Search This Blog

Wednesday, July 7, 2010

Padah tak matikan enjin kereta

MAKKAH: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati kereta mereka hilang selepas keluar dari sebuah pasar raya di sini, semalam.
Bagaimanapun, kebimbangan mereka berakhir 30 minit selepas itu apabila si suami menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali.
Pemanggil berkenaan mengucapkan terima kasih kepadanya dan memaklumkannya kereta itu berada di depan sebuah bank dan kuncinya diletakkan di bawah kerusi pemandu.

Pemanggil itu berkata, dia begitu terdesak untuk mendapatkan kenderaan dan kebetulan menemui kereta mangsa dengan enjinnya masih hidup.

“Terima kasih. Saya menemui kereta anda dengan enjinnya hidup dan pintunya terbuka. Jangan bimbang, saya tidak mengambil apa-apa dari kereta itu,” kata si pemilik, mengulangi kata-kata si pemanggil. - Agensi

Asrama haram' raih RM50,000

SUBANG JAYA: Dua kedai pejabat yang diubah suai menjadi ‘asrama haram’ dengan bayaran mencecah RM580 sebulan bagi setiap bilik diserbu Bahagian Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, lewat petang kelmarin.

PERIKSA...Adnan (kanan) dan penguat kuasa MPSJ memeriksa  pejabat yang dijadikan asrama, kelmarin.
PERIKSA...Adnan (kanan) dan penguat kuasa MPSJ memeriksa pejabat yang dijadikan asrama, kelmarin.
Difahamkan, pemilik premis itu memperoleh anggaran keuntungan sehingga RM50,000 sebulan hasil aktiviti haram mengubahsuai ruang pejabat miliknya.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata siasatan awal mendapati pejabat tiga tingkat terbabit diubah suai menjadi 74 bilik sewa dengan bayaran RM480 hingga RM580 sebulan bergantung kepada saiz bilik.

Ketika serbuan, beberapa pelajar daripada kolej berdekatan yang menghuni asrama terbabit terpinga-pinga apabila diberitahu asrama yang diduduki mereka tidak mempunyai permit sah.

Adnan yang mengetuai operasi itu berkata, asrama terbabit dipercayai beroperasi lebih enam bulan lalu dan kebanyakan penghuninya terdiri daripada pelajar kolej berdekatan.

“Serbuan berdasarkan maklumat orang awam yang tinggal di kawasan berhampiran mengenai penyalahgunaan premis terbabit sebagai bilik sewa haram dan kami dapati semua penyewa tidak mengetahui bilik didiami mereka tidak mempunyai permit sah” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, MPSJ memandang serius kewujudan asrama haram seperti ini kerana aspek keselamatan dan keselesaan penghuni langsung tidak dipedulikan pemilik bangunan terbabit.

“Pengubahsuaian yang dibuat pemilik bangunan mendatangkan risiko kepada penghuni jika berlaku kejadian seperti kebakaran kerana pengudaraan yang tidak sempurna boleh menyebabkan sesak nafas” katanya.

Adnan turut menasihatkan orang ramai khususnya pelajar kolej supaya memeriksa terlebih dulu status rumah yang ingin disewa, sama ada pengubahsuaian yang dibuat mendapat kebenaran pihak berkuasa ataupun tidak. Katanya pemilik terbabit dikompaun mengikut Seksyen 70(12) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyalahgunakan bangunan asal dan boleh didenda maksimum RM12,500.

Siang belajar malam kerja spa korek

PETALING JAYA: Pusat refleksologi yang dipercayai menawarkan pakej urutan batin di Dataran Sunway, Kota Damansara di sini, dikesan dilindungi pihak tertentu malah dipercayai turut menggunakan khidmat pelajar warga asing genit bagi tujuan kegiatan tidak bermoral.
Malah, pelajar terbabit dikesan menjalankan kegiatan ‘spa korek’ itu pada waktu malam sebagai pekerja dan menjelang siang sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota.
Ini terbukti apabila dua pelajar wanita warga asing ditahan bersama 10 wanita warga asing lain termasuk dari China, Indonesia, Myanmar dan Indonesia berusia 20 hingga 30 tahun dalam dua serbuan berasingan di dua pusat refleksologi, kira-kira jam 11 malam kelmarin. Dalam serbuan pertama, dua pelajar masing-masing warga China dan Indonesia ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka menyalahgunakan pas pendidikan dan lawatan sosial dengan melakukan kegiatan tidak bermoral.

Timbalan Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Johari Supardi, berkata serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam dan risikan pihaknya yang mengatakan premis itu turut menyediakan khidmat seks dengan pakej RM150 selain urutan badan.

Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah lagi pusat refleksologi di belakang premis pertama dan menahan empat lagi wanita warga asing.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang wanita Indonesia cuba bersembunyi dengan meniti di papan tanda iklan pusat itu yang terletak di tingkat satu, tetapi dikesan apabila anggota penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan ternampak kakinya.

