Search This Blog

Saturday, July 10, 2010

Tinggal sehelai sepinggang





BESUT 9 Julai - Seorang nenek bersama cucunya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Alor Lintang dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi, Wan Khadijah Ismail (gambar), 65, bersama Hafizuddin Mat Jak, 16, bertandang ke rumah jiran yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka.
Ketika berada di rumah jiran hampir satu setengah jam, seorang jiran yang melalui rumah mangsa ternampak asap keluar berkepul-kepul dari rumah Wan Khadijah lalu memaklumkan kepadanya.
Sebaik sahaja dimaklumkan, mangsa dan cucunya bergegas pulang ke rumah dan mendapati api sudah marak.
Berikutan kejadian itu, semua peralatan rumah termasuk sebuah motosikal di rumah wanita warga emas terbabit musnah terbakar.
Tiga buah jentera bomba bersama sembilan anggota yang diketuai oleh Azmi Che Mat dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Azmi ketika ditemui berkata, setiba di rumah itu, api sudah marak dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof yang menziarahi mangsa berkata, bencana yang menimpa ibu tunggal itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambahnya, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM34,000 untuk mangsa dalam tempoh terdekat.

81 kilogram tembakau seludup dirampas



KOTA BHARU 9 Julai - Unit Penguat Kuasa Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) merampas 811 kilogram tembakau awet yang dipercayai bukan hasil keluaran tempatan selepas menyerbu sebuah stesen tembakau di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas di sini baru-baru ini.
Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman berkata, kesemua tembakau dalam bentuk 15 bandela yang disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan darat pada 21 Jun lalu itu bernilai kira-kira RM12,000.
Beliau berkata, tembakau seludup itu biasanya dicampur dengan tembakau tempatan untuk dijual bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi kerana bahan tersebut dijual lebih murah di negara jiran.
"Harga tembakau tersebut di negara asal hanya RM10 sekilogram berbanding RM15 sekilogram di pasaran negara ini.
"Bagaimanapun, tiada tangkapan dalam operasi yang diketuai oleh Pegawai Penguat Kuasa Saifulrizam Abu Bakar bersama enam anggota itu bagaimanapun pengurus stesen tembakau berkenaan telah disoal siasat dan diambil keterangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad berkata, kejayaan rampasan itu adalah hasil maklumat orang ramai dan intipan unit berkenaan selama dua minggu di lokasi yang disyaki menyimpan tembakau seludup.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dua rampasan dilakukan bernilai RM38,176 dan ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas yang bernilai RM17,000.
"Dengan kejayaan ini, unit penguat kuasa LKTN akan meningkatkan lagi usaha membanteras kemasukan daun tembakau awet dari negara jiran dengan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan selain menjalinkan hubungan dengan penduduk setempat serta agensi lain.
"Mengikut Seksyen 49 Akta LKTN 2009, pengawet berlesen tidak dibenarkan membeli tembakau awet daripada pengawet tidak berlesen. Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM50,00 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya," katanya.

Warga emas hilang dalam kebakaran



Kebakaran melibatkan sebuah kilang papan membuat perabot di Matang Batu 6, Kuching, Sarawak, kelmarin.


KUCHING 9 Julai - Sebuah kilang papan dan perabot di Jalan Matang di sini musnah dalam kebakaran pada tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan bagaimanapun seorang warga emas yang tinggal di dalam kilang tersebut dipercayai masih hilang.
Ketua Operasi Bomba Zon Kuching, Baharuddin Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.15 tengah malam sebelum dua jentera tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
Menurutnya, dua jentera tersebut masing-masing dari Balai Bomba Petra Jaya dan Balai Bomba Batu Lintang dengan kekuatan pegawai serta anggota seramai 18 orang.
''Sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak, namun bomba berjaya mengawal api kira-kira 30 minit di samping dapat mengelak kebakaran daripada merebak ke kilang kotak bersebelahan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Katanya, seorang mangsa dipercayai hilang sewaktu kejadian tersebut dan usaha mencari masih dijalankan.
Katanya, bomba juga masih menyiasat punca kebakaran tersebut dan jumlah kerugian masih belum diketahui.
Kilang berkenaan telah beroperasi lebih daripada 10 tahun dan ketika kejadian terdapat 15 pekerja dengan tujuh daripadanya warga negara Indonesia berada dalam premis berkenaan.
Difahamkan, kilang itu melakukan kerja tambahan lebih masa malam tadi sehingga pukul 11 malam sebelum kejadian tersebut berlaku.
Salah seorang pekerjanya yang enggan disiarkan nama memberitahu, semua pekerja yang berada dalam kilang berkenaan hampir masuk tidur sebelum terdengar letupan kecil dipercayai litar pintas.
Menurutnya, tidak lama kemudian asap memenuhi setiap ruang di dalam kilang berkenaan menyebabkan semua pekerja cemas dan salah seorang daripada mereka telah mengetuk bilik warga emas yang berusia 67 tahun itu untuk menyelamatkan diri.
''Kejadian begitu pantas sekali malah asap tebal turut menghalang penglihatan kami dan tiada apa yang boleh diselamatkan lagi," ujarnya yang terkilan tidak dapat menyelamatkan segala dokumen serta pasport yang musnah dalam kebakaran tersebut.

Bomba saman 20 premis





KOTA KINABALU 9 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengeluarkan 20 saman terhadap premis perniagaan di negeri ini kerana gagal mematuhi prosedur pencegahan kebakaran yang ditetapkan.
Pengarah JBPM Sabah, Khirudin Drahman berkata, saman yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini melibatkan hotel bajet dan bangunan kedai.
"Kesemua saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 373 buah hotel bajet dan bangunan kedai di seluruh negeri.
"Saman tersebut dikenakan selepas pemilik gagal mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 termasuk kegagalan sistem keselamatan kebakaran berfungsi," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup perkhemahan kadet JBPM peringkat negeri di Kompleks Perumahan JBPM di sini semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Jainab Ahmad.
Lebih 200 pelajar dari Kota Kinabalu, Kudat, Keningau, Beaufort, Sandakan, Tawau dan Labuan menyertai kem tiga hari bermula 5 Julai lalu.
Pada majlis itu Zon Tawau muncul sebagai juara keseluruhan.
Menurut Khirudin, kebanyakan saman dikeluarkan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat beberapa premis telah dikeluarkan lebih dari satu saman dan menunggu perbicaraan di mahkamah.
Sementara itu, Jainab berharap pihak bomba turut memperluaskan pemeriksaan ke kawasan perumahan dalam usaha mencegah kebakaran.
"Jangan tunggu sehingga kebakaran berlaku tetapi siasatan dan pemeriksaan perlu dijalankan lebih awal bagi memastikan peraturan keselamatan dipatuhi serta kemudahan berada dalam keadaan sempurna," tegasnya

Polis terus buru 'geng salun'



TEMERLOH – Polis meneruskan gerakan memburu dua ahli ‘geng salun’, penjenayah paling dikehendaki di daerah ini kerana melakukan tiga samun membabitkan kerugian hampir RM15,000. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, kumpulan terbabit yang mensasarkan salun dan kedai jualan langsung dianggotai dua lelaki Cina berumur antara 30 dan 40-an. 

Menurutnya, modus operandi mereka adalah berlagak sebagai pelanggan sebelum bertindak menyamun mangsa. 

“Usaha menjejak mereka kali ini disasarkan kepada salun di sekitar Mentakab dan daerah ini yang berpotensi menjadi sasaran penjenayah ini,” katanya semalam. 

Beliau berkata demikian selepas turun padang mengedarkan risalah :High Profile Policing: dan menampal dua fotofit penjenayah terbabit di beberapa salun di sini. 

Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Deputi Superintendan R Sundra dan Ketua Balai Polis Mentakab, Cif Inspektor Rizal Md Dan. 

Ahmad Fadzillah berkata, polis mengedar dan menampal fotofit wajah suspek di seluruh salun di daerah ini dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam dan peniaga.

2 beranak cemas kena ugut bunuh



KEPONG – Bukan sekadar mengalami kerugian hampir RM40,000, malah dua beranak melalui detik cemas setelah diugut bunuh tiga penjenayah bersenjatakan pistol dan pisau, yang memecah masuk kediaman mereka di Pangsapuri Aman Putra, Jinjang Utara, dekat sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, mangsa, seorang ibu tunggal berumur 46 tahun, tidur sebilik dengan anak lelakinya yang berusia 18 tahun. 

Biasanya mangsa pergi berniaga sayur di Pasar Borong Selayang dengan anaknya sekitar jam 2 pagi, namun semalam, wanita itu tidak keluar berniaga kerana demam. 

Menurut mangsa, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi mencurigakan dalam rumahnya. 

“Saya dan anak cuba untuk siasat dan bertembung tiga lelaki yang mengarahkan mereka diam ‘kalau tidak mahu mati’ yang kemudian terus mengikat mereka. 

“Penjenayah acu pistol dan pisau sebelum kami berdua diserkup dengan selimut,” katanya ketika ditemui di rumahnya. 

Katanya, penjenayah kemudiannya menggeledah kedua-dua bilik dan melarikan wang tunai RM15,000, sembilan bentuk cincin, seutas rantai, tiga telefon bimbit dan satu komputer riba dengan anggaran kerugian bernilai hampir RM40,000. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, maklumat awal mendapati seorang suspek berkulit cerah dan dua lagi berkulit gelap. 

“Suspek memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu pagar sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Nissan. 

“Kami tidak menolak kemungkinan suspek adalah penduduk di sekitar kawasan berhampiran dan gerakan memburu mangsa sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkumpulan.

2,153 DVD bernilai RM12,837 dirampas




RAUB –Polis Raub merampas 2,153 DVD dipercayai cetak rompak bernilai RM12,837 dalam operasi bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Raub.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, maklumat diterima orang ramai yang sebuah kedai dekat Pusat Perdagangan Raub menjual pelbagai jenis DVD cetak rompak.

Menurutnya, polis Raub memandang serius sebarang perbuatan salah laku masyarakat daerah ini termasuk melibatkan kesalahan menjual DVD cetak rompak.

“Semua DVD yang dirampas diserahkan untuk tindakan susulan PPDNKK Raub menerusi siasatan di bawah Perintah 4, Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hampir dibelasah di tangga surau




SEREMBAN - Seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini nyaris ditumbuk seorang penduduk yang berang apabila cadangannya untuk menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak diterima, Isnin lalu. 

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Husin, 50an, berkata, lebih dikesali, dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu berlaku dalam kawasan surau kampungnya. 

"Sebelum kejadian, seorang penduduk menyarankan supaya KRT ditubuhkan. Saya maklumkan langkah itu tidak perlu kerana kampung ini telah melaksanakan skim kepolisian masyarakat. 

``Namun, seorang lelaki lain yang turut berada di surau ketika itu tiba-tiba mempertikaikan jawapan saya dalam nada suara tinggi,” katanya di sini, semalam. 

Menurut beliau, suasana di dalam surau bertukar kecoh ekoran tindakan lelaki terbabit tidak berpuas hati penjelasan diberikan. 

Husin berkata, beliau kemudiannya keluar dari surau kerana tidak mahu isu berkenaan berpanjangan dan bagi menghormati rumah ibadat itu. 

``Malangnya, sebaik sahaja berada di tangga surau, lelaki yang sama menghampiri saya dan menunjukkan penumbuk ke muka saya. 

``Bagaimanapun, dia tidak menumbuk saya walaupun dicabar. Sebelum beredar, dia memberi amaran kepada saya supaya jangan bercakap tentang skim kepolisian masyarakat di dalam surau lagi,” katanya. 

Beliau berkata, pertelingkahan antara lelaki terbabit dan dirinya turut disaksikan oleh lima lelaki lain yang berada di surau pada masa kejadian. 

Menurut Husin, satu laporan dibuat di Balai Polis Paroi dekat sini, sehari selepas itu kerana bimbang tentang keselamatan diri dan keluarga susulan insiden kurang menyenangkan itu.

Virus puaka ragut enam nyawa dalam tiga hari



ULU JEMPOL - Sejenis virus yang dikatakan ‘datang’ dari lokasi mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu pada 26 Jun lalu dipercayai meragut nyawa enam penduduk daerah ini dalam masa enam hari iaitu tiga hari selepas mayat dijumpai. 

Kesemua kematian itu disebabkan virus yang sama dan membabitkan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak dalam operasi mencari mangsa lemas di pusat perkelahan itu. 

Mangsa pertama adalah seorang peneroka Felda Ulu Jempol yang juga waris kepada mangsa lemas, Zakaria Ayub, 52, pada 3 Jun lalu selepas mengalami simptom deman panas, batuk, muntah dan sakit sendi. 

Menurutnya anak kedua mangsa, Mohd Zaidi, 28, arwah bapanya berada di lokasi kejadian lemas itu pada tiga hari pertama operasi sebelum demam dengan mengadu rasa amat sejuk walaupun suhu badan panas. 

”Arwah ada beritahu sakit badan selain sejuk dan kami menghantarnya ke klinik swasta di Bandar Tun Razak Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Jengka. 

”Pada hari sama jam 2 petang, arwah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan difahamkan mengalami tekanan darah rendah. Arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menghembuskan nafas terakhir, jam 10.40 malam,” katanya kepada Sinar Harian. 

Rakan kepada arwah Zakaria yang pergi ke lokasi bersama, Zainal Abidin Ismail, 56, menjadi mangsa kedua virus ini dan mula mengalami simptom sama pada 4 Jun. 

Isterinya, Zaharah Mohamad, 52, berkata, pada tarikh itu arwah ditahan wad di Hospital Jengka dengan menerima dua botol air ke dalam badan kerana mengadu sakit sendi serta pening. 

Menurutnya, arwah kemudian dibenarkan pulang tetapi dimasukkan semula selepas pitam ketika menikmati hidangan tengah hari di sebuah kedai bersama seorang rakan di bandar itu. 

”Arwah pernah bercerita bahawa bermimpikan sesuatu tentang Lubuk Yu lalu minta dibawa ke Rawang untuk berubat cara kampung dan meninggal dunia di sana selepas sesak nafas pada 6 Jun,” katanya. 

Pada hari yang sama, bapa kepada mangsa lemas, Azizan Abdullah, 58, turut menghembuskan nafas terakhir. 

Pada 7 Jun, seorang bapa kepada dua anak lelaki berusia setahun dan tiga bulan dari Pekan Sungai Jerik, Timothy Hoo Seng Heng, 29, meninggal dunia di HoSHAS selepas mengalami simptom sama. 

Ayah mangsa, Hoo Hook Kee, 59, berkata, mendiang tidak menghidap sebarang penyakit namun selepas pulang dari mencari mangsa lemas di Lubuk Yu, mendiang demam panas dan dihantar ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke HoSHAS kerana sesak nafas. 

Mendiang yang juga anak kepada Ketua Wanita MCA Cawangan Sungai Jerik itu dipercayai meninggal dunia akibat virus ‘misteri’ sama namun punca jangkitan masih belum dikenal pasti. 

Kejadian terbaru, pada 8 Jun membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerik, Lim Sin Lai, 55, dan seorang pemuda lingkungan umur 30an. 

