Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Empat lagi ditahan berhubung sindiket jual bayi



16/07/2010 7:19pm

KUCHING 16 Julai - Polis mendapat perintah tahanan reman selama enam hari ke atas empat orang termasuk sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penjualan bayi, bermula hari ini.
Majistret Mahkamah Kuching Nelson W. Angang memerintahkan kesemua suspek iaitu suami kepada pasangan itu, yang berusia 40 tahun, isteri, 48, bersama dua lagi lelaki berusia 53 dan 48 tahun ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas mereka.
Keempat-empat suspek tersebut ditahan polis dalam tiga serbuan berlainan antara 9 hingga 11 malam semalam di sini.
Difahamkan salah seorang daripada mereka adalah adik kepada Datin yang dipercayai mendalangi kegiatan sindiket penjualan bayi manakala lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai ”pembekal bayi”.
Kegiatan sindiket penjualan bayi ini terbongkar pada Isnin lalu selepas polis Sarawak menyelamatkan seorang bayi yang cuba dijual oleh seorang wanita warga Indonesia di MJC New township, Batu Kawah di sini dengan harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar sebagai pembeli.
Rabu lalu, pasangan ahli perniagaan yang bergelar Datuk dan Datin yang berusia 65 dan 43 tahun bersama enam lagi yang berusia antara 21 hingga 34 tahun ditahan reman enam hari.
Sehingga hari ini, jumlah anggota sindiket yang ditahan ialah 12 orang.
Polis berjaya menyelamatkan tiga bayi dan tiga kanak-kanak berusia antara 28 hari hingga 12 tahun dan mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Huzir Mohamed berkata polis sedang berusaha mengesan semua bayi dan kanak-kanak yang dipercayai diseludup masuk ke negeri ini dari negara jiran dan dijual di sini.
"Siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Bernama

Maya Karin sah bercerai



16/07/2010 7:30pm

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pelakon popular, Maya Karin dan suaminya, Steven David Shorthose sah bercerai secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini petang ini. - Utusan

73 jentera dirampas

SHAH ALAM: Sebanyak 73 alat termasuk jentera berat dirampas kerajaan Selangor bermula tahun lalu hingga kini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri pasir.
Rampasan jentera pengorek di daerah Gombak sebanyak tiga diikuti Hulu Langat (11), Kuala Selangor (lima) dan Kuala Langat (lapan). Bagi rampasan lori, daerah Hulu Langat mencatat rampasan tertinggi dengan 21 buah diikuti Klang (sembilan) dan Kuala Selangor (tiga) manakala lain-lain daerah Sepang dan Hulu Langat empat kes diikuti Kuala Langat (tiga) dan Gombak (dua).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud dalam satu kenyataan media berkata, kecurian pasir dikesan berlaku di atas tanah kerajaan dan persendirian dan antara aktiviti penguat kuasaan yang dilakukan termasuk mengenalpasti lokasi yang kerap berlaku kecurian pasir dan mengadakan rondaan di kawasan yang dikenal pasti setiap hari.

“Kawalan statik di kawasan lokasi strategik secara berkala seperti jalan keluar masuk adakan. “Kami juga mengadakan penguat kuasaan di atas tanah kerajaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi pemilik tanah persendirian, tuan tanah perlu mengawal tanah mereka daripada berlaku kecurian pasir kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa merampas barangan dan peralatan melombong pasir.

Menurutnya, bagaimanapun beberapa tindakan boleh dikenakan seperti mengeluarkan Notis 7A bagi pemilik tanah memulihkan tanah mengikut syarat yang dikenakan.

“Sekiranya gagal dipulihkan, Notis 7B dikeluarkan untuk mendapat penjelasan kegagalan pemilik tanah mengambil tindakan pemulihan dan jika penjelasan yang diberikan tidak dapat diterima, Notis 8A akan dikeluarkan dan tanah mereka akan dirampas.

“Pecahan tindakan diambil mengikut daerah adalah seperti berikut di mana 11 lot telah dirampas dan 85 lot lagi akan dirampas sekiranya tuan tanah gagal mengambil tindakan memulihkan tanah,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengeluarkan notis memberhentikan kerja kepada tuan tanah yang membuat kerja tanah termasuk perlombongan pasir dan aktiviti kerja tanah mesti mendapat kelulusan PBT. Mereka yang gagal boleh didenda sebanyak RM250,000.00.

Kastam serbu lubuk edar rokok haram

KUALA LUMPUR: Beberapa lubuk penjualan rokok haram di sekitar ibu kota digempur Kastam Diraja Malaysia (KDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.
Operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mensasarkan beberapa lokasi yang dikesan terdapat aktiviti penjualan rokok tidak sah dan belum diluluskan kastam.
Dalam satu serbuan diketuai Pegawai Kastam Kanan (Bahagian Penguat Kuasa), Khiruddin Nek di sebuah kedai di Kampung Pantai Dalam, tiga lelaki ditahan dan sejumlah rokok putih dan keretek dirampas.

Jurucakap Kastam berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun termasuk dua didapati warga Indonesia itu dipercayai terbabit mengedarkan rokok tidak sah di sekitar Pantai Dalam.

“Ketika diserbu, salah seorang daripada mereka sedang leka menjalankan urus niaga membabitkan rokok tidak sah berdasarkan bungkusan plastik yang ditemui dalam bakul motosikalnya. “Sebaik di soal siasat, seorang lagi suspek menunjukkan satu peti simpanan rahsia yang dipercayai dijadikan transit tempat penyimpanan rokok tidak sah di laluan menuju rumah sewa mereka,” katanya.

Pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut dalam rumah disewa suspek sebelum menemui puluhan bungkusan plastik berisi rokok.

Katanya, di premis itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek yang dipercayai menjaga rumah berkenaan.

Guna rakit keselamatan

PELABUHAN KLANG: Lapan anak kapal nelayan Jiang Sheng No 18 dari Taiwan yang terbakar di perairan Port Dickson, semalam berjaya diselamatkan kapal persiaran Star Virgo yang kebetulan melalui kawasan itu.
Dalam kejadian jam 6 pagi, kapal terbabit difahamkan baru belayar dari Singapura menuju ke Lautan Hindi untuk menangkap ikan.
Selepas menyedari kebakaran, semua anak kapal nekad menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Mohd Amir Hamzah, berkata lapan anak kapal berumur antara 25 hingga 59 tahun terdiri daripada dua warga Taiwan dan enam Filipina itu berada dalam keadaan sihat.

RM1 modal curi

KUALA LUMPUR: Modal yang digunakan hanyalah RM1 namun hasil yang diperoleh kerap kali menjangkau lebih RM1,000 dalam sekelip mata.
Itulah antara umpan yang diguna pakai geng penjenayah warga asing ketika memperdaya mangsa dengan mencampakkan wang kertas di atas lantai bagi menarik perhatian mangsa untuk mengutipnya.
Peluang sedetik itu diambil kesempatan penjenayah untuk melarikan beg tangan atau menyeluk dompet duit dari saku mangsa sebelum menghilangkan diri.

Dalam kejadian terbaru, seorang pelajar Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) menjadi mangsa apabila kerugian lebih RM2,500 selepas tunduk mengambil wang yang dijatuhkan penjenayah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari kelmarin, mangsa yang berusia 43 tahun dan berasal dari Algeria sedang makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera di Jalan Sultan, di sini.

Menurutnya, ketika sedang menjamu selera, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba menyapanya dari belakang memberitahu duit kertas milik mangsa terjatuh di atas lantai.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mendapati sekeping wang kertas bernilai RM1 berada tidak jauh dari kakinya sebelum mengutip wang kertas berkenaan,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa tunduk, suspek tiba-tiba menarik beg mangsa yang diletakkan di atas kerusi bersebelahan sebelum melarikan diri.

“Mangsa hanya tersedar perkara itu beberapa minit kemudian dan mendapati beg bimbit berisi komputer riba, dokumen serta pelbagai barang berharga lain bernilai lebih RM2,500 dilarikan lelaki terbabit.

“Lebih mengejutkan apabila suspek didakwa sengaja meninggalkan beg kosong di kerusi mangsa dipercayai untuk memperdaya mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Cory masih di China

KUALA LUMPUR: Seorang gadis Iban, Christina Anak Luke Niju, 22, dikesan masih berada di China berdasarkan rekod visa kemasukan berganda yang diperolehnya sejurus memasuki negara itu awal Mei lalu.
Mangsa yang mesra dipanggil Cory dilaporkan hilang 2 Mei lalu selepas melarikan diri bersama teman lelakinya, seorang lelaki Afrika.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sejurus pihaknya mendapat aduan daripada ibu bapa mangsa kelmarin, beliau membawa mereka menemui Interpol bagi mengesan anak gadisnya itu yang dipercayai dikurung sindiket dadah.

“Hasil perbincangan bersama Penolong Pengarah Biro Pusat Antarabangsa (NCB) Interpol, Superintendan Gan Tack Guan bersetuju membantu mengesan Cory dan akan berusaha membawanya pulang.

