Search This Blog

Monday, July 5, 2010

Budak perempuan diculik ditemui

SABAK BERNAM: Kegelisahan seorang ibu selepas anak perempuannya berusia setahun lebih diculik bekas teman lelakinya empat hari lalu, berakhir apabila polis menemui mangsa yang dilarikan hingga ke Kuantan, Pahang, awal pagi semalam.
Polis juga berjaya menahan suspek berusia 55 tahun itu yang ketika kejadian turut berada di situ.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushair Mohamad, berkata kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, dengan kerjasama pegawai dan anggota daripada cawangan Penyelidik/Perancang (D8) Bukit Aman dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Noor Mushair berkata, penculikan kira-kira jam 4.30 petang Khamis lalu, apabila suspek dipercayai ke rumah ibu mangsa di Taman Desa Indah, Sungai Besar, dekat sini, dan membawa keluar kanak-kanak itu dengan alasan membeli makanan untuknya.

Dua penganggur dibicara semula dalam kes rompakan di Muar




PUTRAJAYA  Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya diadakan perbicaraan semula kes rompakan bersenjata membabitkan dua penganggur pada 2004. 

Hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara menolak rayuan pendakwaan supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar yang mereka dibicarakan secara tidak adil. 

Perbicaraan semula S Murthu, 33, dan V Veerakumar, 28, di Mahkamah Sesyen Muar dijadualkan Rabu ini.

Mereka didakwa bersama seorang lagi lelaki, A Sarawanan dan dijatuhi hukuman kerana melakukan rompakan bersenjata terhadap tiga lelaki warga Nepal membabitkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM2,500 di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Bakri, Muar, Johor pada 2.20 pagi, 6 Jun 2004.

Sarawanan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan, manakala dua lagi tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun serta lapan sebatan.

Pada 24 Julai 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Murthu dan Veerakumar supaya diadakan perbicaraan semula tetapi menolak permohonan Sarawanan kerana beliau melarikan diri. - Bernama

Murid diperkosa beramai-ramai



MELAKA TENGAH - Hasrat seorang murid perempuan berumur 11 tahun mahu bertemu teman lelakinya di sebuah jeti di Umbai, dekat sini, berakhir dengan pengalaman hitam apabila bekas kekasih dan lima rakannya memperkosanya di sebuah rumah di Umbai di sini, 29 Jun lalu.

kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dan teman lelakinya yang bersiar-siar di jeti ikan bakar itu dibawa enam lelaki ke sebuah rumah yang tidak bernombor berhampiran kawasan jeti berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pada mulanya mangsa dan teman lelaki tiba-tiba disergah enam lelaki dan salah seorang daripada mereka ialah bekas kekasih mangsa.

“Enam lelaki terbabit yang berumur antara belasan tahun hingga awal 20-an kemudian membawa mangsa dan teman lelakinya di sebuah rumah tidak jauh dari kawasan itu dengan menaiki sebuah kereta.

“Di rumah itu, mangsa mendakwa dia diperkosa tetapi tidak ingat berapa orang, sementara teman lelakinya tidak berada di situ, berkemungkinan di luar rumah atau di bilik lain,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen Polis di sini, hari ini.

Lori sayur terbabas



KULAIJAYA - Tiga kenderaan termasuk sebuah lori muatan 10 tan yang sarat dengan sayur-sayuran terbabit dalam kemalangan di kilometer 34, laluan Air Hitam-Johor Bharu kira-kira 4.40 pagi, semalam. 

Lori berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Johor Bahru bagi menghantar sayur namun terbabit dalam kemalangan apabila pemandunya berketurunan India melanggar pembahagi jalan dan terbabas sehingga 50 meter. 

Kejadian itu yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, di sini, turut membabitkan dua lagi kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Kancil dan Honda. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pemandu lori bernombor pendaftaran JKB 707 turut melanggar dua tiang lampu jalan dan menyebabkan batu pembahagi jalan pecah dan serpihannya terkena kedua-dua kereta yang terbabit. 

“Kemalangan itu menyebabkan batu pembahagi bertaburan di atas jalan lalu terkena dua kenderaan bernombor pendaftaran WHA 4895 dan JGM 9453. 

“Kedua-dua kenderaan yang berada di belakang lori berkenaan turut terbabas dalam kejadian itu,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, pemandu lori dan kelindannya hanya mengalami cedera ringan dan telah dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. 

“Kedua-dua pemandu kenderaan iaitu masing-masing lelaki India dan perempuan Melayu tidak mengalami kecederaan. 

“Sehubungan itu kes akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ugut RM25,000



SUNGAI BESAR – Gara-gara kecewa apabila pujukan untuk menjalin kembali hubungan dengan kekasihnya ditolak, seorang lelaki berusia 55 tahun bertindak nekad melarikan anak bongsu bekas kekasihnya itu dari sebuah rumah di Taman Desa Indah di sini, 1 Julai lalu. 

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan yang melarikan mangsa, kanak-kanak perempuan usia setahun empat bulan berjaya dipatahkan polis apabila dia diserbu dalam satu operasi di sebuah hotel di Kuantan, Pahang awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa di Taman Desa Indah di sini dan meminta kebenaran ibu mangsa untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke kedai dengan alasan untuk membeli pakaian. 

Menurutnya, ibu mangsa berusia 33 tahun itu tanpa mengesyaki apa-apa membenarkan anaknya dibawa bersama suspek dengan menaiki teksi. 

Bagaimanapun, sehingga lewat petang, mangsa dan suspek masih belum pulang dan usaha ibu mangsa yang juga suri rumah menghubungi suspek gagal menyebabkan ibu mangsa membuat laporan polis. 

“Laporan kehilangan mangsa diterima pada hari sama kejadian dan satu pasukan khas dianggotai Bahagian Siasatan dan Perancangan (D8) Bukit Aman, Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam ditubuh untuk mengesan suspek,” katanya kepada Sinar Harian. 

