Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Penunggang mati rempuh lori

BANGI: Seorang lelaki maut manakala rakannya koma selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah lori dua tan yang berhenti di Kilometer 291.9 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran susur ke Bukit Mahkota di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal melambung ke atas jalan raya sebelum seorang daripada mereka maut akibat parah di kepala manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
Sumber polis berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke arah Seremban.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa tidak sempat menghentikan motosikalnya sebelum merempuh belakang lori yang membawa penuh peralatan dapur dari arah Balakong, Selangor menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.

“Beberapa minit sebelum kejadian, pemandu lori terbabit mendakwa mengalami masalah pada bahagian gear sebelum dia berhenti di bahu lebuh raya. Namun, pemandu terbabit yang masih berada di dalam lori terkejut apabila terdengar bunyi hentakan pada belakang lori sebelum melihat dua lelaki tercampak ke atas jalan.

“Muhammad Azrul Yusor, 21, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Amirul Azhar Abd Rahim, 20, cedera parah dan kini tidak sedarkan diri,” katanya.

Tiga ambulans dari Hospital Serdang, Seremban dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang manakala rakannya yang cedera parah dihantar ke HTJ. “Setakat ini, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal turut maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Beranang, Lebuh raya Kajang Seremban (LEKAS), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an dirempuh kereta berkenaan yang dipercayai dipandu laju menuju ke arah Kajang.

Maya Karin sah bercerai

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan model jelita, Maya Karin sah bercerai talak satu secara rasmi dengan suaminya, Muhammad Ali Abdullah, biarpun mahkamah baru mengesahkan perkahwinan mereka di luar negara pada 7 Julai lalu.

MUHAMMAD ALI...sedia terima   kemungkinan.
MUHAMMAD ALI...sedia terima kemungkinan.


Prosiding perceraian pasangan itu dilakukan di Mahkamah Syariah di sini, petang semalam. Muhammad atau Steven David Shorthose, 40, melafazkan talak satu dengan kebenaran mahkamah terhadap Maya, 31.

“Saya hanya boleh sahkan mereka sudah bercerai talak satu petang ini (semalam),” kata sumber terdekat pasangan itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pasangan itu diijabkabulkan pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali dan pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan pernikahan mereka.

Peguam syarie Maya, Nor Husniah Hussin ketika itu dilaporkan media berkata Maya tidak didenda dan pasangan itu cuba menyelesaikan kes merkea secara baik.

Bagaimanapun, Maya mahu pun suaminya membisu dan enggan mengulas berhubung kes mereka apabila ditanya wartawan sebaik keluar dari mahkamah.
Bagaimanapun, Muhammad Ali sempat memberitahu dia sedia menerima sebarang kemungkinan yang dilakukan Maya selepas ini.

Maya diasak pelbagai soalan tetapi dengan tenang menjelaskan dia tidak dapat memberikan sebarang komen kerana masih tidak bersedia sambil memohon maaf kepada media yang hadir.
“Macam biasa saya tidak bersedia memberikan sebarang komen. Minta maaf sangat lebih baik saya tutup mulut,” katanya.

Tipu sunnah

KUALA LUMPUR: Dia amat dihormati sebagai guru agama, penceramah bebas dan pemilik pusat tahfiz, namun di sebalik semua itu dia menjadi igauan ngeri buat tiga isterinya berikutan kerakusan amalan seksnya yang melampau iaitu melakukannya serentak dengan ketiga-tiga isteri.
Lebih mengaibkan, guru tahfiz berusia lewat 50-an terbabit tergamak mengeluarkan dakyah palsu kononnya amalan itu sunnah nabi dan mendakwa kononnya Rasulullah turut melakukan perkara sama dalam berpoligami.

Perlakuan aib dan menjijikkan guru tahfiz itu didedahkan dua bekas isterinya selepas kedua-duanya sebelum ini minta diceraikan selepas tidak sanggup diperlakukan demikian, selain tidak mahu terus menerus melakukan dosa.

Seorang daripada wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Suzila, 37, berkata amalan luar biasa bekas suaminya itu bukan saja menyebabkan dia sangat malu terhadap diri dan Tuhan, malah kepada pelajar tahfiz kendalian suaminya.

