Search This Blog

Sunday, July 18, 2010

Iran tahan 40 suspek pengebom

TEHERAN: Polis semalam menangkap 40 suspek dalam kejadian pengeboman berkembar di luar sebuah masjid di bandar Zahedan yang meragut 27 nyawa, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Iran, Jeneral Ahmad Reza Radan bagaimanapun enggan memberi butir lanjut.

Kumpulan pejuang Sunni Iran, Jundallah mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan kerana membalas dendam. - AP

Tuhan Hindu dilarang urus niaga saham

MUMBAI: Sebuah mahkamah disini semalam memutuskan Tuhan Hindu tidak boleh menjalankan perniagaan saham selepas mengkaji permohonan untuk membuka akaun atas nama Tuhan itu.
Dua hakim di Mahkamah Tinggi Mumbai menolak permohonan sebuah yayasan Hindu untuk membuka akaun atas nama lima Tuhan Hindu, termasuk Ganesha, Tuhan berkepala gajah.

“Untuk menjalankan urus niaga di pasaran saham memerlukan kemahiran dan kepakaran dan adalah tidak sesuai untuk mengharapkan Tuhan melakukannya,” kata hakim berkenaan, PB Majumdar and Rajendra Sawant.

“Tuhan ialah untuk disembah dan bukan untuk diheret supaya menjalankan aktiviti komersial seperti perniagaan saham,” kata mereka. - AFP

Populariti Ariel jerat Cut Tari

JAKARTA: Ariel memang mempersonakan, lebih-lebih lagi statusnya selaku anggota kumpulan yang amat popular.
Itulah antara satu penyebab yang membuat tertuduh dalam kes video seks, Cut Tari (gambar), terjerat hingga sanggup menggadai maruah dengan mengadakan seks dengan penyanyi itu.
Cut dikatakan mengaku demikian ketika disoal siasat, kata satu sumber yang terbabit dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Ketika itu, lagu Peterpan ‘meletup’ dan ramai wanita bercakap mengenanya. “Malah, anak kecil juga mengenal Ariel. Saya bertanya pada diri sendiri, apa yang menarik mengenainya. “Akhirnya, saya juga terpikat dengan Ariel,” kata Cut kepada seorang penyiasat yang enggan namanya didedahkan. Tetapi Cut tidak ingat bila ia berlaku.

“Mungkin sekitar 2005,” kata penyiasat itu.

Cut juga berkata, dia tidak tahu perbuatan seks dengan Ariel dirakam kecuali dengan kamera telefon bimbit Ariel. — AFP

Mengundang maut

KUALA LUMPUR: Penggunaan botox yang tidak diiktiraf, apatah lagi dilakukan oleh ‘doktor palsu’, bukan saja boleh membuat wajah jadi hodoh, malah mengundang maut.
Pakar neurologi, Dr Azmi Abdul Rashid berkata, penggunaan secara berlebihan botox tidak diiktiraf itu boleh membunuh penggunanya.
“Dalam pasaran Malaysia, hanya dua jenis botox disahkan kerajaan dan diiktiraf penggunaannya. Kedua-dua botox ini ialah Botulinum Toxin Type A dan Dysport.

“Saya tidak tahu ada botox menggunakan unsur dan lemak babi tetapi yang pasti, semua itu tiruan dan berbahaya. Biasanya ia dijual menerusi pasaran gelap dan ‘doktor’ yang menjual botox itu juga tidak diiktiraf,” katanya.

Selain mendatangkan maut, menurut Dr Azmi, penggunaan botox tidak diiktiraf boleh melemahkan otot pemakainya.

“Kita mendapat banyak kes membabitkan botox tidak diiktiraf. Jika digunakan secara berlebihan di pipi, otot muka menjadi keras dan lemah sehingga wajah pemakainya menjadi hodoh,” katanya.

Dr Azmi menasihati orang ramai supaya mengelak menggunakan botox tidak diiktiraf.

“Tidak dinafikan ia boleh didapati dengan harga murah tetapi ia berisiko tinggi. Jika mahu guna botox, pastikan anda mendapat nasihat doktor pakar dan guna botox yang diiktiraf saja,” katanya.

Sementara itu, menurut pengamal perkhidmatan perubatan estetik, Dr Alice Prethima, kes inginkan wajah cantik tapi bertukar sebaliknya banyak berlaku setiap tahun.

“Saya mengendalikan pelbagai kes sedemikian. Memang susah membantu mereka yang mengalami masalah itu kerana boleh menyebabkan kesan lebih teruk jika tersilap melakukan rawatan susulan.

“Individu yang melakukan rawatan estetik untuk mengubah wajah supaya kelihatan cantik dan menawan harus memastikan produk dan kaedah digunakan diiktiraf dan disahkan.
“Ini kerana, jika berlaku jangkitan atau pesakit mengalami kesan sampingan, hanya doktor berpengalaman dan diiktiraf Kementerian Kesihatan mampu merawat masalah itu. Namun jika sebaliknya, perkara buruk pasti berlaku,” katanya yang memiliki klinik kecantikan di sekitar Bangsar.

Beliau yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang perubatan estetik berkata, walaupun ada pelbagai jenis produk rawatan estetik antaranya melalui suntikan dan terapi laser, individu yang mendapat rawatan itu harus memastikan keaslian setiap produk digunakan.

“Pastikan produk itu mengandungi ‘hyaluronic’ asli yang membantu membaiki tisu kulit. Dalam rawatan estetik, hanya kandungan itu tidak memberi kesan sampingan kepada individu yang menerima rawatan.

“Saya tidak melarang individu mendapatkan rawatan ini untuk tampil yakin dan kelihatan menawan. Begitupun, mereka perlu berhati-hati serta patuhi prosedur dan praktikkan amalan pemakanan yang disyorkan doktor.
“Jika tidak, ia mungkin meninggalkan kesan bahaya seperti muka bernanah atau bahagian disuntik membengkak,” katanya.

Menurut beliau, biasanya pengamal perubatan ini seharusnya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Pesakit hanya boleh mendapatkan khidmat perubatan itu di klinik yang berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Kesihatan.

“Tidak semua orang boleh mendapatkan rawatan botox. Ini kerana pesakit perlu menjalani pemeriksaan awal sebelum menerima rawatan. Jika pesakit ada komplikasi dalaman seperti alahan, sakit jantung, masalah obesiti atau ibu mengandung, rawatan tidak sesuai kerana ada kesan sampingan.

“Jika tiada masalah kesihatan seperti dinyatakan, pesakit masih perlu mendapatkan khidmat daripada klinik berdaftar. Ini disebabkan jika berlaku kesan sampingan, peralatan di klinik terbabit mencukupi untuk memberi rawatan susulan,” katanya.

Alice menambah, salun haram yang tiada peralatan lengkap seperti dilakukan di hotel atau rumah tidak sah dan membahayakan nyawa pesakit.

“Biasanya, pesakit yang mahukan rawatan botox perlu membuat pemeriksaan di klinik berdaftar. Kemudian, doktor pakar akan memberi suntikan anastetik terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata, hanya pakar layak memberi suntikan itu kerana dos perlu bersesuaian dengan pesakitnya.