Menurut sumber, tiga penduduk termasuk seorang anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan kritikal di HoSHAS sementara dua lagi penduduk berbangsa Cina di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. 



Penduduk diminta tidak panik 



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin meminta penduduk sekitar daerah ini tidak panik namun berwaspada dengan apa yang sedang berlaku. 

Beliau berkata, kesemua kematian itu dipercayai akibat jangkitan sejenis virus yang tidak dikenal pasti sehingga menjadi tanda tanya keluarga mangsa. 

Menurutnya, mangsa mengalami simptom sama dan secara kebetulan mereka adalah dari kalangan orang awam dan petugas dalam operasi mencari serta menyelamat mangsa lemas di Lubuk Yu, baru-baru ini. 

”Jumlah kematian yang tinggi dalam tempoh kurang seminggu ini tidak boleh dipandang remeh dan difahamkan jabatan kesihatan sudah mengambil langkah mencegah penularan,” katanya

Dua beradik maut dirempuh lori



10/07/2010 4:16pm

IPOH 10 Julai - Hasrat seorang abang membantu adiknya yang kemalangan di lebuh raya berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dirempuh
sebuah lori kontena di tepi Lebuhraya Utara Selatan, di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 12.20 tengah hari tadi di Kilometer 272 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang itu berlaku ketika Tan Ban Sheng, 33, membantu adik perempuannya Tan Woan Yin, 24, yang sebelum itu terbabas di lebuh raya itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian itu, kereta
Proton Saga yang dipandu Woan Yin bersama seorang rakannya, Ng Kok Leong, 20-an, terbabas ke kiri lebuh raya ketika mereka dalam perjalanan dari Johor ke Alor Setar.
Kemalangan itu menyebabkan Kok Leong patah kaki dan dihantar oleh orang ramai ke hospital manakala Woan Yin menunggu di tempat kejadian dan menghubungi abangnya yang tinggal di Sungai Petani untuk mendapatkan bantuan, katanya.

Beliau berkata, abang mangsa yang datang ke tempat kejadian meletakkan kereta di belakang kereta adiknya dan memindahkan barang-barang milik adiknya ke dalam keretanya.

"Ketika mereka berdua berada di luar kenderaan, sebuah lori kontena yang datang dari arah Selatan ke utara dikatakan terbabas lalu merempuh mereka menyebabkan kedua-dua beradik itu tercampak ke bawah lori," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua beradik yang tersepit di bawah lori itu terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Azisman berkata, Ban Sheng dan adiknya yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama

Tiga penjenayah mati ditembak



10/07/2010 10:16am

TAMPIN 10 Julai - Tiga orang penjenayah ditembak mati oleh sepasukan polis di Kg. Tenai, Air Gelugor, Gemenceh dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, kesemua mereka ditembak mati di kawasan kebun getah setelah dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah milik pengusaha kedai makan di situ.
Ketika ini siasatan masih dijalankan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dijangka mengadakan sidang media pada pukul 11 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berhubung kejadian berkenaan. - Utusan

Rayuan inspektor kesihatan rasuah ditolak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak rayuan bekas inspektor kesihatan Majlis Bandaraya Shah Alam terhadap hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM20,000 berhubung tuduhan rasuah, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika membuat keputusan itu berkata, berdasarkan alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen, dia berpendapat, mahkamah berada dalam landasan betul dalam hal itu. Menurutnya, Amardeep Singh Suaran Singh (pemohon) sebagai penjawat awam seharusnya sedar perbuatan mengambil atau menerima rasuah kesalahan paling berat.
“Mahkamah bersetuju hukuman setimpal perlu dijatuhkan dalam usaha membina masyarakat bertamadun tanpa rasuah,” katanya. Pada 1 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, M Gunalan menjatuhi Amerdeep, 50, hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM20,000 berhubung dua tuduhan rasuah.

Ia membabitkan cubaan mendapatkan dan memperoleh suapan wang RM2,000 sebagai dorongan untuk menyokong kelulusan lesen perindustrian yang dipohon pengurus eksekutif sebuah kilang.

Amardeep didakwa berbuat demikian di Pejabat Power Steel & Electro Plating Howles Sdn Bhd di Jalan Pengapit 15/19, Seksyen 15 di sini, pada 15 Ogos 2002.

Mahkamah sama turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan lagi, jika denda itu gagal dijelaskan

Dua beradik terlepas dakwaan samun pelajar

KUALA LUMPUR: Dua beradik dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini semalam daripada tuduhan menyamun seorang pelajar kolej dengan menggunakan pisau tiga tahun lalu.
Majistret Zaki Asyraf Zubir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias gagal membuktikan kes prima facie terhadap K Raj Kamal, 29, dan K Raj Kiran , 25.
Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan RM2,500 dikembalikan.

Zaki dalam keputusan hujahannya berkata, terdapat banyak percanggahan dalam keterangan SP1 (Pengadu) terutama dari laporan itu sendiri. Merujuk laporan polis, pengadu mengatakan dua lelaki yang menyamunnya adalah lelaki Melayu.

“Mahkamah melihat ini sebagai percanggahan serius yang mencacatkan kes pendakwaan,” katanya.

Kamal yang berkerja sebagai mekanik dan adiknya Raj Kiran yang tidak berkerja kelihatan tenang ketika mahkamah membuat keputusan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyamun sebuah komputer riba, kad pengenalan, kad ATM dan telefon bimbit jenama Nokia dengan menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kematian milik K Amitha Rau dengan mengacukan pisau kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan di landasan kereta api, Batu 5, Jalan Ipoh di sini, jam 8.30 malam, 16 Jun 2007.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua adik beradik itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan seba

Atlet rugi RM30,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemain kriket profesional warga Pakistan kerugian lebih RM30,000 selepas diperdaya seorang pemandu teksi eksekutif dan rakannya untuk berkongsi perniagaan agensi pelancongan di ibu kota.
Mangsa, Talha Khan, 34, mendakwa ditawarkan menjadi seorang rakan kongsi mereka bagi membuka sebuah cawangan baru agensi terbabit oleh pemandu teksi itu yang dikenali sebagai Abdullah dan rakannya, Rosman.
“Saya mengenali Abdullah yang berusia 55 tahun itu, sejak dua tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menawarkan diri untuk menghantar saya ke sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Oleh kerana saya sering berulang-alik ke Malaysia, dia kemudian menjadi pemandu peribadi kami sekeluarga.

“Pada November tahun lalu, saya menghidap sejenis penyakit gangguan sistem tahan badan iaitu Guillain Barre Syndrome (GBS) dan terpaksa menerima rawatan di sebuah swasta di ibu kota,” katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa berulang-alik ke negara ini bagi mendapatkan rawatan susulan dan mula akrab dengan pemandu teksi itu.

Menurutnya, Mac lalu, Abdullah memperkenalkan dia dengan Rosman yang menawarkannya menjadi rakan kongsi cawangan baru agensi pelancongan yang akan dibuka di Bukit Bintang, di sini. Tertarik dengan tawaran itu, mangsa terus menerima pelawaan lelaki itu dan menyerahkan wang tunai RM30,000 tanpa mengetahui bakal diperdaya kedua-dua mereka.

Difahamkan, mangsa amat kecewa dengan tindakan pemandu teksi itu yang dianggap sebagai keluarganya, malah terkilan ditipu kerana wang tunai itu dikirimkan ibunya di Pakistan.

“Selepas persetujuan dicapai, Abdullah dan Rosman datang ke rumahnya di Apartment Park View, Jalan Perak, di sini, 26 April lalu untuk menyerahkan dokumen perjanjian.

