Search This Blog

Friday, June 18, 2010

Ibu tunggal maut kereta diheret bas



ANGGOTA polis memeriksa sebuah kereta yang hangus terbakar bersama seorang mangsa yang belum dikenal pasti identiti di tempat duduk pemandu, di sebuah tapak projek perumahan, Kampung Kebun Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan, 18 Jun. - Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

Polis Selangor tahan 23 suspek judi haram piala dunia

SHAH ALAM: 2010/06/18 Selangor menahan 23 orang termasuk sembilan wanita warga Indonesia, kerana dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian haram bola sepak Piala Dunia 2010 di negeri itu yang membabitkan pertaruhan berjumlah RM15.1 juta.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan sejak Selasa lalu di beberapa restoran dan kediaman persendirian di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Ampang dan Kuala Langat.
Beliau berkata, 13 suspek lain adalah lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 45 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun, manakala warga Indonesia yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun.

Siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM200,000.

Omar berkata, serbuan itu hasil maklumat orang ramai dan operasi seumpamanya akan diteruskan sehingga tamat kejohanan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan. Beliau berkata, polis turut mengesan pertaruhan terbesar bernilai RM5 juta di beberapa premis di sekitar Taman Bukit Mayang Emas Petaling Jaya, USJ Subang Jaya dan Taman Puchong Impian, Puchong.

Katanya, modus operandi perjudian haram itu membabitkan penggunaan Internet serta telefon, dan bookie atau ejen akan mengutip wang pertaruhan di restoran.

"Ada di antara pengusaha restoran yang diserbu tidak mengetahui bahawa ada di antara pelanggan mereka yang menjalankan aktiviti perjudian di restoran mereka," katanya.

Siasatan awal juga mendapati ada di antara bookie tersebut menawarkan pinjaman daripada ceti haram kepada mereka yang ingin bertaruh.

Turut dirampas dalam serbuan ialah lima komputer meja, lapan komputer riba, 10 telefon bimbit, satu pencetak, enam modem komputer, tiga buku pertaruhan, satu buku cek, satu alat kelui, satu telefon talian tetap dan wang tunai RM1,295.-Bernama

Polis cari saksi bantu selesai kes rompakan bersenjata di Bukit Mertajam

PULAU PINANG: 2010/06/18 sedang mencari saksi kejadian rompakan bersenjata di Jalan Bukit Maju 2, Bukit Mertajam pada 13 Jun yang mengakibatkan tangan seorang ejen insurans ditetak sehingga putus.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjatakan parang memotong tangan seorang ejen insurans berusia 35 tahun yang memegang sampul surat mengandungi RM5,500 dalam satu kejadian rompakan ngeri di Bukit Mertajam.
Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan ke arah keretanya selepas makan lewat malam di sebuah kedai kopi berhampiran apabila dia diserang hendap oleh sekurang-kurangnya tiga lelaki pada 11.30 malam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, setakat ini, polis hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan mangsa kerana tiada saksi lain.

"Mangsa tidak mampu mengingat apa-apa kerana berada dalam kesakitan selepas diserang dan kami merayu orang ramai tampil memberikan maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu menyelesaikan kes," katanya di sini, hari ini.

Beliau yakin ada yang menyaksikan kejadian itu kerana tempatnya terletak hanya beberapa meter dari sebuah kedai kopi.

"Kami melancarkan beberapa sekatan jalan raya di kawasan sekitar bagi memperoleh bukti berhubung kejadian itu," katanya.

Azman juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu supaya segera menghubungi polis di talian 04-5306402.-Bernama

Kastam Hyderabad tahan `keldai dadah' warga India dalam perjalanan ke Malaysia

2010/06/18
NEW DELHI: Terdorong dengan peningkatan permintaan untuk mendapatkan ketamin, sejenis dadah yang sering digunakan semasa berpesta, pengedar dadah India kini menggunakan kaedah luar biasa bagi menyeludup keluar narkotik itu, yang amat mudah diperoleh di kawasan ini.
Seorang penumpang penerbangan yang menyembunyikan lapan kilogram ketamin dalam bingkai gambar, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Shamshabad, Hyderabad, pada Selasa malam.
Suspek yang dipercayai seorang "keldai dadah", cuba menyeludup narkotik bernilai hampir RM30,000 dari Chennai ke Malaysia melalui Hyderabad - ibu negeri Andhra Pradesh.

"Modus operandinya terbongkar selepas mesin pengimbas di lapangan terbang itu mengesan serbuk putih dalam beg beliau yang didaftar masuk," kata penyiasat.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, pegawai kastam terus menahan lelaki itu untuk disoal siasat, namun sumber bekalan belum dapat ditentukan, begitu juga butiran pembelinya di Malaysia.

"Walaupun pada awalnya kami mengesyaki serbuk itu adalah heroin, ujian mengesahkan ia adalah ketamin. Namun kami menghantar sampel untuk pengesahan muktamad.

"Kes itu didaftarkan sebagai melanggar peraturan Kastam dan suspek ditahan oleh pegawai kastam.

"Suspek itu berkata dia tidak memahami bahasa lain kecuali Tamil. Jadi proses soal siasat masih dijalankan," kata seorang pegawai kastam kepada media.

-Bernama

Pemandu lori beras terbunuh, kelindan cedera parah dalam kemalangan

IPOH: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera parah selepas tertimpa timbunan beras dalam kemalangan di KM 265.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Jelapang, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pemandu lori yang terbunuh dalam kejadian jam kira 1 pagi itu ialah Mohd Azam Mohd Nor, 34, dari Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkata, Mohd Azam yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Sementara itu, Mohd Ridzuan Che Hasan, 18, juga berasal dari Kelantan, kini dirawat di hospital sama.

Azisman berkata, kejadian berlaku ketika lori itu hilang kawalan dan terbalik ketika menuruni bukit kira-kira 2 kilometer dari tol Jelapang.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa daripada timbunan beras.-Bernama

Menteri Besar Terengganu bantu mangsa kemalangan

KUALA TERENGGANU: Dalam kesibukan menghadiri program sehari bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sempat memberi 'khidmat tambahan' dengan membantu mangsa kemalangan di Jalan Manir-Telemong di Kampung Teluk Menara di sini.
Pegawai Penyelaras DUN Manir, Yusof Awang Hitam berkata, kemalangan yang berlaku pada kira-kira jam 3 petang itu, Ahmad bersama rombongan termasuk Pegawai Daerah dalam perjalanan ke Kampung Pulau Bahagia, Manir dalam program berkenaan.
"Ketika dalam perjalanan ke Pulau Bahagia, kenderaan yang dinaiki Ahmad terhalang oleh kemalangan yang babitkan dua kereta Proton Persona yang bertembung.

"Beberapa mangsa yang cedera berada di dalam kedua-dua kenderaan yang remuk itu diangkat oleh Ahmad. Menteri Besar juga turut mengawal lalu lintas kenderaan yang lalu di situ," katanya di sini hari ini.

Yusof berkata, Ahmad mengarahkan mangsa yang mengalami kecederaan supaya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan kenderaan yang dinaikinya.

