Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Bunuh Syafiah: pihak pendakwaan tutup kes



17/06/2010 1:57pm

SHAH ALAM 17 Jun - Selepas sembilan hari pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil dibicara atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya,
Syafiah Humaira Sahari di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pendakwaan hari ini menutup kes.
Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani memaklumkan demikian selepas saksi pendakwa ke-33, pegawai penyiasat Cif Inspektor G. Mahesan selesai memberi keterangan.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetap 15 Julai ini untuk hujahan di akhir kes pendakwaan. - Utusan
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Guru Kerugian RM180,000 Kediaman Dipecah Masuk



KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Seorang guru sebuah sekolah antarabangsa di sini mengalami kerugian hampir RM180,000 apabila kediamannya di Jalan Kasturi, Bukit Beruntung, Selangor dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Affendi berkata suspek memecah masuk kediaman itu ketika guru lelaki itu bersama lapan lagi anggota keluarganya sedang nyenyak tidur.

"Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu tidak disedari mangsa kerana kesemua ahli keluarganya sedang tidur. Suspek masuk dengan memecahkan pintu hadapan rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah terbabit terdiri daripada empat hingga enam orang individu yang berumur lingkungan 20 hingga 30-an.

Katanya tiga daripada empat suspek itu menutup mulut dengan menggunakan sapu tangan bagi mengelakkan wajah mereka dicam.

Dua lagi rakan suspek menunggu dalam kereta di luar rumah mangsa.

"Suspek kemudian mengikat tangan mangsa dan adik lelakinya yang berumur 20 tahun dengan kain dan turut mengugut ahli keluarga (mangsa) yang lain dengan parang sebelum melarikan barang berharga milik keluarga itu," katanya.

Antara barang berharga yang dilarikan suspek termasuk dua buah kereta iaitu jenama Hyundai Accent dan Ford Focus, tiga buah telefon bimbit, barang kemas bernilai RM5,000 serta wang tunai sebanyak RM2,000 yang kesemuanya bernilai hampir RM180,000.

"Bagaimanapun tiada mangsa yang cedera dan kereta jenama Hyundai itu berjaya ditemui semula di kawasan berdekatan.

"Polis masih lagi mengesan dan mengenal pasti identiti kesemua suspek berdasarkan cap jari dan juga kereta yang digunakan mereka semasa melakukan jenayah ini," kata Norel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.



-- BERNAMA

Pembantu Kedai Ditemui Mati Dalam Bangunan Terbiar Di Kangar



KANGAR, 17 Jun (Bernama) -- Seorang pembantu kedai ditemui mati dalam sebuah bangunan terbiar yang dipercayai menjadi kediamannya di Medan Raja Syed Alwi, dekat sini, Khamis.

Mayat Ahmad Mezhar Mansur, 40, yang merupakan penghidap diabetis ditemui terbaring kira-kira pukul 4 petang oleh seorang pengawal keselamatan di kawasan itu.

Lelaki yang mempunyai rekod psikiatri itu dipercayai mendiami bangunan itu sejak setahun lalu dan hidup sebatang kara setelah membawa diri meninggalkan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pukul 4 petang.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada kesan kecederaan pada badan mangsa. Dia dipercayai meninggal dunia malam tadi.

Abdul Rahman berkata, lelaki yang masih bujang itu menghidap diabetis sejak tiga tahun lalu dan mempunyai rekod psikiatri.

Sementara itu, adik mangsa, Ahmad Mizal Mansur, 38, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan abangnya yang hidup sebatang kara itu, bulan lalu.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.



-- BERNAMA

Tinggal nota bunuh diri dalam Twitter





2010/06/17

SEOUL: Seorang pengguna Twitter Korea Selatan membunuh diri selepas meninggalkan nota bunuh diri melalui laman rangkaian sosial terbabit dalam kejadian pertama seumpamanya di negara itu. 

Polis menemui mayat bekas deejay di sebuah bar di Seoul, Lee Kye-Hwa, 27, tergantung di sebuah dek feri di sungai Han, Seoul, awal kelmarin.
Keluarga mangsa melaporkan kehilangan beliau Ahad lalu selepas beliau mengirim mesej pendek Twitter dalam bahasa Korea.
“Saya akan membunuh diri. Kepada semua, malah mereka yang berkongsi rakan dengan saya, saya sayangkan anda semua,” tulis beliau. 

“Penyiasat merumuskan bahawa beliau membunuh diri,” kata jurucakap bagi balai polis di Mapo, Seoul kepada AFP yang mengesahkan kata-kata dalam nota Twitter terbabit. 

The Korea Times berkata, Lell juga meninggalkan nota bunuh diri berasingan untuk keluarga dan rakannya yang mengadu mengenai masalah kewangan dihadapi beliau. 

Katanya, sebilangan pengikut Twitter beliau cuba untuk mengesan di mana mangsa berada selepas membaca nota bunuh diri terbabit. 
Berita mengenai kematian Lee tersebar dengan cepat melalui Twitter semalam selepas pengikut beliau mengucapkan takziah dan melahirkan rasa terkejut dan terkilan. – AFP

3 maut dua gempa landa Indonesia




2010/06/17

Lebih 70 rumah musnah akibat tanah runtuh 

JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam dua kejadian gempa bumi menggegar Indonesia, mengakibatkan tanah runtuh dan memusnahkan berpuluh-puluh rumah, manakala amaran tsunami yang dikeluarkan menyebabkan penduduk yang panik melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.
Agensi berita Antara melaporkan, gempa bumi bermula awal pagi di pulau Sulawesi 2,000 kilometer di barat Indonesia dengan kekuatan 5.3, menyebabkan seorang terbunuh dan ramai yang lain cedera, manakala sekurang-kurangnya 50 rumah musnah.
Pusat Kaji Selidik geologi Amerika Syarikat dalam laman webnya menyatakan, kejadian gempa bumi kedua dengan magnitud 7.0, melanda wilayah Papua, manakala pusat gempa berada pada kedalaman 29 kilometer di dasar laut, 195 kilometer di bahagian utara. 

Kejadian itu diikuti dengan siri gegaran kuat dengan magnitud maksimum 6.4. 

Jurucakap polis Leftenen Kolonel Wachjoho, berkata lebih 20 rumah runtuh di Serui, bandar di daerah Yapen, menyebabkan kebakaran di tujuh kawasan. – AP

12 maut bah di Myanmar




2010/06/17

YANGON: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian banjir di Myanmar yang turut mengakibatkan tanah runtuh, menghanyutkan jambatan dan menyebabkan hubungan darat terputus. 

Seorang pegawai kerajaan berkata, dua bandar di negeri Rakhine di barat Myanmar, dilanda banjir selepas hujan lebat sepanjang minggu ini menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh.
“Saya rasa angka kematian akan meningkat selepas kami diberitahu penduduk dari kawasan berhampiran. Sebatang jalan juga terputus hubungan akibat tanah runtuh,” katanya.
Jabatan kaji cuaca melaporkan pihaknya merekodkan sejumlah 34 sentimeter hujan di bandar Maungdaw yang bersempadan dengan Bangladesh, tiga hari lalu. 

Banjir turut melanda Mrauk Oo dan Kyauk Taw, 550 kilometer ke barat laut Yangon, menghanyutkan tiga jambatan, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Reuters

7 terbunuh, 8 hilang banjir kilat di selatan Perancis





LELAKI berjalan keluar selepas keretanya rosak terperangkap dalam  banjir kilat di selatan Perancis, pagi semalam.
LELAKI berjalan keluar selepas keretanya rosak terperangkap dalam banjir kilat di selatan Perancis, pagi semalam.


