Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Pesawat Terbang Gembira terhempas




2010/06/26

DENPASAR: Sebuah pesawat latihan KT-1 Wong Bee terhempas dan terbakar di bahagian timur Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di sini. 

Juruterbang, Mejar Andi Wijanarko dan penumpangnya, Komander Tentera Serantau Udayana, Mejar Jeneral Rachmad Budianto dapat menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi anjal.

Jangkitan malaria dibawa warga asing



2010/06/26

Kementerian Kesihatan dapati empat kes di Sabak Bernam bukan penularan tempatan 

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata, satu kematian dilaporkan di kawasan itu pada 16 Jun lalu dan selepas disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.

Mereka tiba di negara ini pada 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam, mengulas berita disiarkan akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu. 

“Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari laut dan diberi rawatan pesakit luar. 

“Mangsa mendapatkan rawatan kali kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari sama. 

"Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang sudah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya. 
Dr Hasan berkata, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana semuanya juga disahkan negatif. – BERNAMA 

120 penduduk lima kampung dipindah


Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2010/06/26

DUA anggota JPAM membawa keluar kanak-kanak untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara selepas beberapa buah kampung dinaiki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi semalam di Kampung Paya Redan, Muar.
DUA anggota JPAM membawa keluar kanak-kanak untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara selepas beberapa buah kampung dinaiki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi semalam di Kampung Paya Redan, Muar.
Paras air naik mendadak hingga cecah satu meter 

MUAR: Sekurang-kurangnya 120 penduduk dari lima kampung di Pagoh, dekat sini terpaksa dipindahkan selepas penempatan mereka dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan awal pagi semalam.

Mangsa dari Kampung Paya Redan, Kampung Sebasu, Kampung Tengah, Kampung Sekolah dan Kampung Batu 23 Lenga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Balai Raya Batu 23 Lenga dan Dewan Serbaguna Pagoh selepas paras air naik mendadak sehingga mencecah satu meter.

Hujan lebat bermula kira-kira jam 2 pagi itu juga mengakibatkan laluan masuk ke kampung berkenaan ditenggelami air yang turut menyebabkan murid, guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan terperangkap sebelum dipindahkan oleh pasukan bomba dan penyelamat Muar. 

Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmood, pasukannya memindahkan kira-kira 40 murid, guru dan kakitangan SK Paya Redan serta 10 penduduk Kampung Batu 23 Lenga menggunakan trak selepas laluan ke kampung terbabit ditenggelami air. 

“Operasi pemindahan selesai jam 1 petang sebelum banjir di beberapa kawasan mulai surut pada sebelah petang dan sesetengah penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya di sini semalam. 

Mangsa, Abidin Rahmat, 53, berkata hujan lebat menyebabkan rumahnya ditenggelami air mulai jam 7.30 pagi sehingga ke paras pinggang dan bersama isteri, Zaiton Mohamad, 64, bertungkus-lumus menyelamatkan barang ke tempat lebih tinggi. 

Empat rumah kedai terbakar



2010/06/26

HUTAN MELINTANG: Empat kedai papan sederet di Jalan Tepi Sungai di sini, musnah dalam kebakaran menyebabkan kerugian mencecah RM250,000 dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam. 

Dua daripada premis itu untuk operasi syarikat pengangkutan dan kilang ikan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi termasuk kedai persatuan nelayan musnah sebahagian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Perak, Nazri Zakaria, berkata tiga jentera bomba dari Teluk Intan dan Sabak Bernam bersama 19 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.18 pagi.

"Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 4.18 pagi. Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran," katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. 

Sementara itu, Pengurus Syarikat Pengangkutan Lian Hoe yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh, berkata syarikatnya yang beroperasi sejak 10 tahun lalu mengalami kerugian hampir RM100,000 termasuk akibat kemusnahan peralatan serta beberapa motosikal milik pekerja. 

Pemilik kilang ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan pula mendakwa tekanan rendah air pili bomba menyebabkan kebakaran lewat dapat dipadamkan. "Kami terpaksa memberhentikan operasi perniagaan kerana semua peralatan dalam kedai musnah," katanya. 

Zahid anggap 'ragging' perbuatan jahiliah




2010/06/26

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dikaitkan dengan kejadian dera dan buli adalah satu tindakan jahiliah. 

Katanya, kejadian ‘ragging’ pelajar junior tidak seharusnya berlaku di mana-mana sekolah, khususnya di sekolah tentera dan pelakunya mesti dikenakan hukuman berat.

