Search This Blog

Thursday, July 1, 2010

Lelaki maut ditetak dan dikelar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dipercayai ditetak dalam satu pergelutan di rumahnya di Kampung Laksamana, Gombak dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Balwant Singh, 53, ditemui terbaring di ruamg tamu rumahnya dalam keadaan berlumuran darah oleh adiknya kira-kira jam 9.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan dan dapati mangsa sudah meninggal dunia. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah ditikam sebanyak tiga kali di dada serta tujuh kesan kelar di kepala serta turut dihentak dengan objek tumpul.

Mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan Polis turut menahan adik mangha berusia 47 untuk siasatan lanjut.

'Ulat’ patah pinggang

KUALA LUMPUR: Akibat cuba lari, seorang ulat tiket veteran meraung kesakitan dipercayai patah pinggang apabila terjatuh dari bukit ketika sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cuba menahannya di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil di sini, kelmarin.

MERAUNG...suspek dipercayai ulat tiket meraung kesakitan selepas terjatuh dari bukit ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa JPJ, semalam.
MERAUNG...suspek dipercayai ulat tiket meraung kesakitan selepas terjatuh dari bukit ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa JPJ, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sepasukan penguat kuasa JPJ menjalankan operasi membanteras ulat tiket dan melakukan penyamaran sebagai pelanggan yang ingin membeli tiket bas sebelum berjaya memerangkap suspek.

Difahamkan, suspek yang berusia 50 tahun didapati menjual tiket kepada seorang penguat kuasa JPJ yang menyamar dan ketika cubaan menahannya, suspek bertindak melarikan diri ke sebuah bukit berhampiran terminal sementara itu.

Sumber JPJ berkata, empat penguat kuasa JPJ bertindak mengejar mangsa sejauh beberapa meter ke seberang jalan berhadapan terminal itu, namun sebaik saja tiba di kaki bukit, suspek tiba-tiba berhenti kerana kepenatan.

“Suspek mengatakan ingin menyerah diri kerana sudah tidak larat untuk berlari lagi.

“Namun sebenarnya dia hanya berpura-pura, sebaik anggota kami menghampirinya untuk menahannya dia bertindak memanjat bukit,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek sempat melarikan diri ke puncak bukit berkenaan setinggi kira-kira 50 meter, namun tiba-tiba tergelincir dan berguling jatuh ke kaki bukit.

“Hujan lebat baru saja reda ketika itu dan keadaan permukaan bukit yang curam dan berumput itu agak licin menyebabkan suspek tergelincir.
“Suspek juga melanggar seorang anggota kami yang mengekorinya hingga menyebabkan anggota terbabit jatuh,” katanya.

Menurut sumber, suspek pengsan di kaki bukit itu selama beberapa minit dan segera diberi rawatan kecemasan sehingga sedarkan diri.

“Sebaik sedarkan diri, suspek meraung kesakitan mengatakan pinggang dan belakang badannya sakit. Lebih kurang 30 minit selepas itu bantuan ambulans tiba dan suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Seorang anak setiap malam

KOTA KINABALU: Pada pandangan luaran, dia dianggap seorang bapa bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu.
Namun, perbuatan jijik duda berusia 40-an itu terbongkar kelmarin apabila seorang daripada anak perempuannya mendedahkan episod hitam yang ditanggungnya bersama dua kakak sejak lebih enam bulan lalu kerana terpaksa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Lebih mengaibkan, tiga beradik berusia 11, 13 dan 14 tahun itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam.

Ketiga-tiga mangsa yang bersekolah di daerah ini bimbang mengadu perbuatan kejam bapa mereka kepada orang luar terutama pihak berkuasa kerana khuatir lelaki itu bertindak lebih kejam.

Bagaimanapun, tembelang bapa durjana itu terbongkar apabila anak bongsunya secara tidak sengaja menceritakan kejadian dialaminya kepada ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumah mereka, kelmarin.

