MIRI: “Saya hanya ingat helikopter dipandu berpusing laju dan gagal dikawal sebelum terhempas,” kata juruterbang helikopter Sikorsky S64, David William Bergin, ketika ditemui di hospital sebaik saja tersedar daripada pengsan.
PARAH... Bergin mengalami luka di kepala dan tangan masih menerima rawatan di hospital swasta di Miri.
Bagaimanapun, pembantu juruterbang helikopter malang milik Erickson Air-Crane (M) Sdn Bhd maut dalam kejadian itu.
“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ngeri ini tetapi masih bersedih apabila mengetahui rakan baik, Scoot meninggal dunia,” katanya.
Menceritakan detik cemas itu, Bergin berkata, dia bersama Scoot memunggah kayu balak di kawasan itu kira-kira jam 4.50 petang sebelum tiba-tiba helikopter dipandunya itu berpusing laju dan sukar dikawal.
“Sebelum terhempas, saya hanya membayangkan wajah isteri dan dua anak saya serta terfikir akan mati.
“Sebaik terhempas, saya masih sedar dan menghubungi isteri di Amerika Syarikat memaklumkan kemalangan ini sebelum pengsan,” katanya ketika ditemui di Hospital Colombia Asia, di sini, semalam.
Katanya, dia hanya tersedar ketika dalam perjalanan ke kem pembalakan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Difahamkan, sebaik kemalangan itu, pekerja pembalakan yang melihat kejadian segera memberi bantuan kecemasan tetapi disebabkan cuaca buruk dan angin kencang serta cuaca gelap, kedua-dua mereka hanya menerima rawatan di kem pembalakan itu sebelum dihantar ke hospital semalam.
“Saya cuba mengawal helikopter itu daripada terhempas namun gagal.
“Saya juga gagal menyelamatkan rakan baik saya yang selama ini sering menemani saya menjalankan tugas,” katanya yang mengaku lebih setahun berkhidmat dengan syarikat helikopter mengangkut kayu balak di kawasan itu.
Lokasi kem pembalakan yang jauh menyebabkan majikannya terpaksa menyewa sebuah lagi helikopter untuk membawa mangsa dan mayat rakannya ke Hospital Miri untuk bedah siasat.
Kedua-dua warga Amerika itu berjaya dikeluarkan dari kem terbabit dan tiba di hospital kira-kira jam 7 pagi.
Sementara itu, jurucakap hospital swasta itu berkata, keadaan Bergin kini stabil tetapi masih memerlukan pemantauan rapi.
“Kita terpaksa mengeluarkan serpihan kaca tingkap helikopter dan kayu yang tertusuk pada kepala mangsa.
“Semua benda asing ini dibersih dan berjaya dikeluarkan dengan selamat,” katanya.
Difahamkan, mayat Scoot dihantar pulang ke negara asalnya sebaik selesai urusan bedah siasat dan pengurusan dokumen berkaitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam membabitkan sebuah helikopter milik syarikat Erickson Air-Crane (M) Sdn Bhd yang terhempas ketika melakukan operasi mengeluarkan balak.
“Dalam kejadian itu, mangsa, Scoot yang berasal dari Mississippi bertugas sebagai pengendali kren maut selepas terperangkap di dalam kokpitnya apabila helikopter dipandu Bergin gagal dikawal akibat cuaca buruk, menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum menjunam ke dalam hutan.
“Bergin yang berasal dari Oregon cedera parah selepas patah lengan kiri dan cedera tulang belakang selain luka pada kepala, muka dan leher akibat terkena tusukan cermin helikopter yang pecah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, mangsa maut akibat tersepit di tempat duduknya.
“Kejadian dipercayai berlaku selepas juruterbang gagal mengawal pesawat yang ketika itu menempuh cuaca buruk serta hujan lebat yang melanda tiba-tiba,” katanya.
Difahamkan, kakitangan syarikat pembalakan Kumpulan Samling yang mengendalikan kerja pembalakan di situ mengeluarkan David kira-kira jam 7 malam sebelum dibawa pulang ke kem pembalakan bagi rawatan lanjut.
Usaha membawa mangsa ke Miri bagaimanapun gagal berikutan helikopter gagal diterbangkan akibat cuaca buruk yang berlarutan sehingga lewat malam dengan penerbangan hanya dapat dilakukan pada jam 6 pagi semalam.
Perjalanan dari Miri ke Long Pelutan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan darat berikutan hanya ada laluan jalan balak, namun perjalanan udara hanya mengambil masa kira-kira satu jam.
Abu Bakar berkata, pasukan penyelamat berdepan masalah masuk ke lokasi kejadian berikutan terpaksa menaiki pacuan empat roda dari Marudi melalui jalan balak lebih tiga jam.
“Punca kejadian masih disiasat dengan kita tidak menolak kemungkinan cuaca buruk dan hujan lebat menyebabkan tiupan angin kencang sehingga juruterbang gagal mengawal helikopternya,” katanya.