Search This Blog

Saturday, July 3, 2010

Mangsa culik dapat RM65j

SACRAMENTO: Seorang wanita yang diculik selama hampir 20 tahun oleh seorang perogol yang dibebaskan dengan parol dan melahirkan dua anak sepanjang tempoh itu akan menerima pampasan AS$20 juta (RM65 juta) daripada pihak berkuasa California.
GARIDO...penjenayah.
GARIDO...penjenayah.
Anggota penggubal undang-undang negeri meluluskan bayaran berkenaan semalam kepada Jaycee Dugard, 30, dan dua anaknya. Mereka ditemui Ogos lalu selepas ditahan di belakang rumah suspek yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai Phillip Garido. “Ia bayaran pampasan kepada tiga orang untuk seluruh hidup mereka yang musnah teruk sepanjang tempoh 17 atau 18 tahun lalu,” kata orang tengah kes itu, Daniel Weinstein kepada Associated Press.
Jaycee dan anaknya yang berusia 15 hingga 12 tahun mengemukakan tuntutan pampasan itu Februari lalu dengan mendakwa ejen parol daripada Jabatan Penjara mula menyelia Garrido pada 1999 tetapi gagal menemui mereka.

Keluarga itu menuntut ganti rugi psikologi dan emosi.

Wang itu akan digunakan untuk membeli rumah bagi keluarga itu, memastikan privasi mereka, membiayai persekolahan, menggantikan pendapatan yang hilang dan membayar kos terapi yang mungkin mengambil masa beberapa tahun, kata Weinstein, hakim bersara Mahkamah Agung San Francisco County.

“Ia bukan usaha untuk membayar penderitaan yang mereka lalui atau ganti rugi kerana sekian lama dikurung atau dipenjara kerana penderitaan yang mereka lalui itu tidak ternilai,” kata Weins- tein dalam temuramah dengan telefon.

“Sebahagian pampasan ini ialah usaha pihak berkuasa negeri untuk mengelak daripada menanggung liabiliti yang lebih besar jika kes itu dibicarakan,” katanya. - Agensi

Parah dilibas pedang samurai

ALOR GAJAH: “Ketika cuba melawan mereka, tangan kiri saya terkena pedang samurai sebelum senjata tajam itu dilibas sekali lagi di belakang badan menyebabkan saya menjadi tidak bermaya.
Nasib saya baik apabila diselamatkan penduduk kampung yang datang membantu.”

Demikian kata Zulzainudin Yusof, 16, yang menerima 24 jahitan di badannya selepas diserang dengan pedang samurai dan kayu oleh sekumpulan 20 lelaki berusia antara 19 hingga 20-an dipercayai akibat salah faham di BalaiRaya Kampung Belimbing Dalam, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa bersama beberapa rakan termasuk jirannya sebelum itu sibuk memindahkan barangan di balai raya berkenaan akibat banjir berikutan hujan lebat.

Zulzainudin berkata, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki bermotosikal memasuki kawasan balai raya lalu mendekatinya sambil bertanya seorang bernama Bismi.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit bertanya sama ada dia Bismi, namun dinafikan.
“Tiga daripada mereka menarik saya lalu pukul secara beramai-ramai tanpa belas ihsan dipercayai kerana tidak berpuas hati.

“Saya sempat melawan mereka tetapi seorang daripada mereka melibas pedang samurai dan terkena tangan kiri.
“Dalam keadaan lemah akibat dipukul bertalu-talu, saya cuba melarikan diri sebelum penduduk kampung bersama bapa yang berada berhampiran datang memberi bantuan bagi meleraikan kekecohan itu,” katanya.

Beliau berkata, sebaik sampai, bapanya sempat menendang seorang daripada kumpulan lelaki itu menyebabkannya terjatuh dalam longkang dan menangkapnya sebelum rakan lelaki itu datang lebih dekat.

“Kami dua beranak dikepung kumpulan lelaki itu sebelum bapa melepaskan rakan mereka yang ditangkap lalu kumpulan lelaki itu beredar dari balai raya menaiki motosikal,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bapa mangsa, Yusof Ismail, 45, berkata kejadian yang menimpa Zulzainudin disedarinya apabila seorang rakan anaknya memaklumkan perkara terbabit kepadanya.

“Rakan dia (Zulzainudin) jumpa saya dan memaklumkan anak saya dipukul sekumpulan lelaki. Saya ke tempat pergaduhan itu dan mendapati tangan dan belakang badan anak saya berdarah.