“Bahagian ini, pakar terbabit perlu ada lesen penggunaan dan kawalan barangan beracun,” katanya sambil menjelaskan, botox adalah bahan terkawal Kementerian Kesihatan.

Foto artis popular jadi umpan

KUALA LUMPUR: Gambar artis terkenal yang dimuatkan di dalam sebuah buku khas antara umpan digunakan Lim untuk meyakinkan pelanggan, sekali gus menggambarkan seolah-olah dirinya terkenal.
Taktik itu dikesan ketika wartawan yang menyamar sebagai pelanggan berbincang mengenai khidmat suntikan botox yang ditawarkan.
Lim menunjukkan sebuah buku khas yang memuatkan ‘wajah’ individu yang pernah menggunakan khidmatnya.

“Artis pun lakukan rawatan botox bersama I,” katanya sambil membelek buku khas mengandungi pelbagai gambar, termasuk seorang artis terkenal.

Selain artis, wajah pelanggan daripada pelbagai golongan masyarakat turut dimuatkan di dalam buku itu.

Lim mendakwa gambar berkenaan dirakam selepas dia menyelesaikan tugasnya.

Ragu status protein

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, isi kandungan botox masih diragui biarpun ia didakwa menggunakan bahan berasaskan haiwan.
“Kita belum tahu kandungan sebenar yang digunakan untuk membuat botox. Daripada segi perubatan menjelaskan ia menggunakan protein haiwan, tetapi haiwan apa dan bagaimana ia diperoleh? Kita risau jika ia menggunakan protein haiwan seperti babi.
“Jika haiwan itu dalam kategori haram, haramlah botox itu. Bagaimanapun, jika haiwan itu halal untuk dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak, bermakna botox itu halal untuk tujuan perubatan.

“Cuma, ia masih diragui oleh pakar agama. Bila kita menjadi ragu dan was-was, lebih baik ia tidak digunakan langsung kerana dikhuatiri haram. Jadi, untuk keselamatan, ia haram,” katanya.

Harussani berkata, ulama menjatuhkan hukum haram terhadap penggunaan botox kerana tiada penjelasan rasmi diberi mengenai kandungan sebenar botox.

Menurutnya, segelintir pihak menganggap penggunaan botox untuk tujuan perubatan diharuskan tetapi ia hanya boleh digunakan jika tiada kaedah lain.

“Jika usaha itu menemui jalan buntu atau tiada cara lain untuk mengubatinya, baru penggunaan botox boleh digunakan. Dalam keadaan darurat, sesetengah perkara haram dihalalkan,” katanya.

Lelaki maut lintas jalan

GEORGETOWN: “Saya tidak sempat berbuat apa-apa apabila terlihat seorang lelaki dalam keadaan terhoyong hayang terus melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan,” kata seorang pemandu lori selepas terbabit dalam kemalangan maut di Lebuhraya Jelutong, di sini, malam kelmarin.
Yahya Ibrahim, 57, berkata ketika kejadian kira-kira jam 8 malam, dia memandu seorang diri dan tidak sempat mengelak mangsa yang dipercayai peminta sedekah atau penagih dadah yang tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan dia terus melanggar mangsa.
Katanya, keadaan trafik ketika itu sibuk dengan kenderaan lalu lalang dan perlanggaran itu menyebabkan cermin lori bahagian depan pecah manakala mayat mangsa terbaring di tepi jalan.

Dia yang terkejut dengan kejadian itu terus memberhentikan lorinya di tepi jalan dan menunggu ketibaan anggota polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Abdul Rahim Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam membabitkan sebuah lori jenis Isuzu tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki dari arah Jambatan Pulau Pinang ke pusat bandar.

Beliau berkata, seorang pejalan kaki secara tiba-tiba melintas jalan ,menyebabkan mangsa dilanggar lori berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang lelaki berketurunan India berusia 50-an dan identiti tidak ditemui serta mangsa hanya membawa satu beg plastik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu sehingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau melebihi 20 tahun atau penjara lima tahun atau denda melebihi RM20,000,” katanya.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Trafik Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut selepas motosikalnya dipercayai terbabas ketika membelok sebelum melanggar pembahagi jalan serta tiang lampu di Jalan Bagan Jermal, di sini, awal pagi semalam.
Abdul Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.11 pagi itu, mangsa dikenali sebagai S Puvanisparan, 20, berasal dari Batu Ferringhi dan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Jalan Bagan Jermal ke Batu Ferringhi.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala.

Pelancong maut

KUALA KANGSAR: Seorang pelancong warga Singapura terbunuh apabila van pelancongan dinaikinya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 248.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, semalam.
Kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan lelaki berusia 63 tahun itu maut di tempat kejadian manakala enam lagi rakan senegaranya cedera.
Pemandu van itu yang juga warga tempatan turut cedera.

Mangsa dikenali sebagai Goh Kim Bun mati akibat cedera parah di kepala dan anggota badan, sementara mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk menerima rawatan pesakit luar.

Timbalan Ketua Polis Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila van berkenaan cuba mengelak sebuah kereta dipandu seorang wanita di depannya sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Van itu dipercayai dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang menuju ke Cameron Highlands.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat,” katanya.

Pelacur maut dipanah

“I am the crossbow cannibal (saya adalah kanibal pemanah).” Itu jawapan bersahaja Stephen Griffiths, 40, apabila Mahkamah Majistret Bradford, England, meminta pengesahan namanya ketika dia menghadapi perbicaraan terhadap tuduhan kes membunuh.
Griffiths yang juga pelajar Doktor Falsafah dalam pengajian krimonologi dan jenayah di Univeristi Bradford dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan pembunuhan bersiri ke atas tiga wanita yang juga pekerja seks, Suzanne Blamires, 36, Susan Rushworth, 43, dan Shelley Armitage, 31.

Suspek dipercayai membunuh mangsa pertamanya, Blamires antara 20 Mei dan 25 Mei 2009; manakala Rushworth sekitar 22 Jun 2009 dan Armitage pada 25 April dan Mei tahun ini.

Mangsa terakhirnya, Armitage yang ditemui Griffiths di Rebecca Street , Bradford City, dibunuh berhampiran koridor kediamannya.

Griffiths mulanya bercumbu dengan pelacur berkenaan di koridor berkenaan sebelum membiarkan wanita berkenaan jalan mendahuluinya.

Dari belakang, Griffiths menyentap tengkuk Armitage sehingga sesak nafas. Ketika wanita terbabit terkulai dan tidak sedarkan diri, Griffiths masuk ke kediamannya mengambil penembak panah dan seterusnya memanah mangsa tepat di kepala.

Jenayah kejam Griffiths terbongkar berikutan penemuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pangsapuri kediamannya.

Daripada rakaman CCTV itu juga, rakaman pembunuhan Blamires turut ditemui dengan kaedah pembunuhan sama dan ia berlaku hampir setahun lalu.

Sumber Polis Bradford menjelaskan, Griffiths pernah mengalami masalah mental dan terlalu obses dengan penyelidikan terhadap kes pembunuhan bersiri.