Ibu saudara mangsa yang terkejut dengan pengakuan itu melaporkannya kepada ibu kandung mereka di Sandakan yang segera menghubungi anak sulungnya berusia 18 tahun yang bekerja di bandar raya ini supaya mengambil kedua-dua adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Ketiga-tiga mangsa hadir ditemani kakak, ibu dan ibu saudara mereka ketika membuat laporan di balai polis
“Bagaimanapun, polis yang berkunjung ke rumah suspek sebaik menerima laporan hampa apabila mendapati lelaki berkenaan tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, tiga beradik itu mendakwa sering dirogol bapa mereka ketika nyenyak tidur dalam bilik sebelum ditarik ke biliknya seorang demi seorang bagi memuaskan nafsunya.

“Anak suspek berusia 14 tahun turut mengaku pertama kali dirogol pada Januari lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu.

“Mangsa yang berusia 13 tahun pula mendakwa dirogol pada pertengahan Mei hingga Jun lalu, manakala adik bongsu mereka berusia 11 tahun mengalami nasib sama bermula awal Jun lalu,” katanya.

Menurut Mohd Isa, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain berikutan bimbang tindakan balas lelaki berkenaan.

“Berikutan itu, suspek mula melakukan sesuka hati termasuk merogol anak kandungnya seorang demi seorang apabila tiba waktu malam kerana hanya mereka saja tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dicekup ketika sedang berahi




SUNGAI BULOH – Tiga orang pelanggan yang sedang menikmati belaian berahi urutan batin tersentak dengan kehadiran pihak berkuasa yang menyerbu di premis itu yang terletak di sebuah rumah kedai di Bukit Rahman Putra. 

Pusat urut tersebut yang mengenakan bayaran caj RM 100 pakej urutan badan dan batin itu dikatakan popular dan sering menerima kunjungan lelaki berhidung belang dan dahagakan seks sejak lebih tiga bulan yang lalu. 

Ketika disoal siasat ketiga –tiga gadis beragama Islam itu cuba berbohong dan mengaku mereka hanya menjalankan perkhidmatan tugas urutan biasa. 

Dalam operasi bersepadu terdiri daripada 50 pegawai dan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kelmarin, tiga buah premis lain yang menjalankan perkhidmatan spa dan refleksologi turut diperiksa. 

Pegawai Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata operasi tersebut dibuat atas aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kewujudan pusat-pusat urut yang tumbuh bagaikan cendawan di kawasan itu. 

“Kita turut merampas peralatan seperti tilam dari pusat urut terbabit kerana beroperasi secara haram termasuk menawarkan khidmat urutan batin dan seks,”katanya. 

Tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan MBSA 2007 peruntukan 3 tanpa lesen yang dikenakan tindakan sita dan kompaun maksimum RM 1,000. 

Tiga gadis beragama Islam yang bekerja sebagai tukang urut diminta ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut.

Rayuan kes poligami Bung Moktar didengar 4 Ogos


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, menetapkan 4 Ogos ini untuk mendengar rayuan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Zainor Rashid Hassin memutuskan perkara itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya di dalam kamar.

Bung Moktar yang hadir di mahkamah dengan ditemani isteri keduanya pelakon Zizie Izette A. Samad, diwakili oleh peguam Amli Embong sementara pendakwaan diwakili oleh Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof. 

Amli ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah turut memerintahkan pihaknya memfailkan hujahan bertulis pada 12 Julai ini, dan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan balas seminggu selepas itu (19 Julai).

"Kedua-dua pihak akan berhujah di hadapan hakim secara lisan pada 4 Ogos ini, bagaimanapun hakim yang akan mendengar kes ini belum diketahui," katanya.
Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk pihak perayu (Bung Moktar) menyediakan hujahan bertulis dan kronologi kes.

Pada 19 Mei lepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.-Bernama

Orang Asli mati terkena tembakan senapang buatan sendiri


BERA - Seorang lelaki Orang Asli mati akibat terkena tembakan senapangnya sendiri selepas beliau terjatuh dari motosikal ketika sedang memburu babi hutan bersama dua rakannya di kawasan ladang getah Kampung Bukit Rok di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Bera DSP, Ahmad Zahid Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang semasa Chai Musa, 40, menunggang motosikal berasingan ke kawasan ladang getah berkenaan sebelum berpecah daripada rakannya untuk menjejaki binatang itu. 