“Saya sempat melawan seorang daripada mereka hingga pedang digunakan itu jatuh dan sempat mengambil senjata itu,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.

Penyanyi tergamam

GOMBAK: Seorang penyanyi lelaki berusia 40-an hanya mampu tergamam ketika diberkas sepasukan anggota polis ketika leka berjudi di sebuah kafe siber di sini, malam kelmarin.
Penyanyi utama sebuah kumpulan muzik yang mencipta nama sekitar awal 90-an itu ditahan dalam Ops Dadu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.

Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, empat pegawai bersama 15 anggota polis melakukan serbuan serentak di kafe siber di Diamond Square dan Plaza Idaman, Gombak di sini.

Ketua Operasi, Superintendan Maszely Minhad berkata, serbuan disasarkan di kawasan berkenaan dipercayai menjadi tumpuan kaki judi menghabiskan masa sambil bermain judi pertaruhan di Internet.

Menurutnya, hasil serbuan itu, seramai 58 individu berusia antara 28 dan 64 tahun diberkas.

“Malah, seorang nenek berusia 58 tahun turut diberkas dalam serbuan itu ketika dipercayai leka berjudi. Namun ketika ditahan, wanita warga emas itu memberi alasan sedang menunggu cucunya,” katanya.
Menurutnya, polis merampas 179 unit komputer dan dua mesin slot yang dikesan sudah diubah suai untuk tujuan perjudian Internet.

“Apa dilakukan itu tidak ubah seperti kasino apabila pemilik pusat kafe siber itu sengaja menyediakan pelbagai jenis permainan judi kepada pelanggan.
“Malah, pemiliknya turut memasang enam kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau sebarang pergerakan polis. Selain itu, hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk ke dalam premis,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan tujuh penjaga kafe itu yang berusia 19 hingga 64 tahun termasuk seorang wanita warga tempatan.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mayat berasap

AMPANG: Seorang wanita dipercayai warga Belgium ditemui rentung berhampiran keretanya di bahu jalan berhampiran rumah pam milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Menara Mutiara, Ampang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan rentung hampir 90 peratus.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa dijumpai kakitangan Syabas yang kebetulan datang ke rumah pam berkenaan bagi memeriksa tahap tekanan air sebelum menghubungi polis.

“Kakitangan itu curiga selepas melihat ada sebuah kenderaan jip jenis Suzuki di bahu jalan berhampiran rumah pam itu sedangkan kawasan ini adalah agak sunyi dan berhampiran hutan.

“Dia cuba mendekati jip terbabit dan terkejut sejurus melihat satu mayat dalam keadaan rentung dan masih berasap dipercayai baru dibakar,” katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran jip itu mendapati ia milik seorang wanita warga Belgium berusia 40-an.

Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang rentung itu adalah wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, kita (polis) masih mengesan pemilik jip terbabit. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Melalui pemeriksaan anggota forensik, dipercayai mangsa dipengsankan atau dibunuh sebelum dibakar. Mangsa kemungkinan dibakar antara jam 9 pagi dan 3.30 petang,” katanya ketika ditemui di sini.

Polis turut menemui satu pemetik api dan sebotol mineral yang dipercayai diisi minyak tanah berhampiran kawasan mayat mangsa ditemui.

