Search This Blog

Saturday, June 19, 2010

Bayi tertinggal dalam kereta ditemui mati

KINGSVILLE (Texas): Polis berkata, seorang bayi berusia satu tahun mati selepas ditinggalkan selama 45 minit dalam kereta ketika cuaca panas di luar.
Ketua Polis Kingsville, Ricardo Torres berkata, ibu bayi itu baru saja tiba di rumah selepas mengambil anaknya yang lain semalam dan terlupa mengenai bayinya yang juga berada dalam kereta berkenaan.
Setakat ini, belum ada kes dikemukakan terhadap wanita itu, bagaimanapun ia sudah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Menurut akhbar Corpus Christi Caller-Times, suhu di kawasan berkenaan ialah kira-kira 32 darjah selsius dengan indeks haba mencecah 39 darjah selsius. — Agensi

Lelaki simpan sejuta gambar lucah

VIENNA: Seorang lelaki berusia 53 tahun yang menyimpan lebih sejuta gambar porno dan video lucah kanak-kanak ditangkap di sini semalam.
Lelaki berkenaan yang namanya tidak didedahkan, menyimpan bahan berkenaan dalam lapan cakera keras, satu komputer peribadi, satu komputer riba dan beberapa DVD, kata Biro Siasatan Jenayah Persekutuan.
“Ini adalah jumlah gambar terbanyak pernah dirampas di Austria dalam satu operasi,” kata pegawai biro, Ewald Ebner.

“Mungkin ia juga rampasan terbesar pernah dilakukan di Eropah.” Menurut biro berkenaan, bahan yang dirampas ketika serbuan itu mengandungi gambar porno kanak-kanak bawah 14 tahun, termasuk bayi yang dicabul yang dipercayai dikumpul sejak lapan tahun lalu.

“Sebahagian gambar itu membabitkan keganasan,” katanya. - AFP
DUBAI: Seorang pekerja membuat pengakuan di mahkamah bahawa dia menggigit serta memotong telinga teman serumahnya selepas mereka bertengkar ketika menonton televisyen.
Pekerja warga Sri Lanka berusia 28 tahun itu didakwa melakukan perbuatan di bawah pengaruh alkohol.
“Saya bersalah. Saya mengaku menggigit telinga teman serumah tetapi saya sudah meminta maaf kepadanya dan kami sudah berbaik semula,” katanya.

Ketika Hakim Hamad Abdul Latif Abdul Jawad membaca pertuduhan itu di Mahkamah Dubai, tertuduh mengaku bersalah. “Saya mohon pertimbangan Tuan Hakim supaya tidak diberikan hukuman berat,” ujarnya.

Sebelum itu, mangsa ketika menjawab soalan pendakwa raya memberitahu mereka bertengkar kerana masing-masing enggan menutup televisyen selepas habis menonton. Mereka juga berkelahi mengenai sewa rumah yang belum dibayar. Polis Forensik Dubai melaporkan mangsa kini mengalami kecacatan telinga kekal. - Agensi

Mati dibelasah gara-gara Piala Dunia

JOHANNESBURG: Seorang lelaki yang ingin menonton program Piala Dunia mati dipukul keluarganya di kediamannya di timur laut Afrika Selatan.
David Makoeya, 61, dari Makweya, Limpopo bergaduh dengan isteri dan dua anaknya kerana mahu menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Jerman menentang Asutralia, manakala isteri dan dua anaknya ingin menonton program keagamaan.
Menurut sumber polis, Makoeya yang menukar rancangan televisyen dibelasah isterinya Francina, 68, dan dua anak mereka, Collin, 36, dan Lebogang, 23.

“Mangsa dipercayai mati selepas kepalanya dihentak ke dinding,” kata sumber itu.

- Agensi

60 kepala dalam kontena

CHICAGO: Pegawai di Arkansas sudah mula menyiasat penemuan 40 hingga 60 kepala manusia oleh kakitangan Syarikat Penerbangan Southwest di sebuah pusat kargo di Little Rock, minggu lalu.
Kepala berkenaan yang berada dalam tiga kontena berasingan ditemui Rabu lalu selepas kakitangan mendapati bungkusan itu tidak dilabel secara sempurna, kata jurucakap Southwest, Ashley Rogers.
Kakitangan syarikat berkenaan membuka kotak itu Rabu lalu dan menemui kepala berkenaan sebelum menghubungi polis yang kemudian menyerahkan kepala itu kepada koroner tempatan.

“Ia berada dalam kontena plastik. Maklumat yang dicatatkan di luar untuk memaklumkan kandungan di dalamnya itu tidak jelas,” kata koroner, Garland Camper.

Menurutnya, kepala itu dialamatkan ke Medtronic Inc di Fort Worth, Texas. Jurucakap Medtronic, Brian Henry berkata, kepala itu ialah untuk latihan bagi pakar bedah neuro yang mengkaji masalah telinga, hidung dan kerongkong.

Camper berkata, terdapat antara 40 hingga 60 kepala berbungkus dalam tiga kontena. Tetapi Henry pula berkata, pihaknya hanya memesan empat kepala dan 40 bahagian tengkorak atau sebahagian kepala dengan telinga.

‘Ia akan digunakan untuk latihan pendidikan dan ini memang biasa dilakukan,” kata Henry.

Dia juga menjelas, memang sudah menjadi perkara biasa untuk menghantar secara komersil kepala yang akan digunakan untuk penyelidikan dan pelajaran.

Medtronic, syarikat peralatan perubatan bebas terbesar dunia menggunakan khidmat JLS Consulting yang berpusat di Arkansas bagi membekal dan menghantar kepala atau bahagian kepala kepadanya.

