![]() |
Anggota bomba memeriksa kereta BMW yang remuk dirempuh kenderaan pelancong Jerman di Kilometer 277.5 berhampiran susur masuk Plaza Tol Nilai, Negeri Sembilan, semalam. – BERNAMA |
SEREMBAN 4 Julai – Entah apa puncanya, seorang warga Denmark yang memandu di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nilai, tiba-tiba membuat pusingan U selepas terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah kereta, awal pagi tadi.
Dia yang merupakan pelancong kemudian memandu keretanya, Renault Kangoo itu secara melawan arus sejauh lima kilometer.
Akibatnya, kereta itu dirempuh oleh sebuah kereta lain jenis BMW yang dinaiki empat orang mengakibatkan tiga penumpangnya terbunuh.
Kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi di Kilometer 277.5 berhampiran susur masuk Plaza Tol Nilai, dekat sini.
Mangsa yang terbunuh ialah penumpang kereta BMW iaitu Mohd. Sofee Mohd. Tahir, 50; Mohd. Ghazali Abdul Majid, 52, dan Zulkarnain Adam, 49.
Pemandunya, Zahari Abdullah, 49, dan warga Denmark itu mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ), di sini.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Abd. Hamzah berkata, kejadian bermula apabila kereta Renault Kangoo itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah kereta Proton Waja.
Katanya, ketika itu, kereta Renault tersebut dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke Kuala Lumpur.
“Pemandu itu kemudian tiba-tiba membuat pusingan U dan memandu ke arah selatan. Kereta BMW itu yang sedang menghala ke Klang pula gagal mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati Ghazali dan Mohd. Sofee cedera parah di beberapa bahagian badan serta kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, Zulkarnain pula meninggal dunia sebaik sahaja tiba di HTJ.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke HTJ untuk dibedah siasat dan mayat mereka telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
“Polis akan menahan lelaki warga asing itu kerana memandu secara bahaya dan menyebabkan kematian. Kita juga menyiasat apa puncanya lelaki itu memandu melawan arus,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bagi membantu siasatan.
Sementara itu suasana sedih menyelubungi Bilik Mayat HTJ apabila ahli keluarga datang untuk menuntut jenazah mangsa-mangsa kemalangan.
Anak Mohd. Ghazali, Taufek, 25, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya adalah di rumah mereka di Teluk Gadung, Klang, Selangor, Jumaat lalu.
“Pada hari itu, ayah kelihatan biasa tetapi saya berasa hairan kerana arwah mengejutkan saya daripada tidur semata-mata mahu bertanya mengenai kerja saya.
“Ayah sebelum ini tidak pernah menganggu saya ketika tidur tetapi kali ini dia mengetuk pintu bilik dan semata-mata mahu bertanya perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kakak Taufek, Nurul Wahidda, 26, menyifatkan arwah bapanya itu merupakan seorang yang penyayang dan sangat mengambil berat soal keluarga.
“Setiap kali pulang ke rumah, ayah mesti bertanya di mana kami semua berada dan kehilangan arwah sangat dirasai oleh kami sekeluarga,” ujarnya