Search This Blog

Monday, June 28, 2010

Pasar Payang lokasi panas



KUALA TERENGGANU - Pasar Besar Kedai Payang ialah lokasi paling panas tumpuan pengemis dan peminta sedekah dalam kalangan warga asing terutamanya warga Thailand, demikian menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Terengganu, Norazaman Ab Manaf. 

Menurutnya, sejak belakangan ini, JKM menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan kegiatan meminta sedekah yang bertopengkan kepada kerja amal untuk membina masjid atau surau ataupun kebajikan anak yatim yang terdiri daripada warga asing. 

“Kebanjiran peminta sedekah di sini menyebabkan orang ramai terutamanya peniaga kurang selesa untuk menjalankan aktiviti perniagaan kerana kehadiran kumpulan ini didakwa menghalang kedatangan pelanggan ke kedai mereka. 

“Senario ini jelas boleh dilihat setiap kali pada hari hujung minggu ataupun pada musim cuti sekolah kerana di sinilah antara lokasi tumpuan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Disko Indon bawa padah



PUCHONG – Menyanyi dengan berpakaian mencolok mata selain berjoget dalam keadaan memberahikan bersama pengunjung yang dahagakan hiburan malam minggu membawa padah kepada dua wanita warga Indonesia yang bekerja Mini Disko Indon di Taman Perindustrian Puchong Utama, dekat sini, semalam. 

Difahamkan, sebahagian pengunjung yang ke tempat itu untuk menjamu selera sebelum ini mendakwa meluat dan menyampah apabila melihat aksi terkinja-kinja pengunjung yang rata-rata warga Indonesia menari bersama penyanyi dalam keadaan menghairahkan. 

Malah Sinar Harian turut difahamkan, aktiviti berkenaan dijalankan di satu kawasan tersorok berhampiran kawasan kilang dan makin memuncak antara jam 2 hingga 4.30 pagi bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa. 

Bagaimanapun, aktiviti yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipercayai bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu itu tumpas apabila diserbu sepasukan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, kira-kira jam 12.30 pagi semalam. 

Ketika serbuan, pelanggan lelaki warga Indonesia yang enak menjamu selera sambil disajikan aktiviti hiburan itu bagaimanapun dapat melarikan diri sebaik mendapati premis itu diserbu pihak berkuasa.


Sarjan nyaris maut dirempuh mat rempit


KLANG – Seorang anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam nyaris maut selepas dirempuh dua mat rempit yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Bulatan Setia Jasa berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, di sini, awal pagi semalam. 

Sebelum kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, mangsa, Sarjan Abd Wahid Dikon, 42, bersama 11 pegawai dan anggota lain sedang mengadakan operasi lumba haram dan mat rempit di kawasan itu. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, ketika operasi sedang dijalankan dua lelaki yang menaiki motosikal dan enggan berhenti ketika ditahan polis. 

“Suspek berumur 25 tahun yang menunggang motosikal itu tidak mengendahkan arahan polis, sebaliknya terus memecut lebih laju dan merempuh mangsa. 

“Disebabkan rempuhan itu, mangsa terus tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Seksyen 9 sebelum dipindahkan ke wad pemantauan di bahagian Trauma dan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, kira-kira 45 minit kemudian,” katanya selepas melawat mangsa di HTAR, petang, semalam. 

Menurutnya, mangsa yang mempunyai tujuh anak masih belum stabil sepenuhnya dan memerlukan rawatan lanjut sehingga benar-benar pulih. 

Noor Azam berkata, suspek yang menunggang motosikal dan bekerja sebagai operator kilang ditahan polis bersama rakannya yang membonceng berusia 23 tahun. 

“Kedua-dua mereka direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 kerana cuba membunuh,” katanya. 

Selain itu, pemeriksaan awal mendapati suspek juga tidak memiliki lesen sah menunggang kenderaan itu. 

Sementara itu, isteri mangsa, Rozita Rejab, 39, berkata, dia hanya mengetahui berhubung kejadian yang menimpa suaminya selepas dimaklumkan rakan setugas mangsa kira-kira jam 2.15 pagi. 

“Saya terkejut dengan panggilan itu kerana sebelum dia (suami) keluar rumah kira-kira jam 12 pagi, saya berasa tidak sedap hati dan tidak dapat melelapkan mata. 

“Anak bongsu kami berusia tujuh bulan juga menangis tidak berhenti-henti menyebabkan saya rasa ada sesuatu yang akan berlaku sehinggalah menerima panggilan itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan HTAR, semalam. 

