16/06/2010 3:51pm
KUALA LUMPUR 16 Jun – Suri rumah yang kematian suami akibat dipukul seorang konstabel, akhirnya mendapat pampasan sebanyak RM90,000 daripada pihak polis dan kerajaan.
Siti Rohana Mohamed, 27, mendapat pampasan itu selepas lima daripada enam defendan iaitu Ketua Polis Balai Polis Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan kes saman RM2 juta di luar mahkamah terhadap mereka.
Peguam M. Manoharan yang mewakili Siti Rohana berkata, kelima-lima defendan bersetuju membayar jumlah itu tanpa mengaku bertanggungjawab dalam insiden yang berlaku pada 26 Mei 2002.
Manoharan juga berkata, pengurusan kes itu berhubung defendan pertama iaitu Konstabel Mohd. Izwan Sahak, 28, ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.
Dalam samannya, Siti Rohana berkata, suaminya Ramli Othman sedang menunggang motosikal bersama-sama Mohamed Fadelli Maulud ketika dipukul oleh Mohd. Izwan secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran pada kira-kira 1 petang, pada hari kejadian.
Beliau mendakwa tindakan Mohd. Izwan menghayun kayu dan memukul kepala Ramli sehingga menyebabkan kematiannya adalah satu tindakan bersifat ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan penuh niat untuk membunuh.
Siti Rohana menuntut ganti rugi teruk atau teladan, ganti rugi khas berjumlah RM2,020,652.00 dan faedah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada 15 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd. Izwan setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli. – Bernama