Search This Blog

Sunday, July 4, 2010

Pemandu nyaris hangus bersama lori



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
MELAKA: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila bahagian belakang lori membawa bekas telur ayam yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar di Jalan Bertam Ulu, Sungai Udang, dekat sini, malam kelmarin.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia secara kebetulan berada di belakang lori berkenaan dan menyedari kepulan asap pada belakang kenderaan itu lalu memotongnya sambil membunyikan hon untuk memberi isyarat.
Menurutnya, beberapa pemandu kenderaan lain yang melihat kepulan asap terbabit turut membunyikan hon dengan kuat kerana lelaki berkenaan seolah-olah tidak menyedari keadaan itu.
Tidak lama kemudian, lelaki berkenaan memberhentikan lori terbabit di bahu jalan lalu turun untuk melihat apa yang berlaku.
Dia kemudian cuba memadamkan api dengan mengeluarkan bekas telur ayam itu bagi mengelak api bertambah marak.
Bagaimanapun, keadaan tidak banyak membantu kerana api mula membakar kebanyakan bekas telur itu, menyebabkan asap berkepul-kepul sebelum sepasukan anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran, katanya ketika ditemui, di sini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Tahir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.45 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan Ayer Keroh dengan kekuatan 13 anggota bergegas ke tempat kejadian dan api berjaya dipadam dalam tempoh 15 minit.
Katanya, kebakaran lori berkenaan dipercayai bermula dari bahagian belakang, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas terhidu bau asap.
Pada masa ini, siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kebakaran itu, katanya.
Sumber : Harian Metro

Pemilik bengkel bebas tuduhan palsu tuntut Perdana V6



04/07/2010 4:27pm

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pemilik bengkel yang dituduh memalsukan
dokumen tuntutan berhubung penyelenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri tiga tahun lalu.
Hakim M.Bakri Abd Majid berkata, Tor Kok Siong, 54, dibebaskan dari keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya tanpa perlu dipanggil membela diri.
Ketika membuat keputusan itu, M.Bakri berkata, mahkamah menerima bantahan peguam bela tertuduh, Karpal Singh yang meminta mahkamah tidak menggunakan satu dokumen penting berkaitan kes itu yang didakwa Karpal dibekalkan kepadanya semasa kes berkenaan telah berjalan.
Menurut Karpal, dokumen yang bersabit dengan sesuatu kes perlu diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum sesuatu kes berjalan, bukannya semasa kes itu berlangsung.
Hakim bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa salinan dokumen yang menjadi sebahagian kes pendakwaan perlu dibekalkan
sebelum perbicaraan bermula. - Bernama

Bunyi ‘daging ditakuk’



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tidak menduga tindakan rakannya meninggalkan meja untuk bertemu individu tidak dikenali ketika mereka rancak berbual bertukar kejadian buruk di sebuah taman permainan berhampiran kawasan flet di Taman Melor, di sini, kira-kira jam 1 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, bagi menyelamatkan diri, mangsa berusia 23 tahun itu yang berlumuran darah bangun dan berlari sejauh kira-kira 100 meter bagi mengelak terus ditetak penyerangnya yang berang.
Nasib kemudian menyebelahi mangsa apabila penyerang terbabit tiba-tiba panik lalu melarikan diri sebaik menyedari ada penghuni flet terjaga berikutan bunyi bising.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan rakannya rancak berbual sambil meneguk minuman keras.
Tanpa diduga mereka menerima kedatangan tetamu tidak diundang apabila sekumpulan lelaki menaiki kereta dan motosikal muncul sebelum memanggil mangsa untuk berbincang masalah peribadi.
Perbincangan yang pada mulanya berjalan dengan baik bertukar tegang, menyebabkan seorang lelaki mula hilang sabar lalu menetak mangsa menggunakan parang panjang.
Akibat tetakan itu mangsa cedera di tangan kanan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan dia dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini (semalam) selepas mendapat rawatan, manakala kecederaan dialami tidak serius.
Siasatan diteruskan dengan menilai pelbagai sudut bagi mengetahui punca sebenar kejadian, sekali gus menyelesaikannya secepat mungkin, katanya.
Ruslan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata tajam atau lain-lain benda yang berbahaya.
Sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun, denda serta sebatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga diminta tampil ke balai atau menghubungi talian hotline polis Johor di 07-2212999, katanya.
Sumber : Harian Metro