Beliau berkata, kejadian itu adalah kejadian pertama menimpa suaminya sepanjang 22 tahun bertugas sebagai anggota polis. 

Katanya, dia bagaimanapun bersyukur kerana suaminya selamat walaupun masih belum sedar sepenuhnya.

74 kena cekup positif dadah




JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sebanyak 2,165 pil ecstasy bernilai RM86,600 dalam serbuan yang dijalankan di pusat hiburan di Jalan Permas 10/7, Bandar Baru Permas Jaya, di sini, awal pagi semalam. 

Ketua Operasinya, Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, polis turut menahan pemilik premis berusia 40-an dalam serbuan lebih kurang jam 4.40 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung penemuan pil yang dipercayai rampasan terbesar membabitkan dadah jenis itu pada tahun ini. 

Menurutnya, kesemua pil tersebut ditemui di dalam beg plastik di premis itu dipercayai untuk dijual kepada pelanggan yang berkunjung ke pusat hiburan berkenaan. 

“Siasatan awal kita mendapati pil berkenaan dijual dengan harga RM40 sebiji atau RM100 untuk tiga biji kepada pelanggan pusat hiburan tersebut. 

“Bagaimanapun kita masih menyiasat pemilik atau pengedar sebenar dadah yang dirampas,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi dijalankan, semalam. 

Aida berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat seramai 126 pengunjung berada di dalam pusat hiburan itu dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati 74 daripadanya positif dadah jenis syabu, ketamin dan amphetamine. 

Menurutnya, polis turut menahan dua wanita warga China kerana salah seorang daripadanya positif dadah, manakala seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

“Kesemua yang ditahan, dibawa ke Balai Polis Larkin dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Kita turut mengeluarkan saman ke atas premis tersebut kerana didapati beroperasi melebihi tempoh waktu yang dibenarkan,” katanya.

Maut rempuh pokok




IPOH – Dua lelaki maut, manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dari Ipoh ke Medan Gopeng di sini, awal pagi semalam. 

Mangsa, Tan Sen Huay, 22, dan rakannya, Jyson Leong Hoe Mun, 21, mati di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Satria yang dinaiki mereka merempuh sebatang pokok di tepi jalan berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kedua-dua mangsa masih menuntut di sebuah kolej di bandar ini. 

“Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kereta itu dikatakan cuba mengelak daripada merempuh sekumpulan penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan. 

“Bagaimanapun, kereta yang dipercayai dipandu Sen Huey gagal dikawal lalu terbabas merempuh sebatang pokok menyebabkan dia dan rakannya yang duduk di kerusi penumpang depan tersepit dalam kereta itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Azisman berkata, Sen Huay dari Jalan Desa Tambun, manakala Hoe Mun dari Desa Pengkalan Indah mati serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan. 

“Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya 

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. 

“Identiti mangsa yang cedera belum dapat dikenal pasti dan kini dirawat di hospital yang sama,” katanya. 

Sehubungan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Jamil Zaifani Ja’amin di talian 013-765 9937 untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika melalui selekoh di Jalan Pasir Putih di sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam. 

Azisman berkata, mangsa maut serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah dan beberapa bahagian badan sebelum mayatnya di bawa ke HRPB untuk bedah siasat dan identiti mangsa masih belum diketahui.

Jambatan 'port' maksiat, dadah




YAN - Jambatan Pulau Bunting di sini yang terbengkalai sejak pengambilalihan negeri Kedah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dari tangan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu kini dijadikan ‘port’ aktiviti menghisap dadah dan maksiat oleh golongan remaja. 

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Limau, Abdul Razak Ghazali berkata, aktiviti itu mula dikesan oleh penduduk kampung berdekatan sejak setahun lalu dan hasil rondaan KRT Sungai Limau mendapati jambatan itu akan menjadi tumpuan remaja ketika waktu hujung minggu, bermula jam 5.30 petang hingga 3 pagi. 

Menurutnya, tinjauan KRT juga mendapati terdapat banyak pasangan kekasih yang berdua-duaan di atas jambatan itu sehingga jam 3 pagi dan berada dalam keadaan mencurigakan. 

“Sepanjang bulan Mei lalu, kerjasama KRT Sungai Limau dengan polis berjaya menahan 10 pasang kekasih yang berdua-duaan di atas jambatan itu dalam keadaan mencurigakan dan satu kes melibatkan dua pelajar perempuan bawah umur dengan empat remaja lelaki yang ditangkap kira-kira jam 3 pagi. 