Sementara itu, Camper berkata, siasatan awal menunjukkan dokumen yang diperoleh daripada pihak berkenaan tidak sama dengan keterangan spesimen.

“Ada percanggahan,” kata Camper yang ingin memastikan kepala itu bukan sebahagian daripada bekalan untuk pasaran gelap bahagian tubuh manusia.
Menurut Camper, ini kali pertama dia berdepan dengan kes seumpama itu sepanjang menjadi koroner. - Agensi

Penganggur rompak RM50 dijel 8 tahun

SHAH ALAM: Akibat merompak RM50 warga Bangladesh dengan bersenjatakan kayu dan pisau, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Sharina Ali Pitchay menjatuhkan hukuman itu terhadap E Sakawanan, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berjalan dari tempoh dia ditangkap iaitu 30 April tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas merompak RM50 daripada Mohammed Pervez, 29, menggunakan pisau dan kayu, pada jam 3. 40 pagi, 24 April tahun lalu.

Ia didakwa dilakukannya di rumah nombor 9, Blok G, Apartmen Jalan Semarak, Bukit Beruntung, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika rayuan terhadap hukuman, peguam bela mewakili tertuduh, Mohamad Tarap, berkata anak guamnya sudah insaf sejak ditahan polis pada 30 April 2009.

Ulat tiket serang JPJ

KUALA LUMPUR: Lima pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdepan detik mencemaskan hampir 10 minit apabila dikepung lebih 100 samseng ulat tiket sejurus penjawat awam terbabit menahan seorang lelaki kerana menjual tiket secara haram di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil di sini, pagi semalam.
DISERANG...lima anggota JPJ terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuat.
DISERANG...lima anggota JPJ terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuat.


sebelum  -  selepas

LEPAS...dengan bantuan rakannya (baju hitam) ulat tiket berjaya melarikan diri daripada ditahan.




LEPAS...dengan bantuan rakannya (baju hitam) ulat tiket berjaya melarikan diri daripada ditahan.
Kelima-lima pegawai terbabit turut diterajang dan dicekik selain dipaksa membebaskan lelaki yang ditahan itu jika tidak mahu dibelasah.

Sebelum itu, semua anggota penguat kuasa berkenaan menyamar penumpang bas ekspres bagi memerangkap ulat tiket yang dilaporkan berleluasa di terminal berkenaan.

Sebaik membeli tiket daripada seorang ulat, anggota terbabit terus menahan dan menggari lelaki terbabit yang juga warga Indonesia untuk siasatan lanjut.

Tindakan itu menyebabkan seorang lelaki dipercayai samseng ulat tiket muncul dan mengarahkan pegawai berkenaan membebaskan rakannya itu.

Menurut seorang daripada pegawai JPJ yang menjadi mangsa belasahan samseng terbabit, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika dia bersama empat rakan setugas menjalankan operasi penyamaran untuk menahan ulat tiket yang berleluasa di terminal berkenaan dan menahan seorang daripada mereka.
“Ketika proses menahan ulat tiket terbabit, dia cuba melarikan diri dan kami menahan serta menggarinya. Dia dibawa ke pondok JPJ yang terletak dalam kawasan terminal itu.

“Dalam perjalanan ke pondok itu, kami didatangi seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang terus mencekak kolar baju seorang anggota kami dan memaksa membebaskan ulat tiket yang ditahan itu,” katanya di sini, semalam.
Pegawai JPJ berkenaan menerangkan kepada lelaki terbabit suspek ditahan kerana menjual tiket bas ekspres secara haram, namun lelaki itu menyuruhnya membebaskan rakannya dan dia tidak peduli sama ada anggota terbabit anggota polis atau JPJ.

Katanya, lelaki terbabit turut berteriak dengan menyatakan pegawai berkenaan perlu melangkah mayatnya terlebih dulu sebelum menahan suspek.

“Kami berkeras tidak mahu membuka gari suspek sebelum dikerumuni lebih 100 ulat tiket dan dalam kekalutan itu, saya diterajang dari belakang.

“Kami semua ditolak dan dipukul dari belakang oleh kumpulan terbabit. Risaukan keselamatan diri dan pihak lain, kami terpaksa membuka gari suspek dan meminta suspek dan lelaki itu mengikut kami ke pondok JPJ.

“Di pondok JPJ, kumpulan ulat terbabit bertindak makin agresif dengan memaki hamun kami sambil menghentak meja serta menendang kerusi,” katanya.

Katanya, ulat tiket yang turut disertai beberapa pekerja kaunter tiket bas di situ menggugut akan mengadakan mogok jika JPJ menangkap ulat tiket di situ.

“Kami tak mampu lakukan apa-apa kerana mereka terlalu ramai dan terpaksa membebaskan ulat tiket yang ditahan itu,” katanya.

Kelima-lima anggota JPJ yang terbabit insiden berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi di sini, pada kira-kira jam 2 petang.

Susulan laporan itu, polis menahan 10 lelaki dipercayai ulat tiket di terminal sementara itu pada petang sama.

Ketika proses merekodkan butiran mereka dilakukan, tiba-tiba datang seorang lelaki mengarahkan anggota polis terbabit melepaskan semua ulat yang ditahan, namun tindakan itu dipersoalkan anggota berkenaan.

Lelaki terbabit yang berang menolak anggota polis yang menyoalnya itu menyebabkan anggota terbabit cuba menahannya sehingga berlaku pergelutan.