“Bahan bukti menunjukkan Griffiths banyak menyimpan koleksi berkaitan pembunuhan bersiri dan dia menggemari pembunuh bersiri, Jack The Ripper.

“Dia (Griffiths) bijak, tetapi terpengaruh dengan apa yang dipelajarinya. Dia membunuh dengan cara konsisten dan itu satu daripada ciri pembunuh bersiri,” katanya kepada akhbar Daily Mail di England.

Selepas penangkapan Griffiths, Mei lalu, polis akhirnya menemui semula rangka mayat Blamires di Sungai Aire, Shipley berhampiran Bradford. Blamires dikenal pasti melalui ujian DNA.

Dua mayat mangsa lagi belum ditemui kerana Griffiths enggan bekerjasama dengan polis dan pegawai penyiasat.

Bukti rakaman CCTV sebenarnya cukup kuat untuk mengaitkan Griffiths dengan pembunuhan pelik dan kejam ini, namun polis masih melanjutkan siasatan untuk mencari kaitan kes membabitkan mangsa hilang dan pembunuhan pelacur yang belum dapat diselesaikan.

Polis turut percaya Griffiths tidak hanya melakukan jenayah di sekitar Bradford, malah berkemungkinan terbabit dengan serangan seksual dan pembunuhan pelacur di Sheffield, Leeds dan Manchester, England.

Setakat ini kes Griffiths masih dalam perbicaraan di mahkamah dengan tuduhan bunuh terhadap tiga mangsa yang dikenal pasti iaitu Blamires, Rushworth dan Armitage.

DATA
SUSPEK: Stephen Griffiths
UMUR: 40 tahun
STATUS: Bujang
MANGSA: Suzanne Blamires, 36; Susan Rushworth, 43; dan Shelley Armitage, 31
FAKTA JENAYAH: Griffiths yang menggelar dirinya ‘crossbow cannibal’ adalah pembunuh bersiri yang terbabit dengan pembunuhan Blamires, Rushworth dan Armitage. Dia hanya membunuh pelacur dan mangsanya dibunuh menggunakan penembak panah FAKTA KES: Mahkamah Majistret Bradford mendakwa Griffth atas tiga tuduhan membunuh. Polis turut mencari kemungkinan suspek terbabit dengan serangan seksual dan pembunuhan pelacur di Sheffield, Leeds dan Manchester, England

32 adegan 'panas'

JAKARTA: Setelah menangkap juruteknik muzik kumpulan Peterpan, RJ, atas dakwaan menyebar video seks, polis kini melancarkan siasatan terhadap 32 adegan panas dalam komputer riba milik bekas penyanyi utama kumpulan berkenaan, Ariel (gambar).
Ada laporan mendakwa 32 adegan panas dalam komputer riba Ariel itu membabitkan artis lain selain Luna Maya dan Cut Tari.

Antara nama yang disebut ialah Bunga Citra Lestari, Aura Kasih, Wulan Guritno, Krisdayanti dan Audy Item.

Dalam pada itu, beberapa pihak berkata, RJ yang bertanggungjawab menyebarkan video seks Ariel itu ialah Reza Rizaldy.

Reza pernah terbabit dalam penerbitan beberapa lagu Peterpan. - Agensi

Artis hampir ditipu

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Wilayah Persekutuan menyerbu tapak sebuah ekspo telefon bimbit murah berjaya menyelamatkan seorang artis remaja daripada ditipu sindiket menjual telefon bimbit palsu.

BARANG TIPU... anggota KPDNKK Wilayah Persekutuan menyiasat premis menjual telefon bimbit  tiruan.


BARANG TIPU... anggota KPDNKK Wilayah Persekutuan menyiasat premis menjual telefon bimbit tiruan.
Difahamkan, penyanyi dan pelakon teater terbabit, Shahila Shariff, 17, atau lebih dikenali sebagai Heela hampir diperdaya penjual di ekspo terbabit supaya membeli dua unit telefon bimbit bernilai RM1,000 yang kononnya ditawarkan pada harga murah.

Penjual di ekspo terbabit yang membuka tapak perniagaan di depan sebuah pusat beli-belah di Taman Connought, Cheras, di sini, dikatakan berjaya memujuk artis itu membeli dua unit telefon bimbit palsu jenama Nokia dan iPhone dengan tawaran ‘harga runtuh’.

Heela yang ditemui di lokasi kejadian bersama ibunya, Noriah Mat Isa, 42, berkata dia tertarik untuk membeli telefon bimbit berjenama terkemuka itu selepas dipujuk dengan tawaran harga luar biasa oleh penjual di ekspo bergerak berkenaan, petang kelmarin.

“Mereka mendakwa harga asal dua telefon bimbit terbabit boleh mencecah sehingga RM3,000 tetapi dua unit telefon bimbit itu dijual dengan harga RM1,000 saja. Namun berikutan kekurangan wang, saya hanya membayar deposit RM200 dan bersetuju membayar bakinya semalam.

“Namun sebaik datang untuk membayar baki harga telefon bimbit kira-kira jam 11.30 pagi, saya dan ibu terkejut apabila mendapati gerai menjual telefon bimbit berkenaan diserbu pegawai KPDNKK,” kata artis terbabit yang pernah membintangi teater Gamat dan Kita The Muzikal.
Menurutnya, dia cuba menuntut semula wang depositnya tetapi jurujual di gerai berkenaan enggan melayan permintaannya.

Dia yang juga bakal mengeluarkan album single bertajuk Heela terbitan komposer, Julfekar, bagaimanapun bernasib baik apabila Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, menawarkan bantuan bagi memaksa peniaga terbabit memulangkan wang mangsa.
“Ketika itu baru saya sedar telefon bimbit yang dibeli itu adalah model tiruan yang dibawa masuk ke negara ini. Telefon bimbit itu dijual murah berikutan ia mudah rosak dan menyerupai model tulen hampir 100 peratus,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem ‘Aku Tak Bodoh’ terbitan sebuah syarikat dari Singapura.

Sementara itu, Othman yang ditemui di lokasi kejadian berkata, seramai 12 pegawai KPDNKK melakukan serbuan serentak di ekspo bergerak terbabit yang dikesan menjadi lokasi menjual telefon bimbit tiruan.

Dalam operasi terbabit, 14 gerai diperiksa dengan kebanyakan peniaga di kawasan terbabit baru ingin memulakan perniagaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 139 unit telefon bimbit jenama terkenal yang dianggarkan bernilai RM100,000 berjaya dirampas daripada peniaga.

“Kami akan mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Kawalan Harga 1946 atas kesalahan menjual barangan palsu dan menjual produk tanpa meletakkan tanda harga,” katanya.

Menurutnya, rampasan itu yang terbesar tahun ini selepas melakukan 34 serbuan sama di beberapa lokasi lain sejak Januari lalu.

“Saya menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran telefon bimbit berjenama dengan harga terlalu murah kerana ia didapati mempunyai perkakas tiruan dan mudah rosak selepas beberapa hari dipakai.

“Mangsa biasanya gagal mendapatkan ganti rugi berikutan ahli sindiket akan berpindah-randah selain menggunakan alamat premis palsu,” katanya.

