Search This Blog

Monday, June 21, 2010

26 mati dalam serangan pengebom berani mati di Baghdad


21/06/2010 4:34am

BAGHDAD 21 Jun - Seramai 26 orang terbunuh manakala 53 yang lain cedera apabila pengebom berani mati memandu dan meletupkan diri dalam dua buah kereta di kawasan yang padat di ibu kota Baghdad semalam.
Pengebom berani mati itu menjadikan bank perdagangan Iraq cawangan Baghdad yang melibatkan transaksi tukaran wang asing antara kerajaan dan pelabur asing sebagai sasaran.
Bank berkenaan berada pada laluan Arab Sunni yang sibuk di daerah Mansur yang menyediakan akses dari barat Iraq kepada zone hijau kerajaan dan kompleks kedutaan di pusat bandar.
Menurut satu kenyataan oleh pegawai pemerintah operasi ibu kota, dua buah kereta pengebom berani mati itu masing-masing membawa muatan 80 kilogram bahan peledak amonium nitrat untuk diledakkan pada serangan itu. - AFP

Mayat bapa lemas selamatkan ahli keluarga ditemui


21/06/2010 2:29pm

TUARAN 21 Jun – Jefitin James, 48, yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan dua anak dan seorang anak saudaranya di Pantai Dalit dekat sini semalam, ditemui mati lemas pagi ini.
Mayat bapa malang itu ditemui terdampar di tepi pantai oleh penduduk kampung berdekatan kira-kira pukul 6.50 pagi. – Utusan

Remaja perempuan mati dipercayai akibat keguguran


21/06/2010 4:24pm

KOTA BHARU 21 Jun – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan teruk setelah mengalami keguguran di sebuah resort di Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.
Remaja itu yang merupakan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Pasir Mas ditemui terbaring berlumuran darah selepas mendaftar masuk ke resort terbabit bersama seorang kenalan lelakinya kira-kira pukul 9 pagi. – Utusan

Kes culik anak ahli politik Nigeria didalangi warga sendiri


21/06/2010 8:33pm

SHAH ALAM 21 Jun – Satu sindiket penculikan yang didalangi warga Nigeria yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang anak ahli politik di negara berkenaan ditumpaskan semalam.
Ia berikutan penahanan empat lelaki rakyat Nigeria, seorang wanita Indonesia dan seorang wanita tempatan di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras, ibu negara semalam.
Mereka kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Mangsa penculikan mereka ialah seorang penuntut lelaki berusia 28 tahun dari sebuah universiti swasta di Cyberjaya, yang telah diculik di kawasan kampus berkenaan kira-kira 8.30 malam pada 23 Mei lalu.
Mangsa kemudiannya dikurung di rumah di Cheras itu.
Pemangku Ketua Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah berkata, penculik ditahan kira-kira 3.45 petang, beberapa jam selepas mangsa dibebaskan oleh para penculiknya.
Beliau berkata, penculik sebelum itu telah menghubungi keluarga penuntut berkenaan di Nigeria bagi menuntut wang tebusan sebanyak AS$10,000 (kira-kira RM31,900).
"Keluarga mangsa kemudian telah menghubungi adik mangsa yang juga penuntut di universiti yang sama yang kemudiannya telah membuat laporan polis berhubung penculikan abangnya.
"Namun sejumlah RM30,000 telah dimasukkan oleh keluarga mangsa ke dalam akaun milik mangsa di Malaysia yang diikuti dengan pembebasan mangsa pada 20 Jun (semalam) di kawasan Cyberjaya kira-kira 1.30 pagi.
"Mangsa mengalami sedikit kecederaan dan dirawat di Hospital Serdang,” kata Omar apabila ditanya sama ada mangsa telah dicederakan. – Bernama

Jumpa mayat lelaki bogel dalam sungai



SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki ditemui bogel dalam Sungai Klang, di belakang bangunan Bank Muamalat, Jalan Melaka, Kuala Lumpur dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mayat lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada polis. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mayat lelaki itu ditemui tanpa identiti pengenalan diri. 

“Mayat sudah kembung dan sukar dikenal pasti identitinya. 

“Pemeriksaan pada badan mayat juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. 

“Setakat ini, kes di klasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar hadir di bilik mayat HKL untuk pengecaman.

Sindiket pelaburan kebas duit



SEREMBAN – Dengan bertopengkan skim pelaburan berasaskan projek ternakan lintah, seorang lelaki dan anaknya berjaya memperdayakan kira-kira 3,000 mangsa di seluruh negara serta membawa lari wang tunai dianggarkan RM40 juta. 

Lelaki terbabit, 50an, dan anaknya berumur sekitar 20an dipercayai mengaburi mata mangsa dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda nilai pelaburan dalam tempoh enam bulan. 

Skim pelaburan putar alam itu dikendalikan menerusi sebuah syarikat beroperasi awal 2008 hingga tahun lalu dan mempunyai ibu pejabat di bandar ini, selain beberapa cawangan di negeri lain. 

