Search This Blog

Friday, July 9, 2010

Editor kanan CNN dipecat



WASHINGTON 8 Julai - CNN telah memecat editor kanan bagi hal ehwal Asia Barat, Octavia Nasr (gambar), selepas dia menghantar mesej Twitter memuji ulama Syiah yang baru-baru ini meninggal dunia, Ayatollah Sayyed Mohammed Hussein Fadlallah.
Dia yang menyertai CNN pada 1990, meletakkan ulasan di laman Twitternya yang berbunyi, "Sedih apabila mendegar pemergian Sayyed Mohammed Hussein Fadlallah... seorang tokoh Hizbullah yang saya sangat hormati."
Ia kemudian diikuti dengan ulasan blog dalam CNN.com yang mana dia menyatakan 'kekesalan' atas ulasan Twitter mengenai lelaki yang dianggap sebagai pemimpin kerohanian Hizbullah dan dimasukkan dalam senarai 'pengganas' AS.
"Ia merupakan satu kesilapan penilaian apabila saya menulis ulasan ringkas seperti itu dan saya menyesal kerana ia disampaikan seolah-olah saya menyokong Fadlallah.
'Itu bukan halnya. Saya merujuk kepada pendirian berbeza beliau terhadap hak asasi wanita. Ini tidak bermakna saya menyokong perkara lain yang dibuat atau dikatakannya. Jauh sekali," tegas Nasr.
Naib Presiden Kanan CNN International Newsgathering, Parisa Khosravi dalam memo dalaman yang dimajukan kepada AFP menyatakan telah bertemu dengan Nasr dan 'memutuskan yang dia perlu meninggalkan syarikat'.
"Seperti yang kamu tahu, ulasan Twitter hujung minggu lalu itu mencetuskan reaksi meluas. Sebagaimana yang dinyatakan dalam blognya dalam CNN.com, dia mengakui yang dia tidak patut melakukannya dalam sebarang sebab.
"Bagaimanapun ketika ini kami percaya kredibilitinya sebagai editor kanan hal ehwal Asia Barat telah terjejas. Kami berterima kasih kepada Nasr atas semua kerja kerasnya dan mengharapkan yang terbaik untuknya selepas ini," kata Khosravi.
Nasr membuat liputan hampir semua berita Asia Barat untuk CNN sejak 20 tahun lalu dan menjadi pembaca berita CNN World Report dan CNN International's World News dari 1993 hingga 2003.
Sebelum menyertai CNN, dia bekerja untuk Badan Penyiaran Lebanon.
Pemecatan Nasr berlaku genap sebulan selepas koresponden veteran White House, Helen Thomas bersara selepas dikritik kerana ulasannya mengenai Israel. - AFP

Palsu kematian: 3 dipenjara 4 tahun, denda



KUALA LUMPUR 8 Julai - Akibat bersekongkol dengan penjenayah Micheal Soosai, tiga lelaki termasuk seorang bekas atendan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima padah apabila masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas mendapati keterangan ketiga-tiga tertuduh iaitu K. Subramaniam, V. Sanjeev Kumar dan J. Kumaresan, hanyalah penafian dan rekaan semata-mata.
Mereka bagaimanapun berjaya mendapatkan penangguhan perlaksanaan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuan selesai.
Subramaniam didapati bersalah atas empat pertuduhan iaitu memalsukan daftar, sijil kematian dan permit untuk menguburkan Soosai serta menipu Dr. Wan Mohamad Zamri Wan Nawawi untuk mengeluarkan sijil kematian penjenayah itu.
Sanjeev Kumar dan Kumaresan juga didapati bersalah, masing-masing atas empat tuduhan bersubahat dengan Subramaniam untuk melakukan pemalsuan tersebut.

Cut Tari menangis minta maaf






JAKARTA - Pengacara televisyen terkenal, Cut Tari menangis teresak-esak semasa membuat permohonan maaf kepada penduduk negaranya termasuk Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berhubung skandal klip video lucah yang menyiarkan pelakon miripnya dengan penyanyi Ariel Peterpan, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Cut Tari membuat pengakuan itu pada satu sidang akhbar yang dihadiri oleh suaminya, Johannes Joesoef Subrata dan peguam belanya, Hotman Paris Hutapea.
Sebelum membuat permohonan maaf itu, Cut Tari menarik nafas kemudian berkata: "Kepada Bapak Presiden RI (Republik Indonesia) berserta ibu, Bapak Kapolri (Ketua Polis Indonesia) berserta ibu, Bapak Kabareskrim (Badan Siasatan Jenayah) berserta ibu, bapak ibu dan penyelidik Mabes Polri (penyiasat polis), tokoh agama dan tokoh masyarakat yang saya hormati, para orang tua dan masyarakat Indonesia.
"Atas nama peribadi dan atas nama keluarga saya memohon maaf yang sebesar-besarnya. Mohon maaf atas pemberitaan baru-baru ini yang menyangkut diri saya yang telah menimbulkan keresahan di masyarakat. Sekali lagi saya mohon maaf."
Selepas dia membuat permohonan maaf tersebut, Cut Tari menangis.
"Saya hanya mahu minta maaf. Saya cuma minta dimaafkan," katanya.
Dia turut meminta maaf kepada suaminya dan berterima kasih kepadanya kerana masih setia sejak skandal klip video tersebut tersebar.
Suaminya turut memegang tangan Cut Tari untuk menenangkan isterinya yang sedang menangis.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita sama ada wanita dalam klip video tersebut adalah dirinya, peguam Cut Tari berkata: "Jangan tanya lagi tentang benar tidaknya (video berkenaan).
"Bagi masalah undang-undang, saya serahkan kepada penegak hukum."
Menurutnya, semasa skandal itu terbongkar, Cut Tari tidak berani keluar rumah untuk membeli air mineral.
Sebelum mengakhiri sidang itu, Cut Tari turut berkata: "Demikian permohonan maaf saya sampaikan dan Insya-Allah pintu maaf terbuka untuk saya. Sudah ya." - Agensi

Israel dedah lokasi senjata disembunyi Hezbollah




GAMBAR yang disiarkan tentera Israel kelmarin menunjukkan lokasi simpanan senjata pergerakan Hezbollah di kampung al-Khiam, Lebanon dekat sempadan Israel.


