Search This Blog

Tuesday, July 13, 2010

PPDNK Gempur tiga stor




GREENTOWN – Tiga stor menyimpan pelbagai jenis aksesori telefon bimbit dipercayai tiruan bernilai lebih setengah juta diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak, dalam dua operasi berasingan di sebuah pusat membeli belah di sini, pada Selasa dan Rabu lalu. 

Difahamkan pusat membeli belah terbabit turut ‘terkenal’ sebagai pusat penyimpanan barangan tiruan dan stor simpanan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan pernah diserbu anggota penguat kuasa PPDNKK Perak beberapa kali. 

Bagaimanapun, pengusaha premis berkenaan masih tidak serik malah terus ‘bermaharajalela’ menjalankan kegiatan tidak bermoral itu. 

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, A Mogan berkata, pihaknya bertindak selepas melakukan risikan serta mendapat maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti premis itu sebelum bertindak menyerbu dan merampas barangan tiruan berkenaan. 

Menurutnya, dalam operasi yang diadakan selama dua hari itu anggotanya menyerbu ketiga-tiga stor simpanan itu dan merampas 36,628 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit berkenaan.: 

“Dalam operasi yang bermula sekitar jam 10 malam hingga 6 pagi itu, pihak kami berjaya merampas pelbagai jenis aksesori telefon bimbit berjenama namun pada kali ini ia hanya bertumpu kepada jenama Nokia,” katanya pada sidang media di Bangunan Persekutuan di sini, semalam. 

Mogan berkata, pemilik ketiga-tiga premis berkenaan gagal ditemui dan pihaknya masih cuba mengesan bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu. 

“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan premis berkenaan didapati sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan barangan itu untuk dipasarkan di sekitar bandar raya ini,” katanya. 

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 31b Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menawarkan untuk membekalkan barangan tiruan.

“Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan maksimum denda RM100,000 atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Mogan berkata, pusat membeli belah itu masih menjadi kawasan tumpuan penjualan barangan tiruan kerana ‘dalang’ di sebalik kegiatan tidak dapat dikesan. 

“Kita percaya selagi ada pembekal di kawasan utara khususnya, selagi itu operasi penjualan barangan tiruan ini tidak akan berakhir. 

“Justeru, kita akan bekerjasama dengan anggota penguat kuasa dari negeri lain bagi menjejaki mereka yang terbabit dalam kegiatan itu,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini sudah 70 kes berkaitan Akta Hakcipta berjaya diselesaikan PPDNKK Perak bagi enam bulan pertama tahun ini. 

Sehubungan itu, Mogan menegaskan PPDNKK akan sentiasa mengadakan Ops Gerak Gempur bagi membanteras penjualan barangan berjenama tiruan dari semasa ke semasa.

Tinggal sehelai sepinggang




SENAWANG - Keseronokan seorang lelaki menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia secara langsung di televisyen awal pagi, semalam bertukar menjadi situasi mencemaskan apabila mendapati rumah jirannya terbakar. 

Mohd Taib Mustafa, 52, yang ketika itu sedang leka menonton perlawanan antara Sepanyol dan Belanda terpaksa meninggalkan tumpuannya terhadap perlawanan tersebut, sebaliknya bertungkus-lumus membantu jiran di hadapan rumahnya itu. 

"Ketika itu, saya sedang menonton Piala Dunia dan tersentak apabila terdengar cermin kaca pecah serta jeritan orang meminta tolong. 

"Saya kemudian meluru keluar rumah dan mendapati rumah jiran saya terbakar. Saya kemudian segera hubungi bomba,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi semalam, rumah teres yang didiami lima sekeluarga di Taman Tuanku Ja'afar, di sini musnah dalam kebakaran. 

Kejadian disedari pemilik rumah, Daud Abdul Ghani, 66, sebaik saja dikejutkan isterinya, sementara tiga anaknya sedang tidur di bilik masing-masing. 

Menurut Daud, dia terjaga selepas dikejutkan isterinya dan mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah. 

“Saya tidak berfikir lain selain segera mengejutkan anak-anak saya sebelum membantu mereka keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri. 

“Masa itu, saya cuma ingat untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga saya. Saya nampak perabot, pakaian dan barangan elektrik dalam rumah saya sudah musnah terbakar," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di tempat kejadian semalam. 

Daud bagaimanapun bersyukur kerana kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. 

Selain rumah Daud, turut terjejas, dua lagi rumah bersebelahan milik Abd Razak Karim, 55 dan Syed Baharuddin Abu Bakar, 64. 

Abd Razak berkata dia dikejutkan dengan bunyi bising di depan rumah jirannya itu. 

“Saya segera keluar rumah dan mendapati rumah Daud terbakar. Saya tidak berlengah lagi dan terus kejutkan isteri dan anak-anak saya menyelamatkan diri kerana bimbang api merebak ke rumah saya," katanya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Jaafar Yusof berkata, dua jentera bomba membabitkan 17 anggota dari Senawang dan Seremban bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 5.01 pagi. 

Beliau yang mengetuai operasi memadam kebakaran itu berkata, pihaknya berjaya mengawal api setengah jam kemudian sebelum api dapat dipadamkan sejurus selepas itu. 

"Setakat ini, kita masih lagi mencari punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami mangsa," katanya.

Pelajar cedera disepak guru besar



Posted on the July 13th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
MOHD ZAKEE  menunjukkan laporan polis berhubung kejadian guru besar  menyepak anaknya, Muhammad Irfan.
MOHD ZAKEE menunjukkan laporan polis berhubung kejadian guru besar menyepak anaknya, Muhammad Irfan.
Marah murid tak patuh arahan tulis jawapan pada kertas soalan
PASIR PUTEH: Seorang murid Tahun Empat terpaksa dikejarkan untuk rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA) dekat sini, selepas belakangnya cedera akibat disepak oleh seorang guru besar sebuah sekolah di jajahan ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin lalu, ketika mangsa mengikuti kelas mata pelajaran Sains.
Muhammad Irfan Mohd Zakee Zakaria didakwa ditendang guru besar terbabit selepas menulis jawapan mata pelajaran Sains pada kertas jawapan, dan bukannya pada kertas soalan seperti diarahkan guru terbabit.
Bapa murid terbabit, Mohd Zakee Zakaria, 39, berkata beliau mengetahui kejadian yang berlaku terhadap anaknya itu sejurus pulang dari kerja pada petang berkenaan.
Saya mendapati sepakan guru terbabit meninggalkan kesan lebam dan bengkak. Mulanya saya menyangka keadaan tidak begitu serius dan tidak membawanya mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, sebelah malamnya, anak saya mengadu kesakitan dan mengalami sesak nafas hingga mukanya pucat dan kebiruan.
Bimbangkan keadaan itu, saya membawanya ke HTA sebelum diberikan ubat penahan sakit dan dibenarkan pulang, katanya kepada ketika ditemui wakil media di sini, semalam.
Mohd Zakee berkata, pegawai perubatan HTA yang merawat anaknya menasihatkan beliau membuat laporan polis kerana bimbang kecederaan dialami mempunyai kesan jangka panjang.
Beliau berkata, selepas kejadian itu, ada individu datang ke rumahnya seolah-olah mewakili guru besar terbabit dengan menyampaikan pesanan supaya tidak memanjangkan kejadian itu, termasuk tidak didedahkan kepada media.
Lelaki terbabit menasihatkan saya supaya tidak menghebahkan kejadian ini dengan alasan dia sudah berhubung dengan wakil media bagi menghalang menyiarkan berita, katanya.
Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, Ismail Ghazali, ketika dihubungi, berkata beliau sudah mengarahkan guru besar sekolah terbabit menyediakan laporan bertulis berhubung kejadian itu.
Perkara ini akan dipanjangkan kepada pihak atasan untuk membuat sebarang keputusan yang terbaik. Kita akan mengambil satu pendekatan menang-menang dalam soal ini, tetapi biarlah laporan mengenai kejadian itu sampai kepada saya sebelum sebarang keputusan diambil, katanya.
Sumber : Bharian.com.my