Lima minit penuh ngeri



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
17 pelajar berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar
MUAR: Lima minit tempoh yang amat mencemaskan bagi 17 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, dekat Kundang Ulu di sini, semalam, apabila mereka terpaksa menyelamatkan diri dan membantu rakan lain selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar, tengah hari semalam.
Bot yang sepatutnya hanya boleh memuatkan lima penumpang itu dimasuki air beberapa saat selepas pelajar berkenaan menaikinya menyebabkan mereka terjun ke sungai yang arusnya deras walaupun sebahagiannya tidak pandai berenang.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, semua pelajar termasuk empat perempuan, selamat.
Mereka yang tidak memakai jaket keselamatan, menaiki bot berkenaan menyeberangi Sungai Muar yang lazimnya mengambil masa lima minit, untuk pulang ke rumah di Kampung Liang Batu.
Semua mereka bernasib baik apabila kejadian itu berlaku hanya 20 meter dari tebing sungai dan sempat berpaut pada pancang kayu, selain dibantu rakan yang tahu berenang.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Dalam beberapa saat saja bot mulai karam selepas dimasuki air. Kami panik… semua yang menaiki bot itu menjerit ketakutan sehinggakan suasana menjadi kelam kabut.
Semua pelajar dalam bot terus terjun ke dalam sungai. Mereka yang tahu berenang membantu rakan lain. Malah saya sendiri juga hampir lemas dan terkapai-kapai sebelum sempat ditarik seorang kawan, kata seorang pelajar terbabit, Mohammad Amirul Hakimi Hanafi.
Ketika menceritakan detik mencemaskan itu, Mohammad Amirul, 14, berkata walaupun kejadian berlaku berhampiran tebing sungai, keadaan arus agak kuat menyebabkan ada di kalangan pelajar yang sukar menyelamatkan diri dan hampir lemas.
Menurutnya, semua pelajar itu, termasuk empat pelajar perempuan adalah kumpulan pertama yang menaiki bot itu, manakala sekumpulan lagi rakan mereka, termasuk guru menunggu giliran menaiki bot di jeti Pekan Kundang Ulu itu.
Pemandu bot, Fuad Hasbullah, 56, bersyukur kerana semua pelajar dibawanya, selamat.
Mujurlah ada antara mereka sempat berenang dan berpaut di pancang kayu yang terletak berhampiran jeti Kampung Liang Batu. Keadaan mungkin sebaliknya jika berlaku di tengah Sungai Muar kerana arusnya kuat dan air dalam boleh menyebabkan pelajar hanyut serta tenggelam, katanya.
Katanya, bot yang karam itu baru digunakan sejak akhir Mei lalu, selepas bot penambang biasa digunakan pelajar dan penduduk berulang alik ke Pekan Kundang Ulu, karam di Jeti Kampung Liang Batu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata siasatan awal mendapati bot itu membawa penumpang melebihi had yang menyebabkannya karam.
Katanya, kira-kira 17 pelajar dan pemandu bot berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai berikutan lokasi karam hanya terletak 20 meter dari tebing.
Bot itu sepatutnya hanya membawa kira-kira lima penumpang saja, tetapi sebaliknya, ia membawa melebihi dua kali ganda sehingga menyebabkan bot itu gagal menampung muatan itu lalu karam, katanya ketika dihubungi.
Sumber : Bharian.com.my

Tonto jaga ‘gadis geli’ tewas akhirnya



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Rahsia sebuah pusat karaoke menyimpan gadis geli yang kerap kali dapat menghidu serbuan polis sejak sebulan lalu akhirnya membongkar kewujudan tonto atau lebih terkenal dengan jolokan jaga air yang memantau premis terbabit dengan ketat.
Malah pengintip upahan yang diberikan upah lumayan terbabit turut mempunyai senarai nombor pendaftaran kereta semua pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi membolehkan setiap pergerakan polis diekori.
Bagaimanapun, pusat karaoke yang didirikan di bangunan pawagam lama di Taman Ipoh, Perak, terbabit akhirnya berjaya dibongkar selepas sepasukan anggota polis dari D7 Bukit Aman diketuai Ketua Operasi D7 Bukit Aman, Superintendan Maszely Minhad bersama 17 anggotanya dibantu D7 Perak menyerbu premis berkenaan malam kelmarin.
Dalam operasi kira-kira jam 11.15 malam itu, kebanyakan suspek tidak sempat melarikan diri kerana premis itu sudah dikepung manakala beberapa jaga air yang berada luar premis sudah ditahan terlebih dahulu.
Maszely berkata, cubaan polis D7 Perak membongkarkan kegiatan haram di karaoke itu sebelum ini gagal kerana pergerakan mereka diawasi pengintip khas yang diupah pemilik pusat hiburan itu.
Lebih mengejutkan apabila pengintip upahan itu berada di setiap sudut bangunan karaoke terbabit dan mempunyai senarai nombor pendaftaran kereta hampir semua pegawai dan anggota D7 negeri berkenaan.
Selain itu, jaga air terbabit turut dibekalkan dengan alat perhubungan walkie talkie selain diarah menjadi pemerhati untuk mengesan kehadiran anggota polis, katanya.
Menurutnya, maklumat dan kemudahan dimiliki itu membolehkan pengintip terbabit mengekori kenderaan pegawai dan anggota polis D7 IPK Perak dan memaklumkan pekerja pusat hiburan itu jika polis ingin membuat serbuan, Bukan setakat mengupah jaga air, pemilik karaoke juga mengubah suai dan memasang siren amaran dalam bangunan karaoke itu selain kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan pelayan pelanggan (GRO) warga China yang bekerja melarikan diri jika ada serbuan, katanya.
Katanya, kegiatan itu berjaya ditumpaskan selepas polis memberkas seorang `jaga air berusia lingkungan 30-an dalam operasi itu. Katanya, suspek kemudian membawa polis masuk ke dalam pusat karaoke berkenaan sebelum menahan lima GRO warga China, 16 pekerja dan jaga air termasuk tiga rakyat Bangladesh.
Turut diberkas 44 pelanggan dan seorang lelaki dipercayai rakan kongsi kepada pemilik pusat hiburan berkenaan, katanya.
Beliau berkata, serbuan terbabit menghadapi kesukaran apabila polis terpaksa melonggarkan dua pintu kebal bermagnet sebelum boleh masuk ke pusat karaoke itu.
Sebaik pintu dibuka, GRO China terbabit bertempiaran melarikan diri ke arah tangga yang menuju ke bahagian bumbung dan tingkat bawah premis terbabit.
Namun semua gadis itu berjaya diberkas, katanya Menurutnya, siasatan mendapati wanita warga China berusia 20-an terbabit memasuki negara ini sebagai pelancong, namun menyalah gunakan dokumen perjalanan mereka apabila terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.
Sumber : Harian Metro