BAITULMUQADDIS – Tentera Israel kelmarin menyiarkan gambar-gambar dari udara di selatan Lebanon yang menunjukkan bukti kumpulan pejuang Hezbollah menyimpan sejumlah senjata di beberapa bandar dan desa berdekatan sempadan.
Rejim Yahudi itu membatalkan status rahsia gambar-gambar pengintipan tersebut beberapa hari menjelang ulang tahun keempat Perang Lebanon bagi menunjukkan kumpulan itu pernah menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
Gambar itu memaparkan kubu bawah tanah dan lokasi persembunyian di pertengahan kampung Al-Khiam, empat kilometer dari sempadan Israel, yang disyaki rejim itu sebagai markas operasi dan gudang senjata kumpulan militan Syiah tersebut.
Menurut seorang pegawai tentera Israel, Leftenan Kolonel Avital Leibovitz, terdapat 15 buah bangunan digunakan Hezbollah sebagai tempat simpanan senjata yang terletak berdekatan dengan beberapa masjid, sekolah dan pusat kesihatan di kampung itu.
– AFP

Luna Maya juga minta maaf



Luna Maya


JAKARTA - Selepas pengacara Cut Tari meminta maaf, aktres Luna Maya turut melakukan perbuatan sama atas alasan telah menggemparkan Indonesia ekoran satu skandal video seks, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, dia masih tidak mengaku berlakon dalam video tersebut bersama lelaki mirip penyanyi Ariel Peterpan.
"Saya juga ingin minta maaf pada keluarga saya yang mungkin ...emh...ya intinya saya benar-benar minta maaf pada semua... Jadi... emmm mudah-mudahan...," kata Luna Maya yang permintaan maafnya disiarkan di stesen televisyen Metro TV.
Menurutnya, sebagai warga Indonesia, dia berharap kes klip video seks itu akan dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berkuasa.
Setakat ini, Ariel masih ditahan di sebuah pejabat polis di sini kerana disyaki sebagai suspek mengedarkan klip video berkenaan. - Agensi

Polis banteras judi bola AS$1 bilion



HONG KONG – Polis Hong Kong dan China berjaya membanteras satu sindiket besar perjudian haram bola sepak yang beroperasi melintasi sempadan sekali gus merampas kertas pertaruhan yang mencecah sehingga lebih AS$1 bilion (RM3.2 bilion), menurut beberapa laporan semalam.
Media tempatan melaporkan, polis menangkap 93 orang dari Hong Kong dan tanah besar China dalam satu operasi bersama lewat kelmarin.
Polis memberitahu, sindiket itu menerima pertaruhan secara dalam talian dan telefon menerusi lebih 400 akaun bank, jumlah terbesar dalam kes pertaruhan haram bola sepak di China. – AFP

Polis Rusia tumpaskan kumpulan seks bebas



MOSCOW – Pihak berkuasa Rusia telah menangkap seorang bekas pakar psikiatri yang mengetuai sekumpulan lebih 100 individu kerana mengadakan kegiatan seks beramai-ramai di selatan Rusia, lapor media tempatan semalam.
Beberapa penyiasat polis berkata, anggota-anggota kumpulan ajaran sesat yang dinamakan sebagai Yayasan Kemajuan Diri itu digalakkan melalui tekanan psikologi supaya mereka mengadakan hubungan seks bebas termasuk di hadapan kanak-kanak.
Agensi berita RIA Novosti melaporkan, ketua kumpulan tersebut pernah menjadi pakar psikiatri di sebuah hospital di bandar Orenburg, selatan Rusia.
Akhbar-akhbar Rusia menyiarkan gambar lelaki berkenaan yang berjanggut dan bernama Vyacheslav Vesnin.
Sebuah laman web berita, Lifenews.ru menyiarkan satu klip video yang dirampas pihak polis menunjukkan seorang budak perempuan menari tarian bogel di atas pentas di hadapan seorang pemuda.
Satu lagi klip video memaparkan sekumpulan kanak-kanak mengucapkan kata-kata lucah dengan sekumpulan orang dewasa yang berada disekelilingnya bertepuk tangan dan ketawa.
Sebuah akhbar tempatan memetik beberapa anggota penyiasat menyatakan, anggota-anggota kumpulan itu tidak makan daging atau minum arak dan sebahagiannya tinggal lama di rumah pemimpin mereka.
Ketua Skuad Polis Antiekstremis, Bazargalei Yermekov berkata, sejumlah 108 orang ditahan semasa sesi seks rambang di sebuah kawasan perkemahan.
Polis turut menggeledah sebuah banglo tiga tingkat milik ketua kumpulan itu dan merampas lebih 500 keping gambar.
Rekod kumpulan tersebut menyenaraikan sejumlah 150 anggota termasuk 12 kanak-kanak bawah umur.
Susulan penangkapan mereka, pihak berkuasa memfailkan beberapa dakwaan jenayah melibatkan perlakuan tidak bermoral dan mewujudkankan sebuah kumpulan yang bertentangan dengan hak awam dan kesihatan mental.
Sejak beberapa tahun, lalu beberapa kumpulan ajaran sesat berjaya mempengaruhi ramai pengikut di Rusia.
Pada tahun 2007 hingga 2008 sebuah kumpulan Kristian Ortodoks tinggal selama lapan bulan di sebuah kubu bawah tanah di wilayah Penza, tengah Rusia. Mereka berbuat demikian kerana percaya ketika itu, dunia hampir kiamat. – AFP

NGO 'musuh dalam selimut': Israel




TEL AVIV - Kerajaan Israel dan sekumpulan pertubuhan melancarkan kempen 'menangkis usaha mengharamkan' rejim itu yang ditujukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan hak asasi manusia, kelmarin.

Serangan tentera rejim ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan kerajaan Israel berasa semakin terancam dengan pertubuhan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Kempen berterusan itu pertama kali dilancarkan selepas sekumpulan NGO di Gaza mengeluarkan laporan mengutuk kekejaman tentera rejim Zionis semasa serangan tentera Israel yang memusnahkan Gaza, pada Disember 2008.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membidas laporan itu dan menegaskan akan 'menyumbang masa dan tenaga untuk membanteras kumpulan NGO seperti ini.'

"Kita tidak akan hanya berdiam diri dan menunggu NGO hak asasi manusia menyerang kita kerana mereka merasakan mereka dikecualikan daripada menerima hukuman," katanya.

Pengarah Perancangan Dasar di Pejabat Perdana Menteri Israel, Ron Dermer pula menuduh setiap NGO yang mengutuk Israel hanya 'menumpahkan minyak ke api dan memperjuangkan kemahuan Hamas.’

50 maut serangan di Iraq



BAGHDAD - Lebih 50 maut dalam beberapa siri serangan militan termasuk serangan pengebom berani mati semasa upacara mengingati pemimpin fahaman Syiah di beberapa kawasan di sekitar Baghdad, kelmarin. 

Serangan paling berdarah yang berlaku di kawasan dengan majoriti penduduk berfahaman Sunni itu mensasarkan penganut Syiah yang sedang menyambut ulang tahun kematian pemimpin mereka. 

Menurut polis, 32 jemaah Syiah terbunuh dan lebih 90 yang lain cedera dalam serangan pengebom berani mati yang dilancarkan semasa penganut fahaman itu sedang menuju ke kubur pemimpin Syiah, di kejiranan Kazimiyah. 

Sementara itu, sekurang-kurangnya tujuh penganut Syiah terbunuh dalam dua serangan berasingan di kawasan Harthiya di barat Baghdad. 

Dua orang awam dan dua pegawai polis terbunuh dalam satu serangan lain apabila bom yang diletakkan di tepi jalan meletup. 

Pegawai polis dan hospital mengesahkan dua penganut Syiah meninggal dunia dan tujuh lagi cedera dalam satu lagi serangan berasingan di timur Baghdad, awal pagi kelmarin. 