Suzila, seorang ustazah dan bekas isteri kedua lelaki itu berkata, tempoh perkahwinannya tiga tahun episod hitam dalam hidupnya yang dijanji akan diajar pengetahuan agama lebih mendalam oleh bekas suaminya.

“Selepas berkahwin saya dibawa ke Mesir untuk menjaga pusat tahfiz milik suami. Rupa-rupanya di sana dia mempunyai isteri lain. Saya terpaksa melayan kehendak suami dan merelakan diri diperlaku tidak ubah seperti aksi filem lucah.
“Tidak tahan menanggung derita mental dan fizikal, saya nekad lari membawa tiga anak dengan bekas suami pertama kembali ke tanah air tahun lalu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu juga diambil selepas beberapa pelajar tahfiz di sana menasihatkannya supaya pulang ke tanah air kerana perbuatan keji itu menjadi buah mulut di kalangan mereka.
Suzila berkata, selepas kembali ke Malaysia, dia dimaklumkan beberapa pusat tahfiz milik bekas suaminya di negara ini ditutup apabila dikesan melakukan penipuan, manakala pusat di Mesir pula beroperasi secara haram kerana tidak berdaftar.

Katanya, satu lagi salah laku bekas suaminya ialah mengarahkan semua isteri barunya selain isteri pertama mengambil suntikan pencegah kehamilan kerana dia tidak mahukan anak.

Bekas isteri ketiga ustaz terlampau yang hanya mahu dikenali sebagai Ariana pula berkata, dia mengahwini bekas suaminya itu dengan niat mendapat bimbingan agama dan menjadikan lima anaknya dengan suami pertama seorang tahfiz.

“Saya tidak mengenalinya, tapi apabila dipinang isteri pertamanya dan dimaklumkan latar belakang suami yang mempunyai ilmu agama tinggi, saya sanggup jadi isteri ketiga demi menjamin masa depan lima anak saya,” katanya.

Ariana berkata, dia sanggup meninggalkan perniagaannya demi mengikut guru tahfiz itu ke utara tanah air dan menjaga pusat tahfiz di sana.

Bagaimanapun, katanya, pada malam pertama perkahwinan dia terkejut apabila isteri pertama berada dalam bilik tidur sebelum mereka bersama-sama melayan suami. Lebih menghairankan dia mendakwa madunya itu turut seronok dan begitu ghairah melakukannya.

“Saya hairan dan jijik dengan sikap mereka berdua, tapi apabila saya mempersoalkannya, bekas suami memberitahu ‘nabi pun lakukan perkara sama’. Saya mengatakan tidak pernah dengar atau terbaca dalil mengenai perkara itu.

“Namun, bekas suami mengatakan hanya orang terpilih seperti dirinya mendapat dalil itu dan saya jahil sebab itu tidak pernah mengetahui dalil itu. Saya terpaksa merelakan diri diperlakukan seperti itu. Bila menentang, saya dituduh tidak taatkan suami,” katanya.

Selain itu, Ariana mendakwa sepanjang berkahwin lebih setahun, bekas suaminya itu hanya memberi wang nafkah RM200 sebulan menyebabkan dia bersama anak ada kalanya terpaksa menahan lapar.

Berikutan sudah tidak sanggup bersubahat dengan perbuatan suaminya yang dianggap menghina Rasulullah, Ariana menuntut cerai pada bulan lalu.
“Namun, sebelum bercerai saya terpaksa mencari seorang lagi wanita untuk dijadikan isterinya dan kini saya tidak mengetahui berapa ramai isterinya,” katanya.

Siswi rempuh, cekup peragut

SHAH ALAM: Tindakan berani pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM), memecut laju motosikalnya sejurus diragut bukan saja berjaya menangkap penjenayah terbabit, malah membantu polis menyelesaikan beberapa kes berkaitan ragut dan samun di sekitar daerah ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 23 tahun, menunggang motosikal menghadiri kuliah sebelum motosikalnya diekori seorang lelaki.