Mangsa syahwat guru



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Guru terlampau. Itulah gelaran yang layak diberi kepada seorang guru yang sanggup menjadikan pelajarnya sebagai mangsa untuk memuaskan nafsu.
Guru lelaki terbabit bermain cinta dengan pelajarnya itu sejak awal tahun ini.
Peristiwa malang itu berlaku dua kali iaitu April dan 18 Jun lalu sebelum terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian kepada ibunya selepas tidak dapat menyimpan rahsia itu lagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata selepas mendengar pengakuan anaknya, si ibu membawa mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 3 petang Isnin, dua minggu lalu.
Katanya, berdasarkan keterangan ibu mangsa, anaknya didakwa dirogol dua kali di rumah guru terbabit di Rawang.
Mangsa turut mendakwa guru berkenaan mengajak dia pulang ke rumahnya sejurus tamat waktu sekolah dengan alasan mengambil buku yang tertinggal sebelum kejadian rogol berlaku.
Mangsa mungkin ketakutan dan bimbang kejadian itu diketahui orang, menyebabkan dia mengambil keputusan berdiam diri sebelum didedahkan kepada ibunya pada 21 Jun lalu, katanya.
Abdul Rahim berkata, mangsa kemudian dibawa ibunya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil ujian mendapati kesan koyak pada kemaluan mangsa, bagaimanapun dia tidak hamil.
Polis mengesan lokasi dan identiti suspek dan hanya menunggu masa sesuai menahannya, katanya.
Sumber : Harian Metro

Acu pisau di leher



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
KOTA KINABALU: Seorang suri rumah berusia awal 20-an berdepan detik mencemaskan apabila diacukan pisau di leher sebelum kaki, tangan dan mulutnya diikat lebih empat jam oleh dua penyamun yang menceroboh rumahnya di Taman Casia, Luyang, di sini, semalam.
Bagaimanapun, sebaik pintu dibuka, mangsa terkejut apabila seorang lelaki tidak dikenali terus mengacukan pisau di lehernya dan mengarahnya supaya tidak menjerit atau melawan.
Sebaik berjaya menawan mangsa, lelaki terbabit memanggil seorang lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta memasuki rumah terbabit.
Mangsa kemudian dibawa masuk ke bilik dan dipaksa meniarap di atas katil sebelum kaki, tangan dan mulutnya diikat.
Selepas mengikat mangsa, kedua-dua perompak menggeledah rumah berkenaan sebelum melarikan diri bersama beberapa peralatan elektrik, barang kemas dan wang tunai RM200 yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM5,000.
Suami mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang terkejut apabila mendapati pintu depan rumah terbuka, manakala keadaan di dalam rumahnya berselerak sebelum naik ke tingkat atas untuk mencari isterinya.
Lelaki itu tergamam apabila melihat keadaan isterinya di atas katil dalam keadaan tidak bermaya dengan tangan, kaki dan mulutnya diikat lalu melepaskan ikatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Selepas menerima laporan, sepasukan polis pergi ke rumah mangsa dan melakukan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Rowell Marung, gagal dihubungi bagi mengesahkan perkara itu.
Sumber : Harian Metro

‘Saya tidak takut’



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Semua berita berkenaan adalah fitnah semata-mata, kata seorang juara program nyanyian realiti televisyen yang didakwa memukul wanita sarat mengandung yang juga isteri kepada kekasihnya sebelum mengadakan hubungan seks dengan lelaki itu di depan mangsa.
Yang boleh saya katakan, saya tidak pernah takut untuk berdepan sesiapa bagi menjelaskannya kerana saya yakin saya di pihak benar.
Buat masa ini saya menerima arahan daripada syarikat rakaman saya untuk tidak memberi sebarang komen. Mungkin selepas pulang dari Sibu, Sarawak esok (hari ini) saya akan berjumpa semua pihak dan menjelaskan perkara sebenar.
Saya mempunyai segala bukti kukuh bagi menyangkal dakwaan itu. Saya tidak peduli jika mereka mahu terus bercakap dan memburukkan saya. Saya percaya, Tuhan Maha Kaya dan mereka yang memburukkan saya akan menerima balasan setimpal, katanya.
Usaha Metro Ahad mendapatkan kenyataan daripada keluarga mangsa mengenai kejadian di kediaman mangsa di Flet Danau Kota, Wangsa Maju, di sini, pada 26 Jun lalu, menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, menerusi SMS yang dikirimkan sumber kepada wartawan bertarikh 29 Jun lalu mengatakan pihak keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, sehari selepas kejadian.
Isu itu timbul apabila beberapa laman web hiburan dan ruangan gosip akhbar tempatan memaparkan dakwaan berkenaan pada Khamis lalu.
Menerusi artikel berkenaan, artis itu dikatakan bukan saja merampas suami orang tetapi dengan bongkak bercakap dia berani mengambil siapa saja yang disukainya.
Ketika bertengkar, lelaki itu dikatakan sanggup memukul isterinya yang sarat mengandung selepas mangsa bertanya kesahihan hubungannya dengan bintang realiti terbabit.
Bagaimanapun, pertengkaran itu tidak selesai begitu saja apabila pasangan berkenaan didakwa melakukan hubungan seks di depan isterinya yang lemah selepas dipukul.
Ketika kejadian, mangsa juga dikatakan sempat menghantar SMS kepada bapanya di kampung berbunyi: Abah… saya baru je kene (kena) pukul dengan abang (suaminya) dan penyanyi itu. Lepas dia orang pukul saya, dia orang terus bersetubuh depan saya.
Sumber : Harian Metro

