Search This Blog

Tuesday, June 29, 2010

S Shamsudin jatuh katil

KUALA LUMPUR: Pelakon komedi veteran terkenal Sahamsudin Dali, 81, atau lebih dikenali sebagai S Shamsudin berada dalam keadaan stabil meskipun sebelum ini keadaannya dilaporkan kritikal akibat terjatuh dari katil sehingga memaksa beliau dikejarkan ke di Hospital Alexandra, Singapura kira-kira jam 3 pagi Ahad lalu.
Perkara itu disahkan sahabat rapat beliau, Ruhijah Usman, 59, yang menghubungi Harian Metro, petang semalam untuk memaklumkan perkembangan terkini pelakon era Seniman Agung Tan Sri P Ramlee itu.

“Saya terkejut apabila ada sebuah stesen televisyen membuat laporan seolah-olah Pak Sudin (S Shamsudin) sudah meninggal dunia. Disebabkan itu saya terpanggil untuk menghubungi Harian Metro dan memperbetulkan dakwaan dibuat sebelum ini dan menceritakan keadaan sebenar.

“Saya sendiri menziarahi Pak Sudin di hospital kira-kira jam 9.30 pagi tadi (pagi semalam). Lima daripada tujuh anaknya turut berada di hospital, selain sanak saudara beliau.

“Ajaibnya semakin ramai yang datang menjenguknya saya lihat Pak Sudin bertambah kuat dan beransur pulih. Bahkan, beliau sudah boleh minum dan makan.
“Selepas memeriksa keadaannya doktor juga memaklumkan beliau tidak perlu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi,” katanya.

Ruhijah turut menjelaskan, kecederaan dialami Shamsudin bukan disebabkan jatuh dalam bilik air sebaliknya beliau jatuh dari katil kerana mahu ke bilik air.

“Akibat dari kejadian itu tulang pinggul Pak Sudin mengalami keretakan begitu juga tulang kaki sebelah kiri yang retak di empat bahagian. Sekarang doktor sedang merawat keadaannya,” katanya yang menelefon dari kediamannya terletak di Tampines, Singapura.

Sehari sebelum kejadian, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bersama pelakon veteran, Datuk Aziz Satar dan Datuk Mustafa Maarof termasuk Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim melawat Shamsudin di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok, Singapura.

Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan seniman dikendalikan kementerian dan Finas.

Takut isteri, anak murtad

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup berkorban apa saja bagi memulih dan mengembalikan isteri ke pangkuannya selepas wanita saudara baru itu dipercayai terpesong akidah dan kembali mengamalkan gaya hidup bukan Islam.

BERBEKAS...Malik menunjukkan kesan libasan penyangkut baju oleh isterinya di belakang badan.
BERBEKAS...Malik menunjukkan kesan libasan penyangkut baju oleh isterinya di belakang badan.


Lebih membimbangkan lelaki berkenaan, dia mendapat maklumat bahawa isteri dan keluarga mentuanya membuat perancangan untuk melarikan anak perempuan bongsunya yang berusia lapan tahun ke Australia sebelum menukar agama sesampai di sana kelak.

“Saya tak rela anak saya menjadi bukan Islam. Saya sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan akidahnya, begitu juga isteri saya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Malik.

Malik, 50, berkahwin dengan isterinya yang kini berusia 43 tahun pada 1999 atas dasar cinta walaupun mendapat tentangan daripada mentuanya. Isterinya menganut Islam dua tahun sebelum mereka berkahwin.

“Isteri saya kini sudah menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Saya amat bimbang anak bongsu saya juga akan turut terpesong akidah akibat terpengaruh gaya hidup isteri saya itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan isteri. Ini kerana keluarga mentua tidak pernah berhenti menjalankan usaha untuk menarik isteri saya ke agama asalnya. Mereka memang tidak bersetuju dengan perkahwinan kami kerana berlainan agama,” katanya di sini, semalam.
Malik mendakwa sejak mendirikan rumah tangga, keluarga isterinya tidak pernah putus asa menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan perkahwinan mereka sama ada dengan cara kasar dan halus.

“Saya tidak lagi tinggal bersama isteri sejak April lalu. Ketika itu, isteri saya bertindak ganas apabila membaling batu alas peti sejuk ke arah saya selepas berlaku perselisihan faham.
“Saya kemudian mengambil keputusan keluar dari rumah dan meninggalkan dua anak bersama isteri.

“Saya turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis menasihatkan saya tidak kembali ke rumah kerana dikhuatiri isteri saya bertindak lebih ganas termasuk membunuh saya,” katanya.