Operasi di hotel murah

KUALA LUMPUR: Nak cantik, tidak perlu bersusah payah. Dalam hanya 15 minit, kulit yang kendur boleh menegang. Itulah masa diambil seorang wanita yang mendakwa dirinya doktor pakar untuk mengubah wajah pelanggannya supaya lebih cantik dan menawan menggunakan suntikan botox dalam operasi di sebuah bilik hotel tiga bintang di Lembah Klang.

DEMI CANTIK... wanita berusia dalam lingkungan 30-an (baring) membiarkan Lim menyuntik wajahnya dengan botox.
DEMI CANTIK... wanita berusia dalam lingkungan 30-an (baring) membiarkan Lim menyuntik wajahnya dengan botox.
Ia bermula dengan memicit kawasan yang ingin disuntik bagi menentukan bilangan suntikan sebelum ia dibuat atas persetujuan pelanggan.

Berusia 40-an dan memperkenalkan dirinya sebagai Lim, dia mendakwa berpengalaman lebih lima tahun dan berani memberi jaminan suntikan itu berkesan dalam membuatkan seseorang itu lebih cantik dan menawan.

Wartawan Metro Ahad menemui Lim menerusi seorang lelaki lembut yang sudah lama menjadi pelanggan biarpun mulanya tidak mendapat layanan ketika mahu membuat temujanji kerana mendakwa terlalu sibuk.

Bagi meyakinkan Lim, seorang wartawan lelaki dan wanita menyamar sebagai kekasih yang ingin mencantikkan wajah, terutama bahagian hidung.

Bagaimanapun, Lim masih enggan melayani permintaan wartawan sehingga mereka menyebut nombor telefonnya diberi oleh lelaki lembut itu.
Lim yang bermastautin di Johor kemudian memaklumkan, dia akan berada di hotel itu pada hari tertentu bagi memenuhi temujanji beberapa pelanggan yang memerlukan suntikan botox.

Bagi menjamin keselamatannya, Lim meminta pasangan wartawan itu menghubungi semula sebelum jam 3.30 petang sebelum masuk ke bilik untuk pengesahan.
“Bila sampai nanti... sebelum you (kamu) nak masuk bilik, hubungi saya dulu,” kata Lim.

Sebaik saja kedua-dua wartawan memasuki bilik terbabit yang mempunyai dua katil, Lim yang memakai penutup hidung dan mulut kelihatan sibuk memberi suntikan botox di dagu dan hidung seorang pelanggan wanita berusia 30-an di atas katil.

Dengan berdebar-debar, wartawan melihat dagu dan hidung wanita terbabit disuntik dengan beberapa suntikan manakala lemak di bawah lengannya disedut dengan jarum.

Darah yang keluar disapu dengan kapas manakala wanita itu tidak menunjukkan rasa sakit, malah membiarkan Lim terus melakukan tugasnya dengan dibantu seorang pembantu wanita berusia 40-an.

Proses melakukan suntikan mudah kerana Lim hanya menyapu krim sebelum menyuntik bahagian yang perlu ditegangkan. Semuanya selesai dalam tempoh 15 minit.

Di bilik berkenaan, wartawan melihat beberapa bekas ubat-ubatan, botol cecair botox serta satu bekas jarum suntikan diletakkan pada meja solek.

Jarum suntikan botox yang sudah digunakan berselerak di tepi katil sebelum pembantu wanita yang mendakwa doktor itu mengambilnya untuk dibuang sementara di bilik air.

Selepas tugasnya selesai, Lim bertanya pasangan wartawan berkenaan mengenai kedatangan mereka.

LIM (L): You mahu buat apa?
WARTAWAN LELAKI (WL): Saya punya girlfriend mahu cantikkan muka.

L: Saya nampak you (wartawan wanita) punya hidung rendah. Boleh kasi tinggi, tiga atau empat suntikan. Nak panjang dagu pun boleh.

Seorang pondan yang turut berada di bilik itu tiba-tiba menyapa sambil memberitahu, dia membuat suntikan botox di hidung dan dagu.

“Saya buat suntikan di hidung dan dagu. Kamu tidak perlu risau, tak sakit pun. Nak cantik tak perlu takut,” katanya.

WL: Berapa harga ini suntikan?

L: Saya ada dua pakej dengan harga murah dan mahal. Murah untuk suntikan jarum pendek manakala yang mahal suntikan jarum panjang.

Lim kemudian memicit beberapa bahagian wajah wartawan wanita dan mencadangkan supaya disuntik pada dagu dan hidung.

“You panjangkan sedikit dagu, selepas itu saya akan suntik pada hidung. You perlukan lapan hingga 10 suntikan.

“Semua kos lebih kurang RM800. I bagi suntikan jarum panjang sebab boleh tahan lama. Kalau hendak murah, I bagi jarum pendek, hanya RM60 satu suntikan tetapi tidak kekal,” katanya.

Selepas mendengar penjelasan Lim, kedua-dua wartawan mulai resah berikutan terperangkap dalam bilik dan kemungkinan penyamaran mereka terbongkar.

Dalam pada itu, Lim ditanya bahan yang digunakan untuk suntikan botox, namun dia yang kelihatan terkejut hanya memberitahu supaya tidak perlu bimbang.

Lim turut memberitahu, dia menyediakan khidmat menyedut lemak.

Menakutkan apabila rawatan menyedut lemak itu dilakukan semudah kiraan satu, dua, tiga.

Boleh dilihat dengan jelas Lim membius lengan pelanggannya sebelum menyedut lemak menggunakan jarum suntikan.

Jelas kelihatan lemak seperti minyak bercampur darah dalam bekas khas yang disambung dengan jarum suntikan terbabit.

Bagi mengelak dikenakan suntikan botox, pasangan wartawan itu terpaksa memberi pelbagai alasan kepada Lim, termasuk mahu berfikir terlebih dulu kerana kos tinggi dan belum mengisi perut.

Kebetulan pula, Lim menasihatkan wartawan wanita itu mengambil sedikit makanan bagi mengelak perkara tidak diingini ketika suntikan dilakukan dan ini memberi peluang kepada wartawan untuk meninggalkan tempat itu.

Walaupun Lim ada menghubungi wartawan lelaki, namun dia dimaklumkan 'kekasihnya' takut jarum.

Bekas polis ditemui mati dikelar

JEDDAH: Polis semalam melancarkan siasatan selepas seorang bekas polis ditemui mati dengan lehernya dikelar dan 26 kesan tikaman pada tubuhnya.

Sehubungan itu, polis menahan seorang sahabat mangsa untuk disoal siasat.
Polis juga berusaha menentukan waktu sebenar mangsa mati. - Agensi

Enam bot ranap dipukul ribut

JASIN: Kira-kira enam bot milik nelayan mengalami kerosakan, termasuk empat daripadanya tenggelam, mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dalam kejadian ribut hampir empat jam di Pangkalan Nelayan Pantai Siring, Kampung Pulai, dekat sini, awal pagi semalam.
Sebelum itu, tiga bot lain yang berada di laut sempat pulang ke pangkalan, manakala sebuah sampan yang dinaiki empat orang untuk memancing terpaksa berlindung di Pulau Burung berhampiran berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Pantai Siring, Mohd Piah Hashim berkata, sebelum itu kawasan terbabit dilanda hujan dan sebaik ia berhenti angin pula bertiup kencang, menyebabkan ombak kuat berlaku akibat keadaan air pasang.