Seludup dadah guna ketuhar gelombang mikro



13/07/2010 7:05pm

SHAH ALAM – Cubaan seorang lelaki warga Iran membawa masuk dadah disyaki syabu seberat 4.15kg bernilai RM1.04 juta yang diisi dalam sebuah ketuhar gelombang mikro melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang berjaya dipatahkan polis Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, lelaki berumur 27 tahun itu pada mulanya hampir berjaya melepasi pemeriksaan polis apabila mesin pengimbas di kaunter bagasi tidak dapat mengesan apa-apa yang mencurigakan di dalam ketuhar dan beg yang dibawanya.
Bagaimanapun, anggota polis yang memeriksa ketuhar itu tidak berpuas hati dengan hasil imbasan lantas membuka panel luar ketuhar itu dan mendapati enam bungkusan plastik berisi hablur putih disyaki syabu berada pada bahagian atas ketuhar itu dan dua bungkus plastik pada setiap ruang panel kiri dan kanannya.
"Lelaki itu datang dengan penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur dan pada mulanya ditahan kerana kelihatan berada di dalam keadaan mencurigakan di ruang mengambil bagasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Siasatan awal mendapati lelaki itu mengusahakan sebuah bengkel motosikal dan pertama kali datang ke Malaysia dan dibayar upah AS$500 bagi membawa masuk dadah itu, katanya.
"Ini adalah kali pertama pihak polis mengesan cubaan menyeludup dadah menggunakan microwave oven,” katanya.
Nordin berkata, lelaki itu kini ditahan reman sehingga 17 Julai ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah. – Bernama

75 ditahan dalam operasi di spa, pusat urut



13/07/2010 7:07pm

JOHOR BAHRU – Polis menahan 75 individu dalam operasi mencegah jenayah di 194 premis yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan Iskandar Malaysia pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, 1,140 individu diperiksa di spa, pusat urut dan juga hotel dalam operasi berkenaan.
"Daripada 75 orang tersebut, enam ditahan kerana mencari langganan pelacur, 10 tidak mempunyai permit kerja, 13 orang kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit dan 46 lagi berkaitan jenayah syariah agama Islam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Operasi berkenaan melibatkan 89 pegawai dan 314 anggota polis yang akan diteruskan bagi memastikan kegiatan pelacuran di kawasan Iskandar Malaysia dapat dibanteras, kata Mohd. Mokhtar. – Bernama

4 pelajar dipercayai belasah pelajar lain ditahan



13/07/2010 6:54pm

JOHOR BAHRU – Polis menahan empat pelajar lelaki dipercayai terlibat dalam insiden membelasah seorang pelajar lelaki lain, yang dikatakan mahu keluar daripada sebuah kumpulan samseng, Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua pelajar berumur 17 tahun itu ditahan berasingan di Taman Setia Indah, Taman Molek dan Stulang Laut di sini, selepas polis mendapat maklumat mengenai mereka.
"Kesemua mereka yang masih bersekolah itu kini reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Jumaat lepas, Lim Bing Li, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut di sini, menerima 12 jahitan di kepala serta lebam di muka dan badan akibat dipukul anggota kumpulan samseng.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Bing Li dikatakan berjalan kaki pulang ke rumah di Taman Bukit Indah, di sini sebelum dibawa oleh kesemua samseng berkenaan menaiki kereta ke Senibong, Permas Jaya di sini, sebelum dibelasah. – Bernama

32 bot ceroboh taman laut seluruh negara



13/07/2010 7:26pm

JOHOR BAHRU 13 Julai – Jabatan Taman Laut Malaysia telah melakukan 32 tangkapan terhadap mereka yang menceroboh taman laut di seluruh negara sejak enam bulan lepas.
Ketua Pengarahnya, Abdul Jamal Mydin berkata, 10 daripada kes tangkapan itu berlaku di Kedah, lima di Terengganu serta Johor dan 12 di Pahang.
"Jabatan Taman Laut sudah cukup memberi kesedaran kepada orang ramai terutama nelayan mengenai kesan negatif pencerobohan oleh pukat tunda dan pukat jerut terhadap sumber marin di taman laut, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan di kawasan perairan taman laut akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa sama ada oleh Jabatan Taman Laut atau bersama agensi penguatkuasaan lain.
Menurut Abdul Jamal, kawasan taman laut merupakan zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan mengikut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994) dan mereka yang melanggarnya boleh didenda atau dipenjarakan.
Katanya, pulau-pulau Taman Laut telah diwartakan sebagai kawasan larangan menangkap ikan sejak 1994 mengikut Akta Perikanan 1985 dan sehingga kini sebanyak 42 pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut. – Bernama

Rasuah: Pesara TUDM dipenjara sebulan



13/07/2010 8:08pm

ALOR SETAR – Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar hari ini dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah secara rasuah dalam tender pembelian peralatan bagi Kolej TUDM di sini, 10 tahun lalu.
Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ”prima facie” terhadap Mejar (B) Mohd. Zaini Harith, 49.
Mohd. Zaini didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Skuadron Material dengan mengatur pembelian peralatan bernilai RNM231,000 melalui Belalai Permata Trading, sebuah syarikat di mana dia mempunyai kepentingan.
Peralatan tersebut merupakan sistem intercom, kamera digital Sony, kamera video Sony, walkie-talkie, gogal dan binokular penglihatan malam dan sebuah penjana elektrik mudah alih.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik komander kolej berkenaan pada pukul 11 pagi, 25 Mei, 2000 dan dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegah Rasuah 1997. – Bernama

Pengendali bot pancung warga Indonesia dipenjara, sebat



13/07/2010 7:00pm

PORT DICKSON 13 Julai – Dua pengendali bot pancung warga Indonesia, masing-masing dihukum penjara dua tahun lapan bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana kesalahan menyebabkan kematian dua penumpang dalam kejadian bot itu karam di perairan Port Dickson pada 22 Jun lepas dan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.
Nazar Aim, 45, dan Iwan Saprin, 25, dari Pulau Rupat, Indonesia, dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian penumpang bot warga Indonesia iaitu seorang lelaki hanya dikenali sebagai Sukiman dan seorang kanak-kanak perempuan yang identitinya tidak diketahui, di perairan Port Dickson, kira-kira pukul 2.30 pagi, 22 Jun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304A, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka juga masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan dua sebatan kerana kesalahan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, kira-kira 4 petang, 29 Jun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-duanya, dan tidak lebih enam sebatan.
Majistret Zaridah Y. Abdol Jaapar memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara itu serentak dari tarikh tangkap. – Bernama

Serangan bom di Afghanistan membunuh lapan orang awam



13/07/2010 2:36am

KABUL 13 Julai - Lapan orang awam terbunuh dan tujuh yang lain cedera dalam satu serangan bom di jalanan yang memusnahkan dua kenderaan di selatan Afghanistan, semalam.
Sebuah bas mini musnah diletupkan oleh alat letupan yang diubah suai (IED) di Lashkar Gah, ibu kota wilayah Helmand, mengorbankan lima orang awam dan mencederakan enam yang lain, kata jurucakap gabenor wilayah, Daud Ahmadi kepada AFP.
"Dua kanak-kanak dan tiga dewasa terbunuh dan enam lagi cedera dalam letupan itu," katanya.
Dalam insiden yang sama di daerah Shamulyazi, berhampiran Zabul, sebuah traktor musnah dalam serangan itu menyebabkan tiga terbunuh dan mencederakan beberapa yang lain, kata Timbalan Ketua Polis Wilayah, Ghulam Jailani. - AFP

Penemuan mayat bayi lelaki: Dua wanita ditahan reman



13/07/2010 7:09pm

JOHOR BAHRU 13 Julai – Polis hari ini mendapat kebenaran untuk menahan reman dua wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi lelaki di Jalan Camar 15, Taman Perling di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan Hassan berkata, kedua-dua wanita rakyat Indonesia berumur 27 dan 22 tahun itu direman sehingga Jumaat ini.
"Kedua-dua mereka direman bagi membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, kedua-dua wanita itu ditahan selepas polis menerusi maklumat orang awam menemui mayat bayi lelaki berusia empat hari itu dalam beg plastik di dalam semak di jalan berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang.
Kedua-dua wanita itu ditahan di sebuah rumah kira-kira 50 meter dari tempat mayat bayi tersebut ditemui. – Bernama

90 pelajar SMK Rantau Panjang keracunan makanan



13/07/2010 4:53pm



RANTAU PANJANG 13 Julai - Seramai 90 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan berdekatan kerana muntah-muntah dan sakit perut setelah menikmati makan malam di kantin sekolah berkenaan.
Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, pelajar terbabit terdiri daripada 29 perempuan dan 61 lelaki, serta menginap di asrama.
Beliau berkata, asrama sekolah berkenaan menempatkan 160 pelajar dari tingkatan satu hingga enam atas.
Katanya, difahamkan pelajar terbabit mula mengalami muntah-muntah dan sakit perut kira-kira pukul 4.30 pagi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang kira-kira pukul 7.40 pagi.