Beliau berkata, Chai dipercayai melalui jalan berbukit dan senapangnya, yang merupakan senapang buatan sendiri, diletakkan dalam bakul di bahagian depan motosikal.

"Bagaimanapun motosikal Chai dipercayai tergelincir akibat hujan lebat ketika mendaki sebuah bukit menyebabkan senapang itu tertembak dengan sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dua rakan Chai bergegas mendapatkannya selepas terdengar bunyi tembakan kerana menyangka dia berjaya menembak binatang buruan, namun mereka mendapati Chai terbaring di sisi motosikalnya dalam keadaan berlumuran darah.

Beliau berkata, Chai meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menurutnya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan polis kemudiannya merampas selaras senapang patah buatan sendiri serta beberapa butir peluru milik Chai.



Eksekutif wanita didakwa sogok Cif Inspektor RM17,500


SHAH ALAM - Seorang eksekutif pentadbiran sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana dituduh memberi suapan RM17,500 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, seorang rakyat Argentina yang ditahan kerana kesalahan pecah rumah.

Wanita tu, Anne Charmaine Skelchy, 41, dari Taman Abadi Indah, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Dia didakwa memberi suapan itu kepada Cif Inspektor Zahirudin Baharum di pejabat Ketua Balai Polis Hulu Klang, di Ampang, pada 5.50 petang pada 28 Jun lalu.

Sogokan itu adalah untuk Zahirudin melepaskan Nelson Dario Hurtado kerana disyaki melakukan kesalahan pecah rumah. 

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Skelchy ditawarkan pertuduhan alternatif iaitu memberi RM17,500 kepada Zahirudin untuk melepaskan Nelson daripada tindakan siasatan yang dijalankan terhadapnya bagi kesalahan pecah rumah di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia boleh dihukum mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mat Ghani membenarkan Skelchy dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan menetapkan lima hari bermula 8 November depan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan bagi tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee manakala Skelchy diwakili peguam Abu Bakar Isa Ramat.- Bernama

Kebun getah musnah


KAMPUNG SOM – Seorang penduduk di Kampung Som dekat sini kerugian apabila keseluruhan 0.6 hektar tanaman getah miliknya yang berusia enam tahun dimusnahkan sekumpulan gajah liar berkumpulan dianggarkan 17 ekor lewat malam kelmarin. 

Penduduk berkenaan, Jamaludin Ali, 48, berkata, dia dimaklumkan penduduk lain berkenaan serangan berkumpulan terbaru itu, lalu bergegas ke kebun miliknya yang terletak dalam Mukim Kiala Tembeling, bersebelahan dengan Hutan Simpan Som. 

Menurutnya, serangan gajah berkumpulan itu adalah kali ketiga di kebunnya, yang mengakibatkan kesemua pokok getah yang ditanam musnah sama sekali. 

“Saya sangat sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa. Ketika mula-mula menenam getah dulu, selepas mengikut saranan Risda, saya diancam kera dan monyet. 

“Saya tidak menyangka apabila pokok sudah besar dan boleh ditoreh tahun hadapan, saya sekali lagi berhadapan ujian lebih berat apabila gajah memusnahkan kesemua pokok ditanam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kebunnya semalam. 

Jamaludin berkata, dia redha dengan apa yang berlaku namun amat mengharapkan pihak berkenaan khususnya Risda tampil membantunya. 

Menurutnya, terbaru dia turut membeli enam beg baja, namun hampa apabila baja itu tidak dapat digunakan. 

“Kemusnahan yang jelas adalah pokok besar ditolak sehingga tumbang dan tercabut akarnya. Ada juga yang patah dan mati serta tidak boleh diselamatkan lagi. 

“Gajah turut merosakkan setiap kulit batang pokok getah dengan mengikis kulit pokok sehinggakan ia rosak teruk dan mustahil untuk membolehkan ia ditoreh bagi menghasilkan susu,” katanya. 

Dia berkata, jika diikutkan jumlah kerugiannya beribu-beribu sejak serangan pertama lagi, namun yang ketiga ini dia mengalami kerugian maksima apabila kesemuanya musnah sehinggakan langsung tidak boleh diselamatkan. 