“Pada masa sama, kami juga mengesan alat-alat menghisap dadah yang ditinggalkan oleh penagih yang menjadikan kawasan itu ‘port’ mereka. Ia menjadi pilihan kerana tersorok dan jauh dari kawasan kampung,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian dalam operasi bersepadu mencegah maksiat dan dadah yang diadakan di sini, semalam. 

Turut serta ialah 11 pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Yan, dan empat pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Yan. 

Dalam operasi bersepadu anjuran KRT Sungai Limau itu yang bermula jam 5 petang hingga 10 malam, seramai 40 orang telah menjalani ujian saringan air kencing dan dua daripadanya positif dadah. 

Bagaimanapun, usaha menjejaki kegiatan maksiat di kawasan itu gagal dan beliau mempercayai ada pihak yang membocorkan maklumat operasi memandangkan keadaan di jambatan lengang. 

“Sebelum ini, ada satu kejadian di mana terdapat sepasang kekasih yang berdua-duaan di dalam kereta di kawasan berhampiran jambatan membuat laporan polis di Pondok Polis Sungai Limau kira-kira 1 pagi dan mendakwa terdapat sekumpulan orang membawa kayu seolah-olah hendak memukul mereka. 

“Bagaimanapun, setelah saya dipanggil untuk membantu siasatan polis, rupa-rupanya kumpulan itu adalah kumpulan peronda KRT yang sebenarnya membawa rotan dan mendatangi mereka bertujuan untuk mencegah maksiat. 

“Pasangan itu akhirnya menarik balik laporan polis kerana malu dan saya difahamkan mereka kini baru sahaja berkahwin baru-baru ini,” katanya. 

Abdul Razak turut menggesa polis dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Yan mempertingkatkan pemantauan di kawasan jambatan berkenaan bagi mengelakkan ia dicop sebagai ‘port’ maksiat. 

“Bayangkan daripada 11 tangkapan yang dibuat, 10 pasangan bukan kalangan penduduk tempatan dan ini menunjukkan ramai beranggapan Jambatan Pulau Bunting ‘port’ maksiat paling selamat. 

“Justeru, saya minta PAID dan polis memantau sekerap mungkin lokasi itu bagi membendung kegiatan maksiat dan penyalahgunaan dadah daripada menular di Yan,” katanya.

Korban laluan maut meningkat



PEKAN – Peningkatan jumlah kematian akibat kemalangan di sepanjang Jalan Kuantan-Segamat di daerah ini saban tahun amat membimbangkan dan usaha perlu dilakukan bagi mengatasi keadaan ini. 

Statistik yang dikeluarkan Jabatan Trafik, Ibu pejabat Polis daerah Pekan menunjukkan sebanyak 16 kematian berlaku dari tempoh Januari sehingga 22 Jun tahun ini berbanding lima kematian pada tahun lalu. 

Angka itu turut menunjukkan trend peningkatan kadar kemalangan yang berlaku di mana lima kematian yang berlaku pada sepanjang 2009 melibatkan lima kes kemalangan berbanding 16 kematian yang berpunca daripada tujuh kes kemalangan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. 

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pelbagai usaha yang dilakukan termasuk sekatan jalan raya bagi mengingatkan pengguna jalan raya mengenai amalan berhemah di jalan raya. 

“Usaha ini jelas gagal mengubah sikap pengguna jalan raya di mana faktor itu adalah aspek terpenting untuk mengubah trend peningkatan kes kemalangan terutamanya menyebabkan kematian. 

“Masih ramai pemandu yang gemar memandu dengan laju dan terburu-buru untuk sampai ke destinasi masing-masing tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri apatah lagi pengguna jalan raya yang lain,” katanya. 

Yahaya berkata, usaha mengurangkan kadar kemalangan boleh direalisasikan dengan berkesan namun ia amat memerlukan kerjasama pengguna jalan raya yang perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

“Sikap terburu-buru pengguna yang dikesan berkisar kepada sikap suka memotong kenderaan lain yang berada di hadapan tanpa berhati-hati ketika menggunakan jalan raya. 

“Hal ini jelas apabila dua kemalangan terkini yang melibatkan 11 kematian adalah berpunca daripada cubaan memotong kenderaan sehingga mengakibatkan kemalangan ngeri,” katanya. 