“Hari ini (semalam) saya mendapat maklumat terkini daripada Interpol yang memaklumkan Cory masih berada di China berdasarkan rekod visa kemasukan berganda ke negara itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pelajar tahun akhir Diploma Perniagaan dari Politeknik Kuching, Sarawak itu kali terakhir dikesan memasuki Haikow Hainan, China sejurus tiba di lapangan terbang negeri berkenaan pada 2 Mei lalu.

Difahamkan, mangsa disahkan masih berada di China tetapi tidak dapat diketahui sama ada masih berada di negeri itu atau sudah ke tempat lain.

“Menurut Interpol, visa mangsa akan tamat pada 29 Julai ini dan akan mengesan sama ada mangsa keluar atau tidak pada tarikh berkenaan.

“Interpol juga akan menyiasat perkara ini daripada semua sudut kerana bimbang keselamatan mangsa yang dikhuatiri dikurung sindiket tertentu berdasarkan pesanan emel yang dikirimkan mangsa kepada rakan sebiliknya pada 10 Mei lalu yang meminta bantuan membebaskannya,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya Elpedio Metello,53, selepas mendapat maklumat daripada rakan sebilik mangsa yang memaklumkan mangsa ke China dengan seorang lelaki bernama James yang dikenali melalui laman sosial.

Cory dipercayai menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada 24 April untuk berjumpa dengan teman lelakinya itu yang mengaku sebagai pelajar sebuah kolej swasta di Subang, Selangor sebelum berangkat ke China kerana mengikuti James bagi menjalankan perniagaan.

Penganggur didakwa bunuh remaja

KEMAMAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki di ladang sawit pada 14 Jun lalu.
Tertuduh, Nik Mustapfa Nik Hassan, 36, didakwa membunuh Abdul Halim Idrus, 19, di sebuah pondok kebun buah-buahan di Lubuk Sadong, Batu 10, Jalan Air Putih, Pasir Gajah, di sini, antara jam 1 pagi hingga 8.40 malam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh yang beralamat di Gong Limau, di sini.

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes membolehkan pihak pendakwaan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Di mahkamah sama semalam, Nik Mustapfa didakwa atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa memiliki bahan larangan itu di rumah kongsi kebun sawit di Kampung Seberang Tayor, Air Putih, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 Julai lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Penjual ubat eksotik cabut

KUALA LUMPUR: Beberapa pengamal perubatan tradisional dikesan menjual beg tangan diperbuat dari kepala ular tedung selar, selain kasut lelaki daripada kulit ular sawa termasuk pelbagai ukiran dari gading gajah yang didakwa mempunyai khasiat tersendiri.
Selain barangan terbabit, penjual tempatan berkenaan turut memasarkan paruh burung Enggang, tanduk rusa, bulu burung cenderawasih yang dijual mencecah harga ribuan ringgit.
Namun aktiviti penjualan haram yang melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu dihidu selepas sepasukan 12 anggota Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan serbuan di sebuah bazaar berhampiran sebuah pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, dalam operasi jam 11 pagi itu, penjual di kawasan berkenaan sempat lari.

“Kami merampas dua unit tanduk rusa ‘Sambur Deer’, tiga helai bulu burung Cenderawasih, satu tanduk kijang dan 96 objek ukiran yang diperbuat daripada gading gajah.

“Selain itu, kami turut menemui satu beg tangan diperbuat daripada kulit ular senduk, satu pasang kasut diperbuat daripada kulit ular sawa selain kuku harimau,” katanya.

Gelagat ‘gadis katak’

KUALA LUMPUR: Dua pelancong asing layak digelar ‘gadis katak’ apabila ditahan kerana menyeludup masuk 47 ekor katak gergasi jenis Tomato Frog yang disumbat ke dalam stoking sebelum disembunyikan di dalam bagasi masing-masing.
Lebih mengejutkan apabila mereka berasal dari Madagascar, dikesan turut membawa bersama 374 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan Madagascar Tortoise yang sengaja dibalut dengan pita pelekat sebelum disorokkan menggunakan tilam dibawa.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, kedua-dua gadis terbabit masing-masing berusia 23 dan 30 tahun itu dikesan memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pelancong asing.

Menurutnya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin, suspek ditahan pegawai Kastam selepas mengesyaki membawa sesuatu yang mencurigakan.

“Ketika ditahan, suspek didapati membawa dua beg bagasi berwarna coklat dan hitam. Namun sebaik salah satu beg diperiksa, pegawai kastam menemui sejumlah haiwan yang cuba diseludup sebelum memaklumkannya kepada kami.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka cuba menyeludup tiga jenis hidupan liar dilindungi membabitkan 369 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan lima ekor Madagascar Tortoise,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, kura-kura kecil dengan corak bintang di bahagian belakang badan terbabit disifatkan mempunyai permintaan dan nilai tinggi di pasaran mencecah sehingga RM1,500 seekor. “Biasanya peminat haiwan eksotik sanggup membayar harga tinggi bagi memperoleh kura-kura spesies berkenaan yang dianggap boleh membawa tuah selain sukar diperoleh berikutan hanya hidup di Madagascar.

“Suspek wanita berkenaan turut cuba menyeludup 47 ekor katak spesies Tomato Frog dan sejumlah sesumpah. Ia adalah rampasan pertama membabitkan dua spesies,” katanya.

Detik cemas lebih 3 jam

PORT DICKSON: Lapan nelayan laut dalam warga Taiwan dan Filipina menempuh detik cemas lebih tiga jam apabila terperangkap di atas kapal dinaiki mereka yang terbakar sebelum berjaya diselamatkan kira-kira 15 batu nautika barat perairan bandar ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, semua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an yang menaiki kapal ‘Jian Sheng 18’ berkenaan dalam perjalanan pulang menuju ke Singapura selepas selesai menangkap ikan di Lautan Hindi berhampiran kepulauan Mauritius.
Kapal yang berdaftar di Singapura itu bagaimanapun dikatakan tiba-tiba mengalami masalah sebelum berlaku kebakaran di bilik jentera atau enjin di bahagian belakang.

Semua kru termasuk tekong kapal kemudian cuba untuk memadamkan api, namun tidak berhasil dan terpaksa berkumpul di bahagian depan sebagai langkah keselamatan.

Penantian perit mereka selama lebih tiga jam berakhir apabila diselamatkan sebuah kapal persiaran mewah ‘Star Virgo’ yang secara kebetulan melalui kawasan terbabit, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bharu mengenai kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.

“Sebanyak dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikejarkan ke lokasi berkenaan untuk memberikan bantuan kecemasan termasuk memadamkan kebakaran kapal bersaiz 56 meter (m) panjang dan 8.9 m lebar terbabit.

“Bagaimanapun, sejurus tiba, semua mangsa sudah diselamatkan oleh sebuah kapal persiaran mewah ‘Star Virgo’ yang ketika itu dalam perjalanan dari Singapura menuju Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya.

Dihukum gantung

SHAH ALAM: Seorang pesakit buah pinggang kronik dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 250.9 gram dadah sebuah rumah, di Klang dekat sini, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap S A Sukumaran, 35, selepas berpuas hati pendakwaan itu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Pemandu lori itu menjalani dialisis tiga kali seminggu akibat penyakit itu kelihatan tenang dan tunduk selepas mendengar keputusan itu.

Mengikut pertuduhan, Sukumaran didakwa mengedar 250.9 gram(g) dadah termasuk 36.2g heroin dan 214g monoacetylmorphine.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor A3-3-4, Pelangi Court, Jalan Pekan Meru, Klang, pada jam 4.30 petang, 23 Februari 2006.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh ketika membela diri bahawa dadah itumilik seseorang bernama Ah Meng yang menjadi penyewa rumah itu tidak dapat diterima mahkamah. “Tertuduh mengatakan dia memberi kebenaran kepada Ah Meng menggunakan kad pengenalannya menyewa rumah itu sebagai membalas budi lelaki itu kerana menampung kos pembedahan buah pinggangnya di India.

“Dadah dengan jumlah besar dijumpai di meja kecil di bilik nombor dua tidak berkunci. Jika dadah itu kepunyaan Ah Meng, mesti Ah Meng sorokkan dadah itu.

“Selain itu tiada seorang saksi pun termasuk tertuduh sendiri yang mengetahui siapa sebenar Ah Meng,” katanya.

Pelajar kolej edar syabu

ALOR SETAR: Seorang pelajar kolej swasta di Pulau Pinang antara tiga individu yang ditahan selepas disyaki terbabit pengedaran syabu seberat 507.33 gram bernilai RM140,000 di Plaza Tol Sungai Petani, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan sebuah kereta Honda Jazz dinaiki tiga lelaki berusia antara 22 hingga 29 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek dalam perjalanan dari arah selatan menunggu sindiket lain mengambil dadah itu di tepi jalan berhampiran plaza tol berkenaan, namun tidak kesampaian apabila ditahan polis yang menerima maklumat kegiatan itu.

Eksekutif lesap

KUALA LUMPUR: Kehilangan seorang lelaki berusia 32 tahun menjadi misteri selepas kereta miliknya ditemui dalam keadaan lampu depan terpasang manakala dokumen pengenalan dirinya ditemui di dalam kereta itu.
Mangsa, Lim Kian Teck yang bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di syarikat telekomunikasi dilaporkan hilang sejak 3 Julai lalu oleh rakan sekerja selepas tidak datang bekerja.
Pada keesokan harinya, anggota polis peronda menghubungi ibu mangsa dan memaklumkan kereta mangsa ditemui berhampiran kawasan kilang di Serdang.

