Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Aktres buang air kecil dirakam

JAKARTA: Aktres Feby Fabiola (gambar) semalam membuat laporan polis mengenai perbuatan seorang lelaki merakam gambarnya ketika dia membuang air kecil di tandas sebuah pusat beli-belah di sini.
Menurutnya, dia menyedari perbuatan lelaki berkenaan ketika hendak membetulkan pakaiannya selepas buang air kecil.
“Saya rasa ada yang tidak kena. Apabila pandang ke atas, saya nampak lelaki itu mengacu kamera telefonnya ke arah saya,” kata pelakon Mawar Melati itu.

Dia meluru keluar dan dengan bantuan pengawal keselamatan, Feby merampas telefon bimbit lelaki itu.

“Memang benar dia merakam video ketika saya membuang air kecil. Dan bukan saya saja, ada empat atau lima gadis yang menjadi mangsanya,” kata Feby. - Agensi

Mangsa bom meningkat

PESHAWAR: Jumlah kematian akibat serangan berani mati di sempadan Pakistan dan Afghanistan kelmarin meningkat kepada 102 semalam.
Ia sekali gus membuktikan kemampuan militan untuk melancarkan serangan walaupun terjejas teruk akibat operasi ketenteraan.
Dalam pada itu, Tehrik-e-Taliban atau Pergerakan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu di Mohmand, wilayah Pashtun di barat laut Pakistan. Serangan berkenaan adalah yang paling buruk sejak pengeboman sebuah pasar di Peshawar yang menyebabkan 105 orang terbunuh Oktober lalu.

Jumlah kematian serangan terbaru itu meningkat selepas pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat di celah runtuhan bangunan.

“Kami menemui lebih banyak mayat di celah runtuhan kedai,” kata jurucakap pasukan penyelamat, Rasool Khan.

Seorang penyerang didakwa meletupkan dirinya di luar pejabat seorang ahli politik tempatan. Ia kemudian disusuli dengan letupan sebuah bom kereta.

Sasaran serangan ialah sekumpulan pemimpin kaum anti-Taliban yang datang ke pejabat berkenaan untuk bermesyuarat.

Antara 80 orang yang cedera dalam kejadian itu ialah mereka yang kehilangan tempat tinggal berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan militan.

Mereka berada di tempat kejadian untuk menerima bantuan. - AFP

10,792 kes denggi di Selangor

KAJANG: Selangor mencatat kes tertinggi demam denggi iaitu 10,792 kes dengan 34 kematian. Daripada jumlah itu, 3,088 kes dikenal pasti di Hulu Langat dan 36 kes di Taman Kajang Mewah, Kajang.
Lebih membimbangkan, bermula Januari hingga Julai tahun ini 24, 512 kes demam denggi dengan 81 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding 25,234 kes dengan 62 kematian pada tahun lalu.
Berdasarkan jumlah itu peningkatan sebanyak 31 peratus dilaporkan di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai berkata, secara keseluruhan dua kawasan panas itu menyumbang 52 peratus kes bagi tiga tahun berturut-turut bermula 2007 hingga 2009.

“Saya berpendapat kes ini boleh dikurangkan jika semua rakyat mengamalkan sikap positif ke arah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di tempat tinggal serta persekitaran mereka.

“Mencari dan memusnah tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu adalah langkah paling efektif menghindar denggi,” katanya kepada media selepas merasmikan program Gotong Royong Perdana Jom Ganyang Aedes peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Turut hadir, ikon Anti Denggi Kementerian Kesihatan, Aznil Nawawi.

Beliau berkata, masyarakat perlu berusaha menghalang penularan jangkitan demam denggi dengan menyertai program Combi (Communication for Behavioural Impact).

Melalui program ini, katanya, sukarelawan akan dipilih di kalangan penduduk setempat untuk membantu Jabatan Kesihatan melaksanakan aktiviti pencegahan seperti menasihati penduduk untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran serta mengingatkan mereka untuk membuat pemeriksaan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Cut Tari tak berani keluar

JAKARTA: Cut Tari (gambar) yang sudah mengaku dan memohon maaf kepada orang ramai berhubung pembabitannya dalam video seks dengan penyanyi utama kumpulan Peterpan, Ariel, kini takut untuk muncul di khalayak ramai.

pix_middle
“Cut takut keluar, walaupun untuk membeli-belah kerana bimbang menjadi sasaran cemuhan,” kata peguamnya, Hotman Paris Hutapea ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Hingga malam semalam, Cut, suaminya, Johannes Joesoef Subrata dan keluarga mereka yang lain memilih untuk mengurung diri dalam rumah.

Sementara itu, kesihatan ibu model, pelakon dan pengacara terkenal televisyen Indonesia itu dikatakan terjejas teruk akibat skandal video berkenaan.

“Dia dirawat di rumah oleh doktor keluarga,” kata Seno, pengawal kediaman keluarga Cut.

Cut dan rakan selebriti, Luna Maya memohon maaf kepada rakyat Indonesia berhubung kes video itu Khamis lalu sementara Ariel, lelaki yang terbabit dalam video seks dengan kedua-dua wanita itu masih enggan berbuat demikian. - Agensi

Dua lelaki cari mangsa

PUCHONG: Kelibat dua lelaki bermotosikal disyaki pernah terbabit dalam beberapa kejadian jenayah jalanan di kawasan perumahan di Seksyen 3, Taman Kinrara, di sini, mencetuskan kegusaran penduduk setempat, terutama seorang kakitangan syarikat akhbar berbahasa Cina yang menjadi mangsanya awal bulan ini.
Suspek didakwa beberapa kali dilihat mundar mandir dengan menaiki motosikal sejak kebelakangan ini dipercayai mencari sasaran untuk melakukan aktiviti jenayahnya seperti pernah dilakukan sebelum ini.
Kehadiran kedua-dua lelaki itu dikenal pasti oleh Timbalan Ketua Penyunting Nanyang Siang Pau, Law Choy Hah, 33, selepas mendakwa beberapa kali terserempak dengan suspek di kawasan terbabit sejak kejadian malang menimpanya pada 2 Julai lalu.

Dalam kejadian itu mangsa dikatakan berjalan pulang dari tempat kerjanya seorang diri selepas turun dari bas kira-kira jam 11.15 malam.

Ketika tiba di kawasan gelap, tiba-tiba datang seseorang dan memukulnya dengan topi keledar di belakang kepala. Hentakan kuat itu menyebabkan Law rebah di tepi jalan.

Tanpa belas ihsan, lelaki berkenaan terus membelasahnya sambil cuba menarik beg sandang dibawanya.

Mangsa yang tidak mampu melawan hanya berupaya menjerit meminta tolong dan tindakannya menyebabkan suspek ketakutan lalu melarikan diri menggunakan motosikal tanpa sempat mengambil begnya.