DRAGUIGNAN: Hujan lebat mencetuskan banjir kilat di kawasan pergunungan di selatan Perancis, Cote d’Azur menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, manakala lapan yang lain dikhuatiri masih hilang.

Paras air meningkat beberapa meter menghalang kebanyakan penduduk berpindah ke tempat tinggi dan memaksa yang lain mendapatkan perlindungan di bumbung rumah mereka.
Perkhidmatan menyelamat memfokuskan usaha membantu beratus-ratus penduduk yang terperangkap dalam kenderaan, rumah atau bumbung rumah mereka, kata ketua setiausaha wilayah Var, Olivier de Mazieres.
Helikopter turut digunakan untuk membawa penduduk ke tempat selamat.

Tiga orang terbunuh di bandar Draguignan dan seorang wanita di Luc. Mayat mangsa terapung dalam air sepanjang bandar ketika pekerja penyelamat terpaksa berhempas pulas melawan arus deras dalam usaha mencarinya.

Mangsa lain mati di Arcs, Muy dan Roquerbrune-sur-Argens, kata ketua setiausaha bagi wilayah Var, Corinne Orzexhowski kepada AFP. Lapan yang lain masih hilang.

“Kami tidak pernah melihat banjir seperti ini sejak sedekad lalu,” kata pegawai tinggi di jabatan Var, Hugues Parant, yang mendakwa hujan sebanyak 180mm dalam tempoh 12 jam.
“Dalam masa beberapa minit air meningkat sebanyak 50 kemudian 60sm. Ia kemudian melebihi dua meter,” kata seorang pemberita AFP yang terperangkap dalam banjir di Draguignan.

Kenaikan air turut menyebabkan kereta api berkelajuan tinggi terperangkap dari bandar di selatan Nice ke Lille di utara dengan 300 penumpang di dalamnya. – AFP

Skandal seks Luna Maya, Ariel dapat perhatian media asing

 ARIEL dan Luna Maya ketika wawancara eksklusif dengan TVONE di Jakarta, kelmarin.
ARIEL dan Luna Maya ketika wawancara eksklusif dengan TVONE di Jakarta, kelmarin.
JAKARTA: Aktres Luna Maya yang kini menjadi tumpuan berikutan tersebarnya video seks mendakwa beliau bersama kekasihnya Ariel, bukan sekadar mendapat perhatian media tempatan, malah turut menarik saluran berita Amerika Syarikat, Cables News Network (CNN) untuk mewawancara beliau.

Bekas duta Lux itu dilaporkan akan memberikan komen mengenai video porno yang didakwa membabitkan dirinya dan penyanyi Peterpan, Nazriel Irham atau Ariel, yang tersebar luas di internet.
“Beliau mahu bercakap dengan CNN,” kata peguamnya, OC Kaligis yang mengesahkan perkara itu kepada sekumpulan wartawan di Mahkamah Khas bagi Kes Rasuah di Jakarta, kelmarin.
Kes Luna Maya dan Ariel berkenaan mendapat perhatian media antarabangsa termasuk New York Times yang menjadikan tajuk utamanya “Sex Tape Scandal Fixates Indonesia” (Skandal Rakaman Seks Mengasyikkan Indonesia), pada 13 Jun lalu.

OC Kaligis berkata, anak guamnya itu juga bersedia untuk satu temu bual dengan Mata Najwa melalui Metro TV.

Ketika ditanya sama ada Luna Maya yang masih lagi duta Program Makanan Dunia bersedia berbicara dengan media lain atau sidang akhbar, OC Kaligis hanya tersenyum tanpa menjawab soalan daripada sekumpulan wartawan terbabit.

“Kepentingan saya adalah untuk menasihati dia. Saya tidak boleh memaksa beliau melakukannya. Itu hak dia. Malah, mengatakan tiada komen juga adalah hak dia,” katanya.
Kesediaan Luna Maya untuk diwawancara oleh media asing menimbulkan persoalan besar di kalangan pengamal media tempatan berikutan aktres terbabit bersama kekasihnya itu didakwa masih enggan bertemu dengan media tempatan.

Sehingga kini Luna bersama Ariel hanya ditemu bual TVOne di mana mereka juga tidak menjawab persoalan mengenai benarkah mereka pelaku dalam video terbabit. Sebaliknya mereka hanya mendakwa berasa difitnah. – Agensi

Kanak-kanak koma setahun dibenarkan dibawa pulang dari Hospital



BALING - Setelah lebih setahun berada di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, seorang kanak-kanak yang koma sejak 14 bulan lepas, dibenarkan dibawa pulang semalam walaupun masih belum sedar. 

Noorizzati Othman, 10, dari Kampung Ekor Padang, Kuala Ketil dekat sini, sebelum ini tidak dapat dibawa pulang ke rumahnya kerana ibu bapanya tidak mampu menyediakan bilik yang mempunyai kemudahan elektrik.

Pada 29 Mac tahun lepas, Noorizzati tiba-tiba rebah dan selepas beberapa hari dia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani sebelum koma di situ dan keesokannya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan lanjut. 

Sejak itu ibu bapa kanak-kanak itu, Othman Awang, 50, dan Rokiah Yusof, 47, terpaksa menjadikan Hospital Sultanah Bahiyah sebagai "rumah" mereka bagi menjaga anak keempat dari lima beradik itu.

Othman ketika ditemui di rumahnya berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan bantuan termasuk peralatan penafasan dan bantuan lain untuk menguruskan Noorizzati, termasuk Hospital Sultanah Bahiyah, Umno Bahagian Baling yang menyumbang bilik khas untuk menempatkan Noorizzati, dan individu lain yang terlibat.

"Saya amat berterima kasih pada pihak media yang memainkan peranan hingga beban yang amat berat yang kami pikul menjadi ringan," katanya.

Othman berkata, isterinya akan memastikan Noorizzati menerima makanan melalui tiup setiap jam dan menguruskan kebersihan badannya.

Katanya, Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Sultanah Bahiyah Datuk Dr Teh Keng Hwang memberitahunya bahawa Noorizzati mengalami penyakit dikenali Cervical Transverse Myeliitis dan Neurogenic Shock, yang memerlukan bantuan pernafasan dengan ventilator sepanjang hayatnya. 

"Saya dan isteri akan tabah menjaga Noorizzati semampu yang boleh dan kami akan mencurahkan kasih sayang kepadanya walaupun dia dalam keadaan koma," kata Othman.

Rokiah pula berkata, bahawa sepanjang tempoh setahun dua bulan Noorizzati berada di hospital Sultanah Bahiyah, dia sentiasa berada di sisi anaknya itu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan bantuan RM300 sebulan kepada Noorizzati.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Rokiah Yusof bernombor 021262900012436-6.


Hanya sempat pakai tuala



KUALA KANGSAR – Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggan apabila rumah mereka di Simpang Penaga, di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 2.20 petang, kelmarin. 

Bukan sahaja gagal menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting, dua mangsa hanya sempat melarikan diri dengan hanya memakai tuala dan kain pelekat. 

Seorang mangsa, Mustafa Yeop Ahmad, 75, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri sedang berehat sebelum menyedari terdapat kepulan asap keluar dari rumah sebelah. 

Menurutnya, api marak terlalu cepat sehinggakan dia hanya sempat menyelamatkan selaras senapang patah dan melarikan diri tanpa memakai baju. 

“Api datang dari sebelah atas rumah dan semua barang-barang lain termasuk wang tunai RM12,000, barangan antik, barang kemas serta dokumen penting musnah. Empat motosikal milik anak dan menantu turut terbakar. 

