Search This Blog

Wednesday, June 23, 2010

Pegawai depot Petronas hadapi tuduhan rasuah


23/06/2010 5:07pm

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai penguasa Depot Petronas Berhad Cawangan Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah melibatkan nilai suapan sebanyak RM3,500.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Jasmi Mohd. Jemadi, 43, dituduh menerima nilai suapan RM1,500 melalui akaun Maybank daripada Azmi Abu Bakar iaitu pemilik syarikat Dual Metal Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Ibu Pejabat Petronas tentang kebocoran ”injap cakera” yang dibekalkan oleh syarikat itu kepada Depot Petronas Melaka.
Tertuduh yang berasal dari Batu Pahat, Johor dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 Februari tahun lepas kira-kira pukul 6.09 petang di Malayan Banking Berhad, Cawangan Paka, Jalan Besar Pusat Niaga Paka, Dungun.
Mengikut kertas pertuduhan kedua, Jasmi didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada Azmi melalui cara sama pada 24 Februari tahun lepas, kira-kira pukul 3 petang untuk tujuan sama.
Pendakwaan di hadapan Hakim M. Bakri Abdul Majid dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Ahmad Nizam Wan Omar.
Tertuduh, memakai baju berkotak-kotak berwarna gelap dan berseluar denim, yang mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu kemudian ditawarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin sementara tarikh sebutan semula kes.
Dia bagaimanapun memohon kepada mahkamah supaya wang ikat jamin itu dikurangkan separuh daripada jumlah asal dengan alasan terpaksa menanggung empat orang anak yang masih kecil selain mempunyai seorang isteri tidak bekerja.
Hakim kemudian memerintahkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

Cubaan seludup rokok bernilai RM250,000 tumpas


23/06/2010 5:31pm

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup rokok bebas cukai dari Labuan dengan nilai rampasan RM250,000 dalam operasi bersepadu di Sungai Kinanap awal pagi semalam.
Serbuan pada pukul 4 pagi berhampiran jeti Menumbok itu dibuat ketika sekumpulan suspek sedang memunggah barangan terbabit dari bot ke dalam kenderaan darat.
Ketua Penguatkuasa Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Taha Ibrahim berkata, kesemua suspek terbabit bagaimanapun melarikan diri dengan bot yang digunakan untuk menyeludup.
"Kami berjaya menahan dua van dan sebuah Land Cruiser yang diguna untuk memunggah masuk rokok seludup. Kami menemui 2,450 karton rokok pelbagai jenis di dalam kenderaan itu.Nilai rampasan termasuk cukai dianggar RM250,000,” katanya. - Bernama

Wanita dakwa diganggu lelaki Amerika 12 tahun


23/06/2010 5:31pm


KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa dia diganggu selama 12 tahun oleh seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang sering menelefon dan menghantar SMS lucah kepadanya.
May Heng, 43, seorang setiausaha, berkata, dalam insiden terbaru pada 13 Jun lepas, lelaki itu telah mengekorinya dari Kuala Lumpur ke sebuah hotel di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Bercakap kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini, May Heng yang meminta ketua biro itu, Datuk Michael Chong, untuk membantunya, berkata, beliau mengenali lelaki itu melalui seorang kawan pada 1998 semasa bekerja di Pulau Pinang dan itu merupakan satu-astunya pertemuan beliau dengan lelaki itu sehinggalah pada 13 Jun lepas.
Lelaki itu dipercayai kembali ke Amerika Syarikat selepas tahun 2000 tetapi menurut May Heng, pada November lepas, lelaki itu kembali semula mengganggunya dan suami beliau menyebabkan wanita itu membuat empat laporan polis di Pulau Pinang dan Petaling Jaya. – Bernama

Keluarga ternama di Labuan dirompak RM50,000


23/06/2010 6:41pm

LABUAN – Rompakan bersenjata berlaku terhadap satu keluarga ternama yang tinggal di Lubok Temiang di sini pada awal pagi ini dengan kerugian hampir RM50,000.
Ketua Polis Labuan, Penguasa Saiman Kasran berkata, polis telah melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu kumpulan lima perompak yang dipercayai warga asing.
“Kita percaya mereka masih berada di Labuan dan kita berharap akan menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga perompak yang bertopeng dan bersenjatakan parang dan pisau itu mengancam akan mencederakan anggota keluarga itu dan meminta menunjukkan bilik pemilik rumah berkenaan.
“Dua orang daripada anggota keluarga mereka diikat tanpa dicederakan,” katanya.
Dua orang lagi kumpulan itu berjaga di luar rumah.
Kamera Litar Tertutup (CCTV) rumah itu ditutup dengan plastik oleh perompak-perompak berkenaan.
Antara barangan yang dilarikan termasuk wang tunai RM6,000, lima komputer riba dan lapan telefon bimbit. – Bernama

Dadah: Remaja perempuan bersekedudukan ditahan


23/06/2010 7:12pm

SHAH ALAM – Polis menahan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun bersama seorang lelaki di sebuah flat di Seksyen 16 di sini dan menemui beberapa bungkusan dipercayai mengandungi syabu dan heroin Isnin lalu.
Polis merampas 48 paket plastik berisi heroin seberat 95 gram dan sebungkus syabu seberat 20 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM15,000.
"Ketika ditahan remaja perempuan itu cuba melarikan diri, manakala teman lelakinya yang berusia lingkungan 30-an sedang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah,” kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin.
Difahamkan, remaja perempuan tersebut sudah tidak bersekolah dan bersekedudukan dengan lelaki berkenaan sejak empat bulan lepas.
"Lelaki berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah,” katanya.
Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959. Mereka direman sehingga 28 Jun. – Bernama

Tragedi maut menjelang subuh



TIGA mangsa bot karam yang terselamat memasuki ambulans untuk dibawa ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut semalam.


