Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Pemuda maut dilanggar lari




KULAIJAYA – Seorang pemuda maut dilanggar lari sebuah kereta dari arah bertentangan, di Kilometer 1, Jalan Kulaijaya-Kota Tinggi, kira-kira jam 8 pagi, di sini, semalam. 

Mangsa, Mohd Hafrul Bungkus, 25, dari Felda Sungai Sayong meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran simpang masuk ke Taman Mas. 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian yang membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta itu, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Senai. 

“Pada mulanya mangsa cuba elak sebuah kereta dari simpang Taman Mas yang mahu keluar ke jalan besar. 

“Bagaimanapun tindakannya menyebabkan mangsa berlanggar dengan sebuah motosikal di hadapan dan terjatuh sebelum dilanggar kereta dari arah bertentangan,” katanya. 

Zulkefly berkata, dalam kejadian sama, penunggang motosikal yang berada di belakang kereta terbabit turut mengalami cedera ringan selepas melanggar belakang kenderaan itu. 

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hospital Seri Maharaja Temenggong Tun Ibrahim, untuk dibedah siasat. 

Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diseru untuk tampil membantu pihak polis menjalankan siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah Kulaijaya di talian 07-6632222 sambungan 6476.

Bisikan di tengah laut



YAN - Empat hari tiga malam terkandas di tengah laut tanpa makan minum diiumpamakan seorang nelayan, Abdul Rahman Abdul Rani, 48, seperti mati hidup semula.

“Saya sendiri tak sangka akan selamat balik,” katanya dari Kampung Singkir Paya, dekat sini.

Abdul Rahman berkata, ketika kejadian lewat petang 5 Julai lalu, dia belayar seorang diri membawa bot yang baru dibelinya di Kuala Juru, Seberang Perai ke Kuala Singkir Laut, di sini.

“Saya pergi berdua dengan seorang rakan, Abu Osman Mustafa dan kami balik berasingan. Ketika berada kira-kira tujuh kilometer dari pantai Kuala Muda, datang ombak besar menyebabkan saya terpaksa melabuhkan sauh untuk menstabilkan kedudukan bot,” katanya.

Ombak itu, kata Abdul Rahman disusuli taufan selama kira-kira sejam.

“Saya tterkandas apabila enjin bot tidak berfungsi akibat dimasuki air dan terpaksa menunggu hingga hari cerah,” katanya.

Esoknya, Abdul Rahman tiba-tiba mendapati botnya sudah berada di tengah laut. “Daratan langsung tidak kelihatan. Pulau Pinang yang sebelum itu dapat dilihat juga sudah hilang entah ke mana. Sauh pula tergantung kerana saya berada di laut dalam,” katanya.

Apa yang menemani Abdul Rahman ketika itu hanya ayat al-Quran, zikir serta wajah isteri dan anak-anaknya yang bersilih ganti.

“Esoknya, satu lagi ombak besar yang dipanggil ‘ombak tujuh beradik’ setinggi kira-kira lima meter, menghempas bot saya. Saya ikat tong ikan pada lengan untuk ganti pelampung dan sembunyi pada dek yang sedikit terlindung. Ketika itu, hanya maut yang terbayang,” katanya.

Meskipun begitu dahsyat serangan ombak berkenaan, namun Abdul Rahman terselamat.

Pada hari ketiga, keadaan cuaca yang cerah membantunya mendapat petunjuk arah. Abdul Rahman menggunakan papan tudung kotak sebagai ganti layar untuk membawa botnya ke arah daratan.

“Saya basahkan badan dengan air laut kerana saya sudah hilang banyak air akibat tidak makan dan minum. Tapi dengan berkat zikir dan ayat al-Quran, saya tidak pula berasa lapar,” katanya.

Pada hari keempat, Abdul Rahman dapat melihat daratan yang akhirnya diketahui adalah Pulau Bidan.

“Dari sana, saya dibantu sebuah bot pukat tenggiri untuk pulang ke Kuala Singkir. Saya selamat sampai kira-kira jam 6.15 petang Khamis, 8 Julai selepas empat hari tiga malam terkandas,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, kata Abdul Rahman, dia mengalami beberapa kejadian misteri termasuk mendengar bisikan supaya turun dari bot kerana sudah ‘sampai’ ke darat. “Setiap kali nak lelap, ada suara suruh saya minum air laut jika mahu terus hidup. Saya juga dengar orang bercakap-cakap di dalam bot sedangkan saya seorang diri ketika itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia juga ditemani sekumpulan ikan senangin dan tenggiri yang mengelilingi botnya pada hari ketiga.

Sementara itu, Abu Osman, 57, berkata, Abdul Rahman sepatutnya tiba di Kuala Singkir kira-kira jam 8 malam 5 Julai.

“Kerana dia tidak sampai hingga jam 10 malam, saya buat laporan polis setengah jam kemudian,” katanya.

Lima rumah kedai musnah



KUALA LUMPUR - Satu deretan lima rumah kedai musnah dalam satu kebakaran di Taman Sri Keramat di sini petang semalam. 

Antara yang musnah dalam kejadian itu ialah kedai runcit, kedai gunting rambut, dan beberapa bilik sewa. 

Beberapa pemilik rumah kedai mengalami kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barang berharga. 

Mangsa, Mohd Nafis M Nawi berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan terkejut menerima panggilan isterinya yang berada di kedai. 

“Saya menerima panggilan daripada isteri yang menjaga kedai runcit kira-kira 2.15 petang. Saya yang mengambil anak dari sekolah, bergegas ke kedai runcit dan melihat api marak cepat. Kerugian kami sekeluarga dianggarkan kira-kira RM200,000. Mujurlah isteri saya berjaya menyelamatkan diri,” katanya. 

Sementara itu, Abdul Halim Zulkifly yang tinggal di rumah atas salah sebuah kedai berkata, kejadian kebakaran itu dimaklumkan oleh anaknya yang berada di rumah.

Kuah sate perisa katak



PERMATANG BADAK - “Cucu saya nyaris termakan seekor anak katak dalam kuah sate yang baru dibeli oleh menantu saya,” kata Zakaria Nor Mohd, 51, yang bersyukur cucunya, Nurul Elyana Maisara, 6, tidak makan anak katak tersebut memandangkan hampir separuh kuah sate itu dimakannya.

Nurul Elyana yang ternampak anak katak itu terus muntah dan tidak lalu makan kerana kegelian.

Sate yang dibeli berhadapan dengan sebuah pasar raya di sini adalah salah satu tempat kegemaran mereka sekeluarga membeli sate.

“Cucu saya ini gemar makan sate, kalau dah makan tak pandang kiri kanan tetapi kebetulan pula dia terlihat anak katak tersebut lalu terus termuntah.

“Saya risau jika cucu saya ini termakan anak katak itu kemungkinan dia boleh keracunan dan menjadi satu masalah pula kepada kami,” katanya.

Zakaria kesal dengan sikap sambil lewa peniaga yang menjual sate ini yang tidak menitikberatkan soal kebersihan makanan mereka walaupun sudah lama berniaga.

Menurutnya, usaha untuk menelefon peniaga terbabit gagal dan dia mahu tidak ada orang lain akan mengalami nasib yang sama seperti cucunya itu.

Zakaria berkata, peniaga tersebut perlu menjaga kualiti produk mereka yang mempunyai pelanggan tetap dan memperoleh pendapatan lumayan hasil daripada jualan sate tersebut.
“Saya kecewa apabila kejadian seumpama ini berlaku kepada kami kerana sebelum ini di tempat yang sama juga kami membeli sate,” katanya.

Sementara itu, dia belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga tersebut. 

Bagaimanapun dia mahu orang ramai berwaspada dengan makanan yang dibeli oleh mereka agar tidak ada lagi kejadian seumpama ini berlaku.

“Saya juga berharap agar pihak yang bertanggungjawab memantau semua gerai dan peniaga yang menjalankan perniagaan menjual makanan ini agar kebersihan dan mutu makanan tersebut terjamin,” katanya.

Rogol gadis bawah umur



KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini semalam menyaksikan seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dikenakan 14 sebatan setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur. 

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama serta hukuman 14 tahun penjara dan tujuh sebatan bagi pertuduhan kedua terhadap Mohd Zain Deraman, 42, dari Kampung Limbat, Kubang Kerian. 

Rofiah turut mengarahkan hukuman penjara untuk tempoh berkenaan berjalan secara serentak berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu semalam. 

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Mohd Zain didakwa merogol seorang perempuan Melayu berusia 12 tahun tujuh bulan pada 20 September 2003. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Likong, Limbat dekat Kubang Kerian kira-kira jam 12 tengah hari. 