Dia berkata, sikap isterinya mula berubah menjadi panas baran selain sering meneguk arak sejak setahun lalu sehingga sanggup memukulnya dan anak dengan pelbagai objek termasuk batu alas peti sejuk dan penyangkut baju sehingga mendatangkan kecederaan.

Malah, Malik mendakwa anak perempuan sulungnya pernah dipukul dengan garpu kayu hiasan dinding hanya semata-mata lambat datang ke dapur apabila dipanggil.

“Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memulihkan kembali akidah isteri termasuk menemui 22 pakar agama terkenal, namun sehingga kini masih tidak berjaya. Saya juga sudah menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM16,000 bagi tujuan itu.

“Anak sulung saya pernah memberitahu bahawa ibunya selalu membawa dia dan adiknya ke rumah ibadat bukan Islam serta melarangnya memakai tudung dan pakaian menutup aurat,” katanya.

Malik berkata, sebelum ini, walaupun tinggal berasingan, dia masih pulang untuk melihat kedua-dua anak perempuannya itu tetapi tidak bermalam.

Selepas anak sulungnya memberitahu dipukul dengan garpu hiasan, Malik membawa anaknya itu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Di balai polis, anak sulung saya menceritakan apa yang berlaku sebelum membuat keputusan tinggal bersama saya.

“Saya ada pergi ke rumah isteri di Rawang, awal bulan ini tetapi rumah berkenaan berkunci. Sejak itu, saya tidak tahu di mana isteri dan anak bongsu saya berada.

“Saya syak mereka kini berada di Australia kerana keluarga isteri memiliki taraf penduduk tetap (PR) di negara berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Malik berkata, dia meminta pihak berkuasa membantunya untuk mengesan isteri dan anak bongsunya itu.

Pekerja kedai jubin digantung sampai mati kerana bunuh peniaga makanan

PULAU PINANG: Seorang pekerja kedai jubin dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang peniaga makanan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Teik Thai, 35, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
Pihak pendakwaan mengemukakan tiga rakan tertuduh sebagai saksi dalam kes itu.

Ong didakwa membunuh Choi Yu Ki, 20, dengan menggunakan senjata tajam di sebuah kedai kopi di No 17, Mukim 9, Pekan Teluk Kumbar, dekat sini pada jam 10 malam, 6 April 2006.

Ong didakwa melakukan kesalahan itu, bersama empat rakannya yang masih bebas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati. Ong diwakili peguam Karti Kumar manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azahar Mokhtar.-Bernama

Sindiket pemerdagangan orang berpengkalan di Delhi tumpas

NEW DELHI: Polis India membongkar kegiatan sindiket pemerdagangan orang berpangkalan di Delhi yang memalsukan visa Malaysia dan Singapura, bagi menghantar pelanggan mereka ke Amerika Syarikat (AS), melalui negara-negara Amerika Latin.
Sindiket itu, yang didalangi tiga ejen pelancongan, memalsukan pasport dan memperoleh visa Malaysia dan Singapura yang palsu untuk pelanggan mereka, kebanyakannya rakyat India dan Nepal, yang ingin memasuki AS secara haram.
Cawangan jenayah polis Delhi menahan tiga orang -- Manoj Panday, 35; Mohan Lal, 46; dan Jitender Mohan, 49, dalam serbuan di ibu negara India minggu lalu hasil maklumat bahawa agensi pelancongan di Delhi dan Punjab terbabit dalam kegiatan itu.

"Kumpulan itu akan mendapatkan visa negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura untuk pelanggan mereka, selepas memalsukan pasport dan dokumen mereka bagi meningkatkan profil peribadi dan kewangan mereka," kata pesuruhjaya tambahan (jenayah) polis Delhi Neeraj Thakur, lapor Times of India.

Berdasarkan bukti yang diperoleh pasukan polis Delhi, kumpulan itu dipercayai menghantar sekurang-kurangnya 100 orang ke AS tahun ini, menggunakan modus operandi yang sama.

"Pelanggan mereka akan ke negara-negara seperti Ecuador, Guatemala dan Mexico, yang menawarkan kemudahan visa ketika ketibaan dan selepas itu kumpulan di negara terbabit akan membantu mereka memasuki AS," kata akhbar itu.

Pelbagai barangan, termasuk 152 pasport, yang digunakan suspek dirampas dari pejabat mereka di Delhi.

Kemasukan secara haram ke AS dikenakan bayaran hampir RM180,000 seorang.