Guru besar, guru bertumbuk

TAIF: Guru besar dan seorang guru sebuah sekolah rendah dimasukkan ke hospital semalam akibat cedera selepas mereka bertumbuk di kawasan sekolah.
Sumber berkata, pergaduhan bermula apabila guru itu melihat guru besar berkenaan menulis tanda soal di sebelah namanya pada buku kedatangan.
Guru itu cuba merakam gambar buku berkenaan dengan telefon bimbitnya.

Guru besar itu yang menganggap perbuatan berkenaan melanggar peraturan, merampas telefon itu daripada tangan guru terbabit, menyebabkan pegaduhan berlaku.

Kakitangan lain cuba meleraikan mereka sebelum polis tiba dan membawa kedua-duanya ke hospital.

Sumber berkata, guru itu dibenarkan pulang selepas kecederaan di tempat bekas dia pernah dibedah dirawat.

Dia bagaimanapun ditahan polis sehingga guru besarnya yang masih di hospital, dibenarkan pulang.

Beberapa kakitangan dan guru melawat pengetua dan guru itu dalam usaha mendamaikan mereka ketika siasatan polis masih dijalankan. Pengarah Pentadbiran Pelajaran Taif, Muhammad Abu Ras berkata, pihaknya sudah menerima laporan terperinci mengenai kejadian itu dan akan menyiasat. - Agensi

Pemandu bas tembak mati 6 penumpang

KAHERAH: Seorang pemandu bas sebuah syarikat pembinaan menembak mati enam orang dan mencederakan 16 yang lain berhampiran bandar raya ini, semalam.
Menurut sumber, pemandu itu membawa kakitangan syarikat berkenaan ke tempat kerja mereka di Giza apabila dia tiba-tiba menghentikan bas itu dan menembak penumpangnya di Meniel Shiha, 20 kilometer ke selatan Kaherah. Pemandu berkenaan ditahan. Sehingga ini, motif pemandu itu bertindak demikian tidak diketahui.
Bagaimanapun, beberapa mangsa yang terselamat berkata, pemandu itu tertekan kerana ditukarkan tempat kerja. - AFP

Maut kerana Piala Dunia

HANOI: Kerana hutang judi Piala Dunia dan berang terhadap isteri yang berleter terhadap sikap suami yang pulang lewat kerana menonton perlawanan bola sepak menjadi punca dua pembunuhan di Vietnam.
Akhbar Tuoi Tre melaporkan, dalam kejadian pertama, dua remaja berusia 19 dan 20 tahun ditangkap atas tuduhan membunuh jiran mereka dalam satu kes rompakan kerana mahu membayar hutang judi Piala Dunia.
Suspek ditangkap di wilayah Khanh Hoa, selatan Vietnam.

Ia memetik sumber polis sebagai berkata, seorang daripada remaja itu mengaku kalah dalam satu pertaruhan.

Dia dan rakannya dituduh membunuh Nguyen Thi To Nga, guru sebuah sekolah menengah ketika cuba merompaknya untuk menjelaskan hutang berkenaan dan menebus motosikal yang digadainya di sebuah kedai pajak gadai.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah hutang remaja berkenaan.

Dalam kejadian lain, akhbar Doi Song dan Phap Luat melaporkan, polis di wilayah Quang Ngai menahan seorang lelaki kerana mencekik hingga mati isterinya.

Lelaki berusia 35 tahun itu memberitahu polis, dia bertindak demikian kerana tidak tahan dengan leteran isterinya selepas dia sering pulang lewat kerana menonton perlawanan Piala Dunia.

Bulan lalu, polis menahan seorang lelaki kerana membunuh, juga ada kaitan dengan hutang wang pertaruhan bola sepak berjumlah beribu-ribu dolar.

Penduduk Vietnam gemar berjudi, dari perlawanan bola sepak, lumba kerbau, laga ayam dan loteri walaupun perjudian diharamkan oleh pihak berkuasa. - Agensi

Maut atas motosikal

SHAH ALAM: “Saya sedih apa yang berlaku. Dia tak salah. Tapi pemandu kereta tu yang salah,” kata seorang lelaki enggan dikenali, rakan kepada penunggang motosikal yang terbunuh selepas bergesel kereta di persimpangan lampu isyarat, Jejantas Batu Tiga dekat sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 1.50 tengah hari, mangsa, Mohamad Firdaus Zainal Abidin, 20, mati di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala dipercayai terhantuk besi penghadang jalan.
Lebih memilukan mayat mangsa, penghantar surat, dalam keadaan terduduk atas motosikal Yamaha RXZ.

Rakan mangsa berusia 20-an itu mendakwa, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Glenmarie, di sini dari rumah sewanya Alam Megah, Seksyen 28.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata siasatan mendapati kereta Honda City dari arah Bulatan Megawati ke Bukit Jelutong, secara tiba-tiba mengubah laluan memasuki Lebuhraya Persekutuan arah Klang.

Menurutnya, kereta itu dipandu lelaki warga Jepun bergesel motosikal mangsa di sebelah kiri menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal sebelum melanggar penghadang jalan.

“Mangsa mati di tempat kejadian terhantuk dengan kuat pada besi penghadang.

“Pemandu kereta itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mangsa berasal dari Felda Kota Gelanggi 01, Jerantut, Pahang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai menyebabkan kemalangan dan kematian.