Beberapa anggota polis lain membantu menangkap lelaki itu, namun dia mula bertindak lebih ganas dengan membuka baju dan mencabar untuk bertumbuk dengan anggota polis berkenaan.

Ketika lelaki terbabit cuba menumbuk seorang anggota polis, dia disembur dengan pemedih mata dan akibatnya, dia melarikan diri ke kawasan kaunter tiket yang dipenuhi orang ramai sebelum menghilangkan diri menyebabkan dia gagal diberkas.

Sambungan dari muka 8 Harian Metro
KUALA LUMPUR: “Kami tidak akan berkompromi dengan samseng ulat tiket ini,” tegas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Mohd Nadzri Osman ketika diminta mengulas mengenai kejadian lima anggotanya dipukul ulat tiket di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, pagi semalam.

Menurutnya, kumpulan ulat terbabit sudah melampau sehingga sanggup mencederakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.

Katanya, kejadian itu tidak boleh dibiarkan begitu saja dan satu langkah segera perlu diambil bagi membendung perkara seperti itu daripada terus berlaku.

“Sudah beberapa kejadian berlaku di mana anggota kami dicederakan oleh ulat tiket yang cuba ditahan dalam operasi membanteras ulat tiket.

“Kami tidak akan kompromi dengan mereka dan akan terus membanteras aktiviti terbabit dengan menggiatkan lagi operasi serta menambah lebih ramai anggota,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak pengusaha bas dan pekerja kaunter tiket yang bersekongkol dengan ulat tiket juga akan dikenakan tindakan.

“Perkara ini perlu ditangani bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah terutamanya kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.

Dua kali kena tangkap jual kasut tiruan

SEREMBAN: Seorang peniaga di tapak ekspo Dataran Senawang ditangkap buat kali kedua semalam kerana menjual kasut tiruan.
Dia adalah antara tiga peniaga yang ditahan oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan.
Minggu lalu, dia turut ditahan di tempat yang sama kerana menjual kasut tiruan buatan China yang menggunakan jenama Crocs.

"Mereka mendapat keuntungan yang banyak, modal mereka hanya RM5 tetapi kasut dijual dengan harga antara RM18 hingga RM25 sepasang," kata timbalan pengarah KPDNKK negeri Mohd Nor Musa kepada Bernama.

Mereka didapati menjual barang tiruan di tapak ekspo berkenaan sejak sebulan lalu.

Ketiga-tiga peniaga terbabit bakal dikenakan tindakan mahkamah dan didenda.

Denda maksimum bagi kesalahan pertama ialah RM100,000 sementara bagi kesalahan kedua RM200,000.

Dalam pemeriksaan semalam, sebanyak 1,400 pasang kasut tiruan jenama Crocs dirampas di tapak berkenaan bernilai kira-kira RM30,000.

Harga kasut Crocs tulen bernilai antara RM100 hingga RM200 sepasang.

Kasut jenis itu kini menjadi kesukaan ramai.-Bernama

Tubuh penuh kesan tikam

SIMPANG RENGGAM: Kegusaran seorang akauntan apabila mendapati pintu besi kedai emas tempat dia bekerja terletak kira-kira 60 meter dari balai polis di sini, hanya separuh terbuka terjawab apabila mendapati majikannya yang juga sepasang suami isteri warga emas dibunuh kejam dengan tubuh dipenuhi kesan tikaman.
NGERI...anggota polis mengusung mayat pasangan warga emas yang dibunuh.
NGERI...anggota polis mengusung mayat pasangan warga emas yang dibunuh.
Akauntan berkenaan tiba di kedai berkenaan kira-kira jam 11 pagi, tetapi mendapati hanya separuh pintu besi keselamatan terbuka. Bimbang sesuatu buruk berlaku, dia terus menghubungi seorang anak pasangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad berkata, kebiasaannya mangsa akan memulakan perniagaan jam 9 pagi, tetapi semalam, pasangan berkenaan tidak berbuat demikian.

“Sejurus menerima panggilan daripada akauntan berkenaan, anak mangsa terus menghubungi kenalannya yang berniaga kain bersebelahan kedai emas itu untuk memeriksa keadaan ibu bapanya.

“Kenalannya terus ke bahagian belakang kedai emas itu dan mendapati pintu bahagian berkenaan tidak berkunci. Syak sesuatu yang buruk berlaku, dia terus menghubungi polis,” katanya pada sidang media di Balai Polis Simpang Renggam, malam tadi.

Polis yang tiba kira-kira jam 2.45 petang menemui mayat mangsa dikenali sebagai Lau Chong Hock dan Ng Liang Eng, kedua-duanya berusia 69 tahun di tingkat dua dan tiga premis rumah kedai berkenaan.

“Kedua-duanya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan tikaman bertubi-tubi di bahagian tubuh. Pasangan itu dipercayai dibunuh antara jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Pasangan berkenaan dibunuh di tingkat dua dan tiga, mereka mungkin dibunuh secara berasingan. Siasatan awal mendapati suspek berkemungkinan dikenali mangsa berdasarkan ketiadaan kesan pecah masuk,” katanya.
Selain itu, polis menolak pembunuhan bermotifkan rompakan atau samun kerana barangan kemas serta peti besi menyimpan wang tunai langsung tidak disentuh suspek.

Mohd Fawzi berkata, pasangan itu tinggal di premis tiga tingkat berkenaan dan tingkat bawah kedai emas, tingkat dua pula tempat simpanan manakala tingkat atas dijadikan kediaman.