Akibat kegiatan penipuan itu, mangsa melibatkan masyarakat pelbagai kaum termasuk orang kenamaan mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM1.5 juta. 

Seorang mangsa, Mohamad Halim Husnan, 40, dari Seremban, berkata, ramai yang terpedaya kerana publisiti meluas skim itu di sebuah akhbar pada awal 2008. 

“Syarikat terbabit menjanjikan pulangan kira-kira RM12,500 bagi setiap RM5,000 dilaburkan selepas enam bulan bagi projek menternak lintah. Lebih banyak jumlah dilaburkan, lebih tinggi nilai pulangan. 

“Pada dua bulan pertama, memang ada pelabur yang mendapat sedikit pulangan. Namun, bagi bulan-bulan berikutnya, kami tidak menerima walau satu sen pun,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan kira-kira 150 mangsa penipuan skim berkenaan di Rasah dekat sini, semalam. 

Dia yang mempengerusikan majlis perjumpaan itu berkata, pelabur mengesyaki ditipu cuba meminta wang dikembalikan, tetapi gagal kerana syarikat didapati tidak beroperasi dan pejabatnya disita. 

Kata Mohamad Halim, dua lelaki terbabit dan semua ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan serta terdapat kemungkinan mereka melarikan diri ke luar negara. 

Beliau mendakwa, kegiatan penipuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini, semua mangsa tidak pasti tentang tindakan susulan diambil. 

“Pada perjumpaan hari ini (semalam), kami sepakat untuk mengemukakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Parlimen, 30 Jun ini. 

“Selain itu, kami akan melantik peguam supaya tindakan undang-undang diambil terhadap semua pemilik syarikat berkenaan,” katanya. 

Mohamad Halim yang kerugian RM20,000 berkata, dipercayai masih ramai mangsa penipuan skim pelaburan ternakan lintah itu belum tampil membuat laporan dan meminta mereka menghubunginya di talian 012-3848840. 

Sementara itu, mangsa, S Magindran, 45, dari Rawang, Selangor, berkata, dia dan dua rakannya menyertai skim terbabit untuk menambah pendapatan. 

Bagaimanapun, kata Magindran, hasrat itu tidak kesampaian malah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000.

Geng pecah kereta tumpas




BALIK PULAU – Kegiatan sekumpulan lelaki yang memecah kereta untuk mencuri aksesori di sekitar daerah barat daya berjaya ditumpaskan polis menerusi beberapa tangkapan semalam. 

Kesemua suspek ditahan di tiga lokasi berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun ditahan di Mukim 12 Sungai Nibong kecil pada jam 12.45 pagi. 

“Suspek ketiga yang berusia 30 tahun ditahan di kawasan yang sama pada jam 2 pagi dan kami menemui sebuah motosikal jenis Honda, tiga batang pemutar skru, tiga utas rantai leher, empat utas gelang tangan, lapan bentuk cincin, lapan pasang subang, 15 biji kerongsang, dua keping mata wang asing dan serangkai kunci motosikal.

Pegawai kanan polis ditahan



RANTAU PANJANG – Seorang pegawai kanan polis ditahan bersama seorang warga emas berketurunan India kerana disyaki bersubahat memiliki 2,159 jam tangan pelbagai jenama dipercayai tiruan, bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di Lorong Osman dekat sini, pada jam 2.45 petang semalam. 

Penolong Pegawai Pemerintah PGA9, Deputi Superintenden Mohamad Latiff berkata, pegawai wanita terbabit ditahan ketika meletakkan kereta Kelisa berwarna kelabu yang berisi lapan beg hitam. 

“Pihak kami mendapati kereta itu menimbulkan kecurigaan dan kami menahan pemandu wanita Melayu berusia dalam lingkungan 30-an serta penumpangnya seorang lelaki India dalam lingkungan 60-an,” katanya kepada Sinar Harian, di Balai Polis Rantau Panjang, semalam. 

Beliau berkata, selepas diselidiki, pihaknya mendapati terdapat lapan beg berisi jam tangan yang diang-garkan bernilai RM15 hingga 150 setiap satu yang berjumlah sebanyak RM107,950 dan ia merupakan rampasan terbesar yang melibatkan rampasan jam tangan tiruan. 

“Pihak kami mengadakan kerjasama ‘Gerak Gempur’ bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya. 

Mohamad berkata, jam ta-ngan tersebut merupakan barangan seludup daripada negara China, kemudian diseludup ke Rantau Panjang melalui sempadan Thailand. 

Beliau berkata, barang rampasan tersebut di hantar ke Jabatan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut.