Menurutnya, kini harapannya untuk menoreh bagi menyara keluarga musnah sama sekali. Dia terpaksa menanam semula anak getah baru, dan menunggu lagi lima hingga enam tahun untuk ia membesar sebelum boleh ditoreh. 

“Saya bukan sahaja rugi wang ringgit, malahan masa dan tenaga. Sebab itulah saya amat mengharapkan pihak berkenaan tampil membantu menyelesaikan masalah berlaku, kerana tanaman getah itu adalah sumber pendapatan yang amat dinantikan untuk menyara keluarga. 

“Serangan kali ini lebih teruk semenjak aktiviti pembalakan dilakukan. Tidak mustahil itulah sebab gajah mengamuk kerana penempatannya terancam,”katanya. 



JKKK terima kerjasama Perhilitan 



Kerosakan dan kemusnahan kebun penduduk yang dilaporkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipandang serius dengan JKKK bertindak segera melaporkan kepada Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Temerloh. 

Pengerusinya, Rashid Satar berkata, insiden serangan terbaru juga membuatkan beliau bersama anggota Perhilitan turun ke lokasi kebun untuk melihat dan mengesan kumpulan gajah berkenaan. 

Menurutnya, sehingga kini JKKK mendapat kerjasama baik dengan Perhilitan apabila setiap aduan dilakukan dipandang serius dengan Perhilitan segera turun menyiasat ke tempat serangan. 

“Usaha berkenaan masih dilakukan sehingga kini. Namun penduduk di sini juga mengharapkan agar langkah terbaik diambil untuk manfaat semua jangka panjang. 

“Pemindahan gajah berkenaan ke suatu lokasi baru mungkin cara terbaik menyelesaikan masalah, seterusnya mengatasi kebimbangan dan ketakutan penduduk selama ini,” katanya. 



Masalah serangan gajah akan diatasi 



Masalah gangguan serangan gajah di Kampung Som kini sedia diterima Perhilitan dengan anggota juga sudah turun ke lokasi dan melakukan rondaan serta kawalan. 

Pengarah Perhilitan Negeri Pahang, Khiriah Ahmad Syarif berkata, jumlah kumpulan gajah yang menyerang tanaman penduduk dianggarkan sebanyak 12 ekor 

Beliau berkata, kumpulan yang sama berulang kali keluar dan masuk ke kebun penduduk dari hutan simpan berdekatan. 

Menurutnya, anggota Perhilitan akan masuk semula ke lokasi untuk melihat dan menilai jumlah kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan gajah berkenaan. 

“Kini, anggota yang masuk melakukan kawalan dengan menembak dan halau kumpulan gajah berkenaan ke hutan berdekatan. 

“Kita akan cuba siasat lagi kerana jika diikutkan kumpulan berkenaan tidak boleh dipindahkan memandangkan ia tidak terkepung dan masih ada hutan simpan di kawasan bersebelahan yang boleh dituju,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Khiriah berkata, masalah di Kampung Som itu sudah lama berlaku dan Perhilitan juga akan terus menjalankan kajian berserta. 

Menurutnya, Perhilitan juga tidak menolak kemungkinan untuk memindahkan seekor gajah berkenaan ke lokasi lain. 

“Cadangan untuk memindahkan seekor gajah di sini sedia dipertimbangkan. 

“Kami memerlukan masa sehingga siasatan anggota Perhilitan bertugas selesai dan maklumat lengkap diperolehi, barulah kata putus sebenar dapat diberikan,” katanya.

Lelaki 90 tahun rogol empat beradik



KARL JOSEPH KRAUS (tengah) diiringi oleh beberapa anggota polis selepas ditangkap di Chiang Mai kelmarin.