“Anak mangsa pula tiada yang tinggal di sana kerana masing-masing bekerja di tempat lain termasuk di luar negara. Setakat ini, tiada senjata digunakan dalam pembunuhan itu ditemui.

“Siasatan kini menjurus kepada mengesan beberapa suspek dipercayai dapat membantu siasatan selain menyiasat motif pembunuhan terbabit,’ katanya.

Menegaskan ia adalah pembunuhan kejam, Mohd Fawzi berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu terakhir berurusan dengan mangsa supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.

“Pembunuhan itu zalim dan ganas. Kita boleh lihat berdasarkan kesan tikaman pada tubuh mangsa. Oleh itu, polis berharap sesiapa yang mempunyai maklumat tampil kerana penjenayah terbabit tidak boleh dibiarkan terlepas begitu saja,” katanya.

Dua bersenjata pistol dan kapak larikan barang kemas RM300,000

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan pistol dan kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM300,000 dalam satu rompakan yang mengambil masa kira-kira tiga minit di sebuah kedai emas berhadapan Kompleks Pertama di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila dua suspek berusia lingkungan 20-an masing-masing bersenjatakan pistol dan kapak, meluru masuk ke dalam premis kedai emas itu.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar itu kemudian mengarahkan empat pekerja kedai berkenaan supaya berdiam diri dan masukkan beberapa dulang barang kemas ke dalam beg.

"Selepas itu mereka terus melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal di belakang premis itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata, polis sedang menggerakkan usaha memburu kedua-dua suspek dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta supaya menghubungi Inspektor Mutalib Harun dengan menelefon 013-5470133 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

Lelaki mati dibunuh ditemui di Kampung Rasah

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali dipercayai mati dibunuh ditemui dalam sebuah bangsal berhampiran kilang memproses simen di Kampung Rasah di sini, jam 10 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh berkata, lelaki berusia sekitar 30-an itu ditemui berlumuran darah oleh orang awam di atas pelantar papan di bangsal itu.
"Dia dibunuh dalam tempoh 24 jam dan mengalami luka teruk di bahagian kepala. Kita juga menemui sebatang kayu yang mungkin digunakan sebagai senjata untuk membunuh lelaki itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Polis tidak menemui identiti mangsa atau taraf kerakyatannya dan akan menyiasat jika mangsa bekerja di kilang memproses simen berhampiran.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja''afar untuk bedah siasat.

-Bernama

Pengawal istana buat laporan isteri kedua Sultan ganggu ketenteraman

KOTA BAHARU: Seorang pengawal Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini membuat laporan polis terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, yang didakwa melakukan gangguan ketenteraman awam di perkarangan Istana ketika cuba melawat suaminya pada 23 Mei lalu.
Pengawal itu, Muhamad Khairul Abdullah, 24, berkata Elia Suhana, 31, didakwa mengganggu ketenteraman awam di istana itu walaupun sudah dimaklumkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra tidak perkenan bertemu dengan isteri kedua baginda itu dan perkarangan istana itu adalah kawasan yang 'sensitif'.
"Laporan dibuat di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada jam 8.08 malam pada Khamis lalu.

"Saya mengharapkan polis selepas ini dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan serta merta dan seadil-adilnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, Elia Suhana juga membawa beberapa anggota polis dan kakitangan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

Meskipun Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini membenarkan Elia Suhana melawat suaminya, beliau sekali lagi dihalang daripada memasuki Istana Mahkota untuk menemui baginda pada 23 Mei lalu.

Pada 20 Mei lalu Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Rayuan telah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Feb lalu. -Bernama

Nyaris maut dihempap jentera




SIMPANG PULAI – Pantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang pemandu van yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Batu Gajah dekat sini, sebelum kenderaan dipandunya itu dihempap sebuah jentera berat di Kampung Meranti Lapan, malam kelmarin. 

Seorang penduduk, Hishamudin Noralain, 24, berkata, ketika kejadian itu, dia baru hendak masuk ke bilik untuk tidur sebelum terkejut dengan bunyi geselan serta hentaman kuat di luar laman. 

“Ketika itu keluarga saya yang menonton televisyen juga turut terkejut apabila terdengar dentuman kuat seperti bunyi bom. 

“Sejurus itu, kami sekeluarga bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin. 

Hishamudin berkata, dia terkejutnya apabila melihat sebuah jentera berat yang dibawa sebuah treler menghempap van. 

“Kenderaan berat itu turut melanggar tiang lampu berhampiran rumah menyebabkan menimpa sebuah kontena milik jiran yang terletak di situ,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku disebabkan kedua-dua pemandu treler dan van selamat. 

“Kejadian ini yang pertama berlaku, namun beberapa insiden buruk pernah terjadi di kawasan yang sama, antaranya kemalangan membabitkan lori dan kenderaan lain menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis berkata, treler yang membawa jentera berat itu dipercayai dalam perjalanan dari sebuah kilang di Pusing ke Simpang Pulai. 

Beliau berkata, identiti pemandu van berkenaan tidak dapat dikenal pasti memandangkan dia belum tampil membuat laporan polis selepas kejadian itu. 

“Difahamkan jentera berat itu dalam perjalanan ke Singapura sebelum dihantar ke Dubai,” katanya. 

Katanya, jalan melalui Simpang Pulai ke Batu Gajah itu terpaksa ditutup kerana jentera berat berkenaan menghalang lalu lintas. 

“Akibat kemalangan itu, kerja memindah jentera terpaksa ditangguhkan kerana menunggu syarikat pemilik mengangkatnya menggunakan beberapa kren,” katanya.