Sementara itu, pemandu sebuah kereta yang terbabit, Ismail Sulong, 55, dari Kampung Bukit Mak Kemas, Bukit Payung berkata, dia bersama isteri, anak dan cucu saudara dalam perjalanan menghantar anak perempuannya ke Kampung Sungai Ular, Nasi Dingin, Hulu Terengganu untuk majlis sambut menantu.

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa apabila melihat kereta yang dipandu laju masuk ke laluan," katanya yang mengalami kecederaan pada bahagian dada.

Beliau berkata, isterinya Mariam Ismail, 49, anak serta cucu saudaranya juga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, kini menerima rawatan di HSNZ.

"Saya tidak sangka dalam kesibukan itu, Menteri Besasr sempat membantu kami yang dalam kesusahan. Apatah lagi mengarahkan pegawainya menghantar keluarga saya ke hospital dengan menggunakan kenderaannya," katanya.-Bernama

Murid OKU ditemui rentung dalam kebakaran di Teluk Bahang

PULAU PINANG: Seorang murid orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Teluk Bahang di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, Chai Seng A/L Cham Nuai, 11, dipercayai tinggal seorang diri dalam rumah itu kerana ayahnya bekerja, manakala anggota keluarga yang lain turut keluar.
Ketua Operasi menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang A Monaharan berkata, Bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 11.45 pagi.

"Duah jentera dengan 20 anggota tiba di tempat kejadian dua minit kemudian tetapi kami gagal menyelamatkan mangsa kerana api telah marak ke seluruh bahagian rumah," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba mengambil masa selama satu jam untuk memadam api kerana mengalami kesukaran bekalan air sehingga terpaksa terpaksa mengambil air dari pili sejauh kira-kira 800 meter.

Monaharan berkata, selepas berjaya memadamkan api dan membuat pemeriksaan, anggota pasukannya menemui satu mayat dalam keadaan terlentang di bahagian dapur rumah itu.

Katanya, bomba masih menyiasat punca kebakaran.

Sementara itu, kakak mangsa, Jen Chit, 13, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia tiada dalam rumah kerana pergi ke tandas yang terletak di luar rumah.

"Bila saya keluar dari tandas, saya ternampak asap, pada mulanya saya menyangka ada orang bakar sampah, tetapi apabila saya sampai di rumah, saya lihat api sedang keluar dari rumah saya," katanya.

Katanya, dia sempat masuk ke rumah untuk menyelamatkan adiknya dengan menarik tangan tetapi beliau terpaksa melepaskan tangan adiknya itu kerana tidak tahan panas bahang api.

"Adik saya kemudian lari masuk ke dalam bilik kerana mungkin berasa takut dan saya terus keluar dari rumah," katanya.

Pencari siput temui mayat dalam kereta

PORT DICKSON: Seorang pencari siput terpaksa melupakan hasratnya untuk mencari rezeki apabila terjumpa satu mayat manusia yang sudah rentung dalam sebuah rangka kereta Honda Accord di kawasan tapak projek perumahan Kampung Kebun Jimah pada jam 9.30 pagi tadi.
Abdul Taib Hassan yang berusia dalam 40-an memberitahu pemberita, dia sedang dalam perjalanan untuk mencari siput di sebatang sungai berhampiran apabila melihat sebuah kereta jenis Honda Accord yang sudah terbakar.
"Saya pergi untuk memeriksa kereta itu apabila terlihat rangka manusia di tempat duduk pemandu," katanya.

Beliau kemudian pergi ke balai polis bersama seorang rakannya untuk membuat laporan.

Manurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, kereta itu terbakar lebih dari 24 jam.

Katanya, polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah pada rangka dan kereta itu.

"Identiti mayat juga tidak diketahui kerana sudah rentung dan tinggal rangka dan ini menyukarkan kita untuk mengesan identiti mayat itu. Kita juga tidak mengesan sebarang senjata," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Mayat itu dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibuat ujian DNA bagi mengesan identitinya, katanya lagi.

Isnin lalu, polis menemui mayat rentung dalam sebuah kereta Proton Waja yang terbakar di Taman Seremban Selatan, Baljeet bagaimanapun menolak kemungkinan jika kedua-dua kes mempunyai kaitan.-Bernama

Dua sindiket judi bola tumpas




IPOH – Sindiket judi bola sepak yang aktif menjalankan perjudian bola sepak Piala Dunia tumpas dalam satu serbuan, Ops Soga di empat kediaman di sekitar Ipoh, di sini, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, empat lelaki berumur antara 25 dan 31 tahun yang sedang leka berjudi secara online membabitkan pertaruhan RM1.2 juta sejak kejohanan itu bermula ditahan. 

“Kami percaya mereka bergiat beberapa bulan lalu ketika liga bola sepak antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris dan ada antaranya terbabit dalam judi nombor ekor haram. 

“Beberapa peralatan bernilai hampir RM30,000 antaranya komputer, mesin faksimili, komputer riba dan beberapa kertas catatan pertaruhan dirampas bersama suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, semalam. 

Azisman berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 20 Jun ini untuk soal siasat dan ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953. 

“Empat kawasan yang diserbu membabitkan kawasan Taman Rasi Jaya, Menglembu; Kawasan Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan; Medan Sektow, Tambun dan Meru Valley Golf Resort, Jelapang. 

“Serbuan bermula tengah malam hingga awal pagi dan biasanya menjelang perlawanan kerana ketika itu mereka tengah rancak dan leka menerima taruhan melalui on-line ini,” katanya. 

Katanya, Polis Diraja Malaysia menubuhkan pasukan khas bagi memantau dan bertindak kegiatan judi haram melalui on-line sepanjang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010. 

Sementara itu di KUALA LUMPUR, dua beradik yang bekerja sebagai arkitek ditahan malam semalam ketika leka berjudi bola sepak Piala Dunia secara online dipercayai membabitkan nilai pertaruhan RM5 juta. 

Mereka berumur 33 dan 35 tahun ditahan kira-kira jam 11 malam di rumah di Jalan Grik, Taman Rainbow, di sini selepas risikan terperinci dilakukan. 

Pegawai Operasi Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Goh Chee Kiat berkata, rumah teres tiga tingkat itu dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dan alat pengesan laser. 

Katanya, polis terpaksa memanjat pagar lalu memecahkan gril rumah itu tanpa disedari penghuninya. 

“Terdapat kamera litar tertutup dan alat pengesan laser dipasang di kawasan rumah itu namun dua beradik itu gagal menghidu kehadiran kami,” katanya.

Leka tengok bola, tak sedar rumah diceroboh



SHAH ALAM – Gara-gara leka menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010, seorang pensyarah, adik lelaki dan bapanya langsung tidak menyedari kehadiran empat penjenayah yang menceroboh masuk rumah mereka, dalam kejadian di Jalan Kasturi 2B, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, empat penjenayah yang bersenjatakan parang dan tiga daripadanya dikatakan menutup muka dengan sapu tangan, terus menyerbu ke arah tiga mangsa terbabit sebelum mengikat tangan mereka. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, tiga mangsa terkejut bagaimanapun tidak sempat berbuat apa-apa dan terpaksa mengikut arahan penjenayah terbabit. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat , diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis atau terus hubungi 03-60641222 bagi membantu siasatan.