Sebaik tiba di Persiaran Raja Mud, motosikal ditungganginya dipintas penjenayah yang kemudian menyambar beg tangan yang diletak dalam bakul sebelum memecut laju motosikalnya menuju Seksyen 3.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa dengan berani mengejar penjenayah itu sejauh 1.5 kilometer hingga ke Jalan Jati, Seksyen 3, sebelum melanggar lelaki itu berdekatan satu pusingan U.

“Akibat rempuhan itu, mangsa dan suspek terjatuh dari motosikal masing-masing sebelum penjenayah terbabit yang cedera ringan cuba melarikan diri.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan jeritannya didengar dua pegawai polis yang kebetulan berada di restoran berhampiran sebelum mereka bersama orang ramai mengejar penjenayah dan menahannya,” katanya.

Mangsa turut cedera ringan akibat terjatuh dari motosikal menerima rawatan di klinik berdekatan sebelum membuat laporan polis manakala beg tangannya ditemui semula.

Noor Azam berkata, berdasarkan pemeriksaan rekod jenayah, suspek berusia lewat 30-an dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di daerah ini mempunyai lima rekod dadah.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis menyelesaikan lima kes ragut di daerah ini. Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai berhati-hati dan jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada penjenayah melakukan kerja jahat mereka.

“Saya harap orang ramai terutama wanita membawa beg tangan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pelancong Singapura maut kemalangan

IPOH: Seorang pelancong Singapura terbunuh, manakala lapan yang lain cedera apabila van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 248.7 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pagi ini.
Mangsa yang mati itu dikenali sebagai Benny Goh, 63.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar," kata Ketua Polis Trafik Perak, Superintendan Wan Abdullah Ishak.

Beliau berkata, mangsa yang cedera pula terdiri daripada tiga wanita dan empat lelaki termasuk pemandu van berkenaan.

Tiga daripada mereka dirawat di Hospital Permaisuri Bainun manakala empat lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.

Wan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi ketika mereka dalam perjalanan dari Butterworth menuju Cameron Highlands apabila van itu dikatakan terbabas sebelum merempuh penghadang lebuh raya.

Mangsa tersepit di dalam van dan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

-Bernama

Tilam kitar semula



JENGKA 21 – Kekecewaan seorang warga emas apabila tilam yang dibeli lebih tiga tahun lalu bukan sahaja tidak dapat digunakan malah mendatangkan kecederaan kepada ahli keluarga akhirnya terbongkar. 

Warga emas, Zainab Zakaria, 62, berkata, dia membeli set kelengkapan bilik tidur iaitu almari, tilam dan katil itu tiga tahun lalu sempena majlis perkahwinan anaknya tiga tahun lalu.
Menurutnya, kesemua barangan itu dibeli di sebuah kedai perabot di bandar Jengka dengan harga lebih RM1000 dan membayar dengan ansuran bulanan. 

“Pada mulanya kami tidak nampak apa-apa yang tidak kena pada tilam itu melainkan ia agak berat jika mahu dibandingkan dengan tilam span biasa yang dibeli di kedai-kedai biasa di sini. 

“Saya tidak mampu hendak mengangkat tilam itu seorang melainkan dengan bantuan anak namun itu juga dirasakan agak berat,” katanya. 

Zainab berkata, selain berat, anaknya juga tidak dapat menggunakan tilam itu apabila merasa sakit seolah-olah objek tajam mencucuk badannya apabila berbaring di atas tilam itu. 
“Anak saya ternampak ada objek hitam terkeluar daripada tilam yang terkoyak lalu menariknya dan mendapati objek berkenaan adalah getah tiub cermin kereta yang dicerai-ceraikan untuk dijadikan tilam,” katanya. 

Menurutnya, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk menggunting kain yang membalut tilam itu untuk mengetahui apa kandungan sebenar tilam itu sehingga menyebabkan anaknya tidak boleh menggunakan tilam itu. 

“Kami sekeluarga terkejut apabila menemui pelbagai barangan kitar semula yang dimampatkan dan dijadikan tilam sebelum dilapiskan dengan span dan dibalut kain, Dari luar nampak tilam tersebut sempurna namun tidak boleh digunakan.