-Bernama

Kontraktor maut dalam kemalangan ketika ke Cameron Highlands

IPOH: Seorang kontraktor terbunuh, manakala rakannya cedera ringan apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 14 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, Song Yew Fook, 45 berasal dari Taiping, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Zainal Hafizan, 38, cedera ringan.
Katanya, kejadian berlaku jam 9 pagi tadi apabila kereta yang mereka naiki menghala ke Cameron Highlands berlanggar dengan sebuah kereta yang terbabas ketika melalui satu selekoh.

"Pemandu sebuah lagi kereta terbabit hanya cedera ringan," kata Azisman.

-Bernama

Jurujual didenda RM10,000, kerana rasuah RM100

KUALA TERENGGANU: Gara-gara cuba memberi rasuah RM100 kepada anggota polis bagi mengelak saman trafik, seorang jurujual hari ini didenda RM10,000 dan penjara 14 hari oleh Mahkamah Seksyen di sini.
Chew Meow Boon, 27, dari Sungai Siput, Perak, mengaku bersalah cuba menyogok Koperal Alias Mohamad supaya membatalkan saman pada jam 2.30 petang, 21 November tahun lalu di Pondok Polis Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Mengikut fakta kes, pada jam 2.10 petang pada hari kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Waja memasuki laluan khas untuk bas sahaja.

Ekoran itu, Alias, seorang pegawai sukeralawan polis yang ketika itu sedang meronda bersama tiga lagi anggota polis, menghampiri tertuduh dan menerangkan kepadanya kesalahan yang dilakukan.

Dia kemudian dibawa ke pondok polis di situ untuk urusan kompaun dan ketika surat saman sedang ditulis tertuduh meletakkan dua keping not RM50 di atas meja di hadapan Alias dengan alasan sebagai duit kopi untuk membatal saman.

Kejadian itu disaksikan oleh tiga lagi anggota polis sukarelawan lain dan berikutan itu, tertuduh ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu sebelum dibawa ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu untuk siasatan lanjut.

Pertuduhan dilakukan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh, manakala pendakwaan dilakukan oleh Pengawai Pendakwa SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang peniaga kedai VCD mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba memberi suapan RM1,000 kepada seorang penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri.

Ouo Mau Lok, 40 didakwa memberi suapan itu kepada Mohd Hashim Mat Daud pada pukul 2 petang, 22 April lalu, supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan cetak rompak mengikut Akta Hakcipta 1987 (Akta 332). Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Hakim Che Mohamad Zulkifly kemudian menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

-Bernama

Hanya terbayang maut ketika dijerut anak tiri


15/7
KUALA TERENGGANU: Ketika itu hanya bayangan maut menjelma dalam kotak fikiran saya apabila ditikam dan dijerut dengan seutas tali di leher oleh anak tiri yang tiba-tiba berubah sikap sebelum diselamatkan anak lelaki yang kebetulan berada di rumah, kata Rahin Ismail, 53, dari Kampung Durian Burung, di sini.
Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, anak tirinya yang berusia 34 tahun, dipercayai penagih dadah meminta wang RM10 daripadanya dan selepas diberikan wang berkenaan, lelaki terbabit beredar dari kawasan dapur rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian anak tirinya muncul di dapur dan bertanya sama ada dia sudah siap memasak.
Rahin berkata dia menjawab belum dan secara tiba-tiba, suspek memaut lehernya serta menikam bahagian belakang kanan badannya dengan pisau.
Seolah-olah tidak puas dengan tindakan kejamnya itu, dia mengeluarkan seutas tali lalu menjerut leher saya tanpa belas kasihan.
Panik dengan kejadian itu, saya menjerit meminta tolong dan kebetulan ketika itu seorang anak lelaki berada di rumah.
Anak saya datang memberikan bantuan dan bergelut dengan abang tirinya sebelum berjaya melepaskan jerutan pada leher, katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia merangkak menyelamatkan diri dan anak tirinya itu melarikan diri apabila menyedari semakin ramai jiran datang ke rumah selepas terdengar kekecohan yang berlaku.
Katanya, akibat serangan itu, dia dihantar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima tiga jahitan di belakang badan sebelum membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu mengenai kejadian itu.
Tambahnya, anak tirinya itu tinggal bersendirian di rumah arwah ibunya di Kampung Tok Jembal dan membantunya berniaga pasar malam sekitar daerah ini.
Sumber : Harian Metro