Bapa buat laporan polis dakwa anak diseksa mental fizikal



KUALA LUMPUR – Bapa kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N Tharmendran yang didakwa mencuri dua enjin pesawat tempur pesawat F5 jenis J85-21 di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi pada 30 April dua tahun lalu, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield, di sini, semalam. 

Bapa Tharmendran, N Nagarajah, 71, hadir ditemani peguamnya, N Surendran serta Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne kira-kira jam 11.20 pagi sebelum keluar kira-kira 25 minit kemudian. 

Dalam laporan itu, Nagarajah mendakwa anaknya diseksa secara mental dan fizikal oleh dua pegawai TUDM berpangkat Mejar ketika siasatan terhadap anaknya dijalankan pada Julai tahun lalu di Kem Sungai Besi. 

Menurutnya, dua pegawai itu didakwa melayan anaknya dengan kejam selain memaksanya mengaku mencuri bukan saja dua enjin pesawat terbabit tetapi turut bertanggungjawab kehilangan pelbagai alat ganti pesawat TUDM. 

“Ketika siasatan, seorang pegawai mengarahkan anak saya (Tharmendran) menanggalkan seluar dalam manakala penyaman udara dipasang secara kuat. 

“Pegawai itu mengugut akan memukul anak saya dengan kayu golf sekiranya dia enggan mengaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Dalam laporan sama, Nagarajah mendakwa seorang lagi pegawai memaksa anaknya untuk memakai topi keledar yang sudah kemek sebelum memukulnya dengan kayu golf beberapa kali termasuk menulis nama semua individu yang pernah diseksanya. 

Selain itu, dia juga mendakwa dua pegawai itu tidak membenarkan anaknya tidur dan mengajukan soalan sama berulang kali sehingga lewat malam untuk memaksanya mengaku mencuri enjin itu. 

“Perkara itu (seksaan secara mental dan fizikal) berlanjutan sejak 2 Julai sehingga 17 Julai tahun lalu. Saya yakin anak saya tidak bersalah dan mahu perkara itu disiasat dengan adil termasuk tindakan yang tegas diambil terhadap dua pegawai itu serta individu lain yang terbabit,” katanya. 

Menurutnya, siasatan perlu dilakukan bagi memastikan punca mereka memaksa Tharmendran untuk mengaku perkara yang tidak dilakukan dan siapa yang memberi arahan untuk memperlakukan anak saya seperti itu.

Banjir ragut 100 nyawa




YANGON - Banjir kilat dan tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di wilayah sempadan Myanmar dan Bangladesh mengorbankan sekurang-kurangnya 100 penduduk manakala puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal. 

Sekurang-kurangnya 46 orang disahkan terbunuh di Rakhine, Myanmar manakala 55 menjadi korban di Bangladesh akibat hujan lebat melebihi 33 sentimeter, iaitu rekod tertinggi di kawasan berkenaan. 

Lebih daripada 12,000 penduduk yang hilang tempat tinggal akibat banjir kilat dan tanah runtuh terpaksa ditempatkan di khemah sementara. 

Unit bantuan juga pergi ke kawasan paling teruk dilanda banjir di Teknaf yang menempatkan ratusan ribu penduduk etnik Rohingya iaitu pelarian dari Myanmar. 

Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah runtuh yang menghanyutkan pondok-pondok di lereng bukit di Myanmar manakala paras banjir dicatatkan melebihi 60 sentimeter. 

Jumlah sebenar penduduk terkorban dijangka meningkat apabila usaha-usaha mencari diteruskan.

Lima lelaki dan dua wanita didakwa edar dadah



MELAKA - Lima lelaki dan dua wanita termasuk tiga rakyat asing, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan mengedar dadah.

Mereka ialah peniaga Goh Eng Tee, 35, dari Muar Johor, peniaga Sow Teik Lee, 34, dari Batu Maung Pulau Pinang; kontraktor Emery Shazmal Abd Malek, 34, dari Keramat Kuala Lumpur; suri rumah, Teo Bee Keng, 34, dari Ujong Pasir di sini; pembantu rumah, Tursini Turida, 20, dari Jawa Barat; peniaga Lin Xiven, 27, dan peniaga Ye Yu Feng, 26, dari Guandong, China.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa bersama-sama mengedar 11,704 gram pil ecstacy di sebuah rumah di Taman Semabok Permai di sini, pada pukul 1.30 pagi 4 Jun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka dituduh bersama-sama mengedar 350.5 gram syabu di tempat dan masa sama manakala pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama mengedar 1,754.97 gram ketamin di tempat dan masa sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati
mandatori, jika sabit kesalahan. 

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dan mereka tidak dibenarkan ikat jamin. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salwa Mhd Asrar.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia.

Pemandu lori beras terbunuh, kelindan cedera parah dalam kemalangan



IPOH - Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera parah selepas tertimpa timbunan beras dalam kemalangan di KM 265.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Jelapang, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pemandu lori yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu ialah Mohd Azam Mohd Nor, 34, dari Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, Mohd Azam yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika di hubungi hari ini.

Sementara itu, Mohd Ridzuan Che Hasan, 18, juga berasal dari Kelantan, kini dirawat di hospital sama.

Azisman berkata, kejadian berlaku ketika lori itu hilang kawalan dan terbalik ketika menuruni bukit kira-kira 2 kilometer dari tol Jelapang.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa daripada timbunan beras.

Mesin judi kena lanyak




PASIR GUDANG - Seramai 44 orang penjaga premis dan 22 pemain mesin perjudian ditangkap sepanjang tempoh Januari hingga 14 Jun lalu, di daerah ini. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil 582 serbuan yang dilakukan di premis disyaki menjalankan kegiatan perjudian mesin slot. 

Beliau berkata, dalam serbuan itu sebanyak 689 set komputer mesin perjudian dirampas dianggarkan bernilai RM1.2 juta. 

”Sebanyak 44 kes telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 18 kes berjaya diselesaikan. Daripada 18 kes itu, sejumlah 361 set komputer bernilai RM470,000 yang berada dalam simpanan polis sudah dimusnahkan. 

”Sebanyak 34 premis perjudian juga telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A (1) akta sama manakala baki 13 premis lagi akan dikenakan tindakan yang sama,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Pasir Gudang, di sini, kelmarin. 

Roslan berkata, polis akan menggiatkan usaha membanteras kegiatan judi mesin slot dan akan mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan itu. 

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan segera sekiranya mengetahui tentang kegiatan seperti itu di kawasan kediaman mereka agar tindakan segera dapat diambil.

Nyaris maut dihempap jentera



SIMPANG PULAI – Pantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang pemandu van yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Batu Gajah dekat sini, sebelum kenderaan dipandunya itu dihempap sebuah jentera berat di Kampung Meranti Lapan, malam kelmarin. 

Seorang penduduk, Hishamudin Noralain, 24, berkata, ketika kejadian itu, dia baru hendak masuk ke bilik untuk tidur sebelum terkejut dengan bunyi geselan serta hentaman kuat di luar laman. 

“Ketika itu keluarga saya yang menonton televisyen juga turut terkejut apabila terdengar dentuman kuat seperti bunyi bom. 

