai RM207,000 dalam dua serbuan di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pertama pada Rabu lalu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama 24.46 kilogram ganja bernilai RM75,000 di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
Dua hari kemudian, dua lelaki berusia 28 dan 36 tahun ditahan di Larkin Perdana bersama 553 gram heroin bernilai RM37,000.

Polis tahan suspek edar dadah, rampas 24.46 kg ganja


19/07/2010 5:43pm

JOHOR BAHRU — Polis menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah dan merampas 24.46kg ganja dalam satu serbuan ke sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, dekat sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd .Mokhtar Mohd Shariff berkata ,lelaki berumur 30 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Seri Alam.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha TZM 150 bernilai RM5,000 milik lelaki itu di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, dan menurutnya ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.
"Suspek terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak setahun yang lalu dan bekalan ganja diperolehinya dari selatan Thailand,” katanya di sini hari ini.
Katanya ganja itu dianggarkan bernilai RM75,000, dan lelaki itu kini ditahan reman sehingga esok, — Bernama

Dipenjara dua tahun, denda RM2,000 kerana mencuri


19/07/2010 6:53pm

KUALA LUMPUR — Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,000, dan sekiranya gagal membayar denda dipenjara empat bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri, April lepas.
Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Ratnakumar, 37, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tertuduh juga gagal menjelaskan denda itu.
Tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah rumah dan mencuri seutas rantai emas bersama loket, sebuah telefon bimbit jenama Nokia, sebiji subang emas, wang tunai RM150 dan wang tunai dolar Singapura $254 (RM12.33), yang keseluruhannya bernilai RM3,000 milik Lim Yew Keong, 54.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 56-04-01, Flet Seri Sabah, Cheras antara 12.30 tengah hari hingga 3.20 petang, pada 3 April 2010.
Ratnakumar didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 11 tahun dan boleh didenda. — Bernama

Rumah diubah suai jadi tokong timbul masalah

KUALA LUMPUR: Lebih 200 penduduk Jalan Api-Api Lima, Kepong Baru di sini, menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap kewujudan tokong Cina di kawasan kediaman terbabit yang mengganggu ketenteraman penduduk sejak setahun lalu.
Tokong itu adalah rumah kediaman yang diubah suai menjadi tokong Cina yang melakukan aktiviti keagamaan mencurigakan serta mengganggu penduduk setempat hampir setiap malam.
Penduduk, Shirley Tan, 50, berkata tokong Cina berkenaan sering memberi masalah kepadanya seperti jalan sesak ekoran kereta pengunjung tokong diletak sesuka hati dan bau busuk hasil colok yang dibakar dan sampah yang dibuang merata tempat.

“Terdapat bunyi bising seperti jeritan, kaca yang sengaja dipecahkan serta kerusi yang dibaling ke dinding. Saya rasa ada yang tidak kena dengan kegiatan yang dijalankan di tokong berkenaan,” katanya yang sudah mendiami kawasan terbabit lebih 40 tahun lalu.

Operasi tokong terbabit tidak seperti tokong Cina biasa apabila ia memulakan operasi sekitar jam 10 malam hingga 6 pagi setiap hari.

Tan berkata, aduan sudah dibuat di Biro Pengaduan Awam DAP dan DBKL namun tokong itu masih beroperasi hingga kini.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping, berkata pemilik tokong sudah berjanji untuk menghentikan operasi tokong berkenaan 30 Jun lalu, namun sehingga kini, tokong berkenaan tetap beroperasi seperti biasa.

Penjaga kafe siber ditetak

AMPANG: Sekumpulan tiga perompak bertindak kejam apabila mereka yang bersenjatakan parang menetak seorang penjaga sebuah kafe siber dalam kejadian rompakan berhampiran sebuah pasar raya besar di Jalan Pandan, Prima 2 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun baru membuka kedai berkenaan sebelum dia didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata ketiga-tiga perompak yang memasuki kafe siber berkenaan mengugut mangsa supaya menyerahkan semua wang tunai.

“Namun, mangsa enggan menyerahkan wang menyebabkan seorang daripada perompak itu menetak tangan kiri serta belakang badannya sebelum mengambil wang tunai dan melarikan diri.

“Mangsa yang cedera meraung kesakitan sebelum disedari orang ramai yang melalui kafe siber berkenaan dan menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Amiruddin berkata, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di kafe siber berkenaan, tiga lelaki tempatan itu masing-masing membawa parang panjang yang diletakkan di dalam plastik sebelum mengeluarkannya sejurus memasuki kedai dan menetak mangsa.

“Polis membuat pengecaman wajah suspek yang ketika itu tidak memakai topeng muka dan percaya rakaman CCTV itu mampu membantu.

“Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu polis bagi mengesan suspek,” katanya.