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Zain didakwa merogol mangsa yang sama di rumah yang sama pada awal bulan Disember 2003 kira-kira jam 10 malam. 

Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. 

Dalam prosiding semalam, Mohd Zain diwakili peguam Mohd Yusoff Yaacob sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

20 korban taufan Conson

MANILA: Taufan Conson membadai Filipina awal pagi semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan memusnahkan beberapa pekan kecil.
Taufan itu juga menyebabkan kegiatan di bandar raya Manila terhenti.
Kira-kira 60 orang turut dilapor hilang.

Taufan itu mula melanda negara Asia Tenggara itu lewat malam kelmarin sebelum membadai Luzon, pulau utama Filipina dengan angin selaju 120 kilometer sejam.

“Bunyi angin itu seperti kanak-kanak menjerit,” kata Rigor Sambol, 52, bapa enam anak yang tinggal di pekan kecil tepi pantai di pinggir Manila.

“Ia begitu kencang hingga rumah sampan kami hampir terbalik. “Saya terpaksa membawa anak-anak ke gim berhampiran,” katanya.

Beberapa rumah yang didirikan oleh setinggan di sepanjang pantai musnah sama sekali, menyebabkan penduduk yang terkejut bergegas mencari kayu untuk membina tempat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa berkata, 20 orang disahkan mati, termasuk dua setinggan yang dihempap rumah mereka.

Lima puluh tujuh nelayan dilapor hilang sementara tiga penduduk yang dipercayai hanyut di selatan Manila masih belum ditemui, kata sumber tentera.

Pegawai bantuan bencana berkata mereka masih berusaha memastikan jumlah kerosakan sebenar dan terdapat kebimbangan jumlah kematian mungkin meningkat.

Conson juga menyebabkan bekalan elektrik di Pulau Luzon terputus sama sekali, termasuk di Manila.
Syarikat pembekal tenaga, Meralco berkata, lebih 90 peratus daripada 12 juta penduduk Manila masih belum mendapat bekalan elektrik sehingga petang semalam.

Sistem kereta api di bandar raya berkenaan juga dihentikan kerana keputusan bekalan itu.

Filipina terletak di kawasan lingkaran taufan Pasifik. Kira-kira 20 taufan membadai negara itu setiap tahun, menyebabkan beratus-ratus penduduk terbunuh.

Conson ialah yang pertama membadai negara itu pada musim taufan tahun ini dan kekuatannya mengejutkan penduduk di Manila selepas pihak berkuasa kaji cuaca negara itu berkata, ia hanya akan melanda wilayah di utara ibu negara itu. - AFP

ibu akui putar anak dalam mesin basuh

TOKYO: Seorang wanita yang ditangkap selepas didakwa mencekik anaknya hingga mati semalam memberitahu polis, dia juga merendam anaknya dalam mesin basuh.
Junko Egashira, 34, ditangkap bulan lalu selepas dia dituduh membunuh anaknya, Mone, di barat Fukuoka.
Junko mengaku berulang kali menutup mulut anaknya dengan pita pelekat, mengikat tangan dan kakinya dan memaksanya duduk dalam mesin basuh yang penuh dengan air. Dia juga kadang kala memutarkan mesin berkenaan, lapor akhbar Asahi.

Dia juga mengikat anaknya pada rak dengan kedua-dua tangan di atas dan menggantung baldi berisi air pada tangan itu selama beberapa jam.

Menurut Asahi, Junko bercerai dengan suaminya pada 2008. Penderaan terhadap anaknya semakin menjadi-jadi apabila mereka berpindah ke rumah baru Mei lalu. - AFP

Wanita larikan kereta JPM mengaku tidak bersalah

MELAKA: Seorang wanita yang cedera parah selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika melarikan kereta milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, tengah hari tadi atas tiga pertuduhan.
Noor Fadhilah Mohd Derus, 26, didakwa atas dua pertuduhan mencuri kereta pada 14 Mei 2010 dan 5 Julai 2010 serta kesalahan lari dari tahanan sah penguat kuasa agama. Dia dibenarkan ikat jamin berjumlah RM14,000 dengan tiga penjamin bagi semua pertuduhan.

Terdampar di sungai

MASJID TANAH: Kehilangan seorang lelaki warga negara ini yang dikhuatiri lemas ketika berkelah bersama empat rakannya di satu kawasan air terjun di Utara Herio, India, Ahad lalu terjawab selepas mayat mangsa ditemui terdampar di dasar Sungai Ganges, India, petang kelmarin.
Mayat mangsa, Mohd Ramin Mohd Amin, 28, arkitek di syarikat United Engineering (M) Berhad sejak dua tahun lalu ditemui kira-kira jam 2.30 petang waktu Malaysia.
Adik Allahyarham, Mohd Radi, 27, berkata jenazah abangnya akan dibawa pulang ke negara ini selepas segala urusan selesai di India dan dijangka tiba untuk dikebumikan di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini, selewat-lewatnya jam 11 pagi ini.

Menurutnya, dia sentiasa terbuka menerima takdir dengan reda, namun sedih atas kemalangan yang menimpa abang sulungnya itu kerana arwah seorang yang periang dan selalu membantu, malah tidak pernah menyusahkan adik-beradik lain.

“Cuma saya agak terkilan sebab sebelum malam kejadian, abang menelefon meminta saya mengambil lesen memandu terlebih dulu dan minta bersabar sebelum dia mahu membelikan sebuah kereta untuk kegunaan keluarga di sini.

“Namun, saya tidak menyangka perbualan begitu panjang sambil bergurau senda dengannya bagaikan memberi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Nurul Huda Mansor, 28, bersama ibu mangsa, Ramlah Bakar, 55, ketika ini berada di India menguruskan visa penghantaran pulang dan pengebumian jenazah arwah dengan bantuan Kedutaan Malaysia secepat mungkin.

Nurul Huda tiba di India kira-kira jam 3 pagi kelmarin (waktu Malaysia), bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menganggap ia ketentuan Tuhan yang perlu ditempuhi dengan tabah.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia disyaki lemas ketika berkelah bersama rakannya di satu kawasan air terjun di Utara India.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika seorang rakan cuba menyelamatkannya.

Dua sahabat maut ditetak ketika makan malam

NUSAJAYA: Keasyikan dua sahabat bersembang sambil menikmati hidangan makan malam dan minuman keras bukan saja bertukar menjadi ‘malam berdarah’, malah mereka turut menemui ajal apabila ditetak sekumpulan tiga hingga empat lelaki yang tiba-tiba muncul dan melibas parang.
Seorang daripada mangsa, maut di restoran di Bandar Selesa Jaya di sini, manakala rakannya yang cedera parah akibat tetakan bertalu-talu itu disahkan meninggal dunia kira-kira 10 jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Sehingga kini, identiti kedua-dua mangsa juga anggota kumpulan samseng itu belum dapat dipastikan berikutan mereka dipercayai menggunakan dokumen pengenalan palsu.

Dalam tragedi berdarah itu, pelanggan yang sedang menikmati hidangan di restoran sama hanya mampu melihat serangan itu tanpa berbuat apa-apa kerana takut turut menjadi mangsa serangan kumpulan samseng yang meninggalkan kedua-dua mangsa terbaring atas lantai dibasahi darah.

Kejadian turut menyebabkan kerusi dan meja disusun di kawasan lapang di luar restoran terbabit berkecai diserbu kumpulan penyerang tidak dikenali itu.

Rakan mangsa yang tidak sedarkan diri, bagaimanapun sempat dikejarkan ke HSA sejurus kejadian di restoran di Jalan Hang Kasturi, jam 8.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Aziz Ahmad berkata, sejurus menerima panggilan orang ramai, sebuah kereta peronda (MPV) dikejarkan ke tempat kejadian, pemeriksaan dilakukan anggota terbabit mendapati dua mangsa cedera parah dan berlumuran darah.

2 lagi mungkin dijangkiti

KUALA LUMPUR: Dua anggota penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, Pahang bulan lalu, mungkin menjadi kes terbaru jangkitan melioidiosis dan leptospirosis.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, mereka yang terdiri daripada penyelamat awam dan sukarelawan operasi berkenaan dimasukkan ke Hospital Selayang di sini dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, sehingga hari ini, jumlah mereka yang masih berada di hospital ialah enam orang termasuk satu kes di unit rawatan rapi dan dua lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Ujian makmal ke atas sampel air mengesahkan kehadiran bakteria leptospira.