Mayat lelaki terjun laut ditemui selepas dua hari



Posted on the July 4th, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
GEORGETOWN: Selepas dua hari hilang apabila bertindak nekad terjun ke dalam laut, mayat lelaki warga India yang menikam bekas teman wanitanya Khamis lalu, ditemui terdampar di benteng pasir berhampiran Persisiran Pantai Lebuhraya Jelutong di sini, semalam.
Abd Rahim berkata, pada mulanya dia bagai tidak percaya objek ditemuinya ialah mayat manusia, namun apabila kembali selepas minum pagi, objek itu masih tidak bergerak dan terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan berhampiran tapak projek pembinaan di tepi lebuh raya.
Beliau berkata, dia pada mulanya ingin menghampiri mayat itu untuk membuat pengesahan tetapi selepas dimaklumkan mayat berkenaan mungkin terbabit dalam kes jenayah dia membatalkan hasratnya sambil menunggu ketibaan anggota polis pada jam 9 pagi.
Hasrat menjala udang terbantut kerana saya masih terkejut dan berasa takut, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Dua Pulau Pinang, Leftenan Komander Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, mayat lelaki ditemui kira-kira jam 9.30 pagi itu dikenal pasti sebagai suspek yang menikam teman wanitanya.
Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, mayat lelaki itu dikenali sebagai Dhanasejara Ghanasubramaniam, 26, melalui lesen memandu yang ditemui di dalam poket seluarnya.
Katanya, kumpulan mencari dan menyelamat membabitkan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Dua, Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Utara.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Unit Forensik Polis Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan operasi mencari serta menyelamat ditamatkan pada jam 12.45 tengah hari.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kang Meng ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki warga India itu dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Sumber : Harian Metro

Mayat bayi baru lahir di tapak pelupusan sampah



04/07/2010 5:01pm

SANDAKAN 4 Julai - Mayat seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui di kawasan tapak pelupusan sampah di Batu 8, Jalan Fook Kim, dekat sini semalam.
Mayat bayi itu yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain ditemui kira-kira pukul 6 petang oleh kanak-kanak yang memungut sampah di kawasan tapak pelupusan itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, siasatan awal polis mendapati mayat bayi itu ditemui oleh kanak-kanak berkenaan dari longgokan sampah yang baru diturunkan dari sebuah lori sampah.

Lori tersebut sebelum itu memungut sampah di kawasan Batu 4 di sini tetapi pekerjanya tidak menyedari tong sampah yang mengandungi mayat bayi itu, katanya.

Rosli berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar he Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

PGM Pengkalan Kubor rampas minyak bernilai RM630,000



TUMPAT - Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, Pasukan Gerakan Marin Pengkalan Kubor merampas 6,700 liter diesel dan 27,175 liter petrol bernilai RM630,806 yang cuba diseludup ke negara jiran.

Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Tan Cheng San berkata, rampasan dibuat menerusi 57 tangkapan yang turut menyaksikan 18 kereta dan lapan lori yang diguna dalam cubaan menyeludup dirampas. 

"Turut dirampas lima bot enjin galah, dua bot nelayan pukat tunda kelas 'C' dan masing-masing satu bot nelayan kelas 'A' dan bot nelayan kelas 'B' yang diguna untuk membawa bahan bakar itu," katanya selepas menghadiri kempen kebersihan pantai Geting di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan tertinggi ialah pada Mei dan Jun iaitu masing-masing 15 tangkapan, diikuti Januari (9), April (8), manakala lima tangkapan masing-masing pada Februari dan Mac.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga pihaknya merampas 8,760 kg gula pasir, 119 kg minyak masak, bawang besar (190 kg) dan bawang putih (80 kg). – Bernama

Gajah tunggal mengamuk, rosak rumah penduduk



RANTAU PANJANG - Seekor gajah dikatakan mengamuk dan hampir merosakkan rumah di Kampung Banggol Petai di sini ketika penduduk sedang nyenyak tidur awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 1 pagi itu, dikatakan ada penduduk nyaris tercedera.