“Kami tidak kisah sekiranya tilam itu daripada bahan kitar semula namun kecewa apabila barangan yang digunakan tidak sesuai sehingga mendatangkan kecederaan kepada pengguna seperti saya,” katanya kepada Sinar Harian. 

Zainab berkata, dia kecewa dam merasa tertipu apabila membeli barangan namun tidak dapat digunakan dan mendatangkan kerugian kepadanya sekeluarga. 
“Malah keluarga menantu saya juga turut menghadapi masalah yang sama apabila tilam yang dibeli mereka hanya berisi kotak kitar semula yang susun dan dimampatkan sebelum dilapis dengan span,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya dia berharap pihak berkuasa memantau masalah ini untuk elak pengguna lain tidak teraniaya. 

“Saya pernah memaklumkan kepada kedai di mana tempat saya membeli tilam ini namun dimaklumkan mereka juga tidak mengetahui masalah itu kerana mengambil tilam itu dari kilang. 

“Diharapkan pihak berkenaan memantau kilang-kilang pembuatan tilam kitar semula ini supaya pengguna lain tidak menerima nasib yang sama” katanya kepada Sinar Harian.

Dua jam,187 saman



KUALA KRAI - Sebanyak 187 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi selama dua jam yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Kontinjen Trafik Bukit Aman di Kilometer 95, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, di sini, kelmarin. 

Ketua Penguatkuasa Kontinjen Trafik Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Hock Tho berkata, tumpuan operasi dengan kerjasama Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai itu adalah terhadap kesalahan had laju, memotong di garisan berkembar dan muatan berbahaya. 

Menurutnya, selain tiga kesalahan tersebut yang paling ketara mengundang kepada kemalangan, saman turut dikeluarkan atas kesalahan lain seperti tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kenderaan. 

”Antara saman dikeluarkan melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju (160 saman), memotong garisan berkembar (7 saman), muatan bahaya (5 saman), tiada lesen memandu (3 saman) dan pelbagai kesalahan trafik,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi, dekat sini, petang kelmarin. 

Hock Tho berkata, operasi penguatkuasaan bagi mencegah kemalangan itu disertai enam pegawai termasuk Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam daerah, Cif Inspektor Wan Azizi Wan Ahmad dan 20 anggota. 

Menurutnya, pemilihan Jalan Kota Bharu-Gua Musang sebagai lokasi operasi dibuat memandangkan jumlah kemalangan maut yang kerap berlaku di laluan berkenaan setiap tahun. 

”Selain dapat memberi kerjasama kepada cawangan trafik daerah, saya harap menerusi operasi seperti ini, pemandu akan lebih peka dan mementingkan keselamatan ketika di jalan raya, sekali gus dapat mengurangkan kemalangan terutama melibatkan kematian,” katanya. 

Sementara itu, Hock Tho berkata, operasi seterusnya diadakan di Gua Musang dengan kerjasama cawangan trafik daerah itu. 

Katanya, operasi sama diadakan di Jalan Persekutuan di Rompin dan Pekan, Pahang, dua minggu lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini. 

”Kalau di sebelah utara dan selatan tanah air, laluan yang sibuk adalah lebuh raya tetapi di negeri Pantai Timur, Jalan Persekutuan pula sering berlaku kemalangan,” katanya.

Penduduk gempar buih-buih kecil mampu nyalakan api



BAGAN DATOH - Penemuan gas bawah tanah menggemparkan penduduk di Kampung Sungai Tiang Baroh, di sini memandangkan tiada tanda-tanda kawasan itu mempunyai hasil seperti itu.

Mohd Shamsuri Abdul Rahim yang menemui sumber bahan api itu berkata, pada mulanya dia tidak menyangka itu adalah gas kerana berada di dalam parit dan cuma mengeluarkan buih-buih kecil.

Menurutnya, dia tergerak untuk menguji kawasan berbuih itu setelah dicadangkan kawannya yang pernah menemui kejadian sama di kebun berhampiran.

“Buih-buih ini memang sudah lama sebenarnya dan saya anggap ia benda biasa tetapi setelah kawan saya menceritakan pengalamannya, saya ingin mencuba.