Siri serangan itu dilancarkan semasa pasukan keselamatan meningkatkan kawalan di Baghdad, di mana penganut Syiah dari seluruh Iraq berkumpul di sebuah masjid bagi memperingati ulang tahun kematian pemimpin mereka, Moussa al-Kadhim.

Kecewa tabika dirobohkan



JOHOR BAHRU – Tindakan pemaju yang merobohkan tabika di Jalan Dana, Kampung Aman, Larkin, di sini, kelmarin, mengecewakan penduduk dan pemimpin di kawasan terbabit. 

Ketua UMNO Cawangan Kampung Aman, Baharudin Ismail berkata, tabika yang dibina sekitar 1988 dirobohkan tanpa memaklumkan kepadanya atau penduduk setempat sekitar jam 12.30 tengah hari, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. 

Menurutnya, penduduk dan pihaknya juga mempunyai hak ke atas tabika berkenaan yang dibina menerusi hasil gotong royong secara bersama. 

“Saya berasa amat kecewa dengan tindakan itu walaupun ia sudah kosong tanpa penghuni sejak dua tahun lalu. 

“Kami bukan menolak projek pembangunan, tetapi tindakan yang membelakangi pemimpin peringkat kampung, wakil rakyat kawasan, Ahli Parlimen dan penduduk melampaui batas,” katanya.

Hasrat tak kesampaian




LEKIR - Persiapan anak sulung untuk melanjutkan pelajaran Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) tidak kesampaian apabila semua barangan hangus dalam satu kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah teres satu tingkat di Taman Keris, Batu 6, di sini, semalam. 

Bapanya, Mohd Razi Abdullah berkata, semua barangan anaknya itu habis terbakar termasuk, komputer riba dan pakaian di dalam biliknya. 

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang bekerja di Majlis Perbandaran Manjung (MPM) cawangan Ayer Tawar. 

“Saya menerima panggilan daripada jiran tetangga kira-kira jam 8.05 pagi semalam. 

“Kemudian saya segera menelefon isteri yang bekerja di Sekolah Convent, Sitiawan untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam. 

Mohd Razi berkata, rumah itu didiami semenjak tahun 1988. 

“Ketika kebakaran, kediaman ini kosong kerana kami semua keluar bekerja dan bersekolah. 

“Walaupun tidak dapat menyelamatkan barangan milik kami, saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya. 

Sementara itu, menurut Pegawai Bomba Kanan II, Arbaan Mukti, pihaknya menerima panggilan pada 7.50 pagi dan tiba di tempat kejadian 7.57 pagi. 

“Tiga jentera dari Balai Bomba Sitiawan dan Seri Manjung dengan kekuatan 26 anggota berjaya mengawal api 13 minit kemudian daripada terus merebak ke rumah sebelah. 

“Ketika kami sampai, rumah mangsa hampir 95 peratus terbakar sebelum berjaya memadamkan api sepenuhnya pada 9 pagi,” katanya. 

Katanya, kebakaran bermula dari bilik anak sulungn mangsa sebelum merebak ke tempat lain. 

Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga rumah itu kosong kerana semua keluar bekerja dan bersekolah. 

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. 

Sementara itu, bantuan segera turut diberikan oleh wakil Menteri Besar kepada mangsa kebakaran sebanyak RM500 seorang.

Budak 9 tahun mati tertimbus



GUAR CHEMPEDAK - Hasrat seorang abang hendak membawa adiknya melihat orang memancing di Sungai Gurun, di sini berakhir dengan tragedi apabila adiknya itu ditemui mati dalam keadaan badan tertimbus pasir di dasar sungai itu, kira-kira jam 9.25 pagi semalam. 

Mangsa, Mohd Hafiz Zamzuri, 9, berasal dari Kampung Kepala Bukit, ditemui mati setelah dilaporkan tergelincir dari jambatan yang tidak berpengadang dan hanyut dibawa arus deras kelmarin. 

Murid Tahun Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan Agama Integrasi Faizzin, ditemui kira-kira 150 meter dari tempat dia terjatuh dalam keadaan badannya tertimbus oleh sekumpulan penduduk kampung yang turut membantu operasi menyelamat yang bermula sejak jam 7 petang kelmarin. 

Abang mangsa, Mohd Fitri Zamzuri,10, ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, selepas pulang dari sekolah, dia mengajak adiknya keluar bersiar-siar dengan basikal di sekitar kampung kira-kira jam 6 petang.

Adik beradik itu kemudian berhenti di atas titi berhampiran rumah mereka pada jam 6.30 petang sebelum mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai. 

“Sewaktu saya sedang asyik melihat orang memancing di tebing sungai, saya terdengar bunyi kocakan air. Apabila saya menoleh ke belakang, saya hanya melihat basikal saja yang tinggal manakala adik (Mohd Hafiz) sudah tiada.

“Apabila saya melihat ke dalam sungai, saya nampak adik sedang tenggelam timbul di permukaan sungai dan terkapai-kapai cuba meminta tolong setelah dibawa arus deras.

“Pada mulanya, saya berniat hendak tolong adik, tetapi melihat arus sungai yang sangat deras, saya tidak sanggup bantu,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Fitri turut menyuarakan rasa sedih atas pemergian Mohd Hafiz kerana adiknya itu merupakan individu paling rapat dengannya dan kini berasa trauma atas kejadian itu.

Bapa mangsa, Zamzuri Abdul Hamid, 37, berkata berkata, Mohd Fitri menghubunginya memberitahu kejadian itu dan dia segera bergegas ke tempat kejadian.

“Saya terkejut dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk mencari Mohd Hafiz yang dipercayai lemas di dalam sungai.

“Mereka berdua memang rapat dan sentiasa bersama-sama ke mana. Namun saya tak sangka dalam sekelip mata saya sudah kehilangan salah seorang daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa ketika dihubungi Sinar Harian berkata, bomba mendapat kerjasama a polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung ketika menjalankan operasi pencarian mangsa sejurus menerima laporan.

Bagaimanapun, katanya, mayat mangsa hanya ditemui semalam dalam keadaan badannya tertimbus pasir.

“Sejurus menerima laporan kehilangan mangsa kira-kira jam 6.45 petang semalam (kelmarin), kami bergegas ke tempat kejadian dan berusaha menjejaki mangsa sehingga jam 12 tengah malam, namun gagal.

“Ketika kejadian, air sungai agak dalam dan deras. Namun hari ini (semalam) air sudah mula surut dan memudahkan usaha mencari,” katanya.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka daripada bermain di tepi sungai atau tali air, lebih-lebih lagi pada musim hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bekas juruanalisis BSN menang saman terhadap Hospital Pusrawi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pagi ini membenarkan permohonan saman bekas juruanalisis Bank Simpanan Nasional (BSN), Roslan Mohd. Ali, 47, yang mendakwa mengalami kecederaan otak ketika menjalani pembedahan terhadap Hospital Pusrawi Sdn Bhd.
Hakim Datuk Abdul Wahab Patail Roslan membenarkan permohonan itu dengan kos RM20,000 setiap defendan. Bagaimanapun ganti rugi akan ditaksir oleh Timbalan Pendaftar. Plaintif menamakan hospital itu, pakar bius, Dr Ainy Md Aris dan dua pakar ortopedik iaitu Dr Nohd Ismail Maulud dan Dr Didi Indra Tjahya sebagai defendan pertama hingga ke empat.