Judi bola sepak: Polis Melaka tahan 14 lelaki


21/06/2010 6:30pm

MELAKA – Polis menahan 14 lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian haram bola sepak Piala Dunia di Melaka dalam beberapa serbuan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin sejak 11 Jun lepas.
Ketua Polis Negeri Melaka, SAC I Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, siasatan awam mendapati kebanyakan mereka menerima pertaruhan antara RM500 dan RM20,000 dari setiap penjudi.
Beliau berkata, semua mereka yang berumur antara 15 dan 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM200,000, atau kedua-dua sekali.
Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Bukit Beruang di sini hari ini beliau berkata, antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah satu komputer meja, enam komputer riba, lapan telefon bimbit, satu pencetak, satu modem komputer, satu buku catatan pertaruhan, satu telefon talian tetap dan wang tunai RM4,000. – Bernama

Polis lumpuhkan judi bola babit pertaruhan RM2.8j


21/06/2010 5:13pm

SEREMBAN - Polis berjaya melumpuhkan rangkaian perjudian Piala Dunia membabitkan pertaruhan RM2.8 juta dengan tertangkapnya lima penganjur di sekitar Jelubu, Seremban dan Jempol di sini, hari ini.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh, kesemua suspek ditangkap pada 16, 17 dan 18 Jun, dua daripada mereka adalah penoreh getah berusia 40 tahun dan seorang wanita yang bekerja sebagai juru jual.
"Kesemua mereka berusia di antara 32 hingga 47 tahun. Ada yang ditangkap ketika sedang mengendalikan pertaruhan di rumah, restoran dan kafe siber, jumlah pertaruhan terendah bermula dari seribu ringgit hingga ke RM10,000,” katanya .
Polis turut merampas empat komputer bimbit, 14 buah telefon bimbit, sebuah komputer meja, dua modem, tiga alat jalur lebar, lima tetikus, sebuah kereta Proton Iswara dan wang tunai berjumlah RM14,224, katanya.
"Semua pertaruhan dijalankan secara online. Polis percaya penganjur ini sudah mengendalikan judi bola bernilai RM2.8 juta, di mana sehari mereka menerima pertaruhan sebanyak RM400,000 membabitkan tiga perlawanan dalam satu malam,” katanya.
Katanya, polis turut menahan tiga lelaki yang merupakan pemain judi.
Polis sedang menyiasat jika penganjur-penganjur judi ini mempunyai hubungan dengan sindiket judi antarabangsa kerana pertaruhan dibuat melalui satu laman sesawang. - Bernama

Peniaga lepas dan bebas tuduhan hantar komen hina sultan


21/06/2010 6:21pm

KUALA LUMPUR 21 Jun – Selepas empat hari dibicarakan, seorang peniaga hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan iaitu menghantar komen yang bersifat jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui portal di Internet.
Hakim Komathy Suppiah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi yang memanggil 10 saksi, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muslim Ahmad, 54.
Muslim yang menghadapi tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang jelik sifatnya melalui portal negeri iaitu www.perak.gov.my.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.21 petang, 7 Februari tahun lepas. Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 4.39 petang, 8 Februari tahun lepas.
Bapa kepada empat orang anak itu, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.
Muslim didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya. – Bernama

Imigresen tahan PATI Thailand, Kemboja


21/06/2010 2:27pm

ALOR SETAR - Seramai 64 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Thailand dan Kemboja ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah dalam operasi Ops Kutip yang dibuat di Kampung Apil dan Felda Bukit Tembaga dekat Kuala Nerang, awal pagi tadi.
Ketua Penguatkuasa Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata, operasi dilakukan selepas seminggu membuat risikan berdasarkan laporan penduduk dari kedua-dua kampung tersebut.
"Operasi selama empat jam, bermula pukul 1 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi tadi telah berjaya menahan 42 PATI lelaki, 19 perempuan, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berumur dari sembilan bulan hingga 43 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah.
"Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh dan tidak mempunyai permit yang sah,” katanya.
Nar Azaman berkata, semua yang ditahan akan dibawa ke Depo Tahanan di Belantik, Sik sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing - Bernama

Keputusan rayuan kes Kudus ditangguh


21/06/2010 3:31pm

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan keputusan rayuan yang dikemukakan oleh bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt. (B) Abdul Kudus Ahmad berhubung sabitan dan hukuman ke atasnya yang menghadapi 24 pertuduhan rasuah.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa menangguhkan kes itu sehingga 23 Julai depan selepas memaklumkan beliau memerlukan masa untuk meneliti beberapa isu dengan lebih lanjut sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya perlukan lagi penjelasan walaupun sudah membaca rekod prosiding selama dua hari kerana kes ini membabitkan tuduhan yang banyak. Saya mungkin akan buat keputusan pada hari yang sama (23 Julai) jika saya berpuas hati dengan hujahan-hujahan lanjut yang dikemukakan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan, sementara Abdul Kudus diwakili peguam Afifuddin Hafifi dan M. Manoharan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk membuat keputusan selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujahan masing-masing.
Pada 30 Jun tahun lepas, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 ke atas Abdul Kudus, 47, selepas didapati bersalah terhadap 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.
Beliau juga boleh dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda itu.
Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik restoran Sri Steven’s Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. – Bernama