“Sejurus itu, kami sekeluarga bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin. 

Hishamudin berkata, dia terkejutnya apabila melihat sebuah jentera berat yang dibawa sebuah treler menghempap van. 

“Kenderaan berat itu turut melanggar tiang lampu berhampiran rumah menyebabkan menimpa sebuah kontena milik jiran yang terletak di situ,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku disebabkan kedua-dua pemandu treler dan van selamat. 

“Kejadian ini yang pertama berlaku, namun beberapa insiden buruk pernah terjadi di kawasan yang sama, antaranya kemalangan membabitkan lori dan kenderaan lain menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis berkata, treler yang membawa jentera berat itu dipercayai dalam perjalanan dari sebuah kilang di Pusing ke Simpang Pulai. 

Beliau berkata, identiti pemandu van berkenaan tidak dapat dikenal pasti memandangkan dia belum tampil membuat laporan polis selepas kejadian itu. 

“Difahamkan jentera berat itu dalam perjalanan ke Singapura sebelum dihantar ke Dubai,” katanya. 

Katanya, jalan melalui Simpang Pulai ke Batu Gajah itu terpaksa ditutup kerana jentera berat berkenaan menghalang lalu lintas. 

“Akibat kemalangan itu, kerja memindah jentera terpaksa ditangguhkan kerana menunggu syarikat pemilik mengangkatnya menggunakan beberapa kren,” katanya.

Lemas dalam lumpur




SUNGAI NIBONG - Dua maut manakala dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan mebabitkan sebuah Naza Ria, di kilometer 59 Jalan Persekutuan Teluk Intan–Klang, dekat Sungai Nibong sini, kira-kira jam 7.50 pagi, semalam. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, Naza Ria yang dipandu Muhammad Shafiq Hafiz Razali, 21, dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan terjunam dalam parit. 

“Mangsa, Muhammad Syafiq Hafiz dari Taman Jelok Indah dan Khairunnisa Zulfakar, 18, dari Batu 15, Jalan Semenyih, Kajang, maut di tempat kejadian dipercayai lemas. Manakala dua rakan mangsa, Riri Pazrin Abd Aziz, 20 dan Nur Azira Mohd Hamidi, 20, cedera ringan dan berjaya diselamatkan orang awam. 

“Jenazah kedua-duanya dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya. 

Berdasarkan keterangan awal saksi kejadian, mereka mendakwa kenderaan terbabit bergerak ke kiri dan kanan jalan sebelum kemalangan maut itu berlaku. 

Difahamkan, Muhammad Syafiq, Khairunnisa dan Riri Pazrin bekerja di Metro Point Kajang. 

Sementara itu, Riri Pazrin berkata, mereka berempat dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Nilai bagi menghantar Nurazira ke Politeknik Sultan Idris Shah untuk menyerahkan laporan latihan industrinya. 

Katanya, rancangan untuk menghantar Nurazira sudah dilakukan sejak seminggu yang lalu dan sebagai rakan, Muhammad Syafiq serta Khairunnisa mahu turut serta menghantar Nurazira.

Peniaga ayam jual dadah


NIBONG BAWAH – Tindakan licik tauke dadah kecil-kecilan berselindung di sebalik perniagaan menjual ayam akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menemui sejumlah dadah dalam serbuan di rumahnya, di sini. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek yang difahamkan menjalankan perniagaan menjual ayam di Jalan Nibong itu dipercayai turut menjadikan lokasi perniagaannya sebagai transit jualan dadah untuk diedarkan kepada penagih tempatan. 

Bagaimanapun, rahsia tauke ayam berusia 20-an itu terbongkar setelah polis menemui sejumlah dadah dalam serbuan di rumahnya kira-kira jam 3.30 petang. 

Dahlan berkata, aktiviti terbabit berjaya dikesan lalu satu operasi khas untuk mengekang gejala berkenaan dilakukan pihaknya. 

“Bertindak atas risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid menyerbu rumah suspek di Nibong Bawah. 

“Selepas serbuan dilakukan dan hasil pemeriksaan lanjut, kami berjaya menemui lapan biji pil kemerahan disyaki dadah jenis metham-phetamine yang diletakkan dalam beg pinggangnya,” katanya. 

Menurutnya, suspek dipercayai menjadi dalang utama sindiket pengedaran pil kuda secara kecil-kecilan di kawasan berhampiran. 

“Ketika serbuan, beberapa ahli keluarganya yang lain pada awalnya cuba menafikan pembabitan suspek dalam penyalahgunaan dadah, namun setelah sejumlah dadah ditemui dalam beg pinggangnya, ia menguatkan lagi bukti bahawa peniaga ayam itu terbabit dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Kanak-kanak maut dilanggar



TUMPAT- Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dilanggar kereta gara-gara mengekori abangnya melintas ke seberang jalan untuk menunggu bas di kilometer 17 jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat kampung Bunohan, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Nurul Shazmira Mohd Nazari dipimpin oleh ibunya, Che Siti Mohd Yasin, 40, untuk melintas jalan tersebut di kawasan selekoh sambil memimpin seorang lagi anaknya, Nurul Atikah berusia dua tahun. 

Bagaimana pun ketika berdiri di bahu jalan untuk melintas, selipar Nurul Atikah tercabut lalu Che Siti melepaskan tangan mangsa dan tunduk membetulkan selipar anak bongsunya itu tanpa menyedari mangsa turut melintas jalan mengekori abangnya, Mohd Amin.

Che Siti berkata, Mohd Amin selamat melintas ke seberang jalan ke tempat menunggu bas tersebut tetapi arwah yang mengekori abangnya sempat berada di garisan tengah lalu datang sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari kampung Telaga Bata menghala ke Pengkalan Kubor melanggarnya. 

“Akibat dilanggar kereta tersebut, dia mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa dengan kereta kancil tersebut ke klinik Bunohan dan disahkan meninggal dunia di klinik tersebut,” katanya. 

Menurutnya, dia bersama tiga anaknya menyeberangi jalan tersebut untuk pulang ke rumahnya di kampung Kubang Batang dengan menaiki bas. 

“Sudah tiga hari saya bersama anak-anak berada di Kampung Bunohan ini kerana pulang melawat ayah saya yang kurang sihat. 

“Suami dan empat anak lagi anak saya tidak ikut pulang ke sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya ayahnya, Mohd Yasin Mat Kil, 70. 

Suaminya, Mohd Nazari Ahmad, 46, dimaklumkan kejadian tersebut oleh anak sulungnya, Mohd Nor Saifuddin, 21 dan terus meninggalkan kerjanya membuat tiang di kampung Kubang Panjang, Chabang Empat untuk ke tempat kejadian. 

Mohd Nazari berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda yang pelik sebelum menemui ajal, walau pun dia anak perempuan tetapi dia seorang lasak. 

“Arwah seorang anak yang rajin kerana selalu menolong ibunya menjaga adik bongsu serta tidak membantah sekiranya disuruh,” katanya. 

Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Bunohan kira-kira jam 11 pagi semalam selepas mayat mangsa dituntut keluarganya yang dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

KPDNKK Kelantan rampas kasut tiruan berjenama bernilai lebih RM24,000

KOTA BAHARU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas 827 pasang kasut dan selipar tiruan berjenama bernilai lebih RM24,000 daripada sebuah stor di Kampung Kubang Siput di sini, malam tadi.
Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, pihaknya berjaya mengesan stor berkenaan selepas melakukan intipan hasil maklumat orang pada kira-kira 7 malam.
"Pemilik stor berumur 30-an turut disiasat berhubung kegiatan menjual barangan tiruan itu (yang) berjenama Crocs, Nike dan Adidas.

"Kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM24,430 dan disita mengikut Akta Perihal Dagangan 1972," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, mengikut akta itu, mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Rosli berkata, pihaknya percaya barangan yang diseludup dari Pantai Barat itu akan dipasarkan ke seluruh negeri berkenaan terutama di pasar malam sekitar bandar ini.

Katanya, KPDNKK juga akan memperhebat gerakan mengesan aktiviti penjualan barangan berjenama palsu di pasar malam dan pasar sehari bagi mengelak pengguna daripada tertipu dengan helah peniaga yang tidak bertanggungjawab.-Bernama

Polis cari saksi bantu selesai kes rompakan bersenjata di Bukit Mertajam

PULAU PINANG: Polis sedang mencari saksi kejadian rompakan bersenjata di Jalan Bukit Maju 2, Bukit Mertajam pada 13 Jun yang mengakibatkan tangan seorang ejen insurans ditetak sehingga putus.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjatakan parang memotong tangan seorang ejen insurans berusia 35 tahun yang memegang sampul surat mengandungi RM5,500 dalam satu kejadian rompakan ngeri di Bukit Mertajam.
Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan ke arah keretanya selepas makan lewat malam di sebuah kedai kopi berhampiran apabila dia diserang hendap oleh sekurang-kurangnya tiga lelaki pada 11.30 malam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, setakat ini, polis hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan mangsa kerana tiada saksi lain.

"Mangsa tidak mampu mengingat apa-apa kerana berada dalam kesakitan selepas diserang dan kami merayu orang ramai tampil memberikan maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu menyelesaikan kes," katanya di sini, hari ini.

Beliau yakin ada yang menyaksikan kejadian itu kerana tempatnya terletak hanya beberapa meter dari sebuah kedai kopi.

"Kami melancarkan beberapa sekatan jalan raya di kawasan sekitar bagi memperoleh bukti berhubung kejadian itu," katanya.

Azman juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu supaya segera menghubungi polis di talian 04-5306402.-Bernama

Lima lelaki dituduh culik kanak-kanak

MELAKA: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh menahan secara salah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bulan lalu bagi mendapatkan wang tebusan RM120,000 daripada bapa mangsa.
Mohd Shahir Axma Abdul Rahim, 27; Mohd Khairul Faizi Mohd Yassin, 27; Mohd Fazali Abdul Kudus, 22; Shamsul Amin Razali, 27; dan Noriman Ahmad, 20; didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Nirwana, Batang Tiga di sini, pada 3.30 petang 31 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi Pendakwa Raya memohon agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mohd Shahir Axma dari Tanjung Minyak di sini, Mohd Fazali dari Simpang Pertang, Negeri Sembilan dan Shamsul Amin dari Simpang Durian, Durian Tipus Negeri Sembilan, diwakili peguam Zamri Idrus, manakala Noriman dari Bertam Ulu di sini diwakili peguam Sekar Palaniandy sementara Mohd Khairul, seorang anggota tentera dari Taman Merdeka di sini, tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dijalankan Salwa Mhd Asrar. Sebelum ini akhbar melaporkan, mengenai kanak-kanak yang dibebaskan dengan selamat di Batang Tiga, selepas bapanya memberi wang tebusan RM120,000 kepada kumpulan lelaki yang menculik anaknya.-Bernama

'Kenapa dia diam'

PEKAN: “Ketika hendak mengeluarkan wanita yang tersepit di tempat duduk penumpang depan, dia berkali-kali bertanya keadaan pemandu di sebelahnya yang kelihatan tak bergerak lagi,” kata Ketua Operasi Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Jasmiat Gusdi.
Bagaimanapun, katanya, anggota pasukan penyelamat itu hanya mampu mendiamkan diri kerana tidak sampai hati memberitahu wanita berkenaan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria yang dipercayai suaminya sudah meninggal dunia ketika itu.

Wanita berkenaan bertanya demikian ketika usaha mengeluarkannya dari kenderaan yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan meragut nyawa lima sekeluarga di Kilometer 87 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai di sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu membabitkan MPV berkenaan dengan sebuah treler tanpa muatan.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai guru penolong kanan sebuah sekolah di Muar, Johor, yang juga pemandu Naza Ria terbabit, Roland Wee Seng Hock, 56, bersama dua anaknya, Josh Wee, 23, dan Jelyn Wee, 16, serta ibu mentua, Lim Kim Boon, 79. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mangsa, Jasinth Wee, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Muadzam Shah, Rompin.

3 beradik hamba seks

 3 beradik hamba seks

KOTA KINABALU: Tiga beradik bawah umur warga Filipina yang terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan daripada terus menjadi hamba kepada ibu dan bapa ayam yang mendalangi aktiviti pelacuran di negeri ini.


Mangsa yang berusia 13, 15 dan 16 tahun diselamatkan hasil beberapa serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke atas premis pelacuran di Tawau, kelmarin.

Episod malang tiga beradik terbabit bermula apabila kedatangan mereka ke Malaysia untuk mencari rezeki halal tidak kesampaian selepas terjerat dalam perangkap ibu ayam sebelum dipaksa menjadi pelacur sepenuh masa.

Helah ibu ayam yang licik dengan menjadikan rumah kedai untuk menyembunyikan kegiatan pelacuran terbongkar hasil maklumat awam dan intipan dijalankan polis sejak beberapa bulan lalu.

Malah, lebih mengejutkan apabila dalam tiga serbuan itu, polis turut menyelamat 23 lagi gadis warga Filipina yang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Serbuan diketuai Pegawai Turus Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Sabah, Deputi Superintendan Taufik Mydin selepas melakukan beberapa intipan membabitkan tiga lokasi berbeza, dipercayai menjadi markas pusat perasi. Taufik berkata, serbuan pertama pada kira-kira jam 6 petang kelmarin di sebuah rumah kedai di Tawau itu, polis berjaya menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang berasal dari Filipina.

“Gadis berusia 13 tahun ini dipercayai dibawa masuk dari Filipina ke daerah ini sejak dua bulan lalu selepas diperdaya sindiket pelacuran.

“Sebaik diselamatkan dan menahan seorang lelaki dipercayai bapa ayam, polis mengesan dua lagi gadis bawah umur, difahamkan kakak kepada mangsa,” katanya.
Katanya, dua mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun itu berjaya dikesan dan diselamatkan di dua premis berasingan di sekitar bandar itu.

“Hasil maklumat daripada dua mangsa terbabit turut membawa kepada penemuan 23 lagi wanita rakyat Filipina yang dikurung dan dipaksa menjadi pekerja seks di sebuah premis berasingan.