Pengetua sekolah terbunuh dalam kemalangan di Taiping

IPOH: Seorang pengetua sekolah dan seorang pemandu lori terbunuh dalam kemalangan berasingan di Taiping dan Kampar, semalam.
Ketua Polis Trafik Perak, Superintendan Wan Abdullah Ishak berkata, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bayor, Selama, Latifah Ahmad, 49, terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tempat menunggu bas di Km 21.5 Jalan Taiping-Selama pada jam 4.50 petang.
Ketika kejadian, Latifah sedang dalam perjalanan dari sekolah ke rumahnya di Kamunting.

Dalam kejadian di KM 300.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar, seorang pemandu lori terbunuh selepas merempuh belakang sebuah lori lain pada 10.30 malam tadi.

Wan Abdullah berkata, Hairul Tahir, 26, berasal dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akbiat cedera parah di kepala.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika Hairul, yang membawa lori bermuatan cermin dari arah selatan, dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh belakang lori yang membawa muatan beras.-Bernama

Kes Maria Tunku Sabri ditetapkan 30 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Julai untuk keputusan isu perundangan tanpa perbicaraan berhubung tuntutan saman personaliti TV3 Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin.
Wan Johani, 57, didakwa mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana tidak berkahwin dengan Maria.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam Karpal Singh yang mewakli Maria, 40, dan peguam Jangjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili Wan Johani.

Akhbardin memberitahu pemberita bahawa isu undang-undang yang dibangkitkan oleh pihaknya sebelum ini termasuklah kesahihan perjanjian yang dibuat oleh Maria iaitu seorang perempuan Islam yang telah berkahwin.

"Keputusan itu juga berkaitan dengan dakwaan defendan bahawa perjanjian itu tidak sah dan melanggar undang-undang mengikut Seksyen 14 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud," katanya.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria pengacara program ''Jalan-Jalan Cari Makan'', memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan. Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.-Bernama

Tujuh anggota RAMD dipenjara kerana dera rakan hingga mati

KUALA LUMPUR: Tujuh prebet Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) masing-masing dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan mereka, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata, mahkamah tidapt dapat menerima apa sahaja alasan mereka melakukan perbuataan mendera (ragging) menyebabkan kehilangan nyawa seorang pemuda tidak berdosa serta keluarganya hilang orang yang disayangi.
Beliau memerintahkan kesemua tertuduh itu menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan masing-masing.

Mahazir Hamad, Mohd Azman Jabri, Mazlan Awang Ngah, kesemua berusia 26 tahun, Shahrin Mat Rabu, Mohd Khairi Abdullah, Syabramallisi Shahidan, kesemua beruisa 28 tahun dan Mohd Bukhari Shawal, 25, dan ditahan dalam tempoh seminggu selepas kematian Mohd Shahrizal Mohd Shaffie, 27, pada April 2008.

Pada 22 April 2008, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh tetapi mereka mengaku bersalah setelah pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan di Mahkamah Tinggi semalam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bilik Tahanan Pasukan, Unit 1 RAMD, Kem Tentera Sungai Besi, antara jam 11 malam pada 5 April 2008 hingga jam 1 petang 6 April 2008.

Mengikut fakta kes, mangsa dipukul, tumbuk dan diterajang pada 5 April 2008 kerana didakwa tidak pandai melipat pakaian dan perbuatan sama telah berulang pada keesokan harinya.

Mangsa juga dikatakan dilastik dengan getah pada kemaluannya serta salah seorang daripada tertuduh telah memijak bahagian belakang mangsa dengan kasut pepaku sehingga dia terkencing.

Mereka hanya memberhentikan perbuatan itu setelah ditegur seorang pengawal dan Mohd Shahrizal telah dikejarkan ke hospital HUKM dan disahkan meninggal dunia.

Tuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memanggil 11 saksi sebelum kesemua tertuduh ditawarkan dengan tuduhan pilihan.
Mohd Sofian menolak alasan peguam yang mewakili tertuduh bahawa perbuatan mereka akibat tidak dapat menyesuaikan diri mereka bersama RAMD walapun mempunyai pengalaman empat hingga enam tahun.

"Pada saya, RAMD mempunyai sejarah yang gemilang dan merupakan rejimen pertama sebelum Perang Dunia Kedua dan seharusnya kamu semua berasa bangga berkhidmat bersama RAMD," tegas Mohd Sofian.

Hakim berkata penderaan bukan satu cara untuk melanggar peraturan yang ditetapkan oleh RAMD ataupun jalan keluar daripada pasukan itu.

"Saya faham sepanjang perkhidmatan kamu, ada yang telah menerima anugerah ataupun pingat kecemerlangan, kini itu semua tidak bermakna lagi akibat tindakan kamu," katanya.-Bernama

Empat ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan ah long di Ipoh

IPOH: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dengan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tambun di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, semua mereka yang berumur antara 20 dan 25 tahun yang berasal dari Tangkak, Johor itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata, polis merampas beberapa dokumen dan barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan Ah Long, antaranya catatan rekod pinjaman wang, dua fail yang mempunyai senarai nama peminjam, 74 salinan kad pengenalan milik peminjam wang.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini beliau berkata, turut dirampas ialah 12 keping slip deposit wang, enam buah buku bank, wang tunai RM5,802, enam telefon bimbit dan 800 "banner" iklan mengenai pinjaman yang ditawarkan.

Katanya, kumpulan Ah Long itu dipercayai mula aktif di sekitar bandaraya sejak Februari 2009 dengan memberi pinjaman pada kadar faedah yang amat tinggi, sehingga 120 peratus sebulan, dan siasatan juga mendapati kumpulan itu membuat kutipan menjangkau sehingga RM150,000 setiap bulan.

Zulkifli berkata, kesemua mereka direman sejak ditahan, namun dua wanita itu sudah dibebaskan dengan ikat jamin polis hari ini, manakala reman dua lelaki itu pula disambung sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, manakala bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan sebatan.

Orang ramai yang terlibat meminjam daripada Ah Long tersebut, atau mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak atau menelefon 05-5452252 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, menurut Zulkifli sepanjang tempoh enam bulan lepas, polis menerima 14 laporan berhubung kes meminjam wang daripada Ah Long, dan polis sedang menyiasat semua laporan itu.-Bernama

Polis Selangor lumpuh sindiket kad kredit palsu

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan kad kredit yang beroperasi sehingga luar negara dengan tertangkapnya 11 orang termasuk dalang sindiket dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Shah Alam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, kesemua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan sejak 19 Jun lalu hingga semalam.
"Polis juga merampas 84 kad kredit palsu daripada sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak Mac lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, seramai enam anggota sindiket terbabit termasuk dalangnya yang ditahan di sebuah apartmen di Seksyen 31 di sini 23 Jun lalu telahpun dituduh di mahkamah kerana memiliki kad kredit palsu.