2,159 jam tangan tiruandirampas


RANTAU PANJANG 20 Jun - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita dan lelaki warga emas serta berjaya mematahkan cubaan mereka untuk menyeludup lapan beg berisi 2,159 jam tangan tiruan bernilai RM107,000.
Kedua-dua individu berkenaan ditahan pada pukul 2.45 petang semalam di Lorong Osman di sini selepas pihak berkuasa mengesan kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Deputi Supritendan Mohamad Latiff berkata rampasan itu dilakukan selepas risikan dilakukan oleh tujuh anggotanya.
"Hasil siasatan dan pemeriksaan, mendapati kira-kira lapan beg berisi jam tangan dianggarkan bernilai RM15 hingga RM150 setiap satu berada dalam kenderaan.
"Semua jam tangan tiruan ini dianggarkan bernilai RM107,950 dan ia adalah rampasan terbesar membabitkan jam tangan tiruan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Rantau Panjang, di sini petang ini.

Polis tumpas geng pecah kereta, ragut



BALIK PULAU 20 Jun - Polis berjaya menumpaskan satu geng pecah kereta dan ragut dengan tertangkapnya empat lelaki dan merampas pelbagai barangan curi yang bernilai lebih RM25,000 di dua lokasi berasingan, di sini awal pagi ini.
Dengan penahanan itu, polis percaya telah menyelesaikan 25 kes pecah kenderaan di daerah Barat Daya membabitkan kawasan Bayan Lepas, Bayan Baru dan kompleks beli-belah Queensbay.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi kumpulan itu adalah dengan memecahkan cermin kereta sebelum mengggunakan skru untuk mengumpil pemain cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD).
Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya telah menyerbu sebuah rumah di Mukim 12, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas pada pukul 12.45 tengah malam.
''Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 32 tahun.
"Siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek terbabit, polis menyerbu lokasi sama pada pukul 2 pagi dan menahan seorang rakan mereka serta merampas pelbagai barangan curi,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelacuran remaja meningkat di Bandung


JAKARTA 20 Jun - Pihak berkuasa Bandung tenggelam punca apabila menemui kes-kes pelacuran tersembunyi yang membabitkan pelajar sekolah menengah, yang mana bilangannya semakin meningkat di ibu negeri Jawa Barat ini.
Mentor program sokongan pekerja seks Rumah Kumpulan Cemara di Bandung, Eli berkata, ia adalah sesuatu yang sukar untuk memberi bimbingan kepada golongan remaja yang terlibat dalam kes pelacuran kerana kebanyakan mereka tidak menerimanya.
Jumlah mereka yang terlibat dengan pelacuran tersembunyi itu dipercayai lebih tinggi berbanding pelacuran komersial yang terbuka, katanya kepada The Jakarta Post.
Eli telah memberikan bimbingan kepada lebih 200 orang suri rumah dan pekerja seks kanak-kanak dalam tempoh dua tahun lepas. Kira-kira 20 orang daripadanya adalah pelajar sekolah menengah lingkungan umur di antara 15 dan 16 tahun.
"Keadaan psikologi mereka tidak stabil pada umur berkenaan. Sangat sukar bagi mereka untuk mengatasi keadaan tersebut disebabkan dorongan untuk mendapatkan wang misalnya bagi membeli telefon bimbit dan kasut," kata Eli selepas menghadiri program perbincangan Menyelamat dan Mencegah Eksploitasi Seks Kanak-Kanak (ESKA) di Bandung.
Dia khuatir penularan penyakit kelamin seperti HIV/AIDS sukar dibendung di kalangan belia kerana golongan sasaran sukar dikesan.
Program ESKA meletakkan sasaran untuk menyelamatkan 300 daripada 1,000 kanak-kanak yang dianggarkan oleh badan Selamatkan Kanak-Kanak daripada Pelacuran.
Satu kes pelacuran kanak-kanak kini sedang disiasat oleh pihak polis Jawa Barat dimana ia melibatkan gadis berumur 15 tahun yang menjual dirinya pada harga AS$555 (RM1,805) kerana mahu membeli telefon bimbit dan pendakap gigi.
Pegawai badan Selamatkan Kanak-Kanak di Jawa Barat, Eko Kriswanto berkata, sumbangan teknologi moden adalah satu punca yang menyukarkan pendedahan pelacuran tersembunyi di kalangan kanak-kanak.
Katanya, sejak program itu diperkenalkan di Bandung pada tahun 2002, ia mula menampakkan perubahan sikap terhadap pelacur kerja seks kanak-kanak.
"Sebelum ini, pelacuran dikatakan secara terbuka di daerah atau lorong-lorong pelacuran. Kini, mereka boleh melakukan urus niaga tanpa dikesan seperti menerusi laman sosial Facebook atau emel dan telefon bimbit," kata Eko.
Ketua Bahagian Perlindungan Hak Kanak-Kanak dan Wanita di Pejabat Memperkasakan Wanita dan Perancangan Keluarga, Neti Supriati berkata, kerajaan hanya mengenal pasti kes dan menyediakan kaunseling kepada mangsa kekejaman seks.
Namun tambahnya, kerajaan belum lagi membuat satu gerakan agar masalah pelacuran di kalangan kanak-kanak dapat dibendung. - AGENSI