“Seramai lapan ahli sindiket terbabit termasuk empat wanita ditahan reman sehingga 22 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Taufik meminta orang ramai yang mengetahui kegiatan berkenaan supaya segera melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Semua gadis yang diselamatkan itu kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia 2007.

Katanya, semua wanita yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen dan ada di kalangan mereka dipercayai dikurung serta dipaksa menjadi hamba seks sejak setahun lalu.

“Kami mendapati mereka dikawal rapi anggota sindiket yang juga dipercayai bapa dan ibu ayam. Modus operandi mereka lazimnya menerima tempahan menerusi telefon sebelum gadis terbabit dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Pelajar cedera disimbah asid

TABUK: Seorang pelajar perempuan Universiti Tabuk terpaksa dikejarkan ke hospital selepas cedera disimbah asid oleh seorang pelajar wanita lain.
Menurut sumber Hospital Raja Khaled di Tabuk, pelajar terbabit mengalami kecederaan melecur tahap dua.
Sementara itu, jurucakap Universiti Tabuk, Dr Naif Al-Jihani memberitahu kes itu kini disiasat polis. Mangsa dipercayai diserang penyerangnya yang menutup muka ketika keluar dewan peperiksaan. Katanya, kes itu terjadi mungkin disebabkan perbalahan pendapat antara kedua-dua pelajar berkenaan.

Seorang saksi memberitahu dia terdengar jeritan minta tolong sebaik keluar dari dewan peperiksaan di Fakulti Sains. Sebaik meluru ke arah suara itu dia ternampak seorang pelajar meraung kesakitan dengan badan serta pakaiannya terbakar.

Pengawal yang bertugas segera menutup pagar untuk mengelak penyerang mangsa meloloskan diri, namun gagal menangkapnya. - Agensi

Bayi mati diracun

AL-AHSA: Jenazah bayi empat bulan, Mshari Ahmad Al-Bawshal yang mati akibat meminum susu yang diracun pembantu rumah selamat dikebumikan penduduk Al-Ahsa, semalam.
Mshari dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Al-Ahsa selama empat bulan tetapi keadaannya semakin buruk apabila dia koma. Dia meninggal dunia semalam selepas buah pinggang, paru-paru dan hatinya gagal berfungsi akibat kandungan racun berkenaan. Bapa bayi terbabit, Ahmad Bawshal berterima kasih kepada Tengku Mahkota Arab Saudi kerana membiayai perbelanjaan rawatan Mshari di Hospital Pakar Raja Fahd di Riyadh selepas dipindahkan dari Hospital Al-Ahsa akibat kesukaran bernafas. Hasil pemeriksaan dilakukan pihak hospital mendapati Mshari terminum racun. Bapanya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Al-Mubarraz yang seterusnya membuat siasatan lanjut kes itu. Ketika disoal siasat, pembantu rumah berkenaan mengakui dia memasukkan bahan beracun ke dalam susu bayi malang itu kerana enggan berhenti menangis. - Agensi

8 korban tanah runtuh

AMBON: Lapan orang, tujuh daripadanya anggota satu keluarga, terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat, semalam.
Jurucakap paramedik, Ita Sabrina berkata, mayat mangsa ditemui di bawah timbunan lumpur dan batu di Kampung Batugantung Dalam.
Kejadian berlaku pada tengah malam ketika sebahagian besar penduduk tidur.

Satu keluarga dengan lima anak terbunuh apabila rumah mereka juga runtuh.

Kematian besar akibat tanah runtuh dan banjir adalah perkara biasa sepanjang musim monsun di Indonesia. - Agensi

Pemisah Thai diseksa

YALA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia semalam menggesa pihak berkuasa Thailand menyiasat kematian seorang suspek militan yang mati ketika dalam tahanan tentera di selatan negara itu baru-baru ini.
Human Rights Watch (HRW) berkata, Sulaiman Naesa yang ditemui tergantung di Kem Tentera Ingkhayuth 30 Mei lalu mati atas sebab-sebab yang mencurigakan. Keluarganya mendakwa beberapa tanda penyeksaan jelas kelihatan pada mayat mangsa.
Sulaiman dituduh terbabit dalam 14 serangan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan, kebanyakannya di daerah Sa Buri, wilayah Pattani, kata pihak berkuasa tentera kepada HRW.

Dia ditahan pada 22 Mei lalu dan ditahan di bawah kuasa darurat yang digunakan untuk memerangi gerakan menuntut kemerdekaan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam sejak enam tahun lalu.

“Tentera Thai berdepan dengan tentangan sengit daripada pejuang pemisah di selatan Thai. Tetapi itu bukan alasan untuk mereka melayan suspek yang dalam tahanan dengan kejam,” kata jurucakap HRW, Elaine Pearson.

“Kematian Sulaiman meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tentera sekali lagi menggunakan taktik penyeksaan dan cara yang diharamkan terhadap tahanan.” Menurut Pearson, langkah mendakwa anggota tentera berhubung penyalahgunaan kuasa terhadap tahanan boleh membantu mengurangkan ketegangan.

Sebahagian pemisah menggunakan alasan keganasan tentera untuk mewajarkan serangan mereka.

Lebih 4,100 orang, baik Islam dan juga Buddha, mati sepanjang gerakan antikerajaan di selatan negara itu sejak 2004, Ia membabitkan kumpulan militan dan pemisah yang identiti mereka tidak berapa jelas.

Kumpulan berkenaan juga tidak pernah menyatakan secara terbuka matlamat mereka.

Dalam pada itu, polis semalam berkata, lima orang lagi terbunuh dalam keganasan ketika kekacauan terus meningkat. - AFP

Pusat urut batin ‘amah’

PETALING JAYA: Taktik tidak memasang papan tanda perniagaan gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas premis yang dipercayai menjalankan kegiatan urutan batin atau ‘body to body’ di Damansara Utama, Sunway Damansara dan kawasan sekitarnya, diserbu malam kelmarin.
Serbuan dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor bermula kira-kira jam 10 malam itu menahan 20 wanita warga Vietnam, China dan Indonesia yang didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan kegiatan tidak bermoral, malah ada juga yang menyalahgunakan permit kerja diberikan.
Timbalan Penolong Pengarah Penguat Kuasanya, Johari Supardi berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam dan risikan pihaknya.

“Dalam serbuan pertama, empat wanita yang cuba meloloskan diri melalui pintu rahsia apabila mengetahui kehadiran kami, tetapi berjaya ditahan,” katanya.

Katanya, selepas itu, operasi diteruskan ke beberapa premis refleksologi dan spa di sekitar kawasan sama dan berjaya menahan kira-kira 16 lagi wanita warga asing dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

“Ada antara yang ditahan didapati mempunyai permit kerja sebagai pembantu rumah, bagaimanapun mereka ditahan di premis pusat refleksologi berkenaan dan jelas melanggar permit kerja yang dibenarkan,” katanya.

Semua yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat bagi proses dokumentasi sebelum didakwa.

Lindungi drebar haram

KUALA LUMPUR: Kehadiran pemandu bas dan teksi warga asing yang berleluasa sekitar ibu negara dikhuatiri bertambah parah disebabkan ‘perlindungan’ oleh rakyat tempatan yang bukan saja menjadi tonto, malah turut bersekongkol setiap kali pihak berkuasa menjalankan operasi.