Saya tak mampu cari anak


15/7
ALOR SETAR: Saya orang susah dan tak mampu mencari anak, malah terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa mengesannya.
Sebelum ini, masa dia hilang kali pertama dan kedua, saya sudah berhabis banyak duit, kata Rokiah Hassan, 43, ibu Nurul Huda Mohamad Tarmizi, 20, yang dipercayai dilarikan seorang duda warga Indonesia, Sabtu lalu.
Katanya, dia cuba menghubungi telefon bimbit anaknya itu, tetapi gagal menyebabkan keluarganya hanya mampu berdoa dan pasrah ke atas nasib yang menimpa Nurul Huda.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang duda warga Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) negara ini yang tidak menghadiri majlis perkahwinannya pada April lalu, nekad melarikan tunangnya berusia 20 tahun kelmarin.
Kehilangan Nurul Huda disedari ibu saudaranya yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan supaya mengambil motosikalnya di Stesen Bas dan Teksi Shahab Perdana, Alor Setar kira-kira jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.
Sumber : Harian Metro

‘Jangan cari Mas lagi’


15/7
REMBAU: Ayah ibu jangan cari Mas lagi, itulah kata-kata seorang gadis berusia 13 tahun yang ghaib selepas pulang dari sekolahnya di sini, sejak Khamis lalu.
Mas Juliana Padli, pelajar tingkatan satu Sekolah Datuk Lela Maharaja Chembong, dikatakan menghubungi neneknya (Pijah Suboh 50-an) sehari selepas menghilangkan diri.
Bapa mangsa, Padli Warno, 38, berkata, kehilangan itu disedari selepas dia pergi ke sekolah berkenaan untuk menjemput anaknya pulang kira-kira jam 4.30 petang.
Selepas beberapa lama menunggu di pekarangan sekolah, saya bertanyakan rakan sekolahnya dan terkejut selepas diberitahu dia dilihat menaiki bas seorang diri menghala ke Seremban.
Rakannya memberitahu anak saya ada menghubungi seseorang menggunakan telefon awam tidak lama sebelum itu, katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau.
Beliau berkata, dia cuba mencari anaknya di beberapa lokasi termasuk di rumah saudara-mara, namun menemui jalan buntu menyebabkan dia membuat laporan polis.
Menurutnya, anaknya dilihat berubah sikap selepas memiliki telefon bimbit sejak tiga bulan lalu.
Apa yang menghairankan, anak saya sering dilihat menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seseorang.
Saya tidak berpeluang menyemak telefon bimbitnya kerana ketika mandi pun dia membawa telefon bimbit bersama.
Saya menegurnya beberapa kali supaya jangan terlalu menggunakan telefon bimbit berkenaan, katanya yang juga seorang peniaga.
Padli berkata, dia tidak mengetahui motif sebenar anak sulung daripada tiga beradik melarikan diri dan gagal dikesan hingga ke hari ini.
Katanya, apa yang lebih merisaukan, anaknya menghubungi ibu mentuanya memaklumkan supaya jangan mencarinya sehari selepas dia menghilangkan diri.
Sumber : Harian Metro

Parang di leher


15/7
KOTA TINGGI: Kau siapa? Jerit penjenayah itu sambil meletak parang di leher saya. Terkejut dengan ancaman itu, saya melawan tetapi penjenayah seolah-olah hilang akal lalu menetak dada, muka dan tangan saya tanpa belas kasihan.
Tiba-tiba rakan saya turun dari tingkat dua rumah kongsi dan penjenayah menjerit kepadanya mengatakan mereka polis serta jangan cuba melarikan diri, kata Deddy Julianto Suriati, 25, ketika ditemui di sebuah kilang papan di Kilometer 47.4, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Deddy sedang mencuci pakaian di tingkat bawah rumah kongsi dua tingkat berkenaan apabila terlihat lima lelaki bersenjatakan parang meluru ke arahnya.
Akibat serangan itu, Deddy menerima lebih lapan jahitan. Menceritakan kembali kejadian, menurut Deddy, kelima-lima penjenayah terbabit datang dari arah pagar yang runtuh bersebelahan rumah kongsi berkenaan.
Saya bangun daripada mencuci pakaian dan bertanyakan tujuan mereka datang. Ketika itulah saya diugut seorang daripada penjenayah terbabit sebelum ditetak.
Saya sempat mengelak ketika hayunan parang itu hampir singgah di kepala. Saya rebah dan seorang rakan keluar menyebabkan penjenayah mengalihkan tumpuan kepadanya, katanya.
Wahyudi Ahmad, 44, juga hampir menjadi mangsa tetakan penjenayah itu berkata, dia turun apabila terdengar bunyi bising di bawah.
Katanya, setibanya di bawah, dia ditahan penjenayah sambil mengacukan parang di leher dan mereka bertanya di mana rakan yang lain.
Penjenayah menjerit ke arah saya mengatakan mereka polis dan memberi amaran jangan melarikan diri. Tangan saya dipegang manakala parang diacu ke leher.
Ketika pegangan agak longgar, saya mengambil peluang melarikan diri sambil menjerit memberi amaran kepada rakan lain yang sedang berehat di tingkat dua rumah kongsi, katanya.
Bagaimanapun, saya terlanggar tembok dan terjatuh menyebabkan cedera ringan, katanya.
Pada masa sama, rakan kedua-dua mangsa yang mendengar jeritan amaran itu terus mengutip kayu lantas meluru ke arah penjenayah.
Bagaimanapun, kelima-lima penjenayah melarikan diri terlebih dulu selepas menyedari bilangan penghuni rumah kongsi itu lebih ramai daripada mereka.
Penyelia kilang papan itu, Tiong Kwok Wee, 26, bergegas ke sana selepas dimaklumkan berkaitan kejadian dan menghantar kedua-dua pekerjanya yang cedera ke Hospital Kota Tinggi sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Sumber : Harian Metro