Misteri temui mayat berlumuran darah



SEREMBAN – Seorang lelaki tidak diketahui identiti ditemui mati dipercayai dibunuh dalam sebuah bangsal berhampiran kilang memproses simen di Kampung Rasah dekat sini, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh berkata, mangsa dipercayai berumur sekitar 30an ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah atas pelantar papan di tempat kejadian. 

"Siasatan awal mendapati, mangsa mungkin mati dalam tempoh 24 jam lalu akibat kecederaan kepala. 

"Polis mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam kes ini berdasarkan penemuan sebatang kayu berlumuran darah digunakan sebagai senjata di sebelah mayat mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Bagaimanapun, menurut beliau, status kewarganegaraan lelaki itu tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa. 

Mohd Zaki berkata, polis juga sedang mengenal pasti motif pembunuhan dan menyiasat sama ada mangsa bekerja di kilang itu. 

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi panggilan orang ramai kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya. 

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.

Tiga minit rompak emas RM45,000



KUALA LUMPUR - Dua lelaki bersenjatakan pistol dan kapak kecil melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM45,000 dalam satu rompakan yang mengambil masa kira-kira tiga minit di sebuah kedai emas berhadapan Kompleks Pertama di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari apabila dua suspek berusia lingkungan 20-an meluru masuk ke dalam premis kedai emas itu. 

Menurutnya, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar itu kemudiannya mengarahkan tiga pekerja kedai berkenaan supaya berdiam diri dan masukkan beberapa dulang barang kemas ke dalam beg plastik. 

"Mereka menyerbu masuk ke dalam kedai itu, memecahkan cermin pameran dan melarikan barang kemas yang diambil dari tujuh dulang. 

“Selepas itu mereka terus melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal di belakang premis itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini. 

Beliau berkata, polis sedang menggerakkan usaha memburu kedua-dua suspek dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta supaya menghubungi Inspektor Mutalib Harun dengan menelefon 013-5470133 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

90 korban banjir di China




BEIJING - Sekurang-kurangnya 90 penduduk terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di wilayah selatan China sejak minggu lalu. 

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Awam, 50 penduduk dilaporkan hilang sementara hampir 1.4 juta penduduk diarah berpindah berikutan laporan kaji cuaca menggambarkan hujan berterusan di kawasan itu. 

Pejabat Kawalan Banjir mengumumkan sekurang-kurangnya 5.5 juta penduduk terjejas akibat banjir di sembilan wilayah seluruh selatan China. 

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan helikopter untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap apabila kampung mereka dilanda banjir. 

Jumlah kerugian akibat bencana itu dianggarkan mencecah 6.5 bilion yuan (RM3.1 bilion) sehingga semalam.

Pekerja ladang nyaris maut terkena tembakan



KEMAMAN - Seorang pekerja ladang nyaris maut apabila terkena tembakan dilepaskan tiga pemburu ayam hutan di Felda Neram Dua, Air Putih di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun bernasib baik apabila terselamat daripada kejadian malang itu dan hanya cedera ringan di kaki kanannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pemburu terbabit hendak menembak ayam hutan namun tembakan mereka mengenai mangsa yang berada di ladang kelapa sawit berhampiran.

“Tiga lelaki itu sedang menahan jerat untuk menangkap ayam hutan, apabila seekor ayam hutan berada berdekatan dengan mereka tembakan dilepaskan, namun terkena mangsa yang berada di ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya.

Abdul Marlik berkata, menyedari mereka tertembak seseorang, pemburu terbabit bergegas membantu membawa mangsa yang cedera ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawat lanjut.

Berikutan kejadian itu, katanya, senjata api milik ketiga-tiga lelaki itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(1) dan Seksyen 37(1) Akta Senjata Api 1960.

Nyaris maut dilanggar bekas suami



KULIM - Seorang ibu tunggal beranak lima, berusia 42 tahun, yang tinggal di sini nyaris maut dirempuh kereta yang dipandu bekas suami ketika dalam perjalanan ke pasar Padang Serai bersama seorang kawan dan anak kawannya, berusia empat tahun.

Dia yang cedera di kepala menerima lebih 20 jahitan dan luka di badan manakalanya kawannya patah kaki kanan. Anak kawan mangsa turut cedera di muka.

Menurutnya, dia berkahwin dengan bekas suaminya pada 1991 dan bercerai pada 7 Jun lalu.

“Pada 2004, bekas suaminya berkahwin lain dan tidak menghiraukan kehidupan mereka enam beranak,” katanya. 

Dia mendakwa, bekas suaminya langsung tidak beri sebarang nafkah zahir dan batin sepanjang enam tahun dan terpaksa berdikari untuk menyara serta menyediakan semua keperluan anak sehingga hari ini.

Sepanjang enam tahun hidup bersama anak-anak, dia mendakwa, sering dipukul bekas suaminya sehingga mendatangkan kecederaan.

“Saya hanya bekerja kilang di Kulim dan masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta kerana penyakit angin ahmar. Tangan sebelah kiri saya tidak boleh bergerak.

"Kemalangan berlaku pada 13 Jun lalu apabila bekas suami saya menghimpit dan merempuh motosikal yang saya tunggang berdekatan kawasan klinik Permatang Tok Dik, kira-kira jam 9.10 pagi, 13 Jun lalu.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan ke pasar Padang Serai. Saya dibenarkan keluar dari hospital setelah beberapa hari menerima rawatan di Hospital Kulim," katanya.