Ular sawa dalam kabinet



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
MELAKA: Seorang lelaki yang sedang tidur di rumah keluarga angkatnya di Bertam Malim, Jalan Pulau Gadong, di sini, tersentak apabila bunyi bising di ruang dapur disangka bunyi kucing bergaduh sebenarnya bunyi seekor ular sawa yang cuba menelan seekor kucing betina, pagi kelmarin.
Lelaki terbabit, Mohd Sidek Muhammad Nor, 25, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, dia terkejut mendengar bunyi bising dari arah dapur.
Menurutnya, mereka pada mulanya menyangkakan ia hanya bunyi kucing bergaduh tetapi apabila bunyi berkenaan menjadi lebih kuat berikutan beberapa barangan di dapur turut terjatuh dan pecah, dia bingkas bangun untuk memeriksa.
Ketika itu, kami ternampak seekor ular sawa membelit kucing betina atas lantai dan cuba menelannya.
Bagaimanapun, disebabkan ular berkenaan menyedari kehadiran kami yang cuba menghalaunya lalu melepaskan kucing terbabit dan menyusup naik sebelum memasuki almari kabinet dapur dan bersembunyi di celah barangan, katanya.
Menurutnya, disebabkan ular berkenaan agresif, mereka tidak berani menangkapnya lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk bantuan.
Katanya, anggota JPAM yang tiba ke rumah berkenaan mengambil masa kira-kira 20 minit menangkap ular sawa itu disebabkan reptilia terbabit cuba menyusup masuk ke rumah sebelah.
Sumber : Harian Metro