Noor Mushar memberitahu, sehari selepas kejadian, ibu mangsa menerima satu kiriman khidmat pesanan ringkas (sms) daripada suspek yang berunsur ancaman mahukan wang tebusan berjumlah RM25,000, sekiranya mahu mangsa dikembalikan.

Pecah pasar



KUALA ROMPIN – Belum reda dengan isu Pasar Besar Kuala Rompin, di sini, yang didakwa peniaga tidak mendatangkan keuntungan, kini timbul pula masalah pasar itu mula dimasuki pencuri. 

Inilah antara kebimbangan yang disuarakan oleh beberapa peniaga di sini, yang mendakwa terdapat dua kes kecurian sejak Khamis lalu yang melibatkan sebuah kantin dan gerai kering, di pasar itu hingga menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kos kerugian. 

Apa yang dibimbangkan itu berasas berikutan terdapat bukti kukuh gerai itu dimasuki pencuri dengan kesan siling di dalam kantin tersebut pecah, selain terdapat kesan kopakan pada besi tempat menyimpan barang di gerai kering terbabit. 

Peniaga bimbang keadaan itu berterusan sekiranya pihak Majlis Daerah Rompin (MDR) masih tidak meletakkan pengawal keselamatan di kawasan itu yang didakwa mereka jauh daripada kawasan bandar. 

Meskipun kerugian yang dialami mereka kecil, tetapi pemantaun dan tindakan serius bagi menangani kes kecurian di pasar itu perlu ditangani segera supaya kes kecurian seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang. 

Ayah ramah sebelum ajal

Posted on the July 5th, 2010 under Berita, Tempatan by johnjimat

SEREMBAN: Kebiasaannya ayah hanya mendiamkan diri dan tidak bertanya apa-apa jika saya baru bangun tidur dalam bilik, namun keadaannya berbeza apabila arwah begitu ramah dan banyak bertanyakan soal kerja, pagi Jumaat lalu.
(Namun) saya tidak menyangka itu kali terakhir berpeluang menatap wajahnya dan menjadi petanda dia pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya, kata Taufik Mohd Ghazali, 25.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, bapanya, Mohd Ghazali Abdul Majid, 52, maut bersama dua sahabatnya, Mohd Sofee Mohd Tahir, 50, dan Zulkarnain Adam, 49, selepas kereta BMW dinaiki mereka bertembung sebuah kenderaan Renault Kangoo dipandu seorang lelaki warga asing.
Difahamkan, kejadian berlaku berikutan lelaki Mat Salleh berusia 20-an itu memandu melawan arus di Kilometer 277.5 Lebuh raya Utara Selatan, di sini.
Berikutan kejadian itu, Mohd Ghazali dan Mohd Sofee mati di tempat kejadian manakala Zulkarnain meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Taufik yang menetap di Teluk Gadong, Klang, Selangor, berkata jantungnya seperti mahu gugur sebaik dimaklumkan tragedi malang yang meragut nyawa bapanya sebelum bergegas ke hospital, kira-kira jam 9.30 pagi.
Saya langsung tidak mengetahui arwah pergi menemui rakan di Melaka malam tadi (kelmarin) dan terkejut diberitahu ibu ayah meninggal dunia dalam kemalangan.
Arwah sebelum ini tidak menunjukkan perubahan ketara dan hanya bersikap peramah kerana banyak bertanyakan saya baru-baru ini, katanya ketika ditemui di HTJS, di sini.
Katanya, jenazah arwah bapanya yang bekerja sebagai kontraktor akan dikebumikan di kampung halamannya di Batu 6, Segamat, Johor.
Kakaknya, Nurul Wahida, 26, berkata dia sekeluarga reda dengan kejadian yang berlaku dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah.
Sepanjang hayatnya, arwah seorang tegas tetapi begitu penyayang serta terlalu mengambil berat kebajikan keluarga terutama kelima-lima anaknya, katanya.
Sementara itu, seorang rakan baik mangsa enggan dikenali berkata, dia tersentak dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi.
Sumber : Harian Metro

Rompak, belasah rakan keluar dengan kekasih



AMPANG: Cemburu rakan keluar dengan teman wanitanya, seorang lelaki bertindak samseng apabila dia bersama hampir 10 lelaki merompak dan memukul rakannya itu dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Jaya, dekat sini, Khamis lalu.

Akibatnya, mangsa cedera di leher, tangan dan kepala selepas dipukul dengan topi keledar dan kayu oleh geng terbabit yang mengamuk di rumah berkenaan.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa yang bekerja sebagai mekanik itu berada di rumah rakannya sebelum didatangi kumpulan lelaki terbabit.
Mangsa berusia 20-an ketika itu singgah di rumah teman wanita rakannya itu sebelum suspek datang bersama hampir 10 lelaki lain.
Mangsa kemudian dipukul kumpulan lelaki terbabit selain mereka turut merampas barangan berharga yang ada dalam rumah berkenaan, katanya.
Sumber : Harian Metro

Lelaki lompat ke parkir dari tingkat 4 maut


Posted on the July 5th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki beraksi ala Spiderman dengan melompat dari beranda tingkat empat sebuah pusat beli-belah ke tempat letak kereta bersebelahan membawa padah selepas terjatuh dan maut di tempat kejadian.
Kejadian disedari pegawai keselamatan pusat beli-belah terbabit selepas terdengar bunyi aneh sebelum melihat mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di tempat letak kenderaan bangunan itu.
Kejadian di Plaza Sentosa di sini, berlaku kira-kira jam 12.35 tengah malam kelmarin itu, kemudiannya dimaklumkan kepada sepasukan anggota polis yang kebetulan menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan dalam bangunan sama.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa berusia 36 tahun itu dipercayai melompat dari beranda bangunan ke tempat letak kereta di tingkat empat.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), berikutan siasatan dijalankan mendapati tidak wujud sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kejadian meragut nyawa lelaki berkenaan, katanya.
Bagaimanapun sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian sebenar boleh menghubungi polis berhampiran atau hotline polis Johor di 07-2212999.
Sumber : Harian Metro