43 korban letupan bom

BAGHDAD: Tindakan seorang pengebom berani mati yang mensasarkan anggota tentera dan pegawai kerajaan yang berbaris untuk menerima gaji semalam, menyebabkan 43 orang terbunuh.
Dalam pada itu, 46 orang lagi cedera akibat kejadian berkenaan. .
Siri keganasan menurun secara mendadak di Iraq sejak dua tahun lalu tetapi anggota tentera masih menjadi sasaran serangan walaupun Amerika Syarikat sudah merancang untuk mengundurkan tenteranya secara berperingkat.

Kejadian serangan bom awal pagi di luar kem tentera itu berlaku sebaik anggota tentera anti-Al-Qaeda yang dikenali sebagai Sahwa berbaris untuk menerima gaji di wilayah majoriti ahli Sunnah, di Radwaniya, barat daya Baghdad. Menurut kenyataan polis dan pihak hospital, sekurang-kurangnya enam askar Iraq, 34 anggota Sahwa dan tiga akauntan terkorban.

Manakala, 13 lagi askar Iraq, empat akauntan dan 29 anggota Sahwa cedera. Menurut sumber tentera, letupan berlaku angkara seorang pengebom berani mati yang memakai bahan letupan di bajunya. Berikutan kejadian itu, kem tentera berkenaan ditutup.

Tentera Sahwa memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan keganasan di Iraq sejak memerangi sekutu al-Qaida pada akhir 2006 dengan bekerjasama dengan tentera Amerika Syarikat dan kerajaan. Walaupun selepas empat bulan pilihan raya diadakan Mac lalu, Iraq masih belum mempunyai kerajaan berikutan ahli politik saling berbalah untuk memilih ketua negara. Insiden itu dikhuatiri akan dimanfaatkan pihak pemberontak untuk mencetuskan keganasan yang pernah membawa kepada perang saudara di Iraq pada 2006 dan 2007.

Insiden serangan semalam itu membimbangkan banyak pihak kerana berlaku ketika tentera Amerika mula berundur dan askar tempatan mula mengambil alih kawalan keselamatan negara. - AFP

Luna Maya keberatan jawab soalan polis

JAKARTA: Artis Luna Maya banyak memberi jawapan tidak tahu sepanjang disoal siasat polis mengenai kes video lucahnya dengan Ariel.
Seorang anggota polis yang terbabit dalam penyiasatan kes itu berkata, tindakan Luna itu menyebabkan dia dianggap enggan memberi kerjasama.
Ketika dihubungi wartawan tempointeraktif.com, penyiasat itu juga mendedahkan, Luna turut beranggapan soalan dikemukakan polis lebih banyak menyentuh hal peribadinya.

Dia mengaku masih menjadi kekasih Ariel dan hanya mengetahui mengenai kes video lucah itu pada awal Jun lalu.

“Apabila ditanya sama ada dia pernah melakukan seks dengan Ariel, Luna enggan menjawab soalan itu.

“Dan apabila ditanya kenapa dia enggan menjawab, dia berkata: ‘Perkara itu adalah sangat privasi,’ kata penyiasat berkenaan yang enggan namanya disiarkan.

Keegganan Luna memberi kerjasama itu menyebabkan dia ditahan semalaman minggu lalu. - Agensi

Doktor 'curi' rahim pesakit

GULISTAN: Demi memenuhi tuntutan kerajaan dalam kempen mengurangkan jumlah kelahiran, doktor Uzbekistan melakukan amalan yang melanggar hak pesakit.
Aktivis hak asasi manusia negara itu melaporkan ratusan wanita yang menjalani pembedahan dibuang rahim mereka tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka. Seorang mangsa, Saodat Rakhimbayeva, 24, meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati selepas mengetahui doktor membuang rahimnya ketika melahirkan anak menerusi pembedahan. “Doktor tidak pernah meminta persetujuan saya sebelum pembedahan. “Saya hanya diberitahu selepas pembedahan selesai dijalankan,” kata wanita itu.
Menurut kumpulan hak asasi, pembuangan rahim itu dilakukan bagi mencegah populasi yang semakin meningkat selain mengehadkan bilangan etnik tertentu. Negara Asia Tengah itu yang mempunyai 27 juta penduduk adalah antara negara yang paling padat di samping kadar kemiskinan yang tinggi.

Beberapa pengkritik berkata, doktor ditekan secara langsung oleh kerajaan untuk bertindak demikian.

“Arahan itu datang daripada pihak atasan,” kata Khaitboy Yakubov, ketua sebuah pertubuhan hak asasi manusia Uzbekistan.