Ibu mangsa, Kwek Fong Sin, 69, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan anak lelakinya itu dua hari sebelum keretanya ditemui kerana tinggal berasingan dan mendapat berita kehilangannya selepas dimaklumkan rakan anaknya.

“Kali terakhir dia pulang ke rumah keluarga di Pelabuhan Klang dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan perubahan negatif. Dia seorang anak pendiam dan tidak suka berkongsi hal peribadi kepada keluarga.

“Saya menerima berita kehilangan anak saya itu selepas rakan sekerja menghubungi saya kira-kira jam 3 petang bertanyakan kenapa anak saya itu tidak datang bekerja dan gagal dihubungi,” katanya di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu, dia turut menghubungi anak lelakinya, namun gagal, malah rakan juga tidak menemuinya. Kehilangan mangsa menjadi lebih misteri selepas kereta milik mangsa jenis Proton Wira berwarna perak ditemui ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Malah, lampu kereta juga dalam keadaan masih terpasang, tingkap dan pintu bahagian pemandu juga dalam keadaan terbuka selain dokumen pengenalan diri dan beberapa kad bank ditinggalkan dalam kereta itu.

Beliau berkata, dia menolak anaknya dilarikan along kerana anaknya itu tidak mempunyai masalah kewangan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta menghubungi pejabatnya di talian 03-21615678 atau mana-mana balai polis berhampiran

Cari suami hilang sahkan sijil nikah

SANGLANG: Seorang ibu muda merayu supaya suaminya pulang ke pangkuan keluarga bagi menyelesaikan masalah pengesahan sijil nikah mereka untuk memastikan masa depan anak mereka terbela.
Nor Diana Md Zin, 23, dari Kampung Tok Mengkula, di sini berkata, suaminya Shaiful Nazri Saad, 27, tidak pulang ke rumah sejak kematian ibu Nor Diana, Som Ahmad, tujuh bulan lalu dan mengabaikan tanggungjawab terhadap tiga anak mereka yang berusia antara satu hingga empat tahun.
Nor Diana yang juga isteri kedua Shaiful menghadapi masalah kerana sijil nikah yang dikeluarkan di Thailand belum mendapat pengesahan dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), menyebabkan pendaftaran kelahiran ketiga-tiga anaknya juga menghadapi masalah.

Menurutnya, dia dan suaminya berkahwin secara rahsia di Thailand sejak lima tahun lalu kerana usianya yang masih muda dan selepas berkahwin, dia mendapati dirinya ditipu kerana suaminya yang berasal dari Kampung Megat Dewa, sebenarnya sudah berkahwin dengan wanita lain.

“Saya pernah meminta suami untuk membuat pengesahan sijil itu namun dia melambat-lambatkan urusan berkenaan sehingga dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

“Malah, suami juga tidak memberi nafkah untuk anak-anak dan saya terpaksa bekerja di kedai makan di Alor Setar dan berulang-alik setiap hari,” katanya.

Katanya, pendapatannya sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan juga tidak cukup untuk membiayai kehidupan mereka sekeluarga kerana dua anaknya, Aina Arisya, 3 tahun, dan Aifan Daniel, setahun lima bulan terpaksa diserahkan kepada pengasuh dengan upah RM150 sebulan.

Anak sulungnya pula, Aiman Haris, 4, kini dijaga kakak iparnya.

“Saya pernah pergi ke rumah mentua saya, namun diberitahu suami tidak tinggal di situ dan mereka enggan memberitahu di mana suami saya tinggal menyebabkan saya mengalami tekanan kerana sehingga kini masih tidak berjumpanya.

“Keluarga mentua pula seperti tidak menerima saya dan anak-anak dan pernah sewaktu arwah ibu saya baru meninggal dunia, saya bersama anak-anak menumpang sekejap di rumah mentua kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan untuk anak-anak, namun keluarga mentua masih enggan menerima mereka,” katanya.

Nor Diana berkata, kehidupannya kini diibaratkan kais pagi makan pagi kerana tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, malah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula masih tidak mendapat sebarang maklum balas sejak empat bulan lalu.
“Apa yang saya risaukan ialah keadaan anak-anak yang semakin membesar dan akan memasuki alam persekolahan tidak lama lagi. Sekiranya suami masih enggan pulang dan menguruskan soal pengesahan sijil nikah dan sijil pendaftaran kelahiran anak, sudah tentu mereka akan tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Penceroboh bogel lumur sabun, sos ke muka mangsa

KUALA TERENGGANU: Seorang penjenayah bertindak pelik untuk mengelak dikenali apabila bukan saja membawa senjata tajam ketika memecah masuk sebuah rumah, sebaliknya turut menggunakan sos dan sabun untuk dilumur ke muka mangsa.
Lelaki itu memecah masuk rumah mangsa dalam keadaan bogel dan hanya menutup mukanya dengan kain sebelum melumurkan sos dan sabun ke muka mangsa yang tidur.
Kejadian itu berlaku ke atas seorang suri rumah berusia 34 tahun yang turut mendakwa nyaris dirogol selepas rumahnya di sebuah kampung di Seberang Takir, dekat sini, dipecah masuk, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa tidur di ruang tamu manakala dua anak lelakinya tidur di dalam bilik.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa terjaga sebaik terasa ada individu berdiri di hadapannya dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki berdiri dalam keadaan bogel.

“Sebenarnya siasatan kes ini masih di peringkat awal, jadi tidak banyak dapat saya katakan.

“Namun, apa yang pasti memang ada laporan polis diterima semalam di Balai Polis Batu Rakit dan kes kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata api.

“Kami difahamkan suspek menggunakan sos dan sabun dari rumah mangsa dan kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Difahamkan, sebaik terjaga dan melihat penjenayah itu, mangsa sempat menjerit tetapi diugut supaya mendiamkan diri dan mulutnya ditutup serta diacukan senjata tajam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa mendakwa bajunya ditarik hingga koyak sebelum seluarnya dibuka lalu ‘diajak’ ke bilik tidur anak mangsa sebelum wanita itu sekali lagi menjerit menyebabkan mereka terjaga sertamenjerit ketakutan.
Bimbang ditangkap jiran, penjenayah melarikan diri melalui tingkap yang diumpil ketika memecah masuk. Mangsa kemudian menyedari dia kehilangan telefon bimbit sebaik cuba menghubungi rakan untuk meminta bantuan.

Dua bot seludup diesel ditahan

MERSING: Sindiket penyeludup diesel subsidi dari Johor dan Pahang dipercayai bekerjasama menjalankan aktiviti haram berkenaan selepas dua bot di Sungai Endau, Tanjung Gemuk Lama, Jalan Teluk Gading di sini, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Kedua-dua bot terbabit, setiap satu didaftarkan di Pahang dan Johor, digunakan untuk memindahkan minyak diesel itu dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah berkenaan.
Ketua Penguat kuasa Maritim Mersing, Leftenan Komander Yusoff Abu Bakar berkata, hasil maklumat awam serta risikan dijalankan sejak beberapa hari lalu berjaya membongkar kegiatan terbabit.

“Dalam serbuan jam 6.15 petang itu, sebaik menerima maklumat bahawa kedua-dua bot diburu berada di lokasi berkenaan dan APMM terus bergegas ke sana.

“Ahli sindiket tidak sempat melarikan diri dan semua lima anak kapal kedua-dua bot terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.

Menurut Yusoff, siasatan awal mendapati anak kapal terbabit sudah melakukan kegiatan terbabit berulang kali dan semua yang ditahan, empat warga tempatan dan satu Indonesia, berusia antara 28 hingga 42 tahun kemudiannya direman.

Siasatan di dalam bot terbabit menemui 7,000 liter diesel subsidi dianggarkan bernilai RM12,600 dan bahan api berkenaan disimpan dalam tangki gelas optik.

“Turut dirampas hos getah, empat unit pam serta lapan tangki gelas optik. Kes itu diserahkan kepada polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan diesel subsidi diminta menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Keluarga risau anak gadis hilang 3 minggu

SUNGAI PETANI: Seorang bapa merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak tiga minggu lalu kembali ke pangkuan keluarga kerana bimbangkan keselamatannya.
Abu Kasim Mat Nayan, 47, dari Sungai Perak, Perak berkata, anaknya, Nurul Nadziah, 19, tidak pulang ke rumah sejak 15 Jun lalu dan sejak itu tiada khabar berita daripadanya.
Katanya, Nurul Nadziah yang belajar di Kolej Bostonweb, Kuala-Lumpur pulang ke kampung mereka di Sungai Perak pada 11 hingga 13 Jun lalu dan sepatutnya pulang ke Segambut, Kuala Lumpur pada 15 Jun lalu.

“Dia ada memberitahu akan pulang semula ke kampung pada 30 Jun lalu dan saya menghubunginya untuk bertanyakan sama ada jadi pulang atau tidak kerana dia tidak muncul, namun telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

“Saya ada menghubungi rakannya, namun mereka juga tidak mengetahui di mana Nurul Nadziah berada menyebabkan kami sekeluarga risaukan keadaannya.