“Apa yang mencurigakan, syarikat itu didaftarkan atas nama anak Rosman dengan alasan namanya sudah digunakan dalam tiga syarikat lain. Malah, nama saya tidak disenaraikan dalam syarikat itu kononnya saya bukan warga negara. “Bagaimanapun, kerana terlalu percayakan Abdullah, saya menandatangani perjanjian itu. Tetapi, apabila ditanya mengenai peguam, mereka memaklumkan peguam enggan berjumpa saya dan hanya mahu berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Talha berkata, dia turut ditawarkan sebagai pemegang saham utama syarikat itu sebanyak 66.7 peratus dan bakal menerima keuntungan yang tinggi setiap bulan.

Selepas beberapa minggu menunggu, Talha menghubungi mereka beberapa kali namun gagal sebelum menyedari ditipu.

Lebih rela ikut kekasih

BUTTERWORTH: “Saya rela bersama teman lelaki daripada ke sekolah mahupun tinggal di rumah,” kata seorang pelajar tingkatan empat yang dicekup dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel, semalam.
Remaja perempuan yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, itu membonceng motosikal teman lelakinya yang berusia 20 tahun selepas menipu ibunya dengan menyatakan dia ke rumah rakannya, namun rahsianya itu terbongkar selepas dicekup di sebuah bilik hotel pada jam 1 pagi oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata dalam pemeriksaan itu, pasangan berkenaan gagal membuktikan mereka mempunyai hubungan perkahwinan yang sah.

“Ketika disoal siasat, remaja itu memberi alasan bersama dengan teman lelakinya kerana menghadapi masalah keluarga dan lebih rela bersama dengan teman lelaki yang dikenali sejak awal Januari lalu itu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui surat amaran yang dikeluarkan pihak sekolah ke atas remaja wanita itu kerana gagal menghadirkan diri ke sekolah.

Katanya, remaja berkenaan juga mengaku sudah tidak berminat ke sekolah dan lebih selesa bersama teman lelaki yang pandai menjaganya dan disebabkan itu dia sanggup melakukan apa saja untuk teman lelakinya termasuk melakukan hubungan seks.

Khairul Azman berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Butterworth dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 27 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

'Pulangkan anak saya'

KUALA LUMPUR: “Pulangkan anak saya”, rayu Norashikin Hussin, 21, seorang ibu muda yang kehilangan bayi perempuannya berusia dua bulan dipercayai dilarikan suaminya, Abu Zarin Mat Pisah, sejak 24 Jun lalu.
Menurut Norashikin bayinya, Emylia Batrisya, dibawa keluar oleh suaminya itu pada jam 10.30 malam pada hari berkenaan untuk pergi ke rumah kakaknya yang turut tinggal berhampiran rumahnya di Bandar Rinching, Semenyih.
“Namun keesokannya saya gagal menemui Emylia di rumah kakaknya itu manakala suami saya turut menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norashikin berkata tindakan Abu Zahrin yang juga seorang mekanik membawa anaknya ke rumah kakaknya, selepas berselisih faham mungkin berpunca daripada keengganan suaminya membantunya menukarkan lampin Emylia.

Beliau berkata, tindakan suaminya itu menyebabkan dia selalu menangis dan bimbang dengan keadaan Emylia yang tidak pernah berenggang dan berjauhan dengannya sebelum ini.

“Malah beberapa hari lepas, saya telah ke kampung suami di Pasir Puteh, Kelantan namun ahli keluarganya tidak mengetahui di mana suami dan Emylia berada.

“Saya turut risau Emylia mungkin akan dibawa ke Thailand kerana bapa mentua suami saya berasal dari negara berkenaan,” katanya.

Menurut Norashikin lagi, dia telah membuat dua laporan polis berhubung dengan kehilangan bayinya.

“Saya berharap suami saya agar dapat pulang ke rumah dan memulangkan kembali bayi saya. Jika ada sebarang masalah, saya memintanya agar berbincang untuk menyelesaikannya,” katanya.

Dituduh lupus wang tebusan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga tuduhan memiliki wang tebusan dan melupuskan sebahagian wang hasil penculikan membabitkan RM468,600, bulan lalu.
Tertuduh, R Kanduraju, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Jagjit Singh. Bagi tuduhan pertama, dia didakwa memiliki sebahagian daripada wang tebusan sebanyak RM30,000 bagi penculikan ke atas seorang lelaki berusia 64 tahun yang berlaku di persimpangan Jalan Hujan Emas, Bukit OUG di sini, jam 8.50 pagi, 16 Jun lalu.
Kanduraju dituduh melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Sungai Pelek di sini, jam 11.30 pagi, 27 Jun lalu.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua, memiliki sebahagian daripada wang tebusan sebanyak RM400,000 bagi penculikan mangsa yang sama di sebuah rumah di Taman Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, jam 7 malam, 28 Jun lalu.

Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa melupuskan sebahagian wang tebusan sebanyak RM38,600 kepada P Gunalan, 38, di perhentian selepas Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, jam 10.30 malam, 26 Jun lalu.

Bagi setiap tuduhan itu, Kanduraju didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Colek 1961 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam M Manoharan

Laporan bedah siasat sudah diterima

KUALA LUMPUR: Polis sudah menerima laporan bedah siasat berhubung kematian seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD), Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang didakwa dibuli dan didera pelajar senior maktab itu pada 23 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, laporan dikeluarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hujung minggu lalu.
Menurutnya, laporan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, namun diminta melengkapkan lagi kertas siasatan.

Siang halal, malam haram

KUALA LUMPUR: Siang kerja sebagai jurujual, pembantu kedai makan, salun dan tukang jahit, tetapi tiba waktu malam, mereka menjual tubuh bagi meraih pendapatan sampingan walaupun kadar perkhidmatan ditawarkan serendah RM30.
Mereka yang dianggap ‘ayam pencen’ lebih banyak dilanggani warga asing. Bagaimanapun, petang kelmarin, pusat yang menjadi tempat mereka menambah pendapatan di sebuah bangunan di Jalan Silang, di sini diserbu Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur.
Dalam operasi itu, tujuh wanita tempatan berusia 22 hingga 49 tahun ditahan kerana terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Menurut sumber polis, operasi dilakukan atas maklumat awam dan risikan pihaknya.

“Ketika serbuan, lebih tujuh wanita tempatan sedang duduk menunggu pelanggan sambil berbual kosong.

“Kebanyakan mereka ‘bersidai’ di hadapan pintu bilik yang hanya dibuat dari papan lapis. Terdapat hampir 20 bilik siap dengan katil yang dijadikan lokasi pelanggan memuaskan nafsu dalam bangunan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menahan tujuh wanita tempatan termasuk seorang yang sedang berasmara dengan seorang lelaki warga Nepal.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan pelacur berkenaan tidak menjual tubuh sepenuh masa, sebaliknya ada antara mereka bergiat secara sambilan. “Antara mereka yang diberkas turut bekerja sebagai tukang jahit, jurumekap, pembantu kedai makan, jurujual, juruwang, pendandan salun dan pekerja kedai cermin mata.

“Besar kemungkinan mereka mahu menambahkan pendapatan bulanan sebagai pelacur sambilan. “Hasil siasatan mendapati mereka mampu memperoleh pendapatan tidak kurang RM200 sehari,” katanya.

Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan lanjut turut menemui 100 kondom, losyen pelincir dan dua buku nota yang mencatatkan jumlah pendapatan hasil kegiatan pelacuran harian itu.

“Tujuh pelacur itu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu dalam operasi berasingan, tiga wanita warga China diberkas selepas dikesan cuba melarikan diri dan bersembunyi di bahagian tangki air sebuah bangunan di Jalan Pudu, di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, polis D7 Kuala Lumpur terlebih dulu melakukan intipan sekumpulan wanita warga China yang cuba menawarkan seks kepada orang ramai.