Sebelum, ini, Presiden Islam Karimov melancarkan kempen merancang keluarga dalam usaha mengurangkan kadar kelahiran yang semakin meningkat di negara itu.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan dilaporkan mengarahkan petugas perubatan memantau pemeriksaan kesihatan ke atas wanita di bawah kategori usia subur. Arahan itu juga menekankan pembedahan membuang rahim secara percuma diberikan kepada wanita yang ingin melakukannya secara sukarela. “Doktor yang bertugas di hospital kerajaan diarah merealisasikan kempen kerajaan itu,” kata Khaitboy. - Agensi

Ibu anak Ronaldo terima RM50j

LISBON: Ibu anak bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo ialah pelayan warga Amerika Syarikat yang ditidurinya tahun lalu.

pix_middle

Sebelum ini, pemain kapten pasukan Portugal di Piala Dunia baru lalu yang berusia 25 tahun itu dikatakan membayar seorang wanita untuk menjadi ibu tumpang bagi melahirkan anaknya.
Ronaldo menjadi bapa pada 17 Jun lalu, dua hari selepas menentang Ivory Coast pada kejohanan berkenaan di Afrika Selatan.

Menurut laporan Sunday Mirror, pemain bola sepak itu bertemu wanita yang namanya masih dirahsiakan di sebuah restoran di Los Angeles tahun lalu.

Seorang rakan mendedahkan, Ronaldo menghampiri wanita itu dan terus berkata: ‘Saya, kamu, seks-seks.’ “Wanita berkenaan kelihatan terkejut sambil berkata: ‘Apa?’ Dia sebenarnya tidak faham. Wanita itu kelihatan keliru. “Ronaldo kemudian melukis gambar hati tanda cinta pada cermin tingkap sebelah mejanya. Selepas itu, dia meberkata kepada pelayan berkenaan, ‘Saya, kamu, cium-cium,’ sambil menunjukkan wang.” Rakannya berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi Ronaldo untuk berpura-pura bercakap dalam bahasa Inggeris yang teruk dalam keadaan dia perlu berbuat begitu.

Sementara itu, ibu Ronaldo, Dolores dilapor mengambil alih penjagaan terhadap bayi itu dengan membayar pelayan berkenaan RM50 juta supaya dia berdiam diri.

Ia juga bertujuan memastikan, jika ditakdirkan bayi itu mencari ibunya, dia akan mendapati ibunya hidup senang.

“Dolores malu jika cucunya itu mendapati ibunya hidup dalam kemiskinan,” kata rakan bintang bola sepak itu.

Sumber itu juga berkata, keluarga Ronaldo yang taat kepada ajaran Roman Katolik tidak mungkin meninggalkan anak itu begitu saja.

Ronaldo dikatakan terus berlepas ke Algarve selepas Portugal tersingkir daripada Piala Dunia untuk bersama-sama anaknya.

Satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi Ronaldo sebelum ini berbunyi: “Saya begitu gembira selepas diberitahu bahawa saya sudah menjadi bapa.
“Seperti yang dipersetujui dengan ibu bayi itu, yang mahukan identitinya dirahsiakan, anak lelaki saya itu akan berada di bawah jagaan saya.

“Tiada maklumat lain akan diberikan mengenai hal ini.

“Saya mohon agar privasi saya dihormati.” Rakan Ronaldo itu berkata, bintang bola sepak itu berazam untuk menjadi bapa terbaik. Ia bagaimanapun tidak bermakna dia sudah mengambil keputusan untuk berumah tangga.

Dia juga dilapor memutuskan untuk tidak memberitahu anaknya, yang juga dinamakannya Cristiano, identiti si ibu sehingga dia berusia 18 tahun. - Agensi

Pendatang tak sempat lari

PUCHONG: Segelintir pendatang asing tanpa izin dikesan menjadikan pasar tani di sini, tempat mencari rezeki walaupun menyedari tindakan mereka itu bakal mengundang padah.
Bagaimanapun, kegiatan mereka tidak mampu bertahan lama selepas sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor bertindak menyerbu tapak pasar tani di Puchong, semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Penguat kuasa Imigresen Selangor, Johari Supardi, yang mengetuai operasi kira-kira jam 8.30 pagi itu berkata, pihaknya bertindak berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.

“Kehadiran ramai warga asing yang menjalankan perniagaan di tapak pasar tani berkenaan menimbulkan keraguan orang awam dan mengesyaki ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. “Sejurus tiba di lokasi beberapa pekerja yang menyedari kehadiran kami (Imigresen) pada awalnya berlagak selamba,” katanya. Johari berkata, ketika itu ada antara warga asing terbabit cuba untuk meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran menyebabkan keadaan menjadi kecoh di tapak pasar tani itu.