“Malah, rakannya juga memberitahu Nurul Nadziah tidak pulang ke rumah sewa di Segambut pada 15 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Gurun, dekat sini, semalam.

Abu Kassim berkata, dia datang ke Gurun mencari anaknya itu selepas pemeriksaan terhadap akaun Nurul Nadziah mendapati gadis itu ada membuat pengeluaran wang di sebuah bank di pekan itu pada 3 Julai lalu.

Katanya, dia buntu apabila tidak tahu ke mana mencari anaknya itu dan sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 3 Julai lalu.

Dia juga sudah menghubungi kolej tempat anaknya belajar dan diberitahu Nurul Nadziah sudah lama tidak hadir kelas.

Katanya, beliau merayu Nurul Nadziah segera pulang kerana keluarga merinduinya dan bimbangkan keselamatannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu boleh menghubungi talian 017-5060172 atau balai polis berhampiran.

Deejay dicekup

KUALA LUMPUR: Seorang deejay sebuah pusat hiburan antara empat pengedar dadah yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan membabitkan jumlah rampasan bernilai lebih RM530,000 di sekitar ibu kota pada Isnin lalu hingga kelmarin.
Deejay berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 10 malam ketika menjalankan urusan jual-beli pil Eramin 5 di tepi Jalan Utama, Jalan Sungai Besi, di sini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman berkata, siasatan mendapati suspek yang juga seorang duda dipercayai aktif mengedar pil khayal di sekitar Lembah Klang terutama di pusat hiburan.
“Pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui satu beg kertas berisi 10,000 biji Eramin 5 bernilai RM150,000,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. Beliau berkata, polis kemudian menyerbu rumah suspek di Jalan Loke Yew di sini dan menjumpai satu kotak pil Eramin 5 berjumlah 15,400 biji bernilai RM230,000.

Katanya, suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah tempatan yang menjualnya pada harga RM15 sebiji.

“Dengan tertangkapnya suspek, kami berjaya menyekat pengedaran Eramin 5 di pusat hiburan di Lembah Klang,” katanya. Dalam serbuan kedua, seorang pengawal keselamatan yang dipercayai aktif mengedar dadah di Lembah Klang ditahan selepas polis menjumpai lima bungkusan heroin seberat 2.3 kilogram di tepi jalan di Taman Melati, Setapak di sini, Selasa lalu. Sabtu berkata, hasil soal siasat, suspek berusia 38 tahun membawa polis ke rumahnya di Batu Caves, Selangor dan menjumpai satu botol plastik jernih mengandungi ganja seberat 0.21 kilogram dan wang tunai RM9,000. “Kami turut menyita dua kereta Honda Civic dan sebuah Proton Wira, dipercayai digunakan suspek untuk mengedar dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin sejak tiga bulan lalu dan hasil ujian air kencing dijalankan juga mendapati suspek positif dadah.

Dalam serbuan ketiga kelmarin, polis melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran ganja didalangi seorang pemandu teksi berusia 55 tahun di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu, seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di kawasan Kampung Baru di sini dan merampas enam ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 5.6 kilogram. Sabtu berkata, hasil soal siasat, lelaki itu menunjukkan tempat dia menyorokkan 29 ketulan mampat tumbuhan ganja seberat 27.2 kilogram dalam sebuah kereta yang diletak di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini.

“Hasil pemeriksaan di rumah lelaki itu, kami menemui tiga lagi ketulan mampat ganja seberat 0.9 kilogram. Lelaki terbabit juga mempunyai satu rekod jenayah iaitu melarikan diri dari Pusat Pemulihan Dadah pada 2004,” katanya. Beliau berkata, polis kemudian menahan rakan lelaki itu yang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi di rumahnya di Taman Seri Gombak kerana dipercayai mendalangi kegiatan pengedaran dadah jenis ganja itu.

6 didakwa culik pelajar Nigeria

SEPANG: Dua wanita membabitkan seorang rakyat tempatan dan warga Indonesia bersama empat lelaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menculik seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), pada Mei lalu.
Hazwani Mohd Hardi, 26, dan Beby Shahputri, 20-an, dituduh bersama empat lelaki Nigeria, Gebrel Mowaski, Nduka Johnsin Samuel, Igwa Ongebuchi Promise, Odimega Chiedozie berusia 20 hingga 30-an didakwa menculik Auwal Dankaka Bebeji, 28, juga dari Nigeria. Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan Hakim Zulhelmy Hasan dan semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin. Zulhelmy menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa daripada Jabatan Kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aqeeb Lizalman Nordin Zamry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai seorang penuntut lelaki warga Nigeria diculik di kampus IPTS terbabit di Cyberjaya, kira-kira 8.30 malam pada 23 Mei lalu.

Mangsa dikatakan dikurung di sebuah rumah teres dua tingkat sebelum dibebaskan pada 20 Jun lalu selepas keluarganya memasukkan RM30,000 ke dalam akaunnya di Malaysia.

Susulan itu, polis menyerbu rumah berkenaan dan menahan beberapa individu serta merampas tiga komputer riba, 15 telefon bimbit dan 11 pasport antara bangsa pelbagai negara.

Satu daripada telefon bimbit yang dirampas dipercayai digunakan bagi menghubungi keluarga mangsa termasuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dijadikan bukti.

Berdasarkana fakta kes, semua tertuduh ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Damai Perdana, Kajang pada 20 Jun lalu susulan laporan polis oleh adik mangsa, Jamilu Dankaka Hussaini, pada 24 Mei lalu mengenai kehilangan abangnya.

Jamilu diberitahu berkaitan kejadian itu oleh keluarganya di Nigeria yang menerima panggilan telefon daripada penculik meminta wang tebusan RM34,141 (USD10,000). Mangsa adalah anak pengerusi sebuah majlis perbandaran di Nigeria.

Sebelum ini media ada melaporkan mengenai seorang penuntut lelaki warga Nigeria diculik di kampus IPTS terbabit di Cyberjaya, kira-kira 8.30 malam pada 23 Mei lalu.
Mangsa kemudian dikurung di rumah teres dua tingkat terbabit sebelum dibebaskan pada 20 Jun lalu selepas keluarganya memasukkan wang RM30,000 ke dalam akaun miliknya di Malaysia sebelum dibebaskan.

Susulan itu, polis menyerbu rumah terbabit dan menahan semua tertuduh serta merampas tiga komputer riba, 15 telefon bimbit dan 11 pasport antara bangsa pelbagai negara.

Satu daripada telefon bimbit yang dirampas dipercayai digunakan bagi menghubungi keluarga mangsa termasuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dijadikan bukti.

Dua sahabat dituduh rompak pelajar Indonesia

KUALA LUMPUR Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak seorang pelajar kolej warga Indonesia secara berkumpulan awal Julai lalu.
Hairon Nizam Abdul Hamid, 29, dan Mohd Razali Arbin, 31, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Mengikut tuduhan, mereka yang tidak berkerja merompak telefon bimbit jenama Sony Erikkson bernilai RM340 dan wang tunai berjumlah RM17 milik Faris Ismadi Kasmedi, 17, di sebuah stesen LRT Jalan Sultan Ismail, di sini, pada jam 1.05 tengah hari, 1 Julai lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu bersama dua orang yang masih bebas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyikin Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan.

Terdahulu, Zainal menolak rayuan isteri Razali supaya jaminan RM10,000 ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM1,000.

“Kalau setakat RM3,000 saya boleh pertimbangkan,” katanya.

Beliau kemudian memberi peluang kepada tertuduh bertemu sebentar dengan isteri dan anaknya.

menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun isteri Razali yang hadir bersama anaknya yang berusia tiga tahun memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000 kerana tidak mempunyai wang cukup.

Hakim Zainal menolak permintaan isteri tertuduh yang menangis secara tiba-tiba kerana jumlah yang diminta adalah sangat rendah berbanding dengan kesalahan serius yang dilakukan suaminya.

“Kalau setakat RM3,000 saya boleh pertimbangkan lagi” katanya.

Beliau kemudian memberi peluang kepada tertuduh bertemu sebentar dengan isteri dan anaknya

Rasuah: Dua termasuk inspektor polis diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat inspektor diperintah membela diri pada 17 Ogos depan atas tuduhan rasuah membabitkan RM3,000 dari seorang peniaga, pada enam tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap V Vijayan, 32, dan Anthony Michael Joseph, 44, terhadap empat pertuduhan rasuah yang mereka hadapi.
Bagaimanapun Hakim Abu Bakar menggugurkan satu dari tiga pertuduhan yang dihadapi Inspektor Vijayan, dari tuduhan meminta rasuah berjumlah RM5,000 dari S Ganeswaran.

Sebaliknya Vijayan yang bertugas di Balai Polis Brickfields di sini diminta membela diri atas tuduhan secara rasuah bersetuju untuk terima wang berjumlah RM3,000 dari Ganeswaran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas peniaga itu kerana didakwa mengupah dua lelaki warga India yang tidak mempunyai pas pekerjaan di Blok 17, Taman Setapak Indah, di sini pada jam 1.00 sehingga 2 petang, 20 Ogos 2004.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Manakala Anthony (gambar), seorang ahli perniagaan yang turut melakukan kesalahan pada tempat dan tarikh sama didakwa bersubahat bersetuju dengan Vijayan menerima wang itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10(a)(aa) yang dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta yang sama.