Jelasnya, pelajar terbabit difahamkan telah mengalami muntah-muntah dan sakit perut selepas makan nasi bersambalkan ikan bilis dan sayur masak lemak di kantin asrama sekolah berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
"Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh pelajar dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk menerima rawatan lanjut manakala pelajar lain pula menerima rawatan sebagai pesakit luar (di Klinik Kesihatan Rantau Panjang)," katanya di sini hari ini.
Hussain berkata, tujuh pelajar terlibat, kebanyakkan perempuan, kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital berkenaan. - Utusan

Dua warga Thai terlepas hukuman mati



13/07/2010 5:12pm

KUANTAN 13 Julai - Dua penoreh getah warga Thailad terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar 31,590.04 gram dadah jenis kanabis yang ditemui dalam kenderaan yang dinaiki mereka, empat tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Yala, Thailand itu, Abdul Halim Da Oh, 37, dan Manawi Mama, 43, dituduh memiliki dadah tersebut ketika polis mengadakan serbuan di hadapan Chalet A4, Logoona Villa Cherating, di Kilometer 43, Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini pada pukul 7.40 malam, 16 November 2006. - Utusan

Bogelkan anak perempuan di kompleks beli-belah

HONG KONG: Hanya kerana merosakkan suis kipas, seorang budak berusia lapan tahun dimalukan ibunya sendiri apabila dia dibogel dan ditinggalkan di sebuah kompleks beli-belah.
Mula-mula, budak terbabit dipukul dengan penyangkut baju.
Tidak puas dengan hukuman itu, ibunya, Wong Ngan-chun, 35, menanggalkan pakaian budak terbabit dan membawanya ke Kompleks Beli-belah Tuen Mun dan meninggalkannya di situ sendirian.

Akibat perbuatan itu, mahkamah mendapati perunding kecantikan itu bersalah dan menghukumnya supaya menjalani pengawasan 12 bulan.

Akhbar Hong Kong Standard melaporkan, hakim mendapati hukuman itu wajar kerana Wong menunjukkan kekesalan atas perbuatannya.

Namun, dia boleh dipenjara jika melakukan kesalahan sekali lagi.

Wong didapati mendera dan memalukan anaknya bulan lalu.

Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membelikan pakaian dan diberi kepada budak terbabit sebelum kes itu dilaporkan kepada polis.

Pemeriksaan kesihatan mendapati ada kesan lebam pada lengan, kaki, kepala dan dada budan terbabit. Selain rayuan daripada Wong, mahkamah turut mengambil kira keterangan suaminya yang dikahwini sejak 12 tahun lalu.

Suami Wong berkata, wanita itu mungkin tertekan selepas mengesyaki dia ada perempuan simpanan.

Kini, katanya, dia memaafkan Wing dan hubungan keluarga itu semakin rapat. - Agensi

Polis banteras kegiatan peras ugut telefon bimbit

DHAKA: Pasukan keselamatan elit Bangladesh melaporkan mereka mencapai kejayaan terbesar dalam usaha membanteras kegiatan peras ugut di bandar ini, semalam.
Beberapa siri serbuan di Lundhi, kira-kira 90 kilometer di selatan Dhaka yang dihuni lebih 2,000 penduduk membawa kepada 11 penangkapan termasuk dua dalang kumpulan yang memeras ugut melalui telefon bimbit.
“Kami percaya 80 peratus jenayah peras ugut di Bangladesh menggunakan telefon bimbit dan dilakukan dari kampung ini,” kata Pegawai Turus Tentera, Kolonel Mamum Mahmud. Beliau berkata anggotanya terkejut kerana hampir setiap orang daripada pelajar berusia 14 tahun hinggalah kepada jaga sekolah terbabit dengan kegiatan peras ugut menggunakan telefon bimbit.

“Ketika membuat panggilan, mereka memperkenalkan diri sebagai penjenayah terkenal sebelum menuntut mangsa memberi wang atau menerima akibatnya,” kata Mamun. “Ia kegiatan yang menguntungkan. Kami sudah mengenal pasti 20 kumpulan yang melakukan kegiatan ini.Mereka mempunyai ejen di bandar ini yang akan mencari maklumat mengenai mangsa sebelum memeras ugut dan memungut wang daripada mangsa,” katanya lagi. - AFP

Ibu tergesa-gesa

SANDAKAN: “Kebiasaannya, kami adik beradik tidak lupa mencium tangan ibu ketika dia ke mana-mana tetapi semalam (kelmarin), saya tidak sempat berbuat demikian kerana ibu kelihatan seperti tergesa-gesa.
“Tidak diduga ia seperti petanda ibu akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya," kata Haitiya Lakin, 21, yang masih terkejut apabila dimaklumkan mengenai nahas ngeri mengorbankan lima ahli keluarganya termasuk ibu, abang, adik dan anak saudaranya di Simpang Ladang Reka Halus Jalan Sandakan-Telupid, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Sapura Abdullah, 52, bersama tiga anaknya, Rusip Lakin, 33, Mohd Ariffin Lakin, 24, dan Hasnah Lakin, 15, serta cucu Sapura, Nurdell Asniera Haniesah Haidir, lapan tahun, terkorban.

Kelima-lima mangsa mati di tempat kejadian selepas kereta dipandu Mohd Ariffin merempuh sebuah lori tangki minyak kelapa sawit menyebabkan semua tersepit.

Sarjan cedera bergelut dengan penagih dadah

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera di kaki kanan selepas bergelut dengan seorang penagih dadah dalam operasi Ops Tapis di Felda Bukit Kuantan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, penagih itu cuba memboloskan diri selepas menyedari kehadiran sepasukan anggota polis daripada Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Yap Thoon Khuan, berkata sebelum serbuan, polis mengintip bangsal yang digunakan sekumpulan penagih terbabit untuk melepaskan gian.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis menahan 20 penagih berusia 20 hingga 52 tahun selepas didapati positif menggunakan dadah jenis heroin.

Katanya, siasatan awal mendapati bangsal berkenaan dibina seorang penagih yang bergelar Mat Keng Kang sebelum dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan gian.

Yap berkata, siasatan turut mendapat, Mat Keng Kang akan mengajak sekumpulan penagih lain untuk melepaskan gian dengan syarat menghulurkan sedikit dadah kepadanya.

"Mat Keng Kang mengakui bangsal berkenaan dibina selepas kematian ibunya lima tahun lalu manakala bapanya berkahwin lain dan mereka tinggal secara berasingan.

"Lelaki terbabit yang belum berkahwin mendakwa bangsal itu baru dibinanya tiga minggu lalu dan dia mengajak penagih lain datang untuk melepaskan gian," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi itu, seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera di kaki kanan akibat bergelut dengan penagih yang cuba melarikan diri.

Katanya, semua penagih itu kemudian dibawa ke IPK Pahang untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952.

Dua anak kapal warga Myanmar melecur

KUANTAN: Dua anak kapal warga Myanmar melecur manakala seorang lagi masih hilang apabila kapal tangki mengangkut bahan kimia dinaiki mereka mengalami kebakaran kecil kira-kira 76.3 batu nautika dari perairan Kuantan, di sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kapal Eastern Honesty dengan 22 anak kapal termasuk seorang kapten belayar tanpa muatan dari Vietnam menuju ke Pelabuhan Kuantan, di sini.
Pengarah Operasi Maritim Wilayah Timur, Komander Maritim, Syd Mohd Fuzi Syd Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ejen kapal berkenaan, Unix Line Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura pada jam 10.40 pagi. “Daripada maklumat diberikan, kapal yang didaftarkan di Panama itu mengalami kebakaran kecil di bahagian petak empat ruang kapal berkenaan ketika anak kapal sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki.

“Akibat kejadian itu, dua anak kapal melecur tahap dua dan seorang daripadanya kritikal sementara seorang lagi anak kapal hilang selepas terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam.

Katanya, sebuah helikopter diterbangkan ke sana untuk memindahkan dua anak kapal yang cedera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk dirawat.

“Kita turut menghantar sebuah lagi pesawat dikenali sebagai Bombadier serta dua buah kapal iaitu KM Sipadan dengan kekuatan 23 anggota bersama KM Nusa dengan 18 anggota untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.

“Selain itu, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membantu dengan menghantar kapal KD Perdana untuk turut serta dalam operasi berkenaan,” katanya.

Dua mangsa yang melecur dikenali sebagai Tun Tun Win, 39, serta Wu Nna Htun, 30, manakala mangsa yang hilang dikenali sebagai Waiphyosan, 23, masing-masing warga Myanmar.