Difahamkan, suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian melarikan diri ke tingkat paling atas bangunan terbabit sebelum menyembunyikan diri di dalam tangki air.

Motor rempuh treler pancit

KUALA LIPIS: Seorang pemandu treler membawa muatan balak yang sedang menukar tayar akibat pancit, terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki ketika memeriksa belakang kenderaan berat itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di Kilometer 14, Jalan Lipis-Benta, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Benta, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Zamri A Wahid, 55, dari Kampung Sungai Jahit, Dong, dekat Raub, merempuh belakang treler terbabit mengakibatkannya cedera parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai pembantu kanan di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dekat sini, menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak menyedari kon yang berada di tepi jalan diletakkan pemandu treler berusia 40 tahun sebagai tanda amaran kerosakan.

“Kejadian terbabit disedari pemandu treler itu ketika sedang menukar tayar akibat pancit selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang sebelum bergegas membuat pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai tidak menyedari terdapat kon di tepi jalan sebagai tanda amaran kerosakan sebelum melanggar objek berkenaan,” katanya.
Abdul Razak berkata, siasatan turut mendapati, pemandu treler itu yang berasal dari Felda Jengka 9, dekat Maran dalam perjalanan dari Lipis menghala ke Raub sebelum berhenti di tepi jalan akibat kerosakan.

“Jenazah mangsa sudah dituntut isterinya selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Kuala Lipis (HKL), pagi semalam.
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Wujud akta sekat pornografi di Internet

JAKARTA: Menteri Komunikasi Indonesia, Tifatul Sembiring berikrar, semalam untuk menggariskan akta khas selewat-lewatnya akhir tahun ini bagi mengelak golongan muda terjebak dengan gejala bahan lucah di Internet.
Skandal video lucah membabitkan tiga selebriti terkenal negara itu baru-baru ini, mencetuskan kebimbangan pemerintah untuk mengambil tindakan dalam menangani isu bahan lucah di Internet.
Tifatul yang juga ketua pemimpin Parti Keadilan dan Kemakmuran Islam berkata, beliau akan menggariskan satu akta baru dengan penggubal undang-undang bagi menangani gejala pornografi Internet yang semakin meluas.

“Kes video lucah tiga artis, baru-baru ini sudah mencemari perlembagaan negara dan Pancasila.

“Kita hidup berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan yang satu dan masyarakat yang beradab sebagaimana digariskan dalam Pancasila. Pegangan kita sudah dicemari dengan kes video lucah itu,” jelas Tifatul. Mengulas kajian pada 2007 yang menunjukkan 97 peratus pelajar sekolah tinggi di Indonesia mengakses laman web lucah, Tifatul berkata beliau tidak akan berdiam diri saja melihat generasi muda negara itu musnah diracun gejala tidak bermoral itu. - AFP

Tuntutan RM480j syarikat aeroangkasa ditolak

KUALA LUMPUR: Syarikat aeroangkasa Langkawi R&D Academy Sdn Bhd gagal dalam tuntutan saman bernilai RM480 juta terhadap kerajaan Malaysia dan dua lagi berhubung kontrak untuk menaik taraf pesawat pejuang Northrop F5 Tiger.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail menolak saman terbabit dan memerintahkan syarikat itu membayar RM20,000 kos guaman kepada defendan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan dan kerajaan.
Penghakiman bertulis akan dikeluarkan Jumaat depan.

Pada 6 April lalu, Hakim Abdul Wahab (sekarang adalah Hakim Mahkamah Rayuan) sudah meneliti dokumen yang difailkan oleh kedua-dua pihak dan dengan persetujuan mereka, beliau memutuskan keputusan kes itu akan berdasarkan penghujahan bertulis mengenai isu yang dibicarakan tanpa memanggil saksi.

Langkawi R&D memfailkan saman tersebut berhubung penamatan kontrak manakala defendan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa syarikat itu gagal untuk memberi perkhidmatan dan kontrak itu diberi kepada pihak lain.

Plaintif menuntut ganti rugi RM48 juta untuk penamatan kontrak tersebut dan menuntut RM432 juta bagi ganti rugi kehilangan kontrak pada masa akan datang, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain. -Bernama

Polis cari 3 saksi kes bunuh

MELAKA: Tiga saksi utama berhubung kes pembunuhan seorang pengusaha kedai permainan snuker di Lot 6508, Jalan Anggerik, Seri Kelemak, Alor Gajah pada 15 November 2008 dikehendaki hadir untuk perbicaraan kes itu pada 19 hingga 21 Julai depan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Siasatan/Perundangan) Superintendan R Gunarajan, berkata pihaknya sehingga kini masih gagal mengesan ketiga-tiga saksi utama itu walaupun mahkamah sudah mengeluarkan sapina terhadap mereka, yang gagal disempurnakan sehingga kini.

Menurutnya, mereka iaitu, R Prakesh, 17, Sijil Lahir: J 411140 dan beralamat terakhir di AG 6456, Jalan Teratai Rumah Awam, Seri Kelemak, Alor Gajah; P Kalidasan,26, No Kad Pengenalan 840426-04-5217 dan beralamat di No 7701 Taman Seri Kelemak, Alor Gajah dan G Ramachandran, 24, No Kad Pengenalan 860820-56-5489 dan alamat terakhir No 18 Rumah Kampung Bunga Raya, Kampung Baru, Subang, Shah Alam, Selangor.

Stor pil seks RM1j diserbu

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis pil perangsang dan gula-gula seks dianggarkan bernilai hampir RM1 juta dirampas dalam satu serbuan di sebuah kilang haram yang menjadi stor menyimpan bahan haram itu di Balakong di sini, pagi semalam.

BAHAYA...Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mazlan Ismail menunjukkan gula-gula seks yang  dirampas.
BAHAYA...Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mazlan Ismail menunjukkan gula-gula seks yang dirampas.
Bahan berkenaan yang dipercayai diseludup dari China dan Thailand dikesan mengandungi pelbagai kimia maut fosfodiesterase (PDE).

Penggunaan bahan berkenaan yang turut dicampur Analog Tadalafil atau Sildenafil boleh menyebabkan penggunanya diserang penyakit jantung.

Serbuan dijalankan Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan disertai Pengarahnya, Mohd Hatta Ahmad itu pada mulanya tidak mendapat kerjasama pemilik kilang yang enggan membuka pintu.

Ini menyebabkan pegawai farmasi KKM terpaksa memotong kunci pintu terbabit sebelum bertindak memasuki premis.

Sumber farmasi berkata, sebaik pintu dibuka, pihaknya menemui ribuan kotak berisi lebih 20 jenis produk perangsang seks sedia dibungkus dan menunggu masa untuk diedarkan kepada syarikat jualan langsung dan kedai ubat tradisional.
“Pemeriksaan kemudian turut menemui pelbagai gula-gula perangsang seks pelbagai warna yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. Berdasarkan rampasan sebelum ini, gula-gula seks berkenaan dijual dengan harga RM5 setiap satu.