Hadir bicara muka berjahit

MELAKA: Seorang ibu tunggal kepada dua anak mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di Ayer Keroh dan Alor Gajah, di sini, semalam terhadap empat pertuduhan termasuk melarikan kereta milik Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum terbabit dalam kemalangan, awal bulan lalu.
Tertuduh, Noor Fadhilah Mohd Derus, 26, dari Kampung Ampang Batu, Gadek, Alor Gajah, dekat sini, yang menggunakan alat penyokong leher dan mempunyai 20 kesan jahitan di kepala memohon dibicarakan di atas semua pertuduhan berkenaan.
Dia yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, dituduh mencuri kereta Proton Waja Campro 1.6 warna perak bernilai RM60,000 kepunyaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia Cawangan Melaka, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di hadapan rumah No 39, Jalan Jasa Merdeka 27, Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam, kira-kira jam 9 malam pada 5 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama iaitu mencuri kenderaan Toyota Avanza milik pegawai Majlis Agama Islam Melaka (Maim) bernilai RM62,000 di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Agama Maim, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah, antara jam 5 hingga 5.30 pagi pada 15 Mei lalu.

Dia turut didakwa dengan sengaja mengadakan tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-udang (lari) mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Bagi kesalahan mencuri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun, denda atau sebatan, manakala bagi kesalahan lari dari tahanan sah dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron, mencadangkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menetapkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pertama dengan seorang penjamin serta RM3,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua dan ketiga selepas tertuduh merayu dikurangkan kerana keluarganya tidak hadir untuk menjaminnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan lantikan peguam selepas tertuduh memberitahu akan melantik peguam mewakilinya pada perbicaraan itu.

Sementara itu, kehadiran tertuduh di mahkamah kira-kira jam 8 pagi mengejutkan orang ramai dan kakitangan mahkamah apabila sukar menggerakkan kepala kerana memakai penyokong leher serta mempunyai beberapa jahitan di bahagian kepalanya.
Namun, dia yang memakai jaket kelihatan tenang ketika mendengar pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa.

Pada prosiding di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 3.30 di sebelah petang pula, dia didakwa menghalang tugas penjawat awam kerana enggan berhenti ketika memandu kereta Proton Waja berkenaan selepas diarahkan anggota peronda yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 5 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Meran Anak Emai menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun mengurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 Ogos depan untuk lantikan peguam.

Harian Metro pada 7 Julai lalu melaporkan seorang wanita bertindak nekad memecut laju kereta milik JPM yang dicuri sambil dikejar enam kereta peronda polis (MPV) sejauh kira-kira 80 kilometer sebelum terbabas di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 11, Kampung Segenting, di sini.

Doktor didakwa curi topi keledar polis

BUTTERWORTH: Mah kamah Majistret Butterworth, di sini, semalam mengeluarkan perintah tahanan reman dua hari bermula semalam terhadap seorang doktor perubatan berusia 40-an yang didakwa mencuri topi keledar seorang anggota polis, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, doktor berkenaan didakwa mencuri topi keledar anggota polis terbabit yang ketika itu ditugaskan melindungi dan mengiringi kenderaan isteri suspek sebelum berhenti dan masuk ke Pejabat Pos Jalan Bagan Luar, di sini.
Pada masa itu, doktor berkenaan bertindak mencuri topi keledar anggota polis terbabit dan menyimpannya di dalam kereta Proton Savvy miliknya.

Berikutan itu anggota polis berkenaan meminta bantuan sebelum tiga anggota polis tiba di tempat kejadian.

Melalui pemeriksaan, mereka menemui semula topi keledar itu di dalam kereta milik doktor terbabit.

Bagaimanapun, suspek memecut kenderaannya ketika polis cuba menahannya dan kira-kira 30 minit kemudian suspek ditahan di Balai Polis Jalan Patani, Georgetown ketika membuat laporan polis.

Sebelum kejadian Rabu lalu, doktor terbabit dipanggil mahkamah untuk menandatangani bon berkelakuan baik di bawah Akta Keganasan Rumahtangga kerana mengganggu dan memukul isterinya.

Bagaimanapun, perbicaraan kes itu ditangguhkan pada 28 Julai depan berikutan Majistret bercuti kerana menghadiri kursus.

Banglo sorok budak

KUCHING: Sebuah banglo yang terletak di kawasan perumahan mewah Richmond Hill, Jalan Stampin Tengah di sini, dipercayai menjadi transit sindiket seludup dan jual bayi yang dibongkar polis negeri ini sejak Isnin lalu.
Dalam kejayaan terbaru, seorang daripada dua kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 12 tahun yang diselamatkan polis adalah hasil kejayaan serbuan ke atas banglo terbabit, kira-kira jam 5.30 pagi semalam. Satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Desa Wira, di sini. Susulan penemuan dua kanak-kanak itu, polis menahan reman seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya, masing-masing berusia 65 dan 43 tahun. Turut direman enam suspek berusia antara 21 hingga 30 tahun termasuk seorang wanita warga Indonesia.
Difahamkan, penahanan reman itu adalah kerana Datuk dan isterinya dipercayai dalang utama selepas polis Sarawak menahan enam suspek pagi kelmarin. Bagaimanapun, selepas penahanan itu, pasangan berkenaan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) untuk memberi keterangan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Huzir Mohamed berkata, pasangan itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Katanya, serbuan itu selepas polis menerima maklumat dan menemui dua kanak-kanak, masing-masing di premis berkenaan serta di Desa Wira.

“Selain ahli perniagaan dan isterinya, enam lagi direman berusia antara 20 hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Penemuan terbaru itu menjadikan enam kanak-kanak dan bayi berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan yang beroperasi di bandar raya ini.

Kelmarin, tiga bayi berusia antara 27 bulan hingga dua tahun 11 bulan berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah.

Penemuan bayi itu susulan penahanan wanita Indonesia bersama lelaki tempatan dan menemui bayi perempuan berusia 23 bulan dipercayai diseludup dari negara jiran di Bandar Baru Batu Kawa , Isnin lalu.

Tinjauan Harian Metro ke atas rumah pasangan berkenaan semalam, mendapati keadaannya sunyi seolah-olah tiada penghuni.

Keadaan sunyi itu dipercayai memudahkan kegiatan itu dijalankan selain kedudukan pintu masuk utama tersembunyi. Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah reman kira-kira jam 10 pagi semalam.

Penjenayah belasah pengawal

BAHAU: Dua penjenayah membelasah seorang pengawal keselamatan sebelum melarikan tiga pucuk senjata jenis pump gun di dalam stor sebuah ladang di sini, tengah malam semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, dua penjenayah terbabit dikatakan menyerang mangsa menggunakan objek sehingga pengsan.
Mangsa berusia 40-an yang diserang itu tidak sedarkan diri kira-kira 10 minit dan sebaik terjaga dia mendapati tiga senjata berkenaan hilang.

Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Kempunan jeruk petai

IPOH: “Arwah ada memberitahu dia teringin makan jeruk petai ketika pulang ke rumah ibu mentua di Kampung Bendang Man, Sik, Kedah pada malam Selasa lalu. Bagaimanapun, arwah tidak sempat menjamah makanan kegemarannya itu kerana ibunya belum menyediakan jeruk berkenaan.
“Bagi memenuhi keinginan itu, saya sempat menyediakan bekalan sarapan 10 papan petai dan nasi goreng ketika dia (arwah) keluar bekerja pagi semalam (kelmarin),” kata Zulhanizah Abd Halim, 32, isteri kepada Allahyarham Koperal Mohd Din Derasah, 36, yang maut tertembak senjata rakan dalam operasi di Pulau Chiong, Banding, Gerik kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Zulhanizah yang menetap di Taman Desa Anggerik, Baling, Kedah, berkata arwah tidak banyak menunjukkan perubahan sebaliknya dia kerap menelefon ke rumah malam semalam bagi menanyakan khabar saya dan anak-anak.

“Saya menerima panggilan kematian arwah kira-kira jam 7.15 pagi tadi (semalam). Pada mulanya, saya tidak percaya kerana arwah baru saja menghubungi saya malam semalam (kelmarin),” katanya di Bilik Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), petang semalam.

Katanya, dia seakan-akan tidak percaya sebaik berita kematian arwah disampaikan pegawai yang bertugas di kem berkenaan. Menurutnya, sepanjang mengharungi alam perkahwinan bersamanya, arwah adalah seorang yang ceria dan sering melawak bersama anak-anak menyebabkan suasana rumah riuh rendah dengan gelak tawa. Arwah meninggalkan tiga anak masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Siti Zuhairah, 12, Mohd Farhan, 9 dan Mohd Fauzan, 5.

Zulhanizah berkata, arwah mula berkhidmat di Batalion 3, Rejimen Sempadan, Kem Pengkalan Hulu sejak tahun 1996 dan kali terakhir ditugaskan menjaga sempadan di Pulau Chiong, Banding.

Jenazah Mohd Din dikebumikan di Kampung Bendang Man, Sik, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, mangsa maut selepas seorang rakan setugasnya secara tidak sengaja melepaskan tembakan ke arahnya (mangsa) ketika sedang membuat rondaan sempadan di Banding sekitar Tasik Temenggor.