Perut naik cinta hilang



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
ULU TIRAM: Gara-gara terpedaya dengan janji cinta seorang lelaki buaya darat, seorang ibu tunggal 13 anak bukan saja menanggung derita apabila ditinggalkan lelaki itu yang menghilangkan diri, malah kini hamil hasil hubungan terlarang mereka.
Menurut wanita yang hanya dikenali sebagai P Mala, 36, dia dan lelaki itu mula menjalin hubungan selepas buaya darat itu bersungguh-sungguh mahu memperisterikannya selepas kematian suami beberapa bulan lalu.
Katanya, lelaki itu pandai memujuk, malah memberikan semangat kepadanya selain bersungguh-sungguh mahu mengambilnya sebagai isteri dan membesarkan 13 anak bersama-sama.
Akhirnya, saya cair dengan segala janji ditabur hingga sanggup menyerahkan maruah diri kepadanya. Hubungan terlarang kami berlarutan sebelum saya disahkan hamil sebelum dia terus menghilangkan diri apabila kandungan saya mencecah usia tiga bulan, katanya.
Kehidupan Mala terus berubah dan dia kemudian terpaksa mendapatkan perlindungan di Persatuan Kebajikan Tiram, Taman Puteri Wangsa di sini.
Menurutnya, tembelang lelaki terbabit terbongkar selepas dia menemui SMS menunjukkan lelaki itu sebenarnya sudah berkeluarga.
Saya cuba mendapatkan penjelasan selain memaklumkan kepadanya yang saya hamil tiga bulan. Namun, bagai sudah jatuh ditimpa tangga, dia sebaliknya menghilangkan diri dan gagal dikesan.
Kini, tinggal saya keseorangan manakala jiran pula mengeji terhadap kejadian yang berlaku selepas mengetahui saya hamil.
Kehidupan saya anak-beranak kini pula semakin tertekan lalu mengambil keputusan mendapatkan perlindungan di rumah ini, katanya.
Mala yang kini sarat hamil lapan bulan mengakui kesilapan diri kerana terlalu menaruh kepercayaan terhadap lelaki berusia 40-an itu.
Wanita berkenaan percaya lelaki terbabit jujur kerana ketika itu, dia begitu memerlukan perlindungan seseorang dan tempat berkongsi duka selepas kematian suami akibat kanser paru-paru lebih setahun lalu.
Perkara itu mengakibatkan saya kemurungan dan nyaris berputus asa, namun demi masa depan anak, saya sanggup menghadapi cabaran hidup, katanya yang mempunyai anak berusia antara dua tahun hingga 20 tahun.
Dia yang menjadi antara ibu hamil terbiar mendapatkan perlindungan di rumah kebajikan itu turut mengatakan sebelum suaminya meninggal, mereka pernah menyerahkan tiga anak sebaik dilahirkan pada pasangan yang tidak mempunyai zuriat akibat kesempitan hidup.
Saya berharap ada pihak tampil membantu anak-anak dengan dua daripada mereka kini tidak bersekolah kerana terpaksa menjaga adik di rumah memandangkan doktor meramalkan saya bakal bersalin dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Anak sulung dan kedua bekerja sambilan di kilang dengan pendapatan RM800 sebulan. Kedua-dua mereka juga terpaksa menanggung kos sewa rumah RM300 sebulan, katanya.
Sumber : Harian Metro

Peserta program realiti TV dakwa ditipu penerbit



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Sekumpulan peserta satu program realiti televisyen berkonsepkan keusahawanan mendakwa mereka dipermainkan pihak penerbit kerana bukan saja tidak mendapat hadiah kemenangan, malah semua janji ditaburkan tidak pernah ditunaikan.
Program itu hanya disiarkan beberapa episod di televisyen pada masa tidak menentu sebelum ditamatkan begitu saja sedangkan semua 16 peserta yang terpilih terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menyiapkan tugasan dan ada yang berhenti kerja bagi mengikuti program yang dikatakan bakal melahirkan usahawan berjaya itu.
Uji bakat program itu pada Mei 2007 dikatakan berjaya menarik minat seramai 6,000 peserta, tetapi hanya 16 terpilih untuk merebut hadiah utama RM500,000 selain hadiah iringan namun sehingga kini semua pemenang hanya memperoleh plak penghargaan.
Seorang peserta, Faizal Riduan, 29, berkata dia sanggup berhenti kerja kerana mahu mengejar cita-cita menjadi usahawan berjaya namun impiannya hancur selepas penerbit program televisyen itu tidak menunaikan janji mereka.
Kami ditabur pelbagai janji seperti bakal bergelar usahawan dan menjadi anak angkat kepada agensi kerajaan tertentu tetapi semuanya indah khabar dari rupa.
Selepas terpaksa menyelesaikan tugasan menggunakan wang sendiri, kru produksi pula meninggalkan penggambaran kerana gaji tidak dibayar dan kemuncaknya kami tidak menerima hadiah lumayan dijanjikan.
Yang pasti, peserta umpama dijadikan kambing hitam masalah pihak penerbit.
Semua pengorbanan masa yang kami lakukan demi menjayakan program itu dinafikan mereka (penerbit) malah kami dan pihak lain yang terbabit seperti kru, pengacara, tenaga pengajar dan penyedia khidmat sokongan diabaikan keseluruhannya, katanya.
Menurutnya, kegagalan penerbit merosakkan hidup 16 peserta itu kerana ada di kalangan mereka kehilangan pekerjaan kerana menyertai program yang memakan masa lebih dua bulan itu.
Sumber : Harian Metro