“Kementerian memandang serius perbuatan zaman jahiliah ini. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelajar terbabit selepas siasatan siap sepenuhnya dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah tentera selain mengikut undang-undang sivil.

“Berulang kali saya tegaskan supaya jangan jadikan buli sebagai satu budaya kerana ia adalah perkara yang tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh di sini, semalam. 

Zahid turut menafikan dakwaan pihaknya lambat bertindak dalam menangani kejadian itu, sebaliknya beliau berkata kementerian menubuhkan lembaga siasatan sejurus dimaklumkan mengenainya. 

“Kejadian itu berlaku tengah malam semalam (kelmarin) dan kita menjalankan siasatan serta mengambil tindakan secepat mungkin termasuk menghulurkan bantuan penerbangan ehsan membawa jenazah pulang ke kampung halamannya,” katanya. 

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, Muhammad Naim pengsan selepas dikatakan dibuli oleh sekumpulan lima pelajar senior di bilik asramanya dan meninggal dunia sebaik tiba di Pusat Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (PPATM) Kem Perdana Sungai Besi sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat. 
Jenazah Allahyarham kemudian diterbangkan ke kampungnya di Baling, Kedah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siong. 

Penduduk kena ragut tiap minggu


15/7
GELAP...keadaan di Jalan SG 9/8 Taman Sri Gombak pada waktu malam mengundang kejadian jenayah.
GELAP…keadaan di Jalan SG 9/8 Taman Sri Gombak pada waktu malam mengundang kejadian jenayah.
GOMBAK: Kejadian ragut sudah menjadi kebiasaan pada kami di sini. Ada penduduk mendakwa pernah menjadi mangsa antara tiga hingga empat kali, kata Abu Bakar Dadoo, 52, mengenai penduduk di Jalan SG 9/8, Taman Sri Gombak di sini, yang menjadi sasaran penjenayah berikutan lampu jalan tidak berfungsi di situ.
Katanya, berikutan itu pelbagai masalah timbul dan peragut pula mengambil kesempatan terhadap penduduk, malah bukan saja kes ragut sering dilaporkan, tetapi kejadian pecah rumah juga sering berlaku.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, walaupun lampu jalan disediakan, namun menurut penduduk di situ ia hanya sekadar hiasan saja, kerana pada waktu malam lampu itu tidak dipasang.
Perkara ini sudah berlarutan terlalu lama dan berikutan masalah ini kami menjadi takut untuk keluar pada waktu malam melainkan ada hal penting saja.
Ada penduduk kerap kali diragut sehingga trauma untuk keluar pada waktu malam dan ada juga yang takut untuk berjalan seorang diri, katanya yang sudah 10 tahun mendiami kawasan terbabit.
Abu Bakar berkata, sepanjang jalan hingga susur keluar ke Taman Pinggiran Batu Caves, keadaan jalan berubah suram pada waktu malam berikutan ketiadaan lampu jalan.
Seorang lagi penduduk, Sulaiman Jafri, 50, berkata penduduk sebenarnya sudah lali dengan keadaan itu dan kawasan berkenaan seolah-olah menjadi tempat penjenayah mencari sumber rezeki.
Paling kerap kejadian berlaku pada waktu pagi ketika semua orang hendak pergi bekerja dan sasaran mereka adalah hentian bas berhampiran…hampir setiap minggu ada saja yang menjadi mangsa.
Ada waktunya juga, mereka akan melakukan aktiviti itu pada waktu Maghrib di tempat sama kerana pada ketika itu keadaan memang sunyi dan lenggang, katanya.
Katanya lagi, penduduk sudah kerap kali menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai masalah lampu jalan yang tidak dihidupkan namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan daripada mereka.
Sementara itu, beliau juga berharap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) segera menebang pokok besar berhampiran kerana pokok terbabit bukan saja menghalang laluan, tetapi menjadi tempat persembunyian peragut menunggu mangsa.
Sumber : Harian Metro

