Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/07/12

KAWASAN seluas kira-kira 400 hektar di Kampung Bukit Changgang yang terletak kira-kira 50 meter dari tasik Taman Paya Indah Wetlands diceroboh kegiatan mencuri pasir.
Kawasan dekat Rizab Tanah Lembap Negara diceroboh SEPANG: Isu kecurian pasir di Selangor terus mencetuskan kontroversi apabila kawasan seluas 400 hektar di Kampung Bukit Changgang berhampiran Taman Paya Indah Wetlands di sini, pula diceroboh hingga mengancam tasik dan habitat dalam taman yang diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara.
Operasi mengaut pasir di kawasan berkenaan dikatakan berlaku sejak dua minggu lalu, tetapi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) – anak syarikat Menteri Besar Incorporated yang ditubuhkan bagi mengawal aktiviti pelombongan pasir di negeri ini, mengakui tidak tahu menahu mengenai kegiatan itu.
Tinjauan mendapati kawasan melombong pasir itu terletak hanya 50 meter dari Taman Paya Indah Wetlands. Malah, kawasan seluas 120 hektar sudah dikorek sedalam hampir 30 meter, tetapi 11 jengkaut dan lima lori menghentikan operasi selepas menyedari pihak media meninjau tempat berkenaan.
Seorang penduduk, Alfian Kasrin, 37, mempersoalkan bagaimana operasi mengorek pasir boleh berlaku berdekatan taman yang diwartakan sebagai rizab Tanah Lembap negara.
"Macam mana aktiviti mengorek pasir boleh ada dekat dengan Wetlands. Mungkin kerajaan negeri tidak serius dalam hal ini. Dulu pelbagai jenis burung terbang dan hinggap di sekitar kampung ini, tapi sejak kerja mengorek pasir dijalankan, kehadiran burung semakin susah dilihat,” katanya.
Sebelum ini, kewibawaan KSSB turut dipersoalkan Ahli Parlimen Kapar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikavasagam, yang mendakwa lebih RM10 juta hasil pendapatan kerajaan Selangor hilang berikutan pembabitan tiga pegawai kanan KSSB dalam kegiatan melombong pasir secara haram.
Berikutan itu, kerajaan negeri mengarahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.
Pengerusi belia kampung itu, Bahaman Ahmad Jiman, 39, pula berkata operasi mengaut pasir di kawasan berkenaan juga mengancam ternakan ikan talapia dan keli yang diusahakan persatuan belia di situ.
“Kegiatan mengorek pasir menyebabkan tempat menternak ikan menjadi kotor dan pembesaran ikan terbantut. Kami akan kerugian jika keadaan ini dibiarkan berterusan," katanya.
Ahli Lembaga Pengarah KSSB, Mat Shuhaimi Shafie, ketika dihubungi bagaimanapun berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai kegiatan melombong pasir di kawasan itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, berkata pihaknya akan siasat status tanah itu kerana tidak pasti sama ada kawasan yang dilombong itu milik kerajaan negeri atau tanah persendirian.
“Jika ia dilombong oleh KSSB, akan ada papan tanda mengatakan perlombongan pasir itu dilakukan oleh KSSB. Oleh itu, pelbagai kemungkinan berlaku termasuk ia dilakukan secara haram oleh pihak tertentu kerana KSSB ada piawaian yang perlu dipatuhi sebelum melakukan operasi melombong pasir," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika meninjau kawasan itu bersama media, kecewa kerana usul Barisan Nasional (BN) untuk membawa isu kecurian pasir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini ditolak dengan alasan ia masih dibincang SELCAT.
Sambil mempersoalkan kesungguhan kerajaan negeri membanteras penyelewengan pasir di Selangor, beliau berkata:
"Tidak pernah berlaku di mana-mana kerajaan menjadikan industri pasir sebagai pendapatan utama sehingga sanggup membiarkan aktiviti mengorek pasir berlaku di kebanyakan tanah milik kerajaan negeri.
"Banyak tanah kerajaan negeri dikorek sehingga mencecah 30 meter. Saya khuatir jika ini berterusan, banyak lubang besar akan berlaku di Selangor yang akan menjejaskan struktur tanah pada jangka masa panjang," katanya.
Dr Mohamad Khir berkata, kuasa pengendalian galian dan mineral juga perlu diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian, bukannya kepada syarikat seperti dipraktikkan kerajaan negeri sekarang.