Menurutnya, apa yang perlu ditekankan kepada setiap pengguna ialah terus mengamalkan sikap berhemah selain bertolak ansur sesama sendiri bagi mengelak kejadian terus berulang.

Ciuman pertama



KOTA BHARU – Tiada saat yang paling menggembirakan oleh seorang bapa selepas enam bulan berada di dalam tirai besi dan semalam pertama kali dapat mencium anak bongsunya berusia lima bulan. 

Lelaki yang dikenali dengan panggilan Sudin ini memberitahu, dia dimasukkan ke dalam penjara Pengkalan Chepa kerana melakukan tiga kesalahan termasuk Akta Senjata Api dan Imigresen. 

Dia yang berusia 37 tahun itu menyesal dengan apa yang dilakukannya dan timbul keinsafan dalam dirinya selepas dapat mencium anak bongsunya. 

Walaupun dia kelihatan tabah, tetapi air mata kegembiraan dan kekecewaan tetap mengalir setelah pertama kali dapat dipertemukan dengan tiga anak, isteri dan ahli keluarganya. 

Sudin berkata, dia kesal dengan perkara yang dilakukannya dan berharap tiga lagi anaknya dapat mengambil iktibar dengan pengalaman hidupnya itu. 

“Apabila saya dapat melihat anak-anak dan berjumpa dengan isteri serta ahli keluarga, saya nekad di dalam diri saya selepas ini akan mengubah cara hidup saya. 

“Saya juga berharap anak-anak saya dapat belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat dengan kegiatan yang merosakkan masa depan mereka,” katanya semalam ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih sempena Hari Bapa Peringkat Penghuni Penjara Pengkalan Chepa, semalam. 

Kira-kira 32 banduan terpilih diberi kebenaran hampir tiga jam bersama ahli keluarga masing-masing. 

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Penjara Muhammad Zuki Muhamad Zain.

Kenderaan yang disita di Dubai akan dihantar ke Malaysia

DUBAI: Dua puluh empat kenderaan dari Malaysia yang disita kastam Dubai ketika cuba diseludup ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa tahun lalu sudah diserah kepada polis Malaysia.
Konsul Besar Malaysia di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, kebanyakan kenderaan berkenaan adalah daripada jenis trak pikap dan kenderaan pelbagai guna SUV.
"Kesemua kenderaan itu dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka tiba tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.

Media di UAE melaporkan kastam Dubai berjaya mengesan kenderaan terbabit sebelum ia memasuki pasaran auto rantau itu hasil kecekapan pegawai dan penggunaan alat pengimbas berteknologi tinggi.

Laporan media juga menyebut siasatan mendapati usaha menyeludup itu didalangi sindiket antarabangsa.

Syed Mohamad Hasrin berkata, kes pertama diketahui Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi pada 2007. Pejabat Konsul Besar di Dubai pula diwujudkan pada 2008.

"Hanya baru-baru ini pegawai dari kastam Dubai datang menemui saya untuk bertanya sama ada kita mahu melupuskan kenderaan itu atau dihantar balik ke Malaysia.

"Dua pegawai dari Polis Diraja Malaysia datang ke Dubai selepas dimaklumkan mengenai perkembangan itu dan memeriksa kenderaan terbabit. "Selepas diperiksa mereka bersetuju agar kesemuanya dihantar balik untuk tindakan lanjut," kata Syed Mohamad Hasrin.

Beliau turut berterima kasih kepada kastam Dubai dan kedutaan di atas kerjasama mereka.-Bernama