PORT DICKSON - Hajat 25 warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki sebuah bot pancung musnah apabila dua maut manakala 15 lagi dikhuatiri hilang selepas bot itu karam berhampiran perairan Port Dickson di sini semalam.
Bagaimanapun, lapan lagi penumpang berusia di antara 20 dan 31 tahun dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong dan cebisan kayu bot dalam kejadian pukul 3 pagi kira-kira 12 batu nautika dari arah barat Port Dickson.
Mereka merupakan enam lelaki dan dua wanita di mana salah seorangnya sedang mengandung lapan bulan. Dia kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) akibat melecur terkena minyak diesel panas ketika bot itu karam.
Dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak perempuan berusia di antara tujuh dan lapan tahun dan seorang lelaki berusia 30-an ditemui lemas.
Mayat kanak-kanak itu dijumpai oleh kapal dagang kontena MV Kota Raya yang dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh ke Singapura pada pukul 10.30 pagi di lokasi kejadian bot karam itu.
Kapal yang sama juga menyelamatkan lapan mangsa yang ditemui terkapai-kapai di tengah laut.
Mayat lelaki berkenaan pula ditemui oleh nelayan kira-kira 4.45 petang di lokasi yang sama sebelum dibawa ke Jeti Jabatan Laut pada pukul 5.30 petang.
Difahamkan, hujan lebat dan laut bergelora antara penyebab bot pancung yang dalam perjalanan ke Dumai, Indonesia itu karam selepas bertolak dari jeti di Banting, Selangor pada pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, setakat petang semalam, pihaknya mengesahkan dua mayat sudah ditemui dan dihantar ke Hospital Port Dickson.
"Selain itu, lapan mangsa yang terselamat dihantar ke hospital yang sama dan berdasarkan keterangan mereka, kita percaya jumlah penumpang yang ada ketika itu di antara 22 dan 25 orang," katanya pada sidang akhbar di sini

Shahidan enggan sahkan Asri, Juanda akan sertai UMNO


23/06/2010 7:09pm


KANGAR 23 Jun – Minat yang kini ditunjukkan golongan ulama terhadap UMNO adalah perkembangan yang sihat dalam parti, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini.
Menurutnya, kira-kira 40 ulama yang berkelulusan Ph.D dijadual akan menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Presiden parti pada Jumaat ini termasuk dua ulama dari negeri Perlis.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada dua ulama itu bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Juanda Jaya.
Shahidan, bekas Menteri Besar Perlis, dan Mohd. Asri adalah dua rakan karib.
"Sama ada Dr. Mohd. Asri menyertai UMNO atau tidak pada Jumaat ini, beliau tetap kawan saya,” kata Shahidan.
Sebelum ini, media massa melaporkan bahawa Mohd. Asri akan turut menyertai UMNO Jumaat ini, namun beliau belum membuat sebarang kenyataan.
Shahidan yang juga Ketua UMNO bahagian Arau berkata, jika dua ulama Perlis itu menyertai UMNO, mereka akan dilantik menduduki jawatankuasa bahagian itu dan salah seorang daripadanya akan dilantik menjadi Pengerusi Biro Agama. – Bernama

Akan letupkan rumah ibadat: 10 anggota JI ditahan


23/06/2010 7:33pm

KUALA LUMPUR 23 Jun – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata hari ini, penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah bertindak atas maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, kumpulan yang diketuai lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari tahun ini.
Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
"Kesemua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.
"Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan tersebut, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen (MP) Pokok Sena daripada Pas, Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Abu Seman berkata, Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.
"Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad,” katanya.
Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.
Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang. – Bernama

Tragedi bot karam: Kedutaan Indonesia ucap terima kasih


23/06/2010 3:09pm

TELUK KEMANG 23 Jun – Pihak Kedutaan Indonesia di negara ini mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pasukan mencari dan menyelamat Malaysia membantu rakyat mereka yang terbabit pada tragedi bot karam di perairan Port Dickson, dekat sini semalam.
Atase Kaunselor Kedutaan Indonesia, Amirudin Panjaitan ketika dihubungi memberitahu, usaha yang dilakukan agensi penyelamat di Malaysia itu amat dihargai. – Utusan

Warga Thailand ditahan, 100 gram heroin dirampas


23/06/2010 5:35pm

RANTAU PANJANG 23 Jun - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warganegara Thailand dan merampas kira-kira 100 gram heroin bermutu tinggi dianggar bernilai RM50,000 setelah menahan lelaki itu berdekatan satu pangkalan haram di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion Kesembilan, Supritendan Kamaruddin Yusoff berkata, penahanan dibuat pukul 11 pagi sebaik lelaki berumur lingkungan awal 30-an itu memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan.
Ketika pemeriksaan dibuat ke atas lelaki itu, anggota PGA menemui satu bungkusan yang mengandungi dadah jenis heroin daripada lelaki itu, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit termasuk dadah itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1959 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
"Ini merupakan rampasan terbesar setakat ini yang pernah dibuat oleh PGA dan gerakan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tidak berlaku penyeludupan,” katanya. - Bernama

Sindiket pertaruhan Piala Dunia tumpas lagi


23/06/2010 5:14pm


PULAU PINANG 23 Jun - Polis Pulau Pinang menumpaskan dua lagi sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2010 membabitkan pertaruhan sehingga RM750,000 dengan penahanan lapan orang dalam dua serbuan sejak Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam serbuanpertama pada Isnin lalu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai juruteknik ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Perak, Jelutong.
Dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan termasuk komputer, komputer riba serta telefon bimbit, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kong Meng berkata, ketika diserbu skrin pada salah satu komputer tersebut memaparkan senarai pertaruhan dan polis percaya sindiket itu menerima pertaruhan sehingga RM250,000 setiap hari.
Dalam satu serbuan berasingan pada pukul 12.45 pagi semalam, polis menahan tujuh suspek berusia antara 21 dan 39 tahun di sebuah kafe siber di Farlim Bandar Baru, katanya.
Katanya, dalam serbuan tersebut polis merampas lima komputer, empat telefon bimbit, modem, jadual perlawanan, buku rekod dan juga wang tunai berjumlah RM4,500.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan itu menerima pertaruhan menerusi internet, telefon, bookie, ejen serta restoran dan polis percaya jumlah pertaruhan yang diterima setiap hari mencecah RM750,000 sejak Piala Dunia berlangsung. - Bernama