Tangan kiri kena potong



Posted on the July 5th, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
KAJANG: Seorang pengawal keselamatan mati dalam keadaan mengerikan apabila dia bukan saja dilanggar sebanyak dua kali, malah tangan kirinya turut dipotong dipercayai angkara dendam dalam kejadian di Batu 9, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku apabila mangsa yang dikenali sebagai Letchumana berusia 30-an menaiki motosikal tiba-tiba dikejar dan dilanggar sebanyak dua kali oleh sebuah kereta sehingga terjatuh ke dalam cerun dipenuhi semak-samun berdekatan dengan sebuah sekolah, di sini.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, selepas melanggar mangsa, suspek memotong tangan kiri mangsa dipercayai menggunakan parang yang ditemui di dalam kereta itu.
Saya percaya mangsa dibunuh bermotifkan dendam dan cukup mengenali orang yang membunuhnya itu.
Mungkin juga suspek lebih daripada seorang terbabit dalam kes ini, apa pun kami (polis) akan menjejaki individu terbabit kerana membunuh dengan niat, katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Mohd Shakaruddin berkata, turut ditemui di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Persona yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melanggar mangsa. Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 30-an ditemui mati dengan tangan, kaki dan mulut diikat di sebuah flat Desa Serdang, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, menimbulkan tanda tanya penduduk yang menghidu bau busuk sehingga membuatkan mereka membuat laporan polis. Mohd Shakaruddin berkata, ketika polis tiba di rumah berkenaan, pintu rumah berkunci dari dalam dan polis terpaksa memecahkannya lebih 15 minit.
Pada ruang tamu rumah mangsa, polis menemui mayat lelaki berkenaan yang tidak dapat dikenal pasti identitinya itu dipercayai sudah mati lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang berulat dan busuk, katanya.
Mohd Shakaruddin berkata, menurut maklumat penduduk, difahamkan mangsa tinggal seorang diri dan belum berkeluarga, manakala dia menolak dakwaan kemungkinan mangsa dirompak.
Melihatkan keadaan rumah mangsa yang tidak berselerak dan tiada harta benda yang hilang, saya tidak rasa perbuatan perompak, namun siasatan rapi akan dijalankan untuk mengenalpasti identiti mangsa dan punca kematiannya, katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian Metro

Samseng wanita dijel, sebat

Posted on the July 5th, 2010 under BeritaLuar Negara by johnjimat
15/7
MAKKAH: Seorang wanita Saudi yang berbalas tembakan dengan polis dipenjara dua tahun dan 400 sebatan.
Hakim Muhammad Al-Feaim membacakan hukuman terhadapnya di Mahkamah Daerah Makkah selepas dia dan suami didapati bersalah mengingkari arahan pihak berkuasa pada 22 September tahun lalu.
Wanita terbabit menyuarakan bantahan terhadap hukuman dikenakan ke atasnya dan memohon kes dibawa ke Mahkamah Rayuan.
Pasangan berkenaan dikatakan enggan menyerah diri dan melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa yang mengepung mereka di bangunan berdekatan stesen minyak kira-kira 50 kilometer dari Yanbu Al-Bahr.
Suami wanita itu mati ditembak polis ketika berbalas tembakan.
Polis menyerbu masuk ke dalam bangunan selepas wanita terbabit menyerah diri. Mereka turut merampas raifal jenis Ak-47 daripadanya. Polis juga menemui wang tunai SR30,000 (RM25,800) dalam bilik air di rumah pasangan terbabit. – Agensi
Sumber : Harian Metro

Wang simpanan lebur



Posted on the July 5th, 2010 under BeritaJenayahPengajaranTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Gara-gara terpikat dengan pujukan manis seorang wanita menerusi seminar perniagaan, seorang warga emas berputih mata apabila hilang semua wang simpanannya berjumlah kira-kira RM190,000.
Khalijah Ashaari, 59, berkata selepas dua tahun gagal mendapat pulangan dan sebagai usaha menjejak wanita dikenali sebagai Nazirah, 37, dia bertindak membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, dua minggu lalu.
Katanya, dia melabur berikutan Nazirah memberitahu skim itu berupaya membantu dia mengejar cita-cita menjadi jutawan kerana menjanjikan pulangan 10 hingga 15 peratus setiap bulan.
Menurutnya, cara pelaburan dilakukan dengan membuat pembayaran mengikut jumlah pulangan yang diinginkan pelabur dengan jumlah minimum RM10,000.
Saya seperti dipukau apabila mudah mempercayai kata-kata Nazirah yang bertugas sebagai pengurus pemasaran di syarikat pelaburan di Bukit Bintang itu.
Wanita memujuk saya menyertai skim itu dengan alasan memudahkan seseorang mencapai impian termasuk melangsaikan hutang, membantu keluarga, menambah simpanan selain bagi menjalani kehidupan lebih mewah, katanya.
Khalijah berkata, dia menuruti setiap arahan wanita itu termasuk membayar pendahuluan RM100,000 untuk mendapatkan keahlian skim pelaburan berkenaan.
Kemudian, dia menerima satu salinan perjanjian dan borang keahlian yang dikatakan mengandungi maklumat lengkap mengenai peraturan pelaburan berkenaan dalam Bahasa Inggeris.
Katanya, dia terus menyerahkan sejumlah wang melalui dua cek berasingan masing-masing bernilai RM14,000 dan RM76,000 selepas sering didesak wanita itu melalui panggilan telefon.
Saya langsung tidak mengesyaki dia ingin menipu kerana ahli yang hadir ke seminar yang diadakan di sebuah hotel terkenal terdiri ahli perniagaan dan taukeh emas yang datang dari seluruh pelusuk negara.
Sumber : Harian Metro