Polis meminta saksi kejadian tampil mana-mana balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fazuan Md Zain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di talian 03-55102222.

Maut atas motosikal

SHAH ALAM: “Saya sedih apa yang berlaku. Dia tak salah. Tapi pemandu kereta tu yang salah,” kata seorang lelaki enggan dikenali, rakan kepada penunggang motosikal yang terbunuh selepas bergesel kereta di persimpangan lampu isyarat, Jejantas Batu Tiga dekat sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 1.50 tengah hari, mangsa, Mohamad Firdaus Zainal Abidin, 20, mati di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala dipercayai terhantuk besi penghadang jalan.
Lebih memilukan mayat mangsa, penghantar surat, dalam keadaan terduduk atas motosikal Yamaha RXZ.

Rakan mangsa berusia 20-an itu mendakwa, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Glenmarie, di sini dari rumah sewanya Alam Megah, Seksyen 28.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata siasatan mendapati kereta Honda City dari arah Bulatan Megawati ke Bukit Jelutong, secara tiba-tiba mengubah laluan memasuki Lebuhraya Persekutuan arah Klang.

Menurutnya, kereta itu dipandu lelaki warga Jepun bergesel motosikal mangsa di sebelah kiri menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal sebelum melanggar penghadang jalan.

“Mangsa mati di tempat kejadian terhantuk dengan kuat pada besi penghadang.

“Pemandu kereta itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mangsa berasal dari Felda Kota Gelanggi 01, Jerantut, Pahang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai menyebabkan kemalangan dan kematian.

Polis meminta saksi kejadian tampil mana-mana balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fazuan Md Zain dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di talian 03-55102222.

Empat rumah kedai terbakar di Menglembu

IPOH: Empat rumah kedai musnah dalam kebakaran yang kerugiannya dianggarkan melebihi RM200,000 di Menglembu di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian berlaku kira kira 12.40 malam.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan kerana semua pemilik kedai tinggal di tempat lain.

Kedai-kedai yang musnah ialah sebuah kedai gunting rambut dan tiga kedai runcit. Azisman berkata, punca kejadian masih belum diketahui.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menghantar dua jentera dan 13 anggota untuk memadam kebakaran dalam tempoh dua jam.-Bernama

Dua penunggang termasuk warga emas maut dalam kemalangan berasingan di Perak

IPOH: Dua penunggang motosikal termasuk seorang wanita warga emas terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di Perak semalam.
Ketua Polis Trafik negeri, Superitnendan Wan Abdullah Ishak berkata, dalam kejadian pertama seorang pemuda berusia 21 tahun terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan terjatuh di tengah jalan di Kilometer (KM) 2, Jalan Changkat Jering-Ayer Kuning.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu Reagan Rajah a/l Selvarajah meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan teruk di kepala. Mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kejadian kedua membabitkan seorang wanita warga emas yang terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan merempuh sebatang pokok di KM 21 Jalan Damar Laut-Pantai Remis.

"Ting Mooi Chai, 62, juga maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.50 petang itu," katanya.-Bernama

Guru dan ketua kampung mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

BATU PAHAT: Seorang guru dan seorang ketua kampung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,998 ke Pejabat Daerah ini, dua tahun lalu.
Mereka didakwa bersubahat megemukakan dokumen berkenaan bagi membekalkan peralatan dan persiapan kursus sedangkan ia tidak pernah dianjurkan.

Pemandu parah bas langgar treler

KUANTAN: Seorang parah manakala 10 lagi mengalami cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas dan treler di kilometer 48.4 lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, dalam kejadian jam 1.45 pagi, bas persiaran yang membawa 42 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke ibu negara.
"Setibanya di tempat kejadian, bas itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori treler yang membawa muatan besi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas, K. Surenthiran, 21, mengalami patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Katanya, 10 penumpang bas berkenaan yang mengalami cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong. Bagaimanapun katanya, pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.-Bernama

Empat jam tumpas penyamun bersenjata



JOHOR BAHRU - Hanya empat jam diperlukan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk menahan dua penjenayah dalam kes samun bersenjata yang berlaku di Taman Setia Tropika kira-kira jam 9.40 malam, baru-baru ini. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kejayaan itu memperlihatkan kecekapan dan kepantasan anggota polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka. 

Menurutnya, dua suspek berumur dalam lingkungan 23 tahun berjaya diberkas setelah operasi besar-besaran dijalankan. 

"Suspek yang bersenjatakan parang juga mencederakan mangsa ketika menyamunnya di Taman Pelangi. 

“Kita juga sudah meneliti semakan jenayah dan mendapati seorang daripada suspek masih dikehendaki bersabit dengan kes kecurian di Batu Pahat,” katanya. 

Katanya, dengan tertangkapnya penjenayah terbabit, sebanyak lapan kes samun bersenjata dan berkawan dapat diselesaikan di sekitar kawasan Wilayah Pembangunan Malaysia. 

“Saya percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, lebih banyak tangkapan akan dibuat dan lebih ramai penjenayah akan dapat dicekup. 

"Suspek masih ditahan reman disoal siasat untuk melihat sejauh mana penglibatannya dalam kes samun dan individu lain yang terbabit sama,” katanya. 