Ibu desak jual tubuh



15/7
KUALA LUMPUR: Jika bukan kerana desakan ibu mengatakan kerjaya melacur saka dan warisan keturunan kami, tak mungkin saya sanggup menjual tubuh pada usia muda, kata seorang pelacur jalanan yang menjalankan kegiatan sambilan di sekitar ibu kota.
Dia yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu pada harga RM30 untuk sekali perkhidmatan sejak tiga tahun lalu mendakwa dipujuk ibu supaya tidak segan-silu melakukan kerja terkutuk itu dengan alasan ia tidak akan merugikan apa-apa pun.
Gadis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ila, 21, hanya berjaya dipujuk membuka mulut dan mendedahkan pengalaman hidupnya selepas diyakini wartawan yang menemuinya ketika berpeleseran mencari pelanggan di hadapan sebuah hotel murah di Jalan Raja Laut di sini, semalam.
Saya tak salahkan ibu kerana dia selama ini menghantar saya ke sekolah dan membesarkan kami adik beradik selepas bapa lari dari rumah ketika saya masih di bangku sekolah.
Ibu mendakwa ayah seorang penagih dadah tegar dan sering keluar masuk pusat serenti sebelum hilang dari rumah sekitar 2002 dipercayai ada kaitan dengan samseng dadah yang mahu memungut hutang, katanya.
Menurut Ila, sejak ketiadaan bapa, ibu kerap keluar waktu Maghrib dengan alasan pergi bekerja di kilang elektronik di Keramat sebelum pulang ke rumah sekitar jam 3 atau 4 pagi setiap hari.
Mulanya saya percaya dia pergi bekerja, namun lama kelamaan saya mula mengesyaki ada yang tidak kena apabila kerap kali ibu dihantar pulang lelaki berasingan.
Malah, pakaian seksi lengkap dengan kasut tumit tinggi digunakan ibu setiap kali keluar rumah jelas tidak menunjukkan langsung ciri penampilan seorang operator pengeluaran kilang, katanya.
Namun, menurutnya, misteri pekerjaan ibunya terjawab apabila dia diminta menghantar wanita itu dengan kereta ke sebuah bangunan rumah kedai usang di Jalan Petaling di sini, empat tahun lalu.
Ketika itu saya yang sudah berhenti sekolah dan mempunyai lesen memandu tergamam apabila ibu memperkenalkan saya kepada seorang lelaki Cina serta beberapa wanita berusia hampir separuh abad didakwa rakan sekerjanya.

Selepas 10 minit memerhati baru saya sedar, ibu seorang pelacur yang menjual tubuh kepada lelaki yang memasuki rumah usang terbabit melalui pintu belakang.
Ibu hanya perlu menunjukkan tiga jari tangannya sebagai simbol harga RM30 ditawarkan untuk perkhidmatan seks, katanya.
Ila berkata, ibunya mungkin tidak mahu lagi menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuannya kerana dia sudah dewasa, apatah lagi pernah terlanjur beberapa kali dengan teman lelaki juga jirannya di Sentul.
Namun, ibu tak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya sehinggalah setahun selepas itu apabila dia mula kerap kali sakit akibat darah tinggi.
Saya sebaliknya disuruh menjual tubuh di pusat pelacuran murahan itu bagi menggantikannya.
Mulanya saya enggan kerana jijik, namun ibu mengatakan saya tiada pilihan kerana itu saja pekerjaan yang mampu menanggung kehidupan kami sekeluarga.
Malah, dia mendakwa pekerjaan itu tidak ubah seperti saka yang perlu saya ikuti generasi demi generasi, katanya.
Menurut Ila, walaupun tertekan, dia terpaksa akur selepas didesak berulang kali selain diminta melapor diri untuk bertugas dengan bapa ayam yang menyelia rumah pelacuran terbabit.
Dia yang bertubuh sedikit gempal mendakwa meletakkan syarat awal dengan hanya mahu melayan lelaki tempatan dan muda saja berikutan hilang selera dengan bau badan lelaki asing.
Dengan RM40 dikenakan kepada setiap pelanggan, saya memperoleh bahagian RM30 ringgit. Jika bernasib baik dan ramai pelanggan, saya mampu memperoleh sehingga RM2,000 sebulan.
Bagaimanapun, selepas dua tahun dijaga bapa ayam, saya mengambil keputusan bergerak bersendirian dengan menawarkan seks di kaki lima setiap waktu petang dan malam, katanya.
Namun, menurutnya, tindakan tegas anggota polis Kuala Lumpur yang berterusan menggempur dan menahan puluhan pelacur dan pondan di kawasan terbabit beberapa bulan lalu menyebabkan pendapatannya kini terjejas teruk.
Sumber : Harian Metro

Hukuman larikan anak orang


15/7
JOHOR BAHRU: Akibat melarikan anak dara jiran yang masih di bawah umur untuk dijadikan isteri, seorang kelindan lori kini bertarung nyawa selepas dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai saudara gadis berkenaan sehingga buah pinggang rosak dan kemaluannya hampir hancur.
Kejadian berlaku beberapa hari selepas mangsa bersama gadis berusia 14 tahun yang juga kekasihnya melarikan diri dari rumah mereka di Tebong, Melaka ke kediaman seorang kenalan di Jementah, Segamat, untuk melangsungkan perkahwinan secara rahsia.
Ibarat mencurah minyak ke dalam api, keluarga gadis berkenaan yang terkilan dengan perbuatan pasangan kekasih itu bertambah berang apabila mendapati mereka sudah berkahwin.
Difahamkan, mangsa, R Vijendren, 20, dan gadis berkenaan dibawa pulang ke kampung halamannya di Melaka sebelum dibelasah kira-kira 30 lelaki pada minggu lalu.
Mangsa dimasukkan ke Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke Hospital Muar. Abang mangsa, R Suresh, 26, berkata keadaan adik bongsu daripada lima beradik itu kini masih kritikal.
Menurutnya, ketika kejadian, dia turut berada di tempat kejadian, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kumpulan terbabit seolah-olah hilang kawalan ketika membelasah Vijendren.