Denda RM1 juta jika perdagangkan orang



05/07/2010 3:49pm

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sesiapa yang mendapat keuntungan daripada kegiatan mengeksploitasi orang yang diperdagangkan akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 sehingga RM1 juta berdasarkan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perkara itu terkandung dalam Fasal 10 yang menaikkan denda bagi kesalahan itu yang sebelum ini menetapkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
Rang undang-undang itu yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk bacaan kali pertama, juga menetapkan bahawa segala keuntungan yang diperoleh daripada kesalahan itu oleh pesalah yang disabitkan juga boleh dilucuthakkan.
Rang undang-undang yang mempunyai 26 Fasal itu turut memasukkan bahagian baru iaitu Bahagian IIIA, ke dalam Akta 670 untuk menangani masalah yang timbul berkenaan dengan penyeludupan migran. - Bernama

Lapan didakwa berhubung video seks Ariel Peterpan



05/07/2010 5:57pm

JAKARTA 5 Julai - Polis Indonesia akan mendakwa lapan suspek berhubung skandal video seks selebriti yang mencetuskan kekecohan di negara tersebut dan sehingga timbul desakan supaya Internet dikawal.
Ketua penyiasat, Ito Sumardi bagaimana pun enggan mendedahkan suspek terbabit tetapi berkata, ia tidak melibatkan model dan personaliti TV, Luna Maya, 26, dan Cut Tari, 32, yang didakwa muncul dalam video melibatkan Nazril Ariel, 28.
Ariel, penyanyi kumpulan pop Peterpan telah didakwa di bawah undang-undang anti-pornografi dan masih ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Sumardi berkata, kesemua lapan suspek terbabit didapati memuat-naik dua video lucah ke Internet sehingga mencetuskan skandal nasional di negara itu.
“Mereka akan didakwa di bawah undang-undang transaksi dan maklumat elektronik untuk pengedaran haram,” kata Sumardi, yang jika bersalah mereka boleh dihukum penjara sehingga enam tahun dan didenda sehingga satu bilion rupiah (RM352,000) setiap seorang.
“Siasatan masih dijalankan. Kemungkinan masih ada yang terlibat,” katanya.
Ariel ditahan pada 22 Jun tetapi Luna dan Cut masih dibebaskan sehingga hasil siasatan diperoleh. - AFP

Tiga anggota polis bebas tuduhan rasuah



05/07/2010 3:57pm

KLANG 5 Julai - Tiga anggota polis hari ini dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan meminta rasuah, enam tahun lepas.
Hakim Yong Zarida Ismail membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kes Koperal Adanan Shahrir, Koperal Marzuki Md Juhari dan Konstabel Uzil Fadzli Haron.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abdul Malek memanggil seramai 13 saksi memberi keterangan.
Ketiga-tiga anggota polis itu didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd. Isa Mohd. Basir sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap anak Mohd. Isa, Mohd Jannatul Firdaus yang disyaki memiliki ganja bersama seorang lagi lelaki, Mohd. Khaidry Mohd. Amin.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Mobil, Jalan Sungai Udang di sini, pada pukul 3.45 petang, 15 Oktober 2004. - Bernama

Letupan bom bunuh dua separa tentera di selatan Thai



05/07/2010 2:05pm

PATTANI 5 Julai - Satu letupan berlaku di pinggir jalan di sini membunuh dua anggota separa tentera serta mencederakan dua lagi yang lain di wilayah selatan negara ini yang bergolak.
Lefternan Kolonel Polis, Wichai Jaengsakul berkata, bom tersebut meledak lewat malam tadi ketika enam anggota separa tentera sedang berkawal di jalan di wilayah Yala.
Jurucakap Hospital Yala hari ini berkata, empat anggota mengalami kecederaan serius dan dua lagi meninggal dunia. - AP

Empat lelaki samun rumah Exco Pahang ditembak mati



05/07/2010 1:49pm

KUANTAN 5 Julai - Empat lelaki yang memecah masuk kediaman seorang anggota exco kerajaan negeri Pahang di Jalan Teluk Sisek di sini, disyaki untuk melakukan samun, di tembak mati awal hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi itu, lima lelaki memecah masuk rumah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat dengan mengumpil pintu sebelah tepi rumah dua tingkat itu.
Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani berkata Wan Adnan bersama enam anggota keluarganya dan dua pembantu rumah tidak cedera.
"Datuk Wan Adnan dan keluarganya ketika itu berada di tingkat atas rumah dan bertindak menghubungi polis,” kata Robiah kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, polis melihat kelima-lima lelaki terbabit bergegas keluar dari rumah berkenaan.
"Suspek cuba menerpa dengan parang, dan polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan empat suspek mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya.
Robiah berkata kesemua lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditembak di kawasan berhampiran rumah exco berkenaan.
Bagaimanapun identiti mereka belum dikenalpasti.
"Suspek yang melarikan diri itu dipercayai mengalami kecederaan ketika melarikan diri dan bukannya akibat ditembak. Dia memakai baju berwarna merah,” katanya.
Polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar.
"Suspek juga dipercayai menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu.
Berdasarkan modus operandi yang sama dengan beberapa kes samun sebelum ini, polis percaya kumpulan itu juga terbabit dalam kejadian samun lain,” katanya.
Beliau berkata polis kini melancarkan gerakan bagi memburu lelaki yang melarikan diri itu.
"Kami meminta semua klinik atau pengamal perubatan melaporkan kepada polis jika didatangi lelaki berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mahu mendapat rawatan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati peluru senjata api kepunyaan Wan Adnan dilapor hilang. Bagaimanapun jumlah peluru yang hilang belum dipastikan. - Bernama

Kempunan jamah biskut

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tidak sempat menjamah biskut dibeli bersama ibunya apabila dia maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Pengkalan Kubor-Tumpat, kira-kira jam 5.20 petang kelmarin.