Sementara itu, aktiviti saringan yang dijalankan di kawasan kampung berdekatan tempat kejadian mengesan enam penduduk kampung yang demam dan semua mereka dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Dr Mohd Ismail berkata semua penduduk kampung itu berada dalam keadaan stabil dan memandangkan mereka tidak terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas secara langsung, risiko jangkitan wabak adalah rendah.

“Kementerian ingin menegaskan jangkitan leptospirosis dan meliodosis tidak boleh menular daripada seorang ke seorang. Oleh itu masyarakat tidak perlu panik kerana ia tidak boleh tersebar di dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, jangkitan wabak berkenaan hanya terjadi apabila seseorang terdedah kepada air atau tanah yang tercemar oleh bakteria leptospira.

“Oleh itu, mereka yang menghadapi luka di kulit disaran tidak mendedahkan diri kepada air yang dikhuatiri tercemar dengan najis tikus seperti sungai di taman rekreasi,” katanya.

Orang ramai diminta menjaga kebersihan tempat berkenaan dan persekitaran rumah mereka supaya tidak menarik perhatian tikus yang boleh mencemari air dan tanah sehingga mendatangkan risiko jangkitan.

Setakat ini, wabak itu meragut nyawa enam daripada 110 penyelamat yang terbabit dalam operasi itu. - Bernama

Pasangan tak serik ditangkap khalwat kali kedua

JASIN: Tidak sampai dua bulan dicekup kerana berkhalwat, sepasang remaja nyata tidak serik dan seronok melakukan kesalahan sama apabila mereka ditahan sekali lagi, semalam.
Sebelum ini, remaja perempuan berusia 16 tahun menjadikan rumah keluarganya di Ayer Keroh sebagai tempat maksiat, kali ini mengulanginya di rumah sewa kakaknya di Bukit Tembakau, dekat sini.
Pasangan terbabit dicekup kira-kira jam 10.30 pagi oleh sekumpulan tiga lelaki yang juga penduduk di situ selepas melihat mereka ke rumah berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Merlimau dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama, Rahimin Bani, berkata selepas mendapati pasangan terbabit masuk ke rumah itu, penduduk terbabit memerhatikannya dan selepas hampir 15 minit tidak keluar, mereka kemudian bertindak membuat pemeriksaan.

Katanya, ketika sampai di hadapan rumah itu, salah seorang daripadanya memerhatikan daripada tingkap depan dan mendapati lelaki terbabit berkain pelekat, manakala remaja perempuan berkenaan berkemban dengan tuala.

“Mereka terus mencekup pasangan berkenaan dan dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada Jaim bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kaut untung haram

SLIM RIVER: Sebuah lombong pasir di Batang Padang di sini, yang melanggar syarat permit perlombongan dipercayai mengaut keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan hasil aktiviti penyeludupan pasir ke Selangor dengan harga jualan tiga kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran tempatan.
Pengusaha lombong berkenaan turut dipercayai pernah menawarkan sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan sebagai upah untuk ‘melindungi’ aktiviti haram mereka yang beroperasi sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, aktiviti haram mereka akhirnya dihentikan serta-serta, semalam selepas serbuan sepasukan anggota dan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pejabat Tanah dan Daerah Batang Padang, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pegawai Daerah Batang Padang, Razali Bakar berkata operasi berkenaan dijalankan untuk memantapkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan memindahkan bahan batu tanpa kebenaran serta menghentikan operasi lombong pasir berkenaan yang melanggar syarat permit perlombongan secara berterusan.

“Hasil pemantauan selama beberapa bulan, kami dapati lori pasir yang keluar dari kawasan lombong ini menghantar bekalan sehingga ke Selangor tanpa permit sah” katanya di sini semalam.

Selain itu, katanya, biarpun pengusaha berkenaan mempunyai permit perlombongan yang sah, namun dia menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan lebih tanpa mempedulikan faktor alam sekitar.

“Pengusaha berkenaan menggunakan peralatan mengorek pasir atau ‘pontun’ tanpa kebenaran yang boleh mengakibatkan hakisan pada tebing lombong dan menjejaskan alam sekitar” katanya.

Semasa operasi berkenaan, sebuah treler yang membawa kira-kira 27 tan pasir ditahan selepas diekori kenderaan penguat kuasa JPJ sehingga melepasi sempadan negeri Selangor berdekatan persimpangan Tanjung Malim.

Pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tidak mempunyai permit sah untuk membawa pasir keluar dari Perak dan pemandunya mengakui bekalan pasir datang dari lombong berkenaan dan dalam perjalanan untuk dihantar kepada pembeli di Selangor.

Difahamkan, harga pasir di Perak RM10 satu tan, manakala di Selangor harga pasir mencecah sehingga RM35 bagi setiap tan.

Razali berkata pihaknya akan memohon untuk membatalkan permit lombong berkenaan akibat kedegilan pengusahanya yang terus melanggar syarat permit meskipun sudah diberi amaran dua kali.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Yussof Zakaria, berkata pihaknya menyertai operasi berkenaan berikutan aduan penguat kuasa tempatan mengenai cubaan pengusaha lombong itu untuk menyogok mereka ketika melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, semasa operasi dijalankan, penyelia lombong berkenaan mematuhi segala arahan dan tiada sebarang kelakuan mencurigakan dikesan semasa pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa tempatan, namun SPRM akan terus menjalankan pemantauan susulan untuk memastikan tiada sebarang unsur rasuah” katanya.

'Tak pernah ugut Sheila'

KUALA LUMPUR: “Saya semakin tertekan selepas plaintif (Sheila) membuat kenyataan di akhbar tempatan memburukkan saya, kononnya dia ditipu saya tetapi pada masa sama terpampang di akhbar itu gambarnya memakai rantai jenama Chopard dan cincin yang saya hadiahkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif D'Navechee Datuk Azlina Che Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Dia berkata demikian pada prosiding saman ganti rugi yang dituntut pelakon dan penerbit, Sheila Rusly terhadap rakan kongsinya itu. Azlina yang diwakili peguam Mohd Firuz Jaffril berkata, suaminya sering menegur kerana dia lebih memberi tumpuan kepada Nasi Dagang House (NDH) berbanding urusan rumah tangga.
Justeru, dia tertekan apabila Sheila meninggalkan pengurusan NDH pada September 2005 dan membiarkan defendan menguruskan sendiri restoran itu.

“Saya tertekan, kesihatan saya merosot dan merasakan seolah-olah plaintif mempermainkan saya,” katanya kesal.

Tambahnya, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan daripada pihak tidak dikenali supaya menutup Restoran Nasi Dagang Ulik Mayang yang baru dibuka suaminya. “Saya tidak pernah menghina atau mengugut plaintif seperti dikatakannya sebelum ini. Cuma saya ada menyatakan walaupun plaintif seorang artis, restoran tidak boleh maju sekiranya masakan yang disediakan tidak sedap.

“Selepas pertemuan untuk membincangkan draf perjanjian kali kedua, plaintif langsung tidak menghubungi defendan, malah panggilan dan SMS defendan juga tidak berbalas. “ Saya kemudian menghubungi suami plaintif yang memaklumkan bahawa plaintif merajuk dengan saya,” katanya. Defendan turut memberitahu mahkamah dia tidak pernah menghantar SMS yang bermaksud untuk mengugut plaintif dan sekiranya plaintif ada menyatakan defendan berbuat demikian, defendan mendakwa itu tuduhan tidak berasas. “Selain itu dakwaan yang mengatakan saya yang menutup Nasi Dagang House adalah tidak benar kerana menerusi peguam masing-masing, kami bersetuju untuk membubarkan perniagaan itu selain restoran itu tidak lagi beroperasi selepas plaintif gagal ikut giliran untuk menguruskan restoran pada Oktober 2005,” katanya.

Menjawab soalan peguamnya berhubung pembukaan restoran Ulik Mayang yang terletak dua pintu dari Nasi Dagang House, Azlina menjelaskan bahawa dia tidak terbabit langsung dalam urusan perniagaan baru itu kerana ia di bawah tanggungjawab suaminya, Datuk Stapa Omar.

Azlina, 42, turut menegaskan dalam kenyataannya bahawa dia tidak perlu membayar semula modal RM55,000 yang dituntut Sheila berikutan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urus niaga perkongsian termasuk tidak menyebabkan perniagaan itu ditutup.

Sheila, 39, memfailkan saman terhadap Azlina pada 16 Disember 2005 menuntut antara lain, RM55,000 iaitu modal yang dilaburkannya dalam perniagaan itu selain perintah supaya defendan diarah membayar semua keuntungan bagi NDH yang diperoleh dari 1 Oktober 2005 sehingga tarikh penghakiman. Dia turut memohon ganti rugi am, teruk dan teladan. Terdahulu, Azlina memberitahu mahkamah ketika NDH mula beroperasi, tiada perjanjian bertulis kerana ketika itu dia ke Makkah menunaikan umrah dan plaintif mengubahsuai restoran. Selepas NDH beroperasi pada Ogos 2005 barulah mereka bercadang untuk membuat perjanjian perkongsian.