Suspek ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan juga sebat. 

Polis turut merampas tiga bilah parang dan sebilah kerambit, sebuah kereta Proton Iswara yang disamun, dua telefon bimbit dan sebuah walkie talkie.

Pemandu maut van terbabas dekat Rembau



REMBAU - Seorang pemandu maut manakala dua rakannya cedera parah apabila van mereka terbabas dan terbalik di Km 236, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Negeri, ASP Abd Halil Hamzah berkata, mangsa yang merupakan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap Malaysia, Alizar Effendi, 42, yang cedera parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian. 

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin," katanya.

Abd Halil berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 pagi ketika van yang membawa muatan kain tudung itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor.

Dua rakan mangsa yang cedera parah kini dirawat di hospital tersebut.

MCA terima maklumat baru kanak-kanak dilarikan bapa



KUALA LUMPUR - Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong telah menerima maklumat terbaru tentang kehilangan Nicole Soo Siew Qing, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dipercayai dilarikan oleh bapanya sejak 26 Jun lalu.

Chong berkata, selepas menerima aduan dari Kristina iaitu ibu Nicole tentang kehilangannya pada Isnin lepas, beliau menerima banyak maklumat dari orang ramai.

"Saya baru sahaja mendapat maklumat daripada dua orang awam dan mereka benar-benar memberi kerjasama dan membantu. Saya yakin mereka tidak mereka-reka cerita," katanya kepada pemberita di Wisma MCA, di sini, hari ini.

"Saya akan membuat laporan polis dan mendapatkan pandangan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tentang perkara ini," katanya lagi.

Kristina, 34, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, suaminya Soo Kian Keong, 35, membawa Nicole keluar dengan alasan untuk membeli makanan tengahari dan mereka berdua tidak pulang ke rumah sejak hari itu.

Soo yang pernah bekerja sebagai pemandu lori dipercayai melarikan Nicole untuk menjual anaknya bagi melunaskan hutang judinya.

Kristina yang ditinggalkan dengan anak lelakinya yang berusia sembilan bulan berkata, suaminya tidak pernah memberikan wang perbelanjaan rumah sebaliknya hanya membelikan makanan di gerai untuknya dan anak-anak.

"Dia pernah berkata, kepada saya dia hendak menjual anak perempuan kami untuk melangsaikan hutang judinya dan mahu pergi ke New Zealand untuk bekerja sebagai pemetik buah. Saya percaya dia rancang untuk melarikan Nicole dan bawa sijil dan pasportnya sekali," katanya.

Kristina yang beragama Kristian dan berasal dari Jawa Timur telah berkahwin dengan Soo sejak tiga tahun lepas tetapi kini mahu membuat tuntutan cerai.

Katanya, MCA sudi membiayai perbelanjaan bagi membolehkan beliau dan dua anaknya pulang ke kampung halamannya di Indonesia.

Rumah hampir hangus dimakan api


TAMAN SRI EMBUN – Tindakan spontan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjerit meminta pertolongan apabila melihat kepulan asap dan api di bilik tengah rumahnya, menyelamatkan nyawanya juga dua lagi adik-adiknya yang masih kecil. 

Kanak-kanak berkenaan, Natasha Mat Taha @ Mat Arop, 12, ketika itu tinggal di rumahnya di taman perumahan ini bersama adik-adiknya menyedari asap dan api keluar dari bilik tengah rumah mereka, lantas berlari keluar menjerit meminta pertolongan jiran. 

Bapanya, Mat Taha @ Mat Arop Salim, 58, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya Muzian Yasak, 36, berada di blok bersebelahan kerana ada urusan, bergegas pulang apabila dimaklumkan jiran rumahnya terbakar. 

Menurutnya, dia amat bersyukur atas bantuan jiran-jiran yang pantas menyelamatkan anak-anaknya dan usaha mereka bertungkus lumus sebagai usaha awal memadam kebakaran sebelum ketibaan bomba. 

“Saya juga amat bersyukur kerana tidak kecederaan dan kemalangan menimpa kami seisi keluarga oleh tindakan pantas jiran. 

“Punca kebakaran itu belum diketahui, namun anak saya mengatakan ia keluar daripada sistem pendawaian elektrik, sehingga menyebabkan keseluruhan bilik anak saya itu musnah namun bersyukur mereka selamat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam. 

Mat Taha berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.10 petang kelmarin dan disedari jiran apabila Natasha berlari keluar menjerit meminta pertolongan ditambah sekumpulan penduduk yang beriadah di padang turut bergegas ke rumahnya apabila terlihat kepulan asap hitam di bahagian atas rumah. 

Menurutnya, kepantasan penduduk memberikan bantuan awal sebelum bomba tiba dengan membuka bahagian atap rumah bukan sahaja menyelamatkan keseluruhan rumah dari musnah terbakar, malahan turut menyelamatkan rumah jiran. 

“Saya terharu dengan kepantasan jiran yang menyembur air dari setiap sudut terutama ke dalam bilik kedua rumah yang terbakar dari terus merebak. 