Mangsa kemudian pulang ke rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan membuat laporan polis di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.25 tengah malam pada 3 Julai lalu.

Akibat serangan terbabit, mangsa mengalami trauma selain bengkak di dahi dan pipi serta patah dua batang giginya.

“Saya tidak sangka menjadi mangsa selepas mendengar penduduk pernah menjadi sasaran penjenayah. Mereka sungguh kejam dan seolah-olah tiada perasaan perikemanusiaan.

“Saya berharap polis dapat mengenal pasti dan menahan segera suspek ini sebelum kejadian lebih buruk menimpa orang lain,” katanya selepas menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Lau Yeng Peng, di rumahnya, pagi semalam.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah wakil dari Balai Polis Puchong Jaya, Sarjan Mejar Abdul Majid Sabtu, untuk mendengar rintihan Law mengenai kejadian yang menimpanya.

Lau berkata, beliau terkejut selepas dimaklumkan mengenai kehadiran suspek di kawasan itu walaupun baru saja terbabit dalam perbuatan jenayah di situ.

Menurutnya, kehadiran suspek menunjukkan mereka tidak takut undang-undang dan tidak mustahil akan ada lagi mangsa jika tidak dibendung segera.

“Sebab itu kita jemput polis datang bersama hari ini (semalam) bagi mendapat maklumat lebih lanjut dan diharap tindakan segera dilakukan supaya penduduk dapat hidup dan menjalani aktiviti harian dengan lebih harmoni serta aman.
“Saya ingin jelaskan, kehadiran penjenayah ini bukan disebabkan anggota polis tidak buat kerja, mereka (polis) sudah lakukan sedaya upaya berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebab itu kita minta orang ramai menyalur maklumat kepada pihak berkuasa jika melihat sesuatu yang mencurigakan,” katanya.

Beliau juga akan menghantar surat kepada pihak berkuasa tempatan supaya menyelenggara dan menyediakan kemudahan asas kerana tempat berlakunya kejadian malang yang menimpa Law itu gelap disebabkan lampu jalan tidak berfungsi.

Sementara itu, difahamkan polis berusaha menjejak kedua-dua suspek melalui peningkatan rondaan polis beruniform serta preman di kawasan berkenaan.

Pokok tumbang hempap rumah

KUANTAN: Lima beranak yang asyik menonton televisyen di Bandar Indera Mahkota Dua, di sini, dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum mendapati rumah mereka hampir ranap dihempap pokok ketika ribut, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, lima beranak terbabit yang berada di ruang tamu terselamat kerana pokok tumbang menimpa bahagian dapur rumah mereka.
Menurut mangsa, Jarruzy Nor Adzahar, 39, dia terus berlari ke arah dapur sejurus mendengar bunyi kuat itu untuk memeriksa puncanya sebelum terkejut mendapati bumbung dapurnya roboh.

“Pokok yang tumbang itu turut merosakkan beberapa perabot dan perkakas elektrik. Saya tidak dapat bayangkan jika pokok itu tumbang di bahagian ruang tamu ketika kami menonton televisyen.

“Biarpun dapur rumah rosak teruk, saya bersyukur tiada kecederaan berlaku ke atas keluarga saya,” katanya yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota untuk mendapatkan bantuan memotong pokok tumbang itu.

Katanya, kejadian dialaminya berlaku sehari selepas sebatang pokok menghempap taman bimbingan kanak-kanak berhampiran rumahnya yang menyebabkan seorang guru nyaris maut.

“Saya tidak menyangka kejadian sama akan menimpa saya dan ini menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

“Sehingga kini saya belum dapat menilai jumlah kerugian kerana mahu menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan. Bumbung yang roboh akan ditutup dengan plastik untuk sementara waktu bagi mengelak air hujan masuk,” katanya.

Jarruzy berkata, kejadian pokok tumbang dapat dielak jika pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera terhadap laporan penduduk mengenai pokok besar yang uzur di perumahan itu.

“Kami mendapati pokok besar yang menjadi hiasan di perumahan ini tidak diselenggara apabila dahannya tidak dicantas, selain pokok tua tidak ditebang.

“Malah kami mendapati pangkal pokok tua itu juga reput kerana dimakan anai-anai, menyebabkan ia mudah tumbang,” katanya.
Katanya, berikutan dua kejadian bangunan dihempap pokok berlaku dua hari berturut-turut, penduduk kini berasa bimbang kerana ada satu lagi pokok tua menunggu masa untuk tumbang dan berharap PBT mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Mangsa disimbah asid belum sedar

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang disimbah asid di sebuah kedai di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, belum sedarkan diri selepas lima hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Kebakaran (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Isteri mangsa, Junainah Abdul Kadir, 36, berkata dia dimaklumkan oleh pengurusan hospital, suaminya Sarudin Mansor, 37, belum sedarkan diri tetapi dalam keadaan stabil.
“Kelmarin apabila saya panggil nama suami, dia mula menggerakkan kaki. Bagaimanapun, anggota badannya tidak menunjukkan tindak balas.

“Saya bersyukur walaupun suami belum sedarkan diri, dia menunjukkan tindak balas dan ia melegakan hati saya.

“Sejak beberapa hari lalu perasaan saya berkecamuk kerana terlalu memikirkan keadaan suami. Setiap hari saya berdoa suami cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang baru sebulan bertugas di LPKP cawangan Sungai Petani, sempat memandu pulang ke pejabatnya, selepas cedera parah pada mata dan muka akibat disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali di Taman Ria Jaya.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, Sarudin Mansor baru masuk ke dalam Proton Satria miliknya apabila tiba-tiba seorang lelaki menunggang motosikal mengetuk cermin tingkap keretanya.

Mangsa yang mempunyai empat anak berusia antara satu hingga sembilan tahun melecur teruk hampir 45 peratus pada muka, tangan, kaki dan badan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Junainah berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak, terutama rakan setugas suaminya yang tidak putus-putus melawatnya di HSB.

“Kebanyakan kawan suami datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah yang sama-sama menjalani kursus penguatkuasaan LPKP dan JPJ,” katanya.

Geng samun sama

IPOH: Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan enam penjenayah bersenjata yang melakukan rompakan di kedai emas Taman Pertama, dekat sini, tiga hari lalu adalah kumpulan sama yang melakukan beberapa siri rompakan di daerah itu termasuk di Gopeng.
Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata, modus operandi yang dilakukan kumpulan terbabit didapati menyerupai seperti kes sebelum ini dan polis mengesyaki ia dilakukan ahli atau kumpulan sama.
“Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan polis masih mengenal pasti individu terbabit. Kita sudah mengambil keterangan daripada saksi kejadian dan beberapa individu lain untuk membantu siasatan,” katanya.