Seorang penduduk, Norsuriawati Mohd Nor, 34, berkata, ketika kejadian itu, dia dan tiga anak perempuannya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising seperti sesuatu sedang dirobohkan.

"Kemudiannya saya dapati sebahagian daripada dinding bilik mandi rumah saya dirobohkan," katanya.

Norsuriawati berkata, dia kemudian menyalakan semua lampu di rumahnya dengan harapan gajah berkenaan akan takut dan beredar dari kawasan rumahnya.

Ismail Awang Long, 30, berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi bising sebelum melihat seekor gajah sedang mencabut pokok ubi kayu di belakang rumahnya.

"Gajah itu kelihatan ganas, ia mencabut ubi kayu dan mengambil ubi kayu itu lalu menghempasnya. Saya tidak pasti mengapa ia bertindak demikian," katanya.

Ismail berkata, bapanya Abdul Rahim Abdul Rahman, 59, menyuluh haiwan itu dengan lampu suluh bagi menakutkannya.

Kejadian itu dianggap pertama kali berlaku sejak Ismail dan keluarganya tinggal di kampung itu lebih 60 tahun lalu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Jeli sedang menjejaki gajah liar itu.

Warga emas patah tengkuk

BESUT: Gara-gara mahu mengelak sebatang pokok pisang yang tumbang, seorang warga emas patah tengkuk selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Jertih-Pasir Akar, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila pemandu pacuan empat roda terbabit gagal mengawal kenderaan berkenaan sebaik mengelak sebatang pokok pisang yang tumbang di tempat kejadian sebelum terbalik di kiri jalan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakan dalam perjalanan dari Alor Keladi ke tempat kerja di Felda Keruak, di sini.

"Berikutan kejadian itu mangsa patah tengkuk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada rakan untuk dibawa pulang ke kampungnya.

Ainul pula diragut

KUALA LUMPUR: Selepas isteri Aziz M Osman, Puteri Lily, menjadi mangsa samun Khamis lalu, seorang lagi artis turut menerima nasib sama dalam kejadian malam kelmarin di persimpangan lampu isyarat ketika menuju ke rumah rakannya di Wangsa Maju, dekat sini.
AINUL... beg tangan dilarikan mat rempit.
AINUL... beg tangan dilarikan mat rempit.
Menurutnya, dia kemudian memberhentikan kereta di sebelah kereta yang dipandu bapa untuk memberitahunya supaya membuat pusingan U ketika tiba di satu persimpangan lampu isyarat.

“Ketika itu saya menurunkan cermin tingkap pintu sebelah kiri tetapi belum sempat menutup semula, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki berhenti.

“Seorang daripada lelaki itu kemudian merampas beg tangan saya yang diletakkan di kerusi penumpang depan sebelum mereka memecut laju melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sempat melihat wajah kedua-dua lelaki berkenaan tetapi yakin ia angkara ‘mat rempit’ yang biasa melakukan kerja jenayah seperti itu.
Dia juga tidak sempat mengejar motosikal berkenaan, manakala bapanya tidak dapat melakukan apa-apa berikutan jalan raya sesak dan lampu isyarat masih merah.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas. Nasib baik tidak ada barangan berharga di dalam beg berkenaan. Saya tidak membawa wang tunai yang banyak, cuma RM20 dan kad bank serta kad kredit. Namun saya sudah membatalkan semua kad saya malam tadi.

“Saya masih terkejut dengan kejadian itu. Tidak sangka ia terjadi kepada saya. Namun yang penting saya tidak cedera. Selama ini saya hanya mendengar cerita daripada rakan yang menjadi mangsa samun. Tidak sangka pula ia terjadi kepada saya.

“Syukur penjenayah itu tidak bersenjata seperti mana yang terjadi terhadap isteri abang Aziz M Osman. Jika tidak, perkara pasti jadi lebih teruk,” katanya yang belum membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan Puteri Lily atau nama sebenarnya Puteri Salbainun Lokman menjadi mangsa samun dua lelaki bermotosikal dalam kejadian jam 3 petang Khamis lalu ketika dia memandu BMW model Z4.