Terkejut jumpa rangka manusia



ANGGOTA forensik polis mengeluarkan rangka manusia yang ditemui dalam sebuah kereta rentung di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON - Seorang buruh terkejut selepas menjumpai satu rangka manusia di dalam sebuah kereta yang rentung di sebuah tapak projek perumahan Kampung Kebun Jimah di sini semalam.
Buruh tersebut, Abdul Taib Hassan memberitahu, dia masuk ke kawasan berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi untuk mencari siput di sebatang sungai berhampiran.
"Bagaimanapun, ketika melalui sebatang jalan menuju ke sungai saya ternampak sebuah kereta yang sudah rentung berada tidak jauh di tepi tebing.

Wanita maut dirempuh MyVi



penduduk kampung, Hamzah Mamat menunjukkan lokasi Ramlah yang maut dirempuh kereta Perodua MyVi di Jalan Kubang Kerian-Panchor-Panji, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Mimpi sedih seorang anak menjadi kenyataan apabila ibunya maut dalam kemalangan di Jalan Kubang Kerian-Panchor-Panji dekat sini semalam.
Mohd. Nazrul Jaafar, 13, berkata, pada malam sebelum kejadian dia bermimpi ibunya, Ramlah Zakaria, 44, terjatuh dari tempat tinggi menyebabkan dia menangis teresak-esak.
"Saya kemudian terjaga daripada tidur selepas dikejutkan oleh ibu saudara saya yang memberitahu ibu dan adik perempuan serta sepupu saya terlibat dalam kemalangan dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian semalam.

Dua maut, lori rempuh belakang treler rosak di lebuhraya Elite


19/06/2010 4:29pm

SHAH ALAM — Dua kelindan lori yang membawa ayam, maut apabila lori mereka merempuh sebuah treler rosak yang diletakkan di lorong kecemasan di KM 2.7 Lebuh Raya Elite di sini, pagi tadi.
Kedua-duanya yang berumur lingkungan 20-an mati di tempat kejadian sementara pemandu lori berkenaan cedera parah dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu.
"Pemandu lori berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan,” kata Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar.
"Lori yang membawa ratusan ekor ayam itu dilaporkan dalam perjalanan dari sini ke Seremban dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan sebelum merempuh treler terbabit,” tambahnya.
Kesemua ayam di dalam lori tersebut terbang keluar dan berkeliaran di atas lebuh raya sehingga ada antaranya mati dilanggar kenderaan yang lalu lalang di situ. - Bernama

Tiga maut, 11 cedera dalam dua kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan


19/06/2010 4:39pm

KUALA LUMPUR — Tiga termasuk dua beranak maut manakala 11 orang lagi cedera apabila terbabit dalam dua kemalangan di KM416 dan KM418 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kuala Kubu Baru di sini, pagi ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu bas ekspres Mohd Jamal Ahmad, 44, dan penumpang kereta Proton Persona Roslawati Hassan, 43, serta anak bongsunya Mohd Faiz Haikal, 1.
Beliau berkata, kedua-dua kemalangan yang berlaku selang setengah jam itu, telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang satu kilometer di antara kedua-dua lokasi nahas.
Katanya kemalangan pertama berlaku di KM416, membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 15 penumpang ke Kuala Lumpur.
"Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, bas berkenaan dikatakan gagal dikawal lalu terbabas sebelum melanggar tebing (yang menghadang tanah dari runtuh) dan terseret kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. - Bernama

Tuntutan harta Syed Kechik RM400 juta





KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Julai ini untuk mendengar perbicaraan permohonan kaveat yang dikemukakan oleh anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary (gambar) berhubung harta pusaka berjumlah RM400 juta.
Permohonan itu difailkan oleh Syed Gamal terhadap ibu tiri, Puan Sri Sofiah Moo Abullah dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira bagi menghalang mereka daripada menguruskan harta pusaka tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.
Pada tarikh tersebut, Hakim Lee Swee Seng akan mendengar keterangan saksi-saksi daripada kedua-dua pihak bagi menentukan sama ada Syed Gamal, 45, selaku kaveator layak untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka arwah bapanya itu.
Pada prosiding hari ini, Syed Gamal hadir dengan ditemani peguam, Azhar Arman Ali, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais manakala peguam Datuk N. Vijay Kumar mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira selaku pempetisyen.
Selain permohonan tersebut, mahkamah akan menentukan isu yang berbangkit sama ada kaveat tersebut boleh menghalang mahkamah daripada mengeluarkan perintah mengenai surat kuasa mentadbir atau menghalang surat kuasa mentadbir diberikan kepada keluarga tiri Syed Gamal.
Terdahulu, Zulkifli memberitahu, isu tersebut perlu ditentukan kerana pemberian surat kuasa tadbir kepada pihak pempetisyen akan menjadi prejudis terhadap anak guamnya.
Menjelaskan lebih lanjut kepada hakim, peguam itu menyatakan anak guamnya telah didiskriminasi sejak kecil berbanding adik-adik perempuannya.
''Daripada jumlah harta yang dianggarkan RM400 juta, Syed Gamal hanya diberikan elaun RM2,000 sebulan,'' ujarnya yang turut menyatakan anak guamnya tidak pernah tinggal dengan bapanya sejak kecil.
Elaun itu yang hanya diberikan kira-kira 10 tahun lalu, telah dihentikan pemberiannya baru-baru ini, dakwa Syed Gamal kepada media ketika ditemui di luar mahkamah.
Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah memfailkan permohonan tersebut pada 14 April lalu.
Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.
Syed Gamal yang mengendalikan kafe siber membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu tiri dan dua adik tiri perempuannya yang memfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka Syed Kechik tersebut.
Dalam petisyen yang difailkan pada 15 September tahun lalu, mereka mendakwa, Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang.
Pada 9 November tahun lalu, syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memfailkan saman pemula bagi mengisytiharkan Syed Gamal tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pembahagian harta itu selesai.