Terkejut tahu anak hamil



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
AMPANG: Seorang ibu yang pelik melihat keadaan fizikal anak gadisnya seolah-olah mengandung membuat ujian kehamilan sebelum terkejut apabila sangkaan itu tepat.
Malah, ibu malang terbabit turut pergi ke rumah teman lelaki anaknya itu untuk berbincang dan meminta dia bertanggungjawab, namun lelaki berkenaan melarikan diri.
Bagaimanapun, polis berjaya menahan lelaki terbabit di rumahnya selepas ibu mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.
Menurut sumber polis, ibu remaja berusia 15 tahun itu menyedari rahsia anaknya itu Sabtu lalu dan dia membuat pemeriksaan dengan menjalankan ujian kehamilan untuk memastikan status fizikal anaknya itu yang dilihat keadaan pelik.
Remaja berkenaan mengaku dia mengandung hampir empat bulan dan menyatakan ia hasil hubungan seks dilakukan bersama teman lelakinya, katanya.
Berikutan itu, ibu remaja berkenaan ke rumah teman lelaki anaknya dan meminta dia bertanggung jawab.
Teman lelaki remaja terbabit langsung tidak mahu bertanggung jawab atas apa yang dilakukannya sebelum bertindak melarikan diri.
Berikutan itu, ibu mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas perbincangan secara baik yang cuba dilakukannya tidak dilayan teman lelaki anaknya itu, katanya.
Sumber : Harian Metro

Wanita ditikam kekasih terselamat dengan 70 jahitan



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
GEORGETOWN: Seorang wanita tempatan yang ditikam kekasihnya, seorang lelaki warga India berusia 27 tahun kelmarin, menerima 70 jahitan di muka dan badannya terselamat daripada maut dengan keadaannya dilaporkan stabil.
Mangsa, Y Yogeswary, 21, berasal dari Air Itam, itu ditetak kekasihnya, Dhanasejara Ghanasubramaniam, selepas menolak cintanya dan mangsa mengalami kecederaan di dada serta kepala dipercayai akibat ditikam menggunakan senjata tajam oleh suspek yang melarikan diri ke arah Jalan Datuk Keramat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada mangsa selepas mangsa mula sedar, semalam.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan selepas wanita tempatan itu menolak cinta suspek.
Siasatan lanjut mendapati kereta Suzuki Vitara dinaiki suspek milik seorang rakyat tempatan iaitu rakan suspek yang kemudian terbabas di Jalan Datuk Keramat, katanya.
Yogeswarin kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan ditempatkan di wad biasa, manakala Dhanasejara pula mengambil keputusan nekad terjun ke laut di pantai Jalan Green Hall, selepas terbabit dalam kemalangan itu.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah 2 Pulau Pinang, berkata operasi mencari dan menyelamat sudah diaktifkan untuk mencari mangsa membabitkan APMM, Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri.
Bagaimanapun, sehingga ke petang semalam, mayat mangsa belum ditemui dan operasi berkenaan akan diteruskan.
Sumber : Harian Metro

Miliki harta curi RM1j



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
SEREMBAN: Seorang ibu beranak lima dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam, atas lima tuduhan berasingan memiliki harta curi, wang tunai lebih RM1 juta milik seorang suri rumah.
Tertuduh, Margiyanna Ali, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima harta curi wang tunai RM100,000 milik Lee Biboh @ Judith Lee, 47, dengan mengetahui atau mempunyai sebab mempercayai sebagai harta curi di Maybank Jalan Dato Tunggal, Seremban, kira-kira jam 4 petang pada 11 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, Margiyanna didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang tunai RM110,000 milik individu sama di lokasi sama, kira-kira jam 12.44 tengah hari pada 14 Mei lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima harta curi iaitu wang tunai RM270,000 milik individu sama di Hong Leong Bank, Nilai pada 18 Mei lalu.
Dalam pertuduhan keempat pula, Margiyanna sekali lagi melakukan perbuatan berkenaan membabitkan wang tunai RM315,000 di lokasi sama, kira-kira jam 3.35 petang pada 21 Mei lalu.
Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang tunai RM254,000 milik individu sama di lokasi sama, kira-kira jam 10.42 pagi pada 27 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Amran Jantan membenarkan wang ikat jamin ditawarkan pendakwaan, RM30,000 bagi setiap pertuduhan dikurangkan kepada RM10,000 merangkumi keseluruhan pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Ogos depan.
Tertuduh berpakaian serba hitam sebelum itu merayu pengurangan ikat jamin kerana berpendapatan kecil dan mempunyai tanggungan lima anak.
Sumber : Harian Metro