Menurutnya, ketika itu ombak kuat menghempas ke kawasan pangkalan yang menjadi tempat meletak bot, menyebabkan ia beroleng-oleng ke kiri kanan sebelum bot pertama dipercayai tenggelam bersama enjin dan jaring, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Kejadian ini kerap berlaku, terutama apabila angin barat melanda, ditambah pula keadaan air laut pasang menyebabkan ombak kuat menghempas ke pangkalan yang menempatkan bot nelayan sehingga ada antaranya tenggelam.

“Beberapa nelayan cuba menyelamatkan bot masing-masing tetapi saya melarang kerana bimbang keselamatan mereka yang berisiko terjatuh ke dalam air atau cedera berikutan keadaan ombak agak tinggi.

“Hampir empat jam juga ribut melanda sebelum ia kembali reda kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) dan nelayan terpaksa menaikkan semula lima bot yang tenggelam untuk memperbaiki kerosakan, terutama enjin,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, ini kejadian kali ketiga pada tahun ini, dan masalah berkenaan dipercayai berpunca akibat ketiadaan tembok pemecah ombak untuk menghalang kemasukan air laut ke pangkalan.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan tembok berkenaan akan dibina tahun depan selepas peruntukan untuk pembinaannya diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) selepas kawasan terbabit dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Februari lalu.

“Justeru, kita memohon pihak berkenaan mempercepatkan proses pembinaan berkenaan berikutan kejadian ribut kerap melanda kawasan ini kerana ia berada betul-betul di kuala dan terdedah kepada bencana alam,” katanya.

'Saya kena terus hidup'

KUALA LUMPUR: “Apa yang berlaku tidak perlu diungkit lagi. Saya hanya mahu terus melihat ke depan,” kata penyanyi, pelakon dan pengacara jelita, Maya Karin Roelcke, 31, kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Ali Abdullah @ Steven David Shorthose, 40.
Muhammad Ali melafazkan cerai talak satu terhadap Maya kira-kira jam 3 petang. Maya berkata, sebagai manusia dia tidak terlepas berdepan cabaran dan peristiwa duka dalam kehidupan, termasuk perceraian.

“Saya seperti manusia lain, bersedia menghadapi masa yang mungkin tak berapa elok jugalah... tapi saya kena teruskan hidup, teruskan apa yang saya buat dan beri komitmen penuh kepada bidang seni yang diceburi.

“Saya hanya mahu terus melihat ke depan. Tak guna lagi melihat ke belakang,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Sumbangan Mengecat Semula Bank Cat Dulux anjuran AkzoNobel di Pusat Jagaan Pembangunan Potensi CADS (Serebral Palsi, Autisme-ADHD, Sindrom Down — Disleksia dan Lebam) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan ICI Paints Malaysia Sdn Bhd, Goh Cheok Weng dan Pengetua Pusat Jagaan Pembangunan Potensi CADS, Azura Abdul Aziz.

Program berkenaan adalah lanjutan daripada kempen Bank Cat Dulux yang bertujuan menggalakkan masyarakat lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar dan memberi maklumat mengenai kaedah pembuangan baki cat yang betul untuk dikitar semula demi menjamin persekitaran lebih bersih.

Pusat Jagaan Pembangunan Potensi CADS adalah lokasi pertama yang dipilih untuk program berkenaan, yang mana bangunan pusat jagaan itu dicat semula menggunakan baki cat yang disumbangkan orang ramai untuk kempen Bank Cat Dulux.

Selepas ini kempen berkenaan akan diteruskan di tiga lokasi lagi iaitu Rumah Kanak-kanan Sinar Suria, Temerloh, Pahang, Children Protection Society Penang dan The Spastic Children’s Associaton Of Johore.

Maya yang juga duta cat Dulux berkata, dia berdepan peristiwa pahit perceraiannya dengan tenang dan beroleh kekuatan selepas mendapat sokongan pelbagai pihak.

“Sokongan keluarga, rakan serta ramai lagi di luar sana yang saya kenali menguatkan lagi semangat saya. Ada yang berjumpa dan menghantar SMS kepada pengurus (memberi kata-kata semangat) ketika berdepan situasi begini,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai hal berkaitan perceraiannya seperti kata-kata terakhir bekas suami dan perasaannya ketika diceraikan, Maya enggan mengulas kerana mahu ia menjadi rahsia kedua-duanya, apatah lagi mereka berjanji merahsiakannya.

“Saya minta maaf kepada wartawan dan peminat kerana saya tidak akan kongsi hal peribadi (berkaitan perceraian). Tak perlu kita ungkit lagi hal (perceraian) itu,” katanya yang kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum sepanjang majlis.

Ketika ditanya sama ada dia sudah serik dengan perkahwinan, Maya berkata, belum masanya untuk dia membicarakan perkara itu.

Selepas selesai program berkenaan, Maya memberitahu dia akan ke Langkawi tetapi bukan untuk membawa hati yang lara, sebaliknya menjalani penggambaran filem ‘Ombak Rindu’.

“Hidup mesti diteruskan,” katanya.

Seorang maut apabila kereta bertembung bas

KOTA TINGGI: Pembantu Rendah Awam di Taman Bunga Kerajaan Istana Johor, Johor Bahru, Mohd Syairani Mohd Salleh, 25, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 3, malam semalam.
Dalam kejadian jam 9.50 malam, mangsa memandu kereta jenis Proton BLM bersendirian sebelum bertembung dengan bas kilang terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kemalangan berlaku di lokasi menuruni bukit di sana dan akibatnya, mangsa tersepit dan dipercayai mati di tempat kejadian.

“Pemandu bas berusia 39 tahun dan berasal dari Felda Air Tawar 4 pula tidak cedera dan ketika itu dia juga memandu berseorangan,” katanya.

Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kuarters Kerajaan Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, dalam perjalanan dari arah Rengit dan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa memotong kenderaan itu untuk mengeluarkan mayatnya.

Polis Selangor rampas dadah bernilai RM30 juta sejak Januari lalu

KUALA LUMPUR:Sejak Januari lepas sehingga kini polis Selangor merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM30 juta yang cuba diseludup masuk menerusi negeri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, seramai 55 warga asing termasuk dari Iran, Singapura, China dan India juga diberkas kerana cuba menyeludup masuk dadah menerusi pintu masuk sekitar Selangor.
"Dadah yang dirampas termasuk ketamin, kokain dan syabu yang kita anggar berat keseluruhan kira-kira 90 kilogram. Warga asing yang diberkas pula berumur antara 20 dan 40 tahun. Tiga daripada mereka adalah wanita iaitu masing-masing dari Iran, Jepun dan China," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Nordin berkata, pihaknya kini giat melakukan pemantauan di semua pintu masuk di negeri itu termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah dan Pelabuhan Klang.