“Saya memberi secara am syarat yang perlu dalam draf perjanjian perkongsian, namun isinya dicadangkan oleh Azmi dari Tetuan Muaz & Co,” katanya.

4 perompak ditembak mati

TEMERLOH: “Selepas berjaya memberhentikan kereta dinaiki empat perompak terbabit, anggota polis memperkenalkan diri, namun mereka meluru keluar dari kereta dan menyerang polis menggunakan parang.
“Oleh itu, polis terpaksa melepaskan tembakan mempertahankan diri dan mereka mati di tempat kejadian,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T Narenasegaran. Beliau berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek sejurus menerima laporan mangsa mengadu rumahnya dimasuki perompak mengakibatkan kerugian dianggarkan RM10,000 kira-kira jam 2.45 pagi semalam.
Menurutnya, kira-kira setengah jam kemudian pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh ditubuhkan untuk memerangi jenayah samun terserempak kereta dinaiki suspek kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Katanya, pasukan khas mengekori kereta Honda Civic dalam keadaan mencurigakan sebelum mengeluarkan arahan supaya kereta itu berhenti, tetapi suspek tidak menghiraukan dan terus memecut.

“Polis terpaksa mengejar kereta dinaiki suspek dan memintas kenderaan terbabit berhampiran kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang,” katanya.

4 pistol, 89 peluru

SHAH ALAM: “Kalau nak ingat anak, biarlah sebelum melakukan kesalahan. Bukan selepas melakukan jenayah dan mengganas,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad.
Hakim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap ahli geng penjenayah yang bersalah atas dua pertuduhan memiliki empat senjata api dan 89 peluru, enam tahun lalu.
Asmabi menjatuhkan hukuman itu terhadap Too Wah Lim, 49, yang kumpulannya aktif dalam kira-kira 20 rompakan bersenjata dan mengarahkan hukuman penjara berjalan mulai semalam.

Bekas pemilik restoran itu didapati bersalah atas pertuduhan pindaan pertama memiliki dua pistol semi-automatik Colt .38 Auto, Colt .48 Auto dua Revolver .38 Special Smith dan Wesson. Bapa kepada empat anak itu juga didapati bersalah atas tuduhan kedua iaitu memiliki 89 peluru hidup dan tiga kelongsong peluru.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa bersalah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali. Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) dan Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut akta sama. penjara tujuh tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Asmabi dalam penghakimannya berkata, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kerana tertuduh sangat berbahaya jika berdepan dengan masyarakat.

“Kesalahan ini serius. Bukan satu atau dua, tetapi ada 89 peluru dimiliki tertuduh yang digunakan dalam aktiviti merompak,” katanya.

Terdahulu ketika rayuan terhadap hukuman, peguam bela mewakili tertuduh, Richard Ho, berkata keluarga anak guamnya mengalami kesulitan hidup selepas Too meringkuk dalam penjara sejak Februari 2004.

Katanya, ini menyebabkan anak sulung tertuduh terpaksa mengambil alih peranan bapanya dalam mencari rezeki sekeluarga.

“Justeru, anak guam saya memohon hukuman penjara paling minimum yang bermula dari tarikh tangkap dan jika dikenakan sebatan, dia memohon pelaksanaannya dipercepatkan.

“Ini bagi membolehkan Too menyertai program dalam penjara seterusnya meraih pendapatan,” katanya.

Remaja dakwa dipukau RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mahu membeli komputer riba kempunan apabila RM3,000 yang baru dikeluarkannya dari sebuah mesin ATM dilarikan individu tidak dikenali dipercayai pakar pukau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di sebuah kompleks beli belah di Bukit Bintang, di sini, mangsa yang ditemani rakannya mendakwa didatangi seorang lelaki berusia lewat 30-an sebelum dia dipukau lelaki berkenaan.
Difahamkan, suspek hanya memetik jari di hadapan mangsa dan rakannya sebaik berjaya menghampiri menyebabkan mereka berdua dalam keadaan separuh sedar.

'Derhaka moden'

KUALA LUMPUR: Perbuatan anak tidak bertanggungjawab hingga memaksa ibu bapa membawa kes ke mahkamah semata-mata untuk bersua muka adalah satu antara ribuan contoh derhaka ‘moden’ yang semakin melingkari generasi masa kini.
Pakar motivasi dan penceramah bebas, Zawawi Yusoh berkata, seorang anak berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapanya dan apabila dia derhaka, ia mengundang kemurkaan Allah.
Katanya, apabila Allah murka disebabkan derhaka kepada ibu bapa, maka kehidupan seseorang itu sukar bahagia walaupun mungkin bergaji besar atau mempunyai status sosial tinggi dalam masyarakat.

“Apalah ertinya kehidupan kita di atas muka bumi ini jika Allah sudah murka sedangkan semua yang ada di dunia ini termasuk tanah yang kita pijak dan udara yang kita sedut milik Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang warga emas, Mustafa Ismail, 64, memfailkan permohonan tuntutan nafkah ke atas anaknya, Nasrun Mustafa, 37, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dengan harapan dapat bersua muka dengan anaknya itu.

Dalam tuntutan difailkan melalui peguamnya, Fazru Anuar Yusoff, warga emas berkenaan menyatakan Nasrun meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama pada 30 Disember 1998 sebelum kedua-duanya berkahwin lain. Nasrun yang berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan gagal dihubungi bapanya menyebabkan Mustafa yang tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan nekad memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah. Zawawi berkata, tidak salah untuk ayah itu membuat tuntutan melalui mahkamah kerana ia haknya selain secara tidak langsung sudah mengambil langkah menuntutnya di dunia sebelum anaknya dituntut di akhirat kelak.

“Seorang lelaki pernah mendatangi Nabi Muhammad saw pada suatu hari dan bertanya mengenai kehendak bapanya yang mahukan hartanya, nabi menjawab ‘kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu’,” katanya.

Katanya, jawapan itu cukup untuk menunjukkan seseorang bapa itu mempunyai hak terhadap harta anaknya, maka tidak salah untuk seorang ayah membuat tuntutan di mahkamah supaya anaknya itu bertanggungjawab bukan saja terhadap ibu bapanya tetapi kepada anak-anaknya sendiri.

Zawawi berkata, pelbagai bentuk derhaka berlaku sekarang dan ia bukan semata-mata melukakan hati ibu bapa malah sikap sesetengah anak mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri dengan menyerahkan kepada ibu bapanya juga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

Isteri hilang sejak seminggu

REMBAU: Seorang suami diburu kebimbangan selepas isterinya menghilangkan diri secara misteri sejak seminggu lalu dan hingga kini gagal dikesan.
Kamaruzaman Othman, 47, berkata kehilangan isterinya, Litasuria Wahidin, 37, membuatkan hidupnya tertekan kerana pelbagai usaha dilakukan untuk mencari wanita itu, namun menemui kegagalan.
Menceritakan kejadian itu, katanya, ketika kejadian Rabu minggu lalu, dia keluar menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kira-kira jam 7 pagi.

“Isteri saya pula keluar ke Pekan Rantau bersama seorang jiran kerana mempunyai urusan di bank sebelum dia terus hilang tanpa khabar berita sehingga kini.

“Jiran memberitahu ketika berada di pekan, isteri saya pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank,” katanya yang bersedih dengan kehilangan isterinya itu.

Menurutnya, isterinya ada memberitahu dia ingin berjumpa dengan seorang rakan di situ selepas pergi ke ATM.

Katanya, jiran yang turut pergi bersamanya ke pekan berasa pelik kerana isterinya tidak muncul selepas beberapa lama menunggu di situ.

“Selepas puas menunggu, jiran itu cuba menghubungi telefon bimbit isteri saya, namun gagal menyebabkan dia menghubungi saya memaklumkan kejadian itu “Apa yang lebih membimbangkan adalah keselamatannya kerana saya takut kalau dia ditimpa perkara buruk,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara dua hingga 15 tahun hasil perkongsian hidup dengan isterinya.

Katanya, dia meminta kerjasama orang ramai yang melihat isterinya supaya menghubunginya di talian 019-3477358 dan Shahrin Othman di talian 019- 6232104 atau balai polis berhampiran.

