MELAKA: Hasrat seorang warga emas menemani sahabatnya bersarapan pagi di sebuah gerai di seberang jalan berhampiran rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah, dekat sini, berakhir tragedi apabila dia maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan, awal pagi semalam.
Lebih tragis kira-kira dua jam sebelum itu, mangsa yang juga bekas pemandu teksi dikatakan bersama-sama isteri, anak dan menantunya baru pulang menziarahi ahli keluarga mereka di Pulau Pinang selepas hampir dua tahun arwah tidak ke sana.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa Waid Katon, 63, dikatakan sedang melintas dari kanan ke kiri jalan di Batu 19, Kampung Londang, Masjid Tanah sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang anggota tentera, Mohd Amin Zahari, 26, dari Taman Sri Aman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abdul Rahman Jid berkata, siasatan awal mendapati anggota tentera terbabit dalam perjalanan dari arah Pekan Masjid Tanah ke arah Pengkalan Balak dan ketika tiba di tempat kejadian dia dipercayai hilang kawalan dan terlanggar mangsa.
Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.
Bagaimanapun kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan saksi diminta menghubungi cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan, katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Zahilah Pakwan Chik, 49, ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat HM berkata, sebelum kejadian beliau bersama arwah, anak dan menantu baru pulang dari Pulau Pinang kerana menghadiri majlis perkahwinan.
Kami tiba di Melaka Sentral kira-kira jam 4 pagi dan menyewa teksi dipandu sahabat arwah. Kami semua selamat tiba di rumah dan sahabat suami tadi bercadang menunggu hari cerah untuk pulang ke bandar memandangkan dia terpaksa memandu sendirian.
Tidak lama kemudian sahabat arwah mengajaknya pergi bersarapan di sebuah gerai berhampiran rumah sebelum terbabit kemalangan. Saya difahamkan, arwah melintas dulu sebelum dirempuh kereta itu dan dia diseret beberapa meter.
Kejadian berlaku di depan mata rakan arwah menyebabkan dia tergamam dan amat terkejut, katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Zahilah berkata arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum terbabit kemalangan.
Cuma saya terkilan bila teringat arwah suami pernah berkata, jika dia ikut ke Pulau Pinang, dia dapat melihat semua saudara di sana sebelum meninggal dunia dan begitu juga saudara di sana.
Sebenarnya antara arwah suami dan menantu di sana (Pulau Pinang) ada berlaku masalah kecil dan tidak bertegur. Jadi arwah suami dah hampir dua tahun tak ke sana, katanya.
Zahilah janda beranak tiga sebelum berkahwin dengan arwah suaminya yang turut mempunyai empat anak hasil perkahwinan pertama. Namun mereka tidak dikurniakan anak hasil perkongsian hidup.
Sementara itu, seorang saksi, Norzilah Mohamad, 43, yang juga sepupu si mati berkata dia mendengar dentuman sebelum melihat seorang lelaki tercampak di atas jalan di hadapan sebuah gerai di situ.
Saya sedang menunggu untuk membeli roti canai dan ketika peniaga sedang menebar roti canai, tiba-tiba terdengar dentuman kuat. Saya menoleh untuk melihat apa berlaku dan lihat seorang lelaki dalam keadaan seperti duduk tahiyat akhir.
Ketika itu saya tidak perasan lelaki itu sepupu saya dan orang ramai membantu mengangkatnya ke tepi jalan untuk mengelak dia dilanggar kereta lain, katanya.
Suasana di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat HM hiba apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan sebelum jenazah arwah dibawa menaiki ambulans milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dibawa ke rumahnya sebelum dikebumikan.
Sumber : Harian Metro