"Kami juga mengesan pelbagai jenis taktik yang dilakukan untuk membawa masuk dadah ke negara ini, antaranya di dalam tangkai beg, botol spray, dalam minyak rambut, bungkusan makanan dan yang terbaru menggunakan ketuhar 'microwave'," katanya.

Kaedah terbaru itu dikesan pada 9 Julai lalu apabila polis menahan seorang lelaki warga Iran berusia 27 tahun di KLIA, ketika cuba menyeludup masuk dadah disyaki syabu seberat 4.15kg bernilai RM1.04 juta menerusi peralatan dapur itu. -Bernama

Tiga warganegara Indonesia dihukum gantung kerana edar dadah

ALOR STAR: Tiga warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,858.6 gram ganja di Sungai Petani dekat sini, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes itu menimbulkan keraguan munasabah.

Amri Alamsyah, 41, Iskandar Ibrahim, 33, dan Muhammadiah Hasan, 31, dituduh mengedar dadah di hadapan kedai Chin Hin Motor Sdn Bhd, No. 10, Jalan Kampung Baru, Sungai Petani dekat sini, pada 2.30 petang, 6 April 2005.

Semua tertuduh yang berasal dari Aceh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, Rafidi Mohamad berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim.-Bernama

Pencuri didakwa bayar ikat jamin guna wang palsu


NEW YORK - Seorang suspek kes kecurian di Cinnaminson, New Jersey ditahan polis Amerika Syarikat (AS) kelmarin selepas didapati cuba hendak menuntut baki wang ikat jamin yang dibayar sebanyak AS$200 (RM640) dengan menggunakan wang palsu.
Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas 7 Julai lalu kerana kes curi kecil di sebuah pasar raya di sini dan membayar AS$400 (RM1,280) sebagai ikat jamin juga dengan menggunakan wang palsu sebelum menyedari yang dia sebenarnya terlebih bayar.
Namun, ketika datang semula untuk menuntut baki ikat jamin itu, polis segera menahannya atas tuduhan memiliki wang palsu dan dia kali ini terpaksa meringkuk di lokap apabila dikenakan ikat jamin lebih tinggi iaitu AS$5,000 (RM16,022). - AP

Hilton ditahan bawa dadah dalam tas tangan




PARIS - Polis Perancis semalam mengesahkan penahanan selebriti terkenal Amerika Syarikat, Paris Hilton (gambar) di pulau peranginan Corsica selepas menemui kurang satu gram dadah jenis kanabis di dalam tas tangan wanita itu kelmarin.
Akhbar negara itu melaporkan, Hilton mendarat di lapangan terbang Figari dengan menaiki sebuah jet peribadi bersama seseorang yang rapat dengan pemimpin politik dan dijadual menaiki bot mewah untuk belayar ke Pulau Sardinia, Itali.
Aktres berusia 29 tahun itu mencetus kontroversi apabila ditahan polis Afrika Selatan sebelum dibebaskan kemudian setelah seorang rakannya ditemui memiliki dadah ketika mereka berparti sempena temasya Piala Dunia 2010 pada 3 Julai lalu.
Cicit kepada pengasas rangkaian Hotel Hilton itu pernah menggemparkan dunia hiburan pada 2003 apabila seorang teman lelakinya didakwa membocorkan rakaman video memaparkan adegan seks mereka menerusi laman Internet. - Agensi

Tidak sempat jual dua budak



DUA wanita adik-beradik yang dipercayai terbabit dengan sindiket memperdagangkan bayi ditahan reman di Kuching semalam.


KUCHING - Polis Sarawak berjaya menyelamatkan dua lagi kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun serta menahan dua adik-beradik perempuan warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penjualan bayi di sini.
Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa dekat sini pada pukul 5.30 petang kelmarin, polis menemui seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dan kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual di sini.
Selain itu, dua beradik perempuan warga Indonesia berusia 22 dan 19 tahun yang ditahan itu dipercayai penjaga kepada dua kanak-kanak tersebut.
Majistret Mahkamah Kuching, Iris Awen Jon memerintahkan dua beradik tersebut ditahan reman selama enam hari bermula semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Huzir Mohamad berkata, sehingga semalam, polis telah menahan reman 14 suspek termasuk pasangan bergelar Datuk dan Datin yang berusia 65 dan 43 tahun.
Katanya, polis berjaya menyelamatkan tiga bayi dan lima kanak-kanak yang berusia antara satu bulan hingga 12 tahun yang kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tiga maut kereta bertembung



SATRIA Neo yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7.2 Jalan Linggi-Rantau semalam.


PORT DICKSON - Tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala empat lagi parah dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua buah kereta di Kilometer 7.2, Jalan Linggi-Rantau di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang itu, pasangan suami isteri, Ibrahim Bachik, 68, dan Zainab Long, 64, maut selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Proton Satria Neo yang dipandu Mohd. Khalid Ibrahim, 55, yang turut maut.
Kejadian tersebut turut menyebabkan isteri Khalid, Rosella Abdullah, 40, dan dua anak serta seorang menantu mereka cedera parah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga yang menghala ke Linggi cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan kereta Proton Satria Neo.
"Ibrahim dan Zainab maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala pemandu Proton Satria Neo pula meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban," katanya.
Kata Baljeet, tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah ialah Nor Mohd. Fadli Mohd. Khalid, 24, Norashima Yahya, 20, dan Hazlijam Md. Hashim, 25. Semua mereka kini dirawat di HTJ.

Kastam rampas 3,256 bungkus rokok


JANATAN Kadok (tengah) memeriksa rokok yang dirampas Kastam dalam operasi khas di sekitar daerah Papar, kelmarin.


KOTA KINABALU 17 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 3,256 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM40,000 termasuk cukai dalam satu operasi khas di sekitar daerah Papar kelmarin.
Pemangku Pengarah JKDM negeri, Janatan Kadok berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan empat orang termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan rokok belum lulus Kastam itu.
"Operasi selama enam jam itu melibatkan 10 anggota diadakan di sekitar pekan Papar, Kampung Suriati dan Kampung Ambawa.
"Sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berisi rokok belum diluluskan Kastam turut dirampas di dalam operasi tersebut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JKDM Sabah di sini semalam.
Menurutnya, kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke ibu pejabat JKDM negeri untuk siasatan lanjut.
Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, beliau berharap orang ramai terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya mengenai aktiviti penyeludupan di negeri ini.
Mereka yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi JKDM Sabah di talian 088-233251 atau talian bebas tol 1-800-88-8855, katanya.