Cubaan pindah gas haram gagal

NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya mematahkan satu sindiket pemindahan gas haram membabitkan nilai rampasan RM40,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Seberang Padang Lalang, Tasek, di sini, kelmarin.
Ketua Cawangan KPDNKK Seberang Prai Tengah (SPT), Mohd Zainal Yeop Dahari berkata, pihaknya membuat pemantauan selama seminggu sebelum menyerbu gudang itu.
“Berdasarkan maklumat awam, kami menjalankan risikan selama seminggu dan hanya mengambil tindakan selepas memastikan gudang ini menjalankan pemindahan gas subsidi ke tong industri secara haram.

“Dalam serbuan ini seorang lelaki yang juga pekerja di gudang ini ditahan dan siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan.

Mohd Zainal berkata, operasi itu membabitkan pemindahan secara haram gas subsidi atau gas yang biasa digunakan di rumah seberat 14 kilogram (kg) ke tong gas industri kosong seberat 50 kg.

“Sebanyak 250 tong gas ditemui dalam pemeriksaan di gudang ini, 67 daripadanya tong 14 kg yang masih berisi gas, 151 tong 14 kg yang sudah diproses, 30 tong gas 50 kg siap diproses serta 30 tong gas 50 kg siap untuk dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu membabitkan 14 pegawai KPDNKK SPT dan Putrajaya dan pihaknya merampas semua tong gas terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 untuk siasatan.

Isteri maut

MELAKA: Isteri seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Pondok Polis On Lok Batang Melaka, Selandar Jasin, dekat sini, yang cedera parah selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, petang kelmarin, meninggal dunia awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang kelmarin, Hafizah Yahya, 35, dari Pondok Polis On Lok, Batang Melaka dikatakan memandu sendirian dari arah Durian Tunggal menghala ke bandar Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, siasatan mendapati ketika menghampiri tempat kejadian di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Jalan Bukit Balai, Alor Gajah, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, pada masa sama kereta mangsa berlanggar dengan sebuah Pajero dari arah bertentangan yang dipandu Mohd Eszahar Mansor, 25, dari Balai Panjang, dekat sini.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun ketika dirawat di wad kecemasan, kira-kira jam 3.35 pagi tadi (semalam) mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HM,” katanya.

Umar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 kerana memandu menyebabkan kematian.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 2222.

Suami mangsa, Md Ali Khamis, 40-an, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenayah isterinya menjalani bedah siasat sebelum dimandikan.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung kejadian menimpa arwah isterinya berkata, jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Parit Pinang Seribu, Muar Johor.

Tiga perompak maut

TAMPIN: Cubaan nekad tiga penjenayah bersenjata dari kumpulan ‘Geng 66’ untuk menyamun kediaman ketua Umno cawangan di Kampung Air Gelugor, Gemencheh di sini, bukan saja gagal, malah mengundang padah apabila mereka ditembak mati oleh polis, awal pagi semalam.

INI DIA...Osman menunjukkan senjata yang dirampas, semalam.
INI DIA...Osman menunjukkan senjata yang dirampas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, polis menerima panggilan daripada mangsa, Mohd Khalid Mat Dan, 46, memaklumkan terdengar bunyi bising yang luar biasa dari ladang ternakan rusanya dan mengesyaki seseorang cuba menceroboh masuk rumahnya.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 30-an itu yang sangat dikehendaki, berusaha memasuki rumah mangsa.

Sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek tersentak dan panik lalu cuba menyerang menggunakan parang, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, semua suspek mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakan mereka yang menunggu di kereta melarikan diri.

“Dua daripada suspek masing-masing terkena tiga das tembakan pada anggota badan manakala suspek ketiga terkena dua das tembakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pagar ladang ternakan rusa yang berada dalam kawasan kediaman mangsa dipotong. Turut ditemui beberapa senjata iaitu dua parang, pemotong besi, satu kuku kambing dan pemutar skru.

“Tiada dokumen pengenalan diri atau kad pengenalan dijumpai di sekitar lokasi kejadian dan polis menyiasat identiti sebenar tiga suspek berkenaan melalui kesan cap jari bagi memastikan sama ada mereka warga tempatan atau asing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh dan Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang.

Menurut Osman, mayat ketiga-tiga suspek dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh penjawat awam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiga ahli ‘Geng 66’ itu melakukan 10 kes samun dan pecah rumah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, termasuk kes terbaru membabitkan kerugian RM30,000 di Felda Jelai ,Gemas, di sini, 11 Jun lalu.

“Kumpulan penjenayah bersenjata ini dipercayai bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu di sekitar selatan tanah air.

“Berikutan itu polis memburu dua rakan suspek yang meloloskan diri menggunakan sebuah kereta Nissan Sunny bernombor pendaftaran JCM 97XX bagi membantu siasatan.

“Suspek dikatakan menghala ke arah selatan dan polis akan mengadakan sekatan jalan raya serta meminta bantuan polis di negeri lain untuk mengesan mereka," katanya.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui Asisten Superintendan Khairil Anuar Saidin di talian 06-4411209 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan.

Osman berkata, sejak beberapa hari lalu pihaknya mempergiatkan intipan dan operasi pencegahan jenayah di seluruh Negeri Sembilan, termasuk Tampin, dalam usaha memburu penjenayah, terutama membabitkan kes samun dan pecah rumah.

Sementara itu, Mohd Khalid yang juga ketua cawangan kawasan berkenaan berkata, dia yang lena tidur terkejut apabila terdengar bunyi bising rusa ternakannya dan segera menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia mendapati sepasukan polis berada di sekitar kawasan rumahnya dan semua suspek ditembak mati.

Pelajar dibelasah samseng

JOHOR BAHRU: Akibat menyuarakan hasrat menarik diri daripada kumpulan samseng, seorang remaja lelaki berdepan detik mencemaskan apabila diculik dan dikepung 30 lelaki di sebuah kawasan hutan sebelum dibelasah ketua geng, petang kelmarin.



CEDERA...Bing Li menunjukkan jahitan di kepalanya.
CEDERA...Bing Li menunjukkan jahitan di kepalanya.
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan Lim Bing Li, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Foon Yew Stulang, menerima 12 jahitan di kepala, bengkak tangan kiri dan lebam di bahagian belakang badan.

Menceritakan kejadian itu, Bing Li berkata, dia nekad keluar daripada kumpulan itu selepas setahun menjadi ahli atas nasihat bapanya yang bimbangkan masa depannya.

Katanya, dia tidak menjangka hasratnya yang disampaikan menerusi seorang ahli kepada ketua geng menerima maklum balas luar biasa apabila diculik kira-kira 30 lelaki yang menaiki lima kenderaan berasingan berhampiran kawasan sekolahnya.

“Saya berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku tetapi saya cuba bertenang hingga kereta yang membawa saya berhenti di kawasan hutan sekitar Senibong.