“Anggaran kerugian melebihi RM200, 000 dan yang saya sempat selamatkan ialah selaras senapang patah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Seorang lagi mangsa, Mustafa Mohd Jais, 78, berkata, semasa kejadian berlaku, dia sedang mandi dan terkejut apabila isterinya mengetuk pintu dari luar. 

“Saya lari bersama tuala mandi dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun. Api datang dari bahagian atas rumah dan merebak dengan cepat. 

“Isteri saya cedera ringan di bahagian kaki sewaktu kami cuba menyelamatkan diri. Saya rasa kami kerugian lebih daripada RM100,000,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Kuala Kangsar, Dollah Saminokoromo berkata, angin kencang dan jarak pili bomba yang agak jauh menyukarkan kerja-kerja memadam api dilakukan. 

Bagaimanapun katanya, dengan kekuatan 10 anggota bomba bersama dua jentera, kebakaran dapat dikawal dalam masa 10 minit 

“Kita menerima panggilan kira-kira jam 2.28 petang dan tiba lima minit selepas itu, tetapi faktor cuaca menyebabkan api marak dengan begitu cepat. 

“Tiga rumah dua tingkat separa papan musnah dalam kebakaran itu. Bagaimanapun anggaran sebenar kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya. 

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Padang Rengas, Zainun Mat Nor berkata, bantuan segera sudah diserahkan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka. 

“Bantuan diberikan di bawah peruntukan Parlimen Padang Rengas dan jika ada sebarang kecemasan sumbangan segera akan diberikan. Ia bukan ganti rugi tetapi sekadar membantu dan sebagai tanda keprihatinan kami kepada mereka,” katanya.

Pesanan terakhir



KOTA TINGGI - “Suami ada berpesan suruh akak belajar reda dengan ketentuan Ilahi,” begitulah pesanan seorang suami sebelum dilaporkan hilang oleh isterinya pada 10 Jun lalu. 

Norhadilah Mohammad, 26, sebelum ini membuat laporan polis berkaitan kehilangan suaminya, Mohd Wafi Laiman, 27, yang tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas keluar bekerja di Skudai. 

Beliau langsung tidak menyangka pesanan tersebut adalah petanda bahawa suaminya akan meninggalkannya untuk selamanya. 

“Isnin malam minggu lalu kami sekeluarga keluar makan bersama-sama dan saya bersyukur sempat menghabiskan masa bersama sebelum kehilangannya. 

“Tetapi, pada malam itu tiba-tiba anak saya tidak mahu dipegang oleh arwah suami padahal selalunya dia manja dengannya,” katanya yang amat sebak dengan kejadian tersebut. 

Pesanan terakhir suami Norhadilah sebelum mayatnya ditemui jatuh gaung

Norhadilah berkata, pelbagai usaha dilakukan dalam usaha mencari suaminya dengan mengedarkan gambar suaminya ke sekitar daerah ini terkilan kerana tidak men yangka suaminya terlibat dalam kemalangan tidak jauh daripada kampung mereka.

Mayat mangsa ditemui dalam kereta Perodua Kancil yang dinaikinya ketika keluar bekerja pada pagi 8 Jun lalu oleh pekerja Syarikat Air Johor (SAJ) dalam gaung di Kilometer 24.5, Jalan Lok Heng-Mawai, semalam.

Bagaimanapun mayat mangsa ketika ditemui sukar dikenal pasti kerana telah berulat dan sebelah mata hilang.

Siasatan menunjuk kan kematian mangsa adalah disebabkan kemalangan jalan raya.

Perodua Kancil yang dipandu mangsa dikatakan terbabas ke kanan jalan lalu jatuh ke gaung di kawasan tersebut dengan kedalaman kira-kira lima meter dari paras jalan raya.

Norhadilah mengatakan, mangsa yang meninggalkan seorang anak lelaki berusia satu tahun dua bulan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap selain ada berpesan belajar reda tentang sesuatu kejadian.

Malah beliau reda dengan pemergian suaminya yang dikebumikan di kampung ibu bapa mertuanya (kampung ibu bapa arwah suamninya) di Felda Air Tawar 2 pada malam mayat mangsa ditemui.

Lelaki maut ketika membelok



BATU MENUNGGUL – Seorang lelaki warga emas, maut dalam kemalangan di Jalan Kota Sarang Semut ke Pendang dekat Kampung Batu Menunggul di sini, apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lagi yang datang dari arah bertentangan, petang semalam. 

Mangsa, Abdul Aziz Ismail, 71, berasal dari Kampung Menunggul, maut pada jam 6 petang ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pendang. 

Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru bernombor pendaftaran KBA 6630, bertembung dua penunggang yang menunggang motosikal Yamaha jenis 135 LC berwarna oren bernombor pendaftaran PGM 3390. 

Seorang saksi, Azwan Abu Hassan, 16, yang bekerja mencuci kereta berdekatan tempat kejadian berkata, dia terkejut melihat kejadian berkenaan yang berlaku pada jam 5.55 petang. 

“Ketika kejadian, saya sedang mencuci kereta dan melihat sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan wanita dari arah Pendang ke Kota Sarang Semut, memotong sebuah kereta dari arah yang sama di hadapannya. 

“Motosikal itu bertembung dengan mangsa ketika sedang memotong dan ketika itu mangsa berhenti di tengah garisan untuk membelok ke kanan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian. 

Azwan berkata, ketika kejadian, bunyi dentuman yang kuat akibat pelanggaran bertentangan. 

Dua mangsa lain mengalami kecederaan teruk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan. 

Sementara itu, polis Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Pendang memaklumkan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.

Sorok dalam dapur



SEREMBAN – Tindakan seorang peniaga menyembunyikan cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak di sebuah dapur terbiar terbongkar dalam satu serbuan, di sini malam kelmarin. 

Operasi dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dan peniaga terbabit juga dikesan menggunakan laluan rahsia untuk mengambil kesemua barangan itu untuk dijual kepada orang ramai. 

Dalam serbuan sekitar 7 malam itu, sebanyak 2,600 DVD dan VCD cetak rompak bernilai kira-kira RM26,000 berjaya dirampas anggota penguatkuasa. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Mohd. Nor Musa berkata, operasi itu dibuat selepas mendapat aduan orang ramai serta intipan pihaknya. 

“Dalam serbuan itu, kita menemui pelbagai DVD dan VCD disorokkan di dalam dapur terbiar bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya. 

Beliau berkata, pemilik premis berkenaan juga gagal melekatkan label pada setiap cakera optik di bawah Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010, kesalahan menjual cakera optik cetak rompak. 

“Mereka juga dilihat semakin licik apabila menggunakan laluan rahsia untuk mengambil kesemua barangan itu selepas dipesan pembeli. 

“Malah, penjual turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit untuk memudahkan mereka meloloskan diri,” katanya di sini, semalam. 

Mohd. Nor berkata, pihkanya turut menahan dua pekerja premis berusia 20 dan 25 tahun yang ketika itu sedang sibuk menjual barangan terbabit, bagi membantu siasatan. 

“Kita juga akan meneruskan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kegiatan penjualan DVD dan VCD ini dapat dibanteras dan diperangi,” katanya.

Pasangan kekasih Indonesia mati ditetak suami wanita



KUALA LUMPUR - Seorang wanita Indonesia yang sudah berkahwin dan teman lelakinya mati, dipercayai ditetak suaminya dengan pisau celoret di sebuah hotel bajet di Sentul di sini awal hari ini.