Tak diizin periksa tubuh


15/7
BALING: Saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan arwah ketika mengucupnya buat kali terakhir. Saya juga meminta untuk memeriksa seluruh badannya, tetapi tidak dibenarkan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir mengiringi jenazah ketika itu, kata Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, bapa kepada Mohammad Naim Mustaqim, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior, kelmarin.
Menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan wakil ATM yang tidak membenarkannya memeriksa badan arwah anaknya itu.
Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab arwah sudah dikapan dan mereka hanya membenarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajahnya kali terakhir.
Saya tidak membantah, tetapi mendapati ada kesan lebam di mata kanan arwah ketika mengucupnya kali terakhir.
Saya mahu mereka yang bertanggungjawab memukul anak saya dibawa ke muka pengadilan, katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, semalam.
Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun kematian Mohammad Naim tetap memerlukan pembelaan bagi memberi teladan kepada orang lain yang mungkin menerima nasib sama pada masa depan.
Arwah adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan kehilangannya buat selama-lamanya.
Saya sentiasa impikan satu hari nanti arwah akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam seorang pegawai tentera dan berharap dia akan membantu kami dan adik-adik lain untuk berjaya sepertinya, katanya Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat MTD meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.
Mohammad Naim Mustaqim dikatakan pengsan selepas didera kumpulan pelajar senior terbabit antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama MTD sebelum dikejarkan ke PPAT, namun disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir berjumpa arwah ketika anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti sekolah seminggu lalu.
Sumber : Harian Metro

Rayuan penjara Bung 1 Julai


15/7
SHAH ALAM: Rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin terhadap hukuman penjara sebulan ke atasnya kerana berpoligami tanpa kebenaran akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah 1 Julai ini.
Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zainor Rashid Hassin, menetapkan tarikh itu sebagai pengurusan kes bagi membolehkan pihak terbabit memasukkan dokumen diperlukan sebelum rayuan itu bermula.
Bung Mokhtar, 51, selaku pemohon diwakili oleh peguam syarie, Amli Embong, manakala Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Zusyarafain Md Yusof mewakili responden.
ada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Mokhtar mengaku bersalah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran.
Bagi tuduhan kedua, dia juga didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku salah bersubahat dengan isteri keduanya, pelakon Zizie Izette Abdul Samad, 32, bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.
Isteri mudanya itu pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya berpoligami tanpa kebenaran.
Pasangan itu bernikah di rumah Bung Mokhtar di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak jam 8.50 malam, 16 Disember lalu.
Pada majlis itu, Zizie yang menempa populariti menerusi drama Cili Padi menerima mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu.
Bagaimanapun, Hakim Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Ahmad membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan Bung Mokhtar didengar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bung Mokhtar kemudian dibebaskan selepas membayar jaminan RM 1,000 dan diarahkan memfailkan permohonan rayuan itu dari tempoh 14 hari yang dari tarikh hukuman.
Pada tengah hari sama, Zizie dibebaskan selepas membayar denda. Manakala, pada 11 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengesahkan pernikahan pasangan itu yang berlangsung di Taman Setiawangsa dua hari sebelumnya.
Sementara itu, Amli ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan memasukkan kronologi kes dan ringkasan hujahan sebelum tarikh yang ditetapkan mahkamah itu.
Kami juga akan memasukkan rekod rayuan dan menyerahkan satu salinan kepada pihak pendakwaan, katanya.
Sumber : Harian Metro

Ketuk pintu tiga jam


15/7
PUTRAJAYA: Seorang pencuci kereta sanggup memaksa teman wanitanya mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji semata-mata membayar denda selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah apartmen di Presint 18, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, permintaan lelaki berusia 27 tahun itu tidak dilayan kekasihnya menyebabkan dia meringkuk di Penjara Kajang sejak semalam.
Namun, wanita yang juga seorang pegawai kerajaan itu dibebaskan selepas bapanya memasukkan duit RM3,000 untuk membayar denda.
Pasangan terbabit ditahan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) cawangan Putrajaya kerana disyaki berkhalwat kira-kira jam 3 pagi, semalam.
Sebelum itu, pegawai penguat kuasa meminta bantuan polis memotong mangga jeriji besi sebelum memecahkan pintu rumah wanita berkenaan berikutan keengganan penghuninya membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali.
Sumber Jawi berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, pegawai penguat kuasa Jawi menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat aduan orang ramai melaporkan penghuni rumah terbabit disyaki berkhalwat.
Bagaimanapun, usaha penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil penghuni membuka pintu gagal, menyebabkan mereka meminta bantuan polis untuk memotong kunci jeriji besi bagi membolehkan mereka masuk ke rumah terbabit.
Sumber berkata, mereka tiba di rumah terbabit kira-kira jam 1 pagi dan menunggu tiga jam sebelum meminta bantuan polis memecahkan pintu rumah berkenaan.
Ketika serbuan dibuat, kami mendapati lelaki lengkap berpakaian berada di atas katil di bilik tidur utama, manakala wanita berada di dalam bilik air dalam ketakutan.
Siasatan mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri dan lelaki terbabit dipercayai kerap menjadikan apartmen wanita itu sebagai tempat melampiaskan nafsu, katanya.
Difahamkan, wanita itu tinggal di rumah terbabit seorang diri selepas beberapa rakannya mengambil keputusan keluar dari rumah itu sejak tiga bulan lalu akibat tidak tahan tindakannya sering membawa teman lelaki balik ke rumah.
Sumber : Harian Metro