Penganggur dipenjara 38 tahun, 16 sebatan


23/06/2010 1:34pm

KLANG 23 Jun - Seorang penganggur dihukum penjara 38 tahun dan sebatan 16 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas empat tuduhan merogol dan melakukan seks oral terhadap anak teman wanitanya, tiga tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali mengarahkan hukuman terhadap Muhammad Khalid Teoh Abdullah, 34, berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 September 2007. - Utusan

Enam gerabak tren kargo tergelincir


23/06/2010 4:06pm

JOHOR BAHRU 23 Jun - Enam gerabak tren kargo tergelincir di Kilometer (KM) 653.50 - KM654.50 antara Paloh ke Chamek, Kluang awal pagi tadi.
Tren yang membawa muatan gula itu dalam perjalanan dari Prai, Pulau Pinang ke Singapura semasa kejadian pukul 2.43 pagi.
Akibat kejadian itu, lapan perkhidmatan tren antara bandar bagi sektor selatan terjejas. - Utusan

Pelajar tingkatan empat lemas, rakan hilang


23/06/2010 3:39pm

KUALA LUMPUR 23 Jun – Seorang pelajar lemas manakala rakannya masih hilang ketika mereka bermain air di Sungai Hulu Langat berhampiran Taman Desa Sentosa Bangi, dekat sini petang semalam.
Kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku ketika, mangsa, Mohd. Akmal Mohd. Arshad dipercayai cuba menyelamatkan rakannya, Mohd. Faris Ridzuan Azman, 11. – Utusan

Mayat seorang lagi penumpang bot karam ditemui


23/06/2010 6:54pm


TELUK KEMANG 23 Jun – Mayat seorang lagi mangsa tragedi bot karam ditemui terapung petang ini oleh helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan 22.2 kilometer (12 batu nautika) berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui pukul 2.50 petang dan disahkan warga Indonesia. – Utusan

Nenek edar dadah depan tandas awam


23/06/2010 12:05pm

KUALA TERENGGANU - Seorang nenek berusia 43 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengedar
dadah di hadapan tandas awam stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Khamis lepas.
Harini Che Soh dari Rantau Panjang, Kelantan yang juga merupakan seorang
ibu tunggal dan mempunyai empat anak serta dua cucu dituduh mengedar heroin seberat 83 gram di situ pada pukul 6 pagi, 17 Jun lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Harini ketika pertuduhan dibaca di
hadapan Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Mohammad.
Wan Nor Aklima kemudian menetapkan 23 Ogos nanti sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin. - Bernama

Parlimen Perancis bahas isu haramkan burqa

PARIS: Anggota Parlimen Perancis akan mula membahaskan cadangan kerajaan untuk mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam pada 6 Julai depan.
Rang Undang-Undang mengenainya akan dibacakan di Dewan Rendah sebelum diserahkan kepada Senat pada September depan dan dikuatkuasakan selepas itu, kata Menteri Perhubungan Parlimen, Henri de Raincourt.
Rang Undang-Undang itu mencadangkan pengharaman pakaian ‘menutup muka’ terhadap semua orang.

Bagaimanapun, tindakan itu dianggap mensasarkan wanita Islam.

Mereka yang didapati bersalah akan didenda sebanyak 150 euro (RM585) atau dihantar mengikuti kursus mengenai nilai kewarganegaraan Perancis.

Mereka yang didapati bersalah memaksa orang lain memakainya kerana jantinanya, akan dipenjara setahun dan denda 15,000 euro (RM58,500). - AP

Kereta hitam paling banyak kemalangan

LONDON: Kemungkinan kereta hitam terbabit dalam kemalangan adalah 47 peratus lebih tinggi berbanding kereta warna lain.
Kajian yang dijalankan membabitkan kemalangan sepanjang 20 tahun lalu mendapati, pendedahan terhadap bahaya adalah lebih tinggi ketika berada dalam kereta hitam sementara putih, warna keemasan dan kuning adalah paling selamat.
Penyelidik dari Universiti Monash di Melbourne itu berkata, ada beberapa warna yang menjejaskan pemandangan terhadap kereta ketika di jalan raya. Menurut mereka, kereta hitam tidak menyerlah pada warna latar jalan raya, pemandangan sekitar dan trafik lain, lapor akhbar Daily Mail.

Begitu juga dengan kereta berwarna kelabu, merah dan biru. - AFP

'Selamat Tinggal'

KUALA KUBU BHARU: “Arwah meminta kami memainkan lagu ‘Selamat Tinggal’ yang dipopularkan kumpulan Titiwangsa pada era 1970-an setelah selesai rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam. Tidak sangka itu kenangan terakhir,” kata Mohd Rozaimi Mohd Said, 30.
Beliau adalah rakan kepada Penerbit Selamat Pagi Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Noor Azaha Rasadi, 33, yang maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu, Ahmad Saad, 51, dan isterinya, Norishah Arshad, 50, di Kilometer 59, jalan Kuala Lumpur-Ipoh, pada jam 1 tengah hari semalam.
Menurutnya, dia berpesan kepada beberapa rakan di studio agar sentiasa rajin bekerja dan memastikan siaran disajikan kepada penonton sentiasa terbaik.

Katanya, setelah selesai bertugas, dia bermesyuarat bersama krew lain sebelum bertolak pulang ke rumahnya di Behrang, Tanjung Malim.

“Dia adalah seorang periang dan suka membantu rakan lain. Dia menjadi pendiam sejak akhir-akhir ini. Pada hari kejadian juga, kami sudah menyediakan lagu lain sebagai penutup rancangan tetapi arwah mahukan juga lagu Selamat Tinggal,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, semalam.

Turut menziarahi jenazah ialah lebih 50 penerbit, penyampai dan rakan arwah dari RTM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Yahya Affandi berkata, mangsa gagal mengawal kenderaannya ketika berada di garisan tengah jalan sebelum dirempuh kereta dipandu Ahmad di bahagian pintu tempat duduk pemandu.

“Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala patah tengkuk dan mati di tempat kejadian.