'Jaga anak baik-baik'

IPOH: “Ketika keluar dari rumah pagi semalam (kelmarin), arwah sempat berpesan supaya menjaga anak baik-baik.
“Itu saja pesanan yang sentiasa dia beritahu kepada saya setiap kali keluar kursus atau tugasan di luar daerah.
“Sepanjang pengetahuan saya, tiada perilaku dan tabiat yang pelik ditunjukkan arwah. Sepatutnya dia dijangka pulang dari kursus berkenaan esok (hari ini),” kata Rosnah Mat, 44, isteri Allahyarham Sarjan Saidin Mohd Dom, 50, yang maut dalam kejadian letupan bom di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar petang semalam.

Katanya, dia menerima panggilan mengenai kecelakaan yang menimpa arwah kira-kira jam 5.45 petang sebelum menerima berita kematiannya kira-kira setengah jam kemudian. Rosnah berkata, arwah suaminya sudah berkhidmat di IPD Taiping lebih 10 tahun.

“Jenazah akan dikebumikan di Bandar Baru, Kulim, Kedah iaitu di kampung neneknya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Arwah meninggalkan enam orang anak iaitu empat perempuan dan dua lelaki iaitu Norhayati, 24, Mohd Nor Hafiz, 22, Mohd Shafiq, 19, Nor Amalina, 16, Nor Ashikin, 12 dan Nurul Syafikah, 8.

Tinjauan Harian Metro di perkarangan Bilik Forensik HRPB semalam, mendapati lebih 100 kenalan arwah termasuk anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh dan Taiping bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusuf.

Remaja ditampar drebar teksi

KUALA LUMPUR: Hanya kerana enggan menaiki teksi selepas tidak setuju dengan caj bayaran dikenakan, seorang remaja wanita berusia awal 20-an ditampar pemandu teksi terbabit, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Bandar Baru Sentul, mangsa enggan menaiki teksi berkenaan selepas pemandunya berusia lewat 40-an mengenakan caj RM60 tanpa meter. Pemandu terbabit memberi alasan meter teksinya rosak.
Caj yang dikenakan pemandu terbabit dianggap tinggi untuk pergi ke pasar Chow Kit menyebabkan mangsa berkeras untuk menaiki teksi lain.

Menurut sumber, tindakannya itu menyebabkan pemandu teksi itu naik berang sebelum bertindak menamparnya.

“Mangsa yang terkejut hanya mampu mendiamkan diri sebelum pemandu teksi itu meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian pulang ke rumahnya sebelum menceritakan kejadian buruk itu kepada ahli keluarganya.

“Bapa dan abang mangsa kembali ke tempat kejadian namun gagal mengesan pemandu teksi itu,” katanya.

Kucing ‘menangis’

JERANTUT: “Awal pagi semalam (kelmarin), kucing peliharaan anak saya yang diberi nama Oren menunjukkan kelakuan ganjil apabila mengiau tidak henti-henti dan gelagatnya seolah-olah sedang menangis seperti ia tahu tuannya ditimpa kesusahan,” kata ibu pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Kelantan, yang dikhuatiri lemas ketika berenang di Lubuk Simpon, Sungai Tahan di Kuala Tahan di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Bangunan, Alif Asraf Hashim, 22, dari Cheras, Selangor, dihanyut arus deras ketika menjalankan aktiviti pengukuran sungai dan batu-batan di sekitar tempat kejadian dalam satu rangka kerja Eksplorasi Geologi Tanah anjuran fakultinya.
Difahamkan, mangsa bersama 37 pelajar dan tujuh pensyarah tiba di Kuala Tahan untuk melaksanakan aktiviti itu sejak Ahad lalu dan mereka dijangka menamatkan tugasan Jumaat ini.

Menurut ibu mangsa, Hamidah Ibrahim, 49, dia sekeluarga bagaimanapun, tidak mengendahkan gelagat kucing berkenaan kerana menyangka haiwan itu mungkin sakit sehinggalah dimaklumkan berita buruk mengenai anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Kali terakhir kami berbual pada petang Isnin lalu apabila dia menghubungi saya. Namun, dalam perbualan Alif tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan dia hanya bercerita mengenai kegiatannya sepanjang berada di Kuala Tahan.

“Malah, Ahad lalu dia juga sempat berpesan pada ayahnya supaya memasukkan sedikit duit kerana mahu membeli barangan untuk kegunaan sepanjang program berkenaan,” katanya.

Hamidah berkata, mangsa juga sempat berpesan kepada adiknya, Alia Ashamimi, 16, supaya menjaga dengan baik beg sandang kesayangannya seolah-olah beg itu bakal menjadi tanda akhir untuk ingatan keluarga.

“Alif rapat dengan adik bongsunya dan sebelum dia kembali semula ke kolej sebaik menamatkan cuti semester baru-baru ini, dia menasihati adiknya itu supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Bapa mangsa, Hashim Baharom, 50, berkata dia juga amat rapat dengan anak lelaki tunggalnya itu dan kerap keluar minum bersama apabila Alif pulang bercuti semester.

“Malam sebelum kejadian, entah kenapa saya tidak lelap tidur seperti ada yang mengganggu fikiran.

“Perasaan resah saya menjadi kenyataan apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak saya hilang dalam sungai kira-kira jam 5 petang semalam,” katanya yang bergegas ke Kuala Tahan dan tiba kira-kira jam 1 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanapi, berkata seramai 100 anggota dari pelbagai agensi termasuk penduduk kampung menjalankan operasi mencari mangsa sejurus menerima laporan kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dijalankan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian seawal jam 8 pagi dan dihentikan seketika kerana hari semakin gelap.

“Operasi akan disambung semula esok (hari ini) dan kawasan pencarian akan diperluaskan sehingga Lubuk Yong kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Selain menggunakan kira-kira 20 bot bomba, penduduk juga meminjamkan bot mereka dalam usaha mencari mangsa dan pasukan penyelamat menempuh sedikit kesukaran berikutan arus sungai yang agak deras,” katanya.

Dua penjenayah minta wang lepas culik, perkosa

PETALING JAYA: Malang berganda dialami seorang gadis pencuci di sebuah hotel apabila tidak hanya diculik untuk mendapatkan wang tebusan, malah turut dijadikan pemuas nafsu serakah dua penjenayah yang melarikannya.
Lebih menyedihkan apabila penjenayah melayan mangsa tidak ubah seperti binatang apabila mangsa diperkosa bergilir-gilir.
Menurut sumber, ketika kejadian jam 7 malam kelmarin, mangsa berjalan bersendirian ke perhentian bas di tepi Lebuh Raya Persekutuan untuk pulang ke rumahnya.

“Bagaimanapun, sebuah Proton Wira dinaiki dua lelaki berhenti berhampiran mangsa sebelum suspek menarik mangsa masuk ke dalam kereta dan memecut.

“Mangsa dibawa ke sebuah hotel murah di SS15, Subang Jaya di sini. Seorang daripada suspek mengacukan pisau ke pinggang mangsa menyebabkan gadis terbabit terpaksa mengikut mereka masuk ke sebuah bilik,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di dalam bilik itu, suspek bergilir-gilir merogol mangsa selepas mengancam akan membunuh mangsa sekiranya melawan.

“Selepas merogol mangsa, suspek meminta mangsa menghubungi ahli keluarga supaya membayar wang tebusan RM5,000 sebagai syarat pembebasannya.

“Mangsa yang berasal dari Johor memaklumkan dia tidak mempunyai saudara-mara di sini selain seorang adiknya yang tinggal di Subang Jaya,” katanya Sumber memberitahu, suspek memaksa mangsa menghubungi adiknya meminta supaya wang tebusan terbabit disediakan segera.

Beliau berkata, adik mangsa yang tidak mempunyai wang, bagaimanapun cuba memperdaya suspek supaya bersetuju menerima barang kemas palsu bagi membebaskan kakaknya.

Namun, taktik digunakan adik mangsa gagal memperdayakan suspek kerana penjenayah mengenal pasti barang kemas itu palsu selepas ia diserahkan kepada mereka.

“Berang mereka ditipu, suspek melarikan mangsa sekali lagi. Mereka membawa gadis itu pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran dan memaksanya mengeluarkan wang miliknya RM1,000.
“Selepas mengeluarkan wang, suspek merancang membawa mangsa kembali ke hotel untuk dirogol, namun mangsa melepaskan diri ketika dalam perjalanan.

“Mangsa menyelamatkan diri selepas berpura-pura mahu berhenti pergi ke tandas di sebuah stesen minyak di SS 15 di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam,” katanya.