BANGKOK - Seorang lelaki Australia berumur 90 tahun, Karl Joseph Kraus ditangkap dan didakwa merogol empat beradik perempuan di bawah umur di utara Thailand dengan menggunakan coklat import dan belajar bahasa Inggeris di rumahnya sebagai umpan untuk memerangkap mereka, kata polis semalam.
Dia ditangkap kelmarin di rumahnya dekat bandar Chiang Mai.
Menurut Ketua Polis Doi Saket, Kritapol Yeesakorn, polis turut merampas kira-kira 100 gambar bogel kanak-kanak.
Dia berkata, beberapa gambar menunjukkan Kraus bergambar bogel dengan sejumlah kanak-kanak dan polis kini sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti kanak-kanak berkenaan.
Ketua polis itu berkata, Kraus yang tinggal di Thailand lebih sedekad lalu memujuk keluarga budak perempuan itu pada 2008 dengan menawarkan pembelajaran bahasa Inggeris.
"Dia (Kraus) akan mengumpan budak perempuan itu ke rumahnya dengan gula-gula, terutamanya coklat dari luar negara yang mahal dan meminta mereka melakukan perlakuan seks dengannya," kata Kritapol.
Menurutnya, baru-baru ini, Kraus memberi wang kepada kakak sulung empat beradik itu sebanyak 4,000 baht (RM400) bagi menggantikan gula-gula.
Ibu bapa empat beradik itu mengetahui perbuatan terkutuk tersebut selepas mendapati anak-anak mereka tidak berminat untuk keluar bermain di luar rumah.
Selepas ditanya, empat anak mereka itu yang berumur tujuh, 11 dan 12 tahun memberitahu perbuatan buruk Kraus menyebabkan satu aduan polis dibuat. - Agensi

Pengintip pernah tinggal di London


GAMBAR di Facebook menunjukkan Anna Chapman di luar bangunan Westminster, London.