“Sepasukan anggota Bomba dari Balai Kuala Kubu Bharu mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu,” katanya.

Pasangan doktor diperdaya beli lembu RM61,572

KOTA BHARU: Hajat sepasang doktor memperoleh pendapatan sampingan hasil pelaburan RM61,572 dalam syarikat ladang penternakan lembu kacukan Australia milik orang kenamaan tidak kesampaian apabila sehingga kini mereka masih tidak menerima sebarang keuntungan.
Pasangan itu melabur membeli dua lembu itu mendakwa mereka diperdaya syarikat berkenaan apabila tidak menerima hasil dalam tempoh enam bulan seperti dijanjikan.
Malah, mereka turut ditabur dengan pelbagai alasan apabila lembu sepatutnya dihantar ke negara ini sebaik pembayaran dibuat tidak dilakukan apabila haiwan berkenaan dikatakan sakit dan terpaksa dikuarantin.

Alasan itu menyebabkan pasangan doktor yang enggan dikenali itu menunggu sehingga enam bulan sebelum dimaklumkan lembu mereka bunting dan bersedia mengeluarkan hasil susu.

Bagaimanapun, ia hanya sekadar jaminan palsu apabila pasangan terbabit mendapati haiwan ternakan mereka baru saja bunting dan memerlukan beberapa bulan lagi mendapat hasil sebaik melawat sendiri ladang yang terletak di Kluang, Johor.

“Kami tertarik dengan tawaran syarikat itu selepas mereka mengadakan pameran di kompleks beli-belah pada Oktober tahun lalu.

“Kami buat keputusan menyertainya dengan membeli dua lembu yang berharga RM30,786 seekor. Pada hari pameran itu, kami dikehendaki membayar deposit 30 peratus dan bakinya dibayar dua kali lagi selepas itu,” katanya.

Duit palsu tiada foto Seri Paduka

LENGGONG: Peniaga di Pekan Sehari Lenggong mendakwa kerugian hampir setiap hari berikutan tindakan kumpulan individu tertentu membuat pembayaran menggunakan wang palsu dalam urusan jual beli di pasar berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan puluhan peniaga mendakwa individu tidak bertanggungjawab itu berurusan menggunakan not palsu RM100, RM50 dan RM10.
Selain itu, mereka mendakwa wang palsu diberikan pelanggan terbabit sukar dibezakan dengan wang tulen kerana ciri-cirinya yang hampir sama.

Peniaga ikan, Mohd Sharizal Zaimanan, 28, berkata, dia memperoleh not palsu RM50 dan RM10 minggu lalu ketika berurusan dengan individu yang datang ke gerainya.

Menurutnya, dia hanya menyedari wang itu palsu selepas dilihat terbelah menjadi dua lapis selain keadaannya lusuh.

“Malah, beberapa rakan yang turut berniaga di pasar di Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut mengalami masalah sama,” katanya.

Selain itu, katanya, not palsu keluaran terbaru itu tiada tertera gambar Yang di-Pertuan Agong selain cepat lusuh jika terendam lama dalam air.

“Mungkin wang itu dicetak menggunakan mesin pencetak berwarna sebelum satu lapisan ditampal di bahagian depan dan belakang wang,” katanya.

Mohd Hamdan Azlah, 45, berkata, dia turut menerima not kertas palsu RM50 dan RM10 sejak seminggu lalu ketika berniaga di Pekan Sehari Kati, Kuala Kangsar dan Pekan Sehari Lenggong.

“Saya mengetahui not itu palsu apabila mengukurnya dengan wang tulen sebelum mendapati ukurannya sedikit panjang.

“Pelanggan tidak bertanggungjawab itu biasanya mengambil kesempatan membeli pada waktu sibuk atau malam kerana ketika itu sukar memeriksa dan meneliti setiap wang diterima,” katanya.
Peniaga ayam di Pekan Sehari Lenggong, Abdul Salam Mokhtar, 49, dari Ipoh, berkata dia menerima sekeping not palsu RM100 dan tiga not RM50 sejak beberapa bulan lalu.

Lagu lesu iringi hukuman mati

KUALA LUMPUR: Nyanyian syahdu bersahutan sepanjang malam hingga awal pagi didendangkan banduan kepada rakan yang bakal menjalani hukuman gantung sampai mati antara nostalgia sukar dilupakan seorang bekas kakitangan Penjara Pudu, di sini.
Kakitangan Penjara Malaysia, Sarjan A Rashid Md Zain, 55, berkata, walaupun sudah lama meninggalkan khidmat di Penjara Pudu pada 1996 berikutan operasinya ditutup, namun pelbagai kenangan pelik dan menakutkan masih bermain di fikirannya sehingga kini. Dia kini berkhidmat di Penjara Seremban mendakwa terkejut apabila mendapat tahu penjara usang berkenaan mula dirobohkan malam kelmarin sebelum mengambil kesempatan melawat lokasi itu semalam.
“Saya benar-benar rasa terharu sebaik menjejakkan kaki semula ke tapak Penjara Pudu berikutan pernah berkhidmat antara 1982 hingga 1996 sebelum ditugaskan ke Penjara Seremban.

“Ketika itu, Penjara Pudu menjadi kediaman rasmi ramai penjenayah berbahaya antaranya, Botak Chin, Jimmy Chuah, Mail Kerbau dan penjenayah terkenal.

“Malah, ketika kejadian dua orang awam, Dr Radzi Jaafar dan Dr Abdul Aziz Abdul Majid ditawan enam banduan reman diketuai Jimmy Chuah selama enam hari, saya antara kakitangan penjara yang menyaksikan sendiri kejadian terbabit.

“Paling tidak dapat saya lupakan kejadian dua banduan bergaduh menggunakan kapak di bengkel pertukangan sebelum salah seorang banduan terbabit hampir mencederakan saya.

“Ketika itu, banduan yang tercedera pada belakang tengkuk bertindak menyembunyikan diri di belakang tubuh saya sebelum rakannya menyerang saya. Namun, saya bernasib baik kerana banduan itu diberkas rakan setugas sebelum sempat kapak terbabit hinggap ke kepala saya,” katanya yang menghabiskan masa hampir satu jam melawat Penjara Pudu terbabit bersama rakan setugasnya, Rosnizam Abdul Rahim.