Penyewa cekik anak tuan rumah

KUALA LUMPUR: Niat seorang wanita menyewakan rumah bapanya untuk meningkatkan pendapatan bertukar pengalaman ngeri apabila dia bukan saja ditampar, ditendang dan dibaling dengan kerusi, malah turut dicekik penyewa ketika datang menuntut sewa rumah.
KESAL...Raja Fazilah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Raja Fazilah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Dalam kejadian pada 24 Jun lalu, mangsa pergi ke rumah yang disewakan kepada suami isteri berusia awal 30-an dan mempunyai tiga anak bagi meminta duit sewa, namun berlaku kekecohan sehingga menyebabkan mangsa dipukul.
Mangsa, Raja Fazilah Raja Lop, 24, berkata dia menyewakan rumah bapanya di Jalan Hilir 7, Taman Angsana Hilir, Kampung Pandan, dekat sini, bermula 1 April lalu.

Namun, penyewa terbabit sejak dari awal sering lewat membayar sewa dari tarikh yang dipersetujui mereka termasuk dua bulan deposit sebanyak RM1,200.

Menurutnya, dia membuat pendedahan itu berikutan laporan Harian Metro pada 6 Julai lalu yang bertajuk ‘2 wanita bergusti depan suami’ dan berasakan laporan berkenaan hanya daripada sebelah pihak.

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu, dia berkata kehadirannya bersama tiga kakak dan dua abang iparnya ke rumah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berikutan sewa rumah yang kurang daripada jumlah dijanjikan dan melihat resit bank bukti pembayaran sewa untuk Mei.

“Ketika itu saya bersama beberapa ahli keluarga lain disuruh datang ke rumah penyewa untuk melihat resit berkenaan dan sebaik tiba di rumah, penyewa dengan sinis menjemput masuk.

“Saya bersama kakak masuk dan berbincang mengenai sewa. Mereka menunjukkan surat bank mengatakan berlaku masalah teknikal dan RM200 daripada RM600 tersangkut dalam mesin deposit tunai,” katanya.

Menurutnya, dia mempertikaikan kenapa tidak diberitahu mengenai perkara itu sebelum ini dan tiba-tiba isteri penyewa terbabit naik angin dan menampar mukanya. Dia terpaksa mempertahankan diri serta bergelut dengan wanita terbabit.

“Kemudian suaminya menendang saya. Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit mencekik saya. Nasib baik kakak dan abang ipar membantu meleraikan kami.

“Bengang tindakannya dihalang, lelaki terbabit pergi ke dapur dan mengambil pisau. Risaukan keselamatan kami semua beredar dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya,” katanya.
Mangsa turut membuat pemeriksaan kesihatan ekoran kejadian itu dan sehingga kini melalui maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat kes terbabit mengatakan siasatan masih dijalankan.

Samun wanita: 'Lebai' dicekup meragut

SUNGAI PETANI: Sikap lembut dan perwatakan baik seorang lelaki digelar lebai di kalangan rakannya terbongkar apabila ditahan polis kerana meragut beg tangan seorang wanita di Jalan Kampung Baru di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 44 tahun itu nekad meragut beg tangan mangsa yang baru turun dari kereta sebelum melarikan diri ke sebuah bangunan terbiar berhampiran sebuah kompleks beli-belah selepas dikejar orang awam.
Sumber polis berkata, tindakan pantas sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Sungai Petani yang tiba sebaik mendapat maklumat orang awam mengenai kejadian itu dapat mengesan tempat persembunyian lelaki terbabit.

Katanya, anggota polis memeriksa bangunan terbiar itu dan menemui suspek yang begitu terkejut dengan kehadiran anggota polis dan cuba melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran bangunan itu.

“Bagaimanapun, lelaki itu diberkas anggota polis yang mengejarnya sejauh kira-kira 20 meter dari bangunan berkenaan. Selepas diperiksa, polis menemui wang tunai RM1,000 dan tasbih dalam saku seluar dan bajunya, tetapi tidak menemui beg tangan yang diragut. “Selepas disoal siasat, lelaki itu membawa anggota polis ke tempat dia membuang beg tangan wanita yang diragutnya dalam semak berhampiran landasan kereta api,” katanya.

Suspek, seorang duda dari Karangan, Kulim dibawa ke Balai Polis Sungai Petani dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mangsa, Normah Che Kok, 35, dari Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini berkata, sebelum kejadian dia baru mengeluarkan wang RM2,000 dari sebuah bank untuk bayaran ansuran keretanya.

“Selepas membayar ansuran kereta RM900, saya ke kedai cat berhampiran bank dan ketika mahu keluar dari kereta, beg tangan direntap lelaki terbabit,” katanya. Katanya, kira-kira setengah jam selepas itu, dia dimaklumkan lelaki itu berjaya ditahan dan polis menemui semula beg tangan bersama pelbagai dokumen miliknya.

“Saya berterima kasih kepada polis kerana tindakan pantas mereka menahan peragut terbabit dan menemui kembali beg tangan serta wang tunai RM1,000 walaupun jumlah sebenar wang tunai dilarikan ialah RM1,400.

“Saya tidak kisah baki wang tunai RM400 yang sudah dibelanjakan peragut itu kerana yang penting pelbagai dokumen berjaya diperoleh semula,” katanya.

Polis trafik Bukit Aman keluar 187 saman pelbagai kesalahan lalu lintas

KUALA KRAI: Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Trafik Bukit Aman mengeluarkan 187 saman kepada pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi khas hampir tiga jam di kilometer 95 Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang, Simpang empat Kampung Manjor, di sini semalam.
Ketua Penguatkuasa kontinjen itu, Deputi Superintendan Tan Hoch Tho berkata, operasi dari 4.30 petang hingga 7 malam itu tertumpu kepada tiga kesalahan utama termasuk had laju, memotong garisan berkembar dan muatan berbahaya melibatkan kenderaan berat dan ringan.
Kesalahan itu ialah 120 memotong garisan berkembar; muatan berbahaya (lima); tiada lesen (tiga) dan pelbagai kesalahan lain (10), katanya kepada pemberita di lokasi sekatan jalan raya di kampung itu.

Tan berkata, operasi itu yang diketuainya melibatkan empat pegawai dan 12 anggota dari Bukit Aman dengan kerjasama dua pegawai dan lapan angota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Krai.

Menurutnya, ini adalah operasi pertama dilancarkan di Kelantan tahun ini, selepas operasi sama dilancarkan di Pekan dan Rompin, Pahang, baru-baru ini. "Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha polis bahagian penguatkuasa trafik mencegah kemalangan maut di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan petang ini di jalan Persekutuan Gua Musang-Kuala Lipis yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.

Katanya, ketika operasi semalam, beliau kesal dengan sikap pemandu kenderaan berat, seperti lori balak yang tidak mementingkan keselamatan pengguna jalan raya kerana boleh membahayakan pengguna jalan raya.-Bernama

Bapa saman tiga anaknya, tuntut RM2 juta



15/07/2010 11:23am

SHAH ALAM 15 Julai - Seorang bapa berusia 85 tahun hari ini menyaman tiga anak lelakinya bagi menuntut gantirugi lebih RM2 juta kerana didakwa dikurung dan dipaksa menyerahkan dua lot tanah kepada mereka, dua tahun lalu.
Baharom Long memfailkan saman itu melalui firma guaman Azmi Taib & Associates di Kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 10.30 pagi ini. - Utusan

Pesakit buah pinggang kronik edar dadah dihukum gantung



15/07/2010 11:35am

SHAH ALAM 15 Julai - Seorang pesakit buah pinggang kronik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 250 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine di sebuah rumah, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan hukuman itu terhadap S. A. Sukumaran, 35, selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu. - Utusan

Acu parang di leher

TEMERLOH: “Perompak itu mengarahkan saya bangun dan diam ketika mengejutkan dari tidur sebelum seorang daripadanya mengacukan parang di leher,” kata peniaga, Suhaizal Yusuf, 32, menceritakan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Bangau Tanjung di sini, dimasuki empat perompak bertopeng, awal pagi semalam.

BUKTI...Narenasegaran (tengah) bersama pegawai polis menunjukkan barangan rampasan, semalam.
BUKTI...Narenasegaran (tengah) bersama pegawai polis menunjukkan barangan rampasan, semalam.

IKAT...Suhaizal menunjukkan bagaimana dia diikat perompak.
IKAT...Suhaizal menunjukkan bagaimana dia diikat perompak.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, keempat-empat perompak terbabit dipercayai warga Indonesia mati selepas ditembak polis berhampiran sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang di sini, kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Menurut Suhaizal, dia tidur kira-kira jam 1 pagi sejurus pulang bertemu rakan di pusat bandar dan tidak sedar rumahnya diceroboh penjenayah terbabit yang masuk selepas memotong jeriji tingkap bilik stor.