LONDON - Wanita seksi yang ditahan oleh anggota-anggota Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana disyaki menjadi pengintip untuk Rusia di New York, Amerika Syarikat (AS), Anna Chapman pernah menetap dan bekerja di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Anna merupakan antara 11 suspek yang ditahan FBI atas dakwaan melakukan pengintipan untuk Rusia di sebuah mahkamah pada Isnin lalu.
Media Barat semalam menyiarkan beberapa gambar Anna yang berambut merah berusia 28 tahun itu yang dirakamkan di London.
Satu gambar itu menunjukkan Anna memakai seluar panjang dan baju-T belang hitam-putih tersenyum semasa dia bergambar di hadapan bangunan mercu tanda London, Big Ben.
Dia tinggal dan bekerja di London selama lima tahun sebelum terbabit dalam rangkaian perisikan yang beroperasi menghantar maklumat sulit ke Moscow.
Namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada dia terlibat dalam operasi pengintipan ketika itu.
Munculnya Anna dalam dunia perisikan umpama jelitawan berbahaya yang mewarnai filem-filem perisikan James Bond.
Dalam kes wanita itu, dia dan beberapa ejen Rusia lain beroperasi di bandar-bandar raya AS, sesetengahnya sejak lebih sedekad lalu.
Sesuai dengan wataknya sebagai penggoda, Anna menggunakan rupa paras, daya tarikan dan hubungan dengan kalangan pembuat dasar untuk mempergunakan mereka bagi mengorek rahsia negara AS.
Difahamkan, dia memiliki ijazah sarjana ekonomi, sebuah pangsapuri mewah di kawasan kewangan New York dan menguruskan sebuah agensi hartanah antarabangsa yang berjaya di Internet.
Pekerjaannya itu memudahkan dia menjalin hubungan dengan sejumlah individu dari seluruh dunia.
Anna fasih berbahasa Rusia dan Inggeris selain boleh bertutur dalam bahasa Jerman serta Perancis.
Dalam akaun Facebook milik wanita itu, terdapat banyak gambar yang menunjukkan susuk tubuhnya yang mengggiurkan.
Mempunyai 187 rakan, Anna menulis di laman Facebook bahawa prinsip hidupnya adalah: "Sekiranya anda boleh membayangkannya (impian), anda boleh mencapainya. Jika anda boleh mengimpikannya, anda boleh mencapainya."
Kelmarin, pentadbiran Rusia mengakui sesetengah suspek yang ditahan merupakan warganegara Rusia tetapi menegaskan bahawa mereka tidak berkomplot untuk menjejaskan kepentingan AS.
Ibu Anna, Irina, 51, berkata: "Sudah tentu saya menafikan anak saya seorang pengintip. Berita penangkapannya mengejutkan kami."
Berdasarkan beberapa dokumen pengenalan, Anna dilahirkan semasa era Kesatuan Soviet (USSR) di wilayah Karkov, Ukraine dan dibesarkan di bandar Volgograd, dahulu dikenali sebagai Stalingrad, di selatan Rusia.
Dia belajar di Jabatan Ekonomi Universiti Setiakawan Rakyat di Moscow, sebuah institusi pengajian tinggi yang telah lama mempunyai kaitan dengan agensi perisikan USSR, KGB.
Anna mempunyai hubungan kuat dengan Britain dan difahamkan bahawa dia berkahwin dengan seorang rakyat Britain.
Dia dipercayai menetap di Britain selama lima tahun bermula dari tahun 2003.
Wanita itu pernah bekerja di Bank Barclay sebelum menceburi sektor dana lindung nilai di firma Penasihat Pengurusan Aset Navigator di Mayfair.
Dia juga pernah bekerja untuk perkhidmatan penerbangan NetJets iaitu sebuah syarikat di Eropah yang menjual penerbangan mewah dengan menaiki pesawat eksekutif kepada golongan kaya dan terkenal.
Seorang rakan sekerja Anna di Navigator kelmarin menyatakan: "Saya keliru bagaimana orang Rusia sepertinya mempunyai nama keluarga Chapman. Saya berpendapat dia mungkin berkahwin dengan orang Eropah."
Bagaimanapun, Bank Barclay tidak mempunyai rekod bahawa Anna bertugas di bahagian pelaburannya antara tahun 2004 hingga 2005 seperti yang didakwa wanita itu.
Dia dipercayai pulang ke Rusia untuk bekerja di bawah beberapa pengurus aset sebelum berpindah ke AS untuk memajukan firma miliknya yang menguruskan sewaan dan penjualan hartanah di seluruh dunia. Sebelum dia ditangkap, Anna dikenali di kalangan golongan elit di Manhattan, New York.
Namun, semasa dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan Manhattan pada Isnin lalu, dia bukan digambarkan sebagai wanita berstatus tinggi, sebaliknya Anna dituduh seorang penipu licik.
Wanita itu didakwa menemui seorang pegawai Rusia dan menyerahkan rahsia sulit kepadanya pada setiap Rabu sejak Januari lepas.
Ejen-ejen Rusia yang didakwa di makamah bersamanya termasuk pasangan suami isteri, Richard Murphy dan Cynthia Murphy dari Montclair Negeri New Jersey serta Vicky Pelaez bersama suaminya, seorang lelaki dikenali sebagai Juan Lazaro dari bandar Yonkers, negeri New York.
Selain mereka, turut didakwa ialah Mikhail Semenko dan pasangan yang dikenali sebagai Michael Zottoli dan Patricia Mills yang dihadapkan ke sebuah mahkamah persekutuan di bandar Alexandria, negeri Virginia selepas mereka ditangkap di Arlington, negeri yang sama. Dua lagi suspek, pasangan bernama Donald Howard Heathfield dan Tracey Lee Ann Foley ditahan di bandar raya Boston, negeri Massachusetts.
Suspek ke-11 dan terakhir, Christopher Metsos yang dinamakan sebagai perancang rangkaian perisikan tersebut, ditangkap di Lapangan Terbang Larnaca di Cyprus kelmarin.
Metsos yang berumur 54 tahun ditangkap selepas beberapa pegawai imigresen mendapati namanya dalam senarai orang yang perlu ditahan semasa dia mahu menaiki penerbangan ke Budapest.
Tracey Lee Ann Foley yang menyamar sebagai seorang warga AS kelahiran Kanada, dipercayai diberikan dokumen pengenalan diri Britain palsu oleh pihak atasannya dari Rusia.
Menurut FBI, Foley menggunakan dokumen itu untuk keluar masuk Moscow dengan mudah. Pejabat Hal Ehwal Luar Britain menyatakan, pihaknya sedang menyiasat dakwaan FBI itu.
Sekiranya, dakwaan tersebut benar, ia bakal merosakkan hubungan Britain-Rusia yang semakin pulih susulan inisiatif Perdana Menteri Britain, David Cameron untuk berbaik dengan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev semasa sidang kemuncak Kumpulan Lapan Buah Negara (G8) dan Kumpulan 20 Buah Negara (G20).
Dalam perkembangan berkaitan, White House semalam mengakui bahawa Presiden AS, Barack Obama telah mengetahui bahawa FBI semakin hampir mematahkan rangkaian pengintip Rusia itu pada sidang kemuncak G20 di Toronto.
Sementara itu, Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin yang merupakan bekas ejen perisik KGB memberitahu bekas presiden AS, Bill Clinton bahawa polis AS bertindak secara membabi buta ekoran penangkapan tersebut.
Putin, bagaimanapun, berkata, beliau berharap kes tersebut tidak akan menjejaskan hubungan AS dengan Rusia yang kini semakin pulih. - Agensi