Bapa durjana dicekup



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
MELAKA: Seorang lelaki layak digelar bapa durjana kerana bukan saja menjual cakera padat video digital (DVD) lucah, malah menjadikan anak lelakinya sebagai orang suruhan membawa wang tunai bagi merasuah sepasukan polis yang menyerbu premisnya.
Bagaimanapun, tindakan warga emas berusia 67 tahun itu mengundang padah apabila dia dicekup kerana cuba merasuah polis dengan wang tunai berjumlah RM3,000 serta DVD lucah serta cetak rompak dalam kejadian pada Selasa lalu.
Tindakan lelaki terbabit juga menyebabkan anaknya berusia 17 tahun yang masih bersekolah terpaksa bermalam bersamanya di lokap sejak ditahan sehingga reman mereka berakhir esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Sum Cheng Keong, berkata dua beranak terbabit dicekup di premis mereka di Taman Sri Pokok Mangga, dekat sini, selepas serbuan dilakukan sepasukan polis yang turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri kira-kira jam 9 malam.
Katanya, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan peniaga DVD terbabit menjual barangan haram itu.
Ketika serbuan dilakukan, polis menemui dan merampas 66 keping DVD lucah pelbagai tajuk yang disorokkan di dalam beg dalam bentuk katalog yang diletakkan di meja jualan.
Selain itu, turut dirampas 117 DVD pelbagai tajuk selain wang tunai RM200, tiga buku rekod jualan dan salinan pendaftaran perniagaan.
Ketika serbuan dilakukan, salah seorang pekerja lelaki terbabit yang juga wanita berusia 58 tahun menawarkan kami wang tunai sebagai ganjaran bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis (IPK) negeri di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.
Menurut Sum, selepas wanita terbabit menawarkan wang sebelum disusuli oleh lelaki berkenaan bagi tawaran berikutnya yang kemudian menghubungi anaknya bagi membawa wang tunai yang ditawarkan itu.
Sejurus anak lelakinya tiba, dia menyerahkan wang terbabit kepada polis dan serta-merta dia ditahan dan diserahkan kepada pegawai SPRM yang menyertai serbuan itu.
Wang tunai yang ditawarkan turut diserahkan kepada SPRM sebagai bahan bukti, katanya.
Beliau berkata, dua beranak terbabit serta wanita berkenaan ditahan reman selama empat hari sejak Selasa lalu bagi siasatan lanjut.
Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002, kerana memiliki dan menjual filem lucah.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Bagi kesalahan kedua iaitu menyimpan dan menjual DVD cetak rompak, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 18 (5) akta sama dan didenda tidak melebihi RM30,000.
Sumber : Harian Metro

10 jahitan di kepala



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaJenayahTempatan by johnjimat
15/7
KUALA LUMPUR: Seorang pelancong warga Mexico terpaksa menerima 10 jahitan di kepala selepas dibelasah seorang lelaki dipercayai pekerja kaunter tiket di Terminal Bas Sementara, Bukit Jalil, pagi kelmarin.
Difahamkan, kejadian malang terbabit berlaku selepas mangsa yang berusia 28 tahun tidak berpuas hati dengan perkhidmatan bas yang disediakan kerana lewat darip waktu yang dijadualkan.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang berseorangan ketika kejadian marah dan berasa tertipu apabila bas tidak tiba.
Dia didatangi tiga lelaki pekerja syarikat bas terbabit dan berlaku pertengkaran antara mereka.
Seorang daripada lelaki berkenaan naik angin dan menghayun satu objek keras ke kepala mangsa hingga luka dan berlumuran darah, katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri selepas melihat mangsa yang menjerit kesakitan.
Menurutnya, mangsa dibantu orang ramai yang berada di terminal itu sebelum dihantar ke hospital berhampiran.
Mangsa menerima 10 jahitan di kepalanya akibat hentakan itu. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi berhubung kes terbabit pada hari sama, katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Menurutnya, mangsa dipukul seorang daripada tiga suspek itu dan mengikut laporan mangsa tidak perasan siapa di antara mereka yang memukulnya serta tidak mengetahui dipukul dengan senjata apa.
Kami belum lagi membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata, katanya.
Sumber : Harian Metro