Bomoh’ bunuh anak kekasih dihukum gantung

15/7

KUALA LUMPUR: Akibat berlagak sebagai bomoh untuk merawat anak teman wanita yang kononnya disihir bapa kandung, seorang pemandu dan pengawal peribadi kepada seorang Datuk dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun itu, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap Davender Singh Sher Singh, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Ghazali berkata, adalah mustahil tertuduh tidak mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan kematian kepada si mati.
Ghazali menjelaskan keterangan ibu mangsa, Noriahanim Udin, 38, yang juga saksi utama pendakwaan tertuduh adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami mangsa.
Ini selaras dengan laporan bedah siasat di mana si mati dicekik, ditolak serta dihantuk ke dinding dalam rawatan bagi memulihkan mangsa, katanya.
Menurutnya, pembelaan Davender yang beristeri adalah penafian semata-mata dan mendakwa tidak pernah menjalankan sesi perubatan di tempat kejadian serta di dalam keretanya.
Tambah Ghazali, tertuduh mengenali Noriahanim yang pernah bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) pada April 2004 dan hubungan mereka semakin rapat sehingga kedua-dua mereka mengadakan hubungan seks dan seterusnya si mati menganggap Davender sebagai ayahnya.
Tertuduh yang tidak dapat menahan sebak dengan keputusan itu terus memeluk isteri, anak dan ibunya sejurus selesai penghakiman itu. Keluarga Davender kelihatan masih tidak berhenti menangis selepas keluar dari mahkamah kerana terlalu sedih dengan hukuman yang dijatuhi mahkamah terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Davender didakwa membunuh Nur Farah Adila Ridzuan, di dalam rumah beralamat, No TA-12, Jalan Mewah 3, Jalan Ampang Mewah, Ampang, antara 16 Jun 2005 hingga 1 Julai 2005 Tertuduh didakwa melakukan tujuh rawatan terhadap mangsa dengan alasan mangsa di sihir bapa kandungnya selepas mangsa menunjukkan perasaan tidak suka terhadap tertuduh.
Akibat rawatan itu, mangsa mengalami kecederaan dalaman serius sehingga banyak organ dalaman yang penting dan cedera dengan tiga koyakan di hati, patah tulang rusuk kiri dan kanan, limpa pecah termasuk pendarahan pada pankreasnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mabel S Muttiah manakala tertuduh diwakili Peguam Jesvinderjit Singh.
Sumber : Harian Metro

