
Beliau berkata, dua kematian berlaku di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Perak, Johor dan Kelantan.
“Empat daripada lima kematian ini berlaku di kawasan wabak denggi dan di kawasan yang tidak bersih serta mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu antara 1.6 hingga 13 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga 942 kes dilaporkan, iaitu peningkatan 51 kes berbanding minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini ialah 22,251 kes berbanding 23,794 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Walaupun bilangan kes turun enam peratus pada tahun ini, bilangan kematian terus meningkat 23 peratus, iaitu daripada 60 kematian tahun lalu kepada 74 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini,” katanya.
Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lepas, terdapat 24 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif berbanding 22 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, membabitkan negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sembilan kawasan masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi dan hanya empat daripada 24 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan itu. - Bernama