Bagaimanapun, katanya, cubaan mereka gagal berikutan beberapa anggota penguat kuasa yang berpakaian preman sudah bersedia di beberapa lokasi strategik termasuk laluan tikus yang sudah dijangka digunakan warga asing terbabit sekiranya kawasan berkenaan diserbu pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan lanjut, katanya, pihak Imigresen mendapati semua warga asing ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Berdasarkan serbuan, enam pemilik gerai warga tempatan dan 40 pekerja warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

55 'keldai dadah' pelbagai negara ditahan

AMPANG: Seramai 55 warga asing membabitkan warga Iran, Singapura, India, Pakistan, Jepun dan China menjadi ‘keldai dadah’ sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya berjaya mematahkan 50 kes cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah yang didalangi sindiket dadah antarabangsa bernilai kira-kira RM30 juta ke Selangor melalui jalan udara dan perairan negara. Menurut Nordin, 55 orang yang ditahan terbabit berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dan tiga daripadanya adalah wanita serta berjaya merampas kira-kira 80 hingga 90 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin dan kokain. “Antara lokasi utama yang sering digunakan adalah tiga lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Terminal Skypark Subang. “Kami akan sentiasa memantau lokasi ini dan beberapa kawasan perairan termasuk Pelabuhan Klang,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukaneka 1 Malaysia di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang, di sini, semalam. Difahamkan, jumlah kes tahun ini meningkat beberapa peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya juga mengesan taktik yang dilakukan sindiket terbabit untuk membawa masuk dadah ke negara ini dengan memasukkan ke dalam tangkai beg, botol spray, dalam minyak rambut, bungkusan makanan dan yang terbaru menggunakan ketuhar.

'Ibu nak tukar langsir baru'

SEREMBAN: “Ibu ada memberitahu hasrat mahu menukar langsir baru sempena menyambut Aidilfitri nanti,” kata anak kepada pasangan warga emas terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 7.2 Jalan Linggi-Rantau, Port Dickson, dekat sini, kelmarin.
Pekerja kilang, Haryati Nor Ibrahim, 33, berkata hasrat itu diluahkan arwah ibu, Zainab Long, 64, ketika melawat keluarganya di bandar ini, minggu lalu.
“Ketika berborak, ibu memberitahu nak tukar langsir baru, namun berkira-kira sama ada menempah atau membeli siap.

“Namun, kini semua tinggal kenangan apabila ibu dan bapa pergi selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan maut itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Rumah Murah Linggi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang kelmarin, Proton Saga dipandu bapanya, Ibrahim Bachik, 68, bekas guru besar bersama Zainab bertembung sebuah kereta lain menyebabkan kedua-dua terbunuh.

Turut terbunuh, seorang lagi lelaki iaitu pemandu Proton Satria Neo, Mohd Halit Ibrahim, 55.

Haryati berkata, sebelum kejadian, dia menerima panggilan telefon ibu mengajaknya menziarahi saudara yang meninggal dunia di Taman Lavender Height, Senawang, di sini, namun menolaknya kerana bertugas.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang (kelmarin), saya menerima panggilan sepupu memaklumkan ibu dan bapa terbabit dalam kemalangan maut sebelum bergegas ke lokasi.

“Selain terkejut dan sedih, saya tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa mereka,” katanya.

Menurutnya, walaupun sedih, dia reda dengan kejadian itu dan menganggapnya ketentuan Ilahi. Katanya, sebelum itu, ibu dan bapa turut menziarahi keluarga terdekat di HTJS sebelum pulang ke rumah di Linggi.

Pasangan suami isteri itu sering keluar berdua termasuk menziarahi anak dan cucu mereka.
Jenazah pasangan warga emas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tampin Linggi, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, anak saudara pasangan itu, Rosli Zulkifli, 29, berkata dia yang baru pulang dari tempat kerja pelik apabila mendapati jalan berkenaan sesak berbanding biasa, kira-kira jam 2.40 petang.

“Seorang rakan turut melalui jalan itu menahan saya dan memberitahu bapa saudara terbabit kemalangan di kawasan berkenaan,” katanya.

Rumah enam sekeluarga hangus

PORT DICKSON: “Saya ingatkan bermimpi kerana rumah tiba-tiba terasa panas menyebabkan terjaga daripada tidur,” kata seorang mangsa kebakaran di Kampung Arab, di sini, awal pagi semalam.
Halimah Dollah, 44, berkata dia yang terjaga selepas terasa bahang panas terkejut apabila mendapati wayar elektrik di rumahnya meletup.
“Sejurus kemudian, api marak membakar rumah dan saya turut mengejutkan empat anak perempuan berusia lapan hingga 11 tahun yang tidur di ruang tamu supaya lari menyelamatkan diri.

“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, rumah sewa didiami mangsa bersama empat anaknya musnah dijilat api.

Menceritakan kejadian itu, Halimah berkata, dia baru selesai menyiapkan kuih untuk dijual dan tertidur bersama anaknya di ruang tamu rumah.

“Selain harta benda gagal diselamatkan, semua peralatan sekolah anak juga gagal diselamatkan. Ketika kejadian, suami, Anuar Othman, 42, tiada di rumah kerana bekerja di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

“Saya terkejut dan tidak sangka kejadian ini berlaku kerana sebelum ini berhati-hati terutama dalam penggunaan api bagi mengelak kejadian seperti ini.