Dedah kisah dua wanita


15/7
KLANG: Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Ramizah Mazlan, 39, mendakwa suaminya, Badrul Hisham Abdullah menjalin hubungan dengan dua wanita menyebabkan mereka sering bertengkar sepanjang 17 tahun hidup bersama.
Ramizah berkata, pada 2006, suaminya bertemu semula bekas tunang yang dikenali sejak 25 tahun lalu dan pernah mengajak wanita berkenaan mendirikan rumah tangga.
Bekas penjaga stor itu mendakwa, Badrul juga pernah menjalinkan hubungan dengan wanita kedua pada 2008 selepas suaminya itu dilantik menjadi Adun. Wanita (kedua) itu berusia 23 tahun. Saya terjumpa beberapa keping gambar Badrul dan perempuan itu.
Saya juga pernah terbaca SMS dalam telefon Badrul yang antara lain mengandungi perkataan sayang dan rindu.
Sikap Badrul yang gemar menjalinkan hubungan dengan wanita lain menjadikan rumah tangga (kami) sering dilanda pertengkaran.
Pada kebanyakan masa, saya akan disumpah-seranah, dimaki-hamun sebelum suami akan keluar rumah beberapa hari tanpa meninggalkan nafkah, katanya dalam afidavit keterangan bertulis di Mahkamah Rendah Syariah, Klang, semalam.
Ramizah selaku plaintif memberi keterangan dalam perbicaraan kes permohonan cerai secara fasakh terhadap Badrul (defendan) mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Ia dibuat atas alasan defendan cuai dalam menyediakan nafkah zahir selama tiga bulan berturut-turut, menyakiti dan membuatkan plaintif menderita dan berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji.
Ramizah mendakwa, hubungan defendan dengan wanita itu juga diketahui beberapa ahli keluarga dan dapat dilihat menerusi beberapa gambar dalam telefon bimbit suaminya.
Namun ada sekeping gambar yang saya sempat cetak, katanya.
Kemuncak kepada masalah itu katanya adalah apabila mereka tinggal berasingan pada 4 Januari lalu selepas tercetus pergaduhan besar.
Katanya, ia berpunca apabila dia mempersoalkan tindakan defendan tidak pulang ke rumah selama empat hari pada 29 Disember 2009.
Bagaimanapun, saya mendapat tahu suami pergi ke Thailand pada tempoh itu dan ada beberapa gambar wanita dalam telefon bimbit Badrul, katanya.
Menurutnya, sepanjang berkongsi hidup, defendan bukan saja tidak jujur, malah sering memaki hamun, mengherdik dan memarahinya tanpa sebab di depan ahli keluarga dan orang ramai.
Sehubungan itu dakwanya, dia mengalami tekanan perasaan amat teruk sehingga selalu termenung dan mengalami kemurungan.
Perbicaraan di depan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh bersambung 28 September depan.
Sumber : Harian Metro

Dicekup lepas membunuh


15/7
MAUT ...anggota polis memeriksa mayat lelaki yang ditembak mati di Seri Kembangan, malam tadi.
MAUT …anggota polis memeriksa mayat lelaki yang ditembak mati di Seri Kembangan, malam tadi.
SERI KEMBANGAN: Seorang lelaki yang baru selesai menikmati minum petang di sebuah restoran mamak di sini, maut selepas terkena dua das tembakan dilepaskan seorang lelaki dari jarak dekat, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Lee Fah, 51, mati serta-merta di tempat kejadian sebelum sempat masuk ke dalam kereta mewah miliknya yang diletakkan berhampiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, seorang anggota polis yang kebetulan berada berhampiran segera ke tempat kejadian sebaik terdengar bunyi tembakan itu.
Katanya, ketika tiba, anggota berkenaan ternampak seorang lelaki melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa ke arah sebuah kereta yang diletakkan berhampiran manakala mangsa terbaring berlumuran darah di sebelah keretanya.
Anggota terbabit kemudian mengejar suspek sebelum dia sempat memasuki kereta dan memecut laju. Bagaimanapun, kesesakan jalan raya memaksa suspek keluar dari kereta dan terus melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis yang mengejarnya.
Bagi mempertahankan diri, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kaki kanan suspek.
Suspek yang berusia 55 tahun kemudian ditahan sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. Polis turut menemui sepucuk pistol dan beberapa butir peluru daripada suspek, katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, curi dan tersenarai antara paling dikehendaki polis.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditembak dua kali iaitu di bahagian rusuk kanan menembusi bahu kanan dan satu das lagi mengenai telinga kanan menembusi mata kanannya, katanya.
Beliau berkata, setakat ini, polis belum dapat memastikan motif kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian Metro

Guru pendidikan khas bebas tuduhan cabul

15/7

SHAH ALAM: Seorang guru pendidikan khas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, dari tuduhan mencabul pelajar bisu berusia 15 tahun dalam satu kejadian, lima tahun lalu.
Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu terhadap Rizal Revoo, 37, selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.
Tertuduh ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia amat bersyukur dengan keputusan itu selepas beberapa tahun kejadian hitam itu berlaku.
Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan ini tetapi belum mengetahui apa akan saya lakukan dalam kehidupan saya selepas ini, katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bertugas di sekolah dekat sini, didakwa mencabul kehormatan mangsa kini berusia 20 tahun di sekolah tempatnya bertugas antara jam 10.20 pagi dan 12 tengah hari 30 Ogos 2005.
Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Pendakwaan dijalankan Siti Syakimah Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam bela Salim Bashir.
Sumber : Harian Metro