“Selain itu, pemeriksaan di sebuah bilik turut menemui beberapa guni plastik yang penuh berisi ratusan ribu biji pil rangsangan seks yang belum dibungkus. Semua kapsul dan pil rangsangan seks berkenaan dianggap sebagai ‘produk terlaris’ pihak sindiket untuk mendapatkan keuntungan besar,” katanya.
Menurutnya, rampasan longgokan guni plastik pil perangsang seks berwarna coklat terbabit disifatkan satu kejayaan membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit, sekali gus melumpuhkan aktiviti syarikat berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai ahli sindiket turut ditahan bersama empat pekerja lain untuk disoal siasat berhubung aktiviti berkenaan yang menyalahi Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas hampir lima lori produk rangsangan seks haram yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Sayang jadi berang

SEGAMAT: Perkataan “Iye ke!!! Awak Sayang Saya” yang tertera pada baju dipakai seorang wanita sepatutnya menjadi ayat romantis bagi mencairkan hati teman lelaki, namun keadaan menjadi sebaliknya apabila dia nyaris terkorban selepas kekasihnya cuba membakar baju dipakainya.


BAHANA CINTA GELAP...Abdul Majid   menunjukkan baju tertera ayat-ayat cinta yang nyaris menyebabkan seorang wanita dibakar hidup-hidup.
BAHANA CINTA GELAP...Abdul Majid menunjukkan baju tertera ayat-ayat cinta yang nyaris menyebabkan seorang wanita dibakar hidup-hidup.
Teman lelaki wanita itu yang sudah berkahwin gagal mengawal perasaan dalam satu pertengkaran selepas makan malam sebelum mencurahkan petrol ke badan mangsa yang berusia 24 tahun. Dia dikatakan hampir menyalakan pemetik api sebelum mangsa melarikan diri.

Dalam kejadian di Bandar Baru Segamat di sini, kira-kira jam 1.20 pagi Rabu lalu, lelaki itu hampir membakar kekasihnya hidup-hidup selepas bertengkar mengenai hubungan gelap yang dikhuatiri diketahui isterinya.

Difahamkan, mangsa, seorang kerani berkenalan dengan lelaki terbabit sejak beberapa bulan lalu, namun memutuskan hubungan kerana mengetahui buah hatinya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Terdahulu, suspek mengatur temu janji makan malam bagi menyelesaikan perkara terbabit.

Pada pertemuan di sebuah kedai di sini, mangsa nekad memutuskan hubungan, tetapi lelaki itu cuba memujuk wanita terbabit. Suspek yang juga berusia 24 tahun dan bekerja sebagai kakitangan kerajaan pada mulanya akur dengan keputusan wanita terbabit selepas mangsa mengugut mahu memberitahu mengenai hubungan mereka berdua kepada isterinya.

Sebaik selesai makan malam, suspek mahu menghantar mangsa pulang ke rumah, namun berlaku perang mulut antara mereka.
Difahamkan, pertengkaran itu antaranya membabitkan baju dipakai mangsa yang tertera perkataan `Iye ke awak sayang saya’.

Suspek memberhentikan kereta Perodua Kancil dinaikinya di satu tempat terpencil dan mengambil sebotol petrol lalu menyimbahnya ke seluruh badan mangsa.

Mangsa melarikan diri dalam keadaan kuyup dibasahi petrol ketika pemetik api dinyalakan suspek terpadam.

Wanita itu ditemui orang awam sebelum dihantar ke balai polis untuk melaporkan kejadian itu seterusnya dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, sepasukan anggota polis dihantar bagi mengesan suspek sebelum menahannya kira-kira lima minit selepas kejadian dilaporkan.

“Polis merampas botol yang dipercayai digunakan suspek untuk mengisi petrol di belakang tempat duduk kenderaan dinaikinya. Pemetik api yang digunakan dalam cubaan membakar mangsa juga ditemui,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sami bunuh paderi, rahib

BEIJING: Polis menangkap seorang sami berusia 43 tahun yang disyaki membunuh seorang paderi Kristian dan seorang rahib wanita di utara China, semalam.
Suspek, Zhang Wenping mengaku membunuh kedua-dua mangsa kerana berdendam dengan mereka.
Dia ditahan reman di Hohhot di wilayah Mongolia sebelum didakwa atas dua tuduhan bunuh, lapor agensi berita Xinhua.
Zhang memberitahu polis dia membunuh kedua-dua mangsa kerana berdendam dengan mereka. Pihak polis mengatakan kejadian itu sebagai kes terpencil.

Paderi yang dikenali sebagai Zhang Shulai dan rahib wanita, Wei Yanhui ditemui mati Selasa lalu di rumah penjagaan tempat mereka bekerja, berdekatan sebuah gereja di wilayah Wuhai.

Mereka dipercayai anggota gereja katolik China. Menurut agensi berita Vatican, AsiaNews, kedua-dua mangsa adalah anggota gereja yang dibiaya secara persendirian.

China mempunyai kira-kira lima juta penganut katolik yang mendapat pembiayaan kerajaan dan 11 juta lagi dilaporkan pengikut gereja katolik secara persendirian. - AFP

Ditangkap bawa 70 mayat bayi

LAGOS: Seorang lelaki yang ditahan bersama 70 mayat bayi, semalam memberitahu dia ditugaskan untuk mengebumikan semua mayat bayi terbabit tetapi tidak mempunyai cukup wang untuk melakukannya.
“Kami sedang melakukan siasatan ke atas lelaki terbabit bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab,” lapor jurucakap Polis Lagos, Frank Mba.
Lelaki itu ditahan ketika membawa bungkusan mengandungi mayat bayi berkenaan.

Suspek memberitahu dia ditugaskan Pusat Perubatan Universiti Lagos supaya membawa semua mayat bayi berkenaan untuk dikebumikan di kawasan perkuburan.

Katanya, berikutan tidak mampu membuat bayaran untuk pengebumian di kawasan perkuburan, dia bercadang mengebumikan semua mayat bayi itu di hutan.

“Saya bercadang mengebumikan semua mayat bayi ke hutan tetapi tidak bernasib baik apabila bertembung dengan polis,” katanya. Menurut Mba, beberapa kakitangan hospital berkenaan sudah disiasat. Seorang kakitangan kanan hospital memberitahu kejadian itu sudah mencemar nama baik hospital terbabit dan akan membuat siasatan lanjut mengenainya. - AFP

Kereta Menteri Dalam Negeri Jerman dilarikan pencuri

BERLIN: Sebuah kereta milik Menteri Dalam Negeri jerman, Thomas de Maiziere, dilarikan pencuri, kata polis semalam.
Kereta Audi itu digunakan anak perempuan de Maiziere ketika kejadian berlaku pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, pencuri berusia 33 tahun itu ditahan polis sehari kemudian.

Jurucakap polis, Thomas Geithner, berkata kemungkinan besar pencuri terbabit tidak tahu siapa pemilik sebenar kereta berkenaan.

“Polis agak bernasib baik kerana berjaya menahannya,” katanya. Mei lalu, de Maiziere - bertanggungjawab terhadap jabatan polis Jerman - mengadu mengenai kadar kecurian kereta di negara itu semakin meningkat.

Dia juga menggesa pengeluar kereta meningkatkan ciri keselamatan produk masing-masing. - Reuters

Wanita Vietnam penyeluk saku

KUALA LUMPUR: Berbekalkan pisau cukur tajam, seorang wanita dikesan aktif melakukan jenayah seluk saku dengan berkebolehan menoreh beg tangan mangsa sebelum melarikan barang berharga dalam sekelip mata.
Difahamkan, wanita warga Vietnam terbabit amat dikehendaki polis selepas bergerak aktif melakukan jenayah seluk saku terutama ketika orang ramai berpusu-pusu di kawasan pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini. Dalam kes terbaru, seorang pelajar berusia 22 tahun menjadi mangsa ketika bersiar bersama rakannya berhampiran jalan berkenaan, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berasal dari Rawang, Selangor, berasa pelik apabila beg sandangnya seolah-olah sengaja ditarik dari belakang.