Seorang lelaki lain yang cuba membantu pasangan itu turut diserang dan kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua mangsa dan suami wanita itu yang kini diburu polis adalah warga Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu di hotel yang terletak di Batu 3 1/2, Jalan Ipoh, wanita terbabit yang dikenali sebagai Halimah, 20, ditemui mati di bilik hotel manakala temannya, Mohamad Holin, 30, mati dalam perjalanan ke HKL. 

Zakaria berkata, Halimah dan Mohamad Holin ditetak di keseluruhan badan mereka.

"Mangsa wanita mati akibat kecederaan tetakan di dada rusuk kanan dan belakang badan manakala teman lelakinya mati akibat kecederaan kerana perutnya terburai," katanya ketika dihubungi.

Rakan mereka yang juga berada dalam bilik itu yang bernama Mat Alwan, 34, berada di unit rawatan rapi dengan kecederaan di perut dan tangan. Polis menemui sebilah pisau celoret di tempat kejadian.

Zakaria juga berkata, polis sedang mengesan suami Halimah yang telah menghilangkan diri selepas kejadian.

Pasangan itu dipercayai dari Madura, Indonesia.

Beliau tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah kerana cemburu.


Peniaga ayam jual dadah



NIBONG BAWAH – Tindakan licik tauke dadah kecil-kecilan berselindung di sebalik perniagaan menjual ayam akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menemui sejumlah dadah dalam serbuan di rumahnya, di sini. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek yang difahamkan menjalankan perniagaan menjual ayam di Jalan Nibong itu dipercayai turut menjadikan lokasi perniagaannya sebagai transit jualan dadah untuk diedarkan kepada penagih tempatan. 

Bagaimanapun, rahsia tauke ayam berusia 20-an itu terbongkar setelah polis menemui sejumlah dadah dalam serbuan di rumahnya kira-kira jam 3.30 petang. 

Dahlan berkata, aktiviti terbabit berjaya dikesan lalu satu operasi khas untuk mengekang gejala berkenaan dilakukan pihaknya. 

“Bertindak atas risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid menyerbu rumah suspek di Nibong Bawah. 

“Selepas serbuan dilakukan dan hasil pemeriksaan lanjut, kami berjaya menemui lapan biji pil kemerahan disyaki dadah jenis metham-phetamine yang diletakkan dalam beg pinggangnya,” katanya. 

Menurutnya, suspek dipercayai menjadi dalang utama sindiket pengedaran pil kuda secara kecil-kecilan di kawasan berhampiran. 

“Ketika serbuan, beberapa ahli keluarganya yang lain pada awalnya cuba menafikan pembabitan suspek dalam penyalahgunaan dadah, namun setelah sejumlah dadah ditemui dalam beg pinggangnya, ia menguatkan lagi bukti bahawa peniaga ayam itu terbabit dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Kastam Sabah lancar operasi banteras penjualan rokok haram

TAWAU: Kastam Sabah akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negeri bagi membanteras penjualan rokok secara haram di kaki lima di negeri itu.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Md Yusop Mansor berkata, pihaknya juga akan mengadakan sekatan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi tertentu bagi mengalang pengedaran rokok ke daerah-daerah lain.
"Pihak kami juga dalam proses mengesan dalang utama kegiatan penjualan rokok haram berkenaan dan akan membuat pemeriksaan di premis-premis yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui selepas majlis interaktif dan muhibah antara agensi awam di sini berkata sehingga 31 Mei lalu pihaknya memberkas 40 penjual rokok kaki lima di daerah itu.

Lapan daripada mereka adalah warga asing dan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen, katanya.

Beliau berkata, penjual rokok haram berkenaan juga licik kerana sanggup menggunakan kanak-kanak berusia lima tahun untuk menjalankan kegiatan tersebut.

-Bernama

Amaran angin kencang dan laut bergelora di utara Semenanjung

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di perairan utara Semenanjung bermula esok sehingga Selasa depan.
Menurut kenyataan jabatan itu angin kencang barat laut dengan kelajuan antara 40 dan 50km sejam dan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Langkawi, Perlis, utara Kedah, Phuket serta Condore.
Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil serta kegiatan rekreasi dan sukan laut, kata kenyataan itu.-Bernama

Pelakon komedi dan lima rakan bebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon komedi popular dan lima rakannya yang ditahan atas kesalahan dadah pada 13 Jun lalu dibebaskan dengan jaminan polis tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pelakon berusia 41 tahun dan lima rakannya itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selepas polis selesai mengambil keterangan.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut... kesemua suspek berada dalam pemerhatian kita lagi," katanya di sini hari ini.

Kesemua suspek ditahan empat hari lalu dalam satu serbuan kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 40 gram di sebuah rumah di Jalan PJS7, Subang Jaya dekat sini. Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Bernama

Warga Indonesia dipenjara dan denda RM10,000 rasuah polis

SHAH ALAM: Seorang tukang sapu lebuh raya warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM100 kepada seorang konstabel polis, Ahad lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Rahem, 30, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda.
Rahem didakwa memberi suapan kepada Konstabel Mohd Zuraimie Hisham Mat Noor, anggota polis Pasukan Gerakan Am, Kem Bukit Galing, Kuantan, Pahang, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan 7-Eleven No: 53, Jalan Kosas 1/3, Taman Kosas, Ampang, kira-kira pukul 5 petang pada 13 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Rahem yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia menerima gaji RM28 sehari dan perlu menanggung isteri dan seorang anak yang sakit di Indonesia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah.- Bernama

Penternak ayam laga didakwa bunuh bapa

SHAH ALAM: Seorang penternak ayam laga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya yang berusia 68 tahun pada Ogos tahun lalu.
Lim Kim Huat, 45, didakwa bersama-sama dua orang lagi, yang masih bebas, membunuh Lim Giek Poh, seorang ahli perniagaan di alamat No: 12, Jalan Anggerik Oncidium 31/ 78 A, Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini, antara pukul 10 malam, 20 Ogos hingga jam 3.30 pagi, 21 Ogos 2009.
Tertuduh yang ditangkap pada 4 Jun lalu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kim Huat mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya R Hemavthi memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Gerard Lazarus, yang mewakili tertuduh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan representasi berhubung tuduhan terhadap anak guamnya.

Majistret Hafizah Abdul Rajak kemudian menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes.-Bernama

Lima sekeluarga maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan- Segamat

PEKAN: Lima sekeluarga terbunuh dan tiga lagi parah apabila kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 87 Jalan Kuantan-Segamat pada 7.45 pagi tadi.
Mereka yang meninggal dunia ialah Roland Wee Seng Hock, 56; anak lelakinya, Joash Wee, 23; serta dua anak perempuannya, Jasinth Wee, 18 dan Jelyn Wee, 16, dan ibu mentuanya, Lim Kim Boon, 79.
Mereka yang cedera parah pula ialah isteri Roland, Chew Chin Loi, 54, dan dua lagi anak mereka Jemima Wee, 17, dan Josiah Wee, 13 yang kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Keluarga itu berasal dari Taman Mas Ria, Muar, Johor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, dalam kejadian itu, kenderaan Naza Ria yang dipandu Roland, seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah menengah di Muar, dipercayai sedang menuju ke Melaka untuk menyambung cuti persekolahan selepas menghabiskan tiga hari menziarah rakan keluarga itu di Kuantan.

Setiba di tempat kejadian, kenderaan mereka bertembung dengan treler tanpa muatan itu yang dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain, katanya.

"Pemandu lori berusia 55 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di bilik mayat Hospital Pekan.

Roland, Joash, Jelyn dan Lim mati di tempat kejadian manakala Jasinth meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah akibat kecederaan parah di kepala.

Pemandu lori itu mengalami kecederaan ringan, katanya.