“Walaupun mengalami kerugian, namun bersyukur kerana semua anak tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Pelajar maut kereta rempuh lori

SUNGAI SIPUT: “Kali terakhir saya bertemu arwah kira-kira sebulan lalu ketika dia pulang ke kampung sempena cuti semester dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan ceria seperti biasa.
“Kami sekeluarga terkejut apabila menerima berita kemalangan menimpanya semalam (kelmarin),” kata Othman Ismail, 59, bapa kepada Siti Munirah yang terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 41.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Salak Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, sebuah lori membawa muatan besi bergesel dengan sebuah kereta lama jenis Datsun dipandu seorang lelaki menyebabkannya hilang kawalan lalu berpusing dan melintang di tengah jalan.

Pada masa sama, kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa dan dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan, gagal mengelak lalu merempuh bahagian depan lori berkenaan.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi Perodua Kancil yang turut gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang lori terbabit.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Siput (HSS). Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 4.10 petang ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi.

Sementara itu, rakan lelaki mangsa dan pemandu tiga lagi kenderaan hanya cedera ringan dan masing-masing dirawat di HSS serta Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

“Saya tidak sangka arwah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga dengan cara seperti ini. Kami terkilan kerana arwah hanya mempunyai tempoh setahun lagi untuk menamatkan pengajiannya di Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR) di Ipoh.

“Arwah anak ketiga daripada tujuh beradik seorang yang periang dan ringan tulang membantu ahli keluarga dan rakan-rakannya,” katanya.

Jenazah Siti Munirah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan kira-kira jam 12 tengah hari semalam selepas dibedah siasat di HSS.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang datang dari arah Ipoh menuju Sungai Siput bergesel dengan sebuah kereta menyebabkannya hilang kawalan sebelum berpusing dan melintang atas jalan.

“Dua kereta Perodua Kancil yang datang dari arah Sungai Siput menuju ke Ipoh gagal mengelak lalu merempuh lori terbabit. “Pertembungan itu menyebabkan mangsa yang juga penumpang sebuah daripada Perodua Kancil terbabit cedera parah di beberapa anggota badan dan kepala,” katanya. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSS.

Menggeletar jumpa mayat

BUKIT BERUNTUNG: “Saya sangka bangkai babi hutan apabila ternampak objek berwarna kehitam-hitaman.
“Namun sangkaan saya meleset apabila menemui mayat lelaki terbaring dengan kepala hampir putus,” kata Hassan Ishak, 44, menceritakan detik cemas menemui mayat seorang mangsa bunuh ketika mahu memasang jerat ayam hutan di Ladang Sungai Tinggi, dekat sini, semalam. Menurut Hassan, kejadian berlaku pada jam 11 pagi apabila dia bersama rakannya, Edi Abdullah, 51, pergi ke hutan untuk menjerat ayam hutan.
Katanya, dia terperanjat dan apabila menemui objek yang terbaring dengan muka terlangkup ke bawah di dalam gaung.

“Kami terpaksa membatalkan aktiviti harian ini kerana terlalu takut dan terperanjat.

“Saya terus menelefon Balai Polis Bukit Sentosa memaklumkan kejadian yang berlaku kerana amat takut dan menggeletar melihat jasad terbaring itu,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Yahya Affandi, berkata mayat lelaki berusia 40-an itu dipercayai dibunuh lebih 24 jam lalu berdasarkan rupa bentuknya.

Katanya, mangsa diikat kaki dan tangan sebelum dibuang ke dalam gaung menggunakan denai babi yang jarang digunakan di situ.

“Mangsa dipercayai disembelih dan ditikam dengan objek keras berdasarkan kesan pada badan, leher, kaki dan perutnya.

“Polis tidak menemui sebarang senjata di kawasan kejadian. Namun begitu terdapat sarung tangan kain dan selipar yang berjaya dikesan sebagai bahan bukti,” katanya.

Norel berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tidak ada dokumen pengenalan diri pada dirinya.

Katanya, pegawai penyiasat bersama Unit Forensik dan Petugas anjing pengesan K9 dihantar ke lokasi kejadian membantu siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) kira-kira jam 5.30 petang semalam untuk bedah siasat.

Katanya, kejadian disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perompak pecah kereta larikan set golf, komputer riba

JOHOR BAHRU: Berang selepas usaha memecahkan sistem kunci keselamatan kereta dicuri gagal, sekumpulan penjenayah bertindak melarikan set golf dan komputer riba pemilik kenderaan berkenaan bernilai lebih RM10,000.
Malah, penjenayah profesional itu memecah masuk kenderaan terbabit yang diletakkan beberapa meter dari unit kecemasan sebuah hospital pakar di sini, tanpa disedari pengawal keselamatan Penjenayah juga bertindak biadap apabila meninggalkan kenderaan dipecah masuk itu dengan semua empat tingkapnya terbuka hingga ia disedari pemiliknya jam 6.30 petang kelmarin ketika keluar dari hospital pakar berkenaan.
Mangsa, Abdullah Ismail, 36, berkata, dia tiba di sana pada jam 12.30 tengah hari untuk melawat anaknya yang dimasukkan ke wad berikutan sakit tekak.