MyKad hilang: Mekanik, pelajar buat laporan palsu didenda RM500



SHAFIEN Mamat (kiri) menyatakan sesuatu kepada Siti Hajar Hashim dan N. Nadarajan yang membuat laporan palsu di pekarangan Mahkamah Majistret, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 18 Jun - Gara-gara membuat laporan palsu kononnya disamun dan diragut semata-mata mendapatkan semula secara percuma kad pengenalan yang hilang, dua individu masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini.
N. Nadarajan, 37, seorang mekanik dan pelajar kolej, Siti Hajar Hashim, 21, dikenakan hukuman itu setelah mereka mengaku di hadapan Majistret Mohd. Izham Ali atas kesalahan membuat laporan palsu.
Nadarajan didakwa membuat laporan palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada 26 April lalu kononnya beg duitnya yang berisi dokumen tersebut disamun dua lelaki.
Siti Hajar dari Bandar Baharu, Kulim, Kedah pula dituduh mengemukakan laporan palsu di tempat sama kononnya beg duitnya yang diletakkan di dalam raga motosikal dilarikan dua lelaki pada 29 Mei lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan itu membolehkan tertuduh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ghazali Muhammad Nazri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima dua laporan meragukan yang dibuat oleh dua individu terbabit yang mendakwa disamun dan diragut.
"Hasil siasatan menyeluruh, didapati kejadian itu tidak berlaku dan timbul keraguan dalam fakta yang dikemukakan kepada polis.
"Oleh itu polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang- wenangnya membuat laporan palsu kerana mereka boleh didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita.
Jelasnya, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, 13 kes laporan palsu dikesan di negeri ini, kebanyakannya akibat kehilangan kad pengenalan, kalah berjudi dan bimbang dimarahi isteri kerana menghabiskan wang belanja.
Menurutnya, ramai beranggapan dengan membuat laporan palsu seperti disamun atau diragut boleh menyelamatkan diri mereka daripada dikenakan tindakan.
"Ada yang hilang kad pengenalan sanggup mengadu diragut kerana bimbang dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan ingin mendapatkan kad pengenalan percuma.
"Laporan palsu sering dilakukan namun tidak dapat dikesan jadi pertuduhan seperti ini akan diteruskan di seluruh negeri ini," ujarnya.

Pemilik kedai emas suami isteri dibunuh



KLUANG 18 Jun - Sepasang suami isteri warga emas dibunuh kejam dengan ditikam bertubi-tubi di bahagian belakang badan di kedai emas milik mereka di Jalan Besar, Simpang Renggam dekat sini hari ini.
Kedua-dua mangsa, Lau Chong Hock dan isterinya, Ng Liang Eng, kedua-duanya berumur 69 tahun ditemui masing-masing di tingkat dua dan tiga premis itu dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu pada pukul 2.45 petang.
Katanya, mangsa dipercayai dibunuh antara jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari tadi.
"Siasatan awal menunjukkan mangsa berkemungkinan mengenali suspek berdasarkan tiada kesan pecah masuk di sekitar premis itu.
"Ia juga mungkin bukan bermotifkan rompakan kerana semua barang kemas dan peti berisi duit langsung tidak diusik," katanya.
Menurut Mohd. Fawzi, hanya mangsa dan isterinya tinggal di premis tiga tingkat tersebut dengan tingkat bawah menempatkan kedai emas manakala tingkat dua sebagai tempat simpanan dan tingkat tiga dijadikan tempat tinggal.
Beliau memberitahu, kesemua anak mangsa tidak tinggal di premis itu kerana bekerja di tempat lain, malah ada yang berada di luar negara.
Katanya, mangsa kebiasaannya membuka kedai pada pukul 9 pagi, namun akauntan kedai itu yang tiba di situ pada pukul 11 pagi tadi mendapati hanya separuh pintu besi keselamatan dibuka.
Curiga dengan keadaan itu katanya, akauntan tersebut menelefon salah seorang anak mangsa yang kemudiannya menghubungi kenalan di kedai kain di sebelah premis tersebut untuk memeriksa keadaan kedua ibu bapanya.
Menurutnya, kenalan tersebut bertindak menghubungi pihak polis setelah mendapati pintu di bahagian belakang kedai tidak berkunci.
Mohd. Fawzi berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan kejam itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Janda muda dicabul bomoh palsu



KUANTAN 18 Jun - Akibat percayakan nasib malang, seorang janda muda menjadi mangsa cabul seorang bomoh palsu semasa 'merawat' mangsa di rumahnya di Sungai Felda Panching Utara di sini kelmarin.
Mangsa, seorang suri rumah berusia 21 tahun difahamkan baru berpisah dengan suaminya dan tinggal bersama neneknya berumur 50-an di rumah itu.
Kejadian berlaku pada pukul 7.30 malam semasa suspek berusia 50-an yang dipanggil 'pak long' itu dijemput oleh nenek mangsa ke rumah untuk merawatnya.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, suspek dari Bukit Sagu di sini, kemudian mengarahkan mangsa mandi dengan berkemban.
"Semasa menjalankan 'rawatan' yang kononnya untuk membuang sial, suspek telah meraba dan mencabul mangsa. Suspek kemudian memarahi perbuatan 'pak long' itu.
"Namun walaupun dimarahi, suspek tetap melakukan perbuatan itu dan memberi alasan kononnya ia salah satu syarat perubatan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Kata Noor Asyikin, mangsa yang tidak berpuas hati telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 9 malam, sejurus selepas itu.
Katanya, mangsa mendapatkan rawatan tersebut setelah diminta oleh neneknya yang beranggapan cucunya itu mungkin terkena 'buatan orang'.
"Nenek itu juga mahu cucunya melupakan bekas suaminya.
"Berikutan kejadian itu, suspek ditahan polis di rumahnya malam tadi dan direman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Noor Asyikin mengingatkan orang ramai terutama wanita supaya tidak mudah mempercayai bomoh tradisional jika tidak mengetahui kesahihannya.