Beliau berkata, mangsa tertembak di bahagian kepala dalam jarak 15 meter dan senjata yang digunakan dipercayai jenis senapang patah.

Bapa lebih tunjuk sifat penyayang

BANDAR BAHARU: “Seminggu sebelum mendaftar masuk ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) untuk sesi baru, abah bersungguh-sungguh memasak nasi tomato untuk kami sekeluarga.
“Dua hari sebelum kejadian, abah telefon bertanya khabar dan wang belanja, saya dapat rasakan perubahan sikapnya apabila lebih sayangkan anak berbanding biasa sama ada percakapan atau perbuatan,” kata anak kedua Allahyarham Sarjan Saidin Mohd Dom, 50, yang terbunuh dalam kejadian letupan bom di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, kelmarin.
Norhafiz Saidin, 22, yang mengambil jurusan Pengajian Maklumat di UiTM Shah Alam, Selangor berkata, bapanya juga kurang bercakap sejak akhir-akhir ini tetapi memberi perhatian lebih kepada mereka sekeluarga.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, meskipun bapanya tegas mendidik anak tetapi arwah seorang bapa dan ketua keluarga yang penyayang serta bertanggungjawab.

“Saya terkejut dengan berita menimpa abah selepas dihubungi adik memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas pulang ke Ipoh.

“Kehilangan abah begitu dirasai kami adik-beradik,” katanya ditemui selepas upacara pengebumian mangsa di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tok Gula, di sini, semalam.

Darah keluar dari perut

IPOH: “Sebaik tersedar daripada kejutan letupan itu, saya melihat darah mencurah keluar dari luka di perut akibat terkena serpihan bom,” kata Sarjan Saad Salleh, 57, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Saad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larut, Matang dan Selama (LMS) berkata, sepanjang tempoh 30 tahun pengalamannya dengan Unit Bom, itu insiden pertama dia tercedera ketika menjalani latihan.
“Insiden itu berlaku terlalu pantas. Ketika kejadian, saya dan empat rakan setugas sedang menguji peralatan baru memusnahkan bom dan kami berada kira-kira 70 meter dari kawasan tapak bom diletupkan.

“Tiba-tiba letupan berlaku menyebabkan kami tercampak. Sebaik sedar daripada kejutan akibat letupan itu, saya rasa kesakitan yang amat sangat di perut seperti dibelah dengan pisau. “Ketika itu, saya lihat Sarjan Saidin Mohd Dom rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya menceritakan detik cemas kejadian letupan mengorbankan seorang anggota polis di Kampar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Saidin, 50, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kampar (HK) kira-kira jam 6.30 petang manakala empat cedera termasuk seorang parah.

Saad dipindahkan ke HRPB dari HK untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan serius di perut dan beberapa anggota badan manakala Sarjan Zulkifli Ijum dari IPD Ipoh, Koperal Kamaruddin Ismail dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam dan Lans Koperal Mohd Nor Firdaus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar. Semua mangsa adalah sebahagian 40 anggota polis yang menjalani latihan memusnahkan bom di lapang sasar IPD Kampar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan berhubung punca kejadian itu masih dijalankan.

PGA rampas 36 guni benih kerang yang cuba diseludup

BUKIT KAYU HITAM: Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki yang cuba menyeludup benih kerang ke Thailand bernilai RM10,800 dalam dua tangkapan berasingan di pusat pemeriksaan Bukit Kayu Hitam.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Roslan Md Noor berkata, dalam kes pertama pada 3 Julai lalu, seorang lelaki berumur 40-an ditahan ketika cuba memasuki Thailand kerana membawa 20 guni benih kerang dengan berat 665 kilogram bernilai kira-kira RM6,000.
"Lelaki yang menaiki kereta jenis Honda itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan atas kesalahan yang sama iaitu cuba menyeludup 16 guni benih kerang dengan berat 560kg bernilai RM4,800 kira-kira jam 7.15 petang semalam.

"Lelaki yang manaiki kereta jenis Proton itu juga ditahan semasa melalui pusat pemeriksaan Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand," katanya.

Roslan yang juga Pegawai Medan Operasi Bukit Kayu Hitam berkata hasil pemeriksaan mendapati benih kerang itu dibawa dari Perak dan akan dijual di pasaran Thailand.

"Seguni benih kerang yang mempunyai berat 35kg akan dijual dengan harga RM350 di pasaran Thailand. Guni-guni benih kerang itu diletakkan dalam but kereta, tempat duduk belakang dan tempat duduk sebelah pemandu. Kereta-kereta itu telah diubahsuai supaya boleh memuatkan guni-guni tersebut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki rakyat tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985.

"Benih-benih kerang itu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah," katanya. -Bernama

Pelajar dilapor hilang sebenarnya ditahan di China kerana dadah

KUALA LUMPUR: Seorang gadis tempatan yang dikhuatiri menjadi mangsa sindiket keldai dadah atau dijual ke negara asing selepas dilaporkan hilang sejak Mei lalu, sebenarnya ditahan pihak berkuasa China kerana dakwaan mengedar dadah.
Christina Luke Niju, 22, telah ditahan di lapangan terbang di China oleh Biro Narkotik Anti Pengedaran Dadah negara itu pada 29 April lepas kerana dituduh membawa dadah yang disembunyikan dalam beg tangannya.
Pelajar sebuah politeknik di Kuching itu, yang berasal dari Sandakan, Sabah, kini ditahan di Pusat Tahanan Hainan, Danzhou, dan menanti tarikh perbicaraan kesnya yang dipercayai akan berlangsung akhir bulan ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, semua maklumat itu diperoleh dari pejabat Konsulat Malaysia di sana selepas arahan dikeluarkan oleh Wisma Putra untuk mengesan pelajar itu.

"Ketika ini Konsulat Jeneral Malaysia sedang bekerjasama dengan pentadbiran pusat tahanan itu bagi mengetahui keadaan dan status Christina," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Selepas kebenaran diberikan, barulah kita akan melakukan usaha untuk menemukan semula pelajar itu dengan keluarganya dan berbincang untuk proses membawanya pulang ke tanah air," katanya.

Dua hari lalu, bapa pelajar itu, Luke Niju anak Panjang, mengadu bahawa anaknya hilang sejak Mei lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki Afrika bernama James.

Lelaki itu dipercayai membawa Christina ke China dan meninggalkannya sebelum pelajar itu menghubungi rakan sebiliknya melalui e-mel dan memberitahu bahawa dia dalam masalah dan tidak mempunyai wang untuk pulang.

Chong berkata, beliau percaya James masih berada di Malaysia menggunakan visa pelajar untuk memasuki ke negara ini dan menyasarkan pelajar kolej sebagai mangsa menerusi Internet.

"Ini membuktikan ada warga Afrika menyalahgunakan visa pelajar untuk menjerat gadis Malaysia terutama pelajar kolej untuk dijual kepada sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya.

Chong berkata, beliau dimaklumkan oleh wakil pejabat Konsulat Malaysia bahawa tujuh wanita Malaysia sudah disabitkan kesalahan mengedar dadah di China sejak tahun lalu dan semuanya kini dipenjara seumur hidup di sana.-Bernama

Lelaki dipercayai pengedar dadah di Pekan ditahan

PEKAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di sekitar Pekan ditahan selepas didapati memiliki 280 gram dadah jenis heroin.

Ketua Polis Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, suspek berusia 19 tahun, kini ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam kejadian jam 1 tengah hari dua hari lalu, lelaki berkenaan ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Shah Bandar dan hasil pemeriksaan awal, pihak polis menemui satu paket dipercayai dadah jenis heroin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek kemudian membawa pihak polis ke rumah sewanya di Peramu Jaya.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menjumpai 1 plastik hitam yang mengandungi 150 paket plastik lutsinar dipercayai heroin, semua heroin berkenaan dianggarkan berjumlah 280 gram dan dianggarkan bernilai RM15,000," katanya.

Beliau berkata, pihak polis turut menemui alat timbang elektronik dan bungkusan plastik yang berisi plastik-plastik kecil yang masih belum digunakan di bahagian dapur rumah itu.

Pihak polis percaya penahanan lelaki berkenaan akan dapat membendung
pengedaran dadah di kawasan Pekan. -Bernama

Luna Maya dicekup polis

JAKARTA: Polis Indonesia mengesahkan pasangan ranjang Ariel Peterpan, Luna Maya, ditahan.
Jurucakap Polis Indonesia, Marwoto Soeto, berkata penyampai televisyen itu diberkas ketika dia datang menemui pihak berkuasa untuk disoal siasat.
“Luna Maya ditahan pada malam Rabu, iaitu sehari selepas disoal siasat,” katanya Marwoto berkata, penahanan itu dibuat apabila Luna Maya tidak memberikan kerja sama kepada polis yang menjalankan siasatan ke atasnya.

Khabar mengenai penahanan Luna Maya mula tersebar kelmarin tetapi pihak berkuasa tidak mengesahkannya.

Sumber berkata, Luna Maya pergi menemui pasukan penyiasat kes video lucahnya pada pagi kelmarin dan tidak dibenarkan pulang.