Naik bas sebelum curi kereta

MELAKA: Seorang ketua sindiket curi kenderaan lama dikenali sebagai ‘Geng Shukri’ yang aktif di negeri ini dan Johor sejak dua tahun lalu bukan saja licik dan berkemahiran tinggi, malah sanggup menaiki bas sejauh 55 kilometer dari Muar ke negeri ini untuk melakukan jenayah itu.
Suspek berusia 49 tahun itu dikatakan bijak memilih sasaran dan hanya memerlukan masa kurang tujuh minit untuk menghidupkan enjin sebelum melarikan kenderaan itu selepas membukanya dengan kunci pendua sebelum dilupuskan dengan cara ‘melapah’ komponennya dan dijual di kedai barang lusuh.
Malah, dia yang juga seorang mekanik turut bersekongkol dengan bapa saudaranya, seorang warga emas berusia 72 tahun dalam melakukan kegiatan curi itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, berkata kegiatan sindiket itu lumpuh hasil serbuan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bermula 24 Jun hingga 6 Julai lalu.

Beliau berkata, dalam operasi khas (Ops Lejang) itu, 14 suspek berusia 23 dan 72 tahun termasuk seorang warga emas dan seorang wanita ditahan di beberapa lokasi dalam serbuan berasingan di sekitar Muar Johor iaitu di Parit Jawa, Bukit Pasir, Pagoh dan bandar Muar.

“Hasil serbuan kami turut merampas tujuh kenderaan lama iaitu kereta Toyota LE, Toyota Corolla DX, Mazda 323, Nissan Sunny, Nissan Sentra dan serta sebuah van Ford Econovan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam. “Turut dirampas sebanyak 12 keping cermin hadapan kereta yang masih mempunyai nombor pendaftaran kereta ‘sandblasting’. Keseluruhan rampasan ini yang dibuat di bengkel dan dari premis menjual barangan terpakai dianggarkan bernilai RM100,000 hingga RM120,000.

“Cermin dan pelbagai komponen kereta yang dileraikan ini dijual kepada bengkel tertentu sebagai alat ganti dan juga kedai barangan terpakai,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam.

Mohd Rodwan berkata, susulan penangkapan suspek terbabit, pihaknya dapat melumpuhkan satu sindiket curi kenderaan lama yang aktif di negeri ini dan Johor.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami juga yakin dapat menyelesaikan sebanyak 40 kes curi kenderaan di Melaka sahaja dan 10 lagi di Johor sejak 2008.

“Semua anggota kumpulan yang direman sudah diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut kes di sana,” katanya.

Penyeludup mercun sempat cat kepala lori

KUANTAN: Tindakan satu sindiket penyeludupan mercun menukar taktik dengan mengecat semula kepala lori selepas meloloskan diri selepas dikejar Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Baging, petang kelmarin, gagal apabila kenderaan itu ditahan empat jam kemudian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, anggota KDRM mengesan sebuah lori 10 tan dinaiki tiga lelaki membawa muatan 8,000 kilogram (kg) mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM400,000.
Ketika diarahkan berhenti, lori berkenaan secara tiba-tiba berhenti di tengah jalan raya ketika laluan sibuk sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Namun, ketika dihampiri, sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai tonto datang dari arah belakang dan menghalang pergerakan kenderaan KDRM.

Kesempatan itu digunakan pemandu lori terbabit untuk melarikan diri dengan memecut kenderaan ke arah Kuantan.

Pengarah KDRM negeri, Datuk A Samawe Hassan, berkata, anggota KDRM terus mengejar lori berkenaan, namun kenderaan mereka beberapa kali dihimpit sehingga mengancam nyawa anggotanya.

Katanya, dalam usaha anggotanya menahan lori berkenaan, sekali lagi Perodua Myvi dipandu tonto terbabit menghalang kenderaan KDRM.

“Kesempatan itu digunakan lori berkenaan untuk meloloskan diri dan hilang dari pandangan anggota di jalan susur keluar Jerangau-Jabor, dekat Sungai Ular,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melancarkan gerakan besar-besaran memburu lori terbabit bagi memastikan ia tidak keluar jauh dari bandar ini.

“Akhirnya kira-kira jam 5.30 petang, lori disyaki dikesan berada di Kawasan Perindustrian Gebeng dan serbuan terus dilakukan.

“Ketika menghampiri lokasi, kelihatan beberapa lelaki bertempiaran melarikan diri meninggalkan lori berkenaan,” katanya.
A Samawe berkata, pemeriksaan mendapati sebahagian kepala lori sudah dicat warna lain dan nombor pendaftaran asal ditampal dengan nombor baru.

“Kami percaya ia bertujuan menukar identiti lori bagi mengelirukan anggota KDRM dan memudahkan pergerakan mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan turut menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM400,000 dengan jumlah cukai RM300,000,” katanya.

Kertas siasatan kes Aminulrasyid sudah diserah

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas siasatan berhubung kes remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis pada 26 April lalu, sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Isu sama ada suspek melakukan kesalahan atau tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah.
“Oleh yang demikian, tidak wajar bagi kerajaan mengambil sebarang tindakan sebelum kes diputuskan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Lim ingin tahu mengapa kerajaan tidak meminta maaf secara rasmi kepada keluarga Aminulrasyid di Shah Alam dan mengapa siasatan hanya dilakukan Panel Khas diketuai Timbalan Menteri dan bukan suatu siasatan terbuka.

Hishammuddin berkata, beliau setakat ini berpuas hati siasatan dijalankan telus dan diselesaikan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, Panel Khas ditubuhkan memantau secara langsung proses penyiasatan oleh polis bagi memastikan siasatan adil, telus, tidak tertangguh dan menjamin keadilan kepada semua pihak terbabit.

Panel turut meneliti prosedur penggunaan senjata api oleh polis dan prosedur lain berkaitan operasi, penugasan polis dan seterusnya membuat syor menambah baik prosedur berkaitan.

“Sehubungan itu, dakwaan Panel Khas menjalankan siasatan secara dalaman tidak benar. Panel ini hanya memantau proses siasatan dijalankan polis,” katanya.- Bernama

Penipu giat menelefon

KUALA LUMPUR: Kejadian pengeluaran wang tanpa kebenaran pemegang kad dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit terus berlaku akibat kealpaan individu yang menyerahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) mereka kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan aduan terkini diterima Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat peningkatan dalam kejadian panggilan telefon oleh penipu kepada orang ramai yang tidak tahu mengenai kegiatan ini bagi mendapatkan maklumat perbankan peribadi mereka bertujuan mengambil wang dari akaun mereka.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, pengeluaran tanpa kebenaran berlaku apabila pelanggan secara sengaja atau tidak mendedahkan nombor PIN atau kata laluan kepada pihak ketiga.

Katanya, antara modus operandi terkini adalah penyalahgunaan nama BNM dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai BNM dari ‘Unit Kad Kredit Palsu’ menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau membuat panggilan telefon kepada pemegang kad kredit.

“Tiada Unit Kad Kredit Palsu BNM dan nombor telefon 03-2772-XXXX bukan talian BNM. “Penipuan ini bertujuan memperdaya pemegang kad kredit untuk memberikan maklumat perbankan peribadi mereka bagi membolehkan pemindahan wang secara tidak sah.

“BNM sering menerima aduan mangsa tiba-tiba hilang banyak wang secara didakwa dicuri sedangkan mereka tidak pernah memberi hak kepada orang lain.

“Namun, selepas siasatan terperinci, akhirnya mangsa mengaku pernah mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak yang menyamar dari bank,” katanya.

Katanya, antara taktik digunakan adalah mangsa menerima panggilan telefon dari sebuah ‘bank perdagangan’ bagi mengesahkan transaksi kad kredit untuk pembelian luar negara seperti Shanghai yang kononnya sudah dicaj kepada kad kredit mangsa.

Katanya, apabila mangsa menafikan transaksi itu, penipu itu menasihatinya mengadu kepada ‘Unit Kad Kredit Palsu’ BNM selain memberikan satu nombor telefon kepada mangsa.

