Search This Blog

Friday, July 2, 2010

Lelaki mati dibunuh hingga terkeluar otak



KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mati dibunuh dengan kejam sehingga terkeluar otaknya di sebuah rumah teres di Kampung Laksamana, Selayang di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh a/l Sarjan Singh, 53, ditemui di tilam dalam keadaan berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala dan tiga tikaman di dada sebelah kiri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kepala dan muka sebelah kiri mangsa turut dihentak dengan menggunakan objek keras dan tumpul sehingga menyebabkan darah terpercik dan terkeluar otak.

Menurutnya, polis menerima panggilan adik lelaki mangsa yang berusia 47 tahun bahawa Amir Khan ditemui mati di rumah dan polis bergegas ke rumah berkenaan serta menemui mayat mangsa di tilam dalam sebuah bilik.

"Banyak kesan darah terpercik ditemui di dinding tempat mayat mangsa ditemui, mangsa dipercayai bergelut dengan seseorang sebelum dibunuh," katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui dengan kepala ditutup dengan bantal dan hanya memakai seluar pendek serta tidak berbaju.

Polis menahan adik lelaki mangsa bagi membantu siasatan dan menemui sebilah pisau sepanjang 31cm di bawah tilam di biliknya.

Katanya, mangsa dan adiknya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, tinggal berdua di rumah itu dan keadaan rumah berkenaan berselerak dan kotor seperti sarang penagih.

“Hasil siasatan awal mendapati Amir Khan mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah dan mencuri, manakala adiknya mempunyai satu rekod jenayah mencuri.

“Mayat Amir Khan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Jemaah bertumbuk dalam masjid


15/7
PERNU Hanya kerana disangka menutup lampu masjid, seorang lelaki dibelasah beberapa jemaah lain di Masjid Bukit Pegoh, di sini, Ahad lalu.
Kejadian berlaku sebelum solat Maghrib apabila mangsa, berusia dalam lingkungan 37 tahun itu disergah seorang jemaah yang berusia 20an yang baru tiba.
Mangsa yang memegang jawatan ahli jawatankuasa masjid itu belum menyalakan lampu masjid kerana hari masih siang, tetapi dipercayai memadamkan lampu.
Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan menyerang jemaah itu selepas menyergah mangsa dengan pertanyaan “kenapa kau tutup lampu masjid?”.
Mangsa kemudiannya diserang bertubi-tubi dan cuba melawan untuk mempertahankan diri sebelum seorang lagi jemaah yang juga orang kuat masjid itu turut sama menyerang dengan mengetuk kepala mangsa dengan lampu suluh.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku campur tangan jemaah lain yang menyokong kedua-dua pihak berkenaan sehingga bertukar menjadi medan gusti sambil disaksikan lebih 60 jemaah.
Akibat kejadian itu, mangsa dan beberapa jemaah terbabit mengalami lebam lebam.
Sumber berkata, kejadian itu ada kaitan dengan pemecatan salah seorang imam masjid itu beberapa bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu.
Sumber : Sinar Harian