Tangkapan terbaru itu menjadikan Luna Maya individu kedua diberkas selepas Ariel.

Pada 22 Jun lalu, Ariel yang popular dengan lagu Ada Apa Denganmu itu diberkas dan disahkan bakal dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa mengikut undang-undang antipronografi Indonesia.

Jika didapati bersalah, Ariel boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 12 tahun. - Agensi

Cut Tari harap siasatan ke atasnya dihentikan

JAKARTA: Seorang lagi pasangan ranjang Ariel, Cut Tari, meminta polis berhenti menyiasat kesnya selepas membuat pengakuan wanita yang muncul dalam video seks vokalis Peterpan itu adalah dirinya.
Peguam Cut Tari, Hotman Paris, berkata penyampai televisyen berusia 32 tahun itu mengambil sikap berbeza berbanding Luna Maya.
Katanya, Cut Tari mengakui dirinya mengadakan hubungan seks seperti dipaparkan klip berkenaan.

Sehingga kini, Luna Maya bersikap berdiam diri dan tidak menafikan atau mengakui dia mengadakan hubungan seks dengan Ariel.

Kata Hotman, pihaknya berharap menerima pengesahan polis untuk menghentikan penyiasatan berkenaan tidak lama lagi.

“Cut Tari hanyalah mangsa dalam kes ini,” katanya.

Dalam pengakuan sebelum ini, Cut Tari berkata, dia tidak pernah mengizinkan Ariel merakam aksi mereka.

“Malah, saya menolak tangan Ariel ketika dia menghalakan kamera pada telefon bimbitnya.

“Dia meletak telefon itu ketepi tetapi saya tak menyangka dia berjaya merakamnya juga,” katanya.Kata Hotman, sehingga kini polis belum memanggil anak guamnya untuk disoal siasat.

“Polis berhak memanggil Cut Tari pada bila-bila masa, tapi untuk apa lagi? Bukankah dia sudah mendedahkan semua yang sepatutnya?” katanya. - Agensi

Banjir besar ancam China

BEIJING: China mungkin berdepan bencana banjir terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun jika hujan berterusan melimpahi sungai Yangtze akibat ribut tropika yang melanda pantai selatan negara itu.
Menurut sumber di pejabat kawalan banjir Suruhanjaya Sumber Air Sungai Yangtze, keadaan di sepanjang saliran terpanjang di China itu dilaporkan kritikal.
“Sekiranya hujan lebat masih berterusan dikhuatiri air sungai akan melimpah dan lembangan sungai Yangtze akan mengalami banjir sama seperti yang berlaku pada 1998 dulu.

“Ditambah dengan bencana taufan Conson yang melanda China sekarang, keadaan di lembangan sungai Yangtze akan menjadi lebih buruk,” kata sumber itu. China mengalami bencana banjir besar pada 1998 apabila air di lembangan sungai Yangtze yang memisahkan wilayah utara dan selatan negara itu melimpah. - AFP

Pencabul baru bebas jel cabul murid 10 tahun

SABAK BERNAM: Seorang pencabul bersiri yang baru dibebaskan Januari lalu selepas meringkuk lima tahun dalam penjara, sekali lagi ditahan kelmarin selepas dia disyaki terbabit kes cabul seorang murid berusia 10 tahun.
Lelaki berusia 53 tahun dan pernah dihukum sebat itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari di pekarangan tempat letak motosikal Hospital Teluk Intan, Perak, oleh sepasukan anggota Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam diketuai Cif Inspektor R Subramaniam.
Suspek yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak itu memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau termasuk menipu, mencuri, cabul dan rogol.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata satu unit khas ditubuhkan bagi mengesan suspek sejak seminggu lalu sejurus polis menerima laporan kejadian cabul membabitkan murid tahun empat sebuah sekolah di Jalan Raja Chulan, Sabak, pada kira-kira jam 5.30 petang 7 Julai lalu.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai pulang bersendirian dari sekolah dengan menunggang basikal sebelum bertemu suspek.

“Suspek dipercayai memperdaya mangsa sebelum membawanya masuk ke dalam kawasan belukar dan menanggalkan pakaian dan mencabulnya.

“Selepas dicabul mangsa ditinggalkan bersendirian sebelum ditemui seorang rakan bapanya,” katanya di sini, semalam.

Ayah tenat mahu bertemu nenek

KUALA LUMPUR: Seorang anak yang kini tenat dan terlantar di hospital menyimpan hasrat untuk bertemu ibu tercinta sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas lebih dua tahun terpisah.
Salleh Abd Hamid, 64, kini terlantar di sebuah hospital swasta di Shah Alam akibat komplikasi jantung dan paru-paru manakala doktor meramalkan harapan untuk pulih tipis.
Anak Salleh, Ahmad Fadhli, 34, berkata bapanya selalu memanggil nama nenek, Che Gayah Awang, 82, membuatkan dia ingin mencarinya walaupun nenek hilang sejak 2008.

“Kami sekeluarga giat berusaha mencari nenek di rumah saudara-mara, pusat kebajikan dan rumah orang tua, namun sehingga sekarang belum berhasil,” katanya ketika ditemui bersama isterinya, Nur Saniah Abdul Wahab di sini, semalam.

Ahmad Fadhli berkata, neneknya itu sudah nyanyuk dan mula tinggal dengan bapanya di Klang sejak 1997 selepas datuknya meninggal dunia.

“Pada hari kejadian, nenek keluar rumah sehelai sepinggang termasuk tidak membawa pengenalan diri, wang serta sebuah diari yang selalu dibawanya,” kata Ahmad Fadhli.

Menurutnya, laporan polis juga sudah dibuat adiknya sebelum ini di Klang berhubung kehilangan terbabit.

Ahmad Fadhli berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai neneknya itu memaklumkan kepada balai polis berhampiran.

PPDNKK Taiping rampas barang cetak rompak dan tiruan setengah juta ringgit



IPOH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah Taiping merampas pelbagai barangan cetak rompak dan tiruan bernilai lebih setengah juta ringgit membabitkan 67 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Cawangannya, Basharuddin Mohiyuddin berkata, kesalahan itu membabitkan Akta Hak Cipta 1987 sebanyak 27 kes, Akta Perihal Dagangan (13 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (27 kes).

Katanya, kesalahan di bawah Akta Hak Cipta (AHC) pula membabitkan rampasan VCD, CD dan DVD keseluruhan sebanyak 52,854 keping bernilai kira-kira RM391,290.

"Sementara itu, kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) pula membabitkan rampasan VCD,CD dan DVD sebanyak 4,546 keping bernilai RM34,728.

"Manakala, rampasan kasut tiruan pelbagai jenama sebanyak 703 pasang, baju berjenama Nike dan Adidas (40 helai), seluar jeans jenama Levis (43 helai) membabitkan nilai keseluruhan RM23,000. Turut dirampas dalam operasi terbabit ialah bekalan diesel sejumlah 43,510 liter bernilai RM73,967," katanya ketika ketika dihubungi hari ini.

Basharuddin berkata, kesemua hasil rampasan itu diperolehi menerusi operasi di sekitar daerah ini termasuk di lokasi tumpuan awam seperti premis perniagaan, pasar malam dan pasar harian.

"Kami akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan menjual barangan cetak rompak dan tiruan dapat dihapuskan sekali gus menyelamatkan pengguna dari ditipu," katanya.

Dalam operasi terbaru dijalankan di Kamunting pada 12 Julai lalu, PPDNKK Taiping berjaya menahan seorang lelaki berusia 20-an di sebuah premis dan merampas lima ribu keping DVD cetak rompak bernilai RM50,000.

Basharuddin berkata, lelaki terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut kesalahan Akta Hak Cipta 1987 iaitu mempamerkan barangan cetak rompak untuk jualan.

"Jika sabit kesalahan, setiap keping DVD cetak rompak yang dirampas di kenakan denda RM2,000 sehingga maksimum keseluruhan RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Setelah disiasat, premis berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan sama sebelum ini," katanya.


Niat mandi bertukar tragedi



POKOK SENA - Seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di sini lemas di dasar kolam tapak pembinaan yang sedang dibina untuk tujuan loji kumbahan, petang kelmarin. 

Mangsa, Tan Chu Kit, 11, dipercayai mati di dalam kolam tersebut yang berselut selepas dia terjun dari pembetung untuk mandi di situ. 

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kiew, Zakaria Ismail berkata, beliau difahamkan oleh penduduk kampung bahawa mangsa yang tinggal di Taman Damai sering kelihatan bermain di kawasan berkenaan sebelum ini. 

Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran kolam tersebut sedar akan kehadiran sekumpulan kanak-kanak tersebut dan pada kebiasaannya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini sebelum salah seorang daripada mereka meluru kepada seorang penduduk untuk meminta tolong. 

“Saya difahamkan oleh penduduk kampung, mangsa berdiri di atas pembetung sebelum terjun ke dalam kolam dan apabila terjun, mangsa tidak timbul dan ia mungkin disebabkan terlekat di dalam selut yang berada di dasar kolam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu menggamitkan suasana di kawasan sekitar dan menyebabkan penduduk hadir untuk melihat apa yang berlaku. 