REMUK...kereta  yang terbabit dalam kemalangan semalam  menyebabkan kematian  Xiang  Jun (gambar kecil), kelmarin.
REMUK...kereta yang terbabit dalam kemalangan semalam menyebabkan kematian Xiang Jun (gambar kecil), kelmarin.
Lebih memilukan kemalangan terbabit berlaku kira-kira 10 meter dari rumahnya, menyebabkan bapa kanak-kanak terbabit yang sedang membaiki kenderaan di bengkelnya tergamam sebaik mendengar dentuman kuat.

Kejadian itu menyebabkan Lee Phek Hian, 35, bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan isterinya, Pang Chiew Ling, 30, yang mengandung lima bulan serta anak keduanya, Lee Xiang Jun.

Lebih memilukan apabila dua beranak terbabit ditemui dalam keadaan terperosok di bawah kereta berkenaan serta berlumuran darah sebelum Lee membawa mereka ke Hospital Tumpat (HT) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, umur isterinya panjang apabila terselamat meskipun patah kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Namun, nyawa anak lelaki mereka pula tidak dapat diselamatkan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HT. Menceritakan detik mencemaskan itu, mekanik terbabit berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel miliknya dan sedang membaiki motosikal, manakala isteri dan anak keduanya menuju ke kedai runcit di tepi jalan.

“Ketika sedang membaiki motosikal terbabit, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi kemalangan dan terkejut melihat mangsa kejadian itu adalah anak dan isteri saya yang mengandung lima bulan.
“Sebaik menghampiri kereta terbabit, saya dapati isteri dan anak sudah terperosok di bawah kereta dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, dia bergegas membawa isteri dan anaknya ke HT dengan kereta bagi mendapatkan rawatan kerana keadaan mereka tenat.

“Bagaimanapun, Xiang Jun, disahkan meninggal dunia di HT kira-kira sejam kemudian, manakala isteri saya dihantar ke HRPZ II, sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Perdana, dekat sini, untuk pembedahan,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu memang tidak disangka sama sekali kerana isteri dan anaknya ketika itu dalam perjalanan pulang selepas membeli biskut di sebuah kedai runcit kira-kira 100 meter dari bengkelnya.

Dia berkata, sebelum kejadian Xiang Jun yang juga anak kedua daripada dua beradik juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar bersama isterinya itu.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta Mazda dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Pengkalan Kubor menghala ke Kampung Geting, Tumpat, terbabas ketika melalui selekoh.

Kenderaan terbabit terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berada di tepi jalan, menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal sebelum melanggar dua beranak terbabit yang berjalan kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

Restoran hidang siput babi guna logo halal IFRC diperiksa




SHAH ALAM – Sebuah kedai makan ala barat di PJG Dataran Menteri, Petaling Jaya, Selangor yang turut menghidangkan ‘Baked Escargot’ (siput babi), dijual pada harga RM9.50 sekilo didapati menggunakan sijil halal Islamic Food Research Centre (IFRC) yang sudah tamat tempoh 19 Jun lalu. 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nurhamizah Othman berkata, pemeriksaan yang dibuat pihaknya melalui Unit Halal dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor berkata, bahan penyediaan yang diguna pakai juga diragui unsur halalnya kerana terdapat penggunaan kicap tanpa tanda halal selain tertulis mempunyai unsur ‘wain’ di dalamnya. 

Menurutnya, kedai tersebut turut menjual minuman keras kepada pelanggan yang bukan beragama Islam dan minuman tersebut didapati diletakkan bersama minuman berkarbonat lain di peti simpanan sejuk. 

“Unit Halal Jais juga mendapati dua pekerja Islam bekerja di kedai berkenaan, malah ketika ditanya, mereka bekerja di situ kerana terdapat logo halal dilekatkan di pintu masuk utama kedai serta risalah promosi juga diletakkan tanda halal IFRC. 

“Perkara ini mengelirukan sebahagian besar umat Islam di Selangor. Sehubungan itu, Jais berharap masyarakat Islam dapat memberikan lebih banyak maklumat dari masa ke semasa. 

“Ini adalah usaha dalam membantu Jais menangani isu penyalahgunaan logo halal oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin meraih keuntungan ke atas mereka yang kurang pengetahuan agama,” katanya. 

Nurhamizah berkata, pemeriksaan melibatkan dua pegawai Jais itu merupakan sebahagian daripada operasi logo halal di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam yang diadakan Rabu lalu. 

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat orang awam, bahawa masih ada premis mempamerkan logo halal IFRC yang dilarang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil halal di Selangor sejak 5 Mac 2010 lalu. 

Menurutnya, Jais tidak akan bertolak ansur malah akan mengambil tindakan tegas dalam isu logo halal kerana ia melibatkan akidah umat Islam seluruhnya.

Luna, Cut Tari mungkin dinamakan suspek




JAKARTA - Polis Indonesia bersedia menamakan pengacara, Luna Maya dan Cut Tari sebagai suspek berhubung skandal seks yang membabitkan mereka bersama penyanyi kumpulan Peterpan, Nazriel “Ariel” Irham. 

Pegawai polis, Marwoto Soeto berkata, kedua-dua selebriti wanita itu akan dinamakan sebagai suspek selepas polis menemui akta yang sesuai di dalam Akta Jenayah bagi mendakwa mereka. 

"Polis masih mencari akta yang sesuai untuk mendakwa Luna dan Cut dan mereka pasti dinamakan sebagai suspek jika akta itu ditemui," katanya. 

Polis Indonesia sebelum ini menamakan Ariel sebagai suspek dan menahan penyanyi itu sejak minggu lalu berhubung kes itu yang membabitkan penyebaran rakaman seks yang didakwa dilakukan oleh Ariel, Luna dan Cut. 

Ariel didakwa oleh pihak berkuasa Indonesia di bawah Akta Pornografi yang membawa hukuman maksimum 12 tahun penjara. 

Polis juga dilaporkan menyoal siasat bekas isteri penyanyi itu, Sarah Amalia, berhubung skandal itu, Khamis lalu.