Peluang suami hidup 50:50


15/7
JOHOR BAHRU: Kelindan lori, R Vijendren, 20, yang dibelasah sekumpulan lelaki selepas melarikan anak gadis jiran di bawah umur dari Tebong, Melaka masih kritikal dan kini bergantung pada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Muar.
Abang mangsa, R Suresh, 26, berkata hingga kini keluarganya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada polis mengenai siasatan dijalankan.
Menurutnya, perkara itu mendorong keluarganya bagi melantik peguam bertujuan mendapatkan keadilan untuk adik bongsunya yang masih terlantar di hospital sejak seminggu lalu.
Kami bukan keluarga kaya, namun terpaksa melantik peguam kerana tiada pilihan memandangkan kes adik tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
Kami juga semakin bimbang dengan keadaan adik di mana doktor meletakkan peluang untuk hidup 50:50, katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan nasib seorang lelaki yang terpaksa bertarung dengan maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai saudara gadis berkenaan hingga mengalami kegagalan buah pinggang manakala kemaluannya hampir hancur.
Kejadian berlaku selepas beberapa hari selepas gadis berusia 14 tahun yang juga teman wanita mangsa melarikan diri dari rumahnya di Tebong, Melaka, ke kediaman seorang kenalan di Jementah, Segamat, untuk mendirikan rumah tangga dengan Vijendren secara rahsia.
Ibarat mencurah minyak ke dalam api, keluarga gadis berkenaan yang terkilan dengan perbuatan pasangan kekasih itu bertambah berang apabila mendapati kedua-duanya sudah melangsungkan perkahwinan.
Sumber : Harian Metro

Dibunuh selepas nafi dibunuh


15/7
SERGIO Vega ditembak ketika memandu kereta.
SERGIO Vega ditembak ketika memandu kereta.
NEW MEXICO: Seorang penyanyi Mexico ditembak mati beberapa jam selepas dia menafikan laporan yang menyatakan dia mati dibunuh.
Dilaporkan, Sergio Vega ditembak ketika memandu kereta Cadillac merahnya dalam perjalanan ke Sinola untuk satu persembahan konsert.
Penyanyi berusia 40 tahun itu baru-baru ini, melaporkan dia meningkatkan kawalan keselamatan selepas beberapa penyanyi Mexico mati dibunuh.
Dalam kenyataannya di laman web hiburan La Oreja mengenai gosip kematiannya akibat dibunuh, Vega mengatakan,
Hal itu sering diperkatakan sejak dulu lagi, ada orang melaporkan di stesen radio atau surat khabar mengenai saya mati dibunuh atau mengalami kemalangan.
Kemudian saya terpaksa menelefon ibu yang menghidap sakit jantung supaya dia tidak terkejut mendengar gosip mengenai saya itu, ujarnya bercanda.
Vega yang lebih dikenali sebagai El Shaka gagal mengawal kenderaannya selepas tembakan dan mengalami kemalangan, lapor akhbar El Debate. Pembunuh itu kemudian menghampiri kenderaan Vega dan menamatkan riwayatnya dengan menembak kepala dan dadanya.
Vega banyak membawakan genre muzik Grupero yang memuja kehidupan bangsawan dadah.
Polis melaporkan pemuzik Grupero sering menjadi sasaran musuh geng dadah.
Penyanyi Grupero, Sergio Gomez dan K-Paz de la Sierra juga mati dibunuh pada 2007 selain enam lagi turut menjadi mangsa sejak enam bulan lalu.
Pengurus Vega, Ana Luisa Gomez memberitahu dalam laman Twitter: Sahabatku Shaka kini di syurga dan bersama Tuhan. – Agensi
Sumber : Harian Metro