Nahas itu berlaku hanya 10 kilometer daripada kemalangan yang meragut nyawa enam orang pada Isnin lepas.-Bernama

Pelajar lelaki dipenjara dua tahun kebumi mayat bayi

MELAKA: Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi dipenjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan teman wanitanya, di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, bulan lalu.
Teman wanitanya yang juga pelajar berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, selama dua tahun.
Remaja perempuan yang juga pesalah juvana, juga diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dalam tempoh dua tahun, mesti berada di rumah selewat-lewatnya jam 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan mengikuti bangkel interaktif anjuran JKM.

Pelajar perempuan itu dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan berkenaan antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil, tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Muhamad Faizal Ismail turut meneliti laporan sosial dan laporan akhlak yang disediakan Timbalan Pendakwaraya Farah Wahida Md Nor.

Hadir sama dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu ialah dua Penasihat Mahkamah Juvana Rizal Abdullah dan Zainon Mohd Ali.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan, Farah Wahida berkata, Muhamad Faizal menyatakan hukuman yang diputuskan itu berdasarkan kepada kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, majistret berharap hukuman berkenaan sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sama dan juga sebagai pengajaran kepada kedua-dua pesalah muda itu.

"Walaupun kedua-dua pesalah masih muda tetapi mahkamah memandang serius kes berkenaan dan hukuman berat itu sebagai pengajaran," katanya.

Farah Wahida berkata terdahulu ketika merayu agar hukuman diringankan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah dia ingin meneruskan pengajiannya dan juga meminta mahkamah memberi peluang
kepadanya untuk berubah.

Pelajar perempuan dalam rayuannya berkata, dia mahu meneruskan pelajarannya dan turut memberitahu ibunya seorang ibu tunggal.

Farah Wahida berkata, beliau pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat berdasarkan kepentingan awam kerana kes jenayah berkenaan semakin berleluasa di negara ini.-Bernama

Pemandu van edar kanabis dihukum gantung



17/06/2010 4:56pm

ALOR SETAR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu van yang didapati bersalah mengedar 94,835.6 gram dadah jenis kanabis lima tahun lepas.
Hakim Datuk Zamani A. Rahim berkata, Mohd. Zamri Abdul Khamis, 33, gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 apabila dia memilih untuk membela diri dari kandang tertuduh.
Beliau berkata, Mohd. Zamri, yang ketika kejadian sedang memandu van, ditahan oleh pegawai kastam yang menjaga tempat pemeriksaan di sempadan, dan van itu kemudian dibawa ke stor jabatan itu untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, pegawai kastam itu menjumpai bahagian rahsia di bumbung van berkenaan dan 104 ketulan kanabis ditemui di situ.
Hakim Zamani berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa Mohd Zamri melakukan kesalahan itu. - Utusan

Pemilik kilang plastik didakwa rasuah pengurus TNB RM30,000



17/06/2010 4:55pm

SHAH ALAM— Seorang pemilik kilang plastik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan RM30,000 kepada seorang pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak dikenakan tindakan kerana mencuri arus elektrik.
Lim Hong Liok, 60, didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Rumaizi Mohd Amin, Pengurus Kanan (Intelligence & Investigation Unit) TNB, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan mencuri arus elektrik di kilang miliknya Central Production Sdn Bhd di Lot 6629, 2 KM, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik air lelaki lobi Hotel Crystal Crown, 12, Lorong Utara A Off Jalan Utara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 1 tengahari, 28 April lepas.
Lim didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Lim dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama tiga hari bermula 22 Nov depan.
Mahkamah turut menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Josiendra Abu Senin hadir bagi pihak pendakwaan sementara Lim diwakili peguam Datuk Abdul Ramman Saad. — Bernama

Polis tumpas sindiket judi bola, libatkan pertaruhan RM2 juta



17/06/2010 5:00pm

IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket judi haram bola sepak membabitkan pertaruhan lebih RM2 juta dalam serbuan di empat buah rumah di sini, malam tadi dan awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam serbuan itu, empat lelaki berusia 25 hingga 31 tahun telah ditahan. – Utusan

Militan bebas warga Switzerland

ZAMBOANGA: Seorang warga Switzerland yang diculik kumpulan militan di selatan Filipina April lalu, dibebaskan semalam.
Butir mengenai pembebasan Carl Rieth tidak didedahkan. Bagaimanapun, menurut sumber polis dan tentera, lelaki berusia 72 tahun itu dibebaskan di sebuah kampung tepi pantai berhampiran bandar pelabuhan Zamboanga. - AP

7 dipenjara kerana paksa amah melacur

DUBAI: Tujuh lelaki dikenakan hukuman penjara oleh sebuah mahkamah yang mendapati mereka bersalah mengeksploitasi seorang pembantu rumah warga Nepal dan menjalankan kegiatan pelacuran.
Ketujuh-tujuh mereka, dua warga Emiriah, dua India, dua Bangladesh dan seorang lelaki yang tidak membawa dokumen pengenalan diri, sebelum ini berdepan dengan pelbagai tuduhan lain.
Presiden Mahkamah, Al Saeed Mohammad Barghout bagaimanapun membebaskan ketujuh-tujuh tertuduh daripada tuduhan menyerang dan mengancam membunuh anggota polis serta merosakkan dua kereta peronda.

Empat daripada tertuduh didakwa menganggotai kumpulan terancang yang terbabit dengan penyeludupan manusia serta mengeksploitasi wanita Nepal itu memaksanya mengadakan seks dengan 25 lelaki sehari.

Dalam keterangannya kepada mahkamah, pembantu rumah berkenaan, LJ mendakwa seorang daripada tertuduh mengambilnya di lapangan terbang dan membawanya ke sebuah rumah sebelum dipaksa memuaskan nafsu beberapa pelanggan.

Kejadian itu terbongkar selepas polis dimaklumkan mengenainya oleh Pejabat Konsul Nepal di Dubai.

Semua tertuduh dibenar mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dalam masa 15 hari. — Agensi

Petani gatal didakwa

DUBAI: Seorang petani didakwa merakamkan secara sulit bahagian bawah skirt empat wanita dengan menyembunyikan kamera telefon bimbitnya dalam stokin.
Pendakwa raya berkata, petani warga Mesir berusia 29 tahun itu, MA, mencabul kehormatan empat wanita yang tidak dikenali dengan merakamkan bahagian sulit mereka ketika mereka membeli-belah di Deira.
MA dikatakan memasang kamera telefon bimbitnya dan memasukkanya ke dalam stokinnya yang koyak. Dia didakwa meletakkan stokin berkenaan dalam bakul dan berulang kali merakam bawah skirt wanita terbabit. - Agensi

Doktor tanpa lesen diburu

JEDDAH: Pihak berkuasa perubatan di sini akan meminta bantuan Interpol untuk menjejaki seorang doktor Arab yang melarikan diri berhubung kes silap melakukan pembedahan pintasan perut terhadap empat pesakit wanita.
Keempat-empat wanita berkenaan meninggal dunia akibat kesilapan itu.
Doktor itu meninggalkan Arab Saudi selepas melakukan kesilapan terbarunya terhadap seorang wanita berusia 20-an.

Lesennya dibatalkan lima tahun lalu selepas seorang pesakitnya meninggal dunia.

Bagaimanapun, dia terus mengamalkan perubatan dan dalam tempoh itu, melakukan pembedahan terhadap empat wanita yang semuanya mati.

Dia mungkin berdepan dengan tuduhan tambahan baru berhubung kejadian itu.

Suruhanjaya Perubatan Syariah di Jeddah dilapor akan membangkitkan isu itu kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan bantuan Interpol bagi membawa pulang doktor berkenaan untuk didakwa.