LICIK...deretan bas yang diletakkan  di bahu jalan akan bergerak ke lokasi lain sebelum penguat kuasa tiba.
LICIK...deretan bas yang diletakkan di bahu jalan akan bergerak ke lokasi lain sebelum penguat kuasa tiba.


Ketua Inspektor Unit Trafik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shaiful Anwar Shaharom berkata, setiap kali pihak penguat kuasa menjalankan pemeriksaan, maklumat kehadiran mereka akan tersebar dengan pantas di kalangan pemandu bas dan teksi.
Malah, katanya, pemandu tempatan bertukar tempat duduk dengan warga asing bagi mengaburi pihak penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke atas permit bas dan lesen memandu.

“Mereka berhubung antara satu dengan lain dan berkongsi maklumat secara meluas di kalangan pemandu bagi mengelakkan dicekup.

“Kita dapati ketika operasi, terdapat pembabitan warga tempatan termasuk wanita yang menjadi pembekal maklumat lokasi penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketika Operasi Halang DBKL Siri ke-11, baru-baru ini, terdapat bas tanpa pemandu yang diletakkan di bahu jalan apabila pegawai penguat kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) membuat pemeriksaan.

Ia dipercayai dipandu warga asing yang melarikan diri kerana takut ditahan pihak berkuasa.

Warga asing yang melarikan diri itu difahamkan cuba mencari rakan warga tempatan untuk mengaku sebagai pemandu bas bagi mengelak permit bas ditahan penguat kuasa LPKP.

Sementara itu, pemandu teksi, Hamdan Rahmat, 54, mendakwa kehadiran pemandu warga asing memberi imej negatif kepada pemandu tempatan.

“Kejadian samun dan rogol membabitkan pemandu teksi kebanyakannya dilakukan oleh golongan itu. Secara tidak langsung, imej pemandu tempatan turut tercalar,” katanya yang sudah 10 tahun menjadi pemandu teksi.

Beliau mendakwa individu tidak bertanggungjawab yang memiliki permit dan lesen sah menyewakan teksi mereka kepada warga asing dengan bayaran dua kali ganda daripada harga sewa asal.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah, mendakwa kebanyakan pemandu haram ini hanya keluar pada sebelah malam atau lewat petang.

“Mereka beroperasi di pinggir bandar bagi mengelak dicekup pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Masalah ini berpunca sikap pemilik permit teksi yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan lebih,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penguat kuasa JPJ perlu meningkatkan rondaan di kawasan pinggiran bandar seperti Sungai Buloh, Sungai Besi dan Gombak yang didakwanya menjadi lubuk pemandu teksi warga asing.


“Walaupun masalah ini belum mencapai tahap serius, saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera sebelum lambakan pemandu warga asing menjadi semakin parah” katanya.

2 kasino mini diserbu

PETALING JAYA: Taktik dua ‘kasino mini’ yang dipercayai baru beroperasi dua bulan lalu berselindung di sebalik perkhidmatan kafe siber berjaya dihidu pihak berkuasa.
Malah ketika diserbu kira-kira jam 3 petang semalam, kedua-dua penjaga premis yang terletak berhampiran antara satu sama lain di Damansara Perdana, dekat sini tidak menyedari kawasan sekitar premis mereka sudah dikepung polis.
Kegiatan mereka berjaya dikesan berdasarkan risikan dan maklumat awam sebelum sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman bertindak menyerbu premis itu.

Operasi yang diketuai Superintendan Maszely Minhad, turut dibantu dua pegawai dan enam anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, hasil serbuan di dua premis berkenaan, polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai penjaga premis berkenaan termasuk dua warga Indonesia.

“Semua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,326 dan 35 unit komputer yang dipercayai terbabit dalam perjudian maya itu.

Maszely berkata, premis itu hanya menjalankan urusniaga perjudian bagi pelanggan tetap saja.

“Pada bahagian hadapan premis berkenaan menawarkan perkhidmatan internet yang sahih namun pada bahagian belakangnya terdapat pembahagi ruang bagi kegiatan pelbagai jenis judi termasuk ‘roulette’ dan sebagainya,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 4 (b)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Guru rugi RM180,000

HULU SELANGOR: Seorang guru sebuah sekolah antarabangsa di Ampang, dekat sini kerugian lebih RM180,000 selepas rumahnya di Bukit Beruntung, dipecah masuk sekumpulan empat lelaki, awal pagi semalam.
Pada jam 3.30 pagi, empat lelaki bersenjatakan parang mengikat ahli keluarga mangsa sebelum melarikan dua kereta, tiga telefon bimbit, wang RM2,000, dan barang kemas RM5,000.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, mengikut laporan mangsa, tiga daripada suspek menutup mulut mereka menggunakan sapu tangan dan seorang daripada mereka tidak menutup muka
2010/06/18

Penjenayah buat silap mata

AMPANG: Sekumpulan penjenayah profesional ‘melesapkan’ sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berada di luar sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang Jaya, di sini, tanpa meninggalkan sebarang kesan kerosakan dan pencerobohan.
Malah, kehilangan mesin ATM itu langsung tidak disedari pekerja di pasar raya berkenaan dan orang awam kerana ia langsung tidak menjejaskan dinding dan pintu yang menempatkan ATM berkenaan, malah alat penggera yang dipasang dimatikan manakala wayar elektrik yang disambung ke mesin ATM itu dipotong.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata berdasarkan kejadian itu, ia dilakukan sekumpulan penjenayah profesional.

“Kejadian itu dilaporkan berlaku antara jam 10 malam hingga 7 pagi kelmarin dan kehilangannya hanya disedari hilang selepas pasar raya berkenaan mula dibuka pada jam 7 pagi.

“Seorang lelaki yang kebetulan ingin mengeluarkan wang melihat mesin ATM itu sudah tiada, tetapi tidak mengesyaki ia dilarikan ekoran tiada kesan pencerobohan. Lelaki itu kemudian memaklumkan kepada seorang juruteknik yang berada di pasar raya itu,” katanya.

Difahamkan, susulan aduan itu, juruteknik terbabit kemudiannya memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum mereka bertindak menghubungi pihak bank.

“Pihak pengurusan yang tidak menerima sebarang laporan kerosakan atau mahu mengambil balik mesin ATM itu dari pihak bank terus menghubungi mereka untuk bertanyakan kemusykilan itu.

“Selepas maklumat itu, pihak bank menafikan mereka mengambil balik mesin ATM itu sebelum datang ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 7 malam untuk membuat laporan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, selepas menerima laporan itu, polis segera ke tempat kejadian dan percaya kejadian mesin ATM dilarikan itu membabitkan lebih daripada seorang suspek kerana terdapat kesan calar pada lantai di luar bilik kaca itu mungkin kesan mesin itu diseret.

Difahamkan, penjenayah profesional itu bertindak berani dengan melarikan mesin ATM berkenaan walaupun IPD Ampang Jaya terletak kira-kira 500 meter dari pasar raya itu.