5 tahun umur 22 tahun


15/7
LONDON: Gelaran ratu cantik diperoleh seorang guru dilucutkan selepas pihak penganjur mendapati dia mengaku berusia 22 tahun selama lima tahun.
Ratu Cornwall, Laura Anness juga menipu alamat tempat tinggalnya kerana sebenarnya dia tinggal di Devon.
Wanita ramping berusia 27 tahun itu dibatalkan daripada menyertai pertandingan akhir Ratu England dan terpaksa menyerahkan selempang gelarannya kepada pemenang kedua, Samantha Orpe.
Laura yang memasuki beberapa pertandingan ratu cantik daripada Ratu Universe ke Ratu Motor memberitahu penganjur Ratu Cornwall yang dia berusia 22 tahun pada 2006, 2007, 2008 dan sekali lagi pada tahun ini.
Semua 23 peserta yang menyertai pertandingan disyaratkan berusia 17 hingga 24 tahun dan perlu menetap di Cornwall.
Laura tinggal dan bekerja di Plymouth.
Penganjur Ratu Cornwall, Becky Chapman, 38, mengatakan: Laura tak nampak seperti lebih daripada 24 tahun.
Bagaimanapun, ketika saya membersihkan pejabat, saya terjumpa borang kemasukan Ratu Cornwall yang diisi Laura pada 2006.
Pada tahun itu, dia menulis umurnya 22 dan pada 2007, 2008 dan juga pada tahun ini, dia masih menulis usianya 22 tahun.
Apabila saya bertanyakan Laura hal ini, dia mengakui sudah menipu usianya kerana ingin impiannya bergelar ratu tercapai.
Saya terpaksa pergi mencari Laura di rumahnya dan pada waktu itulah baru saya tahu di mana dia tinggal.
Peserta perlu tinggal, bekerja atau belajar di Cornwall untuk layak menjadi Ratu Cornwall. Amat menyedihkan kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Becky.
Laura sudah memulangkan semula mahkota, selempang dan semua hadiah dimenanginya dalam pertandingan itu. Dia juga memohon maaf kerana menipu dalam pertandingan berkenaan.
Laura yang menyertai pertandingan Ratu Cornwall sebanyak empat kali tidak pernah terpilih sebelum ini.
Dia menang juga akhirnya walaupun gelarannya terpaksa ditarik balik selepas itu, tambah Becky.
Pemenang kedua Samantha, 21, dari Truro dinobat sebagai Ratu Cornwall yang baru dan akan bersaing dalam pertandingan Ratu England kelak. – Agensi
Sumber : Harian Metro

Pilot pandu kereta terlalu cermat ditahan


15/7
JEDDAH: Polis menahan seorang juruterbang kanan Syarikat Penerbangan Arab Saudi ketika dia dalam perjalanan ke lapangan terbang di Jalan Raja Abdullah di sini, semalam.
Juruterbang itu ditahan selama dua jam dan keretanya diselongkar.
Kesalahannya mematuhi peraturan jalan raya.
Saya menyedari sebuah kereta kelabu mengekori saya sepanjang lima kilometer, kata Amad, warga Saudi.
Saya merasa aneh kerana pemandu itu tidak berusaha memintas kereta saya sedangkan pemandu lain berbuat demikian.
Apabila tiba di satu persimpangan, pemandu kereta Toyota Camry itu menyuruhnya berhenti di te pi jalan.
Pemandu berkenaan, anggota polis muda keluar dan meminta dokumen pengenalan diri Amad. Dia juga enggan menjawab beberapa soalan yang diajukan juruterbang itu mengenai alasan dia ditahan.
Bagaimanapun, anggota polis berkenaan akhirnya berkata, dia bertindak menahan Amad kerana dia memandu terlalu berhati-hati.
Dia berkata, saya mungkin menyembunyikan sesuatu kerana saya mematuhi peraturan jalan raya, kata Amad.
Enam kereta peronda tiba dalam tempoh dua jam dan menyelongkar keretanya sebelum dia dibenar meneruskan perjalanan ke tempat kerja tanpa sebarang permohonan maaf daripada anggota polis terbabit. – Agensi.
Sumber : Harian Metro

Lanun tawan kapal kargo Singapura


15/7
BEIJING: Sebuah kapal yang berdaftar di Singapura dan membawa 19 kelasi warga China ditawan oleh lanun di Teluk Aden, tempat lanun Somalia bermaharaja lela sejak beberapa tahun lalu.
Kementerian Pengangkutan China, dalam kenyataan menerusi laman webnya semalam berkata, kapal kargo itu, Golden Blessing dalam pelayaran dari Arab Saudi ke India apabila ia tawan di Afrika Timur.
Ketika ini, operasi menyelamat masih dijalankan, kata laporan itu.
Ia bagaimanapun tidak menyebut secara khusus kelasi atau penumpang lain selain 19 warga negaranya. Ada ketika, kerajaan China juga menganggap rakyat Taiwan sebagai warganya.
Ia juga tidak melaporkan mengenai tuntutan lanun berkenaan.
Lanun Somalia mengaut berjuta-juta dolar dalam bentuk wang tebusan dengan menawan kapal di luar pantai negara itu.
Mereka kini meluaskan kegiatan dengan menggunakan kapal induk, kadang kala daripada kapal yang dirampas, untuk melancarkan serangan dengan bot lebih kecil.
Ini bukan kali pertama kelasi warga China menjadi tebusan lanun di Teluk Aden.
Disember lalu, kelasi sebuah kapal China yang diculik oleh lanun Somalia beberapa bulan sebelum itu, berjaya diselamatkan.
China adalah antara negara yang menyertai usaha pelbagai negara memerangi lanun yang menggunakan Somalia sebagai pangkalan. – Reuters
Sumber : Harian Metro