Sumber polis berkata, mangsa yang beberapa kali menoleh ke belakang menyedari diekori seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa dan rakannya memeriksa beg sandang itu sebelum menyedari bahagian bawah beg itu berlubang.

“Pada masa sama, mangsa sempat melihat wanita mengekorinya tergesa-gesa melarikan diri. Mangsa memeriksa kandungan beg itu sebelum mendapati dompetnya berisi wang RM290 dan pelbagai dokumen penting hilang,” katanya.

Menurutnya, mangsa wanita terbabit sambil menjerit meminta bantuan orang ramai.

“Tindakan mangsa menarik perhatian orang awam yang membantu mengejar suspek hampir 100 meter sebelum memberkasnya.

“Hasil pemeriksaan, mangsa menemui semula dompetnya daripada wanita terbabit. Orang ramai menyerahkan wanita itu ke balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek seorang daripada anggota sindiket yang kerap melakukan jenayah seluk saku di kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

“Kebiasaannya suspek yang menoreh dan melarikan dompet mangsa akan segera menyerahkan barang berharga diperoleh kepada rakan jenayahnya bagi menghilangkan bukti sekiranya diberkas,” katanya.

Serbu pusat urut guna wanita Siam

KUALA LUMPUR: Dua premis yang asyik menjalankan kegiatan urut tradisional menggunakan warga Thailand terkejut apabila diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

BERHIBUR...dua pekerja wanita dan pelanggan di pusat hiburan yang diserbu, semalam.


BERHIBUR...dua pekerja wanita dan pelanggan di pusat hiburan yang diserbu, semalam.
SITA...minuman keras yang disita, semalam.
SITA...minuman keras yang disita, semalam.
Pemilik premis terbabit yang dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen tergamam apabila premis mereka diserbu sebelum penguat kuasa menyita peralatan mengurut termasuk tilam dan bantal.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata dua premis terbabit beroperasi di Jalan Pandan Indah dan Pandan Perdana diambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPAJ 2007.

Katanya, pemilik boleh dikompaun RM1,000 kerana tidak mempunyai lesen dan menyalahguna premis mereka dengan melakukan kegiatan urut.

“Kami mengambil tindakan tegas kepada premis yang menjalankan operasi tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, MPAJ mengadakan operasi pusat hiburan yang berselindung di sebalik pusat latihan nyanyian di Taman Pandan Indah yang tidak mempunyai lesen.

Norhayati berkata, pusat hiburan itu diserbu kerana pemilik hanya membuat permohonan bagi mendapatkan lesen pusat nyanyian, tetapi belum diluluskan MPAJ.

“Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan berhibur yang dilayan dua pekerja wanita.

“Kami mengambil tindakan mengikut Seksyen 6, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995 Pindaan 2001 dengan menyita peralatan hiburan dan minuman keras di premis terbabit,” katanya.

Menurutnya, pemilik boleh dikompaun RM25,000 kerana menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu Norhayati meminta orang ramai yang mempunyai maklumat premis beroperasi tanpa lesen supaya bekerjasama dengan menghubungi talian 03-42968100 yang beroperasi 24 jam.

Enam pelajar dicekup polis




DUNGUN – Kunjungan sekumpulan remaja sekolah ke sebuah rumah yang dijadikan transit pengedaran dadah untuk melepak bersama rakan sebaya, membawa padah apabila mereka turut dicekup pihak berkuasa yang melakukan serbuan ke rumah terbabit petang semalam. 

Kumpulan remaja itu yang didapati masih lengkap berpakaian sekolah dikatakan datang ke rumah itu untuk melepak bersama rakannya, tanpa menyedari lokasi berkenaan adalah ‘port panas’ yang sering dikunjungi kumpulan penagih untuk mendapat bekalan. 

Bagaimanapun, kedatangan remaja tersebut ke rumah itu menimbulkan keraguan apabila seorang daripadanya yang merupakan pelajar perempuan di salah sebuah sekolah berdekatan bandar ini, dipercayai mempunyai pertalian darah dengan suspek yang dikehendaki polis kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah.

Bagi mengesahkan kesangsian itu, enam remaja termasuk pelajar perempuan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan pengambilan dadah. 

Serbuan di rumah yang terletak di Jalan Nibong Stesen oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu akhirnya membawa kepada penemuan sejumlah pil kemerahan disyaki dadah jenis Meth. 

Mengulas tangkapan terbabit, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, selain sekumpulan remaja sekolah, turut ditahan dalam operasi itu adalah dua lelaki Melayu dan seorang gadis berusia 16 tahun yang masih menuntut dalam Tingkatan Empat di sekolah menengah berdekatan. 

“Ketiga-tiga suspek mempunyai pertalian darah sebagai adik beradik. Bagaimanapun hasil soal siasat mendapati hanya seorang daripada mereka terlibat dan dia dipercayai mengaku memiliki dadah berkenaan. 

“Suspek yang baru menimang cahaya mata itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) dan 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 

Sementara itu, remaja perempuan bersama lima pelajar lelaki itu kemudiannya dibebaskan setelah polis berpuas hati dengan keterangan diberikan, manakala ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. 

“Kita harap remaja lebih berhati-hati memilih rakan kerana kajian menunjukkan, kebanyakan kes penyalahgunaan dadah adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya. 

“Selain itu, elakkan berada atau mengunjungi lokasi yang tidak mempunyai kaitan dengan kita, apatah lagi kita masih menuntut di bangku sekolah kerana ia boleh menyebabkan kita dipengaruhi perkara tidak baik,” katanya.

Operasi cekup kutu rayau



KOTA BHARU – Kewujudan kutu rayau di bandar ini adalah bukan sesuatu yang baru namun ia tetap berada dalam kawalan jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Pengarah JKM Negeri, Mohd Noor Chik menjelaskan walaupun terdapat operasi rutin dan berkala yang dilakukan oleh PBT tetapi senario berkenaan masih berterusan. 

Beliau juga mengakui terdapatnya kes berulang iaitu individu yang pernah ditahan dan mendapatkan rawatan psikiatri diselamatkan semula dalam beberapa operasi. 

“Masalah berulang ini dikenal pasti berkemungkinan berlaku kerana selepas mereka menerima rawatan dan diambil semula oleh ahli keluarga tetapi tidak dijaga dengan baik. 

“Ahli keluarga tidak dapat memberikan ubat mengikut jadual yang sepatutnya dan ini akan menyebabkan mereka akan mengulangi keadaan sama dengan merayau di kawasan tertentu,” katanya semalam. 

Semalam juga JKM bersama polis dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI) mengadakan operasi bulanan di beberapa lokasi di bandar ini untuk mengesan kutu rayau. 

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam itu, ia melibatkan lapan penguat kuasa MPKB-BRI, empat polis dan lapan pegawai dari JKM di lima lokasi terbabit. 

Mohd Noor berkata, operasi melibatkan kerjasama daripada anggota polis untuk keselamatan pegawai kerana kutu rayau terbabit cenderung bertindak di luar jangkaan jika mereka terancam. 

Mohd Noor juga memberitahu, kutu raya ini boleh ditahan berdasarkan Akta Orang Papa 1977 dan pihaknya akan memohon perintah mahkamah untuk penahanan selama sebulan bagi mengesan ahli keluarga masing-masing ketika mereka ditempatkan di rumah penjagaan. 

“Selain rawatan, mereka yang ditahan berusia 60 tahun ke atas diberi peluang untuk menetap di pusat penjagaan dan bagi golongan muda serta berpotensi dipulihkan kumpulan berkenaan akan dihantar ke Desa Bina Diri, Mersing,” katanya. 

Mohd Noor juga menegaskan pihak akan sentiasa menjalankan operasi dari masa ke semasa dan serius dalam membanterasnya agar gejala sosial ini dapat dikurangkan ke tahap minimum. 