“Kami (polis) sudah mendapatkan maklumat daripada seorang juruteknik keselamatan yang melaporkan kejadian itu, pekerja dan pemilik kedai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, nilai kerugian masih dalam siasatan dan minta orang awam tampil bagi bantu siasatan.

Aktres lucah dedah ada anak Woods



15/6

DEVON JAMES
MIAMI, Amerika Syarikat (AS) – Hasrat Tiger Woods untuk melupakan skandal seksnya sekali gus membina hidup baru tidak kesampaian apabila seorang aktres porno, Devon James tampil mendakwa bintang golf No. 1 dunia itu adalah bapa kepada anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Baru-baru ini, Devon James, perempuan simpanan terakhir yang dikaitkan dengan bintang golf itu menyatakan, dia menjadi kekasih gelap Woods semasa berusia 19 tahun.
Pelacur tersebut yang kini berusia 29 tahun dan telah menjadi seorang bintang filem lucah, memberi nama budak itu Austin T dan bertegas bahawa singkatan tersebut diberikan sebagai penghormatan kepada Woods.
Menurutnya, dia pernah memberitahu Woods, 34, mengenai anaknya enam tahun selepas dilahirkan semasa dia ditempah oleh bintang golf itu untuk perkhidmatan seks dengan bayaran AS$2,000 (RM6,535) semalam.
Namun, James kecewa kerana Woods memberitahu bahawa dia tidak mahu berjumpa dengan anaknya itu.
Aktres lucah tersebut bagaimanapun, tidak pernah menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dakwaannya.
James adalah wanita kedua yang dilaporkan mempunyai zuriat dengan Woods setelah satu dokumentari rangkaian televisyen Channel 4 di AS mendakwa seorang wanita berusia 47 tahun, Theresa Rogers melahirkan anaknya pada 2004.
Bintang golf itu yang sebelum ini memohon maaf kepada isterinya, Elin Nodegren 30, berhubung skandal seksnya kini giat melakukan persiapan bagi menyertai kejohanan Terbuka AS di Pebble Beach, negeri California pada minggu ini. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Saiful Apek sembunyi


SUBANG JAYA – Pelakon dan pelawak, Saiful Apek (gambar) dibebaskan dengan jaminan polis selama dua minggu atas tiga tuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah setelah tahanan reman terhadapnya berakhir semalam.

Ketika dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, pada pukul 4.20 petang semalam, Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saiful Azam Mohamad Yusoff, 41, cuba mengelak daripada pihak media dengan melalui pintu belakang balai polis.
Bagaimanapun, taktik Saiful Apek bersama lebih kurang sepuluh orang saudara-maranya yang turut berada di situ tidak berjaya apabila pihak media berjaya menjejakinya yang pulang menaiki sebuah kereta Honda Civic bewarna hitam.
Dari dalam kereta, Saiful Apek yang memakai baju lokap berwarna jingga bertindak mengiringkan badannya serta menundukkan kepala di tempat duduk belakang apabila jurukamera merakamkan gambarnya.
kredit : kosmo.com.my

Lima sindiket bookie judi Piala Dunia tumpas




AZISMAN (dua dari kiri) memeriksa beberapa peralatan yang dirampas daripada sindiket bookie judi bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 di Ipoh semalam.

IPOH – Lima sindiket bookie judi bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang beroperasi di bandar raya ini dan Taiping dengan nilai pertaruhan sehingga RM5 juta sejak seminggu lalu tumpas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan berkata, dalam operasi yang bermula 10 malam kelmarin itu, seramai lima lelaki berusia 25 hingga 43 tahun diberkas di lima premis berlainan.
“Semua suspek terbabit daripada lima sindiket bookie judi bola sepak berlainan ditahan ketika sedang leka menerima pertaruhan secara dalam talian.
“Empat sindiket bookie judi Piala Dunia tersebut beroperasi di Ipoh, manakala satu lagi di Taiping. Jumlah pertaruhan diterima dianggarkan antara RM2 juta hingga RM5 juta bagi setiap perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
kredit : kosmo.com.my

Kartel gula macam lanun – PPIM






ISU gula perlu penyelesaian muktamad. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menganggap ada segelintir kumpulan kartel di negara ini yang bersikap seperti lanun dengan menyalahgunakan subsidi.
Penasihat PPIM, Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, sikap sesetengah kumpulan kartel itu hanya akan membankrapkan negara pada masa depan.
“Negara bukannya bankrap kerana rakyat mendapat subsidi, tetapi kerana tindakan peniaga-peniaga ini yang memperalatkan subsidi kerajaan untuk mengaut keuntungan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
kredit : kosmo.com.my

Warga emas tak serik masuk penjara




IDRIS cuba menendang jurugambar selepas dijatuhi hukuman
di Mahkamah Tinggi Seremban semalam.

SEREMBAN – Tidak pernah serik. Seorang warga emas yang kerap masuk penjara dijatuhi hukuman penjara lagi dan kali ini selama 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Tertuduh, Idris Mahat, 61, didakwa memiliki dadah seberat 16.92 gram (g) iaitu campuran 15.31g heroin dan 1.61g monoactylmorphines di kawasan tempat letak kereta Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, pada jam 10.45 pagi, 3 Oktober 2009.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang membuat keputusan itu berkata, mahkamah mendapati warga emas berkenaan dikategorikan sebagai habitual offender atau tidak boleh meninggalkan kerja yang menyalahi undang-undang.
“Sekiranya selalu keluar masuk penjara, bagaimana pak cik mahu menyara keluarga?
“Saya meminta pak cik sedar atas apa yang sudah dilakukan selama ini dan melupakan aktiviti jenayah.
“Pak cik perlu bersyukur kerana pihak pendakwaan memberikan pertuduhan pilihan dan tidak dikenakan sebatan kerana usia pak cik sudah melebihi 50 tahun,” katanya.
kredit : kosmo.com.my

Beli burger dapat DVD lucah percuma



15/6

GAMBAR menunjukkan karavan yang menawarkan cakera video digital lucah bagi setiap pembelian makanan segera dan minuman keras di Driffield, England.

DRIFFIELD – Polis England merampas sebuah karavan burger dan menangkap dua lelaki selepas menerima aduan daripada penduduk di Driffield, Yorkshire Timur berhubung tawaran percuma cakera video digital (DVD) lucah bagi pembelian burger dan minuman keras, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pegawai polis, Sarjan Dave Jenkins berkata, dua lelaki itu ditahan semasa berada di dalam karavan tersebut tetapi mereka dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangan diambil untuk membantu siasatan di sini.
Penduduk mendakwa setiap pelanggan yang membeli sama ada kebab, burger, bir dan kentang goreng dengan pembelian lebih daripada 5 (RM24) akan mendapat sekeping DVD lucah secara percuma dan dibenarkan menontonnya di dalam karavan berkenaan.
Sasaran pelanggan peniaga itu ialah golongan lelaki yang keluar dari kelab dan pub.
“Van ini sudah beroperasi sejak dua minggu dan beberapa pegawai kami menyamar untuk mencari kepastian sebelum kami melancarkan operasi merampas karavan itu pada malam Sabtu lalu,” kata Jenkins. – Agensi
kredit : kosmo.com.my