Kejadian berlaku ketika Puteri Lily dalam perjalanan menuju pejabatnya di Kota Damansara melalui Jalan Lapangan Terbang Subang.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, lelaki bermotosikal menghampirinya sebelum seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap di tempat duduk penumpang dan mengeluarkan sepucuk pistol serta mengacukan ke arahnya.
Lelaki itu merampas beg tangan yang diletakkan di tempat duduk penumpang depan.

Kejadian itu menyebabkan dia kehilangan wang tunai RM1,000 selain kamera dan pelbagai dokumen penting, termasuk MyKad.

Seluar Datuk Bandar tertanggal dalam perpustakaan

LEICHESTER: Datuk Bandar Leicester, Colin Hall, terpaksa membuat permohonan maaf terbuka selepas seluarnya terlucut ketika mengadakan lawatan ke sebuah perpustakaan, lapor media, semalam.
Menurut Daily Telegraph, kejadian berlaku di perpustakaan Southfields.
Hall datang sebagai tetamu kepada majlis anjuran sebuah pertubuhan pendidikan tempatan.

Ketika dia bergegas masuk ke majlis itu, tiba-tiba seluar Hall tertanggal sehingga paras pahanya.

Jurucakap pejabat Datuk Bandar Leicester berkata, mereka kesal atas kejadian itu dan meminta maaf kerananya.

Kata jurucakap itu, Hall tidak memakai tali pinggang.

“Kepada sesiapa yang tersinggung dengan insiden itu, pejabat ini memintaa maaf,” katanya. - Agensi

15 penyokong Brazil, Argentina cedera bergaduh

DHAKA: Kekalahan pasukan Brazil dalam saingan Piala Dunia kali ini terlalu sukar diterima peminat mereka di Bangladesh.
Selepas pasukan itu tewas 1-2 kepada Belanda kelmarin, hospital negara itu mencatatkan sekurang-kurangnya 15 kes kecederaan kerana bergaduh.
Seorang lagi lelaki cuba membunuh diri dengan mengambil ubat tidur berlebihan.

Seorang doktor Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Firoz Ahmed, berkata semua mangsa yang cedera itu dirawat di hospital berkenaan.

Dianggarkan hampir 80 juta warga Bangladesh menyaksikan perlawanan itu.

Katanya, selain peminat Brazil, mangsa yang cedera turut membabitkan penyokong Argentina.

“Mereka bergaduh selepas penyokong Argentina meraikan kekalahan Brazil.

“Kebanyakan mangsa cedera di kepala akibat dibelasah dengan kayu atau batu,” katanya.

Majoriti penduduk Bangladesh menjadi penyokong tegar gergasi bola sepak Amerika Latin berkenaan.

Firoz berkata, sekurang-kurangnya lima penyokong Brazil dimasukkan ke hospital itu kerana mengambil pil tidur berlebihan.

“Mereka tidak dapat menerima kenyataan Brazil tewas kali ini,” katanya. Kata Firoz, sempena kempen Piala Dunia kali ini, hospital berkenaan mencatatkan lonjakan ketara bagi kes membabitkan pengambilan pil tidur.

PM Itali upah penari lucah dalam hotel

BRASILIA: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, didakwa membayar upah lebih RM4,400 kepada sekumpulan wanita jelita untuk menghiburkannya ketika melakukan lawatan rasmi ke Brazil, lapor media semalam.
Berlusconi yang memang terkenal dengan siri skandal seksnya itu didakwa memanggil sehingga enam penari lucah ke bilik hotelnya di Sao Paolo, Isnin lalu.
Lebih menarik, kumpulan itu diberitahu kononnya mereka dipilih menjalani uji bakat bagi program televisyen di Itali dan Berlusconi, 73, mahu melihatnya terlebih dulu.

Seorang daripada penari itu, Alexandra Valenca, 28, berkata mereka pergi ke Hotel Tivoli di Sao Paolo dan di situ ada disediakan hidangan mewah Itali.

“Kami cuma diberitahu mereka mahu mencari penari Brazil yang berbakat untuk program televisyen Itali dan akan akan mula disiarkan dua minggu lagi,” katanya, semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika Berlusconi mengetuai delegasi negaranya - termasuk sekumpulan ahli perniagaan - melawat Brazil.

Pada Isnin itu, mereka mempunyai jadual ketat, termasuk bertemu Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva. Kata Alexandra, Berlusconi seorang lelaki yang mempesonakan sesiapa yang melihatnya.