“Usaha setiap individu yang turut bergegas menyimbah air menggunakan baldi juga menyelamatkan kesemuanya daripada berlaku lebih serius dan merebak ke rumah lain,” katanya. 

Mat Taha berkata, buat sementara waktu ini perniagaan kelapanya tidak dapat dilakukan sementara waktu, manakala anak-anak serta isteri pula ditempatkan di rumah saudara di Kerambit. 

Sementara itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanafi berkata, bomba menerima panggilan kira-kira jam 6.20 petang kelmarin, lantas enam anggota, seorang pegawai dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian. 

Menurutnya, operasi memadam kebakaran tamat sekitar jam 7.30 petang dengan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. 

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku sepanjang kejadian itu, ditambah usaha awal penduduk dan operasi pemadaman semalam berjaya menghalang ia dari terus merebak ke rumah lainnya,” katanya. 

‘Saya hilang tempat bergantung’



Posted on the July 6th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
Suami, dua anak mahu makan char koay teow maut nahas
KEPALA BATAS: “Saya hilang tempat bergantung sekelip mata,” kata Umi Kalsom Salleh, 35, yang kehilangan tiga insan tersayang dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Kamlon dekat sini, Sabtu lalu.
Umi Kalsom dari Kampung Jambatan Merdeka di sini, berkata dia tidak menyangka tindakan suaminya Zambery Che Mey, 36, membawa tiga anak mereka serta dua anak saudara untuk menikmati char koay teow sebaik pulang dari kerja akan berakhir dengan tragedi.
“Kebetulan kelmarin, arwah pulang lewat dari tempat kerjanya di sebuah kilang dekat Tikam Batu, Sungai Petani.
“Sebaik sampai di rumah, anak ketiga kami, Mohd Fakhrul Ikhwan, 7, beria-ia mengajak bapanya makan char koay teow sebelum mereka keluar pada jam 8.15 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Dalam kemalangan jam 8.45 malam itu, Zambery mati di tempat kejadian manakala dua anaknya, Mohd Faiz Akmal, 9, dan Mohd Firdaus, 5, meninggal dunia di Hospital Kepala Batas (HKB).
Seorang anak saudara Zambery, Mohd Nur Hidayat Mohd Rozi, 14, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya.
Seorang lagi anak saudara Zambery, Mohamad Nizamuddin, 14, serta Mohd Fakhrul Ikhwan, cedera parah, masing-masing dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang dan HKB.
Kemalangan dikatakan berlaku apabila kereta Perodua Kancil dipandu Zambery bertembung dengan sebuah kereta Nissan Sentra dipandu oleh Zulkifli Fadzil, 22, dari Permatang Tinggi Bakar Bata, di sini.
Zulkifli kini masih dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Superintendan Suhaimi Mat Noor, berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta Nissan Sentra cuba mengelak sebuah motosikal sebelum bertembung dengan kereta mangsa.
Sumber : Bharian.com.my

Kes positif H1N1 menurun 30 peratus minggu lepas



07/07/2010 3:27pm

KUALA LUMPUR 7 Julai – Jumlah kes positif Influenza A (H1N1) sepanjang minggu lepas sehingga 3 Julai mencatatkan penurunan 30 peratus kepada 42 kes berbanding 60 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, jumlah itu menjadikan kes terkumpul 15,254 kes.
Bagi tempoh 27 Jun hingga 3 Julai, sebanyak lima kes kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang, melibatkan 821 pesakit, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Daripada jumlah itu 19 pesakit disahkan positif H1N1.
Tidak ada kematian baru dilaporkan dalam tempoh berkenaan menjadikan jumlah kematian kekal pada 89 kes, katanya. – Bernama

PGA rampas kosmetik tiruan bernilai RM36,940



07/07/2010 6:43pm



RANTAU PANJANG 7 Julai _ Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 3,000 kotak barangan kosmetik tiruan bernilai RM36,940 yang diseludup dari negara jiran dan cuba dipasarkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres dalam satu operasi di sekitar pekan Rantau Panjang di sini pagi ini.
Pegawai Penjaga Kompeni C Batalion 7 PGA Kuantan Pahang, Asisten Supritendan Muhamad Fauzi Yahaya berkata, barangan tersebut dirampas di Terminal Bas Rantau Panjang pada pukul 8 pagi ini oleh 10 anggotanya yang membuat rondaan.
Menurut beliau, beberapa penyeludup yang sedang memunggah barang tersebut ke dalam bas bagaimanapun gagal ditahan dan berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis. - Utusan

40 peneroka ke Hari Peneroka terlibat kemalangan



07/07/2010 4:41pm

BENTONG 7 Julai – Hasrat sekumpulan 40 peneroka dan kakitangan Felda untuk menghadiri Hari Peneroka di Maktab Rendah Sains Mara, Trolak, Perak, tidak kesampaian apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.
Kemalangan di Kilometer 48.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada pukul 1.45 pagi itu berlaku apabila bas terbabit terlanggar belakang sebuah treler membawa muatan besi semasa melalui jalan tersebut.
Berikutan itu, empat penumpang parah termasuk pemandu bas, K. Surenthiran, 21, yang patah kedua-dua belah kaki dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
Seramai 12 lagi penumpang mengalami cedera ringan dan mereka menerima rawatan di Hospital Bentong. – Utusan

Jutawan misteri Malaysia bawa Paris Hilton




GAMBAR menunjukkan Paris Hilton bersama Jennifer Rovero di sebuah stadium di Johannesburg, Afrika Selatan pada minggu lalu.