“Saya tutup kawasan berbuih itu dengan botol yang diubah suai dan apabila saya nyalakan dengan pemetik api, memang ada api menyala tetapi kecil,” katanya.

Shamsuri berkata, kejadian itu sungguh menakjubkan dan sepanjang tujuh tahun tinggal di situ dia tidak pernah terfikir ia boleh berlaku.

Dia yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Tiang Baroh berkata, ketua kampung itu sudah dimaklumkan dengan kehadiran gas itu.

"Jika benar gas ini wujud, apakah ia akan membahayakan penduduk kerana saya juga bimbang keselamatan keluarga kerana kawasan itu berhampiran dengan rumah," katanya.

Letupan bom di masjid, 27 terbunuh



TEHRAN - Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban dalam insiden letupan bom di sebuah masjid di Zahedan, wilayah Sistan-Baluchistan, lewat malam kelmarin. 

Timbalan gabenor wilayah itu, Jalal Sayyah berkata, lebih daripada 100 orang turut cedera dalam kejadian itu apabila dua bom meletup secara berturutan. 

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam keganasan itu tetapi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ali Abdollahi tidak menolak kemungkinan letupan bom di masjid itu dilakukan puak militan Jundallah. 

Puak militan itu pernah melakukan beberapa siri serangan bom di sebuah masjid di Zahedan serta mengorbankan dan mencederakan lebih 120 orang. 

Bulan lalu, kerajaan Iran melaksanakan hukuman gantung terhadap ketua puak militan itu, Abdulhamid Rigi, atas kesalahan melakukan serangan ke atas orang awam, rompakan bersenjata dan kempen memburukkan nama negara.

Kubur Raja Pop jadi mangsa vandalisma




Tempat persemadian terakhir Raja Pop, Micheal Jackson telah diusik dan diconteng dengan tulisan luahan hati oleh peminat fanatiknya. 

Kubur yang terletak di Forest Lawn, Glendale, California dicoret dengan pelbagai perkataan seperti Keep the dream alive, Miss you sweet angel dan pelbagai lagi. 

Malah, penjaga kawasan perkuburan di situ berang dengan tindakan tersebutl yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab. 

Wakil dari Forest Lawn juga turut melahirkan rasa kesal dan akan memastikan perkara tersebut tidak akan berulang lagi. 

Sebelum ini, kakak Micheal Jackson, Randy telah membuat permohonan agar peminat Raja Pop itu dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan. 

Bagaimana pun, permintaan itu dibantah dengan alasan lokasi sam turut menempatkan persemadian legenda seperti Clark Gable dan Jean Harlow. 

Bantahan juga disebabkan timbul kebimbangan peminat terbabit menyalah gunakan tersebut dengan menganggu kubur-kubur legenda lain.

Lelaki bujang ditemui mati tergantung




KULIM - Seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai kecewa dengan teman lelaki istimewanya ditemui mati tergantung di bilik air rumahnya di Kampung Tai San, di sini, 4 petang kelmarin. 

Ibu mangsa berusia 62 tahun berkata, mangsa tidak bekerja dan baru kembali dari India sejak setahun lalu selepas melanjutkan pelajarannya di sana. 

“Saya sedang tidur di rumah ketika kejadian berlaku. Apabila terjaga, saya terdengar bunyi air pili dalam bilik air. 

"Saya sangka anak saya sedang mandi tetapi berasa pelik kerana mangsa terlalu lama dalam bilik air itu. 

"Apabila pintu dibuka, kami ternampak dia tergantung. Suami saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada jiran," katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa sering terlibat dalam aktiviti keagamaan. 

Menurutnya, polis menjumpai sekeping nota dalam dompet mangsa, salinan kad pengenalan seorang lelaki dipercayai teman istimewanya. 

"Mayat mangsa ditemui tergantung dalam bilik air di bahagian belakang rumahnya dengan keadaan leher terjerut. 

"Selain itu, polis turut menemui sekeping nota bertulis, “Saya sayang Thina. Saya mati kerana Thina. Kerana Thina tipu saya"," katanya. 

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berlaku terhadap mangsa dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. 