“Situasi ini berlaku mengikut musim dan lebih serius ketika Ramadan. Jadi kami sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Samun bank guna pistol mainan


15/7

KOK CHIN berdiri di dalam longkang yang terdapat pistol mainan (dalam bulatan) yang digunakan seorang lelaki untuk menyamun sebuah bank di Puchong semalam.

PUCHONG – Seorang penyamun yang hanya bersenjatakan sepucuk pistol mainan melarikan wang tunai RM36,000 dalam satu kejadian samun di EON Bank, Jalan Kenari dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.49 petang itu, suspek yang datang seorang diri telah melompat masuk ke dalam kaunter bank berkenaan lalu mengacukan sepucuk pistol sebelum merampas senapang yang dipegang pengawal berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Khaw Kok Chin ketika ditemui berkata, suspek bertindak melakukan samun itu dengan begitu pantas sebelum melarikan diri.
“Suspek yang memakai penutup mulut, bersarung tangan dan bertopi telah lompat ke dalam kaunter dan mengacukan sepucuk pistol ke arah seorang pengawal keselamatan.
“Dia kemudian merampas senapang pengawal tersebut dan mengarahkan seorang pekerja bank itu memasukkan duit dalam beg yang dibawa,” katanya.
Selepas mengambil wang itu, suspek terus melarikan diri dan meninggalkan senapang milik pengawal di hadapan pintu bank.
Ketika melarikan diri, pengawal keselamatan bank segera mengambil senapang yang ditinggalkan itu dan melepaskan satu das tembakan ke arah suspek tetapi tidak mengena.
“Dalam masa satu minit dia dapat duit itu dan melarikan diri,” katanya.
Kira-kira 20 meter dari tempat kejadian, suspek telah membuang sepucuk pistol mainan yang digunakan dalam kejadian tersebut ke dalam longkang dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan warna putih yang sedang menunggunya.
kredit : kosmo.com.my

Masjid medan promosi ah long


15/7

RISALAH pinjaman wang ah long yang diedarkan
di masjid-masjid untuk mencari pelanggan di kalangan orang Melayu.

KUALA LUMPUR – Sebelum ini, ‘profesion’ ah long selalunya dikaitkan dengan kaum Cina yang memonopoli kerjaya itu.
Modus operandi mereka biasanya mengenakan bunga yang mencekik darah dan sinonim dengan taktik ganas bagi mendapatkan bayaran balik daripada peminjam.
Terbaru, sindiket berkenaan dikesan bersekongkol dengan ah long-ah long Melayu dengan mengedarkan risalah-risalah promosi pinjaman di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.
Malah ketika orang Islam menunaikan solat Jumaat di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang semalam, risalah-risalah dikepil pada kereta ketika mereka bersolat.
Selain di masjid-masjid, mereka juga dikesan memilih kedai-kedai makan atau restoran Melayu untuk mereka supaya meminjam wang melalui ceti haram yang dikendalikan.
Bagi pengasas dan penasihat Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, taktik itu dibuat semata-mata bagi mengelabui mata orang ramai kerana berbanding sebelum ini, nama-nama ah long adalah terdiri daripada orang-orang Cina sudah tidak mendapat respon baik di kalangan pemiutang berketurunan Melayu.
“Mereka ini sebenarnya bertindak seperti ejen bagi tauke-tauke Cina sebab Melayu senang cakap dengan Melayu,” ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Pelindung Pengguna Islam Selangor ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, kajian YBKMM di sekitar Lembah Klang, terdapat lebih 100 ah long Melayu dan mereka kebanyakan bekerja atau bersekongkol dengan tauke-tauke Cina yang masih ligat mencari pelanggan.
Selain taktik ah long Melayu, Shaharuddin berkata, sindiket itu juga semakin tertekan untuk mendapatkan pelanggan sehingga terpaksa mencari pelanggan dengan cara menelefon secara rambang orang ramai.
“Sesiapa yang angkat telefon mereka ditanya sama ada mereka mempunyai masalah kewangan atau tidak. Dalam ramai-ramai itu biasanya ada yang terkena,” jelas beliau.
“Untuk memudahkan urusan, ah long Melayu akan pasang kaki di kawasan-kawasan tertentu. Sasaran mereka lebih menjurus kepada peniaga-peniaga kecil yang punyai niat untuk besarkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, jumlah pinjaman yang diberikan tidak besar dengan nilai maksimum sebanyak RM2,000.
Bagaimanapun katanya, belum ada kes ah long-ah long Melayu ini melakukan kekerasan seperti kes melibatkan ah long berbangsa Cina.
kredit : kosmo.com.my

Joli wang haram sampai Turki


15/7

mun phing (tengah) menunjukkan pelbagai barangan dirampas
daripada anggota sindiket kad kredit palsu di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Kegembiraan tiga lelaki dan sepasang suami isteri yang melancong hingga ke Istanbul, Turki sambil berbelanja sehingga mencecah RM100,000 berakhir dengan mereka ‘disambut’ pasukan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang kelmarin.
Kelima-lima suspek itu ditahan pada pukul 5.50 petang sebaik mereka baru menjejak kaki ke balai ketibaan di lapangan terbang itu.
Bersama kelima-lima suspek itu, polis merampas pelbagai barangan berjenama seperti beg tangan, dompet, pakaian dan kasut yang dianggarkan bernilai RM100,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, siasatan mendapati mereka yang tiada pekerjaan itu menggunakan kad kredit palsu untuk berbelanja di Istanbul.
Menurut beliau, daripada rekod perjalanan pada pasport kelima-lima suspek itu, mereka hanya menginap sehari di Istanbul dan dalam tempoh itu mereka hanya melakukan kerja-kerja membeli-belah menggunakan kad kredit palsu.
“Bersama suspek-suspek itu kita merampas 66 kad kredit palsu pelbagai buah institusi kewangan yang dipercayai digunakan untuk membeli semua barangan di Istanbul untuk dijual di negara ini,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Mun Phing memberitahu, polis percaya kelima-lima suspek itu merupakan anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang aktif melakukan jenayah itu sejak Mac lalu.
“Selain lima suspek itu, polis sebelum ini turut menahan enam lagi anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa daripada kumpulan sama,” kata beliau.
Menurut beliau, seorang ahli sindiket tersebut ditahan pada 19 Jun lalu di KLIA ketika suspek menunggu penerbangan ke Istanbul, Turki.
“Suspek dipercayai mahu ke Istanbul untuk menggunakan 13 kad kredit palsu untuk membeli-belah pelbagai barangan bagi dijual di sini,” kata beliau.
Ekoran tangkapan itu, polis kemudian menyerbu sebuah apartmen di Seksyen 31 di sini pada 23 Jun dan menahan lima lelaki termasuk perancang utama sindiket tersebut yang berusia 35 tahun.
Bersama-sama lima suspek yang ditahan di Seksyen 31 itu polis merampas lima kad kredit palsu.
Mun Phing memberitahu, pihaknya percaya modus operandi sindiket itu ialah melancong sambil membeli-belah pelbagai barangan di luar negara menggunakan kad kredit palsu.
Anggota sindiket itu dipercayai mempunyai pembeli tetap barangan yang dibawa dari Turki.
“Polis sedang menyiasat kenapa ahli sindiket itu memilih Turki untuk membeli-belah dan kemungkinan masih ada saki-baki sindiket itu,” kata beliau.
Enam suspek yang ditahan pada 19 dan 23 Jun lalu telah didakwa manakala lima suspek yang ditahan kelmarin direman empat hari bermula semalam.
kredit : kosmo.com.my