“Mangsa yang menghubungi nombor itu disambut sistem pesanan suara automatik ‘BNM’ sebelum panggilan dijawab ‘pegawai BNM’ yang akan meminta maklumat akaun perbankan dan kad kredit mangsa. “Mangsa kemudian diarahkan supaya memindahkan wang di kaunter kepada akaun pihak ketiga konon untuk memastikan wang mangsa dilindungi,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menerima permintaan sedemikian dinasihati menghubungi bank masing-masin

Judi RM419.2j tumpas

KUALA LUMPUR: Pemantauan dan risikan yang berterusan Unit Gempur Khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia membawa kejayaan sekali gus menumpaskan kegiatan perjudian bola sepak sepanjang Piala Dunia membabitkan nilai pertaruhan RM419.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Bakri Zinin berkata, Ops Soga dilancarkan pihaknya sepanjang kempen Piala Dunia yang berakhir semalam jelas mencatatkan kejayaan.
“Kami (Bukit Aman) menjalinkan kerjasama dengan Interpol dan turut disertai komponen lain termasuk Hong Kong, Macau, Singapura, China dan Thailand yang berpangkalan di Lyon, Perancis, dalam usaha mengekang kegiatan judi jenis siber seumpama ini.

“Hasilnya, polis melakukan tangkapan dan rampasan berdasarkan serbuan dilakukan dipercayai mempunyai dalam kegiatan pertaruhan haram itu,” katanya. Sepanjang kempen Piala Dunia yang berlalu baru-baru ini, 270 serbuan dilakukan polis ke atas premis bookie dan daripada jumlah itu, 151 serbuan berjaya.

“Daripada kejayaan itu, sejumlah 227 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pertaruhan judi bola berusia 15 hingga 73 tahun ditahan.

“Selain rakyat tempatan, 11 daripada yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya. Harian Metro difahamkan polis merampas wang tunai RM99,266 selain peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan perjudian berkenaan merangkumi telefon bimbit, komputer riba, modem, kalkulator selain kertas dan buku digunakan bagi tujuan sama.

Difahamkan, semua sindiket utama beroperasi secara online dan bayaran dilakukan dengan memasukkan ke dalam akaun bank yang dibuka untuk tujuan berkenaan dan juga ada melakukannya cara lama dengan mencatat transaksi atas kertas.

Bakri berkata, polis giat mengesan empat lelaki yang dipercayai ‘King Pin’’ utama dalam sindiket pertaruhan ini yang meloloskan diri ke negara jiran sebaik sahaja Ops Soga ini dilancarkan April lalu.

Menurutnya, identiti mereka yang berumur lingkungan 40-an itu dikenal pasti termasuk mempunyai rekod kesalahan jenayah judi dan jenayah lain dan polis memantau pergerakan keluarga mereka di negara ini.

“Kita tidak berhenti di sini sahaja kerana ada lagi liga yang akan dan sedang berlangsung seperti Liga Perdana Inggeris dan kami percaya akan wujudnya sindiket pertaruhan lain,” katanya.

Resit tol balik lubang

KLANG: Licik apabila seorang lelaki menjalankan urus niaga menjual resit tol palsu, di Jalan Lintang Mohammad 1(B), Pusat Perdagangan Bandar Sultan Sulaiman menyediakan satu lubang khas diubah suai bagi mengelak identitinya diketahui umum.
Malah, bagi mengelak kerja haram itu terbongkar, lelaki tempatan berusia 30-an berselindung di sebalik kedai gunting rambut dan menjual alat telekomunikasi sejak enam bulan lalu sebelum dihidu sepasukan polis Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pelabuhan Klang.
Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam, Jumaat lalu, polis menahan pekerja warga India, selepas membuat intipan selama dua bulan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, ketika serbuan dibuat, dua suspek berada di premis terbabit dan selepas digeledah polis merampas tiga komputer, sejumlah gulungan resit palsu dan gulungan kertas resit masih kosong, mesin pencetak, buku catitan serta mesin pengira dipercayai digunakan membuat resit tol palsu.

“Hasil siasatan mendapati, pelanggan utama mereka daripada pemandu lori yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, Shapadu dan Kesas yang menghubungkan Kapar, Klang dan Shah Alam.

“Pemandu perlu membayar RM1 memperoleh resit tol palsu sebelum membuat tuntutan di syarikat masing-masing,” katanya.

Umpan mi goreng tarik tahi judi kekal bertaruh

AMPANG: Umpannya hanya beberapa pinggan mi goreng dan air minuman, namun harga perlu dibayar mencecah ratusan ringgit dan ada kalanya hingga habis sebulan gaji.
Itu nilai perlu dibayar kaki judi tegar yang menjadikan premis judi sebagai ‘rumah’ kedua mereka dengan menghabiskan masa bertaruh dalam permainan mesin judi.
Ini kerana, pemilik premis judi menggunakan umpan itu di gerai ‘catok’ yang tumbuh bagai cendawan di depan setiap kedai mereka bagi memastikan pelanggan mereka setia dan tidak beralih arah ke pusat judi lain. Selain itu, pemilik premis judi sanggup mengeluarkan wang membelanja pelanggan mereka makan sebagai alas perut asalkan semua kaki judi itu tidak pulang.

Namun, modal dikeluarkan pemilik premis judi itu ternyata berbaloi kerana pulangannya berkali ganda kerana kaki judi tegar ini selalunya ‘membayar’ kembali wang dikeluarkan itu dengan setiap pertaruhan mereka yang ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, pemilik premis judi juga dikatakan menggunakan gerai makan terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada melakukan serbuan.

Bagaimanapun taktik berselindung di sebalik gerai ‘catok’ terbabit di sekitar Ampang itu berakhir apabila sepasukan polis melakukan serbuan, malam kelmarin. Dalam operasi bermula jam 8 malam dan berakhir dua jam kemudian itu, lapan pusat perjudian berselindung di sebalik gerai makanan di sekitar Ampang Jaya diserbu.

Operasi terbabit disertai sembilan pegawai dan 40 anggota bersama pegawai dan 12 anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menahan lapan penjaga premis dan 10 orang leka berjudi.

Antara premis diserbu itu masing-masing lima di Pandan Jaya dan setiap satu di Bukit Permai, Taman Muda dan Taman Cahaya.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awan dan risikan.

“Seramai 18 individu berusia 18 hingga 45 tahun ditahan dan premis berkenaan dikesan berselindung di sebalik gerai makan serta pusat hiburan keluarga,” katanya.

Dalam serbuan itu, 84 set perjudian berkomputer dan 10 mesin jackpot menggunakan token khas dicipta sendiri dirampas.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan tahun ini, polis melakukan 116 serbuan dan 140 tangkapan berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu 79 serbuan dan 88 orang ditahan.

“Kegilaan judi ini boleh menimbulkan banyak gejala sosial dan kami meningkatkan usaha melakukan banyak serbuan di sekitar Ampang Jaya.

“Ada antara kaki judi sanggup berhabis wang jumlah yang banyak dan ada juga sanggup menghabiskan masa seharian di pusat judi ini,” katanya.

Tidak nampak siapa tikam

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar sebuah kolej swasta di lepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam daripada tuduhan membunuh seorang warga Afrika, dua tahun lalu.
Hakim Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu terhadap Nik Muhd Mahlam Nik Shaharuddin, 19, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Hairani Samsi. Pendakwaan mengemukakan 22 saksi pendakwaan. Mengikut pertuduhan, Nik Muhd Mahlam didakwa membunuh, Abdel Aziz ketika kejadian berusia 22, dengan menikam menggunakan pisau di bahagian belakang badan sebelah kanan di hadapan Restoran Mydina Jalan 14/27A, Taman Desa Setapak di sini, jam 8.30 hingga 9 malam, pada 21 September lalu.

Tertuduh ketika ditemui sebaik prosiding tamat bersyukur dan gembira di atas pembebasannya dan akan pulang ke Kota Bharu, Kelantan bertemu keluarga.

“Buat masa sekarang saya belum merancang apa-apa lagi. Tapi saya nak pulang berjumpa keluarga dulu,” katanya sambil tersenyum.

Turut hadir ke mahkamah semalam dua rakan Nik Muhd Mahlam. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Restoran Mydina, Jalan 14/27A, Taman Desa Setapak, dekat sini, jam 8.30 malam hingga 9 malam pada 21 September 2008. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati. Terdahulu dalam penghakimannya, Zainal Azman berkata, pihak pendakwaan gagal menyelesaikan lima persoalan yang timbul sepanjang perbicaraan berlangsung termasuk, sama ada tertuduh yang menikam mangsa, Abdel Aziz Hassan atau sebaliknya.

“Saksi pendakwaan dalam keterangan mereka gagal membuktikan kejadian sebenar berlaku iaitu sama ada tertuduh yang menikam mangsa atau orang lain.