Beberapa kenalan mangsa yang ditemui berkata, mangsa sering ditipu oleh kenalannya sehingga dia sanggup memberikan wang dan barang kemas. 

Maut depan taska




JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berumur lingkungan usia 20-an ditemui mati di hadapan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Jalan Bukit Impian 10, Taman Impian Emas Fasa 6, Skudai, semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa maut di tempat kejadian itu dikenali sebagai Lee Kee Moi. 

Hasil siasatan awal, polis percaya kejadian kemungkinan berpunca daripada perselisihan faham sehingga menyebabkan pergaduhan. 

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut dengan melihat pelbagai aspek bagi mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya. 

Berikutan itu, hasil maklumat orang ramai, pihak polis berjaya menahan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an di Taman Chempaka, di sini kira-kira jam 3 pagi membantu siasatan. 

“Polis juga merampas tiga pisau dan menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya. 

Menurutnya, usaha mengesan dan mencari suspek-suspek yang lain masih giat dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. 

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu mereka dikejutkan dengan jeritan seorang pemuda meminta tolong sambil menahan kesakitan sekitar jam 8.45 hingga 9 malam. 

Katanya, beberapa penduduk yang cuba memberikan pertolongan kemudiannya tergamam dan ketakutan apabila melihat keadaan lelaki itu yang berlumuran darah sambil dikejar sekumpulan lelaki berkereta. 

“Mangsa sempat menekan loceng pintu pagar dua rumah penduduk di taman berkenaan sebelum rebah di hadapan pintu pagar taska di jalan ini. 

“Ustazah yang tinggal di taska berkenaan ada memberitahu cuba untuk membantu mangsa dengan memohon bantuan jiran terdekat, namun terlambat kerana lelaki berkenaan rebah dan mati,” katanya.

Pekerja maut di kuari



CHEMOR – Seorang pengendali jengkaut yang sedang melakukan tugas pembersihan di lereng bukit batu kapur sebuah tapak kuari di Khantan di sini, semalam, maut apabila sebuah bongkah batu secara tiba-tiba menghempap jentera yang dikendalikannya. 

Penolong Penguat kuasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Nazri Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Hairul Anwar Nizam Harun, 30, yang berasal dari Kelantan dikatakan terperosok akibat dihempap bongkah batu berkenaan. 

“Kita menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kejadian ini berlaku berdekatan puncak bukit kawasan kuari berkenaan. 

“Kita terpaksa berhati-hati dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa berkenaan kerana keadaan tanah yang kurang stabil. Kekangan cuaca turut menyebabkan urusan mengeluarkan mangsa sedikit perlahan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Usaha pihak media untuk mendapat gambaran lanjut turut dihalang oleh pihak pengurusan kuari terbabit kerana ia berlaku di kawasan milik persendirian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kemalangan industri. 

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.30 petang oleh sekumpulan 15 anggota bomba dan penyelamat di kawasan berkenaan,” katanya.

Niat mandi bertukar tragedi



POKOK SENA - Seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di sini lemas di dasar kolam tapak pembinaan yang sedang dibina untuk tujuan loji kumbahan, petang kelmarin. 

Mangsa, Tan Chu Kit, 11, dipercayai mati di dalam kolam tersebut yang berselut selepas dia terjun dari pembetung untuk mandi di situ. 

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kiew, Zakaria Ismail berkata, beliau difahamkan oleh penduduk kampung bahawa mangsa yang tinggal di Taman Damai sering kelihatan bermain di kawasan berkenaan sebelum ini. 

Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran kolam tersebut sedar akan kehadiran sekumpulan kanak-kanak tersebut dan pada kebiasaannya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini sebelum salah seorang daripada mereka meluru kepada seorang penduduk untuk meminta tolong. 

“Saya difahamkan oleh penduduk kampung, mangsa berdiri di atas pembetung sebelum terjun ke dalam kolam dan apabila terjun, mangsa tidak timbul dan ia mungkin disebabkan terlekat di dalam selut yang berada di dasar kolam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu menggamitkan suasana di kawasan sekitar dan menyebabkan penduduk hadir untuk melihat apa yang berlaku. 