Pengesahan lafaz cerai Ida Nerina hari ini


01/07/2010 10:06am

KUALA LUMPUR - Pelakon Ida Nerina tiba di Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk keputusan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh suaminya, Sha'rin Mohd. Razali pada 12 Oktober tahun lalu. - Utusan

Empat tahun 'tolong' penyeludup gula




Ab. Ghani (kanan) memeriksa gula yang dirampas di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat kelmarin.




TUMPAT - Sekali pandang, sebuah premis yang menjual gula secara borong di Pasir Pekan, Wakaf Bharu di sini beroperasi secara sah namun rahsianya terbongkar semalam.
Premis itu bukan sahaja beroperasi tanpa lesen pemborong, malah dikesan menjadi pembekal kepada penyeludup sejak empat tahun lalu.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas Pasukan Pemantau Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan melakukan operasi di premis itu pada pukul 4 petang kelmarin.
Ketua Pasukan Pemantau Khas KPDNKK, Ab. Ghani Harun berkata, premis itu yang beroperasi sejak Mac 2006 dipercayai mendapatkan bekalan daripada syarikat pemborong utama di Kota Bharu dan Pasir Mas.
Menurut beliau, pihaknya merampas sebanyak 3,120 kilogram gula berharga RM5,148 pada operasi itu.
Siasatan awal, katanya, mendapati bekalan gula itu bukan sahaja dijual kepada pelanggan malah dibekalkan kepada penyeludup untuk dijual di negara jiran.
"Kes rampasan gula tersebut merupakan yang pertama selepas pasukan pemantau tersebut beroperasi di Kelantan pada Isnin lalu," katanya di sini semalam.
Pasukan pemantau khas itu ditubuhkan untuk memantau pengedaran gula oleh 243 syarikat pemborong gula di Kelantan dengan melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi seperti pasar raya, kedai runcit serta pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Ab. Ghani berkata, penyeludup yang mendapatkan bekalan gula di premis itu menggunakan lori sebelum di seludup ke negara jiran.

Plaintif mohon pinda tuntutan lafaz cerai


Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menangguhkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31, selepas plaintif membuat permohonan pindaan penyata tuntutan berhubung lafaz cerai tersebut.
Dalam perbicaraan tertutup itu, Hakim Syarie, Abdullah Man membuat keputusan berkenaan selepas plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, mengemukakan permohonan untuk melakukan pindaan tersebut pada saat akhir.
Abdullah kemudian menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula bagi pemfailan hujah berhubung permohonan berkenaan.
Peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar ketika ditemui di luar mahkamah bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan mengenai permohonan pindaan tersebut dengan alasan bagi mengelakkan dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Pada perbicaraan pengesahan lafaz cerai pada 13 Jun lalu, pihak plaintif telah mengemukakan enam orang saksi dan tiga daripada mereka termasuk Nik Rorhana telah memberikan keterangan.
Mengulas mengenai permohonan plaintif itu, peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman pula berkata, mahkamah telah memberi arahan kepada plaintif supaya membayar kos kehadiran kerana permohonan penangguhan dibuat pada saat akhir dan tidak ada maklumat bertulis.
"Kita akan hadir semula pada 25 Julai bagi mengambil keputusan sama ada mahkamah akan membenarkan atau tidak permohonan untuk meminda penyata tuntutan dan pada masa sama kita akan masukkan notis taksiran kos itu," jelas beliau.
Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana melalui Fakhrul memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadapnya yang difailkan Nik Rorhana.