“Sampai di kawasan itu saya dibawa bersemuka dengan seorang ketua kumpulan dan diberitahu satu-satunya jalan keluar daripada menjadi ahli adalah menerusi pertarungan.
“Saya tiada pilihan selain terpaksa bersetuju dengan syarat itu memandangkan saya dikepung kira-kira 30 lelaki,” katanya ketika di temui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurut Bing Li, dia sedia bertarung dengan ketua geng itu namun tidak menyangka lelaki itu menggunakan senjata.
“Ia umpama mimpi ngeri dalam hidup kerana belum sempat saya menarik nafas, ketua kumpulan itu tiba-tiba mengambil sebatang joran dan menggunakannya sebagai senjata untuk memulakan serangan.

“Dia bertindak pantas dengan melibas joran bertalu-talu sambil menumbuk dan menyepak tubuh saya hingga saya tidak dapat mempertahankan diri,” katanya.

Bing Li berkata, dia tidak dapat menggambarkan keadaannya yang berlumuran darah dan berasa insaf dengan kejadian yang menimpanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira 40 minit sebelum kumpulan terbabit beredar meninggalkannya.

“Saya terpaksa berjalan keluar dan menghubungi rakan menggunakan telefon bimbit untuk meminta bantuan, namun tiada sudi menghulurkan pertolongan kerana takut dibelasah geng terbabit,” katanya.

Nasib menyebelahi mangsa apabila dia dijumpai pengguna jalan raya, Tai Chin Song, 26, yang kebetulan lalu berdekatan kawasan kejadian dan terus membawanya mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis.

Bapa mangsa, Lim Song Kiang, 51, berkata dia terkejut sebaik anaknya memberitahu dia menjadi ahli geng samseng tahun lalu.

“Ketika itu saya menasihatkan dia menjauhi kumpulan terbabit. Saya katakan padanya, sebagai pelajar dia perlu menyertai persatuan di sekolah dan bukan menjadi ahli geng samseng.

“Saya juga banyak kali menasihatkannya supaya tidak keluar malam,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan berhubung kejadian dijalankan.

Pasangan digilis

KOTA TINGGI: Hasrat sepasang suami isteri mengutip durian untuk diberi kepada cucu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 50.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berdekatan Felda Air Tawar 1, di sini, malam kelmarin.

MENYAYAT HATI...suami isteri terbaring di jalan raya selepas dilanggar empat kenderaan.
MENYAYAT HATI...suami isteri terbaring di jalan raya selepas dilanggar empat kenderaan.
Pasangan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala selepas dilanggar empat kenderaan yang menggunakan laluan kawasan berbukit itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, Pasimon Abdullah, 67, dan Ropiah Rosdi, 60, dari Felda Air Tawar 1 di sini, yang menunggang motosikal Modenas Kriss bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terjatuh berhampiran kebunnya, kira-kira jam 10.20 malam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal dan keterangan saksi, pasangan yang dalam perjalanan ke arah Kota Tinggi itu terjatuh ke sebelah kanan laluannya selepas bergesel dengan motosikal lain yang dalam perjalanan arah sama.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di belakang melanggar motosikal mangsa yang tercampak di kiri laluan hingga menyebabkan tayar depan sebelah kiri MPV itu bocor.

“Ketika pasangan suami isteri itu cuba bangun, mereka dirempuh kenderaan dari arah bertentangan sebelum sebuah lagi kenderaan dari arah sama turut melanggar kedua-dua mangsa yang terbaring di tengah jalan.
“Kedua-dua kenderaan itu tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah Sungai Rengit sebelum sebuah lagi kereta jenis Proton Wira juga dari arah bertentangan turut terlanggar mangsa tetapi pemandu itu berhenti untuk memberi pertolongan,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, orang ramai turut membantu mengawal lalu lintas di kawasan berbukit itu untuk mengelak kenderaan lain melanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan.
Osman berkata, mayat pasangan itu kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Polis turut mengambil keterangan daripada pemandu MPV dan Proton Wira itu serta mengesan dua kenderaan yang merempuh mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8837222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mazlan Pasimon, 40, berkata dia berada di rumahnya di Pasir Gudang dan bergegas ke Kota Tinggi sebaik dimaklumkan kejadian yang menimpa ibu bapanya.

Katanya, kali terakhir beliau dan adik beradik berkumpul di Felda Air Tawar 1 pada Selasa lalu untuk meraikan adik bongsunya yang akan menyambung pengajian di Kolej Profesional Mara di Bandar Penawar.

“Saya masih ingat, arwah mak menyatakan mahu mengambil durian di kebun untuk menjamu anak cucunya dan sempat berpesan jangan tinggal sembahyang,” katanya.

Bayi terbuang rebutan ramai



Oleh Mohd Azis Ngah 
azis@bharian.com.my
2010/07/11

pix_gal0
Pusat Pelindung Bayi terpaksa lakukan saringan ketat setiap pemohon 

PETALING JAYA: Bayangkan seorang bayi menjadi rebutan 300 pasangan! Inilah hakikatnya apabila Pusat Pelindung Bayi (Baby Hatch) pertama negara yang dilancarkan 29 Mei lalu baru menerima seorang bayi sedangkan jumlah yang memohon untuk mendapatkan anak angkat terlalu ramai.
Ini terbukti apabila sehingga semalam hampir 300 pasangan yang kebanyakannya pasangan sudah lama berkahwin, tetapi belum dikurniakan zuriat sudah memohon dari pusat berkenaan serta individu bujang yang inginkan anak angkat.
Ada juga pemohon yang sudah mempunyai anak, tetapi mahu anak angkat dengan alasan anak sudah besar, kesunyian kerana tinggal berdua bersama pasangan bahkan ada yang mahukan anak berlainan jantina. 

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) yang menguruskan Baby Hatch itu, Azra Banu, berkata pihaknya terpaksa membuat saringan ketat untuk membuat pilihan sebelum pemohon itu diletakkan dalam senarai menunggu. 

Ini bermakna, mereka yang berada dalam senarai keutamaan akan diutamakan sebaik saja pusat itu menerima bayi. Keutamaan diberi kepada pasangan yang sudah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak manakala pemohon lain diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga. 

Katanya, OrphanCARE menerima banyak permohonan yang dihantar melalui talian atau mereka datang ke pusat jagaan itu dan setakat ini sudah menemuduga 70 pasangan yang layak berada dalam senarai menunggu manakala lebih 200 lagi permohonan sedang diproses. 
“Kita kena kaji, adakah mereka mampu bagi pendidikan, membela anak kecil itu, siasat di mana mereka tinggal dan mampukah mereka. Ini bukan soal kaya atau miskin, asalkan mereka layak, cukuplah,” katanya kepada Berita Minggu. 