Mangsa ribut dipindah meningkat


KANGAR 17 Julai - Jumlah mangsa ribut yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini meningkat kepada 77 orang berbanding 20 orang semalam selepas kejadian petang kelmarin.
Mangsa bencana alam itu adalah daripada 19 keluarga, berbanding cuma 20 orang dari empat keluarga yang mendiami pusat berkenaan selepas rumah mereka di Taman Seberang Jaya dilanda ribut kira-kira pukul 4.15 petang.
Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, mereka tinggal di sini mulai semalam apabila rumah masing-masing rosak teruk terutama di bahagian bumbung dan dinding.
"Di peringkat awal mereka menumpang di rumah jiran dan keluarga terdekat. Kami masih meneruskan bancian berhubung kerosakan rumah mangsa," katanya ketika ditemui di pusat berkenaan malam tadi
Ribut itu menyebabkan 146 rumah rosak iaitu 68 di Taman Seberang Jaya, 26 di Kampung Seberang Alor, dua di Kampung Pulau Ketam dan masing-masing satu di Taman Bukit Kubu, Kampung Belakang Kilang dan Kampung Padang Cina serta 47 rumah yang didiami 147 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu turut menemui mangsa- mangsa ribut di pusat berkenaan malam tadi.

Norman KRU 'mengamuk'


NORMAN Abdul Halim (kiri) memeriksa DVD dan VCD di Pasar malam Taman Selayang Indah, Kuala Lumpur, semalam.Gambar - Muhd Izani Jamaludin


KUALA LUMPUR 17 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim bertindak nekad melakukan 'amukan' di pasar malam Taman Selayang Indah di sini petang ini untuk merampas filem keluaran dan edaran syarikatnya yang dicetak rompak dan dijual.
Serbuan pada 7 petang itu dilakukan Norman bersama sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Gombak.
Hasilnya, Norman berjaya menemui dua gerai yang menjual lebih 2,000 keping cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD) cetak rompak termasuk keluaran syarikatnya.
Seperti disangka pelbagai filem dan lagu edaran dan keluaran pelbagai syarikat tempatan ditemui.
Terkejut melihat tindakan Norman yang merupakan seorang artis terkenal, penjual cakera cetak rompak itu cuba meraih simpati dengan pelbagai cerita sedih bagi menutup kesalahan mereka.
Namun bagi memperjuangkan periuk nasi golongan artis, Norman menyerahkan perkara itu kepada penguat kuasa KPDNKK untuk tindakan lanjut.
Norman sebelum itu berkata, serbuan terpaksa dilakukan selepas tinjauan syarikatnya mendapati keluaran DVD filem syarikatnya yang dijual dengan harga RM9.90 iaitu My Spy danDisco Worms sejak Mei lalu, juga telah dicetak rompak.
"KRU Studios cuba membantu peniaga pasar malam dengan memperkenalkan dua filem yang murah tetapi mereka masih berdegil dan mahu menjualkan yang cetak rompak. Mereka menjual pada harga RM7 hingga RM8.
"Tidak cukup dengan itu, dalam tinjauan tersebut empat pengedar kami turut dibelasah sekumpulan empat lelaki sehingga cedera," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Norman menambah, akibat kegiatan cetak rompak itu syarikatnya kini menanggung kerugian apabila sebanyak 15,000 daripada 20,000 keping DVD yang dicetak gagal dijual di pasar malam seperti yang disasar.
Sementara itu Ketua KPDNKK Cawangan Gombak, Ramli Nayan berkata, berikutan serbuan dua peniaga terdiri daripada lelaki dan perempuan berusia 38 dan 52 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut.

Akhbar Britain, AS lapor skandal Peterporn


JAKARTA 17 Julai - Suspek wanita dalam skandal video lucah Ariel Peterpan - Luna Maya dan Cut Tari perlu melapor diri setiap hari Isnin dan Khamis di Ibu Pebajat Polis Jakarta sepanjang proses soal siasat dijalankan.
Jurucakap polis kebangsaan, Mejar Jeneral Edward Aritonang berkata, kedua-dua model tersebut perlu melapor diri di ibu pejabat polis dan tidak dibenarkan meninggalkan Indonesia.
Sementara itu, skandal seks melibatkan tiga artis terkenal Indonesia itu turut mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar Britain hari ini selepas dilaporkan media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Akhbar Daily Mail dalam satu laporannya memberi tajuk 'Di mana anda tidak boleh merakam video seks : Bintang pop berhadapan hukuman penjara 12 tahun kerana melanggar undang-undang lucah di negara Islam Indonesia'. - Agensi
Akhbar harian terkemuka The Times dan akhbar Metro menulis satu artikel bertajuk Bintang pop Indonesia ditahan polis berhubung skandal video seks.
Akhbar-akhbar terbabit turut memaparkan gambar Ariel bersama kekasihnya, Luna. - Agensi

Lagi janin ditemui


SUBANG JAYA 17 Julai - Kes pembuangan bayi bagai tidak berkesudahan apabila hari ini satu lagi janin yang cukup sifat ditemui ditanam di bahu jalan dekat Bandar Puteri Puchong, di sini.
Janin dipercayai berusia empat bulan yang ditanam oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu ditemui oleh seorang penyelia pemotong rumput yang ingin membersihkan kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, curiga dengan timbunan batu yang masih baru di situ, saksi kemudiannya mengalihkan batu-batu tersebut sebelum melihat kesan tanah dikorek.
Katanya, penyelia terbabit segera menghubungi polis kira-kira pukul 5.30 petang dan sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pihaknya menemui janin bayi perempuan yang cukup sifat.
"Janin itu dibalut dengan kain putih dan dipercayai baru ditanam di kawasan itu 24 jam selepas digugurkan.
"Kita juga percaya, suspek menggugurkan janin itu secara paksa sebelum menanamnya di situ," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Tambah Abd. Razak, janin bayi perempuan itu akan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Beliau meminta hospital dan klinik swasta serta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-89484822 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Polis selamatkan 2 kanak-kanak




DUA wanita adik-beradik yang disyaki terbabit dengan sindiket perdagangan dibawa ke Balai Polis Sentral Kuching selepas dikenakan perintah tahanan reman di Kuching, semalam.




KUCHING 17 Julai - Polis negeri ini berjaya menyelamatkan dua lagi kanak- kanak berusia tiga dan empat tahun daripada sindiket pemerdagangan ekoran penahanan dua wanita warga Indonesia, di Batu Kawa, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayahnya, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, penahanan dua beradik tersebut menjadikan jumlah mereka yang ditahan untuk kes itu, kini berjumlah 14 orang.
Kesemua yang ditahan itu termasuklah seorang lelaki bergelar Datuk serta isterinya. Polis turut menyelamatkan semuanya tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia sebulan hingga 14 tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan dan lelaki yang berusia tiga dan empat tahun itu ditemui dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 5.30 petang.
"Dua wanita Indonesia berusia 19 dan 22 tahun ditahan ketika sedang menjaga kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Majistret Mahkamah Kuching, Iris Awen Jon memerintahkan dua beradik tersebut ditahan reman selama enam hari, bermula hari ini untuk siasatan sindiket memperdagangkan bayi.
Sindiket penjualan bayi di bandar raya ini terbongkar pada Isnin lalu apabila polis menahan seorang wanita rakyat asing dalam serbuan di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) pada malam tersebut.
Wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas meminta wang RM10,000 daripada seorang anggota polis yang menyamar sebagai pembeli.
Ekoran kejayaan tersebut, polis menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 23 hari.
Susulan tangkapan itu juga, seramai lapan individu diberkas sebelum dikenakan perintah tahanan reman selama enam hari.
Dalam serbuan susulan di kawasan sama, polis menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 27 hari, bayi lelaki berusia tujuh bulan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 11 bulan.
Pada malam 15 Julai pula, polis telah menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri dan pemandu ahli perniagaan bergelar Datuk di lokasi berasingan di Kampung Patingan, Kampung Kudei dan Jalan Chawan antara pukul 9 hingga 11 malam.
Keempat-empat suspek itu kemudian dikenakan perintah reman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah petang semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi lelaki berusia 40-an diberkas di Bandar Baru Batu Kawa dekat sini, petang tadi berkaitan kes yang sama.
Siasatan terhadap kesemua 15 mereka yang ditahan itu dibuat mengikut Seksyen 41 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Saluran paip minyak meletup di China