Lagi kemalangan bas di Filipina



CEBU - Seramai 15 penumpang maut dan 48 lagi cedera selepas sistem brek sebuah bas yang dipandu laju gagal berfungsi, menyebabkan kenderaan itu menghentam penghalang konkrit, semalam. 

Bas yang membawa pekerja kilang itu hilang kawalan selepas brek kenderaan itu tidak berfungsi semasa menuruni selekoh berbukit. 

Pemandu bas itu dilaporkan melanggar penghalang konkrit di bahu jalan bagi mengelak daripada melanggar sekumpulan pejalan kaki. 

Kebanyakan mangsa yang terbunuh terperangkap di dalam bas manakala lima mangsa meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kenderaan itu. 

Seorang ibu dan anak lelakinya ditemui maut dalam keadaan berpelukan, menurut pegawai polis. 

Pemandu bas yang cedera dalam kemalangan ngeri itu ditahan reman bagi membantu siasatan. 

Kemalangan maut di bandar Toledo itu merupakan kemalangan bas yang kedua dalam masa beberapa minggu di kawasan yang sama. 

Sebuah bas yang disewa pelajar perubatan dari Iran terjatuh ke dalam gaung di jalan berbukit dan membunuh 21 penumpang di Toledo, bulan lalu.

Pelajar perempuan dibelasah rakan



TUMPAT - Gara-gara ‘pertengkaran mulut, seorang pelajar tingkatan tiga terpaksa menanggung kesakitan apabila dibelasah tiga rakan baiknya dalam kejadian dekat Kampung Padang Tembesu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. 

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa, Khairin Zulaikha Zulkefflee, 15, dari sebuah sekolah menengah di sini diajak tiga rakan perempuannya, juga dari sekolah sama untuk berdamai dan bertemu di belakang sekolah tersebut. 

Khairin berkata, dia tidak menduga, pertemuan untuk berdamai pada kira-kira jam 2.30 petang itu tiba-tiba menjadi kecoh apabila salah seorang daripada geng itu menarik kepala dan menendangnya. 

“Difahamkan dua daripada mereka (geng memukul mangsa) ada pertalian anak saudara dan ibu saudara, masing-masing berusia 14 dan 17 tahun. 

“Kami ada sedikit perselisihan faham sebelum ini mengenai masalah peribadi sehingga cerita itu sampai ke pengetahuan sekolah. Saya bersemuka dengan salah seorang daripada mereka untuk bertanya masalah ini,” katanya ditemui di Kampung Berangan, di sini. 

Menurutnya, salah seorang geng tersebut yang berusia 14 tahun memberitahu kepada dua lagi rakannya (ibu saudaranya serta rakan ibu saudaranya) memaksanya saya berjumpa di belakang sekolah kerana mahu menyelesaikannya secara damai. 

“Saya tidak sangka pula mereka tergamak memukul, menendang serta memijak kepala dan perut sehingga masuk ke dalam semak disebabkan pertengkaran mulut pada awalnya,” katanya yang berasal dari Kampung Berangan Pondok. 

Akibat pergaduhan itu, mangsa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik mengalami kecederaan di siku kiri, lebam di bahagian paha kiri serta sakit pada leher dan kepala kerana diterajang serta disepak tiga geng terbabit. 

Katanya, dia terkilan dan sedih kerana pergaduhan selama 30 minit itu turut disaksikan pelajar sekolah berkenaan dan tiada yang cuba meleraikan sebaliknya merakam video aksi pergaduhan itu. 

Sementara itu, ibu mangsa, Khadijah Ismail, 43, berkata, dia pada mulanya tidak ambil kisah selepas dimaklumkan kejadian tersebut tetapi amat terkejut apabila melihat rakaman pergaduhan yang diberikan kepadanya selepas lima hari kejadian menimpa anaknya. 

“Masa hari kejadian, dia ada memberitahu dia bergaduh, namun saya tidak sangka pula ia seteruk ini sehinggalah dia menunjukkan rakaman tersebut. 

“Saya dan abangnya, Mohd Helmi Faizal, 25, pergi ke rumah salah seorang yang memukulnya untuk mengetahui lebih lanjut perkara berlaku, namun kami dimaki hamun ibu bapanya sebelum sempat naik ke rumah,” katanya. 

Khadijah berkata, kerana tidak berpuas hati, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Tumpat semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian yang berlaku.

Remaja dicekup bersama teman lelaki di kedai snuker



KULIM - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan masih bersekolah di sini, ditangkap kerana melakukan perbuatan tidak bermoral bersama teman lelakinya di sebuah kedai snuker kira-kira jam 3.45 pagi kelmarin.

Juru cakap Pejabat Agama Islam Kulim Kedah (PADK) berkata, PADK menerima aduan orang ramai kira-kira jam 2 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 3.20 pagi. 

Katanya, ketika pemantauan dibuat terhadap premis rumah kedai itu, ia dalam keadaan berkunci dari luar.

“Tujuh anggota penguat kuasa PADK pergi ke kedai snuker di sebuah taman perumahan di sini. Apabila sampai ke premis itu, kami dapati pintu di bahagian depan dikunci dari luar. Ini dilakukan untuk mengaburi penguat kuasa yang datang untuk membuat pemeriksaan. 

"PADK memanggil beberapa kali sebelum mengambil keputusan membuka pintu itu. Apabila berjaya masuk ke dalam kedai itu, kami menjumpai sepasang kekasih sedang tidur di atas meja snuker," katanya.

Menurutnya, pihaknya memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa PADK. 

“Hasil pemeriksaan kami mendapati, kedua-dua pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan sah,” katanya.

Juru cakap itu berkata, siasatan awal terhadap pasangan lelaki, dia mengaku mengajak kekasihnya itu tidur di kedai snuker kerana takut hendak menghantar temannya itu balik ke rumah kerana lewat malam.

"Remaja perempuan menangis kerana ketakutan ketika ditangkap, bagaimanapun dia ditenangkan pegawai PADK yang terlibat dalam serbuan itu.