132 maut banjir di China


GAMBAR yang dirakam dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda perkampungan Shayuan di wilayah Jiangxi, kelmarin. - AP


BEIJING 20 Jun - Banjir teruk melanda selatan China mengakibatkan 132 orang terkorban selain memaksa lebih 860,000 orang meninggalkan kediaman mereka.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Air hari ini, kira-kira 86 orang dilaporkan hilang akibat hujan lebat sejak seminggu lalu, selain menjejaskan lebih 10 juta penduduk.
Walaupun jumlah kematian meningkat sejak semalam, namun jumlah mereka yang dipindahkan berkurangan berbanding sebelum ini yang mencatatkan angka 1.4 juta orang.
Selain itu, kenyataan kementerian itu juga menyebut pihaknya mendapati beribu-ribu rumah musnah dengan kerugian berjumlah $AS2.5 bilion (RM8.13 bilion) dicatatkan.
Biro meteorologi menjangkakan ribut petir akan terus berlaku bermula hari ini hingga esok di beberapa kawasan terjejas.
Beberapa imej dari kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan usaha menyelamat menggunakan bot, trak dan helikopter masih berjalan.
Paras air telah melepasi tahap selamat di beberapa sungai utama termasuk Pearl River di kawasan perindustrian utama China, Guangdong.
Ribut kuat yang melanda telah memusnahkan beberapa kawasan tadahan, limpahan air sungai, tanah runtuh serta memusnahkan beberapa lebuh raya. - AP

Militan serbu pejabat risikan



KEPULAN asap hitam dilihat berkepul naik dari bangunan pejabat perisikan di bandar Aden, 320 kilometer dari selatan San'a, kelmarin. – AP



SANAA, Yemen 20 Jun – Empat suspek yang dipercayai ahli kumpulan al-Qaeda menyerbu ibu pejabat agensi perisikan Yemen di Aden dan membebaskan beberapa tahanan dalam operasi terancang paling nekad pernah dilakukan ketika kerajaan giat melancarkan operasi antipengganas dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu.
Serangan ke atas kompleks keselamatan yang dikawal ketat itu mengorbankan 11 orang sekali gus menambahkan kebimbangan AS terhadap kemampuan kerajaan Yemen dalam memerangi keganasan.
Tujuh anggota keselamatan, tiga wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan di bandar pelabuhan Aden yang terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negara Yemen itu.
“Kami diserang walaupun tidak menyangka ia bakal berlaku.
“Ini adalah serangan serius dari elemen pengganas,” kata Menteri Penerangan, Hassan al-Lozy kepada televisyen Al-Arabiya.
Sementara itu, seorang pegawai AS memberitahu, pihaknya mendapati beberapa pemberontak termasuk warga AS mengadakan latihan di kem tentera serta turut bekerjasama dengan kumpulan antikerajaan yang menentang kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdullah Saleh.
Kebimbangan AS semakin meningkat selepas al-Qaeda di Semenanjung Arab mengaku bertanggungjawab dalam cubaan meletupkan sebuah pesawat ke Detroit pada Disember lalu tetapi gagal.
Sejak itu, dengan latihan yang disediakan oleh AS, tentera Yemen menyerbu serta memusnahkan beberapa kawasan yang menjadi tempat persembunyian kumpulan pengganas itu.
Seorang penganalisis, Mansour Hael berkata, serangan pengganas terhadap institusi keselamatan kedua terbesar di negara ini membuktikan kelemahan kerajaan dalam memerangi aktiviti pengganas.
“Persoalannya, bagaimana pengganas ini mampu melancarkan serangan ke atas kawasan yang diberi kawalan ketat,” katanya lagi. – AP

5,000 VCD, DVD bernilai RM10,000 dirampas


KOTA KINABALU 20 Jun - Kira-kira 5,000 keping cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) haram bernilai hampir RM10,000 dirampas dalam satu serbuan di tiga buah kompleks beli- belah sekitar bandar raya ini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, rampasan itu melibatkan 12 premis yang menjual VCD dan DVD secara terbuka.
"Operasi yang bermula pagi ini dilakukan di lima premis di Kompleks Centre Point, tiga premis di Karamunsing dan empat premis di Wisma Merdeka.
"Hasil pemeriksaan dan serbuan ini, kita menahan empat pemilik kedai untuk siasatan lanjut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Katanya, VCD dan DVD yang dirampas itu merangkumi banyak jenis filem termasuk cerita lucah yang puratanya dijual dengan harga RM5 sekeping.
Jelas Hock Sing, operasi tersebut dilakukan setelah pihaknya melakukan pemerhatian di premis-premis tersebut sebelum tindakan susulan diambil.
Operasi seperti itu katanya, akan terus dilakukan bagi membanteras kegiatan tersebut yang dilihat masih berleluasa terutama di kompleks tertentu di sini.