Chong berkata, kes terbaru membabitkan sindiket itu terbongkar ekoran tertangkapnya lima warga tempatan termasuk sepasang suami isteri yang berusia dalam lingkungan 20-an sebaik tiba di KLIA pada pukul 5.50 awal pagi semalam dari Istanbul, Turki.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 66 kad kredit palsu, beberapa utas jam tangan, pakaian, kasut dan peralatan kosmetik berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan kad palsu.

"Kad kredit palsu yang dirampas tertera nama suspek sendiri dan kami percaya sindiket terbabit menggunakan akaun rakyat asing untuk membeli barangan berharga di Istanbul bagi tujuan dijual semula di Malaysia pada kadar harga rendah," katanya yang menambah sindiket itu terlibat dengan penipuan bernilai RM100,000.

Chong berkata, pihaknya sedang menyiasat mengapa kumpulan sindiket itu menjadikan Istanbul sebagai sasaran.

"Kelima-lima suspek terbabit ditahan reman selama empat hari untuk membantu siastan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya yang tidak menolak kemungkinan kad kredit itu dibuat di Malaysia.-Bernama

Ibu tunggal kerugian RM30,000, kediaman dipecah masuk

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal kerugian kira-kira RM30,000 apabila kediamannya di rumah pangsa Aman Putra, Jinjang di sini dipecah masuk oleh tiga lelaki bersenjatakan pistol dan pisau hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asiten Komisioner Zakaria Pagan berkata kejadian berlaku kira-kira 5.40 pagi ketika mangsa yang berumur 46 tahun dan anak lelakinya yang berumur 18 tahun sedang tidur.
Mangsa dan anaknya yang terjaga apabila terdengar bunyi bising ketika rumah diceroboh kemudian diugut penjenayah yang bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah pisau agar diam dan kemudian menyelubung mangsa dengan selimut.

"Berdasarkan siasatan, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki itu masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil pintu hadapan rumahnya sebelum masuk ke bilik tidur utama rumah itu yang menempatkan mangsa dan anaknya," katanya.

Mangsa, seorang peniaga, kehilangan wang tunai berjumlah RM15,000, tiga telefon bimbit, sembilan bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan sebuah komputer riba setelah dilarikan tiga suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta jenama Nissan.

"Kita masih belum dapat mengenal pasti identiti kesemua suspek dan jenis pistol yang digunakan. Polis sedang giat memburu ketiga-tiga lelaki itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran," kata Zakaria.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan pecah rumah, katanya.-Bernama

Empat kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kuantan

KUANTAN: Empat kedai dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Jalan Mahkota, di sini awal pagi ini.
Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuantan, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata, tiga jentera dari Balai Bomba Kuantan, tiga dari Balai Indera Mahkota, dan masing-masing satu jentera dari Balai Gebeng dan Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.65 pagi.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kedai kain sebelum merebak dengan pantas ke sebuah lagi kedai kain, sebuah premis pengurup wang dan kedai elektrik.

"Seramai 38 anggota bomba mengambil masa hampir dua jam bagi mengawal kebakaran di deretan kedai itu sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira jam 9 pagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian kesemua premis itu tidak berpenghuni dan punca serta tafsiran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemilik salah sebuah kedai kain yang musnah dalam kejadian itu Mohd Amir Sallai, 45, berkata beliau menganggarkan kerugian yang dialaminya menjangkau lebih RM500,000.-Bernama

Pekerja restoran parah terkena peluru sesat

JITRA: Seorang pekerja restoran makanan laut di Taman Dato' Osman Aroff di sini, cedera parah selepas terkena peluru sesat yang dilepaskan seorang lelaki ketika cuba menembak anjing liar dalam kejadian awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, P Rajagovallan, 65, dari Taman Desa Damai di sini, sedang menyapu sampah di restoran berkenaan apabila kedua-dua belah kakinya terkena kira-kira 30 butir peluru tabur yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba menembak seekor anjing liar tetapi tersasar.
Anak mangsa, R Mugunthan, 21, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan kejadian yang menimpa bapanya dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Apabila sampai di restoran makanan laut itu, beliau mendapati bapanya dihantar ke Hospital Jitra.

"Kawan saya yang berada di tempat kejadian memaklumkan semasa kejadian, seekor anjing liar berada di belakang bapa saya ketika dia sedang menyapu sampah kerana restoran itu sudah hendak ditutup," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, bapanya rebah selepas terkena peluru tabur yang dilepaskan lelaki berkenaan.

"Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, bapa saya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan akan menjalani pembedahan malam ini," katanya.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaluddin Haminuddin mengesahkan menerima laporan itu.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan.-Bernama

Tiga maut denggi minggu lalu

KUALA LUMPUR: “Tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tujuh hari minggu lalu bermula 27 Jun hingga 3 Julai lalu,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata, dua kematian di Selangor manakala satu lagi di Sarawak.
Bagi tempoh sama, 1,051 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara, menyaksikan peningkatan 113 kes atau 12 peratus berbanding minggu sebelumnya dan jumlah tertinggi sejak 6 Mac lalu.

“Sembilan negeri sudah menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor (65), Selangor (49), Pulau Pinang (17), Sarawak (10), Kedah (4), Perlis (3), Kelantan (3), Wilayah Persekutuan (3) dan Negeri Sembilan (1),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sehingga 3 Julai lalu, 24,240 kes dilaporkan dengan 81 kematian iaitu turun empat peratus berbanding 25,234 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kes kematian akibat demam denggi juga meningkat 31 peratus atau 19 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 81 kematian berbanding 62 dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya. — Bernama

24 pendatang tanpa izin ditahan

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 24 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Indonesia dalam dua serbuan berasingan dalam operasi lapan jam di Sungai Petani dan Kulim, bermula jam 3 petang, kelmarin.
Semua pendatang tanpa izin berusia antara 18 dan 40 tahun, termasuk lima wanita itu ditahan dalam serbuan di kilang membuat aksesori baju di Sungai Petani dan kilang membuat ais di Kulim. Ketua Unit Operasi Jabatan Imigresen Kedah, Saiful Rizam Hamzah berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 36 dan 41 tahun yang juga pemilik kilang terbabit.
Katanya, pekerja kilang itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen sah, manakala pemilik kilang itu ditahan kerana melindungi pendatang tanpa izin. “Semua pendatang tanpa izin terbabit dihantar ke Depoh Imigresen Belantek di Sik untuk tindakan lanjut,” katanya.

Saiful Rizam berkata, majikan terbabit disiasat mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002).

Kumpulan penggodam tumpas

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan semalam berkata mereka berjaya menjejaki sekumpulan penggodam dan menahan lima suspek yang terbabit menggodam dan melakukan penipuan online.
Pegawai kanan Agensi Siasatan Persekutuan (FIA), Mian Idrees berkata, penggodam yang terkenal di peringkat antarabanagsa itu ditangkap dalam operasi di seluruh negara yang dilancarkan sejak beberapa minggu lalu.
“Kami berjaya menumpaskan kumpulan penggodam terkenal, Pakbugs dan menahan lima anggotanya,” kata Mian.