Menurutnya, dia turut tidak dapat melupakan suara nyanyian ratusan banduan Blok D dari waktu malam hingga awal pagi setiap kali ada antara rakan mereka dijatuhkan hukuman gantung keesokan harinya.

“Nyanyian dari balik jeriji besi itu hanya berakhir apabila proses hukuman gantung sampai mati berakhir dan semua banduan seolah-olah berpesta sepanjang malam menyambung tidur,” katanya.

Menurutnya, dia benar-benar sedih apabila mengetahui bangunan Penjara Pudu yang dahulunya dikenali sebagai ‘Pudoh Goal’ bakal dirobohkan secara berperingkat bagi membolehkan tapak penjara seluas 10 hektar itu dibina pusat komersial.

“Sebaik tahu tembok penjara setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu dirobohkan secara rasmi malam kelmarin, saya dan anak tidak melepaskan peluang melihatnya dari dekat. Malah beberapa rakan setugas yang pernah berkhidmat di Penjara Pudu datang menyaksikan kerja meroboh berkenaan,” katanya.
“Tidak dinafikan hati saya sedikit terkilan apabila mengetahui penjara Pudu yang berusia 115 tahun ini akan dirobohkan sama sekali. Bukan bermaksud menghalang kemajuan namun ada baiknya sedikit dari bahagian struktur penjara itu disimpan untuk warisan sejarah,” katanya yang akan bersara tujuh hari lagi Beliau berkata, tindakan meroboh dinding penjara yang menempatkan mural terpanjang di dunia sepanjang 384 meter turut dianggap satu kehilangan.

'Kami bukan buat maksiat di rumah ibu angkat'

MASJID TANAH: “Kami tidur di sini setiap malam kerana ini rumah emak angkat kami. Jadi tak salah rasanya jika kami menginap di sini, lagipun kami tak buat benda yang mungkar,” kata seorang remaja lelaki ketika ditahan awal pagi semalam.
Remaja terbabit antara tujuh individu berusia 18 dan 22 tahun termasuk tiga wanita ditahan dan diperiksa dalam operasi cegah maksiat diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kampung Permatang bersama lima penduduk dan seorang pegawai syarak serta dua anggota polis kerana disyaki bersekediaman dengan bukan mahram di sebuah rumah milik sebuah keluarga di kampung terbabit.
Operasi berkenaan dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi semalam selepas menerima aduan penduduk kampung yang mendakwa sering melihat beberapa lelaki ke rumah sewa keluarga itu setiap malam sehingga mendatangkan curiga dan rasa tidak selesa jiran berdekatan mengenai kemungkinan berlakunya kegiatan maksiat di situ.
Menurut Pengerusi JKKK Kampung Permatang, Bakri Kassim, keluarga terbabit menyewa sejak beberapa bulan lalu dan mempunyai enam anak lelaki dan perempuan berumur antara tiga dan 22 tahun.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan awal pagi itu memang terdapat tanda-tanda sumbang mahram, namun pihaknya kekurangan bukti untuk mengambil tindakan dan keluarga terbabit diberikan kaunseling supaya mentaati hukum Allah.

“Selepas disiasat, mereka didapati membenarkan empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 dan 25 tahun menginap di rumah itu setiap malam dan jumlah mereka yang ramai menyukarkan kami untuk mengambil tindakan tanpa bantuan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

“Sebagai penduduk kampung di sini, kami sebenarnya sudah tidak tahan dengan kerenah mereka yang sering membuat bising di tengah malam dan tidak menghormati jiran.

“Jika menyewa, kenalah ikut cara tradisi kampung ini bukannya boleh buat sewenang-wenangnya ada adat resam dan budaya harus dipatuhi selain mereka tidak pernah hendak bercampur gaul dengan masyarakat di sini,” katanya.

Sementara itu, Imam (3) Kariah Kampung Permatang, Razali Jantan berkata, oleh kerana ramai yang berada dalam rumah itu, sukar bagi mereka mengambil tindakan.

“Saya difahamkan, pihak Jaim sudah dimaklumkan masalah ini beberapa kali, namun masih tiada tindakan dan oleh kerana itu kami terpaksa mengambil tindakan sendiri mencegah kemungkaran dan maksiat daripada berlaku di sini.

“Diharap selepas ini, keluarga terbabit perlulah bertaubat dan berubah atas perlakuan yang dilakukan,” katanya.

Makan peparu teman

ROUEN: Seorang tahanan Perancis membunuh rakan sebiliknya dan memakan peparu mangsa selepas pihak berkuasa tidak mempedulikan rayuannya untuk mendapatkan bantuan psikologi.
Nicolas Cocaign, 39, memberitahu mahkamah di Rouen, utara Perancis semalam, dia sudah sekian lama menghidap masalah mental sebelum membunuh dan mencabut paru-paru rakannya dan menggorengnya menggunakan dapur buatan sendiri di bilik kurungan mereka.
“Tidak ada orang yang mengendahkan rayuan saya,” kata banduan berjambang lebat dan bertatu itu kepada mahkamah.

“Saya merayu beberapa kali untuk mendapatkan bantuan. Saya memberitahu mereka bahawa saya berbahaya. “Selepas bertindak barulah mereka memandang serius terhadap saya,” katanya.

Cocaign dituduh membunuh rakan sebiliknya, Thierry Baudry pada Januari 2007 dengan menumbuk dan menendangnya, menikamnya dengan gunting serta melemaskannya dengan mengguna plastik sampah.

Pendakwa raya berkata, dia membelah dada mangsa dengan pisau cukur, mengalihkan tulang rusuk dan kemudian menarik keluar organ yang disangkanya jantung. Organ itu sebenarnya peparu mangsa.

Cocaign kemudian memakan organ berkenaan sebelum menggoreng bakinya bersama bawang.