Belai isteri orang



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaTempatan by johnjimat
15/7
MASJID TANAH: Tindakan seorang pengawal keselamatan yang kerap mengunjungi rumah sewa teman wanitanya di Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, dekat sini, sejak sebulan lalu akhirnya memakan diri apabila dicekup penduduk kerana disyaki berkhalwat, malam kelmarin.
Difahamkan, lelaki terbabit yang masih bergelar suami orang berasal dari Alor Gajah dipercayai mula mengenali ibu kepada enam anak berkenaan selepas suami teman wanitanya itu meringkuk di dalam penjara sejak setahun lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.40 malam itu, pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu didapati berkurung di dalam sebuah rumah tanpa sebarang ikatan sah bersama seorang wanita berusia 28 tahun yang didakwa masih bergelar isteri orang.
Wanita itu yang mendakwa sudah bergelar janda mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 11 tahun mendakwa baru saja berpindah ke taman perumahan berkenaan selepas suaminya dipenjarakan sebelum mengenali teman lelakinya.
Pengerusi Rukun Tetangga Taman Bidara Permai, Mohd Zain Yunus, berkata pasangan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan hubungan sebagai suami isteri ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai syarak yang melakukan serbuan.
Menurutnya, mereka juga dikatakan kerap dilihat bersama di taman perumahan itu, malah beberapa kali hampir dicekup penduduk, tetapi nasib sering menyebelahi pasangan berkenaan kerana sentiasa terlepas.
Kami mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum seorang wanita muncul dan membuka pintu depan, tetapi dia menafikan ada lelaki di dalam rumahnya, namun selepas didesak berkali-kali akhirnya wanita terbabit mengaku terdapat seorang lelaki berada di dalam bilik tidurnya.
Ketika masuk ke dalam rumah, kami mendapati tiga daripada enam anak wanita itu sedang tidur di ruang tamu rumah, dan kami perlu menunggu lelaki terbabit keluar dari bilik tidur wanita berkenaan 15 minit kemudiannya, katanya.
Serbuan turut disertai dua anggota polis peronda serta lima anggota rukun tetangga taman itu dan pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk membuat laporan tangkapan sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (Jaim) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, jurucakap Jaim berkata, pasangan terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen (53) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Dalam pada itu, Pegawai Syarak Mukim Pengkalan Balak, Imam I Ibrahim Mohd Yusof, berkata pihaknya kesal dengan tindakan pasangan terbabit yang masih bergelar isteri dan suami orang apabila berkurung di dalam rumah tanpa mengambil kira perasaan jiran.
Sumber : Harian Metro

Suami bunuh isteri disyaki curang



Posted on the July 3rd, 2010 under BeritaJenayahLuar Negara by johnjimat
15/7
ABU DHABI: Seorang wanita dilapor ditikam oleh suaminya dan mungkin menjadi mangsa pembunuhan menebus maruah.
Menurut laporan polis, kejadian berlaku di apartmen keluarga itu di Shabiya Khalifa, daerah Musaffah pada 27 Jun lalu, membabitkan seorang lelaki Sudan.
Lelaki berusia 50 tahun itu adalah suami kedua mangsa yang dikenali sebagai IAA, 35.
Pembunuhan itu sungguh kejam. Wanita berkenaan cedera di leher dan seluruh anggota badan. Dia ditikam berulang kali, kata seorang anggota polis yang enggan dikenali.
Si suami yang ditahan sejurus selepas kejadian berkata dalam satu kenyataan kepada polis, dia mengesyaki isterinya curang.
Motif pembunuhan kelihatan seperti menebus maruah.
Tidak ada usaha dilakukan untuk menyembunyikan mayat. Kejadian seperti ini jarang berlaku di UAE, kata pegawai berkenaan.
Lelaki itu, dalam kenyataannya juga berkata, dua hari sebelum kejadian, isterinya pergi ke Sharjah.
Dia juga ke Sharjah dan menelefon isterinya untuk memberitahu di mana dia supaya mereka dapat bertemu.
Si isteri menjawab bahawa dia di Ajman.
Apabila suaminya meminta untuk bertemu dengannya di Ajman, isterinya menolak dan enggan menjawab telefon lagi.
Dia kemudian pulang ke rumah mereka di Abu Dhabi, tempat pembunuhan itu berlaku. – Agensi
Sumber : Harian Metro