“Kami mengadakan persembahan selama 12 minit tetapi saya tidak menunggu di situ selepas majlis tamat.

“Rasanya, parti itu berlanjutan sepanjang malam,” katanya.

Sementara itu, pejabat Berlusconi menafikan laporan itu dan berkata, pada hari kejadian, rombongan perdana menteri itu menghadiri majlis anjuran ahli perniagaan tempatan.

“Ia adalah satu daripada majlis dihadiri Berlusconi dan turut membabitkan persembahan tarian tradisional Brazil,” kata kenyataan itu. - Agensi

Paris ditahan bawa dadah selepas tonton Piala Dunia

PORT ELIZABETH: Polis menahan Paris Hilton sejurus selepas dia pulang menyaksikan pasukan Brazil menentang Belanda dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia, semalam.
Sumber polis berkata, selebriti sosial itu diberkas selepas sejumlah marijuana - dikenali sebagai dagga - ditemui dalam beg tangannya.
Turut bersama Paris ketika itu adalah aktor Hollywood terkenal, Leonardo DiCaprio.

Kata sumber itu, sekumpulan pegawai polis berpakaian preman mengekori Paris dan DiCaprio sebaik saja mereka meninggalkan stadium dan menaiki sebuah bas mewah.

Apabila diserbu, saksi berkata, semua penumpang bas itu kelihatan pucat ketakutan.

Bagaimanapun, Paris dan DiCaprio bernasib baik apabila polis menggugurkan tuduhan itu selepas seorang daripada rakan mereka mengaku memiliki dadah berkenaan.

Jika tidak, Paris boleh didenda RM418 atau penjara 30 hari. - AP

Suami dua alam

KUALA LUMPUR: Mereka sudah berkeluarga tetapi masih mengamalkan hidup songsang bagi memenuhi naluri serta keinginan seks terhadap kaum sejenis.
Itulah dilema segelintir suami yang sudah berumah tangga namun masih terperangkap dengan dunia homoseksual tanpa pengetahuan isteri serta anak masing-masing.

Rata-rata mereka yang melakukan perbuatan jijik itu seperti bernaung di bawah satu ‘kelab’ dan aktif menjalankan kegiatan terbabit secara berkumpulan.

Biasanya, golongan suami yang dahagakan hubungan sejenis ini bergerak bersama ke tempat dan ‘sarang’ golongan homoseksual itu seperti kawasan taman, rumah urut dan spa khusus untuk golongan gay memuaskan nafsu serakah mereka.

Ada juga suami gay berkenaan yang bermain cinta dengan lelaki muda homoseksual bergelar ‘anak ikan’ untuk memenuhi keinginan mereka.

Kegiatan diumpamakan ‘kelab suami gay’ ini didedahkan seorang lelaki dikenali sebagai Addy, 39, yang aktif melakukan aktiviti songsang terbabit sejak mula mendirikan rumah tangga kira-kira tujuh tahun lalu.

Resort Sepanyol larang pakai bikini



BARCELONA - Sebuah bandar peranginan terkenal Sepanyol di Salou dekat sini mewartakan undang-undang melarang pengunjung datang ke pantai Mediterranean itu dengan hanya memakai bikini.
Langkah itu dibuat ekoran tindakan liar lebih 8,000 pelajar dari 100 buah universiti Britain ketika festival musim bunga tahunan Saloufest pada Mac lalu yang mabuk dan melakukan hubungan seks bebas.
Majlis Bandaran Salou menetapkan pesalah boleh dikenakan hukuman denda antara 100 euro (RM406) sehingga 300 euro (RM1,218). - Agensi

Dalang samun mesin ATM



AMPANG JAYA - Empat penjenayah yang ditahan polis berhubung kes cubaan merompak sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Puchong pada Rabu lalu dikenal pasti sebagai pekerja sebuah syarikat keselamatan.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar semalam ketika mengulas mengenai penahanan empat lelaki di Puchong kira-kira 12 jam selepas kejadian.
"Kita percaya mereka terlibat dalam kejadian itu dan memohon reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Dataran Ampang Point di sini semalam.