Kami tidak menyangka keluarga gadis berkenaan menyerang adik secara tiba-tiba. Saya cuba menghalang, tapi turut mengalami kecederaan sehingga terpaksa menerima enam jahitan di kepala.
Gadis berkenaan dibawa pergi oleh keluarganya manakala adik saya ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati, katanya.
Suresh berkata, lebih membimbangkan, Vijendren kini terpaksa bergantung pada rawatan dialisis buah pinggang seumur hidup berikutan kecederaan parah pada organ berkenaan.
Katanya, buat masa ini, adiknya masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan keluarganya sudah membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Segamat, pada 17 Jun lalu dan kelmarin pula di Balai Polis Muar.
Selain buah pinggang, kemaluan adik saya juga hampir hancur. Kami akui kesilapan adik melarikan gadis berkenaan namun tindakan pihak terbabit melampaui batas menyebabkan masa depannya hancur, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa.
Kejadian berlaku di Melaka namun keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Muar dan kes itu kini dirujuk ke Balai Polis Melaka untuk tindakan lanjut, katanya ketika dihubungi, semalam.
Sumber : Harian Metro

Berkhalwat dalam surau


15/7
JITRA: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dicekup berkhalwat dengan pengawal keselamatan di surau Hospital Jitra (HJ), di sini, awal pagi Jumaat lalu ketika kedua-duanya nyenyak tidur.
Remaja itu yang sepatutnya berada di sisi bapa tirinya yang nazak di dalam wad hospital berkenaan dikatakan mengambil kesempatan itu untuk bertemu dengan buah hatinya yang baru dikenali sejak sebulan lalu.
Bapa tirinya itu dimasukkan ke HJ kerana menghidap tibi sejak sebulan lalu untuk mendapatkan rawatan berikutan penyakitnya semakin kritikal.
Difahamkan, pengawal keselamatan berusia 21 tahun itu pula baru bertugas di HJ sejak Februari lalu dan mengambil kesempatan menggunakan surau itu untuk mengelak perbuatannya dikesan.
Menurut sumber, pasangan itu dicekup jam 1.30 pagi oleh beberapa pengawal keselamatan lain selepas orang awam yang hendak menunaikan solat musafir di surau itu, hairan apabila mendapati pintunya berkunci dari dalam.
Surau dibuka 24 jam untuk memudahkan ahli keluarga pesakit yang datang ke situ menunaikan solat, jadi apabila pintunya berkunci, pengadu terbabit memaklumkan kepada pengawal keselamatan lain yang berada di situ untuk membukanya.

Mereka kemudian mengintai melalui cermin di pintu belakang surau itu dan terkejut apabila mendapati pengawal keselamatan terbabit yang masih berpakaian kerja tidur bersebelahan remaja perempuan itu dan mengesyaki mereka melakukan sesuatu yang mencurigakan dan terus menghubungi Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) untuk menahan mereka, katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, pasangan itu masih nyenyak tidur dalam surau dan terkejut apabila mendapati orang ramai berada di situ sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.
Menurut sumber, pasangan itu memberi alasan hanya tumpang tidur di surau itu dan mendakwa tidak melakukan apa-apa.
Pengawal keselamatan yang masih bujang itu berasal dari Alor Setar, manakala remaja perempuan berkenaan berasal dari daerah ini dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
Sumber berkata, ketika ditahan, pasangan itu berpakaian lengkap dan pengawal keselamatan itu sepatutnya bertugas dalam pondok pengawal yang terletak kira-kira 100 meter dari surau.
Remaja perempuan berkenaan pula dikatakan bergilir-gilir dengan ibunya untuk menjaga bapa tirinya dan diamanahkan menjaga bapanya itu pada waktu malam, manakala pada petang dia membantu ibunya berniaga.
Sumber : Harian Metro