Pengerusi suruhanjaya, Dr Abdul Rahman Al-Ijairi yang juga hakim di Mahkamah Am, mengesahkan doktor keturunan Arab itu, Ketua Jabatan Pembedahan di sebuah hospital di Jeddah, melakukan pembedahan pintasan perut terhadap seorang wanita berusia 20-an tahun.

Pesakit kemudian mengalami masalah hingga dia meninggal dunia.

Menurut Abdul Rahman, kejadian itu menyebabkan doktor berkenaan meninggalkan hospital. Dia dilapor berlepas ke lapangan terbang dan meninggalkan Arab Saudi.

Siasatan yang dilakukan kemudian mendapati dia tidak mempunyai lesen untuk mengamalkan perubatan di ngara itu.
Menurut Abdul Rahman, bapa wanita itu mahu supaya doktor berkenaan dipancung.

Si bapa berkata, jika siasatan menunjukkan doktor itu melakukan kesilapan sekalipun, dia tetap telah melakukan jenayah menurut undang-undang Kementerian Kesihatan.

Dia juga menuntut penjelasan bagaimana hospital itu boleh terus mengambil doktor berkenaan bekerja walaupun setelah diberitahu bahawa lesennya sudah dibatalkan. - AFP

Empat terbunuh MPV langgar lori




PEKAN:Empat terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki bertembung dengan lori balak di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Ameng tidak hadir perbicaraan kerana tidak sihat

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Ameng, penyanyi kumpulan Spring yang didakwa menggunakan ganja, akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini pada 1 Julai ini.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 41, sepatutnya menjalani perbicaraan kesnya hari ini tetapi dia tidak hadir kerana menurut peguamnya, Kamarulzaman Abdul Rahman, penyanyi itu tidak sihat.
Pada 12 Mei lalu, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lepas.

Dia diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.-Bernama

Polis Kajang tahan empat orang, temui senjata api dan bom buatan sendiri

KUALA LUMPUR: Polis merampas beberapa jenis senjata api, bom buatan sendiri dan beberapa jenis dadah serta menahan empat orang termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Taman Koperasi Cuepacs, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, serbuan di tingkat dua rumah kedai milik wanita itu menyusul selepas polis menahan seorang daripada mereka di tepi jalan kawasan perumahan berkenaan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.
"Pemeriksaan ke atas rumah itu menemui beberapa paket dadah disyaki eramin 5, syabu dan ecstacy seberat 12 gram, dua pucuk pistol, dua kelopak peluru, dua butir peluru, empat bilah pedang pelbagai bentuk, tiga bom tangan buatan sendiri dan tiga telefon bimbit yang diubah suai menjadi alat renjatan elektrik," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepucuk pistol berkenaan adalah buatan sendiri, manakala bom tangan itu sudah dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia.

Selain itu, polis turut merampas 15 telefon bimbit, dua komputer riba, wang tunai berjumlah RM27,578 dan sebuah kereta dipercayai milik seorang suspek.

"Kita tidak menolak kemungkinan rumah yang disewa baru sebulan itu dijadikan tempat membuat senjata api dan suspek juga dipercayai terbabit dengan jenayah samun atau jenayah yang lebih berat lagi," katanya.

Mohd Shakaruddin berkata, kawasan rumah itu juga dipasang dengan tujuh kamera litar tertutup, dan suspek yang berusia antara 22 dan 39 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar daerah itu.

Polis juga katanya, menyiasat sama ada suspek terbabit dengan kegiatan pertaruhan haram Piala Dunia secara talian berdasarkan penemuan sejumlah wang tunai dan komputer riba itu.

Beliau berkata, kesemua suspek itu yang disahkan positif syabu, ditahan reman selama lima hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Sempat SMS sebelum ajal

KERTEH: “Aku kena bunuh...” Itulah teks SMS terakhir dikirim Mohd Halim Idrus, 19, kepada abangnya dipercayai sejurus ditikam seseorang sebelum mayatnya ditemui dalam pondok di sebuah dusun buah-buahan dekat sini, Isnin lalu.
Abang mangsa, Mohd Haris Idrus, 27, berkata sebelum dia menerima SMS yang disangkanya gurauan itu, adiknya meminta dia menambah nilai kredit panggilan telefon bimbit sebanyak RM1.
“Selepas menambah nilai dimintanya, saya menerima SMS menakutkan itu. Walaupun menyangka ia gurauan, saya tetap bimbang lalu menghantar beberapa SMS kepada Halim bertanya keadaannya tapi tiada balasan langsung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kerteh Empat, Bandar Ketengah Jaya, dekat sini, semalam.

Berikutan tiada jawapan daripada adiknya, Haris mengesyaki sesuatu buruk menimpa Halim lalu bergegas ke Kampung Pasir Gajah dekat Jalan Ayer Puteh, Kemaman, untuk mencari adiknya.

“Saya tahu di mana hendak mencarinya kerana pada 14 Jun lalu, adik saya beritahu dia hendak menemui teman wanitanya di Kampung Pasir Gajah selepas menerima panggilan telefon daripada gadis berkenaan.

“Mereka berjanji untuk bertemu di kawasan dusun buah-buahan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami gagal menemuinya selepas seharian saya bersama seorang lagi adik, bapa (Idrus Long, 50) serta beberapa rakan mencarinya lalu mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Pasir Gajah,” katanya.

Pagi kelmarin, Haris berkata dia menerima panggilan telefon daripada polis menyatakan satu mayat dipercayai adiknya ditemui dan dia bersama keluarga diminta ke tempat kejadian untuk tujuan pengecaman.

“Hanya Allah yang tahu perasaan kami sekeluarga ketika itu apabila melihat jenazah adik berlumuran darah terbaring di atas tilam dalam pondok berkenaan,” katanya.

Haris berkata, Halim tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum meninggalkan rumah pada hari kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din berkata, polis masih berusaha menjejaki saksi, termasuk teman wanita mangsa yang mungkin boleh membantu siasatan.
“Tidak banyak dapat dikatakan kerana siasatan masih di peringkat awal. Namun yang pasti usaha sedang dilakukan bagi menjejaki semua pihak dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya.

Acu pistol, arah isi beg

KUALA LUMPUR: Bagaikan aksi filem apabila seorang penyamun bersenjatakan pistol berusia lewat 20-an dengan bersahaja melontar beg dan mengarahkan mangsa mengisi barangan berharga sebelum melarikan diri.
Lebih menghairankan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi di sebuah hotel, di Wangsa Maju di sini, suspek tidak menutup mukanya, malah tenang melakukan kegiatan itu bagaikan penyamun profesional. Difahamkan, suspek bergerak bersendirian dan menjadikan hotel murah sebagai sasaran untuk melakukan kegiatan itu. Menurut sumber, penjaga kaunter hotel berusia awal 20-an berkenaan pada mulanya menyangkakan lelaki terbabit pelanggan yang mahu menempah bilik.
“Namun, sangkaannya meleset apabila suspek tiba-tiba melontar beg kosong sebelum mengacukan pistol ke arahnya.

“Suspek mengarahkan mangsa memasukkan barangan berharga ke dalam beg yang dibawa. Mangsa yang ketakutan selain bimbang dicederakan terpaksa patuh arahannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan

Malang lelaki suka berkurung

KOTA BHARU: Seorang isteri yang pulang ke rumah untuk menghantar sebungkus nasi kepada suaminya, terperanjat apabila mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bernyawa dengan leher terjerut dengan getah paip di rumah mereka di Kampung Puteh, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Norifah Ismail, 37, berkata suaminya, Mohd Afandi Zaman Rabidin, 36, baru saja empat hari pulang dari urusan kerja di Pahang dan sejak itu dilihat sering bersendirian di bilik tidur.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan suaminya itu ketika Maghrib kelmarin, memandangkan mangsa sering berkurung di dalam bilik.