JOHANNESBURG - Seorang jutawan Malaysia dilaporkan membawa selebriti terkenal, Paris Hilton dan pelakon filem Titanic, Leonardo DiCaprio ke sini dengan menaiki sebuah jet peribadi pada Khamis lalu dari London, lapor beberapa buah akhbar di Barat dan Afrika.
Paris yang terkenal sebagai anak pemilik Hotel Hilton dan menerusi program realiti televisyen The Simple Life itu diterbangkan ke sini untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2010.
Kebanyakan akhbar tidak mendedahkan identiti jutawan itu tetapi melaporkannya sebagai seorang jutawan misteri.
Namun, selepas Paris tiba di ini, dia kemudiannya ditangkap oleh anggota-anggota pihak berkuasa bersama rakannya, bekas model majalah lucah, Playboy, Jennifer Rovero kerana memiliki ganja selepas satu perlawanan bola sepak Piala Dunia pada Jumaat lepas.
Paris kemudian dibebaskan selepas dia didapati tidak memiliki ganja tetapi rakannya itu diarah membayar denda sebanyak 1,000 rand (RM418) atau penjara 30 hari kerana kesalahan tersebut selain diminta meninggalkan Afrika Selatan.
Semasa di Johannesburg, selebriti itu dilaporkan bersama rombongan kira-kira 20 orang yang dikatakan dari Malaysia turut pergi ke sebuah restoran dan bar di Rosebank.
Mereka menuju ke sebuah bilik peribadi dengan diiringi oleh pengawal keselamatan. - Agensi

Kereta curi dieksport ke Dubai





mohd. BAKRI (kanan) menyerahkan kunci 24 kereta curi kepada Kamaruddin di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis berjaya membawa pulang 24 kenderaan curi bernilai hampir RM1.26 juta yang diterima daripada pihak kastam Dubai untuk diserahkan kepada pemilik asal di negara ini atau pihak insurans terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, semua kenderaan curi itu tiba di Pelabuhan Klang pada 23 Jun lalu dari Pelabuhan Jabel Ali, Dubai.
Katanya, antara kereta yang dibawa pulang itu ialah Toyota Hilux sebanyak 15 buah, empat buah Toyota Fortuner, tiga buah Toyota RAV 4 dan dua buah Daihatsu Delta.
"Semua kereta ini dilaporkan hilang sejak 2007 dan dipercayai dibawa keluar dari negara ini melalui Pelabuhan Klang.
"Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian kumpulan yang besar," katanya sewaktu penyerahan kunci 24 kereta terbabit kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Supritendan Kamaruddin Ismail di Seksyen 17, Shah Alam semalam.

Mayat ditemui berkecai atas rel





ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki yang hancur di atas rel kereta api di Stesen Komuter, Teluk Pulai, Klang semalam.


KLANG - Sama ada mabuk atau bunuh diri, polis kini sedang menyiasat penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui berkecai di landasan Stesen Komuter, Teluk Pulai di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang ramai kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kejadian itu mungkin berlaku sama ada awal pagi semalam atau lewat malam kelmarin.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang lelaki tempatan namun identitinya masih belum dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah berkecai.
"Pihak polis masih menyiasat sama ada mangsa membunuh diri atau mabuk dan tertidur di atas landasan sebelum digilis kereta api," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Curi di Melaka, tangkap di PD




ANGGOTA polis menunjukkan kereta Proton Waja yang dipandu suspek sebelum terbabas di Pasir Panjang, Port Dickson kelmarin.


MELAKA - Bukan calang-calang wanita apabila dia sekali lagi telah mencetuskan suasana panik dengan melarikan sebuah kereta jenis Proton Waja milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kejadian di Batu Berendam di sini kelmarin.
Wanita berusia 22 tahun tersebut sebelum ini terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta jenis Toyota Avanza milik seorang pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika dia ditahan di pejabat pegawai tersebut pada pukul 5.30 pagi 14 Mei lalu.
Dia ditahan semula pada pukul 9 pagi keesokan hari oleh sepasukan polis di rumahnya di Kampung Gadek, Alor Gajah ketika sedang mencuci kereta itu.
Bagaimanapun, semalam lain pula ceritanya. Wanita yang masih bujang itu telah membuat onar dengan memandu kereta Proton Waja tersebut hingga ke Port Dickson secara berbahaya hingga memaksa enam buah kereta peronda mengejarnya.
Selain itu, suspek turut merempuh dua operasi sekatan jalan raya di Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru di sini.
Kejadian berlaku apabila suspek dikatakan telah mencuri kereta tersebut pada pukul 9 malam ketika pemandunya pulang sebentar ke rumah untuk menukar baju tanpa mematikan enjinnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pemandu itu kemudian ternampak seseorang melarikan kereta tersebut yang diletakkan di luar rumah.