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Tan Yong Van, 17, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berkata, sewaktu kejadian, dia dan ibunya, Susila Dewi, 42, berada di kilang bihun yang berdekatan sebelum dimaklumkan oleh penduduk mengenai kejadian tersebut. 

Menurutnya, dia dan keluarganya tidak tahu bahawa adiknya selalu bermain di kawasan tapak kolam tersebut. 

“Sewaktu kejadian saya dan ibu berada di kilang bihun berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kepada kami dan tidak menyangka perkara yang buruk akan menimpanya,” katanya. 

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tenggelam di dalam kolam tersebut dijumpai oleh penduduk yang turun untuk mencarinya dan mayat mangsa dihantar oleh pihak polis ke HSB untuk dibedah siasat.

Angkara dendam



BUKIT BERUANG - Empat kenderaan termasuk sebuah lori ditemui dibakar dalam tempoh sejam di tiga kejadian berasingan dekat Selandar, Jasin, awal pagi Rabu lalu. 

Daripada empat kenderaan itu, tiga merupakan kereta jenis Perodua Kancil yang digunakan untuk kelas memandu, manakala lori terbabit belum diketahui kaitannya. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, polis menerima panggilan mengenai sebuah lori jenis Eno ditemui terbakar di bahagian tempat duduk dan bahagian hadapan lori, di pekan Selandar, di sini. 

Antara jam 1 hingga 2 pagi pula, katanya, dua buah Perodua Kancil milik sebuah sekolah memandu di Kampung Bukit Katong, dekat sini pula terbakar. 

Manakala, sebuah lagi kereta juga jenis Perodua Kancil yang juga digunakan untuk kelas memandu ditemui terbakar di hadapan rumah pemilik sekolah memandu tersebut di Selandar, kira-kira jam 1 pagi.

Dirempuh dua kenderaan ketika melintas jalan



JALAN KAPAR - Tindakan seorang lelaki melintas jalan secara terburu-buru membawa padah apabila dia dilanggar sebuah motosikal dan lori dalam kejadian di Batu 9, Jalan Kapar, di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Stakie Anthony Dass, 24, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, berdasarkan siasatan polis mendapati sebelum kejadian, mangsa dipercayai datang dari arah sebuah kuil lalu melintas jalan secara tiba-tiba. 

“Berkemungkinan mangsa tidak menyedari sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Pekan Kapar meluru ke arahnya. 

“Penunggang motosikal itu dipercayai gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang baru beberapa meter berada di tengah jalan. Difahamkan, akibat perlanggaran kuat itu mangsa kemudiannya tercampak ke tengah jalan,” katanya. 

Pada masa sama menurutnya, sebuah lori yang datang dari arah Pekan Kapar gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan. 

“Kedua-dua perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun penunggang motosikal dan pemandu lori terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam pada itu, Rosly berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. 

“Kesemua pihak yang terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis.” 

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Daerah Klang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Md Norizan Ramli di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Jual bayi: Dua lagi ditahan, dua kanak-kanak diselamatkan


17/07/2010 6:57pm

KUCHING 17 Julai – Polis negeri ini berjaya menyelamatkan dua lagi kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun daripada sindiket pemerdagangan manusia ekoran penahanan dua wanita warga negara Indonesia, di Batu Kawah, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayahnya, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, penahanan dua beradik tersebut menjadikan jumlah mereka yang ditahan untuk kes itu, kini berjumlah 14 orang.
Kesemua yang ditahan itu termasuklah seorang lelaki bergelar Datuk serta isterinya selain polis turut menyelamatkan semuanya tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia sebulan hingga 14 tahun.
Menurutnya, kanak-kanak perempuan dan lelaki yang berusia tiga dan empat tahun itu ditemui dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 5.30 petang.
“Dua wanita Indonesia berusia 19 dan 22 tahun ditahan ketika sedang menjaga kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Majistret Mahkamah Kuching, Iris Awen Jon memerintahkan dua beradik tersebut ditahan reman selama enam hari, bermula hari ini untuk siasatan sindiket memperdagangkan bayi. - Utusan