Semua permohonan akan disemak rapi untuk memilih pasangan yang layak melalui prosedur sah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis serta agensi berkaitan. 

Baby Hatch yang julung kali diperkenalkan di negara ini pada 29 Mei lalu menerima bayi pertama yang diserahkan kepada pusat itu pada 26 Jun lalu. Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram dilahirkan sehari sebelum itu dan sudah diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga. 

Mengenai maklumat peribadi ibu bapa bayi yang diserahkan, Azra berkata, semua maklumat adalah rahsia dan dikawal ketat, tetapi mengakui mereka tidak dilindungi mana-mana peruntukan undang-undang yang menghalang mana-mana pihak mendapatkan maklumat sulit berkenaan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika mengulas situasi itu berkata, sepatutnya ada peruntukan khas undang-undang melindungi maklumat berkenaan bagi menggalakkan lebih banyak pihak memberikan kerjasama membendung gejala membuang bayi. 

“Kita perlukan satu alternatif penyelesaian terbaik. Masalah sudah ada, kita tak boleh biarkan mereka bunuh bayi tidak berdosa,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, di Kota Damansara, semalam. 

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan mengenai nasib bayi yang mungkin diserahkan OrphanCARE kepada pasangan bukan Islam, Azra berkata, pihaknya mempunyai rekod dan maklumat yang digunakan untuk memilih keluarga angkat yang sesuai. 

Katanya, bayi yang sah berketurunan Melayu beragama Islam akan diserahkan kepada keluarga angkat beragama Islam dan sebab itulah setiap pasangan yang menyerahkan bayi mereka kepada Baby Hatch diminta mengisi borang serta meninggalkan dokumen berkaitan. 

“Jika mereka malu nak jumpa kita atau kaunselor, mereka boleh isi maklumat dan tinggalkan saja di situ bersama bayi. Kami akan proses maklumat itu termasuk rekod pemeriksaan perubatan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelahiran dan penyerahan keluarga angkat,” katanya.

Lelaki dikehendaki polis mati terjatuh apartment



11/07/2010 4:05pm

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah ditemui mati dipercayai terjatuh dari rumahnya di tingkat tiga SD Apartment, Bandar Sri Damansara di sini, hari ini.
Mayat Wong Kok Bin, 43, ditemui oleh orang ramai berlumuran darah di tingkat bawah apartmen itu pada pukul 9.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki itu tinggal bersendirian di rumah itu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Beliau berkata, berdasarkan rekod polis, selain mempunyai 13 rekod jenayah lampau, dia turut terbabit dalam kes samun dan gaduh.
"Lelaki itu dipercayai bertindak membunuh diri dan pada masa ini polis mengklasifikasi kas itu sebagai mati mengejut. Bagaimanapun kami masih menyiast kes ini daripada pelbagai sudut," katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan peminjam wang haram atau ah long, Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati ia tiada kaitan.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Dua beradik maut dirempuh treler



KEADAAN kereta mangsa yang dirempuh treler dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Utara-Selatan di Ipoh, Perak semalam.

IPOH – Hasrat seorang abang untuk membantu adiknya yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka maut dirempuh treler di Kilometer 272.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, Tan Ban Sheng, 33, dan adiknya Tan Woan Yin, 24, masing-masing dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah maut dalam keadaan mengerikan apabila badan mereka putus dan terperosok di bawah treler berkenaan.
Kawasan kemalangan terbabit di laluan terus Simpang Pulai-Pulau Pinang itu merupakan lokasi sama kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres yang meragut 10 nyawa pada 26 Disember tahun lalu.
Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, sebelum kejadian, kira-kira pukul 9.30 pagi, kenderaan Proton Saga berwarna putih dinaiki Woan Yin dipercayai dalam perjalanan ke Alor Setar dari arah selatan itu terbabas.
kredit : kosmo.com.my

Amaran angin kencang dan ribut petir


11/07/2010 12:22pm

KUALA LUMPUR - Angin kencang barat laut dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku di perairan Phuket mulai Selasa hingga Khamis depan.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan hari ini turut mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan perairan Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.
Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak yang mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama

12 tukang urut warga China ditangkap


11/07/2010 1:48pm

KUALA TERENGGANU - Seramai 12 orang tukang urut warga China yang dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di sebuah pusat refleksologi dan fisioterapi di Jalan Kampung Dalam ditahan di sini malam tadi.
Turut ditahan oleh pasukan Polis Bukit Aman Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian atau D7 dalam serbuan 10 malam itu ialah seorang lelaki warga China, dua lelaki pekerja tempatan dan empat orang pelanggan.

Ketua operasi, Cif Inspektor, Badrul Hisham Bakri berkata, premis berkenaan telah beberapa kali diserbu, namun pemiliknya tidak serik dan masih
meneruskan operasi mereka.

"Kali terakhir premis ini diserbu ialah bulan lepas namun pemiliknya masih terus mengupah warga asing menjalankan operasi pusat urut ini," katanya.
Premis tiga tingkat itu telah beroperasi sejak dua tahun lalu di mana bahagian atas bangunannya telah diubah suai untuk dijadikan tempat penginapan manakala di bahagian bawah menyediakan pusat perkhidmatan mengurut.

Badrul berkata, lapan dari wanita China itu ditahan mengikut Seksyen 39 (b)Peraturan-peraturan Imigresen 1953 manakala empat lagi termasuk yang lelakinya di bawah Akta 6(1) (c) akta yang sama kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan. - Bernama

Lima ditahan positif dadah


11/07/2010 2:00pm

PULAU PINANG - Polis menyerbu sebuah pusat hiburan haram di Batu Feringghi di sini awal pagi tadi dan menahan lima lelaki tempatan yang di dapati positif dadah serta dipercayai membawa dadah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kok Meng berkata, serbuan bermula pukul 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik dan Bahagian Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

Kira-kira 350 orang pengunjung termasuk pekerja pusat hiburan tersebut diperiksa.

"Hasil pemeriksaan air kencing mendapati empat daripadanya positif dadah jenis ketamin dan ganja semenara seorang lelaki dipercayai membawa satu tiub serbuk yang disyaki dadah jenis Eramin," katanya.

Beliau berkata, suspek yang disyaki membawa dadah jenis Eramin itu cuba bertindak untuk melarikan diri dengan merempuh anggota polis di pintu keluar pusat hiburan itu tetapi berjaya ditangkap oleh polis.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan perniagaan. - Bernama

Roslin nikah lagi

AMPANG: Dengan sekali lafaz, jaguh badminton negara, Roslin Hashim sah menjadi suami kepada Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Norhayati Othman pada satu majlis ringkas di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Pasangan itu diijabkabulkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Kampung Melayu Ampang, Abdul Wahab@Yusof Daud dengan mas kahwin RM300.
Pasangan itu berpakaian sedondon serba putih diraikan ahli keluarga kedua pihak dan rakan terdekat.