Pejalan kaki maut dilanggar artis



MAYAT wanita Myanmar yang maut selepas dilanggar Toyota Wish dipandu Juhara berhampiran Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita Myanmar maut dirempuh kenderaan dipandu seorang penggiat teater dan pelakon drama, Juhara Ayob berhampiran Pasar Borong Selayang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa Dil Bahar Tasol Ahmad, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dia dilanggar ketika melintas jalan.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, semasa kemalangan Juhara memandu kenderaan Toyota Wish seorang diri dan berada di lorong laju menuju ke pusat bandar.
"Akibat rempuhan itu mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dan mati di tempat kejadian," kata beliau.
Menurut beliau, polis telah mengambil keterangan daripada artis berusia 39 tahun terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Juhara ketika dihubungi berkata, dia tidak dapat bayangkan perasaan anak dan keluarga mangsa yang dilanggarnya.
"Saya tidak sangka pengalaman ini akan dilalui saya. Kemalangan itu berlaku terlalu pantas," jelas beliau ketika dihubungi semalam.
Cerita Juhara, semasa kejadian dia dalam perjalanan dari rumahnya di Selayang Baru untuk mengajar kelas tarian tambahan di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara).

Saman RM2.7 bilion gagal dikutip




ANGGOTA polis trafik mengeluarkan saman kepada seorang pesalah lalu lintas. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16.5 juta saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis iaitu sebanyak 15.2 juta manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.
"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Mohd. Nor bertanyakan jumlah kutipan saman yang gagal dikutip oleh kerajaan sehingga April tahun ini.
Abdul Rahim menjelaskan, bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urus niaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.
Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ.

Tujuh penculik masuk jerat



Sebahagian wang tebusan yang dirampas semula daripada tujuh penculik yang ditahan.


KUALA LUMPUR - Tindakan sekumpulan lelaki yang menculik seorang ahli perniagaan sebelum meminta wang tebusan sebanyak RM5 juta pada pertengahan Jun lalu bagai menjerat diri apabila tujuh daripada penculik itu berjaya diberkas polis.
Ketujuh-tujuh suspek yang berusia antara 30 dan 44 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Johor, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan bermula Ahad hingga kelmarin.
Penahanan ketujuh-tujuh suspek itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada keluarga ahli perniagaan tersebut berhubung kehilangan mangsa pada 16 Jun lalu di Salak Selatan, Cheras.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang berusia 60 tahun dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum diculik oleh kumpulan penjenayah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, selepas menculik mangsa, suspek telah menghubungi ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM5 juta.
"Selepas berbincang menerusi telefon dengan keluarga mangsa, suspek bersetuju mengurangkan wang tebusan tersebut kepada RM1.2 juta.
"Dalam tempoh rundingan, mangsa dipercayai dikurung di sebuah bangunan di Negeri Sembilan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, mangsa dibebaskan sembilan hari kemudian selepas keluarganya menyerahkan wang tebusan sebanyak RM1.2 juta kepada suspek.
Mangsa dibebaskan di ibu negara tanpa kecederaan.
Sebaik suspek menerima wang itu polis mula mendapat petunjuk mengesan kumpulan penculik itu.
Sabtu memberitahu, tiga lelaki ditahan di Skudai, Johor; dua orang di Jasin; seorang di Sepang manakala seorang lagi di Seremban.
Dengan penahanan ketujuh-tujuh suspek itu, polis merampas sebuah kereta jenis Honda Accord dan dua buah motosikal.
"Polis juga menemui semula sebahagian wang tebusan berjumlah RM468,200 daripada suspek-suspek terbabit.
"Kita percaya mangsa tidak mengenali suspek-suspek dan penculikan tersebut dijalankan selepas dirancang semua ahli kumpulan yang memainkan peranan masing-masing," kata beliau.
Siasatan awal mendapati dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan rompakan.