BEIJING 17 Julai - Satu saluran minyak di sebuah pelabuhan China yang sibuk meletup malam tadi mengakibatkan kebakaran besar selama 15 jam sebelum ia berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Media negara melaporkan lebih 2,000 anggota bomba berusaha mengawal api daripada merebak dan menyebabkan saluran minyak lain meletup.
Stesen China Central Television merakamkan api marak dari tangki-tangki minyak di pelabuhan tersebut di utara bandar Dalian, dan media melaporkan api marak mencecah 30 meter.
Punca letupan masih belum dikenal pasti.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, letupan itu berlaku selepas satu lori tangki memindahkan minyak di pelabuhan tersebut, tetapi lori tangki itu sempat meninggalkan kawasan pelabuhan sebelum letupan berlaku.
Seorang jurucakap jabatan bomba bandar yang dipetik Xinhua berkata, beberapa percikan api masih boleh dilihat pagi ini.
Radio Kebangsaan China melaporkan, pegawai sedang menimbang untuk memindahkan penduduk dari 600 buah rumah berhampiran.
Saluran minyak tersebut dimiliki syarikat China National Petroleum Corp., yang juga pengeluar minyak dan gas terbesar Asia berdasarkan isi padu. - AP

Korban Conson di Filipina 53 orang


MANILA 17 Julai - Angka korban taufan Conson di Filipina meningkat kepada 53 orang hari ini, dan ia dijangka meningkat berikutan masih ramai yang dilaporkan hilang beberapa hari selepas bencana tersebut melanda.
Jurucakap tentera wilayah, Mejar Harold Cabunoc berkata, seramai 43 termasuk nelayan masih hilang di perairan tenggara Manila.
Katanya, helikopter tentera udara dan pesawat tentera laut sedang menjalankan operasi di laut bagi mengesan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga nelayan dijumpai selamat dan dibawa ke darat oleh bot nelayan lain di perairan wilayah Bicol, selepas bot mereka musnah dipukul ombak akibat Conson.
Majlis Penyelaras Bencana Kebangsaan hari ini meningkatkan jumlah korban kepada 53 berbanding 39 semalam apabila pengawal pantai menemui lebih banyak mayat di Teluk Manila dan perairan Bicol.
Seramai 85 lagi turut dilaporkan hilang.
Sementara itu, dua maut di China apabila taufan Conson melanda tenggara pulau Hainan malam tadi selain menumbangkan pokok-pokok dan tiang elektrik.
Pusat Cuaca Kebangsaan China melaporkan, taufan itu berubah kepada ribut tropika dan kini menuju ke utara Vietnam. - AFP

Suspek bom masjid ditahan




Seorang ulama Iran (tengah) mengetuai sembahyang jenazah mangsa-mangsa yang terbunuh dalam dua kejadian serangan bom berani mati ke atas sebuah masjid Syiah di bandar Zahedan, semalam. - AFP




TEHERAN 17 Julai - Polis Iran hari ini menahan 40 individu ketika upacara pengebumian mangsa serangan bom berani mati di sebuah masjid di tenggara bandar Zahedan, semalam.
Penolong Ketua Polis Iran, Jeneral Ahmad Reza Radan memberitahu agensi berita Fars, suspek-suspek yang ditahan 'berniat mencetuskan keadaan tidak selamat di Zahedan selepas melakukan pengeboman'.
Beliau berkata, keadaan di bandar itu kini selamat selepas insiden semalam yang mengorbankan 27 orang termasuk dua anggota polis dan mencederakan 270 yang lain.
Kumpulan pemberontak Jundollah semalam mengaku melakukan serangan itu bagi menuntut bela atas kematian pemimpinnya.
Beribu-ribu orang hadir pada upacara pengebumian mangsa-mangsa terbabit hari ini sambil melaungkan 'kematian untuk pengganas' dan 'matilah bersama Amerika Syarikat (AS)'.
Iran menuduh AS dan Britain menyokong Jundollah dalam usaha melemahkan kerajaan Iran, satu dakwaan yang disangkal kedua-dua negara itu.
Sementara itu, Presiden Barack Obama semalam turut mengutuk serangan tersebut. - AP

'Sultan Melaka' nafi terlibat tipu 150




'GOMBAK – Lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Melaka Raja Noor Jan Shah menafikan beliau menipu lebih 150 pelabur asing di sebuah majlis di Bandar Puteri, Serdang. 

Katanya, beliau hadir sebagai memenuhi undangan rakannya, Datuk Seri Steven Leow Yuan Loi, yang juga Pengarah IP, untuk merasmikan syarikat. 

Menurutnya, kereta mewah Rolls Royce bernilai RM2.85 juta yang tertera namanya itu hanyalah gimik pada majlis pelancaran itu dan menganggap ia satu penghargaan yang besar daripada peminat Sultan Melaka sendiri. 

Katanya, kemungkinan besar juga Steven mempunyai salasilah kerajaan China yang pernah berdagang ke Melaka dan bersedia diajak ke negara itu bagi membongkar dan menambahkan fakta mengenai hubungan Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan itu. 

“Kereta itu hanya sebagai gimik untuk pelancaran majlis tersebut dan saya menghargai apa yang telah dilakukan Steven. 

“Kereta itu saya tidak dapat dan tidak terima langsung. Saya rasa sedikit kesal dengan pihak media yang menulis fakta yang salah. Namun saya belum terfikir untuk mengambil tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media di Balai Seri Melaka, Pusat Bandar Seri Gombak di sini, semalam. 

Kelmarin, polis peronda menahan sebuah kereta jenis Rolls-Royce yang menggunakan nombor pendaftaran 'Raja Kesultanan Melaka Darul Islam' yang kononnya didakwa digunakan sebagai umpan untuk menarik pelabur asing dalam sebuah majlis di Bandar Puteri, Serdang. 

Dalam pertemuan itu ‘Sultan Melaka’ berkenaan turut kesal dengan pihak terbabit yang masih mendiamkan diri dari menegakkan kebenaran bahawa dia adalah waris Kesultanan Melayu Melaka. 

“Sudah lima tahun isu ini dipandang sepi dan didiamkan sedangkan daripada 2005 kita telah hantar salasilah keturunan kepada pihak berkenaan. 

“Tahun ini juga kita turut menghantar bukti salasilah keturunan kepada Sultan Kedah, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong agar kesasihahan ini dapat diterima dan tidak dibantah,” katanya.