Jangan beli, guna Amberine capsule



KUALA LUMPUR 18 Jun - Orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan sejenis produk tradisional, Amberine capsule berikutan pengesanan racun berjadual metformin dan sibutramine dalam produk tersebut.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A. Rahman berkata, berikutan pengesanan dua jenis racun itu, pendaftaran produk tersebut yang digunakan secara tradisonal untuk kesihatan tubuh badan dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 27 Mei lalu.
"Ubat-ubatan yang mengandungi metformin dan sibutramine hanya boleh dibekal oleh doktor atau farmasi dengan kebenaran doktor kerana penggunaanya tanpa pengawasan dapat menyebabkan kesan sampingan serius.
"Ia seperti pengurangan paras gula dalam darah (hypoglycaemic), penurunan fungsi buah pinggang, tekanan darah tinggi dan kesan kardiovaskular yang lain.
"Produk ini (Amberine capsule) telah disahkan dicampur palsu dengan metformin dan sibutramine, oleh itu orang awam dinasihat menghentikan penggunaan produk ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Eisah meminta peniaga yang masih menyimpan stok Amberine capsulesupaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk ini dengan serta-merta.
Tegasnya, penjualannya melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan-kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya," jelasnya.

Judi bola sepak RM23.1j tumpas





KUALA LUMPUR 18 Jun – Polis yang menjalankan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras perjudian bola sepak Piala Dunia 2010 sejak minggu lalu, berjaya menumpaskan beberapa lagi sindiket itu yang melibatkan pertaruhan RM23.1 juta di Selangor dan Perak.
Di Selangor, dalam 13 serbuan yang dilakukan sejak tiga hari lalu dan berakhir awal pagi tadi melibatkan pertaruhan sebanyak RM15.1 juta, polis berjaya menahan 13 lelaki dan seorang wanita tempatan serta sembilan wanita warga Indonesia berusia 15 hingga 45 tahun.
Di Perak pula, seorang wanita antara sembilan yang ditahan dipercayai bookie melibatkan pertaruhan sehingga RM8 juta dalam serbuan di lapan premis berasingan di Ipoh dan Batu Gajah, malam tadi.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, dalam 13 serbuan di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Ampang dan Kuala Langat, 10 sindiket perjudian itu berjaya ditumpaskan.
“Kejayaan itu adalah hasil maklumat orang ramai dan polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut antaranya lima unit komputer, komputer riba (lapan), telefon bimbit (10 unit) dan sebuah mesin pencetak.

Jurubahasa tentera Amerika Syarikat dibunuh - Polis



19/06/2010 3:54am

BAGHDAD 19 Jun - Seorang jurubahasa yang berkhidmat dengan tentera Amerika Syarikat ditembak mati semalam oleh anak lelaki dan anak saudaranya di utara bandar berkenaan kerana enggan memenuhi kehendak mereka supaya berhenti daripada melakukan kerja tersebut, kata pegawai polis.
Pegawai polis Lt. Emad Muhsin berkata, Hameed Al-Darji ditembak di bahagian dada dekat rumahnya di Samarra, 95 kilometer utara Baghdad.
Tambahnya, Muhsin yang bekerja sebagai kontraktor dan jurubahasa untuk tentera Amerika Syarikat sejak tahun 2003, dianggap tidak memenuhi kemahuan keluarganya, namun dia tidak mengendahkan tentang perkara itu.
Kedua-dua pesalah itu telah ditahan pihak polis dan membuat pengakuan menjadi ahli kepada kumpulan Al-Qaeda yang membenarkan pembunuhan itu dijalankan. - AP

Dua askar Amerika dan seorang askar British terbunuh di Selatan Afghanistan

19/06/2010 3:56am

KABUL 19 Jun - Dua askar Amerika terbunuh dalam satu pertempuran semalam di selatan Afghanistan, menjadikan angka tentera Amerika yang terkorban dalam perperangan meningkat kepada 33 bulan ini. Dilaporkan seorang tentera British turut terbunuh.

NATO berkata, kematian dua askar tersebut adalah disebabkan oleh serangan daripada pihak pemberontak, namun butiran lanjut mengenainya tidak diberikan secara terperinci.

Di London, Menteri Pertahanan British berkata, salah seorang daripada askarnya terbunuh dalam satu letupan di wilayah Helmand.

Jun dianggap sebagai salah satu bulan yang menyaksikan banyak kematian bagi

askar Amerika dalam perang di Afghanistan untuk tempoh hampir 9 tahun, apabila pihak pemberontak meningkatkan serangan sebagai tindak balas terhadap tekanan Nato ke atas kubu Taliban di kawasan utara. Kadar kematian tinggi dicatatkan adalah pada bulan Oktober 2009, dimana 59 askar Amerika terbunuh. - AP