1,400 pasang kasut tiruan dirampas


SEREMBAN 20 Jun - Sebanyak 1,400 pasang kasut tiruan jenama Crocs bernilai kira-kira RM30,000 dirampas dalam operasi di sekitar pusat perniagaan Dataran Senawang, di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 8.45 malam itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang bertindak atas maklumat awam menyerbu tiga lokasi membabitkan sebuah gerai dan dua di kaki lima pusat perniagaan tersebut.
Ketua Operasinya, Mohd. Hisam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kasut buatan dari negara China itu adalah tiruan dan pihaknya merampas kesemua barangan tiruan berkenaan.
"Dalam operasi ini pihak kami telah melakukan pemeriksaan lanjut dan menyerbu tiga lokasi iaitu dua di kaki lima berdekatan sebuah bank dan sebuah gerai di dalam tapak ekspo.
"Kesemua barang itu dibawa ke stor pejabat PPDNKK negeri di Seremban 2 untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah beliau, tiga lelaki berusia 20-an dipercayai peniaga di premis itu turut disoal siasat dalam operasi tersebut.
"Mereka tidak ditahan tetapi dikenakan tindakan mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu hukuman denda.
"Mengikut akta berkenaan, bagi pemilik persendirian, mereka akan didenda RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM200,000 (kesalahan kedua) manakala pemilik syarikat pula masing-masing RM250,000 dan RM500,000,'' katanya.
Kata Mohd. Hisam, kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (b) akta yang sama kerana menawarkan untuk menjual kasut yang disyaki menggunakan cop dagangan palsu.

Mayat lelaki warga asing ditemui


Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki dipercayai warga asing yang ditemui berlumuran darah di sebuah bangsal di Kampung Rasah, Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 20 Jun - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui berlumuran darah akibat dipukul dengan objek keras di sebuah bangsal di Kampung Rasah di sini semalam.
Turut ditemui di sisi mangsa yang berusia 30-an adalah sebatang kayu dengan mempunyai kesan darah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu daripada orang awam kira-kira pukul 10 pagi.
"Polis sedang mengenal pasti identiti mayat itu kerana tiada dokumen ditemui pada mayat tersebut.
"Namun berdasarkan susuk tubuh mayat yang lengkap berpakaian, mangsa dipercayai bukan warga tempatan," katanya.
Menurutnya, mayat itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

15,000 unit aksesori Nokia tiruan dirampas


IPOH 20 Jun - Sebanyak 15,000 unit aksesori telefon tiruan jenama Nokia bernilai lebih RM100,000 dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dalam satu serbuan di sebuah pasar raya besar, di sini baru-baru ini.
Serbuan pukul 7 petang itu dilakukan oleh enam pegawai penguat kuasa di sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan barangan tersebut.
Penolong Pengarah Seksyen Penguat Kuasa PPDNKK Ipoh, Amer Mansor berkata, siasatan mendapati aksesori itu adalah untuk pasaran di seluruh bandar ini.
Katanya, antara barangan yang dirampas dalam serbuan tersebut ialah sarung telefon bimbit, beg telefon, bateri dan alat bebas tangan.
"Serbuan dijalankan hasil aduan pemilik cap dagangan Nokia kerana produk tiruan yang menggunakan jenama mereka dijual pada harga murah.
"Maklumat daripada peniaga-peniaga menunjukkan premis itu dijadikan stor dan merupakan yang terbesar di Ipoh," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan tersebut di sini baru-baru ini.

Kakitangan kerajaan antara ditahan curi lori


SHAFIEN Mamat (kanan) melihat peralatan sindiket mencuri lori yang ditumpaskan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini.


NIBONG TEBAL 20 Jun - Seorang kakitangan kerajaan adalah antara tujuh lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri lori di sekitar kawasan utara Semenanjung dalam satu operasi bermula 14 Jun lalu.
Dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menumpaskan kegiatan kumpulan yang disyaki beroperasi di daerah ini serta negara jiran, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, daerah yang terlibat adalah di Sungai Petani dan Kulim di Kedah serta Parit Buntar, Perak.
Katanya, kesemua suspek berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di beberapa kawasan sekitar SPS dan Parit Buntar.
Menurutnya, kejayaan diperoleh dengan penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun di Kulim pada pukul 9.30 pagi, 14 Jun lalu, bersama sebuah lori yang dilaporkan hilang kira-kira dua jam sebelum itu.
"Suspek yang dipercayai perancang utama sindiket itu ketika ditahan sedang memandu lori terbabit.
"Hasil siasatan lanjut polis menahan empat lelaki lain yang dipercayai dari sindiket sama di beberapa kawasan sebelum menemui sebuah lagi lori curi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di sini.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk memburu saki-baki anggota sindiket berkenaan.
Jelasnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menaiki sebuah Perodua Kembara sambil membawa peralatan seperti gerudi elektrik, tukul besi serta pemotong besi.
"Apabila menemui lori yang sudah dikenal pasti, mereka akan bergerak keesokan harinya untuk mencuri lori-lori terbabit.
"Mereka akan menyambungkan wayar untuk menghidupkan lori itu dan dibawa ke satu kawasan lain untuk meleraikan komponen kenderaan itu.
"Polis bagaimanapun masih berusaha untuk mengenal pasti lokasi tersebut," tambahnya.
Katanya, kesemua tujuh suspek itu ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 A dan 411 Kanun Keseksaan.