Selepas akad nikah, pasangan itu bergambar bersama keluarga di pelamin disusuli majlis makan malam.

Roslin bagaimanapun tidak mahu ditemubual, tetapi kelihatan gembira meraikan ahli keluarga dan tetamu yang hadir.

Turut hadir ke majlis itu ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim dan pegawai kanan lain. Harian Metro menerusi ruangan SS pada 9 Jun lalu melaporkan pasangan itu difahamkan mula berkenalan sejak Januari lalu.

Roslin yang agak pemalu tertarik dengan Norhayati kerana sikap ramahnya dan perkenalan singkat itu membuatkan Roslin yakin Norhayati mampu membahagiakan dirinya dan terus melamar untuk menjadi suri hidupnya.

102 korban serangan TTP




2010/07/11

PESHAWAR: Angka kematian akibat serangan bunuh diri terbaru di Pakistan meningkat kepada 102 orang semalam, sekali gus memberi isyarat militan masih mampu melancarkan serangan, walaupun kehilangan kubu kuat berikutan serangan tentera kerajaan. 

Pergerakan Taliban Pakistan, atau Tehrik-e-Taliban, (TTP) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan kelmarin di Mohmand, wilayah puak Pashtun di barat laut negara itu yang bersempadan dengan Afghanistan.
Lima kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun antara yang terkorban dalam kejadian itu, manakala bilangan yang terkorban meningkat selepas pekerja mencari dan menyelamat menemui lebih ramai mangsa.
Serangan itu adalah yang terburuk sejak serangan di sebuah pasar di Peshawar Oktober lalu. – Reuters

Mayat ditemui dalam tayar kapal terbang




2010/07/11

BEIRUT: Sisa satu mayat ditemui di tayar belakang sebuah kapal terbang dari Beirut yang mendarat di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, kata Menteri Pengangkutan Lubnan, Ghazi Aridi, semalam. 

Ghazi mengesahkan, sisa mayat itu ditemui dalam tayar pesawat Airbus 320, jet milik syarikat Saudi Nasair yang mendarat di Riyadh sejurus tengah malam dan membawa 130 krew dan penumpang.
Sisa mayat itu ditemui selepas unit penyelenggaraan membuat pemeriksaan pada pesawat berkenaan.
Ghazi memberitahu, identiti mayat itu belum diketuahui dan belum ada butir-butir lain dapat membantu menyelesaikan isu itu sehingga siasatan bermula. 

“Saya arah pihak berkuasa penerbangan Lubnan berhubung dengan rakan mereka di Riyadh termasuk pegawai Nasair bagi mendapatkan penjelasan mengenai insiden dan siasatan,” katanya. 

Laporan awalnya memberitahu ada penumpang yang nampak seorang lelaki bertopi dan beg galas meluru ke arah pesawat itu sebelum ia berlepas. – AP

3 remaja maut dihempap dinding stor





2010/07/11

BATU GAJAH: Tiga sahabat karib terbunuh manakala seorang lagi parah selepas dihempap dinding konkrit sebuah stor lama di kawasan perumahan PPRT Changkat Tin, Tanjung Tualang, dekat sini malam tadi. 

Keempat-empat mangsa dipercayai bermain di kawasan stor berkenaan selepas mereka keluar rumah sejak jam 2.30 petang tadi.
Sumber RELA menyatakan, seorang daripada mereka terbunuh di tempat kejadian, dua lagi ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala seorang lagi parah.
Tiga remaja terbunuh dikenali sebagai Ahmad Nuzol Ahmad Nawawi, 13; Muhamad Hisham Alias, 12; dan Muhamad Safwan Abdullah, 13. Manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Mohamad Shahir Zairi, 13. 

Mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah CM Yusof, Tanjung Tualang dan Sekolah Kebangsaan Changkat Tin.

Letupan kebakaran

KUANTAN: Seorang remaja tidak menyangka beberapa letupan didengarinya ketika menonton televisyen pada awal pagi adalah daripada empat deretan kedai dua tingkat di Jalan Mahkota yang terbakar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua kedai tekstil, sebuah kedai elektrik dan pengurup wang berlesen musnah.
Menceritakan detik cemas itu, Amirul Izwan Johari, 18, berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen bersama bapa saudara dan tiga pekerja di dalam restoran milik kakaknya.

Katanya, ketika itu dia terdengar letupan dari luar restoran, namun tidak menghiraukan bunyi berkenaan.

“Kira-kira jam 2.15 pagi ketika saya hendak tidur di tingkat atas, terdengar beberapa lagi letupan dari belakang kedai.

“Mulanya saya sangka ada orang bergaduh lalu mengambil keputusan menjenguk di belakang kedai namun tidak nampak pula kelibat orang,” katanya.

Katanya, musykil dengan perkara itu, dia keluar ke depan restoran dan terkejut apabila mendapati api sedang marak dari atas bumbung sebuah kedai kain dan pengurup wang berhampiran restoran kakaknya itu.

“Saya kemudian menjerit kepada bapa saudara supaya cepat keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api akan membakar restoran kami.

“Ketika itu juga ada tiga lagi pekerja kakak saya sedang tidur di tingkat atas restoran dan mereka turut bergegas menyelamatkan diri,” katanya.

Amirul berkata, keadaan ketika itu agak cemas dan dia dapat melihat beberapa orang dipercayai pekerja kedai terbabit lintang-pukang menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 2.36 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian, kami dapati 70 peratus bangunan sudah terbakar,” katanya.

2 kilang musnah

SUNGAI BULOH: Dua kilang iaitu kilang memproses makanan haiwan peliharaan dan kilang perabot musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Sungai Buloh di sini, petang kelmarin.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Selangor, Ismail Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 5.24 petang dan seramai 45 anggota dengan lima jentera dari lima balai iaitu Balai Bomba Sungai Buloh, Shah Alam, Damansara, Kota Anggerik dan Pelabuhan Klang dihantar ke tempat ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, api masih lagi marak. Api berjaya dikawal kira-kira jam 7.14 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ibu Cut Tari jatuh sakit terkejut klip seks





JAKARTA - Skandal klip video seks penyanyi Ariel Peterpan bukan sahaja hampir meretakkan hubungan Cut Tari (gambar) dengan suaminya, Johannes Joesoef Subrata, bahkan menyebabkan ibu wanita itu, Ny Tengku Joeransyah Mudadalam jatuh sakit.
Akhbar-akhbar semalam melaporkan, dia sebenarnya sudah mula sakit akibat terkejut sejak isu klip itu didedahkan sebulan lalu dan seorang pembantu di kediaman pengacara seksi itu mendakwa, keadaan ibu Cut Tari tidak berubah sehingga kini.
"Ibu tidak pernah sakit teruk dan ini kali pertama dia jatuh sakit sejak klip itu tersebar luas pada bulan lalu namun setakat ini, dia tidak pernah dibawa ke mana-mana hospital kerana doktor peribadi akan datang membuat pemeriksaan," katanya.
Sehingga lewat kelmarin, Cut Tari dan keluarganya memilih untuk mengurung diri di dalam rumah, sehari selepas dia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat dan mengaku sebagai wanita di dalam klip video lucah tersebut. - Agensi

Lagi rusuhan ganas meletus di AS




SEORANG penunjuk perasaan digari dua anggota polis ketika rusuhan di Cleveland bagi membantah keputusan James (gambar kecil) berhijrah ke Miami.