Katanya, dia hanya sedar apabila kolar bajunya direntap dengan kasar sehingga terkoyak dan melihat dua lelaki memakai topeng berdiri di sisinya sambil mengacu parang di leher.

“Mereka kemudian mengarahkan saya segera bangun dan jangan bising sebelum mengikat tangan saya. Mereka juga bertanya di mana saya menyimpan duit dan barang kemas tapi saya menjawab tidak ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Suhaizal berkata, perompak terbabit kemudian mengurungnya dalam bilik dan seorang daripada mereka mengawasinya supaya tidak lari, manakala tiga lagi menggeledah kediamannya.
“Kira-kira setengah jam kemudian, perompak terbabit beredar selepas mendapat barangan berharga dan mereka sempat menutup semua lampu serta pintu depan. Bagaimanapun, saya tidak terus keluar dari bilik kerana bimbang mereka masih ada di luar.

“Beberapa ketika kemudian selepas suasana sunyi, barulah saya memberanikan diri keluar dari bilik dan memasang lampu,” katanya.
Menurutnya, perompak terbabit mengunci pintu depan rumahnya dengan mangga dan membawa sekali kunci rumahnya supaya dia tidak meminta bantuan.

“Ini menyebabkan saya terpaksa keluar mengikut pintu belakang dengan tangan masih terikat dengan dawai yang dipotong dari ampaian.

“Selepas berjaya keluar rumah, saya berlari ke arah jalan besar dan menunggu di situ jika ada penduduk lalu-lalang untuk meminta bantuan.

“Kira-kira 10 minit menunggu, saya menahan seorang penunggang motosikal yang kebetulan kenalan saya dan meminta bantuannya membuka ikatan serta menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, rakannya kemudian beredar dari situ untuk mendapatkan bantuan dan tidak lama selepas itu datang semula bersama anggota polis peronda yang terus memaklumkan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

“Sepasukan polis yang tiba kemudian memeriksa tempat kejadian serta mengambil keterangan sebelum saya dimaklumkan semua perompak terbabit sudah ditembak mati tidak jauh dari rumah saya.

“Walaupun terkejut menempuh detik mencemaskan kali pertama dirompak, saya bersyukur kerana ketika kejadian isteri dan anak tunggal saya tiada di rumah,” katanya.

Suhaizal berkata, isterinya berusia 33 tahun dan anak lelaki berusia setahun lima bulan tiada di rumah kerana mengikut anak saudaranya pulang ke kampung di Bentong.

“Isteri saya mengikut anak saudaranya kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin). Saya tak dapat bayangkan jika kedua-dua orang kesayangan saya ada di rumah, tentu keadaannya lebih menyeksakan.

“Apapun, saya bersyukur kerana tidak dicederakan walaupun kehilangan lima telefon bimbit, komputer riba, beg duit, jam tangan berjenama dan seutas gelang magnet,” katanya.

VIP dipanggil

KUCHING: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama isterinya dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyeludupan bayi dipercayai dari Indonesia susulan penahanan tujuh suspek termasuk dua pasangan suami isteri dalam serbuan ke sebuah rumah mewah di Stampin di sini, semalam.




SELAMAT
...seorang kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket penjualan bayi berjaya diselamatkan polis, semalam.
SELAMAT ...seorang kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket penjualan bayi berjaya diselamatkan polis, semalam.
Pasangan itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, berikutan penemuan tiga lagi bayi berusia antara 27 hari hingga dua tahun 11 bulan di rumah berkenaan dalam serbuan berkenaan.

Menurut sumber polis, rumah berkenaan didakwa dijadikan transit membawa masuk bayi dipercayai diseludup dari Indonesia sebelum dijual di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, lelaki bergelar Datuk dan isterinya dipanggil memberi keterangan selepas penahanan wanita warga Indonesia serta lelaki tempatan dipercayai cuba menjual bayi perempuan berusia 23 hari, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamad berkata, polis mengesan kegiatan itu selepas penahanan wanita Indonesia bersama lelaki tempatan di Batu Kawa.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu, polis menjalankan siasatan susulan sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan di bandar raya ini pada hari sama.
“Susulan itu, polis mendapat maklumat sebelum menyerbu rumah mewah berkenaan dan menemui tiga lagi bayi. Dua bayi lelaki masing-masing berusia tujuh bulan dan dua tahun 11 bulan manakala bayi perempuan berusia 27 hari itu sedang disahkan identiti.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada wujud sindiket perdagangan manusia dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek terbabit,” katanya.
Menurutnya, semua bayi berkenaan termasuk berusia 23 hari berada dalam keadaan sihat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk perlindungan sementara.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk dua pasangan suami isteri kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Dagangan Orang dan polis tidak menolak kemungkinan ada tangkapan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas keempat-empat bayi berkenaan bagi membolehkan polis mengenal pasti identiti ibu bapa mereka.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita sanggup menggadaikan rasa simpatinya terhadap seorang bayi perempuan untuk dijadikan bahan dagangan dalam sindiket penyeludupan di Bandar Baru Batu Kawa, di sini.

Kegiatan wanita berusia 32 tahun itu berjaya dikesan pihak berkuasa selepas ditahan di sebuah restoran ketika cuba menjual bayi berkenaan kira-kira jam 9 malam.

Wanita terbabit dipercayai menjadikan pasangan berkahwin dan tidak mempunyai anak sebagai sasaran menjual bayi berkenaan.

'Saya kesal jamin dia'

AMPANG: “Perbuatannya memang kejam dan kali ini saya tak boleh maafkan dia lagi,” kata Julia Daud, 29, isteri pelakon popular, Badrul Muhayat, 42, yang mendakwa suaminya itu sekali lagi mengasari dirinya dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500, Isnin lalu.

TAK SEHALUAN...Badrul Muhayat tidak menoleh pada Julia ketika bayar kompaun di mahkamah, Isnin lalu.
TAK SEHALUAN...Badrul Muhayat tidak menoleh pada Julia ketika bayar kompaun di mahkamah, Isnin lalu.

Menurutnya, kejadian itu membuatkan hatinya terus tertutup rapat buat pelakon terbabit yang berjanji akan berubah dan menjaganya dan anak-anak lebih baik.

“Bayangkan ketika dalam lokap, saya pergi melawat dan dia merayu supaya mencari wang untuk menjaminnya kerana tidak mahu tinggal lebih lama dalam lokap.

“Saya yang tak pernah menjejak kaki di lokap terpaksa bawa seorang anak kami dan Badrul ketika itu berjanji akan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga apabila dibebaskan,” katanya.

Julia berkata, isteri mana yang tidak sedih melihat suami dipenjarakan dan ini membuatkan hatinya mula cair dan sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan suaminya keluar lokap.

“Namun, saya kesal kerana tak sampai berapa jam selepas mahkamah membebaskannya sejurus dia membayar kompaun, Badrul sekali lagi buat hal.
“Dia tergamak merampas wang jaminan RM2,500 yang ketika itu dipegang rakan kami sebelum melarikan diri dengan seorang wanita yang menunggunya dalam kereta,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pelakon lelaki terbabit pada mulanya menghubungi rakan wanita mereka yang bertindak sebagai penjamin dan bertanyakan mengenai wang jaminan berkenaan.
Wang jaminan itu dimasukkan ke akaun penjamin berkenaan atas perintah mahkamah sebaik perbicaraan kes Badrul didakwa mencederakan Julia selesai apabila mahkamah memerintahkan dia membayar kompaun RM1,000 kepada isterinya, Isnin lalu.

Difahamkan, wang berkenaan dikumpul isterinya selain turut diberi ahli keluarga pelakon lelaki terbabit semata-mata untuk membayar wang jaminan bagi membebaskannya.

Badrul tidak puas hati dan meminta wanita itu mengeluarkan wang berkenaan dan menyerahkan kepadanya kerana mendakwa ia kepunyaannya.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan itu jangan mengikut kata suami saya dan meminta dia menunggunya di kaunter bank berhampiran Mahkamah Ampang. Bagaimanapun, Badrul terlebih dulu tiba kerana dia mengekori rakan kami itu hingga ke kaunter bank.

“Sebaik rakan kami mengeluarkan wang, suami saya terus merampasnya. Tidak lama selepas itu, saya tiba dan saya berjanji akan memberikan RM1,000 daripada wang itu kepadanya bagi membolehkannya membayar kompaun yang dikenakan mahkamah,” katanya.

Menurut Julia, berikutan itu dia meminta suaminya menyerahkan baki wang jaminan berkenaan, namun Badrul berdegil sebelum berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, Badrul menolak badan dan kepala Julia sebelum tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu dengan sebuah kereta bersama seorang wanita yang menunggu di dalam kenderaan itu selepas menyedari perbuatannya diperhatikan orang ramai.