“Mereka diarahkan untuk memakai baju sebelum di bawa ke Balai Polis Kulim untuk buat laporan,” katanya.

Kelab wanita langgan pelacur lelaki



Posted on the July 5th, 2010 under BeritaLuar Negara by Syedz
15/7

GAMBAR yang disiarkan akhbar Bangkok Post semalam menunjukkan Surawong Road yang menempatkan sebuah kelab untuk wanita melanggan teman sosial lelaki yang menawarkan perkhidmatan seks di Bangkok.

BANGKOK – Terdapat lebih sepuluh buah kelab di sekitar Bangkok yang menawarkan perkhidmatan melanggan pelacur lelaki untuk wanita, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut akhbar itu, ramai orang tidak mengetahui bahawa terdapat perkhidmatan khas untuk wanita melanggan teman sosial lelaki di sejumlah kecil kelab malam di sini.
Kelab-kelab itu menyediakan teman sosial lelaki yang tampan, berpendidikan dan berpakaian kemas untuk golongan tersebut.
Akhbar Bangkok Post dalam laporan itu menyatakan, seramai empat penyelidik menyamar sebagai pelanggan untuk meneroka kehidupan pelacur lelaki di empat buah kelab malam.
Kelab-kelab itu mempunyai kawalan keselamatan yang ketat manakala pihak pengurusan menyimpan perasaan curiga terhadap pelanggan-pelanggan baru.
Di kelab-kelab itu, terdapat dasar tidak membenarkan gambar dirakamkan sehingga ada ketikanya situasi tegang berlaku kerana pengawal-pengawal keselamatan cuba untuk menghalang pelanggan merakamkan gambar.
Penyelidik-penyelidik itu juga dipujuk oleh pelayan dan kakitangan keselamatan supaya terus memesan minuman yang mahal ketika mendapati mereka cuba meninggalkan kelab berkenaan.
Beberapa wanita yang menjadi pelanggan menyatakan mereka seronok dan berasa gembira kerana diberikan perhatian oleh lelaki-lelaki muda.
Wanita-wanita itu tidak kisah jika suami mereka mempunyai wanita simpanan dan tidak sepatutnya berasa bersalah atau malu.
Beberapa pengurus menyatakan pelanggan-pelanggan mereka terdiri daripada wanita Thai yang kaya termasuk seorang penyanyi terkenal selain wanita asing dengan majoritinya dari Jepun.
Namun, terdapat sebuah kelab yang juga menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan lelaki selain wanita yang terletak di sebatang jalan di tepi Surawong Road dekat Patpong.
Di kelab itu, seramai 40 orang lelaki yang menawarkan perkhidmatan seks dan mereka menari serta melakukan persembahan erotik.
Kelab itu mempunyai 30 buah meja dengan pentas terletak di bahagian tengah manakala lampu disuramkan semasa persembahan seks dan bunyi muzik yang kuat.
Kakitangan-kakitangan kelab itu termasuk pelayan mengamalkan kaedah mendesak apabila duduk bersama pelanggan supaya mereka boleh menempah minuman.
Satu minuman alkohol ditawarkan pada harga 300 baht (RM29.88) dan 240 baht (RM23.91) untuk satu minuman ringan.
Kelab itu popular di kalangan wanita Asia dan Thailand terutamanya Jepun yang merupakan tetamu paling kerap.
Kebanyakan pelanggan yang ditemui menyatakan mereka telah berkahwin.
Wanita-wanita itu menyatakan bosan dengan suami masing-masing yang selalu keletihan dan mengabaikan mereka.
Pelacur lelaki yang ditawarkan untuk pelanggan wanita itu berumur dari 16 tahun sehingga lewat 30-an dengan ramai berasal dari timur laut Thailand.
Ramai pelacur itu mempunyai tatu dan sebahagian kecil sahaja yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Pelacur-pelacur lelaki itu kerap mendedahkan kemaluan mereka dengan sebahagian mereka memakai kondom semasa di atas pentas atau semasa mendekati pelanggan wanita di meja.
Sejurus selepas memasuki kelab, empat penyelidik yang menyamar itu didekati oleh seorang pengurus lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Kai.
Dia cuba untuk memperkenalkan pasukan penyelidik itu kepada beberapa lelaki yang datang ke meja mereka dengan mendedahkan alat sulit masing-masing.
Penyelidik-penyelidik itu cuba mengelak untuk melanggan lelaki tersebut dengan menyatakan mereka sedang mencari seorang lelaki untuk rakan warga asing yang malu dan tidak mahu datang ke kelab berkenaan.
“Jika dia malu dan tidak mahu datang ke sini, dia boleh menelefon saya dan saya akan memberikan gambaran mengenai lelaki tersebut seperi umur, warna kulit,” kata Mr. Kai.
“Dia (pelacur lelaki) itu boleh menemui wanita itu di mana-mana lokasi yang dia suka,” tambahnya.
Menurut pengurus itu, wanita-wanita Eropah suka keluar dengan lelaki yang berkulit gelap.
Lelaki-lelaki berkulit gelap itu mempunyai bilangan yang kecil di kelab berkenaan manakala wanita Asia suka lelaki berkulit cerah, katanya.
Pengurus itu memberi kad bisnesnya dengan nombor telefon bimbitnya.
“Selepas Mr. Kai meninggalkan kami, sejumlah lelaki yang pada mulanya menggayakan tubuh mereka di atas pentas dan bermain mata dengan kami, mula datang ke meja kami seorang demi seorang dengan cuba untuk mendapatkan perhatian kami dengan mereka cuma memakai kondom,” kata seorang daripada empat penyelidik itu.
“Ramai daripada mereka berkata: “Adakah anda mahukan saya? Saya suka untuk keluar dengan awak. Saya boleh melakukan apa sahaja untuk awak. Lelaki-lelaki itu cuba untuk menarik tangan kami. Saya memberikan mereka 100 baht (RM9.96) setiap seorang supaya mereka beredar,” kata seorang penyelidik itu.