“Sebelum kejadian, saya keluar bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah kedai makan berhampiran kira-kira jam 9 pagi.

“Sebaik pulang ke rumah pada tengah hari, saya terkejut apabila mendapati kakinya terjuntai dalam sebuah bilik di rumah kami.

“Saya sempat melihat lehernya terjerut dengan getah paip dan kakinya seperti terbelit dengan seutas rantai yang mungkin baru dibelinya kelmarin,” katanya.

Menurut Norifah, suaminya yang berasal dari Kampung Tanjong Jenera, dekat Beris Kubur Besar, Bachok sudah lama bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pahang.

Katanya, suaminya itu sudah lama tidak pulang ke rumah dan jika pulang, dia lebih suka mengasingkan diri di dalam bilik.

“Memang kejadian ini tidak dijangka kerana saya tidak pernah berselisih faham dengannya.

“Saya masih ingat beberapa hari lalu dia ada menyerahkan wang RM30 kepada saya untuk belanja dapur.

“Cuma yang menghairankan saya ialah sikapnya yang suka berkurung berseorangan di dalam bilik,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki bersama arwah iaitu Mohd Aiman Naim, 9 tahun.

Sementara itu, sumber polis memberitahu siasatan awal pihaknya mendapati kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa membabitkan unsur jenayah.

Katanya mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, untuk bedah siasat lanjut.

Kemaruk cinta nenek

ALOR SETAR: Seorang wanita sanggup merentas laut dari Medan, Indonesia, semata-mata bertemu kekasihnya yang menetap di bandar raya ini bagi membincangkan soal perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, hasrat nenek berusia 49 tahun itu terbantut apabila mereka dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel murah di Jalan Seberang Perak, bersebelahan Masjid Zahir, di sini, awal pagi semalam.
Wanita yang mempunyai 11 cucu itu mengenali pasangannya, warga Pakistan berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penyelia di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini sejak setahun lalu di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Pada mulanya lelaki itu berpura-pura tidak tahu berbahasa Melayu dan bercakap dalam bahasa Pakistan selain memberi alasan pasportnya tiada dalam simpanan.

Namun tembelangnya pecah apabila dia secara tiba-tiba mengeluarkan pasport dalam poket seluarnya ketika dibawa ke pejabat agama serta secara tidak sengaja bertutur dalam bahasa Melayu menyebabkan dia terpaksa memberitahu perkara sebenar yang mereka bukan mahram atau suami isteri.

Ketua Operasi Jaik, Salehudin Saudi berkata, pihaknya menahan pasangan itu selepas membuat pemeriksaan di hotel murah terbabit yang bersebelahan Masjid Zahir di sini dan mendapati pintu sebuah bilik di tingkat bawah hotel itu berkunci dari dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu bilik itu dan membenarkan anggota masuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki rakyat Pakistan beragama Islam berada dalam bilik itu dan mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Pada masa sama, wanita itu memakai baju dalam keadaan terbalik serta tidak menarik zip seluar jeans menyebabkan timbul syak mereka melakukan maksiat berikutan pintu bilik lambat dibuka selepas diketuk berkali-kali,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Salehudin berkata, lelaki itu ditemui hanya memakai seluar panjang tanpa baju dan terkejut melihat kehadiran anggotanya membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati nenek terbabit yang tidak bekerja itu mengaku sanggup datang ke negara ini selepas kekasihnya meminta dia datang ke Kedah untuk berbincang soal perkahwinan mereka.

Peguam songlap

KUALA LUMPUR: Nasib sepasang suami isteri bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila firma guaman yang sepatutnya menyerahkan wang tuntutan kemalangan kira-kira RM300,000 dikatakan mendiamkan diri.
Menurut sumber, kisah tragis pasangan itu bermula apabila motosikal ditunggangi suami isteri itu dirempuh sebuah kereta mewah menyebabkan mereka cedera parah, tiga tahun lalu. “Sebaik pulih daripada kemalangan, pasangan itu memfailkan saman terhadap pemandu dan syarikat insurans berkaitan. Perbicaraan mengambil kira-kira dua tahun dan berakhir dengan kegembiraan apabila mahkamah memerintahkan defendan membayar pampasan berjumlah hampir RM500,000.
“Mahkamah kemudian mengarahkan RM100,000 dimasukkan ke akaun ARB (Amanah Raya Berhad) milik wanita itu selain RM50,000 dibayar kepada firma sebagai kos guaman manakala bakinya dimasukkan ke akaun lelaki terbabit. “Namun, pasangan itu hanya menerima RM100,000 dan selepas itu firma terbabit dikatakan mendiamkan diri,” katanya. Malah katanya, firma guaman terbabit sering membuat helah setiap kali mangsa bertanyakan baki wang tuntutan itu. “Lebih menyedihkan, suami berusia 55 tahun itu terpaksa menanggung kos perubatan isterinya berjumlah ribuan ringgit kerana mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan terbabit. “Baru-baru ini mangsa membuat semakan dengan pihak insurans dan diberitahu bahawa keseluruhan bayaran tuntutan sudah dibayar kepada firma guaman sekitar Januari lalu. “Bagaimanapun, wakil firma guaman itu mendakwa wang terbabit bukan lagi milik mangsa kerana digunakan bagi membiayai pelbagai kos termasuk bayaran mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany, mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

2 anak hilang sekelip mata

MACHANG: Dalam sekelip mata, seorang wanita kehilangan dua anak lelaki remajanya selepas mereka terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8.8 Jalan Machang-Tanah Merah, di sini, pagi kelmarin.
Dua anak Rohimah Awang, 47, iaitu Mohd Faizal Abdullah, 22, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Faizul, 20, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Machang (HM) kira-kira jam 9.45 pagi.
Kemalangan berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang papan di Tanah Merah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh pokok di tepi jalan.

Menurut Rohimah, sebelum ini hanya Mohd Faizal bekerja di kilang itu manakala adiknya baru dua minggu bekerja di kilang berkenaan.

Katanya, dia terkilan kerana Mohd Faizal sepatutnya berkahwin awal tahun depan.

“Sebelum ini, Mohd Faizal memandu kereta bersendirian, tetapi sejak dua minggu lalu, dia ke tempat kerja bersama adiknya (Mohd Faizul).

“Saya tak sangka mereka keluar bekerja dan pulang bersama, akhirnya mati bersama,” katanya.

Menurutnya, tiada keganjilan ditunjukkan kedua-dua anaknya sama ada sebelum atau pada hari kejadian.

“Mereka keluar bekerja seperti biasa, kira-kira jam 9 pagi sebelum jiran datang ke rumah maklumkan nahas itu.

“Saya tidak mampu bersuara ketika itu. Saya dan suami, Abdullah Hussin, 55, bergegas ke HM untuk membuat pengecaman mayat Mohd Faizal.

“Selepas mengecam jenazahnya, satu lagi berita sedih apabila dimaklumkan Mohd Faizul juga meninggal dunia di hospital itu ketika menerima rawatan,” katanya.

Lelaki langgan pondan cuba rasuah

MELAKA: “Tuan, saya bagi RM300 dan angkat (ambil) sekali ‘wallet’ (dompet). Tolonglah lepaskan saya,” kata seorang lelaki berusia 30 tahun yang dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) selepas dipercayai melanggan seorang pondan di Jalan Tun Ali, di sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, taktik murahan bagi menggelapkan mata pegawai penguat kuasa Jaim itu tidak menjadi dan dia ditahan serta diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, lelaki terbabit dicekup selepas ditemui bersama seorang pondan berusia 35 tahun di satu kawasan gelap di belakang deretan rumah kedai.