“Ini berikutan dalam keterangan saksi warga Afrika menyatakan mereka tidak nampak siapa yang menikam dan cuma seorang saja bersetuju tertuduh yang menikam selepas diserang tertuduh dan rakannya (saksi)” katanya.

Zainal Azman berkata, disebabkan keterangan saksi tidak disokong saksi lain ia menjadikan kenyataan dikemukakan di mahkamah cacat.

“Malah saksi-saksi yang terdiri daripada rakyat tempatan menyatakan kejadian itu berpunca selepas mereka diserang pelajar Afrika tapi saksi warga Afrika memberi keterangan sebaliknya. Selain itu pendakwaan tidak mengemukakan saksi bebas seperti pemilik restoran kemungkinan besar melihat kejadian berkenaan,” katanya.

Tak mengaku terima sogokan RM700

SHAH ALAM: Seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan menerima sogokan RM700 bagi menukar keputusan temuduga membolehkan seorang pemohon tidak berkelayakan menyertai jabatan kerajaan, September tahun lalu.
Tertuduh Muhamad Faizal A Rahman, 27, yang ketika itu bertugas di bahagian pengambilan khas suruhanjaya itu didakwa menerima suapan wang tunai berkenaan daripada Nurazlina Kamarudin, 23.
Ia sebagai dorongan bagi mengubah keputusan temu duga calon berkenaan yang memohon kekosongan jawatan Juruteknik Komputer supaya lulus.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di dalam Restoran Mc Donald’s cawangan Ulu Klang, Batu 7, Jalan Lingkaran Tengah Kedua, kira-kira 1.30 petang, 16 September 2009.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dikenakan Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mat Rempit dipenjara sebulan, denda RM5,000

ALOR SETAR: Gara-gara berlumba haram, seorang Mat Rempit menerima padah apabila dipenjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Abdul Rahman Abdul Razak, 23, dari Kampung Peremba, Ampang Jajar, di sini, didakwa melakukan kesalahan itu bersama empat lagi rakannya di Persiaran Sultan Abdul Hamid, di sini, jam 2.15 pagi pada 7 Mei lalu.
Majistret, Zuhair Rosli, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang juga seorang penganggur mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya. Mahkamah turut menggantung lesen memandu tertuduh selama dua tahun.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Shahnaz Akhtar Haji, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ditahan dalam Ops Samseng Jalanan selepas menunggang dalam keadaan berbahaya selain melanggar lampu isyarat.

Didakwa samun guna parang

SHAH ALAM: Seorang pemuda yang kini dalam proses mahu bertunang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merompak telefon bimbit dan wang tunai RM50 daripada warga Indonesia, bersenjatakan parang dalam satu kejadian, di Rawang, dekat sini, kira-kira dua minggu lalu.
Razali Sukarni, 23, yang tidak memiliki pekerjaan tetap bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Sharina Pitchy.
Mengikut kertas pertuduhan, Razali bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh merompak menggunakan parang terhadap Irwan Lokman, kira-kira 3.45 petang, pada 23 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 1464 C, Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, Rawang, dekat sini.

Dalam kejadian itu, pekerja asing itu mengalami kerugian kira-kira RM150.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim, memohon ikat jamin tidak kurang RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes itu yang diklasifikasikan sebagai jenayah jalanan.

“Ini adalah jenayah serius. Ini kerana kes seperti ini semakin berleluasa.

“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini di mana ada penggunaan senjata tajam iaitu parang,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon nilai itu dikurangkan berikutan tidak mampu membayarnya. “Saya tidak bekerja, ada adik-beradik ramai, ibu saya adalah orang susah,” katanya.

Sharina membenarkan tertuduh diikat jamin ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke balai polis terdekat setiap sekali sebulan

Ajal hentak pasu bunga

KLANG: Hanya berpunca dari pergaduhan untuk merebut cinta, seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang lelaki dengan menghentak pasu bunga di kepala mangsa, dalam satu kejadian, dekat sini, Februari lalu.
Tertuduh, A Saravan, 26, hanya mengangguk faham selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Afifah Yusof.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Saravan bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian S Doorai Raj, 28, seorang tukang baiki pendingin udara menggunakan pasu bunga sebagai senjata.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di depan Restoran Kieng Hock di Lot 1486, Lorong Kopi Pandamaran, dekat sini, antara jam 11.30 malam pada 8 Februari lalu dan 3.13 pagi keesokan harinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum ini, tertuduh pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Doorai Raj sebelum lelaki itu meninggal dunia.

Kelentong jejaka sepi

KUALA LUMPUR: Tidak perlu menuntut ilmu pengasih apabila seorang kasanova yang menggunakan nama samaran`jejaka kesepian’ hanya perlu mensasarkan golongan wanita berwajah kurang menarik tetapi kaya sebagai sasaran untuk dipikat sebelum harta mangsa dikikis sedikit demi sedikit.
Lelaki berusia 40-an terbabit didakwa bijak bermain psikologi selain gemar menggunakan himpunan cerita sedih meruntun jiwa yang sengaja dicipta untuk menagih simpati mangsa memberikan wang kepadanya Malah suspek dikatakan bijak menggunakan pendekatan agama dan isu ketuhanan untuk membuat mangsa jatuh hati dan percaya bahawa dia benar-benar ikhlas untuk menjalinkan persahabatan.
Namun segalanya terbongkar selepas suspek diberkas polis kerana dipercayai menipu enam gadis dan wanita tempatan selain meniduri kebanyakan gadis dikenali melalui Internet itu.

Dalam kes terbaru, seorang wanita yang juga ahli perniagaan barangan kulit turut tampil mendakwa menjadi mangsa suspek sama menyebabkan dia kerugian hampir RM300,000 selepas sembilan bulan berkenalan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Qi Qi, 34, berkata, dia mula mengenali lelaki penipu berkenaan yang berasal dari Singapura selepas berkenalan melalui laman sembang sosial di internet Ogos tahun lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit menggunakan nama sama ‘lonelyman 88’ mendakwa dirinya bujang dan bekerja pengurus di sebuah syarikat di republik berkenaan.

“Hasil perkenalan singkat itu, saya percaya dengannya apatah lagi lelaki itu sering berbicara soal agama dan kejujuran setiap kali berbual melalui telefon atau e-mel.

“Lelaki itu bersungguh-sungguh mahu bertemu saya di Pulau Pinang sebelum kami bertemu dua bulan selepas berkenalan. Ketika itu langsung tidak terdetik di hati saya, dia mempunyai rancangan jahat untuk menipu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penipuan terancang itu bermula apabila lelaki berkenaan menagih simpatinya dengan mendakwa ibu tirinya dimasukkan ke wad kecemasan hospital selepas diserang sakit jantung.

“Dia mendakwa memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan ibu tirinya itu yang didakwa akan diarah keluar dari hospital sekiranya gagal menjelaskan kos bayaran rawatan tertunggak.

“Selain itu, dia turut membuat cerita sedih kononnya tidak dibayar gaji majikan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia tidak mempunyai wang bagi membayar ansuran kereta, kad kredit serta memperbaharui cukai kenderaan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Turut hadir Ketua Biro , Datuk Michael Chong.
Menurutnya, rentetan cerita sedih itu terus berlanjutan apabila suspek mendakwa bapa saudaranya mati selain dia sendiri terbabit kemalangan jalan raya pada 6 Februari lalu sebelum diisytiharkan muflis oleh bank.

“Semua kisah sedih diceritakan itu membuatkan saya simpati sebelum menghulurkan bantuan kewangan berulang kali melalui pindahan wang ke bank hingga mencecah kira-kira RM294,662.

“Namun, mula mengesyaki ditipu apabila lelaki terbabit memberikan alasan tidak logik setiap kali saya meluahkan hasrat melawat ibu tirinya di hospital.

“Susulan itu, saya membuat empat laporan polis termasuk dua laporan di Balai Polis Jurong, Singapura. Suspek ditahan polis Daerah Petaling Jaya baru-baru ini sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Pijak sampai pengsan

JITRA: Hanya kerana seutas rantai tangan, dua peragut sanggup memijak tangan kanan seorang nenek berusia 68 tahun sehingga patah dalam satu kejadian ragut di Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas di sini, Khamis lalu.
Puteh Saad, 68, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika dia berseorangan berjalan kaki dari kedai runcit di Taman Tabung Haji, di sini untuk pulang ke rumahnya di kampung berkenaan kira-kira 100 meter dari situ.
Katanya, sebelum kejadian dia ternampak sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 20-an mengekorinya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Menurutnya, seorang daripada suspek turun dari kenderaan itu sebelum meragut rantai tangannya.