“Sebelum meninggalkan kereta saya pastikan keadaan kenderaan berkunci rapi termasuk kunci stereng dan kunci khas bonet.

“Bagaimanapun, beberapa jam kemudian saya dikejutkan dengan kejadian tidak diduga itu. Pemeriksaan mendapati penjenayah memecahkan kunci stereng malah turut mengumpil kunci bonet belakang dan melarikan komputer riba mengandungi dokumen syarikat serta set golf,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pelajar lari ditegur ayah

LEDANG: Gara-gara gagal mendapat keputusan baik dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Bunga, Ledang, bertindak melarikan diri dari rumahnya di Kampung Kesang, Khamis lalu.
Difahamkan, Nooraini Mariam Abdullah (gambar), 15, sebelum itu ditegur ayahnya kerana keputusan percubaan PMR diterimanya mengecewakan dan terus gagal dikesan.
Pada hari kejadian, Nooraini dihantar abangnya, Mohd Azli, 30, ke sekolah kira-kira pada jam 6.30 pagi tetapi tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang menyebabkan keluarganya bimbang.

Ibunya, Aminah Komeng, 58, berkata, keluarganya mengesan Nooraini di sekolah dan kawasan sekitar termasuk menemui rakan sekolahnya, namun gagal menemui gadis berkenaan.

“Nooraini anak bongsu daripada 12 beradik tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau rakan sekolah. “Bapanya pernah menegurnya kerana pencapaian pelajaran dia agak lemah berdasarkan keputusan percubaan PMR kurang memberangsangkan,” katanya.

Menurut Aminah, teguran itu bukan sebagai amaran atau tanda marah sebaliknya nasihat kepada Nooraini meningkatkan lagi usaha mencapai kejayaan akademik demi masa depannya sendiri.

Bagaimanapun, Aminah berkata Nooraini mungkin terasa dengan teguran itu lantas mengambil keputusan meninggalkan kediaman.

“Dia tidak membawa pakaian lain sebaliknya hanya berpakaian sekolah pada hari kejadian. Kami tidak tahu sama ada dia memang ada rancangan meninggalkan rumah atau ada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Kami berharap Nooraini segera kembali ke pangkuan keluarga dan biarlah yang keruh itu dibuang jauh-jauh. Kami tidak marah dengannya dan sanggup memaafkan tindakannya,” katanya.

Mohd Azli kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Mati di sini, Jumaat lalu.

Nooraini yang mempunyai ketinggian kira-kira 1.5 meter, bertubuh kurus serta berpakaian sekolah ketika kali terakhir dilihat hanya membawa kad pengenalan bernombor 950730-01-6178.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nooraini diminta menghubungi talian 013-6799694 (Azrol) dan 014-7209807 (Ina) atau balai polis berhampiran.

Kecoh pagi hari

KUALA LUMPUR: Kecoh apabila ibu bapa kepada pelajar yang memulakan sesi pengajian semester baru sebuah kolej swasta tidak dibenarkan memasuki kediaman mereka di Kondominium Sentul Utama di sini, gara-gara dihalang beberapa wakil penduduk kondominium terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi kelmarin, kira-kira 50 pelajar termasuk ibu bapa yang datang terpaksa berpanas menunggu di luar kawasan kondominium terbabit hingga jam 4 petang, namun tetap tidak dibenarkan masuk menyebabkan wakil kolej terbabit terpaksa membuat laporan polis.
Wakil penduduk yang ditemui, berkata mereka terpaksa bertegas tidak membenarkan pelajar terbabit menetap di kondominium terbabit kerana kebanyakan pelajar bertindak biadap dan sering mencabar undang-undang yang ditetapkan pihak jawatankuasa penduduk. Mereka mendakwa, pihak kolej terbabit sewenang-wenangnya menyewa 79 unit kondominium menempatkan 800 pelajar tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan atau wakil penduduk.

“Sebelum ini, pernah berlaku kekecohan seperti ini dan kami sudah berbincang serta memberi syarat kepada pihak pengurusan kolej itu menyediakan senarai nama pelajar yang akan menetap di rumah ini bagi tujuan keselamatan dan pemantauan, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Penduduk di sini sudah penat menasihati pelajar supaya menjaga adab. Mereka bukan saja merosakkan harta benda di kondominium ini, malah melakukan perkara tidak bermoral dan ada yang bersekedudukan. “Setiap kali ditegur, mereka akan membalasnya dengan mencalarkan kereta atau melakukan vandalisme sedangkan kami membayar wang pengurusan setiap bulan,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Seorang bapa pelajar yang enggan dikenali mendakwa, dia kesal dengan kelemahan pihak kolej menyelesaikan masalah terbabit menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama di luar kondominium itu.

“Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak kami yang ingin meneruskan pengajian. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kolej ini terkenal dan menjadi pilihan ramai pelajar terutama sekali dari luar bandar,” katanya.