Peniaga fail saman RM411,286


15/7
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap syarikat pengiklanan dan penerbit akhbar berbahasa Cina bagi menuntut ganti rugi RM411,286 kerana mendakwa kedua-dua pihak berkenaan membuat dan menyiarkan iklan mengelirukan berhubung perkhidmatan perjudian atas talian (online) tanpa sebarang lesen.
Plaintif, Chuah Yan Keng, 43, memfailkan tuntutan itu terhadap defendan pertama, Teleplanet Sdn Bhd dan defendan kedua, The China Press Berhad melalui Tetuan Watson Peters & Mohd Fuad di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Dalam writ saman dan pernyataan itu, plaintif mendakwa defendan pertama meminta defendan kedua menyiarkan iklan mengandungi representasi mengenai barang atau perkhidmatan disediakan defendan pertama, citi Net, Aastar Net dan
SBO Net yang juga laman perjudian online.
Plaintif mendakwa, barangan dan perkhidmatan itu diperoleh dari Singapura, Hong Kong, Macau, Afrika Selatan dan Australia.
Chuah mendakwa mengambil bahagian dalam perjudian itu, dia memasukkan RM150,000 dalam akaun defendan pertama seterusnya diberikan kod laluan ke laman perjudian untuk melakukan pertaruhan.
Dakwa plaintif, dia mengalami kekalahan berjumlah RM150,000 dan membayar jumlah itu kepada defendan pertama.
Sebaliknya, defendan pertama didakwa enggan membuat bayaran kepada plaintif selepas memenangi perjudian online RM261,286.35 seperti mana yang dijamin defendan pertama dalam representasi berkenaan.
Sementara itu, plaintif mendakwa, defendan kedua mendakwa mengiklankan perkhidmatan demikian atas alasan defendan pertama mempunyai lesen berbuat demikian padahal selepas diselidik, defendan pertama tidak mempunyai lesen berkenaan.
Plaintif mendakwa, defendan pertama membuat iklan berkenaan untuk mengelirukan dan memperdaya orang awam.
Sumber : Harian Metro

Pulang berdarah



IPOH: Gara-gara enggan beredar daripada majlis perkahwinan, seorang lelaki terencat akal bernasib malang apabila dipukul dengan botol minuman keras dan kerusi oleh tiga lelaki dipercayai samseng di kampungnya menyebabkan mangsa menerima enam jahitan di kepala selain cedera di kedua-dua bahu.
Difahamkan, mangsa berada pada majlis itu kerana mahu membantu mengemaskan peralatan perkahwinan termasuk menyusun kerusi dan meja di tokong di kampungnya.
Bagaimanapun, tiga lelaki datang menghampiri mangsa dan mengarahkannya beredar sebelum mangsa dipukul dengan teruk kerana enggan mematuhi arahan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada 17 Jun lalu di tokong di Kampung Sungai Durian, Tanjung Tualang, Batu Gajah, mangsa dikenali Tham Phan Keong, 30,cedera teruk di kepala dan bahu selepas dipukul tiga lelaki terbabit.
Ibu mangsa, Chong Kiau Moy, 66, berkata, anaknya pulang dalam keadaan kepala berdarah, selain cedera di bahu kira-kira jam 10.30 malam pada hari kejadian.
Menurutnya, anaknya itu mendakwa dipukul individu dikenali di kampungnya sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Tualang pada hari berikutnya untuk rawatan.
Saya tidak tahu punca anak saya dipukul begitu teruk. Setahu saya, anak saya tidak pernah mengancam keselamatan orang lain tambahan lagi keadaannya yang terencat akal.
Memang anak saya pernah menimbulkan masalah kepada penduduk kampung selain pernah ditahan polis kerana didakwa terbabit dalam beberapa pergaduhan, katanya.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang pengetahuannya, anaknya itu tidak menimbulkan masalah jika tidak diganggu.
Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Tanjung Tualang sehari selepas kejadian itu.
Bagaimanapun, saya kesal kerana polis masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tiga lelaki yang memukul anak saya itu, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Katanya, pihaknya menunggu bahagian pendakwaan selesai meneliti kertas siasatan kes itu sebelum polis menahan ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut.
Sumber : Harian Metro