“Saya cuba melawan, malangnya saya jatuh tersungkur di atas jalan sebelum lelaki terbabit memijak tangan kanan saya. “Saya merayu supaya dilepaskan, tetapi tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di sini, semalam. Puteh berkata, dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak didengari sesiapa kerana kawasan itu sunyi dan pada masa sama suspek membuka radio keretanya dengan kuat.

Katanya, suspek kemudian mengacu pisau di lehernya sambil mengarahkan dia menyerahkan rantai tangannya menyebabkan dia takut dan berhenti melawan.

“Mereka memijak saya sehingga pengsan sebelum melarikan diri dan apabila tersedar, saya pulang ke rumah dan terasa tangan tidak dapat digerakkan.

“Saya pengsan kali kedua ketika sampai di rumah dan anak lelaki, Mohd Shukri Hashim, 38, membawa saya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, dia kini trauma dengan apa yang berlaku dan akan lebih berhati-hati jika mahu keluar sendirian.

Katanya, doktor mengesahkan tulang tangannya retak dan patah akibat kejadian itu dan perlu banyak berehat.

Berikutan kejadian itu, dia kerugian hampir RM2,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Pasangan lagak suami isteri dicekup

GEORGETOWN: Rahsia di sebalik lakonan sepasang kekasih yang kononnya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sah di sisi agama dan masyarakat akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan selepas disyaki berkhalwat dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Alma, Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah (SPT) di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Pasangan berusia 30-an itu cukup licik menyembunyikan status mereka apabila dipercayai tinggal bersekedudukan secara rahsia tanpa diketahui umum. Ketua Unit Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan, berkata pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi Sabtu lalu membabitkan sepasukan pegawai masjid dibantu pegawai penguat kuasa JHEAIPP hasil aduan awam.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan di sebuah rumah teres satu tingkat itu, seorang lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju membuka pintu.

Katanya, ketika diperiksa, pasangannya bersembunyi di bilik belakang dengan berpakaian lengkap kerana bimbang dicekup pegawai penguat kuasa agama.

Khairul Azman berkata, siasatan mendapati, kedua-duanya bukan suami isteri yang sah selepas gagal mengemukakan dokumen pernikahan dan mengaku belum berkahwin.

Disamun, dicabul pemandu teksi

KUALA LUMPUR: Malang buat seorang wanita lewat 20-an apabila dia bukan saja disamun seorang pemandu teksi, malah dipaksa melakukan seks oral.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, di Bukit Tunku, di sini, kelmarin, wanita terbabit yang bimbang dirogol dan dibunuh lelaki bersenjatakan pisau itu terpaksa akur.
Mangsa yang kerugian hampir RM5,000 ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, menyebabkannya mendapatkan bantuan orang ramai pulang ke rumah.

Kami tak putus harapan

PUTRAJAYA: “Kami tidak akan putus harapan selagi tidak menemui jasad Akmal,” kata Nor Pazilah Ahmad, ibu Mohd Akmal Muhd Arshad, 16, yang masih hilang selepas dipercayai lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, Sungai Merab, Sepang sejak 22 Jun lalu.
Nor Pazilah berkata, usaha mencari anaknya masih diteruskan suami dengan bantuan rakan dan penduduk kampung walaupun bomba dan penyelamat sudah memberhentikan operasinya sejak semalam.
“Saya harap sangat dapat jumpa anak saya. Kami sekeluarga tidak putus berdoa supaya dapat berjumpa Akmal, mungkin akan ada keajaiban dan kami dapat berjumpanya.

“Kami masih menaruh harapan walaupun 21 hari kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tanpa berselindung, Nor Pazilah mengakui dia sekeluarga turut mendapatkan kerjasama ustaz dan pengamal perubatan tradisional dari beberapa negeri bagi meneruskan usaha mencari jasad anak sulungnya itu.

“Kalau ada ustaz atau bomoh beri maklumat, kami akan cari mengikut petunjuk diberikan. Kami cuba sedaya upaya asalkan dapat bertemu Akmal.

“Bagaimanapun, semuanya kuasa Allah, kami hanya berusaha sebaik mungkin, doa kami supaya dapat bertemu anak kesayangan kami itu,” katanya.

Akmal, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Presint 14 (1) Putrajaya dipercayai lemas selepas terjun ke sungai untuk menyelamatkan adiknya, Mohd Aliff Ehsan dan rakan adiknya, Mohd Fariz Rizuan Azman, 11, yang mandi di sungai berkenaan. Ketika kejadian dia memancing di sungai itu.

Drama pengemis

KUALA LUMPUR: Seorang pengemis ‘tempang’ memecut lari apabila tembelangnya berlagak seperti orang kurang upaya (OKU) dirakam jurugambar ketika cuba meraih simpati orang ramai berhampiran Jalan Masjid India di sini, baru-baru ini.

LARI...pengemis di tangga stesen monorel melarikan diri selepas menyedari perbuatannya dirakam.


LARI...pengemis di tangga stesen monorel melarikan diri selepas menyedari perbuatannya dirakam.
BERNIAGA...pengemis cacat penglihatan menjual tisu di Jalan Pudu.
BERNIAGA...pengemis cacat penglihatan menjual tisu di Jalan Pudu.
Lelaki terbabit antara puluhan pengemis yang mencari rezeki dengan berpura-pura cacat dan tidak berupaya melakukan pekerjaan bagi memperoleh wang dengan cara mudah.

Metroplus yang turut melakukan tinjauan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Pudu, mendapati kebanyakan pengemis berkeliaran sehingga mencacatkan pemandangan di ibu kota.

Melalui pemantauan berdekatan Lorong Haji Taib, seorang pengemis duduk di kaki tangga stesen monorel sambil menunggu orang ramai memberinya wang.

Ketika gambarnya dirakam, pengemis terbabit melarikan diri kerana takut perbuatannya dirakam seolah-olah cuba menipu orang ramai.

Tinjauan mendapati kebanyakan pengemis berpura-pura sakit semata-mata mahu menagih simpati masyarakat menghulurkan wang kepada mereka, tetapi dalam masa sama boleh pula membuka langkah seribu apabila menyedari kehadiran wartawan.
Seorang pengemis wanita, tapi berperwatakan seperti lelaki dan mahu dikenali sebagai Jalal, 50, berkata dia terpaksa meminta sedekah disebabkan tidak mempunyai pendapatan tetap demi mendapatkan sesuap nasi.

“Saya tidak mahu menyusahkan adik-beradik saya kerana mereka miskin, jadi jalan penyelesaiannya saya meminta sedekah.
“Sehari saya boleh dapat sekurang-kurangnya RM40. Kalau rajin saya boleh dapat lebih banyak. Pernah juga saya pergi mendapatkan bantuan di Baitulmal, tetapi saya dikatakan tidak layak. Jadi, apa lagi boleh saya buat selain mengemis di jalanan,” katanya.

Warga kota, Amin Abdullah, 38, berkata setiap hari dia melihat ramai pengemis dan kutu rayau berkeliaran di kaki lima kedai di beberapa kawasan.

“Keadaan itu menyakitkan mata serta menjatuhkan maruah negara kita. Saya mohon pihak berkuasa tempatan selesaikan masalah ini,” katanya.

Tinjauan di Pudu pula mendapati kutu rayau bagaikan ‘mayat hidup’ di kaki lima yang menjadikan deretan bangunan kedai sebagai rumah mereka.

Ada pengemis cacat dan bisu di jalanan dan ada juga orang kurang siuman di deretan kedai dan yang paling ramai golongan cacat penglihatan menjual tisu di kawasan tumpuan ramai.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Razak, berkata kebanyakan kutu rayau disisihkan keluarga dan ada di kalangan mereka penagih dadah yang dibuang keluarga.

Katanya, dia sedih setiap kali melihat mereka tidur di deretan bangunan dan mengharapkan belas ehsan orang ramai kerana kebanyakan daripada mereka tidak berpendapatan.

Sementara itu, jurucakap ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata operasi membanteras pengemis selalu dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa.

“Ketika operasi, kami menahan mereka dan menempatkan mereka ke tempat pemulihan atau menyerahkan kepada agensi berkaitan. Pengemis warga asing kami serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Pengemis rakyat tempatan pula kami tempatkan di rumah kebajikan di bawah kendalian JKM,” katanya.