Pihak berkuasa juga merampas komputer dan kelengkapan lain yang digunakan dalam pelbagai jenayah siber.

Pengasas Pakbugs, Jawad Ehsan atau Humza bagaimanapun masih diburu dan dia dipercayai berpangkalan di Arab Saudi. - AP

Beli tauge bayar RM100

KUALA LUMPUR: Beli tauge 50 sen, tetapi perlu membayar saman RM100. Itu antara rungutan pelanggan Pasar Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, berikutan masalah ketiadaan tempat letak kenderaan di sekitar pasar itu.
Peniaga, Norsiah Rahman, 49, berkata bukan saja orang awam yang merungut mengenai masalah itu, bahkan peniaga turut mengalami nasib sama.
Katanya, biarpun pelbagai aduan dan permohonan diaju kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mewujudkan kawasan letak kenderaan berhampiran pasar berkenaan, namun ia dipandang sepi. “Saya sudah berniaga selama 33 tahun di sini, masalah ini tidak pernah selesai. Kakitangan DBKL pernah datang meninjau keadaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Anggota penguat kuasanya pula, akan meronda tiga kali sehari untuk mengeluarkan saman kepada kenderaan pengunjung yang diletakkan di hadapan pasar. “Tidak cukup saman dikeluarkan DBKL, kenderaan juga sering disaman polis,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, peniaga pernah mengutarakan kepada DBKL supaya memohon Jabatan Perhutanan merobohkan bangunan pejabat lama jabatan itu di tanah terbiar bersebelahan pasar untuk dijadikan tempat letak kenderaan, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas dari PBT itu.

“Jika kawasan itu dijadikan tempat letak kenderaan berbayar pun kami alu-alukan,” katanya. Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Zainab, 45, berkata masalah itu menjadi faktor mengapa pasar berkenaan kurang mendapat kunjungan daripada pembeli.

Katanya, tidak hanya menghadapi masalah untuk meletak kenderaan, peniaga juga terpaksa menanggung kerugian setiap kali hujan lebat kerana pasar akan dilanda banjir.

“Sekarang bilangan pembeli semakin berkurangan, setiap kali datang pastinya akan kedengaran rungutan daripada mereka mengenai masalah ini,” katanya.

Terangsang pil babi

PUTRAJAYA: Pil dan cecair yang biasanya digunakan untuk menggalakkan babi mengawan kini menjadi senjata utama segelintir lelaki kasanova untuk memerangkap wanita sehingga boleh dibawa ke bilik tidur.
Lelaki hidung belang terbabit biasanya memasukkan bahan perangsang seks itu ke dalam minuman kotak tanpa disedari gadis yang menjadi sasaran dan selepas mangsa meneguk air berkenaan, mereka tiba-tiba terangsang untuk melakukan hubungan jenis, sekali gus memudahkan jantan buas itu memuaskan nafsu.

Lebih menakutkan, wanita yang pernah tertelan pil atau cecair babi mengawan akan menjadi ketagih untuk mengambil bahan itu dan seterusnya melakukan hubungan seks.

Demi memenuhi nafsu mereka, wanita terbabit sanggup menggadai maruah dengan mencari semula lelaki kasanova yang menganiayai mereka atau mana-mana lelaki yang mampu menyediakan pil babi mengawan itu.

Perkara ini didedahkan Pengetua Rumah Pengasih, Mohd Yunos Pathi, berdasarkan maklumat diberikan lima penghuni wanita rumah pemulihan diuruskannya yang berusia 25 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, penghuni wanita terbabit memaklumkan selepas minum air kotak dicampur dengan pil atau cecair babi mengawan, mereka menjadi khayal, terangsang dan sanggup melakukan hubungan seks untuk tempoh beberapa jam.
“Saya difahamkan, pil terbabit kebiasaannya digunakan di ladang ternakan babi. Ia dicampur dalam makanan babi bertujuan menggalakkan babi mengawan. Bahan sama dalam bentuk cecair pula kebiasaannya disuntik terus pada badan babi betina.

“Namun, ia kini disalahgunakan lelaki kasanova untuk memudahkan mereka mencari mangsa. Lelaki pemangsa terbabit bukan saja terhad di kalangan mereka yang gemar berkeliaran di pusat hiburan, tapi turut membabitkan pelajar sekolah serta penuntut institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Mohd Yunos berkata, pil atau cecair babi mengawan itu kebiasaannya dimasukkan ke dalam minuman kotak kerana mangsa menyangka minuman itu selamat kerana ia secara kasar seolah-olah belum dibuka.

“Lebih teruk apabila ada lelaki menggunakan pil itu untuk merosakkan teman wanita rakan sendiri yang menjadi sasarannya,” katanya.

Menurut Mohd Yunos, beliau sentiasa memberi peringatan mengenai taktik kasanova dan penyalahgunaan pil serta cecair babi mengawan itu dalam setiap program kesedaran dadah di beberapa IPT awam dan swasta yang dikendalikannya dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihatkan gadis remaja supaya berwaspada terhadap pasangan masing-masing atau mereka yang tiba-tiba memberikan minuman kerana ia selalunya mempunyai agenda jahat yang boleh memerangkap mereka.

“Ramai wanita ‘rosak’ disebabkan terlalu percaya terhadap kekasih yang merancang jerat bagi merosakkan mereka dengan apa cara sekali pun. Jika mereka tidak dapat meniduri kekasih mereka secara rela, mereka akan menggunakan pelbagai cara termasuk memasukkan dadah dalam minuman.

“Akibatnya, masa depan mangsa menjadi gelap. Bukan saja maruah mereka tergadai, tapi mereka pula terpaksa mendapatkan rawatan apabila ketagih bahan pelik yang diberikan teman lelaki mereka,” katanya.

253 andartu ditipu RM4j

RAMPAS...Rohaimi menunjukkan  komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
RAMPAS...Rohaimi menunjukkan komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan


KUALA LUMPUR: Dengan hanya bermodalkan komputer peribadi, sekumpulan pelajar kolej swasta dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM4.7 juta melalui janji manis dan perkenalan singkat dengan rakan di laman sosial..
Pelajar terbabit terdiri daripada warga asing mensasarkan golongan andartu sebagai ‘rakan baik selamanya’ dalam laman sosial itu sebelum memperdaya mereka kononnya ingin menghantar bungkusan hadiah istimewa berupa barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman), Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kumpulan terbabit dikenali sebagai ‘African Scam’ dikesan bergiat aktif sejak awal tahun ini dan sehingga kini, sudah memperdayakan 253 mangsa membabitkan kerugian RM4.7 juta.

“Setakat ini, polis sudah menahan 21 pelajar warga asing terbabit dalam beberapa siri serbuan dalam tempoh dua minggu lalu di sekitar Jalan Ampang, Puchong dan Kajang hasil laporan dibuat mangsa.

“Daripada tangkapan itu, 16 daripadanya warga Nigeria, masing-masing seorang lelaki warga Ghana, Ivory Coast dan seorang wanita warga Botswana, serta Filipina. Turut ditahan seorang wanita tempatan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu memperdaya wanita warga tempatan berpendidikan tinggi dan berpangkat eksekutif berusia 40-an hingga 50-an sebagai mangsa mereka.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai sejumlah RM42,979, 13 komputer riba, sebuah komputer meja, 16 telefon bimbit dan satu pena pemacu.