Seorang pelajar senior kolej terbabit yang mengambil kursus dalam bidang pelancongan berkata, mereka sudah mengikut semua peraturan yang ditetapkan jawatankuasa penduduk termasuk tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di dalam kawasan kondominium disediakan.

“Kami dikenakan bayaran RM110 sebulan seorang sebagai sewa rumah kepada pihak kolej dan setiap rumah didiami antara 10 hingga 12 pelajar. Saya tidak menafikan ada antara pelajar yang membuat masalah, namun tidak adil jika semua yang dihukum apatah lagi yang baru hendak memulakan pengajian,” katanya.

Berikutan itu, warden kolej itu yang enggan dikenali kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, semalam berhubung insiden itu dan pelajar terbabit dipindahkan ke kediaman pelajar lain di Kepong buat sementara waktu.

Suami kebas kereta isteri

PASIR GUDANG: Impian seorang wanita hidup bahagia menerusi perkahwinan kedua berkecai apabila suami barunya itu tergamak melarikan kereta miliknya selepas mengetahui pasangannya itu menyimpan barangan kemas serta dokumen penting dalam kenderaan itu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, 39, mendakwa suami keduanya itu melarikan kereta berkenaan sejak sebulan lalu.
“Selepas suami pertama meninggal dunia, saya mengambil keputusan berkahwin atas nasihat rakan, selain memikirkan masa depan empat anak memerlukan kehadiran seorang bapa.

“Malangnya tanggapan kami meleset kerana sepanjang empat tahun hidup bersama serta melahirkan zuriatnya dia langsung tidak mempedulikan keluarga malah sudah enam kali menghilangkan diri,” katanya.

Menurut Maznah, suaminya bekerja tukang gunting rambut gagal memberi penjelasan apabila pulang ke pangkuan keluarga kerana menganggapnya remeh.

Biarpun tertekan dengan perbuatan pasangan hidupnya itu, Maznah memberi peluang kepada lelaki terbabit demi menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Perbuatan suami, yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) menimbulkan tekanan di kalangan ahli keluarga sehingga merasakan kehadirannya sebagai beban.

“Saya buntu apabila kereta Perodua Viva yang dibeli tiga tahun lalu dilarikan suami,” katanya.

Dia mendakwa suaminya itu dikesan kenalan yang menjadi penjamin bagi kereta pernah dibeli lelaki terbabit lima tahun lalu.

Warga emas lari hospital maut

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga emas melarikan diri daripada menerima rawatan di sebuah hospital di ibu kota berakhir tragedi selepas dia maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Tun Razak di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, mangsa yang dianggarkan berusia antara 60 hingga 70 tahun itu maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan yang melalui jalan itu dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala Bulatan Sungai Besi.
Menurut sumber, mangsa dipercayai dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira dua minggu lalu dan didaftarkan tanpa dokumen pengenalan diri.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa masih berpakaian pesakit HKL dan mempunyai kesan drip (suntikan) di lengannya.

“Pihak hospital masih cuba mengesan warisnya dan ia mengambil masa kerana agak sukar ekoran tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Mangsa dipercayai seorang lelaki Cina warga tempatan. “Namun, mangsa dilaporkan hilang di wadnya kira-kira jam 5 petang semalam (kelmarin). Selain itu, pihak hospital mungkin akan mengeluarkan satu kenyataan akhbar esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa dipercayai berjalan seorang diri sebelum dilanggar ketika cuba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan terbabit.

Penjaga kafe siber ditetak

AMPANG: Sekumpulan tiga perompak bertindak kejam apabila mereka yang bersenjatakan parang menetak seorang penjaga sebuah kafe siber dalam kejadian rompakan berhampiran sebuah pasar raya besar di Jalan Pandan, Prima 2 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun baru membuka kedai berkenaan sebelum dia didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata ketiga-tiga perompak yang memasuki kafe siber berkenaan mengugut mangsa supaya menyerahkan semua wang tunai.

“Namun, mangsa enggan menyerahkan wang menyebabkan seorang daripada perompak itu menetak tangan kiri serta belakang badannya sebelum mengambil wang tunai dan melarikan diri.

“Mangsa yang cedera meraung kesakitan sebelum disedari orang ramai yang melalui kafe siber berkenaan dan menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Amiruddin berkata, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di kafe siber berkenaan, tiga lelaki tempatan itu masing-masing membawa parang panjang yang diletakkan di dalam plastik sebelum mengeluarkannya sejurus memasuki kedai dan menetak mangsa.

“Polis membuat pengecaman wajah suspek yang ketika itu tidak memakai topeng muka dan percaya rakaman CCTV itu mampu membantu.

“Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu polis bagi mengesan suspek,” katanya.