Panggil rakan sebaik sedar

IPOH: “Saya sangat sayu apabila dia berkali-kali memanggil nama tiga rakannya sebaik tersedar pagi tadi (semalam), namun paling menyayat hati ketika saya memberitahu nasib tiga rakannya.
“Dia hanya mendiamkan diri dan kelihatan sebak. Biarpun sukar, saya terpaksa tabahkan hati dan tidak tunjukkan kesedihan saya di depannya,” kata Normala Mohamed, 39, ibu Mohamad Shahir Zairi, 13.
Mohamad Shahir mangsa tunggal yang terselamat dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit bekas stor menyimpan bijih timah di belakang perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Changkat Tin, Batu Gajah, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, empat pelajar berusia 12 hingga 13 tahun berteduh di stor berkenaan sambil membaiki basikal seorang daripada mereka yang rosak apabila bumbung konkrit tiba-tiba runtuh dan menghempap mereka.

Kejadian itu mengorbankan tiga rakan Mohamad Shahir iaitu Ahmad Nuzol Ahmad Nawawi, 13, dan Muhamad Safuan Abdullah, 13, masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bendahara CM Yusuf dan Muhammad Hisham Alias, 12, iaitu murid Sekolah Kebangsaan Changkat Tin. Mohamad Shahir yang parah di kepala dan tengkuk, masih menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Isteri sembunyi dalam tandas

KUALA LUMPUR: Bimbang dicederakan, seorang suri rumah terpaksa mencari perlindungan dengan berkurung di dalam tandas selepas rumahnya diceroboh seorang lelaki bersenjatakan besi runcing.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, mangsa terpaksa meninggalkan suaminya yang disergah lelaki terbabit sebaik mereka pulang dari menjamu selera di rumah mereka di Jalan Merpati Off Jalan Raja Laut di sini.
Mangsa yang juga pengurus pemasaran, Awang Hamsari Awang Hasbi, 41, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Hani Hamid, 36, baru masuk ke rumah sebelum berjalan menuju bilik tidur dalam suasana masih gelap.

Menurutnya, sebaik membuka lampu bilik, dia tergamam apabila seorang lelaki bersenjatakan batang besi menyergahnya sebelum mengacukan senjata itu ke arahnya.

“Lelaki itu yang hanya memakai kemeja-T dan berseluar pendek mengugut saya supaya diam dan tidak menjerit jika tidak mahu dibunuh.

“Pada masa sama, isteri saya sempat melarikan diri dengan bersembunyi di dalam tandas,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit memaksanya menyerahkan semua barang berharga secepat mungkin.

“Bimbang nyawa saya dan isteri terancam, saya menyerahkan dua telefon bimbit selain wang RM500 dari poket seluar.

“Sejurus memperoleh barang dihajati, lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu belakang rumah. Lelaki itu dipercayai memasuki rumah kami dengan mengumpil jeriji besi pada bahagian dapur,” katanya.

Menurutnya, dia sempat mengambil batang kayu dan cuba memukul lelaki terbabit dari belakang, namun dia terlebih dahulu meloncat keluar dan melarikan diri.

“Saya menjerit meminta tolong sebelum tujuh jiran berhampiran datang membantu dengan mengejar lelaki terbabit. Namun, lelaki itu sempat lari ke dalam semak dan dipercayai terjun ke dalam sungai berhampiran Jalan Tun Razak di sini.
“Berdasarkan bahasa dipertuturkan, lelaki terbabit dipercayai warga asing berusia 40-an,” katanya.

Mangsa yang kerugian kira-kira RM1,700 membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini.

Kepala penunggang motor hampir hancur digilis kereta

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 12 jam, dua penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan selepas terbabit kemalangan di dua lokasi berasingan di ibu kota semalam.
TUTUP...anggota polis trafik menutup mayat Yeap (gambar kecil) di tempat kejadian, semalam.
TUTUP...anggota polis trafik menutup mayat Yeap (gambar kecil) di tempat kejadian, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan selepas kepalanya hampir hancur digilis sebuah kereta sebelum diseret beberapa meter.
Difahamkan, kemalangan ngeri itu berlaku sejurus motosikal ditunggangi mangsa dihimpit hingga terjatuh ke atas jalan raya dan tidak sempat bangun sebelum dirempuh pula sebuah kereta lain berhampiran Jalan Kuching susur ke Jalan Duta di sini.

Sumber polis trafik berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Yeap Chee Kun, 20, menunggang motosikal bersendirian sebelum dipercayai digesel sebuah kereta dan terjatuh.

“Pada masa sama sebuah kereta tidak sempat mengelak sebelum merempuh mangsa. Mangsa yang parah di kepala mati di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat punca kejadian berikutan terdapat dua kereta di lokasi mangsa dilanggar mati. Difahamkan, tidak jauh dari tempat mayat mangsa ditemui turut terdapat sebuah kereta lain yang berhenti di bahu jalan akibat satu daripada tayarnya pecah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kes kemalangan itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang pemuda berusia 20-an mati selepas motosikal ditunggangi terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu berhampiran Batu 6, Jalan Klang Lama di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan menuju Dataran Merdeka untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2010 mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Anak dirasuk nafsu iblis

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila menyaksikan sendiri kekejaman anak lelakinya berusia awal 20-an merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun di rumah mereka sehingga gadis berkenaan mengandung, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan apabila jeritan dan rayuan wanita berusia awal 40-an itu yang cuba menghalang tindakan keji anak lelakinya tidak diendahkan.
Malah, tindakannya mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali langsung tidak dihiraukan seolah-olah anak lelakinya dirasuk hantu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam hujung bulan lalu di sebuah taman perumahan di Setapak Jaya di sini, mangsa yang juga seorang pelajar dikatakan dirogol empat kali dalam bilik berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis kelmarin selepas lelaki terbabit enggan bertanggungjawab terhadap perbuatannya sehingga dia kini disahkan mengandung.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila pelajar terbabit dipelawa ke rumah suspek untuk mengenali ahli keluarganya.

“Mangsa tidak keberatan mengikut suspek ke rumah berkenaan kerana ibu teman lelakinya juga ingin mengenali remaja berkenaan.

“Selepas tiba di rumahnya dan berkenalan dengan ibu suspek, teman lelakinya itu bagaikan dirasuk hantu apabila memaksa remaja terbabit masuk ke biliknya,” katanya.

Sumber itu berkata, keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum suspek mengheret tangannya masuk ke bilik dan mengunci pintu.

“Ibu suspek yang menyedari perbuatan itu mengetuk pintu, menjerit sambil merayu kepada anak lelakinya supaya tidak melakukan perbuatan buruk ke atas gadis berkenaan.

“Malah, ibu suspek berusaha membuka tingkap di bahagian belakang bilik berkenaan untuk mengintai perbuatan anaknya,” katanya.
Menurut sumber itu, sebaik membuka sedikit tingkap bilik berkenaan, dia terkejut sebaik melihat anaknya bergelut untuk merogol teman wanitanya.

“Ibu suspek berlari semula ke pintu bilik berkenaan dan berulang kali mengetuknya, namun anaknya langsung tidak mengendahkan panggilannya,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek merogol remaja berkenaan empat kali sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

“Pada mulanya, mangsa tidak membuat laporan polis kerana suspek mendakwa akan bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu dengan mengahwininya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lelaki terbabit mungkir janji apabila enggan bertanggungjawab atas perbuatannya selepas remaja berkenaan disahkan mengandung.

“Remaja terbabit memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya, namun suspek berkeras enggan bertanggungjawab walaupun rundingan secara baik dilakukan keluarga mangsa,” katanya.

Berikutan itu, mangsa bersama ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, kelmarin, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya semalam bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes terbabit sudah dirujukkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Luna-Ariel lepas rindu di dalam penjara




Walaupun mengharungi masa sukar kerana berdepan tuduhan melakonkan video lucah, pasangan yang sedang hangat bercinta, Ariel dan Luna Maya dikatakan sempat melepaskan rasa rindu di dalam bilik tahanan. 

Melihat daripada gambar yang tersebar yang menunjukkan Ariel sedang memangku Luna sambil mereka menonton sesuatu di telefon bimbit Luna Maya. 

Malah, gambar tersebut dipercayai diambil daripada kamera telefon bimbit berdasarkan resolusi yang rendah. 

Luna sememangnya dibenarkan untuk berjumpa Ariel sejak penyanyi yang digelar Peterporn itu ditahan. 

Walau bagaimanapun rakan terdekat Luna menafikan Luna menangis ketika berjumpa Ariel tetapi tidak menafikan Luna kelihatan sebak ketika dapat memeluk Ariel. 

“Luna tidak menangis, cuma matanya saja berkaca-kaca, ialah kerana rindu,” jelas rakan Luna.