Diploma palsu universiti dijual di Internet



BEIJING - Pihak berkuasa China mengesan lebih tiga juta laman web tempatan yang menawarkan diploma palsu melibatkan hampir 30 buah universiti di Beijing dengan setiap keping boleh mencecah harga sehingga 9,000 yuan (RM4,300).
Akhbar China Daily semalam melaporkan, diploma Universiti Sains dan Teknologi Beijing paling laris serta menjadi tumpuan pelajar yang menggunakan ia untuk menipu ketika temuduga memohon pekerjaan sama ada sektor kerajaan atau swasta.
"Jika diploma dari universiti awam, kos paling rendah ialah 7,000 yuan (RM3,344) tetapi universiti swasta cuma 4,000 yuan (RM1,911), manakala pemohon wanita gemar diploma pengurusan perniagaan dan calon lelaki pula suka bidang sains komputer," kata seorang ejen yang hanya dikenali sebagai Wang.
Kementerian Pelajaran berkata, diploma dari Beijing amat diminati kerana ada 102 buah universiti di ibu negara China itu namun, majikan boleh mengesan penipuan dengan menghubungi pihak universiti untuk pengesahan rekod. - Agensi

Buaya merayau di bandar lewat malam




SEEKOR buaya yang berjaya ditangkap anggota polis Jerman kelmarin dipercayai dari sebuah sarkas tempatan.


BERLIN - Penduduk sebuah bandar kecil di Jerman gempar apabila melihat seekor buaya merayau-rayau di jalan raya pada lewat malam kelmarin sebelum segera menghubungi balai polis tempatan, kata pihak berkuasa di Gross-Rohrheim semalam.
Buaya sepanjang semeter itu berjaya ditangkap oleh dua anggota polis selepas menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi daripada seorang pejalan kaki ketika reptilia itu sedang berehat di hadapan sebuah kedai motosikal di pusat bandar tersebut.
"Pada mulanya kami ketawa kerana menyangka pemanggil itu mungkin mabuk tetapi kemudian mendapati ia memang buaya yang dipercayai terlepas dari sebuah sarkas berdekatan," kata jurucakap polis, Ferdinand Derigs. - Agensi

230 maut lori minyak meletup di Congo




SEORANG wanita membawa keluar anaknya dari kawasan kejadian letupan sebuah lori tangki minyak di wilayah Sud Kivu kelmarin.


KINSHASA - Sekurang-kurangnya 230 orang dikhuatiri maut dan 190 lagi cedera apabila sebuah lori tangki membawa muatan penuh minyak meletup dan membakar sebuah perkampungan terpencil di wilayah Sud Kivu, timur Congo lewat kelmarin.
Menteri Komunikasi, Mende Omalanga berkata, nahas berlaku apabila lori dari Tanzania yang dipandu laju itu terbabas ketika cuba memotong sebuah bas di Sange dekat sempadan Congo-Burundi kira-kira pukul 6 petang Jumaat (11 malam waktu Malaysia kelmarin).
Kebanyakan mangsa ketika itu sedang menonton perlawanan Piala Dunia 2010 antara Belanda dengan Brazil dan mereka dipercayai terbunuh apabila disambar api semasa mencuri limpahan minyak yang tumpah dari lori berkenaan.
"Ramai mangsa ialah kanak-kanak yang tidak sempat melarikan diri ketika lori itu meletup dan semasa pihak polis tiba, puluhan mayat bergelimpangan di kawasan kemalangan," kata pegawai Palang Merah wilayah tersebut, Leonard Zigade.
Sekumpulan anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kebetulan berada dekat kampung itu turut membantu membawa mangsa terselamat ke beberapa buah hospital dengan tiga buah helikopter. - Agensi

Curi enjin mohon kurang jaminan Selasa ini



PETALING JAYA 2 Julai - Permohonan mengurangkan jumlah jaminan seorang anggota tentera yang didakwa bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 akan didengar pada 6 Julai ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di sini, Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan terdapat fakta baru dikemukakan dalam notis usul dan afidavit yang masih belum dijawab.
Oleh sebab itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Noh memohon masa tambahan untuk menjawab kesemua isu yang dibangkitkan dalam dokumen-dokumen tersebut.
Beliau turut memberi akujanji menyiapkannya pada Isnin ini sebelum pendengaran permohonan tersebut.
Permohonan tersebut dibuat oleh pihak pembelaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Aslam Zainudin pada 29 Mac lalu yang mengekalkan wang jaminan RM150,000 yang dikenakan ke atas Sarjan N. Tharmendran.
Tertuduh yang berada dalam reman selepas gagal membayar wang jaminan itu sejak didakwa pada 6 Januari lalu diwakili peguam bela, Rakhbir Singh.
Tharmendran yang masih bertugas di Pangkalan Udara Subang didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Kanan Mohamad Shukri Mohamad Yusop mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 yang ketika itu berada di dalam bangunan Material Processing Shed, MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM, Sungai Besi di ibu negara.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sekitar Disember 2007 di Air Movement Section, Pangkalan Udara TUDM Subang.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandra Prasad, 37, turut didakwa atas tuduhan menolong melupuskan dua buah enjin pesawat tersebut pada 30 April 2008 di No. 49, Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang, Selangor.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.
Lelaki berkenaan yang turut dikenakan jumlah ikat jamin yang sama, membayar wang jaminan itu.