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Tan Yong Van, 17, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berkata, sewaktu kejadian, dia dan ibunya, Susila Dewi, 42, berada di kilang bihun yang berdekatan sebelum dimaklumkan oleh penduduk mengenai kejadian tersebut. 

Menurutnya, dia dan keluarganya tidak tahu bahawa adiknya selalu bermain di kawasan tapak kolam tersebut. 

“Sewaktu kejadian saya dan ibu berada di kilang bihun berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kepada kami dan tidak menyangka perkara yang buruk akan menimpanya,” katanya. 

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tenggelam di dalam kolam tersebut dijumpai oleh penduduk yang turun untuk mencarinya dan mayat mangsa dihantar oleh pihak polis ke HSB untuk dibedah siasat.

Penuntut UiTM Shah Alam tewaskan peragut



SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki meragut beg seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Persiaran Raja Muda di sini, pagi tadi membawa padah apabila dia kemudiannya dikejar oleh pelajar itu dan akhirnya berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semasa pelajar yang berumur 23 tahun itu sedang dalam perjalanan ke kampusnya dengan menaiki motosikal. 

Beliau berkata, suspek yang juga menunggang motosikal bertindak meragut beg mangsa yang diletakkan di dalam raga motosikal sebelum mangsa kemudian bertindak mengejar suspek dengan motosikalnya sejauh kira-kira 1.5 kilometer.

"Apabila tiba di satu bulatan U berdekatan dengan deretan kedai di Jalan Jati, Seksyen 3, mangsa telah melanggar motosikal suspek menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh dari motosikal masing-masing.

"Selepas terjatuh, mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong dan orang awam termasuk dua pegawai polis yang sedang minum di sebuah restoran di deretan kedai berkenaan meluru ke arahnya untuk membantu dan seterusnya menahan suspek," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, suspek kemudian dibawa ke balai polis dan mangsa yang mengalami cedera ringan membuat laporan polis.

Beliau berkata, penahanan suspek berusia lewat 20-an yang didapati mempunyai lima rekod kesalahan lampau itu turut berjaya membantu polis menyelesaikan lima kes ragut di sekitar bandar raya ini.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Noor Azam mengucapkan terima kasih kepada pelajar berkenaan dan pihak yang membantu dua pegawainya menangkap suspek semasa kejadian.

Pekerja maut di kuari



CHEMOR – Seorang pengendali jengkaut yang sedang melakukan tugas pembersihan di lereng bukit batu kapur sebuah tapak kuari di Khantan di sini, semalam, maut apabila sebuah bongkah batu secara tiba-tiba menghempap jentera yang dikendalikannya. 

Penolong Penguat kuasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Nazri Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Hairul Anwar Nizam Harun, 30, yang berasal dari Kelantan dikatakan terperosok akibat dihempap bongkah batu berkenaan. 

“Kita menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kejadian ini berlaku berdekatan puncak bukit kawasan kuari berkenaan. 

“Kita terpaksa berhati-hati dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa berkenaan kerana keadaan tanah yang kurang stabil. Kekangan cuaca turut menyebabkan urusan mengeluarkan mangsa sedikit perlahan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Usaha pihak media untuk mendapat gambaran lanjut turut dihalang oleh pihak pengurusan kuari terbabit kerana ia berlaku di kawasan milik persendirian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kemalangan industri. 

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.30 petang oleh sekumpulan 15 anggota bomba dan penyelamat di kawasan berkenaan,” katanya.

Nenek mangsa cabul




KUALA PILAH - Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an bertindak gila apabila nafsu menguasai pemikirannya sehingga tergamak menjadikan wanita bergelar nenek yang menoreh getah sebagai sasaran melepaskan nafsu serakahnya, di sini. 

Lelaki terbabit secara tiba-tiba mendekati mangsa yang ketika itu berseorangan, sebelum menolaknya sehingga terjatuh. 

Menurut sumber, sebaik sahaja nenek berumur 68 tahun terjatuh, lelaki itu menindih badan wanita malang itu yang ketakutan dan tidak berani melawan. 

Kemudian, lelaki terbabit bertindak ganas membuka pakaian mangsa tetapi nenek berkenaan berusaha menolak keinginan lelaki itu yang mahu melakukan hubungan seks bersamanya. 

Lelaki yang dikatakan mempunyai beberapa anak itu tidak berputus asa walaupun hasratnya ditolak. 

Selang beberapa minit mencabul mangsa, suspek akhirnya mengalah dan meninggalkan wanita itu di ladang getah terbabit.

Wanita yang terkejut dengan perbuatan suspek bergegas pulang ke rumah kerana takut diperlakukan seperti itu lagi dan membuat laporan polis tidak lama kemudian.

Difahamkan, sepasukan polis yang menerima maklumat melakukan siasatan lanjut sebelum memberkas suspek di sekitar lokasi kejadian sehari selepas laporan diterima.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Suprintendan Jaafaf Baba mengesahkan kejadian jam 7.30 pagi, Sabtu lalu dan siasatan masih dijalankan.

“Suspek sudah ditahan dan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 06-484 2222," katanya.

Maut dikelar




PUCHONG – Misteri seorang pekerja pusat jualan cakera padat video (VCD) yang menutup kedainya lebih awal berbanding kebiasaannya terjawab selepas mayatnya ditemui dibunuh dengan kejam dengan kesan kelar di leher selain beberapa kesan lebam di tubuh badan. 

Lebih menyayat hati bahagian kepala mangsa yang ditemui penyelianya di sebuah bilik dalam premis yang sama turut ditoreh selain dipercayai dipukul dengan objek keras. 

Peniaga burger di kawasan berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ju berkata, dia terkejut apabila penyelia pusat jualan itu datang ke gerainya untuk bertanya sama ada dia ada melihat kelibat mangsa selepas mendapati kedai jualan VCD itu sudah ditutup. 

Katanya, kebiasaannya kedai itu hanya ditutup pada jam 1 pagi namun penyelia itu terkejut apabila pada jam 10 malam kedai tempat mangsa bekerja sudah tertutup rapat. 

“Saya memaklumkan bahawa ada melihat mangsa pada jam 8 malam sebelum mendapati kedai itu ditutup lebih awal iaitu kedai kira-kira dua jam selepas itu. Namun selepas itu saya tidak tahu apa yang terjadi sehingga penyelia yang masuk ke dalam premis tidak berkunci terbabit mendakwa menjumpai mayat mangsa. 

“Beberapa minit selepas itu sepasukan anggota polis tiba dan saya langsung tidak melihat bagaimana keadaan mangsa,”katanya yang mendakwa mangsa hampir setiap hari membeli burger di gerainya kecuali semalam. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.50 malam sebelum sepasukan anggota tiba di premis terletak di Jalan SP3/11, Taman Saujana Puchong. 

Katanya, mayat mangsa ditemui di sebuah bilik yang dikatakan menjadi tempat tinggalnya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah. 

“Tiada dompet dan identiti ditemui pada badan mangsa berusia lingkungan 40-an itu 

“Malah pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian manakala motif kejadian masih disiasat,”katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 0389481421.

800 batang balak dirampas




POKOK-POKOK balak yang ditebang merintangi anak sungai akibat aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Lenggong semalam.


LENGGONG - Kira-kira 800 batang kayu balak bernilai lebih RM250,000 yang ditebang pembalak haram dirampas dalam satu serbuan oleh Jabatan Perhutanan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Hutan Simpan Bintang Hijau dekat sini semalam.
Kayu-kayu balak termasuk yang siap digergaji itu ditemui di lapan lokasi hutan tersebut.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi yang bermula 5 pagi hingga 11 pagi itu membabitkan 21 pegawai Jabatan Perhutanan dan SPRM dari Putrajaya dan Perak.
Jurucakap Jabatan Perhutanan berkata, sebuah jentolak, sebuah jip dan mesin pemotong turut dirampas.
Bercakap kepada pemberita yang menyertai operasi itu, beliau berkata, lokasi pembalakan haram itu membabitkan kawasan tadahan air.
Katanya, kegiatan berkenaan dipercayai telah berjalan sejak beberapa minggu lepas dan berdasarkan kawasan hutan yang ditebang, dianggarkan kayu balak bernilai kira-kira RM500,000 telah dibawa keluar sebelum ini.
Beliau berkata, sindiket pembalakan haram kini menggunakan taktik baru mengabui pihak berkuasa iaitu dengan membawa kayu yang siap digergaji.

Beckham dedah cara mengurat Victora



VICTORIA


LONDON - Bintang bola sepak England, David Beckham mendedahkan cara dia mengurat Victoria semasa mereka belum menjadi suami isteri, lapor sebuah akhbar semalam.
Beckham berkata, dia pada mulanya menyangka Victoria yang terkenal dengan panggilan Posh menghendapnya selepas mereka kali pertama bertemu di ruang rehat pemain di Manchester.
Pemain itu berkata, dia kemudian berbual dengan Posh yang minum minuman keras.
"Saya kemudian membuatkan dia jatuh cinta dengan memberikannya minum lebih banyak wain," kata Beckham.
Pasangan itu menyembunyikan hubungan cinta selama tiga bulan sebelum memberitahu orang awam.
Beckham membuat pendedahan itu kelmarin pada satu temu ramah laman web Yahoo dengan Gaby Logan. - Agensi