CLEVELAND - Selepas Amerika Syarikat gempar dengan rusuhan perkauman di Oakland, California, ribuan penduduk di Ohio turut melancarkan protes jalanan namun kali ini kerana penghijrahan seorang pemain bola keranjang ternama.
Ramai peminat LeBron James yang mewakili pasukan elit Cleveland Cavaliers merusuh dengan merosakkan replika pemain itu setinggi bangunan 10 tingkat di sini kelmarin selepas dia mengumumkan berpindah ke Miami Heat di Florida.
Polis antirusuhan dikerah mengawal keadaan sejurus James, 25, menyatakan hasrat itu secara langsung menerusi wawancara stesenESPN dengan tawaran gaji paling lumayan dalam sejarah Liga Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).
Pemain yang diberi gelaran King James itu sebelum ini digembar-gembur akan menyertai New York Knicks atau Chicago Bulls namun, memilih pasukan Miami Heat selepas ditawarkan pendapatan tahunan AS$100 juta (RM319 juta).
Beberapa orang ditangkap kerana cuba mencetus huru-hara dengan membakar harta awam tetapi, keadaan jauh berbeza di Florida apabila ribuan penyokong kelab Miami Heat bersorak gembira mendengar pengumuman James itu. - Agensi

Pulau Ketam transit seludup manusia




ANGGOTA PGM mengawasi sebahagian PATI yang ditahan semasa baru berlepas dari Pulau Ketam, Selangor semalam.


PELABUHAN KLANG - Sindiket penyeludupan manusia di negeri ini dikenal pasti menjadikan Pulau Ketam dekat sini sebagai transit untuk menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal.
Kesemua PATI dipercayai ditempatkan sementara di Pulau Ketam dalam tempoh di antara tiga hingga lima hari sebelum mereka dibawa pulang ke negara masing-masing melalui laluan laut.
Taktik terbaru itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang menahan seramai 21 orang PATI termasuk empat wanita di dalam sebuah bot pom-pom di perairan Laut Selat Rawa, Pulau Ketam pada pukul 4 pagi semalam.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 rakyat Indonesia manakala dua orang lagi warga Bangladesh. Turut ditangkap seorang tekong dan tiga awak-awak Indonesia.

Nampak lembaga sebelum sakit




SHAHDAN (kanan) menerima kunjungan tetamu sewaktu dirawat di Hospital Jengka semalam.


MARAN - Seorang daripada anggota operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas, Timothy Hoo Seng Heng, 29, dikatakan ternampak satu lembaga wanita berambut panjang muncul dari air sebelum dia sendiri meninggal dunia kelmarin.
Mangsa sempat memberitahu keluarganya bahawa dia ternampak lembaga itu selepas seorang bomoh merendam sebatang buluh ke dalam air di kawasan perkelahan Lubuk Yu dalam usaha mencari mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam.
Bapanya, Ho Hok Kee, 60, berkata, selepas melihat lembaga itu, anaknya demam dan berjumpa dengan ketua kampung Sungai Jerik, Lim Sin Lai yang memintanya jangan lagi ke tempat tersebut.
"Tapi anak saya tetap juga pergi ke sana kerana urusan operasi mencari dan menyelamat sebelum dia sakit dan meninggal dunia," katanya di sini semalam.

'Bunyi rusa selamatkan kami'




BEBERAPA ekor rusa Jawa milik Khalid yang dipelihara di belakang rumahnya di Kampung Tenai, Gemencheh.


GEMENCHEH - Pengusaha restoran, Khalid Mohd. Dah sekadar suka-suka membela sepuluh ekor rusa Jawa di belakang rumahnya tetapi tidak menyangka haiwan itu akhirnya membantu menyelamatkan nyawa beliau sekeluarga.
Jika tidak kerana bunyi kuat haiwan itu melenguh dari kandangnya sejauh 50 meter dari rumah mereka di Kampung Tenai, Air Gelugor, di sini, Khalid bersama isteri dan tiga orang anaknya sudah tentu menjadi mangsa sekumpulan lima penjenayah yang dikehendaki polis.
Menceritakan kejadian yang berlaku pukul 4 pagi semalam, Khalid berkata, mereka sekeluarga sedang tidur sebelum beliau terjaga apabila terdengar bunyi beberapa ekor rusa.

Meg Ryan, Dustin Hoffman boikot Israel



LOS ANGELES - Dua bintang ternama Hollywood dilaporkan membatalkan rancangan mereka untuk menghadiri Festival Filem Baitulmaqdis di Israel pada tahun ini. 

Pelakon, Meg Ryan dan Dustin Hoffman dipercayai mengambil tindakan itu sebagai tanda protes terhadap serangan maut unit komando tentera Israel ke atas kapal bantuan ke Gaza, 31 Mei lalu. 

Kedua-dua pelakon tersebut tidak menyatakan alasan pembatalan kunjungan mereka ke festival itu. 

Bagaimanapun, penganjur festival mengeluarkan kenyataan mengenai penarikan diri dua pelakon itu dengan menyebut 'sebab utama pelakon tersebut menarik diri adalah jelas', merujuk kepada insiden berdarah itu. 

Ryan, pelakon filem popular 'When Harry Met Sally' dilaporkan menarik diri daripada menyertai festival itu sehari selepas serangan Israel ke atas konvoi kemanusiaan ke Genting Gaza yang membunuh sembilan aktivis. 

Serangan itu mencetuskan kemarahan masyarakat dunia terhadap rejim bongkak itu dan memaksa Israel melonggarkan sekatan ke atas Gaza.

Aktivis akhiri mogok lapar




SANTA CLARA - Seorang aktivis pembangkang mengakhiri mogok lapar selepas 134 hari berikutan janji kerajaan Cuba untuk membebaskan 52 tahanan politik dalam masa terdekat. 

Guillermo Farinas, 48, mengakhiri mogoknya di sebuah hospital berhampiran rumahnya di Santa Clara, kelmarin, dengan meneguk segelas air. 