Awang Afrika perdaya andartu



WARGA Afrika kini boleh dilihat di mana-mana sahaja di negara ini dan sebahagiannya licik memperdayakan wanita tempatan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kegiatan jahat dua lelaki Afrika yang giat memperdayakan wanita berusia terutama andartu dengan berpura-pura ingin menghantar bungkusan mengandungi barangan berharga sebagai tanda cinta terbongkar apabila kedua-duanya ditahan di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.
Kedua-dua suspek warga Nigeria dan Ivory Coast berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan pukul 11 malam 24 Jun lalu selepas terpedaya dengan perangkap dipasang polis yang menjadikan seorang wanita berusia 50 tahun sebagai umpan.
Difahamkan, wanita yang merupakan seorang kerani itu telah kerugian RM109,000 selepas diperdaya dua lelaki tersebut sejak September tahun lalu dengan menggunakan modus operandi yang sama.
Lebih malang apabila lelaki Nigeria tersebut cedera di mukanya apabila dilanggar oleh sebuah motosikal ketika hendak melarikan diri dari sebuah hotel dalam operasi yang diketuai Inspektor Joel Teo Tan Yam bersama lapan anggota dan pegawai.
Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, pemeriksaan mendapati dua suspek tersebut memasuki negara ini dengan menggunakan pas pelajar dan menjalankan kegiatan penipuan itu sebagai kerja sampingan.

Helikopter Eurocopter PDRM terbalik, dua krew terselamat



07/07/2010 12:43pm



KUCHING 7 Julai – Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Eurocopter mengalami kemalangan semasa menjalani latihan di kawasan Santubong dekat sini pagi ini.
Kejadian yang mengakibatkan helikopter itu terbalik berlaku ketika pesawat berkenaan cuba mendarat pada pukul 9.50 pagi.
Bagaimanapun dua krew pesawat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. – Utusan

Pelacur pelajar sekolah





Hotel yang dipercayai menjadi lokasi pelacuran pelajar sekolah di Melaka. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


MELAKA 6 Julai - Sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah di dua hotel bajet di bandar raya ini yang dipercayai beroperasi sejak Mei lalu, tumpas di tangan polis semalam.
Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang mendakwa telah diperdaya berjaya diselamatkan manakala seorang ibu ayam bersama dua pembantunya diberkas.
Sindiket itu terdedah apabila salah seorang pelajar berkenaan menghubungi polis menyatakan dia menjadi mangsa sindiket yang memaksanya supaya menjual tubuh.
Berikutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri membuat serbuan di sebuah rumah di Duyung dipercayai disewa oleh ibu ayam sindiket itu yang berusia lingkungan 20-an.
Di rumah itu, polis menemui tiga pelajar yang mengaku dipaksa menjual tubuh dengan bayaran antara RM60 dan RM80 untuk satu sesi hubungan seks.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, hasil maklumat tiga pelajar itu, polis segera menyerbu dua hotel bajet di sini.
Dalam serbuan pukul 3 petang itu, katanya, polis berjaya memberkas ibu ayam berkenaan bersama dua pembantunya.
Beliau berkata, turut ditahan ialah empat lelaki yang dipercayai sedang melanggan pelacur dewasa di hotel bajet terbabit.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Mei lalu dan menjadikan pelajar sekolah sebagai pelacur.
"Setakat ini, polis mengesan hanya tiga pelajar sekolah menjadi mangsa sindiket pelacuran ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adnan, kesemua tiga ahli sindiket yang ditangkap kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bekas kakitangan mahkamah, penghantar surat dipenjara sehari


SHAH ALAM 6 Julai - Seorang bekas pembantu am rendah Mahkamah Sesyen Klang dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima RM2,700 sebagai upah untuk mengeluarkan dua buah fail dari Mahkamah Majistret Klang, dua tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Mohd. Ariffin Saharudin, 39, dipenjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Sementara penghantar surat, Harvind Singh, 36, turut dipenjara sehari dan denda RM8,000 atau penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM3,000 bagi tujuan yang sama.
Mat Ghani semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, walaupun ia melibatkan jumlah wang suapan yang berbeza, namun kejadian itu melibatkan transaksi yang sama selain kedua-dua tertuduh tidak mendapat sebarang manfaat daripada wang tersebut.
Mohd. Ariffin menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM2,700 daripada Harvind sebagai balasan untuk mengeluarkan dua fail dari Mahkamah Majistret Klang di hadapan CIMB Bank, Jalan Tengku Kelana, Klang dekat sini pada pukul 4.45 petang, 19 Mac 2008.
Sementara Harvind turut mengaku menerima RM3,000 daripada Reynolds De Silva di tempat yang sama sebagai dorongan untuk Mohd. Ariffin mengeluarkan dua fail kes saman milik syarikat rakan lelaki itu pada pukul 4.30 petang hari yang sama.
Mohd. Ariffin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara Harvind pula dituduh mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Mereka sebelum ini dibicara mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi kesalahan menerima suapan RM2,700 dan RM3,000 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim.