Ditahan lagi curi motosikal




Wan Aziz Wan Hussin (kanan) bersama pegawainya memeriksa salah seorang penunggang yang disyaki menggunakan motosikal curi dalam satu operasi jalan raya di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH 20 Jun – Tidak tahu serik. Mungkin itulah ungkapan tepat bagi menggambarkan perbuatan seorang lelaki yang baru empat bulan dibebaskan dari penjara kerana kesalahan mencuri motosikal ditahan sekali lagi awal pagi ini, atas kesalahan yang sama.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal curi jenis Yamaha Nuovo dalam satu operasi bersepadu di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth, di sini kira-kira pukul 2 pagi.
Dia sebelum ini meringkuk selama lima bulan dipenjara akibat kesalahan yang sama.
Ketika ditahan, lelaki yang tidak bekerja itu memberi pelbagai alasan kepada pihak polis termasuk mendakwa kenderaan tersebut dipinjam daripada rakannya.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Sik, Kedah, baru-baru ini.
“Suspek ditahan di Balai Polis Butterworth untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut di sini hari ini.
Selain pasukan trafik, JPJ dan JAS, operasi selama tiga jam bermula pukul 12.30 tengah malam itu turut melibatkan bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
Menurutnya, polis juga menyita 14 buah motosikal kerana penunggangnya tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan tiga saman di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Motosikal) 1987 yang boleh dikenakan denda RM100,” tambahnya.
Tambah Wan Aziz, polis juga berjaya menahan seorang lelaki yang positif dadah ketamin melalui ujian air kencing yang dilakukan terhadap 58 individu.
“Kita akan meneruskan operasi seperti ini bagi membanteras kejadian jenayah melibatkan motosikal serta memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

1,560 kes jenayah di luar negara


KUALA LUMPUR 20 Jun - Kes jenayah melibatkan rakyat Malaysia di luar negara kini adalah sebanyak 1,560 kes dengan hampir separuh daripadanya melibatkan kesalahan mengedar dadah.
Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillai berkata, daripada jumlah itu kesalahan mengedar dadah melibatkan 729 kes diikuti dengan pemerdagangan manusia, pemalsuan kad kredit dan lain-lain jenayah.
''Kes-kes jenayah ini meningkat sebanyak 150 kes seminggu dan kebanyakannya melibatkan perempuan yang berumur 20 hingga 25 tahun kerana mudah diperdaya oleh sindiket pengedaran dadah,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Live Green Line Dance anjuran Wanita Gerakan di Dewan Sri Delima, Kepong di sini hari ini.
Berikutan perkembangan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah yang menawarkan peluang bekerja di luar negara seperti Argentina, Peru, Thailand, Taiwan dan Singapura.

Dalang judi bola sepak lari ke luar negara - Polis


21/06/2010 4:28pm

KUALA LUMPUR 21 Jun – Lebih tujuh orang kenamaan dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2010 dikesan melarikan diri ke luar negara.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang turut memberitahu, jumlah pertaruhan sebanyak RM300.7 juta berjaya ditumpaskan dalam tempoh dua minggu `Ops Soga’ dilancarkan. – Utusan

Kes samun, ragut: Polis Melaka tumpaskan Geng Tony

MELAKA 21 Jun – Polis negeri ini menumpaskan sebuah kumpulan dikenali sebagai Geng Tony yang aktif menjalankan kegiatan samun, ragut dan pecah tokong di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak Oktober lalu.
Kejayaan ini hasil tangkapan ke atas ketua kumpulan yang dikenali sebagai Tony, serta lapan ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 52 tahun ditahan di Melaka dan Johor dalam beberapa serbuan sejak 9 Jun lalu. – Utusan

Amerika berang CEO BP bercuti




2010/06/21

Rakyat risau minyak terus landa pantai

BURAS (Louisiana): Amerika Syarikat mengecam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), British Petroleum (BP) kerana bercuti sambil menonton perlumbaan kapal layar ketika penduduk empat negeri gusar lebih banyak minyak melanda pantai, terbaru ia mula dikesan di Panama City, sebuah pusat pelancongan popular di Florida. 