SPRM temui wang tunai lebih RM100,000 di rumah Wahid


KUALA LUMPUR 1 Julai - Seorang Penolong Penguat Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu bahawa dia menemui wang tunai berjumlah RM118,400 semasa membuat pemeriksaan di rumah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don dua tahun lalu.
Mohd. Haziman Mahmood, 31, yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berkata, RM13,600 dikeluarkan oleh Wahid dari bahagian kiri dan kanan poket seluarnya ketika pemeriksaan tubuh tertuduh itu dilakukan.
Manakala wang tunai RM12,300 pula, kata saksi tersebut, ditemuinya di dalam sekeping sampul surat kuning di bawah meja solek di bilik utama rumah tersebut.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah mengenai pemeriksaan lain, Mohd. Haziman memberitahu, dia menemui wang tunai RM92,500 yang diisi di dalam plastik hitam di dalam beg galas berwarna kuning keemasan.
Bagaimanapun, menurutnya, barangan yang disita oleh SPRM hanyalah wang perangkap RM60,000 serta komputer riba, penyimpan data mudah alih (pendrive) dan telefon bimbit.
Peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk V. Sithambaram pula membantah supaya sebarang soalan mengenai wang yang tidak berkaitan dengan pertuduhan tidak dibangkitkan.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan pihak pendakwaan menyentuh perkara itu semasa pemeriksaan utama tetapi beliau menasihatkan mereka agar tidak menyoal secara mendalam mengenainya.
Sithambaram ketika sesi soal balas, bertanya kepada Mohd. Haziman dari mana asalnya wang tunai selain daripada wang perangkap RM60,000 tersebut dan saksi itu menjawab dia tidak tahu mengenainya.
Sementara itu, seorang lagi penguat kuasa SPRM, Mohd. Izani Ali, 34, memberitahu, sebelum tangkapan dilakukan, dia dan anggota lain telah diberi taklimat berhubung perangkap tersebut di Kuarters Kerajaan di Jalan Ledang Persimpangan Jalan Duta di sini.
Menurut saksi pendakwaan ke-25 itu, barangan yang disita dari rumah tertuduh kemudian disimpan di dalam peti keselamatan di bawah kawalannya.
Kata Mohd. Izani, dia yang merakamkan percakapan tertuduh pada hari kejadian.
Wahid, 57, dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian, 66, untuk bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta, pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Perbicaraan bersambung pada 27 sehingga 30 Julai ini.

Isteri Aziz M. Osman disamun, rugi RM10,000


KUALA LUMPUR 1 Julai – Belum pun genap sebulan usia perkahwinan mereka, pengarah filem dan drama terkenal, Aziz M. Osman dan isterinya, hari ini diuji apabila mengalami kerugian RM10,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal.
Kejadian itu yang membabitkan isteri Aziz iaitu Puteri Sarbainun Lokman, 21, berlaku di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 4.8 Jalan Sungai Buloh berhampiran Kampung Melayu Subang dekat sini, pukul 1.25 petang.
Cermin kereta jenis BMW model Z4 yang dipandu Puteri Sarbainun atau mesra dengan panggilan Puteri Lily dipecahkan dua lelaki bermotosikal sebelum melarikan beg tangannya.
Puteri Lily ketika dihubungi berkata, dia sedang memandu kereta itu selepas menghantarnya untuk diservis di Glenmarie, Shah Alam menuju ke pejabat suaminya di Kota Damansara.
“Sebaik sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat itu, tiba-tiba dua lelaki muncul di kiri pintu kereta dan memecahkan cermin dengan menggunakan objek keras.
“Saya tergamam apabila kedua-dua mereka kemudian mengambil beg tangan yang saya letak di bawah tempat duduk sebelum melarikan diri,” katanya.
Puteri Lily yang merupakan anak kepada penggiat teater terkenal Lokman Ghani bernikah dengan Aziz pada 6 Jun lalu.
Sementara itu, Aziz, 48, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu kereta jenis Nissan Serena di hadapan kenderaan isterinya.
“Saya menghubungi isteri saya menggunakan telefon bimbit bagi memastikan dia mengikut saya di belakang. Tiba-tiba saya nampak melalui cermin pandang belakang, tindakan dua lelaki itu memecahkan kereta dipandu Puteri Lily.
“Saya memang terkejut dengan insiden ini. Ia berlaku terlalu pantas. Hendak dikatakan isteri saya cuai, dia menyembunyikan beg tangan itu di bawah tempat duduk. Apa pun saya bersyukur isteri saya selamat,” katanya.
Berikutan kejadian itu, kata Aziz, isterinya kehilangan beberapa barangan berharga dalam beg tangan termasuk kamera yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM10,000.
Pasangan itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Melayu Subang sejurus selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat isteri pengarah filem terbabit.