Jurucakapnya, Licet Zamora berkata, keadaan Farinas agak membimbangkan berikutan masalah pembekuan darah di lehernya baru-baru ini. 

Ahli psikologi dan wartawan bebas itu memulakan mogok lapar berikutan rakannya, Orlando Zapata Tamayo, meninggal dunia pada 23 Februari lalu selepas mengadakan mogok lapar di penjara. 

Presiden Raul Castro sebelum ini berkata, jika Farinas meninggal dunia, kerajaan tidak akan mengaku bertanggungjawab. 

Farinas menuntut pembebasan 52 tahanan politik, aktivis masyarakat dan wartawan yang dipenjarakan sejak Mac 2003. 

Aktivis pembangkang itu menamatkan mogok lapar selepas rundingan terbaru yang dilakukan Menteri Luar Sepanyol, Miguel Angel Moratinos, pada Rabu, membuahkan hasil. 

Kerajaan Cuba bersetuju membebaskan lima tahanan politik dalam masa terdekat, manakala baki 47 lagi akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga bulan lagi.

Bakteria punca wabak maut




MARAN - Misteri kematian enam penduduk yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Lubuk Yu di sini, akhirnya terjawab apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan ia disebabkan wabak Meloidosis dan Leptospirosis.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, punca jangkitan itu adalah kuman atau bakteria penyebab Meliodosis daripada tanah manakala Leptospirosis akibat air kencing tikus.

Menurutnya, 13 kes dilaporkan yang melibatkan enam kematian termasuk empat meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan dua lagi di rumah.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, kementeriannya mengarahkan kawasan rekreasi itu ditutup sementara bagi membolehkan agensi terlibat membuat siasatan lanjut mengenai wabak itu.

Beliau berkata, tindakan itu juga bagi memastikan orang ramai tidak mendekati kawasan Lubuk Yu kerana dikhuatiri turut terkena tempias wabak itu.

"Pegawai dari kementerian saya juga mengambil sampel tanah dan air di Lubuk Yu ini untuk dibuat kajian dan kami jangka keputusan penuh mengenai ujian itu akan diketahui dalam tempoh kurang seminggu.

"Jadi kawasan Lubuk Yu ini akan ditutup sehingga siasatan dan kajian mengenai wabak itu selesai," katanya.

Lima askar Amerika Syarikat terbunuh di Afghanistan



11/07/2010 2:32am

KABUL 11 Julai - Lima askar Amerika Syarikat terbunuh semalam dalam insiden berasingan ketika memerangi pemberontakan yang didalangi puak Taliban di Afghanistan, kata NATO.
Tiga mati di timur Afghanistan, manakala dua lagi terbunuh di bahagian selatan, kata
Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa NATO (ISAF).
Sementara itu, enam askar Amerika Syarikat yang lain juga turut terbunuh dalam satu letupan semalam.
Enam kematian itu membawa kepada 352 jumlah keseluruhan askar antarabangsa yang terbunuh di Afghanistan setakat ini bagi tahun ini, menurut catatan yang disimpan AFP berdasarkan laman web icasualties.org. - AFP

3 penjenayah Geng 66 ditembak mati





Khalid Mohd. Dah menunjukkan pagar dawai yang hendak dipotong oleh penjenayah ketika cuba merompak rumahnya di Kampung Air Gelugor, Gemencheh, Negeri Sembilan, semalam.


TAMPIN 10 Julai - Kegiatan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng 66' yang aktif dalam kes samun dan pecah rumah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan tumpas apabila tiga daripada mereka mati ditembak sepasukan polis, awal pagi ini.
Penjenayah terbabit ditembak ketika cuba memecah masuk rumah ketua UMNO cawangan di Kampung Tenai, Air Gelugor, Gemencheh dekat sini kira-kira pukul 4 pagi.
Dalam kejadian itu juga, dua rakan mereka sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sunny menuju ke selatan tanah air. Polis sedang melancarkan gerakan besar-besaran memburu penjenayah terbabit.
Lima penjenayah berkenaan sebelum itu cuba memasuki rumah Khalid Mohd. Dah, 45, namun gagal setelah kehadiran mereka disedari oleh mangsa.
Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas pemilik rumah menghubungi polis kerana terdengar bunyi mencurigakan di ladang rusanya.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, sebaik sahaja polis tiba di ladang getah berhampiran rumah mangsa, suspek yang ketika itu baru memotong pagar terkejut dan cuba menyerang polis dengan parang.
Suspek pertama dan kedua mati akibat terkena tiga das tembakan manakala suspek ketiga mati terkena dua das tembakan selepas mereka cuba menyerang anggota polis dengan senjata. Kesemua mereka berusia lingkungan 30-an.
Dua lagi suspek sempat meloloskan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sunny berwarna putih dan bernombor pendaftaran JCM 97. Dua angka terakhir kenderaan itu gagal dikesan.
Polis percaya dua suspek 'Geng 66' itu melarikan diri ke arah selatan tanah air.
"Polis kini melancarkan gerakan memburu mereka selain mengadakan sekatan jalan raya dan meminta bantuan polis di negeri-negeri berdekatan," kata Osman pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di sini hari ini.
Beliau memberitahu, polis menemui dua bilah parang panjang, sebilah kuku kambing, dua pemotong besi dan satu alat pemutar skru bersama tiga penjenayah itu.
Katanya, siasatan awal polis mendapati, penjenayah itu telah memotong dua bahagian pagar ladang rusa milik mangsa.

Bapa Nicole beri penjelasan



Kristina bersama dua anaknya dan Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Julai - Selepas dua minggu menghilangkan diri, seorang pemandu lori yang didakwa melarikan diri bersama seorang anak perempuannya, Nicole Soo Siew Qing, 3, akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung tindakannya itu.
Soo Kian Keong, 35, menjelaskan, punca yang mendorong dia berbuat demikian adalah kerana masalah rumah tangga antara dia dan isterinya, Kristina, 34.
Kian Keong turut menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa dia sengaja melarikan Nicole dan berniat menjual anak sulungnya itu bagi melangsaikan hutang judinya.
"Saya mengaku saya seorang kaki judi dan banyak berhutang, namun semua itu sudah berlalu.
"Nicole ialah darah daging saya dan saya sangat menyayanginya. Mana mungkin saya sanggup jual dia senang-senang," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA hari ini yang turut dihadiri Kristina dan anak bongsu pasangan itu, Chean Keat, berusia sembilan bulan.
Minggu lalu, media melaporkan keluhan Kristina yang mendakwa suaminya, seorang kaki judi menghilangkan diri bersama Nicole dan dibimbangi kanak-kanak itu mungkin dijual untuk melangsaikan hutang.
Pasangan anak beranak itu kali terakhir dilihat pada 26 Jun selepas keluar dari rumah mereka di Kelana Jaya, Petaling Jaya namun tidak pulang selepas itu.