Lelaki pecah masuk rumah berjaya perdaya jiran

MUAR: Seorang penjenayah berusia 20-an yang memecah masuk sebuah rumah memberi alasan mahu membeli durian untuk melepaskan dirinya selepas bertembung jiran mangsa dalam kejadian di Pekan Panchor di sini, awal pagi semalam.
Malah, alasan penjenayah terbabit dipercayai jiran berkenaan dan lelaki terbabit berjaya melarikan diri sebaik saja selesai menyamun rumah dihuni sepasang suami isteri yang tiada di rumah ketika itu.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa kerugian wang tunai RM5,000 termasuk mata wang Thailand dan China.

Mangsa, Kow Kim Cheng, 73, berkata, ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah kerana pergi ke pekan berhampiran untuk bersarapan.

“Sebaik saja pulang ke rumah kira-kira sejam selepas itu, saya terkejut kerana pintu belakang terbuka sedangkan ia tertutup rapat sebelum kami keluar.

“Mengesyaki sesuatu berlaku, kami masuk ke dalam dan terkejut mendapati dua bilik depan bersepah seakan diselongkar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Kow, walaupun kerugian ribuan ringgit dia bersyukur kerana barangan kemas milik isterinya tidak terusik termasuk sebentuk cincin berlian dianggarkan bernilai RM5,000.

Kow turut hairan kerana penjenayah terbabit memasuki rumahnya itu melalui pintu belakang dan menggunakan pintu depan untuk melarikan diri.

“Tindakannya itu disedari jiran, malah dia sempat bertanya apa tujuan penjenayah itu memasuki rumah.

“Penjenayah dengan selamba menjawab yang dia masuk ke rumah untuk membeli durian, malah akan datang semula selepas itu dengan membawa kenderaan kerana durian dibeli dalam kuantiti besar,” katanya.

Alasan itu membolehkan penjenayah terbabit melarikan diri dan jiran Kow menyesal kerana tidak menahan lelaki terbabit.
Isteri Kow, Tey Siew Luan, 70, pula bersyukur kerana kejadian berlaku ketika dia tiada di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit, malah sepasukan anggota sudah dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Polis sudah melancarkan gerakan memburu penjenayah terbabit dan dia mungkin pernah terbabit kes pecah rumah sebelum ini.

Gempar lihat UFO terapung

Gempar lihat UFO terapung
KOTA KINABALU: “Ketika berada dalam dewan, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat suatu objek mirip piring terbang di langit berhampiran pusat peranginan itu.
“Lalu kami keluar untuk mengesahkan dakwaannya dan apa yang saya lihat ia memang satu objek berbentuk bulat dan berwarna biru sedang terapung, tetapi selepas beberapa saat kemudian ia bertukar menjadi warna hijau,” kata seorang tetamu Tuaran Beach Resort, Jemas Dungil, 27.

Suasana di pusat peranginan ketika itu gempar apabila satu objek asing seakan-akan piring terbang (UFO) muncul di ruang udara berhampiran pantai peranginan Tuaran di sini, petang kelmarin.

Kemunculan objek berkenaan disaksikan beberapa kakitangan dan tetamu pusat peranginan itu yang kebetulan berada di kawasan terbabit.

Mereka mendakwa objek mengeluarkan cahaya biru dan hijau itu terapung di ruang udara selama seminit sebelum hilang dalam sekelip mata.

Malah, ada di kalangan mereka sempat merakamkan gambar piring terbang itu menggunakan telefon bimbit masing-masing tetapi apa yang menghairankan, ada telefon bimbit berkenaan tiba-tiba ‘mati’ dengan semena-mena sebaik merakam gambar objek berkenaan.
Jemas berkata, dia ternampak satu objek terapung yang besar dan tidak bergerak ketika menghadiri majlis jamuan makan seorang rakannya di pusat peranginan itu.

Menurutnya, dia sempat merakamkan objek misteri itu menggunakan kamera telefon bimbitnya, malah beberapa pengunjung pusat peranginan itu turut melakukannya.
“Saya tidak percaya UFO, tapi apa yang saya lihat itu benar-benar luar biasa kerana ia berlaku di depan mata.

“Apa yang pelik, telefon bimbit milik beberapa pengunjung yang merakam kemunculan objek itu tiba-tiba ‘mati’. Namun, saya bernasib baik kerana dapat merakamkan imej objek itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Donny Benedict, 29, berkata, dia tidak percaya dengan kewujudan UFO, namun pandangannya berubah sebaik menyaksikan kejadian itu.

“Saya hanya sempat melihat objek berkenaan terapung selama 20 saat sebelum ia hilang begitu sahaja. Apa yang peliknya, ia tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti dihasilkan pesawat udara.

“Ini pengalaman pertama saya melihat UFO, namun mengecewakan gambar diambil menggunakan telefon bimbit hilang,” katanya.

Kemunculan UFO di negara ini dikesan bermula pada tahun 1950-an apabila seorang lelaki melihat satu piring terbang di Petaling Jaya. Sejak itu, beberapa objek menyerupai piring terbang didakwa dilihat rakyat negara ini.

Kali terakhir UFO muncul di negara ini pada 1999 di Tanjung Sepat, Kuala Langat.