Ketika disoal siasat sebelum dibicarakan, Cocaign berkata, dia makan daging manusia kerana mahu mengambil jiwa mangsa.

Tetapi dia memberitahu mahkamah semalam, dia bertindak demikian kerana masalah kehidupan lalunya serta ketidakstabilan mental.

Dilahirkan pada 1971, Cocaign ditinggalkan oleh ibunya dan menetap di rumah kebajikan sehingga berusia tiga tahun sebelum diambil menjadi anak angkat.

Sejak berumur enam tahun dia sudah diletakkan di bawah penjagaan seorang pakar jiwa. - AFP

Hizbut Tahrir tuntut Ariel direjam hingga mati

JAKARTA: Kira-kira 1,000 umat Islam berarak di tengah Jakarta, semalam, bagi menuntut selebriti tempatan yang terbabit dalam aksi seks dihukum rejam.
Sambil melaungkan takbir, anggota dan penyokong Hizbut Tahrir itu turut menaikkan bendera hitam serta sepanduk menggesa vokalis Peterpan, Ariel, ditahan, kerana berzina.
Protes itu berlangsung beberapa jam selepas Ariel menyerah diri kepada polis.

Jurucakap Hizbut Tahrir, Ismail Yusanto, berkata Internet menjadi ancaman terhadap nilai Islam di Indonesia.

Katanya, undang-undang syariah perlu dilaksanakan di seluruh negara itu.

“Penyebaran meluas video seks itu menunjukkan bagaimana teknologi maklumat gagal dikawal dan pasti ia menjadi peruntuh moral paling utama.

“Mengikut peraturan Islam, pesalah zina yang berkahwin wajib direjam hingga mati, manakala yang belum bernikah disebat 100 kali,” katanya. Pasangan ranjang Ariel dalam satu daripada klip itu, Cut Tari, sudah bersuami dan boleh dihukum penjara sehingga sembilan bulan kerana berzina.

Sementara itu, penyelaras Hizbut Tahrir Indonesia, Fadilah Karimah, 32, berkata dia mahu melihat sendiri pelaku zina ditanam sehingga paras leher sebelum direjam kerana kesalahan mereka.

“Ia adalah hukuman wajar atas dosa dilakukan mereka,” katanya. - AFP

'Peterporn' serah diri

JAKARTA: Vokalis kumpulan Peterpan, Ariel, menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan terhadap dua rakaman video seks membabitkan dirinya dengan dua selebriti, kata polis semalam.
pix_middle
pix_topright
Ariel - atau nama sebenarnya Nazril Irham - menjadi perhatian utama peminat selepas skandal Peterporn terdedah apabila rakaman aksi intimnya beredar di Internet awal bulan ini.

Jurucakap polis, Zainuri Lubis, berkata Ariel, 28, menyerah diri jam 3 pagi semalam selepas dia dinamakan polis sebagai suspek melanggar undang-undang antipornografi.

Katanya, jika Ariel tidak menyerah diri polis berhak menahannya.

“Mengikut undang-undang Indonesia, polis diberi kuasa menahannya selama 24 jam dan akan memutuskan langkah selanjutnya sama ada ia perlu dilanjutkan atau tidak,” katanya.

Penyebaran video lucah itu melebarkan lagi perbezaan pendapat di antara kumpulan berpegang kepada nilai tradisional dan moden di Indonesia.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, penyebaran rakaman aksi seks itu membuktikan negara itu perlu kepada peraturan lebih ketat bagi mengawal Internet.

“Kita semakin sedar bahawa rakyat negara ini tidak sepatutnya diaibkan dan menjadi mangsa teknologi maklumat kerana akan ada lebih ramai mangsanya,” katanya kepada media minggu lalu.
Rakaman pendek aksi ranjang Ariel itu membabitkan teman wanitanya ketika ini, Luna Maya, 26, selain bekas kekasihnya, Cut Tari.

Kedua-dua rakaman itu dilakukan di dua waktu dan lokasi berbeza.

Luna dan Cut Tari, 32, adalah personaliti televisyen terkenal di Indonesia. - AFP

PDRM minta bantuan Interpol, Aseanpol

MIRI: Melarikan diri dan bersembunyi di luar negara tidak bermakna tujuh bookie bola sepak Piala Dunia 2010 termasuk seorang bergelar Datuk terselamat daripada terus menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.
Malah, polis akan terus memburu penjenayah terbabit dengan bantuan pihak berkuasa di luar negara khususnya Interpol dan Aseanpol.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan segala kepakaran Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Cawangan Khas (SB) untuk mengesan suspek.

“Mereka lari ke luar negara tidak bermakna mereka boleh sembunyi buat selama-lamanya, kerana hubungan pihak berkuasa dengan negara jiran dan pihak polis antarabangsa melalui risikan dan sebagainya adalah cukup baik.

“Mereka boleh lari, tapi tidak mungkin akan dapat bersembunyi selama-lamanya,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Miri, di sini, semalam.

Menurut Hishammuddin, usaha mengesan individu terbabit perlu kerana kemungkinan mereka turut terbabit dalam kegiatan jenayah lain yang mendedahkan negara ini kepada pelbagai ancaman lain seperti keganasan, pemerdagangan manusia dan pemalsuan wang haram.

“Penjenayah ini boleh mengeksploit sepenuhnya kemudahan dunia tanpa sempadan menerusi wang yang mereka peroleh daripada kegiatan berkenaan,” katanya.

Katanya, jumlah pertaruhan judi bola di setiap negara di Asia mencecah A$10 bilion. Semalam polis mendedahkan pertaruhan judi bola di Malaysia sejak 11 Jun lalu membabitkan nilai RM300 juta.

Melalui Ops Soga di seluruh negara, polis sudah melakukan 156 serbuan dan menahan 120 anggota sindiket pertaruhan haram termasuk bookie serta kaki judi berusia 15 hingga 73 tahun.

Terdahulu, Hishammuddin berada di Sarawak sempena dalam rangka lawatan meninjau keperluan asas untuk pasukan keselamatan di Sarawak yang dijanjikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Antara yang diberi keutamaan bagi polis kontinjen Sarawak termasuk kebajikan, jenayah dan sosial.