“Turut dirampas lima slip bank, tiga ikat mata wang AS$100 palsu, tiga ikat kertas potong kosong dipercayai akan dicetak sebagai wang palsu, satu cop keselamatan, serta salinan dokumen bertajuk ‘United State of America Federal Reserve Note Anti Breeze’ untuk tujuan penipuan.
“Semua tangkapan dan rampasan itu hasil intipan dan risikan polis selama seminggu terhadap mereka yang terbabit selepas menerima maklumat mangsa,” katanya.

Rohaimi berkata, sindiket itu didalangi warga Afrika dan semakan ke atas nombor akaun bank digunakan untuk mengikis wang mangsa didaftarkan atas nama warga tempatan dipercayai turut bersubahat.

Adik hanyut

YAN: “Tiba-tiba saya hanya nampak basikal saja di atas titi manakala adik terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam arus sungai deras,” kata Muhammad Fitri Zamzuri, 10, abang Muhammad Hafiz, 9, yang lemas dalam kejadian di Kampung Titi Teras, kira-kira 6.30 petang kelmarin.
DI SINI...Muhammad Haniff Hashim menunjukkan lokasi tempat mangsa tergelincir sebelum lemas di Sungai Titi Teras, semalam. Gambar kecil, Zamzuri.
DI SINI...Muhammad Haniff Hashim menunjukkan lokasi tempat mangsa tergelincir sebelum lemas di Sungai Titi Teras, semalam. Gambar kecil, Zamzuri.
Dalam kejadian itu, kedua-dua beradik berkenaan menaiki basikal selepas keluar dari rumah datuk mereka di Kampung Kepala Bukit yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Muhammad Fitri berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka berhenti melihat beberapa penduduk kampung memancing di situ.

“Muhammad Hafiz yang berada di belakang saya tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh ke sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Difahamkan, mangsa yang juga murid tahun tiga Sekolah Integrasi Al Faizin, Guar Chempedak memberhentikan basikalnya sambil meletakkan sebelah kaki di tepi titi sebelum tergelincir ke sungai sedalam kira-kira dua meter.

Hujan lebat pada sebelah petang kelmarin menyebabkan arus Sungai Titi Teras selebar kira-kira tiga meter itu bertukar deras.
Muhammad Fitri yang cemas dengan kejadian itu meminta pertolongan penduduk berhampiran sebelum menghubungi bapanya, Zamzuri Hamid, 37.

“Saya memang rapat dengan arwah kerana usia kami tidak jauh beza. Ketika kami baru hendak berseronok keluar bersiar-siar, arwah tiba-tiba tergelincir sebelum hilang dibawa arus,” katanya.
Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Yan berkata, dia sempat bertemu mangsa di rumah datuk mereka ketika kedua-duanya meminta kebenaran untuk keluar bersiar-siar dengan basikal.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menjadi perkara biasa apabila dia meminta kebenaran untuk keluar bermain atau bersiar-siar pada waktu petang.
“Saya seperti tidak percaya apabila Muhammad Fitri menghubungi saya memaklumkan adiknya lemas,” katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dimulakan petang kelmarin sebelum dihentikan kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa berkata, operasi yang disertai sembilan anggota dari balai berkenaan serta lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani itu menemui mayat Muhammad Fitri kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sebahagiannya tertimbus di dasar sungai kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjatuh,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan sebelum dituntut keluarganya pagi semalam. Jenazah dikebumikan di Kampung Kepala Bukit petang semalam.

Buang bayi dalam tandas pesawat

NEW DELHI: Seorang wanita melahirkan anak di bilik air sebuah pesawat dan cuba menghapuskan bayi itu dengan membuangnya ke dalam tandas kapal terbang itu.
Bayi itu yang tersekat dalam tandas berkenaan ditemui selepas pesawat itu mendarat di Amritsar, utara India.
Dia dikejarkan ke hospital dengan keadaannya masih tersekat dalam tandas itu, kata polis dan doktor kepada agensi berita, Press Trust of India.

Doktor HP Singh dari Hospital Escorts, berhampiran lapangan terbang itu berkata, sepasukan pakar bedah menggunakan gergaji memotong tandas berkenaan bagi mengeluarkan kepala bayi itu.

Ibu berusia 22 tahun itu dilapor meninggalkan pesawat terbabit sebaik ia mendarat tetapi ditangkap di lapangan terbang berkenaan tidak lama kemudian selepas kakitangan Syarikat Penerbangan Turkmenistan menemui bayinya.

Doktor berkata, bayi itu dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan, ibu itu ialah pelajar perubatan yang masih belum berkahwin, kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya.

Pesawat itu tiba di Amritsar dari Ashgabat di Turkmenistan. - AFP

19 warga Afrika ditahan dalangi sindiket 'tipu bungkusan'



KUALA LUMPUR 8 Julai - Selepas dikaitkan dengan 'Black Money' dan 'cinta Internet', satu lagi sindiket didalangi warga Afrika berjaya dibongkar.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kali ini berjaya menumpaskan sindiket 'tipu bungkusan' melibatkan kerugian jutaan ringgit selepas menangkap 21 individu termasuk tiga wanita.
Polis percaya berjaya menyelesaikan sebahagian daripada 83 kes yang dilaporkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Tangkapan ke atas 16 lelaki warga Nigeria, seorang lelaki Ghana, seorang Ivory Coast, serta tiga wanita masing-masing dari Bostwana, Filipina dan seorang rakyat tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dilakukan dalam lapan serbuan berasingan di sekitar ibu negara dan Lembah Klang, sepanjang dua minggu lalu.
Polis turut menemui dan merampas wang tunai bernilai RM42,979, 14 buah komputer meja dan riba, 16 telefon bimbit, slip bank dan peralatan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka.
Ketua Penolong Pengarah Operasi JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, kebanyakan suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar asing dan berdaftar di kolej-kolej swasta di sini.
Menurut beliau, kesemua mereka merupakan anggota sindiket berbeza, tetapi dikatakan mengenali sesama mereka dan melakukan kegiatan sama.
"Kegiatan penipuan didalangi warga Afrika bukanlah sesuatu yang baru, daripada 'Black Money' sehinggalah "Penipuan Bungkusan', cuma mereka bertukar-tukar modus operandi dari masa ke semasa.
"Dalam enam bulan pertama ini, 253 kes penipuan oleh warga Afrika dilaporkan kepada polis melibatkan jumlah kerugian RM4.7 juta.
"Sejumlah 83 daripadanya adalah 'Penipuan Bungkusan'," katanya pada sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di Kompleks Bukit Perdana di sini hari ini.
Menghuraikan modus operandi suspek, Rohaimi memberitahu, sasaran mangsa mereka ialah wanita tempatan terdiri daripada golongan janda atau bujang berusia di antara 40 dan 50-an.
Beliau berkata, mereka akan menjerat mangsa menerusi laman web sosial dengan menggunakan janji-janji manis melalui telefon atau bersembang dalam Internet.
"Lama-kelamaan, mangsa akan jatuh cinta tanpa menyedari mereka sebenarnya terjerat perangkap yang dipasang dan ketika itu suspek akan bertindak.
"Suspek akan memaklumkan mangsa kononnya akan melawat negara ini dan menjanjikan satu bungkusan hadiah mewah sebagai tanda kasih sayang," ujar beliau.
Menurutnya, barangan yang dijanjikan biasanya terdiri daripada barang kemas, beg dan jam tangan berjenama, komputer riba dan barangan mahal lain termasuk dolar Amerika dan pound Sterling yang akan dikirimkan menerusi syarikat penghantaran.
"Mangsa kemudian akan diberitahu bungkusan tersebut telah sampai, tetapi terkandas pada kastam. Seorang 'pegawai kastam' pula akan menghubungi mangsa dan menjelaskan sejumlah bayaran untuk menuntut bungkusan itu," ujar Rohaimi.
Tambah beliau, suspek akan meyakinkan mangsa membuat bayaran secara berperingkat-peringkat, daripada puluhan sehingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit mengikut kemampuan mangsa.
"Mangsa yang dilamun cinta akan berbuat demikian sehinggalah mereka kehabisan wang dan akhirnya sedar diri mereka ditipu kerana bungkusan itu langsung tidak wujud," jelas beliau.
Sehubungan itu, Rohaimi menasihati orang ramai khususnya wanita tempatan supaya tidak mudah percaya jika berkenalan di Internet.