Tentera Colombia gempur kubu gerila - 12 terbunuh



07/07/2010 3:14am

BOGOTA 7 Julai - Pasukan bersenjata Colombia berjaya membunuh 12 orang gerila dalam serangan dikawasan pergunungan barat laut yang dikuasai pemberontak keturunan Andean, kata Presiden Alvaro Uribe.
Para pemberontak terus melancarkan serangan ke atas negara pengeluar minyak ke empat terpenting di Amerika Latin itu, namun keganasan mula berkurangan selepas Uribe meminta bantuan tentera Amerika Syarikat yang memaksa kumpulan pemberontak bersenjata berundur ke daerah-daerah terpencil.
“Pukul empat pagi semalam, 12 orang gerila terbunuh dan enam berjaya ditangkap hasil tindakan cemerlang pasukan perisikan dan tentera udara Colombia,” kata Uribe kepada pemberita.

Penduduk Kashmir bantah kematian remaja



PENDUDUK Kashmir lari menyelamatkan diri daripada bom asap yang dilepaskan oleh polis India, semasa berarak untuk mengebumikan Muzaffar Bhat, remaja yang didakwa dibunuh oleh pihak berkuasa India di Srinagar, India, semalam. - AP


SRINAGAR 6 Julai - Seorang terbunuh dan dua lagi cedera apabila pihak berkuasa India melepaskan tembakan ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan yang membaling batu selepas perintah berkurung selama tujuh hari ditarik balik.
Beratus-ratus penduduk Kashmir mengadakan bantahan dan menuduh pihak berkuasa membunuh seorang remaja semalam. Mereka menolak dakwaan pihak polis yang menyatakan kematian Muzaffar Bhat, 17, sebagai kemalangan akibat tergelincir ke dalam sungai.
Seorang penduduk, Abdul Ghani berkata, Bhat tidak menyertai tunjuk perasaan semalam dan askar separa tentera India memukulnya dengan kayu dan mencampaknnya ke dalam sungai ketika dia sedang bermain kriket.
Bantahan menentang kekuasaan India di kawasan banjaran Himalaya itu meningkat beberapa minggu lalu dengan penduduk Kashmir menuduh pihak berkuasa membunuh sekurang-kurangnya 12 orang semasa bantahan jalanan itu.
Hari ini juga, pengawal sempadan India terbunuh akibat tembakan dari wilayah Pakistan, kata pegawai pihak berkuasa India.
Tembakan bermula apabila askar Keselamatan Sempadan India dalam perjalanan pulang ke kem selepas melakukan rondaan di sempadan antara India dan Pakistan, kata pegawai kanan askar keselamatan sempadan, J.S. Oberoi.
Sementara itu, kemarahan penduduk wilayah Tengpora di Srinagar, yang merupakan bandar utama di Kashmir India, merebak di jalanan dan bertempur dengan pihak berkuasa.
Pihak berkuasa melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan selepas mereka gagal menyuraikan kumpulan itu yang membaling batu, kata pegawai polis yang enggan mendedahkan identitinya.
Seorang penunjuk perasaan, Fayaz Ahmed Bhat yang berusia 28 tahun mati di tempat kejadian dan dua lagi cedera, kata pegawai itu.
Sementara itu, jurucakap bagi Pasukan Simpanan Persekutuan separa tentera, Manas Ranjan berkata, askarnya tidak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Lebih 68,000 orang kebanyakannya orang awam terbunuh dalam konflik bersenjata di wilayah itu sejak tahun 1989. - AP

Lima sekeluarga mangsa terbaru mati ditikam di China



07/07/2010 3:14am

BEIJING 7 Julai - Ketua kampung bersama empat ahli keluarganya, termasuk bayi lima bulan menjadi mangsa terbaru yang mati ditikam di China, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Suspek, Wang Haiyin menyerah diri selepas polis melepaskan tembakan amaran bagaimanapun memberitahu pihak berkuasa, dia telah sebulan merancang untuk menyerang mangsa, Wang Chengguo yang merupakan pemangku ketua kampung di wilayah tengah Henan, lapor Xinhua. Haiyin dikatakan tertekan dan kecewa dengan pertikaian mengenai tanah dan masalah bantuan kerajaan ke atas ibunya yang telah bersara. - AP

Imigresen Kelantan tahan 57 pendatang asing tanpa izin



06/07/2010 7:45pm

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan seramai 57 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan berasingan di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada lapan warga Kemboja, 24 Indonesia dan 25 Bangladesh yang berusia antara 18 hingga 38 tahun, ditahan antara pukul 2.45 pagi sehingga 12 tengah hari. - Utusan

Sebabkan kematian, penganggur dipenjara lima tahun



06/07/2010 7:45pm

KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang penganggur, Wan Kamaruzaman Wan Yusoff, 30, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang lelaki pada 2 Februari tahun lalu.
Hakim Dazuki Ali membuat keputusan tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah memukul dan mencederakan mangsa, Mohd. Hanifah Abdul Ghafoor, 29, kira-kira pukul 9 malam pada hari kejadian yang menjadi punca kematiannya.
Beliau turut memerintahkan supaya hukuman penjara itu dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, 2 Februari tahun lalu.
Wan Kamaruzaman berasal dari Jalan Sultan Yahya Petra di sini, dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - Utusan