Berhubung permohonan MyKad di Sarawak, Hishammuddin berkata, banyak permohonan sudah diterima dan proses kelulusan kini berjalan lancar.

Duit maksiat jamu jemaah

PUTRAJAYA: Dua beranak ditahan di sebuah kondominium di Puchong, dekat sini, kerana menawarkan khidmat urut badan ke badan kepada pelanggan lelaki ketagih seks beberapa hari lalu, mengaku menggunakan ‘wang panas’ hasil kerja haram itu bagi menjamu jemaah masjid di Petaling Jaya, pada setiap Jumaat.
Pengakuan mengejutkan ibu dan anak masing-masing berusia 45 dan 25 tahun itu didedahkan selepas mereka ditahan dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di kondominium milik wanita terbabit yang turut digunakan bagi menawarkan pakej seks dan urut badan ke badan selepas Maghrib sehingga tengah malam.

Wanita terbabit ditahan selepas dikesan sedang menawarkan pakej khas membabitkan seks dan urut ghairah berkenaan kepada seorang pelanggan yang juga kakitangan kerajaan berusia 30-an, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketika disoal siasat, mereka mengaku meraih keuntungan lumayan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap khidmat urut istimewa mengikut pakej disajikan kepada pelanggan kebanyakannya menghadapi masalah rumah tangga atau lelaki ketagih seks. Setiap hari, dua beranak dipercayai melayan beberapa pelanggan.

Malah, lebih mengejutkan si ibu mengaku kepada pegawai penguat kuasa Jais, bahawa mereka menggunakan wang hasil urut dan seks istimewa itu di jalan baik, iaitu dengan bersedekah dan menjamu jemaah masjid kononnya bagi menghapuskan dosa maksiat yang dilakukan bersama anaknya.

Ibu tunggal itu membuat pengakuan pelik kepada Pengarah Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, yang turut serta dalam serbuan di rumahnya didapati turut menyediakan bilik khas bagi memudahkan dua beranak itu melayan pelanggan.
Sambil mengakui terkejut dengan pengakuan wanita terbabit, Shahrom berkata, serbuan dibuat selepas Jais mendapat maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral beranak itu.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ramai lagi tukang urut berahi yang menawarkan servis badan ke badan selain memberi layanan seks kepada pelanggan, turut menggunakan pendekatan sama iaitu menderma dan menganjurkan jamuan menggunakan wang haram diperoleh di masjid kononnya bagi mendapat pahala.
Menurutnya, perbuatan itu jelas menunjukkan kecetekan pengetahuan agama golongan terbabit kemungkinan turut memperoleh dan mempelajari ilmu salah daripada ‘tok guru songsang’.

“Kumpulan wanita jenis ini dari segi akhlak memang sudah jauh tersasar kerana bagi mereka wang segala-galanya walaupun dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara (walaupun untuk sumber rezeki tetapi caranya haram dan ia tetap haram).

“Mereka perlu ingat setiap daging tumbuh hasil benda haram, maka api neraka yang akan membakar diri mereka,” katanya, semalam.

Oleh itu, Shahrom berkata, pengurusan masjid yang menyedari sumber haram itu wajar tidak menerima wang berkenaan terutama bagi menjamu jemaah selain untuk pengurusan masjid.

Beliau berkata, dua beranak terbabit bakal dihadapkan ke mahkamah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor atas kesalahan maksiat dilakukan mereka

Noda anak enam tahun

SUNGAI PETANI: “Perbuatan kamu ini umpama haruan makan anak dan ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Rusita Md Lazim ketika menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 49 tahun yang didapati bersalah merogol anak kandungnya pada 2002 hingga 2008.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
Tertuduh, bekas pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kupang, Baling, mulai 2002 hingga 2008.

Tertuduh berusia 42 tahun manakala anak perempuannya berusia tujuh tahun ketika kejadian pertama berlaku ditahan pada 7 Mei 2008 selepas mangsa yang pada masa itu berusia 13 tahun membuat laporan di Balai Polis Kupang bersama keluarganya.

Rusita berkata, pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mendapati tertuduh bersalah kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadilah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rusita berkata, hukuman itu setimpal dengan perbuatan tertuduh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama mangsa yang masih terlalu kecil ketika kejadian.
“Kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, tetapi melakukan perbuatan keji dan kejam terhadap mereka, malah kamu tidak menghiraukan sedikit pun jeritan kesakitan anak kecil ketika melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap seorang lagi anak perempuannya pada 2008 di rumah sama.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.

Drebar teksi kena cabul

AMPANG: Geram dengan tindakan penumpang mencabulnya, seorang pemandu teksi wanita mendapat idea bijak apabila memandu kenderaan pengangkutan awam itu terus ke balai polis berhampiran sebelum membuat laporan berhubung jenayah seksual dilakukan terhadapnya.
Akibatnya, penumpang teksi terbabit berusia 56 tahun ditahan sejurus laporan dibuat wanita berusia 51 tahun itu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku Khamis lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang rakan wanita berusia 70-an di Taman Muda di sini, yang ingin menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke pasar.

“Bagaimanapun, sejurus mangsa tiba di rumah itu, rakannya tiba-tiba menukar rancangan kerana keletihan lalu meminta anak lelakinya ke pasar dengan menaiki teksi berkenaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membawa anak lelaki rakannya itu menaiki teksi untuk ke pasar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan, lelaki terbabit yang berada di tempat duduk hadapan tiba-tiba membuka butang baju mangsa sebelum meramas buah dadanya.
“Mangsa tidak mampu berbuat apa-apa kerana sedang memandu dan hanya menegur serta memarahi lelaki terbabit kerana bersikap biadab terhadapnya.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan tanpa perasaan bersalah hanya tersenyum memandang mangsa membuatkan wanita terbabit menjadi bertambah berang,” katanya.
Sumber itu berkata, walaupun marah, pemandu teksi berkenaan masih mampu bersabar dan mendapat idea untuk mengajar anak rakannya yang kurang ajar itu dengan memandu kenderaan itu ke balai polis.