Guru rogol pelajar



KUALA LUMPUR 3 Julai - Tugas sebagai seorang guru mendidik anak bangsa merupakan satu kerjaya yang mulia.
Bagaimanapun, berbeza dengan seorang guru berusia 22 tahun ini apabila dia menjalin hubungan dengan pelajarnya sendiri sehingga ke peringkat melakukan hubungan seks.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, perkara tersebut akhirnya berjaya dikesan oleh ibu bapa mangsa setelah mengesyaki ada sesuatu tidak kena dengan anak mereka yang berusia 16 tahun.
Katanya, ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Rawang pada 21 Jun lalu.
"Hubungan kedua-duanya dipercayai terjalin sejak tahun ini dan mereka berdua pernah melakukan hubungan seks, dua kali pada April dan Jun lalu.
"Kedua-dua kejadian itu berlaku di rumah guru tersebut di Taman Garing Utama, Rawang.
"Pemeriksaan di Hospital Selayang mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa, namun dia tidak hamil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, pihaknya telah mengenal pasti suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Suspek rogol 3 anak ditahan



KOTA MARUDU 3 Julai - Selepas tiga hari melarikan diri, seorang bapa yang dikehendaki polis kerana merogol tiga anaknya akhirnya ditahan di rumahnya di Kampung Talangkapa, dekat sini malam tadi.
Suspek berusia 43 tahun, ditahan kira-kira pukul 8 malam ketika berehat di dalam rumahnya.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 32 kelongsong peluru senapang patah yang telah digunakan dan beberapa bahan peledak.
Katanya, suspek sebelum itu dikesan pulang ke rumahnya kira-kira pukul 3 petang tetapi sempat melarikan diri ke dalam hutan setelah menyedari kehadiran polis.
"Empat jam kemudian, polis mendapat maklumat daripada orang kampung bahawa suspek telah kembali ke rumah dan segera mengepung kawasan berkenaan.
"Ketika ditahan, suspek tidak melawan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Isa berkata, dengan penemuan kelongsong peluru dan bahan peledak itu suspek akan disiasat mengikuti Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.
"Kita percaya suspek memiliki senjata buatan sendiri... Bagaimanapun polis tidak menemui senjata berkenaan semasa serbuan," ujar beliau.
Selasa lalu, suspek bertindak melarikan diri ke dalam hutan di Kampung Talangkapa dekat sini selepas perbuatannya merogol tiga anaknya berusia 11 hingga 13 tahun terbongkar.
Berdasarkan laporan yang dibuat oleh kakak mangsa, ketiga-tiga mangsa dirogol sejak Januari sehingga hujung bulan lalu.

8 korban baru

NARATHIWAT: Kumpulan pemberontak Muslim disyaki melakukan serangan hendap dengan membaling bom dan melepaskan tembakan mengakibatkan lima anggota pasukan keselamatan terkorban, malam semalam.
Dalam kejadian serangan kedua semalam, tiga anggota tentera pula terbunuh apabila diserang dengan cara yang sama di tepi jalan ekoran insiden keganasan yang memuncak di selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia.
Insiden serangan itu menimbulkan kebimbangan kerajaan Thailand yang baru reda menghadapi keadaan huru-hara yang berlaku akibat bantahan penyokong parti politik pada bulan lalu. Lebih 4,000 penduduk terkorban di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat yang berada di bawah pemerintahan Kesultanan Islam pada satu abad yang lalu.

Kumpulan pemberontak sering menyerang hendap pasukan keselamatan dengan membaling bom minyak seperti kejadian serangan di Narathiwat, malam semalam.

“Anggota yang diserang itu sedang membuat rondaan syif malam dengan menaiki trak pikap,” lapor Leftenan Pairat Kiatjaroensiri yang memberitahu kumpulan pemberontak turut merampas empat raifal sebelum melarikan diri. Tiga daripada lima anggota keselamatan yang terkorban beragama Islam dan dua lagi beragama Buddha.

Menurut Leftenan Kolonel Kumpon Ponpakdi pula, dalam kejadian serangan kedua semalam, bom yang ditanam di tepi jalan raya di Yala meletup dan membunuh tiga anggota tentera dalam trak pikap. - Reuters