Rumah pegawai kerajaan dimasuki pencuri



KUANTAN 8 Julai – Baru tiga hari rumah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek di sini, dipecah masuk mengakibatkan empat penjenayah ditembak mati, sebuah lagi rumah milik seorang pegawai kerajaan, mengalami nasib serupa.
Dalam kejadian terbaru, mangsa kerugian kira-kira RM35,000 selepas rumahnya di Lorong Galing, Jalan Haji Ahmad di sini, dipecah masuk sekumpulan penjenayah ketika sedang nyenyak tidur awal pagi ini.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata,
“Hasil pemeriksaan mendapati televisyen LCD berukuran 46 inci, sebuah komputer riba, empat utas jam tangan berjenama lesap.
“Selain itu, turut hilang telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai RM700,” katanya di IPK, Pahang, hari ini.

Kapal dagang terbakar



Posted on the July 9th, 2010 under BeritaTempatan by Syedz
15/7

KAPAL MV Charlotte Maersk terbakar di perairan Pelabuhan Klang semalam.

KLANG – Sebuah kapal dagang dengan muatan lebih 1,000 kontena yang dalam pelayaran menuju ke Oman dari Pelabuhan Klang terbakar kira-kira 60 batu nautika dari perairan Pelabuhan Klang di sini malam kelmarin.
Bagaimanapun kesemua 21 anak kapal MV Charlotte Maersk itu terselamat dalam kebakaran yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Selatan pada pukul 10.10 malam.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian depan kapal sebelum merebak hampir ke bahagian tengah namun hanya puluhan kontena terbakar manakala badan kapal sepanjang 347 meter dan lebar 46 meter itu masih selamat.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Kapten Maritim Mohd. Amir Hamzah berkata, sebuah Kapal Maritim (KM) Danga dan sebuah bot laju bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dari Jabatan Laut daerah berhubung kebakaran kapal tersebut.
Menurutnya, ketika pasukan penyelamat dalam perjalanan menuju ke lokasi, pihaknya dihubungi oleh kapten kapal berkenaan melaporkan kebakaran tersebut dapat dikawal dan tidak memerlukan bantuan serta mahu meneruskan pelayaran kira-kira pukul 11.40 malam.
“Namun kedua-dua aset dari pangkalan Daerah Maritim 4 Pelabuhan Klang tetap terus ditugaskan untuk membuat tinjauan dan memberi bantuan ke atas kapal tersebut sekiranya diperlukan.
“Setiba di lokasi pada pukul 4 pagi semalam, bahagian atas kapal tersebut didapati masih terbakar dan usaha memadamkan api dilihat terus dilakukan oleh anak-anak kapal tersebut,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabatnya di sini semalam.
Tambahnya, kira-kira pukul 2 petang, api telah tidak kelihatan lagi di atas kapal tersebut.
kredit : kosmo.com.my

Geng Ah Guan berkubur



Posted on the July 9th, 2010 under BeritaJenayahTempatan by Syedz
15/7

ABDUL RAHIM (kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada kumpulan Ah Guan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras semalam.

KUALA LUMPUR – Kebiasaannya wanita warga China sering dikaitkan dengan aktiviti pelacuran namun kali ini lain pula kisah mereka apabila lima wanita republik itu ditahan bersama lapan rakyat tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes-kes jenayah samun dan pecah rumah sejak setahun lalu.
Kegiatan wanita dari China itu bersama enam lelaki penjenayah yang bersekongkol dengan dua penyamun wanita warga tempatan terbongkar apabila mereka ditahan dalam tiga operasi di Hulu Klang dekat sini bermula 1 Julai hingga 7 Julai lalu.
Semua 13 suspek itu merupakan kumpulan penjenayah daripada geng Ah Guan. Ah Guan yang berusia 40 tahun dan mempunyai tiga rekod jenayah pecah rumah merupakan ketua kumpulan itu. Dia merupakan lelaki tempatan.
Lima wanita China itu dipercayai tidak terlibat secara langsung dengan kegiatan jenayah kumpulan Ah Guan sebaliknya mereka dipercayai menjadi kekasih kepada anggota lelaki kumpulan itu.
Bagaimanapun, dua lagi wanita tempatan yang ditahan disyaki terbabit secara langsung dalam kegiatan pecah rumah dan samun kumpulan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah berkata, penahanan suspek-suspek itu dibuat selepas seorang suspek wanita dikesan menggunakan kad kredit milik seorang mangsa pecah rumah untuk membeli-belah di sebuah pasar raya di ibu negara pada 1 Julai lalu.
“Daripada maklumat kad kredit itu, polis menyerbu satu unit kondominium di Salak Selatan pada hari sama dan menahan seorang wanita tempatan yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Kad kredit itu adalah milik mangsa pecah rumah yang juga tinggal di sebuah kondominium di Salak Selatan iaitu sama dengan bangunan kediaman suspek wanita itu.
Menurut beliau, penahanan itu membawa kepada serbuan berikutnya di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Baru, Hulu Klang pada 6 Julai lalu dan polis menahan empat warga tempatan termasuk seorang wanita.
Abdul Rahim memberitahu, selepas soal siasat terhadap kelima-lima suspek itu, polis menahan empat lagi lelaki tempatan dan lima wanita China pada 7 Julai di sebuah rumah lain di Kampung Baru.
“Rumah yang didiami sembilan suspek itu turut dijadikan stor menyimpan barang-barang pecah rumah.
“Kita sedang menyiasat peranan wanita warga China itu termasuk kemungkinan mereka menjadi kekasih kepada kaki samun itu,” kata beliau.
kredit : kosmo.com.my