“Sejurus tiba di balai, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis sebelum membuat laporan berhubung kejadian di dalam teksi sebelum itu.

“Lelaki terbabit kemudian ditahan,” katanya.

Menurut sumber itu, wanita berkenaan sudah enam tahun memandu teksi dan mengenali ibu lelaki terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.

“Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mata kiri berkelip bawa petanda buruk




BESUT - Seorang pesara guru tidak menyangka mata kirinya yang sentiasa berkelip kelmarin, membawa petanda buruk akan berlaku ke atas keluarganya apabila rumahnya di Kampung Kubang Bemban dekat Alor Lintah, Jertih hangus terbakar kira-kira jam 8.15 pagi semalam. 

Wan Muhammad Wan Omar, 72, berkata, sehari sebelum kejadian, mata kirinya kerap berkelip dan isterinya yang juga pesara guru, Wan Habsah Wan Ibrahim, 65, memberitahu, itu mungkin petanda kejadian buruk akan berlaku. 

“Hari ini (semalam) kami amat terkejut apabila kejadian buruk benar-benar berlaku dan mungkin ini juga satu kebetulan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Terlepas ke tali gantung


JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor dihukum penjara 12 tahun sekali gus terlepas daripada hukuman gantung selepas mengaku salah mencederakan isterinya sehingga mati, empat tahun lalu. 

Keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Kamardin Hashim pada mulanya membuatkan Mohd Zahari Embong boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun berdasarkan pindaan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 kanun keseksaan. 

Bagaimanapun peguam kontraktor terbabit, G Subramanian Nair merayu hukuman yang ringan dikenakan ke atas anak guamnya berdasarkan fakta dan hujahan diberikan berhubung situasi pembunuhan berkenaan. 

Sebelum ini, Mohd Zahari juga menghadapi tiga tuduhan lain iaitu membunuh tiga anaknya, Muhammad Zamrie, 6, Muhammad Zairie, 2, dan Intan Zaharah, 1, namun dibebas serta dilepaskan pada 21 April lalu. 

“Berdasarkan keterangan yang diberikan pakar psikiatri, Dr S Jeyarajah berjaya membuktikan tindakan anak guam saya mencederakan Mardziah kerana hilang kawalan selepas melihat dua cahaya matanya cedera dipukul isterinya menggunakan besi buaian. 

“Mohd Zahari tidak melarikan diri selepas berbuat demikian, sebaliknya memanggil jiran, saudara, ayah dan ibu berhubung kejadian itu sekali gus membuktinya tidak berniat untuk membunuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai, semalam. 

Selain itu, Subramaniam turut memberitahu Mardziah melakukan pembunuhan terhadap dua anaknya sendiri selepas berang melihat anak bongsu cedera ketika bermain sesama sendiri. 

“Sebelum kejadian itu, isteri Mohd Zahari mengalami sedikit tekanan berhu:bung :masalah bayaran bulanan kereta yang digunakan ayahnya sudah tertunggak sehingga menyebabkan pihak bank datang untuk menarik kenderaan berkenaan,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berdasarkan faktor kepentingan awam dan kekerapan berlakunya kejadian bunuh seperti dilaporkan media massa.: 

Mohd Zahari kelihatan mengalirkan air mata seterusnya saling berpelukan bersama beberapa ahli keluarganya yang hadir sebaik saja prosiding perbicaraan selesai. 

Mohd Zahari Embong, 40, mengaku bersalah membunuh Mardziah Mansor, 32, di kediamannya di Jalan Pulasan, 29, Taman Kota Masai, Masai, sekitar jam 7 petang hingga 8.40 malam pada 11 Mac 2006.

10 tentera Nato mati dalam sehari



KABUL - Sepuluh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) terbunuh dalam serangan militan Taliban di Afghanistan sewaktu tentera meneruskan kempen menghapuskan kumpulan militan di Kandahar. 

Sementara itu, tiga komando Australia dan seorang tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh apabila helikopter mereka terhempas di Kandahar. 

Dua lagi tentera Nato, iaitu seorang dari AS dan seorang lagi dari Kanada, terbunuh dalam dua insiden letupan bom di wilayah selatan. 

Dalam satu lagi serangan militan Taliban, tiga tentera AS terbunuh. 

Sepanjang bulan ini, 65 tentera Nato terkorban di Afghanistan manakala 285 orang terbunuh sejak Januari lalu. 

Seorang tentera British yang cedera pada awal bulan ini pula meninggal dunia pada Isnin.

Semua penumpang Casa C212 terbunuh




CONGO - Pesawat Casa C212 yang terhempas dalam perjalanan dari Yaounde, Cameroon ke Yangadou, Congo pada Sabtu lalu ditemui di Dima, 30 kilometer dari Yangadou. 

:Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Congo, Alphonse Pepa berkata, mayat sepuluh penumpang yang terbunuh sudah dikeluarkan dari dalam pesawat yang remuk. 

Pesawat berkenaan yang membawa jutawan Australia, Ken Talbot, dan seluruh ahli lembaga pengarah syarikat perlombongan besi, Sundance Resources, dilaporkan hilang sewaktu melintas hutan tebal pada Sabtu lalu. 

Kematian begitu ramai individu penting menyebabkan: syarikat perlombongan terkemuka Australia itu mengalami krisis. 

:Pesawat :Casa C212 :yang disewa khas oleh :Sundance Resources :membawa enam warga Australia, dua British, dua Perancis dan se-orang warga Amerika Syarikat menuju ke lombong besi di Yangadou sebelum pesawat itu dilaporkan hilang. 

Mereka tidak menggunakan jet peribadi milik Talbot kerana landasan di Yangadou terlalu sempit. 

Usaha mencari dan menyelamat melibatkan kerjasama kedua-dua negara serta membabitkan bantuan daripada puak Pigmi yang merupakan penduduk asli di dalam hutan berkenaan. 

Kerja-kerja mengesan bangkai pesawat dilakukan menggunakan helikopter milik kerajaan Cameroon serta pesawat C-160 dan helikopter Cougar milik tentera Perancis.