Dua ADUN PKR Selangor ke Ibu Pejabat SPRM bantu siasatan


PUTRAJAYA 1 Julai - Dua Ahli Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan mengenai kes yang dipercayai membabitkan aktiviti perlombongan pasir di negeri tersebut.
ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie dilihat memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 3 petang dengan kehadiran kira-kira 40 penyokong parti tersebut yang memenuhi pekarangan bangunan berkenaan.
Mereka berdua turut ditemani tiga peguam termasuk Shamsul Iskandar Md. Akin yang juga Ketua Angkatan Muda PKR.
Turut kelihatan bersama penyokong PKR ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari.
Difahamkan salah seorang ADUN tersebut disoal siasat berhubung aktivitinya dalam perlombongan pasir manakala seorang lagi membabitkan sebuah syarikat pasir yang beroperasi di Selangor.
Sehingga pukul 7 malam ini, kedua-dua ADUN tersebut masih lagi disoal siasat oleh pegawai penyiasat SPRM.
Mereka difahamkan berhenti rehat pada pukul 6 petang sebelum soal siasat disambung semula.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tindakan memanggil kedua-dua ADUN itu merupakan satu prosedur biasa SPRM bagi membantu siasatan yang sedangkan dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kes siasatan yang sedang dilakukan itu dan menolak kemungkinan kedua-dua ADUN berkenaan akan ditahan.
"Kami mengalu-alukan kedatangan kedua-dua ADUN terbabit dan mereka telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.
"Janganlah anggap yang bukan-bukan dan membuat sebarang spekulasi kerana ia adalah satu prosedur biasa, menteri dan ketua-ketua jabatan pun pernah dipanggil membantu siasatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan akhbar hari ini menyebut kedua-dua ADUN itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua ADUN itu menerima notis pemeriksaan daripada SPRM yang dikeluarkan Isnin lalu, mengarahkan mereka hadir untuk membantu siasatan mengikut seksyen tersebut iaitu membabitkan kesalahan memberi atau menerima suapan untuk ejen.

Terjun laut lepas tikam kekasih


PULAU PINANG 1 Julai - Seorang lelaki rakyat India nekad menikam bekas kekasihnya sebelum bertindak terjun ke laut gara-gara tidak mahu menamatkan episod cintanya dengan mangsa.
Difahamkan, kejadian berkenaan dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 21 tahun tidak mahu meneruskan hubungan cinta dengan rakyat India yang berusia dalam lingkungan 30-an itu.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 2 petang itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri setelah kenderaan jenis Suzuki Vitara yang dinaikinya dikejar kereta peronda polis selepas gagal ditahan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek sebelum itu bersama seorang gadis dipercayai bekas kekasihnya berselisih faham sebelum dia bertindak menikam gadis tersebut dengan senjata tajam.
Beliau berkata, suspek kemudian meninggalkan gadis berusia 21 tahun itu yang cedera parah di Jalan Ayer Itam berhampiran Masjid Negeri di sini sebelum memecut keretanya ke arah Jalan Dato' Keramat.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu telah menghubungi polis dan sebuah kereta peronda dari Balai Polis Kampung Baru, Ayer Itam bergegas ke lokasi dan gadis malang itu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
"Polis yang berjaya mengesan kereta suspek cuba menahannya tetapi dia memecut laju lalu melanggar sebuah kedai bunga di Lorong Pasar sebelum merempuh sebuah motosikal semasa cuba mengundurkan kereta,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Kong Meng, suspek berjaya meloloskan diri dan terus memandu laju sehingga ke Jalan Green Hall berdekatan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Katanya, sebaik memasuki sebuah lorong di situ, dia memberhentikan keretanya dan berlari ke Padang Kota Lama sebelum terjun ke laut.
"Sehingga pukul 6 petang ini, gerakan mencari mangsa di laut oleh Pasukan Gerakan Marin dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat masih gagal menemui mayatnya dan tiada tanda-tanda ia akan ditemui hari ini. Operasi akan disambung esok," katanya.
Tambah Kong Meng, pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek menjumpai sebilah pisau berukuran enam inci, sebuah beg pakaian dan satu pasport perjalanan yang masih sah.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Ayer Itam yang cedera di kepala dan leher akibat terkena tikaman kini sedang dirawat di HPP dan keadaannya stabil.
"Kami masih menyiasat punca berlakunya kejadian ini dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan masalah hubungan peribadi,'' katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui di wad kecemasan HPP enggan ditemu ramah