![]() |
LUNA dirakamkan ketika berada di dalam kereta selepas sesi soal jawab di ibu pejabat polis di Jakarta, kelmarin. - REUTERS |
JAKARTA 19 Jun - Pengarah keselamatan dan jenayah negara di Badan Detektif Polis Kebangsaan, Saut Usman Nasution semalam menyatakan pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti individu di dalam video seks yang 'mirip' dengan Ariel Peterpan, model Luna Maya serta Cut Tari.
Polis telah menyoal siasat Ariel dan Luna sebanyak dua kali iaitu pada 11 Jun lalu dan semalam, sementara Cut Tari disoal siasat Isnin lalu.
"Sehingga hari ini, Luna dan Ariel masih menegaskan mereka bukan individu dalam video seks itu," kata Saut lagi.
Jelasnya, polis semalam menyoal siasat enam individu yang disyaki memuat naik video berkenaan di internet.
Tambah Saut, video itu dimuat naik pada 22 Mei lalu.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, beliau menyokong tindakan undang-undang yang diambil polis bagi mendedahkan masalah itu.
"Saya menyokong tindakan polis yang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan semula dan menyebarkan video itu, termasuk siapa yang merakamnya, sekiranya ia terbukti melanggar undang-undang," kata Susilo di Istana Negeri di Cipanas, Jawa Barat semalam.
Susilo dalam pada itu mengingatkan orang ramai terutamanya ibu bapa, pendidik dan ketua agama supaya membantu melindungi moral negara. - Agensi