Di Louisiana, pantainya masih dibuka selepas krew pembersihan membuang sisa minyak dari situ tetapi ia masih merisaukan negeri yang meraih pendapatan AS$60 bilion (RM180 bilion) setahun dalam sektor pelancongan.“Sebahagian besar sisa minyak terbabit juga sudah dibawa arus. Pantai kami bersih dan dibuka semula kepada orang ramai,” kata jurucakap Bay County, Florida, Valerie Lovett.Tumpahan minyak terbesar dalam sejarah Amerika mengancam ekonomi empat negeri termasuk Louisiana selain menjejaskan kewangan BP serta reputasi dan populariti Presiden Barack Obama. 

Rumah Putih membidas CEO BP, Tony Hayward kerana mengambil cuti daripada meneruskan usaha menutup kebocoran untuk menonton perlumbaan kapal layar di Isle of Wright, selatan Britain. BP pula menekankan, Hayward juga perlu berehat. 

Bagi mengurangkan kesannya kepada alam sekitar, BP mengumpul 24,000 tong minyak (3.81 juta liter) sehari menggunakan dua sistem pengumpulan. 

Tetapi, ia masih rendah jika dibandingkan kadar kebocoran minyak setiap hari iaitu 35,000 hingga 60,000 tong yang masuk hari ke-62, kata Pengawal Pantai Amerika. 
BP menyambung usaha menyekat kebocoran itu semalam selepas sistem ditutup selama 10 jam untuk memperbaiki isu teknikal dan menunggu ribut berhenti. 
Satu lagi sistem yang dianggap penyelesaian pada masa depan ialah menggali telaga baru untuk mengurangkan tekanan mengeluarkan minyak tetapi ia hanya boleh diuji Ogos depan. 

BP mewujudkan dana pampasan sebanyak AS$20 juta (RM60 juta) tetapi jumlah pampasan itu boleh ditambah jika ia tidak mencukupi, kata Kenneth Feinberg yang menguruskannya. – Reuters 

ADUN rugi RM12,00 rumah dipecah masuk



IPOH - Penasihat Hal Ehwal Agama Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz kerugian berjumlah RM12,000 apabila kediamannya di sini, dipecah masuk semalam.

Ketika dihubungi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau itu berkata, kejadian itu hanya disedari awal pagi semalam apabila melihat keadaan rumah berselerak selain keadaan tingkap di belakang rumah diumpil.

Menurutnya, kejadian berkenaan adalah yang kedua sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Saya langsung tidak menyedari kejadian itu kerana terlalu penat setelah sehari suntuk bersama rakyat di Batu Kurau.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, pada kejadian pertama, wang tunai dan telefon bimbit bernilai RM3,000 lesap dilarikan penjenayah.

Sementara itu, Najmuddin berkata, pihaknya tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, beliau dinasihati agar tidak membuat laporan berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menyiasat.

Utara: Tak serik!


Oleh Amin Ridzuan Ishak

2010/06/21

Remaja pernah dipenjara sekali lagi ditahan disyaki curi motosikal

BUTTERWORTH: Ibarat mencurah air ke daun keladi. Itulah perumpamaan paling sesuai diberikan terhadap seorang lelaki yang mengulangi kesalahan mencuri motosikal walaupun baru dibebaskan daripada penjara empat bulan lalu. 

Kegiatan suspek yang berusia 28 tahun dikesan pihak polis yang menahannya ketika melakukan operasi bersepadu di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam di sini, awal pagi semalam.Suspek pada mulanya ditahan kerana tidak mempunyai lesen dalam operasi berkenaan.Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin, berkata pemeriksaan ke atas motosikal ditunggang suspek pada ketika itu mendapati ia adalah motosikal yang dilaporkan hilang di Sik, Kedah. 

"Ini adalah kali kedua suspek ditahan atas kesalahan sama di mana sebelum ini dia pernah dihukum penjara selama lima bulan dan baru saja dibebaskan empat bulan lalu,. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencuri kenderaan," katanya selepas operasi berkenaan di sini, semalam. 

Operasi yang berakhir jam 3 pagi itu membabitkan agensi seperti polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 
Turut menyertai operasi berkenaan adalah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). 

Wan Aziz berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 106 saman atas kesalahan seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, manakala sebanyak 12 motosikal turut disita dalam operasi berkenaan. 

"JPJ pula mengeluarkan sebanyak 15 saman, sepuluh notis dan menyita sebuah motosikal yang dipercayai dicuri, manakala JAS pula mengeluarkan tiga saman kerana kesalahan bunyi motosikal terlalu bising. 

"Sementara itu, Jabatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang serta AADK pula memeriksa seramai 58 orang dengan seorang pengguna jalan raya disahkan positif mengambil dadah jenis ketamin," katanya. 

Wan Aziz berkata, dalam operasi berkenaan, pihak JAIPP menahan sepasang kekasih yang berkelakuan kurang sopan, manakala MPSP menegur dua peniaga bazar membabitkan 10 hingga 15 khemah yang berniaga di Hentian Rehat & Rawat Bagan Ajam kerana tidak mematuhi peraturan. 

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu seumpama itu pada masa depan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak memandu secara merbahaya.