Apabila anggota penguat kuasa tiba, lelaki terbabit membuat tawaran berkenaan sebagai imbuhan bagi melepaskan diri dari ditangkap.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata sebelum ditahan, lelaki bukan beragama Islam itu sudah menawarkan RM50 kepada anggotanya.

Bagaimanapun, apabila datang pula seorang pegawai penguat kuasa yang mengetuai operasi itu, lelaki terbabit menggandakan pula tawarannya kepada RM100.

“Lelaki terbabit kemudian menawarkan pula RM300 berserta dompetnya sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan.

“Tetapi, lelaki berkenaan terus digari dan dibawa ke dalam van sebelum laporan polis dibuat dan ditahan lalu diserahkan kepada SPRM pagi ini (semalam),” katanya.

Isteri harap keajaiban

MARANG: “Walau sudah 100 hari dia tidak sedarkan diri akibat koma selepas terbabit kemalangan pada Mac lalu, saya masih mengharapkan keajaiban untuk melihat suami pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya Zainun Ismail, 55.
Suaminya, Abdul Razak Abdullah, 61, mengalami pendarahan teruk di kepala akibat kemalangan itu, namun kini harapan sedikit terpancar dalam diri Zainun apabila suaminya mula memberikan reaksi dengan mengelipkan mata.
“Saya reda dengan ketentuan Tuhan kerana doktor berpesan kepada saya hanya kecekalannya dan keajaiban untuknya pulih.

“Namun, saya gembira melihat dia mengelipkan mata dan sudah tidak bergantung pada alat bantuan pernafasan” katanya.

Menurutnya, suaminya dipindahkan ke Hospital Hulu Terengganu dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan ia serba sedikit memudahkannya berulang alik.

Mac lalu, Harian Metro melaporkan dua beranak, Abdul Razak dan anaknya, Abdul Mu’iz Abdul Razak, 20, cedera parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kuala berang.

Abdul Mu’iz yang cedera parah di kepala meninggal dunia selepas 40 hari terlantar di hospital manakala Abdul Razak koma sejak kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Marang, Aslina Ngah, berkata seluruh warga Sahabat AIM bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Zainun dan membuat kutipan bagi membantu keluarga berkenaan.

“Kami sangat simpati dengan nasib Zainun apatah lagi Zainun adalah sahabat AIM yang aktif bagi membantu suaminya selama ini.

“Kami harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga itu walaupun tidak seberapa,” katanya.

Guna pistol tipu

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang menganggur mampu hidup mewah hasil jualan dadah, tetapi apa yang melucukan, mereka menggunakan pistol tiruan sebagai modal utama menunjukkan kehebatan.
Itulah senario membabitkan dua pengedar dadah yang ditahan secara berasingan pada 11 dan 14 Jun lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz berkata, dua pistol automatik tiruan buatan China itu adalah dari jenis YT38 dan P729.
“Mungkin untuk menunjukkan kehebatan, seorang daripada mereka juga menyimpan 39 kelongsong peluru kosong pistol tiruannya.

“Seorang lagi hanya menyimpan pistol tiruan dengan kelopak kosong. Kedua-dua suspek dipercayai mengedar dadah sejak setahun lalu,” katanya, di sini, semalam.

Kamaruddin berkata, pada 11 Jun lalu, polis yang menerima maklumat berkaitan kegiatan mengedar dadah seorang lelaki membuat intipan di sebuah hotel.

Intipan itu membuahkan hasil apabila suspek berusia 37 tahun didapati berada di sebuah bilik hotel, di Jalan Dato Abdullah Tahir.

“Kami percaya suspek sedang menunggu pelanggan di bilik berkenaan berdasarkan jumlah dadah bersamanya. Ketika serbuan jam 7.15 petang itu, dia seorang diri dalam bilik itu.

“Polis merampas heroin seberat 3.22 gram, syabu (15.49 gram), Ketamin (1.92 gram), Ecstacy sebanyak 64 butir dan enam butir Eramin 5,” katanya.

“Jumlah keseluruhan rampasan kira-kira RM8,000 dan ujian air kencing mendapati suspek positif syabu. Dia juga bergiat aktif mengedar dadah sekitar bandar raya ini.

“Dalam serbuan tiga hari kemudian di sebuah rumah, di Jalan Mariamah, sindiket dianggotai empat lelaki yang aktif sejak setahun lalu di sekitar bandar raya ini juga dilumpuhkan.

“Sindiket dianggotai dua lelaki tempatan, seorang warga Singapura serta seorang warga Indonesia,” katanya.

Penagih Melayu pilih ganja

JOHOR BAHRU: Berdasarkan gaya semasa, remaja Melayu gemar mengambil dadah murah seperti ganja manakala remaja Tionghua pula lebih menumpukan untuk mendapatkan dadah mahal termasuk syabu dan pil.
Selain itu, remaja Melayu juga gemar menghisap ganja di lokasi di mana ia diperoleh tidak seperti remaja Tionghua yang kebiasaannya melakukannya di premis hiburan.
Berdasarkan pasaran semasa, ganja dianggarkan berharga RM10 sepaket manakala dadah jenis pil dan syabu pula mencecah puluhan hingga ratusan ringgit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu mengatakan gaya semasa itu diperoleh hasil serbuan dan juga tangkapan dibuat sebelum ini.

“Ganja murah dan mudah diperoleh, tetapi syabu serta dadah jenis pil mahal selain sedikit sukar untuk mendapatkannya. Kajian berkaitan gaya semasa itu pula kami kumpulkan hasil daripada serbuan di lokasi penagihan. “Walaupun berbeza dari segi harga, bila disebut saja dadah, ia tetap bahaya. Oleh itu, kami harap masyarakat khasnya remaja, tanpa mengira kaum menjauhkan diri daripadanya,” katanya, di sini, semalam.

Berkaitan kejayaan keseluruhan JSJN Johor sepanjang enam bulan tahun ini, Kamaruddin memaklumkan jumlah terbesar dadah dirampas ialah pada Khamis dan Jumaat lalu dengan nilai RM2.3 juta.

Berdasarkan statistik, sepanjang Januari hingga 13 Jun lalu, JSJN Johor merampas dadah bernilai RM4.53 juta membabitkan Ketamin, Ecstacy juga serbuknya, Eramin 5, Psikotropik, Domicum, heroin, ganja, syabu, ubat batuk, air serta daun ketum.

“Pecahan itu membabitkan 17 kilogram (kg) Ketamin, heroin (18kg), ganja (25kg), syabu (tiga kg) dan serbuk Ecstacy (sembilan kg). “Dadah jenis pil pula membabitkan Eramin 5 sebanyak 21,800, Ecstacy (20,966), Psikotropik (7,298) dan Domicum sebanyak 8,212. “Ubat batuk membabitkan 32.7 liter, air ketum (dua liter) dan daun ketum sebanyak tujuh kilogram,” katanya.

Selain dadah, JSJN juga membuat tangkapan membabitkan 335 pengedar dadah. Daripada jumlah itu, 194 disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Kamaruddin, jumlah keseluruhan tangkapan pula ialah 4,380 dengan 3,015 daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, 83 tangkapan turut dibuat terhadap pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Seramai 17,043 individu diperiksa membabitkan kes penagihan dadah dan daripada jumlah itu, 6,905 didapati positif,” katanya.