Menurut akhbar itu, untuk membawa keluar seorang pelacur lelaki di kelab tersebut, yuran bar sebanyak 400 baht (RM39.85) perlu dibayar dan 1,500 baht (RM149.44) lagi untuk seks bagi tempoh yang singkat.
Penyelidik-penyelidik itu kemudian pergi ke sebuah kelab lain dan terdapat 60 lelaki berumur antara 22 tahun dan 30 tahun bekerja di situ. Pelacur-pelacur lelaki itu kelihatan lebih tampan dan lebih bersopan daripada kelab yang pertama.
Di kelab itu, pelacur-pelacur lelaki itu memakai seluar ketat umpama seluar dalam semasa menari atau melakukan persembahan di atas pentas.
Pengurus kelab itu yang hanya dikenali sebagai Mr. Moo berkata, kelab berkenaan dimiliki oleh seorang pegawai kerajaan.
Katanya, isteri pegawai kerajaan itu mengendalikan kelab tersebut.
Dia mendakwa kelab itu sebagai yang terbaik di Bangkok dengan beberapa selebriti, model, aktres dan penyanyi datang untuk melanggan lelaki.
“Kami juga mempunyai pelanggan wanita dari beberapa negara Asia seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan dan dari beberapa buah negara Eropah. Wanita warga asing datang ke sini dalam jumlah yang besar berbanding wanita Thai,” katanya.
Hiasan dalaman kelab itu lebih menarik berbanding kelab yang pertama dikunjungi manakala pelayan-pelayannya tidak bersifat pendesak. Ramai lelaki yang bekerja di kelab itu dikatakan pelajar dan penganggur.
Yuran bar ialah 400 baht (RM39.85) dan lelaki-lelaki yang bekerja di kelab tersebut pada kebiasaannya meminta 2,000 baht (RM199.25).
Menurut cerita beberapa lelaki, sebahagian rakan pekerja mereka dibelikan pakaian, diberikan wang dan rumah sewa dibayar oleh wanita yang menjadi pelanggan mereka.
Pengurus kelab itu mengetahui susuk tubuh setiap pelacur lelaki termasuk ukuran panjang kemaluan mereka.
Salah sebuah kelab yang paling popular ialah yang terletak di tingkat 18 di sebuah pejabat di Asoke Road,
Kelab itu tidak mempunyai nama dan ia tidak diiklankan.
Tidak ada persembahan seks tetapi terdapat tarian pelacur lelaki.
Teman-teman sosial lelaki di kelab ketiga ini tampan dan mereka memakai sut serta tali leher.
Kelab itu penuh dengan pelanggan selepas pukul 2 pagi terutamanya pada hujung minggu dan ia ditutup pada pukul 5 pagi.
Hiasan dalaman kelab itu kelihatan mewah.
Seorang penyelidik berkata, ramai pelanggan berumur antara 20 tahun dan 30 tahun tetapi kadang-kala ada yang berumur hampir 50 tahun. “Kami melihat beberapa wanita cantik dan muda dihiburkan oleh beberapa lelaki. Wanita-wanita berpendapatan tinggi sahaja yang pergi ke kelab ini kerana ia amat mahal,” kata seorang penyelidik.
“Kelab itu telah dibuka selama empat tahaun dan dikenali di kalangan ramai wanita terkenal dan kaya,” tambahnya.
“Hos-hos kelab itu melayan pelanggan dengan tarian, bermain permainan dan berbual.
“Tidak ada sentuhan tetapi bercium dibenarkan,” katanya.
Menurut penyelidik itu, ramai pelanggan tiba selepas pukul 2 pagi.
Katanya, terdapat wanita Thailand dan sebahagiannya dari Jepun, Korea dan Singapura.
Menurutnya, semua wanita kelihatan menarik dan berpakaian kemas.
“Lelaki-lelaki yang duduk bersama kami tidak menawarkan seks secara terbuka. Namun, jika anda mahu mengambil seorang lelaki untuk apa sahaja tujuan, yuran bar ialah 1,500 baht (RM149.44). Untuk tujuan seks, wanita-wanita itu perlu membincangkan harga dengan lelaki tersebut,” kata seorang penyelidik.
Kelab terakhir yang dikunjungi oleh empat penyelidik itu terletak di Ratchadaphisek Road yang dibuka sehingga awal pagi.
“Pelanggan-pelanggan kelab itu termasuk pelacur kelas tinggi, model, aktres serta penghibur wanita yang menjadi teman lelaki sambilan,” kata seorang lelaki, Mr. Suporn yang menyatakan dia ialah pengurus perhubungan awam kelab berkenaan.
Seorang wanita yang menjadi pelanggan kelab itu berkata: “Suami saya mempunyai seorang ‘isteri simpanan’ jadi, kenapakah saya tidak boleh memiliki seorang suami simpanan?” Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Miss Pu yang berumur 38 tahun dan seorang ahli perniagaan berkata, dia mengetahui mengenai kelab yang menawarkan pelacur lelaki daripada seorang rakan.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah mendengar terdapat sebuah kelab di Jepun yang menawarkan lelaki kacak untuk menghiburkan wanita.
Menurutnya, terdapat ramai lelaki kacak, peramah dan menghiburkan di kelab tersebut.
“Saya berasa seperti istimewa berada dengan mereka kerana teman-teman sosial lelaki itu memberi banyak perhatian kepada saya dan mereka lebih baik daripada kekasih lelaki saya sebelum ini termasuk yang saya miliki sekarang ini,” katanya.
Thailand memang terkenal dengan kehidupan malamnya tetapi baru-baru ini industri pelancongannya terjejas disebabkan oleh tunjuk perasaan antikerajaan pada April dan Mei lalu.
Imej negara itu sebagai ‘Tanah Senyuman” terjejas selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menduduki daerah beli-belah dan hotel di tengah Bangkok pada April dan Mei lepas dengan menyebabkan 90 orang terbunuh manakala 1,885 lagi cedera. – Agensi
kredit : kosmo.com.my