Ayam kalah tikam pengadil


15/7
KOTA KINABALU: Seorang pengadil pertandingan menyabung ayam menemui ajal apabila diserang dengan pisau Bugis di dada dan bahu oleh seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati dengan mutu pengadilannya yang dianggap berat sebelah.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang hanya dikenali dengan nama Hassan, 45, dipercayai sedang mengadili perlawanan sabung ayam diadakan di Felda Sahabat 32, Tungku, Lahad Datu, di sini, kelmarin, sebelum berlaku pertengkaran dengan seorang peserta.
Akibat tidak berpuas hati dengan mutu pengadilannya, peserta terbabit berusia sekitar 40-an itu nekad menikam mangsa sebanyak tiga kali.
Difahamkan, suspek tidak berpuas hati berikutan ayam sabung miliknya tewas walaupun ayam lawannya dipercayai mati terlebih dahulu.
Akibatnya berang dengan tindakan berat sebelah pengadil itu, suspek terus mengamuk sebelum menikam mangsa tiga kali iaitu dua di bahu dan sekali tikaman di dadanya menggunakan pisau bugis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Bong Kwet Khiut berkata, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.
Mangsa yang cedera parah terus dikejarkan ke klinik berhampiran oleh orang ramai namun disahkan mati sebaik tiba di pusat perubatan itu.
Sehingga kini, polis masih mengesan suspek yang juga dipercayai lelaki warga asing dipercayai melarikan diri selepas kejadian terbabit, ketika dihubungi, di sini, semalam.
Bong berkata, ketika kejadian, orang ramai yang menyaksikan pertandingan itu cuba menyelesaikan pertengkaran yang berlaku, namun suspek mula bertindak liar dan mengugut akan menikam sesiapa sahaja yang mencampuri urusannya.
Katanya, bedah siasat mendapati, terdapat beberapa kesan tetakan pada badan mangsa termasuk satu tikaman tepat mengenai hagian sebelah kanan.
Siasatan awal dijalankan polis juga mendapati motif kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati pertaruhan ayam sehingga menimbulkan pergaduhan.
Hasil siasatan di tempat kejadian juga gagal menemui sebarang senjata tajam digunakan suspek, katanya.
Menurut Bong, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Balai Polis Lahad Datu di talian 089-881255 untuk membantu siasatan, katanya.
Sumber : Harian Metro

Mayat suri rumah ditemui


15/7
LANGKAWI: Mayat suri rumah, Norita Dahari, 29, yang hilang dihanyutkan arus dan ombak besar di Pantai Tengah ketika mandi bersama arwah suami dan ahli keluarganya, petang Rabu lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), semalam.
Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui jam 8.45 pagi oleh pasukan SAR yang menjalankan gerakan meronda di sepanjang pantai berkenaan.
Ketika ditemui, mayat mangsa dilihat terapung kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dan arwah suami mandi dalam keadaan lengkap berpakaian baju biru berseluar hitam.
Selepas penemuan mayat itu disahkan ahli keluarganya, pusat SAR yang dibuka di Pantai Tengah kini ditutup dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya di sini.
Harian Metro semalam, melaporkan mayat suami mangsa, Yuhin Azlan Yusof, 31, ditemui pasukan SAR kira-kira jam 8.20 pagi kelmarin, kira-kira 500 meter dari tempat mereka turun mandi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Rabu lalu, Yuhin Azlan dikatakan cuba menyelamatkan Norita yang tenggelam timbul selepas dihanyutkan ombak besar sebelum kedua-dua mereka dilihat tenggelam dan hilang.
Dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa, Azat Mohd Ghazali, 29, yang juga adik ipar Yuhin Azlan mengalami sesak nafas dan terpaksa dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, abang Yuhin Azlan, Yusyino Asmara Yusoff, 35, menyifatkan kematian pasangan suami isteri itu sebagai satu kehilangan besar dalam keluarga.
Sejam sebelum kejadian, saya dan Yuhin (Azlan) keluar berdua ke pekan Kuah dan kami sempat membeli makanan segera untuk makan petang keluarga yang menginap di sebuah hotel di Pantai Tengah.
Dalam perjalanan itu, kami berbincang banyak hal termasuk soal kerja dan keluarga. Kami berdua memang rapat sejak kecil dan arwah satu-satunya rakan rapat saya hingga kini, katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, mayat Norita dibawa ke Gombak, Selangor menerusi penerbangan sebelum dikebumikan berhampiran kubur arwah suaminya.
Sumber : Harian Metro