Julia berkata, kini perasaannya bercampur baur dan menyesal kerana menjamin suaminya.

“Saya sedih kerana suami tergamak melakukan demikian sedangkan wang itu yang akan digunakan untuk keperluan saya dan anak-anak. Namun, Badrul langsung tak ambil peduli kehidupan kami sekeluarga, malah saya yang terpaksa menanggung segala hutang dipinjamnya,” katanya.

Berikutan itu, Julia membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mel Gibson tawar RM64 juta selesai hak jaga anak


15/7

Mel Gibson bersama bekas kekasihnya, Oksana Grigorieva.

NEW YORK – Pelakon terkenal Amerika Syarikat (AS), Mel Gibson menawarkan AS$20 juta (RM64 juta) kepada bekas kekasihnya, Oksana Grigorieva bagi menyelesaikan kemelut tuntutan hak penjagaan anak perempuan mereka, Lucia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Namun, laman web gosip selebriti RadarOnline melaporkan, Oksana, 40, seorang pemuzik terkenal Rusia menolak tawaran lumayan itu kerana dia tidak bersetuju dengan tempoh 20 peratus waktu untuk Gibson, 54, bersama anaknya.
Sumber memberitahu, wanita itu enggan menandatangani perjanjian tuntutan tersebut yang memberinya 80 peratus waktu bersama Lucia berusia lapan bulan, setelah melalui pengalaman buruk ditumbuk Gibson pada 6 Januari lalu.
Beberapa rakaman sulit telah mendedahkan satu serangan Gibson terhadap Oksana yang ketika itu sedang mendukung Lucia sehingga menyebabkan mereka berpisah pada April lalu. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Pereka web dakwa 84 peratus Facebook miliknya



15/7

PAUL CEGLIA
NEW YORK – Seorang pereka laman web, Paul Ceglia memfailkan satu saman di sebuah mahkamah di sini dengan dakwaan dia memiliki 84 peratus kepentingan dalam laman perkongsian sosial, Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Ceglia, dia telah menandatangani satu kontrak dengan pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg pada 2003 untuk memajukan dan mencipta satu laman web.
Menurut saman itu, berdasarkan kontrak itu, dia mendapat bayaran AS$1,000 (RM3,202) dan 50 peratus saham dalam produk tersebut yang pada akhirnya dilancarkan dengan nama thefacebook.com.
Kontrak itu turut menyatakan bahawa Ceglia akan memperoleh tambahan kepentingan satu peratus pada setiap hari sehingga laman berkenaan selesai disiapkan.
Setakat 2004 dan berdasarkan kontrak itu, dia sudah memiliki 84 peratus kepentingan dalam Facebook.
Namun, menurut pihak pengurusan Facebook, saman itu tidak mempunyai asas undang-undang.
Zuckerberg dipercayai memiliki 24 peratus saham dalam Facebook manakala bakinya dimiliki oleh pelabur dan pekerja.
Pada tahun lalu, Zuckerberg dilaporkan membayar AS$65 juta (RM208 juta) kepada dua bekas rakan belajarnya bagi menamatkan satu tuntutan undang-undang bahawa dia mencuri idea mereka untuk mewujudkan Facebook.
- Agensi
kredit : kosmo.com.my

AS usir lelaki ada kaitan skandal perisik



WASHINGTON – Seorang lelaki Rusia yang merupakan individu ke-12 ditahan ekoran siasatan kes rangkaian pengintipan baru-baru ini telah diusir dari Amerika Syarikat (AS), kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS kelmarin.
Pemerintah AS mengenal pasti lelaki tersebut sebagai Alexey Karetnikov dan dia diusir dari AS oleh seorang hakim imigresen.
Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Matt Chandler dalam satu kenyataan memberitahu, Karetnikov mengaku melanggar undang-undang imigresen kerana memasuki AS secara haram pada Oktober tahun lalu dan bersetuju untuk diusir bagi mengelak tindakan undang-undang lebih berat.
Menurutnya, Karetnikov berdepan hukuman jenayah dan awam sekiranya dia didapati kembali tanpa kebenaran pemerintah AS.
Pada minggu lalu, 10 pengintip Rusia di AS ditukarkan dengan empat ejen Barat yang ditahan di Rusia dalam proses pertukaran pengintip terbesar sejak Perang Dingin. – AP
kredit : kosmo.com.my

Empat bulan bersih runtuhan stadium



15/7

PENGARAH Urusan Azimat Berkat Sdn. Bhd., Roslan Che Mohamad (tengah) bersama dua pegawai JKR Terengganui meninjau kawasan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Dianggarkan sejumlah 2,500 tan besi sisa runtuhan bumbung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini akan dikeluarkan sepanjang projek pembersihan yang bermula hujung bulan ini.
Bagi tujuan pembersihan, syarikat yang diberi tanggungjawab berkenaan, Azimat Berkat Sdn. Bhd. akan menggunakan 10 jentera berat termasuk tiga kren yang setiap satunya seberat 500 tan selain 30 pekerja mahir.
Pengurus projek syarikat itu, Zaini Yusoff berkata, tapak runtuhan akan diserahkan kepada pihaknya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pada 26 Julai ini.
“Kita jangkakan kerja pembersihan akan mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semasa meninjau stadium tersebut di sini semalam.
Menurut Zaini, kesemua besi yang dikeluarkan dari stadium berkenaan akan dihantar ke stor penyimpanan syarikat itu di Kuala Lumpur.
Katanya, kos pembersihan akan ditanggung syarikat dan kerajaan negeri tidak mengeluarkan bayaran kepada kontraktor kerana kesemua besi akan menjadi milik mereka.
kredit : kosmo.com.my

Mati bersama keris hitam



15/7

Sebilah keris hitam bersarung kayu antara senjata tajam yang ditemui dalam kereta yang digunakan oleh empat penyamun.

TEMERLOH – Tindakan jahat sekumpulan empat penjenayah warga asing bersenjatakan parang dan keris mengikat serta mengurung seorang penjual ikan ketika menyamun rumah mangsa tidak bertahan lama apabila kesemua mereka mati ditembak tidak sampai 30 minit selepas melakukan perbuatan tersebut.
Kejadian pukul 2.45 pagi semalam itu berlaku apabila kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic curi. Kenderaan itu dikejar kereta peronda polis sejauh lima kilometer dari lokasi kejadian di Bangau Tanjong di sini.
Siasatan awal mendapati penjenayah tegar tersebut dipercayai pernah melakukan tidak kurang daripada 20 kes samun di sekitar Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan Raub antara Januari hingga Jun lalu.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka pagi semalam apabila jenayah yang baru dirancang di kawasan itu merupakan saat-saat terakhir mereka melihat dunia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, polis yang menerima maklumat berhubung satu kes samun telah bergegas melakukan rondaan di situ.
Anggota polis peronda kemudian mengekori sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki suspek sejauh lima kilometer dari rumah mangsa.
“Suspek enggan memberhentikan kereta walaupun kita telah memberi arahan sebaliknya terus memecut. Kita terpaksa mengejar mereka selama 10 minit sebelum dapat dipintas di sebuah kilang kayu di Songsang.
“Ketika hendak dihampiri, kesemua mereka keluar sambil menghayunkan parang. Anggota polis yang tiada pilihan lain terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini.
Tambahnya, kesemua suspek mati di lokasi kejadian dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Kesemua mayat itu dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh untuk dibedah siasat.
kredit : kosmo.com.my

Wanita dirogol, dibunuh


15/7

SEPASUKAN anggota polis forensik memeriksa mayat wanita yang ditemui rentung di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang semalam.

IPOH – Seorang wanita menjadi mangsa jenayah kejam apabila dia bukan sahaja dipercayai dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang kira-kira 80 kilometer dari sini semalam.
Wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang masih belum diketahui identitinya itu ditemui dengan hampir 80 peratus tubuhnya terbakar. Dia dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8 pagi.
Difahamkan, selain menjumpai cebisan pakaian seperti coli dan seluar jean milik mangsa berhampiran kawasan kejadian, polis turut menemui beberapa titisan minyak diesel yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Perak-Pahang.
“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di situ kerana pemeriksaan awal mendapati hampir seluruh tubuh mangsa hangus terutama pada alat sulitnya.
“Penjenayah bertindak demikian untuk menghapuskan bukti tetapi kita perlu menunggu laporan forensik bagi menentukan kesahihannya,” katanya kepada pemberita semalam.
kredit : kosmo.com.my